Monday, April 20, 2015

Orang Ramai Diminta Berhati-Hati Dengan Lelaki India Ini

Orang Ramai Diminta Berhati-Hati Dengan Lelaki India Ini

Tersebar beberapa gambar di media sosial baru-baru ini yang mendakwa seorang lelaki India menggunakan taktik ‘tayar berasap’ bagi menipu pemandu kereta yang menggunakan laluan di lebuhraya Kesas.

Lelaki-India

Modus operandi lelaki ini ialah dengan menunjukkan isyarat kononnya tayar kereta mangsa yang berasap ketika sedang memandu dan mengarahkan untuk berhenti.

Kemudian lelaki ini mengatakan yang break kereta mangsa mengalami kebocoran, dan disaat itulah taktik menipu lelaki ini bermula.

Dia dikatakan telah meletak sesuatu di tayar mangsa sehingga mengakibatkan mangsa benar-benar percaya yang break kenderaannya telah rosak.

Ikuti kronologi seorang mangsa ini yang telah berkongsikan pengalamannya yang hampir di ‘sembelih’ oleh suspek.

Tarikh : 16 April 2015
Masa : 10.00 am
Lokasi : Federal Highway @ Lebuh Raya Persekutuan (dalam gambar kat lepas Exit Axis Tower sebelum masuk ke LRT Asia Jaya)

Kronologi kejadian:

Ayah saya drive pergi kerja macam biasa. Tiba-tiba mamat ni hon dari belakang sambil tunjuk kat tayar. Ayah saya ni berhenti tapi tak keluar kereta. Mamat ni datang cakap dah ramai orang hon kereta ayah saya dari tadi, tapi ayah saya tak berhenti. Dia kata tayar kereta berasap, dia suruh ayah pusing stereng sambil dia buat sesuatu kat tayar.

Lepas buat camtu, ayah saya keluar kereta, tengok minyak brek bocor. Then ayah saya kata nak pergi kerja dulu nanti baru baiki, sebab dah lambat. Tapi selepas start kereta balik, brek tak boleh guna dah. Sedangkan sebelum itu okay lagi brek.

Then mamat ni offer kata nak tolong. Dia kata ‘nak tolong saja’. Tanya charge berapa pun dia cakap ‘nak tolong saje’.

Then after dia buat something, konon-konon tukar parts, dia datang bawa member India tiga orang dan resit. Katanya, RM1,420.

Ayah saya terkejut dan tanya macam-macam dan cakap tak ada duit sebanyak itu. Dia kata bagi saja berapa dulu. Ayah saya bagi RM350 dan minta resit. Mak saya nak ambil gambar untuk bukti bayar dan nak resit untuk bukti. Dia marah-marah.

Adik saya ambil gambar pun dia marah-marah. Dia rampas duit, tak bagi resit dan hentak kereta ayah saya dengan helmet. Dia marah-marah dan ugut-gutu siap cakap dia tahu mana nak cari ayah saya lagi. Terus dia ajak kawan-kawan dia blah dan ajak mak ayah saya pergi balai polis.

Dia pecut dulu, konon-konon nak pergi balai dulu.

Sampai balai, bayang dia memang tak ada. Polis cakap memang tak ada dia datang. Parents saya buat laporan polis.

Ayah saya dah berusia 60 tahun dan adik saya yang pergi dengan mak tadi, perempuan. Memang diorang tak berani nak lawan sangat sebab tengoklah badan mamat tu je. Then dia bawa kawan orang lelaki lagi. Apa-apa jadi mungkin lebih dari RM350 hilang.

Memang Alhamdulillah, keluarga saya selamat. Duit itu mungkin bukan rezeki kami. Tapi tujuan saya nak hal ini diviralkan supaya orang lain tak kena. Mamat ni aim orang-orang tua, perempuan dan orang-orang yang lemah serta nampak baik-baik. Dia nampak ayah saya tua, berkopiah, berjanggut dan berseorangan kot, dia berani nak pijak.

Hati-hati semua, jangan stop kalau ada orang-orang buat macam ni. Mamat ini memang dah banyak kali tipu orang sampai polis di Balai Polis PJ pun tak perlu dah nak ambil gambar dia. Please semua. Sebarkan. Terima kasih.

Lebuh raya Maharajalela, Kesas, Federal Highway dan Jalan Syed Putra dikatakan merupakan sasaran utama suspek.

Sebenarnya taktik macam ni sudah banyak dilaporkan, antara kita pernah menjadi mangsa atau tidak.

Berhati-hatilah selalu, macam-macam cara orang cari duit dengan mudah pada zaman sekarang.

BACA INI JUGA: Awas! 12 Jenis Penipuan Paling Popular Di Malaysia

Sumber: Mynewshub.cc

'Jambatan Bengkok Satu Langkah Maju Memandang Ke Hadapan'

'Jambatan Bengkok Satu Langkah Maju Memandang Ke Hadapan'

Jika British membuat Jambatan Johor dan bukan Tambak Johor pada tahun 1923, tentunya Perdana Menteri dan mantan Perdana Menteri Malaysia tidak berada dalam keadaan yang serba salah.

Jambatan bengkok [2]

Tun Dr Mahathir ketika menjadi PM telah memulakan asas pembinaan ‘jambatan bengkok’ (crooked bridge) tetapi asas itu tidak diteruskan oleh penggantinya, Datuk Seri Abdullah Badawi dan Datuk Sri Najib Tun Razak.

Seratus tahun dulu soal alam sekitar bukan suatu perkara yang diberikan perhatian seperti sekarang ini. Kenapa Tambak Johor dan bukan Jambatan Johor adalah berkisar di sekitar kos. Kerajaan British tidak mahu menanggung kos membuat jambatan kerana ia lebih mahal daripada membuat tambak.

Kalau jambatan, besi dan logam-logam lain dikatakan mahal harganya, sedangkan batu yang boleh dikeruk dari sebuah bukit di Johor Bahru dan Bukit Timah di Singapura untuk menambak Selat Tebrau adalah jauh lebih murah.

Kini, kita boleh menganggarkan begitu banyak sampah-sarap yang termendap sepanjang tambak itu, di kedua belah. Air dari Selat Melaka dan Laut China Selatan tersekat di situ. Tidak payah disebutkan betapa buruk pencemaran berlaku di situ begitu lama.

Salah satu badan perundangan terbaru ialah di EU atau Kesatuan Eropah yang mengandungi 28 buah negara. Menurut prinsip umum undang-undangnya, sebarang tindakan dalam sebarang bentuk yang mencemarkan udara dan air adalah ditegah.

Bila tegahan ini tidak dipedulikan, ia bertukar menjadi kesalahan jenayah. Justeru hukuman yang setimpal dalam kanun jenayah yang relevan akan dikuatkuasakan, tanpa mengira pihak yang didapati bersalah itu sebuah negara, firma, badan-badan tertentu atau individu.

Negara-negara di sebelah sini dunia mungkin boleh memperlekeh saja undang-undang begitu, tetapi sejarah dunia telah menunjukkan bahawa apa yang berlaku di Barat lambat laun akan sampai ke sini.

Akhir-akhir ini presiden dan perdana menteri beberapa buah negara di Afrika dan Eropah Timur dibawa ke pengadilan di Barat meskipun kesilapan mereka berlaku dalam sempadan negara masing-masing.

Negara-negara juga, terutama yang membangun, yang menutup mata dan telinga kepada realiti akan dikenakan hukuman diboikot atau ditahan daripada mendapat kemudahan perbankan dan ekonomi serta aliran kewangan. Seperti di Syria, Cuba, Yaman, Liberia dan Sudan, kehidupan rakyat akan terjejas.

Mungkin alasan bahawa Jambatan Bengkok itu dibuat dalam sempadan negara kita boleh diperkuatkan dengan alasan alam sekitar menurut undang-undang EU. Jika EU sudah merapikan ‘rumah’ sendiri, dan AS pula bersefahaman dengannya seperti yang boleh dijangkakan, maka soal pencemaran air dan udara akan menjadi sesuatu yang mudah ditangani. Senjata mencekik perdagangan dan ekonomi umumnya akan digunakan.

Suatu ketika dulu telah timbul ura-ura hendak mengorek sebuah terusan di Segenting Kra di Thailand. Takat yang paling tirus di situ ialah lebih kurang 30 kilometer dari tebing ke tebing antara Lautan Hindi dengan Laut China Selatan, jaraknya kira-kira 500 kilometer dari Alor Setar.

Kalau ia menjadi kenyataan, nescaya ia boleh menjejaskan Singapura sebagai sebuah pelaburan terbesar di Asia Tenggara. Sebuah terusan yang luasnya satu kilometer akan menampung dua buah kota di kedua belah tebing dengan segala kemudahan sebuah pelabuhan. Namun segalanya itu hanya tinggal andaian saja.

Kenapa ia pupus begitu saja adalah sesuatu yang meninggalkan tanda tanya besar hingga sekarang. Adakah ia atas nasihat dua kuasa besar dunia, AS dan Britain? Hakikatnya, Thailand bersahabat baik dengan AS dan ‘sepupunya’, Britain – yang menjadi pemerintah kolonial Singapura waktu itu.

Dengan mengambil kira faktor-faktor yang disebutkan di atas, pembikinan sebuah jambatan yang didukung bersama oleh Malaysia dan Singapura boleh membebaskan air mengalir di Selat Tebrau.

Ia adalah satu langkah maju yang memandang ke hadapan dan bukan ke belakang. Dengan sendirinya soal kebersihan alam sekitar terselesai. Keraguan hidup berjiran menjadi kendur di sisi rakyat. Limpahannya akan meninggalkan kesan positif dalam aspek-aspek lain.

OLEH: Tan Sri Adam A Kadir mantan Presiden Senat

BACA INI JUGA: Isunya Bukan Jambatan Bengkok, Ini Soalan Rakyat - Tun Mahathir

Sumber: Sinar Harian Kolumnis

Surat Tun Mahathir Perihal Jambatan Bengkok

Surat Tun Mahathir Perihal Jambatan Bengkok

Saya menulis surat terbuka ini sebagai seorang rakyat Malaysia yang cintakan negara untuk sesiapa saja yang ingin membacanya.

Jambatan bengkok

Fakta-fakta yang terkandung dalam surat ini perlu saya hebahkan dengan cara ini kerana pada akhir-akhir ini tidak banyak lagi kenyataan saya yang disiarkan, sama ada oleh media massa elektronik atau cetak, walaupun mereka menghantar wakil untuk menghadiri sidang akhbar saya.

Mengenai isu di atas, saya telah menyatakan pandangan saya iaitu Kerajaan Malaysia telah gagal mempertahankan kedaulatan negara. Akibat daripada itu negara mengalami kerugian berbilion ringgit. Wang ini adalah wang rakyat.

Saya juga mahu rakyat faham sikap dan tindak-tanduk Kerajaan Singapura serta dakwaan Kerajaan Malaysia yang ia memberhentikan pembinaan jambatan itu kerana isu undang-undang dan kerana sentimen rakyat yang tidak sanggup menyerahkan ruang udara serta penjualan pasir kepada Singapura, dan ini disalahertikan secara sengaja bahawa rakyat tidak mahu jambatan. Rakyat mahu jambatan tetapi menolak syarat Singapura, kerana ia tidak berasas dan bukan hak Singapura.

Singapura sangat gemar mencetak surat-menyurat antara pemimpinnya dengan pemimpin Malaysia dengan tujuan membuktikan yang ia di pihak yang benar.

Kerajaan Malaysia sekarang percaya bahawa dengan tidak menyanggah kempen memutarbelitkan oleh Singapura, masalah yang dihadapi akan selesai dengan sendirinya. Tetapi ini angan-angan yang tidak akan jadi kenyataan.

Di dalam amalan diplomatik, surat-surat yang ditulis oleh suatu pihak dengan memetik persetujuan-persetujuan lisan yang kononnya dicapai di dalam rundingan tidak rasmi di kalangan pemimpin, adalah tidak sah.

Untuk menjadikan ianya sah, rundingan hendaklah dicatat dan dirakam dengan sempurna, disahkan dan ditandatangani oleh kedua-dua belah pihak. Kenyataan yang dibuat di dalam sidang akhbar oleh salah satu pihak tanpa pengesahan pihak satu lagi juga adalah tidak sah.

Encik Lee Kuan Yew, ketika dia menjadi Menteri Kanan Singapura, sangat gemar meminta diadakan pertemuan empat mata tanpa agenda yang sempurna dan kemudian merakamkan hasil pertemuan itu di dalam suratnya sendiri kepada pihak ketiga.

Berdasarkan surat-surat itu juga, dia harap rakan sejawatnya akan menyetujui kandungannya dan oleh yang demikian terikat dengan kandungan surat-surat itu. Dia tidak mengambil kira jika catatannya tidak dianggap tepat dan tidak disahkan.

Saya menganggap apa-apa pun yang tidak menepati amalan diplomatik sebagai tidak sah. Tanggapan beliau adalah tanggapan beliau sahaja, tidak Iebih dan tidak kurang. Tindakannya mencetak surat-suratnya sebagai bukti bahawa saya telah bersetuju tidak bermakna sama sekali. Hanya jika saya membalas surat itu dan mengesahkan perkara-perkara tertentu, barulah perkara-perkara berkenaan boleh dianggap benar. Tetapi sama ada ia sah dan kita terikat dengannya, bergantung pada pengesahan dan persetujuan kedua-dua belah pihak, secara rasmi.

Berdolak-dalik mengenai apa yang disebut “pakej” dan ketidakmampuan mencapai sebarang persetujuan adalah kerana kelulusan yang berasaskan “pakej” tidak praktikal. Jika persetujuan tidak boleh dicapai mengenai mana-mana satu perkara maka persetujuan tidak boleh dicapai bagi semua perkara dalam pakej itu.

Atas sebab inilah yang saya mencadangkan dan Encik Goh Chok Tong bersetuju iaitu kita menyelesaikan perkara demi perkara secara berasingan. Ini siperakukan dan diterima oleh Encik Goh Chok Tong selaku Perdana Menteri melalui surat bertarikh Oktober 14 2002 yang antara lain menyebut;

“Pada penghujung pertemuan (di Hanoi) anda berkata kita perlu mencuba menyelesaikan isu air, lagi cepat lagi baik. Saya bersetuju....”

Tetapi di dalam surat yang sama, Encik Goh Chok Tong berkata;

“Oleh yang demikian, saya tidak menjangka menerima surat anda bertarikh 7hb Oktober pada l0hb Oktober di mana anda menyatakan “Malaysia telah memutuskan untuk tidak meneruskan pendekatan pakej……”

Jambatan

Setelah menolak pendekatan pakej, saya membuat jangkaan yang isu pembinaan jambatan tidak akan dikaitkan dengan sebarang isu lain. Saya menaruh harapan yang sangat tinggi apabila isu pembinaan jambatan disebutkan di dalam surat-surat Menteri Kanan Lee Kuan Yew dan Perdana Menteri Goh Chok Tong.

Dalam sepucuk surat kepada Tun Daim Zainuddin, Lee berkata;

“Mengenai cadangan Mahathir membina Jambatan Tambak, Perdana Menteri saya (Goh) bersetuju dengannya tetapi mencadangkan agar kita tidak merobohkan Tambak Johor.”

Nampaknya rakyat Singapura lebih menyetujui jika kedua-dua jambatan baru dan Tambak Johor ada. Ini tentulah tidak masuk akal kerana cadangan pembinaan jambatan baru adalah bertujuan membuka laluan di antara kedua-dua belah di Selat Tebrau supaya air boleh mengalir tanpa sekatan. Ia bukan bertujuan menambah kapasiti hubungan antara Singapura dan Johor. Jika ini berlaku, ia hanyalah satu kebetulan.

Satu lagi hujah menarik Encik Lee ialah (sekiranya Singapura bersetuju dengan pembinaan jambatan itu);

“Singapura akan menambak laut di sebelah wilayahnya hingga ke sempadan dengan Malaysia.”

Sempadan antara Singapura dan Malaysia di Selat Tebrau adalah dasar laut yang paling dalam. Bagaimanapun, bagi Tambak Johor sempadannya adalah di tengah-tengah jambatan. Jika Singapura menambak laut di sebelah wilayahnya sehingga ke sempadan, ia bererti hanya laut di sebelah Malaysia akan kekal. Jadi apa halnya dengan konsep sempadan berasaskan dasar laut paling dalam?

Dalam surat yang sama kepada Daim, Menteri Kanan Lee berkata;

“Saya sentiasa memaklumkan inisiatif saya kepada Perdana Menteri saya. Dia (Perdana Menteri Goh) bagaimanapun, berkata dia menyerahkan hal ini kepada saya sehingga peringkat akhir apabila dia akan mengkajinya dengan teliti sebelum memberi sebarang persetujuan.”

Menteri Kanan Lee juga menulis; “semua nota atau surat yang saya hantar kepada anda dan kepada Mahathir dan sebaliknya perlulah dianggap sebagai Tanpa Prejudis (Without Prejudice) iaitu tidak akan ada sebarang perjanjian sehingga semua perkara dipersetujui dan ditandatangani oleh kedua-dua Perdana Menteri.”

Jelas bahawa Menteri Kanan Lee tidak diberi kuasa untuk memutuskan apa-apa kerana beliau perlu memaklumkannya kepada Perdana Menteri Goh untuk dikaji sebelum dipersetujui. Jika tidak, maka tidak akan ada sebarang persetujuan mengenai semua perkara sehinggalah diperakui dan ditandatangani oleh kedua-dua Perdana Menteri.

Dalam jawapan kepada cadangan saya agar terminal Keretapi Tanah Melayu dibina di Johor Baru, Menteri Kanan Lee, melalui surat bertarikh 10 Disember 2001, berkata;

“Saya harap anda juga akan menimbangkan kepentingan jangka panjang dan nilai perkhidmatan KTM. Sejak tahun 1923 kereta api merupakan perhubungan yang sangat berharga... Saya rasa mengekalkan hubungan kereta api antara Kuala Lumpur dan Singapura menguntungkan kedua-dua buah Negara... Bagaimanapun, oleh sebab KTM milik negara anda, Singapura akan mematuhi keputusan anda”.

Dalam surat ini, Menteri Kanan Lee berikrar mematuhi keputusan saya. Namun beliau boleh juga berkata Perdana Menteri Goh tidak bersetuju dan segala surat-menyurat kami adalah tanpa prejudis.

Namun begitu, apabila beliau atau Perdana Menteri Goh Chok Tong dan saya sendiri menurunkan pandangan-pandangan kami dalam bentuk tulisan, ia menggambarkan apa yang kami fikirkan. Tetapi oleh sebab ia dilakukan tanpa prejudis, kami tidak terikat dengan apa yang kami katakan.

Justeru itu, tidak timbul persoalan berdolak-dalik atau memindahkan tiang gol. Kedudukan tiang gol belum diputuskan. OIeh sebab apa yang dilakukan itu berasaskan konsep tanpa prejudis, maka ia tidak Iebih daripada cadangan sahaja.

Dalam surat bertarikh 11 April 2002 Perdana Menteri Goh menyebut; “Saya sekarang memutuskan untuk mengendalikan sendiri perbincangan kita mengenai pakej dua hala.”

Sekarang barulah seorang yang berkuasa bercakap (bagi pihak Singapura).

Di dalam apa yang boleh dianggap sebagai komitmen mutakhir, Perdana Menteri Goh menulis (kepada saya):

1. Bridge

“Di antara sebuah jambatan baru bagi menggantikan keseluruhan Tambak, dan yang menggantikan hanya bahagian di sebelah Malaysia, saya lebih suka kepada pilihan pertama.”

“Sebaik sahaja jambatan baru siap, Tambak bolehlah dirobohkan, yang mana saya gembira jika dilakukan selepas tahun 2007.”

“Tetapi sekiranya anda mahu menggantikan Tambak di sebelah negara anda dengan sebuah jambatan dengan serta-merta, saya akan menyetujuinya, walaupun pada pendapat saya ini tidaklah ideal.”

Apakah kesimpulan yang boleh kita buat kepada kenyataan ini? Tidak pun disebut mengenai pasir dari Malaysia dan pembukaan ruang udara kepada kapal terbang tentera Singapura. Juga tidak disebutkan tentang nostalgia, hanya keutamaan supaya Tambak dirobohkan selepas tahun 2007.

Sekarang dihujahkan pula bahawa jika Malaysia sentuh paip yang membawa air ke Singapura, ia adalah tindakan perang (act of war). Adakah ini perisytiharan perang?

Peruntukan “Wayleave Agreement” dengan Singapura cukup jelas. Berikut adalah apa yang dipersetujui mengenai paip air;

“That the Licensee (Singapore) shall take full responsibility financially or otherwise for any alteration to the pipeline that may become necessary by reason of any alterations or improvements made or to be made on the Johor Causeway and on receiving not less than six months previous notice in writing from the Licensors (Malaysia) shall thereupon carry out the alteration in accordance with such notice and shall have no claim for any compensation.”

[“Bahawa Pemegang Lesen (Singapura) akan mengambil sepenuh tanggungjawab kewangan atau sebaliknya bagi sebarang pindaan kepada saluran paip apabila ia diperlukan untuk sebarang pengubahsuaian atau pembaikan atau yang diperlukan di Tambak sebelah negeri Johor dan apabila menerima notis bertulis enam bulan sebelumnya daripada Pelesen (Malaysia) akan melakukan pengubahsuaian itu seperti yang disebutkan di dalam notis tanpa sebarang tuntutan ganti rugi.”]

Perjanjian itu tidak menyebut mengenai hak Pemegang Lesen (Singapura) mengingkarinya. Peruntukan “akan melaksanakan pengubahsuaian” (Shall carry out the alteration) sangat jelas dan kuat. Singapura wajib melaksanakan pengubahsuaian itu. Tetapi jika Singapura ingkar, ia mungkin merupakan tindakan perang dan bukan sebaliknya.

Apabila kerja awal pembinaan jambatan dimulakan tidak ada protes dan tidak ada permintaan membeli pasir atau menggunakan ruang udara kita. Sekarang pembinaan jambatan di sebelah wilayah kita pun nampaknya tertakluk kepada syarat kita membekalkan berjuta meter padu pasir kepada Singapura untuk menambak laut dan membuka ruang udara kita kepada jet tentera udaranya. Daripada mana datang semua syarat ini? Apakah kaitan antara perluasan wilayah Singapura dengan kita membina jambatan di dalam wilayah kita sendiri?

Tindak-tanduk Singapura mengaitkan pembinaan jambatan di wilayah kita dengan tuntutan kita menjual pasir dan membuka ruang udara kepadanya tidak berasas sama sekali.

Mengapa Kerajaan Malaysia perlu bersetuju memberi pasir dan membuka ruang udara kepada Singapura, jika tidak terpaksa memberhentikan pembinaan jambatan bengkok di wilayah kita sendiri adalah di luar kemampuan saya memahaminya.

Adalah hak rakyat Malaysia tidak menjual pasir kepada Singapura atau membuka ruang udara kepadanya. Tetapi rakyat tidak pernah mengatakan yang mereka bersedia mengorbankan projek jambatan. Yang mereka tidak mahu adalah mengalah kepada tuntutan Singapura supaya kita menjual pasir dan membuka ruang udara. Mereka mahukan jambatan tetapi mereka juga mahu Kerajaan mereka menyanggah tuntutan Singapura kerana di segi undang-undang Malaysia tidak perlu melayan syarat-syarat Singapura.

Tindak-tanduk Singapura ini telah dijangkakan. Tetapi Kerajaan Malaysia gagal mempertahankan kedaulatan negara. Di samping itu, ia telah menyebabkan kerugian berbilion ringgit wang rakyat jelata.

Biarlah rakyat Malaysia, khasnya orang Melayu, Melayu Johor terutamanya, ingat bahawa lnggeris telah menipu Sultan untuk menyerahkan Singapura dengan percuma kepada mereka (Inggeris).

Seperti Pulau Pinang, Lumut dan Melaka, Singapura sepatutnya dikembalikan kepada kita apabila lnggeris melepaskan hak mereka. Tetapi Singapura telah menjadi begitu asing keadaannya sehingga ia tidak boleh lagi menjadi sebahagian daripada Malaysia.

Apakah Malaysia sekarang akan memberi lebih banyak tanah kepada Singapura supaya ia boleh memperluaskan wilayahnya dan menambah bilangan penduduknya? Menyerahkan dasar laut kita kepada Singapura tidak ada bezanya dengan memberikan bumi kita kepada Singapura. Kesudahannya ialah perluasan wilayah Singapura. Ia tidak ada bezanya dengan menyerahkan sebahagian daripada Johor untuk tujuan ini. Apakah kita begitu miskin sehingga kita perlu menjual sekeping bumi kita kepada orang lain?

Generasi rakyat Malaysia yang akan datang, sama ada Melayu atau Johor, akan menyumpah kita jika kita melakukan semua ini sedangkan kita berhak membina jambatan di atas bumi dan laut kita sendiri sebagai sebuah negara yang merdeka dan berdaulat.

Cukuplah kita menyerahkan Singapura (kepada Inggeris). Tidak perlulah kita menyerahkan lagi tanah kita kepada Singapura walaupun ada orang yang berpendapat kita hanya boleh membina jambatan di negara kita jika Singapura bersetuju.

Rakyat Malaysia tidak pernah mengatakan demikian. Janganlah ada sesiapa yang menyumbat hujah ke dalam mulut mereka semata-mata kerana orang itu takut untuk mempertahankan hak dan kedaulatan negara serta rakyat Malaysia.

Oleh YBhg Tun Dr. Mahathir Mohamad

BACA INI JUGA: Najib Lebih Teruk Dari Abdullah - Dr Mahathir

Sunday, April 19, 2015

Emily Bridge, Misteri Penunggu Jambatan Tua

Emily Bridge, Misteri Penunggu Jambatan Tua

Stown, merupakan sebuah pekan kecil di daerah Lamoille, Amerika Syarikat. Tiada apa yang menarik tentang pekan ini yang kebanyakannya dihuni kaum peladang.

Emily Bridge

Namun, kisah 'Jambatan Emily' banyak mewarnai pekan ini hingga menarik orang luar datang berkunjung. Semuanya mahu tahu mengenai kebenaran cerita seorang gadis yang kononnya mati akibat cinta.

Pada tahun 1844, sebuah jambatan kecil dibina dipekan itu. Ia merupakan sebuah jambatan kayu yang mempunyai dinding dan berbumbung sepanjang 49 kaki.

Setelah jambatan siap, ia dinamakan sebagai Gold Brook Covered Bridge. Ada juga yang memanggilnya sebagai Stowe Hollow Bridge.

Namun, lama-kelamaan nama jambatan ini mula berubah. Ia lebih dikenali sebagai Emily Bridge (Jambatan Emily). Semuanya bermula daripada 'hantu' gadis bernama Emily yang dikatakan menghuni kawasan jambatan tersebut.

Terdapat pelbagai versi kisah hantu Emily yang diceritakan. Ada yang mengatakan gadis bernama Emily ini bercinta dengan seorang pemuda, namun tidak direstui keluarga.

Mereka mengatur pertemuan dijambatan itu tetapi harapannya lebur. Pemuda yang dicintainya tidak muncul. Akibat kecewa, Emily dikatakan bertindak membunuh diri dengan menggantung diri dijambatan tersebut.

Versi lain pula, Emily dikatakan sedang bergembira pada hari perkahwinannya. Namun, pengantin lelaki tidak muncul-muncul. Kerana kecewa dan malu, Emily yang memakai gaun pengantin melarikan diri dengan memecut kereta kuda.

Sebaik sampai dijambatan tersebut, Emily gagal mengawal kenderaan dipacunya menyebabkan ia terbabas dan terhumban. Emily terbunuh dalam kemalangan itu.

Kemudian, pelbagai cerita seram mula muncul dan dikaitkan dengan nama Emily. Ada yang berkata, mereka terdengar suara jeritan wanita dan bunyi cakaran aneh sewaktu melalui jambatan kayu tersebut.

Ada juga yang mendakwa, kenderaan mereka diganggu ketika diletakkan disitu. Mereka mendengar seakan ada lembaga berjalan diatas bumbung kenderaan. Ada kalanya kedengaran ia seperti mencakar-cakar kereta.

Tidak kurang juga yang bercerita, mereka turut berasa seperti dicakar sesuatu. Suara aneh juga sering kedengaran dijambatan ini. Ada pula yang melaporkan, mereka terlihat bayangan lembaga putih dan lenyap secara tiba-tiba.

Semakin lama, kian popular nama Emily, hantu yang kecewa kerana cinta tidak kesampaian dan terus menggangu pengguna jambatan.

Papan Ouija

Sebenarnya, tiada bukti kukuh yang menyokong kisah Emily. Tiada hitam putih menyatakan kewujudan gadis itu. Bahkan, tidak ada kisah hantu menyelubungi jambatan tersebut sehinggalah pada tahun 1960an.

Nama hantu itu hanya muncul pada tahun 1968. Kali pertama jambatan itu dikatakan berhantu apabila seorang pelajar sekolah tinggi bernama Susan menulis kisah Emily, entiti yang 'berborak' dengannya dijambatan itu menggunakan papan Ouija.

Menurut Susan, hantu tersebut memperkenalkan diri sebagai Emily dan menceritakan ia dibunuh disitu oleh ibu tunangnya.

Apabila Susan menulis kisah tersebut dalam akhbar sekolahnya, ia serta-merta menjadi popular dan merebak dengan pantas. Malah, kisah itu antara yang terhangat pernah dipaparkan dalam penulisan berita sekolah tersebut.

Namun, muncul pula cerita daripada penduduk asal pekan yang Emily sebenarnya sudah wujud sejak awal tahun 1950an, sebelum Susan menulis dan menjadikannya popular.

Malah, sewaktu Susan ditemuramah pada tahun 2012 tentang lagenda Emily yang pernah ditulisnya, dia mengakui telah mendengar kisah Emily sebelum menulisnya. Dia lalu mendapat idea untuk menulis kisah itu dengan cara menggunakan papan Ouija sebagai sumber penulisan.

Kisah hantu jambatan Emily meletup, menjadi bualan orang ramai. Taktik itu menjadi.

Walaupun tiada bukti yang mengesahkan kisah Emily dan hanya dikatakan sebagai dongeng, namun sehingga kini orang masih memperkatakan tentang gangguan dijambatan itu. Malah, penduduk tempatan enggan melintas jambatan tersebut pada waktu malam.

Para pengkaji paranormal juga pernah datang ke jambatan ini, yang telah diiktiraf sebagai National Register of Historic Places pada tahun 1974, namun tidak menemui sebarang entiti misteri.

Mungkin Emily tidak ada mood hendak mengusik mereka atau mungkinkah yang mengganggu itu bukan Emily, tapi entiti lain?

BACA INI JUGA: Misteri Penemuan Jambatan Purba Nabi Adam!

-SENTIASAPANAS.COM

Cano Cristales, Keunikan Dan Keindahan Sungai Lima Warna

Cano Cristales, Keunikan Dan Keindahan Sungai Lima Warna

Pemandangan menakjubkan ini merupakan sebuah sungai yang terletak di hutan simpan Serrania de La Macarena, Colombia. Diberi nama Cano Cristales, yang bermaksud Sungai Kristal.

Cano Cristales

Keunikan sungai ini ialah air sungai akan berubah kepada lima warna untuk satu tempoh tertentu, menjadikannya terkenal dengan julukan nama 'Sungai lima warna'.

Punca utama perubahan warna air ialah kerana sungai ini dipenuhi dengan alga yang berwarna kuning, biru, hijau, hitam dan merah.

Ketika air sungai surut, pancaran cahaya matahari menyerlahkan warna-warna alga yang terdapat di dalamnya. Pun begitu, ia langsung tidak mencemarkan air sungai yang jernih ini.

Cano Cristales

Satu-satunya jalan untuk sampai ke Cano Cristales adalah dengan menunggang kuda.

Namun, fenomena menakjubkan ini hanya terjadi selama lebih kurang seminggu setiap tahun, antara musim hujan dan musim kemarau sahaja.

Cantik kan?

BACA INI JUGA: Misteri Enchated River, Sungai Tanpa Dasar!

-SENTIASAPANAS.COM

Saturday, April 18, 2015

Asal-usul Bedak Muka, Penghalau Roh Jahat!

Asal-usul Bedak Muka, Penghalau Roh Jahat!

Cuba intai tas tangan kaum wanita? Pasti salah satu benda utama selain dompet dan telefon dalam tas mereka adalah bedak muka. Betul kan?

Makeup

Tapi, tahukah anda dari mana asal-usul bedak 'magis' ini dan bagaimana kaum wanita menemuinya? Mari, kami beritahu anda.

Semuanya bermula apabila wanita-wanita Mesir mula menekap wajah mereka menggunakan serbuk yang diperbuat menggunakan campuran kapur dan tanah liat. Tujuan utama mereka pada waktu itu bukanlah untuk kecantikan, tetapi bagi menghalau roh jahat.

Ia kemudiannya berubah daripada suatu cara untuk mengelakkan gangguan roh, kepada satu usaha untuk menutup kesan pengelupasan kulit wajah.

Golongan bangsawan wanita mula jatuh hati kepada teknik mengecat wajah mereka sehingga putih melepak. Bahan-bahan yang digunakan waktu itu sangat tinggi kandungan toksik.

Ratu Cleopatra yang sememangnya terkenal kerana rejim kecantikannya, dikatakan menggunakan bedak muka yang diperbuat daripada najis buaya.

Sementara itu, wanita yang kurang mampu pula menggunakan tepung gandum untuk dijadikan bedak wajah.

Di Jepun dan China, wanita-wanita Geisha mewarnakan wajah mereka menggunakan tepung beras.

Pada kurun ke 15, pengeluaran tepung beras telah menjadi industri penting kerana penggunaannya sebagai alat kosmetik semakin meningkat.

Kurun ke 20, apabila berkembangnya bidang teater, permintaan terhadap bedak wajah menjulang tinggi kerana para pelakon memerlukan bedak untuk menyolek wajah mereka.

Kerana permintaan yang tinggi, banyak syarikat mula bereksperimen dalam menghasilkan bedak wajah untuk kegunaan ramai.

Pada tahun 1923, sebuah syarikat Inggeris, Laughton & Sons, telah berjaya menghasilkan bedak kompak pertama. Anthony Overton turut melancarkan bedak kompak untuk kulit gelap Afro-Americans yang dinamakan High Brown Brand. Elizabeth Arden pula melancarkan beberapa produk kosmetik termasuk bedak kompaknya pada tahun 1940an.

Masa berlalu, kualiti penghasilan bedak kompak semakin berkembang maju.

Hari ini, bedak bukan sahaja tertumpu pada kaum wanita, malah lelaki dan bayi juga mempunyai pilihan tertentu untuk penjagaan kulit mereka.

BACA INI JUGA: Misteri Seram Lukisan Berwajah Sedih

-SENTIASAPANAS.COM

10 Lelaki Kacak Yang Dilahirkan Sebagai Wanita

10 Lelaki Kacak Yang Dilahirkan Sebagai Wanita

Mereka dilahirkan sebagai wanita, namun nekad berubah untuk menjadi seorang lelaki. Lihat sendiri 10 wanita yang telah menjalani pembedahan untuk mengubah diri bagai lelaki tulen.

Buck Angel

Buck Angel

Buck Angel, seorang pelakon dan penerbit filem porno terkenal di Amerika Syarikat merupakan seorang transgender.

Suatu ketika dahulu, dia pernah menjadi model wanita sebelum mengambil keputusan untuk melakukan pembedahan bagi menghilangkan payu daranya dan tampil lebih maskulin.

Balian Buschaum

Balian Buschaum

Balian Buschaum atau nama asalnya Yvonne Buschaum merupakan bekas atlet lompat tinggi German namun terpaksa melupakan impiannya dalam bidang sukan kerana mengalami kecederaan, juga kerana keinginannya menukar jantina.

Setelah selesai menjalani pembedahan, dia menukar namanya dan mahu dikenali sebagai Balian.

Loren Cameron

Loren Cameron

Bekerja sebagai seorang jurugambar, penulis dan aktivis transeksual, Cameron digambarkan bapanya sebagai seorang ‘tomboy’ kerana dibesarkan di sebuah ladang dan ditugaskan membuat kerja-kerja kasar.

Dia pernah menerbitkan buku (Body Alchemy and Man Tool – The Nuts and Bolts of Female-to-Male Surgery) yang menampilkan perubahan fizikal transeksual yang melakukan pembedahan menukar jantina.

Ian Harvie

Ian Harvie

Ian Harvie merupakan pelawak dan sering membuat komedi berdasarkan kisah hidupnya sebagai seorang transgender. Dia mengambil keputusan untuk melakukan pembedahan pada usia 32 tahun.

Lucas Silveira

Lucas Silveira

Silveira dilahirkan pada 1979 dan merupakan seorang figura yang tidak asing lagi dikalangan pemuzik. Dia turut memiliki vokal yang mantap persis lelaki tulen!

Rocco Kayiatos

Rocco Kayiatos

Kayiatos atau turut dikenali sebagai Katastrophe merupakan seorang rapper. Dia bangga dikenali sebagai seorang pemuzik yang telah menukar jantina dan seringkali mengaitkannya dengan muzik.

Thomas Beatie

Thomas Beatie

Thomas Beatie pernah mengejutkan seluruh dunia apabila dia menjadi lelaki pertama yang mengandung. Namun hakikatnya, Beatie merupakan seorang transgender dan mula mengambil pil hormon ketika berusia 20an.

Walaupun bagaimanapun, dia mengambil keputusan untuk mengekalkan alat sulitnya, dan kini memiliki tiga orang anak yang dikandungnya sendiri.

Ryan Sallans

Ryan Sallans

Ryan Sallans atau nama asalnya Kimberly Ann Sallans merupakan seorang transgender yang juga aktivis di Amerika Syarikat.

Dia kini menjelajah ke seluruh negara itu bagi mengubah persepsi masyarakat terhadap golongan sepertinya.

Dia menjalani beberapa siri pembedahan pada tahun 2005 dan berjaya tampil sebagai seorang lelaki yang kacak.

Andreas Krieger

Andreas Krieger

Krieger merupakan seorang ahli sukan bagi acara spot putter dan bertanding mewakili Jerman. Ketika remaja, dia diberikan anabolic steroid tanpa pengetahuannya sehingga menyebabkannya menjadi maskulin dari segi penampilan dan perwatakan.

Selepas bersara pada tahun 1991, dia menjalani pembedahan menukar jantina. Menurutnya, walaupun gembira dengan keadaannya kini, dia kecewa kerana diberikan hormon lelaki tanpa pengetahuannya.

Chaz Bono

Chaz Bono

Dilahirkan sebagai Chastity Bono, dia merupakan anak perempuan kepada penyanyi Sonny dan Cher. Dia menerima banyak kritikan selepas diketahui seorang lesbian. Dia kini gembira dengan kehidupannya sebagai seorang lelaki.

BACA INI JUGA: Selebriti Kacak Terkenal Yang Mengaku Gay

sumber: mynewshub

Friday, April 17, 2015

Video Wanita Bukan Islam Pertahan Pasangan Muslim Dihina Dalam Tren

Video Wanita Bukan Islam Pertahan Pasangan Muslim Dihina Dalam Tren

Seorang wanita kulit putih, Stacey Eden, 23, wajar dipuji atas keberaniannya bangkit mempertahankan pasangan Muslim yang dihina seorang penumpang lain di dalam sebuah tren di Australia.

Stacey Eden

Stacey yang menjadi saksi kepada tohmahan kasar dibuat seorang wanita tua bangkit membetulkan stigma salah terhadap Islam dalam satu insiden dalam tren dari Lapangan Terbang Antarabangsa Sydney.

Menurut Stacey, wanita tua itu mendakwa pasangan Muslim terbabit merupakan penyokong kumpulan militan ISIS hanya kerana berhijab.

Menerusi video dirakam, Stacey yang tidak berpuas hati kelihatan mempersoalkan wanita tua itu, apa kaitannya ISIS dengan pasangan Muslim terbabit.

Apabila dia berkata tiada apa-apa maka jelaslah tiada isu yang perlu ditimbulkan dan Stacey dengan segera menyuruh wanita itu diam sekiranya tak ada benda baik ingin diperkatakan.

Sikap Stacey yang bangkit menentang sikap Islamophobia ini wajar ditabik apatah lagi apabila dia tidak sama agama mahupun bangsa dengan pasangan terbabit.

Malah untuk menjadi seperti Stacey bukan sahaja keberanian diperlukan tetapi pengetahuan am yang baik.

Semoga kebaikan dan niat baik Stcey dibalas Allah sebaik-baiknya. Amiin..

BACA INI JUGA: 10 Salah Faham Terbesar Mengenai Islam


Sumber: Mynewshub.cc

Nasihat Iblis Kepada Nabi Nuh

Nasihat Iblis Kepada Nabi Nuh

Diantara manusia yang mendapat umur yang sangat panjang di dunia ini adalah Nabi Nuh a.s. Al-Qur'an menyatakan bahawa Nabi Nuh a.s. pernah hidup disekitar kaumnya selama sembilan ratus lima puluh tahun.

Iblis dan Nabi Nuh
Gambar hiasan.

Selama masa itu, Nabi Nuh a.s. telah menyeru mereka pada jalan Allah SWT, namun hanya sedikit dari mereka yang mengikuti ajarannya.

Melihat kaumnya yang sengaja mengingkari ajarannya, malah sering menggangu dakwah kepada mereka, Nabi Nuh a.s. memohon kepada Allah SWT agar ditimpakan bencana kepada mereka.

Allah SWT mengabulkan permintaannya. Nabi Nuh a.s. diperintahkan untuk membuat kapal besar yang boleh memuatkan semua jenis makhluk bernyawa kerana Allah akan menurunkan hujan yang sangat lebat dan mengalirkan banjir besar sehingga tidak ada satu pun dari mereka yang kafir akan tertinggal.

Tiba waktu yang ditentukan, bersama pengikut dan segenap pasangan makhluk melata lain, Nabi Nuh a.s. pun naik keatas kapal. Hujan pun mulai turun membasahi bumi.

Nabi Nuh a.s. memerhatikan satu persatu mereka yang hadir ke atas kapal dan tiba-tiba matanya terpandang seorang lelaki tua yang tidak dikenalinya.

"Siapa kamu?" tanya Nabi Nuh a.s.

"Aku Iblis," jawabnya.

"Mengapa engkau mahu ikut serta bersama kami?" tanya Nabi Nuh a.s.

"Aku bukan mahu mengikuti kapalmu dan ingin selamat bersamamu. Aku hanya ingin mengganggu hati para pengikutmu. Biarlah tubuh mereka bersamamu, asal hati mereka bersamaku," jawab Iblis berterus-terang.

Iblis memang tidak pernah menyembunyikan niat jahatnya untuk mencelakakan manusia sejak zaman Adam sehinggalah ke hari kiamat.

"Keluarlah dari kapalku wahai musuh Allah!" kata Nabi Nuh a.s.

Iblis tidak menjawab sama ada mahu keluar atau terus kekal didalam kapal Nabi Nuh a.s.

Sebelum Nabi Nuh a.s. Allah SWT juga pernah mengusirnya keluar dari syurga, tetapi Iblis masih juga membangkang perintah Allah dan terus menggoda Adam sehingga berjaya.

Iblis hanya berkata, "Wahai Nuh, aku menyimpan lima strategi, dengannya aku boleh mencelakakan umat manusia. Aku akan sebutkan padamu yang tiga, tetapi aku akan menyembunyikan darimu dua yang lain."

Allah SWT kemudian mewahyukan pada Nabi Nuh a.s. agar tidak usah mendengarkan yang tiga, tetapi dengar saja dua yang cuba disembunyikn Iblis.

"Aku tidak berminat mendengar tiga strategi yang engkau ingin sebutkan itu. Tapi sebutlah dua strategi yang engkau sembunyikan dariku," jawab Nabi Nuh a.s.

Iblis berkata, "Wahai Nuh, aku akan berusaha membinasakan manusia dengan dua cara; pertama, dengan cara menanamkan sifat dengki dalam hati mereka, dan kedua; dengan cara menanamkan sifat nafsu dalam jiwa mereka. Kerana dengki maka aku dilaknat oleh Allah SWT dan dijadikannya sebagai syaitan yang terkutuk. Dan kerana nafsu maka Adam menghalalkan segala makanan di syurga sehingga dia dikeluarkan dari dalamnya. Dengan dua sifat ini, kami semua dikeluarkan dari syurga."

Setelah kapal Nabi Nuh a.s. mendarat bersama semua penumpangnya, tiba-tiba Iblis datang lagi menghampirinya.

Dengan suara yang amat merdu dia berkata kepada Nabi Nuh a.s., "Aku sangat berterima kasih padamu, lebih dari semua makhluk yang ada dimuka bumi ini."

"Permohonanmu agar orang-orang kafir itu dicelakakan telah dikabulkan oleh Allah SWT. Dengan cara itu bererti engkau telah meringankan bebanku," kata Iblis.

"Wahai Nuh, jangan sekali-kali engkau berasa dengki kerana ia telah menghantarku pada keadaan seperti ini. Dan jangan sekali-kali engkau menuruti nafsu, kerana ia telah menghantar Adam seperti yang dialaminya."

Itulah nasihat Iblis kepada Nabi Nuh a.s. sebelum berlalu pergi daripada kapal itu.

BACA INI JUGA: Misteri Kitab Iblis, Codex Gigas!

-SENTIASAPANAS.COM