Sunday, June 04, 2017

Serlahkan Bakat Anak Anda Dalam Pertandingan ‘Doodle 4 Google’ Sempena Hari Malaysia

Serlahkan Bakat Anak Anda Dalam Pertandingan ‘Doodle 4 Google’ Sempena Hari Malaysia

Google Malaysia kembali menganjurkan pertandingan Doodle 4 Google #d4gmy selepas penganjuran pertamanya pada tahun 2014.

Doodle 4 Google

Pertandingan ini terbuka kepada semua pelajar sekolah rendah, menengah menerusi empat kategori utama untuk peserta berusia dari tujuh 17 tahun.

Pertandingan ini dianjurkan bertujuan untuk membolehkan pelajar sekolah di negara ini untuk mempamerkan kreativiti, keseronokan dan keaslian dengan menghantar rekaan Doodle yang menarik dan unik.

Bertemakan "Menyambut Kepelbagaian Malaysia" karya pemenang Doodle terbaik akan dipaparkan di google.com.my pada 16 September ini bersempena sambutan Hari Malaysia.

Pengarah Urusan Google Malaysia, Vietnam dan Filipina, Sajith Sivanandan berkata pertandingan ini diadakan bagi membolehkan pelajar merai kepelbagaian di Malaysia.

"Apa yang kita lakukan ialah menggalakkan enam juta pelajar sekolah di Malaysia untuk menjadi lebih kreatif seterusnya memahami kepelbagaian di Malaysia tetapi mereka perlu menghasilkan logo Google dengan kreatif," katanya.

Sivanandan ditemui di ibu pejabat Google semasa pelancaran Doodle 4 Google #d4gmy di ibu negara.

Penganjuran pertandingan ini buat kali keduanya di Malaysia diadakan kerana pihaknya hanya memilih hari-hari yang penting bagi mengadakan pertandingan seperti ini.

"Kami turut mengadakan pertandingan ini di negara-negara lain tetapi ia bukanlah diadakan setiap tahun kerana kami hanya memilih hari atau peristiwa-peristiwa yang penting sahaja."

Doodle ialah perubahan tematik yang dibuat pada logo Google dan ia dibuat khusus untuk menyambut peristiwa-peristiwa penting dan hari-hari bersejarah.

Sebelum ini, penghargaan diberi kepada seniman agung, Tan Sri P Ramlee untuk memperingati hari kelahiran beliau pada 22 Mac 2017 lalu.

Kebiasaannya, rekaan Doodle ini direka secara eksklusif oleh kumpulan Doodle Google sendiri tetapi kali ini Google membuka peluang kepada pelajar-pelajar sekolah menonjolkan kebolehan dan bakat mereka.

Borang penyertaan boleh dimuat turun di events.withgoogle.com/d4gmy.

Pertandingan bermula pada 1 Jun dan berakhir pada 31 Julai 2017.

Semoga berjaya.

BACA INI JUGA: Apakah Maksud Doodle?

sumber: astroawani

Peristiwa Penting Hari Ini Dalam Sejarah Dunia (4 Jun)

Peristiwa Penting Hari Ini Dalam Sejarah Dunia (4 Jun)

Tanggal 4 Jun merupakan hari ke 155 (hari ke 156 dalam tahun lompat) dalam kalendar Gregory dengan tinggal 210 hari lagi sebelum memasuki tahun selepasnya.

Istana kota Osaka
Istana kota Osaka.

Hari ini merupakan Hari Kemerdekaan di Tonga (1970).

Peristiwa

1615 - Angkatan tentera di bawah Syogun Tokugawa Ieyasu menawan Istana kota Osaka (gambar) di Jepun.

1792 - Kapten George Vancouver menuntut Selat Puget di Barat Laut Pasifik untuk Kerajaan Great Britain.

1920 - Kerajaan Hungary dibahagikan kepada lima buah negara selepas pemeteraian Perjanjian Trianon di Paris.

1939 - Kapal laut Jerman SS St. Louis yang membawa 963 pelarian Holokus Yahudi dinafikan keizinan untuk berlabuh di Amerika Syarikat, selepas turut ditolak di Cuba.

1940 - Perang Dunia Kedua: Tentera Pihak Berikat yang menjaga Pemindahan Dunkirk menyerah, memberikan Jerman kemenangan taktik dalam Pertempuran Dunkirk.

1942 - Perang Pasifik: Pertempuran Midway (gambar) bermula dengan serangan besar-besaran Empayar Jepun ke atas Atol Midway.

1989 - Tentera Pembebasan Rakyat Republik Rakyat China bertindak keras terhadap bantahan Dataran Tiananmen di Beijing, menyebabkan sekurang-kurangnya 241 orang maut dan 7,000 cedera.

1989 - Selepas kematian Ruhollah Khomeini, Majlis Pakar melantik Ali Khamenei sebagai Pemimpin Agung Iran.

2010 - Naoto Kan menjadi Perdana Menteri Jepun selepas Yukio Hatoyama meletak jawatan.

2010 - Pihak berkuasa kesihatan Nigeria mengumumkan yang 163 orang telah maut akibat keracunan plumbum di Negeri Zamfara sejak Mac.

2011 - Gunung berapi Puyehue di Chile meletus (gambar), memaksa 3,500 penduduk dipindahkan.

2011 - Presiden Yaman Ali Abdullah Saleh cedera dalam serangan terhadap istana presiden dan dipindahkan ke Arab Saudi untuk rawatan.

Kelahiran

1738 - George III, Raja United Kingdom.

1952 - Bronisław Komorowski, Presiden Poland ke-5.

1971 - James Callis, pelakon Inggeris.

1985 - Lukas Podolski, pasukan bola sepak Bayern Munich.

Kematian

1876 - Abd-ul-Aziz, Sultan Empayar Uthmaniyyah.

2013 - S. Shamsudin, seniman Melayu terkenal 1960-an.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: Peristiwa Penting Hari Ini Dalam Sejarah Dunia (3 Jun)

sumber: wikipedia

Kenapa Memperbanyakkan Doa Di Bulan Ramadhan?

Kenapa Memperbanyakkan Doa Di Bulan Ramadhan?

Dalam satu riwayat, Nabi SAW menyebut: “Sekiranya manusia menyedari kebaikan-kebaikan Ramadhan, pasti mereka akan mengharapkan supaya sepanjang tahun adalah Ramadhan.”

Berdoa

Antara amalan yang biasa kita terlepas pandang pada bulan ini ialah memperbanyakkan doa.

Dalam riwayat Bazzar, Nabi menyebut: “Sesungguhnya Allah SWT mempunyai hamba-hamba yang dibebaskan (daripada api neraka) pada setiap siang dan malam (bulan Ramadhan) dan bagi setiap orang Islam ada doa yang dimakbulkan pada setiap siang dan malam (Ramadhan).”

Dalam riwayat yang lain pula menyebutkan: “Tiga orang yang tidak ditolak doa-doa mereka, seorang yang berpuasa sehingga dia berbuka. Seorang imam (pemerintah) yang adil dan doa seseorang yang dizalimi.”

Banyak riwayat menyebut doa seseorang yang berpuasa dimakbulkan. Oleh itu, Ramadhan merupakan kesempatan terbaik untuk kita memohon pelbagai hajat daripada Allah yang Maha Pemurah.

Kita semua adalah hamba Allah yang memang sentiasa berhajat. Allah pula adalah zat yang Maha Kaya. Kayanya Allah sehinggakan tidak berhajat kepada mana-mana ciptaan-Nya. Bahkan Dia adalah zat yang menunaikan hajat dan keperluan semua makhluk.

Bersangka baik

Nabi bersabda: “Apabila seseorang Muslim berdoa, maka Allah akan beri kepadanya salah satu daripada tiga perkara, dengan syarat dia tidak berdoa untuk memutuskan silaturahim dan tidak juga berdoa untuk sebarang dosa:

1 Sama ada dia mendapat apa-apa yang telah didoakan atau

2 Sebagai ganti daripada doa itu satu musibah atau keburukan dijauhkan atau

3 Di akhirat nanti pahala akan diberikan mengikut kadar doanya.”

Berdasarkan hadis ini, kita seharusnya bersangka baik dengan Allah tentang penerimaan doa-doa kita. Allah Maha Mengetahui akan apa yang terbaik untuk diri kita. Seperti seorang anak kecil yang meminta sebilah pisau daripada ibunya untuk bermain.

Sudah pasti ibunya akan menggantikan alat yang lebih sesuai untuk anaknya bermain. Tidak sesukar mana bagi seorang ibu untuk menunaikan permintaan itu, namun kebijaksanaan ibu tadi jelas mengatasi kebijaksanaan seorang anak kecil yang tidak mengerti apa-apa.

Begitu juga dalam konteks permintaan kita dengan Allah yang dipanjatkan menerusi doa. Allah dengan sifat kerahiman-Nya Maha Mengetahui akan kemaslahatan hamba-Nya.

Terdapat banyak masa yang khusus akan penerimaan doa sepanjang bulan Ramadan.

Oleh itu, memperbanyakkan doa pada bulan yang berkat ini adalah satu perkara yang penting. Kemalasan dan kecuaian kita untuk memperbanyakkan doa merupakan satu kerugian yang nyata.

Satu perkara yang perlu diberi penekanan di sini ialah tentang beberapa syarat lain yang perlu diambil perhatian dalam konteks penerimaan doa.

Dalam hal ini, Nabi ada menyebutkan: “Ramai sekali orang yang berada dalam kesusahan menadah tangan ke langit memohon doa dan berkata, Ya Allah! Ya Allah! tetapi makanannya haram, minumannya haram dan pakaiannya juga haram. Dalam situasi ini, bagaimana mungkin doanya diterima.”

Oleh itu, dalam konteks pelbagai keinginan dan hajat yang kita pohon daripada Allah menerusi doa, penting untuk kita meneliti akan syarat-syarat penerimaan sesuatu doa.

BACA INI JUGA: 12 Kesilapan Umat Islam Dalam Bulan Ramadhan

sumber: kosmo

Saturday, June 03, 2017

Fakta Dan Mitos Mengenai Susu

Fakta Dan Mitos Mengenai Susu

Susu sememangnya memiliki banyak khasiat dan kesan baik untuk tubuh, namun manfaat dan kebaikan susu turut dipalit banyak mitos mengenainya.

Susu

Berikut beberapa mitos yang paling popular disertai dengan penjelasan mengenai faktanya.

1. Minum susu boleh menyebabkan penambahan berat badan

Fakta: Kenaikan berat badan berlaku apabila seseorang mengambil lebihan kalori yang tidak dibakar sebagai tenaga.

Kajian menunjukkan pengambilan susu rendah lemak boleh membantu penurunan berat badan. Kajian juga menyokong pengambilan kalsium membantu dalam penurunan peratusan lemak.

2. Mereka dengan laktosa intoleransi yang tinggi patut elak susu

Fakta: Laktosa intoleransi bukan bermakna alergi dengan susu. Ia adalah ketidak mampuan untuk mencerna gula laktosa. Pilih susu tanpa laktosa atau yogurt untuk menggantikannya.

3. Mengambil produk tenusu meningkatkan risiko sakit jantung

Fakta: Makanan tinggi lemak tepu berkemungkinan akan menyebabkan sakit jantung bukannya produk tenusu.

Lemak tepu daripada mentega idak seteruk daripada lemak trans terhidrogenasi seperti marjerin dan lain-lain.

4. Jika mengambil suplemen kalsium tidak perlu susu

Fakta: Susu tidak hanya memberi sumber kalsium yang baik bahkan memberikan gizi yang berkualiti seperti protein, viamin A, D, B12, riboflavin, zink, potassium dan magnesium.

Pengambilan produk seperti yogurt pula sangat penting untuk pencernaaan kerana berfungsi sebagai pembawa organisma probiotik dan pediatri.

5. Produk tenusu menyebabkan kenaikan jerawat

Fakta: Tidak ada kajian yang menyokong dakwaan itu malahan produk tenusu mengandungi vitamin A dan D yang penting untuk kesihatan kulit. Susu merupakan sumber vitamin A dan D dalam makanan.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: Mitos Bahaya Menelan Gula-gula Getah!

sumber: zakikhan

Beg Tangan Hermes Paling Mahal Di Dunia Berharga RM1.62 juta

Beg Tangan Hermes Paling Mahal Di Dunia Berharga RM1.62 juta

Beg tangan Hermes diperbuat daripada kulit buaya dengan hiasan emas putih mencatatkan rekod beg tangan paling mahal selepas dijual pada harga HK$2.94 juta (RM1.62 juta) di lelongan di Hong Kong.

Hermes

Jurucakap rumah lelongan, Christie’s berkata, beg Himalaya Niloticus Crocodile Diamond Birkin 30 dijual kepada pelanggan tidak mahu dikenali menerusi bidaan telefon.

Jumlah ini memecahkan rekod dicatatkan di Hong Kong untuk beg Hermes serupa yang dijual pada harga HK$2.32 juta (RM1.28 juta) di Hong Kong, tahun 2016 lalu.

Beg yang dibuat dengan tangan itu dikatakan sebagai beg tangan paling dikehendaki. Hanya satu atau dua beg Diamond Himalayas dihasilkan setiap tahun di seluruh dunia, kata Christie’s.

Ia diselaputi berlian manakala kancing dan mangga kecil jenama Hermes pada beg itu diperbuat daripada emas putih 18 karat.

Beg itu daripada koleksi ‘Birkin’ Hermes yang dinamakan sempena pelakon dan penyanyi, Jane Birkin yang dilahirkan di Britain dan tinggal di Perancis.

Sementara itu, Ketua Bahagian Beg Tangan dan Aksesori Antarabangsa Christie’s, Matthew Rubinger berkata, Hermes dikhabarkan akan berhenti menghasilkan beg Himalaya tahun ini.

“Mungkin itu antara punca peningkatan nilai musim ini,” katanya.

Beg tangan mewah semakin dillihat sebagai peluang pelaburan yang diburu pengumpul.

BACA INI JUGA: 10 Makanan Paling Mahal Di Dunia

sumber: hmetro

Peristiwa Penting Hari Ini Dalam Sejarah Dunia (3 Jun)

Peristiwa Penting Hari Ini Dalam Sejarah Dunia (3 Jun)

Tarikh 3 Jun merupakan hari ke 154 (hari ke 155 dalam tahun lompat) dalam kalendar Gregory dengan tinggal 211 hari sebelum memasuki tahun selepasnya.

Major Edward H. White II
Major Edward H. White II.

Mari kita ketahui peristiwa-peristiwa penting dalam sejarah yang berlaku pada tarikh ini.

Peristiwa

350 - Perampas Rom Nepotianus daripada dinasti Constantine mengisytiharkan dirinya sebagai Maharaja Rom, memasuki Rom dengan sekumpulan gladiator.

1889 - Talian penghantaran kuasa elektrik jarak jauh pertama di Amerika Syarikat dibina antara Air Terjun Willamette dengan pusat bandar Portland, Oregon.

1621 - Syarikat Hindia Barat Belanda mendapat piagam untuk monopoli perdagangan di Hindia Barat oleh Republik Belanda.

1937 - Enam bulan selepas turun takhta, Edward, Duke Windsor berkahwin dengan sosialit Amerika Wallis Simpson (gambar).

1944 - Charles de Gaulle menjadi Perdana Menteri Perancis.

1965 - Major Edward H. White II , menjadi rakyat Amerika pertama berjalan di ruang angkasa lepas. Beliau keluar daripada kapsul Gemini 4 yang berada setinggi 140km dari bumi.

1973 - Di Pertunjukan Udara Paris, sebuah Tupolev Tu-144 pecah dalam penerbangan dan berkecai, membunuh enam orang anak kapal dan lapan orang di darat.

2006 - Montenegro mengisytiharkan kemerdekaan, mengakhiri kesatuannya dalam Serbia dan Montenegro.

2009 - Pertubuhan Negara-negara Amerika membatalkan penggantungan Cuba pada 1962.

2010 - Lebih 110 orang terbunuh dan 100 lagi cedera dalam satu kebakaran besar di Dhaka, Bangladesh.

Kematian

1989 - Ayatollah Ruhollah Khomeini, pemimpin Revolusi Iran.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: Peristiwa Penting Hari Ini Dalam Sejarah Dunia (2 Jun)

sumber: wikipedia

Minum Jus Buah-Buahan Ketika Sahur Untuk Kekal Cergas

Minum Jus Buah-Buahan Ketika Sahur Untuk Kekal Cergas

Minum jus buah-buahan semasa bersahur adalah antara tindakan yang baik untuk memastikan umat Islam sentiasa bertenaga dan sihat sepanjang hari pada Ramadan ini.

Jus Buah-buahan

Ketua Jabatan Dietetik dan Sajian Hospital Kuala Lumpur (HKL), Ridzoni Sulaiman berkata, dengan meminum air buah-buahan segar, ia dapat mencegah tubuh daripada mengalami dehidrasi pada bulan puasa ini.

Air buah-buahan ini mengandungi pelbagai jenis nutrien seperti vitamin, potasium dan glukosa, dan berperanan sebagai bekalan tenaga di dalam badan.

Rasa letih, penat dan mengantuk bukannya disebabkan kekurangan makanan tetapi ia adalah disebabkan kuantiti air di dalam badan berada pada tahap rendah.

Bila berlakunya dehidrasi, tubuh kita kehilangan air serta garam galian seperti sodium, potasium, kalsium, fosfat dan sebagainya, sebab itu air memainkan peranan penting di dalam tubuh kita.

Selain meminum air buah-buahan, orang ramai perlu mengelak daripada meminum kopi ataupun teh pada bulan puasa kerana minuman itu mempunyai kesan deuratik.

Minuman tersebut akan merangsang pengeluaran air kencing dan akibatnya, badan akan mengalami dehidrasi dan tekak menjadi sangat haus.

Tubuh badan memerlukan sekurang-kurangnya lapan gelas air sehari bagi memastikan sel-sel tubuh dapat berfungsi dengan baik.

Jadi, walaupun pengambilan air yang mencukupi dititikberatkan namun orang ramai turut dinasihat memakan makanan seimbang.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: Adakah Puasa Menjadikan Kita Lemah?

sumber: mstar

Friday, June 02, 2017

Menjawab Putar Belit Orientalis Peristiwa Israk Mikraj

Menjawab Putar Belit Orientalis Peristiwa Israk Mikraj

Musuh-musuh Islam terutamanya di kalangan Orientalis barat, telah meletakkan jarum-jarum mereka dalam penulisan buku-buku sejarah dan sirah baginda Rasulullah SAW.

Putar Belit Orientalis

Ia bertujuan agar umat Islam yang membacanya akan terkeliru dengan fakta sebenar mengenai perjalanan Israk dan Mikraj.

Takrif Israk dan Mikraj

Israk: Perjalanan Nabi Muhammad SAW pada 27 Rejab, daripada Masjidil Haram, ke Masjidil Aqsa. Dalil jelas disebutkan di dalam al Quran, Surah al Isra’ ayat 1. Sesiapa yang mengingkarinya adalah kafir.

Mikraj: Perjalanan Baginda SAW pada tarikh tersebut, daripada Masjidil Aqsa ke langit yang ketujuh. Dalil disebutkan di dalam Hadis Masyhur. Ada yang mengatakan mikraj Baginda SAW melintasi syurga, sampai ke Arasy, dan sebagainya berdasarkan perbezaan riwayat. Kesemuanya diriwayatkan secara perseorangan. Sesiapa yang mengingkarinya adalah fasiq, tidak dikafirkan.

Tarikh Peristiwa Israk dan Mikraj

Ulama khilaf di dalam menentukan tarikh yang tepat peristiwa ini.

1. Imam Thabari mengatakan bahawa ia berlaku pada tahun Nabi SAW di lantik sebagai nabi.

2. Al ‘Allamah Mansur Furi mengatakan ia berlaku pada 27 Rejab, tahun ke 10 kenabian Nabi Muhammad SAW.

3. Imam Nawawi dan al Qurtubi mengatakan bahawa ia berlaku pada tahun ke 5 kenabian.

4. Pandangan-pandangan lain ada yang mengatakan bahawa ia berlaku pada 16 bulan sebelum hijrah bersamaan Ramadhan tahun ke 12 kenabian. Ada juga yang mengatakan pada setahun dua bulan sebelum hijrah, iaitu pada Muharram tahun ke 13 selepas kenabian. Juga ada yang mengatakan ia berlaku pada setahun sebelum hijrah, iaitu pada Rabi’ul Awwal tahun ke 13 selepas kenabian. Namun, pandangan-pandangan ini tidak dapat dipastikan sumber-sumbernya.

Di dalam kitab Zadul Ma’ad, menyebut bahawa solat fardhu diwahyukan selepas kewafatan Saidatina Khadijah, iaitu pada Bulan Ramadhan, tahun ke 10 selepas kenabian. Dan solat fardhu disyariatkan pada malam Israk dan mikraj. Wallahu a’lam.

Plot-plot Israk dan Mikraj

1. Nabi Muhammad SAW berjalan di waktu malam (israk) dengan menaiki buraq, daripada Mekah ke Baitul Maqdis dengan tubuhnya. Baginda SAW didampingi oleh Malaikat Jibril AS.

2. Baginda SAW sampai di Baitul Maqdis, dan menjadi imam solat bagi nabi-nabi. Baginda SAW mengikat buraq di pintu masjid, dan terus mikraj.

3. Mikraj bermula dengan melalui langit dunia, dan Jibril AS meminta supaya ia dibuka, dan pintu langit dunia dibuka untuk laluan Baginda SAW. Di sana, Baginda SAW bertemu dengan Nabi Adam AS, dan memberi salam kepadanya. Salam tersebut dijawab, dan Nabi Adam AS mengakui kenabian Nabi Muhammad SAW.

4. Dalam masa yang sama, Allah SWT memperlihatkan kepada Nabi Muhammad SAW roh-roh orang syahid di medan perang di sebelah kanan Baginda SAW, dan roh-roh orang yang jahat di sebelah kirinya.

5. Kemudian, Baginda SAW dinaikkan (dimikrajkan) ke langit kedua. Di sana, Nabi Muhammad SAW bertemu Nabi Yahya bin Zakaria AS, dan Nabi Isa bin Maryam AS. Baginda SAW memberi salam kepada mereka, dan mereka mengakui kenabian Baginda SAW.

6. Kemudian, Baginda SAW dinaikkan lagi ke langit ketiga. Di sana, Baginda SAW bertemu dengan Nabi Yusuf AS, dan memberi salam kepadanya. Salam tersebut dijawab, dan Nabi Yusuf mengakui kenabian Nabi Muhammad SAW.

7. Kemudian, Baginda SAW dinaikkan lagi ke langit yang keempat. Di sana Baginda SAW bertemu dengan Nabi Idris AS, dan memberi salam kepadanya. Salam tersebut dijawab, dan Nabi Idris mengakui kenabian Nabi Muhammad SAW.

8. Kemudian, Baginda SAW dinaikkan lagi ke langit yang kelima. Di sana Baginda SAW bertemu dengan Nabi Harun bin Imran AS, dan memberi salam kepadanya. Salam tersebut dijawab, dan Nabi Harun mengakui kenabian Nabi Muhammad SAW.

9. Kemudian, Baginda SAW dinaikkan lagi ke langit yang keenam. Di sana Baginda SAW bertemu dengan Nabi Musa bin Imran AS, dan memberi salam kepadanya. Salam tersebut dijawab, dan Nabi Musa mengakui kenabian Nabi Muhammad SAW.

10. Ketika Nabi Muhammad SAW melepasinya, Nabi Musa menangis. Lalu, ditanya kepada Nabi Musa, “kenapakah kamu menangis?” Nabi Musa AS menjawab: “Aku menangis kerana seorang manusia yang diutuskan selepasku, umatnya masuk ke syurga lebih ramai daripada umatku.”

11. Kemudian, Baginda SAW dinaikkan lagi ke langit yang ketujuh. Di sana Baginda SAW bertemu dengan Nabi Ibrahim a.s., dan memberi salam kepadanya. Salam tersebut dijawab, dan Nabi Ibrahim mengakui kenabian Nabi Muhammad SAW.

12. Kemudian, Nabi Muhammad SAW dinaikkan ke Sidratul Muntaha, dan dinaikkan lagi ke Baitul Ma’mur. Seterusnya dinaikkan bertemu Allah SWT. Di sinilah, Baginda SAW disyariatkan solat fardhu 50 waktu. Setelah itu, Baginda SAW turun daripada tempat tersebut sehinggalah melalui langit keenam, tempat pertemuan dengan Nabi Musa AS.

13. Di sana, Nabi Musa AS bertanya kepada Baginda SAW, “Apakah yang diperintahkan kepada kamu?” Nabi Muhammad SAW menjawab “50 waktu solat”. Nabi Musa AS berkata, “Umat kamu tidak mampu melakukannya, pergilah bertemu Allah SWT minta dikurangkan”. Lalu Baginda SAW bertanya kepada Jibril, dan Baginda SAW dinaikkan semula.

14. Apabila bertemu Allah SWT buat kali kedua, bilangan waktu solat dikurangkan menjadi 45 waktu. Baginda SAW turun semula dan sekali lagi bertemu dengan Nabi Musa AS. Nabi Musa AS berkata kepadanya supaya meminta lagi supaya dikurangkan. Lalu Baginda SAW naik semula sehinggalah waktu solat dikurangkan menjadi 5 waktu sahaja.

Persoalan Dan Keraguan Yang Dilontarkan Orientalis Di Dalam Peristiwa Ini

Di sana terdapat beberapa keraguan, yang dapat dijelaskan di sini. Antara keraguan tersebut ialah:

Pertama

Bagaimanakah Nabi Muhammad SAW boleh bertemu dengan Allah SWT di Baitul Makmur? Bukankah Allah SWT tidak bertempat?

Jawapan: Hakikatnya Allah itu bukanlah berada di Baitul Makmur. Tetapi, Nabi SAW dinaikkan daripada tempat tersebut sehingga bertemu Allah SWT. Dan tidak pula menyatakan bahawa Allah itu berada di Baitul Makmur. Ini kerana Allah itu tidak bertempat.

Kedua

Bagaimanakah Nabi Muhammad SAW boleh bertemu Allah? Adakah Allah itu boleh dilihat? Bukankah ia menunjukkan Allah itu berada di satu tempat?

Jawapan: Ya, Nabi Muhammad SAW bertemu Allah, tetapi Allah SWT tidak serupa langsung dengan makhluk. Allah SWT wujud, dan setiap yang wujud dapat dilihat. Maka, Allah dapat dilihat, tetapi, kita melihat Allah tidak sama dengan melihat makhluk. Makhluk memerlukan ruang untuk bertempat, sedangkan Allah tidak. Contohnya, kita melihat pemberita di dalam televisyen. Tetapi, hakikatnya pemberita tersebut tidak berada (bertempat) di dalam peti televisyen tersebut.

Isra dan Mikraj Dengan Roh Sahaja? Atau Beserta Jasad?

Syeikh Ibrahim al Baijuri mengatakan bahawa, di dalam persoalan ini, terdapat tiga pandangan yang berbeza:

1. Sebahagian umat Islam pada kurun pertama berpandangan bahawa Nabi SAW israk dan mikraj dengan rohnya sahaja.

2. Sebahagian yang lain, berpandangan bahawa Baginda SAW hanya bermimpi.

3. Umat Islam kurun kedua, dan selepasnya, berpandangan bahawa Nabi SAW israk dan mikraj dengan roh dan jasadnya. Pandangan inilah yang terpilih.

Perbezaan di antara pandangan pertama dan kedua ialah, sekiranya israk dan mikraj dengan roh sahaja, iaitu dalam keadaan berjaga (tidak tidur). Dan jasadnya berada dalam keadaan separa sedar. Manakala mimpi, jasadnya sedang tidur.

Pandangan Terpilih

1. Imam Nawawi berkata bahawa kebanyakan salafus soleh, umat Islam selepasnya, para fuqaha’, ulama’ hadis dan ulama’ Ilmu Kalam, kesemuanya berpandangan bahawa Baginda SAW israk dan mikraj dengan roh dan jasad.

2. Imam Ibnu Hajar al Asqolani berkata bahawa ia berlaku dalam keadaan sedar, jasad dan roh Baginda SAW, sepertimana yang dipegang oleh ulama’ Hadis, para fuqaha’ dan ulama Ilmu Kalam.

Bagaimanakah kita dapat menggambarkannya dengan akal?

Menggambarkan bahawa Nabi Muhammad SAW israk dan mikraj dengan jasad dan rohnya, adalah satu perkara yang mudah.

Cuma, beberapa persoalan yang meragukan, kerap timbul. Maka, saya datangkan sebuah perumpamaan yang sesuai untuk menjawab persoalan ini.

Seekor semut sedang berada di pakaian seorang peniaga, ketika peniaga tersebut pergi melancong maka, semut tadi akan bersama-sama peniaga tadi, melancong ke seluruh dunia.

Apabila peniaga tersebut kembali ke rumah, semut tadi menceritakan kepada kawan-kawannya, bahawa dia telah pergi melancong ke seluruh dunia.

Maka, semut-semut yang lain, sukar untuk mempercayainya. Mana mungkin seekor semut boleh sampai ke London, Mesir dan New Zealand, kata mereka.

Kawan-kawan semut menambah lagi, mungkin kamu hanya melihat pada gambar kemudian berkhayal, atau kamu hanya bermimpi! Tetapi hakikatnya ia adalah satu perkara yang logik.

Adakah Nabi SAW pergi dengan roh dan jasadnya? Jawapannya adalah “ya”.

Sekiranya Baginda SAW hanya bermimpi atau pergi dengan rohnya sahaja, maka tidaklah nampak satu kehebatan dan kelainan pada Peristiwa Israk dan Mikraj ini.

Muhammad Mujahid bin Mohammad Fadzil
Kuliah Usuluddin, Akidah dan Falsafah
Universiti Al Azhar

BACA INI JUGA:

sumber: ibnuirfadzil

Sambutan Hari Susu Sedunia

Sambutan Hari Susu Sedunia

Sambutan Hari Susu Sedunia disambut pada 1 Jun setiap tahun untuk memperingati akan pentingnya susu sebagai menu makanan global dan memberikan kesempatan untuk mengangkat isu mengenai aktiviti yang berkaitan dengan industri susu.

Hari Susu Sedunia

Sambutan Hari Susu Sedunia mula disambut sejak tahun 2001 yang dibentuk oleh FAO melalui PBB kerana sebahagian besar masyarakat dunia telah merayakan sambutan ini pada tanggal tersebut selama beberapa tahun.

Kajian Pemakanan Asia Tenggara (SEANUTS) mendapati, satu dalam dua kanak-kanak Malaysia mempunyai tahap kalsium yang tidak mencukupi.

Sementara itu, Kajian Nutrisi Orang Dewasa Malaysia 2014 di kalangan orang dewasa pula menunjukkan purata pengambilan kalsium tidak memenuhi separuh daripada keperluan harian mereka.

Susu mengandungi nutrien penting yang tidak boleh dihasilkan sendiri oleh badan seperti kalsium.

Kalsium penting kerana membantu meningkatkan perkembangan tulang dan gigi kanak-kanak, di samping membantu orang dewasa mengekalkan jisim tulang yang sihat dan mengelakkan kehilangan jisim tulang apabila usia kian meningkat.

Selain kalsium, susu juga mengandungi protein untuk pertumbuhan dan perkembangan, Vitamin A untuk fungsi mata, Vitamin B2 untuk membebaskan tenaga daripada makanan, serta Vitamin D3 untuk membantu penyerapan kalsium dan fosforus.

Hanya dua hidangan susu sehari boleh mengubah keadaan tahap kalsium yang tidak mencukupi ini. Susu bukan sahaja boleh memberi nutrisi kepada badan secara fizikal, tetapi setiap pek mengukuhkan silaturahim keluarga.

Memberi susu kepada orang tersayang mungkin satu perbuatan yang kecil, tetapi sebenarnya memberikan kesan yang besar kepada kesejahteraan mereka.

Melalui penghargaan ini yang mudah tetapi penuh kasih sayang, ahli keluarga mendapat belaian fizikal dan emosi, ikatan kekeluargaan menjadi semakin kuat.

Sempena sambutan Hari Susu Sedunia, ianya diharap dapat memberi inspirasi kepada anda untuk menunjukkan kepada ahli-ahli keluarga bahawa penghargaan dan kasih sayang amat bermakna dalam hidup semua.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: hmetro