Thursday, January 10, 2019

Wang Punca Amerika Syarikat 'Letak Jawatan' Sebagai Polis Dunia!

Wang Punca Amerika Syarikat 'Letak Jawatan' Sebagai Polis Dunia!

Tidak lama dahulu, teringat kenyataan Presiden George W. Bush dalam satu majlis di Amerika yang dipaparkan dalam berita dan antara kenyataan beliau yang tidak boleh dilupakan ialah, pengisytiharan bahawa Washington merupakan polis dunia yang tidak boleh dicabar penguasaannya.

AS polis dunia

14 tahun selepas itu, kenyataan itu dimainkan semula tetapi dalam bentuk berbeza oleh Donald Trump semasa mengadakan lawatan mengejut ke kem tentera Amerika di Iraq.

Kenyataan beliau mudah saja: Amerika bukan lagi polis dunia. Ia satu kenyataan yang mengejutkan tetapi jika melihat kantung kewangan Washington, maka fahamlah mengapa Donald Trump mengeluarkan kenyataan sedemikian.

Ini satu kenyataan yang pahit tetapi terpaksa diakui oleh mana-mana warga Amerika: Washington berbelanja terlalu besar melebihi kemampuannya dalam menguruskan fiskal negara.

Untuk tahun 2019 ini, Washington bakal membelanjakan sejumlah $717 bilion hanya untuk menguruskan semua cabang angkatan tenteranya bukan saja di Amerika tetapi di seluruh dunia.

Bagi sesetengah pihak, apa yang dilakukan hanyalah memastikan jentera perang mereka sentiasa dalam keadaan baik.

Tetapi hakikatnya, belanjawan sebegini hanyalah satu cubaan persembahan kuasa Amerika ke atas negara-negara dunia terutama kuasa-kuasa besar lain.

Untuk menjadi polis dunia bukan sesuatu yang mudah kerana ia memerlukan wang yang sangat BANYAK!

Dengan belanjawan sebesar itu, apa sebenarnya yang diraih Washington dari usaha sebegini?

Kuasa-kuasa besar seperti Rusia dan China walaupun menganggap Washington sebagai pesaing, lebih berminat menjaga status sedia ada dan wilayah yang dimiliki dari terlibat dengan konflik secara langsung dengan negara Uncle Sam itu.

Ancaman pengganas seperti dipaparkan dalam banyak drama televisyen, drama dalam talian atau filem, sebenarnya tidak akan wujud jika tidak kerana dasar sembrono Uncle Sam yang suka mencetuskan konflik dan mencampuri soal dalaman negara lain.

Malah, jika kaedah sekarang ini diteruskan, ia hanya akan menambah lebih ramai pengganas dari mengurangkan ancaman mereka, hakikat yang perlu dihadapi dua parti utama di sana.

Amerika sebenarnya sudah muflis berikutan pengurusan kewangan mereka yang tidak bertanggungjawab.

Ironinya, Republikan yang sentiasa mendabik diri mereka sebagai penjaga perbendaharaan negara menggunakan sepenuhnya kelebihan majoriti di Capitol Hill untuk menambah perbelanjaan kerajaan persekutuan dan memotong cukai-cukai (salah satu daripada janji Trump semasa kempen pemilihan presiden 2016).

Akibatnya, defisit kewangan Amerika mencecah $779 bilion pada tahun 2017, naik daripada $665 bilion dari tahun 2016.

Kali terakhir Washington berhadapan situasi meruncing ini pada tahun 2012 semasa ia cuba pulih dari krisis kewangan yang berlaku pada 2007 dan 2008.

Angka berkenaan dijangka akan terus bertambah jika sumber dari Pejabat Belanjawan Kongres itu benar.

Menerusi sumber tersebut, presiden menghantar cadangan belanjawan yang menolak defisit ke arah $1 trilion itu dengan syarat Amerika tidak dilanda krisis kewangan baru.

Angka tersebut akan bertambah hingga $1.527 trilion pada tahun 2028.

Pertambahan hutang sebegini juga akan bertambah dengan pertambahan kadar faedah lagi-lagi bila Rizab Persekutuan mula mengurangkan polisi pengembangan radikal mereka yang digerakkan semasa krisis kewangan 2007 dan 2008.

Kos faedah yang akan ditanggung Washington dijangka bertambah dari $315 bilion kepada $819 bilion pada tahun 2028.

Ini sudah pasti akan menambah peruntukan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Amerika untuk faedah dari 1.6% hingga 3.1%.

Pada tahap ini, bayaran faedah yang perlu dibayar Washington sama dengan program ketiga yang dibiayai mereka iaitu program sosial.

Dan dalam tempoh dua dekad, ia akan menyamai pembiayai program Keselamatan Sosial yang dianggap program kerajaan paling mahal. Bayaran faedah sebegini akan menelan peratusan KDNK sebanyak 6.3%.

Bagi pentadbiran Donald Trump, mahu tidak mahu, sebarang perbelanjaan yang tidak diperlukan perlu dipotong atau dirancang semula.

Mengharap Kongres bekerjasama?

Jangan harap jika potongan tersebut membabitkan geran-geran kepentingan awam, menghentikan kakitangan-kakitangan kongres atau menutup monumen-monumen yang di bawah bidang kuasa mereka seperti Washington Monument.

Washington hanya boleh berharap ada berita baik di medan ekonomi seperti pertambahan produktiviti, kadar faedah yang rendah (tidak mustahil tetapi amat sukar dicapai) dan pertambahan kadar pertumbuhan ekonomi.

Tetapi, terima kasih kepada perang dagang yang dilancarkan Trump, ia akan membawa kepada perubahan bersifat negatif dan suka atau tidak, pengubal undang-undang terpaksa menambah perbelanjaan sedia ada untuk merangsang ekonomi, sekali gus menambah defisit sedia ada.

Kongres boleh saja mencadangkan pemotongan belanjawan yang diperuntukkan untuk program domestik tetapi agak sukar dicapai kerana pertambahan populasi warga emas yang pastinya memerlukan bantuan dari program Keselamatan Sosial, Medicare dan Medicaid, sekali gus menambah perbelanjaan sedia ada.

Jika trend ini tidak ditangani dengan segera oleh Rumah Putih dan Kongres, defisit KDNK akan bertambah dari 78% (2018) kepada 105% (2028), 148% (2038) dan 210% (2048).

Ramalan defisit ini lebih tinggi dari apa yang dihadapi Greece ketika ini yang mengakibatkan masalah ekonomi, masalah sosial dan ketidakstabilan politik.

Kali terakhir hutang kerajaan melebihi 70% ialah pada tahun 1946 di mana Washington berhadapan dengan prospek hutang dengan peratusan 106%.

Dengan defisit dan hutang yang begini besar, kenaikan faedah sudah pasti tidak boleh dielak dan pertumbuhan KDNK juga akan bertambah perlahan.

Ini akan mengakibatkan pengurangan pelaburan, pengurangan pendapatan negara dan pengurangan simpanan bukan saja di pihak kerajaan dan pelabur swasta tetapi juga untuk orang awam.

Ini sudah pasti akan mengurangkan kadar produktiviti dan pertumbuhan gaji serta pengeluaran ekonomi.

Jika berterusan, ia akan mengancam kedudukan institusi-institusi kewangan Amerika, inflasi harga barang dan pengurangan nilai dolar.

Kongres boleh saja mencadangkan kenaikan cukai tetapi ia sudah pasti tidak popular sama dengan langkah pengurangan perbelanjaan.

Tetapi, jika itu dapat membantu mengembalikan kedudukan kewangan Amerika pada keadaan baik, pemotongan perlu dibuat pada bahagian pertahanan terutama membabitkan kontinjen tentera mereka yang ditempatkan di luar negara.

Tetapi, semua itu tidak akan memberi kesan melainkan Washington menelan jadam, dengan meneliti semula dasar luar mereka.

Suka atau tidak, mana-mana polisi yang bersifat lapuk seharusnya digugurkan atau diubahsuai mengikut keperluan semasa.

Dan dengan kenyataan mengejut Donald Trump pada 26 Disember 2018 lalu sehingga mendorong Setiausaha Pertahanan James Mattis meletak jawatan, mereka perlu menilai semula peranan mereka di pentas dunia termasuk memberi peluang kepada sekutu mereka menentukan nasib mereka sendiri tanpa campur tangan pihak luar termasuk Amerika.

Selain mengadakan potongan perbelanjaan, Amerika juga perlu berani menggerakkan reformasi ekonomi mereka demi kepentingan ekonomi jangka panjang.

Walaupun ada yang menganggap dasar America First memang selayaknya digelakkan tetapi dalam konteks ekonomi hari ini, tanggungjawab Amerika terhadap rakyat seharusnya diutamakan.

Walaupun ada yang berkongsi sentimen Mattis bahawa sekutu-sekutu Barat tidak seharusnya diabaikan, sebarang bentuk campur tangan termasuk perang yang memakan kos yang banyak hanya akan dilaksanakan bagi tujuan yang benar-benar penting.

Bukan untuk memuaskan ego sesetengah pentadbiran dari Eisenhower sehinggalah era Donald Trump.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: thepatriots

Kecelaruan Sistem Pendidikan Di Malaysia

Kecelaruan Sistem Pendidikan Di Malaysia

Kita memandang ke Timur buat kali kedua. Tumpuan Dasar Pandang Ke Timur 2.0 sekali lagi terarah kepada Jepun yang membina tamadunnya menerusi reformasi pendidikan (educational reform), begitu juga dengan Norway. Negara ini keluar dari belenggu kemiskinan dengan menekankan kepentingan pendidikan dan latihan kemahiran.

Pendidikan Di Malaysia

Malaysia pula membiarkan pendidikan menjadi produk komersil kepentingan sesetengah pihak, tanpa memikirkan padah yang bakal menimpanya.

Di Malaysia, pendidikan adalah arena bagi semua pihak menjalankan eksperimen tanpa perancangan. Pelajar menjadi bahan uji kaji.

Penyata demi penyata, sejak zaman pra-merdeka disediakan, akhirnya yang dilaksanakan hanyalah apa yang Menteri pendidikan mimpikan malam sebelumnya.

Sejak dulu hingga kini, eksperimen pendidikan sudah menjadi mainan pemimpin politik.

Sepintas lalu, cuba kita teliti beberapa Penyata pendidikan yang kita sudah hasilkan, sejak Penyata Razak 1956.

Hari ini apa yang berlaku, pembukaan taman asuhan dan pra-sekolah tumbuh merata-rata mengikut selera pihak yang menubuhkannya sebagai satu aktiviti ekonomi, tanpa kawalan.

Diperingkat sekolah rendah, selain penubuhan sekolah-sekolah vernakluar yang kian hilang kawalan, pertumbuhan sekolah tahfiz swasta juga menjadi tarikan. Tiada siapa peduli.

Tak cukup dengan keparahan itu, dalam Model Baru Ekonomi yang dilancarkan pada 30 mac 2010, mencelarukan lagi sistem pendidikan yang terlalu keruh itu.

Atas nama kepentingan ekonomi dipacu swasta, lesen pembukaan sekolah antarabangsa sewenang-wenangnya diberikan.

Anak cucu menteri yang mula-mula sekali memenuhi kerusi di sekolah-sekolah ini.

Di luar, datuk dan ayah mereka melaung-laung, memperjuangkan dasar pendidikan kebangsaan, di rumah lain lakonan mereka.

Di luar kita didesak untuk menghalang pengiktirafan UEC, di belakangnya tangan-tangan yang sama memberikan pengiktirafan kepada UEC. Ini bukan cerita baru, ini cerita dari satu kerajaan kepada satu kerajaan.

Tiba di peringkat universiti, lain pula ceritanya. Pelajar disaran bila keluar nanti untuk memikirkan bagaimana menjadi usahawan.

Yang mengajar ilmu keusahawanan ialah para profesor yang tidak pernah sesaat pun menjadi usahawan.

Profesor yang sama juga tidak ada langsung pendedahan kepada dunia perniagaan dan perindustrian d luar sana.

Majoriti tenaga pengajar ini tiada pertalian atau apa saja bentuk kerjasama dengan industri. Masakan mereka mampu membawa dan mendedahkan pelajar bimbingan mereka dengan dunia keusahawanan.

Dengan sektor swasta dikuasai bukan Melayu, tekanan semakin memuncak terhadap kebolehpasaran graduan Melayu dan bumiputera.

Dulu kononnya kebolehpasaran amat rendah dikalangan graduan ini kerana mereka lemah dalam penguasaan Bahasa Inggeris, maka dilaksanakanlah Program Pendidikian Sains & Matematik Dalam bahasa Inggeris (PPSMI).

Tujuh tahun kemudian baru disedari program itu menghasilkan malapetaka berganda (double jeopardy) kepada pelajar Melayu yang lemah dalam subjek Sains dan Matematik adalah juga mereka yang lemah dalam Bahasa Inggeris.

Kini, bila kerajaan cuba utamakan Program STEM baru mereka sedari pelajar yang minat dan layak, terutama dikalangan pelajar Melayu, tidak ramai.

Pun kerajaan gagal memahami punca sebenar kegagalan penguasaan Bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar Melayu terutamanya.

Atas nasihat pakar ekonominya, dilaksanakan pula Dual-Language Program (DLP) dan High-Immersion Program, bagi menggantikan PPSMI.

Kedua-dua program dilaksanakan atas paksaan dan tanpa sebarang kajian mendalam mengenainya.

Kini khabarnya Program DLP akan diganti dengan penubuhan semula sistem pendidikan aliran Inggeris sepenuhnya.

Jika diteliti dan diperhalusi, kesemua kecelaruan dalam melaksanakan pelbagai program tanpa kajian itu hanya berpunca kepada satu permasalahan, iaitu kelemahan penguasaan subjek Bahasa Inggeris.

Kita tak sudah-sudah menjalankan eksperimen kepada sistem pendidikan bagi menyelesaikan satu isu yang terlalu basik, sehinggakan kita terlepas pandang kepada agenda pendidikan yang jauh lebih penting.

Di Singapura misalnya, mereka sudah menjadikan sekolah sebagai arena mengasah bakat dan membina keperibadian, bukan lagi sekolah sebagai tempat untuk mengajar subjek 3M.

Kita masih bergelut dengan isu bahasa penghantar apa yang nak diutamakan, kita masih bergelut cuba menghalang pengiktirafan Bahasa Mandarin sebagai kelayakan memohon kerja.

Kita masih lagi berlumba dengan Jabatan Bomba memadam api sekolah tahfiz yang sering terbakar kerana pembinaan sekolah-sekolah tak mengikut piawaian yang ditetapkan.

Kita terus meminggirkan sistem pendidikan di Sekolah Kebangsaan kerana ia tidak lagi menjadi sekolah pilihan.

Akhirnya dek keletihan dengan terlalu banyak angin perubahan ini apa yang mampu difikirkan oleh Menteri Pendidikan hanyalah menukar warna kasut dan stokin.

Dalam kesibukan institusi pendidikan memenuhi kehendak agenda ekonomi, kementerian terlepas pandang peranan pendidikan dalam memupuk integrasi nasional.

Samada kita semua sedar dan terima hakikat ini atau tidak, tahap toleransi antara kaum dan agama di Negara ini sudah kian merudum.

Ia kini sudah menjadi bom jangka yang tiada siapa tahu bila akan meletup dan tiada siapa dapat mengawalnya.

Kekecohan di kuil Sri Mariaman USJ dan tabiat buruk seorang menteri yang berbohong di luar negara, adalah manifestasi kepada padah yang sedang menanti.

Dengan pemergian wira Negara, seorang pegawai Jabatan Bomba dan Penyelamat, arwah Muhammad Adib Mohd Kassim yang menjadi mangsa kekecohan di kuil berkenaan, mencetus konflik perkauman.

Yang sedihnya pemergian arwah tidak sedikit pun mencuit rasa bersalah kaum yang merusuh itu.

Sepertimana yang dikatakan oleh salah seorang Exco Kerajaan Negeri Selangor, Bumiputera pula yang dipersalahkan.

Keceluparan itu mengguris hati kaum majoriti ini yang kini merasakan mereka kian tersisih dan diperleceh, kononnya sebagai bangsa pendatang, bangsa yang pemalas dan sebagainya.

Pemimpin sering bercakap bagaimana untuk bersaing dipersada global dengan kerancakan dan perlumbaan mengejar kemajuan teknologi 4.0 dan sebagainya.

Adakah pemimpin sedar, di bawah sana rakyat sedang bergelut untuk memahami apa sebenarnya yang kerajaan hendak lakukan untuk menentukan masa depan Negara ini?

Adakah sistem pendidikan kita direncanakan untuk melahirkan insan-insan menjadi hamba ekonomi, seperti yang pernah dialami Jepun sebelum era 1980an?

Adakah sistem pendidikan akan gagal dalam peranannya memupuk integrasi nasional masyarakat yang kian polarised ini?

Adakah sistem pendidikan akan menjadikan agama Islam terus berlabelkan tahfiz sebagai pusat kebangkitan gerakan militan?

Apa lagi yang hendak dipolitikkan oleh pemimpin yang rakyat sudah kian rimas menjadi mangsanya?

Orang lain mentertawakan kita, kita mentertawakan diri sendiri dengan sistem pendidikan yang flip-flop.

Bila ditegur kita menjadi terlalu emotional, lantas kita berparang sesama sendiri, kerana Rukun Negara telah diketepikan.

Kita ketiadaan satu pedoman nasional untuk semua rakyat sepakat membina integrasi nasional acuan kita sendiri, sepertimana Indonesia dengan pancasilanya.

***

Penulis adalah Datuk Dr Hasan Mad, Setiausaha Agung MPM.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: sinarharian

Wednesday, January 09, 2019

Asal-usul Yakuza Jepun

Asal-usul Yakuza Jepun

Dunia sering melihat Jepun sebagai sebuah negara yang serba lengkap dengan teknologinya dan banyak sisi baik yang disebarkan di media untuk tatapan umum namun, sisi gelap negara itu turut dibincangkan sama ada industri pornografi yang keterlaluan serta angka bunuh diri dalam kalangan rakyat Jepun yang semakin rencam saban tahun.

Asal-usul Yakuza Jepun

Jika diceritakan mengenai sejarah lampau negara ini merentas beberapa dekad, ia pasti berkisarkan era Perang Dunia Kedua dan zaman empayar Jepun yang menjajah banyak tanah negara asing.

Penceritaaan sejarah ini pastinya tidak lengkap jika kita mengenepikan sejarah kumpulan sindiket jenayah atau pun kongsi gelap negara ini iaitu Yakuza.

Pastinya perkataan Yakuza ini tidak mampu kita pisahkan dari lagi-lagi peminat filem Jepun.

Sedar atau tidak, kumpulan ini masih wujud di Jepun dengan puluhan ribu ahlinya yang masih aktif beroperasi serta menjalankan perniagaan. Ia juga telah berakar umbi ke dalam masyarakat Jepun yang serba moden dan maju ini.

Dalam artikel ini akan menerangkan asal-usul perkataan yakuza serta teori-teori kemunculan mereka.

Permainan hanafuda menimbulkan perkataan Yakuza

Kebanyakan jurnal kajian berkaitan yakuza berpendapat bahawa perkataan yakuza berasal dari sebuah permainan judi dari Jepun yang dikenali sebagai hanafuda.

Permainan ini mempunyai sembilan nombor iaitu nombor 1 hingga 9, yang pemain perlu mengambil tiga kad dan mencampurkan semua nombor dari tiga kad yang dimiliki. Daripada hasil tambah tersebut, nombor paling belakang akan dikira sebagai skor.

Maka, jika pemain itu mendapat hasil campur tiga kad berjumlah 19, maka dialah pemenang kerana nila skornya adalah 9.

Sebaliknya, jika pemain itu mendapat nombor 20 sekali pun, ia dikira tak berguna kerana skor yang diperolehinya adalah 0.

Maka, terhasilnya perkataan Yakuza ini adalah daripada perkataan y a (lapan), ku (sembilan) dan za (tiga).

Campuran nombor ya ku za akan menghasilkan nombor 20 dan seperti yang dikatakan tadi, nombor ini tidak berguna kerana nilai skornya adalah 0.

Akhirnya, perkataan ini digunakan di luar permainan judi dengan membawa maksud orang-orang jahat dan tak berguna.

Teori-teori asal usul pembentukan kumpulan Yakuza

Asal-usul pembentukan yakuza tidaklah diketahui secara keseluruhannya, tetapi ia dipercayai wujud ketika pertengahan era pemerintahan Tokugawa (1603-1868).

Ketika era ini, terdapat beberapa kumpulan yang wujud dalam sejarah lampau Jepun.

Dari beberapa kumpulan inilah dipercayai wujudnya kumpulan yakuza.

1. Bakuto, dari operasi perjudian ke gerakan politik

Menurut Ahli Kriminologi Tokyo, Hashino bahawa bakuto ini adalah kumpulan organisasi jenayah paling berpusat dalam kalangan orang Jepun. Apa aktiviti mereka?

Kumpulan ini bermula apabila kerajaan ketika itu menyediakan satu skim bergerak.

Tujuan skim ini adalah untuk mendapatkan semula gaji yang telah diberikan kerajaan kepada pekerja-pekerja binaan mereka. Maka, bakuto memulakan aktviti rekrut dari kalangan penjenayah hinggalah para petani.

Mereka ini diarahkan untuk bermain judi dengan pekerja-pekerja binaan tadi dan hasil keuntungan dari permainan itu akan dibahagikan kepada pemain-pemain judi lantikan bakuto.

Lama kelamaan, kumpulan ini melebarkan sayapnya dengan membina satu kem (seperti hotel) berdekatan dengan jalan raya yang sibuk.

Orang-orang yang singgah, bukan sahaja dapat tidur di sana, malah mereka berpeluang untuk bermain judi.

Oleh kerana rapatnya bakuto dengan aktiviti judi, maka kumpulan inilah bertanggungjawab yang mempopularkan tradisi berjudi, adat memotong jari (yubitsume) dan kumpulan pertama sekali menggunakan perkataan ya-ku-za.

Jika diambil kira terkaitnya perkataan ya-ku-za dengan kumpulan bakuto, para pengkaji yang merumuskan mereka ini adalah yakuza yang sebenar.

Jika dikembangkan lagi, kumpulan bakuto tidaklah hanya tertumpu kepada aktiviti perjudian sahaja.

Menurut para pengkaji, kumpulan ini mempunyai kepakaran dalam aktiviti keganasan.

Ianya bertepatan dengan sifat kumpulan ini yang mempunyai kawasan-kawasan tersendiri dan mereka akan bertarung dan mengganas bagi melindungi perniagaan dan harta mereka.

Berdasarkan sejarah, oleh kerana kumpulan ini bertempur lebih hebat berbanding samurai, maka mereka direkrut untuk bertarung dalam Perang Saudara Boshin (1868-1869).

Sekitar tahun 1880-an pula, ahli kumpulan bakuto mula menyertai dan memegang tampuk kepimpinan gerakan Kebebasan dan Hak Rakyat (Freedom & People’s Right).

Ketika itu jugalah merupakan fasa paling ganas gerakan itu sehingga mereka menyertai arena politik.

Penyertaan kumpulan ini ke arena politik telah mengubah operasi mereka daripada aktiviti perjudian kepada operasi lebih besar seperti kumpulan yakuza yang kita kenali hari ini.

Tekiya, dari penjaja jalanan kepada peniaga kepercayaan kerajaan

Asal-usul Yakuza Jepun

Salah satu teori lain kemunculan yakuza berakar dari sekumpulan penjaja jalanan yang dikenali sebagai tekiya.

Mereka ini bermula sebagai saudagar ubat sebelum bercambah dan mula menjual barangan lain serta terlibat dengan aktiviti jenayah.

Mereka ini bukanlah penjaja jalanan biasa, ada helah dalam aktiviti urus niaga yang dibuat.

Kumpulan ini seringkali menjual produk yang nampak bagus, hakikatnya tidak berkualiti.

Apabila menjual, mereka akan berlakon menjadi mabuk dan terus bersembang pasal produk yang dijual.

Aktiviti perniagaan mereka juga agak besar kerana mereka akan mengambil alih gerai di pasar.

Penguasaan kumpulan ini di sesebuah pasar sampai tahap boleh menentukan siapa yang dibenarkan menjual dan barang apa yang boleh dijual.

Caj lebih akan dikenakan untuk sewa tapak termasuklah wang perlindungan dan duit poket.

Melaui caj perlindungan ini, peniaga akan terselamat daripada diganggu dan jika gagal membayar, ahli kumpulan tekiya akan mencuri barang, menakut-nakutkan pelanggan atau boleh membawa ke tahap serangan fizikal.

Tidak seperti bakuto, tekiya lebih kepada aktivti kerja yang sah dan menyebabkan pihak kerajaan memberi lebih banyak kuasa kepada ketua-ketua kumpulan ini.

Kalau difikirkan semula, taktik tekiya ini saling tak tumpah seperti kumpulan-kumpulan mafia yang ada diseluruh dunia sautu ketika dahulu.

Bakuto dan tekiya hilang ditelan zaman?

Permainan Hanafuda
Permainan Hanafuda.

Bakuto dan tekiya muncul pada era yang sama, apa yang menarik mereka juga beroperasi pada kawasan yang sama.

Konflik di antara dua kumpulan ini kurang berlaku kerana mereka bergembira dengan perniagaan masing-masing.

Bakuto beroperasi di jalan raya dan pekan, tekiya pula melakukan perniagaan di pasar jalanan dan pesta-pesta.

Kajian membuktikan bahawa, kemunculan bakuto dan tekiya pada abad ke-18 dan hilang sedikit demi sedikit dari masyarakat ini sebenarnya tidaklah pupus begitu sahaja.

Mereka berkemungkinan muncul semula dan perlahan-perlahan membentuk kumpulan yakuza.

Maka, segala bentuk operasi kumpulan yakuza seolah-olah sama seperti yang dilakukan kumpulan bakuto dan tekiya.

Dari budaya potong jari kepada berjudi dan meminta wang perlindungan dari peniaga.

Sedikit demi sedikit, kumpulan yakuza ini berevolusi hingga satu tahap, masyarakat Jepun mengganggap kumpulan ini jahat tapi memerlukan mereka dalam kehidupan seharian.

Bagaimana perkara ini boleh berlaku?

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: thepatriots

Tuesday, January 08, 2019

Artis Indonesia Pelacur VIP Di Tangkap Ketika Layan Pelanggan!

Artis Indonesia Pelacur VIP Di Tangkap Ketika Layan Pelanggan!

Artis filem televisyen Indonesia, Vanessa Angel (VA) bersama model majalah dewasa AF (bukan FA, seperti diberitakan sebelumnya), dua orang pengurus artis dan dua bapa ayam, ditangkap polis di Surabaya pada Sabtu, (5/1/2019).

Vanessa Angel.

Penangkapan enam orang tersebut dianggap berkaitan dengan pelacuran artis dan berikut ini fakta berkaitan penangkapan Vanessa Angel dan AF.

1. Satu Hotel Beza Kamar

Penangkapan Vanessa Angel dkk dilakukan Sabtu pukul 12.30 di hotel Surabaya.

Ketika dibawa ke balai, VA memakai baju berwarna ungu dengan rambut yang diwarna sedikit perang dan wajahnya ditutup dengan bantal kecil.

2. Hubungan Seks

Menurut pihak berkuasa, kedua artis itu ditangkap saat sedang melayani pelanggannya.

3. Beza Harga

Bayaran yang dikenakan Vanessa Angle dan AF untuk melayani pelanggannya berbeza.

VA tarifnya Rp80 juta, sedangkan AF Rp25 juta.

"Ini sudah kami buat penyelidikan satu bulan, artis bolak-balik Jakarta-Surabaya," kata penyiasat.

4. Usahawan Kaya

Pelanggan Vanessa Angel dan rakannya merupakan bisnesman di Kota Surabaya. Keterangan mereka telah diminta sebelum dilepaskan.

Pengusaha yang memesan layanan seks Vanessa Angle tersebut masih berstatus saksi dan identiti mereka dirahsiakan.

5. Laporan Orang Awam

Skandal pelacuran artis ini berjaya dibongkar hasil dari maklumat orang awam.

Polis kemudiannya melakukan siasatan dengan memantau akaun media sosial mereka.

AV

Artis Indonesia Pelacur VIP
Avriellya Shaqila.

Misteri model majalah dewasa yang hanya dikenali sebagai AV yang ditangkap bersama Vanessa Angel di hotel saat melayani pelanggan, akhirnya terungkap, bernama Avriellya Shaqila.

Avriellya Shaqila adalah pemilik akaun Instagram avriellia.shaqqila, ditangkap di kamar berbeza di hotel tersebut, pada Sabtu lalu (5/1/2019), 12.30 tengahari.

Vanessa Angel dan Avriellya Shaqila ditangkap saat melayani pelanggan dan polis menetapkannya sebagai skandal pelacuran artis secara online.

Pihak berkuasa mengatakan, Vanessa Angel berharga RP80 juta bagi setiap kali ditempah pelanggan, sementara Avriellya Shaqila bertarif RP25 juta.

Saat ditangkap, Avriellya Shaqila mengenakan baju berwarna biru muda bermotif bunga.

BACA INI JUGA:

sumber: 1 | 2

Saturday, January 05, 2019

Asal-usul Tahun Baru Cina Dengan Haiwan Dan Unsur

Asal-usul Tahun Baru Cina Dengan Haiwan Dan Unsur

Simbol haiwan dan unsur pada setiap kali sambutan Tahun Baru Cina diasaskan oleh astrologi Cina berdasarkan kitaran enam puluh tahun sejak dinasti Shang. Kitaran asas ini telah dibina daripada dua kitaran: 10 Batang Samawi (lima unsur dalam bentuk yin dan yang masing-masing) dan 12 Dahan Duniawi, atau kitaran 12 tahun haiwan dalam zodiak Cina.

ZODIAK CINA

Zodiak haiwan cina juga membentuk kitaran bulanan dan waktu seharian dan kitaran 60 tahun ini terdiri daripada dua kitaran berasingan yang saling berinteraksi.

Kitaran yang pertama ialah kitaran 10 Batang Samawi, iaitu Lima Unsur (dalam urutan: Kayu, Api, Tanah, Logam, dan Air) dalam bentuk Yin dan Yang.

Yang kedua ialah kitaran 12 bintang haiwan zodiak (生肖 shēngxiāo) atau Dahan Duniawi, iaitu (mengikut urutan): tikus, lembu, harimau, arnab, naga, ular, kuda, kambing, monyet, ayam, anjing, dan babi.

Gabungan 5 unsur × 12 haiwan menghasilkan kitaran 60 tahun ini yang semestinya bermula dengan Tikus Kayu dan berakhir dengan Babi Air.

Oleh sebab kitaran 12 haiwan zodiak ini boleh dibahagi menjadi dua, setiap satu bintang zodiak ini hanya tergolong dalam kelompok Yin atau Yang: naga sentiasa yang, ular sentiasa Yin, dan sebagainya.

Kitaran sekarang bermula pada tahun 1984 (seperti ditunjukkan dalam “Jadual kalendar 60 tahun” di bawah).


UNSUR ZODIAK 60 TAHUN
UNSUR ZODIAK 60 TAHUN
UNSUR ZODIAK 60 TAHUN

Apabila cuba menghitung tahun yang berkaitan, satu pedoman yang mudah diikuti ialah bahawa tahun yang berakhir dengan angka genap adalah Yang, manakala yang angka ganjil adalah Yin.

Oleh sebab zodiak Cina (tradisional) mengikuti kalendar Cina (lunisolar), maka tarikh peralihan ialah Tahun Baru Cina, bukannya jatuh pada 1 Januari seperti dalam kalendar Gregory.

Maka itu, seseorang yang lahir sebelum Tahun Baru Cina pada tahun tertentu tergolong di bawah bintang zodiak tahun sebelumnya.

Contohnya, bagi seseorang yang lahir pada Januari 1970, unsurnya adalah Tanah Yin, bukan Logam Yang.

Begitu juga, meskipun tahun 1990 ialah Tahun Kuda, sesiapa yang lahir antara 1 dan 26 Januari 1990 sebenarnya lahir pada Tahun Ular (bintang tahun sebelumnya), kerana Tahun Kuda 1990 hanya bermula pada 27 Januari 1990.

Apakah maksud lima unsur haiwan ini?

Zodiak Cina

Yin atau Yang dipecah menjadi Lima Unsur (Kayu, Api, Tanah, Logam, dan Air) di samping kitaran haiwan. Ini merupakan pengubah yang mempengaruhi sifat-sifat setiap 12 bintang haiwan.

Maka itu, setiap bintang haiwan ini bernaung di bawah satu unsur serta satu arah Yin-Yang.

Imbangan Yin dan Yang serta lima unsur dalam pembentukan seseorang banyak mempengaruhi apa yang berfaedah dan berkesan untuknya dari segi feng shui, iaitu bentuk Cina bagi ramalan.

Ini adalah kerana setiap unsur dihubungkan dengan arah dan musim tertentu, serta jenis Qì atau daya hidup yang berbeza.

Unsur kayu mempunyai sifat murah hati, mesra, mayakinkan, bekerjasama, mahu berkembang, idealistik, beretika, ghairah, suka meneroka.

Unsur api membawa sifat dinamik, kemanusiaan, bertenaga, berkobar-kobar, berdaya usaha, suka mengembara, tidak mudah puas hati, berdaya saing, berkemahiran dalam memimpin, kuat, sepenuh jiwa raga, suka jenaka.

Unsur tanah pula disifatkan sebagai seorang yang sabar, ketenteraan, cermat, stabil, boleh dipercayai, rajin, bercita-cita, degil, penuh tenaga, berdisiplin, kuat, lojik, sedia berkhidmat untuk orang lain.

Unsur logam ialah seseorang yang tekun, berdikari, keras hati, kuat, kuat, tegas dan bersemangat, berat mulut, memerlukan ruang bersendiri, sofistikated, suka mncari keseronokan, prihatin, menghormati orang lain.

Yang terakhir ialah unsur air yang mempunyai sifat berahsia, menawan, intuitif, belas kasihan, peka, kreatif, fleksibel, patuh, petah, intelek.

Walau bagaimanapun, adalah satu tanggapan salah umum bahawa seseorang cuma ada satu bintang iaitu berdasarkan tahun, walhal juga terdapat bintang yang berasaskan bulan, hari, dan waktu kelahiran.

Gabungan lengkap tahun, bulan, hari dan waktu kelahiran ini membentuk ’empat tunggak’ astrologi Cina untuk menilik nasib seseorang.

Contohnya, jika anda lahir pada 22 Februari 1988, pukul 2.36 pagi, maka anda lahir pada tahun Naga, bulan Harimau, hari Kambing dan waktu Lembu.

ZODIAK 2019

Khinzir atau Babi ialah bintang haiwan yang terakhir dalam kitaran 12 haiwan zodiak Cina dan dilambangkan oleh dahan duniawi manakala dalam budaya Cina, khinzir dikaitkan dengan kesuburan dan kejantanan.

Melahirkan anak pada tahun khinzir dianggap amat bertuah kerana anak-anak itu akan menjadi periang dan jujur.

Dalam versi Jepun, zodiak ini hanya dimaksudkan sebagai babi hutan (猪 inoshishi) sahaja dan bukan khinzir ternakan.

Tahun-tahun dan Lima Unsur
  • 30 Januari 1911 - 17 Februari 1912: Khinzir Logam
  • 16 Februari 1923 - 4 Februari 1924: Khinzir Air
  • 4 Februari 1935 - 23 Januari 1936: Khinzir Kayu
  • 22 Januari 1947 - 9 Februari 1948: Khinzir Api
  • 8 Februari 1959 - 27 Januari 1960: Khinzir Tanah
  • 27 Januari 1971 - 14 Februari 1972: Khinzir Logam
  • 13 Februari 1983 - 1 Februari 1984: Khinzir Air
  • 31 Januari 1995 - 18 Februari 1996: Khinzir Kayu
  • 18 Februari 2007 - 6 Februari 2008: Khinzir Api
  • 5 Februari 2019 - 24 Januari 2020: Khinzir Tanah
  • 2031 - 2032: Khinzir Logam
  • 2043 - 2044: Khinzir Air

Sifat Zodiak Khinzir
  • Kedudukan zodiak: Ke-12
  • Waktu naungan: 9 – 11 malam
  • Mata angin: Barat laut-Utara
  • Musim dan bulan Musim sejuk: November
  • Bulan qamariah: 8 November hingga 6 Disember
  • Zodiak Barat yang bersamaan: Scorpio
  • Polariti: Yin
  • Unsur: Air

Sifat
  • Sifat positif: Penyayang, bertoleransi, peka, optimis, patuh, jujur, altruistik, senang menerima tetamu.
  • Sifat negatif: Materialistik, mudah terpengaruh, mudah terpedaya, boros, ragu-ragu, naif.

Pasangan
  • Paling serasi: Kambing, Arnab, Anjing
  • Sederhana serasi: Tikus, Lembu, Naga, Kuda, Harimau.
  • Tidak serasi: Monyet, Ayam, Ular.

Semoga memberi manfaat.

P/s: Artikel ini adalah untuk pembacaan semata-mata dan bukanlah sebagai kepercayaan 100%.

BACA INI JUGA:

sumber: 1 | 2

Panduan Memohon Bersara Pilihan (Bersara Awal) Kakitangan Kerajaan

Panduan Memohon Bersara Pilihan (Bersara Awal) Kakitangan Kerajaan

Kebanyakkan penjawat awam yang telah menandatangani opsyen persaraan pada usia 55, 56, 58 dan 60 tahun masih lagi terkeliru dengan informasi yang telah mereka terima melalui media sosial kerana ramai yang beranggapan mereka terpaksa mencapai umur opsyen berkenaan untuk bersara bagi mendapatkan faedah persaraan seperti pencen bulanan dan sebagainya.

Bersara awal

Sebenarnya penjawat awam tidak terikat dengan opsyen tersebut dan boleh memilih untuk bersara lebih awal iaitu seawal usia 40 tahun dengan tempoh perkhidmatan sekurang-kurangnya 10 tahun yang boleh dimasuk kira.

Soalan Penjawat Awam (Bakal Pesara):

Saya berumur 45 tahun dan telah berkhidmat selama 18 tahun (dilantik pada 1 Oktober 1999) sebagai Pegawai Tadbir di Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia. Saya telah memilih skim pencen dan memilih opsyen umur persaraan 60 tahun.

Jika saya ingin bersara pada 1 Oktober 2019, bagaimanakah cara untuk saya memohonnya? Apakah faedah-faedah persaraan yang akan saya terima? Betulkah pencen bulanan saya hanya akan dibayar pada umur saya 60 tahun?

Jawapan:

Untuk makluman, mengikut Seksyen 12, Akta Pencen 1980:

Syarat-syarat memohon persaraan pilihan:
  • Berumur sekurang-kurangnya 40 tahun pada tarikh kuatkuasa persaraan pilihan;
  • Berkhidmat sekurang-kurangnya selama 10 tahun dalam perkhidmatan yang boleh diambilkira (tanpa sebarang cuti tanpa gaji, cuti berlebihan atau tempoh yang tidak layak); dan
  • Mendapat sokongan Ketua Jabatan.
  • Bebas tindakan tatatertib.
  • Bebas tapisan SPRM.

Cara memohon?
  • Hantar surat permohonan kepada Ketua Jabatan.
  • Permohonan dihantar ke JPA/KWAP melalui perakuan dan sokongan Ketua Jabatan.
  • Dokumen yang lengkap perlu dikemukakan ke JPA/KWAP dalam tempoh tidak kurang dari 3 bulan daripada tarikh persaraan pilihan (Pekeliling Perkhidmatan Bil. 4 tahun 2003).

Faedah-faedah yang bakal diterima setelah diluluskan persaraan pilihan?

1. Award Wang Tunai Gantian Cuti Rehat (GCR) – Terhad sehingga 150 hari sahaja

Formula Kiraan Faedah Persaraan Pilihan Untuk Mengetahui:
  • Pencen Sebulan.
  • Ganjaran Persaraan (Gratuity).
  • Gantian Cuti Rehat (Bayaran diterima).

Kiraan pencen pilihan

*Amaun adalah tertakluk kepada hutang kerajaan/majikan, jika ada.

Kalkulator pengiraan anggaran Pencen Pilihan: SEMAK SINI

Bilakah PENCEN bulanan mula dibayar?

Sekiranya anda dilantik sebelum 12 April 1991, jika anda ingin bersara pilihan, sekiranya diluluskan, maka pencen bulanan akan mula dibayar:

a) Pada umur 45 tahun bagi semua anggota/pegawai wanita, anggota polis berpangkat rendah daripada ASP (Inspektor ke bawah), anggota bomba berpangkat rendah, pegawai penjara (bawah dari pangkat penguasa penjara) jururawat lelaki yang bertugas di hospital mental Kerajaan; dan

b) Pada umur 50 tahun bagi semua anggota/pegawai lelaki selain jawatan di atas (a).

Jika anda dilantik selepas 12 April 1991, sekiranya anda ingin bersara pilihan, pencen akan mula dibayar kepada anda apabila mencapai umur 55 tahun, walaupun opsyen umur persaraan wajib anda adalah pada 60 tahun, anda tetap akan menerima pada umur 55 tahun dan tidak sebelum umur itu.

Peraturan ini adalah sepertimana pindaan yang telah dibuat pada tahun 2011 dan masih berkuatkuasa sehingga ke hari ini.

Dokumen Bersara Pilihan

Formula Perkiraan Pencen:

1/600 x tempoh perkhidmatan dalam bulan yang boleh dimasuk kira x (darab) gaji pokok akhir.

Kiraan pencen bulanan adalah terhad kepada pencen maksimum iaitu sebanyak 3/5 x gaji pokok akhir atau 60% x (darab) gaji pokok akhir atau terhad kepada tempoh 360 bulan (30 tahun) sahaja.

Sebaiknya penentuan tarikh untuk bersara pilihan, pilihlah tarikh selepas anda menerima kenaikan gaji tahunan. Walau bagaimanapun, tarikh persaraan pilihan anda yang tentukan.

Namun, tiada sebarang konsep persaraan pilihan bagi penjawat awam yang memilih skim KWSP.

Anda dikira meletakkan jawatan dan hanya layak menuntut caruman majikan dan caruman pekerja/anggota sahaja. Tiada sebarang faedah persaraan dan perubatan akan diberikan kepada anda sekeluarga.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: pendidik2u

Friday, January 04, 2019

Ultima Thule, Objek Paling Jauh Pernah Diterokai Di Angkasa

Ultima Thule, Objek Paling Jauh Pernah Diterokai Di Angkasa

Ketika penduduk bumi meraikan ketibaan tahun baharu 2019, kapal angkasa NASA, New Horizon berjaya menghantar isyarat pertama ke bumi selepas berjaya sampai kepada satu batu angkasa berais di hujung sistem solar.

Ultima Thule NASA
Lakaran Ultima Thule, NASA.

Batu angkasa berais dinamakan Ultima Thule itu, kelihatan seakan kacang, terletak di tengah-tengah Kuiper Belt di sekeliling orbit planet Neptune.

Reuters melaporkan, New Horizon yang dilancarkan pada 2006 itu mengembara sejauh 6.4 bilion kilometer untuk berada hampir dengan Ultima Thule pada jarak 3,540 kilometer.

Jurutera di Johns Hopkins University Applied Physics Laboratory di Maryland teruja dengan pencapaian itu selepas mengetahui kapal angkasa itu berjaya beroperasi ke ufuk paling jauh pernah diterokai ahli angkasa.

New Horizon itu membawa misi ke pinggir sistem solar dengan tujuan mengkaji planet Pluto serta lima Bulan yang mengelilingi planet itu.

Pada 2015 ketika misi melintasi planet Pluto, New Horizon berjaya membuktikan saiz planet Pluto adalah lebih besar dari yang dibayangkan selama ini.

Ia kemudian meneruskan pengembaraan sejauh 1.6 bilion kilometer melepasi Pluto untuk misi kedua di kawasan Kuiper Belt.

NASA berharap misi di Kuiper Belt dan Ultima Thule itu mampu merungkai misteri kewujudan sistem solar dan planet.

WAJAH SEBENAR PLUTO

Pada awal pagi 8 Julai 2015 lalu, saintis menerima imej planet Pluto yang paling terperinci menggunakan peralatan Long Range Reconnaissance Imager (LORRI) di prob angkasa New Horizons.

Imej ini telah diambil pada 7 Julai 2015 ketika New Horizons berada kira-kira lapan juta kilometer (km) dari Pluto.

Imej ini merupakan yang pertama di terima selepas New Horizons berada dalam mode safe untuk tempoh empat hari sebelum itu.

Tiga struktur yang paling jelas kelihatan ialah jalur gelap di sepanjang Khatulistiwa planet Pluto diberi nama the whale atau ikan paus berbentuk ‘hati’ yang bersaiz 2,000 km dan kawasan kutub di bahagian atas yang agak kurang cerah.

Pada 11 Julai 2015 pula, New Horizons telah menghantar imej Pluto dan bulannya, Charon yang juga turut menerangkan dengan jelas rupa bentuk sebenar planet tersebut dan bulannya itu.

Terbang Menghampiri

New Horizon’s telah berjaya melakukan penerbangan FlyBy pada Selasa, 14 Julai 2015 pada jarak sejauh 12,500 km (7,750 batu) dari permukaan Pluto, iaitu kira-kira jarak di antara New York dan Mumbai.

Pengesahan kejayaan FlyBy telah dilakukan melalui sesi phone home oleh New Horizon’s kepada saintis di Bumi, ketika itu Pluto berada pada jarak 4.7 bilion km (3 bilion batu) dari Bumi.

Ketika detik 11:49:58 UTC (waktu standard antarabangsa), 14 Julai 2015 bersamaan jam 07:49:58 malam tarikh yang sama di Malaysia, NASA meraikan detik bersejarah kejayaan prob New Horizons mencecah garisan penamat.

Kejayaan dicatat selepas melakukan pengembaraan selama sembilan tahun dari Bumi untuk berada di titik paling hampir ke planet Pluto dengan matlamat untuk merakam gambar dan maklumat sistem planet tersebut dari kedudukan yang paling hampir kepada sistem planet tersebut.

Tiga belas jam kemudian NASA meraikan isyarat pertama yang diterima dari New Horizon ketika berada di garisan penamat dan maklumat yang diperolehi pada 09:02 pagi 15 Julai 2015 waktu Malaysia memberitahu penduduk Bumi bahawa prob tersebut dalam keadaan baik dan stabil dan telah menyimpan beberapa maklumat sistem planet Pluto.

Seluruh warga dunia menantikan ketibaan data dan maklumat yang telah dikumpul oleh New Horizon yang dijadualkan sehari selepas isyarat pertama diterima.

Sistem planet kerdil Pluto telah berjaya dirakamkan secara terperinci menggunakan kesemua peralatan saintifik yang berada di prob New Horizons semasa berada pada kedudukan paling hampir iaitu pada jarak hanya 12,500km.

MISI PLANET PLUTO

Objek Angkasa Lepas
Kedudukan Ultima Thule dalam sistem solar.

Tarikh keramat 19 Januari 2006 kira-kira tiga belas tahun yang lalu menyaksikan roket Atlas V551 meninggalkan tapak pelancar Cape Canaveral, Florida, Amerika Syarikat (AS) pada kelajuan melepasi graviti Bumi dan sistem suria paling pantas pernah dicapai oleh manusia iaitu 16.26km sesaat!

Atlas V551 membawa bersamanya prob angkasa New Horizons bagi memulakan pengembaraan selama sembilan tahun dengan misi untuk terbang sehampir mungkin ke planet kerdil Pluto, mengambil gambar rupa sebenar planet kerdil Pluto.

Tujuannya mengumpul maklumat mengenai atmosfera planet tersebut serta maklumat bulan-bulannya.

Seterusnya, meneruskan perjalanan ke dalam kawasan Jaluran Kuiper yang dipenuhi dengan ketulan batuan dan ais pelbagai saiz untuk tempoh 2016 hingga 2020. Apakah misteri yang ingin dirungkai?

Tidak banyak maklumat yang diketahui mengenai planet kerdil itu sebelum ini sejak ia ditemui pada 18 Februari 1930 oleh Clyde W. Tombaugh.

Bagaimanapun, sifat ingin tahu manusia mengenai rupa sebenar Pluto dan juga lima buah bulannya tidak dapat dibendung.

Maklumat yang bakal diperoleh mengenai sistem planet tersebut dijangka boleh membantu saintis untuk memahami lebih mendalam tentang proses di peringkat awal pembentukan sistem suria kita pada masa lampau yang mungkin maklumatnya masih tersimpan dan terpulihara di dalam sistem planet kerdil tersebut.

Pada Oktober 1991, Perkhidmatan Pos Amerika Syarikat (USPS) telah mengeluarkan siri setem kenang-kenangan untuk memperingati penjelajahan manusia ke sistem suria kita.

Setem bagi planet Pluto dihiasi dengan gambar planet Pluto tanpa ciri permukaannya dan nama kapal angkasa yang pernah menjelajahnya digantikan dengan frasa Belum Diterokai Lagi.

Saintis di Jet Propulsion Laboratory (JPL) Agensi Pentadbiran Aeronautik Kebangsaan (NASA) teruja dengan penampilan setem tersebut dan mula merangka misi untuk melancarkan kapal angkasa ke Pluto.

Sebenarnya, mulai 1989 lagi sekumpulan saintis diketuai Alan Stern telah mencadangkan misi ke planet tersebut dengan nama Pluto Underground.

Kapal angkasa seberat 40 kilogram (kg) telah dicadangkan untuk sampai ke Pluto dalam tempoh lima hingga enam tahun.

Idea tersebut telah ditolak kerana teknologi masih belum membenarkan pengecilan peralatan saintifik untuk diletak di dalam kapal angkasa sekecil itu.

Satu lagi konsep misi ke Pluto diperkenalkan dengan nama Pluto 350 untuk menghantar kapal angkasa seberat 350 kg ke Pluto dengan kos RM1.5 bilion bersaing dengan misi Mariner Mark II untuk menghantar kapal angkasa seberat 2,000 kg dengan kos RM15 bilion.

NASA lebih menggemari konsep Pluto 350.

Pada tahun 1991, JPL pula telah mencadangkan misi Pluto Fast FlyBy yang telah mengambil inspirasi daripada setem kenang-kenangan Pluto.

Pada tahun 1990-an juga telah menunjukkan penemuan beberapa objek Jaluran Kuiper dan misi ke planet tersebut telah mengalami evolusi untuk turut mengkaji objek-objek dalam jaluran berkenaan sehingga suatu misi baharu telah diperkenalkan dengan nama Pluto Kuiper Ekspress.

Walau bagaimanapun, pada tahun 2000, projek berkenaan telah dibatalkan kerana kurang mendapat sambutan daripada pihak NASA.

Selepas pembatalan tersebut, Alan Stern yang tidak mengenal erti putus asa telah bekerjasama dengan bekas ahli kumpulan Pluto Kuiper Express.

Beliau meneruskan lagi cadangan misi baharu ke planet tersebut dengan nama New Horizons dan akhirnya pada November 2001, mereka telah berjaya memenangi pertandingan untuk membiayai projek tersebut di bawah inisiatif baharu oleh NASA, New Frontiers Program yang menghadkan peruntukan kos penjelajahan yang tidak terlalu besar.

New Horizons dengan kos RM2.1 bilion juta untuk tempoh 15 tahun (2001 – 2016) telah berjaya menewaskan empat lagi cadangan misi penerokaan ke angkasa lepas yang lain di bawah inisiatif program tersebut oleh NASA.

New Horizons mengambil masa selama tiga tahun untuk dibina dan setelah beberapa kali mengalami penangguhan di tapak pelancaran kerana faktor teknikal dan cuaca, akhirnya pada 19 Januari 2006, pukul 2 petang waktu Amerika Timur atau 2 pagi, 20 Januari 2006 waktu Malaysia, New Horizons dilancarkan dari tapak pelancar nombor 41, Cape Canaveral Air Force Station dan akhirnya tiba di sistem Pluto pada Julai 2015 untuk merungkai segala misteri planet berkenaan.

Selepas setahun dilancarkan, New Horizons telah terbang menghampiri planet Musytari pada 28 Februari 2007 dengan dua aktiviti penting.

Pertama, kesemua peralatan saintifik yang dibawanya perlu diuji dengan merakamkan imej sistem planet Musytari dan menghantar kesemua imej dan data ke Bumi sebagai persediaan sebelum menjalankan misi sebenar apabila tiba di Pluto nanti.

New Horizons telah berjaya menjalankan tugas tersebut semasa terbang menghampiri planet Musytari.

Aktiviti kedua, New Horizons akan mengalami proses gravity assist atau bantuan graviti apabila mendapat tenaga tambahan daripada daya tarikan graviti planet Musytari.

Ini menyebabkan kelajuan gerakannya bertambah sebanyak empat kilometer sesaat untuk meneruskan pengembaraan dan seterusnya tiba ke Pluto pada waktu yang dijadualkan.

Setelah mendapat tenaga lebihan daripada proses bantuan graviti, New Horizons telah diprogramkan untuk berada dalam mod hibernasi atau mod `tidur’ selama tujuh tahun untuk memulihara kebolehan berfungsi setiap peralatan saintifik yang dibawanya kecuali hanya untuk tujuan laporan tahunan kesihatan sistem.

Setelah tujuh tahun berhibernasi, New Horizons bangkit semula dari tidurnya pada Disember 2014 dan pada Januari 2015 telah terbang menghampiri Pluto.

New Horizons sentiasa mengintai peluang untuk merakam gambar planet Pluto pada jarak yang semakin hampir.

Pada April 2015 lalu, New Horizons buat pertama kalinya berjaya merakam gambar berwarna Pluto ( tompok cahaya yang lebih besar) dan bulan terbesarnya Charon (tompok cahaya yang lebih kecil) dari jarak 115 juta kilometer.

MISI SETERUSNYA

Pluto real pic
Gambar sebenar Pluto.

Menurut NASA, New Horizons merupakan misi penerokaan angkasa pertama menerokai 'dunia'; lain yang berada begitu jauh dari Bumi.

Penerokaan Flyby ke planet Pluto dan lima bulannya telah memberikan suatu perspektif yang bermakna kepada Jaluran Kuiper (Kuiper Belt) yang mengandungi objek berais pelbagai saiz daripada saiz batuan sehinggalah kepada planet kerdil.

Objek-objek Jaluran Kuiper seperti juga Pluto itu sendiri, mampu menyimpan bukti tentang pembentukan awal sistem suria kita.

New Horizons kini semakin menjauhi planet Pluto dan memasuki kawasan Jaluran Kuiper dengan jangkaan untuk menghampiri beberapa objek Kuiper seperti Sedna dan sebagainya, untuk merakam gambar serta maklumat objek-objek tersebut dari jarak dekat bagi tempoh sehingga 2020.

Sumber tenaga nuklear New Horizons membenarkan prob tersebut untuk berfungsi sehingga 20 ke 30 tahun dari tarikh dilancarkan, sekiranya prob tersebut tidak mengalami sebarang kerosakan.

Planet Pluto telah ditemui oleh Clyde Tombaugh pada tahun 1930 menggunakan teleskop di Balai Cerap Lowell di Flagstaff, Arizona, AS.

Bagi menghargai jasa beliau, NASA turut meletakkan sebahagian abu mayat beliau di atas prob New Horizons.

Perkembangan seterusnya boleh diikuti di lawan web dan media sosial NASA/NewHorizons dan pautan-pautan penting juga boleh turut didapati dari laman web dan media sosial Agensi Angkasa Negara.

NASA juga turut berkongsi imej jarak dekat yang pertama bagi suatu kawasan berhampiran Khatulistiwa Pluto dan berjaya mendedahkan wujudnya banjaran gunung-ganang yang mencecah ketinggian sehinga 3,353 km (11,000 kaki) di atas permukaan planet yang berais ini.

Penyelidik Utama New Horizons, Alan Stern, membandingkan banjaran gunung tersebut dengan Pergunungan Rocky di AS bagi mendapatkan gambaran sebenar geologi planet Pluto.

Topografi yang curam menunjukkan bahawa batuan dasar kepada gunung-gunung ini mestilah terdiri daripada air dalam bentuk ais. Mereka pasti air wujud dengan banyaknya di sana.

Gunung-ganang di Pluto dijangka berusia kurang daripada 100 juta tahun manakala sistem suria kita telah berumur 4.5 bilion tahun membayangkan betapa aktifnya permukaan planet Pluto.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: 1 | 2

Apa Itu Khadam Ayat? Adakah Jin Atau Malaikat?

Apa Itu Khadam Ayat? Adakah Jin Atau Malaikat?

Istilah 'khadam ayat' boleh dikatakan popular di kalangan mereka yang melibatkan diri dengan rawatan tradisional atau amalan kebatinan Melayu. Pada hakikatnya istilah khadam ayat ini dirujuk kepada amalan berguru atau menuntut ilmu dengan membaca ayat-ayat tertentu al-Quran yang disertai dengan kaedah-kaedah khusus, di mana akhirnya orang yang berkenaan didatangi oleh makhluk yang dipanggil sebagai 'khadam ayat'.

Khadam Ayat
Gambar hiasan.

Amalan ini juga ada kalanya boleh dituntut tanpa melibatkan ayat-ayat al-Quran, surah-surah pendek al-Quran seperti Al-Fatihah, al-Mu'awwizat dan sebagainya, tetapi akhirnya amalan kebatinan yang dituntut itu akan berakhir dengan kehadiran makhluk yang dipanggil sebagai 'khadam ayat'.

Mereka yang mempelajari ilmu ini kebanyakannya tidak pasti siapakah yang dinamakan 'khadam ayat' yang datang tadi, lalu akhirnya terlibat dengan pelbagai kegiatan amalan kebatinan, ketika melakukan rawatan, tilikan, untuk mengatasi masalah rumah tangga, cinta dan sebagainya.

Menurut sebahagian pengamal, khadam ayat bukan terdiri daripada golongan manusia, jin atau malaikat. Ia merupakan 'khadam' kepada ayat yang dibaca dan diamalkan menurut kaedah-kaedah tertentu yang mesti diikuti menurut apa yang telah diajar oleh guru yang berkenaan.

Ayat Kursi

Terdapat keterangan dalam hadis-hadis tentang kelebihan ayat al-Kursi. Menurut sebuah hadis riwayat daripada Qatadah katanya, Rasulullah bersabda: "Barang siapa membaca ayat al-Kursi ketika dalam kesempitan, nescaya Allah berkenan memberi pertolongan kepadanya."

Dalam sebuah hadis lain, baginda bersabda: "Barang siapa membaca ayat al-Kursi dan akhir surah al-Baqarah ketika kesusahan nescaya Allah menolongnya."

Terdapat banyak hadis menerangkan tentang kelebihan ayat ini dalam tujuan mengelakkan diri, keluarga, rumah tangga, harta benda daripada gangguan iblis dan syaitan juga daripada gangguan manusia, terutamanya pencuri.

Antara hadis yang menyebutkan hal yang demikian ialah, hadis daripada Abu Hurairah. Sesungguhnya Rasulullah telah bersabda: "Dalam surah al-Baqarah ada satu ayat, penghulu ayat-ayat al-Quran, tidak dibaca dalam sebuah rumah yang ada di dalamnya syaitan, kecuali ia keluar darinya iaitu ayat al-Kursi."

Atas pemahaman tentang fadilat ayat al-Kursi inilah maka ada golongan tertentu, terdiri daripada mereka yang mengamalkan amalan kebatinan, mengamalkan apa yang difahami sebagai 'khadam ayat Kursi' dalam amalan kebatinannya.

Setelah membaca ayat al-Kursi dalam kekerapan dan tempoh tertentu dengan syarat-syarat lain, dia akan didatangi oleh makhluk yang dipercayai sebagai 'khadam ayat al-Kursi'.

Ia datang dengan jubah hijau, menghulurkan tangan, bertanyakan apa yang dihajati oleh pengamal. Dipesan oleh guru yang mengajari amalan tersebut agar makhluk itu taat menurut perintahnya.

Menurut mereka lagi, khadam ayat akan menjaga diri pengamal, keluarga dan harta bendanya, juga boleh digunakan untuk tujuan mengubati penyakit. Ia juga boleh diperintahkan menjaga orang lain.

Ketika pengamal tidak ada di rumah, khadam ayat akan menjaga rumah di mana dalam keadaan tertentu ia akan menjelmakan diri menyerupai pengamal ilmu berkenaan, khadam itu dikatakan hanya digunakan untuk menangani sakit yang teruk ataupun masalah-masalah besar.

Memperoleh khadam ayat tidak ubah seperti memperoleh pisau yang tajam, yang hanya perlu digunakan untuk memotong benda-benda besar lagi berat, walaupun demikian ia juga boleh digunakan untuk tujuan jahat, kerana khadam ayat begitu taat menurut kata pengamalnya.

Kerana itu maka orang yang mengamalkan kaedah ini mesti terdiri daripada mereka yang ikhlas lagi berilmu, ditakuti ilmu yang dimiliki itu disalahgunakan, yang akhirnya akan merosakkan diri sendiri dan orang lain.

Seorang yang lain, telah melibatkan diri dengan rawatan tradisional lebih daripada 25 tahun, menyatakan khadam ayat kadang-kadang datang kepadanya dalam keadaan berkain pelekat dan berbaju selengkapnya.

Selain memberitahu perkara-perkara ghaib kepadanya, ia kadang-kadang memberitahu maklumat-maklumat tertentu melalui anaknya, yang berumur 10 tahun, yang ketika itu sedang tidur.

Seorang pengamal rawatan tradisional yang tinggal di Perlis menegaskan orang yang menurun diresapi oleh jin-jin, termasuk iblis dan syaitan, tetapi khadam tidak boleh masuk meresap dalam tubuh manusia.

Ketika menurun, jin-jin datang bersatu dengan roh yang disedut melalui pernafasan meresap dalam tubuh, menyebabkan seseorang itu tidak sedarkan diri.

Apabila angin iblis lebih banyak atau lebih menguasai angin badan dalam tubuh maka ia akan menyebabkan seseorang itu tidak sedarkan diri iaitu menurun. Hal yang sama berlaku ke atas mereka yang terkena rasukan.

Menurut pemahaman Melayu, khadam bererti hamba, ataupun orang suruhan yang sentiasa taat kepada tuannya.

Menurut pengamal yang sama, khadam yang dimaksudkan di sini bukan orang suruhan, seperti yang difahami oleh umum, seumpama hubungan antara seorang tuan dengan orang suruhannya.

Khadam adalah makhluk bukan daripada golongan manusia dan bukan daripada golongan jin, sama ada jin kafir ataupun jin Islam.

Khadam yang mendampinginya bukan terdiri daripada makhluk halus belaan atau sahabat, kerana ia tidak mempunyai apa-apa perjanjian antara mereka dalam keadaan apa sekalipun sama ada untuk memberi makan pada waktu-waktu tertentu atau sebagainya.

Menurutnya lagi, khadam yang berdampingan dengannya terdiri daripada makhluk yang diutus oleh Allah yang termasuk dalam golongan makhluk ghaib.

Dia adalah hamba Allah yang bertaraf wali-wali, seperti wali sepuluh yang terpilih daripada segala wali, yang dikenali sebagai rijalul ghaib, yang juga dikenali sebagai khadam roh.

Khadam bukan jin Islam, terdiri daripada wali Allah. Makhluk yang tidak berdosa yang asalnya adalah manusia yang ghaib begitu sahaja apabila mati dan tidak mempunyai kubur.

Beliau mendakwa gurunya dari Kelantan, ghaib setelah dikebumikan. Khadam adalah hak Allah yang tidak boleh dikaji.

Dijelaskan juga bahawa makhluk yang dinamakan khadam itu telah wujud sejak zaman Rasulullah, begitu juga lelaki yang tersebut dalam surah al-Kahf, termasuk anjing Qitmir yang termasuk dalam golongan rijalul ghaib.

Amalan yang dilakukan olehnya untuk berdampingan dengan khadam ialah dengan mengadakan kenduri terlebih dahulu sebelum mengamalkan ayat-ayat tertentu, yang dibaca selepas setiap kali sembahyang fardu selama 40 hari.

Doa-doa tersebut dikenali sebagai kepala doa akasyah, doa akasyah, pelapik doa akasyah dan doa rijalul ghaib.

Tidak lama setelah mengamalkan ayat-ayat di atas, dia bermimpi melihat bulan pada malam berikutnya, dia bermimpi didatangi oleh seorang lelaki berjubah.

Mimpi ini diikuti oleh mimpi-mimpi lain yang tidak pernah dialami sebelumnya. Bermula dari hari itu dia sering didampingi oleh khadam yang boleh dipanggil untuk tujuan rawatan dan lain-lainnya.

Ketika melakukan rawatan, ataupun ketika berhadapan dengan seseorang yang datang memerlukan pertolongannya, responden berkenaan akan memanggil khadam yang mendampinginya tadi. Perkataan tok syeikh digunakan untuk merujuk kepadanya.

Untuk tujuan rawatan, mula-mula responden akan bertanyakan nama pesakit ataupun orang yang memerlukan pertolongan. Kemudian dia memanggil tok syeikh untuk meminta pertolongan.

Khadam berkenaan dikatakan dapat mengetahui sama ada sakit yang dialami oleh seseorang itu akibat saka, santau, gangguan makhluk halus tidak bertuan ataupun sakit kecacatan fizikal yang berpunca daripada kemalangan, keracunan makanan dan sebagainya.

Demikianlah beberapa penjelasan mengenai khadam ayat dan sebenarnya banyak lagi keterangan yang berlainan berkaitan dengan apa yang difahami sebagai khadam ayat dalam kehidupan orang Melayu.

Allah menjadikan tiga jenis makhluk utama, iaitu malaikat, jin dan manusia. Tidak tersebut daripada mana-mana sumber tentang adanya makhluk selain daripada tiga jenis makhluk ini.

Ketika ditanya tentang makhluk berjubah hijau yang datang menghulurkan tangan, pengamal tersebut memberitahu bahawa hal tersebut berlaku ketika dalam keadaan sedar, bukan ketika dia nyenyak tidur atau dalam keadaan separuh sedar.

Pengamal yang sama menyatakan bahawa khadam ayat boleh disuruh menjaga diri, keluarga, harta benda dan lain-lain tujuan.

Apa yang kurang digemari oleh responden, pada mulanya ialah makhluk ini terlalu kerap menjelmakan diri menyerupai dirinya menyebabkan isterinya takut.

Hal demikian sama berlaku seperti yang diakui oleh responden yang membela jin, yang dinamakan sebagai hantu raya.

Tidak ada perjanjian antara orang yang mempunyai khadam ayat dengan makhluk yang menjelma itu bukan merupakan hujah kuat membuktikan makhluk ini sebenarnya khadam ayat, bukan jin.

Individu kedua yang bersahabat dengan rijalul ghaib mendakwa bahawa dia juga tidak ada membuat perjanjian.

Apa yang dilakukan ialah membaca Al-Fatihah sebanyak tiga kali yang disedekahkan kepada rijalul ghaib sebelum dia memanggilnya datang. Makhluk ini amat suka disedekahkan dengan Al-Fatihah.

Tidak kira apa alasan yang diberi sama ada kerana makhluk itu memang taat, seperti yang diminta oleh orang yang terlibat pada mula ia menjelmakan diri atau lain-lain alasan, sifat taat untuk melakukan kejahatan tetap tidak boleh dijadikan hujah membuktikan bahawa makhluk tersebut adalah khadam ayat, bukan jin yang terdiri daripada iblis atau syaitan.

Umar Sulaiman (1985:59-60) menyatakan bahawa syaitan tidak semestinya datang menipu manusia menyuruh manusia meninggalkan perkara-perkara yang baik dan menyuruh melakukan perbuatan jahat.

Sekiranya ia berbuat demikian, manusia akan menyedari bahawa perbuatan tersebut adalah daripada syaitan.

Sebaliknya, makhluk itu akan melakukan pelbagai helah untuk mengelirukan, mengelakkan dirinya daripada diketahui siapakah dirinya yang sebenar menyebabkan manusia beranggapan bahawa syaitan itu adalah wali Allah lalu menganggap perbuatan yang salah itu baik.

Menurut Umar Sulaiman (1985:87) lagi, pengulas at-Tahawiyah menyebutkan tentang adanya golongan syaitan yang dipanggil oleh manusia sebagai rijalul ghaib.

Ada orang yang pernah bercakap dengannya dan menghasilkan sesuatu yang luar biasa, sehingga mereka menyangka bahawa makhluk tersebut adalah wali-wali Allah.

Mereka pada hakikatnya adalah teman-teman kaum musyrikin daripada golongan jin.

Mereka dinamakan 'rijal' seperti yang tersebut dalam firman Allah (al-Jinn: 6): "Dan bahawasanya ada beberapa orang lelaki di antara manusia meminta perlindungan kepada beberapa orang lelaki (rijal) di antara jin, maka jin-jin itu menambah lagi mereka dosa dan kesalahan."

Wallahu a'lam.

BACA INI JUGA:

sumber: utusan

Thursday, January 03, 2019

SBDJ Siri 9: Panjat Bilik Anak Dara

SBDJ Siri 9: Panjat Bilik Anak Dara

Sepanjang malam itu, datuk tidak tidur. Dia duduk termenung di anjung rumah hingga matahari pagi terbit di kaki langit. Cuma ada satu saja yang datuk rasa agak ganjil, setelah menemui manusia berkepala anjing dia tidak mendengar suara perempun menjerit atau menerima pengaduan dari anak buahnya sama ada mereka bertemu atau memburu manusia berkepala anjing.

Panjat bilik anak dara

“Agaknya, dia sudah lari dari sini,” beritahu datuk pada nenek ketika sarapan pagi. Nenek tidak menjawab. Dia cuma merenung muka saya dengan wajah yang sangsi.

“Lari atau menyiapkan diri,” terungkap dari mulut nenek. Datuk tersenyum. Saya terus menghirup air kopi.

“Biasanya perkara yang jahat tidak lama berkuasa,” suara datuk lembut.

“Maksud awak?”

“Yang jahat tidak diperkenankan oleh Tuhan,” sahut datuk dan terus bangun.

Datuk menyuruh saya pergi ke Paya Besar untuk melihat anak-anak getah yang baru ditanam semula. Dia juga menyuruh saya menebang pokok-pokok pisang di celah anak-anak getah.

“Tebang yang mana kau agak boleh merosakkan anak getah kita,” pesan datuk. Saya mengangguk.

Ke Paya Besarlah saya pagi itu dengan basikal tua membawa sebilah parang. Lebih kurang pukul tiga petang saya kembali ke rumah. Terkejut juga saya, bila melihat ada beberapa orang duduk di anjung rumah berbincang dengan datuk.

Saya kira mereka membincangkan peraturan berjaga malam. Saya terus ke sungai untuk mandi. Lepas itu makan dan membaca suratkhabar jawi, memang datuk tidak pernah tinggal membeli akhbar sejak dari zaman muda lagi.

Tanpa diduga datuk memanggil saya. Cepat-cepat saya campakkan surat akhbar dan meluru padanya.

“Ada apa tok?”

“Malam ini, kau turut sama berjaga.”

“Sayaaa..” suara saya mati di situ. Kawan-kawan datuk mengetawakan saya.

“Kau takut?” tanya datuk sesudah suara ketawa kawan-kawannya mati. Semua biji mata kawan-kawan datuk tertumpu ke muka saya.

“Tidak,” jawab saya tegas.

Kawan-kawan datuk berpandangan sama sendiri. Saya ditugaskan berjaga dekat surau hingga ke rumah Haji Shafie, kawan saya yang disyorkan oleh datuk ialah Bidin yang agak tiga suku sedikit perangainya.

Sementara menanti malam tiba, saya berpeluang menyoal datuk tentang kehilangan Imam Hamid. Tidak banyak yang mahu diceritakan oleh datuk tentang Imam Hamid. Datuk cuma mengatakan Imam Hamid meninggalkan kampung kerana urusan peribadi.

Menurut datuk manusia berkepala anjing ini memang sudah lama wujudnya. Tapi dapat diatasi oleh orang yang cukup handal dalam ilmu kebatinan.

“Tapi orang yang macam tu tak ada lagi,” keluh datuk.

Di mukanya terbayang rasa kecewa dan kesal yang amat sangat. Dia bimbang kalau manusia kepala anjing itu tidak dapat dihancurkan, bukan satu perkara yang mustahil ada gadis yang menjadi korbannya.

“Macam mana orang tu boleh jadi begitu tok?” soal saya.

Datuk renung muka saya tepat-tepat. Dia mengaru pangkal dagunya dua tiga kali. Matanya merenung kosong ke depan.

“Kadang berpunca dari keturunan,” ujar datuk.

“Caranya.”

“Boleh jadi masa dulu ada datuk neneknya mengamalkan ilmu itu untuk mempertahankan diri, bukan untuk tujun jahat, maklumlah orang zaman dulu banyak mengembara dalam hutan terpaksa banyak menggunakan berbagai ilmu,” datuk berhenti bercakap.

Dia telan air liur dua tiga kali. Matanya masih juga merenung ke depan.

“Biasanya yang datang dari keturunan tu,” jadi bila dia terdesak dan tak sedarkan diri, umpamanya dipukul oleh orang dengan tidak tentu fasal baru dia jadi, jenis ni tidak merbahaya, boleh dibuang dengan ancak dan rakit ke dalam tujuh kuala sungai. Dan orang itu akan sempurna terus,” saya mendengar cakap datuk dengan penuh teliti.

“Di kampung kita ni macam mana?” soal saya.

“Orang ini menuntut, tapi silap bawa, fasal tu dia mengganas.”

“Silap macam mana?”

“Tujuan dari menuntut untuk diri sendiri, tapi masa dia menuntut tu, boleh jadi dia menjalani pertapaan, masa itu dia dipengaruhi syaitan untuk membawa kerja yang tidak baik.”

“Jadi..”

Mendengar cakap saya itu, datuk jadi tergamam. Bila rasa tergamamnya hilang. Dia tersenyum dan terus menepuk bahu saya dua tiga kali.

“Dia terus jadi syaitan,” tambah datuk

“Kerana itulah bila mahu menuntut ilmu keduniaan, terlebih dahulu mengisi dada dengan ilmu agama, dapat membezakan mana yang direlakan oleh agama dan yang mana pula ditegahnya. Tak boleh main ikut-ikut silap-silap gaya kita terkeluar dari ajaran agama.

“Keluar macam mana?”

“Takbur dan menafikan kebesaran dan kekuasaan Tuhan, sedangkan sesuatu yang berlaku adalah atas kehendaknya, kita boleh jadi murtad,” Datuk segera bangun.

Memang kalau dia masih ada depan saya, banyak lagi pertanyaan yang mahu saya tanyakan. Datuk tahu perangai saya. Dia memilih jalan mudah dengan meninggalkan saya.

Tepat pukul sepuluh malam. Saya dan Bidin tiga suku mudar-mandir dari satu kawasan ke satu kawasan. Kemudain menuju ke kawasan rumah Haji Shafie dengan membawa sebatang kayu panjangnya kira-kira empat kaki.

Saya tidak suka dengan perangai Bidin tiga suku yang suka bercakap besar. Sesekali dia bersilat tidak tentu fasal. Tidak boleh terdengar katak melompat. Dia buka silat.

Kalau dekat dengannya bertabur darah kepala kena kayu di tanganya. Memang saya tahu, Bidin tiga suku baru dua bulan belajar silat cekak.

“Kau jalan seorang dulu Din, aku nak rehat di tangga surau,” kata saya sambil duduk di anak tangga bongsu.

Ketika itu sudah pukul sebelas lebih, bulan mula mengambang. Suara salakan anjing. Mula kedengaran. Sayup-sayup.

“Ok, kalau aku jumpa, aku lipat empat.”

“Jangan begitu, tak baik,” saya terdiam. Bidin tiga suku terus meronda. Dua minit kemudian Bidin tiga suku datang pada saya.

“Kenapa?” tanya saya sambil melihat muka Bidin tiga suku yang pucat lesi.

Dia tidak bersuara, jari kelingkingnya menunjukkan ke arah pangkal pokok mempelam. Dada saya berdebar. Saya beranikan diri pergi ke pangkal pokok mempelam.

Sebaik saja saya sampai ke pangkal pokok tersebut. Saya terserempak dengan seekor kucing hitam belang putih menangkap tikus. Saya segera mendapatkan Bidin tiga suku kembali.

“Tak ada apa pun di situ?” kata saya.

“Di situ, aku jumpa dia, biarlah aku balik dulu, perut aku sakit,” kata Bidin tiga suku terputus-putus.

Saya membenarkan dia pulang. Tahulah saya kenapa Bidin tiga suku jadi begitu. Saya terus berjaga tanpa Bidin tiga suku. Berjaga tanpa kawan bukanlah satu perkara yang menyeronokan.

Dua tiga kali saya membuat keputusan untuk pulang, tapi kerana memikirkan keselamatan orang ramai saya terpaksa juga berjaga. Suara lolongan anjing makin hebat. Sekali-sekala terdengar bunyi suara burung jampok. Tingkah meningkah dengan suara burung hantu.

Angin malam terus juga bertiup, dedaun bergerak. Saya keraskan semangat dan terus meronda. Kalau ada apa-apa yang meragukan hati, saya akan terus memukul bedok memberitahu kawan-kawan lain.

Saya terus berjalan di bawah sinaran bulan yang agak kabur itu. Waktu saya sampai ke pangkal pokok mempelam bagi kali yang ketiga. Saya lihat kucing hitam berbelang putih masih lagi bermain dengan tikus yang ditangkapnya.

Saya berdiri di situ. Tiba-tiba bahu saya ditepuk dari belakang. Darah saya tersirap. Badan saya menggeletar. Tidak berani saya menoleh ke belakang saya benar-benar jadi kelam-kabut.

Saya mula mahu menjerit, tapi sepasang tangan mencekup mulut saya dengan keras. Saya berhempas pulas berusaha melepaskan diri. Saya terasa mulut saya tidak dicekup lagi. Segera saya menoleh ke belakang.

“Pak Imam.”

“Iya, jangan bising,” Imam Hamid memberi amaran.

Dia berkain pelikat. Berbaju Melayu putih dan bersongkok putih. Matanya merah merenung ke muka saya.

“Ke mana Pak Imam menghilang.”

“Itu bukan urusan kau.”

“Pak Imam yang jadi..” belum sempat saya menghabiskan perkataan, Imam Hamid menarik tangan saya ke bawah pokok mempelam.

Dia suruh saya duduk dan dia berdiri gagah di depan saya tidak memalingkan pandangan ke mana-mana. Saya tentang wajahnya dengan harapan di bawah sinaran bulan yang muram, saya dapat melihat pertukaran wajahnya dari manusia kepada anjing.

Apa yang saya harapkan tidak terjadi. Pak Imam tetap berwajah manusia. Suara salakan anjing terus menerus. Burung kian kuat berbunyi. Angin malam menggugurkan mempelam tua. Dengan mendadak saja bulu tengkok saya berdiri.

“Datuk kau berjaga sebelah mana?”

“Sebelah barat Pak Imam.”

“Bagus, satu peluang yang baik.”

“Apa yang Pak Imam cakapkan ini.”

“Kau mana tahu,” suaranya keras sekali.

Dia menarik tangan saya dengan kasar menuju ke surau. Tidak lama kami berdiri dekat surau. Pak Imam menarik tangan saya menuju ke rumah Pak Jalil. Dia berdiri betul-betul dekat tingkap bilik Minah anak dara Pak Jalil.

Saya makin yakin, bahawa manusia berkepala anjing yang dicari selama ini, adalah Pak Imam. Cara yang paling baik saya pilih ialah memukul kepala Pak Imam dekat kayu bila dia terlali.

Sesungguhnya Pak Imam cukup berhati-hati dalam kerjanya. Dia tahu dan ingat tiap langkah yang sudah dan langkah yang akan dibuatnya.

“Saya panggil orang kampung Pak Imam.”

“Jangan," tegahnya.

Saya bertambah bingung dengan sikap dan tindak-tanduk Pak Imam Hamid.

“Mari berlindung,” Pak Imam Hamid menolak badan saya hingga jatuh atas tanah.

Kemudian kami merangkak perlahan-lahan menuju ke pangkal pokok asam jawa yang dikelilingi oleh semak samun. Pak Imam Hamid mendongak ke langit melihat bulan.

Wajahnya nampak muram, kerana bulan dilangit dilindungi oleh awan tebal. Bila awan tebal berlalu bulan tersembul indah di dada langit. Wajah Pak Imam nampak berseri-seri. Mulutnya mula kumat-kamit membaca sesuatu. Dada saya mula berdebar.

Dalam keadaan yang mendebarkan itu, saya lihat Pak Imam Hamid menukar baju dan kain dengan seluar. Seluruh badan Imam Hamid dibalut oleh kain hitam. Songkok putihnya juga ditukar hitam.

“Aku mahu jadi anjing,” katanya sambil menekan batang leher saya ke bumi.

Hidung saya mencium tanah. Imam Hamid meniarap. Sama rata dengan tanah. Dia memberitahu saya supaya jangan lari atau menjerit. Kalau saya tidak menurut perintahnya, dia akan menikam saya dengan lawi ayam. Saya bertambah menggeletar.

Suara anjing bertambah kuat. Angin makin kencang bertiup. Berdetup-detap bunyi ranting menimpa bumi. Bulan terus mengamban. Suara katak bertambah rancak menyanyi.

Imam Hamid masih meniarap. Matanya merenung ke arah runpun senduduk dan serunai laut di sebelah kanan rumah Pak Jalil. Dua ekor anjing hitam keluar dari situ meraung panjang ke bulan.

Ekornya terpacak ke langit. Rumpun seduduk dan serunai laut bergerak hebat. Imam Hamid tidak berkata sepatah apa pun. Mulutnya terus kumat-kamit. Saya lihat matanya tidak berkedip memandang belukar kecil di depannya.

“Lihat katanya,” saya memandang ke depan, seorang lelaki berkulit hitam berkepala anjing keluar dari celah semak itu.

Di meraung bagaikan anjing merenung bulan. Lembaga manusia berkepala anjing melompat ke arah tingkap tempat Minah tidur.

“Datuk kau di mana ?” bisik Imam Hamid.

“Macam saya cakap tadi. Orang ini membalas dendam, selagi keluarga datuk kau tidak dirosakkan dia tidak akan berhenti,”

Saya segera teringat Pak Jalil memang ada hubungan keluarga dengan datuk, malah dalam perkiraan datuk, Minah mahu dijadikannya isteri pada seorang cucunya. Jadi cakap Imam Hamid ini memang ada benarnya. Fikir saya sendirian.

Dalam berfikir begitu saya lihat manusia berkepala anjing menepuk dinding, dan daun tingkap rumah Pak Jalil terkuak dengan sendirinya.

Manusia berkepala anjing melompat ke atas. Bertenggik di bendul tingkap. Saya bertambah kelam-kabut. Imam Hamid bangun menuju ke bawah rumah. Dia terus bertempik dan menjerit sekuat hati, kemudian diikuti dengan suara azan yang nyaring. Saya terus menuju ke surau lalu memukul beduk.

Bila saya pulang ke tempat asal, saya lihat Imam Hamid sedang berhadapan dengan manusia berkepala anjing. Manusia berkepala anjing terus menyerang Imam Hamid.

Dengan tenang Imam Hamid mengelak serangan itu. Saya mendekati Imam Hamid. Dia menyuruh saya pergi jauh. Jelas kedengaran Imam Hamid membaca ayat-ayat suci masa dia bertarung dengan manusia berkepala anjing.

Saya terus berdoa semoga orang-orang kampung akan datang segera ke tempat Imam Hamid. Dalam keadaan yang gawat itu, saya lihat manusia berkepala anjing tidak berdaya menyerang Imam Hamid.  Dia lemah.

Ketika itulah Imam Hamid memasukkan jawi ayam ke perut manusia berkepala anjing. Imam Hamid meneruskan pembacaan ayat-ayat suci.

Manusia berkepala anjing berguling-guling atas tanah. Seluruh isi rumah Pak Jalil terjaga. Dan orang-orang kampung pun tiba. Datuk meluru ke depan, Imam Hamid segera menghalang.

“Jangan dekat dia, biarkan di situ nanti kita akan tahu siapa dia.”

“Biar saya tikam,” kata datuk.

“Jangan, kita cuma boleh menikam hanya sekali, kalau dua kali kita tikam dia tidak akan mati,” terang Imam Hamid. Datuk akur dengan perintahnya itu. Bila manusia berkepala anjing itu berhenti menggelupur, kepalanya segera hilang dan diganti dengan kepala manusia.

“Anjang Dollah,” kata datuk.

Imam Hamid senyum, saya bertambah bingung. Macam mana orang yang sudah mati boleh hidup kembali. Perkara itu segera tanyakan pada Imam Hamid. Dengan senyum Imam Hamid menjawab, “roh dan badannya tidak di terima bumi, keran mengamalkan ilmu salah.”

“Begitu,” sahut saya lembut.

Saya lihat bekas tempat manusia berkepala anjing itu berguling terdapat batang pisang. Datuk terus memotong batng pisang itu tujuh kerat. Dua dibuang ke dalam semak dan yang lima lagi dicampakkan ke laut pada keesokan harinya.

Atas arahan Imam Hamid, dia menyuruh penduduk kampung membaca Yassin empat puluh empat malam berturut. Perintah itu juga dituruti oleh orang-orang kampung. Sejak itu kampung saya tidak diserang oleh manusia berkepala anjing hingga sekarang.

Dua bulan lepas peristiwa itu, datuk mengajak saya pergi ke Kampung Sungai Sadang. Datuk ke situ kerana, dia diajak oleh kenalan rapatnya menangkap burung waktu malam.

Saya membantah rancangannya, tapi datuk yang terkenal dengan keras kepala itu tidak peduli dengan bantahan saya.

Tamat siri 9/284

BACA: SBDJ Siri 8: Manusia Berkepala Anjing
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-SENTIASAPANAS.COM