Thursday, April 25, 2019

Kuasa Sultan, Perlembagaan Rakyat Malaysia Dan Fakta Malayan Union


Dalam tulisan terbaharu Tun Mahathir Mohamad dalam blognya, chedet.cc, bahawa Undang-Undang Tubuh Johor 1895 dan Terengganu 1911 terbatal apabila Perlembagaan Persekutuan dibentuk pada 1957 dan kegagalan mematuhinya akan menidakkan kedaulatan undang-undang.

Mahathir vs TMJ

Negeri-negeri di Malaysia menjadi tanah jajahan British selepas Triti (atau perjanjian) MacMichael ditandatangani. Malayan Union akan diperintah sepenuhnya oleh British. Orang-orang Melayu tidak lagi mempunyai tuntutan terhadap negeri-negerinya. Tiada lagi Tanah Melayu.

Orang Melayu bangkit bersatu menentang. Perpaduan itu menyebabkan British terpaksa memansuhkan semua Triti MacMichael.

British setuju menggantikan Malayan Union dengan Persekutuan Tanah Melayu. Secara rasminya nama yang diterima ialah “Persekutuan Tanah Melayu”. Ia tidak lagi menjadi negeri naungan disebabkan triti itu.

Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu diketuai oleh pesuruhjaya tinggi sebagai ketua eksekutif, yang mengetuai Majlis Eksekutif dan Majlis Perundangan. Semua anggotanya dicalonkan oleh pesuruhjaya tinggi.

Pada 1955, British memutuskan mengadakan pilihan raya untuk 52 daripada 98 kerusi dalam Majlis Legislatif Persekutuan.

British percaya tiada satu parti akan menang lebih 49 kerusi untuk menuntut hak membentuk kerajaan majoriti.

Tetapi Perikatan Umno, MCA dan MIC menang 51 dari 52 kerusi dan berjaya menuntut hak membentuk kerajaan pemerintahan sendiri.

Sejurus selepas itu kedengaran suara-suara di kalangan rakyat dan parti dalam kerajaan untuk menuntut kemerdekaan.

Rundingan dibuat di London dan akhirnya dipersetujui Malaya akan merdeka pada 1957.

Sebagai persediaan untuk itu, Suruhanjaya Reid ditugaskan merangka perlembagaan persekutuan yang merdeka.

Malaya dipersetujui menjadi negara demokrasi yang rakyat bebas memilih kerajaan. Raja-raja akan menjadi ketua berperlembagaan tanpa kuasa eksekutif. Kedudukan mereka akan dijamin oleh perlembagaan sebagai undang-undang tertinggi dalam negara.

Parti yang memenangi pilihan raya akan menamakan perdana menteri (atau menteri besar) dan ketua berperlembagaan akan merestuinya.

Jika raja berperlembagaan menolak merestuinya dan mencalonkan serta merestui calon sendiri, parti pemenang boleh menolaknya dalam dewan, melalui undi tidak percaya.

Undang-undang tubuh Johor dan Terengganu yang diisytiharkan sebelum itu terbatal dengan perlembagaan baru yang diterima oleh semua negeri-negeri di Malaysia.

Pada 9 Mei 2018, rakyat Malaysia mengundi untuk memilih kerajaan (Persekutuan) Malaysia dan kerajaan negeri-negeri.

Penting untuk semua orang menghormati perlembagaan dan patuh padanya. Gagal berbuat demikian akan menidakkan kedaulatan undang-undang.

Fakta Malayan Union, Raja-raja Melayu Hilang Kuasa

Penubuhan Malayan Union adalah persetujuan untuk menjadikan sembilan buah negeri-negeri Melayu bersama-sama dengan Melaka dan Pulau Pinang daripada sebuah negeri naungan kepada sebuah negeri jajahan yang diketuai oleh seorang Gabenor British.

Dibawah pentadbiran ini, semua bidangkuasa Raja-Raja Melayu termasuk hak menentukan dasar luar negeri akan diambil alih oleh Gabenor Malayan Union secara keseluruhan.

Walaupun begitu, Raja-Raja Melayu tetap diberikan hak terhadap agama Islam tetapi tidak mempunyai kuasa mutlak ke atasnya kerana baginda hanya bertaraf Ahli Biasa dalam Majlis Mesyuarat Agama yang dipengerusikan oleh seorang Gabenor British.

Memperoleh tandatangan daripada sultan-sultan tidak sebegitu susah seperti yang dijangka. Mac Michael telah bertindak memaksakan sultan-sultan Melayu untuk menerima cadangan-cadangan pihak British dan tidak memberikan masa untuk baginda-baginda berunding dengan majlis masing-masing, malah Sultan yang enggan menandatangani perjanjian tersebut diugut akan digantikan dengan sultan yang lain di atas tuduhan bekerjasama dengan Jepun semasa Perang Dunia II.

Pada 21 Disember, setiap Sultan atau Pemangku Raja telah memeterai perjanjian yang baru dengan Sir Harold MacMicheal bagaimanapun, sebilangan daripada sultan-sultan itu menyatakan keraguan terhadap syarat-syarat perjanjian itu, tetapi disebabkan ugutan, British berjaya memaksa sultan-sultan itu untuk merelakan Malayan Union bagi menunjukkan kesetiaan mereka kepada pihak British dan takut kehilangan tahta.

Tanpa disedari oleh sultan-sultan, semua perjanjian terdahulu yang mengakui hak kedaulatan sultan-sultan Melayu dimansuhkan.

Raja-raja Melayu, Tun M dan kepentingan nasional

Pertama kali dalam sejarah, kerajaan gagal untuk meminda Perlembagaan Persekutuan membabitkan Perkara 1(2). Hari yang sama juga Menteri Besar Johor Datuk Osman Sapian menjadi Menteri Besar yang paling singkat dalam sejarah negara.

Episod ini adalah lanjutan daripada perang kenyataan terbuka antara Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dengan Tengku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim susulan pembatalan keputusan kerajaan menandatangani Statut Rom.

Kesemua peristiwa ini berlaku serentak dalam keadaan kerajaan sedang bersedia untuk meminda Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN) 2016, berunding mengenai pengurangan kos projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dengan China, dan juga merundingkan harga air dan ruang udara Johor dengan Singapura.

Maka apakah impak kesemua peristiwa politik domestik ini ke atas kepentingan nasional kita setakat ini?

Pertamanya, keputusan kerajaan menarik balik penyertaan sebagai negara ahli Statut Rom menghapuskan kebimbangan berkenaan ancaman terhadap kedudukan Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua negara dan juga panglima tertinggi angkatan tentera Malaysia yang dihujahkan sebagai boleh digugat oleh Perkara 27 dan Perkara 28 Statut Rom.

Ia memperuntukkan bahawa “ketua negara dan komander tentera adalah tertakluk kepada bidang kuasa Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) jika mana-mana jenayah tersebut dilakukan oleh mana-mana orang bawahan atau pihak berkuasa negara tersebut”.

Statut Rom menghadirkan implikasi buruk ke atas keupayaan total kita untuk mencegah sebarang anasir puak pemisah mahu pun pemberontakan.

Dalam situasi hipotetikal, sekiranya gerakan pemisah seperti Gerakan Sabah Sarawak Keluar Malaysia (SSKM) menjadi semakin agresif hingga ke tahap melancarkan aktiviti bersenjata, maka Yang di-Pertuan Agong selaku ketua angkatan tentera Malaysia akan berhadapan dilema untuk bertindak balas semaksimum yang mungkin kerana juak-juak ini akan memperalatkan Statut Rom untuk mengheret baginda ke ICC.

Kerajaan Pakatan turut memulakan inisiatif pindaan Akta Majlis Keselamatan Negara 2016 (Pindaan 2019) seperti berikut:

(a) dalam subseksyen (1), dengan menggantikan perkataan “Perdana Menteri” di mana-mana jua terdapat dengan perkataan “Yang di-Pertuan Agong”;

(b) dalam subseksyen (4), dengan menggantikan perkataan “Perdana Menteri” dengan perkataan “Yang di-Pertuan Agong, atas nasihat Majlis”;

(c) dalam subseksyen (6), dengan menggantikan perkataan “di Parlimen” dengan perkataan “di hadapan kedua-dua Majlis Parlimen”; dan

(d) dalam subseksyen (7), dengan menggantikan perkataan “Perdana Menteri boleh” dengan perkataan “Yang di-Pertuan Agong boleh, atas nasihat Majlis”.

Maka pada satu sisi, keputusan kerajaan untuk menarik balik penyertaan sebagai negara ahli Statut Rom memberi ruang kepada Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua angkatan tentera untuk melancarkan tindakan ofensif besar-besaran jika ada anasir yang cuba menggugat kesepaduan negara.

Pada sisi yang lain pula, pindaan Akta MKN 2016 yang diusulkan turut memperkasakan kuasa Yang di-Pertuan Agong mengatasi Perdana Menteri.

Meskipun cubaan kerajaan untuk meminda Perlembagaan membabitkan senarai negeri-negeri yang ada di dalam negara (fokus Sabah dan Sarawak) gagal mendapat sokongan 2/3 Dewan Rakyat dan kemelut dengan istana Johor seolah-olah semakin hangat, namun prestasi rundingan bilateral kerajaan setakat ini menunjukkan perkembangan positif buat kepentingan nasional kita.

Singapura telah bersetuju untuk mencari penyelesaian secara damai berhubung perjanjian air termasuk kemungkinan menyelesaikan pertikaian menerusi timbang tara atas dasar persetujuan bersama.

Singapura turut menghentikan Instrument Landing System (ILS) yang menjadi pertelagahan susulan pembukaan lapangan terbang Seletar.

Malah, Dr Mahathir turut menyatakan bahawa Malaysia akan mula mengambil alih ruang udara selatan Johor dari Singapura secara berperingkat-peringkat mulai akhir 2019 hingga 2023.

Rundingan semula projek ECRL pula dilaporkan akan menurunkan kos projek menjadi antara RM34.4 bilion dan RM41.3 bilion kerana ia dibina dengan satu-landasan ( single-track ) dan bukannya dua-landasan ( double tracking ).

Menurut sumber The Star , pakej rundingan ECRL yang sedang dirundingkan ini turut melibatkan komitmen China untuk membeli lebih banyak minyak sawit kita di samping pelaburan terus dari China ke Malaysia.

Ringkasnya, di sebalik pelbagai kemelut politik domestik, kepentingan nasional kita masih terpelihara.

Soalnya, sampai bilakah keseimbangan yang tidak stabil ( unstable equilibrium ) ini mampu bertahan?

***
  • Abdul Muein Abadi ialah Pensyarah Program Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia.
  • Terjemahan daripada tulisan Dr Mahathir Mohamad di blog beliau hari ini yang bertajuk “The Malaysian constitution”.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: 1 | 2 | 3

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon