Friday, June 09, 2017

Adakah Batal Puasa Pesakit Mengambil Ubat Yang Diletakkan Di bawah Lidah?

Loading...

Seorang pesakit yang perlu mengambil sublingual medication, iaitu ubat yang diletakkan dibawah lidahnya, adakah boleh menyebabkan puasanya terbatal?

Sublingual Medication

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Kemajuan di dalam bidang sains perubatan khususnya di dalam bidang farmasi melalui hasil kajian dan eksperimen telah membawa kaedah perubatan dan pengubatan ke tahap yang lebih tinggi dan terkini.

Suka di sini untuk kami jelaskan secara ringkas mengenai subligual medication ini agar gambaran awal tentang kaedah pengubatan ini dapat difahami oleh masyarakat Islam dan kaitannya dalam hukum-hakam berkaitan dengan puasa.

Sublingual Medication

Sublingual di dalam bahasa Latin membawa maksud ‘di bawah lidah’. Ianya merujuk kepada proses pengubatan bagi sesetengah penyakit di mana pil atau tablet diletakkan di bawah lidah dan ia kemudiannya meresap masuk ke dalam saluran darah manusia dengan lebih cepat.

Ianya berbeza dengan pengambilan ubat/pil secara oral (kaedah biasa dengan menelan ubat tersebut) kerana kaedah oral memerlukan sesuatu ubat itu melalui banyak proses sebelum ianya dihadamkan di dalam perut.

Adapun ubat sublingual ini, ianya hanya diletakkan di bawah lidah dan setelah bertindak balas dengan mucouse membrane yang terletak di bawah lidah, ubat tersebut akan terus meresap ke dalam badan melalui saluran darah dan tindak balas terhadap ubat ini adalah sangat pantas tidak seperti kaedah pengubatan secara oral.

Ini seperti mana yang terdapat di dalam ubat bagi mereka yang terkena serangan jantung yang memerlukan tindak balas ubat dengan kadar yang segera.

Terdapat banyak ubat yang dikategorikan sebagai sublingual medication, antaranya:
  • Ubat sakit jantung (nitroglycerin, verapamil)
  • Steroids
  • Sebahagian ubat Barbiturate
  • Enzyme
  • Vitamin
  • Sesetengah ubat bagi masalah mental

Adakah Pengambilan Sublingual Medication Membatalkan Puasa?

Melihat kepada kaedah pengubatan sublingual ini, kami berpendapat bahawa pengambilan ubat jenis sebegini tidak membatalkan puasa.

Mengikut mazhab al-Imam al-Syafi’e sesuatu ‘ain yang memasuki rongga yang terbuka maka ianya membatalkan puasa.

Al-Jauf di sisi mazhab kita bermakna otak dan apa yang melepasi bahagian kerongkong hingga ke perut dan ianya berlainan dengan apa yang memasuki selain dari rongga yang terbuka.

Seperti ubat yang diletakkan di atas luka, meskipun sampai ke dalam otak atau daging maka ianya tidak membatalkan puasa kerana ianya tidak dikira sebagai rongga yang terbuka.

Adapun sublingual medication, ianya hanya diletakkan di bawah lidah dan tidak melepasi bahagian kerongkong dan terus meresap ke saluran darah dengan kadar yang pantas.

Ini sepertimana yang telah diputuskan oleh Majma’ al-Fiqh al-Islami yang mana setelah kajian dijalankan serta mendengar penjelasan daripada pakar perubatan dan para ulama’ memutuskan bahawa penggunaan sublingual medication tidak membatalkan puasa bagi penyakit jantung dan juga yang lainnya selagi mana ianya tidak ditelan melepasi kerongkong.

Ini juga sepertimana yang telah difatwakan oleh Dar al-Ifta Jordan yang mana mengatakan, “Mengambil ubat pil, tablet yang diletakkan di bawah lidah tidak membatalkan puasa kerana ianya tidak sampai kepada rongga yang terbuka tetapi, jika ianya ditelan, maka batallah puasanya.”

Jawapan yang sama juga telah diberikan oleh Dar al-Ifta Mesir yang mana mengatakan ianya tidak membatalkan puasa dan ianya telah dijawab oleh Mufti Mesir (sekarang) Prof. Dr. Shauqi Ibrahim ‘Allam Hafizahullah sejak tahun 2013 lagi.

Wallahu a’lam.

BACA INI JUGA: Puasa Dan Kelebihannya Menurut Kajian Sains

sumber: muftiwp

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon