Sunday, June 11, 2017

Sambutan Hari Bapa, Father's Day

Sambutan Hari Bapa, Father's Day

Sambutan Hari Bapa, Father's Day merupakan suatu hari cuti sekular yang bermula pada awal abad ke-12 untuk kaum lelaki menyambut hari bapa dan untuk memberi penghormatan dan peringatan terhadap para bapa.

Sambutan Hari Bapa

‘Hari Bapa’ adalah satu hari yang dikhaskan kepada semua bapa, ayah, abah, walid, wahid, abi, apak, bapak, father, daddy dan papa di seluruh dunia.

Hari Bapa disambut pada tarikh yang berlainan di seluruh dunia dan selalu menglibatkan pemberian hadiah kepada bapa dan kekeluargaan.

Sejarah asal-usul Sambutan Hari Bapa

Terdapat banyak versi dalam sambutan hari bapa. Dalam satu versi, sambutan ini dikata bermula di Amerika Syarikat dengan ideanya dicetuskan oleh seorang wanita, Sonora Dodd dari daerah Spokane.

Beliau mahu sesuatu dilakukan untuk mengenang bapanya, William Smart, seorang veteran perang saudara yang ditinggalkan oleh isterinya dan membesarkan enam orang anak secara bersendirian di sebuah ladang kecil.

Hari bapa yang pertama disambut pada tahun 1910 dengan mengambil sempena tahun kelahiran William Smart sendiri.

Sejak tahun 1972, ia disambut setiap tahun apabila bekas Presiden AS, Richard Nixon menandatangani satu undang-undang awam yang menjadikan hari tersebut dicatat di dalam kalendar.

Menghormati Bapa

Hari Bapa adalah hari untuk menghormati bapa. Kebiasaannya Hari Bapa dirayakan dengan pemberian hadiah kepada bapa dan melakukan kegiatan kekeluargaan.

Meraikan bapa tidak sewajarnya dilakukan cuma pada satu hari itu sahaja kerana kasih sayang mahu pun kebajikan bapa hendaklah dipelihara berterusan sepanjang tahun iaitu perlu juga dikasihi pada 364 hari yang lain.

Mahu memberikan hadiah tanda kasih, tiap-tiap bulan pun boleh atau jika dengan hanya bertanya khabar, itu sudah lebih dari cukup untuk menghiburkan buat ibu dan bapa.

Kalau ibu dihormati dan miliki keistimewaan ‘Syurga di bawah kaki Ibu’, tetapi bapa adalah lebih lagi dengan ‘Surganya Ibu di bawah tapak kaki bapa (suami)’.

Sesiapa yang sudah berkahwin, jangan lupa ‘Bapa Mentua’ tarafnya pun sama dengan bapa kita juga. Sekiranya masih mempunyai bapa, sayangilah bapa selagi ia masih ada, lawatilah dan hubungilah dia.

Kesempatan berkumpul itu bolehlah dilakukan solat berjemaah di rumah atau bersama-sama ke masjid.

Seandainya tinggal bersendirian, carikanlah jodoh dan penemannya agar kehidupan beliau sentiasa tenteram dan bahagia di hujung usia.

Jika bapa sudah tiada di dunia ini, sedekahkanlah pahala bacaan Al-Quran dan amal soleh untuknya.

Mereka pasti sentiasa mengharapkan anak, cucu, cicit dan seluruh keturunan beramal soleh dan mendoakan mereka.

Santuni dan jalinkanlah tali silaturahim dengan rakan-rakan lamanya dan anggap mereka seperti bapa sendiri.

BACA INI JUGA:

sumber: wikipedia | shafiqolbu

Saturday, June 10, 2017

Apakah Hukum Orang Yang Enggan Membayar Zakat?

Apakah Hukum Orang Yang Enggan Membayar Zakat?

Dijelaskan di sini jenis dan bahagian orang yang enggan membayar zakat berdasarkan niat hati masing-masing kepada dua bahagian.

Balasan tidak membayar zakat

Pertama: Orang yang enggan mengeluarkan zakat kerana mengingkari kewajipannya

Zakat merupakan rukun Islam yang ketiga selepas mengucap dua kalimah syahadah dan mendirikan solat.

Oleh itu, ulama bersepakat menyatakan bahawa orang yang menentang dan mengingkari zakat adalah kafir dan murtad.

Darahnya halal dibunuh sekiranya tidak bertaubat. Ini kerana zakat merupakan perkara yang mudah diketahui kefardhuannya di kalangan orang Islam yang tidak memerlukan kepada hujah dan dalil.

Imam al-Nawawi Rahimahullah menukilkan di dalam kitab al-Khattabi dengan menyatakan, “Sesiapa yang mengingkari kewajipan berzakat pada masa ini adalah kafir berdasarkan ijma’.” Katanya lagi: “Pengetahuan tentang kewajipan berzakat telah tersebar luas di kalangan orang Islam sehingga telah diketahui oleh rakyat dan penguasa, termasuk orang alim dan jahil. Oleh itu, tiada alasan bagi sesiapapun membuat tafsiran (تأويل) sendiri untuk mengingkarinya. Begitulah juga hukumannya bagi orang yang mengingkari sesuatu perkara agama yang telah disepakati oleh ulama, seperti solat lima waktu, puasa di bulan Ramadhan, mandi junub, pengharaman zina, perkahwinan dan hukum-hukum yang lain.” Syarah Muslim (1/205)

Ibn Hajar al-Asqalani Rahimahullah berkata, “Adapun dalil kefardhuan zakat, sesiapa yang mengingkarinya adalah kafir.”

Kedua: Orang yang enggan mengeluarkan zakat kerana bakhil dan kedekut

Orang yang enggan mengeluarkan zakat, sedangkan dia mengi’tiqadkannya wajib dan mengakui kefardhuannya, akan menyebabkan dia menjadi fasiq, berdosa dan dikenakan azab seksa di akhirat kelak.

Firman Allah SWT yang maksudnya, “Wahai orang –orang yang beriman! Sesungguhnya banyak di antara pendeta-pendeta dan ahli-ahli agama (Yahudi dan Nasrani) memakan harta orang ramai dengan cara yang salah, dan mereka menghalangi (manusia) dari jalan Allah (agama Islam). Dan (ingatlah) orang-orang yang menyimpan emas dan perak serta tidak membelanjakannya pada jalan Allah, maka khabarkanlah kepada mereka dengan (balasan) azab seksa yang tidak terperi sakitnya. (iaitu) pada hari dibakar emas perak (dan harta benda) itu dalam neraka Jahanam, lalu diselar dengannya dahi mereka, serta belakang mereka (sambal dikatakan kepada mereka): Inilah apa yang telah kamu simpan untuk diri kamu sendiri. Oleh itu, rasalah (azab dari) apa yang kamu simpan itu.” (Surah al-Taubah: 34-35)

Ini berdasarkan hadith daripada Ibn Umar R.A. Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya, “Setiap harta yang dikeluarkan zakatnya, ia bukanlah simpanan, dan setiap harta yang tidak engkau keluarkan zakatnya, ia adalah simpanan.” Riwayat al-Bukhari (4)

Begitu juga hadith daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya, “Sesiapa yang dikurniakan oleh Allah harta dan tidak mengeluarkan zakatnya, maka hartanya pada hari kiamat dijadikan seekor ular yang mempunyai dua taring, dan kepala yang tidak berbulu kerana terlalu banyak bisanya. Ia akan membelit dan menggigitnya dengan kedua-dua rahangnya sambil berkata: Akulah hartamu! Akulah simpananmu.” Riwayat al-Bukhari (1338)

Seterusnya, Rasulullah SAW membacakan firman Allah SWT yang maksudnya, “Dan jangan sekali-kali orang-orang yang bakhil dengan harta benda yang telah dikurniakan Allah kepada mereka dari kemurahan-Nya menyangka bahawa keadaan bakhilnya itu baik bagi mereka. Bahkan, ia adalah buruk bagi mereka. Mereka akan dikalungkan (diseksa) dengan apa yang mereka bakhilkan itu pada hari Kiamat kelak. Dan bagi Allah jualah hak milik segala warisan (isi) langit dan bumi. Dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan segala yang kamu kerjakan.” (Surah ali-Imran: 180)

Ayat tersebut menjelaskan bahawa Allah SWT sahaja yang memiliki apa yang diwarisi oleh makhluk di langit dan di bumi.

Oleh itu, mengapakah mereka mesti bakhil apabila memilikinya dan tidak mahu membelanjakan ke jalan Allah SWT?

Di dunia ini, zakat boleh diambil secara paksa daripada mereka yang enggan mengeluarkannya tanpa menafikan kewajipannya.

Jika mereka enggan memberi zakat dan menghalang ‘amil daripada mengambilnya, maka pemerintah Islam yang melaksanakan syariat Allah SWT hendaklah menentang mereka.

BACA INI JUGA: Kefardhuan Dan Hukum Mengeluarkan Zakat Fitrah

sumber: muftiwp

8 Fakta Menarik Lautan Hindi Yang Anda Perlu Tahu

8 Fakta Menarik Lautan Hindi Yang Anda Perlu Tahu

Mungkin tidak ramai di antara pembaca yang mengetahui fakta dan maklumat mengenai lautan Hindi yang seluas 73.56 juta km persegi itu.

Lautan hindi

Jom kita baca beberapa fakta menarik tentang laut Hindi bagi menambah ilmu pengetahuan.

1. Lautan Ketiga Terbesar

Lautan Hindi adalah lautan ketiga terbesar di dunia, meliputi sekitar 20% permukaan air Bumi. Di utara ia disempadani oleh selatan Asia; di barat oleh Semenanjung Arab dan Afrika; di timur oleh Semenanjung Malaysia, Indonesia, dan Australia; di selatan oleh Lautan Selatan.

Lautan Hindi dipisahkan dengan Lautan Atlantik oleh 20° timur meridian dan dengan Lautan Pasifik oleh 147° timur meridian.

2. 'Keluarga Besar'

Lautan Hindi terdiri daripada 57 kumpulan pulau atau kepulauan, 16 laut atau teluk yang besar, bersempadan 16 negara-negara Afrika, 18 negara-negara Asia dan 1 negeri Australasia, adalah ‘rumah’ kepada 40% daripada rizab minyak luar pesisir dan merangkumi 5 submerged, rabung lautan, 5 sempadan plat tektonik dan 1 Triple Point.

3. Kedalaman Lautan Hindi

Kedalaman purata lautan Hindi adalah 3,890 meter (12,760 kaki). Titik terendah di Lautan Hindi adalah di kawasan jurang Jawa di lautan Sunda dengan kedalaman 7,258 meter ( lebih 25,000 kaki ).

Kedalaman Lautan Hindi memerlukan kelengkapan khusus seperti pesawat selam (Submersible) atau Kenderaan Kawalan Bawah Laut (ROUV) yang direka khas untuk menyelam dan menyelamat dalam laut dalam.

4. Laut Paling Panas

Lautan Hindi adalah lautan yang mempunyai suhu tertinggi di dunia. Suhu permukaan Lautan Hindi dicatat sebagai 22.0 ° C ( minimum ) hingga 28 ° C ( 82 ° F) manakala di bahagian selatan lautan Hindi, suhu jatuh dengan cepat.

Kehangatan laut menyukarkan pertumbuhan fitoplankton, kecuali di beberapa tempat. Oleh itu, hidupan laut di Lautan Hindi adalah terhad.

5. Benua Tenggelam

Satu perkara kecil yang menarik daripada fakta Lautan Hindi adalah penemuan benua yang tenggelam di lautan ini yang dinamakan Dataran Tinggi Kerguelen yang dipercayai berasal daripada gunung berapi.

6. Laluan Utama

Lautan Hindi menyediakan laluan laut utama yang menghubungkan kawasan Timur Tengah, Afrika, dan Asia Timur dengan Eropah dan Amerika.

Trafik utamanya adalah produk petroleum berat dan produk petroleum dari telaga minyak Teluk Parsi dan Indonesia.

Penangkapan ikan adalah sangat penting bagi negara-negara yang bersempadan dengan lautan Hindi untuk kegunaan tempatan dan eksport.

Nelayan dari Rusia, Jepun, Korea Selatan, dan Taiwan juga menjalankan aktiviti laut di Lautan Hindi, terutamanya menangkap udang dan tuna.

7. Kaya Mineral Berharga

Pasir pantai yang kaya dengan mineral berat dan deposit pasir pesisir pantai digunakan secara aktif oleh negara-negara bersempadan, terutamanya India, Afrika Selatan, Indonesia, Sri Lanka, dan Thailand.

8. Bergelora

Keadaan Lautan Hindi yang sentiasa bergelora dengan angin mencapai kelajuan 40 knot (74 kilometer sejam) serta ombak sehingga 10 meter adalah sesuatu yang sukar ditempuh oleh mana-mana kapal.

Hanya kapal bersaiz besar atau setaraf pengangkut besar jenis USS dapat berada di Lautan Hindi dengan stabil.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: Tahukah Anda Air Laut Mengandungi Emas!

sumber: wanista

Peristiwa Penting Hari Ini Dalam Sejarah Dunia (10 Jun)

Peristiwa Penting Hari Ini Dalam Sejarah Dunia (10 Jun)

Tanggal 10 Jun merupakan hari ke 161 (hari ke 162 dalam tahun lompat) dalam kalendar Gregory dan tinggal 204 hari lagi sebelum memasuki tahun selepasnya.

Luís de Camões
Luís de Camões.

Hari ini juga merupakan sambutan Hari Portugal yang merupakan hari ulang tahun kematian Luís de Camões, pengarang mahakarya Portugal, Lusiad, yang meninggal dunia pada tahun 1580.

Berikut adalah sejarah penting yang berlaku di dunia pada tarikh hari ini.

Peristiwa

1190 - Perang Salib Ketiga: Frederick I Barbarossa mati lemas dalam Sungai Saleph di Anatolia ketika mengetuai tenteranya ke Jerusalem.

1719 - Pemberontakan Jacobite: Angkatan tentera British menewaskan perikatan Jacobite dan Sepanyol dalam Pertempuran Glen Shiel di Tanah Tinggi Scotland.

1829 - Di Thames, Universiti Oxford menewaskan Universiti Cambridge dalam Perlumbaan Perahu yang pertama.

1864 - Perang Saudara Amerika: Angkatan Gabungan menewaskan angkatan Kesatuan yang lebih besar dalam Pertempuran Persimpangan Brice (Battle of Brice's Crossroads) berhampiran Baldwyn, Mississippi.

1934 - Itali menewaskan Republik Czech dengan keputusan 2-1 pada final Piala Dunia FIFA 1934 di Rom.

1967 - Perang Enam Hari berakhir apabila Israel dan Syria bersetuju mengadakan gencatan senjata.

2007 - Banjir kilat di Kuala Lumpur terjadi lagi selama 4 jam apabila Sungai Gombak dan Sungai Kelang gagal menampung air hujan luar biasa.

Kematian

1580 - Luís de Camões (gambar), pengarang Portugal.

1937 - Robert Borden, Perdana Menteri Kanada ke-8.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: Peristiwa Penting Hari Ini Dalam Sejarah Dunia (9 Jun)

sumber: wikipedia

Friday, June 09, 2017

Wajah Cantik 'Miss World', Sumandak Cantik Keningau Viral

Wajah Cantik 'Miss World', Sumandak Cantik Keningau Viral

Hanya dalam tempoh singkat, sumandak (gadis) dari Keningau, Sabah menjadi popular selepas beberapa keping gambarnya mirip artis dalam dan luar negara, viral di laman sosial sejak seminggu lalu.

Tracie Sinidol

Tracie Sinidol, 16, bukan sahaja menjadi tumpuan di laman sosial malah sudah mula 'dilamar' oleh beberapa syarikat produksi yang memberi tawaran untuk menjadi model.

Tracie menjadi perhatian kerana paras rupa jelita mirip selebriti terkenal seperti Mira Filzah, Diana Daniele serta model China, Angela Baby.

Tracie bagaimanapun mengakui terkejut apabila beberapa keping gambarnya yang dimuat naik oleh satu halaman kumpulan laman sosial menerima ribuan perkongsian dan viral di seluruh negara.

Tracie yang bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Keningau berkata, dia menyedari perkara itu selepas dimaklumkan oleh rakannya Khamis minggu lalu.

"Sebelum ini tidak ada sesiapa yang mengaitkan wajah saya dengan mana-mana artis sehinggalah gambar saya menjadi viral dan dikatakan mirip Mira Filzah.

Tracie Sinidol

“Rasa bangga itu memang ada kerana dianugerahkan paras rupa yang sempurna namun saya tidak boleh meninggi diri kerana saya juga manusia sama seperti orang lain yang mempunyai kelebihan masing-masing," kata anak kelima daripada sembilan beradik itu.

Menurut Tracie, dia masih dalam proses mempertimbangkan tawaran untuk menjadi model kerana belum bersedia serta mahu menumpukan sepenuhnya pada pelajaran.

Katanya, banyak cabaran yang perlu ditempuhi apabila menceburi bidang peragaan dan khuatir tidak dapat membahagikan masa dengan pelajaran.

"Belum sempat saya terima tawaran model atau berlakon, sudah ada beberapa pihak yang mewujudkan akaun laman sosial palsu dengan menggunakan identiti serta gambar saya.

"Biarpun akaun palsu itu menerima lebih 13,000 pengikut, saya rasa kecewa kerana itu bukan diri saya sebenar dan khuatir maklumat yang disampaikan akan mengancam saya," katanya.

Tracie Sinidol

Menurut anak pasangan Sinidol Stimin dan Veronica Tajin itu, fenomena gambarnya menjadi tular dan menerima pelbagai reaksi positif daripada netizen, menjadi pengalaman yang tidak dapat dilupakan.

Kredit gambar #AnniePetrus2017

BACA INI JUGA: Sumandak Sabah 'Phan' Mirip Selena Gomez Dilamar Jadi Heroin!

sumber: hmetro

Kisah Palsu Tha’labah Enggan Membayar Zakat

Kisah Palsu Tha’labah Enggan Membayar Zakat

Mutakhir ini, kita sering mendengar banyak kisah yang masyhur sehinggakan sebahagian kisah yang didengar itu mencarik maruah individu yang digelar sebagai sahabat Nabi SAW.

Kisah Thalabah

Antaranya ialah kisah Tha’labah dan kisah ini dikatakan merupakan antara sebab turunnya salah satu ayat di dalam surah al-Taubah.

Apakah status kisah Tha’labah enggan membayar zakat?

Sebelum kita melihat lebih jauh lagi, di sana juga terdapat ramai lagi para sahabat Nabi SAW yang bernama Tha’labah.

Oleh itu, siapakah Tha’labah yang dimaksudkan di dalam kisah ini?

Al-Hafiz Ibn Hajar telah menyenaraikan nama-nama sahabat yang bernama Tha’labah di dalam karyanya, antaranya ialah:
  • Tha’labah bin Aus
  • Tha’labah bin Abi Balta’ah
  • Tha’labah bin Thabit
  • Tha’labah bin al-Harith
  • Tha’labah bin Hatib bin al-Aus al-Ansari (syahid dalam peperangan Uhud)
  • Tha’labah bin Harram
  • Tha’labah bin al-Hakam
  • Tha’labah bin Khaddam al-Ansari
  • Tha’labah bin Sa’idah (wafat dalam peperangan Uhud)
  • Tha’labah bin Salam
  • Tha’labah bin Suwaid al-Ansari
  • Tha’labah bin Abd al-Rahman al-Ansari
  • Tha’labah bin Qais

Demikian adalah beberapa orang sahabat Nabi SAW yang bernama Tha’labah, tetapi yang Tha’labah yang dimaksudkan di dalam kisah ini ialah Tha’labah bin Hatib al-Ansari.

Beliau telah menyertai peperangan Badar dan Uhud bersama Rasulullah SAW. Di samping itu, beliau telah wafat ketika zaman pemerintahan Umar dan ada juga berkata bahawa beliau wafat ketika zaman pemerintahan Uthman.

Selain itu, beliau dikatakan telah enggan membayar zakat ketika diperintahkan oleh Nabi SAW sebagaimana yang diceritakan oleh Sa’id bin Jubair dan Abi Qatadah ketika menafsirkan ayat ke 75 di dalam surah al-Taubah. Lihat al-Isti’ab fi Ma’rifah al-Sahabah (1/20)

Ringkasan kisah Tha’labah

Telah datang Tha’labah bin Hatib al-Ansari kepada Rasulullah SAW, beliau berkata: Wahai Rasulullah SAW, doakan aku agar Allah SWT mengurniakan aku harta, maka Rasulullah SAW menjawab, “Celakalah engkau wahai Tha’labah, sedikit membawa kepada kesyukuran kepada Allah lebih baik daripada banyak yang engkau tidak mampu”.

Setelah beberapa tempoh, beliau datang lagi kepada Rasulullah SAW dan mengulang benda yang sama. Maka Rasulullah SAW mendoakan baginya agar Allah SWT memberinya harta.

Setelah itu, turunnya ayat al-Qur’an yang maksudnya, “Ambilah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan mensucikan mereka (dari akhlak yang buruk); dan doakanlah untuk mereka, kerana sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka. Dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.” (Surah al-Taubah, 9:103)

Lalu Rasulullah SAW mengarahkan seorang lelaki dari al-Ansar dan seorang lagi daripada Bani Sulaim dan Nabi SAW memberikan catatan berkaitan zakat ini kepada mereka.

Di samping itu, Nabi SAW meminta dua lelaki tersebut untuk meminta daripada Tha’labah sebahagian hartanya untuk disedekahkan.

Kedua lelaki tersebut terus melaksanakan apa yang diperintahkan oleh Nabi SAW dan mereka bertemu dengan Tha’labah lalu membaca apa yang ditulis oleh Nabi SAW di dalam catatan tersebut.

Setelah dibacakan apa yang terkandung di dalam catatan tersebut, Tha’labah enggan mengeluarkan sebahagian hartanya untuk dizakatkan dan mengatakan bahawa ini adalah jizyah.

Kedua lelaki tersebut bertemu dengan Rasulullah SAW dan menceritakan kepada Baginda SAW berkenaan peristiwa tersebut. Maka Allah SWT menurunkan ayat:

Maksudnya, “Dan di antara mereka ada yang membuat janji dengan Allah dengan berkata: "Sesungguhnya jika Allah memberi kepada kami dari limpah kurniaNya, tentulah kami akan bersedekah, dan tentulah kami akan menjadi dari orang-orang yang soleh.” (Surah al-Taubah, 9:75)

Apabila turunnya ayat tersebut, salah seorang daripada lelaki tersebut telah bertemu dengan Tha’labah dan memberitahu beliau bahawa: Allah SWT telah menurunkan ayat di atas keengganan engkau membayar zakat maka celakalah engkau wahai Tha’labah.

Apabila mendengar kata-kata tersebut, Tha’labah terus bertemu dengan rasulullah SAW dan ingin membayar zakat tetapi Rasulullah enggan menerimanya kerana Allah SWT telah menghalangku daripada menerima apa-apa daripada engkau.

Setelah Rasulullah SAW wafat, Tha’labah bertemu dengan Abu Bakar RA yang pada waktu sebagai khalifah tetapi Abu Bakar menolaknya.

Kemudian di zaman khilafah Umar bin al-Khattab RA, Umar RA juga menolak untuk menerima harta daripada Tha’labah, sehingga tiba zaman Uthman RA menjadi khalifah, Uthman RA juga melakukan perkara yang sama.

Akhirnya, Tha’labah wafat di zaman Uthman bin Affan RA dalam keadaan tidak membayar zakat setelah mencubanya berkali-kali.

(Lihat Tafsir al-Thabari (no. 16987) al-Mu’jam al-Kabir Thabarani, (no. 7873) dan Asbab al-Nuzul oleh al-Wahidi hal. 252).

Pendapat ulama berkaitan kisah ini

Kisah ini adalah tidak sahih berdasarkan apa yang dinyatakan pendapatnya oleh para ulama, antaranya ialah:

Imam al-Qurthubi berkata, “Tha’labah ialah salah seorang yang menyertai peperangan Badar dan beliau juga antara orang yang telah diakui keimanannya sebagaimana yang termaktub di dalam hadith. Untuk itu, apa yang diriwayatkan ini adalah tidak sahih”.

Imam Ibn Hazim berkata, “Tha’labah seorang ahli badar dan hal ini umum mengetahuinya, maka riwayat ini adalah bathil”.

Imam al-Iraqi mengatakan bahawa, “Thabarani telah mengtahkrijkan hadis ini dengan menggunakan sanad yang lemah.”

Imam al-Qurthubi menyatakan, “Apa yang diriwayatkan berkaitan Tha’labah adalah tidak benar”.

Imam al-Hafiz Ibn Hajar mengatakan, “Aku tidak merasakan bahawa khabar ini benar.”

Tarjih

Setelah melihat kepada pendapat-pendapat yang dikemukan oleh para ulama berkaitan riwayat atau kisah ini, kami juga memilih untuk menyatakan bahawa kisah ini adalah tidak benar (sahih) dan ia tidak boleh disebarkan kepada masyarakat melainkan untuk menyatakan bahawa kisah ini tidak benar (sahih).

Ini juga selari dengan pendapat ulama hadith yang muktabar dan antara sebab-sebab kami mengatakan bahawa kisah ini tidak benar ialah:

Tha’labah merupakan seorang sahabat nabi SAW. Kita sebagai umat Islam perlu berpegang dan percaya bahawa sahabat bersifat dengan ‘adalah (adil), dalam erti kata lain bahawa mereka tidak menipu, apatah lagi untuk melakukan perkara yang bertentangan dengan rukun Islam seperti tidak membayar zakat.

Tha’labah merupakan salah seorang sahabat yang menyertai peperangan badar. Sebagaimana kita ketahui bahawa. Ahli badar mempunyai keistimewaannya tersendiri. Antaranya Allah SWT telah bersaksi di atas keimana mereka dan Allah SWT mengampunkan dosa mereka yang lalu dan akan datang.

Berdasarkan hadith Nabi SAW yang maksudnya, “Buatlah apa yang kalian suka kerana Allah SWT telah meletakkan kalian di dalam syurga.”

(Riwayat al-Bukhari (3684) dalam Kitab Peperangan, Bab Keutamaan Orang yang Menyertai Perang Badar).

Setelah melihat kepada sebab turunnya ayat tersebut, kami mendapati bahawa pendapat yang rajih (kuat) adalah ayat tersebut diturunkan kepada golongan munafik kerana mereka begitu bakhil dan kedekut untuk mengeluarkan sebahagian daripada harta mereka sebagaimana dinyatakan oleh al-Hafiz Ibn Hajar di dalam Tahzib al-Tahzib.

Kesimpulan

Marilah sama-sama kita menunaikan salah satu daripada rukun Islam ini iaitu mengeluarkan zakat. Ini kerana, harta kita bukanlah milik kita sepenuhnya, bahkan ia adalah milik Allah SWT dan juga milik saudara-saudara kita yang kurang bernasib baik seperti kita.

Akhirnya, semoga Allah SWT menggolongkan kita dalam kalangan orang-orang yang sentiasa menyucikan hartanya iaitu berzakat dan semoga Allah SWT menerima amalan kita dan meletakkannya di neraca kebaikan kelak. Amin.

Wallahu a’lam

BACA INI JUGA: Hadis Palsu Kelebihan Solat Tarawih Sepanjang 30 Malam Ramadhan

sumber: muftiwp

Apakah Hukumnya Menggantikan Puasa Orang Yang Telah Meninggal Dunia?

Apakah Hukumnya Menggantikan Puasa Orang Yang Telah Meninggal Dunia?

Soalan: Apakah hukumnya menggantikan puasa bagi mereka yang telah meninggal dunia? Orang yang telah meninggal dunia tersebut ketika hayatnya masih ada baki-baki qadha’ puasa yang belum dilunaskan namun telah meninggal dunia terlebih dahulu.

Hukum Ganti puasa orang meninggal dunia

Jawapan

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Bagi persoalan di atas, sekiranya berterusan keuzuran seseorang itu sehingga dia meninggal dunia seperti sakitnya yang berterusan, berpanjangan safarnya, pengsannya, hamilnya, menyusunya dan semisalnya, maka ia tidak dikira berdosa.

Tidak wajib keatasnya sesuatupun dan begitu juga bagi pihak walinya (saudara terdekat) kerana kewajipan berpuasa tidak dapat dilaksanakan sehinggalah dia meninggal dunia maka telah gugur hukum berpuasa buatnya.[1]

Sekiranya seseorang itu mampu untuk mengqadha’kan puasa yang ditinggalkan sama ada sebab uzur ataupun tidak, namun tidak diqadha’kan sehingga dia mati, adapun mazhab al-Qadim (dan ia adalah yang rajih dan disahihkan oleh golongan muhaqqiq), dalam keadaan begini dibolehkan bagi wali untuk berpuasa bagi pihak si mati namun tidaklah dilazimi (wajib) akan perbuatan tersebut.

Ini berdasarkan hadis `Aisyah R.Anha yang mana Nabi SAW telah bersabda yang maksudnya, "Siapa yang mati dan padanya terdapat puasa yang belum digantikan, maka berpuasa bagi pihak (si mati) walinya." Riwayat al-Bukhari (1952) & Muslim (1147)

Al-Imam al-Nawawi Rahimahullah di dalam kitabnya al-Minhaj menyebutkan bahawa bagi mereka yang berbuka puasa kerana uzur dan berpanjangan uzur atau sakitnya itu sehinggalah mati, maka tidak ada puasa keatasnya, dan tidak perlu membayar fidyah baginya dan tidak pula orang lain berpuasa baginya.[2]

Dalam sebuah hadis yang lain, daripada Ibn `Abbas R.Anhuma, telah datang seorang lelaki kepada Nabi SAW lalu berkata, "Wahai Rasulullah SAW, sesungguhnya ibuku telah mati dan masih ada padanya baki puasa sebulan (yang belum diqadha’kan). Adakah aku perlu menggantikannya?"

Jawab Nabi SAW yang maksudnya, "Adapun hutang Allah itu lebih berhak untuk dilunaskan." Riwayat Abu Daud (3310)

Puasa tersebut boleh digantikan oleh wali si mati dari kalangan ahli keluarga yang terdekat dan boleh juga untuk mengupah orang lain berpuasa bagi si mati.

Sekiranya terdapat orang luar (bukan dari kalangan wali si mati) yang berpuasa bagi si mati tanpa izin atau tiada wasiat dari si mati maka tidak sah puasa tersebut.[3]

Sekiranya wali tidak berpuasa bagi si mati, dan tidak juga orang yang lain, maka dikeluarkan dari bahagian yang ditinggalkan puasa tersebut fidyah bagi setiap hari yang ditinggalkan dengan satu mud (cupak).

Sekiranya si mati tiada meninggalkan harta maka dibolehkan untuk orang lain mengeluarkan hartanya bagi menyelesaikan hutang puasa si mati dalam bentuk fidyah.

Wallahu a’lam.

Rujukan

[1] Lihat Al-Mu`tamad fi al-Fiqh al-Shafi`e. Dar al-Qalam, 2/201.
[2] Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim. Dar Ihya’ al-Turath al-`Arabiy, 8/23.
[3] Lihat Al-Mu`tamad fi al-Fiqh al-Shafi`e. Dar al-Qalam, 2/202.

BACA INI JUGA: Apa Hukumnya Menjemput Rakan Bukan Islam Berbuka Puasa?

sumber: muftiwp

Peristiwa Penting Hari Ini Dalam Sejarah Dunia (9 Jun)

Peristiwa Penting Hari Ini Dalam Sejarah Dunia (9 Jun)

Tarikh 9 Jun merupakan hari ke 160 (hari ke 161 dalam tahun lompat) dalam kalendar Gregory dengan inggal 205 hari lagi sebelum memasuki tahun selepasnya.

Challenger
Letupan kapal angkasa Challenger.

Hari ini juga merupakan sambutan Hari St. Colmcille di Ireland.

Berikut adalah peristiwa-peristiwa penting yang pernah berlaku hari ini dalam sejarah tamadun dunia.

Peristiwa

68 – Maharaja Rom Nero membunuh diri selepas digulingkan oleh Senat.

1815 - Kongres Vienna berakhir, melukis semula peta politik Eropah selepas kekalahan Napoleon Bonaparte dalam Perang Napoleon.

1885 - Perang China-Perancis: Perjanjian damai ditandatangani, China bersetuju menyerahkan Tonkin dan Annam (sebahagian besar kawasan Vietnam kini) kepada Perancis.

1934 - Donald Duck muncul buat pertama kali, dalam kartun The Wise Little Hen (Ayam Betina Kecil yang Bijak).

1946 - Raja masih memerintah paling lama kini, Bhumibol Adulyadej menaiki takhta Thailand sebagai Rama IX.

1986 - Suruhanjaya Rogers menerbitkan laporannya tentang bencana bolak-balik angkasa lepas Challenger (gambar), menyimpulkan ia disebabkan rekaan salah gelang O.

2007 - Majlis akad nikah Perdana Menteri Malaysia Dato' Seri Abdullah bin Ahmad Badawi dengan Jeanne Abdullah selamat diadakan di Putrajaya.

2009 - Pelajar India merusuh di Melbourne dan Sydney akibat beberapa serangan terhadap orang India di Australia.

2010 - Majlis Keselamatan PBB mengenakan sekatan pusingan keempat terhadap Iran kerana program nuklearnya.

Kelahiran

1952 - Yousaf Raza Gillani, Perdana Menteri Pakistan ke-22.

1978 - Miroslav Klose, pemain bola sepak Bayern Munich.

1984 - Wesley Sneijder, seorang pemain bola sepak.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: Peristiwa Penting Hari Ini Dalam Sejarah Dunia (8 Jun)

sumber: wikipedia

Adakah Batal Puasa Pesakit Mengambil Ubat Yang Diletakkan Di bawah Lidah?

Adakah Batal Puasa Pesakit Mengambil Ubat Yang Diletakkan Di bawah Lidah?

Seorang pesakit yang perlu mengambil sublingual medication, iaitu ubat yang diletakkan dibawah lidahnya, adakah boleh menyebabkan puasanya terbatal?

Sublingual Medication

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Kemajuan di dalam bidang sains perubatan khususnya di dalam bidang farmasi melalui hasil kajian dan eksperimen telah membawa kaedah perubatan dan pengubatan ke tahap yang lebih tinggi dan terkini.

Suka di sini untuk kami jelaskan secara ringkas mengenai subligual medication ini agar gambaran awal tentang kaedah pengubatan ini dapat difahami oleh masyarakat Islam dan kaitannya dalam hukum-hakam berkaitan dengan puasa.

Sublingual Medication

Sublingual di dalam bahasa Latin membawa maksud ‘di bawah lidah’. Ianya merujuk kepada proses pengubatan bagi sesetengah penyakit di mana pil atau tablet diletakkan di bawah lidah dan ia kemudiannya meresap masuk ke dalam saluran darah manusia dengan lebih cepat.

Ianya berbeza dengan pengambilan ubat/pil secara oral (kaedah biasa dengan menelan ubat tersebut) kerana kaedah oral memerlukan sesuatu ubat itu melalui banyak proses sebelum ianya dihadamkan di dalam perut.

Adapun ubat sublingual ini, ianya hanya diletakkan di bawah lidah dan setelah bertindak balas dengan mucouse membrane yang terletak di bawah lidah, ubat tersebut akan terus meresap ke dalam badan melalui saluran darah dan tindak balas terhadap ubat ini adalah sangat pantas tidak seperti kaedah pengubatan secara oral.

Ini seperti mana yang terdapat di dalam ubat bagi mereka yang terkena serangan jantung yang memerlukan tindak balas ubat dengan kadar yang segera.

Terdapat banyak ubat yang dikategorikan sebagai sublingual medication, antaranya:
  • Ubat sakit jantung (nitroglycerin, verapamil)
  • Steroids
  • Sebahagian ubat Barbiturate
  • Enzyme
  • Vitamin
  • Sesetengah ubat bagi masalah mental

Adakah Pengambilan Sublingual Medication Membatalkan Puasa?

Melihat kepada kaedah pengubatan sublingual ini, kami berpendapat bahawa pengambilan ubat jenis sebegini tidak membatalkan puasa.

Mengikut mazhab al-Imam al-Syafi’e sesuatu ‘ain yang memasuki rongga yang terbuka maka ianya membatalkan puasa.

Al-Jauf di sisi mazhab kita bermakna otak dan apa yang melepasi bahagian kerongkong hingga ke perut dan ianya berlainan dengan apa yang memasuki selain dari rongga yang terbuka.

Seperti ubat yang diletakkan di atas luka, meskipun sampai ke dalam otak atau daging maka ianya tidak membatalkan puasa kerana ianya tidak dikira sebagai rongga yang terbuka.

Adapun sublingual medication, ianya hanya diletakkan di bawah lidah dan tidak melepasi bahagian kerongkong dan terus meresap ke saluran darah dengan kadar yang pantas.

Ini sepertimana yang telah diputuskan oleh Majma’ al-Fiqh al-Islami yang mana setelah kajian dijalankan serta mendengar penjelasan daripada pakar perubatan dan para ulama’ memutuskan bahawa penggunaan sublingual medication tidak membatalkan puasa bagi penyakit jantung dan juga yang lainnya selagi mana ianya tidak ditelan melepasi kerongkong.

Ini juga sepertimana yang telah difatwakan oleh Dar al-Ifta Jordan yang mana mengatakan, “Mengambil ubat pil, tablet yang diletakkan di bawah lidah tidak membatalkan puasa kerana ianya tidak sampai kepada rongga yang terbuka tetapi, jika ianya ditelan, maka batallah puasanya.”

Jawapan yang sama juga telah diberikan oleh Dar al-Ifta Mesir yang mana mengatakan ianya tidak membatalkan puasa dan ianya telah dijawab oleh Mufti Mesir (sekarang) Prof. Dr. Shauqi Ibrahim ‘Allam Hafizahullah sejak tahun 2013 lagi.

Wallahu a’lam.

BACA INI JUGA: Puasa Dan Kelebihannya Menurut Kajian Sains

sumber: muftiwp

Thursday, June 08, 2017

5 Pengumuman 'Gempak' Apple WWDC 2017

5 Pengumuman 'Gempak' Apple WWDC 2017

Ketua Pegawai Eksekutif Apple Tim Cook dan beberapa pegawai atasan syarikat teknologi itu mengumumkan beberapa produk dan penambahbaikan perisian di Worldwide Developers Conference (WWDC) 2017 yang berlangsung di San Jose, Amerika Syarikat pada 6 Jun 2017.

Antara produk yang dijangka bakal meraih perhatian peminat teknologi adalah pembesar suara atau speaker yang diberi nama HomePod yang dikawal oleh perisian suara Siri.

Beberapa penambahbaikan perisian adalah untuk beberapa produk yang bakal dilancarkan seperti iPhone 8 dan juga Apple Watch.

Berikut adalah lima produk atau penambahbaikan gempar yang diumumkan:

1. HomePod

HomePod

HomePod merupakan sebuah speaker yang boleh dikawal dengan suara, atau lebih dikenali sebagai ciri Siri.

Speaker pintar ini boleh memberi cadangan muzik, menghantar mesej, dan mengawal beberapa peralatan di rumah seperti lampu dan suhu di dalam bilik.

Apple bakal mengeluarkan HomePod di Amerika Syarikat, Britain dan Australia pada Disember 2017 dengan harga $349 (RM1,486.20).

2. iOS 11

Beberapa ciri seperti Control Center, Apple Pay, Voice Assistant, GPS (Maps) dan App Store akan diberi penambahbaikan.

Sebagai contoh, ciri GPS (Maps) memaparkan had laju dan mengesan jika anda sedang bergerak di dalam kereta.

Oleh kerana itu, mereka yang menghantar mesej kepada anda akan menerima mesej automatik mengatakan anda sedang memandu.

3. Augmented Reality

Telefon pintar iPhone 8 akan mempunyai ciri realiti berperantara, atau augmented reality.

Untuk membangugkan ciri-ciri AR untuk pemaju aplikasi, Apple melancarkan platform AR Kit.

4. iPad Pro

iPad Pro

Jika sebelum ini iPad Pro mempunyai paparan berukuran 9.7 inci, Apple kini bakal melancarkan tablet iPad Pro berukuran 10.5 inci dan 12.9 inci.

Selain saiz paparan yang lebih besar, Apple juga meningkatkan ruang penyimpanan dan akan menawarkan model 512 GB.

5. Penambahbaikan Mac dan MacBook

MacBook dan MacBook baharu akan mempunyai pemproses lebih pantas. MacBook Pro 15 inci pula akan mempunyai grafik yang lebih laju.

Mac baharu pula akan mempunyai kapasiti memori yang lebih tinggi dan prestasi grafik yang lebih kukuh.

Apple juga bakal melancarkan iMac Pro dengan harga AS$4,999 (RM21,287.98).

Media antarabangsa melaporkan bahawa ia strategi syarikat ini untuk menyasarkan produk ini khusus untuk mereka di dalam bidang kreatif dan juga gamers.

BACA INI JUGA:

sumber: astroawani

Bahaya Merokok Semasa Berbuka Puasa

Bahaya Merokok Semasa Berbuka Puasa

Selain menahan lapar dan dahaga, perokok tegar juga berdepan cabaran untuk menahan diri daripada merokok ketika berpuasa.

Bahaya Merokok

Oleh itu, ramai perokok yang mengakui akan memilih untuk terus merokok sebaik sahaja tibanya waktu berbuka puasa.

Begitu pun, menurut kajian terbaharu yang dijalankan oleh Dr. Agus Dwi Susanto, penyelidik daripada Rumah Sakit Persahabatan Jakarta, Indonesia, merokok pada waktu berbuka sebenarnya berbahaya untuk kesihatan.

"Sebaik sahaja tibanya waktu berbuka, seseorang perlulah mengambil makanan yang bernutrien kerana badan yang letih sebenarnya memerlukan zat.

"Asap rokok pula mengandungi nikotin dan karbon monoksida yang boleh menyebabkan masalah pening kepala, lebih-lebih lagi jika diambil semasa perut kosong," katanya.

Selain itu, merokok sebaik sahaja selepas berbuka boleh menyebabkan masalah batuk memandangkan asap dimasukkan ke dalam badan yang dehidrasi kerana kekurangan air pada waktu siang.

BACA INI JUGA: Bahaya Merokok Selepas Bangun Tidur

sumber: kosmo