Friday, January 11, 2019

Misteri Wanita Cantik Ajak Mandi Di Pondok Tanjung

Misteri Wanita Cantik Ajak Mandi Di Pondok Tanjung

Pagi itu Prebet Azam yang bertugas di sebuah kem di Sungai Buloh, Selangor mendapat kiriman mesej menerusi telefon bimbit daripada kakaknya. Mesej itu berbunyi, “Zam, ayah tenat di kampung. Kau minta la cuti, balik segera!”

Misteri Pondok Tanjung

Azam yang kebetulan berada di tempat kerjanya terus memohon cuti kecemasan dan ia diluluskan bosnya. Dalam hatinya, hanya Allah sahaja yang tahu betapa bimbangnya Azam akan keadaan bapa yang sudah lama menghidap komplikasi buah pinggang.

Dia bertolak pulang menaiki bas dari Kuala Lumpur kira-kira pukul 5 petang dan tiba di Hentian Bas stesen Kamunting, Taiping kira-kira pukul 9.30 malam.

Malangnya bas dari Kamunting untuk ke kampung Azam di Kubu Gajah, Selama Perak sudah tiada. Bas terakhir untuk ke bandar itu ialah pukul 7.30 malam.

Hati Azam resah, jarak antara Kamunting ke Kubu Gajah bukannya dekat, memakan masa sejam, jarak kira-kira 40 kilometer.

“Ayah semakin tenat, takkan aku nak duduk di stesen bas ni sampai pagi esok? Macam mana sekali pun aku kena balik malam ni juga,” bisik hati Azam.

Lantas Azam tiada pilihan lain, melainkan dia perlu menaiki teksi walaupun dia tahu, caj yang akan dikenakan berlipat kali ganda kerana jarak dan masa.

Ketika bergerak ke hentian teksi yang tidak jauh dari situ, Azam mendekati seorang lelaki berusia lewat 40-an dengan memberitahu dia mahu pulang ke Kubu Gajah.

“Apa. Kubu Gajah? Hisshh. Kalau saya ambik pun tambang mahal ni dik. Dah tengah malam. Tempat tu jauh. Pergi ada orang, balik takdak orang. Lagipun, takut juga dari sana nak balik nanti,” terang pemandu teksi tu.

Jam dah hampir 10 malam. Dia perlu sampai ke kampung untuk segera bertemu ayah. Malang sekali, tiada pemandu teksi yang sudi mengambil Azam sebagai penumpang.

Dalam keadaan fikiran yang agak serabut, Azam kembali ke hentian bas dan dia mundar-mandir di situ. Tiba-tiba seorang lelaki pertengahan usia menghampirinya.

“Adik nak ke mana? Dari tadi pakcik tengok macam susah hati,” tanya pakcik yang seolah-olah faham akan wajah cemas Azam ketika itu.

Akhirnya Azam menceritakan sehinggalah menimbulkan rasa simpati pakcik berkenaan.

“Pakcik nak balik Batu Kurau, ni baru lepas hantar anak, dia balik KL, naik bas jam 10 (malam) tadi. Kalau adik nak pakcik hantar boleh, tapi separuh jalan sajalah, sebelum hutan Pondok Tanjung. Sebab pakcik nak kena patah balik, nak ke Batu Kurau.

“Terus terang, pakcik memang tak berani lalu hutan Pondok Tanjung tu, nak pulak tengah malam gini,” ujar pakcik itu.

Azam tiada pilihan, disebabkan pengalamannya sebagai anggota tentera yang sudah biasa dengan aktiviti lasak, dia bersetuju dengan cadangan pakcik tadi.

Maka kenderaan jenis Proton Wira dipandu pakcik tersebut bergeraklah menuju ke destinasi seperti dijanjikan.

Setiba di Pondok Tanjung, akhirnya pakcik tadi memberhentikan keretanya.

“Sampai di sini sajalah Azam pakcik hantar seperti kita janjikan tadi ya. Harap-harap Azam selamat sampai di kampung. Kalau kebetulan ada kereta lalu, cuba la tahan. Boleh tumpang,” kata si pakcik.

Jam ketika itu menunjukkan pukul 11 malam. Jarak antara lokasi Azam turun dari kenderaan ditumpang menuju ke kampungnya kira-kira 15 kilometer. Masih jauh lagi.

Dalam keadaan pekat malam yang hanya ditemani sinaran cahaya bulan, Azam terus mengatur langkah berjalan membelah hutan simpan Pondok Tanjung yang selama ini dikaitkan dengan pelbagai kisah-kisah seram pada waktu malam.

Antaranya ada orang pernah melihat gajah sebesar treler melintas, harimau berjalan bersama anak dan orang mengusung keranda seperti membawa jenazah untuk pengebumian.

Dia melihat wanita-wanita itu melambai dan kali ini hanya tangan sahaja muncul dari dalam sungai seperti mahu memanggilnya untuk mengajak mandi bersama.

Selain itu kerap juga berlaku kemalangan di satu selekoh apabila pemandu tidak sempat membelok kenderaan lalu terbabas dan kereta terjunam dalam denai hutan itu.

Pada malam itu kisah-kisah seram yang masih tersimpan dalam memorinya subur kembali.

Selepas kira-kira setengah jam berjalan bersama beg pakaian yang digalas, tiba-tiba terdengar desiran angin seolah-olah menceritakan sesuatu kepada Azam.

Tanpa menoleh ke belakang, Azam hanya berdoa agar dijauhilah daripada musibah termasuk jika ada haiwan-haiwan buas di hutan itu.

Di depannya kira-kira 15 meter, kelihatan kelibat seorang ibu berjalan berpimpin tangan anaknya.

Semakin dekat Azam menghampiri, semakin perlahan mereka mengatur langkah. Dalam hati, Azam berkata mustahil pada malam sebegitu ada ibu berjalan dengan anak seorang diri. Ia tentunya bukan manusia.

Azam terus berjalan melintasi ‘ibu dan anak’ tanpa mempedulikan mereka dan tidak lama kemudian ketika menoleh ke belakang, tidak kelihatan lagi kelibat mereka itu.

Dalam keadaan hati semakin berdebar, pegangan Azam hayalah dua iaitu memohon bantuan Allah selain agar cepat sampai di kampung.

Tatkala mahu melintasi kawasan anak sungai pula, Azam terdengar bunyi beberapa wanita ketawa seolah-olah ada pesta di bawah jambatan.

Tiba di kawasan itu, Azam melihat tiga wanita sedang mandi-manda dengan hanya kepala mereka sahaja kelihatan pada permukaan air. Namun itu pun hanya samar-samar bawah pancaran bulan purnama.

Selain dikatakan terdapat haiwan buas di kawasan ini, jarang sekali penduduk kampung berani melaluinya pada waktu malam melainkan jika benar-benar terdesak.

Dia melihat wanita-wanita itu melambai dan kali ini hanya tangan sahaja muncul dari dalam sungai seperti mahu memanggilnya untuk mengajak mandi bersama.

Ia mungkin satu godaan dan jika dia menurut permintaan itu, mungkin dia akan menjadi mangsa lemas sungai berkenaan.

Justeru, kaki Azam semakin laju melangkah dan dalam masa sama hatinya terus berbisik, apa lagi ujian yang akan dia tempuh?

Ketika hatinya berkata-kata, tiba-tiba dia terdengar suara mendayu-dayu dari hutan rimba dengan keadaan pohon-pohon turut bergoyang.

“Huu… huuu… huuuuuu,” seperti orang meniup angin.

Kali ini kaki Azam menjadi lemah dia rasa bagaikan mahu rebah. Jantungnya terus laju berdegup namun dia tetap kuatkan semangatnya sehinggalah dia tiba di penghujung hutan simpan itu.

Tidak jauh, terdapat perkampungan tanah rancangan dan dia berhenti bawah pondok menunggu bas untuk berehat selepas letih berjalan.

Jam pada waktu itu sudah pukul 3 pagi dan Azam tidak dapat meneruskan perjalanan sebaliknya tertidur di pondok bas itu sehinggalah dia dikejutkan dengan bunyi motosikal seorang pemuda yang mahu pergi menoreh getah.

“Hang nak pi mana ni? Awat tidoq (tidur) sini,” tanya pemuda itu.

“Saya nak balik kampung, bas habis penat berjalan kaki, terlena bawah pondok ni,” ujar Azam lalu dia menceritakan apa yang berlaku.

Ketika itu jam sudah pukul 6.30 pagi dan Azam bernasib baik kerana pemuda itu sanggup menghantarnya pulang ke rumah.

Setiba di kampung, Azam bersyukur kerana sempat bertemu ayahnya yang sedang tenat sebelum meninggal dunia tengah hari kemudian.

Kisah Azam itu membuatkan dia menjadi serik untuk melalui kawasan itu lagi pada waktu malam.

Benarlah kata penduduk setempat, tiada siapa berani melalui kawasan hutan Pondok Tanjung selepas pukul 10 malam kerana ada kisah menakutkan tersembunyi di sebalik kelam hutan itu.

BACA INI JUGA:

sumber: mstar

Survei Pendapatan, Perbelanjaan Isi Rumah dan Kemudahan Asas Jabatan Perangkaan Malaysia

Survei Pendapatan, Perbelanjaan Isi Rumah dan Kemudahan Asas Jabatan Perangkaan Malaysia

Jabatan Perangkaan Malaysia sedang melaksanakan Penyiasatan Pendapatan, Perbelanjaan Isi Rumah (HIS/HIES) dan Kemudahan Asas bermula Januari sehingga penghujung tahun melibatkan isi rumah yang tinggal di Tempat Kediaman (TK) persendirian di seluruh negara.

Survei Survei

Objektif utama penyiasatan adalah bagi mengumpul maklumat taburan pendapatan dan perbelanjaan isi rumah, mengenal pasti golongan miskin dan tahap kemudahan yang dinikmati oleh isi rumah di Malaysia.

Data pendapatan itu akan digunakan kerajaan bagi penyediaan sebarang Rancangan Pembangunan di Malaysia.

Data perbelanjaan juga digunakan dalam pengiraan wajaran Indeks Harga Pengguna (IHP) yang merupakan cara mengukur kadar inflasi negara.

Seiring dengan matlamat dan tujuan itu, data HIES amatlah penting kepada kerajaan dan agensi berkaitan dalam perancangan, pembangunan dan penggubalan dasar dan polisi negara terutama dalam program pembasmian kemiskinan dan agihan pendapatan yang lebih menyeluruh.

Selain daripada itu, data HIES merupakan bahan asas dalam pembentukan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) makanan dan penentuan golongan miskin dan miskin tegar.

Data ini juga seterusnya akan digunakan sebagai input kepada analisis taburan pendapatan dan perbelanjaan berkaitan aktiviti ekonomi, pekerjaan dan sebagainya.

Jabatan Perangkaan Malaysia berharap, isi rumah yang terpilih dapat memberi kerjasama sepenuhnya kepada kakitangan pegawai Jabatan Perangkaan yang berkunjung ke tempat kediaman terpilih.

Maklumat yang dikumpul adalah mengikut peruntukan di bawah Akta Perangkaan 1965 (Disemak-1989).

Berdasarkan Seksyen 5 di bawah akta ini, kandungan borang soal selidik yang diterima adalah sulit dan tidak boleh dihebahkan kepada jabatan lain, syarikat, individu atau mana-mana institusi di luar Jabatan Perangkaan.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

-SENTIASAPANAS.COM

SBDJ Siri 11: Menunggang Harimau Di Tengah Malam

SBDJ Siri 11: Menunggang Harimau Di Tengah Malam

Datuk terus membaca sesuatu. Datuk mengambil seketul batu dari perut perahu. Batu itu dibalingkan pada lembaga yang terpacak dalam sungai. Bila batu itu terkena badan lelaki yang besar dan gagah. Dia segera menjerit dengan sekuat hatinya. Kemudian dia menghilangkan diri.

Menunggang Harimau Di Tengah Malam

Air sungai yang melempah terus surut. Suasana yang cerah bertukar menjadi gelap. Saya merenung ke langit. Bintang bertaburan. Mr.Brown tidak berkata walau sepatah pun. Dia terjelepuk dalam perut sampan.

“Dia sudah pergi,” kata datuk dan terus mengalah sampan ke hilir.

Lebih kurang pukul sepuluh malam kami sampai ke Jambatan Pengkalan Bharu. Dari situ datuk menumpang lori ikan menuju ke Pekan Pantai Remis. Datuk membuat laporan ke balai polis. Sarjan Ramli menyuruh seorang pemandu kereta polis membawa datuk ke Jambatan Pengkalan Bharu kembali.

Dengan kereta polis kami menghantar Mr.Brown ke bunglownya. Kerana jam sudah pukul dua belas. Mr.Brown menyuruh saya dan datuk tidur di bunglownya.

Kira-kira pukul dua pagi Mr.Brown menjerit tidak tentu arah. Dia berlari ke seluruh kawasan bunglownya sambil menjerit. Semua pekerja ladangnya menjadi gempar. Datuk dengan bantuan pekerja ladang getah berjaya menangkap Mr.Brown.

Mr.Brown terpaksa diikat di pangkal pokok getah di depan bunglownya dengan rotan seni. Dan datuk terpaksa menjaganya hingga ke pagi. Seorang kerani besar di ladang tersebut. Mr.Anadurai terus menghubungi Hospital Lumut.

Lebih kurang pukul sepuluh pagi sebuah ambulan dari Hospital Lumut tiba. Mr.Brown yang masih menjerit dan mengoyak pakaiannya dimasuk ke dalam kereta tersebut. Dari Hospital Lumut dia dibawa ke Hospital Besar Ipoh. Seminggu Mr.Brown duduk dalam jeriji besi di Hospital Besar Ipoh.

Lepas itu Mr.Brown dibawa ke rumah sakit otak di Tanjung Rambutan. Tiga bulan Mr.Brown ditempatkan di situ. Datuk tidak pernah sekali pun melawatnya. Penyakit Mr.Brown tidak juga mahu sembuh.

“Orang putih tu tak jujur,” datuk mengadu pada saya.

“Kenapa tok kata macam tu?”

“Aku yakin dia tak jujur,” suara datuk merendah. Saya bertambah binggung kerana datuk tidak menerangkan apakah maksudnya dengan perkataan tidak jujur itu. Dan saya tidak mahu menyoal lebih lanjut tentang perkara tersebut.

Datuk nampak resah saja sepanjang hari itu. Semua kerja yang dibuatnya terganggu. Dia asyik mahu marah saja, kalau saya membunyikan radio agak kuat.

“Aku mahu ke rumah orang putih bangsat tu, memanglah orang-orang dari England ni, satu bangsa yang tak boleh dipercayai, di depan kita bukan main baik, belakang kita jadi pengkhianat pada diri kita sendiri,” Datuk merunggut panjang. Dia pun mengenakan seluar hitam dan baju merah ke badannya.

“Buat apa datuk ke rumah dia? Dia bukan ada.”

“Kau mana tau, ini urusan aku.”

Datuk memijak anak tangga turun dan mengambil basikal di bawah rumah. Dengan basikal dia pergi rumah besar Mr.Brown. Lebih kurang pukul lima petang datuk pun pulang. Saya melihat dia membawa satu bungkusan kecil di pelantar basikalnya. Sebaik saja datuk menongkat basikal saya terus menghampirinya.

“Jangan pegang bungkusan tu.”

“Apa bendanya tok?”

“Tanah yang diambil Mat Sallih bangsat tu, di tempat puaka disembunyikan dalam beg.”

“Tok nak buat apa dengan tanah itu.”

“Aku nak pulangkan balik, kalau tak dipulangkan kita kena petakanya.

Mendengar cakap datuk itu, fahamlah saya kenapa dia menuduh Mr.Brown tidak jujur. Dan malam itu saya menemani datuk menghanyutkan tanah di sungai.

Datuk meletakkan tanah segumpal itu di atas upih pinang, kemudian dihanyutkan. Masa datuk melakukan semuanya itu, dia tidak bercakap atau bersuara cuma lulutnya saja yang kelihatan kumat-kamit membaca sesuatu.

Seminggu selepas datuk menghanyutkan tanah puaka itu, datuk mendapat berita dari kerani besar ladang getah yang Mr.Brown telah meninggal dunia. Mayatnya telah pun dihantar ke England.

Tempat Mr.Brown segera diganti oleh J. Mackintos dari Singapura, tetapi yang anehnya pengurus baru itu tidak berani duduk di bunglow. Setiap kali dia tidur di bunglow tersebut. Dia selalu saja diganggu oleh satu lembaga yang menyerupai Mr. Brown.

Kadang-kadang pengurus baru itu diangkat dari bilik tidur ke ruang dapur. Ada kalanya dicampakkan ke tengah halaman bunglow. Jadi, bunglow besar yang serba lengkap terbiar.

Dalam tahun 1960 bunglow besar itu dibakar oleh seorang pekerja ladang getah yang naik darah kerana setiap malam dia terdengar bunyi orang menangis dalam bunglow tersebut.

Sebaik saja bunglow itu hangus di makan api. Pekerja itu mati ditimpa oleh salah satu tiang dari dalam bunglow itu hingga kini masih wujud. Penuh dengan pokok-pokok hutan.

Semua peristiwa itu dijadikan datuk sebagai pengajaran. Dia selalu mengingatkan saya begini: Lakukan semua pekerjaan atau apa saja dengan rasa tanggung jawab dan jujur. Kerana kejujuran adalah harga diri manusia yang tidak ternilai. Telalu sedikit manusia yang tidak jujur pada diri sendiri, pada janji dan sebagainya, bila kau menjadikan kejujuran itu panduan hidup, engkau akan merasa kebahagiannya.

Saya cuma anggukkan kepala sahaja bila mendengar dia berkata begitu. Beberapa bulan berselang, datuk menyatakan hasratnya untuk pergi ke Kampung Sadang untuk memikat burung waktu malam.

Saya tidak tahu bagaimana datuk teringatkan hal itu. Pada fikiran saya dia sudah tentu melupakannya. Sebenarnya, saya sudah memutuskan dalam hati, bahawa saya tidak akan menurut bersama datuk pergi ke tempat tersebut.

“Minggu depan, petang Jumaat aku nak pergi,” datuk mengingatkan saya.

“Baguslah tu tok, barang-barang yang dulu semuanya ada di dalam bilik.”

“Kau bagaimana? Tak mahu ikut sama?” tanya datuk.

“Saya malaslah datuk.” Datuk puas hati dengan jawapan saya itu. Sementara menanti petang Jumaat, datuk hanya duduk di rumah saja. Kadang-kadang dia menjenguk bini mudanya di kampung bunian.

Pada suatu petang. Selepas datuk menemui isteri mudanya, dia memanggil saya. Cepat-cepat saya menghampirinya. Datuk duduk terjuntai kaki di kepala tangga.

“Ada apa datuk?”

“Dua tiga hari ni, aku selalu teringatkan adik bongsu aku yang duduk di Hulu Kuang, agaknya dia sakit.”

“Habis datuk nak pergi ke sana?”

“Hajat tu memanglah begitu.”

“Kata datuk, datuk nak pergi ke Kampung Sadang.”

“Itu tak mustahak yang penting adik beradik.”

Saya terdiam mendengar cakap datuk itu. Saya segera teringat, kali terakhir saya bertemu dengan adik bongsu datuk yang saya panggil ayah Ngah itu, dalam tahun 1947.

Lepas itu saya tak pernah bertemu dengannya lagi, terlalu sukar untuk pergi ke Hulu Kuang. Tidak ada kenderaan yang boleh sampai ke sana. Lagipun kawasan itu termasuk dalam kawasan hitam, (sekarang sudah ada jalanraya dan kenderaan yang berulang-alik dari Chemor ke Hulu Kuang) kerana hal-hal itu saya dan datuk terpisah dengan keluarga.

Petang itu juga kami bertolak dari rumah datuk ke Ipoh dengan naiki bas. Dari Ipoh kami menyewa teksi pergi ke Chemor. Sampai ke Chemor sudah pukul enam petang.

Kami tidak dibenarkan masuk ke Hulu Kuang, kerana kawasan itu terlibat dengan perintah berkurung dari jam enam petang hingga enam pagi.

Datuk terus melaporkan dirinya ke Balai Polis Chemor kerana kami membuat keputusan untuk tidur di masjid Chemor.

Selepas memberikan butir-butir mengenai diri kami kepada pihak polis, kami dibenarkan tidur di masjid tersebut.

Sesudah menunaikan sembahyang Isyak, saya terus baring di bucu masjid. Datuk baring dekat tiang. Akhirnya saya terlena. Lebih kurang pukul dua malam, datuk mengejutkan saya.

“Bangun kita pergi ke Hulu Kuang.”

“Macam mana nak pergi, nanti kita kena tangkap atau ditembak askar.”

“Kau ni banyak cakap pula, bangun sajalah,” suara datuk keras.

Dia menarik tangan saya hingga terduduk. Saya terus kesat mata dengan belakang tangan. Datuk menyuruh saya berdiri di muka pintu masjid. Perintahnya saya ikuti.

“Sebentar lagi dia datang,” Datuk beritahu saya.

“Apa yang datang tok?” tanya saya ingin tahu.

“Kau jangan banyak cakap,” Datuk menyergah saya.

Mukanya kelihatan bengis. Masa itu datuk sudahpun mengenakan baju hitam, seluar hitam di badan. Kepalanya juga dililit dengan kain hitam. Dalam hati kecil saya timbul keraguan tentang diri datuk. Saya mengira dia ada hubungan dengan pengganas komunis. Kalau tidak masakan dia berani berjalan malam waktu zaman dharurat.

“Ke tepi,” datuk menolak badan saya yang tercegat di muka pintu masjid. Saya tersungkur atas lantai. Datuk menampar tangan kanannya ke pangkal paha kanannya dengan sekuat hati. Dia melemparkan tujuh biji batu bertih ke tengah laman masjid.

Kemudian datuk menekan ibu jari kanannya ke tapak tangan kiri tujuh kali berturut-turut. Tiba-tiba saya terdengar bunyi suara harimau mengaum. Cukup kuat. Kepala lutut saya mengeletar.

Dengan tiba-tiba sahaja saya rebah atas lantai masjid dan tidak berdaya bangun. Seekor harimau belang yang cukup besar muncul di depan halaman masjid sambil menguit-guitkan ekornya.

“Makanlah kau lapar,” suara datuk keras.

Saya lihat harimau itu terus memakan tujuh biji bertih. Bila harimau itu selesai makan. Datuk segera merapatinya. Datuk menggosok-gosok kepala harimau itu dengan tangannya. Dan lidah harimau yang panjang itu menjilat pipi dan hidung datuk.

Harimau itu berguling-guling atas tanah sambil kakinya menampar seluruh badan datuk. Datuk mengosok perut harimau itu. Datuk mengira kuku di jari harimau. Datuk bermain-main dengan harimau macam bermain dengan anak kucing.

Akhirnya datuk menepuk dahi harimau tujuh kali dengan tangan kiri. Harimau pula menjilat telinga kanan datuk tujuh kali.

“Bangun, kau dah kenyang,” mendengar cakap datuk itu, harimau besar segera bangun sambil menguap. Saya bertambah ngeri melihat giginya yang tajam dan putih. Harimau itu menggaum lagi.

Datuk memanggil saya. Saya cuba bangun tapi saya tidak berdaya. Tempurung lutut saya terasa longgar. Datuk terus menarik tangan saya. Saya diheret hingga ke depan harimau besar.

“Ini cucu aku,” datuk memberitahu harimau besar.

Saya lihat sepasang mata harimau itu merenung ganas ke wajah datuk. Datuk berdehem tiga kali berturut-turut. Harimau itu melunjukan kaki depannya. Badannya direndahkan. Datuk mengangkat badan saya lalu diletakannya di pangkal tengkuk harimau berbadan besar serta berbelang tebal.

Saya rasa nyawa saya sudah melayang dari badan. Badan saya jadi lembik. Saya tidak boleh duduk tegak. Dada dan muka saya terhempap atas batang leher harimau.

Bulu harimau yang kasar dan keras itu mencucuk batang hidung dan pipi saya. Bila harimau itu mengerak-gerak badannya saya juga ikut bergerak.

“Peluk tengkuknya kuat-kuat,” datuk mengigatkan saya.

Antara sedar dengan tidak saya lihat datuk terus naik atas belakang harimau. Harimau besar itu segera menegakkan badannya. Datuk terus menepuk-nepuk punggung harimau, macam gembala lembu menepuk punggung lembu.

“Ke Hulu Kuang,” saya terdengar suara datuk. Serentak dengan itu harimau pun melangkah. Saya rasa harimau itu berjalan bagaikan tidak jejak ke bumi.

Melayang-layang di udara membelah pekan Chemor melintasi jambatan keretapi. Terus menghala ke kampung Cik Zainal serta melintasi kawasan Kampung Baru Tanah Hitam.

Saya nampak tentera berjaga dengan senjata di tangan. Semuanya tidak memandang ke arah kami. Kerana terlalu laju harimau itu bergerak. Badan saya terasa sejuk.

Belum selesai saya menghitung dari satu sampai ke sepuluh. Harimau itu sudahpun tiba di kaki tangga rumah adik bongsu datuk. Hari masih gelap lagi. Kokok ayam masih kedengaran. Datuk menurunkan saya dari belakang harimau.

Sebelum harimau meninggalkan kami, datuk memberi harimau itu makan tujuh biji bertih. Saya tidak tahu dari mana bertih itu diperolehi oleh datuk. Selesai saja harimau itu memakan bertih. Lagi sekali datuk menepuk-nepuk dahi harimau. Datuk membisikkan sesuatu ke telinga harimau. Dan harimau itu bagaikan mengerti dengan apa yang diucapkan oleh datuk kerana telinganya bergerak-gerak.

“Balik ke rumah kita jaga kampung serta tanah ladang kita,” suara datuk meninggi.

Harimau itu mengguap panjang. Dengan sekelip mata saja harimau besar hilang dari pandangan saya. Datuk tidak segera mengejutkan adik bongsunya.

Menurut datuk pantang besar kalau kita menunggang harimau mengejutkan tuan rumah yang kita pergi sebelum tuan rumah itu terjaga.

Adik bongsu datuk terkejut, bila dia membuka pintu rumah pagi itu didapatinya kami duduk di kaki tangga. Dia mengucap panjang dan merasa takjub bagaimana kami boleh sampai pagi ke tempatnya sedangkan perintah berkurung berakhir pada jam enam pagi.

Dia terus menyoal datuk bagaimana kami boleh sampai terlalu awal. Pertanyaan atau soalan itu tidak dijawab oleh datuk. Datuk mengubah tajuk perbualan pada perkara lain.

Sambil minum kopi pagi, adik bongsu datuk menceritakan keadaan kampung Hulu Kuang sambil bertanya khabar hal nenek serta anak cucu datuk. Perbualan datuk dengan adik bongsunya sungguh rancak pagi itu.

Saya tidak banyak campur dalam perbualan mereka. Saya lebih senang berdiri di muka tingkap melihat daun-daun pokok yang menghijau serta puncak gunung yang diselimuti kabus nipis.

“Kau sakit, aku nampak kau kurus sangat ni,” saya terdengar suara datuk. Saya segera menoleh ke belakang. Saya lihat datuk sedang memerhati tubuh adik bongsunya yang cengkung dan kurus.

“Saya baru baik dari demam, dan tu kena berjaga malam pula,” jawab adik bongsu datuk.

“Hai, musim darurat pun kena berjaga malam?”

“Berjaga dalam rumah?” sahut isteri adik bongsu datu dari dapur.

Saya tertarik hati dengan perbualan itu. Memaksa saya duduk di sebelah datuk. Datuk saya lihat mengkerutkan keningnya.

“Kenapa pula tu. Ada pencuri ke?” Pertanyaan itu tidak dijawab oleh adik bongsu datuk dan isterinya. Mereka kelihatan resah dan tidak menentu.

“Apa halnya cakap. Kalau boleh aku tolong, aku berusaha menolong kalau tak boleh kita cari orang lain untuk menolongnya,” datuk memberi sebuah harapan. Isteri adik bongsu datuk tersenyum. Adik bongsu datuk termenung panjang.

“Susah orang nak menolongnya,” begitu hampa nada suara adik bongsu datuk.

“Susah macam mana?” tanya datuk.

“Kerja iblis.”

“Kita lawan cara iblis.”

“Begini, di kampung ni ada toyol jadi-jadian, sekejap menjelma jadi kucing, sekejap jadi tikus.”

Adik bongsu datuk menerangkan sambil merenung ke kiri kanan. Datuk terdiam. Lama juga datuk termenung. Datuk bangun berdiri di muka pintu. Tangan kanannya memaut jenang pintu. Datuk duduk kembali.

“Biasanya toyol jadi-jadian ni, ada orang yang membelanya. Dia mesti sepasang ada jantan betinanya. Rumah kau ada dia masuk?”

“Ada, dia menyerupai kucing hitam, bila terserempak dengan kami dia menghilangkan diri.”

Dengan penerangan adik bongsunya itu datuk dapat menduga bahawa toyol jadi-jadian itu masih belum mempunyai pasangan lagi.

Dan orang yang membela akan berusaha mencari pasangannya. Datuk memberitahu adik bongsunya, perkara itu boleh diatasi atau dilenyapkan terus dengan syarat dia harus tinggal di Hulu Kuang agak lama sedikit. Untuk mencari tuan punya toyol jadi-jadian itu memakan masa. Memerlukan beberapa syarat yang tertentu.

“Kerjanya sulit, tapi harapan masih ada kerana tuan punya masih mencari pasangannya lagi,” jelas datuk dengan tenang.

“Macam mana caranya?” soal isteri adik bongsu datuk.

Mendengarkan pertanyaan itu datuk tersenyum panjang sambil memicit pangkal dagu.

“Kita tunggu kalau ada perempuan mati beranak sulung, baru senang menangkap tuannya.”

Cakap datuk itu membuat adik bongsu datuk dan isterinya berpandangan.

Dalam kepala isteri adik bongsu datuk mula terbayang tentang perempuan-perempuan di Kampung Hulu Kuang yang mengandung anak sulung. Ada lima orang semuanya.

Atas persetujuan orang-orang Kampung Hulu Kuang datuk diminta duduk di kampung tersebut selama dua bulan untuk menghalau toyol jadi-jadian yang menganggu kampung mereka.

Nasib datuk dan saya agak baik, baru tiga minggu di Hulu Kuang, terdengar salah seorang daripada penduduk kampung itu meninggal dunia ketika melahirkan anak sulung. Anak dan ibu mati serentak.

Datuk pergi ke rumah keluarga yang malang itu, datuk turut sama menghantar jenazah ibu dan anak itu ke tanah kubur.

Tetapi, sebaik sahaja datuk pulang dari tanah kubur. Datuk tidak dapat tidur sepanjang malam.

Dia didatangi dengan berbagai-bagai mimpi yang ngeri dan menakutkan. Datuk membuka kertas firasat yang dibawanya.

Waktu dia membaca firasat itulah datuk terdengar suara perempuan memujuk anak yang menangis di bawah rumah. Datuk membuka pintu, datuk melihat satu cahaya berekor panjang naik ke udara dari tanah perkuburan. Datuk pun mengejutkan saya.

Tamat siri 11/284

BACA: SBDJ Siri 10: Mencari Harta Karun
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-SENTIASAPANAS.COM

Bagaimana Cara Membaca Mesej WhatsApp Yang Telah Dipadam?

Bagaimana Cara Membaca Mesej WhatsApp Yang Telah Dipadam?

Kita sering menyesal apabila memadam mesej WhatsApp sama ada secara sengaja atau tak sengaja sedangkan mesej itu cukup penting atau berguna untuk disimpan kerana pengguna diberi pilihan untuk memadam mesej tertentu dalam ruangan chat atau ruangan chat itu sendiri, tetapi tidak menawarkan penyelesaian untuk mendapatkannya semula.

Mesej WhatsApp Dipadam

Apabila anda memadamkan mesej atau chat, sekurang-kurangnya terdapat kemungkinan ia masih disimpan oleh penerima, jadi anda boleh meminta salinan daripada mereka.

Tetapi bagaimana jika anda dan penerima masing-masing telah memadamnya, atau lebih teruk, anda telah menggunakan pilihan padam 'Delete for Everyone'.

WhatsApp tidak secara rasmi memberikan anda alat atau cara untuk mendapatkan semula mesej atau chat yang telah dipadam.

Walau bagaimanapun, terdapat dua cara yang mungkin boleh membantu anda membaca mesej yang dipadam di WhatsApp, tetapi tetap tiada jaminan.

Ini kerana WhatsApp meletakkan sekatan tertentu pada ciri-cirinya, malah beberapa aplikasi pihak ketiga juga tidak boleh memintasnya.

Kaedah pertama melibatkan muat turun aplikasi pihak ketiga, sementara kaedah kedua adalah cara mudah yang mungkin berfungsi jika semuanya dibuat dan berada di tempat yang betul.

Perlu diingatkan bahawa WhatsApp tidak mengesyorkan muat turun aplikasi pihak ketiga dan tidak memberi mereka akses kepada data anda, justeru anda harus membaca dasar privasi aplikasi pihak ketiga sebelum memuat turunnya.

KAEDAH 1

Menurut blog Sepanyol Android Jefe, notifikasi WhatsApp untuk mesej individu dan mesej chat dilog masuk ke memori telefon, melainkan anda telah menetapkan 'mute' untuk kenalan atau kumpulan tertentu.

Log itu disimpan dalam memori sehingga peranti dihidupkan semula (restart), oleh itu mesej yang telah dipadam dapat dibaca dan ditemui semula.

Penerima mesej masih boleh membacanya walaupun ia telah dipadamkan dari telefon penghantar dan penerima.

Harus diambil perhatian bahawa ini bukan eksploitasi, ia hanya satu penyelesaian melibatkan pemberian akses kepada aplikasi pihak ketiga dan ia hanya akan berfungsi pada peranti Android.

Caranya:

Langkah 1

Dari Google Play Store, muat turun aplikasi 'Notification History'. Lancarkan aplikasi itu dan berikan kebenaran peranti yang diperlukan.

Langkah 2

Anda kini boleh menyaring seluruh log untuk mencari mesej WhatsApp yang anda mahu baca tetapi telah dipadam.

Bagaimanapun, notifikasi mesej berkumpulan mungkin sukar untuk dipecah-pecahkan kepada mesej individu. Lebih-lebih lagi, ia memerlukan anda meneliti seluruh log untuk mencari mesej.

Selain aplikasi yang disebutkan di atas, anda juga boleh memuat turun pelancar aplikasi seperti Nova Launcher yang akan log notifikasi yang diterima pada telefon Android.

Sesetengah telefon Android menawarkan kemudahan ini secara 'build in'.

Kaedah 2

Kaedah kedua adalah lebih mudah berbanding sebelumnya.

Semua pertukaran mesej anda mempunyai 'back up' dalam memori lokal anda, begitu juga dengan 'cloud'- - Google Drive atau iCloud.

Untuk membaca mesej yang dipadamkan, apa yang perlu dilakukan adalah membuat pengstoran semula 'back up' yang mengandungi mesej-mesej tersebut.

Walau bagaimanapun, ia hanya terpakai kepada penghantar mesej. Penerima hanya boleh mengikuti kaedah ini jika mesej itu belum dipadamkan pada penghantarnya.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: mstar

Disebalik Perbalahan Kaum Di Malaysia

Disebalik Perbalahan Kaum Di Malaysia

Adakah orang Melayu pemalas? Persoalan yang sama boleh ditanya sama ada, adakah orang India kaki mabuk atau gangster? Adakah orang Cina semua kaya? Inilah stereotaip yang sering dipromosi dalam masyarakat kita di Malaysia.

Perbalahan Kaum

Mengenai isu malas. Biasanya majikan dan juga masyarakat amnya menganggap mereka yang buat kerja 8 jam itu malas berbanding dengan mereka yang buat kerja lebih masa (OT).

Walaupun hujah kita bahawa seseorang harus mendapat gaji yang munasabah dengan hanya bekerja 8 jam, tetapi naratif majikan dan kelas pemerintah adalah mereka yang bekerja 8 jam ini malas.

Maka, mereka mewujudkan persaingan antara pekerja yang mahu kerja OT dengan pekerja yang hanya mahu bekerja 8 jam.

Berbalik kepada isu orang Melayu pemalas, pada zaman penjajahan, British mendapati amat sukar untuk memaksa orang Melayu bekerja di lombong timah dan bekerja di ladang.

Bukan kerana orang Melayu tidak mahu bekerja tetapi mereka pada masa itu selesa dengan kehidupan sebagai petani, pesawah dan nelayan. Mereka dapat menampung kehidupan mereka.

Maka British berjaya membawa masuk Orang Cina dan India yang mengalami masalah kemiskinan di negara mereka sendiri untuk bekerja di lombong-lombong dan tanah-tanah ladang demi untuk memperkayakan empayar British.

Mereka juga mengamalkan polisi pecah dan perintah. Samalah modus operandi apabila Mahathir Mohamad bercakap orang Melayu malas, ia sebenarnya mewujudkan satu persaingan dengan kaum-kaum yang lain.

Sistem kapitalis memang dalam nalurinya mewujudkan persaingan dan akan menggunakan pelbagai perpecahan di kalangan masyarakat seperti agama, etnik dan budaya untuk memastikan kekayaan maksimum.

Agenda ini tidak berbeza dari agenda penjajah British dulu. Hari ini musuh untuk pekerja Malaysia adalah pekerja asing. Naratif ini terus digunakan.

Maka sekarang pekerja asing yang membuat kerja 3D – kotor, sukar dan bahaya – dilihat sebagai pekerja yang rajin manakala setiap majikan bercakap mereka mahukan pekerja asing.

Agenda majikan sebenarnya adalah, polisi gaji murah dan untuk memaksimkan keuntungan.

Namun, apa yang mereka katakan adalah pekerja Malaysia malas, tidak mahu buat kerja itu dan terlalu manja.

Pecah dan perintah antara masyarakat kita ataupun antara kita dengan pekerja asing hanyalah agenda keuntungan ekonomi segelintir kecil pihak kapitalis.

Segelintir kecil ini boleh jadi orang Cina, India, Melayu, Jepun, Eropah atau sesiapa pun.

RUSIA YANG HILANG

Dalam tahun 1892-94 seorang pengembara Rusia, mungkin juga seorang askar upahan (siapa tahu adalah perisik) bernama Vasily Mamalyga, telah membantu Lombok menentang askar Belanda.

Lombok kalah, dan Mamalyga (juga kadang kala dieja sebagai Memelige dan WP Mamalyga) dipenjarakan selama empat tahun di dalam penjara Belanda.

Beliau dibebaskan kemudiannya dan diminta ke Moldavia dalam tahun 1899.

Dua tahun kemudian, anehnya, Mamalyga kembali ke alam Melayu kali ini sebagai tukang masak di atas sebuah kapal wap Rusia.

Kapal ini berlabuh di Singapura pada tahun 1901. Ia sepatutnya belayar ke Jawa tetapi Mamalyga tidak dapat meneruskan perjalanan kerana rekodnya yang masih buruk dalam tangan Belanda.

Di Singapura, gerak geri Mamalyga diawasi oleh Baron Kister, Konsul Rusia di pejabat Konsulat Rusia Tsar, sekurang-kurangnya dalam dua insiden iaitu pada bulan Ogos 1901, dan Oktober 1902.

Keberadaan Mamalyga di alam Melayu ini pernah menjadi tumpuan Elizaveta lvanovna Gnevusheva, seorang pensyarah di Universiti Moscow dalam tahun 1965, yang kemudian menarik pula perhatian sejarawan Anthony Reid dalam tahun 1966, yang ketika itu sedang berkhidmat di Universiti Malaya.

Harus dinyatakan di sini pada waktu itu Kelantan sudah pun bebas (walaupun tidak sepenuhnya) dari pengaruh Siam. Pun tradisi menghantar Bunga Mas ke istana Siam masih berjalan.

Penjajah British berminat untuk menguasai penuh Kelantan dan Terengganu (juga Kedah) tetapi sangat berhati-hati untuk tidak memprovokasi Siam yang mana mempunyai hubungan yang erat dengan Perancis.

Tambahan pula Inggeris baru sahaja mencampuri urusan Perak yang berperang dengan Kesultanan Reman (yang berpusat di Gerik, Perak hari ini).

Tidak ramai yang tahu mengenai Kesultanan Reman yang mahu memerdekakan diri dari Patani pada tahun 1810 iaitu apabila Tuan Tok Nik Tok Leh menolak dari menjadi sebahagian jajahan Patani. Reman turut berperang dengan Perak kemudiannya.

Pada tahun 1899, ekoran perang yang panjang, Reman dan Patani menjadi lemah kedua-duanya dan Siam mengambil peluang meluaskan pengaruh. British mengiktiraf kedudukan istimewa Siam tersebut.

Jadi apa yang berlaku di Kelantan? Apa pula yang dilakukan seorang Rusia di Kota Baharu?

Semuanya kerana kuasa Siam semakin mencekam kembali. Ini terjadi apabila Siam melantik Phya Sukhom sebagai gabenor Songkhla dalam tahun 1897.

Phya tidak menggunakan gaya lama untuk menggasak Kelantan dan Patani.

Kaedah Phya jauh lebih sofistikated dan sistematik iaitu dengan memperkenalkan pada tahun 1897 sehingga 1901, antara lain komisioner, pejabat pos, bot kawalan perang dan penjaga sempadan yang diupah dari Denmark. Ini menyebabkan kehadiran Siam jauh lebih dirasai.

Kerabat diraja Kelantan dan Patani mulai resah kerana Raja Senik (yang nampaknya memilih menggunakan nama dan gelar Sultan Muhammad IV (1899-1920), kurang berbuat apa-apa dan tampak tidak berdaya dalam menangani pemerintahan seharian.

Kelemahan ini gara-gara kegagalan baginda menyelesaikan pertikaian sesama kerabat raja yang berlarutan sejak pemerintahan Sultan Muhammad III (bapa Raja Senik) dan Sultan Mansur sehingga memberi ruang pada kerajaan Siam untuk meluaskan semula pengaruh di Kelantan.

Malah, di satu peringkat, Raja Senik ikut meminta bantuan Siam semasa proses peralihan kuasa selepas kemangkatan Sultan Mansur.

Bantuan penjajah tiba

Agar tidak dihambat Siam dan takhtanya pula tidak direbut oleh kerabat lain, Raja Senik, atau seperti yang baginda suka - Sultan Muhammad IV - perlu meminta bantuan asing. Maka Inggeris pun dihampiri.

Ketakutan Sultan Muhammad IV kian besar apabila Siam menahan pemerintah Patani, Raja Abdul Kadir pada bulan Februari, 1902. Isteri Raja Abdul Kadir Patani, adalah ibu saudara Sultan Muhammad IV.

Bantuan penjajah tiba. Sultan Muhammad IV lega sementara. Inggeris akhirnya berjaya menundukkan Siam agar menerima seorang Inggeris sebagai Residen Siam di Kelantan di bawah Perjanjian Siam-Kelantan pada bulan Oktober 1902.

Pun pada bulan Mei 1902, Sultan Muhammad IV melawat Singapura dan merayu supaya Frank Swettenham bagi pihak British menentang Siam.

Frank Swettenham ingin meminimumkan perang, sementara Melayu ingin berperang.

Untuk menenangkan sultan Kelantan yang begitu goyang itu, Frank Swettenham menghantar 100 orang Sikh terlatih untuk mengiringi baginda pulang ke Kota Baharu.

Pada bulan Ogos, kesemua mereka berlayar pulang dengan SS Flevo untuk mengawal takhta Sultan Muhammad IV dari Siam dan sebarang perbalahan dalaman, khusus yang mungkin dibangkitkan oleh Raja Ismail dari Selangor.

Siapa pula Raja Ismail ini? Apa pula kaitannya dengan seorang Rusia yang licik?

Raja Ismail bin Raja Abdullah sudah pun dikenali melalui Perang Saudara di Selangor antara tahun 1866-74.

Ayahandanya Raja Abdullah, telah disingkirkan sebagai penguasa Kelang oleh Raja Mahdi dan Raja Ismail bangkit bergabung tenaga dengan Tengku Kudin untuk merebut posisi.

Inggeris bagaimanapun mengiktiraf Tengku Kudin dan bukan Raja Ismail pada tahun 1874.

Tentulah Raja Ismail berduka lantas merayu agar diberi tempat dalam pentadbiran Selangor. Inggeris tidak mengendahkannya.

Raja Ismail membawa rajuk dan mulai membawa diri menempel kepada Sultan Abu Bakar di Johor.

Raja Ismail (Selangor) dan Sultan Abu Bakar (Johor) nampaknya kurang senang dengan pilihan Kelantan untuk mendekatkan diri dengan Inggeris.

Raja Ismail telah mendapatkan bantuan Mamalyga, sang Rusia misterius di Singapura ini dalam tahun 1902.

Bersama-sama 100 orang, Mamalyga berangkat ke Kelantan sebagai kuasa bebas.

Beliau membawa sama surat daripada Raja Ismail untuk memujuk Sultan Muhammad IV agar menerima bantuannya.

Raja Ismail berharap Sultan Kelantan waktu itu akan tertarik dengan orang Rusia.

Baron Kister, konsulat Rusia di Singapura dengan segera menghubungi Raja Ismail dan cuba memberitahu agar tidak mempercayai Mamalyga.

Rusia pada waktu itu berhasrat menghindar diri dari terlibat dalam pertikaian yang sudah cukup rusuh di rantau Melayu antara kuasa Inggeris, Belanda, Perancis dan Sepanyol.

Raja Ismail menolak permintaan Baron Kister dan membalas bahawa Mamalyga adalah seorang Rusia yang budiman dan orang Melayu mempercayainya.

Usaha mencegah Mamalygin ke Kelantan dengan kapal Flevo pada Ogos 1902 gagal.

Terpukau akan Inggeris

Mungkin sahaja Mamalyga tiba di Kelantan serentak dengan Sultan Muhammad IV bersama-sama 100 orang Sikh bekalan Frank Swettenham.

Mujur mereka tidak bertempur, jika tidak lebih banyak nyawa rakyat terkorban demi mempertahankan kuasa.

Kesimpulannya, Sultan Muhammad IV Kelantan pada tahun 1902 tidak terpesona dengan seorang Rusia. Baginda lebih terpukau akan Inggeris.

Kehadiran 100 orang askar Sikh sebagai wakil British itu berjaya menakutkan Siam dan mungkin Raja Ismail sendiri.

Tiada tahu apa yang terjadi kepada Mamalyga yang diupah Raja Ismail apabila ia tiba di Kelantan. Nama Mamalyga hilang begitu sahaja dari sejarah.

Mungkin Mamalyga berkahwin dengan mana-mana mek di Tumpat atau menyamar belajar fikah masuk pondok di Pulau Melaka.

Tiada rekod dari Konsulat Rusia Tsar di Singapura mengenai Mamalyga sehingga setakat ini.

Beberapa tahun kemudian termeterailah Perjanjian Inggeris-Siam 1909, empat negeri di bawah naungan Siam diserahkan kepada Inggeris.

Bertakhtalah Sultan Muhammad di Kota Bharu dengan bahagianya dan selamat.

Apakah pelajaran untuk kita?

Hari ini, segelintir generasi kita sering mengkhayalkan pemerintahan Melayu-Islam yang kononnya gemilang.

Malangnya, mereka mengabaikan sejarah mengenai perang demi perang saudara, percaturan politik raja-raja Melayu yang salah pada waktu dahulu dan juga campur tangan kuasa asing di rantau ini.

Mereka tergila-gilakan pemerintahan Melayu-Islam yang kononnya berteraskan raja dan ulama yang saling akrab memadu kasih. Perangai meromantikkan episod sejarah dahulu kala ini harus dibanteras di akar umbi.

Tidak, pemerintahan Melayu-Islam dahulu kala bukanlah sama sekali model untuk kita hari ini.

Malah, seperti yang diperlihatkan di atas, keadaan pada waktu itu amatlah celaru sehingga nyaris seorang Rusia pun ikut masuk dalam istana.

Jelas sekali mereka, orang dahulu kala mempunyai masalah dan pergolakan sendiri yang kompleks.

Mereka punya ketakutan yang khusus sehingga kadang membuat pilihan nanar dan tidak ada sebab kita harus menjadi seperti mereka.

Hari ini kita juga punya masalah yang haru. Sehingga tahun 2018, telor masing-masing umat Melayu masih di hujung tanduk ditentukan oleh kancah demi kancah perangai peribadi serta bidak niaga dan kuasa.

Mujurlah ada sebahagiannya mengenal demokrasi pada 9 Mei 2018.

Bolehlah kita berpijak di bumi nyata dan belajar untuk menguruskan negeri menurut realiti hari ini.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: 1 | 2

5 Sebab Wanita Geli Lelaki ‘Terlebih’ Sado

5 Sebab Wanita Geli Lelaki ‘Terlebih’ Sado

Ketika ini seakan-akan menjadi trend sebahagian besar lelaki maskulin memberi perhatian terhadap penjagaan bentuk badan yang sanggup memperuntukkan sebahagian daripada wang gaji bulanan untuk membeli protein, suplemen, membayar jurulatih dan fi pusat kecergasan. Semuanya kerana mahu mendapatkan bentuk badan yang seksi dan berotot.

Lelaki Sado

Kebanyakan lelaki beranggapan, bentuk badan yang menarik terutamanya jika memiliki six pack menjadikan mereka lebih maco, segak dan lebih berketrampilan berbanding lelaki berbadan ‘gelebeh’, boroi atau kurus kering.

Tapi jangan terlalu taksub dengan bentuk badan sasa kerana kelebihan itu sebenarnya gagal menarik perhatian segelintir wanita.

Sesetengah wanita menganggap, bentuk dada lelaki yang terlalu menonjol dan berketul menyamai payudara mereka dan ia menggelikan.

5 sebab ini membuatkan lelaki badan sasa itu mungkin akan dipandang sebelah mata oleh seseorang wanita.

1. Dada lelaki seperti ada payudara. Yaks!

Bahagian dada lelaki antara kawasan paling menonjol jika mereka memakai pakaian body fit. Bonjolan pada dada kelihatan seperti payudara wanita. Segelintir wanita berasa geli melihat bahagian dada itu malah sesetengah payudara wanita lebih kecil berbanding dada lelaki.

Kalau anda lelaki yang berasa hebat pada bahagian dada, ingatlah ia sesuatu yang menggelikan bagi wanita.

2. Badan macam raksasa berjalan macam angsa

Bab ini sedikit kelakar. Pernah atau tidak anda menemui lelaki jenis ini? Badannya berketak-ketak macam ‘raksasa’ tapi selepas melihat dia berjalan, lenggangnya mengalahkan itik angsa!

Lelaki macam ini mempunyai konflik dalam dirinya sendiri. Imej yang ditonjolkan sebagai lelaki maco tidak mampu dibawanya. Setiap langkah yang diatur membuatkan wanita akan mentertawakannya.

Wanita akan berasa geli dengan penampilan sebegini. Jangan terlalu nak nampak terlebih maco tetapi hakikatnya terdapat kekurangan lain yang lebih menonjol. Lelaki seperti ini memadai tidak terlalu berlebih-lebihan membina otot badan.

3. Tewas di ranjang layu selepas lima minit

Segelintir wanita mungkin melihat lelaki yang banyak mengangkat berat di gim itu ‘power’ jika di ranjang.

Daripada sudut psikologi ada yang melihat jika mereka mampu mengangkat besi seberat 50 kilogram mereka akan kelihatan hebat ketika di katil untuk bersama dengan pasangan.

Jawapannya ialah ‘no’!

Ada pendapat mengatakan, lelaki maskulin sentiasa tewas di ranjang akibat terlalu banyak mengambil suplemen.

Ada wanita pernah menangis pada malam pertama perkahwinannya kerana suami berbadan sado itu cepat 'layu', hanya mampu bertahan kira-kira lima minit sahaja.

Ini kerana ejakulasi pramatang kerap berlaku kepada lelaki-lelaki sado kerana tabiat tidak sihat mereka seperti terlalu banyak mengambil suplemen.

Selain itu pengambilan dadah steroid untuk membina otot dengan pantas turut berisiko menjadi penyumbang kerosakan sperma lelaki, silap-silap boleh mandul.

4. Gay

"Wah menarik betul badan lelaki tu. Untung kalau dia jadi suami aku!” Ayat itu mungkin akan terkeluar daripada mulut seseorang wanita saat melihat lelaki yang memiliki ciri-ciri idamannya melintas depan mata bersama seluar sukan dan baju singlet ketat.

Tapi awas jangan terpedaya kerana orientasi seks lelaki itu tidak semestinya kepada wanita! Namun penampilan itu untuk menarik perhatian orang lain.

Tidak mustahil sejam kemudian anda melihat pemuda itu berpegangan tangan dengan pasangan sejenisnya.

Jadi geli tak? Tentulah ya!

5. Perasan dan kuat berangan

Seseorang wanita yang keluar dengan pasangan tentu mahukan perhatian. Tapi kalau pasangannya seorang lelaki kacak berbadan segak, tentu ia boleh memenatkan wanita yang tinggi sifat cemburu.

Lelaki seperti ini segelintirnya suka kawal pergerakan jika berada di khalayak. Mereka fikir dengan raut wajah dan badan menarik itu, seluruh mata manusia akan memandangnya.

Jadi, serba serbi dia asyik kontrol. Ketika berjalan kontrol, masa makan kontrol dan nak bercakap dengan kekasih sendiri pun masih kontrol.

Sikap perasan lebih inilah merimaskan golongan wanita. Malah sesuatu yang tidak boleh diterima dek akal apabila mereka suka berangan kononnya mempunyai ‘saham’ tinggi. Geli!

Adakah lima contoh ini terdapat pada pasangan lelaki atau sahabat anda? Jadi, anda fikirlah!

BACA INI JUGA:

sumber: mstar

Kisah Bagaimana Orang Cina 'Melabur' Untuk Pendidikan Anak-anak

Kisah Bagaimana Orang Cina 'Melabur' Untuk Pendidikan Anak-anak

Sudah lama saya perhati jiran saya ini. Jiran saya kaum Cina. Mula-mula segan mahu tanya, tetapi rasa ingin tahu itu ada. Sepanjang cuti sekolah ini, setiap hari van sekolah akan datang untuk ambil anaknya ke sekolah. Saya tahu sebab bunyi hon akan dibunyikan.

Melabur Pendidikan Anak

Seminggu 5 kali. Pukul 8 pagi hingga 11 pagi, pastinya sekolah swasta. Oleh sebab saya mahu tahu dan belajar sesuatu, saya tegur dia sewaktu dia sedang membasuh kereta. Selepas berbual biasa, saya terus bertanyakan perihal anaknya.

Katanya, memàng mereka hantar anak ke sekolah walau musim cuti. Duduk rumah pun asyik main tak tentu.

Di sekolah bukan belajar sahaja, ada aktiviti untuk bakat. Anaknya berumur 6 tahun bahkan semua anaknya dia buat macam itu.

Saya tanya kos perbelanjaan dan dia senyum saja.

“Azam, kami sanggup makan bubur asal anak jadi pandai. Kereta ini pun sudah habis bayar.

"Dalam rumah saya kosong sahaja. Rumah memang mahal sebab tempat di sini bagus untuk pelaburan. Awak berbelanja habis beli barang mahu pakai berapa tahun?

"Azam beli perabot mahal, dua tiga tahun sudah tukar. Harga bukan makin naik, dan pastinya Azam beli mahal untuk diguna pakai sampai reput. Bestkah?

"Beli biasa sahaja nanti rosak cepat tukar baru. Itupun jika perlu sahaja. Tidak perlu tidak payah beli, utamakan anak-anak.

"Kita kena tahu apa perlu dan apa kita hendak. Bukan semua kita hendak itu perlu. Azam kena pandai bezakan. Nanti membazir. Itu satu pelaburan.”

Sambungnya lagi, “Kereta perlu ada 2. 1 pakai hari-hari. Cari kos maintenance rendah.

"1 lagi mahal sikit tak apa. Itu untuk jalan jauh. Bukan selalu. Jadi sekali

servis memang mahal cuma bukan selalu.”

Anak-anaknya dihantar ke kelas berenang, ping-pong dan macam-macam lagi. ‘Have fun‘ kata dia.

Nanti dia pandai ilmu saja tapi jadi budak pendiam. Takut jumpa orang sebab tidak ada sosial dan kemahiran.

Buat itu ini tidak pandai. Bijak saja tidak cukup zaman sekarang.

“Anak kita memang kena ada sijil SPM. Lepas itu kita sudah tetapkan siapa anak kita mahu jadi. Ambil itu belajar yang principal.

Kemahiran matematik itu mesti. Pergi hantar ‘private class‘. Belajar asas ‘education' untuk bidang anak kita mahu jadi apa nanti.”

Sungguh terkesan apabila mendengar tentang pelaburan diri mereka. Sanggup makan bubur dan belanja duit kepada yang sepatutnya.

Bagi pelajar cina, air masak terisi dalam botol besar memang tidak boleh tinggal dan mereka hanya makan di rumah.

Bila ditanya, katanya, “Kita tak suka lambat”.

"Sekolah dan sijil itu memang wajib ada. Tapi lepas itu kita belajar apa kita mahu jadi dan habiskan cepat.

"Mahal pun tidak apa. Kami kurang dapat bantuan. Pakcik, makcik semua tolong bagi duit.

"Nanti habis belajar bukan terus jadi bos. Kita pandai pun kena mula kerja daripada level kuli. Cari pengalaman.

"Tapi tidak akan kerja dengan orang sampai mati. Buka bisnes dan cari duit banyak-banyak untuk tolong anak-anak pakcik, makcik yang bagi kita pinjam duit dulu.”

Contoh sikap dan komitmen yang sangat luar biasa.

BACA INI JUGA:

sumber: thevocket


Kisah Dihumban Ke Neraka Walaupun Solat 5 Waktu

Kisah Dihumban Ke Neraka Walaupun Solat 5 Waktu

Para Malaikat menyeretnya melalui orang ramai, menuju ke arah api neraka yang menjulang-julang. Dia menjerit sekuat hati dan tertanya-tanya jika ada mana-mana orang yang mampu membantunya.

Solat 5 Waktu

Dia menjerit lagi sambil menyebutkan semua kebaikan yang telah dia lakukan; Bagaimana dia sering membantu ibu bapanya. Bagaimana dia tidak pernah meninggalkan puasanya, tidak pernah tinggal solatnya, selalu bersedekah dan rajin membaca al-Quran.

Dia terus menjerit lagi, namun tiada seorang pun tampil membantu. Para malaikat terus mengheret, dan mereka semakin hampir dengan kawah api neraka. Dia menoleh ke belakang dan ini rayuannya yang terakhir.

Dia teringat Rasulullah SAW pernah bersabda;

“Bagaimana bersih seseorang yang mandi di sungai lima kali sehari dari kotoran, begitu juga bersihnya orang yang melaksanakan solat lima kali seharian daripada dosa-dosa mereka.”

Dia menjerit lagi sekuat tenaga, “Solat saya? Solat saya? Doa saya?”

Kedua-dua malaikat tidak berhenti dan terus mengheretnya ke tepi jurang neraka. Bahang api neraka yang membahang terasa menyambar mukanya. Dia menoleh ke belakang sekali lagi, tetapi matanya telah kering dari sebarang harapan dan dia tidak mempunyai apa-apa lagi yang tinggal di dalam dirinya.

Salah satu malaikat menolak dia masuk ke kawah neraka Jahannam. Dia mendapati dirinya terawang di udara dan sedang jatuh ke dalam kawah api. Dia mandapati dirinya terus melayang dan akhirnya jatuh ke dalam kawah api neraka yang menjulang tinggi selama 70 tahun.

Setelah 70 tahun sengsara dibakar api, tiba-tiba terasa tangannya diraih oleh satu lengan. Dia ditarik kembali ke atas.

Apabila dia mengangkat kepalanya, dia melihat seorang lelaki yang sangat tua dengan janggut putih yang panjang memegang tangannya.

Lelaki itu kelihatannya sangat daif. Sambil menyapu debu di tubuhnya dia bertanya lelaki tua itu:

“Siapakah anda?”

Orang tua itu menjawab, “Akulah solat kamu.”

“Wahai solatku, saya telah terjunam ke dalam neraka selama 70 tahun! Kenapa setelah tubuh saya hangus dan hampir berkecai baru kamu datang selamatkan saya? Kenapa?”

Orang tua itu tersenyum sambil menggelengkan kepalanya dan berkata:

“Adakah awak lupa? Selama hidup di dunia dulu awak sentiasa laksanakan saya pada saat-saat akhir!”

"Setiap kali Maghrib awak beri tumpuan pada drama tv dulu..

“Zuhur awak lewat. Awak utamakan kerja dari saya. Asar dan Subuh selalu di hujung waktu.

“Awak ingatkah itu semua?”

Kata-kata lelaki tua itu mengejutkannya dari tidur. Dia terjaga dan mengangkat kepalanya dari bantal. Seluruh tubuhnya basah oleh peluh ketakutan.

Ketika itu juga dia mendengar laungan azan dikumandangkan menandakan masuknya waktu Solat Subuh.

Dia bangun dengan cepat dan mengambil wudhu. Dia berjanji tidak akan melengahkan solat lagi. Dia sedar kesalahannya kini. Dia telah mendapat petunjuk yang maha benar.

*Petikan dari ceramah Ustaz Faqih Razak di Masjid Tanjung Piandang.

Wallahu a'lam.

BACA INI JUGA:

-SENTIASAPANAS.COM

Thursday, January 10, 2019

SBDJ Siri 10: Mencari Harta Karun

SBDJ Siri 10: Mencari Harta Karun

Mahu atau tidak mahu, saya mesti patuh pada perintahnya. Saya pun memilih beberapa pasang pakaian yang saya fikirkan sesuai untuk dipakai waktu malam.

Mencari Harta Karun

“Berapa lama kita di sana tok,” tanya saya sambil memasukkan pakaian ke dalam beg. Datuk yang sedang menghisap rokok daun berhenti dari menulis rajah di atas kertas putih.

Memang itu perangai datuk. Kalau mahu berjalan ke mana-mana. Dia buat rajah dalu. Dia mahu mempastikan, apakah perjalanannya itu membawa tuah atau sebaliknya.

“Boleh jadi sehari dua, boleh jadi seminggu dua, bergantung pada keadaan.”

“Keadaan mana tok?”

“Kalau banyak burung yang kita dapat lamalah kita di sana.”

“Bila kita nak bertolak.”

“Aku fikir pagi esok saja.”

Datuk bangun. Dia turun ke tanah. Saya kira datuk bersiap-siap untuk pergi ke kampung bunian menemui isteri mudanya. Dugaan saya tidak tepat. Datuk cuma pergi ke belakang rumah melihat ayam dalam kandang.

Barang yang mahu dibawa sudah saya kemaskan. Saya melangkah ke anjung rumah. Sebuah kereta tua masuk ke dalam kawasan rumah datuk. Bila pintu kereta dibuka, keluarlah seorang lelaki Inggeris. Kepalanya separuh botak. Saya kenal orang Inggeris itu. Namanya Mr. Brown pengurus ladang getah, Sungai Bruas.

Mr. Brown terus mendapatkan datuk di belakang rumah. Pengurus ladang getah itu, memang selalu menemui datuk kalau dia mengalami silap urat.

Kalau diserang penyakit dia lebih dulu meminta ubat cara kampung dari datuk. Kalau tidak baik baru dia menemui doktor.

Pernah dia menawarkan kerja di ladang getah pada saya. Dia suruh saya jadi kerani. Permintaan itu saya tolak. Kedatangannya pada hari itu, tidak saya perhiraukan. Saya agak tentu dia silap urat dan minta datuk mengurutnya. Kalau tida masakan dia datang, fikir saya.

Lama juga Mr.Brown bercakap dengan datuk di belakang rumah. Mr. Brown cukup fasih bercakap Melayu. Dia boleh membaca dan menulis jawi. Pernah dia bercerita pada saya yang dia lama duduk di Plastine dan Iraq masa perang dunia yang pertama dulu.

Saya terus baring di anjung rumah. Mr.Brown naik ke atas anjung bersama datuk. Saya bangun dan duduk bersila macam mereka. Mr.Brown membuka peta.

“Di sini, harta itu ada di sini,’ ujarnya dengan tenang sambil menandakan kawasan dalam peta dengan pensil merah. Datuk termenung panjang.

“Kawasan itu jauh, kalau silap masuk kita sesat dalam hutan,” tingkah datuk sambil memeluk lutut. Mr.Brown tersenyum. Dia melagakan gigi atas dengan gigi bawahnya beberapa kali.

“Minggu dulu mandor saya pergi menembak ayam hutan, mereka jumpa kubur besar dalam hutan, macam kubur raja. Ada emas atas kubur, tapi mandor saya tidak berani ambil,” jelas Mr.Brown lagi,

“Saya dah minta kebenaran dari tuan OCPD untuk masuk kawasan itu dan membawa barang untuk meletupkan gua.”

Datuk terdiam. Saya mula resah. Saya tahu kawasan yang disebutkan oleh Mr.Brown itu ialah kawasan kerajaan Melayu Bruas lama yang sekarang menjadi hutan belukar.

Satu ketika dahulu, pernah orang-orang kampung yang sesat dalam hutan kerana mencari rotan terjumpa kawasan istana lama, lengkap dengan taman bunga, rumah batu dan kawasan permakamam di raja.

Bila orang itu pergi untuk kedua kalinya mencari kawasan tersebut, kawasan itu tidak dijumpai lagi. Malah orang pergi itu, diserang demam panas berbulan-bulan lamanya.

Menurut cerita arwah Haji Hamid, kawasan itu cukup keras, Mahkota, emas berlian dan pedang kebesaran raja-raja dahulu tertanam di situ. Orang-orang yang jujur dan ikhlas saja yang selalu terjumpa kawasan tersebut.

Arwah Haji Hamid dua kali terjumpa kawasan tersebut. Anehnya, kalau sesiapa yang berniat mahu mencarinya, sampai kiamat tidak akan terjumpa.

“Saya sudah lama menyiasatnya, sejak saya datang,” Mr.Brown bersuara sambil melihat peta. Datuk terus tersenyum.

“Di kawasan ini, dulu ada kota kerajaan Gangga Negara,” Mr.Brown tanda peta dengan pensil merah.

“Dari sini, kita boleh pergi ke Padang Serai, dari situ kita pergi ke Segari. Tidak jauh dari situ ada kawasan kerajaan Manjong,” Mr.Broin berhenti menandakan peta dengan pensil merah.

Saya gigit bibir. Datuk kelihatan tenang. Wajah Mr.Brown nampak cemas. Mata merenung ke peta kembali. Kemudian Mr.Brown bercerita tentang kerajaan Ganga Negara. Dia tahu semua kawasan dan wilayah kekuasaan kerajaan Gangga Negara.

“Dari mana awak tahu?” Soal datuk.

“Di London, di sana semua fasal sejarah Malaya ada di muzium, saya datang ni bukan mahu jadi manager, tapi saya mahu siasat negeri awak.”

“Kalau dapat awak mahu buat apa?”

“Barang-barangnya saya bawa ke London, kemudian saya tulis buku sejarah negeri awak,” ujar Mr. Brown dengan bangga.

Kerana terlalu pandai Mr. Brown memujuk, datuk mahu membantunya mencari kesan sejarah lama itu.

Mr.Brown berjanji dengan datuk kalau mereka berjumpa dengan barang-barang purba dia tidak akan mengambilnya. Dia sekadar mahu melihat dan menyiasat serta mengambil gambar.

Mr.Brown juga akan membawa barang makanan yang secukupnya selama penyiasatan itu diadakan. Selain daripada itu Mr.Brown akan membawa tiga orang pekerjanya untuk turut sama dalam rombongan itu. Dalam tilikan datuk, rombongannya akan bertemu dengan kawasan yang dihajati oleh Mr.Brown itu.

Akhirnya, rombongan itu berangkat ke tempat yang dituju. Saya cukup gembira, kerana saya tidak dikecualikan dari rombongan tersebut. Rombongan kami bertolak dari kawasan rumah datuk, kira-kira pukul enam pagi dengan sebuah jeep menuju ke sawasan pecah batu di Seputih.

Dari situ berjalan kaki menuju ke tepi Sungai Bruas. Kami menaiki sebuah sampan kecil yang berbumbung. Sebelum itu, Mr.Brown dan datuk sudahpun pergi ke Kampung Kota melihat tulisan di batu nisan lama yang terdapat di situ.

Menurut Mr.Brown, mencari kawasan lama itu lebih baik melalui sungai daripada mengikuti jalan darat. Ada dua sebab, kenapa Mr.Brown memilih ikut sungai, pertama mudah dan kedua orang-orang dahulu selalu membuka kawasan di tepi sungai.

Lama juga bersampan di Sungai Bruas, akhirnya Mr.Brown menyuruh orang yang mendayung sampan rapat ke tepi. Dari situ mendaki satu kawasan bukit kecil. Kami berkhemah di situ.

Dua hari kami di situ, masuk hari yang ketiga, salah seorang daripada rombongan kami jatuh sakit. Dia menjerit tidak tentu arah. Bagaikan kemasukan hantu. Puas datuk mengubatnya. Sakitnya tidak juga mahu hilang.

Matanya merah. Lidahnya sentiasa keluar. Mr.Brown mengambil keputusan untuk menghantar pulang dua orang pekerjanya itu. Sepeninggalan Mr.Brown, datuk dan saya hanya duduk di dalam khemah saja.

Malam itu, saya tidak dapat tidur dengan lena. Macam-macam suara yang saya dengan. Datuk duduk di kanan saya, sekali-sekala, saya dengar datuk bercakap. Dengan siapa dia bercakap, saya tidak pasti. Tetapi suara orang yang dilawannya bercakap jelas kedengaran.

Orang itu menyuruh datuk berpindah ke tempat lain, kerana kawasan yang diduduki sekarang kawasan larangan. Datuk berjanji dengan orang itu akan pindah pada pagi esok.

Lepas itu, saya lihat datuk tidur dengan lena hingga ke pagi. Lebih kurang pukul sepuluh pagi Mr.Brown pun tiba. Dia membuka peta lagi. Mr.Brown sukat peta dengan kayu pembaris.

“Kita masuk ke dalam lagi,” katanya.

Tanpa membantah datuk dan saya mengikut perintahnya. Satu kawasan lapang kami cari. Berkhemahlah kami di situ. Sementara menanti matahari terbenam, Mr.Brown mengutip dan meneliti tanah dan batu yang ditemuinya di kawasan tersebut.

“Kita berada di kawasannya,” kata Mr.Brown pada datuk sambil membaca buku tebal yang dibawanya.

Setiap kali dia dapat tanah atau batu dia buka buku. Matahari pun terbenam di kaki langit. Datuk ambil air sembahyang dari kolam yang terdapat di situ. Airnya cukup jernih.

Lepas sembahyang datuk dan Mr.Brown terus masak. Lepas makan Mr.Brown baca buku. Lampu gasolin yang terpasang dalam khemah cukup terang.

Dalam ingatan saya, sudah tiga malam kami berkhemah dalam hutan tebal. Lebih kurang pukul sembilan, saya sudah tidak berdaya membuka kelopak mata. Saya mengantuk betul.

Saya terus tidur dan bermimpi menemui seorang perempuan yang cantiknya tidak dapat saya lukiskan. Dia bagaikan gadis bangsawan duduk berjuntai kaki di balairong seri sambil membawa lagu-lagu Hindu dengan irama yang merdu dan halus.

Dia bangkit lalu mendekati saya. Dia mengajak saya berjalan mengelilingi istana. Kulitnya cukup halus. Bau badannya semerbak wangi. Senyum sentiasa terukir di bibir nipisnya.

“Siapa namamu,” tanya saya.

Dia tidak menjawab. Jejari tangannya yang lentik terus mengheret tangan saya menuju ke pokok besar. Saya patuh pada arahannya, berjalan di rerumput yang menghijau di depan istana.

“Ke mana?” soal saya. Dia tidak menjawab, tapi jari telunjuknya menuju ke arah pohon beringin rendang.

“Siapa namamu?” ulang saya lagi. Dia berhenti berjalan.

“Dayang pada Tuan Puteri Zarid Gangga,” dia menjelaskan pada saya. Fahamlah saya sekarang. Rupanya dia orang kanan dalam istana kerajaan Gangga Negara.

Sebaik saja sampai di bawah pohon beringin. Dia menghilangkan diri. Saya terkejut dan terbangun. Saya lihat Mr.Brown masih lagi membaca buku dan meneliti ketul batu dan tanah yang dikutipnya.

Datuk masih lagi mengadap asap kemenyan yang dibakar. Saya ceritakan pada mereka apa yang saya alami dalam masa tidur tadi.

Pagi esoknya, kami mencapai kata sepakat untuk menggali tanah di bawah pohon beringin. Lima jam kami mengali tanah. Akhirnya kami menemui sebuah peti besi yang dibuat dari logam kekuningan.

Mr.Brown segera membuka peti itu. Datuk terkejut, kerana dalam peti itu terisi tengkorak manusia. Kami berhenti menggali, kerana hari sudah beransur gelap. Datuk membungkus tengkorak itu dengan kain kuning.

Malam pun tiba. Datuk mengusap tengkorak itu dengan kemenyan. Dua tiga kali dia meletakkan tengkorak itu atas peti dan merimbasnya dengan kain hitam.

“Tengkorak ni tak ada apa-apa,” kata datuk pada Mr.Brown.

Mr.Brown anggukkan kepala. Tengkorak itu diletakkannya di dalam peti. Lepas itu kami masuk ke dalam kelambu masing-masing.

Menjelang tengah malam, saya terjaga. Bagaikan ada tangan yang mengoyangkan bahu kanan saya.

Yang pertama kali saya dengar, suara wanita menyanyi sayup-sayup di selang-seli dengan bunyi gendang. Nyanyian dan bunyi gendang makin lama makin dekat. Kemudian menghilang.

Cuma yang kedengaran bunyi desiran angin yang kuat. Di tingkah dengan bunyi raungan harimau, suara burung tukang dan jampok bersahut-sahutan. Terfikir juga oleh saya untuk membangunkan Mr.Brown dan datuk. Bila saya kaji dalam-dalam, mereka tidak perlu dibangunkan.

Saya jatuhkan kepala atas bantal. Desir angin dan nyanyian burung hutan terhenti. Saya terdengar suara orang memanggil saya di luar khemah. Saya amati suara itu. Datangnya dari arah pohon beringin. Suara itu cukup jelas.

Saya membuat keputusan untuk keluar dari perut khemah dan menuju ke pohon beringin seorang diri. Di luar khemah, saya dongak ke atas. Malam memang tidak berbintang, tetepi awan kelihatan cukup bersih. Angin malam bertiup cukup keras. Pepohon di kiri kanan khemah bagaikan digoyang orang.

Tiba-tiba saja hati saya membuat keputusan tidak mahu pergi ke bawah pokok beringin. Saya masuk ke dalam belukar di kanan khemah, saya mahu mengintip dari situ. Saya renung ke arah datangnya suara wanita itu.

Badan saya mengeletar. Sepasang mata saya melihat tubuh seorang wanita berdiri tanpa kepala di situ. Tanpa saya sedari,dahi saya berpeluh, kawasan tempat wanita itu berdiri cukup terang.

Saya membuat keputusan untuk masuk ke dalam khemah. Bila saya mahu melangkah, kepala lutut saya terasa cukup lemah. Saya jatuh terduduk atas tanah. Mata saya masih lagi tertumpu ke arah pohon beringin.

Saya saksikan sebuah kepala bergolek-golek atas tanah, kemudian memanjat tubuh wanita itu, lalu bercantum dengan leher. Dalam sekejap mata wanita itu hilang. Kemudian berdiri betul di depan saya.

Tuhan saja yang tahu perasaan saya ketika itu. Bumi serasa tidak ada. Peluh terus menguasai seluruh badan saya. Suara sudah tidak mempu keluar dari kerongkong. Dalam saat yang payah itu, segera wanita itu hilang. Berdiri di bawah pohon beringin hilir mudek di situ. Memang sahlah, wanita itulah yang saya temui dalam mimpi saya yang lalu.

Kemudian wanita itu pergi ke khemah yang didiami oleh Mr.Brown dan datuk. Lebih kurang lima enam langkah mahu sampai ke gigi khemah, dia berpatah balik. Menuju ke kolam tempat datuk mengambil air sembahyang.

Bila wanita itu berdiri di depan kolam, dia terus menjerit. Saya lihat kepalanya jatuh ke tanah, berguling-guling menuju ke pangkal pohon beringin. Tubuh wanita itu segera ghaib.

Serentak dengan itu, saya terdengar suara orang bergaduh, saya terdengar suara jeritan gajah. Saya terdengar bunyi pedang belaga. Semuanya tidak kelihatan dan berlaku di kawasan dekat khemah kami.

Bila semuanya tidak kedengaran lagi, saya lihat ada tubuh lelaki hitam memeluk seorang gadis genit, tanpa baju dan kain. Lelaki hitam membalut tubuh wanita itu dengan jubah yang dipakainya. Wanita dibawanya naik ke atas belakang gajah. Mereka bergerak ke selatan bersama dengan bunyi gendang perang yang hebat.

Sementara itu fajar pagi pun tiba. Saya masih tertiarap atas tanah. Seluruh badan saya terasa lemah. Datuk yang bangun untuk sembahyang subuh bagaikan tahu yang saya tidak ada dalam khemah. Selesai sembahyang subuh dia pun mencari saya.

“Kenapa begini,” tanya datuk terkejut melihat saya terbaring atas tanah.

Saya mahu menceritakan semua yang saya lihat, tapi suara saya tidak keluar. Datuk kembali ke khemah mengambil kain hitam. Barulah saya boleh bergerak dan bersuara.

Datuk memimpin saya ke khemah. Dia merungut dan marahkan saya, kerana saya keluar tidak memberitahunya.

Semua yang saya lihat saya ceritakan pada Mr.Brown dan datuk dengan jelas dan terang. Ketika Mr.Brown membuka peti besi kecil tempat menyimpan tengkorak, dia terkejut. Tengkorak yang berbungkus kain kuning, hilang entah ke mana.

Datuk mencadangkan pada Mr.Brown supaya menggali tanah di sekitar kawasan kolam. Mr.Brown tidak setuju, dia lebih suka kalau air kolam itu di keringkan, kemudian perut kolam itu digali.

Datuk terima cadangan itu, kerana mengeringkan air kolam itu bukanlah satu perkara yang sukar. Mr.Brown sendiri ada membawa jentera untuk mengeringkan air.

Lebih kurang pukul lapan pagi, kerja mengeringkan kolam pun bermula. Satu jam kemudian air dalam kolam pun kering. Saya terkejut, rupanya kolam itu dibuat dari batu gunung yang tersusun rapi. Batu bahagian permukaannya sudah banyak yang pecah serta ditimbus oleh tanah.

Datuk menduga, kolam itu tempat mandi dan tempat bermain keluarga bangsawan dalam zaman pemerintah Gangga Negara.

Bila air kolam sudah kering betul. Datuk, Mr.Brown dan saya pun memecahkan lantai kolam. Tanah di situpun kami gali. Barang-barang yang kami temui di dalam kolam itu ialah rangka manusia dan peti besi yang berisikan tengkorak yang hilang dari simpanan Mr.Brown.

Dengan perintah datuk tulang-tulang serta tengkorak itu ditanam semula dalam satu lubang dekat pokok meranti. Pada sebelah malamnya, datuk membuat keputusan yang nekad. Dia mengajak saya dan Mr.Brown tidur dekat kolam yang sudah dikeringkan itu.

“Ini merbahaya,” bantah Mr.Brown.

“Kalau awak mahu mencari apa yang awak hajat, awak kena ikut saya,” suara datuk meninggi. Matanya mula merah.

“Ok saya ikut.”

“Begitulah,” datuk pun ketawa berdekah-dekah.

Sepanjang malam di tepi kolam itu, datuk terus menerus membakar kemenyan. Dia memakai baju hitam, seluar hitam. Sekali pandang, datuk bagaikan hulubalang kerajaan Melayu Melaka.

Datuk terus membaca mentera di depan asap kemenyan. Sekali-sekala dia membuka silat. Tiba-tiba datuk diam. Matanya pejam. Badannya tidak bergerak. Asap kemenyan berkepul-kepul naik ke udara. Datuk rebah di situ. Saya segera mahu menghampirinya.

“Jangan, dia menerima pertunjuk dari orang lain,” kata Mr.Brown sambil memegang bahu kanan saya.

Malam terasa cukup dingin dengan tiupan angin yang sungguh kencang. Suara burung hantu dan salakkan anjing serigala kedengaran sayup-sayup.

Datuk melompat dan terus duduk bersila memandang muka Mr.Brown sambil berkata, "Seorang pengasuh puteri datang pada aku, dia mengucapkan terima kasih, kerana kita telah mempersatukan tubuh dengan kepalanya serta menanam jasadnya dengan penuh hormat.

"Ketika aku tanya kenapa dia mengalami nasib buruk itu. Dia telah menerangkan pada aku, kepalanya telah dipancung oleh angkatan Raja Suran, badannya dicampakkan ke dalam kolam, kepalanya ditanam di bawah pokok beringin.

"Dia ingin membalas jasa kita semua. Dia telah memberitahu pada aku di mana barang-barang Raja Gangga Negara, seperti pedang kebesaran, mahkota dan emas berlian ditanam.”

“Di mana tempatnya tok,” tanya saya tidak sabar.

“Sabar, esok saja aku ceritakan.” Suara datuk tenang. Lepas itu dia mengajak kami kembali ke khemah semula.

Pagi esoknya, datuk menyuruh saya dan Mr.Brown meruntuhkan khemah. Kemudian turun ke dalam sampan. Dari situ kami menyusul tebing sungai Bruas yang penuh dengan buaya liar ke sampai ke Tanjung Ara - dekat Pangkalan Bharu.

Dari situ kami mendarat di satu kawasan berbukit. Hutannya cukup tebal. Kami berjalan ke arah matahari jatuh hingga bertemu dengan kawasan tanah yang agak tinggi yang gondol itu penuh dengan batu-batu pejal. Datuk menyuruh kami mendirikan khemah di situ.

“Puteri itu telah membawa aku ke mari,” kata datuk.

“Menurutnya Raja Gangga Negara, Shah Johan telah menanam hartanya di sini. Jauh dari pusat kerajaannya, dia melakukan ini, sebelum kepalanya dipancung oleh Raja Suran,” datuk pun berhenti bercerita. Mr.Brown ketawa berdekah-dekah. Barang yang dicari dan dihajati sudah ada didepan matanya.

Kawasan itu segera kami bersihkan. Saya terjumpa patung ular yang dibuat dari tembaga dipuncak tanah tinggi itu. Patung ditegah oleh datuk dari dijamah oleh sesiapa pun. Kata datuk di bawah perut patung itulah tempat harta karun Raja Gangga Negara.

Mr.Brown pun menyiapkan alat peletup. Menurutnya pendapatnya harta-harta itu tertanam lebih kurang sepuluh meter ke dalam bumi. Bila dinamit yang dipasang itu meletup, boleh menolong melongsurkan tanah sedalam enam atau lapan meter, kemudian tanah itu akan digali. Datuk setuju dengan cadangan itu, masa untuk meletupkan kawasan itu ditetapkan pada tepat pukul empat petang.

Tepat pukul empat petang, terdengarlah satu letupan bergema dalam hutan tebal, batu-batu berterbangan, pokok-pokok habis tercabut. Tanah tinggi disitu kelihatan rata.

Mr.Brown cukup gembira, dia tidak putus-putus ketawa. Bila ketawanya berhenti, Mr.Brown terkejut besar, dari kawasan tanah yang diletupkan itu keluar beratus-ratus ekor ular sebesar peha menyerang kami.

Saya, datuk dan Mr.Brown lari lintang pukang menuju ke perahu untuk menyelamatkan diri, semua barang-barang kami tinggalkan. Sampai di perahu saya lihat dahi Mr.Brown berdarah. Seluarnya habis koyak.

Kami menyusul tepi sungai Bruas menuju ke arah Pekan Pangkalan Bharu, Ketika itu senja sudah pun tiba, hari sudah mula gelap. Perahu kami tiba-tiba tidak boleh bergerak. Air sungai melimpah dengan tiba-tiba.

Tebingnya yang tinggi ditenggelami air. Datuk nampak cemas. Kemudian dia senyum dan berkata, “Kalau kami salah ampunkanlah.”

Sehabis sahaja datuk berkata, dari perut sungai timbul seorang lelaki bertubuh besar dengan pakaian kebesaran seorang raja. Anehnya semua pakaiannya itu tidak basah, mestipun ia baru timbul dari dasar sungai. Wajahnya kelihatan bengis. Malam yang gelap itu bertukar menjadi cerah bagaikan siang hari. Datuk terus berhadapan dengan orang itu.

“Awak mesti tahu, tidak seorangpun yang boleh mengambil harta kerajaan Gangga Negara. Itu milik kami. Awak sebenarnya manusia bodoh, kalau ular yang keluar dari lubang yang awak letupkan itu awak tangkap, ular-ular itu akan bertukar menjadi harta karun dan emas. Awak mesti menerima hukuman kerana mengkhianati kami,” lelaki bertubuh besar bersuara.

Datuk masih berhadapan dengannya, cukup tenang menghadapi suasana yang gawat itu. Datuk mengenakan tanjak di kepala dan mencabut keris dari pinggang.

Tamat siri 10/284

BACA: SBDJ Siri 9: Panjat Bilik Anak Dara
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-SENTIASAPANAS.COM