Friday, April 26, 2019

SBDJ Siri 54: Penunggu Rotan Semambu

SBDJ Siri 54: Penunggu Rotan Semambu

“Sebagai manusia saya juga merasakan satu kesilapan kalau saya sudah menolong seseorang kemudian minta dikenang atau dibalas, Islam tidak menyuruh kita menuntut sesuatu bila sudah menolong orang lain. Kerana tolong menolong antara satu sama lain itu adalah amal jariah kita sesama manusia.”

Penunggu Rotan Semambu

Saya lihat lelaki itu anggukkan kepala mendengar kata-kata dari Datuk itu. Mungkin sudah kehabisan modal atau sengaja mahu menumpukan perhatian pada kenderaan yang dipandunya, membuat lelaki itu tidak mengemukakan sebarang pertanyaan pada Datuk.

Rupa-rupanya Datuk senang dengan keadaan demikian. Dia merapatkan kedua belah kelopak matanya macam orang tidur.

Saya tahu benar-benar, bila Datuk berbuat demikian fikirannya tidak tertumpu pada keadaan kelilingnya.

Dia sebenarnya memusatkan hati dan perasaannya pada sesuatu tempat dan jarak yang berpuluh-puluh atau beratus batu dari tempat dia duduk sekarang.

Saya tidak tahu bagaimana Datuk boleh mencantumkan seluruh perasaannya pada tempat tersebut, kadang-kadang dia bagaikan tahu tentang sesuatu kejadian di tempat yang dihayatinya.

"Tamar."

"Ya Tok."

"Nenek kau tidak berapa sihat, sudah dua hari demam tapi masih boleh berjalan dan menumbuk padi."

"Kasihan nenek tok, kalau kita sampai cepat saya tolong dia menumbuk padi di lesung."

"Sabarlah”, kata Datuk dengan tenang.

Rupanya percakapan saya dengan Datuk diikuti dengan teliti oleh orang yang memandu kereta itu.

Dia mengerutkan dahi mungkin sedang memikirkan sesuatu, fikir saya. Kereta yang kami tumpangi terus merempuh beberapa selekoh tajam.

"Macam mana awak boleh tahu tentang hal isteri awak?", tanya lelaki itu sambil menjeling ke arah Datuk. Saya renung muka Datuk.

"Menggunakan pancaindera yang lima pemberian Allah, saya manfaatkan pemberian itu dengan sebaik mungkin.

"Tetapi, sebelum menggunakan kita harus mengenali Allah terlebih dahulu. Andainya kita mahu menggunakannya tanpa mengenali Allah terlebih dahulu pun boleh juga tetapi..“, Datuk berhenti bercakap, matanya merenung keluar.

Dua tiga kali Datuk mengangkat bahu kanannya, macam ada sesuatu yang mengusik di bawah ketiaknya.

"Cuba jelaskan biar saya faham?”, desak lelaki itu.

"Kalau dibuat juga dengan tidak mengenali Allah, orang yang melakukannya akan dikuasai syaitan."

"Hum “, begitu suara lelaki itu pendek dan membayangkan dia faham dengan apa yang dikatakan oleh Datuk itu.

Akhirnya kami pun sampai di pekan Sungkai. Dari situ, Datuk dan saya menyewa sebuah teksi terus ke Ipoh.

Lebih kurang pukul empat petang saya dan Datuk sampai ke kampung.

Perkara pertama yang saya lakukan sebaik sampai ke rumah ialah menuju ke bilik nenek.

Saya lihat nenek terbaring dengan tubuhnya berselimut dengan kain batik Jawa.

“Tamar.”

“Ya nek.”

“Tolong picitkan kaki nenek.”

“Baik nek.”

Saya pun terus memicit kedua belah kaki nenek yang sejuk itu. Menurut nenek, sebelum dia menumbuk padi tadi, demamnya tidaklah berapa terus.

Tetapi, setelah lima gantang padi selesai ditumbuk seluruh sendinya terasa sakit.

“Kenapa nek tak hantar padi ke kilang?”, tanya saya.

“Memang turun temurun kita tumbuk pagi, belum pernah kita menghantar ke kilang.

"Padi yang sudah di kilang rasanya tak sedap. Khasiatnya banyak yang kurang”, jelas nenek.

Saya pun tidak mengemukakan sebarang pertanyaan padanya dan terus memicit seluruh tubuh nenek.

Kira-kira setengah jam kemudian, Datuk datang membawa sebiji kelapa muda dan beberapa helai daun sirih. Datuk menyuruh nenek bangun.

Datuk masukkan tiga helai daun sirih ke dalam perut kelapa muda yang sudah ditebuk.

Dibiarkan daun sirih terendam dalam air kelapa kira-kira sepuluh minit. Datuk keluarkan daun sirih itu kembali.

Terus dilipat menjadi tiga segi. Akhirnya Datuk hancurkan daun sirih itu di telapak tangannya.

Daun sirih yang sudah dihancurkan itu mengeluarkan air. Dan air daun sirih itu Datuk sapukan pada kedua belah buku lali nenek.

Dari buku lali, air sirih itu disapukan ke belakang serta ke setiap sendi badan nenek.

Bila semuanya sudah selesai Datuk suruh nenek minum air kelapa muda.

“Minum dengan senafas. Kalau boleh habiskan sekali”, pesan Datuk pada nenek. Semua pesan itu nenek patuhi.

Sebaik saja air kelapa habis terminum nenek kelihatan lemah dan tidak bermaya.

Badannya kelihatan lembik, kelopak matanya sudah tidak boleh dibukakannya. Datuk rebahkan nenek atas tikar dan terus menyelimutinya.

“Air kelapa mengeluarkan panas tetapi melemahkan badan. Dengan itu, dia akan dapat berehat, air sirih dapat mengembalikan pergerakan urat-urat yang lemah”, bisik Datuk pada saya.

Dia terus ke dapur mengambil bawang putih dan halia. Semua bahan-bahan itu ditumbuk dalam lesung batu hingga hancur.

Bila sudah hancur, dikeluarkan dari lesung batu dan dimasukkan ke dalam gelas lalu di campur dengan satu sudu madu lebah serta air panas.

"Bila nenek kau bangun nanti, suruh dia minum benda ini", Datuk menyerahkan gelas pada saya.

Datuk terus meninggalkan bilik nenek. Datuk menuju ke halaman rumah. Saya tidak tahu apa yang dilakukannya di situ.

Saya terus memicit jari-jari kaki nenek, tiba-tiba nenek bangun dan membuang kain batik jawa yang menyelubung tubuhnya. Muka nenek kelihatan merah dan berpeluh.

"Aku dahaga, ambilkan aku air.”

"Ini airnya."

Saya serahkan cawan yang diberikan oleh Datuk itu pada nenek. Tanpa membuang masa lagi nenek terus meminumnya.

Atas permintaan nenek saya meninggalkan biliknya. Menurut nenek badannya sudah tidak sejuk lagi, sendi-sendi badannya juga sudah tidak terasa sakit.

***

Sudah enam bulan saya dan Datuk tinggal di kampung. Setiap pagi kami ke kebun dan ke sawah.

Sesekali Datuk mengulangi kerja lamanya dengan mengajak saya memasang jerat pelanduk dan memburu ayam hutan.

Boleh dikatakan setiap kali ke hutan kami tidak pernah pulang dengan tangan kosong. Saya sudah pandai mengesan jejak pelanduk dan rusa.

Hidung saya juga dapat menghidu bau binatang dari jarak setengah batu. Semua kebolehan yang saya miliki itu, berkat dari kesabaran saya belajar dari Datuk.

Selain dari memburu, ada minat baru yang datang secara mendadak dalam diri Datuk.

Minat baru Datuk ialah mencari rotan dan tujuan Datuk mencari rotan bukanlah untuk mencari wang seperti yang dilakukan oleh pencari-pencari rotan yang lain.

Datuk cuma mencari rotan semambu untuk dibuat tongkat yang jumlahnya bukan sedikit dan bentuknya pula bermacam-macam.

Semua tongkat rotan itu Datuk aturkan di ruang tengah rumah dan berjaya menarik perhatian setiap tetamu yang datang ke rumahnya.

Datuk tidak akan menjual tongkat-tongkatnya itu, walaupun ditawar dengan harga yang tinggi.

Tetapi, Datuk akan memberikan tongkat secara percuma pada sesiapa yang difikirkan layak diberi.

"Bersiap, pagi esok lepas sembahyang subuh kita ikut Mamat Bukit dan kawan-kawannya mencari rotan di hutan Bubu dekat Senggeng”, kata Datuk pada saya pada suatu pagi.

"Itu pun kalau kau nak ikut”, tambah Datuk.

"Saya nak ikut tok”, jawab saya tegas.

Datuk terus menepuk kepala saya berkali-kali.

Pagi itu, nenek terpaksa bangun pukul tiga pagi, menanak nasi dan menggoreng ikan.

Nasi dan ikan goreng ditaruh dalam upih lalu dibalut dengan kertas surat khabar. Datuk sudah pun menyediakan air dalam satu tong plastik besar.

"Nasi bekal itu taruh dalam beg Tamar. Tong air itu biar aku yang bawa”, kata Datuk sebaik saja dia menunaikan sembahyang Subuh.

Datuk sudah pun mengenakan pakaian yang biasa digunakannya ketika masuk hutan.

Sementara menanti Mamat Bukit dan kawan-kawannya tiba, Datuk dan saya duduk di anjung rumah.

Beberapa minit kemudian Mamat Bukit dan kawan-kawannya pun tiba. Saya dan Datuk pun meninggalkan rumah.

Nenek cuma melihat langkah kami dengan teliti hingga hilang dari pandangannya.

Berjalan di hutan dalam keadaan cuaca yang agak samar dan sejuk itu amat menyulitkan bagi diri saya. Badan saya menggeletar sendirian.

Sebelum matahari terbit di kaki langit, kami sudah pun meredah empat hutan dara dan hutan tebal.

Akhirnya, kami sampai di satu kawasan lapang lalu berehat di situ. Saya sandarkan badan ke pangkal pokok meranti.

Mamat Bukit dan kawan-kawannya (empat orang semuanya) terus menebas anak-anak pokok di situ dengan golok perak.

Datuk terus bergerak dari pokok ke pokok, memukul perdu dengan sepotong kayu.

Badan saya masih terasa dingin walaupun sinar matahari mula menjalar di bumi yang lembap.

Burung-burung liar yang beraneka bentuk dan warna mula berterbangan sambil berbunyi.

Matahari terus memancar, keadaan di sekeliling juga turut beransur cerah.

"Kita minum dulu”, kata Datuk sambil duduk.

Mamat Bukit dan kawan-kawannya berhenti menebas. Mereka terus duduk dan mengeluarkan bekalan air kopi masing-masing.

Selesai minum kopi Mamat Bukit segera menggulung rokok daunnya bersama tembakau jawa. Dia kelihatan puas setelah menyedut rokok daun.

"Dah mandi embun?", Mamat Bukit menyoal Datuk.

"Sudah."

"Rotan semambu banyak sebelah sana."

Mamat Bukit mengarahkan jari telunjuk ke arah barat daya yang berhutan tebal.

Datuk merenung ke situ sambil menganggukkan kepalanya beberapa kali.

Kawan-kawan Mamat Bukit memasukkan bekalan air kopi ke tempat asalnya, mereka terus bangun sambil menggeliatkan pinggang masing-masing beberapa kali.

"Kita berpecah. Udin Candung ikut aku. Dollah Beranggas ikut Samad Perang. Sebelum waktu Asar kita bertemu di sini dan dirikan pondok untuk bermalam. Petang esok baru kita balik”, Mamat Bukit mengeluarkan perintah pada kawan-­kawannya.

Mereka pun bergerak mengikut arahan yang telah ditetapkan oleh Mamat Bukit.

"Kita macam mana tok?”, saya renung muka Datuk.

"Kita ada rancangan kita sendiri, sabarlah Tamar."

"Tapi, kita dah bercerai dengan mereka?"

"Tak apa”, nada suara Datuk cukup lembut.

Dia terus menyangkutkan golok perak di tali pinggang yang dibuat dari kulit yang selebar satu inci.

Saya segera bangun, beberapa ekor pacat hutan kelihatan merayap di atas daun kering menuju pada saya.

Datuk saya lihat masih lagi berdiri di situ, tidak ada tanda-tanda untuk melangkah.

"Bagaimana kita tuk, boleh kita mulakan sekarang?", soal saya lagi.

Datuk tetap membisu dan masih mundar mandir di hadapan saya. Inilah saat-saat yang paling saya benci, bila Datuk bertindak demikian.

Cara yang paling baik saya lakukan ialah turut sama membisu. Biarkan apa saja yang mahu Datuk lakukan.

Tindakan saya itu memang ada untungnya. Saya tidak marah atau merungut sesuatu yang akan menimbulkan kemarahan pada Datuk.

Matahari kian meninggi, saya renung ke utara dan nampak barisan Gunung Titiwangsa yang tertegun kaku, kabus nipis kelihatan mengelilinginya.

Buat beberapa saat saya bagaikan terpukau pada keindahan semula jadi dalam pancaran sinar matahari pagi yang kian meninggi.

Dari arah belakang saya terdengar sesuatu yang agak ganjil, macam bunyi orang mematahkan anak-anak pokok hutan yang kecil. Bunyi itu makin lama makin jelas dan dekat.

Saya renung Datuk yang sedang membongkok, mencabut anak pokok besar jari kelingking.

Mustahil Datuk tidak dapat mendengar bunyi suara tersebut, pendengarannya lebih tajam dari saya.

Tetapi, kenapa dia tidak bertindak atau membuat persediaan?

Sedang saya melayan pertanyaan dalam hati, bunyi suara ranting dan pokok hutan yang dipatahkan bertambah hebat, saya jadi cemas.

Tanpa berfikir panjang saya terus memalingkan muka ke belakang. Saya terkejut, sepasang kaki saya menjadi lemah tidak mampu menahan tubuh untuk berdiri tegak.

Sekawan gajah dalam jumlah enam hingga tujuh ekor mengangkat belalai masing-masing ke arah saya sementara kaki gajah yang sebesar batang kelapa dara memijak anak-anak pokok hutan di sekeliling hingga menjadi rata dan ranap.

Dalam waktu cemas begitu, saya jadi panik tidak lahu apa yang palut saya lakukan.

Gajah-gajah liar itu terus mara seolah-olah batang tubuh saya tidak wujud di depan mereka.

Telinga gajah yang lebar itu terus memukul badan masing-masing dan melahirkan bunyi yang agak kurang menyenangkan buat diri saya.

Dalam keadaan yang tergamam itu, saya terasa badan saya macam disambar sesuatu, melayang-layang dan akhirnya tercampak di perdu pokok besar, kira-kira tiga puluh kaki jaraknya dari kumpulan gajah-gajah liar.

Buat beberapa saat pandangan saya berpinar-pinar dan pendengaran saya jadi pana (tuli).

Bila keadaan sudah pulih, saya lihat Datuk berdiri di hadapan kumpulan gajah liar sambil memegang sebatang pokok kecil di tangan kanan.

Tangan kirinya diangkat melepasi kepalanya. Gajah-gajah liar itu bagaikan berhenti dari melangkah sambil menegakkan belalai masing-masing setinggi yang boleh.

Tempikan dilahirkan oleh gajah-gajah itu dalam keadaan yang serentak membuat suasana di dalam hutan menjadi kacau bilau dan kelam kabut.

"Pusing ke sana”, pekik Datuk dengan sekuat hati.

Kesemua gajah-gajah liar itu memusingkan badannya mengikut arahan tangan kiri Datuk.

"Kita semua makhluk Allah dan sama-sama mencari rezeki pemberian-Nya. Kau dengan cara kau.

"Kami dengan cara kami. Jalankan kewajipan masing-masing dan jangan kami”, tambah Datuk sambil menjatuhkan tangannya.

Aneh sekali gajah-gajah liar itu bagaikan mengerti dengan cakap Datuk. Sambil menjatuhkan belalai gajah-gajah itu bergerak ke kanan menuju ke kawasan yang banyak ditumbuhi pokok enau dan bayas.

"Bangun Tamar."

"Tak boleh tok, saya sakit."

"Di mana?"

"Tangan dan paha kanan tuk.”

"Hum..."

Datuk segera menghampiri saya. Paha kanan saya dirabanya hingga di pergelangan kaki.

Dengan sepenuh tenaga Datuk merentap kaki saya hingga setiap sendi sebelah kanan badan saya berbunyi.

"Bangun”, ucapnya.

Saya pun bangun dan melangkah dua tiga tapak.

"Lagi di mana terasa sakit Tamar?"

"Bahu."

Datuk terus memeriksa bahu kanan saya. Dari pangkal bahu membawa ke hujung siku, kulit saya menjadi lebam.

Setiap kali Datuk menekan daging badan di bahagian itu, saya terasa sakit yang bukan kepalang dan membuat saya terasa mahu buang air kecil dengan serta-merta.

"Tunggu di sini”, bisik Datuk ke telinga.

Saya anggukkan kepala. Datuk menuju ke perdu pokok salak, selembar daun salak yang masih hijau diambilnya.

Dari situ Datuk melangkah ke arah pokok jelutung dan terus terbongkok-bongkok di situ, macam mencari sesuatu.

Datuk datang pada saya kembali menatang sesuatu di dalam daun salak, saya lihat benda yang Datuk tatang itu lembik berwarna agak hijau muda.

Tanpa berkata apa-apa Datuk terus melumurkan benda itu di bahagian badan saya yang lebam dan daun salak muda terus dibekamnya sekali.

Bagi mengelakkan daun salak itu jatuh, Datuk terus mengikatnya dengan akar berwarna kebiru-biruan yang Datuk ambil di tanah.

"Baring, luruskan kaki dan tangan. Bila aku kata bangun, kau bangun."

"Baik tok”, badan saya rebahkan ke bumi.

Datuk terus duduk di sisi saya dengan wajah yang tenang dan sabar.

"Apa rasanya?", tanya Datuk.

"Panas sampai ke tulang."

"Tak apa, sikit lagi sakit kau baik."

Lama juga saya terbaring di tanah. Muka saya berpeluh disimbah sinar matahari, tetapi rasa sakit seluruh badan terasa beransur-ansur kurang, kemudian hilang terus.

"Bangun, dan berlari.”

Saya segera bangun dan terus berlari dengan mengelilingi kawasan tanah lapang. Saya berhenti berlari atas perintah Datuk.

"Apa rasanya badan kau?"

"Dah tak sakit lagi tok."

"Mari dekat aku. Biar aku buka balut di lengan kau."

Saya terus menghampiri Datuk. Tangan kanan saya hulurkan padanya. Datuk terus membelek-belek tangan saya itu seketika.

Daun salak yang hijau itu saya lihat menjadi kecut, macam terkena bahang api.

Sebelum membuka balut tersebut Datuk terlebih dahulu merentap tangan kanan saya secara mengejut hingga berbunyi.

Bila balutan itu dibuka, lebam yang memanjang dari bahu hingga ke hujung siku sudah tidak ada lagi.

Bila Datuk menekannya dengan ibu jari, sudah tidak terasa sakit lagi. Saya boleh menggerakkan lengan kanan itu seperti biasa.

Baju yang koyak Datuk cantumkan kembali dengan menggunakan sejenis getah yang diambilnya dari sebatang pokok.

Datuk tidak menyatakan pada saya, getah pokok jenis apa yang diambilnya dan saya tidak berminat untuk bertanya padanya.

"Kita melangkah sekarang, menuju ke arah yang ditunjukkan oleh Mamat Bukit. Aku harap kita dapat rotan semambu yang elok”, Datuk menggeliat dua tiga kali sambil melihat arah kedudukan matahari.

Dalam perjalanan menuju ke tempat yang dikatakan oleh Mamat Bukit, langkah Datuk terlalu cepat, andainya saya menoleh ke arah lain Datuk akan hilang dari pandangan saya.

Berjalan dalam hutan yang penuh dengan akar-akar kayu, tunggul-tunggul lama serta pokok-pokok besar bukan satu hal yang mudah bagi diri saya.

Tetapi, hal semacam itu tidak menimbulkan masalah buat diri Datuk.

"Ubat apa yang tuk balutkan ke lengan saya tadi?"

"Tahi gajah."

"Tahi gajah?”, ulang saya dengan rasa yang amat terkejut.

Datuk berhenti melangkah lalu merenung muka saya bersama segaris senyum.

Tekak saya terasa loya dan badan terasa geli.

"Itu petua orang tua-tua dan hasilnya sudah kau lihat sendiri. Kau tak perlu risau, petang nanti kau cuci badan dengan tujuh jenis daun yang aku cari”, kata Datuk lagi.

Dia meneruskan perjalanan. Saya juga begitu.

Saya dan Datuk terpaksa menyeberangi sebatang anak sungai yang airnya mengalir jernih.

Anak-anak seluang berkejaran di celah-celah batu. Airnya terasa sejuk sekali.

Kemudian kami mendaki bukit kecil sebelah kanan tebing sungai. Di lereng-lereng bukit itu kami menemui rotan yang banyak tetapi rotan yang ada di situ bukanlah rotan yang dicari oleh Datuk.

Kami mendaki ke puncak bukit. Datuk terpegun melihat rotan semambu yang terdapat di situ.

Dia bagaikan orang gila menerkam dari satu perdu rotan ke satu perdu rotan.

Semua rotan semambu yang dilihatnya menarik belaka, tidak tahu yang mana satu harus diambilnya.

Mungkin kerana penat bergerak, Datuk terus duduk sambil melunjurkan kedua belah kakinya.

Saya masih lagi melihat daun rotan yang menghijau, bergoyang-goyang ditiup angin.

"Kau pergi ke bawah ambil air di sungai”, Datuk mengeluarkan perintah.

Wajahnya saya renung dan Datuk bagaikan tahu apa yang menjadi persoalan dalam diri saya ketika itu.

"Kau tak ada bekas nak isi air?"

"Ya tok."

"Itu perkara mudah, biar aku buatkan", Datuk pun bangun.

Dia mengambil daun hutan yang lebar lima enam lembar, daun-daun itu di cantumkannya.

Bagi mengelakkan daun yang dicantumkan itu terbuka, Datuk menggunakan rotan kecil yang ditajamkan dan dicucuk pada setiap sendi atau pelipat daun hutan yang sudah dijadikan dalam bentuk baldi empat segi.

"Sekarang kau pergi ambil air."

Saya pun menuruni lereng bukit dengan hati-hati tetapi, hati berasa kurang sedap.

Saya bagaikan merasa ada mata di dalam hutan itu yang memerhatikan gerak-geri saya.

Bila saya berdiri di tebing sungai, saya terdengar bunyi orang berenang di sebelah hilir.

Saya terus menoleh ke arah itu, apa yang saya lihat ialah air jernih kelihatan berkilau-kilauan dipanah matahari.

Saya kira, apa yang saya dengar itu cuma perasaan saja, mana mungkin ada manusia di dalam hutan selain saya dan Datuk.

Tidak masuk di akal air sungai yang cetek itu membolehkan manusia berenang di dalamnya.

Kalau boleh pun pasti yang melakukannya manusia dungu, fikir saya.

Saya terus mengambil air sungai dan membawa pada Datuk. Kami terus makan tengah hari dalam hutan.

Setelah makan Datuk pula pergi ke sungai, mandi dan mengambil air sembahyang.

Lepas itu, barulah Datuk memilih rotan semambu yang dikira baik untuknya. Datuk cuma mengambil tiga batang saja.

"Tiga pun sudah cukup, lain kali aku datang lagi”, kata Datuk pada saya sambil meneliti ruas rotan semambunya.

Kedua belah tangan Datuk genggam, dengan genggaman itu juga Datuk menyukat rotan semambu dari hujung ke pangkal.

Datuk memulakan sukatan itu dengan perkataan untung dan rugi. Bila sampai ke bahagian pangkal semuanya berakhir dengan perkataan untung.

Kepalang gembiranya Datuk, senyuman terus bermain di bibirnya.

Senyuman di bibir Datuk terus berhenti dikejutkan oleh bunyi perdu rotan semambu, dedaun rotan berguguran macam ada tangan raksasa yang menggoncangnya, akar-akar rotan tercabut sendiri.

"Syaitan”, kata Datuk.

"Bukan tok, penunggu rotan semambu."

"Mana ada penunggu, penunggu tu syaitan”, suara Datuk mula meninggi dan dia terus berdiri merenung ke arah perdu rotan semambu yang sudah tercabut.

Saya menarik nafas panjang. Rasa takut dan cemas terus menguasai diri.

Datuk tidak berganjak dari tempat asalnya, matanya tidak berkedip merenung pada setiap perdu rotan yang tercabut.

Saya terkejut bila terdengar bunyi deru seperti bunyi jentera penolak datang, semua pokok-pokok di situ bergoyang.

Datuk segera membongkok lalu mengambil tanah dan tanah itu dikepal-kepalnya macam nasi.

Dengan sepenuh tenaga dia melemparkan kepalan tanah itu pada perdu yang tercabut.

Suara jentera hilang dan perdu rotan semambu saya lihat tetap seperti keadaan asal, tidak tercabut.

"Syaitan, syaitan”, Datuk menyebutnya berulang kali sambil mengajak saya beredar dari situ tanpa membawa rotan semambu yang diambilnya.

"Ke mana kita nak pergi tok?"

Saya terus mengikutinya menuju ke arah timur bukit kecil, sambil berjalan itu Datuk terus memperkenalkan jenis pokok hutan pada saya.

Akhirnya Datuk mematikan langkahnya. Dia terasa kakinya tersepak sesuatu yang keras. Dia terus membongkok dan memeriksa tanah yang di­pijaknya.

Bila Datuk tegakkan badan, di tangannya terlekap sepotong besi yang panjangnya kira-kira enam inci.

Besi itu sudah berkarat dan bentuknya bulat kecil, kira-kira sebesar ibu jari tangan orang dewasa.

"Tulang mawas agaknya tok?"

"Bukan."

"Kalau bukan besi apa pula tok?"

"Inilah yang aku fikirkan."

Datuk terus duduk di tanah. Besi itu terus ditelitinya. Ketika itu matahari sudah agak condong kedudukannya.

Dalam perkiraan saya, jika matahari itu bergerak atau tergelincir dari kedudukannya dalam jarak dua jengkal bererti waktu Asar sudah tiba.

Saya mencadangkan pada Datuk supaya pulang saja ke tempat asal (tempat bermalam yang dicadangkan oleh Mamat Bukit).

Datuk menolak cadangan saya itu, dia masih mahu mencari rotan semambu lagi.

Mahu atau tidak, saya terpaksa mengikutinya. Kami terus mara dalam hutan tebal.

Tetapi perjalanan yang rancak itu berhenti juga, bila kami berhadapan dengan rangka besi yang bentuknya macam ekor ikan paus tersadai di satu kawasan.

"Rangka bas tok."

"Bukan. Aku tengok macam ekor kapal terbang”, balas Datuk.

Dia terus menghampiri ekor kapal terbang sambil mengetuk-ngetuknya dengan belakang parang.

Pada bahagian ekor yang terpacak ke atas terdapat nombor, manakala pada bahagian tepinya (badan) terdapat perkataan ‘The Air Transport Command’ serta ‘The US Army Air Force'.

Perkataan itu terus melekat di kepala saya hingga kini.

Seluruh kawasan itu kami periksa dengan teliti, begitu juga dengan bahagian dalamnya. Semua alat di dalamnya masih baik.

Tanpa mengusik sesuatu kami meninggalkan rangka kapal terbang itu. Kami mengambil keputusan untuk pulang ke tempat asal.

Bila sampai di tempat Datuk mengambil rotan semambu tadi, dilihatnya tiga batang rotan semambu yang dipilihnya masih berada di situ.

Tanpa berfikir panjang Datuk terus mengambilnya, kemudian kami mandi di sungai.

Bila kami sampai ke tempat mula-mula tiba tadi, Mamat Bukit dan kawan-kawan sudah ada, malah mereka sudah pun membuat bangsal kecil untuk bermalam. Beberapa longgokan rotan seni terdapat di situ.

"Sebelah sana, ada alur air untuk mandi dan ambil air sembahyang. Airnya jernih yang datang dari gunung”, kata Mamat pada Datuk.

Alur ialah aliran air atau parit kecil yang airnya sentiasa mengalir. Datuk senang dengan penerangan Mamat Bukit. Dia terus ke situ mengambil air sembahyang.

Setelah selesai menunaikan sembahyang Asar, saya terus berborak dengan kawan-kawan Mamat Bukit.

Macam-macam hal yang kami kisahkan, tetapi Datuk tetap merahsiakan kejadian ganjil yang dialaminya ketika mengambil rotan semambu tadi.

"Kami jumpa bangkai kapal terbang orang putih”, ujar Samad Perang sambil menunjukkan barang-barang yang diambilnya dari bangkai kapal terbang.

Antara barang-barang itu ialah tiga biji topi yang ada lambang tentera, dua bekas air, selimut, dua pasang sepatu kulit, pisau, serta buku catatan.

Tamat siri 54/284

BACA: SBDJ Siri 53: Ghaib Dalam Bas
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-SENTIASAPANAS.COM

Thursday, April 25, 2019

Wanita Tahu Lelaki Curang Hanya Dengan Melihat Wajah Pasangan

Wanita Tahu Lelaki Curang Hanya Dengan Melihat Wajah Pasangan

Dalam satu kajian terbaharu mendapati bahawa, wanita sememangnya boleh tahu jika pasangan mereka curang hanya dengan melihat pada wajah. Kajian itu dijalankan ke atas 299 lelaki dan 452 wanita.

Wajah Curang
Gambar hiasan.

Kecurangan yang dicurigai mungkin mengandungi kebenaran jika diamati pada air muka lelaki, ujar penulis kajian itu.

Berbeza dengan lelaki, kajian membuktikan mereka sukar untuk menilai kecurangan dengan hanya melihat wajah wanita.

Menerusi kajian itu, mereka diberi siri gambar wajah dan perlu membuat tekaan skala kecurangan dari satu hingga 10.

Jurnal kajian itu diterbitkan menerusi The Royal Society Publishing pada 17 April 2019 lalu.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: mstar

Merawat Gastrik Dengan Madu Terbukti Cara Penyembuhan Paling Ampuh

Merawat Gastrik Dengan Madu Terbukti Cara Penyembuhan Paling Ampuh

Dalam al-Quran, madu disebut secara spesifik sebagai makanan ahli syurga dan di dalamnya mengandungi penyembuh penyakit untuk manusia, juga digunakan secara meluas dalam perubatan tradisional sebagai amalan sunnah dan rawatan alternatif untuk pelbagai penyakit, pemakanan dan kesihatan manusia.

Cara Minum Madu

Madu didefinisikan sebagai pemanis semula jadi yang dihasilkan lebah madu dari sari bunga atau nektar atau dari rembesan bahagian hidup tumbuhan, atau perkumuhan tumbuhan, dikumpulkan oleh lebah madu dan diubah, serta digabungkan dengan bahan spesifik dalam lebah madu sehingga matang.

Bagaimana Madu Terhasil?

Secara umum, madu boleh dikategorikan kepada dua jenis iaitu madu monoflora, dan madu poliflora.

Madu monoflora ialah madu yang dihasilkan dari nektar dari sejenis bunga saja. Contoh madu monoflora ialah madu akasia, madu sidr dan madu manuka yang lebah madu hanya mengambil nektar daripada pokok akasia, sidr dan manuka sahaja.

Madu poliflora atau dikenali sebagai madu multiflora ialah madu yang dihasilkan lebah madu yang mengambil nektar dari pelbagai jenis bunga. Jenis madu ini seperti madu tualang dan madu asli.

Sifat fizikal madu seperti warna, aroma, rasa, dan ketumpatan madu serta komposisi kimia sesuatu madu bergantung kepada jenis nektar bunga yang dihisap lebah madu, keadaan cuaca dan pemprosesan madu.

Namun, hampir semua madu mengandungi flavonoid, asid fenolik, asid askorbik, tokoferol, enzim serta pelbagai jenis vitamin dan mineral.

Komposisi utama madu ialah gula, iaitu antara 95 hingga 97 peratus berat kering madu. Gula utama dalam madu ialah daripada fruktosa dan glukosa.

Cara Minum Madu Yang Betul

Abu Sa'id al-Khudri meriwayatkan bahawa seorang lelaki datang menemui Rasulullah, beliau berkata, "Sesungguhnya saudaraku sakit perut," Rasulullah bersabda, "Minumkanlah madu kepadanya".

Lelaki itu pulang dan melakukan apa yang disarankan Rasulullah. Tidak lama kemudian, lelaki itu datang semula dan berkata, "wahai Rasulullah! Aku telah memberikan saudaraku minum madu, namun tidak berhasil melainkan bertambah parah."

Maka Rasulullah bersabda, "Apa yang dikatakan Allah itu benar, sedangkan perut saudaramu yang telah berdusta. Pergilah dan berikannya minum madu."

Lelaki itu pulang dan selepas memberikan saudaranya madu, saudaranya sembuh. (Kitab Shahih Tafsir Ibnu Katsir)

Jom tonton video dibawah, bagaimana sebenarnya meminum madu untuk merawat penyakit yang selama ini kita silap mengamalkannya.


Ingat, tidak mungkin Allah dan Rasul-Nya berbohong apabila menyatakan bahawa, madu adalah penawar penyakit.

Madu Sumber Probiotik

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), probiotik ialah mikro organisma hidup yang memberi kebaikan kepada kesihatan apabila diambil dalam kuantiti mencukupi.

Madu pula mengandungi antara empat hingga lima peratus fruktooligosakarida baik untuk pertumbuhan bakteria probiotik dalam usus manusia.

Probiotik adalah bakteria hidup yang memberi manfaat kepada kesihatan apabila dimakan dalam jumlah mencukupi.

Contoh makanan kaya dengan probiotik ialah madu, dadih (yogurt), minuman susu kultur, makanan diperam seperti budu, cencalok serta belacan yang membantu mencegah kanser usus.

Prebiotik pula ialah makanan bagi bakteria baik. Ia boleh didapati dalam makanan yang tinggi kandungan serat seperti pisang, bawang putih, bawang besar, bawang merah, asparagus dan bijirin penuh mil.

Antara fungsi probiotik ialah menghalang pembiakan bakteria yang tidak baik, membantu sistem penghadaman dan penyerapan nutrien dan pada masa sama menghasilkan vitamin, seperti vitamin B-12 dan seterusnya membantu menyihatkan usus dan menyembuhkan penyakit gastrik.

Kandungan asid amino dalam madu, iaitu antara 0.05 hingga 1.0 peratus dengan asid amino proline ialah asid amino utama dalam madu.

Asid amino proline dipercayai sangat penting untuk pembinaan kolagen dan tisu kartilaj untuk menjadikan otot dan sendi tulang bertambah anjal dan tangkas.

Justeru, dalam perubatan tradisional madu digunakan sebagai badan penyembuh luka pada tubuh manusia dan mempunyai sifat melawan keradangan.

Kita terlalu sibuk mencari minuman kultur untuk mendapatkan sumber probiotik bagi memperbaiki usus, tetapi mengabaikan sumber probiotik yang ada dalam Madu Asli yang boleh diamalkan semua orang.

Zat Dalam Madu

Vitamin yang terkandung dalam madu termasuk vitamin B, vitamin A dan vitamin C, manakala mineral yang biasa terkandung dalam madu ialah kalium, magnesium, kalsium, natrium, sulfur, besi dan fosfat.

Enzim

Dalam madu ada pelbagai enzim yang tidak terdapat dalam gula putih. Antara enzim dalam madu ialah enzim oksidase, invertase, amilase dan katalase.

Bagaimanapun, enzim utama dalam madu ialah invertase, diastase dan glukosa oksidase. Ketiga-tiga enzim ini memainkan peranan penting dalam pembentukan madu secara semula jadi.

Enzim glukosa oksidase penting dalam penguraian glukosa kepada hidrogen peroksida dan asid glukonik. Hidrogen peroksida mempunyai sifat melawan mikroorganisma patogen, manakala asid glukonik boleh membantu penyerapan kalsium dalam tulang manusia.

Penerbitan saintifik juga membuktikan madu mengandungi pelbagai komponen kimia yang mempunyai bahan antipengoksida semula jadi seperti fenolik, flavonoid dan vitamin C.

Bahan antipengoksida sangat penting membantu merencatkan penyakit kronik seperti kanser, koronari arteri, degenerasi saraf, melambatkan proses penuaan serta agen antipemerangan dalam pemprosesan buah dan sayur.

Hakikatnya, madu ialah produk semula jadi digunakan sejak dulu untuk pelbagai tujuan perubatan dan kesihatan. Kajian saintifik membuktikan madu mempunyai kesan antimikrob, antikeradangan, serta antipengoksida semula jadi.

Bagaimana Madu Mampu Merawat Gastrik?

Anda sudah tonton video diatas? Begitulah caranya. Untuk merawat gastrik, minum sebotol madu sekali teguk sekali sahaja. Untuk hari-hari seterusnya, ambil 2-3 sudu selepas bangun ketika perut masih kosong.

Tetapi, pantang kenalah hindari makanan pedas dan masam kerana makanan ini antara pencetus utama penyakit gastrik.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: bharian

Muhammad Azeem, Raja Pecut Malaysia Dalam Pembikinan

Muhammad Azeem, Raja Pecut Malaysia Dalam Pembikinan

Larian seorang pelajar, Muhammad Azeem Mohd Fahmi, yang menyertai acara 100 meter di Kejohanan Majlis Sukan Sekolah Malaysia 2019 (MSSM) menjadi bualan hangat netizen di laman Facebook, menerusi video yang dimuat naik Team Malaysia, kerana larian remaja berusia 15 tahun itu cukup pantas meninggalkan peserta lain.

Muhammad Azeem Raja Pecut
Muhammad Azeem.

Atlet muda berasal dari Perak itu berjaya mencatatkan larian 10.63 saat dan kita berharap bakat Muhammad Azeem dapat digilap dan tidak dibazirkan.

Nama atlet muda tersebut sebenarnya tidak asing lagi di dunia pecut kerana sebelum ini, Mohammad Azeem telah memecahkan dua rekod temasya pada Kejohanan Olahraga Remaja Asia Tenggara 2019 di Kompleks Sukan Ilagan di Bandar Ilagan, Filipina pada 3 Mac 2019 lalu.

Digelar "Putera Pecut" ASEAN, Mohammad Azeem meraih pingat emas acara 100 meter dengan mencatat rekod kejohanan iaitu 10.63s, sekali gus catatan terbaharu kebangsaan di bawah 15 tahun.

Usain Bolt Malaysia

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memberi jaminan bahawa atlet pecut muda negara, Muhammad Azeem Mohd Fahmi atau 'Usain Bolt Malaysia' tidak hanya akan menjadi jaguh kampung.

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, pihaknya telah mengarahkan Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN) untuk mencari peluang termasuk menghantar Muhammad Azeem menyertai program latihan di peringkat antarabangsa.

“Usain Bolt Malaysia ini sangat berbakat saya telah mengarahkan pihak MSN dan ISN untuk memberikan bantuan secukupnya untuk melatih beliau bukan sahaja untuk bawah 14 dan 15 tahun, tetapi untuk tempoh 5 hingga 10 tahun akan datang.

“Kalau ada program-program profesional, kita akan minta MSN dan ISN (pertimbangkan), seperti program podium yang boleh diserapkan, kita akan serapkan lebih awal. Kalau ada program latihan luar negara, kita akan hantar beliau,” katanya.

Tumpuan kementerian kini ialah kepada memastikan atlet muda negara, khususnya dalam sukan pecut, menyerlah di peringkat Olimpik.

“Kita ada Khairul Hafiz Jantan (pelari pecut negara) tetapi kita perlu melatih mereka lebih, khususnya golongan muda, supaya dapat melangkah ke hadapan lebih cepat.

“Kita akan melatih beliau (Muhammad Azeem) sebaik mungkin,” katanya.

Jangan Bagi Tekanan

"Perjalanannya masih jauh, jangan beri tekanan," jelas jurulatih kepada jaguh pecut remaja Muhammad Azeem Mohd Fahmi.

Jurulatih Olahraga Negeri Perak, Muhammad Amir Izwan, 50, memberitahu apa yang dikecapi Azeem sekarang adalah hasil usahanya sendiri.

"Memang ada orang cakap 'nanti boleh jadi Usain Bolt', tetapi bagi saya ia masih jauh. Biar dia membesar dan kecapi usia remajanya dengan tenang.

"Saya tidak mahu jika terlalu tinggi harapan atau banyak tekanan yang diterima, sebarang kemungkinan boleh berlaku seperti kecederaan dan sebagainya," ujarnya ketika dihubungi.

Berdisiplin tinggi

Muhammad Amir mengulas tentang video larian pantas Azeem yang tular di media sosial dan ramai netizen berpandangan anak muda itu mampu pergi jauh sekiranya bakatnya digilap.

Jelas Amir, tugasnya sebagai jurulatih hanya ketika latihan sahaja, tetapi selebihnya adalah tanggungjawab atlet itu sendiri ketika berada di balapan.

"Saya hanya berpesan kepada Azeem supaya buat yang terbaik dan paling penting memberi fokus ketika di garisan pelepasan.

"Selain dari itu saya hanya serahkan kepadanya. Saya tahu dia seorang atlet yang matang walaupun usianya baru 15 tahun. Bagi saya kalah atau menang, adalah nombor dua. Yang penting dia 'enjoy' dengan larian sendiri.

"Dan biar juga dia harumkan nama sekolah, negeri dan negara dengan caranya tersendiri," jelasnya.

Amir yang telah melatih Azeem selama tiga tahun turut berkongsi kelebihan yang ada pada pemenang pingat emas Kejohanan Olahraga Remaja Asia Tenggara ini.

"Dia sangat berdisiplin. Bukan memuji tetapi itulah sebabnya dia berada di tempatnya sekarang. Selain disiplin, setiap arahan yang kami bagi dia akan ikut. Dia juga akan buat lebih latihan daripada apa yang diberi.

"Saya juga berterima kasih kepada guru di sekolah rendahnya yang berjaya mencungkil bakat Azeem ini. Di peringkat negeri, saya dan pasukan jurulatih hanya menggilap dan memberi pendedahan kepadanya," tambah Amir.

Rekod 100 meter negara masih menjadi milik Khairul Hafiz Jantan yang dirakam ketika Sukan Malaysia (Sukma) 2016 dengan catatan 10.18 saat.

Saksikan lariannya di bawah.

BACA INI JUGA:


sumber: astroawani

Kuasa Sultan, Perlembagaan Rakyat Malaysia Dan Fakta Malayan Union

Kuasa Sultan, Perlembagaan Rakyat Malaysia Dan Fakta Malayan Union

Dalam tulisan terbaharu Tun Mahathir Mohamad dalam blognya, chedet.cc, bahawa Undang-Undang Tubuh Johor 1895 dan Terengganu 1911 terbatal apabila Perlembagaan Persekutuan dibentuk pada 1957 dan kegagalan mematuhinya akan menidakkan kedaulatan undang-undang.

Mahathir vs TMJ

Negeri-negeri di Malaysia menjadi tanah jajahan British selepas Triti (atau perjanjian) MacMichael ditandatangani. Malayan Union akan diperintah sepenuhnya oleh British. Orang-orang Melayu tidak lagi mempunyai tuntutan terhadap negeri-negerinya. Tiada lagi Tanah Melayu.

Orang Melayu bangkit bersatu menentang. Perpaduan itu menyebabkan British terpaksa memansuhkan semua Triti MacMichael.

British setuju menggantikan Malayan Union dengan Persekutuan Tanah Melayu. Secara rasminya nama yang diterima ialah “Persekutuan Tanah Melayu”. Ia tidak lagi menjadi negeri naungan disebabkan triti itu.

Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu diketuai oleh pesuruhjaya tinggi sebagai ketua eksekutif, yang mengetuai Majlis Eksekutif dan Majlis Perundangan. Semua anggotanya dicalonkan oleh pesuruhjaya tinggi.

Pada 1955, British memutuskan mengadakan pilihan raya untuk 52 daripada 98 kerusi dalam Majlis Legislatif Persekutuan.

British percaya tiada satu parti akan menang lebih 49 kerusi untuk menuntut hak membentuk kerajaan majoriti.

Tetapi Perikatan Umno, MCA dan MIC menang 51 dari 52 kerusi dan berjaya menuntut hak membentuk kerajaan pemerintahan sendiri.

Sejurus selepas itu kedengaran suara-suara di kalangan rakyat dan parti dalam kerajaan untuk menuntut kemerdekaan.

Rundingan dibuat di London dan akhirnya dipersetujui Malaya akan merdeka pada 1957.

Sebagai persediaan untuk itu, Suruhanjaya Reid ditugaskan merangka perlembagaan persekutuan yang merdeka.

Malaya dipersetujui menjadi negara demokrasi yang rakyat bebas memilih kerajaan. Raja-raja akan menjadi ketua berperlembagaan tanpa kuasa eksekutif. Kedudukan mereka akan dijamin oleh perlembagaan sebagai undang-undang tertinggi dalam negara.

Parti yang memenangi pilihan raya akan menamakan perdana menteri (atau menteri besar) dan ketua berperlembagaan akan merestuinya.

Jika raja berperlembagaan menolak merestuinya dan mencalonkan serta merestui calon sendiri, parti pemenang boleh menolaknya dalam dewan, melalui undi tidak percaya.

Undang-undang tubuh Johor dan Terengganu yang diisytiharkan sebelum itu terbatal dengan perlembagaan baru yang diterima oleh semua negeri-negeri di Malaysia.

Pada 9 Mei 2018, rakyat Malaysia mengundi untuk memilih kerajaan (Persekutuan) Malaysia dan kerajaan negeri-negeri.

Penting untuk semua orang menghormati perlembagaan dan patuh padanya. Gagal berbuat demikian akan menidakkan kedaulatan undang-undang.

Fakta Malayan Union, Raja-raja Melayu Hilang Kuasa

Penubuhan Malayan Union adalah persetujuan untuk menjadikan sembilan buah negeri-negeri Melayu bersama-sama dengan Melaka dan Pulau Pinang daripada sebuah negeri naungan kepada sebuah negeri jajahan yang diketuai oleh seorang Gabenor British.

Dibawah pentadbiran ini, semua bidangkuasa Raja-Raja Melayu termasuk hak menentukan dasar luar negeri akan diambil alih oleh Gabenor Malayan Union secara keseluruhan.

Walaupun begitu, Raja-Raja Melayu tetap diberikan hak terhadap agama Islam tetapi tidak mempunyai kuasa mutlak ke atasnya kerana baginda hanya bertaraf Ahli Biasa dalam Majlis Mesyuarat Agama yang dipengerusikan oleh seorang Gabenor British.

Memperoleh tandatangan daripada sultan-sultan tidak sebegitu susah seperti yang dijangka. Mac Michael telah bertindak memaksakan sultan-sultan Melayu untuk menerima cadangan-cadangan pihak British dan tidak memberikan masa untuk baginda-baginda berunding dengan majlis masing-masing, malah Sultan yang enggan menandatangani perjanjian tersebut diugut akan digantikan dengan sultan yang lain di atas tuduhan bekerjasama dengan Jepun semasa Perang Dunia II.

Pada 21 Disember, setiap Sultan atau Pemangku Raja telah memeterai perjanjian yang baru dengan Sir Harold MacMicheal bagaimanapun, sebilangan daripada sultan-sultan itu menyatakan keraguan terhadap syarat-syarat perjanjian itu, tetapi disebabkan ugutan, British berjaya memaksa sultan-sultan itu untuk merelakan Malayan Union bagi menunjukkan kesetiaan mereka kepada pihak British dan takut kehilangan tahta.

Tanpa disedari oleh sultan-sultan, semua perjanjian terdahulu yang mengakui hak kedaulatan sultan-sultan Melayu dimansuhkan.

Raja-raja Melayu, Tun M dan kepentingan nasional

Pertama kali dalam sejarah, kerajaan gagal untuk meminda Perlembagaan Persekutuan membabitkan Perkara 1(2). Hari yang sama juga Menteri Besar Johor Datuk Osman Sapian menjadi Menteri Besar yang paling singkat dalam sejarah negara.

Episod ini adalah lanjutan daripada perang kenyataan terbuka antara Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dengan Tengku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim susulan pembatalan keputusan kerajaan menandatangani Statut Rom.

Kesemua peristiwa ini berlaku serentak dalam keadaan kerajaan sedang bersedia untuk meminda Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN) 2016, berunding mengenai pengurangan kos projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dengan China, dan juga merundingkan harga air dan ruang udara Johor dengan Singapura.

Maka apakah impak kesemua peristiwa politik domestik ini ke atas kepentingan nasional kita setakat ini?

Pertamanya, keputusan kerajaan menarik balik penyertaan sebagai negara ahli Statut Rom menghapuskan kebimbangan berkenaan ancaman terhadap kedudukan Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua negara dan juga panglima tertinggi angkatan tentera Malaysia yang dihujahkan sebagai boleh digugat oleh Perkara 27 dan Perkara 28 Statut Rom.

Ia memperuntukkan bahawa “ketua negara dan komander tentera adalah tertakluk kepada bidang kuasa Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) jika mana-mana jenayah tersebut dilakukan oleh mana-mana orang bawahan atau pihak berkuasa negara tersebut”.

Statut Rom menghadirkan implikasi buruk ke atas keupayaan total kita untuk mencegah sebarang anasir puak pemisah mahu pun pemberontakan.

Dalam situasi hipotetikal, sekiranya gerakan pemisah seperti Gerakan Sabah Sarawak Keluar Malaysia (SSKM) menjadi semakin agresif hingga ke tahap melancarkan aktiviti bersenjata, maka Yang di-Pertuan Agong selaku ketua angkatan tentera Malaysia akan berhadapan dilema untuk bertindak balas semaksimum yang mungkin kerana juak-juak ini akan memperalatkan Statut Rom untuk mengheret baginda ke ICC.

Kerajaan Pakatan turut memulakan inisiatif pindaan Akta Majlis Keselamatan Negara 2016 (Pindaan 2019) seperti berikut:

(a) dalam subseksyen (1), dengan menggantikan perkataan “Perdana Menteri” di mana-mana jua terdapat dengan perkataan “Yang di-Pertuan Agong”;

(b) dalam subseksyen (4), dengan menggantikan perkataan “Perdana Menteri” dengan perkataan “Yang di-Pertuan Agong, atas nasihat Majlis”;

(c) dalam subseksyen (6), dengan menggantikan perkataan “di Parlimen” dengan perkataan “di hadapan kedua-dua Majlis Parlimen”; dan

(d) dalam subseksyen (7), dengan menggantikan perkataan “Perdana Menteri boleh” dengan perkataan “Yang di-Pertuan Agong boleh, atas nasihat Majlis”.

Maka pada satu sisi, keputusan kerajaan untuk menarik balik penyertaan sebagai negara ahli Statut Rom memberi ruang kepada Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua angkatan tentera untuk melancarkan tindakan ofensif besar-besaran jika ada anasir yang cuba menggugat kesepaduan negara.

Pada sisi yang lain pula, pindaan Akta MKN 2016 yang diusulkan turut memperkasakan kuasa Yang di-Pertuan Agong mengatasi Perdana Menteri.

Meskipun cubaan kerajaan untuk meminda Perlembagaan membabitkan senarai negeri-negeri yang ada di dalam negara (fokus Sabah dan Sarawak) gagal mendapat sokongan 2/3 Dewan Rakyat dan kemelut dengan istana Johor seolah-olah semakin hangat, namun prestasi rundingan bilateral kerajaan setakat ini menunjukkan perkembangan positif buat kepentingan nasional kita.

Singapura telah bersetuju untuk mencari penyelesaian secara damai berhubung perjanjian air termasuk kemungkinan menyelesaikan pertikaian menerusi timbang tara atas dasar persetujuan bersama.

Singapura turut menghentikan Instrument Landing System (ILS) yang menjadi pertelagahan susulan pembukaan lapangan terbang Seletar.

Malah, Dr Mahathir turut menyatakan bahawa Malaysia akan mula mengambil alih ruang udara selatan Johor dari Singapura secara berperingkat-peringkat mulai akhir 2019 hingga 2023.

Rundingan semula projek ECRL pula dilaporkan akan menurunkan kos projek menjadi antara RM34.4 bilion dan RM41.3 bilion kerana ia dibina dengan satu-landasan ( single-track ) dan bukannya dua-landasan ( double tracking ).

Menurut sumber The Star , pakej rundingan ECRL yang sedang dirundingkan ini turut melibatkan komitmen China untuk membeli lebih banyak minyak sawit kita di samping pelaburan terus dari China ke Malaysia.

Ringkasnya, di sebalik pelbagai kemelut politik domestik, kepentingan nasional kita masih terpelihara.

Soalnya, sampai bilakah keseimbangan yang tidak stabil ( unstable equilibrium ) ini mampu bertahan?

***
  • Abdul Muein Abadi ialah Pensyarah Program Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia.
  • Terjemahan daripada tulisan Dr Mahathir Mohamad di blog beliau hari ini yang bertajuk “The Malaysian constitution”.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: 1 | 2 | 3

SBDJ Siri 53: Ghaib Dalam Bas

SBDJ Siri 53: Ghaib Dalam Bas

Saya kira, tidak ada perlu Datuk fikirkan. Sembahyang Subuh sudah ditunaikan. Mandi embun sudah dilakukan. Malah, kawasan rumah arwah Mahyuddin sudah kelilingi sebanyak tujuh kali. Empat penjuru kawasan rumah tersebut sudah ditanam dengan dahan pokok delima yang dipotong sepanjang enam inci.

Ghaib Dalam Bas

"Tujuannya bukan apa-apa, cuma nak mengelakkan orang-orang yang tidak bertanggungjawab dari membuat perkara tak senonoh.

"Maklumlah semua orang tahu, arwah Mahyuddin bukan sebarang orang, mana tahu ada orang yang cuba menuju tempat tidurnya, minta itu minta ini, kerja syaitan dan maksiat begini cepat mempengaruhi fikiran orang-orang kita, lebih-lebih lagi kerja maksiat tu boleh mendatangkan wang ringgit."

Datuk menjelaskan tentang perkara yang di buatnya pada saya.

Datuk terus duduk di batang kelapa buruk di sudut kanan halaman rumah. Saya terus memperhatikan beberapa ekor burung merak melompat dari dahan ke dahan di pohon mempelam.

"Datuk awak di mana?”

Saya dikejutkan oleh suara Dumba.

"Itu, Datuk atas batang kelapa." Jari telunjuk saya menuding ke arah Datuk.

"Tengok burung, di sini memang banyak burung”, anak angkat Mahyuddin mencelah, kemudian terus mengekori Dumba menuju ke tempat Datuk.

Saya capai sepotong kayu lalu membaling ke arah burung yang hinggap di ranting. Saya ketawa melihat burung-burung itu berterbangan.

Kemudian, saya berlari mendapatkan Datuk. Saya lihat kelopak mata Dumba berair, begitu juga dengan kelopak mata anak angkat Mahyuddin.

Datuk menggigit bibir, sesekali menggosok pangkal hidung dengan ibu jari. Di wajah Datuk tergambar kesedihan.

"Muktamad, sebelum masuk waktu Zuhur kami berdua akan meninggalkan tempat ini”, ujar Datuk dan sepasang matanya silih berganti merenung muka Dumba dan anak angkat Mahyuddin.

"Bagaimana kalau bertolak lepas Zuhur?”, Dumba mengajukan cadangan.

Mengikut petua dan langkah, hari ini mesti bertolak sebelum Zuhur baru terlepas dari bencana buruk, petua peninggalan nenek moyang kita tak rugi diikuti, ini merupakan warisan”, jawab Datuk.

Dalam masa yang sama, saya sempat menjeling ke arah jam yang terlekat di tangan anak angkat Dumba.

Jarum panjangnya menunjuk angka dua belas dan jarum pendeknya mengarah ke angka tujuh.

"Kalau sudah balik, bila pula nak datang ke sini lagi?”, anak angkat Mahyuddin mengeluarkan pertanyaan. Datuk tersenyum sambil merenung wajah Dumba.

"Kalau panjang umur dan diizinkan Allah yang Maha Kuasa, saya akan datang juga ke sini."

"Dengan kehendak Allah juga kita bertemu dan awak berusaha membetulkan kesilapan yang saya lakukan."

Dengan mendadak Dumba meningkah cakap Datuk. Semua yang ada di situ terus ketawa.

Bila ketawa berakhir, saya lihat lagi sekali Datuk merenung bumi agak lama. BiIa kepalanya diluruskan, saya lihat matanya merah.

Tahulah saya bahawa Datuk menahan air matanya membasahi kulit pipinya.

"Memang tidak pernah terfikir dalam hidup ini yang saya akan berjumpa dengan orang-orang di sini, kemudian menetap di sini hampir dua minggu, semuanya terjadi atas kehendak Allah”, nada suara Datuk tersekat-sekat.

Dumba terus menerpa pada Datuk. Mereka berpeluk-pelukan sejenak. Bila Dumba melepaskan lingkaran tangannya dari tubuh, anak angkat Mahyuddin segera berjabat salam dengan Datuk.

"Mari ke rumah saya untuk makan pagi?”, bisik anak angkat Mahyuddin.

"Terima kasih, lain kali saja”, balas Datuk sambil mengajak kami naik ke rumah arwah Mahyuddin. Semuanya tidak membantah.

Bila berada dalam rumah, Datuk mengarahkan anak angkat Mahyuddin mengambil beberapa helai kain pelikat, sehelai sejadah serta sekeping tikar mengkuang panjang dua belas.

Barang-barang itu Datuk suruh hantarkan ke masjid untuk digunakan oleh ramai yang berjemaah di situ.

Datuk juga minta anak angkatnya menyelesaikan hutang-piutang Mahyuddin, sekiranya dia ada berhutang ketika hayatnya.

"Peti hitam dah tak ada tok”, kata saya bila melihat tempat peti hitam itu kosong. Datuk terdiam sejenak, kemudian dia senyum.

"Kembali pada yang hak”, pendek Datuk menjawab.

"Ada perca kain kuning tiga segi di tempat peti hitam tok."

"Biarkan. Orang yang berhak memberitahu kita dia sudah mengambil haknya."

Selesai sahaja Datuk berkata, perca kain itu melayang-layang macam ditiup angin, sedangkan angin tidak bertiup ketika itu. Perca kain itu bergerak menuju ke tingkap dan akhirnya hilang.

Apa yang saya lihat itu, dilihat juga oleh Dumba dan anak angkat Mahyuddin.

Dan kehilangan peti hitam itu juga disedari oleh anak angkat Mahyuddin tetapi dia tidak kelihatan cemas.

"Ayah dah beritahu saya, katanya, peti hitam dan isinya akan hilang bila dia mati. Ayahnya juga berhasrat untuk memberikan isi peti hitam pada saya."

"Kau dapat isinya'?", celah Datuk.

"Tak dapat. Sebenarnya, kalau tak dapat, kata ayah, saya tak cukup syarat. Tetapi ayah berjanji sebelum dia mati barang dalam peti hitam akan diberikan pada orang yang difikirkannya layak”, terang anak angkat Mahyuddin lagi.

Datuk tidak bertanya lebih lanjut lagi tentang perkara itu pada anak angkatnya Mahyuddin.

Datuk mengajak kami keluar dari rumah dan duduk kembali di halaman. Saya sudah pun membimbit beg rotan empat segi.

Di dalamnya termuat beberapa helai pakaian saya dan Datuk. Semuanya sudah saya basuh semalam.

Mungkin dalam petua Datuk, ketika matahari sudah berada di paras pucuk kelapa dara serta tiupan angin lembut dari arah selatan, adalah saat paling baik untuk memulakan perjalanan.

Lagi sekali Datuk berjabat salam dengan Dumba. Saya lihat Dumba tidak dapat menahan kesedihan.

"Awak banyak menolong saya dan menyedarkan saya”, kata Dumba.

"Bukan saya. Allah yang membuka hati awak. Saya cuma berusaha”, balas Datuk sambil merangkum tangan.

Saya dan Datuk pun mula mengatur langkah. Sampai dekat pokok macang (bacang) di liku jalan, dua orang lelaki muncul dengan pakaian yang agak kotor.

Baju dan seluarnya terdapat kesan-kesan getah yang sudah keras. Mereka menahan Datuk dan saya.

"Kenapa?", suara Datuk lembut.

"Tolong kami."

"Tolong apa? Nak minta tolong toreh getah?”, tanya saya.

Sesungguhnya, saya kurang senang dengan kedatangan dua manusia itu. Mereka mengganggu perjalanan saya dan Datuk untuk segera pulang.

"Jangan biadap. Mana budi bahasa kamu sebagai Melayu?”, telapak tangan kanan Datuk menekan pipi kanan saya.

Marah sungguh dia dengan sikap saya itu. Datuk terus melayan kedua penoreh getah itu.

"Kami ni selesai menoreh kira-kira pukul tujuh pagi, sementara menanti getah berhenti menitik dalam mangkuk, kami pergi ke kubur Mahyuddin”, terang penoreh yang berbadan kurus.

Dari jauh saya nampak Dumba dan anak angkat Mahyuddin menuju ke arah saya dan Datuk.

"Apa yang nak kamu cari di kuburnya?”, Datuk jegilkan biji mata.

Kedua lelaki itu tersengih. Mereka kelihatan serba salah.

"Apa yang kau orang nak cari di sana?", soal Datuk lagi.

"Mahyuddin tu banyak ilmu dunia. Kami nak cari sesuatu darinya”, sahut lelaki yang berbadan kurus.

"Habis, dapat apa yang kamu cari?"

"Huh, kami jumpa harimau atas kuburnya."

"Apa yang kau orang dapat dari harimau tu?"

"Kami takut, lalu lari”, sahut lelaki yang bermata sipit.

Datuk menggigit bibir sambil merenung muka dua lelaki itu.

"Aku tahu, kau orang mahu meninjau. Kemudian kau orang nak menurun nombor ekor di kuburnya”, nada suara Datuk meninggi.

Kedua lelaki itu anggukkan kepala, mengakui apa yang Datuk katakan itu. Ketika itu juga anak angkat Mahyuddin dan Dumba sampai. Datuk terus menceritakan apa yang berlaku.

"Biadab, tidak tahu menghormati perasaan orang lain”, tiba-tiba tercetus ungkapan dari mulut anak angkat Mahyuddin.

"Sabar”, pekik Datuk lalu menangkap pergelangan tangan anak angkat Mahyuddin yang mahu melepaskan penumbuk ke muka salah seorang daripada lelaki itu.

Badan anak angkat Mahyuddin kelihatan menggeletar menahan perasaan marah.

"Memang, dia orang dagang, tapi, aku anak angkatnya, apa kau orang berdua tidak memikirkan perasaan aku?

"Apa rasa hati kamu berdua kalau kubur saudara-mara kamu dipermainkan begitu,” anak angkat Mahyuddin terus meluahkan perasaannya.

Saya kira, kalau Datuk tidak ada di situ, pasti berlaku pertengkaran.

“Sudahlah, lupakan semuanya itu”, Datuk memujuk.

Dan lelaki itu segera meminta maaf pada anak angkat Mahyuddin.

Dada saya terasa lapang, bila anak angkat Mahyuddin bersedia memaafkan perbuatan kedua lelaki itu.

Kemudian Datuk menyuruh kedua lelaki itu pergi ke kebun getah untuk mengutip susu getah.

“Kami takut”, ujar kedua lelaki itu serentak.

“Takut apa?”, soal Dumba.

“Takut harimau."

“Pergilah, tak apa. Kalau kau orang tidak berniat serong .Tetapi kalau berhajat nak menurun nombor ekor di situ, batang tengkuk kau orang akan dipatahkan oleh harimau itu”, kata Datuk.

Ternyata, kedua lelaki itu enggan beredar. Mereka tidak yakin dengan apa yang Datuk katakan itu.

“Apa tunggu lagi, pergilah buat kerja”, Dumba bersuara.

Kedua lelaki itu berpandangan sama sendiri, sesekali menoleh ke arah kebun getah, macam mengawasi sesuatu.

“Aku nak balik aje”, tiba-tiba yang berbadan kurus bersuara.

Biji matanya tertumpu ke wajah Datuk. Kemudian, dia terus melangkah dengan diikuti oleh kawannya.

Datuk segera memintas di hadapan mereka hingga langkah mereka mati.

“Ingat, jangan cuba menurun di kubur atau di pangkal pokok kerana mahu menikam nombor ekor.

"Itu perbuatan orang syirik. Carilah rezeki cara yang halal, nanti hidup di berkati Allah”, ujar Datuk dengan nada suara yang rendah.

Kedua lelaki itu anggukkan kepala. Datuk langkah setapak ke depan sambil mendepangkan kedua belah tangannya.

“Ingat”, jerit Datuk serentak dengan itu kedua belah tangannya singgah ke atas bahu lelaki itu.

Saya menarik nafas panjang, bila saya lihat Datuk menekan bahu kedua lelaki tersebut.

Tekanan yang Datuk lakukan itu, saya kira cukup kuat, kalau tidak masakan wajah kedua lelaki itu macam menahan kesakitan.

Datuk jatuhkan kedua belah tangannya dari atas bahu kedua lelaki itu. Datuk terus membongkok lalu mengambil sekepal tanah.

"Kamu tahu, asal kita semua dari tanah, ambil tanah ini”, ujar Datuk lalu menyerahkan kepalan tanah di tangannya kepada kedua lelaki itu.

Macam kena pukau, kedua lelaki itu menahan tangan, menerima tanah yang diberikan oleh Datuk.

"Bawa”, sahut kedua lelaki itu serentak.

Mereka renung muka saya sejenak, kemudian mengalihkan biji mata merenung wajah Dumba dan anak angkat Mahyuddin.

Tanpa mengucapkan sesuatu, mereka melangkah menuju ke kebun getah meneruskan kerja masing-masing.

"Apa azimat yang diberi pada mereka?”, soal Dumba pada Datuk.

"Azimat?"

"Azimat apa yang awak beri pada mereka”, ulang Dumba.

"Dalam hidup ni, tidak ada azimat. Aku cuma memberi sekepal tanah biasa yang tidak membawa apa-apa makna pada mereka.

"Tetapi, aku yakin mereka merasakan tanah itu sebagai tangkal yang boleh menghalau harimau."

"Jadi awak menipu mereka?", sanggah anak angkat Mahyuddin sambil tersenyum sinis.

Datuk menggigit bibirnya sambil mata merenung pada pohon getah yang berbaris di hadapannya.

"Aku tidak menipu, apa yang aku lakukan adalah petua orang tua-tua. Manusia yang sedang takut, kalau kita sergah dengan sekuat hati akan jadi berani.

Lebih-lebih lagi selepas disergah, kita berikan sesuatu yang kita kirakan boleh memberi kepercayaan atau semangat pada mereka”, Datuk membocorkan rahsianya.

Menurut Datuk, ketika menyerahkan benda-benda itu mesti cepat dilakukan.

Jangan beri kesempatan pada orang yang menerimanya bertanya sesuatu kepada orang yang memberi.

Bila orang itu sudah bertanya, pasti menimbulkan keraguan dalam dirinya. Bila sudah ada keraguan dalam dirinya, semangatnya tidak akan padu lagi dan boleh menimbulkan rasa waswas.

Terkejut anak angkat Mahyuddin dan Dumba mendengar penjelasan itu.

"Sebab itulah, orang-orang Melayu dulu, kalau memilih panglima perang, terdiri dari orang yang suara garang.

"Berbadan tegap dan pintar, kerana orang-orang seperti itu boleh memberi semangat pada anak buahnya.

"Dari itulah timbulnya tangkal dan azimat di kalangan orang-orang kita yang kononnya boleh membuat seseorang itu kebal”, sambung Datuk lagi.

Saya tersenyum. Dumba saya lihat gelengkan kepala.

"Tetapi, semuanya itu ada sesuatu yang sengaja awak tak beritahu pada kami”, anak angkat Mahyuddin mula mencungkil rahsia diri Datuk.

"Tak ada apa-apa. Mana ada azimat dalam Islam. Para sahabat nabi berjuang menentang musuh tidak pakai azimat tetapi mereka berbekalkan semangat dan keyakinan. Mereka berjuang penuh semangat untuk menegakkan Islam.

"Mereka yakin, mereka tidak akan mati kalau tidak diizinkan Allah yang Maha Besar”, kata-kata yang Datuk ucapkan itu membuat anak angkat Mahyuddin dan Dumba tidak mengajukan sebarang pertanyaan lagi.

"Mari”, Datuk menarik tangan saya.

"Ke mana tok?"

"Hai, baliklah, ke mana lagi?"

Saya pun melangkah menuju ke jalan raya. Dumba dan Mahyuddin terus mengiringi kami.

Lebih kurang sepuluh minit berjalan, kami pun sampai ke bibir jalan raya. Berdiri di situ menunggu bas yang mahu pergi ke Tanjung Malim.

Matahari terus bersinar. Bas yang dinanti belum juga tiba. Saya sudah tidak sanggup berdiri dan terus duduk di atas seketul batu.

"Bas”, kata Dumba.

Saya segera melompat untuk menaiki bas. Bas pun berhenti, dan saya melangkah ke dalam perut bas. Datuk masih lagi berdiri di tepi jalan.

Perbuatannya itu kurang disenangi oleh penjual tiket bas yang berbangsa Cina. Penjual tiket terus memukul alat penekan lubang tiket ke besi bas, memberitahu Datuk supaya segera naik.

"Hai orang tua cepatlah. Ini bas bukan sendiri punya”, sergah penjual tiket bas.

Pemandu bas yang berbadan tegap membunyikan hon bas.

"Hei cepatlah”, pekik pemandu bas yang berbangsa India itu, sambil memaki-maki Datuk.

Saya mula terasa takut dan terus duduk di bangku. Tidak ada penumpang di dalam bas.

"Sekejap Encik”, kata Datuk.

"Apa lu ingat ini bas lu punya ke?”, sergah pemandu bas dengan wajah yang garang.

Datuk tersenyum padanya sambil mengangkat tangan tanda minta maaf.

Rupanya, sikap baik yang Datuk ditunjukkan itu menambahkan rasa marah pada penjual tiket bas.

"Eh, bodoh naiklah”, sergah penjual tiket.

"Encik, saya tahu saya salah, tapi cakaplah baik-baik sikit”, balas Datuk.

"Apa lu ingat lu besar”, jawab penjual tiket.

"Saya tak besar, tapi Tuhan lagi besar dari semua tau”, suara Datuk mula meninggi.

Dinding bas terus ditamparnya, serentak dengan itu enjin bas terus mati. Saya turun dari bas. Berdiri dekat Datuk yang buat tidak tahu dengan apa yang berlaku.

Muka pemandu bas dan penjual tiket mula dibasahi peluh dalam sinar panas mula terik.

"Satu perkara yang mahu aku ingatkan pada kamu berdua, jangan cemas bila melihat harimau berkeliaran di halaman rumah arwah Mahyuddin selama tiga petang berturut-turut.

"Lepas tiga hari harimau itu akan hilang. Tolong perhatikan kubur Mahyuddin jangan sampai dikeramatkan oleh orang-orang tertentu”, Datuk meninggalkan pesan pada Dumba dan anak angkat Mahyuddin. Mereka bersalaman dan berpeluk-pelukan.

Datuk pijak tangga bas, begitu juga dengan saya. Kami duduk di bangku belakang pemandu bas.

"Apa pasal tak jalan?", tanya Datuk pada pemandu bas yang sedang terbongkok-bongkok dengan stereng bas.

"Pemandu bas segera merenung muka Datuk dengan wajah yang masam. Dia menggigit bibir.

"Saya panas, jalanlah apa tunggu lagi”, Datuk merungut dan rungutan itu didengar oleh penjual tiket yang berdiri dekat Datuk.

Dia pun menghempaskan papan tiket atas bangku, dan memperlihatkan rasa marahnya yang amat sangat pada Datuk.

Kalau Datuk menegur atau bersuara, pasti dia bersedia melakukan sesuatu. Datuk bangun dan menepuk bahu penjual tiket.

"Saya tolong awak hidupkan enjin bas”, ujar Datuk.

Penjual tiket dan pemandu bas menjuihkan bibir ke depan sambil merenung sinis pada Datuk.

"Sudahlah, lu apa tahu”, ejek pemandu bas.

"Dengan izin Allah, saya boleh menolong awak”, balas Datuk lalu memukul kepala gear bas yang tertonjol di situ.

Sebaik sahaja Datuk melakukannya, enjin bas segera hidup. Pemandu bas terkejut dan terus mematikan suis bas, kemudian menghidupkan kembali. Ternyata enjin bas berjalan dengan baik.

Tanpa mengucapkan sesuatu, pemandu bas duduk kembali di tempatnya lalu menekan minyak dan menolak gear satu, bas pun meluncur dengan tenang.

Saya dan Datuk melambaikan tangan pada anak angkat Mahyuddin dan Dumba.

Saya terasa ada sesuatu yang aneh berlaku dalam bas. Penjual tiket tidak meminta wang pada Datuk walaupun bas itu sudah berjalan hampir tiga batu.

Sampai di satu selekoh bas berhenti kerana mengambil orang. Ketika orang itu naik, Datuk segera bangun.

"Saya turun di sini, cucu saya saja yang naik bas sampai ke Tanjung Malim. Ini tambangnya”, Datuk menghulurkan wang pada penjual tiket.

Dalam keadaan serba salah penjual tiket mengambil wang dari tangan Datuk, tetapi, wang itu diserahkan pada saya kembali tanpa pengetahuan Datuk.

Bas terus berjalan, Datuk melambaikan tangan pada saya.

"Apa pasal tak ambil tambang?", tanya saya pada penjual tiket.

"Tak apa, lu duduk. Kalau ada inspektor tiket datang, saya boleh cakap."

"Nanti Datuk saya marah sama saya."

"Dia mana tahu, dia sudah turun."

"Betul, awak cakap”, balas saya.

Penjual tiket itu terus ketawa. Bas berhenti lagi mengambil penumpang.

Saya perhatikan hampir separuh bangku dalam bas sudah dipenuhi dengan penumpang.

Dan bas kian kerap berhenti lagi mengambil penumpang. Tekak saya mula terasa loya kerana tidak tahan dengan bau minyak diesel.

Bagi menghilangkan rasa loya itu saya tekan perut dengan tangan. Akhirnya, saya terlelap.

Bila saya terjaga, bas sudah berhenti di perhentian Tanjung Malim. Dua tiga kali saya gosok mata.

Saya biarkan penumpang-­penumpang lain turun dulu. Biarlah saya turun kemudian. Pemandu dan penjual tiket masih berdiri di tempat masing-masing.

Semua penumpang sudah turun. Dada saya mula berdebar. Saya renung wajah penjual tiket.

"Turunlah apa tunggu lagi?", katanya pada saya.

"Tunggu di luarlah. Saya ingat dia tumpang lori, awak tunggu di sana”, ujar penjual tiket sambiI menuding jari telunjuk ke sebuah gerai menjual buah-buahan.

Saya terdiam, fikiran saya jadi kelam-kabut. Saya salahkan diri saya sendiri, sepatutnya saya bertanya Datuk, ketika dia turun dari bas tadi.

Aneh, semuanya tidak terfikir oleh saya ketika itu. Lagi sekali saya menarik nafas panjang. Kali ini pandangan saya tertumpu ke wajah pemandu bas.

"Lu punya Datuk bodoh punya orang. Sudah naik bas apa pasal mahu turun?”, pemandu bas menyatakan rasa kesalnya.

Tiba-tiba wajah pemandu bas jadi pucat, mulutnya terlopong. Matanya tajam merenung ke bahagian belakang bas.

Saya segera menoleh, saya juga terkejut besar. Dua tiga kali saya gosokkan mata bagi memastikan apakah yang saya lihat itu satu kenyataan atau khayalan saya saja.

“Tok”, kata saya.

"Ya, ini memang Datuk kau Tamar, kau tidak berkhayal kau menghadapi kenyataan”, suara Datuk parau.

Saya segera menerkam ke arahnya lantas menjabat tangannya. Datuk terus menghampiri pemandu dan penjual tiket.

"Eh, orang tua lu manusia ke hantu?'', tanya penjual tiket penuh rasa curiga.

Datuk tersenyum lalu menepuk bahu penjual tiket.

"Saya manusia serupa macam awak”, kata Datuk.

"Tadi, awak turun macam mana awak boleh duduk di belakang?"

"Betul, saya turun. Saya jalan kaki ke sini. Masa bas berhenti di sini, saya naik tapi awak tak nampak”, Datuk memberi penjelasan pada pemandu bas yang menyoal.

Saya gosok batang hidung dua tiga kali. Saya tidak tahu kenapa Datuk melakukan semuanya itu.

"Saya buat macam ni, supaya lain kali awak jangan cakap besar dan sombong.

"Saya mahu awak belajar menghormati orang tua-tua, tidak kira apa bangsa pun, kerana awak juga satu hari akan menjadi tua”, Datuk memulangkan paku buah keras pada pemandu dan penjual tiket.

Saya lihat pemandu dan penjual tiket terdiam. Mereka tarik nafas panjang penuh rasa takjub. Saya dan Datuk turun dari bas.

Tiba-tiba pemandu dan penjual tiket meluru ke arah Datuk. Kedua belah tangan Datuk mereka sambar untuk dicium, kemudian mereka terus membongkok macam mahu menyembah Datuk.

"Jangan”, kata Datuk sambil menarik tangan kiri dan kanannya.

Kemudian Datuk menyuruh mereka menegakkan badan. Mereka patuh dengan cakap Datuk.

"Dalam ajaran Islam, tidak boleh menyembah sesama manusia kerana manusia itu adalah sama di sisi Allah, baik dia hitam atau pun putih”, Datuk terus menepuk-nepuk bahu kedua lelaki itu.

"Tapi, awak lain macam punya orang?"

"Lain macam mana?"

"Awak boleh mati dan hidupkan enjin kereta, kemudian awak boleh berjalan laju macam bas."

"Semuanya itu cara kebetulan saja”, kata Datuk tersekat-sekat.

Orang ramai mula menghurung Datuk. Pemandu bas itu terus juga mengajukan berbagai-bagai pertanyaan.

Semua pertanyaan itu mempunyai unsur-unsur memuja dan mengagumi diri Datuk. Satu perbuatan yang tidak disenangi oleh Datuk.

"Mari”, Datuk terus menarik tangan saya.

Kami menyusup di celah-celah orang ramai yang mengelilingi pemandu dan penjual tiket.

"Tengok, tadi orang tua tu ada di sini sekarang dia sudah hilang. Dia banyak ganjil punya orang, saya ingat dia hantu”, suara pemandu bas meninggi.

Orang ramai yang berada di perhentian bas jadi kelam-kabut lalu menuju ke tempat pemandu dan penjual tiket.

Tidak lama kemudian suara pemandu bas itu kian menurun dan hilang, digantikan oleh suara ketawa dari orang ramai.

Datuk dan saya hanya melihat peristiwa yang melucukan dari jarak dekat, kira-kira lima atau sepuluh kaki saja jaraknya dari orang ramai yang mengelilingi pemandu bas.

Anehnya, setiap orang yang lalu di hadapan kami bagaikan tidak nampak dengan batang tubuh saya dan Datuk.

Seolah-olah kami tidak wujud di situ. Mereka berulang-alik dan kami terpaksa mengelakkan diri dari dilanggar.

"Sebenarnya, aku mahu bercerita panjang pada mereka. Aku mahu menjelaskan kedudukan yang sebenar, bila mereka buat bising aku terpaksa melarikan diri”, keluh Datuk penuh rasa kesal.

"Bagaimana bila orang sudah tidak ada, kita jumpa mereka tok?"

"Tak payahlah, lain kali saja kalau ada umur aku jumpa mereka."

"Tapi, mereka jadi serba salah tok, orang menuduh mereka gila."

Datuk memicit pangkal dagunya. Orang ramai yang menghurung pemandu dan penjual tiket mula berkurangan.

Dan setiap orang yang meninggalkan kawasan itu menuduh mereka mabuk todi.

Akhirnya pemandu dan penjual tiket mula sedar yang perbuatan mereka, adalah perbualan sia-sia.

Mereka masuk ke dalam perut bas kembali, kerana bangku-bangku kosong dalam bas sudah dipenuhi dengan para penumpang.

"Syukurlah, keadaan sudah tenang”, kata Datuk.

Tanpa banyak soal saya terus mengekori Datuk menuju ke jalan besar. Ketika kami berjalan di kaki lima bangunan di situ, sebuah kereta Morris Minor berwarna hitam berhenti.

Seorang lelaki keluar dari kereta tersebut dan meluru ke arah Datuk.

"Kenal saya?", kala lelaki itu.

"Rasanya, saya kenal."

"Bukan rasa, memang dah kenal. Bukankah awak yang menolong anak saya dulu."

"Oh, bagaimana dengan anak awak?"

"Sudah jadi manusia. Awak nak ke mana ni?"

"Saya sebenarnya nak ke Ipoh."

"Begini”, lelaki itu tidak meneruskan perkataannya.

Ada semacam keraguan bermain dalam kepalanya. Dia nampak keberatan untuk menyatakan sesuatu pada Datuk.

"Terangkan pada saya”, Datuk mendesak. Lelaki itu mempamerkan senyum.

Dengan nada suara yang lemah dia berkala:

"Saya tak dapat nak menolong awak. Saya tak dapat nak menghantar awak hingga ke Ipoh."

"Itu yang awak susahkan, saya tak minta awak berbuat begitu."

"Saya tahu, awak sudah menolong saya. Alangkah baiknya dalam saat begini saya boleh menolong awak."

"Jangan begitu. Setiap pertolongan yang saya berikan tidak minta dibalas”, suara Datuk cukup tenang. Lelaki itu tunduk merenung simen kaki lima.

"Saya mahu ke Sungkai. Bagaimana kalau awak berdua menumpang saya sampai ke Sungkai?"

"Boleh juga”, balas Datuk.

Tanpa membuang masa, saya dan Datuk masuk ke perut kereta. Sepanjang perjalanan itu, lelaki tersebut tidak putus-putus melahirkan rasa kesalnya kerana tidak dapat menghantar Datuk hingga ke Ipoh.

"Kalau saya tak ada hal mustahak di Sungkai, saya hantar awak hingga ke Ipoh. Jasa awak menolong anak saya dulu, belum dapat saya balas”, lelaki itu terus mengeluh sambil memaut stereng kereta erat-erat.

Saya yang duduk di bahagian belakang kereta, terus melihat pokok-pokok dan bukit-bukau yang tertegun di kiri kanan jalan.

Satu pemandangan yang amat mengasyikkan buat saya. Seronok benar saya melihat daun-daun pokok yang menghijau itu.

"Awak tak usah sebut-sebut lagi perkahwinan itu. Bersyukurlah pada Allah kerana anak awak sudah baik. Awak tak perlu memikirkan untuk membalas jasa saya”, cara mendadak Datuk bersuara.

Tamat siri 53/284

BACA: SBDJ Siri 52: Sebilah Keris Aneh
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-SENTIASAPANAS.COM

Wednesday, April 24, 2019

Modal £150, Remaja Kaya Sekelip Mata Trade Dalam Forex!

Modal £150, Remaja Kaya Sekelip Mata Trade Dalam Forex!

Hanya dengan bermodalkan wang £150, siapa sangka Edward Ricketss, 16, yang melabur dalam pasaran matawang atau Forex, mampu mengaut pulangan lumayan selepas berjaya menggandakan modal kecil miliknya menerusi teknik yang hanya dipelajari menerusi Youtube.

Edward Ricketss forex trader
Edward Ricketss.

Edward meluangkan masa selama lima jam sehari menonton video-video tips tentang Forex menerusi platform YouTube.

Dia menetap di Walthamstow, timur London bersama bapanya yang berusia 54 tahun dan dua adik beradik yang lain.

Pada permulaan, Edward hanya menggunakan wang berjumlah £150 (RM805) yang telah berganda menjadi £61,000 (RM327,603).

Apa yang sangat menarik adalah, Edward mencabar dirinya sendiri untuk membuktikan kata-kata seorang mentor forex terkenal adalah salah, bahawa tanpa ilmu secara formal tentang matawang dunia, seorang trader tidak akan berjaya.

Untuk meraikan kejayaannya itu, Edward meluahkan hasrat untuk membeli sebuah kereta Mercedes dan membawa keluarganya melancong ke Amerika Syarikat.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: mstar

Lenovo Z6 Pro Kamera '100MP' 6GB RAM, Hadir Dengan Teknologi 5G

Lenovo Z6 Pro Kamera '100MP' 6GB RAM, Hadir Dengan Teknologi 5G

Smartphone terbaharu Lenovo Z6 Pro bakal dilengkapi processor Snapdragon 855, turut tampil dengan kelainan apabila disertakan bersama sistem penyejukan cecair yang biasanya cuma ditawarkan dalam sistem komputer.

Spesifikasi Lenovo Z6 Pro

Kemungkinan tiga model akan ditawarkan buat Lenovo Z6 Pro dengan penyertaan RAM 6GB, 8GB, 12GB dengan ruang storan 64GB, 128GB dan 256GB.

Malah, teknologi internet terkini, 5G antara yang dijangkakan pada model Lenovo Z6 Pro ini.

Spesifikasi Lenovo Z6 Pro

Lenovo Z6 Pro hadir dengan dimensi 157.5 x 74.6 x 8.7 mm dengan berat 185 g. Skrin berukuran 6.39 inci menggunakan panel Super AMOLED dengan aspek ratio 19.5:9.

Resolusi skrin Z6 Pro adalah 1080x2340 dengan kepadatan ~403 ppi.

Selain itu, bahagian skrin turut menyokong DCI-P3 dan HDR10 yang akan menghasilkan kualiti paparan skrin yang jernih.

Kamera 100MP

Tidak hanya memfokuskan kepada spesifikasi semata-mata, Lenovo Z6 Pro turut memberi penekanan kepada kamera bahagian belakang dengan penyertaan kamera lensa merangkumi lensa 48MP, 20MP dan dua lensa 16MP.

Gabungan empat lensa Lenovo Z6 Pro ini secara tidak langsung membolehkan pengguna mendapatkan imej dengan kualiti kamera 100-megapixel.

Sama-sama kita nantikan apa lagi kejutan yang bakal diperkenalkan bagi model Lenovo Z6 Pro terbaharu ini.

Mampukah Lenovo Z6 Pro menjadi pencabar kepada telefon pintar flagship yang lain atau sebaliknya?

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: thevocket

SBDJ Siri 52: Sebilah Keris Aneh

SBDJ Siri 52: Sebilah Keris Aneh

Baru dua langkah Datuk mengatur tapak, saya terpandangkan cahaya api yang kuat. Cahaya itu kelihatan bergerak menuju ke masjid. Perasaan saya jadi cemas. "Ada orang bawa suluh datang ke sini tok”, kata saya memberitahu Datuk.

Sebilah Keris Aneh

Dan Datuk segera membatalkan niatnya menuju ke arah benda jatuh. Dia patah balik dan berdiri dekat saya di ambang pintu masjid. Tiada rasa cemas dan bimbang terpamer di wajahnya.

"Tamar."

"Ya tok"

"Yang kau tengok tu bukannya suluh."

"Kalau bukan suluh, apa dia tok?"

"Itu disebut andang yang dibuat dari daun kelapa."

"Hum, saya tak tahu tok."

"Kalau tak tahu belajar, orang Melayu kaya dengan bahasa, setiap benda ada nama dan gelarannya."

"Huh..”, satu keluhan terpancut dari mulut saya.

Dalam saat-saat cemas begitu, Datuk masih mahu memperkenalkan saya dengan benda-benda yang baru.

Saya mula terasa yang diri saya ini, terlalu miskin dengan perbendaharaan kata-kata bahasa sendiri.

Mata saya masih lagi terpaku pada andang daun kelapa. Bunga-bunga api yang dicipta oleh andang tersebut kelihatan berterbangan di udara, sebelum jatuh ke bumi.

Satu pemandangan yang amat menarik dan cantik bagi saya. Cahaya api itu, kian lama kian hampir ke masjid.

"Sahabat, saya datang”, dada saya terasa lapang. Saya kenal dengan suara itu.

Datuk renung muka saya. Api andang daun kelapa pun padam. Dengan tenang Mahyuddin melangkah menghampiri saya dan Datuk. Wajahnya nampak tenang.

"Kenapa lambat!"

"Mencari benda yang mahu saya serahkan pada awak. Benda itu hilang dari tempat simpanannya”, suara Mahyuddin penuh kesal.

Datuk terus menepuk-nepuk bahu Mahyuddin beberapa kali. Mahyuddin seluk baju cekak musang yang dipakainya.

Dia mengeluarkan sekotak mancis cap kuda terbang. Mahyuddin terus membakar sumbu pelita minyak tanah yang dibawanya.

Sebahagian daripada ruang masjid terang benderang dilingkari oleh cahaya lampu minyak tanah.

Saya merenung ke luar, tidak ada satu benda pun yang dapat saya lihat, suasananya gelap.

Datuk dan Mahyuddin sandarkan badan ke dinding masjid. Masing-masing merenung api di sumbu pelita minyak tanah yang terlentuk-lentuk ke kiri dan ke kanan mengikut hembusan angin malam. Suara cengkerik jelas kedengaran.

“Tadi ada benda jatuh dalam masjid, baru mula nak cari, awak dah datang”, ujar Datuk seraya menggosok-gosok pangkal hidungnya.

"Apa bendanya sahabat?"

"Entah, saya pun tak tahu, pinjam pelita sekejap biar saya cari apa bendanya."

"Itu memang elok, kalau yang jatuh tu benda tak bernyawa tak apalah, tetapi kalau benda bernyawa seperti ular atau lain-lain, bahaya kita dibuatnya."

"Betul cakap awak”, balas Datuk.

Saya renung kiri kanan, memang seram bila Mahyuddin menyebut perkataan 'ular' bulu tengkuk saya berdiri dengan sendiri.

Saya dapat membayangkan kalau benar ular jatuh tengah masjid, pasti bukan ular sembarangan, mungkin ular jadi-jadian. Saya terus melompat dan duduk di sisi Mahyuddin.

"Kau takut?" tanyanya pada saya.

"Tidak”, balas saya sambil menegakkan dada.

Tunjuk berani tetapi, hati tetap berdebar. Tuhan sahaja yang tahu perasaan saya ketika itu.

Kepala lutut saya yang bertemu dengan kepala lutut Mahyuddin menggeletar, membuat Mahyuddin tersenyum sinis pada saya.

Dengan cahaya pelita minyak tanah di tangan, Datuk terus berarak menuju ke arah sebelah kanan masjid.

Datuk yakin di situlah benda ganjil ilu jatuh. Saya dan Mahyuddin hanya melihat segala gerak-geri Datuk.

"Keris”, jerit Datuk.

Saya dan Mahyuddin segera menghampirinya. Sebilah keris terdampar atas lantai masjid. Hulunya diperbuat dari tanduk dalam bentuk muncung dan paruh burung helang.

Sarungnya diperbuat dari kayu jenis keras. Bila terkena cahaya pelita, sarung dan hulu keris kelihatan bersinar·sinar.

Datuk tidak berani menjamah keris tersebut, kerana hulu keris mengeluarkan asap nipis yang memanjang ke atas, bentuk asap itu kelihatan berliku-liku.

Bila asap itu hilang, keris tersebut kelihatan bergerak sendiri dalam sarungnya, macam mahu keluar.

Dengan tenang Mahyuddin menjamah keris tersebut. Kemudian membalutkan badan keris itu dengan kain kuning yang dikeluarkan dari saku seluarnya.

Keris itu diletakkan kembali atas lantai dan Mahyuddin terus duduk bersila di depan keris. Dia kelihatan macam orang bertafakur.

"Inilah yang mahu saya berikan pada sahabat, belum pun sempat saya bertindak dia dah terbang mencari sahabat”, ujar Mahyuddin sambil merenung wajah Datuk.

Beberapa saat kemudian, saya lihat Mahyuddin menatang keris itu untuk diserahkan pada Datuk.

Tetapi, Datuk enggan menerimanya. Mahyuddin terpaksa meletakkan kembali atas Rupanya tindak tanduk Datuk itu difahami oleh Mahyuddin.

Datuk mahu dia bercerita serba sedikit tentang keris ganjil itu.

Menurut Mahyuddin, keris itu dibuat dengan tangan oleh guru silatnya. Mata keris itu dipadukan dengan lima jenis besi yang diambil dari lima buah gua di gugusan kepulauan Melayu iaitu dari tanah Bugis, Melaka, Bukit Seguntang, Pulau Mindanao (Filipina) dan Patani (Selatan Siam).

Ketika dia bertapa dalam hutan, mata keris itu telah dijilat oleh harimau tiga malam berturut-turut.

Kata Mahyuddin lagi, keris itu telah membunuh tiga orang Belanda, tiga orang Inggeris dan lima korbannya terdiri dari orang-orang asing yang mahu menjajah alam Melayu.

Saya menarik nafas panjang mendengar ceritanya. Saya kira, ceritanya itu tidak dapat diterima oleh akal.

Datuk tidak melahirkan sebarang pendapat berhubung dengan cerita Mahyuddin itu. Datuk hanya menggigit kuku di ibu jari.

"Sekarang sahabat sudah tahu, sayalah harimau dan sayalah orang yang menyimpan keris air liur harimau yang bisa.

"Ingat, keris ini ada pantangnya. Jangan dibuat sembarangan, pantangnya tidak boleh ditikam ke badan manusia yang sebangsa dan seagama.

"Kalau dilanggar pantang orang yang menyimpannya akan mati muntah darah”, kata Mahyuddin lagi.

Saya garu dahi dan Datuk terus membisu seribu bahasa.

"Sahabat, umur saya dah lebih lapan puluh tahun, dengan kemahuan Allah saya sudah menemui seorang sahabat, sekarang sudah sampailah masanya saya menghebahkan rahsia diri saya pada orang-orang kampung. Sahabat dan cucu sahabat menjadi saksi dalam hal ini”, tekanan suara Mahyuddin cukup lantang.

Mukanya kelihatan berseri-seri. Dia terus meletakkan keris yang berbalut kain kuning atas riba Datuk.

Cepat-cepat Datuk meletakkan keris itu ke tempat asalnya. Datuk tidak mahu menerima pemberian tersebut.

Datuk segera bangun. Tangan kanannya ditekankan ke dinding masjid. Pelita minyak tanah terus mengerdip. Suara katak dan cengkerik tidak putus-putus berbunyi.

"Apa erti semuanya ini Mahyuddin?", soal Datuk.

"Orang yang merantau akan kembali, setiap kehebatan dan kekuatan ilmu dunia yang dituntut akan terpisah juga dengan manusia, hanya ilmu akhirat saja yang dibawa, begitu juga dengan saya”, cukup jelas dan teratur Mahyuddin berkata-kata.

Tetapi, saya jadi kelam-kabut, sukar sekali memahami atau mencari pati dari kata-katanya itu, berbelit-belit macam ada unsur falsafah.

"Sahabat ku.."

"Saya faham, tunggu sampai sembahyang subuh”, ujar Datuk bila Mahyuddin mahu menyambung kata-katanya.

Mahyuddin patuh dengan permintaan Datuk. Mahyuddin bangun, berjalan ke muka pintu surau. Datuk mengekor di belakangnya.

Mereka berdiri di situ merenung ke kaki langit, sebutir bintang timur kelihatan mengerdip dengan indah. Awan cukup bersih.

"Mahyuddin."

"Ya sahabat."

"Awak berkawan dengan jin?"

"Ahhh...”

Mahyuddin tidak menghabiskan kata-katanya. Datuk terus memicit bahu kanan Mahyuddin yang kelihatan resah tidak menentu.

Saya mula rapat ke arah Datuk dan Mahyuddin, berdiri di belakang mereka. Pelita minyak tanah terus menyala.

Badan saya mula terasa sejuk. Dua tiga kali saya mengeliat dan menguap panjang.

"Mahyuddin maafkan aku, kalau kau tersinggung. Aku bukan apa-apa Mahyuddin, kita sebagai manusia harus hati-hati, jangan sampai berkawan dengan jin kafir. Kata orang ketika kita mahu mati nanti kita disesatkannya”, ujar Datuk.

Mahyuddin terus membisu. Mata Mahyuddin masih tertumpu ke kaki langit.

"Sebaik-baiknya biar kita kenai dengan jin yang seagama dengan kita, sekadar berkenal saja, kerana mereka makhluk Allah, jangan sekali-kali kita memperhambakan diri kita pada mereka atau kita hambakan mereka”, sambung Datuk lagi.

"Sudahlah sahabat, usahlah mengajar”, dari nada suara yang dikeluarkan Mahyuddin itu ternyata dia kurang senang dengan sikap Datuk.

Datuk terus diam. Rupanya sikap Datuk itu menguntungkan. Mahyuddin kelihatan tenang. Dia berjalan ke arah kerantung (beduk) yang tergantung di luar masjid.

Kerantung itu dipalunya bekali-kali menandakan Subuh sudah hampir. Mahyuddin dan Datuk terus mengambil air sembahyang.

"Pukul lagi kerantung tu, waktu Subuh sudah masuk”, Mahyuddin mengeluarkan perintah pada saya, ketika dia melintas di depan saya.

Tanpa membuang masa, saya terus memukul kerantung bertalu-talu. Memukul kerantung memang menjadi kegemaran saya.

Tidak saya nafikan, serba sedikit saya telah belajar dari Datuk meningkah kerantung dengan baiknya, tingkah (pukulan) yang saya buat itu semacam ada satu irama yang boleh membuat orang tersentak dari tidur.

Kata Datuk, memukul kerantung Subuh mesti pandai, tidak sembarangan, mesti menarik minat orang dan boleh membuat orang bangun dari tidur, walaupun bukan bangun untuk bersembahyang. Peluang itu saya gunakan sekarang.

"Sudah”, jerkah Datuk sekuat hati, kayu pemukul terlepas dari tangan saya.

"Bila orang suruh pukul, buatlah setakat yang patut, ini sampai berjam-jam”, sambung Datuk lagi.

Saya tersengih, macam kerang busuk. Apa mahu dikatakan lagi, memang salah diri sendiri, tanggunglah akibatnya.

Azan Subuh dilaungkan oleh Mahyuddin, suaranya memang merdu. Kalau dengar pada suaranya, memang orang tidak duga yang Mahyuddin sudah berusia hampir lapan puluhan, suaranya lantang macam orang muda berusia dua puluhan.

Setelah selesai menunaikan sembahyang Subuh, Mahyuddin berlari ke pintu. Dia minta orang yang bersama dalam masjid supaya jangan meninggalkan masjid.

Dari muka pintu, Mahyuddin membuka rahsia dirinya. Dia menceritakan namanya yang sebenar serta asal usulnya. Orang ramai agak terkejut dengan peristiwa itu.

"Saya rasa tugas saya sudah hampir selesai. Halalkan makan minum saya, terima kasih atas budi baik orang di sini.

"Pada sesiapa yang terlalu hormat dan kagum dengan diri saya, buangkan semuanya itu. Saya adalah manusia biasa”, cukup bersemangat Mahyuddin bercakap, kemudian dia berjabat tangan dan berpeluk-pelukan dengan setiap orang yang lalu dekat pintu. Dia menangis dan memeluk badan Dumba.

Bila semuanya selesai, Mahyuddin tergesa-gesa meninggalkan masjid tanpa mengucapkan sesuatu pada saya dan Datuk.

Ketika itu hari sudah hampir cerah. Matahari mula bangun di kaki langit, menebarkan sinarnya ke seluruh pelosok kampung.

"Ganjil perangainya, dengan orang berpeluk bersalam dengan kita dia buat tak tahu”, Datuk melahirkan rasa kurang senang.

Saya tersenyum sambil merenung ke arahnya.

"Agaknya dia lupakan kita tok."

"Boleh jadi juga, maklumlah manusia ini tidak lepas dari sifat lalai dan lemah”, Datuk tersenyum.

Rambut genjur saya dijamahnya berkali-kali. Penuh manja. Setelah selesai mandi embun dan membuat serba sedikit senaman.

Datuk dan saya menuju ke kedai kopi. Saya makan sebungkus nasi lemak dan minum secawan kopi.

Datuk pula minum air panas yang di campur dengan sedikit garam. Sebagai mengalas perut, Datuk cuma makan dua biji kuih kopi.

"Minum air panas dengan garam untuk cuci perut dan melancarkan perjalanan darah, boleh menghilangkan sakit tekak.

"Garam mesti dikacau hingga hancur dan airnya bila sudah dingin baru diminum”, begitu Datuk memberitahu saya.

"Biasanya Datuk tidak minum dengan air panas”, kata saya.

"Itu masa di rumah, kau sendiri tahu di rumah tuk minum air yang sudah di dingin sepanjang malam dan diisi dengan labu, di kedai mana kita nak dapat air macam tu."

"Saya, faham sekarang."

"Apa yang tuk buat ni boleh diamalkan tetapi khasiatnya kurang sedikit dari air yang kita dinginkan sepanjang malam."

Datuk membayar semua harga minuman dan makanan.

Kami pulang ke masjid untuk mengambil barang Datuk yang tertinggal iaitu, sehelai kain hitam tiga segi.

Pada mulanya, Datuk memutuskan selepas sarapan pagi, mahu terus pulang ke kampung.

"Kau tunggu di sini, biar aku saja yang masuk”, saya tidak membantah arahan itu.

Badan Datuk hilang ditelan pintu masjid. Beberapa minit kemudian dia muncul. Kali ini saya lihat wajahnya lain macam, dahinya berkerut.

Di tangan kanannya terdapat bungkusan yang dibalut dengan kain kuning. Saya tahu apa yang ada dalam tangan Datuk, kerana itu saya tidak menegurnya.

Matahari kian bersinar. Saya kira sudah pukul lapan. Kulit muka saya terasa pedih kena panahan matahari.

Dua tiga kali saya meraba kulit muka, tanpa saya sedari Datuk sudah berdiri di sisi saya.

Dua tiga kali Datuk dongakkan kepala melihat matahari, kelopak matanya pejam celik menahan panahan matahari.

"Mari kita pulangkan hak Mahyuddin ni."

"Tapi, dia dah beri pada Datuk."

"Aku tidak kata apa-apa, sama ada mahu menerima atau menolaknya."

"Betul juga cakap tok tu."

Secara tidak sengaja saya terpandangkan lengan kanan Datuk yang memegang benda berbalut kain kuning.

Urat-urat lengan Datuk kelihatan timbul. Benda yang dipegangnya seakan-akan bergerak sendiri dalam genggaman Datuk.

Kulit muka Datuk kelihatan tegang macam menahan sesuatu. Saya terpegun dengan kejadian itu.

"Tamar, jangan tengok benda dalam tangan aku”, pekik Datuk.

Serentak dengan itu telapak tangan kirinya jatuh atas kepala saya. Kepala saya dipulasnya, hingga pandangan saya beralih ke arah lain. Batang tengkuk saya terasa sakit sekali.

"Jangan”, tambah Datuk lagi. Badan saya ditolaknya ke depan.

"Nak ke mana lagi tok?"

"Ikut aku ke rumah Mahyuddin”, biji mata Datuk kelihatan bersinar garang. Gerak-gerinya jadi serba tangkas.

Begitulah, di bawah sinar matahari saya dan Datuk melangkah di jalan kecil yang muat untuk dua basikal berselisih.

Sebelah kanan jalan ditumbuhi lalang dan sebelah kirinya dikuasai oleh pokok serunai laut.

Langkah Datuk terlalu cepat dan saya terpaksa berlari anak supaya tidak jauh ketinggalan di belakangnya.

Ketika bintik-bintik peluh menguasai dahi, saya dan Datuk sudah pun berada di halaman rumah Mahyuddin.

Pintu rumah tertutup rapat Tiga kali Datuk memberi salam, semuanya tidak berjawab. Datuk renung tanah di halaman rumah.

"Tapak harimau”, kata Datuk.

"Tapak harimau?”, tanya saya cemas, badan mula terasa lain macam.

"Ya”, Datuk terus membongkok meneliti kesan tapak kaki harimau.

Datuk luruskan badannya kembali, dan merenung ke arah belukar kecil di belakang rumah Mahyuddin. Datuk mengikut kesan tapak kaki harimau yang menuju ke belukar tersebut.

Ternyata kesan tapak kaki harimau itu tidak sampai ke tepi belukar. Hilang di antara tiang depan dengan tiang bahagian dapur rumah.

Datuk termenung panjang, kemudian mendekati saya yang berdiri tidak jauh dari tangga.

Datuk renung muka saya tepat-tepat dan bergerak dari kiri ke kanan di depan saya. Datuk berhenti melangkah. Bibir bawahnya ditekan dengan ibu jari seketika.

"Ganjil”, kata Datuk. "Apa yang ganjil tuk?"

"Tapak harimau hilang dalam kawasan rumah”, suara Datuk rendah.

Keris yang berbalut kain kuning masih dalam genggamannya. Kerana saya ditegah melihatnya, saya tidak melihat malah hampir lupa dengan keris tersebut yang berada pada Datuk.

"Ikut aku Tamar."

"Baik tok."

"Jangan tegur, jangan tanya apa yang aku buat."

"Baik tok."

Sinar matahari bertambah terik, sesekali kedengaran suara ungka bersahut-sahutan di kaki bukit.

Burung murai terus berkicau di hujung dahan menyambut sinar matahari yang memancar terang.

Datuk pijak anak tangga pertama hingga ke anak tangga bongsu. Saya juga berbuat begitu.

Datuk tolak daun pintu yang tidak berkunci. Pandangan pertama yang saya lihat sesudah pintu terbuka amat mengejutkan.

Mahyuddin terbaring kaku di ruang tengah rumah. Mukanya nampak lebam. Baju cekak musang di bahagian dadanya terbelah dua.

Kulit badannya terkoyak macam dicakar sesuatu, kedua belah kakinya terlipat. Terdapat garisan yang memanjang di kedua belah betisnya.

Datuk jamah pergelangan tangan Mahyuddin, memeriksa pergerakan nadinya.

Datuk menarik nafas panjang sambil meluruskan kedua belah kaki Mahyuddin. Bahagian dada Mahyuddin Datuk tutup dengan kain pelekat berkotak besar, berwarna merah dan hijau.

Kain pelekat itu Datuk ambil dari longgokkan kain Mahyuddin yang terletak dekat dinding rumah.

"Dia sudah mati."

"Keadaannya ganjil sekali tok."

"Setiap orang yang dapat meresapkan perasaannya menjadi harimau akan mati dalam keadaan begini.

"Selalunya, bila orang menuntut ilmu ini membuka rahsia diri sendiri, dia tidak akan lama hidup."

"Dia boleh menentukan tarikh matinya tok?"

"Tidak, dia cuma dapat alamat saja. Kematian dirinya terletak pada kuasa Allah yang Maha Besar. Ada orang yang menuntut ilmu ini membuka rahsia dirinya di depan orang ramai tetapi, masih hidup beberapa tahun lagi."

"Apa yang terjadi pada dirinya, cara kebetulan saja ya tok."

"Ya memang cara kebetulan, selepas dia buat pengumuman dia pun mati, ini tidak bererti dia sudah menentukan tarikh matinya. Ingat, jangan sesatkan diri dengan kejadian begini”, ujar Datuk sambil meraba-raba hujung dagunya.

Saya dan Datuk berehat sebentar dalam rumah Mahyuddin. Keris yang berbalut kain kuning Datuk letakkan dalam peti hitam di bucu rumah.

Peti hitam itu Datuk tindih dengan seketul batu yang Datuk ambil di ruang dapur. Tiba-tiba saya terdengar menggelodak dalam peti hitam macam ada orang mengetuk-ngetuk dari dalam.

Bunyinya cukup kuat tetapi, beberapa minit kemudian bunyi itu beransur kurang dan terus hilang. Wajah Datuk kelihatan tenang.

"Aneh sungguh mayat Mahyuddin tok."

"Ya Tamar, sebelum dia menghembuskan nafasnya yang terakhir, dia melompat macam harimau untuk beberapa minit, kemudian menjadi lemah dan terus mati."

"Dahsyatnya tok."

"Begitulah ilmu dunia, tidak ada yang kekal, ada kelebihan dan kekurangan”, nada suara Datuk amat perlahan sekali.

Datuk menyuruh saya menemui Dumba untuk menceritakan hal yang berlaku pada diri Mahyuddin.

Perintah Datuk saya patuhi. Dengan ditemani oleh Dumba saya pergi ke rumah anak angkat Mahyuddin.

Tidak sampai setengah jam, berita kematian Mahyuddin heboh seluruh kampung.

Salah seorang penduduk kampung terus menuju ke masjid, memukul beduk (kerantung) menandakan ada kematian berlaku di kampung.

Menjelang waktu Zohor, mayat Mahyuddin pun dikebumikan. Orang yang bekerja keras menyelenggarakan pengebumian Mahyuddin, tidak lain dan tidak bukan ialah Dumba sendiri dengan dibantu oleh anak angkat Mahyuddin.

"Semuanya sudah selesai, biarlah kami balik”, beritahu Datuk pada anak angkat Mahyuddin dan Dumba di kaki tangga.

Muka Dumba segera berubah mendengar cakap Datuk, begitu juga dengan anak angkat Mahyuddin.

Mereka tahu, bukanlah satu perkara yang mudah untuk mendapatkan kenderaan, bila sudah pukul lima petang.

Belum sampai ke Slim River hari sudah malam, lagi pun perkhidmatan bas penumpang tamat pada jam enam petang.

"Begini saja, arwah bapa angkat saya ada meninggalkan pesan, sekiranya dia mati, dia minta rumahnya ditunggu selama satu malam. Orang yang dipilihnya ialah tuan sendiri”, anak angkat Mahyuddin membuka rahsia.

Orangnya bertubuh kecil, berambut kerinting dan berdahi sempit.

"Bila dia cakap dengan awak?"

"Sejak dia mengenali diri tuan, katanya tuan tahu serba sedikit tentang kebolehannya."

Datuk termenung panjang. Saya tahu fikiran Datuk ketika itu berbalah sama ada mahu tidur di rumah Mahyuddin atau meneruskan perjalanan.

Kalau Datuk bertanya pada saya, sama ada mahu bermalam di situ atau pulang, saya akan menyuruh Datuk pulang saja. Apakan daya Datuk tidak bertanya pada saya.

"Tunaikan pesanan arwah. Kalau dulu awak minta saya berbaik dengannya dan saya penuhi permintaan awak, sekarang saya minta awak tunaikan wasiatnya”, Dumba pula mengeluarkan pendapatnya.

Datuk masih lagi termenung, keningnya kelihatan berkedut. Ruang rumah Mahyuddin direnung pada setiap sudut.

Akhirnya, biji mata Datuk tertumpu pada peti hitam yang berisikan keris.

"Baiklah, cuma semalam saja”, kata Datuk sambil bangun.

Anak angkat Mahyuddin dan Dumba yang sedang duduk bersila di lantai rumah turut bangun sama.

Mereka kelihatan riang. Datuk tidak menghampakan permintaan mereka.

Malam itu setelah selesai sembahyang Maghrib dan Isyak di masjid, saya dan Datuk terus menuju ke rumah arwah Mahyuddin, bila sampai di rumah, anak angkatnya sudah sedia menanti kami.

Makan malam sudah tersedia di ruang rumah. Tiga pelita minyak tanah sudah terpasang.

Ada satu keganjilan yang dilakukan Datuk ketika makan malam. Dia mengepalkan nasi sebanyak tujuh kepal. Diletakkan berderet di pinggir pinggan.

Datuk memulakan makan nasi yang sudah dikepalkannya itu dari kiri ke kanan. Dia tidak menjamah lauk pauk yang tersedia di situ.

"Ini petua, kalau si mati bersahabat dengan makhluk jahat kita boleh tahu”, Datuk membuka rahsia. Mulut anak angkat Mahyuddin terlopong.

Sayang, Datuk cuma membuka rahsia setakat itu saja. Dia tidak menerangkan perkara ini dengan lebih mendalam lagi.

"Macam mana kita nak tahu hal tu tuan?" Tanya anak angkat Mahyuddin.

"Bila kepal nasi yang ganjil bilangannya kita telan, kita akan tersedak, tapi ada pula caranya yang boleh membuat hal itu jadi.

"Bukan boleh pakai suap saja, nanti lain kali aku beritahu pada kamu”, Datuk terus meneguk air.

Lebih kurang pukul sepuluh malam. Anak angkat Mahyuddin membawa pulang pinggan mangkuk yang telah digunakan itu.

Saya terus baring dan Datuk terus membaca surah Yasin. Dalam suasana yang tenang itu, peti hitam yang berisikan keris berbunyi.

Batu penindih yang diletakkan di atas penutupnya terus bergerak. Makin lama, bunyi itu makin kuat. Saya mula resah.

Datuk berhenti membaca surah Yasin. Dia terus renung ke arah peti hitam yang masih berbunyi itu.

Datuk lagakan gigi atas dengan gigi bawah berkali-kali. Mulutnya mula bergerak-gerak macam membaca sesuatu.

Tiba-tiba Datuk menampar lantai rumah dengan sekuat hati. Bunyi dalam peti hitam terus berhenti.

Serentak dengan itu, pintu rumah terbuka. Anak angkat Mahyuddin terpacak di situ. Mukanya pucat lesi, ditoreh tidak berdarah.

"Kenapa?" Tanya Datuk.

"Saya diikuti harimau besar."

"Tak apa, kau baliklah, ambil kain pelekat ayah kamu dan belitkan ke badan, nanti harimau itu tak akan mengikut kau lagi”, Datuk menyerahkan kain pelekat pada anak angkat Mahyuddin.

Dengan tenang lelaki berambut kerinting yang mempunyai anak satu itu meninggalkan rumah.

Usaha Datuk tidak sia-sia. Setelah dibekalkan dengan kain pelekat, anak angkat Mahyuddin dapat meneruskan perjalanannya dengan aman.

Kalau dia diganggu atau diekori harimau tentu dia datang menemui Datuk. Kami tunggu hingga jam dua belas malam. Anak angkat Mahyuddin tidak juga muncul-muncul.

Lebih kurang jam dua pagi, saya terpandangkan seorang lelaki berserban kuning duduk atas peti hitam menatang sebilah keris. Wajahnya kelihatan bersih.

Hal itu segera saya beritahu pada Datuk yang masih membaca surah Yasin. Lelaki berserban kuning masih lagi duduk di atas peti hitam.

Kedua belah tangannya terletak atas kepala lutut. Saya lihat keris yang ditatangnya sudah tidak ada lagi di tangannya.

Bila Datuk selesai membaca surah Yasin, dia segera merapati peti hitam. Orang yang berserban kuning sudah tidak ada lagi di situ.

Datuk membuka peti hitam dan mengeluarkan keris yang berbalut kain kuning. Keris itu ditatangnya seketika.

"Bukan keturunan aku mengambil barang yang bukan hak aku, sekarang aku pulangkan kembali pada yang berhak kerana orang yang menjaganya selama ini sudah tak ada lagi”, perkataan yang keluar dari mulut Datuk cukup jelas dan teratur, bagaikan ada manusia di hadapannya mendengar apa yang dikatakannya.

Datuk membuka sila lalu bangun. Dia melangkah dua tapak ke belakang. Berhenti dan meluruskan kedua belah kakinya, macam tentera yang sedang berkawad di padang.

Kedua belah tangannya masih lagi menatang keris yang berbalut kain kuning.

Datuk maju setapak, dua tapak dan berdiri betul-betul di depan peti hitam. Keris yang berbalut kain kuning diletakkannya di situ.

"Ini hak kamu, aku diberikan kuasa oleh Mahyuddin untuk menjaga sekejap saja”, kata Datuk sambil duduk bersila, macam seorang panglima menghadap sultan di zaman silam.

Ketika itu juga, terdengar suara harimau mengaum di bawah rumah. Suaranya cukup kuat dan nyaring sekali, boleh membangunkan seluruh penduduk kampung yang sedang tidur.

Rumah terasa bergegar seketika, tiupan angin mula terasa, cukup lembut dan nyaman sekali. Setelah itu, suasana tenang dan sepi sekali.

Saya terlihat orang berserban kuning berdiri dekat peti hitam membongkok lalu mencapai keris yang berbalut dengan kain kuning. Datuk masih terpegun di situ.

Beberapa saat kemudian, orang yang berserban kuning hilang dari pandangan saya.

"Semuanya sudah selesai Tamar”, bisik Datuk pada saya.

Dia menyuruh saya tidur kembali, tetapi mata saya tidak mahu tidur.

Saya terus bertanya pada Datuk:

"Apakah yang kita lihat tadi jin, kawan Mahyuddin tok?"

"Susah aku nak cakap, tetapi itulah kenyataan yang kita lihat, sudahlah”, kata Datuk.

Akhirnya saya terlelap.

Tamat siri 52/284

BACA: SBDJ Siri 51: Rahsia Seorang Sahabat
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-SENTIASAPANAS.COM