Tuesday, March 10, 2026

SBDJ Siri 255: Bomoh Kena Tendang

SBDJ Siri 255: Bomoh Kena Tendang

Malam itu penghuni kampung jadi gempar. Semuanya menyerbu rumah orang tua Shafie. Seluruh kawasan rumah terang bederang dengan cahaya andang daun kelapa. Apa yang berlaku segera diterangkan dengan terperinci oleh orang tua Shafie pada orang kampung.

SBDJ Siri 255 Bomoh Kena Tendang

Orang kampung yang berkumpul di halaman rumah mengambil keputusan untuk menjejaki dua insan yang lari. Kedua orang tua Shafie tiada daya untuk menghalangnya.

Cuma mereka berpesan, jika dukun berhasil ditangkap jangan diapa-apakan. Suruh dia pulang. Pujuklah Shafie supaya balik ke rumah. Jangan dipukul dan dijentik batang tubuh mereka.

Ternyata, orang kampung bersedia mematuhi pesanan ayah dan ibu Shafie. Seluruh belukar dan hutan dijenguk. Semua rumah kosong dimasuki. Gua dan parit disusupi.

Orang yang dicari tidak juga ditemui. Tetapi, orang kampung tidak putus asa dan terus mencari.

Malam yang hening menuju ke subuh terus dikocak dengan tempik sorak. Mereka bertembung dengan seorang lelaki terperosok dalam perigi buta. Ramai-ramai mereka menaikkan orang tersebut dari dalam perut telaga buta.

Dan orang yang ditolong itu ialah orang tua berjanggut putih separas dada. Tetapi, sudah berubah menjadi hitam kotor.

Maka orang tua berjanggut putih separas dada itu, segera diusung oleh orang kampung ke rumah orang tua Shafie. Segala apa yang melekat ditubuhnya segera dibersihkan. Luka dan bengkak segera diubati.

Bila didesak dan ditanya oleh orang-orang kampung, secara jujur orang tua berjanggut putih separas dada menerangkan, hasratnya sekadar mahu menolong.

Dia juga mahu menguji formula barunya bagi menolong orang yang bermasalah. Formula barunya ialah mencantumkan cara perubatan tradisional dengan perubatan moden menggunakan pil vitamin yang dibeli di kedai farmasi.

Beberapa pesakit yang diubati mengikut formula barunya berhasil. Cara kebetulan dua orang pembantunya pernah bekerja di klinik swasta.

Seorang sebagai pembancuh ubat, manakala seorang lagi pembantu kanan pada doktor klinik berkenaan.

Sesungguhnya, dia tidak menduga akan mengalami perkara yang memalukan dirinya sebagai dukun. Lelaki tua berjanggut putih separas dada mengakui tendangan yang dilepaskan Shafie membuat dirinya terasa berpusing-pusing. Dua batang gigi tercabut dari gusi.

Ketika Shafie mengejarnya, dia berusaha berlari dengan sekuat hati. Apa yang ada dalam kepalanya ketika itu ialah kematian yang belum diketahui di mana tanah kuburnya.

Malah, dia sendiri tidak pasti bagaimana dia boleh berada dalam perut perigi buta.

MELAYANG

Semasa dia berlari tiba-tiba dia merasai tubuhnya melayang di atas awang-awangan, kemudian terjatuh dalam tempat yang gelap. Seluruh badannya basah.

Dalam masa yang sama didepannya berdiri orang hitam berbadan besar dan terus memukul kepalanya sekuat hati.

Setelah itu, dia tidak sedar apa yang berlaku. Bila bergerak ke kanan terasa seluruh tubuhnya sakit.

Saat dia membuka mata didapati dirinya sudah berada di rumah orang tua Shafie dan melihat dua orang pembantunya berada dalam kandang buluh, di mana Shafie ditempatkan.

Lelaki tua berjanggut paras dada, tanpa diminta memberitahu orang kampung, kejadian yang memalukan di rumah orang tua Shafie, mungkin menjadi malam penamat kerjaya sebagai bomoh.

Hasratnya untuk memperkenalkan formulanya di Kedah (Malaysia) sebagai sumber rezekinya terpaksa dibatalkan.

Kejadian malang di rumah orang tua Shafie seolah-olah menyedarkan dirinya supaya berhenti menjadi bomoh yang diakuinya banyak melakukan perbuatan tidak benar daripada yang benar.

Banyak bercakap berbelit-belit tidak lurus, gunakan ayat Quran untuk kepentingan perut, pura-pura jadi orang warak pada hal pengetahuan tentang agama tidak sebanyak mana.

Pengakuan yang jujur dan ikhlas itu membuat orang kampung simpati dan kasihan. Semua yang ada di situ bermuafakat memberikan sedekah setakat mana yang mampu dalam bentuk rupiah.

Kedua-dua orang pembantu yang berada dalam kandang di ruang rumah segera dikeluarkan. Mereka juga diberikan sedikit habuan.

Sebelum dilepaskan, orang tua berjanggut separas dada bersama dua orang pembantunya diingatkan supaya jangan datang ke kawasan mereka untuk menjaja dan mempamerkan ilmu kebomohan yang bersalut dengan penipuan.

Andainya mereka datang juga, belum tentu mereka boleh pulang dengan selamat.

Apa yang dilakukan oleh Shafie adalah merupakan amaran pertama. Amaran selanjutnya, mungkin isi perut terburai atas tanah atau kepala terpisah dari tubuh.

Memang mengejutkan, bila orang tua berjanggut putih paras dada berjanji, tidak akan datang lagi ke kampung tersebut, walaupun diundang.

Kata-kata itu mendapat tepukan dan sorakan dari orang kampung. Mereka segera mengiringi lelaki berjanggut putih paras dada bersama dua orang pembantu keluar dari kawasan kampung mereka.

SAMPAI

Setelah mendengar cerita sebenar yang disampaikan oleh pasangan suami isteri malang itu, saya lihat datuk dan Pak Habib menarik nafas panjang.

Saya termenung dan Tajuddin tidak menunjukkan sebarang reaksi, sama ada sedih atau sebaliknya. Susah mahu diteka apa yang ada di dalam tempurung kepala Tajuddin.

Tajuddin menudingkan telunjuk ke arah kumpulan lelaki berbadan besar dan tegap. Semua perhatian tertumpu ke arah yang ditunjukkan oleh Tajuddin.

Kumpulan tersebut sedang mengurung lelaki yang mereka panggil sebagai Tuk guru yang kadang-kadang mereka sebut juga sebagai Pak Guru.

"Halang mereka, Pak Habib," saya bertanya.

"Jangan, biarkan," jawab Pak Habib.

"Nanti mencemarkan surau kita," tingkah Tajuddin.

"Jangan, bila berada dalam surau, lebih mudah kita bertindak, kalau mereka robohkan surau, baru kita halang," ujar Pak Habib.

Saya dan Tajuddin berpandangan.

Barangkali Pak Habib sudah memikirkan buruk baiknya jika bertindak terburu-buru, kumpulan itu akan menang, Shafie tidak dapat diselamatkan dan terus jadi milik mereka, fikir saya.

Datuk minta suami malang menyambung ceritanya kembali. Permintaan datuk segera ditunaikan.

Kejadian malam itu merupakan malam perpisahan antara pasangan suami isteri dengan anak mereka, Shafie. Hilang entah ke mana. Perasaan sedih tiak dapat dibendung oleh si isteri.

Tiga bulan terpisah membuat si isteri merana dan jatuh sakit. Bermacam-macam usaha dilakukan, sakit yang ditanggung oleh wanita malang itu tidak juga sembuh.

Si isteri yang rindukan Shafie dibawa oleh suaminya ke hospital. Setelah diperiksa dah duduk dalam wad lebih dari dua minggu, doktor mendapati wanita itu tidak mengalami sebarang sakit.

Dia mengalami tekanan perasaan yang agak hebat, rasa putus asa, kecewa dan marah sentiasa bermain dalam batinnya.

Menurut doktor yang merawatnya, penyakit itu boleh dikurangkan secara bertahap-tahap. Dan akhirnya boleh baik terus.

Satu saranan yang cukup mudah, tetapi agak berat untuk dilaksanakan. Sebagai ikhtiar, si suami malang tetap mencuba dan berusaha.

Dia segera memulakan langkah untuk mengubatinya dan mencari anaknya dengan cara berpesan-pesan pada orang yang dikenalinya.

Usaha lain yang dilakukannya ialah menulis risalah sebanyak-banyaknya dalam tulisan jawi. Risalah itu ditampalkan di semua surau dan masjid seluruh daerah.

Bila ada masa terluang, dia akan melakukan sembahyang fardhu dari surau ke surau atau masjid dengan harapan ada jemaah yang tahu tentang Shafie.

TETAMU

Pada suatu malam Jumaat, di bulan rabiulakhir, seorang kenalan dari kampung berdekatan datang ke rumah.

Kenalan itu menceritakan, kira-kira jarak tiga buah kampung dari kediamannya tersebar berita seorang muda yang baru keluar dari tempat pertapaan. Hebat dengan ilmu dunia dan akhirat.

Anak muda itupun segera dimuliakan oleh penduduk kampung berkenaan dianggap sebagai 'manusia keramat hidup'.

Mulutnya masin, sebut apa saja terus menjadi. Boleh menyembuhkan apa saja jenis penyakit dengan cara menyentuh ibu jari pesakit. Banyak benar kehebatan orang muda tersebut.

Suami malang segera tertarik dengan cerita tersebut. Dia ingin melihat bagaimana rupa anak muda ahli pertapaan itu. Di samping itu, dia mahu juga menyuruh isterinya berubat dengan orang alim dan warak.

Satu persetujuan diikat oleh suami malang dengan kenalan dari kampung berdekatan. Pada hari jumaat akan datang, mereka berdua akan menunaikan fardhu jumaat di kampung tersebut.

Hari yang dijanjikan pun sampai kira-kira setengah jam lagi mahu masuk waktu, suami malang dan kenalannya duduk dalam masjid. Setiap jemaah yang masuk jadi perhatian suami malang.

Entah macamana dia terpandang satu kumpulan memakai pakain serba putih masuk ke dalam masjid. Kumpulan itu berada di saf atau barisan tengah masjid.

Orang yang mereka panggil 'Tuk guru' menutup sebahagian mukanya, macam kebiasaan yang dilakukan orang-orang Arab dipadang pasir ketika menjaga kambing.

Kerana jaraknya agak jauh, pandangan sering diganggu oleh gerak kepala para jemaah dan muka orang mahu dikenali separuh tertutup, maka suami malang tidak dapat melihat dengan jelas wajah individu yang mahu dikenalinya itu.

Selesai sembahyang dan berdoa para jemaah menerkam pintu masjid mahu keluar.

Suami malang dan rakannya segera menuju ke arah kumpulan berpakaian serba putih. Belum pun sempat sampai, kumpulan itu sudah mengiringi ketua mereka ke bawah pokok kekabu.

Sebahagian daripada para jemaah terus menuju ke arah pokok tersebut.

Tamat Siri Bercakap Dengan Jin 255/284

BACA: SBDJ Siri 254: Tuk Guru Sasau
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-Sentiasapanas.com

Monday, March 09, 2026

Sejarah Empayar Barat Dan Minyak Iran

Sejarah Empayar Barat Dan Minyak Iran

Pada tahun 1901, seorang jutawan British bayar £20,000 untuk beli hak minyak Iran. 125 tahun kemudian, pada tahun 2026, Amerika dan Israel membunuh Supreme Leader Iran. Selat Hormuz ditutup dan 3,200 kapal terperangkap.

Sejarah Empayar Barat Dan Minyak Iran

Jepun, negara yang mengimport 95% minyak dari Timur Tengah sedang tercekik kerana bekalan tenaga hampir lumpuh. Dan puncanya hanya satu, minyak.

𝟭𝟵𝟬𝟭: 𝗕𝗥𝗜𝗧𝗜𝗦𝗛 "𝗕𝗘𝗟𝗜" 𝗠𝗜𝗡𝗬𝗔𝗞 𝗜𝗥𝗔𝗡

William Knox D'Arcy, jutawan British, menawarkan £20,000 kepada Shah Iran untuk hak EKSKLUSIF cari minyak di tiga suku keluasan Iran selama 60 tahun. Shah setuju.

Selepas 7 tahun dan hampir bankrap, mereka akhirnya menemui minyak pada tahun 1908.

Lahirlah Anglo-Persian Oil Company — hari ni dikenali sebagai 𝗕𝗣, 𝗕𝗿𝗶𝘁𝗶𝘀𝗵 𝗣𝗲𝘁𝗿𝗼𝗹𝗲𝘂𝗺.

𝟭𝟵𝟭𝟰: 𝗖𝗛𝗨𝗥𝗖𝗛𝗜𝗟𝗟 𝗠𝗔𝗦𝗨𝗞

Winston Churchill menukar seluruh armada kapal perang British kepada enjin minyak — lebih laju, lebih power. Jadi, British perlukan bekalan yang tak pernah putus, so kerajaan British beli 51% saham Anglo-Persian.

Iran jadi "stesen minyak" untuk British Empire.

Iran dapat cuma 16% "keuntungan bersih" tapi British kenakan cukai korporat yang LEBIH TINGGI dari royalti Iran.

Kerajaan British — yang tak memiliki setitis pun minyak tu — dapat lebih banyak duit dari minyak Iran berbanding Iran sendiri. Selama hampir 50 tahun.

Dan apabila Arab Saudi menandatangani perjanjian 50-50 dengan Aramco, Iran pun minta sama tapi pemilik Anglo-Iranian menolaknya mentah-mentah.

𝟭𝟵𝟱𝟭: 𝗜𝗥𝗔𝗡 𝗕𝗔𝗡𝗚𝗞𝗜𝗧

Iran pada masa itu adalah monarki berperlembagaan seperti Malaysia — Shah jadi ketua negara tapi Perdana Menteri memegang kuasa eksekutif sebenar.

Shah lemah dan tidak berani melawan British.

Parlimen kemudiannya melantik Dr. Mohammad Mossadegh dan dia terus nasionalisasikan industri minyak Iran. Shah cuba memecat Mossadegh pada 1952, tetapi rusuhan besar pecah dan Shah terpaksa lantik balik dia.

Menurut Mossadegh: 𝗜𝗻𝗶 𝗺𝗶𝗻𝘆𝗮𝗸 𝗸𝗶𝘁𝗮. 𝗞𝗶𝘁𝗮 𝘆𝗮𝗻𝗴 𝗽𝗮𝘁𝘂𝘁 𝘂𝗻𝘁𝘂𝗻𝗴.

British kemudiannya membalas tindakan ini dengan boikot, hantar kapal perang Ke Iran dan membekukan aset. Tapi Mossadegh tidak berundur.

𝟭𝟵𝟱𝟯: 𝗖𝗜𝗔 𝗝𝗔𝗧𝗨𝗛𝗞𝗔𝗡 𝗗𝗘𝗠𝗢𝗞𝗥𝗔𝗦𝗜 𝗜𝗥𝗔𝗡

Lepas gagal menekan Iran, British meminta pertolongan Amerika dengan alasan: "Mossadegh akan jatuh ke tangan komunis."

USA panik. Waktu ini memang kuasa komunis memang tengah kuat.

CIA hantar Kermit Roosevelt Jr. ke Tehran dengan beg penuh duit. Beli media, upah perusuh, rasuah tentera. CIA gunakan Shah untuk cuba mengawal Iran.

Percubaan pertama jatuhkan Mossadegh gagal dan Shah lari ke Rom. Lepas itu, CIA atur percubaan kedua & kali ini CIA berjaya. Hampir 300 orang mati, Mossadegh ditangkap dan ditahan sampai mati.

Shah diterbangkan balik dari Rome dan didudukkan semula ke takhta oleh CIA. Sebagai "terima kasih," dia mengurniakan 𝟰𝟬% 𝗹𝗮𝗱𝗮𝗻𝗴 𝗺𝗶𝗻𝘆𝗮𝗸 𝗜𝗿𝗮𝗻 𝗸𝗲𝗽𝗮𝗱𝗮 𝗔𝗺𝗲𝗿𝗶𝗸𝗮.

Dan pada 1956, Mesir nasionalisasikan Terusan Suez — dunia belajar bahawa chokepoint minyak boleh jadi senjata paling berkuasa.

𝟭𝟵𝟱𝟯-𝟭𝟵𝟳𝟵: 𝗦𝗛𝗔𝗛, 𝗢𝗣𝗘𝗖 𝗗𝗔𝗡 𝗘𝗠𝗕𝗔𝗥𝗚𝗢

Shah menjadi diktator pro-Barat. CIA bersama Israel menubuhkan SAVAK — polis rahsia dengan lebih 5,000 ejen. Sesiapa yang mengkritik Shah boleh hilang tanpa jejak.

Pada 1960, Iran bersama Iraq, Arab Saudi, Kuwait dan Venezuela kemudiannya menubuhkan OPEC. Dan pada 1973, Mesir dan Syria menyerang Israel, Amerika bekalkan senjata untuk selamatkan Israel dan negara Arab membalas dengan embargo minyak.

Harga naik 4 kali ganda — dari $3 ke $12, bersamaan $22 ke $88 dalam nilai hari ini.

Shah pun turut sama menaikkan harga minyak untuk untung lebih dan beli senjata canggih tapi dia tak sedar kekayaan yang sama sedang menanam benih kejatuhannya.

𝟭𝟵𝟳𝟵: 𝗕𝗟𝗢𝗪𝗕𝗔𝗖𝗞

Selama 26 tahun rakyat Iran hidup dibawah Shah yang ditabal oleh CIA dan pada tahun 1979, semuanya meletus. Berjuta rakyat turun ke jalanan.

Ayatollah Khomeini pulang dari pengasingan di Paris dan tumbangkan Shah. Kali ini tiada CIA yang mampu selamatkan dia.

Pelajar Iran menyerbu Kedutaan Amerika dan menahan 52 diplomat selama 444 hari. Mereka tunjuk dokumen CIA sebagai bukti campur tangan Amerika — seluruh dunia nampak. Hubungan diplomatik putus sampai ke hari ini.

𝟮𝟬𝟮𝟲: 𝗦𝗘𝗝𝗔𝗥𝗔𝗛 𝗕𝗘𝗥𝗨𝗟𝗔𝗡𝗚

28 Februari 2026, Amerika dan Israel serang Iran. Khamenei terbunuh bersama berpuluh pegawai kanan tentera. Iran membalas dengan menyerang Israel, Dubai, Abu Dhabi, Doha dan Bahrain dan menutup 𝗦𝗲𝗹𝗮𝘁 𝗛𝗼𝗿𝗺𝘂𝘇. Trafik turun 80%. 20% bekalan minyak dunia lalu selat yang cuma 34 KM lebar ini.

Negara paling terkesan?

Jepun — 95% minyak dari Timur Tengah, 80% lalu Hormuz. Sama seperti pada tahun 1973, Jepun sekali lagi menjadi mangsa perang orang lain.

Jepun betul-betul terkesan apabila sekutu menyerang Iran tanpa sebarang amaran. Jepun tercekik.

Jepun memang ada rizab minyak strategik tapi hanya cukup untuk 254 hari.

Namun, jika selat ni kekal tertutup berminggu-minggu, Yen akan jatuh. Defisit perdagangan melebar. Ekonomi menuju stagflasi.

Dan ironinya? Jepun langsung tiada kena mengena dengan konflik Iran. Tapi sebab satu selat sempit 34 KM lebar ditutup — seluruh ekonomi ketiga terbesar Asia boleh terjejas.

𝟭𝟮𝟱 𝗧𝗔𝗛𝗨𝗡, 𝗦𝗔𝗧𝗨 𝗣𝗔𝗧𝗧𝗘𝗥𝗡, 𝗧IADA 𝗦𝗜𝗔𝗣𝗔 𝗕𝗘𝗟𝗔𝗝𝗔𝗥
  • 1901 — British ambil minyak Iran.
  • 1953 — CIA jatuhkan satu-satunya demokrasi Iran pernah ada.
  • 1973 — OPEC embargo → harga naik 4x → dunia Barat berlutut.
  • 1979 — Rakyat bangkit → Shah jatuh → Amerika kehilangan sekutu terbesar.
  • 2026 — Supreme Leader terbunuh → Hormuz ditutup → dunia panik.

Setiap kali kuasa luar cuba mengawal minyak Iran, ia backfire.

Dan setiap kali, yang paling menderita bukan pemimpin — tapi rakyat biasa yang tiada kaitan dengan permainan kuasa besar.

Dari kapal perang Churchill ke pesawat pengebom Amerika. Puncanya tak pernah berubah. Minyak!

Semoga memberi manfaat.

-Sentiasapanas.com

Friday, March 06, 2026

Donald Trump 'Merayu' Gencatan Senjata Namun Iran Menolak

Donald Trump 'Merayu' Gencatan Senjata Namun Iran Menolak

Menurut media Israel Yedioth Ahronot, seorang pegawai Amerika telah mencadangkan gencatan senjata segera melalui perantara dari Itali. Iran menolaknya secara terus. Perkara ini berlaku hanya beberapa jam selepas serangan bermula.

Trump Merayu Gencatan Senjata Namun Iran Menolak

Fikirkan perkara ini sejenak. Presiden yang berjanji bahawa operasi ini akan berlangsung cepat dan pasti, kini sudah mencari jalan keluar — tetapi pihak lawan menutup pintu itu.

Alasan Iran mudah tetapi sangat jelas: mereka pernah bersetuju dengan gencatan senjata pada Jun 2025 selepas gelombang serangan terakhir AS-Israel.

Namun gencatan senjata itu hanya memberi masa kepada Amerika dan Israel untuk menambah bekalan, menyusun semula kekuatan dan merancang serangan yang jauh lebih besar ini.

Iran tidak mahu mengulangi kesilapan itu. Mereka memutuskan untuk terus berperang sehingga kos yang ditanggung Amerika menjadi tidak tertanggung.

Trump membayangkan operasi ini hanya mengambil masa empat hingga lima hari. Iran jelas tidak bekerjasama dengan garis masa itu.

REJIM IRAN TIDAK RUNTUH

Seluruh teori di sebalik perang ini ialah bahawa pembunuhan Ayatollah Ali Khamenei akan menyebabkan Republik Islam Iran runtuh dari dalam.

Namun penganalisis tentera Israel sendiri kini mengakui perkara itu tidak berlaku.

Rejim Iran memang terjejas, tetapi masih berfungsi. Sebuah majlis kepimpinan peralihan telah pun ditubuhkan. Struktur komando IRGC (Islamic Revolutionary Guard Corps) masih cukup kukuh untuk menyelaras serangan balas berterusan di sepuluh negara secara serentak.

Ya, ada rakyat Iran yang meraikan di jalanan. Tetapi terdapat juga perhimpunan berkabung besar dengan ribuan orang melaungkan "mati Amerika" — dan laporan media bukan Barat menunjukkan perhimpunan ini jauh lebih besar daripada apa yang ditunjukkan oleh media Barat.

Pembunuhan Khamenei tidak menyebabkan rakyat menentang rejim. Bagi ramai orang, ia menjadikannya seorang syahid dan menyatukan negara menentang penyerang.

Seorang penganalisis bukan Barat berkata secara terus terang:

"Trump salah perkiraan. Kematian Ayatollah Khamenei tidak melemahkan pendirian Iran untuk mempertahankan kedaulatan mereka. Kesyahidan Rahbar menyatukan negara."

SALAH PERCATURAN

Trump kelihatan tidak berada dalam keadaan yang baik. Perang dengan Iran tidak tamat secepat yang dijangka. Semakin berlarutan, semakin besar kerugian Amerika. Trump akan kehilangan kelebihan, manakala Iran yang sudah terdesak kini bersedia bertempur habis-habisan.

Trump sedang terperangkap dalam perang dengan Iran kerana terdapat beberapa kekangan yang mengikat dirinya sendiri, iaitu:

Tentera Amerika tidak boleh mengalami korban yang terlalu ramai. Tentangan terhadap perang daripada rakyat Amerika, khususnya gerakan MAGA yang melihat Trump mengkhianati ideologi "America First" semakin kuat.

Perang tidak boleh berlarutan kerana kekurangan kelengkapan dan persenjataan, sedangkan Iran masih belum menggunakan senjata berat sepenuhnya, namun sudah mampu menyebabkan kerosakan besar terhadap pangkalan tentera, radar dan aset ketenteraan Amerika di Timur Tengah.

Kerajaan Amerika mengalami masalah kewangan yang serius.

Iran terlalu besar untuk ditundukkan dengan mudah dan mampu menanggung kerugian lebih lama. Senjatanya, sama ada dron atau peluru berpandu, juga mempunyai keupayaan yang setanding dengan Amerika.

Iran mendapat sokongan dari Rusia dan China di belakangnya, yang tidak akan membiarkannya tumbang.

Matlamat ketenteraan tidak jelas. Trump mahukan kemenangan, tetapi apakah maksud "menang"?

Menukar rejim pemerintahan? Itu pun sukar, kerana jika pemimpin tertinggi atau komander tentera terbunuh, akan ada generasi baharu yang menggantikan mereka.

Semangat kebangsaan Iran tidak akan berubah. Jika mahu menang secara ketenteraan sepenuhnya, Amerika perlu menghantar tentera darat, yang akan menjadikan perang itu berpanjangan tanpa penghujung.

Tentera Amerika akan terkorban dalam jumlah yang besar dan kemenangan tetap tidak terjamin.

Atau adakah Trump mahu mengebom Iran sehingga kembali ke Zaman Batu? Jika begitu, Amerika Syarikat juga akan menerima tindak balas yang sama.

Jika terpaksa kalah atau berundur di tengah jalan, Presiden Trump akan berakhir.

AMERIKA SEDANG MENERIMA SERANGAN SEBENAR

Pentagon mengakui tiga anggota tentera Amerika terbunuh dan lima lagi cedera parah, manakala beberapa yang lain mengalami kecederaan akibat serpihan dan gegaran letupan.

Ini adalah kematian tempur pertama Amerika — sedangkan perang ini baru dua hari bermula.

Imej yang tersebar di luar media Barat menunjukkan kerosakan besar di pangkalan AS di Erbil, Kurdistan Iraq, akibat serangan Iran.

Imej satelit turut mengesahkan serangan Iran yang berjaya ke atas pangkalan udara Ali Al-Salem di Kuwait.

Beberapa kejadian lain turut dilaporkan:
  • Burj Al Arab di Dubai mengalami kerosakan
  • Pelabuhan Jebel Ali terbakar
  • Sebuah kapal tangki minyak sedang tenggelam di Selat Hormuz
  • Sistem radar amaran awal AS di Qatar dilaporkan musnah

Pentagon berkata semua ini tidak mengganggu operasi.

Namun kerosakan itu benar-benar berlaku, telah disahkan, dan tidak ditunjukkan kepada anda.

Malah Yedioth Ahronot mengakui secara terbuka bahawa satu serangan ke atas kapal pengangkut pesawat, satu kapal tangki tenggelam atau kematian puluhan tentera Amerika boleh menyebabkan sokongan rakyat Amerika terhadap perang ini runtuh dengan cepat.

Mereka tahu sokongan itu sebenarnya sangat rapuh.

IRAN MENUKAR STRATEGI — DAN IA BERKESAN

Iran belajar daripada perang Jun 2025.

Daripada melancarkan satu serangan peluru berpandu besar yang mudah dipintas dan digunakan sebagai propaganda, mereka kini menggunakan strategi serangan kecil tetapi berterusan sepanjang hari.

Sasaran mereka termasuk:
  • Pangkalan tentera AS
  • Sasaran Israel
  • Infrastruktur negara Teluk
  • Laluan perkapalan antarabangsa

Kerosakan setiap serangan mungkin kecil, tetapi kesan terkumpulnya sangat besar.

Beberapa kesan yang sudah berlaku:
  • Lapangan terbang di negara Teluk ditutup
  • Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai (antara paling sibuk di dunia) membatalkan 70% penerbangan
  • Maersk menghentikan semua penghantaran melalui Selat Hormuz
  • Kapal tangki minyak diserang
  • Syarikat insurans membatalkan perlindungan kapal
  • Tiga kapal tangki diserang dalam satu hari

Matlamat Iran bukan memenangi satu pertempuran dramatik.

Matlamat mereka ialah melemahkan ekonomi gabungan negara lawan secara perlahan sehingga kos meneruskan perang menjadi lebih mahal daripada menghentikannya. Dan strategi itu sedang berjaya.

Pasaran minyak akan dibuka pada hari Isnin, dan hampir semua penganalisis menjangka harga minyak akan melonjak.

PERANG INI TIDAK POPULAR — DI MANA-MANA

Di Amerika Syarikat, satu tinjauan awal YouGov menunjukkan hanya 33% rakyat Amerika menyokong serangan ke atas Iran.

Penganalisis Israel sendiri menyifatkannya sebagai:
"Sangat tidak popular di AS, baik dalam kalangan pengkritik Trump mahupun penyokong kuatnya."

Perang ini juga tidak pernah menjadi agenda awam sehingga beberapa hari lalu.

Ahli Kongres dari kedua-dua parti menyatakan perang ini tidak berperlembagaan.

Senator Bernie Sanders menyebutnya sebagai: "Perang haram, dirancang lebih awal dan tidak berperlembagaan."

Yang bertujuan memenuhi cita-cita lama Benjamin Netanyahu untuk menarik Amerika ke dalam perang dengan Iran.

ACLU menuntut Kongres bertindak segera. Resolusi kuasa perang bipartisan dijangka dibentangkan minggu ini.

TENTANGAN GLOBAL BESAR

Di peringkat global, reaksi balas sangat besar:
  • Perusuh pro-Iran cuba menyerbu kedutaan AS di Pakistan dan Iraq
  • Negara Teluk seperti Kuwait, Qatar, Bahrain, UAE, Oman, Jordan dan Arab Saudi kini menerima peluru berpandu Iran yang sebenarnya mensasarkan pangkalan AS di wilayah mereka
  • Menteri luar negara Teluk mengadakan mesyuarat kecemasan
  • Presiden Mesir memberi amaran rantau itu boleh "terjerumus ke dalam kekacauan" 

Negara besar dunia juga memberi reaksi:
  • China mengecam pembunuhan Khamenei sebagai pelanggaran serius kedaulatan Iran
  • Rusia mengecam serangan tersebut
  • Kesatuan Eropah mengadakan perbincangan kecemasan
  • Perancis walaupun menyatakan kepuasan atas kematian Khamenei, tetap menuntut pengurangan ketegangan

Beberapa negara yang menyokong sepenuhnya ialah:
  • Amerika Syarikat
  • Israel
  • Kanada
  • Australia
  • Ukraine

Selebihnya dunia sama ada marah atau ketakutan.

SOALAN YANG TIADA SIAPA TANYA

Jika perang ini benar-benar perlu, benar-benar adil dan benar — mengapa Trump sudah meminta gencatan senjata pada hari kedua?

Jika rejim Iran sepatutnya runtuh — mengapa ia masih berdiri, masih melawan, dan masih melancarkan peluru berpandu ke sepuluh negara?

Jika ini adalah "keamanan melalui kekuatan" — mengapa tiga tentera Amerika sudah mati, lapangan terbang Teluk terbakar, kapal tangki tenggelam dan ekonomi dunia hampir runtuh?

Perang yang mereka jual kepada anda dan perang yang sebenarnya sedang berlaku adalah dua perkara yang sangat berbeza.

Semoga memberi manfaat.

-Sentiasapanas.com

SBDJ Siri 254: Tuk Guru Sasau

SBDJ Siri 254: Tuk Guru Sasau

Datuk dan Pak Habib masih menanti suami malang menyambung cerita yang terputus. Sudah hampir lebih dari sepuluh saat masa berlalu, suami malang masih juga membisu. Datuk mula nampak resah. Pak Habib masih macam biasa, tenang dan selesa.

SBDJ Siri 254 Tuk Guru Sasau

Pada hemat saya apa yang di ucapkan oleh si suami malang diikuti dengan teliti oleh datuk dan Pak Habib. Saat saya menoleh ke kanan, terpandangkan isteri kepada lelaki (suami malang) tersebut tunduk merenung permukaan bumi, tiada seorang pun tahu apa yang bermain dalam tempurung kepalanya.

Dalam keadaan serba tenang tetapi mendebarkan itu, datuk menarik nafas dalam-dalam, dia merasakan lelaki itu seperti keberatan mahu meneruskan kata-kata.

Andainya telahan datuk itu tepat, memang sungguh menghampakan, bukan saja buat dirinya, malahan melibatkan Pak Habib dan diri saya sendiri.

Kumpulan lelaki berbadan besar dan tegap yang menjauhkan diri dari kami, terus merawat dan melayani anak muda yang mereka anggap dan gelar "Tuan atau Pak Guru."

Beberapa orang dari mereka menangis sambil mengharapkan orang yang mendatangkan kecelakaan kepada pemimpin agung mereka, akan ditimpa bencana.

"Anak kamu memang hebat, dia ada kebolehan dan pelajaran, memang tak berhati perut orang yang dengki dengannya," datuk mula mengocak suasana yang agak sepi, sekaligus secara diplomasi mengajak lelaki itu membuka mulut.

"Iya, mereka memang tak patut," si isteri yang menyampuk.

Datuk dan Pak Habib berpandangan.

"Anak kami selalu dihantar oleh pengetua pesantren menghadiri seminar di luar negeri," si lelaki meningkah cakap isteri dengan nada suara yang megah.

MENJERAT

"Dihantar ke mana tu?" datuk cuba menjerat.

"Ke Malaysia, Brunei, Singapura, Selatan Siam dan Arab Saudi. Ada cerita lain orang dengki dengan anak saya."

"Cerita macam mana tu." Pak Habib pula bertanya.

"Kononnya anak saya ni sombong dengan ustaz-ustaz disitu, maklumlah dia ada pelajaran tinggi, selalu memandang rendah pada orang lain, cerita ini susah nak percaya," si lelaki itu menelan air liur dan berhenti bercakap.

"Hidup ini memang sudah, miskin orang benci bila senang ada pelajaran sidikit, timbul macam-macam fitnah," si isteri memberikan komen yang agak terkesan dalamm diri saya.

"Ada cerita lagi tentang dirinya," datuk cuba membunuh percakapan si isteri yang pada pendapat datuk sudah keluar dari perkara yang diperkatakan.

"Ada," jawap si lelaki.

"Apa dia? Ceritakanlah," Pak Habib mendesak.

"Kononnya, dia menolak cinta seorang gadis. Tetapi, malangnya sigadis tidak dapat menerimanya malah terus merayu dan memujuk.

"Anak saya bosan dengan sikap gadis. Dia jadi marah lalu terkeluar kata-kata yang pedih dan bisa dari mulut anak saya.

"Gadis yang kecewa, kononnya terus gunakan khidmat bomoh hitam," ujar lelaki tersebut. Nada suaranya sekejap meninggi dan sekejap merendah.

"Allah huakbar."

Pandangan saya segera beralih ke arah kumpulan lelaki berbadan besar dan tegap. Mereka sedang menjulang "Tuk Guru" sambil bergerak ke bucu surau belah kanan.

"Mereka mendewa-dewakan anak kami," keluh si lelaki merenung ke arah kumpulan berbadan besar dan tegap.

"Mereka orang jahil yang harus kita perbetulkan," kata Pak Habib.

"Itu juga harapan kami berdua," serentak pasangan suami isteri bersuara.

Kumpulan lelaki berbadan besar dan tegap segera meletakkan "Tuk Guru" disudut surau tersebut. Mereka terus memuji dan memuja Tuk Guru.

LANGIT

Pak Habib medongak ke langit melihat awan, datuk mengerutkan dahi. Mereka berdua sedang memikirkan sesuatu untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi. Tidak manis dibiarkan perkara ini berlarut.

Memang kejam kalau dibiarkan pasangan itu terkatung-katung dengan masaalah tanpa diberikan penyelesaian sewajarnya.

Tidak berakal namanya, membiarkan kumpulan lelaki berbadan besar dan tegap mendewa-dewakan Shafie yang ternyata kurang waras.

Pada anggapan kumpulan lelaki berbadan besar dan tegap Shafie orang yang tinggi ilmu agamanya.

Jika perkara ini tidak dihalang akan menambahkan lagi bilangan orang yang terjebak dalam ajaran sesat, barangkali itu yang bermain dalam kepala Pak Habib.

"Bagaimana? Perlukah kita selesaikan masalah ini," Datuk tatap wajah Pak Habib.

"Bukan cara orang berilmu meninggalkan kerja yang belum selesai. Sekali masuk gelanggang, selesaikan langkah supaya tidak sumbang. Jangan jadi guru kepalang ajar, ilmu murid bagaikan kembang tak jadi," kata Pak Habib.

"Faham dengan maksud yang diungkapkan. Kalau begitu mari kita selesaikan bersama," jawab datuk penuh keyakinan.

Dengan pantas si suami malang menjeling kearah isterinya yang termanggu. Dia mengajak isterinya beredar dari situ.

"Nanti dulu, jangan beredar begitu saja, cerita tentang anak kamu belum habis lagi. Tak boleh cerita separuh jalan, nanti semuanya jadi rosak," datuk menghalang pasanga suami isteri beredar.

"Cakapnya itu memang benar," lemah tekanan suara Pak Habib menyokong tindakan datuk.

Pasangan suami isteri itu termenung sejenak. Kemudian mereka mengangguk setuju.

"Ceritakan apa yang mahu kamu ceritakan," kata Pak Hbib bersahaja.

"Bila anak kami diserang penyakit ganjil ini, memang azab rasanya. Orang hanya simpati, kami yang menanggungg tak tahu nak cerita.

"Macam kata orang dulu-dulu, betapalah berat mata memandang, berat lagi bahu memikul," si isteri mengambil alih tugas si suami bercerita.

"Tak berusaha mengubatinya?" sanggah datuk.

"Masakan kami tak berusaha, tak ada emak bapak yang mahu menengok anaknya sakit. Jangan bercakap ikut sedap mulut saja," si isteri memperlihatkan bunga kemarahan pada datuk.

Tidak memadai dengan itu dia melepaskan jelingan yang cukup tajam, bagaikan mata pisau, kearah datuk.

Disaat suasana yang lebih kuat, mengarah kepada sempadan ketegangan, Pak Habib cepat bertindak.

Dia minta maaf bagi pihak datuk andainya kata-kata yang diucapkan tadi menyinggung perasaan pasangan suami isteri.

Pak Habib segera menerangkan, dalam usaha mencari sebuah penyelesaian yang jitu tidak terniat di hati datuk atau dirinya untuk melukakan sesiapa.

Saya bersyukur, penjelasan beruntung kerana apa yang dikatakan oleh Pak Habib itu disambut dengan baik oleh pasangan suami isteri terbabit.

Suara pekikan Allahhu akbar, tidak lagi kedengaran dari kumpulan lelaki berbadan besar dan tegap. Mereka sekadar mengelilingi 'tuk guru' yang sengaja menelentang tubuh di tanah. Kedua belah tangannya berada atas dada, tidak ubah seperti mayat yang terbujur.

Beberapa orag saudara mara terdekat Pak Habib mula datang ke tempat kejadian. Tidak berapa lama berselang orang-orang kampung berdekatan datang beramai-ramai, cerita orang mengamuk di surau sudah tersebar jauh.

"Kerana percayakan cakap orang anak kami di sihir, kami tidak membawanya ke hospital untuk berubat. Kami juga berikhtiar ubat cara kampong," si suami malang telan air liur untuk sekian kalinya.

Kemudian garu pangkal leher. Si isteri Nampak cemas sedikit, melihat orang kampong kian ramai datang.

KAMPUNG

Kumpulan orang kampung itu, kebanyakannya ada hubungan darah dengan Pak Habib. Mereka mula melingkungi kawasan sekitar.

Tajuddin segera bergabung degan mereka dan perbuatan Tajuddin tidak ditegah oleh Pak HABIB.

Suasana yang mahu dirahsiakan oleh datuk dan Pak Habib dari pengetahuan ramai, sudah tidak menjadi rahsia lagi.

Sebahagian dari mereka yang datang itu (kaum lelaki) segera mengelilingi kumpulan lelaki berbadan besar dan tegap yang menghurungi "Tuk Guru."

Memang, dari kumpulan lelaki berbadan besar dan tegap, ada percubaan mahu mengusung Tuk Guru keluar dari kepungan orang ramai. Ternyata percubaan itu gagal, mereka dipaksa duduk diam disitu.

Kumpulan lelaki berbadan besar dan tegap cuba membantah. Tetapi, puak orang kampung menunjukan tindak balas yang kasar. Mereka terus berdiam.

Bila sudah ramai yang datang ke kawasan surau, keadaan menjadi sudah tidak terkawal. Nampaknya Pak Habib dan datuk gagal untuk menguasai keadaan sekitar.

Mereka yang datang mahu segera mengetahui keadaan sebenar yang berlaku.

"Semua dukun dan pawang yang ditemui sepakat mengatakan anak kami kena sihir. Mereka cuba berikhtiar mengubatinya. Usaha mereka gagal, malah keadaan anak kami semakin bertambah teruk," tiba-tiba sahaja suami malang menyambung kembali cerita yang terputus.

"Kalau boleh segerakan cerita tentangnya, jangan terhenti-henti, kamu tengok keadaan sudah jadi kelam-kabut.

"Kalau ceritanya selalu sahaja terputus-putus, masalah tak boleh selesai dengan cepat, anak kamu tidak boleh diselamatkan.

"Saya takut orang yang datang ini bertambah marah bila mereka dapat tahu anak kamu buat kacau dalam surau," Pak Habib bersuara sambil menyuruh pasangan suami isteri merenung keadaan sekitar.

Pasangan suami isteri segera merenung keadaan sekitar. Kali ini mereka amat cemas sekali. Wajah mereka Nampak pucat. Malah si isteri kelihatan menggeletar.

"Kamu lihat sendiri," kata Pak Habib.

Pasangan suami isteri itu mengangguk.

"Saya tidak berbohong," tambah Pak Habib.

"Iya, awak tak berbohong," sahut si isteri.

"Kalau begitu selesaikan masalah ini, suruh suami kamu tamatkan cerita tentang anak kamu berdua dengan segera.

"Dengan cara itu, masalah kamu boleh diselesaikan dan anak kamu dapt diselamatkan," kali ini nada suara Pak Habib cukup keras dan wajahnya nampak serius.

MALANG

Setelah dua tiga kali mohon maaf pada datuk dan Pak Habib, si suami malang memperlihatkan perubahan yang sungguh mengejutkan.

Dia tidak mudah bersedih. Malah wajahnya memperlihatkan rasa yakin tidak berbelah bagi pada datuk dan Pak Habib.

"Usaha cara tradisional gagal, kami bawak anak kami jumpa doktor di rumah sakit, setelah diperiksa didapati kepanasan badannya melampaui had normal disamping anak kami juga mengalami tekanan perasaan.

"Malah dia ditempatkan dalam wad khas yang dikandang, takut dia melakukan hal yang tak diingini pada pesakit lain," si suami malang berhenti sejenak, sambil mengerutkan dahi macam mengingati sesuatu.

Kemudian dia bercerita kembali, setelah seminggu berada di hospital keadaannya beransur baik. Badannya kembali normal. Tetapi, dia suka bercakap sendirian.

Kerana yakin keadaan anaknya boleh baik, dia minta izin dari pihak hospital untuk membawa anaknya pulang kerumah. Permintaannya segera dipenuhi.

Kerana Shafie suka meracau dan menjerit sesuka hati, tanpa mengira waktu samada malam atau siang, pagi atau petang. Pasangan suami isteri itu menempatkan isteri dalam kandang buluh yang didirikan di ruang tamu rumah.

Shafie dibiarkan bergerak bebas disitu. Makan minumnya diatur dengan sempurna. Begitu juga dengan pakaiannya. Sampai waktu mandi terus dibawa ke telaga.

JANGGUT

Pada suatu hari, rumah pasangan itu didatangi oleh seorang tua yang berjanggut putih separas dada.

Orang tua itu memarahi pasangan suami isteri yang disifatkannya melayani anak seperti melayani binatang. Pasangan suami isteri itu menerangkan keadaan yang sebenar.

Orang tua yang tidak diketahui asal usulnya, dari mana datangnya, tidak mahu menerima alasan tersebut. Malah dia menawarkan diri untuk mengubati Shafie dengan bayaran tertentu.

Pasangan suami ister setuju dengan tawaran tersebut. Bila persetujuan dicapai, minta syarat diubah dari nilai rupiah ke sebentuk cincin. Kerana anak, si ibu sanggup memenuhi syarat yang ditetapkan.

Orang tua itu berjanji tiga hari lagi dia akan datang untuk memulakan pengubatan tradisional yang didakwanya mempunyai kaedah baru dengan mencampur adukkan perubatan tradisional dengan perubatan moden.

Pasangan suami isteri hanya diminta menyediakan sebentuk cincin sebagai upah dan tiga ruas buluh kuning sebagai alat untuk mengubat.

Manakala orang tua itu akan membawa ubat-ubatan berupa pil dn cecair yang didakwanya dibeli di luar negeri.

Menurutnya dalam tempoh seminggu Shafie akan pulih seperti sediakala dan boleh menyambung pelajarannya di Jordan.

Seperti yang dijanjikan, cukup tempohnya orang itu pun datang ke rumah pasangan suami isteri tersebut.

Dia datang lepas isyak, kali ini, dia tidak datang sendirian, ditemani dua orang muda yang berpakaian rapi dan memperlihatkan ciri-ciri orang berpelajaran dalam bidang kedoktoran.

Sebaik sampai di rumah pasangan suami isteri tersebut, kedua-dua orang muda itu terus menemui menemui Shafie yang berada dalam kandang buluh di ruang rumah.

Shafie mebiarkan sahaja kedua-dua orang muda itu memeriksa tubuhnya dengan menggunakan alat yang menyerupai 'skrew driver' disamping beberapa wayar yang dilekapkan ke badan Shafie.

Bila urusan pemeriksaan selesai, kedua-dua anak muda itu segera melapurkan pada orang tua yang sedang duduk bersila menghadapi tempat bara. Bau setanggi menguasai seluruh ruang tamu.

Dalam keadaan separuh sedar orang tua berjanggut itu menghulurkan jari hantunya pada ibu shafie agar disarungkan cincin bermata berlian.

Semuanya dilaksanakan oleh si wanita yang kepingin melihat anaknya sembuh.

Bila cincin sudah berada dijari, orang tua menyuruh dua anak muda mengeluarkan Shafie dari kandang buluh.

Kalau tadi Shafie hanya mengikut saja, macam kerbau dicucuk hidung, kali ini keadaan sungguh berbeza. Dia mula melawan dan meronta-ronta.

Sebaik sahaja pintu kandang dibuka, Shafie terus menolak kedua-dua anak muda itu hingga jatuh dalam kandang. Orang tua berjanggut terus membakar kemenyan.

Sebaik sahaja orang tua berjanggut itu membuka mata, dilihatnya Shafie sudah berdiri di depannya.

Dalam keadaan terketar-ketar dia membaca mantera untuk melemahkan Shafie. Segala jenis jembalang dan hantu disebutnya.

Dalam keadaan serba tidak kena itu, orang tua berjanggut terus melucutkan cincin di jari dan diletakkan kembali atas lantai.

Tempat perasap di depannya terus ditendang oleh Shafie. Bara api berterbangan mengenai baju dan pipi orang tua berjanggut.

Kerana terasa sakit dia terus menjerit dan terjun dari rumah. Shafie terus memburunya.

Kedua-dua orang tua Shafie yang terkejut dengan kejadian itu jatuh terduduk dilantai.

Tamat Siri Bercakap Dengan Jin 254/284

BACA: SBDJ Siri 253: Anak Kami Di Sihir Orang
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-Sentiasapanas.com

Iran Perdaya Serangan Udara AS-Israel Guna Cat!

Iran Perdaya Serangan Udara AS-Israel Guna Cat!

Di tengah malam yang sunyi di langit Tehran, suasana di sekitar Lapangan Terbang Mehrabad kelihatan tenang seperti biasa, namun jauh di atas atmosfera, mata elektronik yang tidak pernah tidur sedang memerhati.

Iran Perdaya Serangan Udara AS-Israel Guna Cat

Satelit pengintip, dron peninjau dan sensor inframerah milik Amerika Syarikat sedang mengimbas permukaan bumi, mencari sasaran bernilai tinggi.

Dalam era peperangan moden, medan tempur tidak lagi hanya dipenuhi pesawat dan kereta kebal. Ia kini dikuasai oleh data, sensor dan algoritma sasaran pintar.

Namun pada malam itu, sesuatu yang luar biasa didakwa berlaku sesuatu yang mungkin menggoncang kepercayaan bahawa teknologi canggih sentiasa mengatasi kecerdikan manusia.

Menurut rakaman yang tersebar dikalangan pemerhati ketenteraan, Iran dipercayai melaksanakan satu operasi tipu daya (military deception) yang sangat halus.

Di landasan Mehrabad, siluet pesawat tempur F-14 Tomcat dilukis menggunakan cat khas yang menghasilkan tanda haba (thermal signature) yang hampir menyerupai pesawat sebenar.

Apabila sensor inframerah Amerika mengimbas kawasan tersebut, apa yang dilihat oleh sistem ialah imej jelas pesawat tempur seolah-olah jet tersebut sedang diparkir di landasan.

Beberapa minit kemudian, peluru berpandu berpandu tepat dilancarkan. Letupan berlaku.

Namun selepas asap reda, sesuatu yang mengejutkan muncul: Tiada serpihan, pesawat kelihatan masih utuh. Hanya landasan yang hangus terbakar.

Maka, dunia baru sahaja menyaksikan satu contoh klasik bagaimana kepintaran taktikal mampu menipu teknologi perang paling mahal di dunia.

Ilusi di Medan Perang Moden

Thermal signature

Dalam doktrin ketenteraan moden, konsep ini dikenali sebagai camouflage, concealment and deception (CCD), iaitu gabungan teknik untuk menyembunyikan aset sebenar dan memanipulasi persepsi musuh.

Kajian ketenteraan menunjukkan bahawa strategi ini telah lama menjadi komponen utama peperangan kerana ia menjejaskan proses membuat keputusan pihak lawan.

Taktik penyamaran dan penipuan boleh melibatkan penggunaan decoy inframerah, struktur palsu atau manipulasi tanda haba untuk mengelirukan sistem pengesanan moden.

Dalam peperangan moden yang bergantung kepada sensor optik dan inframerah, mencipta tanda haba palsu boleh menyebabkan sistem sasaran menyerang objek yang sebenarnya tidak bernilai.

Lebih menarik lagi, kajian mengenai teknik penyamaran moden menyatakan bahawa sumber haba tiruan atau bahan yang memanipulasi pantulan inframerah mampu menghasilkan imej hampir sama dengan objek sebenar apabila dilihat oleh sensor termal.

Ini bermaksud sesuatu yang kelihatan seperti pesawat pada kamera inframerah mungkin sebenarnya hanya lukisan atau struktur kosong yang dipanaskan.

Dalam konteks operasi Mehrabad, kemungkinan yang dibincangkan oleh penganalisis ialah penggunaan cat atau bahan komposit yang menyerap dan memancarkan haba bagi meniru profil haba pesawat sebenar.

Jika benar, ia merupakan contoh klasik bagaimana teknologi murah boleh menewaskan sistem senjata bernilai jutaan dolar.

Mengapa Sasaran Inframerah Boleh Diperdaya

Sistem senjata moden—termasuk dron serangan dan peluru berpandu berpandu sering menggunakan gabungan beberapa sensor; Elektro-optik (EO) – kamera resolusi tinggi, Inframerah (IR) – mengesan haba objek dan Radar atau laser targeting.

Sensor inframerah amat penting kerana ia membolehkan sasaran dikesan walaupun pada waktu malam atau dalam keadaan cuaca buruk. Namun sistem ini mempunyai kelemahan.

Sensor Inframerah (IR) sebenarnya hanya melihat perbezaan suhu antara objek dan persekitarannya. Jika sesuatu permukaan dipanaskan atau direka dengan bahan tertentu, ia boleh menghasilkan imej haba yang menyerupai objek sebenar.

Manual ketenteraan Amerika sendiri mengakui bahawa decoy inframerah boleh digunakan untuk mengganggu sistem pengesanan walaupun ia tidak selalu menipu sensor sepenuhnya.

Kajian lain juga menunjukkan bahawa penyamaran multispektral yang menggabungkan manipulasi visual, inframerah dan radar, boleh menjadikan sasaran palsu kelihatan sah kepada sistem pengawasan.

Dalam erti kata lain, sensor moden sangat canggih tetapi ia tetap boleh diperdaya jika musuh memahami cara sensor tersebut "melihat dunia."

Sejarah Panjang Perang Tipu Daya

Apa yang didakwa berlaku di Mehrabad sebenarnya bukanlah sesuatu yang benar-benar baru.

Sejarah peperangan penuh dengan kisah tipu daya luar biasa.

1. Operasi Fortitude – Perang Dunia Kedua

Pada tahun 1944, pihak Berikat membina tentera palsu lengkap dengan kereta kebal getah dan lapangan terbang tiruan untuk menipu perisikan Jerman sebelum pendaratan Normandy.

Jerman percaya serangan utama akan berlaku di Pas de Calais, bukan Normandy.

Strategi ini berjaya mengekalkan sebahagian besar tentera Jerman di lokasi yang salah.

Kajian mengenai penipuan taktikal menyebut bahawa penggunaan sasaran palsu dan struktur tiruan telah lama menjadi alat penting dalam peperangan darat dan udara.

2. Lapangan Terbang Palsu

Sepanjang Perang Dunia Kedua dan Perang Dingin, banyak negara membina lapangan terbang palsu lengkap dengan pesawat tiruan untuk mengelirukan pengebom musuh.

Teknik ini berkesan kerana musuh sering bergantung pada foto udara untuk memilih sasaran.

3. Konflik Moden

Dalam konflik moden seperti di Syria, penggunaan decoy kereta kebal, sistem pertahanan udara palsu dan pelancar roket tiruan menjadi semakin biasa.

Dalam perang Rusia-Ukraine – kedua-dua pihak menggunakan sistem senjata palsu untuk mengelirukan satelit dan dron.

Pada Perang Teluk 1991 – Iraq menggunakan kereta kebal tiruan.

Analisis RAND mengenai operasi bandar menunjukkan bahawa penipuan taktikal mampu memaksa musuh membazirkan sumber penting terhadap sasaran tidak bernilai.

Dengan kata lain, prinsipnya sama sejak ribuan tahun lalu, hanya teknologinya berubah.

Mengapa Iran Sangat Mahir dalam Taktik Asimetri

Iran telah lama terkenal sebagai negara yang menekankan strategi peperangan asimetri.

Berbeza dengan Amerika Syarikat yang memiliki bajet pertahanan ratusan bilion dolar, Iran sering bergantung pada pendekatan yang lebih kreatif: dron murah tetapi banyak, peluru berpandu balistik buatan tempatan, rangkaian milisia proksi, peperangan siber dan operasi penipuan taktikal.

Pendekatan ini lahir daripada pengalaman sejarah.

Selepas Revolusi Iran 1979, negara itu menghadapi sekatan ekonomi dan teknologi yang menyukarkan mereka mendapatkan senjata moden Barat.

Akibatnya, strategi ketenteraan Iran berkembang dengan falsafah: "Jika tidak mampu menandingi teknologi musuh, ganggu cara teknologi itu berfungsi."

Itulah sebabnya Iran banyak melabur dalam camouflage, decoy dan perang elektronik.

F-14 Tomcat: Legasi Perang Dingin

Menariknya, pesawat yang didakwa menjadi sasaran umpan tersebut ialah F-14 Tomcat.

F-14 merupakan pesawat tempur ikonik Amerika yang dibangunkan pada tahun 1970-an untuk Tentera Laut AS.

Selepas Revolusi Iran, Iran menjadi satu-satunya negara selain Amerika yang masih mengoperasikan pesawat ini.

Walaupun Amerika telah menamatkan penggunaan F-14 pada 2006, Iran dilaporkan masih mengekalkan sejumlah kecil pesawat tersebut melalui kejuruteraan songsang dan penyelenggaraan tempatan.

Kerana nilai simbolik dan taktikalnya, F-14 Iran dianggap sasaran bernilai tinggi dalam sebarang konflik udara.

Oleh itu, mencipta siluet F-14 palsu di landasan boleh menjadi taktik yang sangat menarik bagi memancing serangan musuh.

Ekonomi Peperangan: Peluru Berpandu Mahal vs Cat Murah

Jika dakwaan ini benar, implikasi paling menarik ialah dari segi ekonomi peperangan.

Bayangkan situasi berikut: Peluru berpandu berpandu tepat bernilai USD 1–2 juta dan sasaran sebenarnya hanyalah lukisan atau struktur murah.

Ini mencipta situasi yang dikenali dalam strategi ketenteraan sebagai cost-imposition strategy, iaitu memaksa musuh membelanjakan sumber mahal untuk memusnahkan sasaran murah.

Konsep ini semakin penting dalam peperangan moden.

Kajian mengenai keberkesanan decoy menunjukkan bahawa walaupun sasaran palsu tidak menipu sensor sepenuhnya, ia masih boleh mengganggu penilaian sasaran dan memaksa musuh membazirkan senjata.

Dalam konflik intensiti tinggi, pembaziran peluru berpandu boleh memberi kesan besar terhadap operasi jangka panjang.

Sensor vs Tipu Daya: Perlumbaan Tanpa Penamat

Perkembangan ini juga menggambarkan satu realiti penting dalam peperangan teknologi tinggi.

Setiap kali teknologi sensor menjadi lebih canggih, teknik penipuan juga berkembang.

Kajian mengenai mimicry ketenteraan menunjukkan bahawa tentera moden sering meniru konsep alam semulajadi, seperti haiwan yang menyamar atau meniru bentuk makhluk lain untuk mengelakkan pemangsa.

Dalam konteks ketenteraan, sensor menjadi "mata" dan decoy menjadi "ilusi".

Pertempuran antara keduanya tidak pernah berakhir.

Sebagai contoh, penyelidikan terkini mengenai pengesanan sasaran menggunakan dron multispektral menunjukkan bahawa walaupun sensor moden boleh mengesan banyak jenis penyamaran, decoy yang direka dengan baik masih sukar dibezakan daripada sasaran sebenar.

Apakah Ini Benar-Benar Berlaku?

Thermal signature 2

Walaupun cerita ini sangat menarik, penting untuk diingat bahawa tiada pengesahan rasmi daripada Pentagon setakat ini.

Rakaman yang beredar mungkin bukti sebenar operasi penipuan, propaganda maklumat atau salah tafsir terhadap rakaman serangan.

Dalam peperangan moden, perang maklumat juga memainkan peranan besar. Menyebarkan naratif bahawa musuh telah ditipu boleh meningkatkan moral domestik dan melemahkan imej teknologi lawan.

Namun walaupun rakaman itu tidak disahkan, konsep di sebaliknya tetap realistik.

Implikasi Geopolitik Lebih Besar

Jika teknik seperti ini benar-benar digunakan secara meluas, ia boleh memberi kesan besar terhadap doktrin peperangan masa depan.

Beberapa implikasi strategik termasuk:

1. Kebergantungan terhadap AI Targeting

Sistem senjata moden semakin bergantung kepada kecerdasan buatan untuk mengenal pasti sasaran. Decoy yang direka untuk menipu algoritma boleh menjadi senjata baru dalam peperangan.

2. Kebangkitan "Low-Cost Warfare"

Negara dengan sumber terhad boleh mengimbangi kelebihan teknologi negara besar dengan strategi murah tetapi kreatif.

3. Peperangan Persepsi

Matlamat sebenar mungkin bukan hanya memusnahkan aset, tetapi memanipulasi persepsi musuh tentang keadaan medan perang.

Seperti yang dinyatakan dalam kajian mengenai penipuan strategik, tujuan utama deception ialah mengawal keputusan musuh tanpa perlu bertempur secara langsung (Walsh, 2019).

Kesimpulan: Apabila Ilusi Menjadi Senjata

Jika cerita di Mehrabad benar, ia menggambarkan satu paradoks yang sangat menarik dalam peperangan moden.

Di satu pihak, dunia memiliki teknologi ketenteraan paling canggih dalam sejarah satelit pengintip, dron autonomi dan peluru berpandu pintar.

Namun di pihak lain, satu lukisan yang dipanaskan di atas landasan mungkin cukup untuk memperdaya sistem tersebut.

Dalam peperangan, kemenangan tidak selalu milik mereka yang memiliki teknologi paling mahal.

Kadangkala, ia dimenangi oleh mereka yang lebih memahami bagaimana musuh berfikir, melihat dan membuat keputusan dan di situlah letaknya seni peperangan sebenar.

Bukan sekadar kekuatan senjata, tetapi keupayaan mencipta ilusi yang dipercayai oleh musuh. Dalam dunia konflik moden, realiti di medan perang sering kabur.

Kadangkala pesawat yang dimusnahkan hanyalah bayang dan kadangkala bayang itu sendiri mampu mengubah perjalanan strategi global.

Fb: Mohd Ezli Mashut

Wallahu a'lam.

-Sentiasapanas.com

Thursday, March 05, 2026

SBDJ Siri 253: Anak Kami Di Sihir Orang

SBDJ Siri 253: Anak Kami Di Sihir Orang

Kerana merasakan suasana tidak sehangat tadi dan keadaan boleh dikawal, Pak Habib segera menggamit datuk supaya datang ke sisinya. Tidak sampai lima saat, datuk sudah tegak di sisi Pak Habib. Kurang seronok rasanya, bila saya dan Tajuddin disuruh berada di tempat biasa.

SBDJ Siri 253 Anak Kami Di Sihir Orang

"Betul, dia anak kamu berdua?"

Datuk mengambil alih tugas Pak Habib. Sepasang wajah suami isteri tersebut, datuk tenung dalam-dalam. Pasangan suami isteri tidak cemas, malah mereka senyum penuh keyakinan.

"Sebagai seorang Islam, kami tak mahu berbohong, kami boleh berbohong di depan tuan berdua atau sesiapa saja. Tetapi, kami tidak boleh menipu Allah. Kami tidak mahu didakwa di mahkamah Allah kelak," satu penjelasan yang membunuh manik-manik keraguan di kalbu datuk dan juga Pak Habib.

"Sudah takdir," tutur si isteri.

Wajahnya dibalut rasa putus asa, nada suaranya mengutus rasa kecewa yang tiada sempadan. Berhadapan dengan situasi begitu, datuk dan Pak Habib jadi serba salah.

Si isteri pun menggunakan senjata lumrah seorang wanita. Air mata seorang ibu berbenang-benang di pipi. Sedu pun datang mengiring untuk memperlengkapkan derita seorang yang tabah.

"Inilah ujian untuk kami suami isteri, tetapi tidak menduga sampai begitu jauh terpesong," sambung si isteri sambil mengesat air mata.

Manakala suaminya, tidak putus-putus menarik nafas dalam-dalam sambil matanya menatap permukaan bumi.

Lelaki berbadan besar dan tegap menjuihkan sepasang bibir tebal ke depan. Meluat dan menyampah melihat karenah pasangan suami isteri tersebut.

KERAS

Konco-konconya bercakap sesama sendiri. Pada mulanya secara perlahan-lahan, kemudian bertukar kuat dan keras. Matlamatnya untuk mengganggu perbualan sepasang suami isteri itu dengan datuk atau Pak Habib.

Tingkah laku para pengikut lelaki berbadan besar dan tegap itu dianggap oleh datuk dah keterlaluan.

Secara lembut dan rendah diri datuk minta ketua puak terbabit supaya memberi kesempatan pada Pak Habib untuk bertanya. Lelaki berbadan besar dan tegap terus protes.

Bila datuk memperlihatkan sikap keras dan melawan, lelaki berbadan besar dan tegap mula lembut dan memperlihatkan sikap bertolak ansur.

"Maaf saya nak bertanya?"

Datuk terus renung muka pasangan suami isteri itu. Pak Habib membiarkan datuk memainkan peranannya. Dia tidak mahu ganggu.

Sekiranya datuk gagal, barulah dia campur tangan. Apa yang pasti orang berbadan besar dan pengikutnya tetap resah.

"Silakan."

Serentak pasangan suami isteri menjawap. Datuk menarik nafas lega. Pak Habib senyum puas kerana mendapat kerjasama dari pasangan yang terlibat.

Tetapi, puak lelaki badan besar dan tegap ternyata kurang senang berdepan dengan suasana semacam itu. Saya dan Tajuddin tetap berwaspada. Bersedia menghadapi sebarang kemungkinan, samada baik atau sebaliknya.

"Siapa namanya?" Datuk bertanya.

"Shafie," jawap si isteri.

"Satu nama yang baik, serupa dengan Imam Shafie."

"Memang hajat di hati biar dia jadi ulama besar," celah si ayah dengan wajah sedikit gusar.

Puak lelaki berbadan besar dan tegap bercakap sama sendiri. Berulang kali mereka menyebut perkataan "Imam Shafie" dan kata "Ulama" dengan kuat dan lantang.

Tidak pula diketahui kenapa kata-kata itu disebut kuat-kuat. Datuk pura-pura batuk.

Perbuatan datuk segera diketawakan oleh puak lelaki berbadan besar dan tegap. Malah beberapa orang dari mereka bersorak ke arah datuk sambil mencarut.

TEKAN

Datuk yang tertekan dengan keadaan tersebut, mula resah semacam. Wajah Pak Habib mula jadi sorotan mata datuk.

Terbukti lelaki berdarah Arab itu memang kurang senang dengan telatah puak lelaki berbadan besar dan tegap.

Kerlingan mata dari Pak Habib untuk datuk menghantar isyarat supaya datuk bersabar dan bertenang.

Berusaha mencari jalan bagi mengatasi masaalah yang dihadapi dengan penuh diplomasi.

Melihat datuk dan Pak Habib tidak memberikan sebarang tindak balas, puak yang diketua lelaki berbadan besar dan tegap, kian gamat bersorak.

Mulut mereka makin lancing menghamburkan maki nesta sesuka hati. Saya mula merasakan bahawa keselamatan diri memang tidak terjamin.

Ketika itu, saya tidak langsung memikirkan tentang diri Tajuddin. Apa yang saya fikirkan ialah bagaimana mahu melepaskan diri bila nyawa terancam.

Semasa saya mencari ruang untuk mencelah keluar lari dari kawasan tersebut, tanpa disangka-sangka saya terpandang wajah datuk.

Dari mimik wajahnya saya dapat menduga dan membuat kesimpulan dalam kalbunya terbuku rasa sebuah kemarahan yang amat sangat.

Bila-bila saja boleh meledak dan andainya meledak, sukar untuk saya gambarkan apa yang akan terjadi. Perbuatan anak buah lelaki berbadan besar dan tegap, memang membakar perasaan datuk.

"Syukur."

Itu yang terhambur dari mulut saya, bila melihat menegakkan jari hantunya ke arah Pak Habib. Dalam erti kata lain datuk akan melaksanakan pesan Pak Habib dengan sebaik mungkin.

"Biar saya bertanya dulu, kita mencari sesuatu yang baik. Perkara yang keruh kita jernihkan. Apa yang meragukan kita cari jalan penyelesaian," suara datuk bergetar keras.

Kata-kata itu datuk tujukan kepada lelaki berbadan besar dan tegap. Malangnya tidak mendapat tindak balas yang baik.

Tetapi lain pula reaksi yang diperlihatkan oleh pasangan suami isteri. Mereka setuju dengan apa yang datuk ungkapkan. Buktinya mereka anggukkan kepala.

"Setuju dengan saya?" Tanya Datuk.

"Setuju," jawap si isteri penuh yakin.

"Ah..." suara lelaki berbadan besar dan tegap menguasai keadaan sekitar.

Anak buahnya terus bertindak biadap. Beberapa orang dari mereka menerpa ke arah datuk sambil melompat dengan menghulurkan kaki ke arah muka datuk.

"Jawap."

Lantang sekali suara Pak Habib yang ditujukan untuk datuk.

Tanpa membalas kata-kata Pak Habib dengan pantas sekali datuk merentap batang kayu yang dipegang oleh salah seorang daripada anak buah lelaki berbadan besar dan tegap.

Suasana yang hiruk pikuk menjadi sepi. Semuanya terdiam kaku macam kena pukau.

Dalam suasan sunyi itu, datuk terus lambungkan batang kayu ke udara setinggi lima tingkat bangunan.

Semasa kayu itu berada di awang-awangan terdengar letupan, macam bunyi mercun. Saat batang kayu itu jatuh menjunam, datuk hulurkan tangan kirinya.

Bila batang kayu menghempap lengan kirinya terdengar bunyi 'kruummppp' yang amat kuat.

HANCUR

Semua yang berada di situ memalingkan muka ke arah lain. Pada hemat mereka lengan kiri datuk hancur patah sembilan dihempap batang kayu.

Mungkin juga datuk jatuh tersembam, menggelupur di bumi, macam ikan keli yang kepalanya kena hentak dengan batu besar. Bila bunyi krummmppp berakhir, mereka tidak mendengar jeritan atau keluhan dari datuk. Suasana terasa cukup sepi sekali.

Puak lelaki berbadan besar dan tegap menduga datuk sudah menemui ajalnya. Begitu juga dengan puak sepasang suami isteri. Perlahan-lahan mereka mengalihkan pandangan kea rah tempat datuk berdiri. Perlahan-lahan mereka membuka kelopak mata.

"Waaaaaahhhhhh."

Semuanya terkejut. Tidak percaya dengan apa yang mereka lihat. Datuk tidak mengalami sebarang kecederaan. Lengannya tidak patah, tidak luka.

Batang kayu hancur dan serpihannya bertaburan. Sepasang suami isteri dan pengikutnya mengucap panjang.

Lelaki berbadan besar dan tegap terpegun seketika macam patung batu.

Beberapa detik selanjutnya dia bertindak pantas macam kilat. Dia merejamkan kayu di tangan ke arah datuk. Barangkali dia mahu menguji kebolehan dan ketangkasan datuk bertindak.

Bagaikan harimau menerkam kambing dara, datuk menyambar kayu yang menjunam ke arah dadanya.

Kayu dibaling ke arah rumpun pisang yang berdekatan, menembusi batang pisang dan terus melekat disitu.

"Kalau awak semua mahu main kasar, saya juga boleh main kasar," nada suara datuk penuh dengan rasa amarah yang tinggi.

Muka yang tenang dan selamba segera bertukar garang serta geram. Bersedia untuk bertindak balas terhadap lelaki berbadan besar dan tegap.

"Ehhheeemmmmm... sahabatku. Allah suka pada orang yang sabar. Tidak bertindak mengikut perasaan," lembut suara Pak Habib menyentuh gegendang telinga datuk.

Secara sepontan Pak Habib mengingatkan datuk, bahawa kata-kata yang baru diucapkannya itu, ada unsur-unsur riak dan takbur.

Menyedari keterlanjurannya itu, datuk segera beristighfar beberapa kali. Seterusnya diam, tidak melakukan sesuatu.

Datuk pun berusaha menurunkan perasaan marahnya ke tahap paling normal.

"Maafkan saya," pekik datuk ke arah lelaki berbadan besar dan tegap.

Tiada reaksi yang memberangsangkan diterima oleh datuk.

"Maafkan," ulang datuk lagi.

Reaksinya tetap sama macam tadi juga. Tidak menerima maaf dari datuk.

Datuk tidak merasa tergugat dengan keadaan tersebut. Begitu juga dengan Pak Habib. Tetapi, saya tetap berdebar.

Satu keputusan yang drastik datuk lakukan. Dia seolah-olah melupakan kehadiran puak lelaki berbadan besar dan tegap.

Datuk tumpukan perhatian ke arah pasangan suami isteri. Begitu juga dengan Pak Habib. Pasangan suami isteri itu lebih jujur dan ikhlas.

Dari gerak geri, raut wajahnya dan gerak mata, ternyata pasangan suami isteri itu dihempap rasa takut dan cemas yang tidak bertepi, semangat mereka bagaikan lari jauh. Tidak tahu apa yang harus dilakukan.

Datuk segera melakukan sesuatu supaya semangat pasangan suami isteri kembali pilih. Boleh bertindak dan boleh berfikir. Saya lihat kelopak bibir datuk bergerak.

Saya yakin datuk sedang membaca beberapa potong ayat dari al-Quran untuk membasmi sihir dan kuasa syaitan. Muka pasangan suami isteri datuk hembus.

Memang ada perubahan rasa cemas dan takut di wajah pasangan suami isteri itu tidak ketara sangat.

Wajah mereka yang pucat, mula kelihatan merah. Sinar mata yang tadi nampak layu kelihatan bercahaya.

SEMANGAT

Disaat pasangan suami isteri itu mendapat semangat baru, puak yang diketuai oleh lelaki berbadan besar dan tegap sedikit demi sedikit bergerak arah ke selatan.

Mereka berusaha menjauhkan diri dari datuk, Pak Habib dan pasangan suami isteri.

Bila sampai dekat seketul batu besar mereka berhenti seketika di situ sambil berbincang sama sendiri.

Kemudian mereka bergerak lagi, kali ini kumpulan itu menuju ke arah lelaki berambut panjang yang terlentang di tanah. Mereka usung lelaki itu dekat pintu surau.

Memang ada percubaan untuk membawa lelaki yang diusung ke dalam surau. Tetapi, lelaki berbadan besar dan tegap menghalang.

"Pedulikan mereka."

Datuk renung muka sepasang suami isteri.

"Betul kata awak, kalau mereka dah sesat, kenapa kita mesti ikut sesat," Si suami mula berani bercakap.

"Pendapat yang tepat, ceritakan secara terperinci. Kalau boleh kami tolong, kami sedia membantu," cukup teratur dan tenang datuk bersuara.

"Percayalah, kami bukan dari golongan mereka. Mami bersedia menolong kamu semua, asalkan kamu berterus terang," secara mengejut sekali Pak Habib melibatkan diri.

Menanam rasa yakin terhadap pasangan suami isteri dan kumpulannya.

"Berterus teranglah," desak datuk.

Berputik dari kata-kata Pak Habib dan datuk membuat si isteri lebih pantas menguasai suasana.

Mulutnya lebih ligat melontarkan kata. Agak berbeza dengan suaminya yang agak pemalu menyingkap rahsia keluarga.

Mungkin kisah keluarga dianggapnya sebagai rahsia peribadi yang tidak boleh dilontarkan pada sebarang orang.

"Berterus terang saja pada kami, terangkan siapakah puak yangmendewa-dewakan anak kamu?" Pak Habib mendesak yang secara tidak langsung mengambil alih tugas datuk.

Barangkali Pak Habib berpendapat ini lebih berkesan dan cepat dari mengharapkan datuk seorang saja.

"Kami mahu dia jadi orang alim, kerana itu sebaik saja dia tamat sekolah rendah kami hantar dia masuk pesantren di Surabaya," si isteri mula membuka rahsia.

"Sampai tamat menuntut?" Pak Habib bertanya.

Tanpa diduga si suami memberikan aksi positif dengan menganggukkan kepala.

"Kemudian apa tindakan kamu selanjutnya," datang lagi pertanyaan dari Pak Habib. Tiada jawapan yang diterima.

"Kamu tak berusaha menambahkan ilmunya lagi?" dauk mencelah.

"Bila dah tamat pengajian dia balik ke kampoung," kelancaran dan kepetahan si isteri bercakap bagaikan terganggu. Perkataan yang diucapkannya keluar satu-satu.

KEGAGALAN

Akhirnya dia berhenti di situ. Suaminya minta dia menyambung cerita yang terputus. Usaha si suami menemui kegagalan.

Kerana menyedari isterinya mengalami tekanan perasaan yang cukup hebat, si suami minta bantuan beberapa orang wanita (dari puak pasangan suami isteri tersebut)supaya membawa isterinya ke satu sudut untuk diberikan rawatan ringkas.

Wanita malang itu dibawa ke bawah pokok mempelam lalu didudukkan di situ. Badan, kepalanya dipicit dan diberikan minuman.

Si suami yang pemalu dan perahsia diminta oleh datuk dan Pak Habib menyambung kisah yang terputus. Pujukan pertama gagal, kedua juga gagal, begitu juga dengan pujukan ketiga dan keempat.

"Kalau kamu macam ini, masih merahsiakan, kami tidak boleh membantu kamu dan anak kamu.

"Jika keadaan ini tidak diselamatkan hidup anak kamu binasa dan makin banyak orang yang rosak dan sesat kerananya," Pak Habib berterus terang.

"Fikirkanlah baik-baik, sebelum kami buat keputusan," kata datuk.

"Fikirkanlah dengan tenang," ulang Pak Habib.

Setelah termenung panjang lebih dari lima minit, akhirnya si suami yang pemalu dan perahsia menyahut kata-kata datuk dan Pak Habib.

"Semasa di kampong dia mengajar agama sukarela, saya dan isteri sudah mengumpulkan wang untuk menghantar dia belajar di Madinah.

"Dia dipelawa mengajar di sebuah pesantren. Jadi kami fikir, sementara menanti panggilan belajar di luar negeri apa salahnya dia jadi ustaz sementara. Dapat juga duit," dengan tulus si suami bercerita.

"Kesudahannya dapat anak kamu ke Madinah?" ternyata datuk kurang sabar.

"Dapat, dia diterima belajar di Univesiti Madinah. Malangnya atau memang sudah takdir nasib kami berdua," kata-katanya tidak dapat diteruskan.

Nafasnya secara mendadak turun naik dengan cepat sekali. Tercungap-cungap.

"Kenapa?" datuk bertanya cemas.

"Beri saya rehat sekejap," pintanya.

Pak Habib dan Datuk mengizinkan.

Lama juga si suami itu berehat. Bila perasaannya kermbali tenang, tanpa didesak dia terus bercerita.

"Lebih kurang dua minggu lagi mahu ke Madinah, masa itu semua keperluannya sudah sedia, tiba-tiba saja anak kami jatuh sakit ketika mengajar.

"Kerana dalam masa sihat jatuh sakit, macam-macam cerita kurang manis dikaitkan dengan anak kami. Kononnya anak kami dibuat orang (sihir) kerana dengki.

"Anak kami dikatakan diberi perhatian yang lebih oleh pengetua pesantren.

"Dijadikan anak emas berbanding dengan ustaz-uztaz dan ustazah yang lebih lama mengajar di situ," si suami malang berhenti bercerita.

Tamat Siri Bercakap Dengan Jin 253/284

BACA: SBDJ Siri 252: Pak Guru Masuk Parit
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-Sentiasapanas.com

Wednesday, March 04, 2026

Memahami Hadis Sebaik-baik Saf Wanita

Memahami Hadis Sebaik-baik Saf Wanita

Sering kali kita melihat satu pemandangan dikalangan jemaah wanita yang berpusu-pusu memenuhi bahagian belakang, sedangkan saf di hadapan dibiarkan lompang dan sepi.

Adakah kedudukan saf solat wanita ini sekadar budaya atau sememangnya tuntutan agama yang kita fahami secara literal tanpa melihat hikmah di sebaliknya?

Memahami Hadis Sebaik-baik Saf Wanita

Ketahuilah, memahami aturan saf solat wanita bukan sekadar soal kedudukan fizikal, malah ia adalah tentang meraih kesempurnaan pahala di sisi Allah SWT.

Sering kali timbul kekeliruan apabila jemaah bersandarkan kepada hadis Nabi SAW yang menyebut bahawa sebaik-baik saf bagi wanita adalah yang paling belakang.

Memang benar, Rasulullah SAW bersabda:

خَيْرُ صُفُوفِ الرِّجَالِ أَوَّلُهَا وَشَرُّهَا آخِرُهَا وَخَيْرُ صُفُوفِ النِّسَاءِ آخِرُهَا وَشَرُّهَا أَوَّلُهَا

Maksudnya, "Sebaik-baik saf bagi lelaki adalah saf yang terawal dan seburuk-buruk saf bagi lelaki adalah yang terakhir, manakala sebaik-baik saf bagi wanita adalah saf yang terakhir dan seburuk-buruk saf bagi wanita adalah saf yang terawal." (Riwayat Muslim)

Namun, Imam al-Nawawi menjelaskan bahawa kaedah ini terpakai apabila tiada pemisah (tabir atau dinding) antara lelaki dan wanita.

Dalam konteks masjid moden hari ini, saf solat wanita biasanya mempunyai ruang khas atau penghalang yang jelas.

KEUTAMAAN SAF SOLAT WANITA DI HADAPAN

Jika terdapat tabir, tirai, atau dinding yang melindungi pandangan, maka hukum saf solat wanita berubah menjadi sama seperti lelaki.

Dalam keadaan ini, memenuhi saf yang paling hadapan adalah lebih utama.

Mengapa? Kerana tujuan asal diletakkan wanita di belakang adalah untuk mengelakkan fitnah dan percampuran.

Apabila sudah ada penghalang, maka berebutlah untuk berada di saf hadapan demi mengejar fadilat yang lebih besar.

ADAB DAN KESEMPURNAAN SAF SOLAT WANITA

Menjaga saf solat wanita juga merangkumi adab-adab berikut bagi memastikan ibadah kita diterima sepenuhnya:

Penuhkan Saf Hadapan Dahulu:

Jangan biarkan ruang kosong di depan sehingga menyusahkan orang yang baru masuk terpaksa melangkah jemaah lain.

Merapatkan Saf:

Pastikan bahu bertemu bahu dan tumit sejajar dengan garisan saf. Saf solat wanita yang rapat dapat menghalang gangguan syaitan yang cuba memecahbelahkan khusyuk kita.

Memberi Ruang Kepada Jemaah Baru:

Jika anda melihat ada jemaah yang baru tiba sedang mencari ruang di hadapan, berikan laluan dengan berhemah.

Janganlah kita "memonopoli" ruang sehingga menyukarkan orang lain untuk menyempurnakan saf solat wanita di bahagian hadapan.

KEKELIRUAN TENTANG ISTILAH "SEBURUK-BURUK SAF"

Mungkin ada yang merasa bimbang jika berada di hadapan mereka termasuk dalam golongan "seburuk-buruk saf." 

Perlu difahami, istilah ini bukan bermaksud pelakunya jahat, tetapi ia merujuk kepada jumlah pahala yang diperoleh.

Dalam menentukan kedudukan saf solat wanita, ketiadaan fitnah adalah kayu ukur utama.

Jika ruang solat anda tertutup rapi daripada pandangan lelaki ajnabi, maka saf hadapan adalah "syurga" pahala buat anda.

UTAMAKAN TERTIB DALAM IBADAH

Sebagai kesimpulan, marilah kita perbetulkan amalan kita.

Jika masjid atau surau anda mempunyai tirai yang lengkap, penuhkanlah saf hadapan terlebih dahulu.

Janganlah kerana salah faham, kita membiarkan saf solat wanita menjadi tidak teratur.

Sesungguhnya, Allah mencintai hamba-Nya yang melakukan sesuatu perkara dengan penuh ihsan dan tertib.

Semoga Ramadan kali ini menjadikan solat berjemaah kita lebih sempurna dan diredhai-Nya.

Wallahu a'lam.

-Sentiasapanas.com

Tuesday, March 03, 2026

SBDJ Siri 252: Pak Guru Masuk Parit

SBDJ Siri 252: Pak Guru Masuk Parit

Datuk terkejut dengan kejadian yang tidak diduga itu, duduk tersandar didinding. Pak Habib masih berdiri disisi tubuh lelaki berambut panjang yang tergolek di tanah. Bila datuk merasakan denyut jantung kembali normal, dia segera bangun seraya menghulurkan tangan pada Pak Habib. Dan Pak Habib menyambutnya dengan penuh kehangatan.

SBDJ Siri 252: Pak Guru Masuk Parit

"Nampaknya, bila terdesak baru dimanfaatkan kebolehan yang ada. Kalau tidak, ilmu yang ada disembunyikan dari kita," datuk bersuara.

"Semuanya yang saya buat ini untuk sahabat."

"Saya tahu, terma kasih," bibir datuk menguntum senyum.

"Hummmmmm..."

Lelaki berambut panjang masih terkapar di tanah, dipanah sinar matahari yang menyengat. Saya dan Tajuddin segera keluar dari tempat persembunyian. Kehadiran kami di sisi datuk dan Pak Habib disambut dengan senyum sinis.

"Ambil parang dekat tangannya."

Pak Habib menuding, jari ke arah Tajuddin menyuruh mengambil parang panjang yang berada dalam jarak sekaki dari tubuh lelaki berambut panjang.

Sudah tentu arahan itu satu penyiksaan buat Tajuddin dan amat berat untuk dilaksanakan.

Siapa tahu lelaki berambut panjang itu berpura-pura pengsan atau mati. Bila ada orang mendekatinya, dia terus bertindak ganas.

Siapa boleh menduga yang tindakannya itu tidak mencederakan atau membawa maut pada seseorang.

"Pergi ambil parang tu, tak mengapa aku ada di sini."

Satu jaminan yag kukuh dari datuk untuk Tajuddin. Tetapi, Tajuddin masih belum bergerak. Dadanya terus digayut seribu persoalan.

"Jangan buang masa, nanti kita yang rugi."

Lembut sekali datuk mendesak. Tajuddin masih tidak bergerak di sisi saya.

"Apa yang dia cakap tu memang betul Tajuddin."

Pak Habib menyokong datuk. Dan Tajuddin kalah atau tidak mampu berdalih atau memberikan sebarang alasan,

SEKELIP MATA

Antara keberanian bersalutkan ketakutan, Tajudin pun bergerak dengan pantas ke arah yang dimaksudkan. Dalam sekelip mata saja parang panjang sudah berada dalam genggamannya.

Sebuah senyuman kepuasan dihadiahkan oleh Tajuddin untuk Pak Habib dan datuk, sudah tentu saya tidak dikecualikan.

Dalam saat yang sama juga, sekujur tubuh lelaki berambut panjang ang tadi kejang kaku mula bergerak lemah.

Sepasang ibu kakinya seperti tersentak-sentak, macam ayam yang disembelih hampir habis nyawa. Kelopak matanya mula pejam celek. Semuanya itu tidak disedari oleh Tajuddin.

"Tajuddin berjaga-jaga," kata datuk.

Tajuddin masih dengan senyumnya. Manakala lelaki berambut panjang yang terbaring dekat kakinya makin aktif menggerakkan anggota tubuh.

"Hati- hati Tajuddin," ulang datuk.

"Kenapa?" Dengan pantas Tajuddn bertanya semula kepada datuk.

Pak Habib gelengkan kepala melihat kelemahan Tajuddin yang tidak mahu mengawasi keadaan sekitarnya.

"Orang dekat kaki kamu," jerit saya.

Tajuddin segera merenung lelaki berambut panjang yang semakin rancak menggerakkan anggota kaki dan tangannya. Air muka Tajuddin segera berubah menjadi cemas semacam.

"Jangan kelam kabut, bertenang," Pak Habib mengingatkan Tajuddin.

"Serahkan parang pada aku," pinta datuk.

Tajuddin segera mencampakkan parang panjang ke arah datuk dan Pak Habib. Bagaikan pahlawan KUNG FU datuk melompat lalu menyambar hulu parang panjang.

Bila lelaki berambut panjang mula duduk, Tajuddin angkat kaki memulakan langkah seribu menuju ke arah datuk dan Pak Habib. Saya ketawa kecil melihat karakternya.

TERUS

Lelaki berambut panjang terus berdiri lalu membuka langkah yang pada hemat saya bukannya langkah silat, tetapi gerakan memanaskan badan dan menggerakkan urat.

Bila gerakan itu berhenti, lelaki berambut panjang menghalakan pandangan ke arah kami berempat.

Muka kami berempat ditatapnya stau persatu. Macam harimau lapar merenung mangsanya. Saya jadi resah, tidak mampu melihat biji mata lelaki itu yang saya rasakan seperti memancar satu sinar yang sungguh tajam.

Apa yang ditunjukkannya seperti menyatakan perasaan marahnya yang amat sangat terhadap kami.

"Bagaimana? Perlukah kita menangkapnya," Tajuddin ajukan pertanyaaan pada datuk.

"Tanya ayah saudara kamu," balas datuk.

"Kita nasihati dan tanya, macammana dia boleh jadi begini," Pak Habib menunjukkan jalan penyelesaian.

"Saya pun fikir begitu," sokong datuk.

Dalam buat mencari keputusan sebulat suara lelaki berambut panjang melakukan sesuatu yang diluar dugaan kami.

Dia melaungkan perkataan Allahu Akbar dengan lantang dan kuat.

Susah tentu kami tercengang cengang dan mencari punca kenapa dia berbuat demikian. Tanpa disedari dia sudah berada di belakang Pak Habib. Cukup pantas dia bergerak.

Belum pun sempat datuk memberitahu Pak Habib supaya bersedia menghadapi sebarang kemungkinan lelaki berambut panjang lebih dahulu bertindak dengan melompat tinggi untuk melepaskan 'flying kick' ke arah Pak Habib.

Tetapi yang peliknya Pak Habib tidak mempertahankan diri atau mengelak. Dia tidak berganjak dari tempatnya berdiri.

Ironisnya lelaki berambut panjang itu yang tercampak jauh hampir-hampir jatuh atas permukaan longkang surau. Datuk semakin kagum dengan kebolehan Pak Habib yang dibuka sedikit demi sedikit.

Suasana di halaman surau menjadi kelam kabut. Beberapa orang lelaki dan wanita muncul dari arah belakang surau.

"Siapa mereka?" Tanya datuk pada Tajuddin.

"Tak tahu."

"Kaum keluarga sahabat atau orang dalam kampung ini?" Datuk minta kepastian.

"Bukan, mereka datang dari tempat lain, jangan ganggu tengok saja apa yang mereka nak buat," Kata Pak Habib. Kami pun segera akur dengan permintaan itu.

Kumpulan sekitar tujuh orang (empat lelaki dan tiga wanita) terus menyerbu ke arah lelaki berambut panjang yang mereka panggil sebagai PAK GURU.

Ramai-ramai mereka mengusung lelaki yang kelihatan menanggung sakit akibat terjatuh. Beberapa orang daripada mereka mengosok gosok badan lelaki berambut panjang.

Salah seorang daripada mereka dengan sepotong kayu datang ke arah kami.

"Kamu semua durhaka, aniaya Pak Guru."

Kami berempat tidak menjawab.

Orang yang naik darah lalu memanggil seorang kawannya yang berbadan besar dan tegap (juga membawa sepotong kayu keras).

Sikawan yang dipanggil nampak garang sekali. Tidak mahu bertolak ansur. Kalau tidak disabarkan oleh kawannya yang memanggil, sudah pasti kepala Tajuddin terbelah dua kena hentak sepotong kayu keras.

"Kamu semua tak berhati perut menyiksa orang yang menyeru ke jalan Tuhan. Perbuatann kamu akan menerima hukuman di dunia pembalasan," tambah orang tadi.

Kami berempat terus membisu, tidak memberikan sebarang reaksi. Terbukti, perbuatan kami melukakan hati orang yang berbadan tegap.

Dia hilang sabar lalu menghayunkan kayu di tangan ke leher datuk. Di saat kayu mahu dihayun terdengar suara jeritan wanita dan lelaki. Seluruh perhatian tertumpu ke arah sura tersebut.

PANJANG

Seorang wanita dan seorang lelaki dalam lingkungan usia 64 tahun, berlari ke arah kumpulan orang yang merawat lelaki berambut panjang.

Kedua-dua orang tersebut terus memaki hamun kumpulan yang sedang menhurungi si rambut panjang yang dipanggil PAK GURU.

Dua lelaki yang berdiri di hadapan kami segera beredar. Mereka bergabung dengan kawan-kawan mereka yang sedang merawat 'PAK GURU'.

Setiap perkembangan yang terjadi, kami ikuti dengan penuh minat, penuh teliti.

Secara mendadak sahaja kumpulan yang memanggil lelaki berambut panjang sebagai Pak Guru berpecah dua. Manakala pihak yang lagi satu berada di pihak lelaki dan wanita yang berusia 64 tahun.

Sementara Pak Guru terbaring di tanah. Kedua-dua pihak tersebut saling tuduh menuduh antara satu sama lain.

"Eh dari mana mereka datang?" Saya bersuara cemas.

Berbelas orang lelaki dan perempuan termasuk beberapa orang kanak-kanak muncul dari arah belakang surau. Kumpulan yang baru muncul itu bergabung dengan puak yang diketuai lelaki berbadan besar dan tegap.

Puak yang diterajui oleh lelaki dan wanita berusia 64 tahun mempunyai jumlah yang amat kecil, tidak lebih dari sepuluh orang. Mereka terus bertengkar dan bertengkar.

"Mereka datang dari mana Pak Habib," Saya memberanikan diri bertanya.

"Tak tahu," balas Pak Habib.

"Tak ada seorang pun yang Pak Habib kenal?"

Pak Habib anggukkan kepala. Datuk segera menegur saya, kerana terlalu banyak mengajukan pertanyaan.

Pada hemat datuk, perbuatan itu boleh mengganggu tumpuan perhatian Pak Habib dan datuk dalam mengawasi kumpulan yang bertelagah.

Dua kumpulan tersebut terus bertengkar hingga sampai ke peringkat yang teruk. Mereka mula mengeluarkan kata-kata kesat.

Masing-masing mahu menghalalkan apa yang mereka lakukan adalah betul dan benar.

Puncak dari maki hamun dan pertengkaran, mereka sudah bersedia untuk beradu kekuatan. Pak Guru yang terkapar tidak dipedulikan.

Sebelum keadaan menjadi lebih teruk, Pak Habib mengajak kami mendekati dua kumpulan yang sedang bertelagah.

Memang mencemaskan bila Pak Habib berdiri ditengah-tengah dua kumpulan yang bergaduh. Kehadiran Pak Habib membuat dua kumpulan itu terkejut dan terdiam seketika.

Pada saat-saat berikutnya adalah saat yang penuh debar dan mencemaskan. Kedua-dua belah puak mahu memukul Pak Habib yang berada di tengah-tengah mereka.

Meski pun keselamatannya terancam, Pak Habib masih bertenang. Secara tidak langsung menggambarkan kewibawaan orang yang berhemah tinggi.

Sebelum meninggalkan kami, Pak Habib mengarahkan saya dan Tajuddin berada agak jauh dari kumpulan yang bertelagah.

Datuk pula diarahkan supaya berada atau berdiri selari dengan Pak Habib diluar kumpulan terbabit. Tujuannya bila tercetus perkara yang tidak diingini mudah bagi saya dan Tajuddin mengawal dua kumpulan itu.

Datuk yang diarahkan sentiasa berada selari dimana Pak Habib berdiri, matlamatnya supaya mudah memecahkan benteng dua kumpulan untuk masuk ke tengah bagi menyelamatkan Pak Habib. Semuanya sudah diatur dan disusun dengan rapi.

"Hai dengar disini."

Lantang suara Pak Habib. Hujung serbannya diraba dan dipulas berkali-kali dalam sinar matahari yang kian keras.

Tindakan Pak Habib membuat dua kumpulan yang mahu menghukum dan mencederakannya tersentak dan terkejut. Tanpa arahan, dua kumpulan yang bertelagah undur dua tapak ke belakang.

"Siapa yang terbaring ni?" Tanya Pak Habib.

"Dia anak kami," jawab lelaki usia 64 tahun.

"Iya tuan, dia anak kami," sahut wanita disebelah lelaki usia 64.

DIALOG

Lelaki berbadan besar dan tegap bersama kumpulannya yang mendengar dialog antara Pak Habib dengan pasangan suami isteri segera geleng-gelengkan kepala. Terdengar suara memperlekehkan kehadiran Pak Habib.

Salah seorang dari anggota puak tersebut menerpa ke arah Pak Habib dan bersedia menghayun sebatang kayu ke sebelah kanan kepala Pak Habib.

"Jangan begitu, saya cuma bertanya," lembut suara Pak Habib.

Secara mengejut kayu ditanan orang itu terlucut dan dia terus jatuh, bagaikan sendi lututnya lemah sekali. Tidak mampu menahan tubuhnya.

Orang itu merangkak perlahan-lahan menuju ke arah Pak Guru yang terbaring. Semua anggota puak lelaki berbadan besar dan tegap tidak melakukan sesuatu.

Mereka bagaikan terpukau dan tenggelam punca melihat kejadian yang berlaku di depan mata.

Dalam saat mereka terpinga itu, Pak Habib menggunakan kesempatan itu dengan sebaik mungkin.

"Apa hubungan kamu dengan Pak Guru?"

Itu yang Pak Habib ajukan kepada lelaki berbadan besar dan tegap. Buat beberapa saat lelaki itu terdiam tunduk.

Setelah beberapa saat berlalu baru dia angkat muka merenung kawan-kawannya meminta bantuan.

Dengan menggunakan isyarat mata, kawan-kawannya memberi laluan untuk menjawab pertanyaan tersebut.

"Dia guru kami, dia banyak mengajar hukum agama pada kami, dia pandai mengubat semua jenis penyakit.

"Orangnya kebal tak lut senjata apa jenis pun.

"Boleh menentukan nasib kami, boleh berhubung dengan sahabat-sahabat nabi dan bertanya bila tarikh kami mati.

"Dia guru kami," kata lelaki berbadan tegap.

"Hebatnya dia," keluh Pak Habib.

"Pak Guru kami memang hebat, dia boleh mencari harta karun dan emas dalam tanah," sambung lelaki berbadan besar dengan rasa bangga.

"Dia mengajar kamu rukun Islam dan Iman?" Tanya Pak habib lagi.

"Iya."

"Apa yang diajarnya?"

"Macam biasa, rukun Islam lima perkara."

"Apa dia?"

"Pak Guru terima wahyu dari langit, mengucap dua kalimah syahadat tak perlu, memadai dengan selawat. Sembahyang hanya seminggu sekali, pada setiap hari Isnin," lelaki berbadan tegap berhenti sebentar.

Kerana dia kelihatan seperti keberatan mahu meneruskan percakapan, Pak Habib terus mendesak.

"Lagi apa kayanya?"

"Puasa hanya sehari di bulan Ramadan, bukan sebulan. Puasa sebulan penuh tak betul. Anak muridnya boleh memilih mana-mana hari untuk berpuasa sehari dalam bulan Ramadan."

"Macam mana dengan zakat?" Tanya Pak Habib.

"Zakat tak perlu, ke Makkah juga tak perlu, anak muridnya boleh mengambil haji dengan keluar dari kampung sendiri, pergi ke mana-mana dalam jarak 100 batu selama sebulan, bila balik orang itu sudah haji dan boleh pakai serban. Jadi kenapa kamu aniaya guru kami yang menunjukkan jalan yang betul."

Pak Habib menarik nafas panjang. Kemudian meminta pada orang yang berbadan besar dan tegap menyuruh pengikutnya duduk atas tanah. Permintaan Pak Habib di penuhi.

Pak Habib juga memberitahu mereka yang dia mahu menyoal pasangan suami isteri 64 tahun.

Kumpulan atau puak lelaki berbadan besar mengizinkan, asalkan Pak Habib tidak membenarkan pasangan tersebut mengambil Pak Guru yang mengerang kesakitan.

Pak Habib berjanji memenuhi permintaan mereka.

Tamat Siri Bercakap Dengan Jin 252/284

BACA: SBDJ Siri 251: Rebah Di Pintu Surau
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-Sentiasapanas.com

Thursday, February 26, 2026

Al-Malhamah Al-Kubra Dan Keruntuhan Epik Kuasa Barat

Al-Malhamah Al-Kubra Dan Keruntuhan Epik Kuasa Barat

Apabila kita melihat keangkuhan rejim Zionis Israel membantai nyawa insan yang tidak bersalah setiap hari, dada kita pasti akan berasa sesak dan teramat marah.

Kita melihat bagaimana kuasa besar Barat dengan megahnya terus membekalkan senjata pemusnah tanpa sebarang rasa bersalah, tanpa rasa perikemanusiaan.

Al-Malhamah Al-Kubra

Mereka bertindak sangat rakus seolah-olah mereka adalah tuhan yang memegang kuasa mutlak ke atas dunia dan mustahil untuk dikalahkan oleh sesiapa pun.

Namun begitu, para penganalisis geopolitik dunia pada hari ini sedang rancak meramalkan ketegangan di Timur Tengah ini bakal mencetuskan Perang Dunia Ketiga.

Sama ada krisis ini sekadar Perang Dunia Ketiga mengikut takrifan moden ataupun ia adalah mukadimah kepada perang akhir zaman, hanya Allah SWT yang Maha Mengetahui.

Tetapi hakikatnya, jauh sebelum pakar Barat membuat sebarang ramalan politik, Islam telah pun memberikan amaran mutlak tentang sebuah pertempuran berskala global.

Peperangan epik ini melangkaui dimensi politik biasa dan ia dikenali dengan nama yang jauh lebih menggerunkan.

Al-Malhamah Al-Kubra bermaksud peperangan yang teramat besar, berdarah dan menjadi titik penentuan nasib umat manusia di akhir zaman.

Peperangan ini tidak akan meletus di bumi Eropah atau di benua Amerika, sebaliknya ia akan berpusat tepat di wilayah Syam iaitu kawasan sekitar Syria pada hari ini.

Pakatan Bermula

Menurut riwayat hadis sahih yang ditinggalkan oleh baginda Nabi Muhammad SAW, keruntuhan kuasa besar dunia ini akan bermula dengan satu siri pakatan tentera.

Umat Islam kelak akan terpaksa mengadakan perjanjian damai dan berpakat dengan bangsa 'Rum'.

Sebahagian besar ulama menafsirkan bangsa Rum pada akhir zaman ini merujuk kepada bangsa Eropah, blok Barat atau kuasa besar penganut Kristian Ortodoks.

Pakatan tentera gabungan Islam dan Rum ini akan pergi berperang menentang satu musuh bersama yang sangat kuat dan mereka akhirnya berjaya meraih kemenangan besar.

Bayangkan situasi selepas kemenangan tersebut. Tentera gabungan ini berehat di sebuah padang yang luas dan pada waktu itulah satu provokasi yang sangat biadab akan berlaku.

Seorang lelaki daripada bangsa Rum tiba-tiba bangun dan mengangkat lambang salib tinggi-tinggi sambil menjerit gembira.

Dia dengan angkuhnya melaungkan bahawa salib telah menang dan kejayaan itu adalah milik mereka sepenuhnya.

Melihat kebiadaban tersebut, seorang pemuda Islam yang penuh dengan semangat keimanan akan bangun lalu memukul lelaki Rum berkenaan.

Bermula daripada detik pukulan itulah, perjanjian damai antara Islam dan kuasa Barat akan terbatal dan hancur berkecai.

Pengkhianatan

Bangsa Rum akan menganggap ia sebagai satu pengisytiharan perang.

Mereka akan melakukan pengkhianatan secara besar-besaran dan mula mengumpulkan satu ketumbukan tentera global yang tidak pernah disaksikan oleh sejarah manusia.

Hadis merakamkan bahawa kuasa Rum akan datang menyerang umat Islam di bawah lapan puluh panji atau lapan puluh bendera negara gabungan.

Di bawah setiap satu bendera itu, akan ada dua belas ribu orang tentera yang bersenjata lengkap.

Jika dikira secara matematik, jumlah tentera musuh yang akan mengepung umat Islam kelak hampir mencecah sejuta orang!

Mereka akan berhimpun dan berkhemah di sebuah kawasan yang bernama Dabiq atau Al-A'maq yang terletak di wilayah Syria hari ini.

Melihat tentera musuh yang datang ibarat lautan yang tidak bertepi itu, umat Islam tidak akan berundur walaupun setapak.

Sebuah pasukan tentera elit Islam yang terdiri daripada pemuda-pemuda terbaik di atas muka bumi akan dikerah dari kota Madinah untuk menuju ke Syam.

Pertempuran Bermula

Pertempuran Al-Malhamah Al-Kubra ini akan berlangsung selama berhari-hari lamanya dengan tahap keganasan yang sangat mengerikan.

Dikatakan bahawa burung yang terbang melintasi medan pertempuran itu akan jatuh mati ke bumi akibat terhidu bau darah dan debu yang terlalu pekat.

Pada hari pertama, kedua-dua belah pihak akan berlawan habis-habisan sehingga malam melabuhkan tirai tanpa ada pihak yang menang.

Satu pertiga daripada tentera Islam akan bertindak melarikan diri dari medan perang dan Allah SWT tidak akan menerima taubat mereka buat selama-lamanya.

Satu pertiga lagi tentera Islam akan gugur sebagai syuhada yang paling agung di sisi Tuhan.

Manakala satu pertiga yang terakhir inilah yang akan terus kekal bertahan dengan semangat juang yang tidak kenal erti takut.

Pada hari keempat pertempuran, sisa-sisa tentera Islam yang masih hidup akan bergabung tenaga untuk melancarkan serangan akhir yang paling dahsyat.

Pada waktu inilah Allah SWT akan menurunkan bantuan dan memenangkan umat Islam.

Kuasa Barat Di Hancurkan

Pakatan tentera kuasa besar Barat yang berjumlah hampir sejuta orang itu akan dimusnahkan dan dihancurkan sehina-hinanya di bumi Syam.

Keruntuhan epik kuasa Rum dalam pertempuran ini sangat total, sehinggakan jika ada seratus orang ahli keluarga yang pergi berperang, hanya seorang sahaja yang akan pulang bernyawa.

Begitulah hebatnya perancangan Tuhan dalam menamatkan keangkuhan kuasa besar yang selama ini merosakkan dunia.

Namun, kemenangan umat Islam ini hanyalah permulaan kepada satu ujian yang jauh lebih gelap.

Tidak lama selepas kejayaan besar di Al-Malhamah Al-Kubra, laungan amaran akan bergema di seluruh dunia menandakan musuh nombor satu manusia iaitu Dajjal telah pun melepaskan diri.

Kisah pertempuran akhir zaman ini bukanlah sekadar cerita saspens untuk menyedapkan telinga.

Ia adalah amaran keras bahawa hegemoni kuasa Barat dan kekejaman rejim Isbiol pada hari ini tidak akan kekal lama.

Mereka sedang menggali kubur mereka sendiri dan sedang berjalan laju menuju ke arah takdir keruntuhan yang telah disabdakan oleh baginda Nabi Muhammad SAW.

Persoalannya, di manakah kedudukan kita dan keluarga kita apabila fitnah besar ini mula membadai dunia kelak?

Adakah iman kita cukup kuat untuk menjadi sebahagian daripada tentera yang bertahan atau kita akan menjadi golongan yang lari ketakutan?

Fikir-fikirkanlah.

Fb: Mazlan Syafie

Wallahu a'lam.

-Sentiasapanas.com