Monday, March 25, 2019

14 Penjaga Rahsia Kunci Internet Yang Ramai Tidak Pernah Tahu

14 Penjaga Rahsia Kunci Internet Yang Ramai Tidak Pernah Tahu

Apa itu internet? Di mana terletaknya internet? Siapa yang menjaga internet? Pernahkah anda tertanya-tanya persoalan ini? Jawapannya, internet adalah sebuah rangkaian yang menghubungkan manusia di seluruh dunia. Lokasinya di merata-rata.

DNS Root Key Ceremony

Pada 21 Oktober 2016, sebahagian besar pengguna internet tidak dapat mengakses beberapa laman sesawang untuk beberapa jam kerana penggodam berjaya menghantar sejumlah trafik ke sebuah syarikat bernama Dyn di mana server syarikat berkenaan gagal untuk mengawalnya.

Dyn adalah sebuah syarikat pembekal Domain Name System (DNS) dan antara peranan utama DNS adalah menterjemah alamat laman sesawang seperti sentiasapanas.com contohnya, kepada alamat IP bernombor yang digunakan komputer bagi mengenal pasti sesebuah laman sesawang.

Dyn hanyalah salah satu pembekal server DNS dan walaupun penggodam gagal mengawal rangkaian ini, mereka berjaya membuatkan server DNS syarikat tersebut menjadi offline untuk berjam-jam lamanya.

Ini menunjukkan terdapatnya kebergantungan internet terhadap DNS dan serangan tersebut telah menjejaskan akses pengguna ke beberapa laman besar seperti Business Insider, Amazon, Twitter, Github, Spotify dan banyak lagi.

Internet di beberapa negara Eropah dan Amerika Utara lumpuh serta merta.

Sekiranya Anda Mengawal DNS, Anda Mengawal Seluruh Internet

DNS dijaga dengan rapi oleh segolongan manusia di seluruh dunia, yang dikenali sebagai pegawai krypto.

Setiap 3 bulan sejak tahun 2010, mereka akan bertemu bagi melakukan sebuah ritual yang dikenali sebagai Upacara Kunci (key ceremony) atau DNS Root Key Ceremony, di mana kunci-kunci kepada mangga induk internet (mangga dalam bentuk perisian) perlu disahkan dan dikemaskini.

Golongan yang menjalankan upacara berkenaan adalah merupakan sebahagian daripada sebuah organisasi yang dikenali sebagai Internet Corporation for Assigned Names and Numbers (ICANN).

ICANN bertanggungjawab untuk meletakkan alamat internet bernombor kepada laman sesawang dan komputer.

Sekiranya seseorang itu berjaya mengambil alih pangkalan data ICANN, individu berkenaan boleh mengawal internet secara keseluruhannya.

Contohnya, individu berkenaan boleh menghantar pengguna internet ke laman sesawang bank palsu berbanding laman sebenar.

14 Orang Individu Memegang Kunci Rahsia Kepada DNS

Bagi melindungi DNS, ICANN mencipta suatu cara di mana kepercayaan tidak akan diberikan hanya kepada seorang individu.

Sebaliknya, mereka memilih 7 orang sebagai pemegang kunci dan memberikan mereka kunci sebenar Internet. Mereka turut melantik 7 orang lagi sebagai back up, menjadikan 14 orang secara keseluruhannya.

Upacara Kunci mewajibkan kehadiran 3 orang daripada mereka, bersama kunci yang dipegang.

3 kunci diperlukan kerana inilah jumlah kunci yang diperlukan bagi membuka alatan yang melindungi DNS.

Upacara Kunci: Sebuah Ritual Rahsia Yang Sukar Ditewaskan

Kunci fizikal dapat membuka peti deposit keselamatan. Peti berkenaan mengandungi kad kunci pintar dan beberapa kunci diperlukan bagi memperolehi akses kepada peranti bagi menjana kunci induk internet.

Kunci induk tersebut sebenarnya adalah beberapa kod komputer yang dikenali sebagai 'root key-signing key'. Ianya adalah sejenis kata laluan yang memberi akses kepada pangkalan data induk ICANN.

Kunci berkenaan akan menjana kunci-kunci lain yang melindungi pelbagai bahagian internet yang lain di pelbagai lokasi, yang digunakan oleh beberapa organisasi keselamatan internet yang berbeza.

Keselamatan sebelum, ketika dan selepas upacara dijalankan adalah sangat ketat.

Pemegang kunci perlu melalui beberapa pintu keselamatan berkunci menggunakan kod kunci dan pengimbas tangan sehinggalah mereka masuk ke sebuah bilik.

Bilik berkenaan terlalu selamat sehinggakan tiada komunikasi elektronik dapat berhubung merentasinya.

Di dalam bilik tersebut, pegawai krypto akan berkumpul bersama beberapa pegawai ICANN serta tetamu dan pemerhati.

Seluruh perjalanan upacara akan direkod secara teliti dan diaudit. Setiap langkah yang bakal diambil telah dipetakan sebelumnya dan diedarkan kepada peserta. Tindakan ini dilakukan bagi mengelakkan berlakunya tindakan di luar kawalan.

Kumpulan di dalam bilik berkenaan akan mengikut langkah-langkah yang telah ditetapkan, dan kemudiannya seorang demi seorang meninggalkan bilik itu.

Setelah tamat upacara, secara tradisinya, mereka yang terlibat akan bergerak ke sebuah restoran tempatan untuk meraikannya.

Namun, seselamat manapun upacara berkenaan, internet sebenarnya adalah sebuah teknologi terbuka yang tidak dimiliki oleh sesiapapun.

Internet telah dicipta di Amerika Syarikat, namun mereka telah melepaskan tanggungjawab pengawasannya pada hujung tahun 2016 kepada ICANN.

Tanggungjawab terhadap internet adalah tanggungjawab antarabangsa. ICANN membenarkan sesiapa sahaja di seluruh dunia untuk melihat Upacara Kunci melalui live streaming di internet. Mereka juga menerbitkan skrip bagi setiap upacara.

Kesimpulan

Internet memainkan peranan yang sangat penting dalam hidup manusia masa kini. Tanpa internet, maklumat tidak dapat disampaikan serta merta.

Sekiranya internet digunakan secara berhemah, ia boleh memberi manfaat kepada kita semua dan sebaliknya jika digunakan untuk tujuan yang tidak baik, juga boleh memudaratkan.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: iluminasi

SBDJ Siri 28: Kubur Berasap

SBDJ Siri 28: Kubur Berasap

Saya masih dapat mengawal perasaan. Datuk pun memadamkan api yang membakar sumbu lilin. Nyamuk mula menggigit cuping telinga dan muka. Dalam samar-samar senja itu datuk memandang wajah saya tepat-tepat.

Siri SBDJ 15

"Kita balik saja”, kata datuk.

"Kenapa?"

"Jangan banyak soalan, ikut cakap aku."

"Tapi tok.."

"Jalan”, pekik datuk.

Saya lihat wajah datuk lain macam. Langkah datuk cukup cepat. Saya lihat tapak kakinya bagaikan tidak menyentuh bumi.

Supaya tidak ketinggalan jauh darinya, saya terpaksa berlari tanpa memandang ke kiri dan ke kanan.

Kemudian saya terdengar bunyi yang ganjil dari arah belakang, macam bunyi tapak kaki orang memburu saya.

Bila di toleh ke belakang tidak ada suatu pun yang saya nampak kecuali dedaun rumput menutup bumi yang runduk kena pijak.

Saya terdengar bunyi suara reriang rimba yang bertali-temali. Bunyinya berubah dari satu pokok ke satu pokok. Bunyinya cukup nyaring dan memanjang pula.

Kata nenek, kalau reriang rimba berbunyi dalam bunga senja dan bunyinya tidak putus, membawa alamat ada penghuni kampung yang akan meninggalkan kampung dan tidak akan kembali hingga hari kiamat.

"Siapakah yang akan mati?", timbul pertanyaan dalam hati kecil saya.

Tentu saja pertanyaan itu tidak akan menerima jawapan dari sesiapa.

Barangkali, kalau pertanyaan yang sama diajukan pada datuk kemungkinan menerima jawapannya cukup cerah.

Sayang, saya tidak berani bertanya padanya. Datuk terus melangkah. Saya renung ke kiri. Pokok getah berdaun lebat tertegun kaku. Saya toleh ke kanan, pohon-pohon koko yang berbuah rapat-rapat tidak bergerak.

"Tok”, mendadak saja memanggil nama datuk dalam warna senja yang kian gelap itu.

Datuk berhenti. Entah macamana sepasang mata saya tertumpu pada sepasang kakinya yang tidak memijak bumi.

Saya kedutkan kening dan dahi. Belum pernah saya melihat datuk dalam keadaan demikian. Hati saya mula ragu-ragu. Apakah saya berhadapan dengan datuk atau dengan satu makhluk asing yang menyerupai datuk.

Bagi membuktikan apakah datuk yang wujud di hadapan saya itu datuk yang sebenar atau sebaliknya, saya segera menarik hujung bajunya dengan sekuat hati.

Badan saya bagaikan ditarik oleh satu kuasa menyebabkan saya terdorong ke depan. Bahu sebelah kanan saya menyondol pangkal belikat datuk.

Kemudian saya terasa satu hentakan yang amat kuat mengenai pangkal telinga kanan saya. Seluruh badan terasa lemah. Saya tidak mendengar apa-apa.

Semuanya terasa sunyi dan sepi. Saya tidak tahu, berapa lama saya berkeadaan demikian.

Saya tersedar apabila badan saya digoyang oleh datuk beberapa kali. Telinga saya diasak dengan bacaan ayat-ayat suci. Bila saya membuka mata, saya lihat datuk tersenyum.

"Saya lihat datuk ber.."

"Aku faham”, datuk memotong cakap saya dan menyuruh saya bangun.

Suasana sekeliling bertambah kelam. Bunyi suara burung kuang-kuik cukup jelas kedengaran.

Kata orang tua-tua, burung itu berbunyi dari atas kepala harimau. Ada juga yang mengatakan burung itu jadi kepala jalan kepada hantu dan syaitan. Sering berbunyi waktu senja begini dan tengah malam menjelang subuh.

Saya tidak boleh bangun. Kedua belah sendi lutut saya terasa longgar, tidak mampu menahan badan saya agak gemuk ini.

Bunyi suara burung kuang-kuik semakin dekat. Saya cemas dan saya faham, kalau tidak kena caranya saya dan datuk akan jadi korban harimau.

"Kita dalam bahaya tok. Rumah Omari agak jauh tok."

"Tak apa. Sepatutnya kau tidak boleh menegur aku bila melihat aku dalam keadaan yang ganjil."

"Kenapa tok tak cakap tadi?"

"Aku terlupa”, kata datuk dengan wajah yang kesal.

Tanpa diminta, datuk menerangkan pada saya bahawa, dia terpaksa berjalan atas angin untuk menghindarkan sebarang kejadian buruk.

Menurut datuk, jarak tapak kakainya dengan bumi lebih kurang satu kaki setengah ruang yang kosong antara tapak kaki dengan bumi akan dilalui oleh angin yang boleh memisahkan kuasa jahat dari meresap ke dalam tubunya.

"Apa dia kuasa jahat tu tok?", tanya saya.

"Jin tanah atau jembalang tanah."

"Ganjil benar bunyinya. Ini dah tahyul tok”, kata saya sambil tersenyum.

Belum pun datuk memberikan jawapan pada pertanyaan itu, saya tercium satu bau yang agak ganjil.

Suara burung kuang-kuik terdengar dari dahan pokok atas kepala. Datuk masih juga bertenang. Dia suruh saya berdiri tetapi saya tidak berdaya.

"Kalau aku berjalan memijak bumi tadi, tentu saja aku lumpuh semua badan. Tempat ini agak keras”, dengan mendadak saja datuk memberitahu saya.

Datuk juga menyatakan, sekiranya saya tidak menarik bajunya, perkara itu tidak berlaku pada diri saya.

Sebabnya, ketika dia berjalan tadi semangat dan perasaannya sudah disatukan dengan semangat saya.

Datuk pun memicit buku lali kanan saya. Mulutnya terkumat-kamit membaca sesuatu. Hari bertambah gelap. Bunyi reriang rimba tidak kedengaran lagi.

Ternyata usaha yang datuk lakukan tidak dapat memberikan kejayaan. Saya tidak mampu berdiri dan saya rasa tempurung lutut sudah tidak wujud pada tempatnya.

"Kau tahu Tamar kenapa aku berjalan atas angin?"

"Tak tahu."

"Kau perlu belajar dan mengenal adat budaya dan kepercayaan nenek moyangmu yang tidak lari dari asas agama Islam."

"Maksud tok?"

"Manusia tidak dapat melarikan diri dari empat unsur ini iaitu, tanah, air, api dan angin. Begitulah yang dikatakan oleh guruku."

"Sebab apa begitu tok?"

"Kalau tidak ada benda-benda ini, manusia tidak akan dapat bergerak atas alam ini."

"Maksud tok memang saya tak faham."

"Mudah saja. Manusia berasal dari tanah akan kembali ke tanah. Air pula mesti ada dalam tubuh manusia. Api yang bermaksud darah mesti ada dalam diri manusia. Begitu juga dengan angin, jika tidak ada angin manusia tidak akan boleh bemafas."

Saya terdiam mendengar keterangan dari datuk itu. Lalu dia menyatakan makhluk lain sama ada dari jin dan sebagainya juga bergantung pada perkara-perkara yang disebutkan itu.

"Pada zahirnya, engkau nampak kakiku tidak memijak bumi. Tetapi dari segi kebatinannya aku tidak terpisah dengan bumi, seluruh pancaindera bertaut rapat dengannya.

"Kerana itu aku tidak boleh bercakap atau mengerakkan tubuhku. Bila bergerak, kuasa jahat akan meresap ke tubuhku”, datuk pun memberikan penjelasan.

Saya mahu mengerti dan faham. Apa yang saya ragukan selama ini dengan sendirinya sudah terjawap.

Datuk merenung wajah saya dengan tepat dan tajam sekali. Dari sinar matanya itu, datuk seolah-olah berkata begini:

“Jangan kau tanya lagi hai cucuku, Tamar Jalis.”

Saya terkejut dari ribuan pokok sebelah kiri, seekor harimau muncul. Misainya bergerak-gerak dan dalam samar-samar senja itu sinar matanya seakan-akan bercahaya.

"Kau datang sayang”, kata datuk.

Harimau bergerak untuk menghampiri datuk. Dengan tenang datuk menghulurkan lengan tangan kanan kanannya pada harimau itu.

Lidah harimau yang panjang dan merah itu menjilat kulit lengan kanan merebahkan bulu-bulu roma hitam dan lebat di tangan datuk yang kaya dengan urat.

Datuk lalu memeluk leher harimau. Datuk merabah-raba misai harimau, dan harimau besar itu menguap panjang. Taringnya yang tajam berwarna putih jelas kelihatan.

"Kau tahu aku dalam kesusahan, kau datang ya”, ujar datuk lagi.

Harimau itu terus merebahkan badannya ke atas bumi, bergerak kekanan sambiI menggerak-gerakkan ekornya penuh manja. Datuk pun mengurut-urut-urut badan harimau itu berkali-kali.

"Cucuku sakit. Kau jilatlah tempurung lututnya.”

Sebaik sahaja datuk selesai bercakap, harimau itu bangun. Harimau itu menggeliat dengan kedua belah kaki depannya mencengkam bumi.

Manakala kedua belah kaki belakangnya menendang bumi menyebabkan bahagian belakang badannya meninggi dan bahagian kepalanya rendah separas bumi.

Harimau itu mengaum kecil sambil membetulkan kedudukan badannya seperti asal.

"Kau harus membuatkan senaman macam harimau ini untuk menguatkan pinggang dan urat-urat kaki dan tangan serta belikat dari diserang lumpuh.

"Jadikan amalan setiap pagi dan petang”, kata datuk pada saya sambil menyuruh saya melihat gerak-geri harimau tersebut.

Dan harimau itu bagaikan mengerti dengan apa yang dikatakan oleh datuk pada saya, lalu mengulangi perbuatannya itu sebanyak tiga kali berturut-turut.

Dengan tenang harimau itu membuka mulutnya luas-Iuas lalu menjulurkan lidahnya hingga ke pangkal leher.

Dengan tenang harimau itu menghampiri saya. Apa yang saya rasai ialah rasa geli dan sejuk di bahagian kepala lutut, bila lihat harimau itu menjilat kulit badan saya dari kepala lutut hingga ke buku lali.

Sesekali saya terasa gigi harimau yang tajam itu berlari-lari lembut atas tempurung lutut.

Saya kira lebih kurang tiga minit harimau itu menjilat dari tempurung kepala hingga ke buku lali.

Harimau itu terus mengaum panjang dan menghilangkan diri dalam sekelip mata. Burung Kuang-kuik berbunyi kembali.

Datuk menyuruh saya bangun. Memang menakjubkan, saya dapat berdiri dengan cukup baik sekali. Saya boleh melangkah dengan penuh tenaga dan kekuatan.

"Bagaimana? Kau kuat sekarang?"

"Ya tok, saya kuat."

Tiba-tiba datuk mengikat kedua belah mata saya dengan kain hitam. Dia menyuruh saya berdiri betul-betul disebelah kanannya.

Datuk pun meletakan tangan ke atas bahu saya.

"Langkah setapak ke depan dengan kaki kanan”, ujar datuk.

Perintahnya itu saya patuhi. Apa yang saya alami selanjutnya ialah badan rasa melayang. Bunyi angin cukup kuat memukul gegendang telinga. Saya bagaikan terkhayal sejenak.

"Sedia.”

Saya terdengar suara datuk. Serentak dengan itu saya terasa sepasang kaki saya memijak bumi.

Datuk pun membuka mata. Saya dan datuk sudah pun berada di kaki tangga rumah Omari. Dengan wajah yang tenang Omari menjemput kami naik ke rumah.

Kerana waktu Maghrib hampir tiba, saya dan datuk tergesa-gesa mandi dan mengambil air sembahyang.

Datuk dan Omari berbual-bual di ruang tengah sementara menanti waktu Isyak.

Kerana Omari sudah berpisah dengan isterinya, dia hanya menyediakan untuk makan malam sekadar yang termampu olehnya.

Malam itu kami makan nasi beras bukit berlaukkan ikan kembung rebus yang sudah digoreng serta sambal belacan. Makanan yang disediakan amat menyelerakan.

Untungnya, kami makan sesudah menunaikan sembahyang Isyak, kalau tidak sudah pasti saya rasa tidak selesa untuk rukuk dan sujud.

Lebih kurang pukul sepuluh malam, saya dan datuk meninggalkan rumah Omari menuju ke masjid.

Sebelum berangkat, Omari memberi pesan supaya berhati-hati bila tidur dalam masjid tersebut. Menurutnya, sudah banyak orang dicampak keluar dari masjid kerana bercakap tidak senonoh dan ikut suka hati.

Omari juga menyatakan masjid itu dikawal oleh jin Islam. Berdasarkan dari keterangan itu, saya merasakan bukanlah satu perkara yang ganjil kalau masjid itu dipanggil masjid jin.

Satu perkara yang tidak menyenangkan hati saya ialah untuk sampai masjid tersebut, terpaksa melintas tanah perkuburan yang amat luas.

Memang jadi kebiasaan pada diri datuk, dia lebih suka berjalan waktu malarn tanpa membawa pelita minyak tanah atau lampu suluh.

Sedang kami berjalan, tiba-tiba datuk berhenti. Dia bagaikan nampak tubuh manusia bergerak dalam gelap di celah-celah batu nisan yang terpacak kejap di situ.

"Datanglah. Aku kenal awak. Sama-sama anak Adam”, nada suara datuk cukup keras.

Saya lihat datuk menekapkan kedua belah tangannya ke pangkal leher. Saya segera merapatinya.

"Keluarlah”, ujar datuk lagi.

Tidak ada jawapan dan tindak balas dari makhluk yang dilawan bercakap oleh datuk. Saya dan datuk terus tegak kaku di situ.

Dalam gelap itu saya rasa ada orang bergerak, memintas di depan kami. Datuk melompat dengan mendadak kira-kira dalam jarak enam kaki tingginya.

Bila datuk berdiri semula di tempat asalnya, dia sudah pun memegang pergelangan tangan seorang lelaki tua.

"Nyalakan lampu minyak tanah kau."

Lelaki itu patuh dengan cakap datuk. Dari cahaya lampu minyak tanah itu, jelas kelihataan wajah lelaki dalam usia lima puluhan. Wajahnya pucat sungguh.

"Dari mana kau?", soal datuk.

"Saya menyiramkan air yassin ke kubur yang menjerit."

"Kubur siapa?"

"Anak Omari."

"Kau siapa?"

"Saya Mohammad Tammat. Sayalah yang menjaga seluruh kawasan kubur ini dan saya tinggal di pondok belakang masjid."

Bagi memastikan orang yang berkata itu manusia sebenar atau makhluk lain yang menjelma sebagai manusia, datuk menggengam sekepal tanah. Tanah itu datuk gosokkan ke lengan lelaki itu.

Datuk senyum, Mohammad Tammat memang manusia sebenar kerana tanah yang digosokkan ke lengannya melekat di kulit. Dan Mohammad Tammat menjerit bila tanah itu ditekan kedalam uratnya.

Datuk pun menceritakan tujuannya datang ke situ. Dengan senang hati Mohammad Tammat sendiri memasang tiga pelita minyak tanah dalam masjid tersebut.

Bila semua urusannya selesai Mohammad Tammat pun pulang ke pondoknya.

Memang ada terasa seram sejuk bila berada dalam masjid tersebut. Datuk menyuruh saya tidur di sudut masjid berhampiran dengan tingkap dan pintu.

Datuk terus sembahyang sunat masjid. Selesai sembahyang datuk terus membaca al-Quran. Saya akhirnya terlelap.

Bila saya terjaga dari tidur, di hadapan saya terdapat seorang tua berjanggut memakai serban dan jubah hijau. Air mukanya cukup bersih bagaikan ada cahaya ketenangan di wajahnya.

"Kau tidur di sana nak”, katanya tenang.

"Terima kasih."

Saya pun bangun dan menuju ke tempat yang ditujukkannya. Datuk terus membaca al-Quran.

Sila lihat di kiri kanan datuk terdapat beberapa orang lelaki memakai serban hijau dan berjubah hijau penuh khusyuk mendengar datuk membaca ayat-ayat suci.

Sebarang pembacaan datuk tersalah atau silap segera ditegur. Ruang masjid saya lihat terang benderang bagaikan ada lampu letrik.

Saya terus tidur dan bangun bila terdengar suara azan subuh memukul gegendang telinga. Saya segera mengambil air sembahyang.

Dalam sekelip mata saja, saya dapati masjid itu sudah dipenuhi dengan manusia untuk sembahyang subuh.

Sebelum memulakan sembahyang saya bersalam dengan seorang imam. Tidak banyak perkataan yang diucapkan ketika saya berjabat salam dengannya. Dia lebih banyak membaca Allahu Akbar.

Datuk saya lihat cukup tenang berhadapan dengan orang-orang yang tidak dikenali itu. Saya sembahyang agak jauh dengan datuk.

Lepas sembahyang orang-orang itu bersalaman antara satu sama lain. Akhirnya bersalaman dengan saya sebelum meninggalkan masjid.

Pak imam yang berbadan tegap adalah orang yang terakhir meninggalkan masjid. Bila sampai dihalaman masjid, dia berpatah balik mendapatkan datuk.

"Awak orang baru, ada hajat datang ke sini?", soalnya.

"Memang, ada hajat besar."

"Apa hajatnya?"

"Mahu menghilangkan suara yang menjerit dari kubur."

"Dia anak derhaka, saya juga berusaha ke arah itu."

"Maksud pak imam?"

"Ada saya tinggalkan air untuk disiramkan ke atas kuburnya, tetapi orang yang menyiramnya tu, tidak berapa sempuma."

"Saya kurang faham."

"Dia jarang berjemaah subuh di sini. Sebagai orang Islam ada tempat ibadat, memang elok sembahyang jemaah banyak faedahnya.

"Dapat mengekalkan semangat persaudaraan sesama Islam. Sembahyang seorang dengan sembahyang jemaah berbeza pahalanya”, kata pak imam itu dengan senyum.

Dia lalu meminta diri dan tetap berdoa pada Allah, semoga niat baik datuk itu akan berjaya.

"Berusahalah untuk kebaikan. Tetapi apa yang harus awak ambil kira, segala kejadian yang berlaku sebagai petunjuk dari Allah untuk umat manusia di dunia”, itulah kata-katanya yang diucapkan pada datuk dan meninggalkan kesan yang amat mendalam pada diri saya.

Saya hanya dapat melihat pak imam melangkah lima tapak ke hadapan di halaman masjid.

Batang tubuhnya ghaib dengan mendadak saja sebaik sampai ke arah sebatang pokok.

Bila saya menoleh ke dalam masjid, saya lihat datuk terus membaca ayat-ayat suci al-Quran.

Suasana subuh yang amat menyejukan itu membuat saya dua tiga kali menguap panjang. Sesekali menggeliat menghilangkan rasa lenguh di badan.

"Kau ambil yassin dan baca”, perintah datuk.

Saya pun terus membaca yassin dengan perlahan-lahan, pembacaan saya sering terganggu dan tidak selancar pembacaan datuk.

Akhirnya, beberapa orang kampung yang berdekatan datang sembahyang subuh di masjid tersebut.

Mereka merasa agak pelik kenapa saya dan datuk tidak turut sama sembahyang jemaah bersama mereka. Dari gerakan dan kerdipan mata mereka membayangkan kesangsian.

Agaknya, mereka mengira saya dan datuk berlainan mazhab atau menerima ajaran agama yang silap. Bila mereka selesai sembahyang, Mohammad Tammat menghampiri datuk.

"Kenapa tak berjamaah sekali?”, tanya Mohammad Tammat.

"Kami sudah sembahyang jemaah."

"Dengan siapa?"

"Tadi ramai orang datang penuh satu masjid."

"Haa.."

"Tak aneh. Saya bercakap dengan pak imam. Saya bertukar senyum dengan bilal muda."

Mohammad Tammat mengerutkan keningnya. Dia termenung sejenak. Cepat-cepat dia menuju ke sudut masjid sebelah kanan dan mengambil sebotol air jernih. Dia datang pada datuk semula.

"Awak bermimpi agaknya?"

"Saya bercakap benar air dalam botol yang awak ambil tu pemberian pak imam."

"Pelik."

Saya lihat muka Mohammad Tammat berubah lagi. Bibirnya digigit sekuat hati hingga menimbulkan bekas pada bibir sebelah bawah.

"Awak berjemaah dengan jin."

"Alhamdulillah, saya bersyukur atas kebesaran Allah”, datuk pun menadahkan ke dua belah tangannya.

Orang-orang kampung pun mula meninggalkan masjid begitu juga dengan Mohammad Tammat.

Bila matahari mula terbit di kaki langit, saya dan datuk pun keluar untuk mandi embun.

Memang diluar dugaan, dalam langkah yang punya matIamat itu kami sampai ke bahagian belakang masjid yang berhampiran dengan kawasan perkuburan.

Lubang telinga datuk dan saya mula diasak dengan suara orang menjerit dan menangis.

Saya dan datuk menuju ke arah bunyi suara itu. Matahari pagi mula memancarkan sinarnya yang lembut, air embun di hujung daun yang terkena sinaran matahari nampak bermanik-manik. Burung-burung mula melompat dari dahan ke dahan sambil berkicau riang.

Bila saya dan datuk sampai ke kubur anak Omari, saya lihat Mohammad Tammat terbongkok -bongkok menyiramkan air dari dalam botol ke atas tanah kubur.

Saya dan datuk terus menghampiri Mohammad Tammat. Dia tidak memperdulikan kedatangan kami.

Datuk terus duduk di bahagian kepala kubur. Datuk membaca sesuatu. Air yang di siram oleh Mohammad Tammat habis satu botol.

Mohammad Tammat pun meletakkan botol kosong itu dekat batu nisan. Saya terkejut, botol kosong itu bergerak-gerak bagaikan disentuh oleh manusia, akhirnya botol itu hilang.

"Perkara itu satu perkara biasa”, kata Mohammad Tammat memberitahu saya yang kehairanan.

Suara dari dalam kubur tidak sekuat tadi. Tetapi saya dapat mendengar dengan jelas apa yang terkeluar dari dalam perut bumi itu.

"Aduh panasnya. Ampunkan saya emak, ampunkan saya”, itulah yang dapat ditangkap oleh gegendang telinga saya di pagi yang hening itu.

Datuk masih membisu seribu bahasa. Sinaran matahari yang memancar ke atas kubur cukup keras, walaupun hari masih pagi benar.

Saya perhatikan dengan penuh teliti, memang terdapat kepulan asap nipis keluar dari tanah kubur.

Di bahagian kaki yang berhampiran dengan batu nisan saya lihat tanah di situ bagaikan retak-retak kecil.

Saya segera menyatakan apa yang saya lihat itu pada datuk. Datuk menyuruh saya diam. Mohammat Tammat meninggalkan kami berdua di situ.

Datuk terus membaca ayat-ayat suci. Saya tetap berada disamping datuk. Bila datuk selesai membaca ayat-ayat suci dan menoleh ke kiri, saya dapati pak imam yang berjubah hijau berdiri disisinya.

Pak imam bersalam dengan datuk sambil berkata:

“Dia anak derhaka.”

Pak imam itu hilang. Suasana ditanah perkuburan terasa cukup sepi. Kicau burung tidak kedengaran, apa yang saya alami ialah rasa seram.

Bulu tenguk saya meremang tidak menentu. Suara dari dalam kubur terus hilang. Saya dan datuk pun pulang ke rumah Omari.

Di rumah Omari datuk duduk diruang tengah memakai baju dan seluar hitam siap dengan tanjaknya sekali. Datuk merenung ke arah matahari terbit.

Sebelah kanan lututnya tersusun beberapa batang pohon kayu kecil. Sebelah kiri lututnya terletak mangkuk putih tanpa air.

Datuk bertafakur kira-kira sepuluh minit. Semua yang datuk lakukan itu diperhatikan oleh Omari dan saya penuh teliti.

Datuk memejamkan matanya rapat-rapat. Saya terdengar suara orang batuk. Entah dari mana datangnya saya tidak tahu.

"Kau benar-benar mahu menolongnya?”, terdengar suara ghaib.

"Ya, pak imam."

"Dosanya akan hilang sesudah diampun oleh ibu yang melahirkannya."

"Lagi pak imam?"

"Dia harus juga meminta ampun pada ibu tirinya."

Sebaik saja suara itu hilang, datuk membuka matanya. Di tangan kanan datuk tergenggam sehelai kain berwarna hijau.

Kain itu terus dibelitkan ke lehernya. Datuk merenung ke wajah Omari tepat-tepat.

"Kau sayangkan anakmu?", tanya datuk.

"Tentu."

Maka berceritalah Omari bahawa anaknya itu pernah menendang dan memaki ibunya sesuka hati.

Malah pernah melukakan perasan ibunya yang melarang dia bercampur gaul dengan budak-budak nakal. Larangan itu tidak diperdulikan oleh anaknya.

Akhirnya anak itu terlibat dalam kumpulan penghisap ganja dan jadi peminat ekor tiga nombor (masa itu judi empat nombor masih belum ada).

"Anak saya itu membuat kerja-kerja syirik. Menyembah pokok, pergi ke kubur lama menurun nombor ekor”, kata Omari dengan wajah yang amat muram.

Datuk hanya mendengar penuh teliti. Omari juga menyatakan, ibunya menentang perbuatan itu hingga timbul pertengkaran.

Anaknya tidak dapat mengawal perasaan lalu memaki ibunya sendiri. Tiga bulan lepas peristiwa itu Omari bercerai dengan isterinya, lalu kahwin lagi.

"Anak saya akhirnya bengkak kaki tidak boleh berjalan. Isteri kedua saya merawatnya.

"Masa merawat itulah anak saya membaling isteri muda dengan kayu hingga dahinya luka, isteri muda saya meninggalkan saya."

"Lepas itu apa yang terjadi?", tanya datuk.

"Anak saya dimasukan ke hospital Batu Pahat dan meninggal dunia."

“Awak terlalu manjakan anak”, cungkil datuk lagi.

"Memang. Dialah satu-satunya anak saya”, suara Omari tersekat-sekat dan menangis.

Setelah mengadakan perundingan dengan Omari, datuk berusaha mencari isteri tuanya.

Akhirnya isteri tua Omari ditemui di Pontian sudah menikah dengan saudara berketurunan Pakistan.

Datuk membawa isteri tua ke rumah Omari. Isteri muda tidak dapat ditemui dan menurut beberapa orang kampung di situ, isteri muda Omari sudah pulang ke kampung halamannya di Tanjung Balai Indonesia.

Semua peristiwa yang terjadi diceritakan oleh datuk pada isteri tua Omari. Perempuan itu menangis tersedu-sedu.

Hatinya terasa pilu atas perbuatan bekas suaminya yang tidak memberitahu tentang kematian anaknya.

Malam itu, saya dan datuk tidur ke masjid jin lagi sekali. Kali ini kami datang ke masjid agak lewat. Kira-kira pukul satu tengah malam.

Kedatangan kami disambut oleh pak imam berjubah hitam dimuka pintu masjid.

"Kau sudah jumpa emaknya?", tanya imam itu.

"Ya, pak imam."

“Mana dia?"

"Dia ada di rumah adik Omari."

"Kita ke sana”, jawab pak imam berjubah hijau.

Kami pun menuju ke rumah adik Omari. Pak imam tetap berada di antara saya dengan datuk.

Suatu perkara ganjil yang saya alami, orang lain tidak dapat memandang tubuh pak imam.

Mereka hanya mendengar suaranya saja, sedangkan saya dan datuk dapat melihat gerak-geri pak imam.

Pak imam melakukan sembahyang dua rakaat di rumah adik Omari. Kemudian dia mengajak datuk dan saya membaca surah Yassin hingga subuh.

Sebelum matahari terbit pak imam itu memberi sebotol air jernih kepada datuk.

"Kau ajak ibunya ke kubur pada sebelah pagi. Suruh dia siramkan air ini atas tanah kubur itu dan suruh dia baca ayat ini”, pak imam beritahu pada datuk sambil menyerahkan sehelai kertas yang bertulis jawi.

"Lagi pak imam?"

"Sesudah selesai semuanya itu, ibunya harus melakukan sembahyang tahajud tengah malam minta Allah mengampunkan dosa anaknya.

"Tetapi, dia terlebih dulu dengan hati yang suci mesti mengampunkan perbuatan anaknya itu terhadapnya."

Janda Omari dan iparnya termanggu-manggu mendengar suara ghaib itu.

Mereka hanya nampak sekilas pandangan bentuk tubuh imam yang berjubah hijau waktu berdiri di muka tangga sebelum menghilangkan diri dari kami semua.

Tamat siri 28/284

BACA: SBDJ Siri 27: Manusia Tanpa Kepala
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-SENTIASAPANAS.COM

Bermula 2020 Semua Murid Sekolah Rendah Bakal Nikmati Sarapan Percuma!

Bermula 2020 Semua Murid Sekolah Rendah Bakal Nikmati Sarapan Percuma!

Bermula tahun 2020 nanti, murid-murid di semua sekolah rendah bakal mendapat sarapan secara percuma! Perkara ini telah diumumkan oleh Perdana Menteri Malaysia, Tun Mahathir Mohamad di Invest Malaysia 2019 pada 19 Mac lalu.

Skim sarapan percuma

Program sarapan percuma ini adalah hasil pembiayaan daripada cukai gula yang sudah diumumkan sebelum ini tetapi ditangguhkan pelaksanaannya.

“Penangguhan pelaksanaan cukai itu bagi membolehkan kerajaan meneliti mekanisme berkesan untuk memastikan pelaksanaan cukai bagi penjagaan kesihatan mencapai objektifnya,” katanya.

Semasa pembentangan Belanjawan 2019 yang lalu, kerajaan telah mencadangkan untuk melaksanakan cukai eksais 40 sen seliter pada minuman manis yang mengandungi lima gram gula atau pemanis berasaskan gula bagi 100 mililiter (ml), termasuk buah-buahan dan jus sayuran dengan kandungan gula lebih 12 gram bagi 100ml mulai 1 April 2019.

Walau bagaimanapun, pelaksanaan cukai itu telah ditangguhkan ke 1 Julai bagi memberi masa yang cukup kepada pihak industri untuk membuat persediaan.

Program sarapan percuma ini dilakukan bagi membolehkan murid-murid sekolah rendah untuk kekal sihat dan bertenaga sepanjang sesi persekolahan

Memetik kajian pakar pemakanan tiga pusat pengajian, Universiti Oxford, Cambridge, Glasgow dan St George mendapati tabiat tidak mengambil sarapan pagi secara sihat dalam kalangan kanak-kanak boleh mengundang risiko menghidap penyakit diabetes apabila usia mereka meningkat dewasa.

Tahap insulin yang tinggi boleh mengakibatkan badan kanak-kanak untuk kurang bertindak-balas terhadap perkembangan hormon yang kebiasaannya akan mengawal jumlah gula dalam aliran darah.

Risiko tersebut boleh berlaku disebabkan tahap insulin dalam badan kanak-kanak, sekali gus menjadi faktor utama penyakit tersebut.

Bukan itu sahaja, adalah didapati bahawa kanak-kanak yang tidak mengambil sarapan secara sihat akan lebih cenderung untuk memakan makanan yang mengundang kepada kegemukan pada waktu tengah hari atau malam.

Amalan sarapan secara sihat dalam kalangan kanak-kanak sebagai diet seimbang boleh mendapat banyak manfaat bagi mengelakkan golongan itu terdedah kepada kebanyakan penyakit.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: says

5 Tindakan Terpuji PM New Zealand Selepas Kejadian Tembakan Pengganas

5 Tindakan Terpuji PM New Zealand Selepas Kejadian Tembakan Pengganas

Pada pukul 1.40 petang waktu tempatan pada Jumaat, 15 Mac 2019 lalu, berlaku insiden tembakan di Masjid Al-Noor dekat Hagley Park dan Masjid Linwood di Christchurch, New Zealand yang mengorbankan lebih 50 nyawa termasuk seorang warga Malaysia.

Perdana Menteri New Zealand
Jacinda Ardern.

Lebih tragis lagi apabila rakaman video kejadian itu telah tersebar secara meluas di media sosial, dirakam sendiri oleh seorang lelaki bersenjata dan disiarkan secara langsung ketika serangan itu dilancarkan.

Tragedi itu dikatakan merupakan kejadian terburuk dalam sejarah New Zealand dan telah meninggalkan kesan trauma kepada umat Islam lebih-lebih lagi mereka yang berada di kawasan sekitar.

Walau bagaimanapun, berdasarkan apa yang dibaca dan dilihat di media massa semenjak tragedi itu terjadi, didapati bahawa majoriti rakyat di New Zealand turut bersama-sama masyarakat Islam dalam mengharungi dugaan terbabit.

Ekoran kejadian tersebut, pada 20 Mac yang lalu, buat pertama kali, pembukaan persidangan New Zealand dimulakan dengan bacaan ayat suci Al-Quran.

Sidang tersebut adalah persidangan pertama yang diadakan selepas kejadian serangan pengganas tersebut.

Seorang imam di sebuah masjid tempatan dijemput untuk menyertai majlis dan memperdengarkan bacaannya sebagai isyarat bahawa seluruh komuniti New Zealand bersatu-padu dan bersama-sama dengan mangsa yang terjejas.

Ayat suci Al-Quran yang dibacakan oleh imam berkenaan merupakan petikan daripada Surah Al-Baqarah.

Dalam persidangan yang sama, Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern telah memulakan perbahasannya di parlimen dengan ucapan yang cukup bermakna.

Sebelum memulakan hujahnya, Jacinda telah menggunakan ungkapan 'Assalamualaikum'.

Ungkapan itu merupakan satu istilah Arab yang bererti, 'Selamat sejahtera ke atas kamu', di samping mempunyai erti 'perdamaian dan kesejahteraan' bagi yang mengucapkan salam dan penerima salam tersebut.

Walaupun ringkas, ramai yang memuji Jacinda di atas solidariti yang ditunjukkan olehnya kepada masyarakat Islam.

Selain itu, terdapat beberapa lagi cara dan tindakan yang ditunjukkan Jacinda Ardern yang mendapat perhatian dunia, lebih-lebih lagi cara beliau menangani tragedi yang menimpa negara tersebut.

1. Bersumpah untuk tidak akan menyebut nama lelaki bersenjata dalam serangan berkenaan

Dalam ucapannya, Jacinda berkata, “Dia (pengganas) telah mencetuskan banyak perkara disebabkan tindakan ganasnya tapi ini (insiden tembakan di masjid) adalah yang paling teruk.

"Oleh sebab itulah anda semua tidak akan pernah mendengar saya menyebut namanya lagi.

“Dia seorang pengganas, penjenayah dan pelampau (ekstremis), saya akan gelarkannya ‘nameless’ (tidak bernama)”.

Jacinda kemudiannya menggesa orang ramai agar menyebut dan mengingati nama mangsa-mangsa yang terkorban.

“Saya mohon kepada anda, sebutlah nama mereka yang sudah terkorban lebih daripada dia (pengganas) yang menyebabkan kehilangan (pembunuhan) mereka," katanya.

2. Melawat komuniti Islam serta keluarga mangsa yang terlibat

Susulan insiden tragik itu, Jacinda telah bertindak dengan melawat komuniti Islam di Christchurch, sambil memakai jilbab hitam sebagai simbol penghormatan dan empati bagi masyarakat itu.

Dalam pertemuan itu, Jacinda kelihatan sabar mendengar aduan orang Islam di negaranya yang mengharapkan agar kerajaan di sana akan mengetatkan keselamatan masjid.

Jacinda turut mengambil peluang melawat keluarga mangsa tembakan di dua masjid di Christchurch dan tidak keberatan untuk memeluk sambil cuba untuk menenangkan mereka.

Beliau juga telah meletakkan sejambak bunga di perkarangan masjid sebagai simbol dan bentuk penghormatan kepada mangsa yang telah terkorban.

3. Menanggung kos pengebumian semua mangsa yang terlibat

Jacinda berkata bahawa kerajaan di bawah pimpinannya akan menanggung semua kos pengebumian mangsa-mangsa yang terkorban dalam serangan pengganas di dua masjid di Christchurch.

Bukan itu sahaja, dilaporkan juga bahawa kerajaan NZ komited untuk memberi sokongan kepada waris termasuk dari segi kewangan walaupun sebahagian daripada mereka berstatus imigran.

”Kami berjanji untuk memberi fokus kepada keperluan keluarga mangsa untuk hari-hari mendatang.

”Kebanyakkan mangsa-mangsa yang terkorban merupakan tulang belakang keluarga dan individu utama yang keluar mencari rezeki. 

”Ramai daripada mereka mempunyai tanggungan seperti anak dan isteri. Saya memberi jaminan melalui sistem yang diamalkan di negara ini, melalui ACC, terdapat kaedah yang boleh diguna untuk menghulurkan bantuan.

”Manakala bantuan tersebut akan diberikan tanpa mengira status mereka, sama ada warga imigran atau sebaliknya.

"Bantuan ini termasuklah kos pengebumian, serta sokongan kewangan kepada keluarga-keluarga yang kehilangan sumber pendapatan utama,” kata Jacinda.

4. Membenarkan azan Solat Jumaat bersiaran secara langsung di stesen radio dan televisyen di seluruh negara

Kerajaan New Zealand di bawah pimpinan Jacinda Arden mengumumkan bahawa azan Solat Jumaat akan (telah) diberi laluan untuk bersiaran secara langsung di stesen radio dan televisyen, Jumaat, 22 Mac 2019, beserta 2 minit tafakur, sebagai tanda solidariti kepada mangsa-mangsa yang terjejas.

”Terdapat keinginan yang sangat jelas dalam komuniti iaitu mahu memberi sokongan moral terutamanya apabila mereka ke masjid untuk beribadah,” katanya.

Menurut Jacinda, 2 minit tafakur peringkat kebangsaan akan diadakan sebagai tanda genap seminggu serangan keganasan terjadi.

5. Mengharamkan penggunaan senjata separa automatik dan senapang di New Zealand

New Zealand haramkan senjata api

Jacinda juga telah mengumumkan rancangan untuk mengharamkan senjata separa automatik dan senapang yang digunakan dalam serangan ketenteraan (assult rifles) berikutan insiden tembakan pengganas yang menewaskan 50 orang di Christchurch.

Beliau berkata bahawa larangan itu akan berkuatkuasa untuk senjata yang mempunyai jumlah peluru berkapasiti tinggi (banyak) dan senjata separa automatik. Undang-undang itu akan dilaksanakan pada 11 April 2019.

Tambahnya lagi, penguatkuasaan peraturan perlesenan dan menyekat membelian senjata api akan berlaku serta merta.

Ini bermakna tiada siapa yang dapat membeli senjata tanpa keizinan daripada pihak polis.

Katanya, “Saya percaya bahawa majoriti pemilik senjata akan menyokong apa yang kita lakukan hari ini kerana ia demi kita semua

“Tindakan ini dilakukan untuk kepentingan nasional dan isu keselamatan."

“Saya akan bekerja keras untuk mengekalkan sokongan terhadap tindakan ini (pengharaman senjata) untuk menghalang keganasan berlaku sekali lagi di negara kita."

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: says

Bekam Untuk Merawat Penyakit Sunnah Rasulullah SAW

Bekam Untuk Merawat Penyakit Sunnah Rasulullah SAW

Bekam atau al-hijamah (berasal dari bahasa Arab hijama yang bererti pelepasan darah kotor) adalah teknik rawatan dengan cara membuang darah kotor (racun yang berbahaya) dari dalam tubuh melalui permukaan kulit. Dalam bahasa Inggeris disebut cupping dan dalam bahasa Melayu dikenali dengan istilah Bekam.

Manfaat Bekam
Gambar hiasan.

Bekam adalah kaedah rawatan purba yang telah digunakan dalam merawat pelbagai jenis keadaan dan penyakit di dalam tubuh manusia yang telah diamalkan sejak ribuan tahun dahulu.

Selain itu, antara kelebihan lain berbekam adalah, ia sebenarnya bertujuan untuk mengeluarkan toksik, sel darah mati, sel darah rosak, radikal bebas dan kolesterol dalam darah.

JENIS BEKAM

Terdapat banyak jenis terapi bekam, walau bagaimanapun, dua jenis yang utama adalah bekam kering dan basah.

1. Bekam Kering

Bekam kering atau bekam angin adalah menghisap permukaan kulit tanpa mengeluarkan darah toksik.

Mengikut kaedah tradisional, kulit yang dibekam akan kelihatan merah kehitaman dan hilang selepas kira- kira tiga hari.

2. Bekam Basah

Bekam ini dilakukan dengan melukakan permukaan kulit menggunakan jarum tajam. Darah toksik kemudiannya dikeluarkan menggunakan alat pengamal bekam.

Setiap kali proses mengeluarkan darah toksik adalah antara tiga hingga lima minit. Darah toksik dikenal pasti berdasarkan warna merah pekat dan berbuih.

Rawatan bekam basah digalakkan sebanyak tiga atau empat bulan sekali kerana jika darah kotor tidak dibersihkan dan hanya mengalir di sekitar saluran darah, kesannya boleh menyebabkan saluran tersumbat.

Terdapat 2 pendekatan untuk memahami mekanisme bekam, iaitu:

Dari perspektif Perubatan Tradisional Cina, bekam dipercayai mengawal aliran chi dan keseimbangan yin dan yang. Persamaan dengan akupunktur.

Dari perspektif perubatan barat, bekam dipercayai memberi tekanan fizikal yang merangsang refleks neural dan tindak balas endokrin.

Tidak Menyakitkan

Namun, ramai yang tidak berani mencubanya kerana beranggapan rawatan bekam menyakitkan, mungkin kerana mereka membayangkan proses mengeluarkan darah menggunakan pisau atau jarum tanpa diletakkan ubat bius terlebih dulu.

Mereka yang mahu berbekam hanya akan mengalami rasa sakit seakan digigit semut manakala kesan rawatan pula bergantung kepada pesakit itu sendiri.

Ada pesakit langsung tidak rasa apa-apa, ada rasa sedikit geli ketika dicucuk jarum, kerana bekam tidak menggunakan ubat bius, namun proses sedutan angin pada permulaan rawatan menjadikan kulit kebas.

Proses sedutan ini juga akan menebalkan kulit dan sebenarnya bertindak sebagai bius secara semula jadi.

Bekam buang darah

Bekam adalah rawatan yang begitu digalakkan, membabitkan proses membuang darah bertoksik yang ada di bawah permukaan kulit.

Pembuangan itu bertujuan melancarkan peredaran darah selain membuang angin dalam badan yang menimbulkan rasa tidak selesa.

Rawatan bekam juga mempunyai banyak faedah termasuklah meringankan otot yang kejang, mengatasi ketegangan berpanjangan serta membebaskan angin kotor dan toksik dalam badan.

Rawatan bekam yang merupakan amalan sunnah Rasulullah SAW mampu membantu menyelesaikan masalah kesihatan yang tidak mampu diatasi dengan rawatan perubatan moden di samping menyegar dan menyihatkan badan.

PANTANG SEBELUM DAN SELEPAS RAWATAN

SEBELUM

Makan Berat

Jangan makan berat sekurang-kurangnya dua jam sebelum berbekam. Sebaiknya berbekam dalam keadaan perut kosong.

Ini kerana apabila perut penuh, darah akan tertumpu pada bahagian perut untuk proses pencernaan.

Mandi Air Sejuk

Jangan mandi air sejuk sebelum berbekam kerana ia akan menyebabkan pengaliran darah di bawah permukaan kulit menjadi perlahan. Sekiranya perlu mandi, gunakan air suam.

Maklumkan kepada jurubekam (sekiranya ada):
  • Pengalaman berbekam.
  • Sejarah penyakit yang dialami.
  • Alahan kulit.
  • Jenis ubatan yang diambil.

SELEPAS

Mandi

Jangan mandi satu jam selepas berbekam bagi mengelakkan luka tusukan terkena air mandian seterusnya menyebabkan jangkitan bakteria yang boleh bahayakan kesihatan.

Kesan lebam

Akan hilang dalam masa dua hingga lima hari, bergantung kepada kesihatan individu.

Amalkan minum madu

Dinasihatkan minum sedikit madu untuk mengembalikan tenaga.

MERAWAT KENCING MANIS

Prosedur bekam basah atau bekam darah dilakukan mengikut syarat asas bagi membantu mengurangkan derita penyakit seperti darah tinggi, jantung, diabetes, migrain dan kolesterol dalam darah.

Namun disebabkan kurang maklumat, sebahagian besar pesakit diabetes umpamanya mengelakkan khuatir membawa kesan luka yang lebih serius.

Pesakit kencing manis mengaku mereka tidak berani melakukannya kerana terlalu percaya andaian diabetes menjadi lebih serius, selain trauma terhadap darah.

Tanpa mereka sedari, ia sebenarnya antara rawatan untuk mengurangkan masalah kencing manis dengan menurunkan paras gula dalam darah.

10 TITIK BEKAM

Terdapat 10 titik bekam tradisional mengikut sunnah pada seluruh tubuh tetapi boleh lebih banyak mengikut mengikut masalah yang dihadapi berdasarkan keperluan setiap individu.

Biarpun titik bekam boleh dilakukan diseluruh tubuh, namun rawatan itu tidak boleh dilakukan terlalu banyak untuk satu sesi. Pesakit disaran melakukannya pada kuantiti lima hingga 10 cawan untuk satu sesi rawatan.

Pesakit juga dinasihat mengambil vaksin terlebih dulu sebelum melakukan prosedur berkenaan.

Jumlah darah yang keluar dari tubuh juga tidak boleh terlalu banyak. Dianggarkan antara 50 hingga 60 mililiter (ml) sekali rawatan kerana bimbang boleh memudaratkan kesihatan.

Selain lebam dan luka mengambil masa lama sembuh, kesan lebih buruk yang tidak diingini boleh berlaku selepas prosedur bekam ialah penyakit hepatitis B dan C serta HIV yang merebak melalui darah.

Setakat ini, tiada laporan dan tidak pernah berlaku kematian kerana berbekam.

BEKAM SUNNAH RASULULLAH SAW

Daripada Ibn Abbas r.a. Rasulullah bersabda yang bermaksud, “Kesembuhan (ubat) itu ada pada tiga hal: dengan minum madu, pisau hijamah (bekam), dan dengan besi panas. Dan aku melarang umatku dengan besi panas." -Riwayat alBukhari

Jadi, tidak mungkin Rasulullah SAW berbohong tentang kebenaran bahawa bekam mampu menyembuhkan sebahagian penyakit.

Justeru, di sini kami ingin kongsikan beberapa lagi info atau maklumat berkaitan dengan amalan sunnah iaitu bekam dalam Islam.

#1 – Apa Itu Bekam?

Bekam atau ‘al-Hijamah’ adalah salah satu rawatan perubatan Islam yang melibatkan proses membuang darah kotor dan bertoksik yang berada di bawah permukaan kulit. Ianya adalah salah satu sunnah Rasulullah SAW.

#2 – Bilakah Waktu Dibolehkan Berbekam?

Waktu terbaik berbekam ialah pada 15, 17, 19 dan 21 bulan Qamariyah. Dari Abu Hurairah r.a, bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud;

"Barang siapa berbekam pada tanggal 17, 19 dan 21, maka itu akan menyembuhkan semua penyakit.” — Hadis Riwayat Abu Daud

Mengenai hari-hari dalam seminggu, dari Nafi’ dari Umar r.a yang berkata.

"Wahai Nafi’ berbekamlah dengan berkat dari Allah SWT pada hari Khamis, berusahalah menghindari berbekam pada hari Rabu, Jumaat dan Sabtu. Berbekamlah pada hari Isnin dan Selasa kerana itu merupakan hari di mana Ayub disembuhkan dari penyakit dan Allah SAW menimpakan penyakit padanya pada hari Rabu, kerana sesungguhnya penyakit kusta dan belang biasanya muncul pada hari Rabu atau malam Rabu.” — Riwayat Ibnu Majah

#3 – Adakah Terdapat Pantang Larang Dalam Berbekam?

Ya. Terdapat beberapa pantang larang antaranya; tidak boleh berbekam bagi mereka yang mengalami penyakit kulit, orang tua yang lemah fizikal, kanak-kanak dehidrasi, pesakit kanser darah, sering keguguran, orang gila, pesakit Hepatitis A dan B yang parah.

Juga dilarang kepada pesakit yang baru mencuci darah, wanita hamil 3 bulan pertama, mereka yang baru menderma darah, tidak digalakkan bekam ketika sangat kenyang atau sangat lapar, wanita yang sedang haid, penyakit radang usus, ibu yang baru melahirkan anak dan lain-lain mengikut keadaan seseorang.

Antara anggota bahagian tubuh yang tidak boleh dibekam ialah mata, telinga, hidung, mulut, alat kelamin dan dubur.

#4 – Bagaimana Kaedah Bekam Menurut Islam?

Pada zaman Rasulullah SAW, bekam menggunakan kaca atau mangkuk tinggi. Manakala pada zaman Cina kuno, mereka menggunakan tanduk. Manakala orang-orang Eropah pada abad ke-18, mereka menggunakan lintah sebagai alat bekam.

Kini, zaman semakin canggih dan kaedah berbekam juga telah mengalami transformasi, iaitu menggunakan sayatan pisau, gelas udara kaca, gelas vakum – cupping set dan jarum lancet.

#5 – Apa Hikmah dan Kelebihan Bekam?

Hikmah dan kelebihan bekam, antaranya;
  • Menyahut seruan dan sunnah Rasulullah SAW.
  • Membantu melancarkan peredaran darah.
  • Mengeluarkan dan membuang angin, toksik, darah kotor, darah beku serta darah berpenyakit dalam badan.
  • Meringankan otot-otot yang kejang dan tegang, menyegarkan dan menyihatkan badan.
  • Mengeluarkan gula berlebihan yang tidak diperlukan dalam darah (untuk menyembuhkan penyakit kencing manis/diabetes).
  • Tidak memberi peluang kepada mahkhluk halus menjadikan tubuh anak Adam sebagai tempat tinggal mereka.
  • Mengeluarkan asid urik yang tidak diperlukan dalam darah (untuk menyembuhkan penyakit gout).
  • Mengeluarkan lemak/minyak berlebihan di dalam darah (untuk menyembuhkan masalah berat badan berlebihan dan masalah jerawat).
  • Membuang racun atau sihir dalam badan dan banyak lagi manfaatnya.

#6 – Adakah Orang Bukan Islam Boleh Berbekam?

Ya. Bahkan, sejarah mencatatkan bahawa penduduk di negara China sudah lama mengamalkan kaedah rawatan ini dalam pengubatan penyakit di sana, selain negara Eropah.

#7 – Selamatkah Bekam?

InsyaAllah selamat. Ini kerana kaedah ini adalah sunnah Rasulullah SAW bahkan kaedah yang dijalankan pada zaman sekarang turut diakui oleh Jabatan Kesihatan.

Namun begitu, perlu diingatkan sebelum berbekam, adalah lebih baik anda memilih tempat atau pusat rawatan bekam yang diakui oleh Jabatan Kesihatan, tidak melanggar syarak dan juru bekam yang benar-benar terlatih serta diakui kemahirannya.

Kesimpulan

Moga perkongsian ini dapat memberi pencerahan kepada kita semua mengenai salah satu sunnah Rasullah SAW yang jarang diwar-warkan.

Jika orang bukan Islam meyakini kaedah rawatan ini, mengapa kita sebagai umat Islam perlu takut dan meraguinya?

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: 1 | 2

10 Individu Paling Kaya Di Dunia 2019

10 Individu Paling Kaya Di Dunia 2019

Berikut adalah senarai individu paling kaya Forbes yang dikeluarkan pada bulan Mac 2019 berdasarkan kepada jumlah nilai bersih harga saham dan kadar pertukaran mata wang ketika penutupan pasaran pada 28 Februari 2019.

Richestin-the-World-2019

Siapa manusia paling kaya di dunia dalam senarai majalah Forbes untuk tahun 2019?

1. Jeff Bezos (US$130.5 Billion)

Jeff Bezos, lelaki kelahiran Amerika Syarikat, dikenali sebagai pengasas dan pemilik laman web e-dagang terbesar saat ini, Amazon.com.

Berdasarkan data yang dikeluarkan majalah Forbes, kekayaan bersih Jeff Bezos pada tahun 2019 adalah sebanyak US$130.5 bilion.

Perkembangan trend berbelanja secara online yang semakin meningkat memberikan sumbangan terbesar terhadap peningkatan kekayaannya.

2. Bill Gates (US$92.2 Billion)

Sekadar tempat kedua manusia paling kaya di dunia pada tahun 2019 disandang oleh Bill Gates, usahawan kelahiran Amerika Syarikat, pengasas sekali gus pemilik Microsoft, melalui syarikat teknologi yang terkenal dengan sistem operasi Windows.

Menurut majalah Forbes, untuk tahun 2019 ini, jumlah kekayaan bersih Bill Gates adalah US$92.2 bilion.

3. Warren Buffett (US$91.3 Billion)

Usahawan berasal dari Amerika Syarikat, Warren Buffet, terkenal dengan kepintarannya dalam menjalankan pelaburan menerusi syarikatnya, Berkshire Hathaway.

Menurut majalah Forbes, Warren memiliki jumlah kekayaan bersih sebanyak US$91.3 bilion.

4. Bernard Arnault (US$75.7 Billion)

Di tangga ke empar sebagai orang terkaya di dunia adalah Bernard Arnault, usahawan kelahiran Perancis.

Menurut majalah Forbes, CEO sekali gus pemegang saham majoriti syarikat fesyen Moet Hennessy ini ditaksir memiliki kekayaan bersih sebanyak US$75.7 bilion.

5. Mark Zuckerberg (US$74.6 Billion)

Nilai kekayaan bersih Mark Zuckerberg bertambah sebanyak US$6.2 bilion selepas Facebook merekodkan keuntungan yang lebih besar berdasarkan analisis Wall Street.

Skandal pelanggaran privasi Facebook terbukti tidak mampu menjauhkan para pengiklan dari raksasa media sosial ini.

Nilai pendapatan Facebook dilaporkan mencapai US$16.91 bilion pada suku ke empat 2018, lebih tinggi dari ramalan penganalisis.

Menurut majalah Forbes, jumlah kekayaan Mark Zukerberg untuk tahun 2019 ditaksir sebanyak US$74.6 bilion.

6. Carlos Slim Helu (US$70.5 Billion)

Posisi ke enam sebagai orang terkaya di dunia diduduki oleh usahawan berasal dari Mexico, Carlos Slim Helu.

Beliau yang merupakan taikun bidang telekomunikasi melalui 2 syarikatnya yang terkenal (Telefonos de Mexico dan America Movil), berjaya menjadikannya sebagai salah seorang individu paling kaya di dunia.

Menurut majalah Forbes, jumlah kekayaan bersih Carlos pada tahun 2019, berjumlah US$70.5 bilion.

7. Amancio Ortega (US$70.5 Billion)

Usahawan keturunan Sepanyol, Amancio Ortega, terlibat dalam bidang aksesori dan pakaian berjaya menjadikannya sebagai salah seorang individu terkaya di dunia.

Pemilik syarikat Zara ini ditaksir memiliki kekayaan sebanyak US$70.5 bilion.

8. Larry Ellison (US$64.1 Billion)

Usahawan kelahiran Amerika Syarikat ini dikenali sebagai pengasas sekali gus pemilik Oracle Corporation, sebuah syarikat teknologi.

Menurut majalah Forbes, jumlah kekayaannya untuk tahun 2019 ditaksir sebanyak US$64.1 bilion.

9. Charles Koch (US$61.8 Billion)

Orang terkaya di dunia ditangga ke sembilan diduduki oleh Charles Koch (saudara kandung David Koch), yang sama-sama memimpin Koch Industries.

Nilai kekayaannya ditaksir sebanyak US$61.8 bilion.

10. David Koch (US$61.8 Billion)

Bersama-sama dengan saudaranya, Charles Koch membangunkan syarikat Koch Industries yang sudah tersebar jaringannya di seluruh dunia.

Perniagaannya menyasarkan pelbagai bidang seperti; minyak, mineral, pelaburan, pembuatan dan komoditi.

Forbes menganggarkan kekayaan bersih yang dimiliki David Koch adalah sebanyak US$61.8 bilion.

25 MANUSIA PALING KAYA 2019

11. Larry Page
  • Pengasas Google.
  • Kekayaan: $53.5 Billion

12. Michael Bloomberg
  • CEO Bloomberg.
  • Kekayaan: $52.1 Billion

13. Ma Huateng
  • Pengasas syarikat Tencent.
  • Kekayaan: $50.9 Billion

14. Sergey Brin
  • Pengasas Google.
  • Kekayaan: $49.6 Billion

15. Francoise Bettencourt Meyers
  • Pemilik L’Oreal.
  • Kekayaan: $44.5 Billion

16. Jack Ma
  • Pengasas Alibaba.
  • Kekayaan: $42.2 Billion

17. Jim Walton
  • Pengarah Walmart.
  • Kekayaan: $41.9 Billion

18. S. Robson Walton
  • Pengarah Walmart.
  • Kekayaan: $41.8 Billion

19. Alice Walton
  • Pengarah Walmart.
  • Kekayaan: $41.6 Billion

20. Sheldon Adelson
  • CEO Las Vegas Sands Corporation.
  • Kekayaan: $40.1 Billion

21. Steve Ballmer
  • Pemilik NBA Los Angeles Clippers.
  • Kekayaan: $40 Billion

22. Mukesh Ambani
  • Pengarah Reliance Industries Limited (RIL), India.
  • Kekayaan: $39.6 Billion

23. Hui Ka Yan
  • Hong Kong-listed real estate developer, China Evergrande Group, of Shenzhen.
  • Kekayaan: $35.5 Billion

24. Li Ka-Shing
  • Pemilik CK Hutchison Holdings dan CK Asset Holdings.
  • Kekayaan: $34.9 Billion

25. Lee Shau Kee
  • Pengasas Sun Hung Kai (Pembinaan).
  • Kekayaan: $31.6 Billion

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

-SENTIASAPANAS.COM

Amaran Kumpulan Hacker Anonymous Kepada Pengganas Selepas Tragedi Tembakan Christchurch

Amaran Kumpulan Hacker Anonymous Kepada Pengganas Selepas Tragedi Tembakan Christchurch

Kes tembakan di masjid di Christchurch, New Zealand yang telah menggegarkan seluruh dunia menunjukkan betapa dahsyatnya masalah perkauman ketika ini. Ketika mana seluruh dunia mengecam sekeras-kerasnya tindakan ini dan dianggap sebagai satu serangan pengganas, kumpulan penggodam terkenal dunia, Anonymous, telah tampil ke hadapan.

Amaran Kumpulan Hacker Anonymous
Gambar hiasan.

Mereka berasa bertanggungjawab untuk memberi perhatian dan membantu menyelesaikan masalah ini, serta telah memberikan mesej kepada pengganas dan bakal di luar sana, seperti berikut:

"Salam sejahtera.

Minggu ini, serangan yang dahsyat dan tidak masuk akal dilakukan oleh individu yang digambarkan sebagai seorang nasionalis putih dan telah meminta berlakunya keganasan lebih lanjut untuk memajukan agendanya dan agenda rakan-rakannya dalam jenayah.

Serangan di New Zealand menunjukkan bahawa ini adalah masalah global yang kita hadapi ketika ini.

Penyerang itu berharap dapat mencetuskan perang saudara baru di antara orang-orang kaum dan etnik yang berbeza dan dia menggunakan kehangatan media yang menyelubungi "perang budaya" yang telah menguasai politik barat sejak beberapa tahun yang lalu.

Media arus perdana memainkan peranan dalam serangan pengganas ini juga, dengan menjadi batu api antara kumpulan politik dan budaya yang berbeza yang dapat berdampingan dengan perbezaan mereka tidak lama dahulu.

Kehebatan liputan terhadap kepercayaan politik pinggiran kini telah memberikan kuasa kepada kepercayaan-kepercayaan ini dan membantu merekrut ahli baru.

Walaupun dengan liputan tragedi yang paling terbaru ini, penyerang tersebut dapat menyebarkan mesejnya yang boleh memberi inspirasi kepada ramai untuk mengikuti jejaknya.

Malah, dalam manifesto penyerang New Zealand, dia mengakui bahawa dia diilhamkan untuk menjalankan pembunuhan beramai-ramai oleh penembak besar-besaran lain, yang turut menerbitkan manifesto.

Penyerang insiden di New Zealand dan ramai yang lain dalam golongan perkauman global percaya bahawa mereka berperang melawan keganasan, atau serangan mereka adalah tindak balas terhadap keganasan yang dilakukan oleh orang-orang dari pelbagai negara.

Walau bagaimanapun, apa yang gagal dilihat oleh orang-orang ini ialah mereka adalah sebahagian daripada keganasan, dan memastikan bahawa keganasan berterusan.

Dalam keadaan sedemikian rupa, banyak kumpulan ini mahukan pertempuran berterusan dan keganasan yang berterusan, sehingga mereka dapat dibenarkan dalam menyerang pihak lain dan melakukan keganasan terhadap musuh mereka.

Dalam manifesto tersebut, penyerang itu mengatakan bahawa dia mahukan lebih banyak pertempuran dan banyak kumpulan ini melihat hal ini sebagai satu-satunya penyelesaian kepada masalah di dunia.

Malangnya, terdapat ramai orang di luar sana yang tidak melihat ini sebagai tragedi tetapi meraikannya kerana mereka fikir mereka sedang memenangi pertempuran dalam peperangan.

Ekstremis di pihak lain pula kini mengancam untuk melakukan tindakan balas, yang akan meneruskan kitaran keganasan dan memberi ketuanan putih apa yang mereka mahu, iaitu satu alasan untuk keganasan yang lebih dahsyat dan berlanjutan.

Sudah cukup dengan keganasan ini dan kita telah sampai ke tahap di mana tak lama lagi kes tembakan dan serangan pengganas sebagai tindak balas bakal menjadi sebahagian daripada kehidupan seharian kita.

Sekarang adalah masa kita untuk menghentikan fasisme sebelum terlambat.

Penerimaan yang semakin meningkat terhadap fasisme yang semakin mainstream adalah satu isu yang Anonymous tidak boleh benarkannya untuk terus berlaku.

Tindakan kumpulan ini mengancam keamanan dan keselamatan di seluruh dunia dan bahkan di dunia maya.

Ruang siber adalah domain Anonymous, dan kumpulan perkauman nasionalis telah mula mencetuskan masalah dalam domain kami.

Tahun lalu, Anonymous dikreditkan ke atas penggodaman beberapa laman web nasionalis putih terbesar di internet termasuk stormerAltRightTV.com, VanguardAmerica.online dan AmericanNaziParty.com.

Pengambilalihan ini adalah sebahagian daripada #OpDomesticTerrorism, yang masih merupakan operasi Anonymous yang berterusan, bersama dengan ratusan orang lain.

Kebebasan bersuara dalam talian mesti dipertahankan, tetapi orang-orang Anonymous sedang mengawasi keadaan dan mengawasi potensi ancaman.

Apabila ancaman ini dikenal pasti, mereka akan mendedahkannya untuk dilihat oleh seluruh dunia.

Pada masa lalu, Anonymous telah terbukti jauh lebih hebat dalam menjejaki orang jahat berbanding kerajaan dan agensi perisikan yang paling berkuasa di dunia.

Kumpulan ini mungkin berfikir bahawa mereka tahu selok-belok di internet kerana mereka "melepak" di laman 4chan dan 8chan dan mengetahui sesuatu atau sedikit tentang enkripsi, tetapi Anonymous adalah profesional berpengalaman yang berpangkalan di setiap penjuru dunia dalam pelbagai variasi kedudukan tinggi dan rendah, semuanya berdedikasi untuk mencari dan mendedahkan mana-mana kumpulan yang menyokong perang dan keganasan terhadap orang yang tidak bersalah.

Ini telah menjadi mesej kepada pengganas dan bakal pengganas yang berusaha membahayakan orang-orang yang hidup aman dan tidak bersalah di dunia. Ini telah menjadi mesej dari Anonymous.

Kami Anonymous. Kami adalah Legion. Kami tidak memaafkan. Kami tidak lupa. Tunggu kedatangan kami."

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: iluminasi

Sambutan Peringatan Hari Polis Di Malaysia

Sambutan Peringatan Hari Polis Di Malaysia

Sambutan Peringatan Hari Polis disambut setiap tahun di seluruh Malaysia dengan penuh rasa bangga dan meriah oleh semua warga Polis Diraja Malaysia (PDRM), yang dijalankan secara serentak di seluruh negara.

Peringatan Hari Polis

Majlis perbarisan akan diadakan di semua kontinjen negeri dan ibu pejabat polis daerah sebagai menghormati dan mengenang tarikh bersejarah 25 Mac, yang merupakan tarikh penubuhan pasukan itu di Malaysia.

Oleh itu, anggota polis adalah digesa agar seluruh Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) melakukan anjakan paradigma agar PDRM kekal sebagai institusi penguat kuasa ulung di negara ini dengan menjadikan keselamatan negara dan masyarakat sebagai fokus utama.

PDRM juga perlu akur dengan kehendak rakyat dan harapan kerajaan yang mahukan jenayah dihapuskan.

Malah, ekspektasi rakyat yang tinggi terhadap PDRM merupakan tanggungjawab yang mesti diberikan keutamaan.

PDRM perlu merangka strategi-strategi baru dalam usaha mengurangkan jenayah termasuklah melalui pendekatan strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) yang berlandaskan prinsip kepolisan berinovatif dan kreatif.

Dan pastinya, rakan strategik utama pihak polis adalah masyarakat itu sendiri.

Jadi, kerjasama yang erat serta kesepakatan yang padu antara polis dan masyarakat perlu terus diperkasakan demi mewujudkan negara yang aman dan sejahtera.

Anggota PDRM juga digesa agar sentiasa bersikap tegas, adil dan berhemah kerana ianya akan menjadikan anggota PDRM seorang yang berintegriti tinggi dan tidak akan sekali-kali melanggar peraturan yang telah ditetapkan.

Bagi mereka yang telah memilih kerjaya ini sebagai profesion, mereka sepatutnya telah bersedia untuk memikul tangunggjawab yang diamanahkan dengan komitmen dan akauntabiliti serta integriti yang tinggi.

TUGU PERINGATAN POLIS DIRAJA PERSEKUTUAN

Tugu Peringatan Polis Diraja Persekutuan
Tugu Peringatan Polis Diraja Persekutuan.

Pada 11 Mac 1959, Tugu Peringatan Polis Diraja Persekutuan Jalan Gurney, Kuala Lumpur telah dirasmikan oleh DYMM Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong.

Turut hadir dalam upacara itu ialah Pemangku Perdana Menteri Pertahanan Dato’ Abdul Razak bin Hussein, Pesuruhjaya Polis C.M. Fenner, bekas Pesuruhjaya Polis W.L.R Carbonnel dan wakil-wakil persatuan penanam getah Malaya, Dewan Perniagaan Lombong Negeri-Negeri Melayu Bersekutu serta wakil dari persatuan bekas pasukan keselamatan Malaya.

Tugu ini dibina untuk memperingati kira-kira 1,345 orang anggota polis tetap dan tambahan yang telah terkorban dalam usaha menentang pengganas-pengganas komunis.

Tugu ini juga adalah untuk mengenang jasa anggota-anggota pasukan pengawal keselamatan dalam negeri yang telah terkorban semasa menjalankan tugas, semenjak pasukan ini ditubuhkan di Pulau Pinang pada tahun 1806.

Tugu Peringatan yang bertempat di pusat Latihan Polis ini adalah sebagai satu peringatan kepada rekrut-rekrut dan anggota-anggota lain di dalam latihan terhadap semangat berkhidmat dan rela mengorbankan jiwa, yang telah menjadi suatu kemegahan dalam sejarah perkhidmatan polis di Malaya.

Tugu ini dibina dengan harga $160,000 iaitu hasil kutipan derma daripada setiap anggota dan kakitangan perkhidmatan polis, Persatuan Penanam-penanam getah Malaya, Dewan Perniagaan Pelombong Negeri-Negeri Melayu Bersekutu dan bantuan kerajaan.

Tugu ini berdiri tegak setinggi 25.9 meter. disebelah atas dinding tugu ini diletakan dengan lencana perak pasukan polis Diraja Persekutuan, sementara disebelah bawahnya terdapat sekeping gangsa yang menunjukkan gambar-gambar enam rupa bangsa iaitu Melayu, Cina, Sikh, Punjabi, India dan Eropah yang berkhidmat dalam pasukan polis.

‘Mereka Yang Terkorban Kerana Negara” dan berbaris dari kiri kekanan lambang-lambang kebesaran 11 buah negeri di Persekutuan Tanah Melayu.

Empat batang tiang bendera dipasangkan disitu untuk digunakan pada tiap-tiap kali diadakan upacara memperingati keperwiraan anggota-anggota polis yang terkorban itu.

CABARAN PDRM

1. Cabaran Dalaman

Dalamannya, yang Pertama, adalah modal insan yang kita tahu elemen paling penting yang menyumbang kepada pembangunan dan kesejahteraan negara.

Dengan penambahan nisbah penduduk di Malaysia, memerlukan penglibatan anggota polis mencukupi agar keseimbangan dapat dipertingkat selaras dengan standard piawaian Interpol - 251 polis : 250 penduduk.

Mengikut statistik sehingga Februari tahun 2015, kekuatan personel PDRM adalah 126,800 orang. Ini termasuk pegawai kanan, pegawai pangkat rendah dan pegawai awam.

Dengan penduduk berjumlah 32 juta sekarang ini, ada sedikit kurang kalau ikut nisbah itu, tapi kita akan melaksankaan tanggungjawab kita mengikut nisbah yang ada sekarang ini. Kerajaan melalui manifestonya akan memberi 4,000 orang tambahan setiap tahun dan perlu merekrut lebih kurang enam hingga tujuh ribu orang setiap tahun bagi menggantikan yang bersara dan juga untuk penuhi 4,000 jawatan yang diluluskan setiap tahun.

Kedua, yang menjadi cabaran adalah permasalahan logistik. Ini satu kekangan utama untuk melaksanakan tanggungjawab pihak polis, tambahan pula dengan perbelanjaan berhemah yang diamalkan semua jabatan kerajaan, yang memaksa untuk menangguh beberapa program pembangunan yang telah dirancang. Juga dalam menggantikan peralatan logistik seperti kenderaan dan sebagainya. Logistik bukan sahaja kenderaan tapi termasuk kediaman pekerja.

2. Cabaran Luaran

Cabaran luaran pula berkenaan keselamatan sempadan khususnya Malaysia-Thailand, Sarawak-Kalimantan, Sabah-Kalimantan.

Keadaan geografi sempadan terdiri daripada sungai, daratan dan bukit bukau dan ini merupakan satu cabaran kepada pasukan keselamatan negara untuk memantau keluar-masuk rakyat di kedua-dua negara di mana ada di antaranya mengambil kesempatan menyeludup dadah, senjata, manusia dan sebagainya.

Jadi kita terpaksa meletak banyak anggota kita di sempadan negara untuk memastikan ia tidak dibolosi. Kita pun tahu ada juga sempadan kita merupakan lautan, contohnya sempadan Sabah dengan selatan Filipina.

Pantainya timur Sabah itu panjangnya 1,700km, merupakan sempadan laut, ini satu kawasan yang bukan sedikit untuk kita kawal dan ini merupakan antara cabaran untuk kita dalam memastikan keselamatan negara.

Seterusnya adalah 'jenayah' yang menjadi ancaman tradisi kita. Di bawah program transformasi kerajaan, PDRM bertanggungjawab mengurangkan kadar jenayah indeks.

Pada hari ini dalam NKRA mengurangkan jenayah kita mensasarkan pengurangan jenayah indeks pada kadar lima peratus setiap tahun sehingaga 2020, bermula 2009.

Pelan tindakan susulan bagi mengurus tadbir pencegahan jenayah termasuklah dalam hal-hal meningkatkan kesedaran dan kefahaman rakyat yang akan menjadi pemangkin kepada sebuah negara yang aman selamat dan sejahtera.

Antara isu-isu utama berkaitan jenayah adalah jenayah bersindiket, jenayah merentasi sempadan, pemerdagangan manusia, jenayah warga asing dan jenayah sosial.

Seterusnya ancaman siber yang menunjukkan peningkatan mendadak dalam satu bulan. Dalam tempoh sembilan bulan pertama 2014, jumlah keseluruhannya adalah 8,140 kes.

Oleh itu ancaman siber berupaya menjejaskan keyakinan masyarakat dan menganggu kestabilan politik, sosio ekonomi semasa jika tak dibendung dan jika tak ditangani dengan serius.

Isu-isu berkait dengan jenayah siber antaranya masalah dalam mengenal pasti ‘origin of offender' kerana dalam siber ia mungkin dilakukan di luar negara, kelemahan undang-undang yang ada dan pendakwaan, termasuklah peningkatan kes cetak rompak dan pencabulan harta intelek.

Jenis kesalahan ini dari segi statistiknya, penipuan siber 3,376, spam 1,710 kes, cubaan ceroboh laman web dan sebagainya 1,744 kes, fitnah melalui siber 645 dan sebagainya.

Seterusnya, ancaman dalam konteks keselamatan negara dan keselamatan rakyat. Ancaman ini telah mengubah landskap tindakan punitif dan pencegahan dalam PDRM.

Fahaman politik dalam agama dan ekstremisme serta radikalisme adalah penyumbang kepada kewujudan ancaman keganasan dari dalam dan luar negara serta mengganggu gugat perpaduan nasional.

Antara isu-isu utama yang perlu dihadapi PDRM dalam hal ini antaranya hasutan melalui media sosial, penyebaran ajaran sesat, ekstremis kaum, kegiatan anti kerajaan, kumpulan pelampau agama, pengganas dan liberalisme.

Selamat menyambut Hari Polis.

BACA INI JUGA:

-Sentiasapanas.com

Wednesday, March 20, 2019

Asal-usul Perkataan Millionaire Dan Skim Ponzi Disebaliknya

Asal-usul Perkataan Millionaire Dan Skim Ponzi Disebaliknya

Tahukah anda, daripada mana datangnya asal usul perkataan millionaire? Istilah yang sering menjadi idaman ramai orang itu sebenarnya tercetus hasil dari sebuah peristiwa yang berlaku di Perancis pada kurun ke-18 yang lalu.

John Law (1671-1729)
John Law (1671-1729).

Peristiwa ini sebenarnya adalah sebuah kisah yang sangat menarik untuk diceritakan, bukan sahaja kisah tentang asal usul istilah ini, tetapi juga tentang seorang ahli ekonomi yang bermula dari seorang pembunuh, kemudian dilantik sebagai orang paling berkuasa di Perancis, tetapi akhirnya menjadi pelarian dan mati dalam kemiskinan.

Kisah John Law dan Mississippi Bubble mempunyai banyak pengajaran yang boleh kita pelajari. Selain itu ianya juga satu gambaran yang jelas tentang keadaan ekonomi dunia moden hari ini dan kemungkinan juga nasibnya di masa akan datang.

Segalanya bermula sebaik sahaja kemangkatan Louis XIV pada tahun 1715, yang juga digelar sebagai Louis The Great dan merupakan Raja Perancis yang memerintah sejak 1643.

Di bawah pemerintahannya, Perancis merupakan kuasa dominan di Eropah dan terlibat dalam banyak kempen ketenteraan, dari Perang Perancis-Belanda, Perang Perwarisan Sepanyol, sehinggalah ke Perang Perikatan Besar.

Istana Versailles yang besar dan tersergam indah itu juga dibina dibawah pemerintahan beliau. Disebabkan itulah beliau mendapat gelaran tersohor seperti Louis The Great dan juga The Sun King, namun disebalik kemegahan itu, beliau meninggalkan Perancis dalam keadaan gawat.

Disebabkan oleh kempen peperangan yang berterusan dan juga pembinaan istana Versailles, Perancis menanggung beban hutang yang menggunung.

3 billion livres adalah jumlah hutang yang perlu ditanggung oleh pewaris Louis XIV berbanding hanya 145 juta hasil pungutan cukai yang diperolehi.

Perancis yang ketika itu diperintah oleh Bupati Phillipe II, Duke of Orleans (oleh kerana pewaris Louis XIV masih lagi kecil) kini didalam krisis.

Phillipe II buntu mencari penyelesaian kepada krisis tersebut yang semakin lama semakin mencengkam Perancis dan tanpa penyelesaian yang jitu, Perancis mungkin akan terjerumus ke dalam kancah krisis ekonomi.

Dalam tidak sedar, penyelesaian kepada masalah Perancis itu datang dari sumber yang tidak disangka.

Ianya muncul dari seorang lelaki kebanyakan dan bukannya kerabat diraja mahupun golongan bangsawan dan orang yang dimaksudkan itu adalah John Law.

Kaki Judi, Pembunuh dan juga Ahli Ekonomi

Siapa sangka tiga perkataan ini boleh berada dalam satu ayat yang ditulis bagi menggambarkan seseorang, namun ini adalah sesuatu yang amat sesuai sekali bagi menggambarkan John Law dan juga kisah hidupnya.

John Law dibesarkan di bawah bumbung seorang tukang emas di Edinburgh. Pada ketika itu, tukang emas merupakan bentuk terawal bank di mana ia mampu mengeluarkan pinjaman melalui cagaran emas.

Disebabkan itulah John Law mahir tentang selok-belok perbankan melalui pemerhatiannya pada perusahaan ayahnya sendiri.

John Law juga seorang yang cekap dalam pengiraan dan matematik, malangnya kebolehan yang ada tidak digunakan untuk tujuan yang baik, sebaliknya digunakan untuk berjudi. Ini menjadikan hidupnya serba tidak kena.

Apabila ayahnya meninggal dunia beliau dihalau dari rumah kerana tabiatnya yang gemar berjudi itu menyebabkan beliau menghabiskan sisa peninggalan harta ayahnya.

Kemudian, ketika berumur 23 tahun, beliau telah membunuh seorang pesaing kerana berebutkan seorang wanita.

Berpelacaranlah beliau di serata Eropah sebagai seorang kaki judi dan juga seorang pelarian undang-undang.

Namun begitu, dengan pengalaman yang ada dan kecekapannya, ia sedikit sebanyak membantu Law dalam memahami institusi perbankan dan juga kewangan.

Untuk pengetahuan anda, John Law adalah antara pejuang awal wang kertas dan pada tahun 1705, beliau menerbitkan sebuah buku bertajuk, Money and Trade Considered: With a Proposal for Supplying the Nation with Money.

Di dalam buku tersebut John Law menyatakan kritikan beliau terhadap wang emas dan perak.

Baginya wang kertas adalah sesuatu yang lebih sesuai untuk digunakan sebagai suatu medium untuk transaksi kerana lebih senang dibawa.

John Law juga menganggap kekayaan sesebuah negara itu lebih bergantung kepada hasil pengeluaran sesuatu negara dan bukannya nilai emas serta perak yang dimiliki.

Konsep yang dibawakan John Law itu terkedepan daripada zamannya. 70 tahun lebih awal daripada Adam Smith yang menjadikan idea itu sebagai kontemporari melalui bukunya Wealth of Nations.

John Law mencadangkan agar sesebuah negara menggantikan wang emas dan perak yang ada kepada wang kertas yang disandarkan melalui kredit dan bon kerajaan.

Cadangan Law itu pada mulanya dipersembahkan pada Parlimen Scotland, kerana krisis yang dialami oleh negara itu disebabkan kegagalan perusahaan mereka di Panama.

Namun cadangan John Law ditolak kerana ahli parlimen Scotland kurang yakin dengannya.

Tetapi berbeza dengan Perancis, cadangan John Law nampak memberikan harapan. Begitulah terdesaknya Perancis mahu menyelesaikan masalah hutang yang mereka hadapi.

Malapetaka Bermula

Bupati Perancis, Phillipe II menerima cadangan dari John Law, untuk mengeluarkan wang kertas sebagai alternatif kepada wang emas dan perak.

Atas kebenaran kerajaan Perancis, John Law menubuhkan Banque General yang beroperasi menggunakan ¼ modal dari pelabur (emas dan perak) dan selebihnya menggunakan bon hutang kerajaan yang ingin dimansuhkan.

Dalam masa tidak sampai setahun, usaha John Law membuahkan hasil kerana wang kertas yang dikeluarkan oleh Banque Generale mula digunakan dengan sangat meluas.

Melihat populariti wang kertas John Law, kerajaan Perancis membenarkan agar cukai kerajaan dibayar menggunakan wang kertas.

Tetapi, apabila semakin ramai orang menggunakan wang kertas John Law, semakin berisiko perusahaannya.

John Law sedar yang beliau tidak mempunyai modal dan aset yang cukup untuk meneruskan perusahaannya dan dianggarkan pada ketika itu, semua wang kertas yang dikeluarkan hanya disandarkan kepada 10% sahaja jumlah emas dan perak yang dimiliki oleh Banque Generale.

Jika pada suatu ketika, kesemua orang yang menggunakan wang kertas Johm Law ingin menukar wang kertas itu kepada emas, Banque General pastinya akan jatuh bangkrap.

Melihat masalah tersebut, John Law menubuhkan sebuah syarikat perdagangan yang dinamakan sebagai Company of the West.

Sepertimana East India British Company pada zamannya, Company of The West ditubuhkan untuk “membangunkan” wilayah Mississipi yang ketika itu dimiliki oleh kerajaan Perancis.

John Law menawarkan saham kepada sesiapa yang berminat untuk melabur dalam perusahaan “membangunkan” wilayah paya bakau tersebut dan disinilah kita melihat kebijaksaan perancangan beliau.

Bagi mendapatkan aset dan modal bagi meneruskan operasi banknya, beliau menggunakan modal yang diambil dari pembelian saham Company of The West.

Dengan modal tersebut, beliau boleh mengeluarkan lebih banyak wang kertas dan dengan lebih banyak wang kertas, maka lebih banyak orang boleh membeli saham Company of The West.

Kesemua ini ditambah dengan permintaan saham yang tinggi, membuatkan saham syarikat itu melonjak naik.

Dari 500 livre ia melonjak naik sehingga 3000% kepada 15,000 livre.

Kejayaan John Law dalam kedua-dua perusahaannya (Banque General dan juga Company of The West) menjadikan beliau antara orang yang paling berkuasa di Perancis.

Kepercayaan Bupati Phillipe II juga membolehkan beliau dilantik sebagai Controller of General Finances (lebih kurang macam Menteri Kewangan Perancis).

Kenapa kesemua ini boleh berlaku?

Sebenarnya ini merupakan antara perancangan licik John Law, dimana beliau menggembar-gemburkan cerita tentang kekayaan hasil bumi yang terdapat di Mississipi.

Katanya di situ ada emas, perak, dan hasil bumi yang tidak terkira banyaknya yang memberi pulangan keuntungan yang lumayan buat pelabur.

Tetapi di sebalik kisah gebang John Law, Mississipi sebenarnya adalah kawasan berpaya yang gersang dari sebarang kekayaan. Yang ada hanyalah ular dan buaya.

Company of The West sudah tentu tidak mampu memberi sebarang keuntungan pun dari perusahaan mereka di Mississippi. Ia hanyalah satu skim Ponzi.

Namun begitu, pada ketika inilah istilah “millionaire” wujud buat pertama kalinya dalam sejarah kerana mereka yang sempat menjual saham Company of The West ketika ia sedang mencanak naik akan sempat menjadi jutawan. Tetapi, bagi mereka yang lain, malang besar menimpa.

Khabar angin mula tersebar yang sebenarnya Company of The West tidak mempunyai sebarang perusahaan yang menguntungkan. Dan apabila orang ramai mula berspekulasi, harga saham Company of The West jatuh merundum.

Hasilnya? Malapetaka. Harga saham Company of The West jatuh ke paras 500 livre.

Mereka yang terlibat dan memiliki saham syarikat tersebut mula panik dan bertebaran ke bank bagi menukar kembali wang kertas mereka kepada emas. Tetapi nasi sudahpun menjadi bubur.

Banque General tidak mempunyai emas dan perak yang cukup dan akhirnya terpaksa menghentikan pengeluaran wang kertas sepenuhnya.

Ramai orang jatuh miskin kerana wang kertas yang mereka miliki sudah tidak mempunyai nilai lagi.

Pengajarannya

John Law kini menjadi orang yang paling dibenci di Perancis. Daripada hero yang kononnya telah menyelamatkan Perancis dari kancah krisis ekonomi, beliau menjadi penjahat yang menjerumuskan Perancis dan seluruh rakyatnya dalam kemiskinan. Harga barang meningkat naik sehingga 60 kali ganda.

Rakyat menjadi berang dan mula mencari John Law untuk melepaskan geram tetapi dia sudah melarikan diri seminggu selepas jatuhnya Company of The West.

Banyak pengajaran yang kita boleh pelajari dari kisah John Law dan Mississipi Bubble.

Dari buruknya sifat tamak, pembohongan, kepentingan ilmu untuk menilai pembohongan dan juga tentang sistem mata wang kita sendiri.

Walaupun eksperimen John Law untuk menukar semua mata wang emas kepada mata wang kertas gagal, ianya menjadi batu asas kepada sistem sekarang.

Segala kelemahan dan kesilapan John Law diambil sebagai pengajaran bagi menambah baik penggunaan mata wang yang kita gunakan pada masa kini.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: thepatriots