Rabu, Mac 20, 2019

Asal-usul Perkataan Millionaire Dan Skim Ponzi Disebaliknya


Loading...

Tahukah anda, daripada mana datangnya asal usul perkataan millionaire? Istilah yang sering menjadi idaman ramai orang itu sebenarnya tercetus hasil dari sebuah peristiwa yang berlaku di Perancis pada kurun ke-18 yang lalu.

John Law (1671-1729)
John Law (1671-1729).

Peristiwa ini sebenarnya adalah sebuah kisah yang sangat menarik untuk diceritakan, bukan sahaja kisah tentang asal usul istilah ini, tetapi juga tentang seorang ahli ekonomi yang bermula dari seorang pembunuh, kemudian dilantik sebagai orang paling berkuasa di Perancis, tetapi akhirnya menjadi pelarian dan mati dalam kemiskinan.

Kisah John Law dan Mississippi Bubble mempunyai banyak pengajaran yang boleh kita pelajari. Selain itu ianya juga satu gambaran yang jelas tentang keadaan ekonomi dunia moden hari ini dan kemungkinan juga nasibnya di masa akan datang.

Segalanya bermula sebaik sahaja kemangkatan Louis XIV pada tahun 1715, yang juga digelar sebagai Louis The Great dan merupakan Raja Perancis yang memerintah sejak 1643.

Di bawah pemerintahannya, Perancis merupakan kuasa dominan di Eropah dan terlibat dalam banyak kempen ketenteraan, dari Perang Perancis-Belanda, Perang Perwarisan Sepanyol, sehinggalah ke Perang Perikatan Besar.

Istana Versailles yang besar dan tersergam indah itu juga dibina dibawah pemerintahan beliau. Disebabkan itulah beliau mendapat gelaran tersohor seperti Louis The Great dan juga The Sun King, namun disebalik kemegahan itu, beliau meninggalkan Perancis dalam keadaan gawat.

Disebabkan oleh kempen peperangan yang berterusan dan juga pembinaan istana Versailles, Perancis menanggung beban hutang yang menggunung.

3 billion livres adalah jumlah hutang yang perlu ditanggung oleh pewaris Louis XIV berbanding hanya 145 juta hasil pungutan cukai yang diperolehi.

Perancis yang ketika itu diperintah oleh Bupati Phillipe II, Duke of Orleans (oleh kerana pewaris Louis XIV masih lagi kecil) kini didalam krisis.

Phillipe II buntu mencari penyelesaian kepada krisis tersebut yang semakin lama semakin mencengkam Perancis dan tanpa penyelesaian yang jitu, Perancis mungkin akan terjerumus ke dalam kancah krisis ekonomi.

Dalam tidak sedar, penyelesaian kepada masalah Perancis itu datang dari sumber yang tidak disangka.

Ianya muncul dari seorang lelaki kebanyakan dan bukannya kerabat diraja mahupun golongan bangsawan dan orang yang dimaksudkan itu adalah John Law.

Kaki Judi, Pembunuh dan juga Ahli Ekonomi

Siapa sangka tiga perkataan ini boleh berada dalam satu ayat yang ditulis bagi menggambarkan seseorang, namun ini adalah sesuatu yang amat sesuai sekali bagi menggambarkan John Law dan juga kisah hidupnya.

John Law dibesarkan di bawah bumbung seorang tukang emas di Edinburgh. Pada ketika itu, tukang emas merupakan bentuk terawal bank di mana ia mampu mengeluarkan pinjaman melalui cagaran emas.

Disebabkan itulah John Law mahir tentang selok-belok perbankan melalui pemerhatiannya pada perusahaan ayahnya sendiri.

John Law juga seorang yang cekap dalam pengiraan dan matematik, malangnya kebolehan yang ada tidak digunakan untuk tujuan yang baik, sebaliknya digunakan untuk berjudi. Ini menjadikan hidupnya serba tidak kena.

Apabila ayahnya meninggal dunia beliau dihalau dari rumah kerana tabiatnya yang gemar berjudi itu menyebabkan beliau menghabiskan sisa peninggalan harta ayahnya.

Kemudian, ketika berumur 23 tahun, beliau telah membunuh seorang pesaing kerana berebutkan seorang wanita.

Berpelacaranlah beliau di serata Eropah sebagai seorang kaki judi dan juga seorang pelarian undang-undang.

Namun begitu, dengan pengalaman yang ada dan kecekapannya, ia sedikit sebanyak membantu Law dalam memahami institusi perbankan dan juga kewangan.

Untuk pengetahuan anda, John Law adalah antara pejuang awal wang kertas dan pada tahun 1705, beliau menerbitkan sebuah buku bertajuk, Money and Trade Considered: With a Proposal for Supplying the Nation with Money.

Di dalam buku tersebut John Law menyatakan kritikan beliau terhadap wang emas dan perak.

Baginya wang kertas adalah sesuatu yang lebih sesuai untuk digunakan sebagai suatu medium untuk transaksi kerana lebih senang dibawa.

John Law juga menganggap kekayaan sesebuah negara itu lebih bergantung kepada hasil pengeluaran sesuatu negara dan bukannya nilai emas serta perak yang dimiliki.

Konsep yang dibawakan John Law itu terkedepan daripada zamannya. 70 tahun lebih awal daripada Adam Smith yang menjadikan idea itu sebagai kontemporari melalui bukunya Wealth of Nations.

John Law mencadangkan agar sesebuah negara menggantikan wang emas dan perak yang ada kepada wang kertas yang disandarkan melalui kredit dan bon kerajaan.

Cadangan Law itu pada mulanya dipersembahkan pada Parlimen Scotland, kerana krisis yang dialami oleh negara itu disebabkan kegagalan perusahaan mereka di Panama.

Namun cadangan John Law ditolak kerana ahli parlimen Scotland kurang yakin dengannya.

Tetapi berbeza dengan Perancis, cadangan John Law nampak memberikan harapan. Begitulah terdesaknya Perancis mahu menyelesaikan masalah hutang yang mereka hadapi.

Malapetaka Bermula

Bupati Perancis, Phillipe II menerima cadangan dari John Law, untuk mengeluarkan wang kertas sebagai alternatif kepada wang emas dan perak.

Atas kebenaran kerajaan Perancis, John Law menubuhkan Banque General yang beroperasi menggunakan ¼ modal dari pelabur (emas dan perak) dan selebihnya menggunakan bon hutang kerajaan yang ingin dimansuhkan.

Dalam masa tidak sampai setahun, usaha John Law membuahkan hasil kerana wang kertas yang dikeluarkan oleh Banque Generale mula digunakan dengan sangat meluas.

Melihat populariti wang kertas John Law, kerajaan Perancis membenarkan agar cukai kerajaan dibayar menggunakan wang kertas.

Tetapi, apabila semakin ramai orang menggunakan wang kertas John Law, semakin berisiko perusahaannya.

John Law sedar yang beliau tidak mempunyai modal dan aset yang cukup untuk meneruskan perusahaannya dan dianggarkan pada ketika itu, semua wang kertas yang dikeluarkan hanya disandarkan kepada 10% sahaja jumlah emas dan perak yang dimiliki oleh Banque Generale.

Jika pada suatu ketika, kesemua orang yang menggunakan wang kertas Johm Law ingin menukar wang kertas itu kepada emas, Banque General pastinya akan jatuh bangkrap.

Melihat masalah tersebut, John Law menubuhkan sebuah syarikat perdagangan yang dinamakan sebagai Company of the West.

Sepertimana East India British Company pada zamannya, Company of The West ditubuhkan untuk “membangunkan” wilayah Mississipi yang ketika itu dimiliki oleh kerajaan Perancis.

John Law menawarkan saham kepada sesiapa yang berminat untuk melabur dalam perusahaan “membangunkan” wilayah paya bakau tersebut dan disinilah kita melihat kebijaksaan perancangan beliau.

Bagi mendapatkan aset dan modal bagi meneruskan operasi banknya, beliau menggunakan modal yang diambil dari pembelian saham Company of The West.

Dengan modal tersebut, beliau boleh mengeluarkan lebih banyak wang kertas dan dengan lebih banyak wang kertas, maka lebih banyak orang boleh membeli saham Company of The West.

Kesemua ini ditambah dengan permintaan saham yang tinggi, membuatkan saham syarikat itu melonjak naik.

Dari 500 livre ia melonjak naik sehingga 3000% kepada 15,000 livre.

Kejayaan John Law dalam kedua-dua perusahaannya (Banque General dan juga Company of The West) menjadikan beliau antara orang yang paling berkuasa di Perancis.

Kepercayaan Bupati Phillipe II juga membolehkan beliau dilantik sebagai Controller of General Finances (lebih kurang macam Menteri Kewangan Perancis).

Kenapa kesemua ini boleh berlaku?

Sebenarnya ini merupakan antara perancangan licik John Law, dimana beliau menggembar-gemburkan cerita tentang kekayaan hasil bumi yang terdapat di Mississipi.

Katanya di situ ada emas, perak, dan hasil bumi yang tidak terkira banyaknya yang memberi pulangan keuntungan yang lumayan buat pelabur.

Tetapi di sebalik kisah gebang John Law, Mississipi sebenarnya adalah kawasan berpaya yang gersang dari sebarang kekayaan. Yang ada hanyalah ular dan buaya.

Company of The West sudah tentu tidak mampu memberi sebarang keuntungan pun dari perusahaan mereka di Mississippi. Ia hanyalah satu skim Ponzi.

Namun begitu, pada ketika inilah istilah “millionaire” wujud buat pertama kalinya dalam sejarah kerana mereka yang sempat menjual saham Company of The West ketika ia sedang mencanak naik akan sempat menjadi jutawan. Tetapi, bagi mereka yang lain, malang besar menimpa.

Khabar angin mula tersebar yang sebenarnya Company of The West tidak mempunyai sebarang perusahaan yang menguntungkan. Dan apabila orang ramai mula berspekulasi, harga saham Company of The West jatuh merundum.

Hasilnya? Malapetaka. Harga saham Company of The West jatuh ke paras 500 livre.

Mereka yang terlibat dan memiliki saham syarikat tersebut mula panik dan bertebaran ke bank bagi menukar kembali wang kertas mereka kepada emas. Tetapi nasi sudahpun menjadi bubur.

Banque General tidak mempunyai emas dan perak yang cukup dan akhirnya terpaksa menghentikan pengeluaran wang kertas sepenuhnya.

Ramai orang jatuh miskin kerana wang kertas yang mereka miliki sudah tidak mempunyai nilai lagi.

Pengajarannya

John Law kini menjadi orang yang paling dibenci di Perancis. Daripada hero yang kononnya telah menyelamatkan Perancis dari kancah krisis ekonomi, beliau menjadi penjahat yang menjerumuskan Perancis dan seluruh rakyatnya dalam kemiskinan. Harga barang meningkat naik sehingga 60 kali ganda.

Rakyat menjadi berang dan mula mencari John Law untuk melepaskan geram tetapi dia sudah melarikan diri seminggu selepas jatuhnya Company of The West.

Banyak pengajaran yang kita boleh pelajari dari kisah John Law dan Mississipi Bubble.

Dari buruknya sifat tamak, pembohongan, kepentingan ilmu untuk menilai pembohongan dan juga tentang sistem mata wang kita sendiri.

Walaupun eksperimen John Law untuk menukar semua mata wang emas kepada mata wang kertas gagal, ianya menjadi batu asas kepada sistem sekarang.

Segala kelemahan dan kesilapan John Law diambil sebagai pengajaran bagi menambah baik penggunaan mata wang yang kita gunakan pada masa kini.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: thepatriots

Seorang blogger yang suka berkongsi ilmu untuk individu yang suka membaca.

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon