Monday, February 25, 2019

SBDJ Siri 22: Penunggu Rumah Tok Kaya Sendi Diraja

SBDJ Siri 22: Penunggu Rumah Tok Kaya Sendi Diraja

Datuk rebah ke bumi. Batang tubuh ketua pukau terlepas dari pelukannya. Mat Jali menghampiri ketua pukau yang sudah kaku itu. Dari lubang hidung dan telinga keluar darah yang merah kental. Saya menghampiri datuk. Tubuhnya masih berwarna biru. Muntah darahnya sudah berhenti. Datuk membuka tangannya perlahan-Iahan.

Siri SBDJ 15

Tengkorak yang dipegangnya menjadi hitam, macam arang dan akhimya bertukar menjadi serbuk halus macam amang bijih yang dibuang.

"Campakkan ke air," kata datuk.

Saya mengambil serbuk hitam itu. Bila berada di atas tapak tangan saya, seluruh badan terasa panas. Cepat-cepat saya humbankan ke dalam air sungai.

Datuk cuba bangun. Dia tidak berdaya. Setiap kali dia bangun, dia akan rebah. Bagaikan sendi tulang di kepala lututnya sudah hancur. Saya jadi kelam-kabut.

Mat Jali masih lagi memeriksa tubuh badan ketua pukau. Secara kebetulan sebuah jeep tentera lalu di situ. Mat Jali menahan jeep tersebut.

Setelah berunding, pemandu jeep itu bersetuju membawa mayat ketua pukau ke Balai Polis Kampar.

"Biar saya uruskan datuk saya di sini, kalau boleh encik sampai ke sana, cuba ikhtiarkan sebuah ambulan untuk datuk saya."

"Saya cuba," itu janji yang diberikan oleh Mat Jali pada saya.

Mereka pun berlepas ke Kampar. Saya merawat datuk mengikut arahan-arahan yang dikeluarkannya.

Walaupun ada orang yang lalu Ialang dijalanraya, mereka tidak menghiraukan kami.

Pada sangkaan mereka saya dan datuk pencari rotan yang sedang melepaskan penat di situ.

"Carikan aku daun serunai laut, pucuk daun semuka dan campurkan dengan air sikit.

"Ramas daun-daun itu hingga hancur dan sapukan pada kepala lutut aku,” perintah datuk yang terpaksa saya lakukan.

Hasilnya amat mengejutkan, bila disapu ke kepala lutut dengan iringan jampi tertentu dari datuk, saya lihat dia boleh bangun.

Walaupun begitu, warna biru di tubuhnya tidak juga mahu hilang. Malah wajah datuk kelihatan lebam macam di pukul sesuatu.

Saya bagaikan mahu menangis bila datuk tidak berdaya melangkah. Dia bagaikan terlupa macam mana mahu berjalan.

Datuk sandarkan badannya pada sebatang pokok dekat situ.

"Badan aku terasa bisa-bisa, kepala terasa kosong,” datuk mengadu pada saya sambil meraba batang pokok di belakangnya.

"Apa yang mesti saya buat tok?”

"Tak ada satu pun yang dapat kau buat, kalau janji aku sudah sampai untuk menemui Allah.”

"Tapi kita harus berikhtiar.”

"Aku tahu, tetapi kau bukan orangnya untuk membantu aku dalam hal ini.”

"Kalau bukan saya, siapakah orangnya tok?"

Datuk terdiam. Badannya jatuh perlahan ke atas bumi. Dia jatuhkan kedua belah kakinya. Saya pun urut kaki datuk.

"Dalam dunia ini tidak ada sesiapa pun yang boleh mengaku handal dalam apa juga bidang.

"Kalau dia merasa dirinya handal, itu hanya perasaan. Sedangkan ada orang yang lebih handal darinya dan kehandalan diri orang itu pula tertakluk di bawah kekuasan Allah."

Sesungguh saya tidak tahu, apakah cakap itu ditujukan pada saya oleh datuk.

Saya perhatikan dalam saat-saat begitu, datuk bercakap ikut suka hati saja. Inilah yang membimbangkan hati dan perasaan saya.

Sedang saya diamuk keresahan, Mat Jali dan ambulan pun tiba. Datuk diusung ke dalam perut kereta ambulan untuk dibawa ke rumah sakit Kampar.

Datuk pun diberi rawatan segera. Bagi menghilangkan warna biru dan lebam, datuk terpaksa diberi suntikan ubat.

Datuk tidak mahu menerimanya Menurut Datuk suntikan itu akan memberikan kesan yang kurang baik dalam lubuhnya.

Mat Jali dan saya terpaksa memujuknya namun datuk tidak berganjak dari keputusannya. Saya memujuknya dengan sedaya upaya yang boleh.

"Tok, suntikan itu untuk memberi kerehatan pada datuk,” kata saya.

"Maksudnya?"

”Bila datuk dicucuk, datuk akan tidur. Tok dapat tenaga,” tambah saya sambiI merenung muka Mat Jali supaya dia mengakui kebenaran cakap saya itu.

Setelah termenung lebih dari sepuluh minit, datuk pun setuju untuk melakukan suntikan.

Saya terkejut bila seorang jururawat yang bertugas memberitahu saya, sudah tiga batang jarum patah ketika doktor melakukan suntikan di bahu datuk. Dan doktor tidak mahu meneruskan kerjanya.

"Apa yang mesti saya buat?" tanya saya pada jururawat tersebut, sambil merenung ke muka Mat Jali yang duduk di sebelah saya.

"Bagaimana? Boleh kami masuk ke dalam?" Mat Jali mengajukan pertanyaan. Jururawat berketurunan Pakistan tersenyum.

"Boleh. Tuan doktor memang mencari warisnya."

"Sebab?"

"Doktor nak tanya sikit," beritahu jururawat.

Saya dan Mat Jali masuk kedalam bilik. Doktor Melayu berkulit hitam itu mempersilakan saya dan Mat Jali duduk.

"Saya orang Melayu, sudah belajar ke luar negeri, tetapi saya tidak membuang kepercayaan dan keyakinan saya pada ilmu batin," ujar doktor itu sambil menggigit bibir.

Dia lalu memperkenalkan namanya pada kami. Namanya Abdul Mutalib, anak jati Batu Pahat, Johor.

Baru sebulan bertugas di Kampar, sebelum itu dia bertugas di Hospital Besar Alor Setar, Kedah.

"Saya kurang faham dengan cakap tuan," suara Mat Jali tenang.

"Kalau orang Melayu tidak percaya pada kuasa ghaib dan kebatinan, ertinya dia bukanlah orang Melayu tulin.

"Kekuasaan ghaib, dukun dan pawang adalah sebahagian dari teras bangsa kita. Kerana itu saya panggil awak.”

"Orang tua ini ada memakai ilmu tahan besi. Suruh dia buka," doktor itu merenung muka saya.

Fahamlah saya. Doktor itu memerlukan bantuan dari saya. Saya pun rapat kepada Datuk.

Saya membisikan ke telinganya, "Bukalah datuk, untuk faedah diri datuk."

"Buka apa?" sergah datuk pada saya.

"Tahan besi."

”Tahan besi?" ulang datuk.

"Ya tok."

Datuk terdiam. Dia merenung muka saya. Sinar matanya cukup lembut seolah-olah dari sinar matanya terucap perkataan ini,

"Demi kasih sayangku padamu Tamar, aku lakukan apa saja.”

Saya resah. Datuk memejamkan matanya. Mulutnya terkumat-kumit membaca sesuatu. Kemudian dia suruh saya memotong kuku di ibu jari sebelah kiri.

Kuku yang sudah di potong itu mesti dilipat tiga dan diletakkan di celah ketiak kanannya.

Apa yang dilakukan oleh saya diperhatikan oleh doktor itu dengan penuh minat. Bila semuanya sudah selesai, lagi sekali datuk merenung saya dengan senyum.

"Sudah," pendek saja dia berkata.

Doktor pun tersenyum. Dia mengambil jarum lalu melakukan suntikan. Semuanya berjalan dengan sempurna.

Tidak lama datuk berada di hospital, cuma dua hari sahaja. Masuk hari yang ketiga, dia minta keluar.

Datuk membuat keputusan untuk tinggal di rumah Mohd Zain, di Batu Berangkai, Kampar. Mohd Zain, seorang pemborong kelas F dengan Jabatan Kerja Raya daerah Batang Padang.

Dia mengenali datuk kira-kira dua tahun yang lalu, ketika membawa isterinya yang diserang sakit lumpuh berubat dengan datuk.

Dengan pertolongan Allah yang Maha Besar, sakit lumpuh yang dideritai oleh isterinya sejak bertahun-tahun itu di sembuhkan oleh datuk. Sejak itu, dia menjadikan datuk sebagai ayah angkatnya.

Di Batu Berangkai, datuk mengubati sakitnya dengan caranya yang tersendiri.

Setiap pagi dia akan mandi air dari gunung dan memakan beberapa jenis pucuk kayu pada sebelah petangnya.

Seminggu kemudian datuk beransur pulih dan sihat.

Semasa tinggal di Batu Berangkai, Mohd Zain memperkenalkan datuk dengan jutawan Melayu yang di lantik oleh Sultan Perak pada masa itu.

Jutawan Melayu itu mempunyai beberapa buah lombong di Menglembu, Pusing, Batu Gajah dan Papan.

Dia juga mempunyai beberapa buah rumah batu di daerah Kinta dan Batang Padang.

Dia lebih suka berhubung dengan Mohd Zain untuk membaiki sebarang kerosakan di rumahnya.

Salah sebuah rumah batunya terletak dikawasan Sungai Raya. Rumah itu diwarisi dari arwah ayahnya. Besar tersergam terletak tidak jauh dari jalan besar.

Dia tinggal di situ bersama isteri dan dua anak perempuannya, sementara rumahnya yang lain didiami oleh anak buah jutawan itu sendiri.

Salah seorang anak perempuannya menuntut di Universiti Malaya, ketika itu bertempat di Singapura, dalam jurusan kedoktoran.

Selain daripada mempunyai harta yang banyak, jutawan itu juga mempunyai dua orang isteri.

Isteri mudanya pula ada pertalian keluarga dengan Mohd Zain.

Perkenalan yang terjalin di rumah Mohd Zain itu, secara tidak langsung memberikan satu tugas baru pada datuk.

Jutawan itu meminta datuk memberikan pendinding di kawasan rumahnya, supaya tidak dimasuki oleh pencuri. Kerana tugas itu tidak berat, datuk bersedia menolongnya.

"Berapa upahnya? Seratus atau tiga ratus," jutawan itu menyoal datuk.

Saya lihat datuk tersenyum dan menyandarkan badan pada dinding rumah Mohd Zain.

Muka Mohd Zain saya lihat berubah sedikit.

"Kita bukan hidup dengan kerja ini, harta kita pun ada untuk makan pakai anak cucu.

"Kalau sekadar untuk menolong ke jalan baik tak jadi hal," jawab datuk pada pertanyaan jutawan itu, yang merupakan satu sindiran yang tajam. Jutawan itu tunduk.

"Maafkan saya, kalau cakap tadi menyakitkan hati. Saya sekadar mahu bersedekah saja," nada suara jutawan itu mula menurun.

"Sedekah saja wang itu ke rumah anak yatim," tingkah datuk. Jutawan itu anggukkan kepala.

"Bila bapak mahu menolong Tok Kaya Sendi Raja?" Mohd Zain memotong percakapan.

Datuk urut pangkal dagunya. Dia merenung muka jutawan itu dua tiga kali. Jutawan kelihatan resah.

"Saya terpaksa pergi setidak-tidaknya tiga senja ke sana."

"Kalau begitu duduk saja dirumah saya.”

"Begini saja. Minggu depan saya minta anak angkat saya ni hantar saya ke rumah Tok Kaya.”

"Terpulang ikut mana yang baik. Baik pada awak, baiklah pada saya,” kata Tok Kaya sambil tersenyum.

Lalu dia minta diri untuk pulang dari datuk. Mohd Zain menghantar jutawan itu hingga ke keretanya di tepi jalan besar.

Pagi itu datuk memberitahu Mohd Zain, anak angkatnya, yang dia mahu pergi mendaki gunung yang terletak di bahagian tepi kawasan Pekan Kampar.

"Buat apa ke sana pak?" tanya isteri Mohd Zain sambil menghidangkan kopi dan roti.

"Nak cari buluh tumpat."

"Buat apa?" sahut Mohd Zain.

”Untuk menolong Tok Kaya," jawab datuk.

Itu memuaskan hati Mohd Zain dan isteri, serta saya.

Dengan menaiki kereta Moris Minor kepunyaan Mohd Zain, beliau menurunkan saya dan datuk dekat sekolah Inggeris di Kampar.

Dari situ saya dan datuk masuk ke dalam hutan. Lebih kurang pukul empat petang, kami kembali ke rumah Mohd Zain di Batu Berangkai.

Sebaik saja sampai di rumah, datuk pun memotong buluh tumpat itu sepanjang satu kaki.

Buluh yang sudah dipotong itu berjumlah empat semuanya, diletakkan di bawah rumah.

Tidak ada kejadian ganjil yang kami temui semasa di hutan, jadi tidak ada cerita yang menarik untuk diceritakan pada Mohd Zain yang cukup kagum dan hormat dengan datuk.

Selepas sembahyang Isyak Mohd Zain masih bercakap dengan datuk di anjung rumah.

Mohd Zain meminta ilmu pengasih dari datuk dengan tujuan supaya setiap orang yang ditemuinya akan jadi kasih padanya dan mempelawa dia untuk membuat rumah atau membuat kontrak dengannya.

Saya dengar datuk memarahi Mohd Zain kerana permintaannya itu tidak masuk akal.

Menurut datuk, kalau kerjanya baik dan ikhlas, tidak menipu sesama manusia, dengan sendirinya dia akan disayangi orang.

"Berusaha dan bekerja keraslah, kau akan mencapai kejayaan. Buat kerja dengan baik,” itulah yang dapat di tangkap oleh telinga saya.

Lepas itu saya lidak dengar apa yang mereka perkatakan. Saya terlena.

Saya tahu datuk akan melakukan sembahyang hajat. Supaya tugasnya tidak terganggu, saya lebih suka tidur bersendirian di ruang tengah rumah Mohd Zain. Biarlah datuk tidur sendirian di dalam bilik khas.

Dugaan saya itu memang tepat. Apabila subuh, datuk menyatakan sembahyang hajatnya tidak terganggu oleh dengkur saya.

"Kau sudah mula mengenali perangai aku," katanya menyindir ketika saya mengambil air sembahyang bersamanya.

"Belajar dari pengalaman,” balas saya.

"Petang esok kita pergi ke Sungai Raya,” datuk memberitahu saya lagi. Saya pun mengangguk tanda setuju.

Macam selalu, sebelum matahari bangun di kaki langit datuk akan mengajak saya mandi embun.

Saya sudah pun pandai memilih jenis daun yang baik di ambil airnya untuk membasuh muka dan badan.

Datuk juga memberitahu saya beberapa potong ayat suci yang harus saya baca ketika menyentuhkan air embun ke tubuh.

Mandi embun menyegarkan badan dan menegangkan kulit. Dengannya muka kelihatan bersih dan tidak dimamah usia.

Menyapu atau menggosokkan air embun ke badan juga harus pandai. Mesti ikut urutan.

Dengan itu perjalanan darah akan menjadi lancar, terhindar dari sakit jantung atau darah tinggi.

Selepas menunaikan sembahyang asar pada petang selasa, saya dan datuk dihantar oleh Mohd Zain ke kawasan Sungai Raya.

Jarak kawasan itu dari bandar Ipoh lebih kurang 10 kilometer ke selatan.

Kami di sambut oleh Pak Ayub Naim penjaga rumah. Tok Kaya telah pergi ke lapangan terbang bersama anak dan isterinya untuk menyambut anaknya yang bercuti. Mohd Zain bercakap sesuatu dengan Pak Ayub Naim.

"Saya balik dulu pak," Mohd Zain memberitahu datuk. Dia menghidupkan jentera kereta dan keluar dari kawasan rumah Tok Kaya Sendi Raja.

Rumah batu besar itu berbentuk lama, berunsur kesenian dari timur tengah dipadukan dengan seni bina tempatan menjadikan rumah batu dua tingkat itu kelihatan cantik dalam bentuk yang tersendiri, bersama cat kuning air yang lembut.

Berceritalah Pak Ayub Naim, orang Keramat Pulai tentang rumah batu dua tingkat itu pada kami.

Menurutnya, rumah batu itu sudah lebih dari seratus tahun usianya. Sudah tujuh keturunan dipusakai turun temurun.

Tok Kaya Sendi Diraja ialah pemilik yang ke tujuh atau keturunan yang ketujuh.

Dan selama itu pula, belum pernah terlintas di hati para pewarisnya untuk merubah bentuk dasar rumah tersebut.

Mereka hanya menambah beberapa bahagian yang tertentu saja. Bila bulan penuh muncul di langit dan cahayanya melimpah di atas bumbung rumah, keutuhan dan keunggulannya semakin nampak.

Bumbung rumah itu bagaikan memancar cahaya yang boleh menegakkan bulu roma sesiapa saja.

Kebanyakan penduduk yang tinggal berdekatan enggan lalu di bahagian belakang rumah tersebut meskipun di situ ada jalan dekat menuju ke kawasan rumah mereka.

Itulah cerita Pak Ayub Naim yang sudah berusia hampir enam puluh tahun itu. Sama dengan umur Tok Kaya Sendi Raja.

Saya dan datuk di tempatkan di sebuah bilik di bahagian atas ruang tengah. Bahagian atas itu cukup luas dengan empat tiang besar yang bulat, berukir dengan awan larat bunga raya dan pucuk rebung.

Bila saya berdiri di situ saya terasa ada sesuatu yang ganjil. Saya terasa diri saya seolah-olah berada jauh dari dunia nyata. Seakan-akan terlambung ke satu alam lain yang sukar saya nyatakan.

Saya laporkan perkara itu pada datuk. Dia hanya tersenyum dan tidak memberikan sebarang pendapat berhubung dengan perkara itu.

Ketika bunga senja tiba, saya dan datuk meninggalkan bilik. Kami mengelilingi rumah besar itu tujuh kali. Setiap kali sampai ke bahagian bucu rumah, datuk berhenti dan membaca sesuatu.

"Kita pusing lagi sekali untuk jadikan lapan,” beritahu datuk pada saya. Saya angguk kepala dan ikut perintahnya.

"Berhenti di sini,” mendengar perintah itu langkah saya mati. Datuk menandakan tempat itu dengan kayu.

"Kau langkah ke timur, kemudian ke barat lima kali ke belakang. Lepas itu ke utara dan ke selatan macam tadi juga.”

Arahan yang datang dari datuk saya patuh. Bila semua saya lakukan, datuk pun korek tanah dengan golok lalu menanam buluh tumpat ke dalam tanah.

"Cukuplah tu, agak-agak satu jengkal ke bumi. Tidak dikorek anjing, ah mana ada anjing, kawasan ni berpagar," datuk bercakap seorang diri. Saya tersenyum.

Bila dia menuju ke halaman rumah, Tok Kaya Sendi Diraja dan dua orang anaknya baru saja keluar dari perut kereta Chevrolet besar.

"Macam mana, sudah selesai?" itu yang di tanyakan oleh Tok Sendi Diraja pada datuk.

"Belum selesai. Lagi tiga penjuru belum di taruh," balas datuk.

Tok Kaya Sendi Diraja terus memberitahu datuk, makan minum datuk dan saya akan di hantar sendiri oleh tukang masak ke bilik.

Satu layanan yang sungguh istimewa dari seorang jutawan pada orang biasa.

Kerana waktu maghrib sudah tiba, datuk dan saya terus naik ke tingkat atas sesudah mengambil air sembahyang.

Lepas sembahyang datuk meneruskan zikirnya. Saya keluar dari bilik mundar-mandir di ruang tengah.

Saya terkejut dan hampir menjerit, dari sudut ruang tengah yang agak suram itu keluar seorang gadis dengan pakaian diraja.

Di kepalanya terletak mahkota yang memancar, di tangannya terletak sebilah sundang. Kain labuh yang menutup badannya berwarna kuning. Saya terus lari masuk bilik.

"Kenapa, macam kena kejar syaitan."

"Ada puteri raja di sini tok.”

"Kau gila? Lain kali jangan merayau. Kalau kau bantah cakap aku, cekik kau sampai mampus,” datuk memberi amaran dengan nada suara yang marah.

Saya diam dan terus membaca surah Yassin. Datuk sudah pun selesai berzikir. Saya sudah pun menghabiskan bacaan surah Yassin.

Kami baring di atas katil kuno. Tiba-tiba daun pintu diketuk orang. Datuk buka pintu dan saya berdiri di belakangnya.

Seorang lelaki muncul, tinggi dan besar orangnya, dada berbulu memakai tanjak dan ada bintang kebesaran di tengah tanjak, serta pedang panjang di pinggang. Lelaki itu hanya muncul beberapa detik saja di hadapan kami.

Datuk segera turun ke bilik Pak Ayub Naim di bawah. Barang kali Pak Ayub Naim boleh memberikan keterangan lanjut berhubung dengan perkara aneh yang ditemui.

Dia sudah menjadi penjaga rumah semenjak ayah Tok Kaya Sendi Diraja masih hidup.

"Usah takut, anak dara itu memang salah seorang penguni rumah ini, dia hanya mengucapkan selamat datang,” katanya sambil ketawa pada datuk.

"Orang lelaki itu siapa?" soal saya.

"Dia juga macam anak dara tu. Dia memberi salam perkenalan saja pada tuan berdua. Dia tidak akan mengganggu,” jawabnya.

Temyata datuk tidak puas hati dengan jawapan itu. Tetapi dia tidak mahu mengemukakan sebarang pertanyaan lanjut.

Kami naik ke bilik atas. Hidangan sudah tersedia. Lepas makan kami sembahyang Isyak. Lepas itu saya tidur.

Empat penjuru rumah Tok Kaya Sendi Diraja sudah di tanam dengan buluh tumpat. Dengan pertolongan Allah, rumah itu tidak akan dimasuki pencuri.

Atas permintaan Tok Kaya Sendi Diraja, datuk dan saya dijemput duduk dua malam lagi dirumah itu. Tok Kaya Sendi Diraja mahu Datuk memulih semangat rumah.

Menurut Tok Kaya Sendi Diraja, dia selalu bimbang dan berhadapan dengan perkara-perkara aneh bila dia membuat kira-kira perniagaan di bilik khasnya.

Kadang-kadang dia terasa ada mahkluk lain di rumahnya.

Pernah satu ketika dia tertidur dimeja tulis, apabila dia sedar dari tidurnya, dia telah berada di atas katil disamping isterinya. Pakaiannya ditukar dengan baju tidur tanpa di sedarinya.

"Tetapi belum ada keluarga saya yang dicederakan," adu Tok Kaya Sendi Diraja pada datuk di ruang tamu bawah.

"Saya merahsiakan perkara ini dari kaum keluarga," tambahnya sambil menyatakan keyakinan bahawa datuk dapat mengatasi masalah yang dihadapinya itu berdasarkan dari cerita Mohd Zain kepadanya.

"Saya cuma boleh menolong saja,” kata datuk merendah diri. Tok Kaya Sendi Diraja tersenyum.

Sementara itu di luar, senja kian menjauh. Kedua-dua anak Tok Kaya Sendi Diraja mula meninggalkan halaman rumah.

Norbaya yang bongsu pergi ke bahagian dapur, manakala Norlin yang bercuti dari universiti melintas di depan kami.

Dia segera menaiki tangga yang menghubungkan antara ruang bawah dengan ruang atas.

Tok Kaya Sendi Diraja lalu menceritakan tentang anaknya Norlin, yang akan tamat pengajian doktornya akhir tahun ini.

Belum pun cerita itu tamat, kami bertiga terkejut. Isteri Tok Kaya Sendi Diraja menerpa ke arah kami.

Satu jeritan nyaring dan keras menguasai rumah dua tingkat itu yang datang dari bahagian atas.

"Itu jeritan Norlin," kata isteri Tok Kaya Sendi Diraja.

Kami pun segera memijak anak tangga yang berbentuk melingkar itu.

Sampai di atas, Tok Kaya Sendi Diraja segera membuka pintu bilik yang selalu Norlin gunakan ketika menghabiskan cuti dari universiti.

Norlin terduduk dipinggir tempat tidur dengan nafas yang sesak, mukanya pucat benar.

"Ada apa Norlin?", tanya Tok Kaya Sendi Diraja.

Norlin tidak menjawab. Peluh halus tumbuh di dahi. Di luar hari kian gelap. Terdengar suara gagak sesat menjerit di dahan pokok kekabu.

"Ada apa nak?", soal isterinya pula.

Ketika itu Pak Ayub Naim pun tiba. Angin kian keras masuk ke dalam ruang rumah. Langsir bergerak-gerak dengan hebatnya.

"Ada apa Norlin? Cakaplah,” pujuk Tok Kaya Sendi Diraja.

Norlin bangun dan terus memeluk ibunya. Dia menangis di atas dada ibunya semahu-mahunya.

Isteri Tok Kaya Sendi Diraja mengusap rambut anak perempuannya dengan penuh kasih sayang.

"Kau nampak manusia di sini," Pak Ayub bertanya dengan nada suara yang cukup lembut pada Norlin yang hanya mengangkat bahu saja.

Peristiwa yang terjadi itu memaksa saya duduk sendirian duduk di bilik. Datuk pergi menemui Tok Kaya Sendi Diraja di biliknya.

Datuk bertanya tentang salasilah keturunan Tok Kaya Sendi Diraja dari A hingga Z.

Kira-kira pukul sepuluh malam, datuk masuk ke bilik tidur. Dia termenung panjang di atas katil kuno.

Saya tidak berani bertanya apa yang di perkatakannya dengan Tok Kaya Sendi Diraja. Saya biarkan datuk mengelamun sendirian.

Angin malam berhempas pulas di luar. Dahan-dahan kayu bergoyang keras. Langit hitam, bulan pun tidak timbul di langit.

Saya resah tidak menentu, bagaikan ada makhluk asing berdiri di hujung kaki. Datuk masih bertafakur di atas katil kuno.

Tiba-tiba saya terdengar sesuatu yang keras berlaku diluar rumah seperti bunyi dahan kayu dipatah orang.

Saya rasa badan saya dilangkah oleh sesuatu. Bulu roma tengok saya tegak berdiri.

Angin kian keras bertiup. Jendela rumah terbuka dengan sendiri. Saya lihat ada lembaga samar-samar masuk kedalam ikut jendela yang terdedah.

Angin berhenti bertiup. Diganti dengan titik hujan. Saya tidak tahu kenapa badan saya berpeluh.

Kepala saya bagaikan di jamah orang. Ada benda sejuk menyentuh pipi saya, sejuknya bukan kepalang macam hidung orang mati.

Saya menepis, tidak ada yang kena sasaran. Saya hanya menepis angin. Tiba-tiba pintu bilik diketuk orang. Datuk melompat dari atas katil dan membuka pintu.

"Anak saya Norlin,” ujar Tok Kaya Sendi Diraja dengan wajah cemas.

"Kenapa?", soal datuk.

"Berjalan dan menari sendirian."

"Allah," keluh datuk.

Kami pun berlari menuju ke bilik Norlin. Memang benar, Norlin sedang menari macam tarian klasik orang India.

Datuk menyuruh Tok Kaya Sendi Diraja dan isterinya merebahkan Norlin ke atas katil.

Norlin mengikut tanpa sebarang perlawanan. Bila Norlin di baringkan, jam kuno di tengah rumah berbunyi dua belas kali.

Hujan kian menjadi -jadi di luar. Saya rasa bilik itu terlalu panas. Saya juga terasa ada makhluk asing beratus-ratus orang mengisi dalam ruang bilik.

Makhluk itu tidak dapat dilihat tetapi bukti yang menunjukkan makhluk asing berada di situ memang ada.

Buku-buku bacaan Norlin ada yang terbuka dan tertutup dengan sendiri. Pensil dan pen yang terbuka juga tertutup dengan sendiri.

Hal itu tidak di sedari oleh Tok Kaya Sendi Diraja dan isterinya. Mereka asyik melihat Norlin.

Muka Norlin pucat, keningnya berkerut dan peluh-peluh halus membintit di kening.

Seolah-olah Norlin berhadapan dengan sesuatu yang amat menakutkan. Matanya tegak merenung ke atas. Sesekali dia tersenyum.

"Norlin, Norlin emak ada di sini," kata isteri Tok Kaya Sendi Diraja sambil menggoncang badan Norlin yang matanya terbeliak.

"Usir dia, halau dia. Jangan beri dia masuk!" jeritnya sekuat hati.

"Siapa dia nak? Cakap dengan saya," rayu datuk.

Norlin merenung ke pintu, berpaling ke kiri dan ke kanan. Tidak ada sesiapa pun di situ.

Tamat siri 22/284

BACA: SBDJ Siri 21: Berguru Dengan Syaitan
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-SENTIASAPANAS.COM

Kenapa Starbucks Gagal Di Australia?

Kenapa Starbucks Gagal Di Australia?

Starbucks boleh dianggap sebagai rangkaian kedai kopi paling terkenal di dunia yang mempunyai lebih daripada 28,000 cawangan di 76 buah negara, manakala di Malaysia terdapat di 242 lokasi dan negara yang paling banyak cawangannya adalah Amerika Syarikat, lebih daripada 13,000 cawangan diikuti oleh China dengan lebih daripada 3,000 cawangan.

Starbucks Australia

Malah, cawangan baru Starbucks di China dibuka setiap 15 jam dan walaupun mendapat sambutan hangat di pelbagai negara, terdapat sebuah benua atau lebih tepat sebuah negara yang tidak berminat dengan Starcbucks dan negara dan benua tersebut adalah Australia.

Australia telah terbukti sebagai salah satu pasaran di dunia yang paling sukar untuk dipecahkan.

Tutup 2 per 3 cawangan di Australia

Tersangat sukar sehinggakan Starbucks terpaksa menutup 2 per 3 cawangannya di negara ini pada tahun 2008. Jadi, apa yang tak kena dengan Starbucks di Australia?

Untuk menjawab persoalan itu, jom kita patah balik ke Julai 2000, apabila Starbucks membuka cawangan pertamanya di Australia iaitu di Sydney, syarikat ini berkembang dengan begitu pantas.

Menjelang tahun 2008, Starbucks mempunyai 87 cawangan di seluruh Australia.

Menurut Nick Wailes, seorang profesor dan timbalan dekan di University New South Wales, masalah Starbucks adalah mereka sudah berjaya di pelbagai buah negara dan mereka beranggapan bahawa model perniagaan mereka boleh berjaya begitu sahaja di persekitaran yang baru tanpa perlu menyesuaikan diri.

Berkembang terlalu pantas

Itulah masalahnya, apabila Starbuck cuba untuk membangunkan empayar di Australia dengan terlalu pantas.

Mereka membuka cawangan baru di pelbagai lokasi dan bukannya mengintegrasikan kewujudan mereka ke dalam pasaran Australia.

Menurut seorang penganalisis penyelidikan, Thomas O'Connor, ketika Starbucks dilancarkan, ia dilakukan dengan terlalu pantas dan tidak memberikan peluang kepada pengguna Australia untuk benar-benar mewujudkan rasa teringin terhadap jenama ini.

"Mereka juga bergerak ke kawasan serantau ke kawasan luar bandar di bandar-bandar besar. Dengan ini rakyat Australia berasakan mereka boleh dengan mudah mendapatkan produk Starbuck, membuatkan tiada perbezaan dengan kedai kopi lain.

"Ia bukanlah satu pertumbuhan yang organik yang mana dilihat berlaku di Amerika Syarikat," jelas Thomas O'Connor.

Oleh sebab itu, dalam 7 tahun pertama Starbucks bertapak di Australia, mereka mengalami kerugian RM426 juta.

Menjelang tahun 2007, Starbucks Australia berada dalam situasi genting dan tak menentu, membuat pinjaman dari Amerika Syarikat sehingga RM220 juta.

Dan pada tahun 2008, Starbucks mengumumkan penutupan 61 cawangan, dan ia berlaku ketika mana dunia mengalami krisis kewangan.

Gagal memberi impak seperti di AS

Mengalami nasib yang sama bersama-sama penutupan Starbucks Australia adalah 600 cawangan di Amerika Syarikat yang tidak menguntungkan.

Walaupun begitu, penarikan diri di Australia adalah sesuatu yang sangat memalukan bagi jenama gergasi dunia ini.

Ketika Starbucks seolah-olah menarik diri daripada pasaran Australia, pengguna Australia seolah-olah tidak kisah, disebabkan oleh rakyat Australia mempunyai pilihan kopi yang sangat banyak.

Pasaran kopi Australia adalah antara yang terbesar di dunia dan industri ini menganggarkan memperoleh pendapatan sebanyak RM24 bilion pada tahun 2018.

Budaya kopi di Australia

Australia diselubungi dengan budaya kafe sejak pertengahan abad ke-20 apabila pendatang dari Itali dan Greece mula berpindah ke negara ini.

Migran-migran ini kemudiannya memperkenalkan espresso kepada warga Australia dan menjelang tahun 1980-an, budaya kafe di Australia menjadi tular sehinggakan terciptanya menu istimewa seperti kopi "Flat White" dan "Australian Macchiato".

Kafe-kafe terhasil daripada budaya Itali di mana ia menjadi tempat bertemu dengan rakan-rakan dan mengenali barista-barista tempatan. Hasilnya, budaya ini menjadi sangat kuat di Australia.

Namun, Starbucks datang ke Australia dengan budaya kopi Amerika yang menjadikan kopi semata-mata sebagai satu komoditi.

Starbucks mempunyai menu asas dan menawarkan minuman yang tinggi gula, sesuatu yang tidak digemari oleh rakyat Australia.

Harga yang lebih mahal

Malah, harga yang dikenakan oleh Starbucks jauh lebih mahal daripada kafe-kafe tempatan, membuatkan rakyat Australia memilih untuk membayar dengan harga lebih rendah kepada barista tempatan yang mereka percaya.

Namun, terdapat satu syarikat kopi Amerika Syarikat yang berkembang maju di Australia. Ditubuhkan di Chicago dan kini berpangkalan di Australia, Gloria Jean's mendapat sambutan yang gagal diperoleh Starbucks.

Gloria Jean's mempunyai lebih daripada 400 buah cawangan di seluruh Australia dan dikunjungi oleh lebih daripada 35 juta pengguna Australia setiap tahun.

Apa dilakukan Gloria Jean's yang gagal dilihat Starbucks?

Kejayaan syarikat ini disumbangkan oleh dua orang warga Australia yang membawa masuk francais ini ke negara mereka pada tahun 1996.

Rahsianya? Menu mereka.

Gloria Jean's menawarkan pelbagai jenis pilihan espresso dan kopi istimewa. Kegagalan Starbucks untuk menyesuaikan diri dengan budaya kopi Australia terbukti menjadi kesilapan terbesar mereka.

Walau bagaimanapun, Starbucks masih belum menyerah kalah di negara kanggaru ini. Mereka merancang untuk membuat kemunculan semula.

Pada tahun 2014, Starbucks Australia telah diambil alih oleh Withers Group yang juga pemilik francais 7-11 di Australia.

Kini terdapat 40 cawangan Starbucks di Brisbane (6), Melbourne (13), Gold Coast (5) dan Sydney (16) tidak ditujukan kepada warga tempatan.

Sebaliknya mereka berharap untuk menjadi tarikan kepada pelancong-pelancong yang mengunjungi destinasi-destinasi di Australia.

Pada tahun 2017, seramai 9 juta pelancong mengunjungi Australia dan membelanjakan lebih daripada RM120 bilion.

Jadi, para pelancong mungkin menjadi kunci kepada kejayaan Starbucks untuk terus berada di bumi Down Under dan mengelak krisis yang sama berulang semula.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: iluminasi

10 Superfood Yang Anda Patut Makan Setiap Hari Untuk Menjaga Kesihatan Mata

10 Superfood Yang Anda Patut Makan Setiap Hari Untuk Menjaga Kesihatan Mata

Menurut Shania Khialani, seorang pakar nutrisi dan diet dari Pusat Dietitians Marie-Claire O Shea di Australia, ada banyak kajian yang telah dibuat tentang fungsi vitamin A dan kaitannya dengan mata dan ternyata, kita boleh memperbaiki kesihatan mata dengan mengambil beberapa jenis makanan, terutamanya yang tinggi kandungan Vitamin A.

Makanan superfood untuk mata

Shania menjelaskan bahawa satu kajian pada tahun 2011 yang dijalankan oleh Universiti Oxford telah membuktikan kaitan antara Vitamin A dengan pengurangan masalah mata.

Antara masalah penglihatan yang dapat dikurangkan jika kita mengambil banyak Vitamin A adalah seperti rabun malam dan xerophthalmia (satu keadaan di mana mata kita gagal menghasilkan air mata).

Jadi, sebagai seorang ibu dan ayah pada hari ini, amatlah wajar untuk anda memberikan makanan superfood yang tinggi kandungan Vitamin A kepada anak anda, supaya tahap penglihatan dan power matanya terjaga, selain untuk amalan orang dewasa.

10 makanan superfood untuk mata

Jika anda perlukan sedikit saranan tentang jenis makanan apa yang anda boleh masukkan dalam diet harian supaya kesihatan mata anda dan keluarga sentiasa terjaga, mari lihat senarai di bawah!

1. Lobak

Sememangnya, lobak adalah antara makanan yang sering dikaitkan dengan penglihatan yang bagus.

Kalau anda nak tahu, sayuran dan buahan berwarna oren dan kuning mempunyai beta karotene yang tinggi. Ia adalah sejenis Vitamin A yang boleh dijumpai dalam tumbuhan yang dapat membantu melindungi mata anda.

Masukkan hirisan lobak dalam hidangan sup ayam, bubur nasi, pasta, atau salad.

2. Sayuran hijau yang berdaun

Sayuran berwarna hijau serta berdaun seperti parsli, bayam dan kale mempunyai kandungan lutein dan zeaxanthin yang tinggi.

Dua bahan ini membantu meningkatkan tahap penglihatan kerana ia menjadi makanan utama karotenoid yang ada pada retina mata manusia.

Malah, ia turut melindungi mata dari pancaran matahari yang berbahaya kerana fungsi antioksidan tinggi yang turut ada pada bahan ini.

Jangan masak sayuran hijau ini terlalu lama kerana khasiatnya akan berkurangan jika terlebih masak.

Celur atau tumis beberapa minit sahaja sebelum menghidangkannya.

3. Salmon

Diet yang tinggi kandungan asid lemak omega 3 juga dikatakan dapat memberikan kesan positif pada retina mata kita.

Kebanyakan minyak ikan seperti salmon sangat kaya dengan asid lemak omega 3, yang membantu retina mengatasi masalah keradangan.

Untuk hidangan yang ringkas dan cepat, anda hanya perlu bakar atau grill salmon dalam periuk pan bersama mentega sehingga keperangan. Ia sangat mudah untuk disediakan.

4. Avokado

Ini lagi satu superfood yang dapat membantu menjaga mata kerana dikatakan mempunyai kandungan lutein yang tinggi berbanding semua sayuran dan buahan lain!

Jika diambil selalu dan dalam jangka masa yang panjang, avokado dapat mencegah risiko katarak dan penyusutan makula.

Lenyekkan avokado dan buat hidangan makanan pejal atau, hiris avokado dan masukkan ke dalam hidangan sandwich supaya kita mendapat bekalan lemak dan Vitamin E yang baik untuk mata!

5. Telur

Ini adalah antara bahan yang mudah untuk dijumpai di dapur kan? Ia memberikan banyak khasiat pada mata dan juga seluruh badan kita, pastikan anda turut memakan bahagian kuning.

Ini kerana, warna kuning itu kaya dengan khasiat dan nutrien. Semakin pekat warna kuning telur itu, semakin berkhasiat dan bagus untuk anda!

Rebus telur dan hancurkan bersama lada hitam dan mayonis. Buat sandwich atau telur separuh masak dan makan bersama roti kaya – yummy!

6. Lada Benggal (Capsicum)

Selalunya, lada benggal atau capsicum, boleh didapati dalam pelbagai warna (seperti warna traffic light!) iaitu merah, kuning dan hijau.

Capsicum mengandungi Vitamin A yang bagus untuk penglihatan dan menjaga mata dari terkena penyakit.

Potong lada benggal kecil-kecil dan tumis. Campurnya dalam hidangan sup atau nasi.

7. Kekacang

Kekacang juga adalah sejenis superfood yang sesuai untuk dimasukkan dalam hidangan untuk menjaga mata.

Antara contoh kekacang yang bagus adalah seperti almond dan kacang gajus kerana ia kaya dengan Vitamin E dan asid lemak omega 3. Ia membantu mengurangkan kekeringan mata.

Jadikan kekacang sebagai snek sementara menunggu waktu hidangan utama. Masukkan juga kacang ini ke dalam hidangan.

8. Blueberry

Ia mengandungi bahan magikal yang dikenali sebagai anthocyanosides, bahan yang selalunya ada pada retina mata kita dan membantu mata untuk penglihatan waktu malam.

Jika diambil selama 2 bulan, anda pasti akan dapat melihat perbezaannya pada penglihatan anda pada waktu malam.

Disebabkan buah blueberry tidaklah mudah untuk diperolehi di kedai runcit atau supermarket, mungkin anda boleh membelinya dalam bentuk kapsul atau pil.

Kandungan yang patut anda ambil setiap hari adalah 600mg.

9. Dark Chocolate

Kalau anda gemar coklat pula, Dark chocolate kaya dengan flavonoid yang dapat membantu melindungi saluran darah dalam mata dan menguatkan lensa serta kornea mata.

Jadikan dark chocolate sebagai snek harian malah, anda turut boleh membuat minuman coklat panas menggunakan dark chocolate.

10. Wolfberry

Ini lagi satu jenis berry dikenali sebagai buah beri Goji, buahan yang kecil, merah dan manis ini kaya dengan tonik yang dapat menjelaskan penglihatan mata.

Ia turut dijadikan sebagai satu bahan remedi bagi masalah mata yang tinggi, mata kering dan penglihatan kabur.

Ia disebabkan oleh kandungan beta karotena, Vitamin B, Vitamin C, serta asid linoleik yang ada di dalam buah beri Goji ini.

Masukkan buah wolfberry ke dalam air lai ci kang bersama dengan longan dan kurma untuk meningkatkan kesihatan mata anda!

Cuma, jangan makan lebih satu biji sekali makan kerana kandungan vitaminnya terlalu tinggi. Anda akan rasa mual dan pening jika overdose. 1 biji pagi dan 1 biji petang.

Jadi, cuba semua cadangan hidangan di atas dan lihat bagaimana ia membantu mengekalkan kesihatan mata anda!

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

-SENTIASAPANAS.COM

Friday, February 22, 2019

11 Lokasi Menarik Tempat Percutian Di Pulau Pinang

11 Lokasi Menarik Tempat Percutian Di Pulau Pinang

Pulau Pinang sememangnya salah satu destinasi yang cukup popular di kalangan pelancong tidak kira dari luar mahupun di dalam Malaysia. Sering kali dirujuk sebagai syurga makanan, Pulau Pinang mempunyai tarikan tersendiri untuk dilawati bukan sekadar destinasi untuk makan-makan.

Terdapat banyak tempat menarik di Pulau Pinang yang anda boleh pergi jika ke Pulau Mutiara ini.

Berikut kami kongsikan 11 tempat menarik di Pulau Pinang yang masih ramai tidak tahu.

1. Penang Street Art, George Town

Penang Street Art

Sempena festival Georgetown, beberapa bangunan lama di bandar itu dihiasi dengan lukisan artis jalanan Ernest Zacharevic.

Lukisan yang berbagai konsep ini dapat dilihat di beberapa tempat sekitar Bandar Georgetown. Hasil karya beliau unik kerana ia menceritakan kisah hidup harian penghuni pulau tersebut.

2. Bukit Bendera, Air Itam

Gambar Bukit Bendera

Salah satu tempat menarik di Pulau Pinang yang paling popular adalah Bukit Bendera atau Penang Hill. Percutian ke Pulau Pinang tidak sah jika tidak ke sini.

Sungguhpun Bukit Bendera adalah tempat tarikan yang telah wujud sejak sekian lama, kini pelbagai penambahan telah dibuat bagi membolehkan lebih banyak aktiviti dapat dilakukan di puncak Bukit Bendera.

Naik kereta api ke puncak adalah pengalaman yang cukup menarik. Boleh juga mendaki ke atas melalui Taman Botanikal bagi yang minat aktiviti lasak.

Selain menikmati keindahan Pulau Pinang dari ketinggian 830 meter, Bukit Bendera juga mempunyai banyak spot menarik seperti:
  • Muzium Burung Hantu.
  • Dataran Love Locks.
  • The Habitat.
  • Earthquake & Typhoon Pavilion.
  • Little Village.
  • Viewing Deck.

3. Night Market, Batu Ferringhi

Sebuah pasar malam yang menjual pelbagai barangan cenderahati seperti keychain, pakaian, kraftangan dan sebagainya. Terletak di Batu Feringgi dan tidak jauh dari Pantai Tanjung Bungah.

Salah satu tempat menarik di Penang untuk shopping cenderahati sambil-sambil makan malam di sini.

4. Avatar Secret Garden, Tanjung Tokong

Avatar Secret Garden, Tanjung Tokong

Kalau di Avatar Secret Garden anda dapat melihat cahaya lampu magikal pada pokok-pokok, di Dark Mansion – 3D Glow In The Dark Museum ini pula anda akan dikelilingi oleh cahaya daripada lukisan-lukisan yang berubah daripada 2D kepada ilusi optik 3D.

Antara dunia 3D Glow yang dapat anda nikmati di sini adalah tema-tema seperti misteri hutan tropika, jambatan bercahaya, berjalan di dalam laluan yang dikelilingi cahaya bintang dan banyak lagi! Jangan lupa untuk penuhkan cas kamera anda sebelum ke sini!

5. Gurney Drive, George Town

Jika anda mencari tempat makan paling menarik di Pulau Pinang jangan lupa singgah ke Gurney Drive. Tempat ini menjadi meriah pada waktu malam dengan setiap warung menyediakan hidangan yang berbeza anda tidak kurang pilihan makanan untuk dipilih.

Kerana laut hanya beberapa minit sahaja dari tempat ini jika anda pilih untuk kesana pada waktu malam, bolehlah makan dalam keadaan rileks sambil menikmati tiupan angin laut yang nyaman.

Disebabkan populariti Gurney Drive ini semakin meningkat, terdapat banyak apartment dan hotel baru didirikan di sini, menjadikan ia kawasan perdaganan kedua paling sibuk di pulau tersebut.

6. ESCAPE Theme Park, Teluk Bahang

ESCAPE Theme Park, Teluk Bahang

Kepada mereka yang lebih gemar aktiviti lasak jangan lepaskan peluang untuk ke Escape Theme Park Pulau Pinang.

Terletak berhampiran dengan kawasan Batu Ferringhi, ia merupakan tempat dimana anda dapat membuat aktiviti lasak diatas pokok seperti, Monkey Busines (memanjat), Flying Lemur (ZipLining), Atan Leap (Bungie Jumping), dan untuk mereka yang gayat, belajar memanjat pokok kelapa.

7. Upside Down Museum, George Town

Kalau melancong ke Penang bersama anak-anak kecil, destinasi sebegini adalah satu kemestian untuk kita terjah.

Masa riang ria bersama keluarga dan bergambar bersama dalam suasana persekitaran rumah yang perabutnya semua tunggang terbalik.

Memang sangat best kalau datang ke sini dengan anak-anak dan yang pasti, rumah terbalik di Penang ini mempunyai tarikannya yang tersendiri yang sudah tentu lain daripada kebanyakan rumah terbalik yang ada di negeri lain seperti di Melaka dan Negeri Sembilan.

8. 3D Trick Art Museum, George Town

Mungkin anda sudah melihat gambar 3D Trick Art Musem Pulau Pinang ini di kongsi di media sosial. Didalam rumah 3D ini anda dapat melihat pelbagai lukisan yang dapat mengelirukan mata yang memandang. Sesiapa yang suka bergambar pastikan anda singgah ke rumah ini.

9. Wonderfood Museum, George Town

Wonderfood Museum adalah sebuah tarikan yang unik di Penang ni. Macam mana muzium makanan boleh unik pula kan? Sebagai ‘wonder’ food museum, sudah semestinya ada keistimewaan pamerannya.

Terletak di dalam bangunan berekabentuk kolonial 1940-an, muzium ini terbahagi kepada 3 bahagian galeri yang digelar Info Zone, Wow Zone dan Educational Zone.

Di dalam seksyen pertama, dipamerkan 100 jenis street food dan makanan tradisional yang terkenal dikalangan komuniti Melayu, India, Cina dan Peranakan yang kesemuanya diletakkan di dalam gelas kaca.

Untuk Zon Info, anda dapat melihat pameran bersaiz mini tentang bagaimana rakyat tempatan menikmati makanan di gerai-gerai di tepi jalan, gerai mamak dan macam-macam lagi.

10. Ghost Museum, George Town

Anda jenis yang suka menakutkan diri sendiri? Jom ke Ghost Museum yang terletak di George Town!

Di dalam muzium ni terdapat banyak bilik-bilik yang telah dijadikan lokasi ‘berhantu’ dengan patung-patung yang nampak sangat real dan dipenuhi dengan darah.

Jangan lupa juga untuk bergambar sewaktu berjumpa dengan hantu-hantu yang terdapat di sini, boleh meremang bulu roma kalau dilihat sekali lagi.

11. The Top Penang, George Town

The Top Penang, George Town

Ada macam-macam tempat menarik di The Top ini yang boleh anda lawati bersama keluarga.

Antaranya:

Tech Dome Penang, sebuah pusat sains interaktif ala Petrosains. Ada pelbagai jenis mainan dan aktiviti berkonsepkan sains di dalam dome ini yang bukan saja khusus untuk anak-anak, tetapi juga orang dewasa.

Jurassic Research Center, terdapat pelbagai jenis dinasour di dalamnya beserta informasi yang pasti mengujakan peminat-peminatnya.

Rainbow Skywalk tertinggi di Malaysia ini memberi peluang untuk anda menyaksikan pemandangan indah skyline di GeorgeTown. Hanya untuk yang berhati waja!

Selain 3 tempat yang disebutkan di atas, ada juga pelbagai tarikan lain seperti Magic Mirror Maze, Ocean Explorer, The Top Boutique Aquarium, Tongkat Ali King, Dragon Regatta, Spacetime Squadron, 7D Discovery Theater dan banyak lagi. Tak rugi datang sini!

Sebenarnya, terlalu banyak tempat menarik di Penang untuk dilawati.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: rileklah

Khasiat Madu Menurut Kajian Perubatan Moden

Khasiat Madu Menurut Kajian Perubatan Moden

Tumbuh-tumbuhan menghasilkan manisan dan biasanya disimpan dalam bunga untuk tujuan menarik perhatian serangga dan haiwan, madu pula adalah sejenis manisan yang dihasilkan oleh tumbuhan biasanya melalui bunga. Ia bertujuan bagi menarik haiwan pendebunga seperti kelawar, kupu-kupu, rama-rama, lebah dan lalat untuk melakukan pendebungaan.

Khasiat Madu

Madu lebah adalah jenis madu selalunya menjadi pilihan manusia, dikumpul dari bunga-bunga menghasilkan beberapa jenis madu antaranya:
  • Madu putih.
  • Keemasan.
  • Hitam.
  • Merah.

Dan lain-lain lagi yang mana ia bergantung kepada jenis tumbuhan sekeliling yang berdekatan dengan sarang pengumpulan madu. Lebah akan menghasilkan madu dari manisan bunga, terdapat dalam pelbagai warna, rasa dan bau.

Lebah menghasilkan madu dari nektar yang dimakannya kemudian nektar tersebut dicerna dalam sistem pencernaan mereka.

Madu yang terhasil merupakan cecair salivari atau air liur mereka yang kemudiannya disimpan sebagai sumber makanan utama bagi mereka dalam bentuk jeli atau lilin (wax) yang disimpan dalam sarang segi-enam (heksagon).

Madu adalah sejenis pemanis monosakarida seperti fruktosa dan glukosa yang mempunyai sifat kimia yang menarik (atraktif) untuk tujuan pembuatan roti, kek dan biskut dan mempunyai rasa yang sedap dan lazat.

Kebanyakan mikroorganisma tidak dapat hidup dan membesar dalam madu kerana ia mempunyai aktiviti air yang rendah kira-kira 0.6.

Kerana itu madu diklasifikasikan sebagai makanan yang lambat rosak dan hampir tidak rosak atau tidak basi.

Walau bagaimanapun, madu kadang-kala mengandungi endospora bakteria dari spesies Clostridium botulinum, dimana sangat berbahaya pada janin dimana endospora bakteria mampu menghasilkan toksin-hasilan bakteria dalam sistem intestinal janin pra-matang, yang membawa kepada penyakit dan seterusnya boleh membawa kepada kematian.

Sejarah Madu

Penggunaan madu dalam sejarah manusia dalam pelbagai jenis makanan, minuman, pemanis, perasa malah barangan kegunaan harian seperti bahan zat tambahan dalam kosmetik dan ubat-ubatan telah lama diadaptasikan.

Madu juga mempunyai nilai dan sumbangan dalam agama dan bentuk (simbol) yang tersendiri.

Madu telah banyak digunakan dalam pelbagai tradisi perubatan samada moden mahupun tradisional juga dikatakan mampu menjadi penyembuh kepada pelbagai jenis penyakit.

Kajian mengenai debunga dan spora dalam madu mentah (melissopalinologi) dapat diterangkan dalam sumber flora madu.

Ini kerana lebah mampu membawa caj elektrostatik dan mampu menarik zarah-zarah lain, teknik sama melissopalinologi yang digunakan dalam kajian alam sekitar mengenai zarah radioaktif, debu atau pencemaran partikel bebas.

Lebah atau nama saintifiknya Apis Mellifera di antara makhluk ciptaan Allah SWT yang dikenali lantaran madu yang dihasilkannya.

Tanpa madu, lebah hanya dianggap sebagai serangga biasa yang tiada nilai komersial, walaupun ia merupakan agen pendebungaan yang penting.

Komuniti lebah amat dikenali sebagai satu kelompok komuniti yang berdisiplin, komited dan rajin bekerja.

Hasil dari kerajinan dan ketekunan makhluk Allah ini, maka terhasillah madu yang mempunyai 1001 khasiat yang secara tidak langsung memberi sumbangan yang besar bagi kesejahteraan kehidupan manusia.

Keistimewaan lebah telah diabadikan oleh Allah SWT di dalam kitab-Nya al-Quran. Pengabadian ini dilakukan dengan menamakan satu surah dengan nama lebah, Firman Allah dalam surah an-Nahl.

RAHSIA MADU

Walaupun madu dianggap sebagai penawar mujarab, tidak ada dalil dari Kitab mahupun Sunnah yang memperinci lebih dari itu.

Juga tidak ada (dalam Al-Quran dan Sunnah) soal berapa sukatan madu yang sesuai atau dicampur untuk rawatan.

Hal ini tidak pelik, kerana Kitab dan Sunnah adalah sumber petunjuk dan cahaya untuk kebahagiaan manusia dengan beribadah kepada Tuhan seluruh hamba, menyerahkan sepenuhnya pada ajaran-Nya dan merealisasikan perintah-Nya.

Pada keduanya tidak terdapat rincian (cara) pengubatan, takaran dan cara penyembuhannya.

Akan tetapi di dalamnya mengandungi sebahagian isyarat dan haruslah merujuk kepada pakar yang berpengalaman, baik dari kalangan para doktor, kajian ilmiah yang mendalam dan telah terbukti.

Ubat-ubatan tidak semuanya sesuai dengan setiap penyakit. Terkadang juga tidak sesuai untuk semua orang.

Ia juga dipengaruhi perbezaan lingkungan, maka seharusnya untuk mengetahui perinciannya, meminta bantuan pakar yang berpengalaman dari kalangan doktor moden atau pakar rawatan alternatif.

KAJIAN-KAJIAN SAINTIFIK TERHADAP MADU LEBAH

Bagi negara-negara maju seperti Amerika, Rusia, Jepun dan United Kingdom, para saintis mereka telah mengkaji madu lebah semenjak ratusan tahun dahulu seiring dengan kemajuan sains dan teknologi.

Negara-negara ini adalah di antara pengeluar dan pengeksport madu lebah terbesar di dunia. Bagi negara ASEAN pula tiada satu negara pun yang mengeksport madu lebah secara komersil. Indonesia mempunyai sumber madu yang banyak tetapi lebih untuk kegunaan dalam negeri sahaja.

Tidak boleh disangkal lagi madu lebah adalah sejenis ‘ubat’ semulajadi tertua yang pernah diketahui, Allah telah anugerahkan kepada manusia.

Malah, sudah ribuan tahun manusia telah pandai memelihara dan menjinak lebah dengan menyediakan tempat membuat sarang lebah.

Di zaman kegemilangan Rom dan Greek pula, madu dianggap suci, tanda kasih sayang dan kesuburan.

Semenjak tahun 1969, di Eropah telah wujud satu badan bertaraf suruhanjaya iaitu Codex Alimentarius Commission (CAC) yang berfungsi untuk memantau kualiti madu yang khusus keluaran dari Kesatuan Eropah (EU).

Pada tahun 1990, satu badan yang dikenali sebagai International Honey Commission (IHC) atau dalam Bahasa Melayunya sebagai Suruhanjaya Madu Antarabangsa telah di tubuhkan untuk menentukan kualiti madu lebah.

Pada masa yang sama, Amerika dan Eropah juga masing-masing telah mempunyai tahap piawaian penentuan kualiti madu masing-masing cuma berbeza dari segi beberapa parameter piawaian sahaja.

Di antara perkara-perkara yang diambil kira selain kualiti madu adalah penyakit-penyakit yang menyerang sarang lebah, penyakit lebah, benih-benih lebah, kebersihan (hygiene), cara pembotolan dan kontaminasi.

Di dalam makmal antara parameter piawaian IHC ialah:
  • Kandungan lembapan (air) dalam madu-(moisture content).
  • Keasidan.
  • Kandungan mineral.
  • Hydroxymethylfurfural (HMF).
  • Aliran elektrik.
  • Kandungan gula ringkas.
  • Kandungan pepejal tak larut.
  • Aktiviti enzim diatase.

Kaedah tambahan seperti aktiviti enzim sukrase dan kandungan proline.

1. KANDUNGAN AIR

Sebelum tahun 1990, kandungan air semulajadi di dalam madu adalah parameter utama dan kriteria pertama untuk menentukan ketulenan dan kualiti madu. Tetapi setelah IHC ditubuhkan, parameter lain turut diambil kira sebagai standard penentuan sesuatu madu.

Walau bagaimanapun, beberapa negara Eropah seperti Jerman, Belgium, Austria, Italy, Switzerland dan Sepanyol tetap mengutamakan kandungan air di dalam madu malah mereka kekal menetapkan kandungan air bagi madu Gred A ialah antara 17.5-18.5%, manakala IHC pula menetapkan di bawah 20.5%.

IHC telah mengkategorikan madu dengan kandungan air kurang dari 17.5% adalah madu yang terbaik.

Kandungan air di dalam madu dipengaruhi oleh kandungan air di dalam manisan bunga yang disedut oleh lebah dan jenis bunga; kerana ada bunga yang bersifat menyimpan air selain dari faktor cuaca dan iklim di mana bunga itu tumbuh.

2. KEASIDAN

IHC telah menetapkan keasidan bagi madu tulen ialah di antara pH 3.5-4.5, manakala CAC pula menetapkan pH 4.0-5.0. Keasidan ini akan memberikan rasa madu tulen sedikit masam.

Kemasaman madu sangat ketara terutama lebah yang menghisap manisan bunga-bungaan dan buah dari pokok buah mangga, mempelam, langsat, manggis dan buah-buahan hutan.

Anda boleh rujuk kepada pencari madu lebah hutan/kampung untuk mendapatkan kepastian. Kehadiran asid formik dan laktone adalah bahan yang menentukan keasidan madu.

3. KANDUNGAN MINERAL

Madu tulen, dengan izin Allah Yang Maha Pencipta, mengandungi paras kandungan mineral yang hampir sama dengan mineral yang terdapat di dalam darah manusia. Antaranya magnesium, sulfur, fosforus, klorida,ferum, kalsium, potasium, iodin dan sodium.

Galian lain yang terdapat di dalam madu ialah kuprum, aluminium, nikel, silika dan lain-lain mineral dalam jumlah yang lebih kecil. Semua galian ini memberi fungsi secara fisiologi yang berbeza pada tubuh manusia.

Mengapa ada madu yang lebih ‘panas’ dan tidak didatangi semut, malah ada maklumat terbaru yang mengatakan madu akan ‘bernyala api’ jika dicucuh dengan mancis api!

Ini pasti kandungan sulfur (belerang) madu tersebut tinggi dan tentu madu tersebut lebih ‘panas’.

4. KANDUNGAN GULA DI DALAM MADU

IHC menetapkan madu tulen mengandungi sekurang-kurangnya 45% gula ringkas (purata 56%).

Pada kebiasaannya ialah, madu tulen terbaik mempunyai 60%-65% gula ringkas, manakala gula sukrosa kurang dari 4.8% (purata 3.5%) dan yang terbaik kurang dari 0.5%.

5. HMF

Baru di perkenalkan pada awal 1990-an di mana HMF adalah indikator untuk menentukan madu ‘segar’ dan madu yang ‘overheating’.

Madu yang baru dikutip mempunyai nilai indikator HMF sifar (0) dan madu yang tidak disimpan di suhu bilik atau terdedah lama kepada cahaya matahari akan meningkatkan bacaan indikator HMF.

HMF bergantung kepada cara penyimpanan madu dan PH madu. Adalah di nasihatkan supaya madu tidak didedahkan kepada cahaya matahari seperti disimpan dalam kereta dan terdedah pada panas matahari.

Tetapi jangan pula disimpan di dalam peti sejuk kerana sifat madu yang menyerap lembapan akan menyebabkan kandungan air dalam madu akan bertambah.

Nilai HMF bagi madu yang berkualiti ialah tidak melebihi 5mg/100g dan bagi negara yang beriklim sejuk, masalah HMF ini tidak begitu ketara.

Parameter lain yang diambil kira selain dari yang di atas ialah kekonduktivitian elektrik yang baru diperkenalkan dalam tahun 1996.

Ia melibatkan ukuran yang mudah dan murah. Madu yang berkualiti mempunyai bacaan tidak melebihi 0.8mS/cm.

Sains Perubatan Telah Membuktikan Khasiat Madu

Fakta sains perubatan mengatakan madu lebah mengandungi gula asli glukosa dan fraktosa yang mudah dihadam.

Apabila ia dicampur dengan sedikit air, ia menyerap masuk ke dalam darah dalam masa tujuh minit dan dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh otak.

Madu lebah juga mengandungi vitamin B1, B2, B3, B5, B6 dan C di samping pelbagai zat logam seperti magnesium, potassium, kalsium, sodium, klorin, belerang dan zat besi.

Ahli-ahli sains daripada pelbagai negara termasuk Amerika mengesahkan berkenaan khasiat madu lebah di World Apiculture Conference yang diadakan pada 20 hingga 26 September 1993 di China.

Seorang doktor dari Romania membentangkan pengalamannya menggunakan madu lebah bagi merawat 2094 pesakit-pesakit katarak mata dan mendapati 2002 daripada mereka sembuh sepenuhnya.

Mengikut Dr. Peter Molan, seorang pakar biokimia dari unit Kajian Madu Lebah di Universiti Waikato, New Zealand, di antara kelebihan madu lebah adalah pHnya berada pada tahap yang menghalang pembiakan bakteria.

Apabila ia dicairkan, salah satu enzim yang terdapat di dalamnya merangsang pengeluaran bahan antibakteria yang dikenali sebagai hydrogen peroxide. Kuasa antibakteria yang terdapat dalam madu lebah membolehkannya membunuh sejenis kuman yang berbahaya, iaitu, staphylococcus aureus.

Beberapa Lagi Kelebihan Madu Menurut Sains Perubatan

Antara sumber tenaga asli bagi tubuh yang terbaik e.g;
  • Meningkatkan kekuatan otot dan stamina badan (British Honey Importers and Packers Association).
  • Pembunuh kuman daripada jenis bakteria, fungus dan protozoa (University of Waikato, New Zealand).
  • Mampu menyembuh ulser dan luka dengan lebih cepat dan berkesan (University of Waikato, New Zealand)
  • Boleh merawat penyakit mata (Fotidar MR, Fotidar SN).
  • Mampu menjadi antibiotik yang lebih berkesan (University of Cardiff, Wales).

Penemuan dan kajian yang di jalankan oleh doktor-doktor, termasuk doktor pakar perubatan serta oleh ahli-ahli biologi yang merawat pesakit mereka dengan madu lebah. Kebanyakan mereka dari Rusia, Amerika, England, New Zealand dan dari Timur Tengah.

Ada diantara mereka telah membuat kajian secara serius dengan mengemukakan statistik dan ada yang melakukan untuk rujukan diri sendiri.

Madu sebagai antibiotik

Ada beberapa pengkaji yang membuat kajian madu sebagai antibiotik, antaranya adalah seorang Ahli Biokimia, Dr. Peter Molan dari Universiti Waikato, New Zealand telah berjaya menemui ‘natural hydrogen peroxide’, NHP (Hidrogen Peroksida Semulajadi) iaitu bahan yang dapat membunuh bakteria. Dengan kata lain, madu bertindak sebagai antiseptik.

Satu kenyataan penting beliau ialah “enzim dan asid amino yang terdapat di dalam madu yang mengeluarkan ‘hydogen peroxide’, iaitu dikenali sebagai antiseptik”.

Madu tulen dapat merawat luka atau bisul dengan amat berkesan. Bagi luka yang terbuka sebaiknya ditutup dengan kain gauze setelah disapu madu dan ditukar 2-3 kali sehari.

Lakukan untuk 3 hari, termasuk luka yang disebabkan oleh kesan terbakar atau terkena air panas khususnya bagi kawasan luka yang tidak menyeluruh.

Kajian Dr Molan ini agak menarik kerana tidak semua sampel madu yang diambil mengandungi paras NHP yang sama. Beliau mendapati ada madu yang lambat memberi kesan kepada luka yang dirawat, bukti bahawa bukan semua madu tulen itu berkualiti.

Sifat serap air madu telah lama di ketahui, ini disebabkan perbezaan kelikatan iaitu berlaku proses osmosis.

Contoh mudah jika botol madu direndam air untuk menghalang semut, kita akan dapati madu tersebut semakin cair dan air semakin kering.

Kesan serap air ini, akan menyebabkan bisul atau abscess yang bengkak bernanah akan cepat ‘kecut’ jika dibalut dengan madu.

Dr. Molan juga membuat kajian di makmal di mana bakteria ‘streptococcus pygones’ iaitu bakteria penyebab sakit tekak, di mana bakteria ini tidak dapat membiak di dalam madu dan mati.

Hiruplah madu dan simpan seketika di dalam mulut, InsyaAllah akan melegakan sakit tekak anda.

Madu sebagai anti-fungus

Ahli mikrobiologi Rusia telah membuat kajian dengan sampel beberapa jenis fungus (kulat) dan didapati kulat ini tidak dapat membiak dan mati mengikut kadar masa yang berbeza-beza.

Secara manual juga kita TIDAK akan dapat melihat kulat ‘melekat’ pada madu yang terdedah. Tetapi jika kita perhatikan dodol yang sangat manis sekalipun akan terdapat kulat melekat selepas beberapa lama.

Ada beberapa orang doktor dari Rusia telah menggunakan madu untuk disapukan kepada jangkitan kulat (mycosis) di kulit dan kuku di mana didapati dapat menghilangkan jangkitan kulat tersebut.

Mengikut pendapat Dr Yusof Abas, madu boleh diambil bersama dengan semua jenis ubat. Beliau tidak bersetuju dari beberapa buku penulis tempatan yang menyatakan madu tidak boleh dimakan bersama ubat darah tinggi, kencing manis dan ubat-ubat lain. Madu adalah makanan tambahan.

Tetapi, MUNGKIN madu yang diadun bersama rempah ratus atau bahan-bahan lain tidak sesuai dimakan bersama ubat-ubat hospital.

Beliau juga mencadangkan kepada mereka yang terlibat dengan perniagaan madu, agar jangan sewenang-wenangnya menyatakan madu boleh merawat kanser.

Kanser adalah antara penyakit pembunuh utama, sebaiknya boleh menasihatkan sebagai rawatan alternatif yang diambil bersama dengan rawatan konvensional di hospital.

Madu sebagai Anti-ulser perut (gastric ulcer)

Helicobacter Pylori adalah bakteria yang menyebabkan ulser perut, kajian yang di jalankan oleh Dr Molan juga mengesahkan bakteria ini tidak membiak dan mati di dalam madu tulen dalam jangka masa dua hari.

Beliau juga mendapati bukan semua sampel madu yang digunakan akan bertindak membunuh bakteria ini.

Dr. Schacht dari Wiesbaden seorang ‘physician’ mengatakan pengalaman beliau di mana beberapa pesakit kronik ulser perut telah sembuh dengan mengamalkan madu tanpa memerlukan pembedahan.

Terdapat seorang pesakit yang tidak sembuh dan beliau yakin bahawa madu yang digunakan itu tidak tulen seperti sebelumnya.

Adakah madu juga sebagai antibiotik?

Kajian-kajian di makmal telah mengesahkan banyak bakteria yang tidak dapat membiak di dalam madu malah ada yang mati selepas beberapa minit.

Kebiasaannya, demam selesema di sebabkan oleh virus dan kemudian apabila imuniti badan kita telah menurun, bakteria demam selesema pula akan menyerang di mana demam semakin kuat, selsema pekat, batuk berkahak.

Dengan minum madu saja, tidak memerlukan antibiotik bagi merawat demam selesema ini malahan demam dan batuk cepat sembuh.

Anti-diabetik

Dunia perubatan moden telah jauh ke hadapan untuk mengawal paras gula darah terhadap pesakit-pesakit kencing manis. Persoalannya, bolehkah mereka meminum madu lebah?

Sebarang minuman dan makanan yang mengandungi gula adalah ditegah diambil secara berlebihan oleh pesakit kencing manis.

Madu lebah tulen diketahui mengandungi gula ringkas antara 45%-70% dan gula kompleks (sukros) antara 0%-5%.

Menurut Dr. Yusof Abas, pengalaman beliau bersama dua orang doktor perubatan iaitu Dr Jamal Burhan, dari Universiti Iskandariah yang kerap merawat pesakit gangrene (luka busuk yang berwarna hitam) yang dihidapi oleh pesakit kencing manis.

Beliau merawat dengan membalut luka tersebut dengan madu untuk tempuh waktu 2-3 minggu dan memberi minum madu tersebut, di mana dalam masa yang sama pesakit ini terus mengambil ubat kencing manis dan amat mengagumkan gangrene semakin pulih dan paras gula masih terkawal malah pesakit memberi komen iaitu lebih bertenaga dan kebas-kebas jari semakin kurang (peripheral neuropathy).

Dr. V.Temnov telah mengetuai satu eksperimen di mana sebilangan pesakit kencing manis telah diberi makan madu tulen dan paras gula telah diperhatikan.

Di dapati paras gula mereka masih terkawal dan beliau menyatakan paras gula tidak meningkat disebabkan gula ringkas dalam madu telah dikeluarkan secara perlahan-pelahan ke dalam salur darah dan berkemungkinan kandungan enzim, mineral dan bahan-bahan lain yang belum dikenali dalam madu yang menyebabkan proses SR (slow release) ini.

Anti-alergik

Mereka yang mempunyai alahan (alergik), asma yang teruk, resdung, alahan kulit dan batuk yang berpanjangan amat digalakkan meminum madu. Ramai saintis dan doktor perubatan telah membuat kajian terhadap pesakit-sakit ini.

Antara contohnya, Dr. William Paterson dari Ada, Oklahoma, bersama beberapa doktor lain telah membuat kajian tehadap 17,862 pesakit yang berumur di antara 21-60 tahun, yang di bahagikan kepada 6 jenis alahan yang telah didiagnosa berkaitan dengan sistem pernafasan iaitu; chronic bronchitis, astmatic bronchitis, bronchial asthma, chronic rhinitis, allergy rhinitis, sinusitis juga pesakit radang paru-paru seperti chronic bronchitis, juga pneumonia.

Hasil kajian mereka amat menakjubkan kerana sakit respiratori yang berkaitan dengan alahan sembuh dengan cepat dan berkesan, tetapi sakit radang paru-paru tetap memerlukan antibiotik untuk cepat sembuh.

Anti-hipertensi

Pesakit darah tinggi (hipertensi) mempunyai banyak pilihan, doktor-doktor perubatan juga mempunyai banyak pilihan untuk dicuba ke atas mereka.

Malahan hipertensi bukan sakit yang kekal, ianya boleh dikawal dengan mengamalkan gaya hidup sihat seperti menurunkan berat badan, aktif bersenam dan jaga pemakanan.

Minum madu boleh membantu namun, belum ada kajian khas yang di lakukan terhadap pesakit hipertensi dengan meminum madu.

Anti-kolesterol

Dalam satu kajian oleh sekumpulan doktor dari Rusia (tidak dinyatakan nama-nama mereka) yang menyatakan paras kolesterol dapat di turunkan dengan pengambilan madu dalam jangka masa 3-6 bulan (75% kejayaan dari pesakit, bilangan pesakit tidak di nyatakan).

Anti-appetizer

Benarkah madu boleh mengurangkan selera makan dan mampu menguruskan badan?

Madu mempunyai tenaga kalori dari sumber gula ringkas, gula kompleks dan protein. Madu yang paras gulanya kira-kira 65% mampu membekalkan 700 kalori tenaga untuk sukatan 10 ml (dua sudu besar). 700 kalori ini jika dimakan waktu pagi boleh bertahan sehingga 2-3 jam.

Bagi mereka yang ingin menguruskan badan dinasihatkan mengambil sukatan 3-4 sudu waktu pagi atau anda boleh meneguk madu pada jam 10 pagi, dua sudu, lihat kesannya nanti anda akan hilang selera makan tengah hari, kerana anda masih bertenaga dan tidak lapar.

Begitu juga jika anda teguk dua sudu sebelum waktu makan malam. Jika minum satu sudu madu waktu pagi, anda mungkin akan terasa lapar pula di waktu tengahari.

Ibnu Sina

Sejak berzaman, madu lebah telah digunakan dalam perubatan sama ada di gunakan madu lebah secara sendirian ataupun di gunakan sebagai salah satu bahan dalam ramuan ubat tertentu.

Allah SWT telah mengisytiharkan bahawa madu adalah salah satu penawar bagi pelbagai jenis penyakit dan ia juga merupakan kesukaan Rasulullah SAW.

Pelopor kepada ilmu kedoktoran moden, Ibnu Sina telah mengeluarkan pendapat, "Sekiranya kamu ingin mengekalkan kemudaan (awet muda), maka makanlah madu lebah."

Khasiat madu lebah yang banyak sehingga digelar sebagai minuman dari segala minuman dan ubat dari segala ubat.

Namun begitu Firman Allah, "Madu penyembuh bagi penyakit" adalah tidak dimaksudkan dengan kesemua jenis penyakit tetapi merujuk kepada penggunaan madu sebagai ubat atau sebagai salah satu ramuan dalam penyediaan ubat.

Sebagai contoh, untuk menyembuhkan luka, di perlukan kulit kayu manis kemudian di campurkan dengan madu dan di ikuti dengan doa kepada Allah serta keyakinan pada diri.

KESIMPULAN

Kesimpulannya, Al Quran adalah suatu mukjizat yang akan terus membongkar hakikat di sebalik pencipta di alam cakerawala ini.

Ini juga menyingkap betapa segala penciptaan yang wujud di bumi ini diciptakan oleh ALLAH dengan fungsinya yang tersendiri. Tiada satu pun objek atau kejadian yang dicipta secara sia-sia.

Walau bagaimanapun, hanya orang-orang yang berfikir dapat memahami rahsia di sebalik penciptaan yang pelbagai sebagaimana yang difirmankan oleh Allah:

“Dan mereka-mereka (yang beriman) sentiasa mengingati Allah sama ada dalam keadaan berdiri, duduk atau berbaring. Dan mereka yang berfikir tentang segala penciptaanNya sama ada di langit ataupun di bumi. Mereka berdoa, Wahai Tuhan kami, tidak satu pun (objek dan kejadian di langit dan Di bumi) yang Engkau ciptakan secara sia-sia. Maha Suci Engkau, selamatkan kami dari NERAKA." (Surah Ali Imran: 191)

Wallahu a'lam.

BACA INI JUGA:

-SENTIASAPANAS.COM

4 Haiwan Yang Di Larang Umat Islam Membunuhnya

4 Haiwan Yang Di Larang Umat Islam Membunuhnya

Rimas betul kita dengan semut, apatah lagi apabila jumlahnya semakin banyak sehinggakan bersarang di tempat-tempat sempit di rumah kita.

Pergi ke pasaraya, kita dapat melihat bermacam jenis ubat pembunuh semut sama ada dalam bentuk semburan, perangkap atau racun yang akan diangkut balik lalu bertindak membunuh seluruh koloni semut.

Tahukah anda semut adalah antara 4 serangga dan haiwan yang kita dilarang membunuhnya?

1. Semut

Gambar Semut gotong royong

Secara asasnya, Islam melarang umatnya membunuh semut tanpa sebarang sebab. Semut mempunyai surah khas untuk mereka iaitu surah An-Naml, yang diambil bersempena kisah Nabi Sulaiman a.s. dan ketua semut yang berkomunikasi dengan Nabi Sulaiman a.s. memohon pertolongan agar bala tentera Nabi Sulaiman a.s. tidak memijak mereka.

2. Lebah

Gambar Lebah mencari madu

Dalam al-Quran ada satu surah yang dengan jelas menceritakan peranan besar lebah pada hidup manusia.

Surah An-Nahl, ayat 68 dan 69 yang menyatakan dengan jelas arahan Allah SWT pada lebah di mana mereka patut tinggal, tugas mereka sebagai makhluk Allah di muka bumi ini dan faedah besar yang dibawa oleh lebah kepada manusia.

3. Burung hud-hud

Gambar Burung hud-hud

Burung yang menjadi tema kepada lagu klasik M. Nasir ini agak sukar dijumpai di negara kita.

Menjadi salah satu binatang yang disebut secara jelas dalam Kitab Al-Quran dalam surah An-Naml bermula ayat 22 atas usahanya memerhatikan manusia dan hubungan spesis ini dengan Nabi Sulaiman a.s., burung hud-hud adalah salah satu burung yang dilarang pada umat Islam membunuhnya.

4. Burung shurad

Gambar Burung shurad sedang bertenggek

Burung shurad tidak disebutkan dalam al-Quran atau mempunyai kisah pertalian dengan mana-mana Nabi melainkan disebut sebagai salah satu haiwan yang tidak patut dibunuh melalui hadis dua hadis “Rasulullah SWT melarang membunuh shurad, katak, semut, dan hud-hud. (HR. Ibnu Majah)" dan "Diriwayatkan dari Ibnu Abbas r.a. dia berkata, Rasulullah melarang kami membunuh empat macam binatang: semut, lebah, burung hudhud dan burung shurad (HR. An-Nasa’i dan Ahmad).

Burung shurad ini dikatakan sejenis burung yang kepala dan paruhnya besar, perutnya berwarna putih dengan punggung berwarna kehijauan, memakan binatang-binatang kecil lain.

Hidup di kawasan Afrika dan gemar tinggal dalam kawasan yang terbuka seperti padang rumput dan savana.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: iluminasi

Wednesday, February 20, 2019

Sejarah Dan Kisah Hebat Penciptaan Jam Tangan Rolex

Sejarah Dan Kisah Hebat Penciptaan Jam Tangan Rolex

Kalau sebut tentang jam tangan, pasti jenama pertama yang muncul di minda anda adalah Rolex, jenama yang telah tertanam di dalam minda kebanyakan masyarakat di dunia sehingga sukar untuk dipercayai bahawa jam tangan ini telah wujud sebelum Hans Wilsdorf memulakan syarikat itu pada awal tahun 1900-an.

Amazing Rolex

Ia kini berdiri megah sebagai pembuat jam paling berpengaruh, secara konsisten berada di kedudukan teratas senarai syarikat-syarikat paling terkemuka di dunia.

Rolex bukan sahaja mengeluarkan sejumlah jam tangan, tetapi pakar-pakar menganggarkan bahawa syarikat ini menghasilkan kira-kira 1 juta jam tangan setahun, mungkin lebih daripada mana-mana pembuat jam mewah yang lain.

Bagaimanakah Rolex boleh menjadi pelopor kepada seni penghasilan jam?

Menurut Ben Clymer, pengasas dan editor eksekutif premier Hodinkee, Rolex telah membina jenamanya dengan inovasi luar biasa, mencipta nama untuk kualiti produk berkualiti tinggi dan salah satu sokongan selebriti yang paling terkenal pada abad ke-20.

Sejarah Rolex

Hans Wilsdorf, pengasas Rolex Watch Company dilahirkan di Switzerland pada 22 Mac, 1881. Pada usia 19 tahun, Hans mula bekerja sebagai wartawan bahasa Inggeris dengan Messrs.

Firma itu adalah pengeksport jam tangan dan dengan inilah Hans diperkenalkan kepada perniagaan pembuatan jam. Menjelang tahun 1903, beliau berpindah dan menetap di London, bekerja untuk pembuat jam tangan yang lain.

Setelah mendapat pengalaman daripada pekerjaan ini dan pekerjaannya yang terdahulu serta meningkatkan keyakinan dirinya, Hans menubuhkan firma sendiri.

Dengan bantuan kewangan dari abang iparnya, Alfred Davis, syarikat "Wilsdorf and Davis" ditubuhkan.

Pada mulanya syarikat itu hanya terhad kepada pembuatan jam tangan poket kerana tanggapan umum pada ketika itu adalah jam tangan tidak cukup maskulin.

Malah, memasukkan mekanisme jam ke dalam sarung yang kecil adalah sesuatu yang hampir mustahil pada ketika itu.

Isu lain adalah sarung yang diperlukan haruslah tidak dapat ditembusi. Disebabkan oleh kelembapan debu, peluh pada pergelangan tangan menyebabkan masalah kepada pengguna.

Hans Wilsdorf dan Alfred Davis berhasrat mencari penyelesaian untuk perkara yang sama. Selama bertahun-tahun, jenama itu mendedikasikan semua sumber dan pengetahuan mereka untuk mencipta jam tangan yang sempurna.

Inovasi menakjubkan oleh Rolex

Dan status Rolex bukanlah satu kebetulan. Inovasi sebenar dalam bidang pembuatan jam adalah faktor yang mendorong Rolex berada di mana mereka berada sekarang.

Untuk menguatkan status mereka, Rolex telah mencipta sarung kalis air pertama, jam automatik pertama, jam dengan tarikh pertama dan kemungkinan jam kronograf pertama di dunia.

Sebelum jam menjadi barangan berharga seperti mana yang kita lihat pada hari ini, ia hanyalah satu alat untuk memberitahu masa. Inovasi-inovasi seperti ini telah menjadikan jam lebih berguna.

Jam automatik membuatkan pemakai tidak perlu lagi memutarkannya setiap malam, sarung kalis air membenarkan penyelam menyelam dengan memakai jam mereka dan jam kronograf membolehkan pemandu kereta lumba mencatatkan masa pusingan dengan lebih tepat.

"Semua invoasi ini juga membuatkan jam lebih mudah untuk dipakai setiap hari. Anda tak boleh membasuh tangan jika memakai jam, tanpa sarung kalis air," kata Clymer.

Reputasi untuk kualiti Rolex

Di samping inovasi-inovasi dalam pembuatan jam pada separuh pertama tahun 1900-an, Rolex membina reputasi untuk kebolehpercayaan.

Untuk membolehkan semua inovasi ini berfungsi dan untuk jam tangan ini beroperasi sebagai alat dengan tujuan penciptaannya, jam tangan Rolex harus menjadi yang terbaik.

Adalah penting untuk diingati bahawa jam Rolex bukan hanya barangan mewah seperti yang dilihat pada hari ini.

Jika anda seorang penyelam tentera laut dan anda mahukan alat yang boleh bertahan selama-lamanya bagi menyelam pada sedalaman 100 meter, anda akan membeli Rolex.

"Kerana ia sememangnya berfungsi dengan baik dan tahan lama," kata Clymer.

Teknik pemasaran yang menjadi

Hans_Wilsdorf_Rolex
Hans Wilsdorf.

Inovasi dan kualiti adalah sangat penting, namun ia tidak akan memberikan apa-apa hasil jika pelanggan berpotensi tidak menyedari kehadiran Rolex.

Pada tahun 1927, Hans Wilsdorf bertemu dengan Mercedes Gleitze, wanita pertama yang berenang di Selat Inggeris dan manusia pertama yang berenang di Selat Gibraltar, lalu memintanya memakai jam tangan Rolex Oyster yang baru, lengkap dengan sarung kalis air.

Mercedes Gleitze bersetuju dan memakai jam tersebut pada lehernya semasa percubaan untuk berenang. Gambar Mercedes yang diambil terpapar di muka hadapan akhbar setiap hari dengan jam tangan Rolex di lehernya.

Walaupun Mercedes tidak melengkapkan percubaan itu, status selebriti Mercedes Gleitze telah melonjakkan nama Rolex hingga disedari orang ramai.

Rolex dapat menggunakan peluang ini untuk memberitahu bahawa jam tangan itu terus bertahan walaupun selepas tenggelam dalam air sejuk selama berjam-jam.

Ini telah meningkatkan kesedaran orang ramai tentang jenama Rolex dan juga pendapat orang ramai mengenai kualiti Rolex.

Rolex terus menggunakan imej wanita berenang sambil memakai jam tangan mereka dalam pengiklanannya, sehingga pada tahun 2010.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: iluminasi

SBDJ Siri 21: Berguru Dengan Syaitan

SBDJ Siri 21: Berguru Dengan Syaitan

Datuk tersenyum memandang saya. Dengan pertolongan cahaya bulan yang samar-samar itu, saya lihat ketua pukau terus berdiri dekat tengkorak kering. Tengkorak itu masih juga mengeluarkan buih dan sejenis habuk seakan-akan asap.

Siri SBDJ 15

Menurut datuk, tengkorak itu diambil dari tengkorak orang mati dibunuh, ketika hujan panas. Lebih berkesan lagi kalau tengkorak itu dari tengkorak orang yang mati kena tikam. Tidak kira, sama ada orang yang mati itu orang Islam atau tidak.

Mengambil tengkorak orang yang mati dibunuh itu, harus melalui beberapa ujian yang tertentu.

Bila tengkorak itu diambil dari tanah perkuburan, harus dipisahkan dengan badannya, tengkorak yang sudah di pisahkan dengan badan itu tidak boleh menyentuh tanah atau dipegang. Mesti dibawa pulang dengan mengandarnya.

Orang yang mengandarnya mesti ditutup kedua matanya dengan kain. Mesti sampai ke rumah sebelum subuh.

Tengkorak itu akan disalai sampai kecut, kemudian dipuja oleh orang-orang yang tahu dengan kerja-kerja syaitan itu.

Lepas itu baru diserahkan pada orang yang memerlukannya dengan syarat, bila memasuki rumah orang, tuan rumah jangan dianayai, kecuali tuan rumah itu bercakap besar atau takbur dan mahu menguji kebolehan orang yang menyimpan tengkorak tersebut.

"Sebenamya, ilmu pukau ini ada bermacam-macam cara, tetapi memukau dengan tengkorak cukup berkesan.

"Kekuatan ghaibnya mengatasi ilmu-ilmu pukau yang lain," begitulah yang dinyatakan oleh datuk pada saya secara ringkas.

"Lihat mereka sudah bersedia untuk masuk ke dalam rumah," kata datuk dengan nada suara yang cukup perlahan.

Memang benar cakap datuk itu, saya lihat ketua pukau dua tiga kali berjalan di hadapan anak tangga. Dia memerintah anak buahnya memijak anak tangga pertama dengan hati-hati.

Saya terdengar selak pintu jatuh. Serentak dengan itu daun pintu terbuka. Tuan rumah tercegat dan mempersilakan kaki-kaki pukau memijak lantai rumahnya.

"Kau tidurlah, kami tak ganggu kau," cukup lantang suara ketua pukau.

Tuan rumah angguk kepala lalu merebahkan diri di muka pintu.

"Bukan di situ, tempat kau dibilik," mendengar suara ketua pukau, tuan rumah segera bangun dan menuju ke bilik tidur.

Ketua pukau mengambil tengkorak lalu melekapkan pada hujung gelegar rumah dekat tiang seri.

Dia bagaikan bercakap sesuatu dengan tengkorak tersebut. Ketua pukau ketuk dinding rumah tiga kali berturut sambil berkata, "Mulakan. Ingat niat kita hanya mengambil barang, jangan ganggu anak isteri tuan rumah."

Habis saja ketua pukau berkata-kata, seluruh perut rumah terang benderang. Anak buah ketua pukau pun masuk ke rumah. Mereka mencari barang-barang berharga.

Lebih dari setengah jam mereka menjalankan kerja tersebut. Anak buah ketua pukau menurunkan barang yang dicuri. Semua barang-barang itu diserahkan pada ketuanya.

Saya lihat ketua pukau memasukkan barang-barang kemas dalam beg kulit hitam, kemudian menghitung wang yang dicuri.

"Dah selesai?" tanyanya pada anak buah.

"Ambil daun tujuh helai dan ranting berkapit dua," ketua pukau memberitahu anak buahnya.

Perintah itu segera dipatuhi oleh anak buahnya. Daun dan ranting berkepit dua lalu diletakkan di bawah rumah.

Ketua pukau lagi sekali berhadapan dengan tengkorak kecut. Dia bercakap sesuatu di situ.

"Apakah yang mesti kita buat sekarang tok," saya menyoal datuk bila melihat ketua pukau dan anak buahnya meninggalkan kawasan rumah yang di curi.

"Biarlah mereka pergi," pendek saja datuk memberikan jawapan.

Bila kumpulan itu sudah pergi jauh dan datuk yakin jentera kereta kumpulan pukau sudah dihidupkan dan kereta mereka sudah bergerak, datuk pun mengambil ranting berkepit dua dan sehelai daun di bawah rumah. Semua benda-benda itu datuk bawa pulang ke pondoknya.

Sebaik sahaja datuk sampai ke pondok, dia segera menyalakan pelita dan menghidupkan bara api di tempatnya.

Daun yang sehelai itu dilayarkan ke api pelita, manakala ranting berkapit dua dipatah-patahkan lalu ditaruh kedalam tempat bara api.

Saya tidak bertanya kenapa datuk melakukan semua kerja itu. Saya lihat datuk terus termenung di depan bekas bara api sambil menaburkan kemenyan ke dalamnya.

"Aku harap orang-orang yang mencuri itu akan datang menemui aku siang esok," kata datuk dengan nada suara yang tenang.

Saya terus diam dan merebahkan badan di hujung lutut datuk. Lepas itu saya tidak tahu apa yang Datuk buat tetapi saya di kejutkan oleh datuk ketika azan subuh menguasai kampung.

Pagi itu Din Kerani menemui Datuk dan menceritakan pada datuk apa yang berlaku di rumah ketua kampung.

Datuk juga diberitahu, barang-barang yang hilang dinilaikan lebih dari enam ribu ringgit, termasuk wang tunai berjumlah dua ribu ringgit, hasil dari penjualan tanah isteri ketua kampung di Rendang Sawa, dekat Batu Gajah.

Secara terang-terangan Din Kerani melahirkan rasa kesal kerana datuk tidak berjaya menahan kejadian pukau itu itu dari berlaku.

Malah Din Kerani meminta kata putus dari datuk sama ada dia sanggup menjalankan kerjanya atau tidak. Kalau tidak sanggup Din Kerani mahu mencari orang lain.

"Apa kau fikir menangkap orang berilmu sama macam menangkap anak ayam?" tanya datuk pada Din Kerani sambil membeliakkan biji mata.

"Saya dah tak boleh sabar, semua orang kampung dah tahu, saya yang bawa awak ke sini untuk mengatasi masalah ini, kalau tak berjaya tentulah saya malu."

"Kenapa kau begitu bodoh, beritahu orang kampung? Apa kau tak boleh sabar sikit?"

nada suara datuk yang meninggi itu membuat Din Kerani termenung panjang.

Dia bimbang benar kalau rumahnya akan menjadi mangsa ketua pukau. Datuk minta Din Kerani menunggu di pondok hingga pukul empat petang.

"Buat apa?"

"Untuk melihat ketua pukau."

Mendengar cakap datuk itu, air muka Din Kerani segera berubah. Dia bagaikan tidak percaya dengan apa yang dicakapkan oleh Datuk.

Mana mungkin pencuri mahu menyerah diri, kalau tidak ditangkap. Fikir Din Kerani.

"Benar atau berjenaka?" Din Kerani meminta kepastian.

"Benar," jawab datuk dengan tegas.

Entah apa malangnya, ramalan datuk tidak menjadi kenyataan. Hingga jam lima petang ketua pukau yang diharapkan itu tidak datang. Satu tamparan yang cukup hebat dalam tugas datuk.

Belum pernah dia mengalami perkara seperti itu sebelumnya. Mukanya merah padam. Din Kerani tidak mahu bercakap walau sepatah pun. Dia meninggalkan pondok dengan seribu pertanyaan.

"Orang ini benar-benar handal dan dia tidak akan tunduk pada sesiapa," keluh datuk sambil merenung kemuka saya.

Dia terus ambil air sembahyang lalu menunaikan fardu asar. Saya tidak tahu apa yang dilakukan oleh datuk selepas sembahyang. Saya lihat dia tertungguk depan tikar sembahyang sambil membuka beberapa buah kitab.

Habis membaca kitab, Datuk membaca surah Yassin. Datuk berhenti melakukan semua itu, setelah masuk waktu Maghrib.

Saya dan datuk sembahyang di pondok. Bila masuk Isyak saya dan Datuk berjemaah bersama-sama orang kampung di surau.

Di surau orang-orang kampung membentuk satu jawatankuasa bertindak mengawal kampung.

Mulai malam itu, lima orang lelaki dikehendaki mengawal kampung mulai jam 9.00 malam hingga 2.00 pagi.

Dari pukul 2.00 hingga 6.00, orang yang lain pula datang mengambil tugas itu yang berjumlah lima orang juga.

Din Kerani dipilih sebagai ketua gerakan tersebut. Dia diwajibkan berada di surau setiap kali lepas waktu sembahyang Isyak.

Saya merasa kurang senang hati terhadap sikap orang-orang kampung pada datuk. Mereka buat tidak kisah dengan datuk, tidak seperti mula-mula datuk datang dulu.

Barangkali mereka mula sedar, bahawa datuk tidak mampu bertindak lebih jauh lagi untuk mencegah kejadian pukau.

Meskipun begitu datuk tidak merasa kecil hati. Dia tetap melayan orang-orang kampung dengan baik dan peramah. Dia bercakap dengan tok siak, dia menyapa tok imam dan ketua kampung.

Sebelum pulang datuk bercakap dengan Din Kerani dan datuk minta Din Kerani datang ke pondoknya kira-kira pukul satu malam.

Malam itu datuk tetap berusaha untuk memberkas ketua pukau. Dia berazam untuk menangkap ketua pukau itu dan mahu menasihatinya supaya jangan meneruskan kerja yang boleh menyusahkan orang ramai.

Datuk mahu menasihatkan ketua pukau itu supaya mencari rezeki yang halal.

Datuk membentangkan kain hitam di tengah ruang pondok. Dia meletakkan keris panjang di tengah kain. Mangkuk putih yang berisi air ditempatkan dibucu kain hitam sebelah kanan. Bucu sebelah kiri diletakkan tempurung serta sabut.

Datuk berdiri tegak menghadapi benda-benda itu semua. Datuk memakai seluar hitam serta baju hitam dan pinggangnya diikat dengan kain merah. Kepala dililit dengan kain kuning.

Datuk berdiri sambil memeluk tubuh. Datuk terus membaca ayat Al-Iqra' hingga tamat.

Lepas itu dia membaca Al-Fatihah. Sebaik saja datuk selesai membaca dengan tiba-tiba mangkuk putih yang berisi air bagaikan meletup, air melempah atas kain putih.

Datuk terus duduk. Keris panjang saya lihat bergerak sendiri menuju ke bucu kain hitam sebelah kanan. Wajah datuk cukup cemas. Peluh halus muncul dengan tiba-tiba di dahi luasnya.

"Orang ini mencabar aku", kata datuk pada saya.

Cepat-cepat datuk membuka bungkusan kain kuning yang disimpannya dalam beg rotan.

Dia mengeluarkan sebilah keris pendek berulu gading. Mata keris itu kelihatan berkarat.

Datuk pernah menceritakan pada saya, bahawa keris itu memang di bawanya dari Jambi, Indonesia.

Itulah satu-satunya peninggalan orang tuanya yang dapat diwarisinya. Keris itu pernah digunakan, ketika menentang Belanda di Acheh.

"Besinya dikutip dari besi-besi sekitar Acheh dan Jambi, dibuat dengan tangan. Mata keris itu sudah di taruh racun getah ipoh", kata datuk pada saya satu masa dahulu.

Datuk juga memberitahu keris tersebut pernah membunuh beratus-ratus tentera Belanda.

Keris itu disimpan dalam busut di bawah rumah. Bila orang tuanya mahu meninggal dunia, keris itu diserahkan padanya dengan syarat dia tidak boleh memijak bumi Jambi sampai akhir hayat, kalau mahu keris itu menyimpan bisa dan kuasanya.

Hanya itu saja yang saya tahu tentang keris tersebut. Datuk terlalu merahsiakan tentang keris itu dari anak cucunya, kecuali saya.

Datuk melayarkan mata keris ke atas bara. Saya lihat keris itu bertukar kemerah-merahan. Di mata keris tersebut timbul huruf-huruf jawi iaitu dua kalimah syahadah.

Datuk menyimpan keris kembali. Dia merenung tembikar mangkuk putih yang berserak.

"Kau memang mahu menghancurkan aku," tiba-tiba saya terdengar satu suara dari arah kanan.

Saya segera menoleh. Seorang lelaki tua berdiri di situ. Dari mana datangnya saya sendiri tidak tahu. Datuk merenung lelaki itu dengan pandangan yang tajam.

"Aku sebenarnya tidak pernah tenang dan aku harap kau akan memberikan ketenangan itu pada aku," lelaki itu bersuara lemah.

Datuk terdiam. Saya lihat datuk seperti berada dalam keadaan yang tidak tentu arah.

Datuk menarik tangan saya dan saya pun segera mendekatinya. Dalam keadaan yang agak tenang itu, datuk sempat memberitahu saya, bahawa lelaki tua yang kelihatan itu adalah kenalannya yang sama-sama datang dari Jambi.

Bila sampai ke semenanjung, kenalannya itu sudah mati lemas di sungai, dekat pengkalan di Hutan Melintang.

Perahu yang dinaiki kawannya itu karam akibat berlanggar dengan batang kayu di musim tengkujuh. Datuk menyuruh saya duduk di muka pintu pondok. Arahan Datuk itu saya patuhi.

"Kenapa kau yang datang Tandang Ali. Aku bukan mencari kau," kata datuk sambil membaca sesuatu.

Ibu jari tangan datuk menekan pangkal belikat. Wajah datuk agak pucat sedikit.

"Aku tahu apa yang kau cari Ucang Diah," beritahu lelaki itu.

Saya terkejut, kerana lelaki itu dapat menyebut nama datuk dengan tepat. Sebenarnya tidak ramai orang yang tahu nama sebenar datuk.

Dalam kad pengenalan datuk namanya tercatat sebagai Kulub Mohd Diah dan orang-orang kampung, anak cucunya juga tahu itulah nama datuk yang sebenar.

Tetapi pada saya, datuk memberitahu secara rahsia nama sebenarnya yang diberitahu oleh orang tuanya ialah Ucang Diah.

Ucang itu adalah nama keturunan atau suku yang dibawanya dari Jambi.

"Engkau boleh memberi ketenangan pada roh aku."

"Maksud kau?"

"Akulah yang memberikan tengkorak pada ketua pukau. Aku mengambilnya dari kubur dan aku memujanya. Selagi tengkorak itu tidak hilang darinya, roh aku tidak aman."

"Kenapa kau memanjangkan ajaran syaitan?"

"Itulah silapnya aku."

"Kau tahu hukumnya menyeksa mayat? Berdosa besar."

"Masa itu aku tidak terfikir. Yang aku fikirkan masa itu ialah menyuruh mereka memukau rumah-rumah orang putih yang menjajah negara kita, tetapi mereka melakukan sebaliknya."

"Apapun niat kau tetap berdosa. Islam tidak mengajar pengikutnya membuat jahat. Islam menyuruh umatnya berunding dan menggunakan akal fikiran. Kenapa kau menyempitkan ajaran Islam?"

"Aku tahu.." belum pun sempat orang itu mengakhiri cakapnya, datuk terus membelakanginya.

Dengan sekelip mata saja, lelaki itu hilang dari pandangan saya. Datuk terus menuju ke muka pintu. Dengan tenang memijak anak tangga pondok. Saya mengekornya dari belakang.

"Ke mana tok?"

"Ke surau."

Sebaik saja saya dan datuk melangkah lima langkah ke depan, tiga orang lelaki menghalang. Saya kenal lelaki yang berbaju putih dengan badek di tangan itu ialah ketua pukau.

"Hei kalau kau benar-benar handal tunjukkan, apa hak kau menghalang kerja kami?" cukup keras suara ketua pukau.

Salah seorang dari rakannya memberikan golok perak kepadanya. Datuk menyuruh saya undur. Muka ketua pukau saya lihat merah padam dalam samar-samar cahaya bulan malam itu.

"Aku gunikan awak dengan anak awak, kami nak campak ke dalam Sungai Kinta," ketua pukau terus mengugut.

Datuk berdiri tegak dihadapan ketiga-tiga lelaki itu. Kaki kanan datuk saya lihat bergerak-gerak.

Mata datuk tidak berubah merenung muka ketua pukau. Datuk menikam tumit kaki kanan ke dalam bumi. Separuh dari tumit itu saya lihat tenggelam.

"Kenapa bersekutu dengan syaitan untuk mencari kemewahan?" datuk terus menyergah ketua pukau.

Dan ketua pukau sudah tidak sanggup menerima penghinaan itu. Dia lalu mengangkat golok perak untuk menetak batang leher datuk.

Datuk kerutkan muka. Tumitnya kian kejap ditekan kebumi. Saya lihat seakan-akan ada kepulan asap mengelilingi buku lali kaki datuk.

Ketua pukau angkat senjata, tiba-tiba tangan dan kakinya tidak boleh bergerak bagaikan terkunci.

Dia berusaha mahu bergerak. Usahanya gagal. Mulutnya separuh terbuka. Datuk melangkah ke depan. Dengan cepat datuk menyentuh mata golok perak.

Dengan tiba-tiba golok perak itu patah dua. Ba­hagian atas yang patah jatuh betul-betul di hujung sepatu ketua pukau.

Datuk menghentakkan kakinya keatas tanah sekuat hati. Golok perak yang tinggal separuh di tangan ketua pukau terlepas.

"Kuncinya sudah aku buka. Apa yang aku mahu sekarang, ingat bersekutu dengan syaitan tidak akan boleh ke mana-mana.

"Belajarlah hidup dengan berusaha mencari rezeki yang halal", datuk memberitahu ketua pukau.

Dengan mendadak saja ketiga-tiga ahli kumpulan pukau itu sujud di kaki datuk. Cepat cepat datuk menolak ketiga-tiga badan anggota pukau itu. Datuk berubah tempat berdiri.

"Jangan sujud di kaki aku. Aku adalah manusia seperti kau juga, berasal dari tanah.

"Dalam Islam tidak ada manusia yang tinggi dan rendah, semuanya sama saja.

"Kamu semua harus sujud pada Allah yang Maha Besar meminta ampun dan bertaubat," kata datuk.

"Tapi kami mahu minta maaflah pada orang yang kami curi harta-bendanya. Jangan hukum kami."

"Aku tidak boleh menghukum kamu. Allah yang Maha Besar berhak atas dirimu. Pada Allah terletak hukuman yang adil."

"Kami bertaubat"

"Bertaubatlah pada Allah dan aku minta kau serahkan tengkorak itu pada aku," datuk mengemukakan permintaan secara jujur.

Belumpun sempat ketua pukau melakukan apa yang di perintahkan datuk, Din Kerani pun datang.

Datuk terus memberitahunya, bahawa kaki pukau yang dicari ada di hadapan.

Din Kerani mahu bertindak untuk membawa kaki pukau ke balai polis. Permintaan itu tidak dapat ditunaikan oleh datuk.

"Maafkan orang yang bersekutu dengan syaitan lebih mulia dari menghukumnya. Dengan kesempatan yang kita berikan, boleh membuat mereka insaf dan kembali ke ajaran Islam yang sebenamya," itulah alasan yang diberikan oleh datuk pada Din Kerani.

Datuk membebaskan mereka, dan mereka berjanji akan memberikan pada datuk tengkorak kecut yang digunakan ketika mencuri.

Sejak terjadi peristiwa itu, kejadian mencuri dengan memukau tidak lagi berlaku. Saya dan datuk terus duduk di Kampung Tanjung Tualang selama tiga minggu lagi.

Dalam rancangan datuk, sesudah dia mendapatkan tengkorak kecut dari ketua pukau, barulah dia pulang ke kampung.

Ternyata, ketua pukau tidak menunaikan janjinya. Mereka berpindah tempat melakukan kegiatan memukau di kawasan Kampar pula. Datuk merasa kesal kerana membebaskan mereka tempohari.

Sedarlah datuk, sekali syaitan menguasai hati manusia memang sukar untuk membuangnya.

Datuk menjadi manusia yang paling berdukacita dengan kejadian itu. Lebih-lebih lagi berita itu didengarnya pada setiap hari bila dia berjemaah ke surau.

Datuk pun mengambil keputusan untuk pulang ke kampung dan dia akan cuba menghancurkan kumpulan pukau itu dengan caranya yang tersendiri.

Dua hari di kampung, datuk terus mengajak saya pergi ke Kampung Bahagia di Teluk Intan.

Kami tinggal di rumah seorang ustaz yang mengajar di sekolah Sultan Abdul Aziz.

Dengan secara jujur datuk memberitahu ustaz tersebut yang secara kebetulan mempunyai pertalian keluarga yang agak jauh dengan nenek, tujuannya datang untuk ke situ untuk memberkas kumpulan pukau.

Ustaz tersebut memperkenalkan datuk dengan seorang mata gelap. Mat Jali namanya, orang Lambor Kanan.

Mat Jali memang sudah lama mengikuti kegiatan kumpulan pukau tersebut. Mat Jali memang mengharapkan dengan adanya kerjasama dari datuk, kegiatan kumpulan itu akan segera dapat ditumpaskan.

Memang datuk berazam, bila kumpulan itu dapat di berkas, datuk tidak akan memberikan ampun dan maaf pada mereka. Datuk mahu mereka dihukum mengikut undang-undang yang telah di tetapkan.

Suatu petang Mat Jali datang menemui datuk. Mereka bercakap panjang di halaman rumah hingga waktu Maghrib.

Lepas waktu maghrib, lagi sekali Mat Jali datang menemui datuk. Saya tidak mahu ambil tahu dengan apa yang mereka bicarakan.

Perkara yang nyata ialah, sambil datuk bercakap, Mat Jali mencatatkan sesuatu di kertas kecil.

Sebelum Mat Jali meninggalkan rumah, Datuk terus berpesan padanya;

"Saya yakin, mereka akan di situ malam ini. Saya yakin dengan pertolongan Allah yang Maha Besar, firasat saya ini betul, dan awak akan berjaya."

"Semoga Allah akan memberkati kerja saya ini."

"Sama-samalah kita berdoa," sahut datuk dari muka pintu.

Datuk masuk kerumah. Dia terus membaca surah Yassin, duduk di ruang tengah bersama saya dan ustaz.

Menurut datuk, kumpulan pukau itu akan kecundang. Dua sebab kenapa kumpulan pukau itu kecundang. Pertama, ketuanya mungkir janji dan dan kedua gurunya sendiri tidak merestui kerja tersebut.

"Kerja dia orang licin," kata ustaz.

"Saya tahu. Guru mereka kawan saya dan sudah pun mati, sekarang rohnya tak aman."

"Macam mana Wak tahu hal itu?"

"Kerja jahat, janganlah ditanya. Pada Wak, cuma Wak mahu buat dengan tak mahu buat saja. Setiap kerja yang kita lakukan kita harus memikirkan apakah kerja tu di berkati oleh Allah atau tidak."

"Saya faham."

Cuma setakat itu saya dengar kata-kata datuk dan ustaz. Lepas itu masing-masing masuk bilik.

Lebih kurang pukul dua pagi, rumah ustaz di ketuk orang bertalu-talu. Datuk buka pintu. Muka Mat Jali tersembul.

"Apa halnya?" soal datuk.

"Semuanya dapat kami tangkap."

''Dimana?''

"Macam awak katakan itu, mereka nak pukau rumah penghulu Tapah yang duduk di Bidor."

"Sekarang dia orang di mana?", tanya datuk lagi. Dia tersenyum puas.

"Di Balai Polis Langkap."

"Kenapa di Langkap, tidak di bawa ke Kampar?", celah ustaz yang berbadan besar, ada janggut sejemput di dagu, memakai kaca mata putih.

"Tak tahu, pegawai suruh bawa ke Langkap, esok baru di bawa ke Kampar."

"Begitu," suara datuk lemah.

Malam itu juga, saya dan datuk naik kereta Moris Minor Mat Jali menuju ke Balai Polis Langkap.

Atas daya usaha Mat Jali, datuk dan saya dapat menemui ketua pukau bersama kawannya di dalam lokap.

"Kenapa kamu tak insaf?", soal datuk pada ketua pukau.

Pertanyaan datuk itu tidak mendapat jawapan. Ketiga-tiga kaki pukau itu diam membisu.

Dari Mat Jali datuk mendapat tahu nama sebenar ketua pukau itu ialah Kusman tetapi lebih dikenali dengan panggilan Hitam. Sudah ada anak dan isteri.

Anaknya yang besar belajar tingkatan dua di Kampar yang pada masa itu dibela oleh abangnya. Datuk terus meminta tengkorak kering dari ketua pukau.

Datuk memberitahu tengkorak kering itu harus di pulangkan kepada tuannya secara ghaib, di samping itu datuk juga memberitahu, bahawa guru mereka, Tandang Ali memintanya mengambil tengkoraknya itu dari mereka.

"Dia sudah mati", meletus jawapan dari ketua pukau.

"Aku tahu, tapi rohnya tidak aman. Bila harta peninggalannya kau pulangkan pada yang berhak, baru dia aman. Aku tahu, dia kawan aku."

Ketua pukau terdiam. Datuk terus memujuknya. Hingga terbit fajar pagi datuk tidak memperolehi apa-apa darinya. Datuk tahu tengkorak itu ada padanya.

Siapa pun tidak akan menjumpainya kalau mencari di badannya, kecuali menggunakan beberapa petua yang tertentu.

Tengkorak itu boleh di sembunyikan dicelah kulit bahagian paha dimana orang tidak akan nampak.

Pada pukul 10 pagi datuk melihat ketua pukau itu dimasukkan ke dalam perut jeep untuk di bawa ke Balai Polis Kampar.

Sebelum bertolak datuk mengingatkan polis yang mengawalnya supaya berhati-hati dengan ketua pukau. Meskipun tangan digari, dia boleh melepaskan diri.

Ketua pukau itu juga mempunyai beberapa kebolehan dalam ilmu kebatinan.

Bagi menjamin ketua pukau itu tidak boleh melepaskan diri, datuk menawarkan diri untuk mengikuti jeep itu pergi ke Kampar.

Permintaan datuk itu tidak dapat ditunaikan oleh ketua Balai Polis Lengkap.

Datuk merasa bertuah kerana Mat Jali bersedia membawa datuk ke Kampar dengan menaiki keretanya kerana Mat Jali mengekor dari belakang.

Datuk nampak resah sahaja. Dia menyatakan pada Mat Jali ada sesuatu yang akan berlaku dalam perjalanan.

Tetapi Mat Jali meyakinkan datuk, bahawa semuanya berjalan dengan baik,

malah dia yakin ketua pukau itu tidak akan berjaya melepaskan diri.

Datuk diam. Dia memejamkan kedua belah matanya. Dahinya berkerut.

Mukanya mula di­datangi oleh peluh-peluh halus. Saya tahu, bila datuk melakukan hal sebegitu, dia merenung atau menilik sesuatu yang jauh darinya.

"Dia berjaya membuka garinya," tiba-tiba datuk bersuara agak keras.

Ketika itu kereta jeep yang membawa ketua pukau sedang melintas jambatan di Sungai Air Kuning, dekat Kampar (jambatan itu dirobohkan dalam dalam tahun 1976, sebagai gantinya

satu jambatan baru telah dibina, seperti yang ada sekarang ini).

"Dia akan terjun ke dalam sungai," kata datuk lagi.

Sebaik saja datuk selesai bercakap, saya dan Mat Jali melihat ketua pukau terjun ke atas jalan raya, kemudian terjun ke dalam sungai. Polis yang berada di sisinya terpaku.

Mat Jali membunyikan hon menyuruh kereta jeep berhenti. Jeep itu pun berhenti dan Mat Jali menghentikan keretanya ke tepi. Datuk keluar dari perut kereta.

"Dia agak handal orangnya," ujar datuk sambil merenung kedalam sungai yang berbuih.

Polis angkat rifle dan menjunamkan muncung ke arah perut sungai.

"Kita tidak akan dapat menangkapnya. Dia ada ilmu tahanair", kata Datuk.

Cakap datuk itu memang benar. Tiga puluh minit menunggu, ketua pukau tidak juga muncul. Air tempat dia terjun tetap berbuih.

Datuk memberitahu Mat Jali dia boleh memberkas ketua pukau itu, tetapi memakan masa sedikit.

Datuk meminta Mat Jali menyuruh pemuda jeep membawa kawan ketua pukau ke Kampar. Jeep pun bergerak.

Datuk berdiri di tebing sungai. Dia mengambil air sungai dengan daun keladi. Air itu di lambung ke atas.

Sebelum air itu jatuh ke tanah, datuk menyambutnya dengan mulutnya, kemudian air itu disemburkan ke dalam perut sungai.

Saya lihat air sungai bagaikan menggelegak dan berbuih-buih, kemudian tempat ketua pukau terjun itu berpusing-pusing menjadi semacam lubuk.

Dengan mendadak sahaja air sungai itu menjulang badan ketua pukau lalu mencampakkannya ke tepi tebing.

Ketua pukau tersadai di situ. Dari bawah dagunya keluar satu benda putih.

Benda itu berbuih dan akhirnya menjadi satu tengkorak. Datuk pun mengambil tengkorak tersebut.

Datuk merawat ketua pukau hingga pulih. Dia berdiri sambil merenung Mat Jali di sisinya, dan bagaikan kilat dia merampas pistol Mat Jali, lalu melepaskan tembakan ke arah datuk.

Datuk cepat-cepat menguncikan sendi badannya. Pistol di tangan ketua pukau terjatuh di kaki dan secara mendadak saja pistol itu meletup dan pelurunya mengenai perut ketua pukau.

Sebelum ketua pukau rebah ke bumi, datuk memeluk tubuhnya dan dengan sekelip mata sahaja datuk muntah darah. Seluruh badan datuk menjadi biru.

Tamat siri 21/284

BACA: SBDJ Siri 20: Memburu Raja Pukau
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-SENTIASAPANAS.COM