Wednesday, April 22, 2015

Fast & Furious Pecah Rekod 'Box Office'

Fast & Furious Pecah Rekod 'Box Office'

Filem sekuel ketujuh Fast & Furious telah berjaya mencapai kutipan USD1b di seluruh dunia selepas 17 hari tayangan.

Fast & Furious 7

Filem ini berjaya mengalahkan beberapa filem popular lain seperti Avatar, The Avengers, Harry Porter and The Deathly Hallow yang hanya mencapai USD1b selepas 19 hari tayangan.

Presiden Pengedaran Domestik Universal, Nikc Carpou berkata, pihaknya amat berbangga dengan pencapaian filem tersebut dan menjadi filem aksi pertama yang berjaya mencapai kutipan 'box office' seperti ini.

"Para pelakon, penerbit filem, Universal dan krew yang terlibat dalam pembikinan filem Fast & Furious perlu diberi penghargaan atas usaha kerja keras yang ditunjukkan dalam menjayakan filem ini dan berharap kutipan akan terus meningkat," katanya dipetik Digital Spy.

Masih mengekalkan Vin Diesel yang juga penerbit filem ini, FF7 turut mengekalkan beberapa pelakon seperti Dwayne Johnson, Michelle Rodriguez, Jordana Brewster, Tyrese Gibson, Chris Bridges, Lucas Black dan kehadiran bintang terkenal, Jason Statham serta pelakon aksi terkenal Thailand, Tony Jaa.

BACA INI JUGA: 10 Filem Blockbuster Wajib Tonton 2015

Sumber: Sinarharian.com.my

Tuesday, April 21, 2015

Tun Mahathir Senaraikan Kegagalan Najib

Tun Mahathir Senaraikan Kegagalan Najib

Tun Mahathir Mohamad terus mengkritik Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak termasuk menggariskan beberapa perkara yang didakwa sebagai ‘kegagalan’ pemimpin nombor satu negara itu.

Kegagalan Najib

Menurut Tun Mahathir, meskipun kegagalan pembinaan jambatan bengkok satu episod yang memalukan, namun ia bukan alasan yang cukup untuk beliau menggesa Najib meletakkan jawatan.

“Sesetengah pihak percaya saya sangat marah kerana pembinaan jambatan bengkok gagal sehingga mahukan Najib letak jawatan. Ya, saya kecewa terutama apabila Najib merayu kepada Singapura untuk membina jambatan dan ia ditolak. Ia memalukan kerana kita tidak berani bina jambatan di negara sendiri tanpa kebenaran Singapura.

“Episod memalukan ini tidak cukup untuk saya menggesa Najib letak jawatan. Najib anak kepada (Allahyarham) Tun Abdul Razak, orang yang bertanggungjawab dalam kenaikan saya sebagai Perdana Menteri.

“Itu sebahagian alasan dan alasan lain sebab Najib menunjukkan prestasi yang baik ketika saya menjadi Perdana Menteri, saya mahu Najib menjadi Perdana Menteri dan orang tahu saya bekerja keras menekan Abdullah (Tun Abdullah Ahmad Badawi) untuk mengangkat Najib sebagai Timbalan Perdana Menteri supaya Najib boleh menjadi Perdana Menteri selepas Abdullah,” katanya.

Menurut beliau lagi, sejak menjadi Perdana Menteri, Najib gagal dalam projek pembinaan landasan kereta api berkembar elektrik dari Johor ke Padang Besar, Perlis yang telah dipersetujui sebelum ini.

“Tapi Najib gagal dalam banyak perkara selepas menjadi Perdana Menteri. Selain jambatan, dia juga tidak meneruskan landasan kereta api berkembar yang telah dipersetujui namun dibatalkan Abdullah.

“Dengan RM14 bilion, kita sepatutnya telah siapkan projek ini pada 2010. Sebaliknya atas desakan permintaan, dia benar penyambungan trek kereta api itu untuk RM12 bilion. Kita habis banyak duit.

“Kemudian, dia mula merekrut empat tingkat pegawai ditambah dengan pegawai British untuk menasihatkannya bagaimana untuk mentadbir negara. Mereka juga menggunakan konsultan asing yang menelan kos lebih RM7 bilion. Kita capai kemerdekaan pada 1957 dan hapuskan penasihat British. Kita lakukan lebih baik tanpa mereka. Najib nampaknya tak percaya kebolehan rakyat Malaysia untuk membangunkan negara,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menyentuh soal pengabaian Najib terhadap khidmat kakitangan awam yang sentiasa setia kepada kerajaan BN namun kini, ramai yang tidak lagi menyokong kerajaan.

“Mengabaikan Unit Perancang Ekonomi (EPU) dan jabatan kerajaan yang lain, dia mewujudkan agensi baru untuk merancang pembangunan negara ini. Agensi itu diketuai oleh bukan kakitangan awam dan gajinya jauh lebih tinggi daripada kakitangan awam.

“Kakitangan awam sangat tidak gembira. Sebelum ini mereka ubah negara ini daripada negara membangun kepada negara berpendapatan pertengahan. Sekarang, khidmat, kepakaran dan pengalaman mereka tidak lagi diperlukan. Dulu mereka setia dengan kerajaan, sekarang ramai yang tidak lagi menyokong kerajaan. Malah ada sebahagian yang menyertai pembangkang selepas bersara dan menjadi calon dalam pilihan raya,” katanya.

Malah dalam catatan sama, Tun Mahathir turut menyentuh soal slogan 1Malaysia yang dilaungkan Najib yang didakwanya diambil daripada pembangkang dan keputusan pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) atas desakan pembangkang serta membebaskan tahanan menyebabkan jenayah semakin meningkat.

“Kemudian, dia mula beri duit kepada rakyat bukan setakat kepada individu berpendapatan kurang RM3,000 sebulan tetapi juga kepada pertubuhan dan sektor korporat. Berbilion ringgit dihabiskan di sini. Kemudian himpunan dianjurkan dalam setiap majlis.

“Penganjur diarahkan untuk mengumpul 10,000 orang. Mereka diberi makan dan elaun serta pengangkutan. Mereka diberikan plakad untuk dipegang dengan tulis ‘I Love PM’ malah lagu 1M4U turut dihasilkan dan dinyanyikan di perarakan hari kebangsaan,” tulisnya.

Penolakan sokongan kaum Cina terhadap Najib jelas dizahirkan dalam PRU13 yang menyebabkan keputusan itu lebih buruk daripada zaman Abdullah.

Tun Mahathir turut mendakwa, orang Melayu pun tidak sokong Najib, malahan selepas Najib mengambil alih Umno, keputusan di Selangor lebih buruk daripada 2008.

“Orang Melayu undi BN sebab mereka takut Anwar (Datuk Seri Anwar Ibrahim) akan mengangkat Lim Kit Siang sebagai Timbalan Perdana Menteri. Selepas semua ini, saya teruskan sokong Najib. Dalam beberapa majlis saya berjumpa beliau dan memberitahu bahawa strateginya silap tapi pandangan saya diabaikan.

“Saya katakan sebelum PRU13 bahawa jika prestasinya lebih buruk daripada Abdullah, dia patut letak jawatan. Saya menaruh harapan tinggi untuk dia buat lebih baik daripada Abdullah. Apabila dia gagal, saya beritahu rakyat bahawa mereka patut terus sokong dia.

“Tapi sekarang, dengan kontroversi yang mengekorinya, saya pasti BN akan kalah jika dia terus memimpin dalam pilihan raya akan datang. Banyak tingkah lakunya yang saya fikir tidak betul tapi saya sudah bersedia untuk mengabaikannya termasuk gaya hidup dia dan isterinya yang mewah.

“Tapi apabila dia gagal menjelaskan ke mana hilangnya berbilion ringgit dan penglibatannya dalam orang-orang yang dipersoalkan dalam pengurusan 1MDB, saya merasakan bahawa dia tidak layak untuk menjadi Perdana Menteri negara ini. Saya akan jelaskan soal kehilangan berbilion ringgit ini dalam catatan akan datang,” katanya.

BACA INI JUGA: Surat Tun Mahathir Perihal Jambatan Bengkok

Sumber: Sinarharian.com.my

Zikir Sambil 'Goyang Badan' Tidak Dilarang

Zikir Sambil 'Goyang Badan' Tidak Dilarang

Pengerusi Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan (JFK), Prof Emeritus Tan Sri Abd Shukor Husin berkata secara asasnya tiada larangan terhadap perbuatan melakukan zikir sambil 'menggoyangkan badan'.

Zikir

Menurutnya, untuk mengatakan perbuatan ini haram atas dasar Rasulullah tidak pernah melakukannya, ia adalah tidak tepat kerana pada asasnya perkara harus kekal harus melainkan ia bertentangan dengan prinsip dan semangat al-Quran dan Sunnah.

"Sesuatu yang tidak dibuat oleh Nabi tidak semestinya haram berdasarkan kaedah tarku al-shay' la yaqtadi tahrimuhu iaitu sekiranya (Rasulullah) meninggalkan sesuatu tidak semestinya bererti membawa hukum pengharamannya'. Juga berdasarkan kaedah fiqh al-umur bi maqasidiha (setiap perkara adalah berdasarkan matlamatnya).

"Walaubagaimanapun perbuatan zikir yang dilakukan haruslah tidak keterlaluan sehingga menghilangkan matlamat zikir itu sendiri iaitu untuk mengingati ALLAH. Ia juga hendaklah tidak melibatkan perkara-perkara yang haram dan maksiat seperti percampuran bebas lelaki dan wanita, pembukaan aurat, iringan nyanyian dan muzik yang keterlaluan sehingga merosakkan amalan zikir tersebut dan lari dari batas syariah Islam," katanya ketika sidang media khas Majlis Muzakarah Fatwa Kebangsaan di Ibu Pejabat Jakim Putrajaya, hari ini.

Mengulas lanjut, Abd Shukor berkata, perkara penting yang harus diambil perhatian dalam isu ini ialah perkara yang dilakukan tidak seharusnya melampaui batas.

"Apa sahaja dalam agama yang bersifat melampaui batas adalah ditolak. Oleh yang demikian kita melihat ramai ulama yang membezakan pergerakan dalam zikir antara yang bersifat fitrah dengan sesuatu yang dibuat-buat atau secara berlebihan.

"Sesuatu yang dibuat-buat atau berlebih-lebihan adalah tertolak kerana ia bertentangan dengan semangat zikir iaitu untuk mengingati ALLAH," katanya.

Dalam isu berkaitan, Abd Shukor berkata, JFK tidak pernah menarik balik pengharaman ke atas tariqat Naqsyabandiah Al-Aliyah pimpinan Syeikh Nazim yang diputuskan pada 3 April 2000.

Ujarnya, jawatankuasa tersebut mendapati tariqat itu bertentangan dengan fahaman akidah Ahli Sunnah wal-Jamaah dan menyeleweng dari ajaran Islam.

Abd Shukor juga berkata, jawatankuasa itu tidak menemui fakta sahih untuk mengaitkan kumpulan Habib, yang terkenal dengan program qasidah dan zikir dengan tariqat itu walaupun tokoh qasidah terkenal dari Indonesia, Habib Syech Abdul Qadir Assegaf yang terkenal dengan lagu Ya Hanana, dikatakan pernah bergambar bersama Syeikh Nazim, kata Abd Shukor.

"Sejak akhir-akhir ini telah dikalutkan dengan isu tariqat Naqsyabandiah Al-Aliyah Syeikh Nazim Al-Haqqani dalam pelbagai media sosial dan cuba dikaitkan dengan kumpulan Habib," kata beliau.

BACA INI JUGA: Aktiviti Candlelight Vigil Haram Dalam Islam

Sumber: Sinarharian.com.my

Tun Mahathir Kritik Gaya Hidup ‘Mewah’ Rosmah Dan Najib!

Tun Mahathir Kritik Gaya Hidup ‘Mewah’ Rosmah Dan Najib!

Tun Mahathir semakin memperhebatkan lagi asakan beliau terhadap Datuk Seri Najib Razak apabila mula menjadikan isteri perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, sebagai sasaran kritikan.

Gaya Hidup ‘Mewah’ Rosmah Dan Najib

Kali ini, Tun mensasarkan kritikan tersebut terhadap isu yang sering menjadi bahan politik seteru Najib dari Pakatan Rakyat (PR), dakwaan gaya hidup mewah Rosmah.

“Ada banyak perkara tentang kelakuan peribadinya (Najib) yang saya rasakan tidak betul.

“Namun, saya bersedia untuk melupakannya, termasuklah gaya hidup mewah beliau dan isterinya,” kata Dr Mahathir dalam tulisan terbaru di blognya yang dipetik dari Malaysiakini.

Tun Mahathir mengulangi kenyataan beliau sebelum ini yang Najib tidak lagi layak menjadi perdana menteri apabila gagal menjelaskan perjalanan kewangan syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Malah kali ini, Mahathir maju selangkah lagi apabila turut mendakwa Najib melibatkan “individu-individu yang diragui” dalam pengurusan 1MDB.

Untuk menguatkan hujahnya itu, beliau berjanji akan mengupas kisah tentang kehilangan berbilion ringgit wang negara dalam tulisan seterusnya di blog chedet.

“Saya akan jelaskan bagaimana beliau kehilangan berbilion ringgit dalam tulisan akan datang,” katanya.

Tun Mahathir mendakwa pentadbiran Datuk Seri Najib mengabaikan EPU dan jabatan kerajaan malah menubuhkan sebuah agensi baru untuk merancang pembangunan negara. Agensi ini diketuai oleh bukan penjawat awam dan gaji kakitangan ini jauh melebihi yang dibayar kepada kakitangan awam.

Pada masa sama, Tun Mahathir berkata Najib merugikan banyak wang negara apabila gagal menilai keutamaan projek-projek mega dengan memberikan tumpuan pada projek yang salah.

Kenyataan ini merupakan serangan terbuka kedua dari Tun Mahathir terhadap Najib selepas beliau secara berterus terang menganggap Najib gagal sebagai perdana menteri sebelum ini.

Beliau menggesa Umno menyingkirkan Najib bagi memastikan kelangsungan parti itu dalam pilihan raya akan datang.

Serangan Tun Mahathir ini menimbulkan pelbagai reaksi daripada kepimpinan Umno.

Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata pada satu forum, Tun Mahathir tidak keseorangan dalam menyatakan kebenaran.

Sementara, Naib Presiden Umno Datuk Seri Shafie Apdal menggesa kerajaan memberi jawapan terperinci kepada soalan-soalan Tun Mahathir.

Amaran Hishammuddin

Sementara itu, naib presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang merangkap sepupu Najib, pula merasakan pendapat dan persoalan Tun Mahathir tidak perlu dilayan kerana ia akan menjejaskan perjalanan parti dan negara.

Hishammuddin meminta supaya kerajaan tidak melayan kritkan yang dibuat bekas Tun Mahathir.

Jelasnya, perkara yang dibangkitkan terhadap kepimpian Perdana Menteri, Najib Tun Razak dan UMNO tidak akan berkesudahan.

“Sampai kiamat pun tidak akan selesai,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Pertahanan memberi amaran kepada Tun Mahathir berkenaan kritikannya yang terbuka kerana memberi kesan kepada parti dan pimpinan negara.

“Nak melayani setiap tuduhan Tun Mahathir terhadap pimpinan negara saya sebut hari itu supaya jangan sampai jejaskan kepimpinan, jangan sampai jejaskan parti, jangan sampai jejaskan pentadbiran negara,” tegasnya.

Menurut Hishammuddin, apa yang penting sekarang adalah bersatu padu dan melihat ke hadapan.

Ali Baba Bujang Lapok

Aziz Satar terpaksa belajar cara berjalan sebagai orang kaya setelah terjumpa harta karun yang bertimbun.

Aziz berfikir jika sudah jadi kaya cara berjaan pun kena ubah. Aziz menjadi bahan ketawa penonton dan itu adalah satu keadaan yang hakiki yang sedang berlaku dalam masyarakat kita khususnya yang baru mendapat kekayaan dan kedudukan yang tinggi.

Selalunya kehidupan orang yang baru mendapat nikmat ini hidup mereka kadangkala adalah ‘fake’ dan tidak natural.

Dalam waktu membuat ‘adjustments’ dengan keadaan dan situasi baru itu, ia menyakitkan mata dan hati banyak pihak yang bersangkutan dengan orang ramai.

Kata-kata orang tua dahulu kala ada berbunyi, ‘seorang yang berdarah raja itu, jika menjadi buruh pun ia tetap raja, tetapi jika seorang ‘toman’ (sengkek), jika diletakkan mahkota di kepala mereka sekali pun, ia tetap dengan sikap ‘toman’nya.

BACA INI JUGA: Kepada YB-YB Politik, Contohilah Kemuliaan Akhlak Saidina Umar Sebagai 'Hamba' Kepada Rakyatnya

Video Gadis Terengganu Berpesta Arak Jadi Viral

Video Gadis Terengganu Berpesta Arak Jadi Viral

Rakaman berdurasi 2:43 itu memaparkan sekumpulan gadis dilihat begitu seronok meneguk tin minuman keras dari pelbagai jenama dalam satu sambutan hari jadi.

Gadis-berpesta-arak

Dalam rakaman video tersebut, ianya memaparkan sekumpulan gadis berpesta arak yang kini menjadi viral di laman sosial.

Majoriti netizen mengecam tindakan kumpulan gadis itu yang disifatkan bodoh dan pendek akal.

Dalam video ini, terdapat kelibat tujuh gadis berusia sekitar 20-an termasuk individu yang sedang merakam video ini, bercakap dalam dialek Terengganu.

Gara-gara video ini juga, ia mengubah ‘persepsi’ sebilangan masyarakat terhadap imej perempuan pantai timur yang dikenali kebanyakannya beradab dan mempunyai pengetahuan agama yang tinggi.

Bagaimanapun harus diingat, jangan kerana nila setitik rosak susu sebelanga. Kita percaya masih ramai gadis diluar sana yang terpelihara adab dan agamanya.

Terdapat banyak komen mendakwa kejadian ini merupakan kes lama dan dirakamkan sekitar tahun 2005, namun kami sendiri tidak dapat mengesahkannya.

Tak kisahlah kes lama atau baharu, sama-sama kita doakan semoga gadis-gadis dalam rakaman ini sudah bertaubat hendaknya.

BACA INI JUGA:


Sumber: Mynewshub.cc

'Pegawai Maksiat' Paksa Kekasih Kantoi ‘Beromen’

'Pegawai Maksiat' Paksa Kekasih Kantoi ‘Beromen’

Rakaman sekumpulan lelaki ‘menangkap’ sepasang kekasih berkelakuan sumbang dan kemudian memaksa pasangan itu meneruskan aksi panas mereka kini tersebar di media sosial.

Kekasih Kantoi ‘Beromen’

Daripada audio rakaman dapat dirumuskan bilangan lelaki yang berlagak sebagai ‘pegawai maksiat’ adalah ramai maka tak hairanlah pasangan berkenaan didapati melakukan perkara mengaibkan seperti disuruh dalam keadaan ketakutan dan tanpa sebarang bicara.

Daripada dialek yang digunakan kejadian dipercayai berlaku di Kelantan.

Ini sebenarnya bukan kes pertama kejadian seumpama ini berlaku malah beberapa tahun lalu tersebar rakaman pasangan kekasih dibogelkan termasuk yang perempuan apabila mereka kantoi sedang melakukan maksiat sedangkan secara jelas, adalah mustahil untuk satu-satu penguatkuasaan ‘amar makruf nahi mungkar’ atas nama Islam perlu melibatkan perbuatan keji sebegitu.

Golongan yang berpura-pura kononnya pegawai pencegah maksiat sedangkan mereka sebenarnya golongan ‘sangap seks’ seperti ini harus dibawa ke muka pengadilan.

Meskipun pasangan kekasih dalam rakaman ini sememangnya telah melakukan kesalahan di sisi agama Islam dan boleh didakwa di Mahkamah Syariah, kumpulan yang bertindak di luar batasan dengan mengaibkan mereka juga boleh dihukum kerana terdapat unsur penyamaran, ugutan dan perbuatan mengaibkan secara sengaja telah berlaku.

Nasihat kami buat pasangan kekasih ini, lakukan laporan polis supaya keadilan dapat ditegakkan, sesuai dengan aib diterima.

Pada masa sama, sama-sama ambil iktibar daripada kejadian ini supaya berhenti melakukan maksiat sementara Allah masih menutup aib kita.

BACA INI JUGA: Zizan Razak Nafi Langgan Pelacur Di Luar Negara!

Sumber: Mynewshub.cc

Monday, April 20, 2015

Tiada Amalan Khusus Di Bulan Rejab, Kemuliaan Dicemari Kepalsuan

Tiada Amalan Khusus Di Bulan Rejab, Kemuliaan Dicemari Kepalsuan

Bulan Rejab merupakan salah satu daripada ‘al-Ashur al-Hurum’ (bulan-bulan haram) selain bulan Muharram, Zulkaedah dan Zulhijjah.

Bulan Rejab

Bulan-bulan haram merupakan bulan mulia sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-Taubah ayat 36, yang bermaksud, “Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa Dia menciptakan langit dan bumi. Antaranya empat bulan haram (yang dihormati). Ketetapan yang demikian itu ialah agama yang betul lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu (dengan melanggar laranganNya)..”

Abu Bakrah melaporkan, Nabi Muhammad saw bersabda, “Sesungguhnya masa itu beredar sebagaimana hari Allah mencipta langit dan bumi iaitu setahun itu ada dua belas bulan. Antaranya ada empat bulan haram (yang dihormati) iaitu tiga bulan berturut-turut: Zulkaedah, Zulhijjah, dan Muharram. Seterusnya Rejab iaitu antara bulan Jamadilakhir dan Sya’ban.” (Hadis sahih direkodkan oleh Imam Bukhari dan Muslim).

Imam Ibnu Rajab al-Hanbali menjelaskan, maksud Rejab ialah agung (Lata’if al-ma’arif, hlm. 117).

Oleh sebab itu, bulan Rejab adalah bulan yang agung dan mulia. Antara keistimewaan bulan Rejab ialah berlakunya peristiwa Isra’ dan Mikraj yang menurut majoriti ulama’ ia berlaku pada 27 Rejab.

Namun isu yang timbul ialah kemuliaan bulan Rejab sebagai salah satu bulan haram telah dicemari dengan pengagungan yang bersumberkan kepada laporan/hadis palsu yang direka-reka yang diistilahkan dalam ilmu hadis sebagai hadis maudhuk.

Mengagungkan bulan Rejab bukanlah satu persoalan yang baru. Ia telah pun wujud pada zaman Jahiliyyah; sebelum kedatangan Islam.

Masyarakat Arab Jahiliyah begitu mengagungkan bulan Rejab sehingga mereka menjadikannya sebagai perayaan.

Antara amalan popular yang dilakukan oleh sebahagian orang Islam di Malaysia apabila datangnya bulan Rejab ialah mereka berusaha bersungguh-sungguh untuk melakukan puasa sunat Rejab dan menghidupkan malam dengan sembahyang sunat Rejab.

Umat Islam di Malaysia khususnya dan dunia umumnya; kini dan dahulu, telah disajikan dengan pelbagai janji manis jika melakukan sesuatu amalan khusus di bulan Rejab.

Satu kebenaran yang perlu dijelaskan kepada umat Islam ialah tiada amalan khusus dalam bulan Rejab yang dilaporkan daripada Rasulullah SAW dari hadis sahih.

Amalan tertentu seperti solat sunat Rejab, puasa Rejab dan umrah di bulan Rejab adalah sebahagian kecilnya bersandarkan kepada hadis lemah (daif) dan kebanyakkannya adalah hadis palsu (maudhuk).

Isu mencemarkan bulan Rejab dengan janji-janji daripada sumber yang palsu ini sudahpun wujud sekian lama.

Antara ulama terdahulu yang membongkar usaha golongan pemalsu hadis yang membuat pembohongan terhadap Nabi Muhammad saw berkaitan kelebihan bulan Rejab dan amalan khusus padanya, antaranya ialah Imam ahli hadis Abu al-Khattab ‘Umar bin Hasan ibn Dihyah (w. 633H) yang mengarang buku yang bertajuk ‘Ada’ ma wajab min bayan wad’ al-wadda’in fi Rajab (Melaksanakan apa yang wajib dengan menerangkan pemalsuan yang dilakukan oleh pembohong berkaitan Rejab)’ dan Imam Ibnu Hajar al-‘Asqalani (w. 852H) yang mengarang risalah yang bertajuk ‘Tabyin al-‘ajab bi ma warada fi fadhl Rajab (Menjelaskan perkara yang pelik berkaitan dengan apa yang disampaikan tentang kelebihan Rejab)’.

‘Ata; seorang ulama tabi’in menjelaskan, Nabi Muhammad SAW melarang daripada berpuasa penuh sebulan bulan Rejab agar ia tidak dijadikan sebagai perayaan sebagaimana yang dilakukan oleh orang Arab Jahiliyyah (Ibnu Rajab, Lata’if al-ma’arif, hlm. 11).

Ibnu Hajar al-‘Asqalani menjelaskan, “Larangan daripada berpuasa sebulan penuh pada bulan Rejab adalah berkaitan dengan individu yang melakukannya kerana terpengaruh dengan amalan orang Arab jahiliyyah yang begitu mengagungkan bulan Rejab.

Tetapi jika seseorang itu berpuasa sunat sama seperti bulan lain tanpa menganggap puasa bulan Rejab adalah lebih utama daripada bulan lain, tidak mengkhususkan puasa hari tertentu bulan Rejab bagi mendapat ganjaran tertentu, maka amalan itu tidak menjadi kesalahan.

Begitu juga dengan individu yang menghidupkan malam bulan Rejab dengan beribadah sebagaimana dia beribadah pada malam bulan lain.

Tetapi jika seseorang beribadah sunat hanya pada bulan Rejab sahaja dengan anggapan ia khusus untuk bulan Rejab, maka ia adalah amalan yang dilarang.” (Tabyin al-‘ajab, hlm. 49).

Imam Ibnu Hajar al-‘Asqalani menjelaskan tujuan beliau mengarang risalah yang bertajuk ‘Tabyin al-‘ajab bi ma warada fi fadhl Rajab’: “Telah berulang-ulang soalan yang dikemukakan tentang kelebihan bulan Rejab, tentang berpuasa dan solat sunat padanya. Serta untuk menjelaskan yang mana hadis yang sahih dan yang palsu.”

Kesimpulan daripada analisa yang dilakukan oleh Imam Ibnu Hajar ialah, “Langsung tidak terdapat hadis sahih yang boleh dijadikan hujah tentang kelebihan bulan Rejab, puasa sunat khusus Rejab, juga solat sunat qiyamullail khusus Rejab, namun begitu terdapat sebahagian ulama yang membenarkan menerima hadis yang menjelaskan tentang kelebihan bulan Rejab walaupun hadis itu daif, tetapi tidak boleh diterima jika ia hadis mauduk.”

Antara kelebihan bulan Rejab dan amalan khusus padanya yang bersumberkan laporan, hadis palsu ialah:

i. Hendaklah kamu memuliakan bulan Rejab nescaya Allah muliakan kamu dengan seribu kemuliaan di hari Qiamat Laporan ini palsu kerana ia direka oleh seorang pelapor hadis yang dilabel oleh ulama hadis sebagai seorang pembohong iaitu Abu al-Barakat Hibatullah ibn al-Mubarak al-Saqati.

ii. Bulan Rejab Bulan Allah, Bulan Syaaban bulanku, dan bulan Ramadhan bulan umatku. Laporan ini palsu kerana ia direka oleh seorang pelapor hadis yang dilabel oleh ulama hadis sebagai seorang pembohong iaitu Abu Bakar Muhammad bin Hasan al-Naqqash. Dalam rantaian pelapor hadis ini juga terdapat individu yang tidak dikenali seperti al-Kassa’i.

iii. Kelebihan bulan Rejab dari segala bulan seperti kelebihan Quran atas segala zikir. Laporan ini palsu kerana ia direka oleh seorang pelapor hadis yang dilabel oleh ulama hadis sebagai seorang pembohong iaitu Abu al-Barakat Hibatullah ibn al-Mubarak al-Saqati.

iv. Sesiapa berpuasa tiga hari pada bulan Rejab, Allah menuliskan untuknya pahala berpuasa sebulan. Sesiapa yang berpuasa tujuh hari ditutup baginya tujuh pintu neraka. Sesiapa berpuasa lapan hari, Allah membuka baginya lapan pintu syurga. Sesiapa berpuasa setengah bulan Rejab, Allah menuliskan untuknya memperoleh keredaanNya, sesiapa yang ditulis baginya keredaanNya, orang itu tidak akan diazab. Sesiapa yang berpuasa sebulan Rejab, Allah akan menghisab orang itu di padang Mahsyar dengan hisab yang mudah. Laporan ini palsu kerana ia direka oleh seorang pelapor hadis yang dilabel oleh ulama hadis sebagai seorang pembohong iaitu Aban bin Abi ‘Iyash. Laporan-laporan lain yang menjelaskan kelebihan berpuasa mengikut bilangan hari di bulan Rejab juga laporan palsu, antaranya direka oleh Uthman bin Matar, Harun bin ‘Antarah, dan Farrat bin al-Sa’ib.

v. Sesiapa sembahyang maghrib pada hari pertama bulan Rejab, kemudian selepas itu dia bersembahyang sunat 20 rakaat dengan sepuluh kali salam, setiap rakaat dibaca surah al-Fatihah dan selepas itu membaca surah al-Ikhlas sekali, adakah kamu tahu pahalanya? Laporan ini palsu kerana ia direka oleh seorang pelapor hadis yang dilabel oleh ulama hadis sebagai seorang pembohong iaitu al-Husayn bin Ibrahim. Terdapat laporan palsu lain yang direka menjelaskan kelebihan tertentu jika bersembahyang sunat dengan bilangan rakaat tertentu dengan bacaan tertentu pada bulan Rejab. Antara individu lain yang bertanggungjawab membuat laporan palsu tersebut ialah Ali bin Abdullah bin Jahdam, Aban bin Abi ‘Iyash. Sembahyang tersebut juga diistilahkan sebagai sembahyang sunat Ragha’ib.

vii. Bersedekah pada bulun Rejab dijauhkan Allah daripada api neraka. Laporan ini palsu kerana ia direka oleh seorang pelapor hadis yang dilabel oleh ulama hadis sebagai seorang pereka hadis iaitu Aban bin Abi ‘Iyash.

Haram menyebar hadis palsu

Al-Mughirah bin Syu’bah melaporkan, Nabi Muhammad saw bersabda, “Sesungguhnya pembohongan yang dilakukan ke atasku adalah tidak sama dengan pembohongan yang dilakukan ke atas orang lain.

Sesiapa yang membuat pembohongan terhadapku dengan sengaja, maka bersedialah dia dengan tempat duduknya di dalam api neraka.” (Hadis sahih direkod oleh Imam al-Bukhari).

Syeikh Abu Asma’ Ibrahim bin Ismail Ali ‘Asr menjelaskan dalam pendahuluannya kepada suntingan karya Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani yang bertajuk ‘Tabyin al-‘ajab bi ma warada fi fadhl Rajab’, ramai dalam kalangan pendakwah, penceramah, guru agama, khatib yang tidak sensitif terhadap hadis maudhuk, sehingga mereka menyampaikannya kepada masyarakat tanpa berusaha mengenalpasti status sesuatu hadis.

Perkara merbahaya ini boleh menceburkan mereka dan anggota masyarakat yang menyebarkan hadis palsu dalam ancaman Nabi, “Sesiapa yang berdusta terhadapku, maka bersedialah tempatnya di dalam api neraka”.

Walaupun mereka tidak berniat untuk melakukan pendustaan terhadap Rasulullah, tetapi dengan tindakan mereka menyebarkan hadis palsu sedangkan mereka sudah dijelaskan kepalsuan hadis itu, mereka telah terjebak dalam melakukan pendustaan terhadap Rasulullah saw.

Abu Hurairah melaporkan, Nabi Muhammad saw bersabda, “Cukuplah seseorang itu sudah dianggap berdosa dengan dia menyebarkan segala berita yang didengar tanpa disiasat terlebih dahulu.” (Hadis sahih direkod oleh Imam Muslim).

Umat Islam tidak perlu disajikan dengan pahala dan fadhilat untuk melakukan amalan khusus hanya di bulan Rejab sahaja, sedangkan ia bersumberkan laporan/hadis palsu yang merupakan pembohongan terhadap Nabi Muhammad saw.

Adalah amat baik kita dapat melazimi diri dengan melaksanakan amal ibadah secara berterusan yang bersumberkan dalil yang benar daripada al-Quran dan hadis sahih; tentang kelebihan menghidupkan malam dengan solat sunat seperti tahajud dan witir, puasa sunat isnin khamis, puasa sunat hari ke 13, 14, dan 15 setiap bulan, puasa sunat selang sehari seperti cara puasa Nabi Daud.

Marilah sama-sama kita memelihara kemuliaan bulan haram seperti bulan Rejab ini daripada dicemari dengan hadis palsu. -e-fatwa.gov.my

Wallahu a’lam.

BACA INI JUGA: 10 Kesalahan Dalam Solat Yang Sering Dilakukan

Hukum GST Adalah Harus, Tapi Yang Kaya Terus Kaya

Hukum GST Adalah Harus, Tapi Yang Kaya Terus Kaya

Sejujurnya, daripada pengalaman singkat kita dikenakan GST, terbukti ianya sangat membebankan terutamanya rakyat miskin yang merasakan nilai RM1 sama seperti RM10. Apalah sangat yang difahami oleh para pemimpin kita kerana ketika mereka membuat perbincangan, segala keputusan dilakukan dari atas kerusi empuk dalam suasana sejuk yang sangat selesa oleh tiupan penghawa dingin.

Prof Emeritus Tan Sri Abd Shukor Husin

Dan, Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan hari ini sekali lagi menegaskan bahawa pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) adalah harus selagi terdapat keperluan dan maslahah untuk negara dan rakyat.

Pengerusinya Prof Emeritus Tan Sri Abd Shukor Husin berkata pelaksanaan sistem cukai baharu itu bagaimanapun perlu berpandukan kepada enam parameter syarak yang digariskan jawatankuasa tersebut.

Antaranya, kata beliau, kerajaan komited bahawa tujuan kutipan adalah untuk melaksana dan meningkatkan syariat Islam.

Ia juga harus bersandarkan syarat bahawa kerajaan memerlukan sumber kewangan untuk pembangunan umum seperti membina jalan raya, membantu orang miskin atau membina hospital.

Cukai yang dikutip hendaklah juga hanya untuk memenuhi maslahah dharuriyat dan hajiyat iaitu memenuhi tanggungjawab sosial dan kepentingan rakyat dan negara, katanya pada sidang media selepas mesyuarat Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan di sini.

“Harus, selagi bebanan cukai dikutip secara adil, cukai dibelanjakan untuk maslahah ummah bukan untuk maksiat dan agihan cukai hendaklah bertepatan, adil dan mengikut pandangan ahli ulama atau pakar semasa dan setempat,” katanya.

Abd Shukor menolak dakwaan bahawa keputusan jawatankuasa itu berkenaan GST adalah berdasarkan hujah yang longgar dan tidak menepati hukum syarak kerana bersandarkan kepada maslahah.

Katanya selain mendapat pandangan ulama, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira laporan intensif yang disediakan kumpulan penyelidik dari kalangan pakar syariah dan ekonomi dari Universiti Teknologi MARA.

Abd Shukor juga berkata jawatankuasa itu turut mengambil maklum mengenai laporan ketirisan perbelanjaan kerajaan seperti dilaporkan dalam Laporan Audit Negara.

Namun, katanya, mereka (jawatankuasa itu) hanya bertanggungjawab dalam memberi pandangan mengenai GST.

Ditanya apakah jawatankuasa itu akan mengeluarkan fatwa baharu jika kerajaan gagal memenuhi syarat yang digariskan, Abd Shukor berkata kerajaan perlu diberi peluang sehingga setahun (laksana GST) sebelum penilaian semula dibuat. –BERNAMA

Kerajaan seolah-oleh begitu terdesak bagi meningkatkan pendapatan negara namun persoalan utamanya, berapa peratuskah yang benar-benar sampai kepada rakyat? Dan berapa peratus pula yang masuk ke dalam kocek para pemimpin yang korup?

Bukannya rahsia, pemimpin-pemimpin politik di Malaysia sememangnya sangat kaya-raya dengan gaji mereka yang tidak seberapa itu. Lebih malang tiada seorang pun yang 'sudi' mengisytiharkan jumlah harta kekayaan masing-masing.

Yang kaya terus kaya, yang miskin bertambah miskin dan yang susah semakin parah..

BACA INI JUGA: Nasihat Dr. Mahathir, "Kurangkan Kos Bukannya Naikkan Harga"!

-SENTIASAPANAS.COM

Konflik Status Anak Ke-2 Keluarga Jins Samsuddin Berlarutan

Konflik Status Anak Ke-2 Keluarga Jins Samsuddin Berlarutan

Kemelut keluarga membabitkan tokoh perfileman negara, Tan Sri Jin Samsuddin nampaknya masih belum berkesudahan.

Tan Sri Jin Samsuddin

Episod kontroversi tersebut bermula apabila seorang individu, Hang Tuah @ Shazrin Mohd Zain, 41, mendakwa bahawa dia merupakan anak kedua hasil perkahwinan Jins bersama ibunya, Jamilah Shukor.

Perkara tersebut dinyatakannya dalam satu sidang media yang dibuat baru-baru ini setelah dia kesal dengan kenyataan isteri Jins, Puan Sri Halijah Abdullah, 56, bahawa seniman itu hanya memiliki tiga anak.

Ia berlanjutan apabila anak bongsu Jins iaitu Putera Hang Nadim membuka mulut dengan berkata bahawa dia turut kesal dengan tindakan ‘abangnya’ itu kerana membelakangkan keluarga dan memilih untuk membicarakannya bersama pihak luar.

Tak terhenti di situ, ia berpanjangan apabila Halijah pula membuat penjelasan bahawa sepanjang pengetahuannya, Jins hanya memiliki tiga anak hasil dari dua perkahwinan terdahulu.

Namun demikian, dia tidak menafikan bahawa mereka sekeluarga mengenali Shazrin, namun hanya sebagai anak angkat kepada kakak Jins, iaitu Hazizom Samsuddin.

Memetik kenyataannya dalam akhbar Berita Harian, “Saya mengatakan suami (Jins) memiliki tiga orang anak sahaja, itu hakikat yang selama ini diketahui. Daripada mulut Jins, dia mengatakan ada tiga orang anak sahaja.

“Saya kenal Hang Tuah sejak kecil. Dia dibela kakak Jins, Hazizom Samsudin di Taiping, Perak.

“Sejak dahulu saya hanya tahu dia anak angkat Hazizom. Saya pernah tanya Jins, siapa Hang Tuah, beliau beri amaran kepada saya jangan campur urusan keluarganya. Jadi saya hanya diam sejak itu.”

Ujar Halijah lagi, walaupun hubungannya dengan Shazrin tidak rapat, namun mereka tidak mempunyai sebarang masalah sebelum ini.

Malah, Shazrin pernah mengunjungi rumahnya beberapa kali, terutamanya pada hari raya.

“Hang Tuah memanggil Jins sebagai Cu manakala saya sebagai Kak Jah.

“Perkara ini tidak sepatutnya dirahsiakan. Apa yang dapat saya katakan, inilah akibatnya apabila terlalu banyak berahsia. Akhirnya semua nampak seperti tidak kena. Tidakkah ia memalukan?”

Hang Tuah @ Shazrin Mohd Zain
Hang Tuah @ Shazrin Mohd Zain.

Sementara itu, Hang Nadim turut mempersoalkan nama bapa kepada Hang Tuah yang tidak sama dengan nama sebenar Jins Samsuddin.

“Saya akui kami tiga beradik mempunyai ‘bin’ yang berbeza. Nama abang sulung ialah Jeffrey bin Jins, diikuti Putera Hang Tuah bin Mohamed Jin dan saya Putera Hang Nadim bin Jins Samsuddin.

“Nama sebenar ayah dalam kad pengenalan adalah Mohamed Jin Samsudin@Jins Samsuddin. Jadi dari mana datangnya nama Mohd Zain seperti yang didakwa? Setahu saya nama Mohd Zain adalah panggilan orang kampung.”

Apa-apapun, isu ini takkan berkesudahan andai kedua-dua pihak mengambil jalan untuk berinteraksi melalui media.

Sepatutnya, isu sensitif seperti ini dibawa berbincang secara tertutup bagi menghormati individu berpengaruh dan dihormati seperti Tan Sri Jins Samsuddin.

BACA INI JUGA: Artis-artis Hollywood Yang Membenci Watak Ikonik Sendiri

Sumber: Mynewshub.cc