Wednesday, January 21, 2026

SBDJ Siri 236: Mangsa Raja Sihir

SBDJ Siri 236: Mangsa Raja Sihir

Buat beberapa detik terasa cemas. Kuku di hujung di kelingking terus digigit. Bermacam-macam perkara buruk bermain di kepala. Semuanya berkisar tentang hal diri. Apakah kami boleh melepaskan diri dari dikuasai lelaki berdarah dahi. Apakah selepas ini masih ada perkelahian yang tidak diminta?

Mangsa Raja Sihir

"Perkara itu berlaku waktu malam?"

Saya kira, si pemandu sengaja mengemukakan pertanyaan demikian untuk memancing rahsia. Lelaki berdarah dahi masuk perangkap. Pertanyaan itu membuat dia termenung seketika. Macam ada sesuatu yang difikirkannya.

"Iya, betul," jawab lelaki berdarah dahi.

"Perkara itu terjadi di depan mata kamu?"

"Iya," lelaki berdarah dahi anggukkan kepala.

Si pemandu menarik nafas dalam-dalam. Kemudian berdehem beberapa kali sambil menjeling ke arah saya. Semasa mengalihkan pandangan merenung ke arah kawasan yang ditumbuhi pepohon renek, renungan kami bertembung.

Tanpa disengajakan, masing-masing melepaskan senyum yang dibalut keraguan terhadap lelaki berdarah dahi.

"Kamu kagum dengan kebolehan mereka?"

"Iya," angguk lelaki berdarah dahi.

"Seterusnya, kamu berjinak-jinak dengan mereka untuk menuntut ilmu harimau jadi-jadian," si pemandu terus bertanya.

"Betul," lelaki berdarah dahi mengaku macam orang bodoh.

"Kamu tahu, orang itu boleh menjadi harimau pada waktu malam, waktu siang ilmu itu tidak menjadi."

"Tak tahu," berkali-kali lelaki berdarah dahi gelengkan kepala.

Dia macam terkejut.

"Orang tu tak beritahu kamu?"

Lelaki berdarah dahi gelengkan kepala.

"Ertinya, kamu belajar ilmu setengah tiang," si pemandu terus memperkecilkan lelaki berdarah dahi.

Saya ketawa dan sikap saya itu memang tidak disenangi oleh lelaki berdarah dahi. Rasa marah dan geram dilahirkannya dengan satu jelingan yang tajam.

JELING

Menyedari kesalahan itu, saya segera menundukkan kepala. Merenung rerumput di kaki. Tidak berani menentang sinar matanya yang tajam penuh dengan api kemarahan.

Dengan ekor mata saya menjeling ke arah lelaki berdarah dahi. Dia masih marah. Jalan tengah segera diambil. Wajahnya saya tatap bersama senyum persahabatan dan kemaafan. Niat baik dipersendakan. Sungguh menyakitkan hati. Dia menjuihkan bibir ke arah saya.

"Eh..." Si pemandu memetik jarinya ke arah lelaki berdarah dahi. Satu perbuatan yang memang tidak disenangi.

Nasib baik lelaki berdarah dahi tidak menunjukkan tindak balas agresif. Kalau tidak, perkelahian yang padam akan kembali menyala.

"Kau nak cakap apa?" Tiba-tiba saja lelaki berdarah dahi menyergah si pemandu.

"Kamu tahu, ilmu dua lelaki yang boleh menjadi harimau itu tak mampan buat Tuan Syed. Dia boleh mengatasi kebolehan mereka," kata si pemandu.

Saya tidak tahu, apakah cakap itu benar atau sekadar memperdayakan lelaki berdarah dahi tadi. Tetapi apa yang pasti, setelah mendengar si pemandu, lelaki berdarah dahi terus kerutkan dahi.

LANGIT

Dua tiga kali dia renung ke dada langit, melihat gumpalan awan yang bergerak perlahan ke arah laut. Sesekali merapatkan sepasang kelopak matanya dari dimasuki debu yang dibawa angin petang yang bertiup agak kencang.

"Kamu jangan cuba mempermainkan aku," secara mendadak lelaki berdarah dahi bersuara separuh menjerit. Mungkin dia berbuat demikian kerana mahu menutup kelemahan dirinya.

"Terpulanglah pada kamu, sama ada mahu percaya atau tidak," satu jawapan tegas.

Lelaki berdarah dahi menggosok pangkal hidungnya dua tiga kali. Kemudian dia menggelengkan kepala.

"Mustahil Tuan Syed mempunyai ilmu setinggi itu."

"Terpulang," balas si pemandu.

Saya semakin bertambah bingung menghadapi suasana yang dikira serba tidak kena. Kenapa mesti banyak bercakap daripada bertindak, fikir saya dalam hati.

Muka si pemandu saya renung. Mata pun saya kenyitkan. Maksudnya saya mahu dia bertindak lebih pantas menyelesaikan masalah yang sedang dihadapi. Si pemandu mengerti keinginan saya.

"Tamar, kamu sayang datuk kamu?" muncul pertanyaan dari si pemandu yang nampaknya resah.

"Kamu jangan bergurau."

"Aku tak bergurau, kalau kamu sayang ikut aku. Jangan banyak berdalih, mari kita bantu dia bersama Tuan Syed," Si pemandu minta sebuah kepastian.

Saya tiada pilihan lain, mesti patuh dengan ajakkannya. Saya kira lelaki berdarah dahi juga tidak dapat menolak.

Dia terpaksa menolong si pemandu yang satu merga dengannya. Malah kawan seperguruan semasa menuntut di Kasiran Sumatera Utara satu ketika dulu.

"Apa yang ditunggu lagi Tamar, mari."

"Ayuh," saya menjawab.

Dan kami pun melangkah serentak dengan pantas sekali.

"Aku ikut sama," jerit lelaki berdarah dahi.

Dia yang ketinggalan beberapa langkah di belakang mempercepatkan langkahnya hingga menyamai langkah di pemandu dan saya. Tetapi, apa yang dirasakan sungguh ganjil. Macam ada sesuatu yang tidak betul.

Si pemandu yang menjadi kepala jalan seperti kehilangan arah. Rasanya, sudah jauh benar berjalan hingga seluruh tubuh berpeluh. Tetapi, bila menoleh ke belakang batu besar masih dekat dengan kami.

PELUH

Dalam erti kata lain, langkah kami tidak ke mana-mana. Masih berlegar-legar sekitar batu besar. Pada hal kami bertiga terasa amat penat sekali. Peluh yang keluar, usah dikira, kalau dikumpulkan hampir setengah baldi.

"Kita berhenti, aku penat," dalam keadaan tercungap-cungap saya memberitahu si pemandu. Keluhan itu disokong oleh lelaki berdarah dahi.

Dan si pemandu terus simpati, langkah perjalanan segera dimatikan. Kami bertiga tersadai dan terbaring atas rumput di kawasan lapang merehatkan diri dari kepenatan.

"Tamar,"

"Iya, kenapa?"

Dalam kepenatan yang belum berakhir itu, maka si pemandu saya renung. Dia nampak keletihan sekali. Nafasnya tercungap-cungap. Sedangkan lelaki berdarah dahi dengan tenang mendepangkan sepasang tangannya atas rumput.

"Aku rasa kita diperdayakan orang Tamar."

"Boleh jadi," balas saya.

Si pemandu terus mengesat peluh yang mengalir di kiri kanan keningnya dengan telapak tangan. Buat seketika, tidak ada komentar yang lahir dari mulut lelaki berdarah dahi.

Suasana hari terus beranjak ke petang. Dalam tempoh beberapa jam lagi, matahari pasti jatuh di kaki langit.

Dan dewi senja mengambil alih tugas dari matahari. Kalau suasana hari sudah didatang berbunga senja, segala-galanya akan menjadi sukar.

SUASANA

Usaha mencari datuk dan Syed Hamid Al-Hadad akan menjadi bertambah sulit. Satu perbincangan kecil segera diadakan antara saya dengan si pemandu. Lelaki berdarah dahi hanya mendengar saja.

Akhirnya, kami mengambil keputusan untuk kembali semula ke arah batu besar, tempat di mana kami mula bertolak tadi.

Sambil menyandarkan badan ke batu besar, langit yang terbentang luas menjadi habuan mata. Keluang dan bangau terbang tinggi bagaikan berlumba-lumba di awan.

Suara agak liar jelas kedengaran. Bunyi deru kenderaan yang lalu di jalanraya di balik terus menyumbat lubang telinga.

"Bagaimana semuanya ini boleh berlaku?" terhambur pertanyaan dari kelopak bibir.

Muka si pemandu saya renung. Dan si pemandu pula merenung muka lelaki berdarah dahi. Pokoknya, wajah kami terus dibalut keresahan. Terus diselubungi kecemasan dan ketakutan.

"Kita disihir," terpancut kata dari sepasang bibir tebal lelaki berdarah dahi.

"Kenapa kamu cakap macam tu?" Soal si pemandu sambil melagakan gigi atas dengan gigi bawah berkali-kali. Tiada daya dia menyembunyikan rasa marah dan geram.

Tiada jawapan yang diberikan oleh lelaki berdarah dahi. Si pemandu bergerak ke kanan dan ke kiri.

Akhirnya berhenti dan berdiri di sebelah kanan saya. Sepasang matanya kembali tertumpu kulit muka lelaki berdarah dahi.

"Tentu ada sebab kamu cakap macam itu. Kalau tak ada angin, mana mungkin pokok bergoyang. Cakap sekarang," keras benar tekanan nada suara si pemandu.

Tiada reaksi dari lelaki berdarah dahi. Hati si pemandu terus membara.

"Cakap, bedebah."

Telapak tangan kanan pemandu yang kasar dan lebar jatuh ke atas bahu kiri lelaki berdarah dahi.

Cengkaman dari lima jari yang panjang dengan otot-otot yang menonjol di belakang tangan membuat lelaki berdarah dahi merendahkan tubuhnya menahan rasa sakit. Wajahnya nampak berkerut.

"Cakap," si pemandu terus mendesak.

Lelaki berdarah dahi tetap membatu.

Kemarahan terus membakar hati nurani si pemandu. Cengkaman jari-jemarinya semakin kuat menekan tulang selangka. Makin lama, makin rendah kedudukan lelaki berdarah dahi.

Dengan sekali tolakan, lelaki berdarah dahi. Dengan sekali tolakan, lelaki berdarah dahi terkejut dan terpampan.

Saya memang merestui tindakan si pemandu. Entah mengapa, saya seperti didorong sesuatu terus menerpa di sisi lelaki berdarah dahi. Leher bajunya terus dicekak. Wajahnya pucat lesi.

"Jangan bunuh aku," dia merayu.

Baju yang dicekak saya lepaskan sambil kaki menyepak lemah ke punggungnya.

"Kamu mesti membantu kami," si pemandu terus mengherdiknya.

"Sebenarnya, aku tidak mampu melawan, selain dari ilmu tikus putih, kamu juga mempelajari ilmu (silat) harimau melindungi anak, ilmu yang tidak ada pada aku," lelaki berdarah dahi meluahkan sebuah pengakuan.

Si pemandu terus merenung ke arah saya sambil mengangkat tangan kanan separas telinga kiri, memberi isyarat minta bantuan.

"Kamu bercakap jujur dengan kami. Bekerjasama dengan kami. Itu saja yang kami minta," kata-kata itu terhambur dari mulut sebagai memenuhi isyarat dari si pemandu.

"Bantulah kami," saya terus merayu dan memujuk.

Tiada jawapan yang diberikan. Lelaki berdarah dahi lebih menggigit ibu jari dari memberikan perhatian terhadap kata-kata yang saya hamburkan.

PUJUK

Walau apapun, saya memang mengharapkan pujukan itu akan berhasil. Kalau tidak berhasil, saya dan si pemandu akan menghadapi jalan sukar. Mungkin nasib Syed Hamid Al-Hadad dan datuk akan menjadi lebih teruk lagi.

"Saya bersetuju bekerjasama dengan kamu berdua."

Satu jawapan yang memang diharapkan. Saya dengan pemandu berbalas senyum dan bertepuk bahu antara satu sama lain.

"Dengan ikhlas," tanya saya.

"Sudah tentu," sahut si pemandu.

Kami bertiga terus berjabat tangan. Kemudian berpelukan penuh kemesraan sambil membulatkan azam untuk melawan musuh.

"Ceritalah, apa yang kamu tahu," sengaja saya lembutkan tekanan nada suara. Penuh diplomasi.

"Semuanya sudah diatur. Sejak kami tahu Syed Hamid Al-Hadad melalui jalan ini untuk ke Medan. Semua persiapan sudah kami aturkan..." lelaki berdarah dahi berhenti bercakap.

Dengan penuh sopan dia mengajak saya dan si pemandu duduk atas batang nibung yang sudah lama rebah. Sudah tentu permintaannya tidak kami tolak begitu saja.

Kami juga mengharapkan, semoga dia tidak berdalih atau berhelah.

Semoga dia tidak akan mengambil kesempatan dari kebaikan kami untuk memperlambatkan apa yang bakal kami lakukan. Dengan berhelah atas berdalih boleh membuatkan kami terleka.

Dan masa akan terus berjalan menuju ke senja, akhirnya menyambut malam. Bila hal ini terjadi, akan memberi kesempatan kepada dua lelaki yang memburu Syed Hamid Al-Hadad menjadi harimau.

Andainya, dua lelaki itu boleh menukarkan bentuk tubuhnya dari manusia menjadi harimau. Sudah pasti, Syed Hamid, datuk, si pemandu dan saya tinggal nama saja.

"Cakaplah cepat, jangan berbelit-belit dan bercerita tentang kisah lain," dengan pantas saya memotong, bila menyedari yang lelaki berdarah dahi memulakan cerita tentang keturunan yang tidak ada kena mengena dengan perkara yang sedang dihadapi.

Sialnya, lelaki berdarah dahi senyum sinis. Hati saya terbakar dibuatnya.

"Masa semakin suntuk," tekan saya meninggi.

"Tahu," jawabnya acuh tak acuh.

Dua tiga kali, dia meraba dan menggosok-gosok hujung dagunya dengan kuku jari kelingking.

Memang menyakitkan. Tindak-tanduknya mengundang kemarahan saya dan si pemandu. Tetapi, kami berdua masih dapat mengawal perasaan.

Tidak ada gunanya berkeras boleh menimbulkan ketegangan. Bila ini terjadi, tiada siapa yang untung dan orang yang paling rugi kami berdua.

"Kalau terus begini, diri kita semua yang celaka," Ungkapan yang dihamburkan oleh si pemandu membuat saya menghela nafas panjang.

Tidak menolak kemungkinan perkara itu berlaku. Lelaki berdarah dahi mendongakkan mukanya ke dada langit.

Barangkali dia melihat langit biru dan awan gemawan yang putih berarak lembut. Mungkin juga mencari ilham untuk membuat keputusan yang bakal diambil. Hembusan angin semakin rancak menyentuh pepucuk daun sekitar.

"Ceritalah, apa yang kamu tahu," Sebuah rayuan bersama air muka minta dikasihani dari si pemandu.

Ternyata taktik ini berkesan.

RENUNG

Lelaki berdarah dahi renung kiri, renung kanan. Kemudian dia mendongak wajah ke langit macam tadi. Bagaikan ada sesuatu yang dicarinya. Dua langkah pula dia undur ke belakang. Dengan cepat dia menukar tempat.

Berdiri di tengah-tengah, antara saya dan si pemandu, saya kira ini satu perbuatan yang luar biasa. Dan saya tersenyum, bila dia menjolok lubang hidungnya yang luas dengan jari telunjuk.

"Uhhu..."

Tanpa memberi sebarang amaran, lelaki berdarah dahi melepaskan dua penumbuk serentak, kiri dan kanan pada perut kami.

Hasilnya, saya dan si pemandu tersedak dan batuk panjang. Air liur bersemburan dan mata terus berair. Perut terasa sakit (senak) yang amat sangat. Tidak dapat menegakkan tubuh, terpaksa membongkok menahan sakit.

Di saat hati tertanya-tanya. Kenapa perkara begini dilakukan, lelaki berdarah dahi terus mengeluarkan arahan yang agak ganjil dan dan aneh bunyinya.

"Buka baju kamu berdua."

Arahan itu segera dipatuhi.

"Sapukan ke muka kamu berdua, inilah usaha terakhir kita," tambah lelaki berdarah dahi. Seperti tadi, arahannya kami patuhi tanpa memikirkan buruk baiknya.

Kami bagaikan dipukau. Mengikut apa saja arahan darinya. Bila semua arahannya dipatuhi, pandangan saya jadi samar-samar.

Lubang hidung terus disumbat dengan bau cabai kering dan bawang bakar. Lagi sekali kami berdua tersedak serentak.

Keadaan ini memang tidak disenangi, ada keraguan dalam sanubari. Mungkin ini satu helah untuk memerangkap saya dan si pemandu.

Dan ini mungkin amaran secara halus, seolah-olah memberitahu, pintu kematian sudah berada di depan kami.

Si pemandu menggigit bibir sambil merenung ke langit. Matahari sudah condong benar. Sinarannya tidak segarang tadi.

Percayalah, dalam sedikit masa lagi, matahari pasti terbenam di kaki langit. Senja pasti datang berlenggang. Ketika itu, semua usaha tidak bermakna lagi.

"Ada tercium bau bawang dan cabai kering terbakar."

MENGGIGIT

Suara dari lelaki berdarah dahi, membunuh kesangsian yang berbunga dalam dada. Si pemandu saya lihat menggigit hujung jari sambil mengecilkan kelopak mata kanannya.

Pasti, dia masih ragu-ragu untuk menjawab pertanyaan yang diajukan oleh lelaki berdarah dahi yang nampak masih berdiri dalam keadaan bersahaja.

"Ada."

Saya mendahului si pemandu memberikan jawapan.

"Ertinya, pantang dan petua berjaya saya tawarkan," lelaki berdarah dahi bersuara lantang.

Ada tanda kepuasan bermain dimukanya. Buat beberapa minit, dia berlari dan mengelilingi batu besar berulang kali.

"Gila," saya merungut.

"Kita tengok dulu," balas si pemandu.

Kalau tidak silap menurut hitungan rambang, tujuh kali lelaki berdarah dahi mengelilingi batu besar.

Dalam keadaan yang amat penat dia melangkah longlai ke arah kami, sebaik sampai dia terus rebah di bumi, kira-kira setengah kaki dari hujung jari kaki kami.

Berguling-guling sambil memeluk sepasang lutut. Bunyi nafasnya cukup keras macam bunyi nafas kerbau yang sedang marah.

Kalau pada mulanya, dia menggulingkan tubuh di bumi dengan penuh tenaga dan cepat, begitu juga dengan bunyi nafas. Tetapi, setelah sepuluh minit masa berlalu, gulingannya tidak sehebat tadi.

Begitu juga dengan bunyi nafasnya. Semakin lama, semakin lemah dan akhirnya terus berhenti.

Tamat Siri Bercakap Dengan Jin 236/284

BACA: SBDJ Siri 235: Terdesak Jadi Harimau
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-Sentiasapanas.com

Tuesday, January 20, 2026

Kehebatan Roket 'Yasin-105' Yang Menghancurkan Kereta Kebal Tercanggih Di Dunia!

Kehebatan Roket 'Yasin-105' Yang Menghancurkan Kereta Kebal Tercanggih Di Dunia!

Tuan-tuan pernah tengok video yang ada "Segi Tiga Merah" terbalik tu? Dalam video tu, ada seorang lelaki. Dia tak pakai baju kalis peluru. Dia tak pakai topi keledar taktikal. Kadang-kadang, dia cuma pakai selipar Jepun dan seluar trek Adidas pasar malam.

Roket Yasin-105

Dia berlari laju menuju ke arah sebuah raksasa besi. Raksasa itu ialah kereta kebal Merkava Mk4 "Barak". Bagi yang tak tahu, Merkava ni bukan kereta kebal biasa. Ia digelar "God of Chariots". Ia adalah kebanggaan industri pertahanan Isbiol.

Harga sebiji? Sekitar USD 4.5 juta hingga USD 10 juta (RM20-40 Juta) bergantung pada spesifikasi. Ia ada sistem AI (Kecerdasan Buatan). Ia ada sensor 360 darjah. Dan yang paling penting, ia ada sistem pertahanan "Trophy".

Sistem Trophy ni kononnya boleh tembak jatuh mana-mana roket yang datang dekat. Macam force field dalam filem Star Wars. Tapi, lelaki berselipar tadi buat benda gila.

Dia lari rapat sampai boleh tepuk dinding kereta kebal tu. Dia letak satu bom leper atau dia tembak guna pelancar roket dari jarak 10 meter.

BOOM!

Raksasa RM20 juta tu meletup dan terbakar macam tin sardin. Dunia tergamam. Jeneral Amerika di Pentagon pening. Jurutera Isbiol di Tololviv garu kepala.

"Macam mana kereta kebal paling canggih di dunia boleh kalah dengan roket paip besi buatan tangan?"

Jawapannya ada pada sebatang roket bernama Al-Yasin 105.

Kalau kita bedah secara teknikal, Al-Yasin 105 ni sebenarnya adalah satu "Masterpiece" dalam kejuruteraan gerila. Ia bukan sihir tau. Ia adalah sains fizik tulen.

Roket ini direka khas untuk menewaskan perisai moden yang dipanggil Explosive Reactive Armor (ERA).

Kereta kebal moden biasanya ada lapisan "bata" meletup kat luar. Kalau roket biasa kena, bata tu meletup dulu dan selamatkan dinding utama kereta kebal.

Jadi, jurutera di G (yang diketuai oleh Allahyarham Mohamed Zouari dan anak didik beliau) cipta teknologi "Tandem Charge" (Hulu Ledak Berganda).

Apa benda tu?

Bayangkan roket tu ada dua kepala.

Kepala pertama (kecil) kat depan. Kepala kedua (besar) kat belakang.

Bila roket tu kena kereta kebal: 1. Kepala depan meletup dulu. Letupan ni akan "tipu" perisai ERA kereta kebal tu. Perisai tu ingat dia dah selamatkan kereta kebal. 2. Milisaat kemudian, kepala belakang (yang lebih besar) akan masuk ikut lubang yang dah pecah tadi dan meletupkan dinding utama kereta kebal.

Macam tumbukan "One-Two" dalam tinju. Tumbukan pertama buka guard, tumbukan kedua K.O.

Hasilnya? Logam cair panas akan sembur masuk ke dalam kokpit kereta kebal, membakar krew dan meletupkan peluru simpanan di dalam. Kecil, tapi bisa.

Tapi, macam mana dengan Sistem Trophy yang canggih tu? Kenapa Trophy tak tembak jatuh Yasin-105?

Di sinilah masuknya elemen "Keberanian Yang Amatlah Gila". Sistem Trophy perlukan jarak untuk radar dia kesan ancaman. Ia perlukan masa beberapa saat untuk komputer buat kiraan dan tembak.

Pejuang H tahu kelemahan ni. Jadi mereka guna taktik "Zero Distance" (Jarak Sifar).

Mereka tak tembak dari jauh. Mereka keluar dari lubang tikus, lari rapat gila dengan kereta kebal (bawah 50 meter) dan tembak.

Pada jarak sependek itu, radar Trophy jadi buta. Komputer tak sempat nak process. Sebelum sistem tu sedar apa berlaku, roket sudah masuk dalam perut kereta kebal.

Ini bukan soal teknologi semata-mata. Ini soal hati.

Siapa sanggup lari berdepan dengan kereta kebal yang ada mesingan automatik? Cuma orang yang tak takut mati je sanggup.

Dan ada satu lagi fakta yang paling mindblown tentang roket Yasin-105 ni. Tuan-tuan tahu tak roket ni dibuat daripada apa?

Bahan letupan dalam roket ini sebahagiannya diambil daripada peluru berpandu Isbiol sendiri!

Selama bertahun-tahun, Isbiol bom G. Ada banyak bom yang tak meletup (Unexploded Ordnance). Unit kejuruteraan H akan gali bom-bom ni (kerja yang sangat bahaya), buka dan ambil bahan letupan gred tentera tu.

Mereka kisar, mereka proses balik dan masukkan dalam paip besi Yasin-105. Ini namanya "Return to Sender" (Pulangkan Kepada Pengirim).

Besi yang sepatutnya bunuh anak-anak P, sekarang dah jadi senjata yang hancurkan kereta kebal Z.

Kos buat satu Yassin-105? Dianggarkan sekitar USD 500 (RM2,000) sahaja. Kos satu Merkava? USD 4.5 Juta (RM20 Juta).

Kalau H tembak 10 roket dan cuma satu kena, mereka masih untung besar dari segi nisbah kos perang. Ekonomi Isbiol boleh bankrap kalau macam ni.

Kejayaan Yasin-105 telah mengubah buku teks ketenteraan dunia.

Dulu, negara kuasa besar ingat kalau ada kereta kebal canggih, mereka boleh menang perang.

Sekarang, mereka sedar. Kereta kebal hanyalah keranda besi bergerak kalau masuk ke kawasan bandar yang dipenuhi pejuang berani mati. Dunia Arab dan pemerhati tentera barat kini buka mata.

Mereka tengok video-video dari G bukan lagi sebagai propaganda, tapi sebagai bahan kajian PhD.

Bagaimana sekumpulan manusia yang dikepung, disekat makanan dan tak ada kilang senjata canggih, boleh hasilkan senjata anti-tank yang efektif macam ni?

Jawapannya ialah: Inovasi dalam Keterdesakan.

Bila belakang kau dah rapat ke dinding, bila nyawa anak bini kau terancam, otak manusia akan berfungsi pada tahap maksimum.

Yasin-105 bukan sekadar roket. Ia simbol.

Ia simbol bahawa kecanggihan teknologi Isbiol dan Amerika ada hadnya.

Ia simbol bahawa besi boleh dikalahkan dengan besi, tapi semangat tak boleh dikalahkan dengan apa pun.

Hari ini, setiap kali Setanjahat di Tololviv tengok laporan kereta kebalnya terbakar, dia tahu satu perkara, duit boleh beli teknologi, tapi duit tak boleh beli keberanian lelaki yang berlari pakai selipar Jepun menuju ke arah maut demi tanah airnya.

Fb: Mazlan Syafie

Semoga memberi manfaat.

-Sentiasapanas.com

SBDJ Siri 235: Terdesak Jadi Harimau

SBDJ Siri 235: Terdesak Jadi Harimau

"Bagaimana kalau cara itu dicuba dulu." Demikian dirumuskan oleh hati. Otak segera diperah dan jarum ingatan segera berputar ke masa lalu. Saat datuk memproses ramuan samada dari dedaun, akar dan kulit kayu untuk menawarkan penyakit.

Toyol jadi-jadian

Semuanya terpeta dalam kepala secara terperinci. Jelas tergambar bagaimana jari jemari datuk memilih dan memetik daun senduduk putih. Kemudian memprosesnya dengan teliti secara teratur untuk dijadikan ubat luka, sakit-sakit badan dan sebagainya.

"Cubalah, mudah-mudahan menjadi," bisik hati.

Setelah membaca surah Al-Fatihah yang dituruti dengan surah surah tertentu. Daun senduduk putih berdekatan segera dipetik. Diramas-ramas hancur hingga terasa berlendir.

Dan daun yang berlendir itu segera ditampalkan pada bahagian kulit tubuh yang luka. Pinggang saya gerakkan ke kanan dan ke kiri.

Masih terasa sakit, segera disapukan ke bahagian pinggang hingga kesan telapak tangan tidak tersisa.

Suara datuk, Syed Hamid Al-Hadad dan pemandunya tidak dapat dikesan. Kuasa mata masih belum dapat melihat mereka, pandangan masih samar-samar. Tetapi, hembusan bayu terasa menyentuh kulit muka, begitu juga dengan bunyi kicau burung.

Saya terus berusaha cuba bangun. Tetapi, setiap kali usaha dilakukan tetap berdepan dengan kekecewaan. Rasa putus asa bertandang dalam hati.

Hati kecil terus meramalkan saya akan terus terlantar di situ sementara menanti pertolongan datang.

Dalam saat yang serba tidak menjadi itu seluruh kulit badan terasa panas semacam. Meluap-luap hingga timbul bintit-bintit peluh halus di badan.

Perasan jadi tidak sedap. Seluruh pelipat sendi tubuh berpeluh. Badan seperti kena panas yang terik. Pedih dan sakit. Kulit muka seperti mengelupas.

PANAS

"Ya Allah, apakah ini sebuah dugaan darimu untk menguji diriku," suara rintihan terus berombak dan bergelombang dalam dada.

Sekujur tubuh digolekkan atas permukaan bumi. Namun rasa panas dan perit tidak juga mahu pergi.

Kalau diturutkan kata hati, mahu saja menjerit dengan sekuat hati dan berlari sekeliling kawasan lapang. Biar badan jadi sejuk.

Tetapi mana mungkin perkara itu boleh dlakukan? Untuk bergerak pun tidak mampu inikan pula bangun dan berlari.

Tubuh segera ditelentangkan menadah langit. Awan gemawan begerak lembut dalam kolam mata. Unggas liar beterbangan pulang menuju sarang. Pasrah diri pada Allah. Biar dia menentukan nasib untung diri ini.

Apa yang mampu dlakukan ialah berzikir dan terus berzikir.

"AH..."

Rasa panas yang membahang terus meninggalkan tubuh yang terlentang di bumi. Terasa nyaman dan agak selesa. Perasaan kembali tenang.

Rasa nyaman itu tidak berlanjutan lama. Rasa sejuk sedikit demi sedikit mengigit kulit tubuh. Tidak semena-mena tubuh menggigil, macam berada dalam kotak air batu.

Dagu dan bibir bergerak hebat. Tangan bagaikan tidak cukup untuk memeluk tubuh.

Dalam keadaan terlentang, saya mengkerikutkan tubuh memeluk lutut, bentuknya macam angka lima. Dalam masa yang sama, bahagian tubuh yang disapukan dengan lendir daun senduduk putih terasa kebas.

BIBIR

Kesan dan rasa kebas itu, bibir terasa tebal. Begitu juga dengan batang hidung dan cuping telinga. Tetapi, rasa sejuk beransur kurang sedikit demi sedikit.

Perubahan yang berlaku secara mendadak dan silih berganti itu, membuat saya takut dan cemas.

Seperti digerakkan sesuatu, mulut menggigit pergelangan tangan hingga berdarah. Anehnya tidak terasa sakit. Malah darah yang keluar dari tempat yang digigit tidak banyak. Hanya setitik dua dengan warna merah kehitaman.

"Allah selamatkan hambaMu dari malapetaka ini," timbul doa dan harapan dengan hati kecil.

Selesai saya berkata demikian, baru terasa pedih dan perit ditangan yang digigit sebentar tadi. Bahagian tubuh yang kebas kembali normal.

Semua bahagian sendi yang terasa ngilu dan sakit terus hilang. Tangan, kaki dan segala-galanya dapat digerakkan kembali seperti sediakala.

Bahagian yang luka akibat digigit segera ditampal dengan daun senduduk putih.

Kulit yang terkoyak bercantum kembali, walaupun tidak seratus peratus. Sekali pandang kulit itu macam keadaan asal.

Perlahan-lahan saya mengeliat kekiri dan kekanan. Sungguh menakjubkan. Tidak terasa sakit. Antara keyakinan yang bersalut bimbang, saya cuba bangun dengan berdiri.

Alhamdulillah tiada masalah yang timbul. Dua langkah maju ke depan, tidak ada masalah. Dua langkah undur kebelakang, juga tidak ada masaalah.

Setelah yakin keadaan sudah pulih seperti asal, saya pun cuba menyepak dan menendang angin. Kemudian berlari-lari anak dalam kawasan sekitar. Semuanya tidak menimbulkan sebarang kerumitan. Gembiranya tidak terkata.

Pandangan yang kabur bertukar jelas, boleh melihat sejauh mana yang mampu. Kotak fikiran kembali kepasa suasana semasa, berdepan dengan musuh.

"Hei, kawan aku dah ok," jerit saya sekuat hati.

"Tamar aku di sini, bedebah yang memukul kamu sudah aku jatuhkan ke atas tanah."

Saya cuba mengesan dari arah mana suara pemandu itu datang. Anak mata terus mengawasi keadaan sekeliling. Tidak nampak batang hidungnya.

"Kamu dimana?"

"Aku di sini Tamar, dibalik batu besar, cepat datang."

Tanpa membuang masa saya terus meluru ke arah suara pemandu Syed Hamid Al-Hadad. Kerana sudah diberitahu di mana mereka berada. Ke situlah langkah saya halakan.

Sebaik saja sampai ketempat yang dimaksudkan, saya berdepan dengan suasana diluar dugaan. Rasanya tidak percaya dengan apa yang berlaku.

Mana mungkin perkara begini boleh terjadi? Timbul lagi pertanyaan dalam diri. Lupakan tentang semuanya itu. Hadapi apa yang ada di depan mata.

Pemadu Syed Hamid Al-Hadad menyandarkan belakangnya di batu besar. Ia bersiul-siul kecil membawakan lagu keroncong "JAUH DI MATA."

Kaki kirinya memijak tunggul nibung yang berada di situ. Kaki kanannya memijak tanah. Sepasang tangannya memeluk tubuh. Lagaknya tidak ubah macam hero dalam filem cowboy keluaran 70-an 80-an.

SELESA

Si pemandu itu, berada dalam keadaan yang cukup selesa dan tenang sekali. Rambutnya yang terjuntai di dahi bergerak lemah dirempuh angin. Saya segera mendekatinya.

"Itu dia Tamar," garang suaranya.

Jari telunjuknya menuding ke arah lelaki berdarah di dahi yang duduk bersila atas rumput. Termenung panjang macam memikirkan sesuatu.

Jarak kami (saya dan pemandu) dengan lelaki berdarah di dahi kira-kira 30 kaki. Luka di dahinya sudah dibalut dengan kain putih. Kesan darah di kain putih dapat dilihat dengan jelas.

Muka si pemandu saya lihat lagi. Dia tidak memperlihatkan sebarang reaksi. Kelihatan bersahaja dan masih bersiul-siul.

Lagu yang disiulkan sudah berubah. Dari keroncong ke irama melayu. Mendayu-dayu dia membawa lagu "Halimun Malam" nyanyian Hasnah Tahar yang cukup popular ketika itu.

Semuanya memeningkan kepala.

Tadi, sebelum saya mengalami keadaan separuh pengsan, mereka berada tidak jauh dari saya. Ketika mana mereka berubah tempat?

Barangkali semasa saya terkapar tadi, mereka bertarung hebat hingga terpisah jauh dari saya. Begitulah hati membuat andaian.

Berdasarkan pada kedudukan semasa, saya terus membuat ramalan, lelaki berdarah dahi tewas dalam pertarungan ini.

Alangkah baiknya semasa pertarungan berlangsung, saya dapat menyaksikannya. Apakah jenis silat yang digunakan oleh kedua-dua insan ini.

Bagaimanakah mereka melepaskan serangan dan menepisnya. Kemudian sepantas angin menyusung buah silat yang padu di bahagian tertentu, hingga meninggalkan kesan pada gerak darah dan denyut nadi.

Buah silat yang dilepaskan bersama tarikan nafas dan bila kena pada sasaran. Nafas terus dilepaskan boleh melemahkan saraf darah pergerakan musuh.

Jika sasarannya tidak kena pada sasaran boleh membuatkan musuh muntah.

ANDAIAN

Hati kecil saya membuat seribu andaian sambil membayangkan pertarungan antara si pemandu dengan lelaki berdarah di dahi.

Bagaikan pertarungan Hang Tuah dengan Hang Jebat dibumi Melaka. Terlalu jauh khayalan menari dalam tengkorak kepala.

"Astaghafirullah..."

Terhambur dari kelopak bibir.

Khayalan yang merewang segera dimatikan. Saya kembalikan diri dalam situasi semasa. Kesimpulan baru tentang pemandu Syed Hamid Al-Hadad muncul dalam hati.

Dia bukan sebarang orang. Ada isi dan ada ilmu. Tetapi, bersikap bagaikan harimau menyembunyikan kuku.

"Siapa yang membalutkan luka di dahinya?"

"Aku, Tamar."

Pantas si pemandu menjawab. Ada senyum kepuasan bermain di wajahnya. Dua tiga kali perkaranya di gerakkan secara perlahan-lahan ke kiri dan ke kanan secara teratur dan bertahap-tahap. Urat-urat di lehernya nampak dengan jelas.

"Tengkuk kamu lenguh?"

"Iya, Tamar."

"Puncanya?" saya terus mencari rahsia.

"Si bedebah ni, banyak menyerang di sini. Semua buahnya, buah maut."

"Kamu berjaya menepisnya," kata saya.

Kaki yang memijak batang nibung segera diubah memijak tanah. Belakangnya tidak lagi bercantum dengan batu besar. Dia berdiri tegak buat beberapa ketika, sebelum meletakkan punggung ke atas batang nibung.

"Kamu berjaya mengatasinya," ulang saya dengan harapan cerita yang terhenti disambung kembali. Pancing mengena. Si pemandu memberi tindak balas yang cukup baik.

"Rentak silatnya, Tenaga Dalam Tupai Putih. Banyak menyerang bahagian atas tubuh terutama jantung."

"Alhamdulillah, kamu selamat."

"Aku juga bersyukur pada Allah. Tapi aku kecewa dan sedih, Tamar."

"Maksud kamu?"

Muka si pemandu segera direnung. Dia melepaskan renungan sejuta kebencian terhadap lelaki berdarah dahi yang masih belum bergerak dari tempat asalnya. Bersila melihat dedaun kering yang melayang-layang di udara sebelum jatuh didepannya.

"Dia sebenarnya tidak tahu apa-apa. Dia diupah oleh lelaki yang naik motor untuk menghalang perjalanan kita. Dia baru terima upah satu perempat dari yang dijanjikan. Tetapi badannya teruk kena belasah. Kalau ikutkan kata hati aku bunuh dia tapi..." kata-kata mati di situ.

ANGIN

Si pemandu terus menumbuk angin. Melepaskan rasa marah dan geram. Kemudian dia menarik nafas dan terus termenung buat beberapa ketika.

Dia cuba mengawal dan menurunkan kemarahannya kepada paras yang paling maksimum. Saya hanya mengikut rentak si pemandu.

Lelaki yang berdarah dahi selama ini membatu terus melompat lalu mengatur langkah ke arah saya dan pemandu. Sudah tentu saya rasa cemas dan takut semacam.

"Hati-hati," Satu ingatan untuk saya.

Si pemandu juga bersedia menghadapi seribu kemungkinan. Dia terus berdiri dalam keadaan yang siap sedia. Saya disuruh ketepi mencari tempat yang agak selamat.

"Orang ini boleh melakukan apa saja, Tamar. Berjaga-jaga. Kalau dia berkasar serahkan pada aku."

"Aku faham."

Saya pun berlindung di balik perdu pokok pisang hutan. Si pemandu mula memperkemaskan kedudukan kekuda kakinya.

Lerekan matanya tajam ke arah orang yang datang. Gerak jari. Gerak badan.

Gerak nafas lelaki berdarah dahi dihitung dengan teliti. Kawalan nafas mula dikawal oleh si pemandu dengan sebaik mungkin.

Dalam ilmu pendekar Tenaga Dalam yang diamalkan oleh si pemandu, mengawal gerak nafas, gerak jantung yang bersatu dengan pusat fikiran (otak) adalah perkara pokok sebelum disalurkan pada pancaindera yang lima untuk bertindak balas.

Beberapa langkah lagi mahu sampai kepada si pemandu, lelaki berdarah dahi terus berhenti melangkah. Sepasang anak matanya diarahkannya kepada saya.

Dari renungannya itu seolah-olah membayangkan tubuh saya yang kecil mahu diratahnya dengan rakus, bagaikan kucing membaham tikus.

Dalam keadaan begitu saya jadi dan tidak tentu arah. Tidak mahu penderitaan yang baru yang dialami beberapa jam lalu berulang kembali. Sungguh perit dan menyiksakan.

Rasa cemas yang berkecamuk dalam kalbu segera berakhir. Lelaki berdarah dahi mendermakan senyum persahabatan yang penuh dengan keikhlasan.

Beberapa detik selanjutnya, pandangan segera diubah ke wajah si pemandu. Renungan kembali ke arah saya semula. Tapi kali ini debar dada tidak sehebat tadi.

Saya hadiahkan senyum untuknya. Dibalas dengan senyum yang lebih panjang dari yang saya berikan.

"Apa yang dikatakannya itu memang benar," penuh persahabatan lelaki berdarah dahi menyusun kata.

"Tapi percayalah dia tidak akan membunuh aku. Kalau kamu, aku mungkin mati," sambungnya terang.

Anak matanya tidak berganjak dari merenung muka saya. Kata-kata yang terkeluar dari mulutnya mengundang berbagai-bagai ramalan.

Secara spontan, seperti ada yang menggerakkan batang leher saya ke arah si pemandu. Dan si pemandu anggukkan kepala mengakui kebenaran kata-kata yang di tuturkan oleh lelaki berdarah dahi.

"Sebabnya?"

Serentak pertanyaan itu saya halakan kepada lelaki berdarah dahi dan si pemandu. Kedua-dua mengkedutkan dahi. Saya menanti siapakah yang lebih dahulu memberikan jawapan.

"Sebabnya," lelaki berdarah dahi bersuara agak lantang.

"Dia orang Batak macam saya. Silat Tikus Putih yang diamalkannya sama dengan amalan saya."

"Maksudnya kamu satu perguruan?"

"Iya, kami satu perguruan. Cuma masa menuntut berlainan waktu. Memang jadi pegangan pengikut Pendekar Tenaga Dalam Tikus Putih, tidak akan bermusuhan dengan orang seperguruan, tidak boleh derhaka kepada pemerintah," lelaki berdarah dahi memberikan penjelasan singkat.

GIGIT

Saya menggigit bibir. Rupa-rupanya dua insan di samping saya ini ada pendinding penjaga diri. Tidak mudah dipermainkan musuh. Apa yang pasti si pemandu tidak memberikan sebarang komentar. Tidak pula menafikan.

Ertinya apa yang diluahkan oleh lelaki berdarah dahi itu memang benar.

"Kami berdua satu MARGA," kata si pemandu singkat.

Lelaki berdarah dahi anggukkan kepala.

"Saya malu marga saya diperalatkan orang kerana wang. Ini sungguh memalukan," si pemandu meluahkan rasa kesal.

Saya tidak pula bertanya, apakah MARGA mereka berdua. Kerana pada hemat saya, perkara itu terlalu peribadi.

"Sekarang kamu harus membantu kami menangkap manusia yang memberi kamu upah," si pemandu mengajukan usul pada lelaki berdarah di dahi.

"Tapi," rendah tekanan suara lelaki berdarah di dahi.

"Tapi apa lagi," si pemandu terus mendesak.

"Ilmu kebatinan mereka tinggi, boleh menjadi harimau bila terdesak. Kita berdua bukan lawan mereka," wajah lelaki berdarah dahi nampak cemas sekali.

"Ini masalah besar, berdepan dengan mereka, bererti kita menempah maut," tanpa sengaja saya memberi komentar. Tiada reaksi apa-apa dari si pemandu dan lelaki berdarah di dahi.

Kami bertiga terus bergerak di ruang yang sempit, sekitar batu besar. Masing-masing cari formula untuk menewaskan dua lelaki itu.

Sesungguhnya saya tetap meragukan kerjasama yang akan diberikan oleh lelaki berdarah di dahi.

Sekadar berjanji di mulut semua orang boleh melakukannya. Apa yang ada di dalam hati tidak ada siap yang dapat membacanya.

"Aku mesti membela kepentingan harta dan diri majikan aku. Sebagai seorang batak yang taat kepada ketua dan berpegang teguh pada janji, aku mesti melakukan sesuatu," si pemandu meluahkan azamnya dengan penuh semangat.

"Ilmu kita tidak setinggi mana," tahan lelaki berdarah di dahi.

"Itu buka persoalan, di sini perkara yang menjadi pokok utamanya ialah kesetiaan," si pemandu mula memperlihatkan taringnya. Dia tidak mahu bertindak dengan sesiapa yang mahu menghalangnya.

"Aku pernah melihat seorang dari lelaki itu bertukar menjadi harimau ketika orang-orang kampung dekat Brastagi mahu menangkapnya kerana cuba masuk sebuah rumah untuk mencabul anak gadis tuan rumah tersebut," satu cerita yang menyeramkan dari lelaki berdarah di dahi.

Semangat saya terasa hilang.

Tamat Siri Bercakap Dengan Jin 235/284

BACA: SBDJ Siri 234: Dalam Cengkaman Pengkhianat
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-Sentiasapanas.com

Monday, January 19, 2026

Pengkhianatan Jeneral Tentera Yang Meruntuhkan Sebuah Empayar

Pengkhianatan Jeneral Tentera Yang Meruntuhkan Sebuah Empayar

Pada tahun 1644, Empayar Ming di China sedang nazak, apabila pemberontak Li Zicheng menawan Beijing dan Maharaja Chongzhen bunuh diri, Wu Sangui menjaga Shanhai Pass, pintu strategik Tembok Besar.

Shanhai Pass Great Wall

Di sebelah dalam negara, pemberontak petani tengah mengganas, membakar bandar dan menuju ke ibu kota Beijing. Di sebelah luar pula, di utara perbatasan, tentera Manchu (yang kemudian menjadi Dinasti Qing) sedang menunggu masa macam serigala lapar hendak masuk menjajah China.

Tapi rakyat Ming masih ada sedikit harapan. Mereka ada Tembok Besar China dan yang paling penting, mereka ada Laluan Shanhai (Shanhai Pass).

Ini bukan sebarang pintu gerbang. Ini adalah "Mulut Naga". Ia adalah benteng terakhir dan paling kebal yang memisahkan antara China dan dunia luar. Selagi pintu ini tidak pecah, tentera Manchu takkan boleh masuk.

Siapa penjaga kunci pintu gerbang keramat ni? Seorang panglima perang paling dipercayai, paling hebat dan memiliki tentera paling elit dalam Empayar Ming. Nama dia Jeneral Wu Sangui.

Di atas kertas, Wu Sangui adalah wira negara. Dia adalah harapan terakhir maharaja. Rakyat percaya dia akan pertahankan pintu itu sampai titisan darah terakhir.

Tapi, sejarah membuktikan, bila orang atasan ada kepentingan peribadi, "amanah" boleh menjadi barang dagangan.

Dipendekkan cerita, ibu kota Beijing jatuh ke tangan pemberontak petani (bukan Manchu lagi masa ni). Maharaja Ming bunuh diri.

Berita ini sampai ke telinga Jeneral Wu Sangui di perbatasan. Dia panik.

Dalam kekalutan itu, dia mendapat berita yang lebih menyakitkan hati. Keluarga dia di Beijing ditangkap oleh pemberontak.

Dan yang paling buat dia "hilang akal", gundik kesayangannya yang paling cantik, Chen Yuanyuan, telah dirampas oleh ketua pemberontak. Jeneral Wu Sangui berdepan dilema besar.

Teruskan lawan pemberontak demi setia pada Maharaja Ming? Atau nak buat benda gila?

Ego dia tercabar. Dendam kesumat membara sebab "awek" kena rampas. Akhirnya, Wu Sangui buat keputusan yang mengubah sejarah China untuk 300 tahun seterusnya. Dia berpaling tadah.

Dia hantar surat kepada musuh ketat negara, iaitu tentera Manchu yang sedang menunggu diluar tembok.

Dia kata lebih kurang macam ni, "Korang nak masuk China kan? Aku boleh tolong. Tapi korang kena tolong aku bantai pemberontak yang rampas awek aku tu."

Tentera Manchu macam tak percaya. Pucuk dicita ulam mendatang.

Pada hari kejadian, tentera Manchu bersiap sedia di depan pintu gerbang Shanhai Pass yang gah tu. Dorang ingat kena berperang teruk nak pecahkan pintu tu.

Tiba-tiba, pintu gerbang gergasi itu perlahan-lahan terbuka dari dalam. Bukan sebab kena rempuh. Tapi sebab Jeneral Wu Sangui sendiri yang arahkan askar dia bukakan.

Tentera Wu Sangui yang sepatutnya jadi pelindung negara, diarahkan ketepi dan memberi laluan karpet merah kepada musuh negara untuk masuk.

Bayangkan perasaan askar bawahan masa tu. Bingung. Kecewa. Tapi terpaksa ikut arahan panglima besar.

Hari itu, tentera Manchu masuk ke China tanpa perlu bersusah payah.

Gabungan tentera Manchu dan tentera pembelot Wu Sangui kemudiannya menghancurkan pemberontak dan seterusnya menakluk seluruh China.

Berakhirlah Dinasti Ming yang diperintah oleh orang Han dan bermulalah Dinasti Qing yang diperintah oleh orang Manchu selama hampir 300 tahun.

Wu Sangui? Dia dapat pangkat besar, dia dapat harta dan dia dapat balik gundik dia. Dia jadi kaya-raya di bawah tuan baru dia.

Tapi sampai ke hari ini, nama "Wu Sangui" dalam sejarah China adalah sinonim dengan perkataan "PENGKHIANAT" (Hanjian).

Dia adalah simbol panglima atasan yang menggadaikan kedaulatan negara demi dendam peribadi dan kuasa.

Kisah Jeneral Wu Sangui ni mengajar kita satu perkara yang sangat menakutkan, musuh yang paling bahaya bukanlah yang pegang pedang di depan mata kita, musuh paling bahaya adalah orang yang kita bagi pegang kunci rumah kita, tapi dalam diam dia berunding dengan pencuri di luar pagar.

Sehebat mana pun benteng pertahanan sesebuah organisasi atau negara, ia akan runtuh sekelip mata kalau "kepala" yang menjaganya tiada integriti.

Askar bawahan mati bermandi darah pertahankan tembok, tapi jeneral di atas sibuk tawar-menawar harga pintu gerbang.

MasyaAllah, sesungguhnya sifat amanah itu sangat berat. Apabila kuasa dan kepentingan peribadi menguasai diri, manusia yang sepatutnya menjadi pelindung boleh berubah menjadi pemusnah yang paling dahsyat.

Kisah ini menjadi peringatan keras agar kita sentiasa berdoa dijauhkan daripada pemimpin atau ketua yang sanggup menjual maruah agama, bangsa dan negara demi kepentingan perut sendiri.

Moga Allah memelihara kita daripada pengkhianatan dari dalam, yang selalunya lebih berbisa daripada serangan dari luar.

FB: Mazlan Syafie

Semoga memberi manfaat.

-Sentiasapanas.com

SBDJ Siri 234: Dalam Cengkaman Pengkhianat

SBDJ Siri 234: Dalam Cengkaman Pengkhianat

Dalam keadaan yang tergamam itu, pandangan tidak berubah. Masih tertumpu ke arah Syed Hamid Al-Hadad yang terkial-kial cuba bangun. Baru saja separuh berdiri, rebah ke bumi. Sepasang kepala lututnya bagaikan tidak berfungsi. Tidak mampu mengimbangi tubuh yang agak berisi itu.

Toyol jadi-jadian

Lelaki berdarah Arab-Melayu itu tidak kenal putus asa. Mencuba dan terus mencuba. Dan lelaki separuh baya amat gembira dengan kegagalan yang terjadi. Wajahnya membayangkan kepuasan.

"Jangan seksa dia," jerit pemandu sekuat hati dari dalam kereta.

Jeritan itu tidak diendahkan. Lelaki separuh baya itu bagaikan tidak kisah dengan kami. Matlamat utamanya ialah Syed Hamid Al-Hadad.

Dalam usaha yang tidak putus-putus itu. Akhirnya Syed Hamid Hadad dapat berdiri dengan sempurna. Boleh melambaikan tangan ke arah kami dan melihat langit petang dalam keredupan matahari yang kian menurun kekaki langit.

Lelaki separuh baya yang tersentak dengan keupayaan Syed Hamid Al Hadad segera membuka baju dan melemparkan keatas rumput. Baju dalam yang melekat ditubuhnya sudah berlubang-lubang dan koyak terutama di bahagian ketiak.

"Ahh..."

Lelaki separuh baya bersuara lantang. Dia melepaskan satu sepakan kencang ke arah muka Syed Hamid Al-Hadad. Andainya sepakan itu mengenai sasaran pasti dua tiga batang gigi bercerai dari gusi. Telinga boleh pekak dan hidung berdarah selain dari muka lebam dan bengkak.

Dalam keadaan yang belum bersedia Syed Hamid Al-Hadad secepat kilat bergerak ke kanan. Merebahkan tubuh atas rumput dan menggolekkan badannya ke arah perdu pokok ara tua yang ada di situ.

Kerana sepakan tidak mengenai sasaran, lelaki separuh baya terdorong ke depan. Tidak dapat mengawal gerakan kaki dan badan lalu tersasar ke arah batu gunung yang sejak berabad berada di situ. Dadanya terdampar ke batu.

Dahinya yang terhantukkan batu mengeluarkan darah, mengalir ke kelopak mata dan seterusnya meleleh ke pipi kiri dan kanan.

Buat beberapa ketika lelaki separuh baya tersadai di situ. Memeluk batu gunung dan tidak melakukan sebarang serangan terhadap Syed Hamid Al-Hadah yang tertiarap atas rumput.

"Tamar bersedia, Tuan Syed memerlukan pertolongan," kata datuk.

Bila saya menoleh ke arahnya, Datuk sudah pun membuka membuka pintu kereta dan sebelah kakinya sudah pun memijak tanah.

Tindakan datuk mendorong saya dan pemandu membuka pintu kereta.

Datuk lebih pantas bergerak. Dalam beberapa detik saja, kami sudah terpisah agak jauh darinya. Langkahnya secepat kilat mendekati Syed Hamid Al-Hadad yang terlentang merenung langit dan awan gemawan.

CEPAT

Sebaik saja saya dan pemandu mempercepatkan langkah, sayup-sayup terdengar bunyi deru enjin motorsikal. Kami buat tidak kisah.

Bila bunyi deru enjin makin lama makin dekat. Kami terpaksa berhenti melangkah dan saling berpandangan.

Datuk bagaikan tidak terusik dengan bunyi deru motosikal, dia terus duduk bertinggung memicit-micit buah betis Syed Hamid Al-Hadad.

Bunyi enjin motorsikal terus menguasai suasana sekitar. Hati saya mula berdebar dan merasakan keselamatan diri berada dalam bahaya.

"Hati-hati Tamar," satu ingatan dari pemandu.

"Iya," saya anggukkan kepala.

Kerana bunyi deru enjin motosikal semakin kuat dan dekat. Serentak saya dan pemandu menoleh kebelakang. Kami menagalami kejutan buat sekian kalinya.

"Inilah motorsikal yang mengekori kita tadi. Dari mana pula tiba-tiba muncul," sepasang biji mata saya menyorot ke arah motorsikal yang datang.

Begitu juga dengan pemandu kereta Syed Hamid Al-Hadad. Nampak resah sungguh.

Ekor matanya terus menjeling ke kiri dan ke kanan. Barangkall dia mencari sesuatu yang boleh dimanfaatkan sebagai senjata untuk melindungi diri.

"Jaga diri kamu, pastikan tempat selamat bila kamu mahu melompat."

Dalam deru motorsikal yang membinggitkan anak telinga. Pemandu Syed Hamid Al-Hadad masih sempat menghamburkan nasihat.

Ingatannya itu saya balas dengan anggukan.

Dalam keadaan yang serba terdesak dan terhimpit itu, saya langsung tidak memikirkan tentang diri datuk dan Syed Hamid Al-Hadad.

Apa yang difikirkan ialah bagaimana untuk menghadapi dua insan berjaket hitam yang menunggang motorsikal.

Motorsikal honda 5OO c.c. yang dinaiki oleh dua insan berjaket hitam, meluru laju ke arah kami.

Bagi mengelakkan diri dari dilanggar, saya molompat ke kiri dan jatuh dalam perdu pisang hutan. Pemandu melompat ke kanan dan tercampak dalam lopak tanpa air.

Kedua-dua penunggang motorsikal ketawa melihat saya dan pemandu terkial-kial mahu bangun.

"Rasanya aku kenal mereka."

Itu yang dikatakan o!eh si pemandu bila saya menghampirinya. Ada kesan bengkak dikening kirinya. Mungkin dla terhantuk benda keras.

Kerana bimbang motorsikal yang dinaiki oleh dua lelaki berpatah batik untuk melanggar kami, saya dan pemandu mencari tempat berlindung di balik rerumpun pepokok renik.

Apa yang kami duga tidak berlaku. Kami bukanlah sasaran pilihan mereka.

Sasaran utama mereka ialah belakang datuk yang sedang membongkok merawat Syed Hamid Al-Hadad.

"Tuk, mereka datang," sepenuh tenaga saya menjerit.

Secepat kilat datuk menoleh ke arah motorsikal yang meluru laju ke arahnya. Menyedari dirinya dalam bahaya. Datuk pun mengubah taktik membantu kawannya.

Kalau pada awalnya dia mahu mengurut sepasang kepala lutut Syed Hamid Al-Hadad supaya berfungsi dengan baik. Kemudian memapah kawannya ke kereta.

Kerana tordesak, rancangan yang disusun terpaksa ditukar. Dengan sisa-sisa tenaga tua yang masih ada. Datuk mengheret Syed Hamid Al-Hadad ke pangkal pokok kabung.

KIRI

Perubahan taktik yang datuk lakukan secata otomatik membantut rancangan dua orang penunggang motorsikal honda 500 cc.

Mereka mahu menangkap Syed Hamid Al-Hadad dengan cara melanggar dari sebelah kiri. Kegagalan itu membuat kedua-dua lelaki itu marah. Lebih-lebih lagi bila melihat datuk dan Syed Hamld Al-Hadad tidak berganjak dari perdu pokok kabung.

Seiring dengan bunyi enjin motorsikal yang amat bising, mereka mengelilingi pokok kabung berbelas-belas kali. Datuk dan Syed Hamid Al-Hadad tetap bertahan di situ sambil berzikir mengingati nama Allah.

Menyedari usaha yang dilakukan tidak mendatangkan hasil. Enjin motorsikal dimatikan dan ditinggalkan di tempat lapang.

Sungguh mengejutkan bila lelaki yang terkapar di batu dan berdarah di dahi terus bergabung dengan kedua-dua lelaki yang baru turun dari motosikai.

Mereka terus bergerak serentak menuju ke arah datuk dan Syed Hamld Al-Hadad.

"Mereka mahu membunuh datuk saya."

"Hisss..." pemandu juihkan bibir sambil gelengkan kepala.

Saya cemas dan bimbang. Nyawa datuk dalam bahaya.

"Tengok, mereka menuju ke arah datuk saya."

Itulah yang saya lakukan bagi meyakinkan pemandu. Apa yang saya katakan memang benar. Saya tidak borbohong. Si pemandu masih bersikap dingin. Tidak bersedia untuk membantu saya.

"Tamar."

Muka pemandu yang berdahi luas saya tatap.

"Sebenarnya, mereka tak minat dengan datuk kamu yang tak ada apa-apa. Mereka tak kenal datuk kamu Tamar," sambung si pemandu dengan air muka yang selamba.

Saya yang selama ini mengagumi kehebatan datuk merasa terhina dengan kata-kata yang diluahkan oleh sipemandu berdahi luas.

Renungan yang bertakung dengan kemarahan dipancarkan ke wajah si pemandu yang masih belum melakukan sesuatu terhadap majikannya yang tersepit.

"Maafkan aku Tamar. Aku tahu kamu marah. Bukan niat hati aku mahu melukakan hati kamu. Aku cakap perkara yang benar, tiga manusia laknat tu mahu menangkap Pak Syed."

MENOLONG

Penjelasan yang membuat saya mengedutkan kening dan dahi. Barangkali pemandu berada dl pihak yang benar. Tetapi, dia masih belum bertindak. Masih berdiri di kiri saya. Belum melakukan sebarang tidakan untuk menolong Syed Hamid Al-Hadad.

Barangkali dia memerlukan pertolongan dari saya. Timbul persoalan dalam hati. Kalau memerlukan pertolongan, dia harus bertindak terlebih dahulu. Itu keputusan hati saya.

"Kamu tahu kenapa mereka mahu menangkap Pak Syed, Tamar."

Saya gelengkan kepala.

"Sebab mereka tahu, orang yang diburu seorang jutawan dan dermawan."

Kali ini, saya tidak memberikan sebarang reaksi. Samaada menggelengkan kepala dan berkata sesuatu. Perasaan sungguh tidak tenteram.

"AH..."

Itu yang terkeluar dari mulut bila lelaki setengah baya berdarah dahi memisahkan diri dengan dua lelaki berjaket hitam. Lelaki berdarah di dahi datang ke arah saya dan pemandu.

"Orang itu dalang kearah kita," kata saya.

Kerana tidak menerima jawapan. Saya segera menoleh ke arah pemandu di sebelah kiri. Dia sudah tiada disisi.

Cukup pantas dia bergerak meninggalkan saya menuju ke arah lelaki berdarah dahi. Lelaki itu sudah borsedia menanti kedatangan si pemandu yang tidak dapat mengawal perasaan. Langkah kedua-duanya cukup kencang dan bersemangat.

Akhirnya langkah mereka terhenti serentak bertentang mata, bertentang wajah. Macam cerita cowboy, bila hero berhadapan dengan musuh satu lawan satu. Ada rasa cemas dan gementar menguasai rongga dada mereka berdua.

TUNGGU

Saya menunggu penuh rasa debar. Siapakah yang akan membuka langkah pertarungan di bawah langit petang menjelang senja. Tengkuk siapakah yang patah. Tempurung lutut siapakah yang bakal retak seribu sambil merintih kesakitan.

"Hei manusia laknat menolong kamu tak ubah macam menolong anjing tersepit," Jerkah si pemandu.

Serentak dengan itu, selangkah dia melangkah kedepan. Menerpa kencang sambil melepaskan penumbuk sulung ke muka lelaki berdarah dahi.

Tumbukan yang kencang bersama lompatan (terpaan) harimau menangkap kijang (istilah yang digunakan dalam ilmu tenaga dalam campur persilatan: Harimau melindung anak) yang tepat dihalakan ke pangkal leher, berjaya ditepis oleh lelaki berdarah dahi.

Ternyata lelaki itu bukan tangan kosong. Tidak berbekal gusi dengan lidah dalam mempertahankan diri. Pergelangan tangan si pemandu dapat ditangkap lalu dikilas ke belakang yang dituruti dengan satu tendangan padu.

Si pemandu tergolek di bumi. Merintih kesakitan.

Lelaki yang berdarah dahi (lelaki separuh baya) menerkam ke arah pemandu yang berguling-guling dibumi menahan kesakitan.

Dengan pantas lelaki berdarah dahi mengangkat kaki kanan dan bersedia untuk melepaskan satu hentakan padu ke dada pemandu.

Saya tahu hentakan itu boleh mematahkan tulang rusuk. Kalau kena pangkal bahu sebelah kiri. Boleh mengakibatkan mati badan sebelah secara perlahan-lahan.

Menyedari bencana yang bakal dihadapi oleh pemandu Syed Hamid Al-Hadad yang juga rakan baru saya. Secara tiba-tiba hati jadi panas dan marah. Dan secara mendadak suatu kekuatan baru tumbuh dalam diri.

"Dreber tu mesti diselamatkan sebelum dia jadi lebih teruk. Kamu ada kemampuan menghalang perbuatan lelaki laknat tu," terngiang-ngiang suara halus dicuping telinga.

Dua tiga kali ungkapan itu diulangi oleh suara yang sukar dipastikan suara siapa dan dari mnana suara itu datang.

Darah saya tersirap. Cabaran itu harus dijawab. Demikian saya membuat keputusan.

"Bismillahhirrahman nirahimmmm..."

Selesai mengucapkan kata penuh hikmat itu. Tanpa membuang masa walaupun sedetik. Saya pun membuka langkah, mengatur tapak, 1-2-3 sambil mencari tempat selesa untuk mengatur serangan.

Saya juga menghitung dan mengambil kira, bahagian tubuh yang mana wajar dilepaskan tendangan atau pun tumbukkan padu.

MAUT

Biar penumbuk dan tendangan yang dilepaskan dapat memberikan kesan teruk tetapi tidak membawa maut.

Setelah dihitung dan dikaji buruk baik, untung ruginya. Saya pun segera menerkam bersama lompatan dan tendangan kuda biang.

Dalam hitungan yang dibuat, tendangan kaki kiri akan hinggap di bahu kanan. Beberapa detik berikutnya akan disusuli dengan penumbuk kencang. Tepat mengena pangkal belikat kiri.

Bila semua yang dirancang dapat berjalan seperti apa yang diingini. Pasti lelaki berdarah dahi, tidak boleh bangun untuk membalas serangan yang saya lakukan itu.

Aduhai apalah malangnya diri ini. Apa yang dirancang tidak menjadi kenyataan. Lelaki separuh baya (berdarah di dahi) panjang akal bicaranya. Langkah gerak dan percaturan sendiri, dapat dibacanya.

Di saat tumbukan dan tendangan menghampiri sasarannya, kira-kira dalam jarak setengah kaki, lelaki berdarah dahi menggerakkan tubuhnya tiga inci ke sebelah kiri.

Dan sepasang tangannya terlalu pantas menyambar telapak kaki kiri saya sekuat hati.

Sakitnya bukan kepalang. Sendi pangkal paha rasanya bagaikan tercabut. Begitu juga dengan bahagian-bahagian sendi yang lain.

Tulang-temulang dirasakan patah remuk. Tubuh terasa melayang ke kanan. Tetapi, mata masih sempat melihat lelaki berdarah dahi berdiri bercekak pinggang merenung ke arah saya yang melayang di udara.

Sekujur tubuh saya tercampak ke perdu senduduk putih bercabang lima. Salah satu daripada cabang senduduk itu mencucuk perut.

PERDU

Nasib baik tidak tembus. Kalau tembus sudah tentu perut bertabur ditanah. Baju pembalut tubuh habis koyak rabak. Kulit perut bergaris dan lebam.

Seturuh kekuatan saya kumpul untuk bangun. Hasilnya saya dapat duduk. Bila berdiri, saya terus jatuh bergolek. Tulang kering dan paha tidak mampu menampung badan saya.

Dengan tenaga yang masih tersisa, saya merenung sayu ke arah pemandu Syed Hamid AI Hadad. Dia sudah berjaya duduk tetapi, masih gagal untuk berdiri.

"Tamar." Gegendang telinga dapat menangkap suaranya yang separuh keras. Sebagai jawapan, saya hanya menggangukan kepala.

"Kamu parahhkan, Tamar?"

Macam tadi juga, saya hanya mengangguk. Pandangan saya mula berpinar-pinar. Lelaki berdarah di dahi masih bercekak pinggang, berdiri macam tadi.

"Tamar, aku dah tak sakit lagi."

Sayup-sayup terdengar suaranya lagi. Pandangan tadi kabur, bentuk tubuh pemandu tidak dapat dilihat dengan jelas. Begitu juga dengan lelaki berdarah dahi.

Permukaan bumi rasa bergerak tubuh terasa berpusing-pusing. Apa yang dilihat semuanya nampak samar-samar dan bergoyang ke kiri dan ke kanan.

Lubang hidung terasa pedih, ada cecair yang keluar dari situ. Telinga terus berdesing dan ada cecair yang keluar. Sukar untuk dipastikan sama ada air atau darah.

Saya kehabisan tenaga lalu menelentangkan tubuh ke dada langit.

Tidak tahu berapa lama saya terpana terpisah dari keadaan sekitar. Apa yang pasti, ketika mahu menggerakkan kaki kanan, terasa sakit yang amat sangat.

"Allah huakbar."

Sebaik saja kata itu terpancut dan mulut, telinga saya boleh menangkap bunyi deru angin. Mata boleh melihat langit, awan dan pokok dalam keadaan yang normal.

Lelaki berdarah dahi, tidak kelihatan berdiri di tempatnya. Cecair yang keluar dari lubang hidung dan telinga, segera saya raba dengan telapak tangan.

"Darah."

Darah hidung dan telinga bersatu di telapak tangan. Cemas seketika. Bagi memastikan, apakah darah masih keluar berterusan, lagi sekali lubang telinga dan hidung diraba.

Darah lidak keluar lagi. Saya cuba bangun. Macam tadi juga, masih gagal. Bahagian pinggang terasa amat sakit.

Dalam keadaan yang serba tidak kena dan menjadi itu. Secara sepontan saya teringat, datuk pernah menggunakan daun senduduk putih untuk menghilangkan rasa sakit sendi dan pinggang.

Tamat Siri Bercakap Dengan Jin 234/284

BACA: SBDJ Siri 233: Dugaan Perjalanan
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-Sentiasapanas.com

Saturday, January 17, 2026

Kisah Gereja Unification Ditipu Seorang Budak Afrika

Kisah Gereja Unification Ditipu Seorang Budak Afrika

Sun Myung Moon mengaku dirinya merupakan jelmaan Tuhan di muka bumi sebagai "Anak Tunggal Tuhan" (Only Begotten Son) yang dilahirkan buat kali kedua (Second Coming) selepas Jesus. Pengikutnya sujud menyembahnya sebagai seorang Messiah yang memiliki segala pengetahuan dan pemegang kunci wahyu Tuhan di muka bumi.

Sun Myung Moon Mengaku Tuhan
Mengaku jelmaan Tuhan di bumi.

Walaupun begitu, terdapat satu peristiwa yang memalukan Gereja Unification apabila muncul seorang budak Afrika dari kalangan pengikutnya, mengaku bahawa dia adalah jelmaan semula anak Sun Myung Moon yang meninggal. Budak Afrika itu mengaku dirinya ialah Black Heung Jin Moon.

Kisahnya bermula pada tahun 1984, selepas salah seorang anak Sun Myung Moon bernama Heung Jin Moon meninggal dunia. Dia adalah anak lelaki kedua Sun Myung Moon dan dianggap sangat taat serta dianggap pelindung rohani keluarga dalam kepercayaan dalaman gereja.

Heung Jin meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya di New York State kerana kereta yang dipandunya dirempuh trak treler di Hyde Park pada 22 Disember 1983. Dia akhirnya menghembus nafas terakhir pada 2 Januari 1984.

Sejurus dia meninggal dunia, Gereja Unification mengadakan upacara Seonghwa (upacara pengebumian) bertaraf dunia di Belvedere, Tarrytown dan Seoul (Little Angels School). Dari sinilah tradisi Seonghwa untuk ahli Blessed dirumuskan dan diajarkan secara rasmi dalam gereja.

Dalam kepercayaan dalaman gereja, kematian Heung Jin dilihat "membendung malapetaka ke atas True Parents", menyebabkan dia dihormati sebagai raja roh di syurga (kadang-kadang digambarkan lebih tinggi daripada Yesus dalam hierarki alam rohani Gereja Unification).

Pada 20 Februari 1984, iaitu 50 hari selepas pemergiannya, Sun Myung Moon memimpin upacara Blessing dengan mengahwinkan Heung Jin (di alam roh) dengan seorang wanita bernama Hoon-sook atau Julia Pak (setelah itu dikenali sebagai Julia Moon) iaitu anak kepada pemimpin Gereja Unification di Amerika Bo Hi Pak.

Selepas itu, Julia Moon kekal dikenali sebagai balu rohani Heung Jin dan kemudian menjadi Pengarah Umum kepada Universal Ballet.

Media merekodkan bahawa syarikat balet itu dibangunkan untuk meneruskan hidup dan bakatnya selepas "suaminya" meninggal.

Tidak lama selepas itu, muncul fenomena "mesej roh" atau "roh menurun" ke dalam tubuh beberapa penganut gereja.

Salah satunya ialah kes seorang ahli gereja warga Zimbabwe bernama Cleophas Kundiona mendakwa dirinya dirasuk oleh roh Heung Jin dan dia mengisytiharkan dirinya sebagai "jelmaan fizikal Heung Jin".

Sebelum itu, perlu difahami bahawa dalam teologi Unification, wujud konsep "returning resurrection" iaitu roh seorang tokoh boleh "menurun" ke dalam diri manusia hidup untuk menyempurnakan misi rohaninya. Pengaruh ini diserap melalui fahaman shamanisme Korea.

Pada ketika itu, setelah kematian Heung Jin Moon, mendiang telah disanjung tinggi sebagai "pengorbanan pelindung True Parents".

Tambahan pula, duka pasca kematian Heung Jin telah mewujudkan ruang emosi dan teologi romantis bagi menyuburkan harapan akan "kembalinya" Heung Jin secara mukjizat ke dunia ini.

Pada penghujung tahun 1987 hingga 1988, Cleophas Kundiona memanfaatkan peluang itu dengan mendakwa roh Heung Jin telah "merasuk" dalam dirinya, lalu komuniti gereja mula memanggilnya sebagai "Black Heung Jin-nim."

Dengan sikapnya memiliki karismatik yang kuat sebagai seorang pembohong, Kundiona cepat mendapat akses ke pentas antarabangsa. Kedudukannya diiktiraf oleh Sun Myung Moon dan Hak Ja Han.

Kundiona diberi mandat untuk mengadakan misi gereja di peringkat antarabangsa seperti di Korea, Jepun, Eropah, Amerika Syarikat dan Afrika.

Dia turut memperkenalkan upacara exorcism atau cleansing roh yang kadang-kadang disertai kekerasan fizikal seperti menampar dan memukul ahli gereja, termasuk pimpinan tertinggi gereja.

Pada mulanya, sebahagian pemimpin setempat memberi ruang kerana wibawa nama "Heung Jin-nim" dan kisah-kisah ajaibnya.

Namun, laporan tentang tingkah laku Black Heung Jin yang ganas, mengaibkan dan melampau semakin menjadi-jadi. Dia dilaporkan telah memukul dan mencederakan beberapa orang ahli gereja yang lain.

Akhirnya, ibu pejabat gereja mengarahkannya supaya kembali ke Afrika dan menghentikan dakwaan bahawa dirinya ialah "roh Heung Jin".

Namun, Kundiona enggan patuh, lalu Sun Myung Moon kemudian menyatakan "roh Heung Jin telah meninggalkannya" dan apa yang tinggal dalam jasadnya dianggap roh jahat.

Dia kemudian dipecat daripada menjadi ahli gereja dan dia mula berpaling dengan menjadi penentang Gereja Unification.

Kundiona dilaporkan telah membakar kitab suci gereja Divine Principle sebagai bentuk protes dan menubuhkan sebuah kumpulan serpihan serta menarik keluar sebahagian kecil anggota supaya menyertai gerejanya terutamanya di Afrika Selatan, Zimbabwe dan sekitarnya.

Kisah ini jelas menunjukkan kebodohan Sun Myung Moon dan seluruh anggota Gereja Unification yang begitu senang ditipu oleh seorang budak psikopat.

Bagaimana seorang yang mengaku menguasai ilmu pengetahuan dan wahyu dibohongi seteruk itu?

Lebih menyedihkan apabila kebodohan lelaki ini dan gerakannya berjaya mempengaruhi ahli politik Muslim di negara ini.

Fb: Ahmad Iqram Mohamad Noor

Semoga memberi manfaat.

-Sentiasapanas.com

Friday, January 16, 2026

Donald Trump Mengulangi Ayat Kesombongan Kaum 'Ad

Donald Trump Mengulangi Ayat Kesombongan Kaum 'Ad

"Adapun kaum 'Ä€d, maka mereka bersikap sombong di muka bumi tanpa alasan yang benar dan mereka berkata: 'Siapakah yang lebih kuat daripada kami?'" (Surah Fussilat: 15)

Kaum 'Ä€d merupakan salah satu kaum terdahulu yang disebut dalam Al-Qur'an sebagai contoh umat yang dibinasakan akibat kesombongan dan keingkaran mereka terhadap perintah Allah. Kaum ini tinggal di kawasan Al-Ahqaf, wilayah berpasir di antara Yaman dan Oman.

Kesombongan Donald Trump

Mereka terkenal dengan tubuh badan yang gagah, kekuatan fizikal yang luar biasa serta kemampuan membina bangunan yang besar dan kukuh.

Kemudian perhatikan ungkapan Donald Trump, "Amerika Syarikat sekali lagi membuktikan kita memiliki angkatan tentera paling berkuasa, paling mematikan, paling canggih dan paling digeruni di muka bumi. Tiada siapa mampu tandingi kita. Saya sudah lama katakan perkara ini, tiada siapa boleh lawan kita."

"The United States has once again proven that we have the most powerful, the most lethal, the most advanced, and the most feared military on Earth. Nobody can match us. I’ve been saying this for a long time—nobody can fight us, nobody comes close."

Ungkapan ini bukan sekadar kebetulan bahasa, tetapi pola keangkuhan yang berulang dalam sejarah.

Apabila seseorang atau sesebuah kuasa berada di tempat yang tinggi, masih segar dengan kejayaan baharu, maka mudah untuk melupakan kegagalan lama dan menutup mata terhadap realiti sebenar.

Selama hampir dua tahun Amerika Syarikat mencurahkan segalanya kepada Netanyahu, namun seorang tebusan pun tidak berjaya dibawa pulang dengan mudah. Malah, seorang pemimpin utama juga gagal ditangkap untuk dijadikan tebusan.

Tentera Amerika sendiri pernah beroperasi di Bait Hanun dan Khan Younis, tetapi mereka tetap gagal mencapai objektif. Kekuatan teknologi dan persenjataan tidak menjamin kemenangan apabila berhadapan dengan perjuangan yang berakar pada akidah dan kesabaran.

Gugurnya Abu Ibrahim Yahya Sinwar, Ismail Haniyeh, Muhammad Deif dan Abu Obaida (Abu Ubaidah), bukan kerana mereka pengecut, tetapi kerana mereka berada di lapangan perjuangan, berbeza dengan Netanyahu yang melarikan diri ke bunker bawah tanah setiap kali siren dibunyikan.

Dan yang lebih menggentarkan, selepas kesyahidan majoriti pimpinan utama Hamas, gerakan ini masih berdiri, masih mampu mengurus Gaza dari sudut keselamatan, kemasyarakatan dan ketahanan awam, kerana perjuangan yang berasaskan keimanan tidak mati dengan kematian individu.

Trump dan sekutunya juga seolah-olah lupa satu hakikat besar sejarah: tiada kerajaan yang kekal selamanya.

Great Britain yang suatu ketika dahulu menjajah hampir seluruh dunia, kini menyaksikan perubahan demografi dan penguasaan sektor-sektor penting negara oleh mereka yang dahulunya dijajah.

Kuasa besar itu melemah bukan kerana kekurangan senjata, tetapi kerana keangkuhan, ketidakadilan dan keretakan dalaman.

Sejarah yang sama berlaku kepada kerajaan Firaun. Di puncak kekuasaan, memiliki tentera dan kekayaan luar biasa, Firaun dengan angkuh berkata: "Bukankah kerajaan Mesir ini kepunyaanku?" Namun laut yang dilalui dengan penuh megah akhirnya menjadi kubur yang menelan seluruh keangkuhannya.

Kaum 'Ä€d pula memiliki kekuatan fizikal dan binaan luar biasa, sehingga menyangka tiada siapa mampu menewaskan mereka. Namun angin yang kelihatan lemah itulah yang memusnahkan seluruh tamadun mereka, sehingga al-Quran menggambarkan mereka seolah-olah tidak pernah wujud.

Kaum Thamud, dengan teknologi memahat gunung dan perancangan kota yang hebat, tetap hancur hanya dengan satu pekikan kerana kesombongan dan keingkaran mereka.

Begitu juga Empayar Rom, sama ada Rom Timur atau Barat, yang pernah menjadi simbol ketenteraan dan ketamadunan dunia. Namun kezaliman, perebutan kuasa dan kerosakan moral melemahkan mereka dari dalam sebelum mereka runtuh dari luar.

Semua kerajaan besar berkongsi penyakit yang sama; apabila kekuatan dijadikan sandaran mutlak, keadilan ditinggalkan dan Tuhan dilupakan, maka kehancuran hanya menunggu masa.

Al-Quran tidak menceritakan kisah-kisah ini sebagai nostalgia sejarah, tetapi sebagai amaran berulang kepada manusia yang menyangka diri mereka luar biasa.

Kekuatan tanpa kebenaran melahirkan kezaliman. Kejayaan tanpa kesyukuran melahirkan keangkuhan. Kekuasaan tanpa keadilan melahirkan kehancuran.

Dan sejarah sentiasa membuktikan satu hakikat yang tidak berubah; yang kekal bukan kuasa tetapi kebenaran, yang menang bukan yang paling kuat tetapi yang paling sabar dan istiqamah.

Ustaz Megat Aiman Hakim bin Megat Shariffudin
Pegawai Penyelidik Aqsa Syarif

Semoga memberi manfaat.

-Sentiasapanas.com

SBDJ Siri 233: Dugaan Perjalanan

SBDJ Siri 233: Dugaan Perjalanan

Si dreber tumpukan perhatian kepada tugas. Kereta terus meluncur laju membelah jalanraya. Macam tadi juga, datuk dan Syed Hamid Al-Hadad masih rancak berbual. Bila diamat-amati topik perbualan mereka lebih banyak menekankan pada akidah, tarikat.

Toyol jadi-jadian

Disamping itu, mereka juga mencuit persoalan penyelewengan dalam akidah yang secara tidak disedari atau disengajakan oleh orang-orang yang dalam dan tinggi pengetahuan agamanya.

"Zeeeekkkkk..."

Empat tayar kereta terhenti berputar secara mengejut. Semua yang ada kereta terangkat punggung dan tersengguk ke depan. Kaki dreber melekat ke pedal berek. Kedudukan badan kereta berubah 45 darjah ke bahu jalan.

"Maafkan saya Pak."

Dreber menoleh ke belakang. Renung muka Syed Hamid Al-Hadad dan datuk. Kedua-duanya kelihatan terpinga-pinga sambil membetulkan duduk yang sudah berubah.

"Gajah melintas Pak, saya terpaksa berek."

"Tak apa. Syukur pada Allah kita semua selamat," ucap Syed Al-Hadad.

Empat ekor gajah berdiri di depan kereta.

Salah seekor dari gajah itu, paling besar dengan sepasang gading yang tajam. Panjangnya dianggarkan lebih dari tiga kaki. Sambil bertempik gajah tersebut menjatuhkan belalainya atas bonet kereta. Semua yang ada dalam kereta kecut perut.

"Tenang, jangan bising dan jangan bunyikan hon kereta," ujar datuk perlahan.

Arahannya segera dipatuhi. Kami saling berpandangan penuh dengan kebimbangan. Dari atas bonet depan belalai gajah yang lembut bergerak ke atas bumbung kereta.

Bila kaki depannya digeselkan ke badan kereta, seluruh kereta bergegar. Kami bergerak ke kiri dan ke kanan mengikuti gerak kereta yang digesel kaki gajah.

Lebih dari lima belas minit kami mematikan diri. Entah kenapa tidak ada sebuah kereta yang melintas ketka itu.

Mungkin para pemandu yang selalu menggunakan jalan raya tersebut sudah tahu, ketika kami melalui jalan tersebut, adalah ketika dan saat binatang liar melintasi jalan. Beralih tempat mencari rezeki di seberang jalan. Mungkin apa yang berlaku itu adalah secara kebetulan.

Dalam saat yang serba mencemaskan itu, gajah besar terus bertempik, dengan sekuat-kuatnya. Gajah-gajah yang lain segera mendekatinya lalu mengelilingi kenderaan kami.

Tidak ada apa yang dapat dilihat kecuali kaki gajah yang hitam menutup pandangan. Kami pasrah kepada Allah.

Perlahan-lahan saya gerakkan kepala. Menoleh ke arah datuk dan pandangan kami bersambung. Sepasang bibir terasa bergerak-gerak lemah. Tetapi tidak ada sepatah kata terlontar dari mulut.

Dan datuk yang mengerti gelodak batin segera meletakkan telapak tangan kiri ke atas bahu.

"TenangTamar."

"Tapi saya takut."

"Mohon pertolongan dari Allah dengan ayat-ayat Quran yang aku bekalkan kepada kamu," lembut nada suara datuk. Penuh diplomasi membangunkan sebuah keyakinan diri dalam kalbu.

Saya menggangguk dan renungan kembali pada posisi asal. Merenung cermin kereta dan kumpulan gajah liar yang masih belum berganjak.

Dari celah-celah kaki gajah, gumpalan awan putih yang bergerak di dada langit, masih boleh dilihat.

KABUL

Doa kami berempat yang sengsara dalam perut kereta diperkenankan oleh Allah. Gajah besar terus bertempik, seolah-olah mengeluarkan sebuah arahan.

Beberapa detik berikutnya kumpulan gajah itu, seekor demi seekor bergerak ke arah yang ditunjukkan oleh belalai gajah besar.

Saya dan pemandu menarik nafas kelegaan. Pandangan tidak lagi dihalang oleh kaki dan badan kumpulan gajah liar. Gajah besar membawa anak buahnya memasuki hutan di kaki sebuah bukit.

Barangkali di situ kaya dengan pokok bayas yang lembut umbutnya di sampingnya pisang hutan yang tumbuh merata-rata.

"Allah hu Akbar," balas datuk.

Saya dan pemandu berbalas senyum. Wajah yang sebentar tadi cemas semacam, segera bertukar menjadi ceria. Penuh semangat dan keyakinan yang cukup tinggi. Si pemandu besedia meneruskan tugas yang terganggu.

"Bagaimana perasaan kamu? Sudah aman?" Syed Hamid Al-Hadad menatap wajah pemandunya yang berdahi luas.

"Sudah aman Pak."

"Kalau begitu, teruskan perjalanan. Kalau lambat nanti kita senja di perjalanan. Lagi pun kawasan ini bukan kawasan aman. Banyak orang jahat."

"Maksud tuan Syed?" secara spontan datuk bertanya.

"Kenderaan yang lalu di sini selalu dirompak. Kadang-kadang dibunuh dan mayat dibuang dalam hutan untuk makanan binatang buas."

"Oh, begitu," ada keresahan dihati datuk.

Sambil menarik nafas, kiri kanan jalan direnungnya. Apa yang dilihatnya ialah pokok besar yang berdiri kukuh. Entah mengapa secara tiba-tiba saya terasa seram.

"Kenapa masih belum bergerak?"

Syed Hamid Al-Hadad mencuit bahu pemandunya.

"Saya kira bapak ada urusan lagi."

"Urusan apa? Tak ada urusan. Ayuh, sekarang jalan."

"Baik pak."

Kereta kembalii bergerak. Mula-mula perlahan-lahan kemudian beransur laju dan terus laju. Meninggalkan pepokok, bukit bukau di belakang.

Suasana di jalanan terasa agak lengang, kenderaan tidak serancak tadi. Samada yang ke Medan atau sebaliknya. Langit masih cerah. Awan juga bergerak lemah. Tetapi matahari kian condong ke barat.

Pemandu di sebelah tetap hati-hati dan teliti mengemudi kenderaan yang dikendalikan. Matanya tajam merenung dada jalan, sesekali dia menoleh ke arah kiri dan kanan jalan.

Macam ada sesuatu yang diawasinya. Dua tiga buah kenderaan berat memotong, tidak memberikan peluang kepada kenderaan kami untuk menyelit di tengah.

Secara berbisisk, pemandu memberitahu kenderaan berat yang membawa barangan dari kota raya Medan, akan bergerak secara konvoi, tidak bersendirian. Tujuan untuk keselamatan pemandu dan barang yang dibawa.

Penjahat jalanan tidak akan merompak kenderaan barang yang bergerak secara berkumpulan.

Atas alasan keselamatan, pemandu kenderaan berat tidak mahu terpisah antara satu sama lain dalam jarak yang jauh. Mereka juga tidak mahu di antara jarak tersebut ada kenderaan lain menyelit.

Kerana kenderaan yang menyelit di tengah-tengah itu belum pasti penumpang atau pemandunya orang baik-baik. Siapa tahu, kalau penjahat jalanan menyamar jadi orang baik-baik untuk merompak.

"Di jalanraya ini, macam-macam boleh jadi. Orang yang nampak baik, raut muka macam orang berpelajaran, belum tentu baik. Orang yang nampak kasar dan muka macam mahu makan orang, belum tentu jahat. Pendek kata para pemandu di sini diselubungi misteri. Jadi, saya harus berhati-hati dan beringat. Salah perhitungan celaka badan," bisik si pemandu, antara jelas dengan tidak.

OTAK

Sikap si pemandu memberitahu secara berbisik menimbulkan berbagai-bagai persoalan dalam otak. Kenapa dia tidak mahu menerangkan secara terbuka. Kenapa mesti bisik-bisik?

Mungkin dia berbuat demikian kerana tidak mahu perkara tersebut sampai ke pengetahuan Syed Hamid Al-Hadad dan datuk.

Bila perkara yang tidak menyenangkan itu diketahui oleh kedua-dua orang tua yang duduk di belakang, macam-macam masalah boleh timbul.

Setidak tidaknya perasaan mereka tidak akan aman. Sentiasa diburu keresahan dan rasa takut.

Dan hati kecil saya membuat kesimpulan, bahawa pemandu di sebelah saya ini termasuk istilah pemandu misteri yang disebut pada saya sebentar tadi.

"Uhhh..."

Sebuah keluhan tanpa sebab terhambur dari mulut. Ada jelingan tajam dari pemandu untuk saya. Serentak dengan jelingan itu, ada sekilas senyum pendek beralun di kelopak bibirnya. Barangkali senyum sindiran.

Dan boleh juga jadi senyum simpati. Macam-macam andaian timbul akibat senyum. Tidak salah, kalau saya mengkategorikan pemandu di kanan saya termasuk dalam golongan pemandu seribu kemungkinan.

Sesungguhnya, bermula dari bisikan, telatah dan senyum tang dipamirkan oleh si pemandu, menghimpunkan sejuta keresahan, ketakutan dan kecemasan yang memanjang dalam rongga dada.

Tetapi, mujurlah apa yang memuak di rongga dada dapat dikawal dan ditenteramkan. Terutama bila melihat si pemandu memaut stering kereta seerat mungkin. Kereta terus meluncur laju.

Sinar matahari petang kian redup. Bila kenderaan melalui jalan yang di kiri kanannya ditumbuhi pepohon besar dan berdaun lebat, terasa agak gelap.

Suasana begini tidak mengganggu datuk dan Syed Hamid Al-Hadad yang duduk tersandar di kusyen belakang dan berborak.

Sesekali terdengar suara mereka bercakap. Biasanya, percakapan itu tidak berlangsung lama, hanya untuk beberapa minit saja. Kemudian masing-masing membisu. Bercakap lagi untuk beberapa minit. Membisu lagi, begitulah silih berganti.

Dan tekanan nada suara bila bercakap cukup rendah sekali. Sukar untuk dikesan tentang perkara yang mereka perkatakan.

Sebuah lori datang meluru dari arah belakang sambil membunyikan hon dengan kuat, minta laluan. Sungguh tidak sopan pemandu lori itu.

Sambil memotong dia terus menghimpit lorinya ke arah kereta yang kami naik. Pemandu sebelah saya jadi kelam kabut dan terus menekan berek serta memandu kereta ke tepi jalan.

"Sial..."

Itu yang terkeluar dari mulut pemandu. Mukanya merah menahan kemarahan. Lori yang memotong lesap dari pandangan. Syed Hamid Al-Hadad dan datuk tidak memberi sebarang komen.

"Sial, dia memang manusia syaitan laknat," terhambur lagi ungkapan dari rahang mulut pemandu. Api kemarahannya masih belum menurun.

"Jangan maki hamun orang macam itu. Itu bukan amalan orang yang berhati mulia," Datuk cuba memberikan ketenangan.

"Habis macam mana saya tak marah. Dia menghimpit kereta kita. Dia mahu membunuh kita semua. Dia ingat dia seorang saja mahu hidup," ledakan kemarahan terus diluahkan oleh si pemandu.

"Kita mengalah saja, beri laluan kepadanya," Syed Hamid Al-Hadad memberikan sebuah pandangan.

Si pemandu yang dadanya masih bersarang dengan api kemarahan terdiam. Dua tiga kali dia menelan air liur sambil menggosok pangkal hidungnya berkali-kali.

"Maafkan saya, memang saya tak boleh tahan dengan perangai biadabnya," si pemandu renung muka Syed Hamid Al-Hadad dan batuk berkali-kali.

"Lupakan."

Serentak datuk dan Syed Hamid Al-Hadad bersuara. Si pemandu yang api kemarahannya beransur reda mengangguk. Dan enjin kereta yang mati dihidupkan kembali.

TENANG

Dengan tenang setering kereta dipulas ke kanan. Empat tayar kereta yang terbabas ke dalam rumput di gigi jalan berjaya dinaikkan ke atas dada jalanraya.

Seterusnya kereta kembali bergerak lancar. Tetapi, rasa kemarahan masih belum padam seratus peratus dari dalam hati pemandu di sebelah saya.

Buktinya, dapat dikesan dari mulutnya yang kumat-kamit. Saya kira dia masih memaki hamun, menyumpah seranah pemandu lori kecil yang tidak senonoh.

Cuaca petang, kian redup. Matahari makin condong kebarat. Pada hemat saya, tidak sampai dua jam lagi, matahari akan terbenam di kaki langit. Perjalanan seterusnya di rasa cukup selesa.

"Pengalaman kereta dihimpit dan dilanggar orang dari belakang atau terbalik dalam gaung, memang sudah saya rasakan. Tetapi, pengalaman..." Syed Hamid Al-Hadad yang memulakan percakapan dengan datuk, tidak meneruskannya.

"Kenapa berhenti," datuk mendesak.

"Saya rasa kurang sopan, kalau saya meneruskan."

"Demi persahabatan ini, anda harus meneruskan."

Sepasang anak mata hitam datuk tertampar kewajah Syed Hamid Al-Hadad mengangguk tanda setuju.

"Ini pengalaman pertama saya berdepan dengan gangguan gajah liar di jalanraya. Semangat saya terasa melayang. Sebelum ini, awak pernah mengalaminya?" jujur sekali Syed Hamid Al-Hadad menyampaikan apa yang ada di dalam hatinya.

Datuk tidak memberikan tindak balas yang positif terhadap pertanyaan yang diajukan.

Memang ada rasa sedikit kehampaan di hati Syed Hamid Al-Hadad. Dia tidak berputus asa dan terus mengajukan pertanyaan yang sama.

"Pernah," balas datuk pendek.

"Mencemaskan?"

"Kali pertama memang mencemaskan. Bila masuk kali kedua dan ketiga, kurang sikit rasa takutnya."

"Bagaimana kalau perkara macam ini berlaku masa depan?"

"Saya berharap dan berdoa kepada Allah, janganlah perkara itu berlaku lagi," tegas datuk.

"Saya pun harap begitu," kata Syed Hamid Al-Hadad. Kedua-duanya ketawa kecil penuh dengan kemesraan dan kekeluargaan.

Saya dan pemandu yang mendengar dialog antara Syed Hamid Al-Hadad dengan datuk turut tersenyum.

Memang melucukan. Sepatutnya mereka bercakap atau berbual hal-hal yang lebih besar dari itu.

Agaknya perkara itu sengaja dilakukan sebagai sebuah pelarian untuk menghilangkan rasa bosan atau takut tentang sesuatu yang bakal berlaku. Dan cara kebetulan pula, kotaraya Medan masih jauh lagi.

"Ada motor mengekori kita dari belakang," kata pemandu sambil merenung cermin kecil di depannya.

Saya anggukkan kepala dan menganggap kehadiran sebuah motosikal yang dinaiki dua insan memakai jaket hitam adalah perkara biasa.

Makin lama, motosikal itu makin dekat dengan kereta yang kami naiki. Malah jaraknya tidak sampai 50 meter.

Tidak dapat dipastikan darimana motosikal yang ditunggang oleh dua insan itu mengekori kereta kami.

Saya yakin, motosikal itu muncul setelah kenderaan kami melepasi selekoh tajam.

Kehadiran motosikal dengan dua insan berjaket hitam itu turut disedari oleh Syed Hamid Al-Hadad dan datuk.

Kedua-dua orang tua tersebut bagaikan tidak kisah. Meskipun sekali sekala Syed Hamid Al-Hadad menoleh ke belakang.

KEJUT

"Tamar," mengejut saja pemandu bersuara.

"Kenapa?"

"Motosikal misteri dan orangnya dah hilang."

"Kau jangan bergurau."

"Aku tak bergurau, kau tengok ikut cermin tepi."

Syor pemandu segera saya patuhi. Memang, dia tidak bergurau.

Motosikal yang ditunggangi oleh dua insan berjaket hitam hilang entah kemana. Dan ini mengukuhkan lagi andaian saya bahawa mereka tidak mengekori kenderaan yang kami naiki.

"Kemana mereka menghilang," pemandu bertanya.

"Pulang ke rumah, hari dah nak malam," jawap saya bergurau, pemandu tersenyum.

Minyak kereta terus ditekan, walaupun ketika itu, kereta sedang menuruni kawasan berbukit.

"Kurangkan laju, kamu memandu menuruni bukit dan di depan ada dua selekoh merbahaya," tegur Syed Hamid Al-Hadad.

Dengan serta merta jarum meter menurun dari 120km sejam kepada 70km sejam. Saya menegakkan ibu jari kanan. Pemandu yang mengerti dengan maksud saya tersenyum.

"Kau nakal," katanya sambil menolak tangan saya.

Dalam kesuraman sinar matahari petang, sayup-sayup terlihat orang berdiri di tepi jalan sambil mengangkat tangan menahan kenderaan yang lalu.

Makin lama, makin jelas bentuk tubuh orang yang berdiri itu. Seorang lelaki separuh baya memakai kemeja lengan panjang berjalur hitam putih. Seluarnya berwarna kelabu taik anjing.

"Berhenti dan bantu dia," arahan dari Syed Hamid Al-Hadad kepada pemandunya.

Entah kenapa hati saya berdebar. Datuk tidak memberi sebarang komen. Air mukanya membayangkan rasa bimbang.

"Kita tak kenal dia," kata pemandu.

"Itu bukan soal, dia manusia memerlukan bantuan. Bantu dia," Syed Hamid Al-Hadad terus berkeras.

Pemandu anggukkan kepala. Patuh pada perrintah majikan. Kira-kira dalam jarak tiga tiang telepon, mahu sampai ke tempat orang yang berdiri di tepi jalan, si pemandu memperlahankan kereta yang dipandunya.

"Hati-hati," terdesak suara datuk dalam nada resah

"Terima kasih atas ingatan saudara, saya yakin dia orang yang memerlukan bantuan. Boleh jadi orang susah," balas Syed Hamid Al-Hadad.

Saya menggigit bibir sementara pemandu menarik nafas dalam-dalam. Tidak tahu apa yang difikirkannya.

Menyedari kereta yang kami naiki, semakin lama semakin perlahan dan menghampirinya. Orang yang di tepi jalan kian kerap menurun naikkan tangannya.

Malah, dia bergerak ke tangah jalan sambil menghalakan wajah dan dadanya ke arah kereta. Tidak takut dengan kemalangan yangmenanti seandainya si pemandu bertukar fikiran dari menekan berek kepada pedal minyak.

Orang ini ada muslihat tertentu, fikir saya dalam hati, Barangkali pemandu juga berfikiran demikian. Itulah sebabnya, dia agak keberatan mematuhi arahan Syed Hamid Al- Hadad tadi.

Datuk juga tidak berkecuali, buktinya dia turut mengingatkan pemilik kereta supaya berhati-hati.

Sebaik saja kereta berhenti dan enjin dimatikan. Tergesa-gesa Syed Hamid Al-Hadad memuka pintu kereta dan terus keluar.

Lelaki yang berdiri di tengah jalan segera menerpa ke arahnya menghulurkan tangan untuk bersalaman.

Di saat kedua-dua telapak tangan untuk bersalaman, lelaki itu berpusing lalu menyambar pergelangan Syed Hamid Al-Hadad.

Dengan sekelip mata, tangan Syed Hamid Al-Hadad dikilasnya ke belakang. Serentak dengan itu satu tendangan padu dilepaskan kerusuk Syed Hamid Al-Hadad.

Lelaki berdarah Arab Melayu itu jatuh tersungkur di bumi dan mengerang kesakitan.

Saya dan pemandu tergamam. Tidak tahu apa yang harus dlakukan.

Datuk juga demikian. Dia seperti tidak percaya dengan apa yang berlaku di depan matanya.

Tamat Siri Bercakap Dengan Jin 233/284

BACA: SBDJ Siri 232: Haruan Besarkan Kemaluan
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-Sentiasapanas.com

Di Malaysia Bangsa Cina Ditindas Atau Menindas?

Di Malaysia Bangsa Cina Ditindas Atau Menindas?

Di Malaysia, adakah bangsa cina mengalami kekerasan, pengusiran, tidak boleh kaya, tidak boleh berbisnis atau tidak boleh berpolitik? Ini kerana apabila seorang wartawan FMT cuba menyamakan layanan Melayu kepada Cina seperti ethnic cleansing, ini adalah bukti budak UEC memang jarang tahu sejarah sendiri.

Rex Tan Rasis
Rex Tan. Bodoh sombong.

Faktanya, Cina Malaysia bebas menjalankan usaha (dan sangat dominan di sektor swasta), ada sekolah sendiri, ada media sendiri dan budaya Cina yang dilindungi. Malangnya, sangat ramai orang Cina hidup makmur dan berpengaruh secara ekonomi.

Dalam pepatah Cina, ada satu frasa yang berbunyi 'Ru Xiang Sui Su' yang maksudnya, apabila kita berada di sesuatu tempat, berasimilasilah dengan penduduk asal. Sama dengan pepatah Melayu "Masuk kandang kambing, mengembek" atau pepatah Inggeris "When in Rome, do as the Romans do".

Di Malaysia, kumpulan Cina dan India terawal yang memasuki negara ini (sebelum kurun ke 18) benar-benar mengamalkan pepatah tersebut. Mereka berasimilasi dengan penduduk asal, mengamalkan cara hidup tempatan sehinggakan perbezaan mereka dengan Melayu hanya tinggal agama sahaja.

Hari ini, mereka dikenali sebagai India dan Cina Peranakan. Banyak ditemui di Melaka, Terengganu dan Kelantan.

Tetapi kumpulan Cina yang memasuki Tanah Melayu pada kurun ke 19 adalah berbeza. Pada tahun tersebut, China sedang berhadapan dengan masalah ekonomi kesan daripada kekalahan berterusan mereka dalam konflik ketenteraan British.

Kebuluran berleluasa dan penghijrahan adalah pilihan terbaik bagi melepaskan diri daripada kemiskinan.

Di sini, Cina di negara China berpecah kepada dua. Pertama, Cina Utara (Mandarin). Cina Utara adalah Cina yang kaya dan datang daripada golongan atasan. Malah, perkataan Mandarin itu sendiri datang daripada perkataan Sanskrit - 'Menteri'.

Cina Utara memilih untuk berhijrah dan menetap terus di negara-negara Eropah dan US. Disebabkan mereka memilih untuk menetap, mereka berasimilasi dengan budaya tempatan. Anda tidak akan jumpa sekolah vernakular di US, Britain atau Jepun sekalipun. Tak ada.

Kedua, Cina Selatan. Kumpulan ini memilih untuk berhijrah ke Tanah Melayu tetapi bukan untuk menetap. Asalnya mereka hanya mahu bekerja dan pulang apabila keadaan politik stabil.

Atas sebab itu kaum Cina pada ketika itu mempunyai sekolah sendiri (Kuen Cheng School, Nanyang Overseas School, Foon Yew High School) dan akhbar sendiri (Kwong Wah Jit Poh). Akhbar ini adalah akhbar Cina paling tua di luar Tanah Besar.

Malahan, revolusi ke atas Dinasti Qing sendiri dimulakan di Pulau Pinang. Sebab itu di Georgetown ada Muzium Sun Yat Sen. Muzium itu adalah bangunan asal tempat Dr Sun Yat Sen merancang bagi menggulingkan Dinasti Qing pada tahun 1910.

2 tahun selepas itu, Dr. Sun menang dan menjadi Presiden China pertama dan mengasaskan parti Kuomintang.

Dari sudut ini anda semua dapat melihat bagaimana rapatnya hubungan kaum Cina di Tanah Melayu dan Tanah Besar pada ketika itu.

Tapi sejarah China berubah lagi. Pada tahun 1949, Parti PKC berjaya mengalahkan Parti Kuomintang - menyebabkan Kuomintang berundur dan menubuhkan kerajaan mereka di Taiwan.

Disini saudara-saudara semua sepatutnya sudah memahami kenapa badan pendidikan Cina Malaysia berkeras mahu kerajaan mengiktiraf UEC yang banyak bersilibus Taiwan dan bukan China.

Apabila PKC menang, mereka mengamalkan Dasar Tutup Pintu. Maka bermulalah masalah. Tiada rakyat China dibenarkan keluar dan tiada orang luar dibenarkan untuk masuk.

Kaum Cina Tanah Melayu terpisah dengan kaum keluarga, sahabat handai dan kekasih hati yang berada di Tanah Besar. Mereka tiada negara. Stateless. Macam Rohingya hari ini.

Disinilah kaum Melayu menjadi penyelamat. Tunku Abdul Rahman menawarkan kewarganegaraan untuk kaum bukan Melayu dengan syarat ketat yang dikenali sebagai kontrak sosial.

Bukan Melayu mendapat kewarganegaraan, tetapi Melayu Bumiputera diberikan hak istimewa yang terkandung kemas di dalam Perlembagaan.

Tetapi sudah tentulah sebahagian kaum bukan Melayu masih berharap agar dapat pulang ke negara asal. Atas sebab itu, ada pertubuhan pendidikan masih mengekalkan silibus pelajaran sedia ada agar identiti mereka tidak berubah.

Kerasnya mereka sehinggakan kerajaan terpaksa menarik kewarganegaraan Lim Lian Geok, pengasas Dong Zong pada tahun 1961.

Tapi, pada tahun 1974, China dan Malaysia akhirnya menjalin hubungan diplomatik secara rasmi. Hubungan diplomatik ini sebenarnya tidak dipersetujui SUA UMNO Tan Sri Senu dan beberapa menteri kabinet atas sebab darurat dan isu PKM.

Tapi itulah Tun Razak. Kebijaksanaannya dalam menimbangkan antara konflik dalaman parti dan kepentingan negara.

Akhirnya pintu terbuka semula. Tetapi Perdana Menteri China Zhou Enlai ketika itu bersuara. Mahukan kesetiaan kaum Cina di Malaysia adalah kepada Yang Di Pertuan Agong dan bukan kepada selain daripadanya.

Ia menutup terus pintu kepada sebahagian kecil kaum Cina yang masih berharap untuk pulang ke negara asal.

Inilah sejarah sebenar. Pahit pedih bagaimanapun, sejarah inilah yang telah membentuk negara ini sepertimana hari ini.

Fb: Abdul Rahim Hilmi Zakariya

REX TAN Wartawan Rasis FMT

Sementara itu, Rex Tan adalah seorang wartawan dari Free Malaysia Today (FMT), yang dimiliki oleh Media Prima. Dia juga adalah bekas graduan UEC.

Dia berpendapat bahawa bangsa bukan Melayu, khususnya kaum Cina di Malaysia, telah dilayan secara apartheid, sama seperti rakyat Palestin di Gaza.

Dia terlupa bahawa 10 orang teratas daripada senarai bilionair Malaysia adalah kaum Cina dan 10 dari 28 orang Menteri Malaysia ialah berbangsa bukan Melayu, dengan 6 daripadanya adalah kaum Cina.

Dia juga terlupa bahawa sistem yang dilabelnya sebagai apartheid di Malaysia ini telah membenarkan 62% perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dimiliki oleh bangsa bukan Melayu, dengan 80% daripadanya dimiliki oleh kaum Cina, manakala bangsa Melayu hanya menguasai 38%.

Negara yang dia gelarkan sebagai negara apartheid ini juga telah dan masih terus membenarkan sekolah Cina dan sekolah Tamil untuk anak-anak mereka belajar dalam bahasa ibunda masing-masing, sedangkan kebanyakan negara jiran tidak mempunyai keistimewaan seperti ini.

Dia turut terlupa bahawa pernah seorang lelaki Cina menjadi kapten pasukan bola sepak kebangsaan Malaysia, memimpin pasukan yang terdiri daripada 95% pemain Melayu dan lebih dari 3 orang lelaki Cina telah dilantik sebagai ketua jurulatih Harimau Malaya daripada ribuan jurulatih bola sepak Melayu yang terkenal.

Maka, marilah kita menyambut lelaki bodoh sombong yang tidak tahu bersyukur ini dengan tepukan gemuruh dan 'standing ovation'.

Fb: Zack Rahim

Semoga memberi manfaat.

-Sentiasapanas.com