Monday, January 19, 2026

Pengkhianatan Jeneral Tentera Yang Meruntuhkan Sebuah Empayar


Pada tahun 1644, Empayar Ming di China sedang nazak, apabila pemberontak Li Zicheng menawan Beijing dan Maharaja Chongzhen bunuh diri, Wu Sangui menjaga Shanhai Pass, pintu strategik Tembok Besar.

Shanhai Pass Great Wall

Di sebelah dalam negara, pemberontak petani tengah mengganas, membakar bandar dan menuju ke ibu kota Beijing. Di sebelah luar pula, di utara perbatasan, tentera Manchu (yang kemudian menjadi Dinasti Qing) sedang menunggu masa macam serigala lapar hendak masuk menjajah China.

Tapi rakyat Ming masih ada sedikit harapan. Mereka ada Tembok Besar China dan yang paling penting, mereka ada Laluan Shanhai (Shanhai Pass).

Ini bukan sebarang pintu gerbang. Ini adalah "Mulut Naga". Ia adalah benteng terakhir dan paling kebal yang memisahkan antara China dan dunia luar. Selagi pintu ini tidak pecah, tentera Manchu takkan boleh masuk.

Siapa penjaga kunci pintu gerbang keramat ni? Seorang panglima perang paling dipercayai, paling hebat dan memiliki tentera paling elit dalam Empayar Ming. Nama dia Jeneral Wu Sangui.

Di atas kertas, Wu Sangui adalah wira negara. Dia adalah harapan terakhir maharaja. Rakyat percaya dia akan pertahankan pintu itu sampai titisan darah terakhir.

Tapi, sejarah membuktikan, bila orang atasan ada kepentingan peribadi, "amanah" boleh menjadi barang dagangan.

Dipendekkan cerita, ibu kota Beijing jatuh ke tangan pemberontak petani (bukan Manchu lagi masa ni). Maharaja Ming bunuh diri.

Berita ini sampai ke telinga Jeneral Wu Sangui di perbatasan. Dia panik.

Dalam kekalutan itu, dia mendapat berita yang lebih menyakitkan hati. Keluarga dia di Beijing ditangkap oleh pemberontak.

Dan yang paling buat dia "hilang akal", gundik kesayangannya yang paling cantik, Chen Yuanyuan, telah dirampas oleh ketua pemberontak. Jeneral Wu Sangui berdepan dilema besar.

Teruskan lawan pemberontak demi setia pada Maharaja Ming? Atau nak buat benda gila?

Ego dia tercabar. Dendam kesumat membara sebab "awek" kena rampas. Akhirnya, Wu Sangui buat keputusan yang mengubah sejarah China untuk 300 tahun seterusnya. Dia berpaling tadah.

Dia hantar surat kepada musuh ketat negara, iaitu tentera Manchu yang sedang menunggu diluar tembok.

Dia kata lebih kurang macam ni, "Korang nak masuk China kan? Aku boleh tolong. Tapi korang kena tolong aku bantai pemberontak yang rampas awek aku tu."

Tentera Manchu macam tak percaya. Pucuk dicita ulam mendatang.

Pada hari kejadian, tentera Manchu bersiap sedia di depan pintu gerbang Shanhai Pass yang gah tu. Dorang ingat kena berperang teruk nak pecahkan pintu tu.

Tiba-tiba, pintu gerbang gergasi itu perlahan-lahan terbuka dari dalam. Bukan sebab kena rempuh. Tapi sebab Jeneral Wu Sangui sendiri yang arahkan askar dia bukakan.

Tentera Wu Sangui yang sepatutnya jadi pelindung negara, diarahkan ketepi dan memberi laluan karpet merah kepada musuh negara untuk masuk.

Bayangkan perasaan askar bawahan masa tu. Bingung. Kecewa. Tapi terpaksa ikut arahan panglima besar.

Hari itu, tentera Manchu masuk ke China tanpa perlu bersusah payah.

Gabungan tentera Manchu dan tentera pembelot Wu Sangui kemudiannya menghancurkan pemberontak dan seterusnya menakluk seluruh China.

Berakhirlah Dinasti Ming yang diperintah oleh orang Han dan bermulalah Dinasti Qing yang diperintah oleh orang Manchu selama hampir 300 tahun.

Wu Sangui? Dia dapat pangkat besar, dia dapat harta dan dia dapat balik gundik dia. Dia jadi kaya-raya di bawah tuan baru dia.

Tapi sampai ke hari ini, nama "Wu Sangui" dalam sejarah China adalah sinonim dengan perkataan "PENGKHIANAT" (Hanjian).

Dia adalah simbol panglima atasan yang menggadaikan kedaulatan negara demi dendam peribadi dan kuasa.

Kisah Jeneral Wu Sangui ni mengajar kita satu perkara yang sangat menakutkan, musuh yang paling bahaya bukanlah yang pegang pedang di depan mata kita, musuh paling bahaya adalah orang yang kita bagi pegang kunci rumah kita, tapi dalam diam dia berunding dengan pencuri di luar pagar.

Sehebat mana pun benteng pertahanan sesebuah organisasi atau negara, ia akan runtuh sekelip mata kalau "kepala" yang menjaganya tiada integriti.

Askar bawahan mati bermandi darah pertahankan tembok, tapi jeneral di atas sibuk tawar-menawar harga pintu gerbang.

MasyaAllah, sesungguhnya sifat amanah itu sangat berat. Apabila kuasa dan kepentingan peribadi menguasai diri, manusia yang sepatutnya menjadi pelindung boleh berubah menjadi pemusnah yang paling dahsyat.

Kisah ini menjadi peringatan keras agar kita sentiasa berdoa dijauhkan daripada pemimpin atau ketua yang sanggup menjual maruah agama, bangsa dan negara demi kepentingan perut sendiri.

Moga Allah memelihara kita daripada pengkhianatan dari dalam, yang selalunya lebih berbisa daripada serangan dari luar.

FB: Mazlan Syafie

Semoga memberi manfaat.

-Sentiasapanas.com

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon