Tuesday, July 25, 2017

10 Gaya Tidak Bertamadun Rakyat Malaysia Apabila Menaiki Pengangkutan Awam

10 Gaya Tidak Bertamadun Rakyat Malaysia Apabila Menaiki Pengangkutan Awam

Vandalisme bukanlah satu-satunya perilaku minda kelas ketiga yang dimiliki rakyat Malaysia. Hakikatnya, apa yang sering berlaku adalah sikap tidak peduli yang ada dalam segelinitir anggota masyarakat.

Tabiat buruk rakyat malaysia

Sampah dibuang tanpa ada rasa malu, pili air di tandas dicabut, kerusi ditoreh, kerana dalam fikiran mereka, 'apa aku peduli'.

Menjadi masyarakat dengan mentaliti terpuji, bersama etika dan disiplin yang terhormat, telitilah panduan dan senario berikut dan belajarlah sesuatu. Kita boleh menjadi rakyat Malaysia yang hebat!

1. 'Gelabah' Depan Pintu

Beratur di bahagian sisi pintu dan beri laluan pengguna dalam tren untuk keluar terlebih dahulu.

Logiknya, jika anda yang berada di luar terlepas tren, anda masih boleh menaiki tren yang seterusnya.

Tetapi lain ceritanya jika mereka yang berada di dalam tren terlepas stesen, mereka terpaksa turun di stesen lain dan mungkin terpaksa membayar tambang yang lebih untuk kembali ke stesen asal. Kasihan bukan?

Ingatlah, bukan anda saja yang mahu cepat. Bukan anda seorang yang ada urusan.

2. Lapar? Sabar!

Makan dan minum di dalam tren adalah dilarang. Semua orang tahu. Kalau lapar sekalipun, tahanlah. Ini tren, bukan restoran makanan segera.

Jangan pula ada yang bawa makanan yang berbau kuat dan makan penuh nafsu sewaktu berada di dalam gerabak.

Kalau dibungkus, pastikan makanan itu dibungkus dengan kemas dan peganglah dengan berhati-hati.

3. Pengotor

Tutup mulut anda apabila batuk, bersin atau menguap. Terutama sekali ketika waktu puncak kerana pengguna tren akan saling berasakan dan berdiri rapat.

Orang lain memang tak mahu 'direnjis' dengan cecair dari mulut dan hidung anda. Ini adab yang sepatutnya tidak perlu diajar lagi.

4. Pengangkang

Jika tren penuh sesak, tetaplah beringat bahawa satu tempat duduk untuk satu punggung. Peringatan ini khususnya untuk mereka (khususnya lelaki) yang gemar duduk 'mengangkang'.

Sedarlah, kerusi tren tak sebesar sofa di rumah anda. Takkan hilang kelelakian anda jika duduk sopan dan merapatkan kaki.

Oh, dan ingat, tempat duduk juga untuk manusia. Bukan untuk beg. Beg yang besar-besar tu letak sahaja di atas lantai atau pangku sahaja di atas riba.

5. Taman Permainan Di Mana Sahaja

Tolong kawal keghairahan dan kenakalan anak-anak anda. Walaupun banyak 'perkakasan' di dalam tren, ia bukanlah taman permainan.

Jangan benarkan mereka memanjat, terutama kerusi yang diduduki orang ramai. Kasut anak anda yang entah ke mana sudah menapak, dibiarkan pula memijak kerusi yang menjadi tempat duduk orang lain.

Beringatlah tentang konsep najis. Jijiklah!

6. Menjerit Macam Sial

Nak berborak sesama rakan, atau hendak berbual di telefon? Silakan, tapi tak perlulah sampai bersuara 'halilintar' ataupun bertempik dengan menggunakan speaker telefon bimbit anda.

Ironinya, apabila dipandang, tahu pula marah dan tuduh orang lain menyibuk. Eh, orang tak nak tahu pun topik perbualan anda.

7. Berhimpit Depan Pintu Kenapa?

Ketika tren penuh sesak, bergerak masuk ke bahagian tengah tren. Tak perlulah 'cop' tempat di depan pintu. Ia tindakan yang menyusahkan orang lain dan sangat mementingkan diri.

Dalam tren akan ada pemberitahuan atau papan notis tentang stesen yang akan disinggahi, maka apabila menghampiri stesen yang hendak anda tuju, mulalah bergerak perlahan-lahan dari bahagian tengah gerabak ke pintu.

Jangan pula dalam minit-minit terakhir baru terhegeh-hegeh mahu keluar, kerana anda akan menjejaskan aliran pergerakan orang lain.

8. Wakil Beli Token

Kalau travel berkumpulan, cukup hantar seorang wakil untuk beli token. Tak perlulah sampai 10 orang beratur.

9. Tamak Tempat Duduk

Berilah tempat duduk kepada yang lebih memerlukan. Ada wanita hamil, ada warga tua, ada orang kelainan upaya, hormatilah mereka.

Jangan hendak 'mencuri' hak orang lain dan kemudian berpura-pura tidur, atau buat-buat sibuk dengan telefon. Itu trick lama dan sangat lame.

10. Tangan Nakal

Hentikan dan lupakan saja perangai dan keinginan pelik anda untuk memusnah! Kemudahan yang sudah disediakan perlu dijaga demi keselesaan orang ramai dan untuk digunakan bagi tempoh yang lama.

Jangan melakukan perbuatan vandalisme atau laku musnah seperti menconteng, mencalar, mengopek, mengikis, memecahkan sesuatu objek atau peralatan, atau mengotori kawasan.

Semoga mendapaat manfaat.

BACA INI JUGA: Benarkah Rakyat Malaysia Dibelenggu Minda Kelas Ketiga?

sumber: astroawani

Sanggup Buat Lesung Pipit Palsu Untuk Tampil Cantik

Sanggup Buat Lesung Pipit Palsu Untuk Tampil Cantik

Suatu ketika dahulu, pembedahan membesarkan payudara menjadi pilihan wanita, kemudian disusuli pula dengan suntikan membesarkan punggung dan bibir.

Lesung Pipit Palsu
Gambar hiasan.

Dan terkini, trend itu semakin berubah apabila orang ramai mahu menjalani pembedahan plastik bagi membentuk lesung pipit.

Untuk itu, permintaan bagi prosedur berkenaan meningkat dengan ramai yang menjadikan wajah model Miranda Kerr sebagai contoh.

Prosedur bagi menghasilkan lesung pipit palsu itu hanya mengambil masa selama 30 minit sahaja di mana pakar bedah plastik akan membentuk otot pipi.

Otot itu kemudiannya dilekatkan dengan permukaan bawah kulit muka dan lesung pipit akan kelihatan apabila otot muka digerakkan.

Ia bermakna lesung pipit itu hanya akan kelihatan apabila seseorang itu tersenyum.

Kos bagi pembedahan membentuk lubang pada pipi itu berharga antara RM3,400 ke RM10,700.

Pembedahan Lesung Pipit Pertama Di Dunia!

Lesung Pipit Pertama

Seorang gadis yang terdesak ingin memiliki ‘lesung pipit’ sanggup berhabis ribu dolar untuk membuat pembedahan membentuk lesung pipit di pipi.

Ketika itu, peguam yang masih di dalam latihan ini merupakan orang pertama yang sanggup dan telah membuat pembedahan plastik seperti ini beberapa tahun lalu.

Namun, setelah semuanya selesai, gadis ini agak terkejut kerana lesung pipit palsu itu terlampau ke dalam dan nampak pelik.

Ada yang berminat ke?

BACA INI JUGA: Lesung Pipit, Kecantikan Akibat Kecacatan Gen!

sumber: mynewshub | remaja

Kisah Tentera Berjubah Putih, Bantuan Allah Untuk Palestin

Kisah Tentera Berjubah Putih, Bantuan Allah Untuk Palestin

Walaupun bekas Perdana Menteri Israel, Ariel Sharon pernah bersumpah untuk membakar setiap bayi di Palestin, ia sedikit pun tidak melemahkan semangat rakyat Bumi Anbiya ini daripada berjuang menentang kekejaman rejim Zionis.

Tentera Berjubah Putih
Gambar hiasan.

"Wanita dan kanak-kanak Palestin lebih bahaya berbanding lelaki dewasa. Selagi mereka masih kelihatan, ia menunjukkan generasi itu akan berterusan," ucap Sharon ketika melafazkan sumpahnya itu pada tahun 1956.

Sumpah Sharon

Titik tolak daripada lafaz sumpah itu, Israel sehingga hari ini sengaja menyasarkan roketnya ke arah penempatan padat di Palestin. Tujuannya jelas, mahu menunaikan sumpah Sharon dengan menghapuskan pewaris di bumi Palestin.

Malah, bagi Israel, ancaman kanak-kanak Palestin lebih bahaya berbanding pemuda dewasa. Apa tidaknya, pada usia muda sudah ramai kanak-kanak Palestin yang menghafal al-Quran.

Selain kekentalan semangat rakyat Palestin, sebenarnya ada 'kekuatan lain' yang menjadikan para mujahidin mampu menentang rejim Zionis walaupun hanya menggunakan senjata tinggalan perang.

Kisah kemunculan 'pasukan lain' yang turut bertempur, jasad para syuhada yang seharum kasturi dan beberapa peristiwa aneh sepanjang perjuangan menentang Yahudi bukan sekadar menjadi buah mulut para pejuang dan wartawan malah turut disebarkan oleh para khatib dalam khutbah Jumaat mereka.

Laman blog Filisthin Al-Aan pernah menulis pada Januari 2009 bagaimana waris seorang mujahidin Briged Ezzedine al-Qassam dibelasah dengan teruk oleh tentera Israel selepas didakwa berbohong.

"Tentera Israel bertanya kepada anak lelaki kepada seorang pejuang palestin yang ditahan, apakah warna pakaian tentera al-Qassam. Anak itu menjawab, seragam berwarna hitam.

"Selepas tiga hari anak itu memberi jawapan yang sama, tentera itu berang kerana menyangka kanak-kanak itu berbohong, lalu dia dipukul hingga pengsan.

"Jangan berbohong, al-Qassam berseragam putih, bukannya hitam," sergah tentera berkenaan.

Dalam satu kejadian lain, sekumpulan tentera Israel telah menahan sebuah ambulans. Apabila pemandunya ditanya adakah dia daripada kelompok Hamas atau Fatah, pemandu tersebut menjawab, 'saya bukan Hamas atau Fatah. Saya hanya pemandu ambulans'.

Seragam putih

Tentera tersebut bertanya lagi, 'pasukan yang berpakaian putih di belakang kamu tadi dari kelompok mana?'

Pemandu itu kelihatan bingung sebelum menjawab, 'saya tidak tahu. Tiada siapa di belakang saya sepanjang perjalanan ke mari'.

Cerita tentang tentera berseragam putih seakan-akan menghantui tentera Israel. Mereka tidak tahu dari mana kumpulan ini datang, malah jejaknya juga sukar dikesan.

Malah, seorang bekas tentera Zionis yang pernah ditemuramah stesen televisyen tempatan Israel kini buta kedua-dua matanya selepas berhadapan dengan tentera berbaju putih.

"Saya merupakan seorang daripada tentera penggempur yang ditugaskan ke Gaza beberapa tahun lalu.

"Semasa bertugas di sana, pada suatu hari saya didatangi oleh seorang tentera berpakaian putih yang menaburkan pasir ke dalam mata saya. Akibat kejadian itu, sehingga saat ini saya menjadi buta," katanya.

Sebelum itu, kumpulannya juga pernah terserempak dengan sekumpulan tentera berseragam putih dan berjanggut panjang. Namun apabila ditembak, tentera berbaju putih itu tidak mati sebaliknya tidak diketahui ke mana menghilangnya.

Dalam situasi lain pula, seorang khatib di Masjid al-Qassam yang terletak di wilayah Nashirat Gaza bercerita dalam khutbahnya tentang 'bantuan Allah' kepada pejuang Palestin.

"Pejuang tersebut telah menanam satu jerangkap samar untuk menyambut kedatangan tentera Zionis di satu kawasan lapang.

"Tidak lama kemudian, dia melihat sebuah helikopter menurunkan tentera Zionis disertai beberapa kereta kebal. Mereka melalui kawasan tempat dia memasang jerangkap samar tersebut.

"Pejuang tersebut memutuskan untuk kembali ke markas kerana mengandaikan jerangkap yang dipasangnya tidak boleh menghapuskan tentera yang ramai itu.

"Akan tetapi sebelum dia berganjak, terdengar bisikan di telinganya yang bermaksud, 'tetaplah di tempatmu maka Allah akan menguatkanmu'.

Al-Quran penyelamat

"Dia mencari dari mana datangnya suara itu namun tidak ternampak kelibat manusia lain. Akhirnya, dia menunggu di situ.

"Tidak lama kemudian, tanpa disangka-sangka ketika sebuah kereta kebal melalui kawasan jerangkap samar, kejaiban berlaku.

"Jerangkap samar itu meledak dengan dahsyat sehingga menghancurkan kereta kebal tersebut dan membunuh ramai tentera Israel.

"Malah, sebahagian tentera yang terselamat terpaksa diangkut semula ke helikopter sedangkan pejuang itu masih berdiri dalam keadaan selamat," cerita khatib tersebut.

Sementara itu, pakar perubatan yang menjalankan misi kemanusiaan di Hospital As-Syifa, Gaza, Dr. Hisam Az-Zaghah memberitahu, pernah berlaku kejadian aneh ketika dia sedang merawat seorang mangsa perang.

"Mangsa mengalami luka di kaki dan badan akibat terkena serpihan bom dan sisa runtuhan. Namun apa yang menakjubkan ketika mencuci luka tersebut, saya terjumpa sebutir peluru di poket lelaki berkenaan.

"Ajaibnya, kelongsong peluru yang masih panas itu tidak menembusi jantung mangsa kerana terhalang oleh sebuah buku doa dan mushaf al-Quran yang ada di dalam poket mangsa.

"Hanya buku doa itu yang berlubang dan muka depan mushaf itu rosak. Isi al-Quran langsung tidak terjejas sedangkan peluru itu sendiri bentuknya sudah hampir hancur," cerita Hisam.

Selain itu, Pengarah Jabatan Hubungan Sosial, Kementerian Kesihatan Gaza, Hamam Nisman memberitahu, angka kelahiran bayi di Gaza turut meningkat walaupun kematian yang dicatatkan di wilayah itu lebih tinggi berbanding wilayah lain di Palestin.

Menurut Nisman, sepanjang 22 hari Israel melancarkan serangan besar-besaran ke atas Gaza pada 27 Disember 2008 hingga 17 Januari 2009, seramai 1,412 rakyat Gaza, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak terkorban.

"Namun di sebalik kematian lebih 1,000 rakyatnya, seramai 5,000 bayi dilahirkan. Ini merupakan peningkatan luar biasa kerana secara puratanya dalam sebulan Gaza hanya mencatatkan kelahiran antara 3,000 hingga 4,000 bayi.

"Pendek kata, dalam tempoh kemuncak konflik Israel-Palestin, kami hilang seribu rakyat tetapi Allah telah gantikan mereka dengan 4,000 pejuang baharu," ujar Nisman.

BACA INI JUGA: Briged Al-Qassam, Perjuangan Atas Nama Allah

sumber: kosmo

Peristiwa Penting Hari Ini Dalam Sejarah Dunia (25 Julai)

Peristiwa Penting Hari Ini Dalam Sejarah Dunia (25 Julai)

Tanggal 25 Julai merupakan hari ke 206 (hari ke 207 dalam tahun lompat) dalam kalendar Gregory dan tinggal 159 hari lagi sebelum memasuki tahun selepasnya.

Concorde Air France
Concorde Air France.

Hari ini juga merupakan sambutan Hari Perlembagaan Komanwel di Puerto Rico (1952).

Peristiwa

306 – Constantine I diisytiharkan sebagai Maharaja Rom oleh angkatan tenteranya selepas kematian Constantius Chlorus.

1261 – Empayar Latin berakhir apabila angkatan tentera Nicaea pimpinan Alexios Strategopoulos menawan Constantinople, mengasaskan semula Empayar Byzantine.

1536 – Konkuistador Sepanyol Sebastián de Belalcázar mengasaskan Santiago de Cali di barat Colombia kini semasa mencari bandar mitos El Dorado.

1909 РJuruterbang Perancis Louis Bl̩riot menjadi orang pertama menyeberangi Selat Inggeris dengan mesin penerbangan yang lebih berat daripada udara.

1957 – Lebih setahun selepas memperolehi kemerdekaan daripada Perancis, Tunisia menghapuskan sistem berajanya, Dinasti Husain dan menjadi republik.

1978 – Bayi tabung uji pertama di dunia, Louise Brown dilahirkan di Oldham, England.

2000 – Penerbangan 4590 Concorde Air France terhempas di Gonesse, Perancis, sejurus selepas berlepas dari Paris, mengorbankan 113 orang.

2007 – Pratibha Patil menjadi wanita pertama dilantik menjadi Presiden India.

2010 – WikiLeaks menerbitkan 75 ribu dokumen sulit mengenai Perang di Afghanistan, dengan butiran didedahkan tiga akhbar utama secara serentak.

2012 – Lebih 40 orang terbunuh dalam pertempuran antara pemberontak dan askar kerajaan Tajik di Gorno-Badakhshan.

Kelahiran

1848 - Arthur James Balfour, seorang Perdana Menteri United Kingdom.

Kematian

1973 - Louis St. Laurent, Perdana Menteri Kanada Ke-12.

2009 - Yasmin Ahmad, pengarah filem Malaysia.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: Peristiwa Penting Hari Ini Dalam Sejarah Dunia (24 Julai)

sumber: wikipedia

Monday, July 24, 2017

Israel Isytihar Baitulmaqdis Sebagai Ibu Negara Yahudi?

Israel Isytihar Baitulmaqdis Sebagai Ibu Negara Yahudi?

Untuk pertama kalinya dalam sejarah sejak 1969, Israel berani menghalang umat Islam daripada beribadat di Masjid Al-Aqsa, Palestin.

Palestin menentang Yahudi

Lebih dahsyat, tentera Zionis bukan setakat menembak mati tiga warga Palestin yang menentang halangan Israel ini serta mencederakan 140 yang lain, mereka bahkan menembak Imam Masjid Al-Aqsa yang juga merupakan bekas Mufti Besar Palestin Sheikh Ikrima Sabri selepas solat.

Tragedi terbaru Al-Aqsa ini sebenarnya hanya membuktikan satu perkara, Israel tidak teragak-agak untuk meluaskan penjajahan mereka ke atas Palestin dan Baitulmaqdis setiap kali negara Arab saling bertelingkah sesama sendiri.

Berulang kali dapat kita saksikan pola ini, apabila tentera Syria berundur dari Lubnan, Israel tidak mengambil masa lama untuk melancarkan serangan ke atas Selatan Lubnan dan seterusnya Gaza.

Apabila Hamas memenangi pilihan raya Palestin diboikot negara Arab, terus sahaja Israel menyerang Gaza.

Apabila Presiden Mohammed Mursi dari Ikhwan Muslimin dikudeta tentera Mesir, terus sahaja Israel meningkatkan serangan dan kepungan berkali ganda ke atas Gaza.

Jelas sekali Israel tidak pernah berlengah menyerang Palestin apabila berlakunya krisis antara negara-negara Arab.

Terkini, negara-negara Arab yang sepatutnya dalam proses pembentukan pakatan tentera ala-NATO Arab telah berpecah sesama sendiri dalam kes pemulauan ke atas Qatar.

Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Mesir, dan Bahrain telah memboikot Qatar dan mendesak Doha menghentikan bantuan kepada Hamas yang mempertahankan Palestin daripada dijajah pendudukan haram Yahudi.

Malah, negara-negara Arab ini juga mendesak Qatar menutup pangkalan tentera Turki di negaranya. Langkah ini menunjukkan negara-negara Arab tidak mengambil iktibar akan apa yang Israel mampu lakukan ke atas Palestin setiap kali negara Arab sibuk bercakaran sesama sendiri.

Hal ini cukup mengecewakan kerana negara-negara Arab , termasuklah Qatar yang sudah pun menjalani latihan ketenteraan bersama sewaktu latihan North Thunder 2016 dan mereka telah pun bekerjasama dalam krisis Syria dan Yaman.

Tambahan pula, Arab Saudi baru sahaja memeterai pembelian persenjataan melebihi 100 bilion USD dengan Amerika Syarikat (AS) sewaktu kunjungan presidennya Donald Trump ke Riyadh Summit.

Kesemua persediaan ini sepatutnya dijuruskan ke arah mempertahankan maruah umat Islam dan kedaulatan Palestin, bukannya dihalakan ke arah sesama sendiri, apatah lagi ke atas Qatar iaitu sebuah negara yang memiliki potensi ekonomi besar dengan bekalan simpanan gas terbesar dunia.

Lebih mengecewakan, hubungan antara negara Arab dengan Turki turut terjejas akibat peristiwa ini manakala sebahagian negara Islam lain turut berdepan dilema apabila Arab Saudi mengenakan desakan agar mengikut serta tindakan mereka memulau Qatar.

Ternyata pertelingkahan demi pertelingkahan sesama negara Arab ini sangat tidak strategik buat kepentingan umat Islam, khususnya di Palestin yang sentiasa menjadi tumpuan peluasan penjajahan Israel.

Kajian sarjana Patricia A Weitsman dalam karya beliau ‘Waging War: Alliances, Coalitions, and Institutions of Interstate Violence’ terbitan Stanford University Press perlu didalami dalam memahami realiti ini.

Beliau telah mengkaji lima siri peperangan iaitu Perang Teluk Pertama, Perang Kosovo, Perang Afghanistan, Perang Iraq, dan Perang Libya.

Ternyata, banyaknya perjanjian pakatan ketenteraan, tingginya teknologi tentera yang dimiliki, hebatnya latihan ketenteraan yang dijalani, serta besarnya keupayaan ketenteraan yang dimiliki sesebuah pakatan tentera tidak menjamin kelancaran mahupun keberkesanan pakatan tersebut.

Sebaliknya, struktur pembuatan keputusan, imbangan kepentingan negara-negara sekutu dan serantau juga perlu diambil kira.

Demikianlah halnya dengan Arab Saudi yang dilihat kini mengetuai pakatan negara Arab.

Dalam keadaan hari ini, hubungan Arab Saudi yang makin renggang dengan Qatar dan Turki telah melemahkan sama sekali potensi pakatan NATO Arab untuk mempertahankan Palestin dan kesucian Masjid Al-Aqsa.

Negara Arab tidak sepatutnya alpa bahawa Israel telah pun secara haram mengisytiharkan Baitulmaqdis sebagai ibu negara mereka.

Negara Arab tidak sepatutnya lupa Trump pernah berjanji untuk mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.

Negara Arab juga tidak sepatutnya leka dengan hakikat bahawa Israel berjaya merampas Baitulmaqdis Timur selepas menewaskan pakatan negara Arab pada 1967 hanya dalam tempoh enam hari.

Ketahuilah, segala kekuatan persenjataan moden milik negara-negara Arab pada hari ini, termasuklah Arab Saudi yang baru menandatangani perjanjian perolehan aset dengan AS, ditambah pula dengan kekuatan Turki yang mendapat manfaat daripada penyertaan dalam NATO, tidak bermakna sama sekali selagi darah warga Palestin ditumpahkan secara berterusan manakala bumi Palestin terus dijajah dengan lebih rakus oleh Zionis.

BACA INI JUGA: Bagaimana Perang Salib Pertama Tercetus Dan Baitulmaqdis Ditawan

sumber: sinarharian

27 Fakta Menarik Chester Bennington, Penyanyi Linkin Park Yang Membunuh Diri

27 Fakta Menarik Chester Bennington, Penyanyi Linkin Park Yang Membunuh Diri

Chester Bennington yang meninggal dunia pada usia 41 tahun telah mengejutkan dunia dengan tindakannya yang dipercayai membunuh diri dengan cara menggantung diri.

Chester Bennington

Namun, sebelum anda menghukum penyanyi terkenal ini, berikut merupakan 27 fakta menarik tentang penyanyi Linkin Park, Chester Bennington.

Latar belakang dan kisah awal kehidupan Chester

1. Chester Charles Bennington dilahirkan di Phoenix, Arizona pada 20 Mac 1976.

2. Ibunya seorang jururawat, manakala bapanya seorang pegawai penyiasat polis bagi kes-kes penderaan seksual kanak-kanak.

3. Ibu bapanya bercerai pada usianya 11 tahun dan bapanya mengambil alih hak penjagaan.

4. Pada usia remaja, Chester terlibat dalam kancah penagihan dadah dan alkohol.

5. Pada usia 17 tahun, Chester duduk dengan ibunya dan dilarang keluar dari rumah kerana aktiviti ketagihan dadahnya dan kemudian berjaya meninggalkan tabiat buruk itu.

6. Sewaktu di sekolah, Chester selalu dibuli kerana tubuh badannya yang kurus dan perwatakan berbeza.

7. Pada tahun 2012, Chester dalam satu temubual bersama media mendedahkan bahawa dia pernah berhadapan penderaan seksual ketika usianya tujuh tahun. Penderaan itu dilakukan oleh rakan lelakinya yang berusia lebih tua.

Dalam temubual itu, Chester mengakui takut untuk memberitahu bapanya perkara sebenar. Dia kemudian mula melukis dan menulis puisi bagi melegakan tekanannya. Identiti pendera berkenaan diketahui bapanya namun Chester tidak meneruskan dakwaan di mahkamah kerana pelaku tersebut juga merupakan seorang mangsa penderaan seksual.

8. Chester bekerja di kedai makanan segera Burger King sebelum memulakan kerjaya sebagai pemuzik profesional.

Perkahwinan

9. Mempunyai seorang anak hasil hubungannya dengan Elka Brand.

10. Kemudian Chester berkahwin kali pertama dengan Samantha Marie Olit pada tahun 1996 dan mempunyai seorang anak lelaki Draven Sebastian Bennington – lahir pada 19 April 2002. Dia dan Samantha bercerai pada tahun 2005.

11. Perkahwinan kedua Chester bersama bekas model Playboy Talinda Ann Bentley dikurniakan tiga anak iaitu Tyler Lee Bennington dan kembar perempuan Lily dan Lila.

12. Chester dan Bentley pernah diganggu oleh seorang peminat tegarnya bernama Devon Townsend. Devon kemudian dihukum penjara dua tahun kerana didapati bersalah menghantar emel dan mesej ugutan kepada Chester dan Bentley.

13. Hubungan Chester bersama Talinda kekal sehingga Chester meninggal dunia.

14. Jumlah anak Chester bagi dua perkahwinan adalah enam orang termasuk seorang anak angkat, Isaiah.

Fakta menarik

15. Merupakan seorang peminat tegar tatu dan aktif di sebuah salon tatu Club Tattoo di Arizona.

16. Selain Linkin Park, Chester juga dikenali sebagai penyayi utama bagi kumpulan Dead by Sunrise dan Stone Temple Pilots sejak tahun 2013 sehingga 2015.

17. Pernah patah pergelangan tangan ketika melakukan terjunan dalam persembahan di konsert Rod Laver Arena di Melbourne, pada tahun 2007. Walaupun cedera, Chester tetap meneruskan persembahan sehingga tamat dan kemudian terus ke wad kecemasan.

18. Linkin Park pernah membatalkan tiga konsert dan menjadualkan semula dua konsert jelajah kerana tahap kesihatan Chester.

19. Juga merupakan peminat sukan bola keranjang dan peminat tegar pasukan Phoenix Suns.

20. Chester pernah muncul sebagai cameo dalam filem Crank pada tahun 2006. Chester juga pernah berlakon dalam filem Saw 3D: The Final Chapter membawa watak Evan.

Konsert di Malaysia

21. Chester telah ke Kuala Lumpur sebanyak dua kali untuk membuat persembahan bersama Linkin Park dalam siri konsert jelajah Asianya.

22. Kali pertama pada tahun 2003 di Stadium Merdeka dan kali kedua di Stadium Bukit Jalil pada tahun 2013.

Kematiannya

23. Sebilangan peminat beranggapan tindakan Chester membunuh diri ada kaitan dengan kematian kawan baiknya Chris Cornell yang merupakan penyanyi utama Audioslave.

24. Chester meninggal dunia pada hari ulangtahun Chris ke 53.

25. Chris juga meninggal dunia dengan menggantungkan diri, dua bulan sebelumnya. Chester memberi penghormatan dengan membawakan lagu Hallelujah oleh Leonard Cohen sewaktu hari pengebumian Chris.

26. Chester merupakan bapa pembaptisan bagi anak lelaki Chris.

27. Mayat Chester ditemui tergantung pada jam 9 pagi 20 Julai 2017 (waktu tempatan) di rumahnya di Palos Verdes Estates, California. Mike Shinoda mengesahkan berita itu dan berkata ia satu berita yang mengejutkan dan menyedihkan tetapi benar.

BACA INI JUGA:

sumber: astroawani

Kuasa Ajaib Kalimah 'Terima Kasih'

Kuasa Ajaib Kalimah 'Terima Kasih'

Seorang wanita bernama Adlil Rajiah menceritakan pengalamannya berurusan di sebuah pasar raya ketika cuba untuk melemparkan senyuman kepada seorang pekerja lelaki yang bertugas di kaunter timbang sayur sebagai tanda hormat namun tidak dibalas.

Adlil Rajiah

Menerusi status Facebook yang telah dimuat naik oleh Adlil, wanita itu mencoretkan kisah yang dihadapinya bersama lelaki tersebut.

"I went to Giant to buy some sayur.
So masa beratur nak timbang tu, saya perhati je muka brother kat penimbang tu.
Ketatnya la haiii.

Saya cakap dalam hati--kalau aku bagi pikap line confirm dia tak gelak ni. Ketat sangat nih.

So I just smiled looking at him, sambil dalam hati saya doakan semoga Allah berikan dia good news sampai dia boleh senyum lebar selebar lebarnya.

Bila sampai giliran saya untuk timbang--muka dia masih ketat.
Langsung tak pandang saya.
Apatah lagi nak senyum.

Ah lantak lah.
Habis timbang, saya ambik sayur saya, dan cakap--"Terima kasih."

Tiba-tiba brother tu pandang saya. And he said-- "Sama-sama kak. Akak lah orang pertama yang cakap terima kasih kat saya hari ni. Kalau semua pelanggan macam akak, pandai cakap terima kasih, semangat lah sikit saya nak kerja jaga penimbang nih."

Andddddd he was SMILING!
Sampai nampak gigi dia yang cantik tersusun.

MasyaAllah.
How a simple "thank you" can actually lift up someone's mood.

Saya sendiri tak sangka dan mungkin Allah dah makbulkan doa saya, so terus saya jadi good news untuk mamat tu.

But Alhamdulillah, I'm happy that Allah gerakkan lidah saya untuk ucap terima kasih and be the reason for his wide smile.

So moral of the story -- never underestimate the power of "terima kasih".

We never know how empowering it can be to boost people's emotional drive.

So jom hidupkan budaya berterima kasih--walaupun kat benda-benda kecik atau common sense.

Kita berterima kasih bukan sebab nak menghargai semata-mata, tapi sebagai tanda syukur kerana Allah permudahkan urusan kita melalui orang-orang tersebut.

Walaupun kepada penimbang sayur, atau kepada pengutip sampah atau tukang cuci jamban.

TERIMA KASIH.

Dan sebagai ibu bapa, untuk tanam budaya terima kasih dalam diri anak-anak, we have to lower down our ego and always say thank you to our children.

When they listen to us, say thank you.
When they kiss us, say thank you.
When they finish their food, say thank you.
When they behaved, say thank you.
When they help people, say thank you.

Tak luak pun hormat mereka terhadap kita, bila kita berterima kasih kepada anak-anak.
Malah anak-anak akan semakin hormat dan hargai ibu bapa, insyaAllah.

The best parenting is through AKHLAK. Kan?

Haa. Kemain berguna moral lesson yang aku dapat daripada brother penimbang tu tadi.
Terus abadikan sebagai status FB.

Apa pun, saya percaya hidup kita pasti akan gembira, bila kita tahu menggembirakan dan menghargai orang lain.

Because we always receive the vibes you send out.
Happy Monday, peeps!" tulis Adlil.

BACA INI JUGA: Terima Kasih Ya Rasulullah!

sumber: astroawani

Gambar 'Mengerikan' Kaki Pelumba Basikal Tour de France Selepas Perlumbaan Viral

Gambar 'Mengerikan' Kaki Pelumba Basikal Tour de France Selepas Perlumbaan Viral

Tour de France 2017 baru saja usai namun, kehebohan yang mewarnai acara lumba basikal itu masih jadi topik dikalangan peminat apabila foto kaki atlet dari Poland, Pawel Poljanski, viral beberapa hari yang lalu.

Pawel Poljanski leg

Pawel Poljanski telah memuat naik gambar kakinya di instagram @p.poljanski dalam keadaan yang sangat 'mengerikan' dengan kedua belah kaki atlet lumba basikal dari pasukan Bora Hansgrohe itu dipenuhi urat-urat yang menonjol dan bahagian lutut kelihatan merah akibat sinaran matahari.

Foto yang diberi caption, "Setelah menyelesaikan 16 tahap, kaki saya kelihatan sedikit keletihan" sudah mendapat tanda like sebanyak 44,032.

Dari ribuan komentar yang masuk, rata-ratanya meletak rasa simpati kepada Pawel yang terpaksa memikul tugasnya sebagai pelumba basikal profesional.

"Itu tidak sihat, kawan," ujar salah satu pengguna.

Pawel Poljanski leg

Keadaan yang dialami Pawel Poljanski bukanlah keadaan "mengerikan" pertama kerana Chris Froome yang pada 2014 lalu pernah berkongsi gambar foto yang sama.

Menurut Dr Bradley Launikonis dari University of Queensland School of Biomedical Science, keadaan itu merupakan lumrah untuk atlet lumba basikal jarak jauh.

"Jumlah darah yang biasanya turun ke kaki kita adalah lima meter setiap minit, sedangkan bagi atlet biasa, maksimum akan menurunkan 20 liter seminit yang mengalir melalui otot," kata Bradley dikutip dari ABC.

Apalagi buat atlet lumba basikal seperti Pawel Poljanski, sudah pasti berkali-kali ganda.

"Dua kali ganda atau sekitar 40 liter seminit, mereka memiliki volume darah yang sangat besar."

Untuk gambar kaki Pawel Poljanski, itu adalah gumpalan darah di pembuluh darahnya, kata Bradley lagi.

BACA INI JUGA: Gambar-gambar Ngeri Yang Pernah Menggemparkan Dunia

sumber: liputan6