Wednesday, June 21, 2017

Panduan Semakan Penerima Darjah Kebesaran, Bintang Dan Pangkat Secara Online

Panduan Semakan Penerima Darjah Kebesaran, Bintang Dan Pangkat Secara Online

Jika anda mahu menyemak sama ada gelaran kebesaran yang digunakan oleh seseorang individu itu adalah sahih dan diiktiraf kerajaan, anda boleh merujuk laman sesawang Bahagian Istiadat di Jabatan Perdana Menteri www.istiadat.gov.my.

Semakan Anugerah

Laman web ini mempunyai senarai lengkap yang dikemaskini mengenai semua penerima anugerah, sama ada yang dikurniakan Yang di-Pertuan Agong ataupun sumber-sumber yang diiktiraf.

Usaha ini diambil untuk menangani masalah penyalahgunaan gelaran kebesaran seperti Datuk dan Datuk Seri yang diragui kesahihan sumbernya.

Mengikut dasar dan peraturan semasa, hanya penganugerahan yang dikurniakan oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan dan Raja bagi negeri-negeri bersultan atau beraja serta Yang Dipertua Negeri akan diiktiraf.

Bagi darjah dari negara asing, hanya yang dikurniakan oleh ketua negara ataupun ketua kerajaan sesebuah negara asing yang berdaulat akan diiktiraf.

Anugerah yang diberikan oleh pertubuhan, persatuan atau mana-mana institusi dalam dan luar negara yang tidak mempunyai kekuasaan politik dan wujud hanya sebagai pusat kebudayaan dan pemuliharaan adat budaya dan tradisi sahaja adalah tidak termasuk dalam kategori penganugerahan yang diiktiraf.

Dan bagi memastikan suatu penganugerahan itu dikawal rapi di peringkat Persekutuan, Bahagian Istiadat dan Urusetia Persidangan Antarabangsa di Jabatan Perdana Menteri mempunyai satu rekod lengkap dan kemaskini mengenai semua penerima anugerah Persekutuan.

Tindakan ini adalah bagi memastikan gelaran atau pingat yang dianugerahkan mempunyai daftar rekod yang sahih selain menggelak daripada timbulnya kekeliruan dan keraguan tentang senarai penerima anugerah darjah kebesaran, bintang dan pingat persekutuan.

Senarai penerima anugerah hanya akan disiarkan sehari selepas majlis penganugerahan.

BACA INI JUGA:

sumber: sinarharian

8 Perkataan Baru Termasuk Tular (Viral) Dan Swafoto (Selfie) Masih Ramai Tak Tahu

8 Perkataan Baru Termasuk Tular (Viral) Dan Swafoto (Selfie) Masih Ramai Tak Tahu

Tinjauan pendapat mendapati orang ramai lebih selesa menggunakan ‘selfie’ berbanding istilah baru bahasa Melayu swafoto dan ‘viral’ berbanding tular.

Tular atau Viral
Gambar hiasan.

Antara alasan diberikan ialah sudah terbiasa dan lebih mudah difahami berbanding perkataan bahasa Melayu yang baru diperkenalkan itu.

Itu antara hasil tinjauan mengenai lapan istilah bahasa Melayu yang diperkenalkan yang sebelum ini menggunakan bahasa Inggeris, iaitu:
  1. tular (viral)
  2. suri teladan (role model)
  3. jerayawara (road show)
  4. latar pentas (back drop)
  5. gegantung (bunting)
  6. imej tumpu (highlight)
  7. pascanilai (post mortem)
  8. swafoto (selfie)

Istilah bahasa Inggeris itu amat popular di media sosial sehingga pakar rujuk bahasa Melayu, Ismail Dahaman berpendapat sikap malas membuka kamus Bahasa Melayu antara punca sesetengah istillah bahasa Melayu masih janggal digunakan.

Hasil tinjauan menunjukkan 80.9 peratus daripada 157 responden memberi jawapan sedemikian bagi soalan adakah mereka lebih selesa menggunakan perkataan bahasa Inggeris berbanding bahasa Melayu.

Sebanyak 22 peratus berpendapat bahasa Melayu terlalu banyak mengalami perubahan hasil adaptasi daripada bahasa Inggeris yang menyukarkan untuk diadaptasi dalam kehidupan seharian.

Sebanyak 86.2 peratus responden langsung tidak menggunakan istilah baru bahasa Melayu itu sebelum ini kerana hampir separuh responden baru menyedari kewujudannya.

Selepas mengetahui kewujudan lapan istilah berkenaan, 70 peratus responden mengakui tidak akan menggunakannya dalam perbualan harian dengan alasan ia janggal dan tidak selesa digunakan.

Berdasarkan komen diberikan, 25 peratus responden menyatakan kurang pendedahan terhadap istilah itu,

BACA INI JUGA: Nama Paling Unik Di Malaysia, Viva anak Proton Saga!

sumber: hmetro

Sambutan Hari Muzik Sedunia, World Music Day

Sambutan Hari Muzik Sedunia, World Music Day

Sambutan Hari Muzik Sedunia, World Music Day juga dikenali sebagai 'Fête de la Musique' atau Hari Muzik atau Hari Membuat Muzik, adalah sambutan muzik tahunan yang berlangsung pada 21 Jun setiap tahun.

World Music Day

Konsep sambutan muzik sepanjang hari ini, dimulakan oleh Menteri Kebudayaan Perancis, Jack Lang. Festival ini kemudiannya disambut di lebih daripada 120 negara di seluruh dunia.

Pada bulan Oktober 1981, Maurice Fleuret pengarah muzik dan tarian mendapat permintaan daripada Jack Lang, untuk menerapkan satu evolusi baru berkaitan konsep muzik, "Musik di mana-mana dan juga konsert".

Dalam satu kajian pada 1982, dalam budaya Perancis yang seramai lima juta orang, apabila seseorang mula memainkan alat muzik, ia akan mengajak bersama seramai mungkin orang bersamanya di jalanan.

Kemudian terciptalah festival muzik pertama yang berlangsung pada tahun 1982 di Paris dan dikenali sebagai Fête de la Musique.

Sejak itu, festival itu telah menjadi fenomena diperingkat antarabangsa, dirayakan pada hari yang sama di lebih dari 700 bandaraya di 120 negara.

Fête de la Musique bertujuan untuk mempromosikan muzik dalam dua cara:

Pada hari sambutan, pemuzik amatur dan profesional disarankan untuk melakukan persembahan jalanan dengan slogan "Faites de la musique" atau "membuat muzik".

Selamat menyambut Hari Muzik Sedunia.

BACA INI JUGA:

-SENTIASAPANAS.COM

Adakah Batal Puasa Jika Berbekam Atau Menderma Darah?

Adakah Batal Puasa Jika Berbekam Atau Menderma Darah?

Apakah hukum puasa seseorang yang ingin menderma darah ataupun mengambil ujian darah atau berbekam ketika dirinya berpuasa?

Hukum Berbekam Ketika Puasa

Jawapan:

Isu mengenai menderma darah serta mengambil ujian darah tidak dibincangkan secara khusus di dalam kitab-kitab fiqh klasik.

Ianya mula dibincangkan oleh para fuqaha’ mu’asirin dan perbincangan asas terhadap permasalahan ini bertitik-tolak dari hukum berbekam ketika berpuasa.

Disebabkan oleh itu, perlulah untuk kita mengetahui dahulu hukum berkenaan dengan berbekam ketika berpuasa kerana dengannya menjadi asal kepada qiyas bagi hukum menderma darah dan mengambil ujian darah.

Bagi permasalahan berbekam ketika puasa, terdapat dua pandangan yang masyhur:

PERTAMA: MEMBATALKAN PUASA

Ulama’ terdahulu yang mengatakan terbatalnya puasa dengan berbekam adalah seperti al-Imam Ahmad, al-Imam Ibn Sirin, al-Imam Ato’, al-Imam al-Auza’ie, al-Imam Ishak, al-Imam Ibn al-Munzir, al-Imam Ibn Khuzaimah dan ini juga adalah ikhtiar pendapat Ibn Taimiyyah Rahimahumullah.

Manakala dari kalangan sahabat pula adalah seperti Saidina Ali, Abu Hurairah dan ‘Aisyah R.Anhum.

Ulama’ dari kalangan salaf dan khalaf yang mengatakan terbatalnya puasa dengan sebab berbekam menggunakan dalil dari sebuah hadith Nabi SAW.

Maksudnya, “Terbatal (puasa) orang yang membekam dan yang di bekam”. Riwayat Abu Daud (2369), Al-Tirmizi (774) & Ibn Majah (1679)

Dikalangan ulama’ kontemporari pula, Syeikh Ibn Baaz, Syeikh Ibn ‘Uthaymeen, Syeikh Soleh al-Munajjid dan juga Syeikh Soleh Fauzan.

Berdasarkan pendapat yang terbatalnya puasa dengan berbekam maka ianya diqiyaskan dengan keadaan seseorang yang mendermakan darah dan disebabkan oleh itu, mereka yang menderma darah, maka terbatallah puasanya.

KEDUA: TIDAK MEMBATALKAN PUASA

Ianya adalah pendapat jumhur iaitu pendapat al-Imam Abu Hanifah, al-Imam Malik, al-Imam al-Syafi’ie dan selainnya.

Manakala dari kalangan sahabat yang berpendapat bahawa tidak terbatalnya puasa adalah Ibn Mas’ud, Ibn Umar, Ibn Abbas, Anas bin Malik, Abu Sa’id al-Khudri dan sekumpulan dari kalangan salaf yang lain.

Dalil yang digunakan bagi mengatakan berbekam tidak membatalkan puasa adalah daripada Ibn ‘Abbas R.Anhuma yang mana mengatakan: Maksudnya: "Rasulullah SAW telah berbekam dan Baginda sedang berpuasa." Riwayat Al-Bukhari (1939), Abu Daud (2372) & Al-Tirmizi (776)

Oleh itu, dengan melihat bahawa hukum berbekam tidak membatalkan puasa, maka ianya diqiyaskan dengan hukum menderma darah yang mana ianya juga tidak membatalkan puasa.

Perbahasan Dalil

Zahir perbahasan melihat bahawa terdapat dua hadith sahih yang saling bercanggah. Sebuah hadith mengatakan batalnya puasa kerana berbekam dan sebuah hadith lagi sebaliknya.

Bagi mereka yang berpendapat bahawa tidak terbatalnya puasa dengan berbekam, mereka mengatakan bahawa hadith adalah termansukh.

Ianya termansukh dengan hadith Abi Sa’id al-Khudri RA: Maksudnya: "Nabi SAW memberikan rukhsah bagi orang yang berpuasa untuk berbekam." Riwayat Al-Nasa’ie di dalam al-Kubra (3224), Ibn Khuzaimah di dalam Sahihnya (1967)

Ibn Hazm Rahimahullah menyebutkan bahawa: “Sanad-sanadnya sahih dan wajib berpegang dengannya kerana datangnya rukhsah setelah adanya ‘azimah dan ianya menunjukkan kepada mansukhnya hukum terbatal puasa kerana berbekam bagi yang membekam dan yang di bekam.”

Ini juga adalah pendapat al-Imam al-Syafi’e, al-Baihaqi dan juga Ibn ‘Abd al-Bar yang mana mengatakan hadith telah termansukh.

Difahami juga melalui hadith ini, sebahagiannya dengan takwilan yang mana tegahan berbekam ketika berpuasa itu adalah ditakuti melemahkan badan seterusnya menyebabkan seseorang itu berbuka puasa kerana banyaknya darah yang keluar.

Ini seperti mana riwayat Anas bin Malik RA yang ditanyakan tentang berbekam: Maksudnya, “Adakah kamu membenci berbekam bagi orang yang berpuasa?” Berkata Anas bin Malik RA: “Tidak, kecuali jika ia melemahkan (tubuh badan).” Riwayat Al-Bukhari (1940)

Kesimpulan

Melihat kepada perbahasan ini, kami lebih cenderung kepada pendapat jumhur yang mana mengatakan bahawa berbekam itu tidak membatalkan puasa.

Berdasarkan pendapat di atas juga kami mengatakan bahawa hukum menderma darah ketika berpuasa adalah harus dan juga tidak membatalkan puasa secara umumnya.

Sekiranya dengan menderma darah boleh melemahkan tubuh badan seseorang, maka pada keadaan itu makruh.

Ini juga adalah keputusan yang dikeluarkan oleh Dar al-Ifta Jordan yang mana mengatakan ianya tidak membatalkan puasa kerana menderma darah bukanlah dengan erti memasukkan sesuatu bahkan ianya mengeluarkan sesuatu.

Ianya zahir dari perkataan Ibn ‘Abbas R.Anhuma yang menyebutkan, “Adalah yang membatalkan puasa itu sesuatu yang masuk ke dalam dan bukannya sesuatu yang keluar.”

Adapun mengambil ujian darah, maka ianya juga diharuskan dan tidak membatalkan puasa.

Jika dinisbahkan ujian darah dengan menderma darah, maka kita dapati bahawa jumlah darah yang keluar dengan menderma darah lebih banyak kuantitinya daripada darah yang diambil untuk tujuan ujian.

Wallahu a’lam.

BACA INI JUGA: Benarkah Mengorek Telinga Dan Hidung Membatalkan Puasa?

sumber: muftiwp

Sambutan Hari Yoga Antarabangsa, International Yoga Day

Sambutan Hari Yoga Antarabangsa, International Yoga Day

Sambutan Hari Yoga Antarabangsa, International Yoga Day yang disambut pada 21 Jun setiap tahun diraikan untuk meningkatkan kesedaran mengenai manfaat yang luar biasa berkaitan Yoga.

International Yoga Day

21 Jun telah dipilih untuk Hari Yoga kerana ia adalah hari yang penuh bermakna dan mempunyai kapasiti untuk membawa penyatuan positif di dunia.

Pada hari sambutan, acara yang dianjurkan akan menyaksikan peminat yoga melaksanakan pelbagai 'asanas' (keadaan), bermula dengan 'surya namaskaram' (sapaan matahari), senaman pernafasan dan meditasi.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) pada 11 Disember 2014, telah mengisytiharkan 21 Jun sebagai Hari Yoga Antarabangsa.

Idea mewujudkan Hari Yoga Antarabangsa telah dicadangkan oleh Perdana Menteri India, Narendra Modi di UNGA, dengan menyifatkan yoga sebagai 'pendekatan holistik terhadap kesihatan dan kesejahteraan".

Yoga, asalnya dilakukan dalam ritual agama di India, 10,000 tahun yang lalu, telah berkembang menjadi satu bentuk senaman untuk kesihatan tubuh dan minda.

Selamat menyambut Hari Yoga Antarabangsa.

BACA INI JUGA:

sumber: kosmo

Peristiwa Penting Hari Ini Dalam Sejarah Dunia (21 Jun)

Peristiwa Penting Hari Ini Dalam Sejarah Dunia (21 Jun)

Tarikh 21 Jun merupakan hari ke 172 (hari ke 173 dalam tahun lompat) dalam kalendar Gregory dengan tinggal 193 hari lagi sebelum memasuki tahun selepasnya.

SpaceShipOne
SpaceShipOne.

Hari ini juga merupakan sambutan Hari Solstis, Hari Orang Asli Kebangsaan di Kanada dan Hari Muzik Sedunia.

Peristiwa

217 SM - Perang Punic Kedua: Angkatan Carthage di bawah Hannibal menjalankan antara serangan hendap terbesar dalam sejarah semasa menewaskan orang Rom.

1734 - Seorang abdi hitam yang dikenali sebagai Marie-Joseph Angélique diseksa dan kemudian digantung di Perancis Baru.

1788 - New Hampshire meratifikasi Perlembagaan Amerika Syarikat dan diterima sebagai negeri A.S. yang kesembilan.

1813 - Perang Semenanjung: Gabungan tentera Britain, Portugis dan Sepanyol pimpinan Marquis Wellington menewaskan Perancis berhampiran Vitoria, Sepanyol.

1864 - Perang tanah New Zealand: Kempen Tauranga tamat dengan kemenangan British.

1985 - Greenland mula menggunakan bendera sendiri (gambar), dengan itu menambah sokongan kepada gerakan kemerdekaan daripada Denmark.

2000 - Pindaan Seksyen 28 Akta Kerajaan Tempatan yang penuh dengan perbalahan dimansuhkan di Scotland dengan undi 99:17.

2004 - SpaceShipOne (gambar) berjaya melakukan penerbangan angkasa lepas manusia swasta yang pertama, mencecah kawasan hampagas di angkasa pada altitud 100 km.

2011 - Ban Ki-moon terpilih untuk penggal kedua sebagai Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Kelahiran

1826 - Frederick Hamilton-Temple-Blackwood, Gabenor Jeneral Kanada Ke-3.

1953 - Benazir Bhutto, Perdana Menteri Pakistan ke-12.

1967 - Yingluck Shinawatra, Perdana Menteri Thailand ke-28.

Kematian

1876 - Antonio López de Santa Anna, Presiden Mexico.

1970 - Sukarno, Presiden Indonesia yang pertama.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: Peristiwa Penting Hari Ini Dalam Sejarah Dunia (20 Jun)

sumber: wikipedia

Sambutan Hari Hidrografi Sedunia, World Hydrography Day

Sambutan Hari Hidrografi Sedunia, World Hydrography Day

Sambutan Hari Hidrografi Sedunia, World Hydrography Day pada 21 Jun setiap tahun sejak 2005 disambut bagi memperingati hari penubuhan Biro Hidrografi Antarabangsa (IHB) pada 1921 di Perancis, yang mana ketika itu hanya disertai oleh 19 negara.

Hari Hidrografi Sedunia

Pada tahun 1970, IHO telah ditubuhkan bagi menggantikan IHB bagaimanapun, IHB masih dikekalkan sehingga kini sebagai badan yang menguruskan pentadbiran IHO.

Bagi mengiktiraf peranan yang telah dimainkan oleh IHB, IHO dan komuniti hidrografi antarabangsa, pengisytiharan tarikh sambutan Hari Hidrografi Sedunia telah dibuat secara rasmi melalui satu resolusi oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 29 Jun 2005.

Kepakaran bidang hidrografi

Tugas asal perkhidmatan hidrografi TLDM adalah melaksanakan pengukuran hidrografi dan penghasilan produk nautika untuk kegunaan pelayaran di perairan negara.

Produk yang dihasilkan lebih mengutamakan keperluan pertahanan dan keselamatan pelayaran.

Namun, peranan tersebut telah meningkat merangkumi pelbagai cabang bidang hidrografi seperti oseanografi, kartografi dan meteorologi selaras dengan perkembangan industri maritim dan pertahanan negara.

Sumbangan


Sumbangan warga hidrografi TLDM terhadap industri maritim negara begitu sinonim dengan kewujudan PHN sendiri sebagai sebuah agensi yang layak dan bertanggungjawab untuk melaksanakan pengukuran hidrografi di Malaysia.

IHO mendefinisikan hidrografi sebagai satu cabang sains gunaan yang berkaitan dengan pengukuran dan penerangan ciri-ciri fizikal lautan, laut, kawasan persisiran pantai, tasik dan sungai serta ramalan perubahan ke atas elemen tersebut mengikut peredaran masa.

Ia bagi tujuan keselamatan pelayaran dan menyokong aktiviti-aktiviti marin lain termasuk pembangunan ekonomi, keselamatan dan pertahanan, penyelidikan saintifik serta perlindungan alam sekitar.

Definisi tersebut cukup menggambarkan kepentingan dan sumbangan bidang hidrografi kepada sesebuah negara.

Ia tidak terhad kepada anggota hidrografi TLDM, tetapi turut melibatkan individu yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam bidang itu di negara ini.

Sebahagian besar sumber ekonomi negara datangnya dari laut melalui industri perikanan, perkapalan, cari gali minyak. Laut juga merupakan laluan masuk serta keluar komoditi utama negara.

Bagi membolehkan kesemua aktiviti berkenaan berjalan dengan lancar, carta pandu arah diperlukan sebagai rujukan bagi menentukan kedudukan sesuatu kawasan atau platform (kapal, pelantar minyak dan sebagainya) di laut.

Carta pandu arah ini membolehkan keseluruhan perairan negara diterokai untuk eksplorasi dan eksploitasi sumber asli yang terdapat di dasarnya. Menggunakan carta pandu arah juga, sesebuah kapal dapat belayar dengan selamat.

Secara ringkasnya, sumbangan warga hidrografi TLDM kepada industri maritim negara lebih kepada memastikan keselamatan pelayaran di perairan negara melalui penerbitan produk nautika.

Sumbangan yang diberikan turut melibatkan isu-isu teknikal persempadanan zon maritim negara, kajian saintifik marin, kajian hidraulik, pembangunan pesisir pantai, pelancongan dan sebagainya

Secara umumnya, TLDM mempunyai dua platform yang boleh melaksanakan pengukuran hidrografi di laut iaitu kapal hidrografi KD Mutiara dan KD Perantau.

KD Mutiara mula beroperasi dalam perkhidmatan TLDM pada 1977. Selain dilengkapi sistem pengukuran hidrografi, ia juga dilengkapi empat bot ukur dan dua bot kerja untuk pengukuran di kawasan cetek.

KD Perantau yang mula beroperasi pada 1998 telah direka dan dilengkapi khusus untuk operasi pengukuran hidrografi serta melaksanakan pemerhatian meteorologi dan cerapan oseanografi.

Ia turut dilengkapi sistem pengukuran terkini untuk navigasi dan hidrografi seperti Navigation and Command System (NACOS) dan Digital Survey and Mapping System 'HYDROMAP'.

Peralatan lain termasuk Sistem Perbezaaan Pemposisian Sejagat (DGPS), Pemerum Gema Berbilang Sisi, Hull Mounted Acoustic Current Profiller (ADCP) dan kelengkapan lain untuk operasi oseanografi serta meteorologi.

Kapal itu juga dilengkapi dua buah bot ukur iaitu Bot Ukur Utarid dan Pluto. Kedua-dua kapal berkenaan berpangkalan di Pangkalan TLDM Lumut.

Sejarah hidrografi di Malaysia

Sejarah pengukuran hidrografi di perairan Malaysia bermula sejak kurun ke-18 oleh Tentera Laut Diraja British (TLDB).

Pengunduran British dari Tanah Melayu telah memberi ruang kepada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) mewujudkan perkhidmatan hidrografinya sendiri tanpa bantuan daripada TLDB.

Pada awal 1965, kumpulan pertama pegawai dan anggota hidrografi TLDM telah dihantar menjalani latihan di Australia.

Penubuhan Cawangan Hidrografi dalam TLDM direalisasikan pada 1969 dan kapal penyapu periuk api yang telah diubah suai merupakan aset pertama digunakan sebagai alat pengukuran hidrografi.

Pada 31 Oktober 1972, TLDM dilantik sebagai agensi yang bertanggungjawab melaksanakan pengukuran hidrografi di Malaysia oleh Kabinet.

Sejak itu, pembangunan dan peranan yang dimainkan oleh Cawangan Hidrografi TLDM terus berkembang selaras dengan penglibatan negara dalam Pertubuhan Hidrografi Antarabangsa (IHO) pada 1975.

Melalui penglibatan tersebut, secara tidak langsung Ketua Pengarah Hidrografi merupakan wakil rasmi kerajaan Malaysia ke persidangan IHO yang diadakan setiap lima tahun.

Dari segi aset pengukuran, kapal hidrografi pertama iaitu Kapal Diraja (KD) Mutiara telah diperoleh pada 1977 bagi meningkatkan keupayaan pengukuran hidrografi TLDM sekali gus membolehkan penerbitan carta nautika yang pertama dibuat pada 1984.

Ia diikuti perolehan kapal hidrografi kedua iaitu KD Perantau pada 1998 yang dilengkapi sistem pengukuran terkini dan tercanggih di rantau Asia Tenggara ketika itu.

Dalam pada itu, proses penerbitan Carta Pandu Arah Elektronik (ENC) telah mula diterbitkan pada 2000 dan sehingga kini, 103 sel ENC telah diterbitkan untuk pasaran antarabangsa atau kegunaan domestik.

Penubuhan Pusat Hidrografi Nasional (PHN) secara dasarnya telah dicadangkan di bawah program Pembangunan Istimewa Angkatan Tetap (Perista) sejak 1979.

Bagaimanapun, atas sebab-sebab tertentu pembangunan PHN hanya dapat dilaksanakan pada 2002 dan siap sepenuhnya pada 2005.

Pembangunan PHN dilaksanakan secara berperingkat-peringkat melibatkan kawasan paya bakau yang ditebus guna seluas 50 hektar di Pulau Indah, Pelabuhan Klang, Selangor.

Sehingga kini, pembangunan hanya melibatkan fasa pertama merangkumi pembinaan Bangunan Pentadbiran, Bangunan Cetak, Blok Kediaman Bujang, Bangunan Kartografi dan Oseanografi, Bangunan KD Sri Klang (KDSK), Jeti dan Gedung Senjata yang disiapkan pada 15 Oktober 2005.

Selamat menyambut Hari Hidrografi Sedunia.

BACA INI JUGA:

sumber: utusan

Tuesday, June 20, 2017

Anak Kambing Pelik Tiada Mata Dan Miliki Bibir Seperti Manusia

Anak Kambing Pelik Tiada Mata Dan Miliki Bibir Seperti Manusia

Seorang petani nekad untuk memelihara seekor anak kambing yang dilahirkan tanpa mata dan mempunyai mulut menyerupai manusia meskipun jiran-jirannya menyifatkan kambing itu sebagai `jahat’.

Goat Without Eyes

Jiran V. Chandra sebelum ini mendesaknya membiarkan sahaja anak kambing itu untuk mati, namun dia dan isterinya enggan berbuat demikian.

Mereka sebaliknya menjaga anak kambing itu di ladang mereka di Balussery, Kozhikode di Kerala.

“Kami terkejut apabila melihat anak kambing itu dilahirkan tanpa mata. Keluarga saya telah terlibat dalam memelihara kambing dari satu generasi ke satu generasi namun tidak pernah melihat perkara sumpama ini,’’ katanya.

Goat Without Eyes

Menurut Chandra, doktor haiwan memberitahu anak kambing itu mengalami penyakit yang mengakibatkan kehilangan tisu tertentu semasa pembentukan dalam perut.

Manakala pakar pula berpendapat keadaan itu mungkin berpunca akibat pendedahan kepada X-ray, bahan kimia dan virus.

BACA INI JUGA: Gempar! Anak Kambing Bermata Dajjal

sumber: mynewshub

Panduan Qada’ Puasa Dan Pembayaran Fidyah

Panduan Qada’ Puasa Dan Pembayaran Fidyah

Siapakah yang harus membayar qada’ puasa dan menunaikan fidyah? Bagaimanakah cara melaksanakannya? Semoga perkongsian ini mampu memberikan jawapannya.

Masalah puasa dan fidyah

Yang dimaksud dengan qada’ adalah mengerjakan suatu ibadah yang memiliki batasan waktu di luar waktunya. Jadi, siapa yang terkena Qada’ puasa dan masalah tentang pembayaran fidyah?

Qada' Puasa dan Fidyah Yang Dikenakan

1. Orang yang meninggalkan puasa Ramadhan kerana uzur syar’ie (musafir, haid atau nifas atau wiladah), sakit yang ada harapan sembuh.

Denda:
  • Wajib Qada’ puasa.
  • Sekiranya hingga datang Ramadhan berikutnya dia tidak ‘menggantikan puasanya, maka wajib dia Qada’ puasa dan membayar Fidyah.

2. Orang sakit yang tiada kemungkinan atau harapan untuk sembuh yang disahkan oleh doktor tidak boleh berpuasa.

Denda:
  • Tidak wajib Qada’ puasa.
  • Wajib bayar Fidyah pada tahun tersebut.

3. Ibu hamil atau yang masih menyusui anaknya yang tidak berpuasa di bulan Ramadhan dengan sebab, bimbang akan kesihatan dirinya sahaja atau bimbang akan kesihatan dirinya dan janinnya/anaknya.

Denda:
  • Wajib Qada’ puasa.
  • Tidak wajib bayar Fidyah.
  • Sekiranya hingga datang Ramadhan berikutnya dia tidak ‘menggantikan puasanya, maka wajib dia Qada’ puasa dan membayar Fidyah.

4. Ibu hamil atau yang masih menyusui anaknya yang tidak berpuasa di bulan Ramadhan dengan sebab bimbang akan kesihatan janinnya, anaknya sahaja.

Denda:
  • Wajib Qada’ puasa.
  • Wajib bayar Fidyah.

5. Orang yang telah meninggal dunia dan tidak sempat menggantikan puasanya.

Denda:

  • Tanggungjawab membayar fidyah si mati dilaksanakan oleh waris-warisnya mengikut bilangan hari yang ditinggalkan

Hukum fidyah

Hukum membayar fidyah adalah wajib. Ia wajib disempurnakan mengikut bilangan hari yang ditinggalkan. Ia juga menjadi satu tanggungan (hutang) kepada Allah SWT sekiranya tidak dilaksanakan.

Namun, dengan membayar fidyah tidak bermakna seseorang itu tidak perlu menggantikan puasa yang wajib diganti mengikut bilangan hari ditinggalkan (bagi) yang mampu).

Kadar Fidyah

Jika seseorang meninggalkan puasa selama tiga hari dan tidak menggantikan puasanya sehingga tiga kali bulan Ramadhan, maka kadar fidyahnya ialah: Harga semasa secupak beras (675 gram) x tiga hari x tiga tahun. *sila rujuk kadar semasa fidyah.

Hasil kutipan fidyah akan disalurkan kepada golongan fakir atau miskin sahaja.

Fidyah boleh dibayar di cawangan pusat zakat atau amil bertauliah menggunakan WANG TUNAI sebelum tiba Ramadhan tahun berikutnya bagi mengelakkan gandaan puasa.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: Adakah Batal Puasa Pesakit Mengambil Ubat Yang Diletakkan Di bawah Lidah?

sumber: maij