Wednesday, November 28, 2018

Adakah Tun Mahathir Seorang Yang Maksum?

Adakah Tun Mahathir Seorang Yang Maksum?

Adakah Tun Mahathir maksum? Jawapannya sudah tentu tidak kerana maksum adalah satu kemuliaan yang Allah berikan kepada hamba-hambaNya yang dimuliakan daripada kalangan para Nabi dan sifat maksum ini telah pun hilang daripada manusia dengan kewafatan baginda Rasulullah SAW.

Tun Mahathir Maksum

Walau bagaimanapun, Nabi Muhammad sendiri pernah bersabda bahawa Allah akan memelihara agamanya melalui seorang mujaddid yang diutuskan setiap hujung kepala 100 tahun.

Bagaimana para mujaddid ini boleh menjaga agama Allah selepas kewafatan Nabi Muhammad SAW sekiranya mereka sendiri tidak maksum?

Maka jawapannya ialah di sana ada satu lagi kemuliaan yang Allah berikan kepada hamba-hambaNya yang beriman disebut sebagai 'mahfuz'.

'Mahfuz' bermaksud terpelihara atau terjaga, adalah kemuliaan yang Allah berikan kepada para wali-wali Allah yang mulia.

Kesemua para mujaddid agama Islam yang dimunculkan di tengah umat selepas setiap 100 tahun memiliki kemuliaan mahfuz ini.

Sekiranya para Nabi yang maksum terpelihara daripada melakukan dosa, para wali yang mahfuz pula tidak terpelihara dari melakukan dosa, tetapi mereka sentiasa dipelihara daripada berterusan berenang-renang di dalam lautan dosa dengan sentiasa bersegera beristighfar dan bertaubat apabila melakukan dosa.

Itu yang pertama dan yang kedua pula ialah sekiranya mereka melakukan dosa dan tidak bertaubat nasuha dengannya, dosa-dosa yang mereka lakukan ini adalah dosa-dosa yang bersifat 'lamam'.

Lamam ialah kesalahan manusia selain dosa-dosa besar dan perkara-perkara keji, dan dosa-dosa yang bersifat lamam ini adalah terhapus melalui sifat rahmat dan keampunan Allah.

"Iaitu orang-orang yang menjauhi dosa-dosa besar dan perkara-perkara keji kecuali perkara-perkara lamam. Sungguh Tuhanmu amat luas pengampunannya. Dia mengetahui tentang kamu sejak Dia menciptakan kamu daripaa tanah dan sejak kamu masih lagi menjanin di dalam perut ibu kamu. Maka janganlah kamu menyangka diri kamu itu suci. Dia lebih mengetahui siapa di kalangan kamu yang bertaqwa." (An-Najmu : 32).

Termasuk di dalam kategori lamam ialah dosa-dosa kecil, perkara-perkara khilaf, dan perkara-perkara adab.

Lihat kembali segala tuduhan ke atas Tun Mahathir, semuanya adalah dari kategori lamam.

Tun Mahathir tidak dikaitkan dengan liwat, membina kilang arak di Shah Alam, membina pusat judi di Genting, menggelapkan wang rakyat mahupun berterusan menjual agama untuk mencari kesenangan duniawi.

Kemudian lihat pula ayat sebelumnya iaitu ayat 31.

"Dan bagi Allah segala di langit dan segala di bumi, supaya dia membalas kepada segala pembuat kejahatan di atas kejahatan yang mereka kerjakan dan membalas dengan kebaikan kepada orang-orang yang melakukan kebaikan." (An-Najmu :31)

Tun Mahathir telah melakukan begitu banyak kebaikan kepada umat Melayu, rakyat Malaysia, umat Muslimin sedunia dan manusia sejagat. Dia pasti mempunyai saham kemuliaannya di dalam segala kebaikan tersebut.

Putrajaya, UIAM, KLIA, KLCC dan banyak lagi adalah ibarat terusan amal kebajikan yang akan mengalir pahalanya kepada pengasasnya selagi ada bulan dan bintang, sedang dosa-dosa yang ia lakukan semasa hidup akan terhenti selepas ia meninggal dunia.

Tun Mahathir juga seorang yang tidak kenal rasa takut dan kecewa. Perkara ini bukan sahaja dapat dilihat pada sajak 'Perjuangan Yang Belum Selesai' yang ia tulis, malah juga pada pelakuannya.

Dia telah memperkukuh UMNO selama 22 tahun sebagai ketua pasukan UMNO dan dia juga yang menjadi ketua pasukan yang menumbangkan UmNo yang kelihatan gagah perkasa selepas melihat UmNo tersasar dari jalan yang lurus.

Pada segala pelakuan dirinya adalah jelas dia memang memiliki ciri wali Allah iaitulah tidak merasa takut dan tidak pula berdukacita.

"Dan demi sesungguhnya wali-wali Allah itu tiadalah mereka merasa takut dan tidak pula mereka berdukacita" (Yunus: 62).

Para wali Allah bukanlah orang-orang yang langsung tidak berdosa, tetapi mereka adalah orang-orang yang mempunyai kebaikan yang jauh lebih banyak daripada dosa-dosa mereka, sehingga kebaikan mereka itu menenggelamkan dosa-dosa mereka, selain mereka adalah orang-orang yang apabila melakukan dosa mereka bersegera di dalam bertaubat.

Ayat 44 surah Fussilat adalah tentang hikmah Alquran yang boleh dirasai oleh orang-orang yang diberi hikmah sekalipun sekiranya mereka tidak memahami AlQuran di dalam Bahasa Arab.

Dari pengamatan saya, Tun Mahathir memiliki hikmah ini tanpa memahami bahasa Arab.

Semenjak itu kita selalu melihat dan menganalisa tindakan yang ia ambil dan jawapannya, sama sahaja iaitu dia sentiasa melakukan perkara yang betul di dalam setiap keadaan.

Saya kongsikan pengamatan sejak 20 tahun dahulu untuk iktibar dan bukan untuk mengungkit kisah silam.

20 tahun dahulu ketika kisah tentang Timbalan Tun Mahathir terlibat dengan pelakuan songsang mula bertiup, Tun pada mulanya telah menolak dakwaan tersebut.

Walau bagaimanapun, beliau telah bertabayyun dengan menyiasat secara teliti dan memanggil sendiri saksi-saksi dan mendengar cerita mereka, kemudian ia siasat lagi dan mendengar dari kedua-dua pihak sehingga ia benar-benar berpuas hati bahawa dakwaan itu bukan rekaan, barulah ia bertindak dengan apa yang sesuai sewaktu itu.

Sekalipun Tun Mahathir tidak bergelar agamawan dan tidak pula memahami bahasa Arab tetapi tindakannya menunjukkan ia memahami secara halus apa itu tabayyun.

Tidak lama selepas dipecat, Timbalan Tun Mahathir telah menulis satu surat sahaja kepada seorang yang bergelar ulama iaitu Dr Yusuf Al-Qardawi.

Tanpa sebarang tabayyun, tanpa mendengar penjelasan dari Tun Mahathir, melainkan hanya dengan satu panggilan telefon sahaja, Dr Yusof Al-Qardawi telah menulis satu kenyataan yang secara jelas bermaksud mengatakan Timbalan Tun itu telah difitnah.

Kenyataan ini telah disebarluaskan untuk mendapat sokongan menjatuhkan Tun Mahathir melalui rusuhan jalanan, namun sejarah telah menulis bahawa gerakan ini gagal dan Tun Mahathir kekal menang.

Memahami Hikmah AlQuran

Renungkan kembali tindakan di antara keduanya. Tun Mahathir tidak memahami bahasa arab, tetapi memahami secara halus dan hikmah apa itu tabayyun.

Ada pun Dr Yusof Al-Qardawi memahami bahasa arab, telah menulis banyak kitab-kitab agama, tetapi jelas sekali ia hanya memahami yang kasar tetapi tidak memahami yang halus iaitu kefahaman secara hikmah.

Perbandingan ini membenarkan ayat 44 surah Fussilat, yang mengatakan bahawa hikmah Al-Quran boleh dirasai oleh orang-orang yang mempunyai hikmah sekalipun mereka tidak memahami Al-Quran di dalam bahasa asalnya.

Secara konstraktif ia juga mengatakan bahawa sekalipun seseorang itu memahami AlQuran di dalam bahasa asalnya dan bahkan sekalipun sekiranya ia bergelar agamawan belum tentu ia dapat memahami hikmah AlQuran itu. Kelakuannya boleh dilihat.

Ilmu hikmah adalah ilmu rasa dan hanya yang memilikinya sahaja yang tahu rasanya. Ia adalah ilmu halus dan tidak dapat dilihat mahupun disentuh tetapi boleh dirasai oleh yang memilikinya.

Kini saya telah mengetahui dan dapat merasai bahawa Tun M adalah salah seorang hamba-hamba Allah yang diberi anugerah memiliki ilmu rasa @ ilmu halus @ ilmu hikmah ini.

Ia adalah jawapan kepada persoalan bagaimana Tun Mahathir boleh kekal melakukan perkara yang betul di dalam setiap keadaan dan bagaimana ia sentiasa kekal menjadi ketua kepada pasukan yang sentiasa menang.

Itu adalah jawapan kepada soalan adakah Tun Mahathir maksum, tetapi membawa kepada satu perkara yang lain pula.

Karamah

Seorang wali selain dimuliakan dengan sifat mahfuz sebagai sifat ganti kepada sifat maksum para Nabi, ia juga akan dimuliakan dengan karamah sebagai ganti kepada mukjizat para Nabi.

Karamah adalah rahsia bagaimana umat Nabi Muhammad SAW boleh kekal selamat sekalipun selepas tamatnya zaman nubuwwah.

Karamah juga adalah kekuatan kepada semua para mujaddid agama Islam yang diutuskan setiap tamat 100 tahun.

Orang Melayu terbiasa dengan kisah terkena tulah akibat daulat seorang raja tetapi amat jarang kita mendengar orang Melayu berbicara tentang tulah akibat karamah seorang wali. Kali ini biar saya bicara tentangnya.

Daulat raja datangnya dari doa dan baiah thaifah kaum Muslimin kepada seorang ketua di kalangan mereka, ia boleh hilang apabila ada perkara yang dilanggar, sedang karamah seorang wali pula berasal dari keakraban hubungan rohaninya dengan Allah. Ia tiada kaitan dengan orang lain selain tuan punya badan.

Wallahu a'lam.

Nota: artikel ini dipetik dari ruangan komen blog shahbudindotcom.

BACA INI JUGA:

-SENTIASAPANAS.COM

Kenapa Soviet Union Tewas Peperangan Di Afghanistan?

Kenapa Soviet Union Tewas Peperangan Di Afghanistan?

1980 merupakan tahun yang tidak akan dilupakan oleh rakyat Afghanistan kerana itulah tahun di mana Kesatuan Soviet melancarkan serangan ke atas negara tersebut, menyaksikan pemboikotan Sukan Olimpik 1980 oleh banyak negara termasuk Malaysia sebagai bantahan kepada tindakan Moscow.

Soviet Afghanistan War

Namun, perang yang berlangsung selama sembilan tahun itu mengakibatkan kehilangan nyawa yang ramai di pihak Soviet dan mengundang kos kewangan sebanyak tiga bilion dolar setahun untuk membiayai perang itu.

Akhirnya pada tahun 1989, Presiden Kesatuan Soviet, Mikhail Gorbachev menamatkan perang dan membawa kontinjen tentera Rusia keluar dari Afghanistan. Tetapi mengapa ia boleh berlaku?

SEJARAH AFGHANISTAN

Kita kena melihat sejarah negara itu sendiri. Afghanistan sudah diketahui sebagai tempat lintasan empat rantau iaitu Timur Tengah, Asia Tengah, Asia Selatan dan Timur Jauh untuk Laluan Sutera.

Dan untuk abad-abad berikutnya, negara ini menyaksikan konflik empayar-empayar besar yang berebut mahu menguasai India. Maka tidaklah mengejutkan, Kabul menyaksikan siri pertempuran dan penghijrahan berlaku pada abad-abad tersebut.

Dan kerana ini juga, situasi dalam negeri dan polisi luar Afghanistan turut dipengaruhi oleh negara-negara jiran terutama kuasa-kuasa besar yang menjajah atau menjadi jiran negara tersebut.

Abad ke-19 dan 20 Masihi menyaksikan pertembungan Britain dan Rusia di Afghanistan sehinggakan ia digelar ramai sebagai The Great Game.

Bukan sekali dua kedua-dua kuasa besar ini bertembung bukan saja dari segi pengembangan pengaruh tetapi juga cuba mewujudkan rejim boneka pilihan mereka di Afghanistan.

Rusia menunjukkan minat terhadap Afghanistan kerana mahu menjaga soal perdagangan dan akses kepada pelabuhan di mana perairannya panas iaitu Teluk Parsi dan Lautan Hindi.

Sementara Britain pula mahu menjadikan Afghanistan sebagai pelindung kepada India dan menganggap cubaan Moscow itu mengancam kepentingannya di Delhi.

Walaupun kedua-dua kuasa ini cuba mendominasi Kabul tetapi cubaan mereka ditolak oleh rakyat Afghanistan. Britain akhirnya dapat menguasai Kabul tetapi masih gagal mendominasi rantau tersebut, menjadikan Afghanistan sebagai pelindung kepentingan dua kuasa besar terlibat.

Sempadan Afghanistan yang kita ketahui hari ini berpunca daripada keputusan Suruhanjaya Sempadan Anglo-Rusia yang dibuat pada tahun 1895 dan selepas Perang Dunia Pertama, rundingan London-Kabul menyaksikan Afghanistan diberi kebenaran mengendalikan urusan luarnya sendiri.

Selepas Revolusi Bolshevik pada tahun 1917, Moscow mula menjalin hubungan dengan Kabul dengan tujuan mengurangkan kegusaran kepada populasi Rusia yang beragama Islam. Ini menjadikan mereka negara pertama menjalin hubungan luar dengan Afghanistan.

Bagaimanapun, itu tidak menghalang mereka cuba mengukuhkan cengkaman di Kabul melalui Perjanjian Persahabatan Soviet-Afghanistan yang lebih menjurus kepada jaminan keselamatan Soviet.

Hasil dari perjanjian ini, Afghanistan mendapat 12 jet pejuang Soviet untuk digunakan untuk membedil mana-mana puak yang memusuhi kerajaan pusat. Walau bagaimanapun, Kabul lebih bersifat neutral dalam soal urusan dunia.

Pemerintah-pemerintah Afghanistan sedar mereka memerlukan lebih banyak bantuan asing untuk menjana kegiatan ekonomi dan proses pemodenan negara tersebut.

Bagaimanapun, pemerintah-pemerintah awal Kabul lebih memilih kemerdekaan berbanding pertumbuhan ekonomi dan mereka ada sebab kukuh iaitu enggan membenarkan kuasa-kuasa asing mempergunakan Afghanistan sebagai pertukaran kepada bantuan asing yang ditawarkan.

Kemudian, hubungan luar Kabul perlahan-lahan berkembang dengan Soviet membina rangkaian talian telefon pada tahun 1924.

Persahabatan kedua-dua negara ini terus terjalin erat dengan perjanjian anti-keganasan yang dimeterai pada tahun 1926 dan 1931 dan pada tahun 1934, Kabul menjadi anggota Liga Negara-Negara dan mengadakan hubungan luar dengan Amerika Syarikat.

Sepanjang Perang Dunia Kedua, Afghanistan mengekalkan polisi berkecuali terhadap semua negara konflik ketika itu iaitu Washington, London, Moscow, Jerman, Jepun dan Itali. Selepas perang berakhir, Kabul memanipulasi Timur dan Barat untuk mendapatkan akses bantuan asing.

Bagi mengukuhkan hubungan Washington-Kabul, kedua-dua negara memeterai kerjasama berkenaan Projek Lembah Helmand, bertujuan memanfaatkan potensi pengairan dan hidroelektrik yang terdapat pada Sungai Helmand.

Bagaimanapun, projek tersebut dihantui oleh masalah teknologi kedua-dua negara dan hanya siap dibina pada tahun 1950. Salah faham dan curiga yang tercetus akibat projek ini mengakibatkan Washington bermula dengan langkah kiri dalam soal pemberian bantuan asing kepada Kabul.

Dan kalau mengikut logik Washington ketika itu, mereka lebih berminat kepada proses pembinaan semula dan penstrukturan politik di Eropah dan Jepun. Afghanistan bukanlah berada dalam senarai teratas birokrat-birokrat Washington dalam soal keselamatan.

Tetapi semuanya berubah apabila Perang Dingin tercetus. Bagi Uncle Sam, inilah peluang baginya mengekang mana-mana negara asing daripada terjerat dengan pengaruh Soviet, mendorong mereka mengadakan perjanjian pertahanan seperti Perjanjian Pertubuhan Asia Tenggara (SEATO) dan Pakatan Baghdad.

Dan sebagai tukaran kepada tambahan bantuan asing Washington, mereka mahukan Kabul memeterai mana-mana perjanjian pertahanan bersama, satu perjanjian yang ditolak mentah-mentah oleh Kabul.

Akibatnya, Amerika mengurangkan bantuan asing kepada mereka dan menambah bantuan asing kepada negara jiran Afghanistan, Pakistan, berikutan kesediaan Islamabad memeterai perjanjian keselamatan bersama.

Tahun-tahun pasca-WWII ini menyaksikan bagaimana Kabul dilayan oleh Moscow dan Washington.

Moscow melihat Afghanistan sebagai satu lagi negara yang boleh dijadikan eksperimen seperti Korea Utara untuk menguji sejauh mana Washington akan bertindak di negara dunia ketiga itu.

Pada dekad 50-an, hubungan Moscow-Kabul semakin erat menerusi perjanjian dagangan dan bantuan pinjaman jangka panjang, menyebabkan Afghanistan semakin bergantung kepada Kesatuan Soviet.

Pada tahun 1955, sebagai pertukaran kepada sumber petroleum Soviet, Kabul sedia membekalkan bahan mentah yang diperlukan mereka, menyebabkan catuan minyak pada ketika itu dihapuskan dan meningkatkan lagi pembangunan infrastruktur terutama dari segi telekomunikasi.

Antara tahun 1955 hingga 1965 saja, Soviet memberi bantuan asing sebanyak $552 juta kepada Afghanistan dan menjelang tahun 1972, angka tersebut meningkat kepada hampir $1.2 bilion.

Ini menjadikan Soviet pemberi bantuan asing terbesar di Afghanistan sementara Washington pula hanya menyumbang sebanyak 30 peratus bantuan asing Afghanistan.

SOSIOPOLITIK

Bagi memahami suasana politik Afghanistan yang akhirnya menyumbang kepada konflik Soviet-Afghanistan, kita kena melihat perilaku lelakinya. Mereka amat berdikari bukan saja dalam kehidupan peribadi tetapi juga dari segi kehidupan komuniti.

Faktor geografi dan kesusahan hidup turut mendorong kabilah-kabilah di situ lebih memilih mentadbir kabilah mereka dan menolak sebarang bentuk kerajaan pusat sepanjang sejarah negara itu.

Faktor etnik, status dan perbezaan ideologi juga turut menyumbang kepada perpecahan politik tetapi juga aspek kehidupan seharian di Afghanistan.

Dengan 80 peratus populasi tinggal jauh dari bandar-bandar besar dan pengaruh kerajaan, menyumbang kepada pergolakan politik yang dari tahun 1930-an hingga 1960-an saja, ada enam kumpulan pembangkang Afghanistan yang berpangkalan di Pakistan untuk menentang semua polisi dan program kerajaan.

Soviet tidak menubuhkan sebarang parti komunis dan tidak bergiat aktif dalam arena politik Afghanistan sehinggalah tahun 1960-an walau bagaimanapun, penglibatan mereka pada dekad tersebut masih terhad.

Pada awal tahun 1960-an, sebuah parti politik bernama Parti Demokratik Rakyat Afghanistan (PDPA) ditubuhkan. Pengasasnya ialah Nur Muhamad Taraki, seorang pemimpin popular dalam kalangan rakyat.

Kumpulan ini tidak mendedahkan asal-usul fahaman komunisme mereka dan lebih banyak berkempen kerajaan demokratik kebangsaan pada platform mereka. Tetapi secara senyap, mereka amat setia dan berdedikasi pada fahaman Lenin-Marxisme.

Namun, parti tersebut berpecah kepada dua bahagian berikutan masalah perpecahan, rasuah dan prejudis yang membelenggu parti itu.

Dua kumpulan pro-Soviet dalam PDPA ialah Parchami atau bendera diketuai Babrak Karmal dan Khalq atau rakyat diketuai Taraki.

Parchami mendapat sokongan kumpulan intelektual dan berpendidikan, sementara Khalq pula mendapat sokongan dari penduduk pedalaman. Matlamat kedua-dua organisasi juga berbeza di mana Khalq mahu mengikut model revolusi Bolshevik sementara Parchami pula lebih berminat meneruskan revolusi dalam kerangka demokrasi.

Dan latar belakang kedua-dua pemimpinnya juga berbeza. Tidak seperti Taraki, Karmal merupakan anak kepada seorang jeneral tentera. Namun semua itu berubah pada tahun 1973.

Pada tahun itu, sepupu kepada Raja Afghanistan iaitu Zahir Shah, Jeneral Mohammad Daoud yang mendapat sokongan kumpulan Parchami menggulingkan sistem monarki negara tersebut dan mengisytiharkan Afghanistan sebagai sebuah negara republik. Daoud turut menamakan dirinya sebagai presiden.

Tiga tahun selepas itu, Taraki dan Karmal mengetepikan sebentar perbezaan mereka dan kembali bersatu untuk menentang Daoud dan menjelang tahun 1977 dan 1978, penentangan semakin meningkat lebih-lebih lagi selepas pembunuhan seorang editor akhbar berhaluan kiri merangkap ahli jawatankuasa pusat PDPA pada tahun itu.

Ini membawa kepada protes besar-besaran parti tersebut kepada kerajaan semasa upacara pengebumian dan untuk memulihkan keamanan awam, Daoud mengarahkan ramai pemimpin PDPA ditahan termasuk Taraki, Karmal dan bakal presiden, Hafizullah Amin.

Sepanjang enam tahun pemerintahnnya, Daoud cuba mengukuhkan kuasanya sebagai presiden. Kem Parchami dan Moscow mahukan beliau lebih condong ke arah Soviet tetapi tindak-tanduknya bersifat kontra dengan apa yang dimahukan mereka.

Daoud menyingkirkan ramai anggota Parchami dari kerajaannya dan cuba mengurangkan hubungan dengan Moscow. Sebaliknya, beliau mula berbaik-baik dengan India, Iran, Mesir dan paling tidak disangka-sangka, Pakistan.

Namun, pemerintahan beliau tidak bertahan lama kerana pada April 1978, Daoud disingkirkan dan digantikan oleh Taraki. Sementara Karmal pula dilantik sebagai naib presiden Afghanistan.

Pada masa inilah, mereka cuba memperkenalkan reformasi pertanian dan sosial tetapi reformasi tersebut mendapat sambutan negatif dalam kalangan rakyat. Ini kerana reformasi yang cuba dilaksanakan bersifat terburu-buru dan melawan nilai budaya dan etnik warga Afghanistan. Dan ini sekali lagi mencetuskan perbalahan antara Parchami dan Khalq.

Sebagai tindak balas, Taraki menyingkirkan anggota Parchami dari kerajaannya dan mencetuskan situasi huru-hara di Afghanistan. Ramai melihat tindakan Taraki seolah-olah mahu menjadikan Afghanistan satu lagi koleksi dalam koleksi negara satelit yang dikawal Kesatuan Soviet.

Kebimbangan mereka berasas kerana selepas rampasan kuasa pada April 1978, bilangan penasihat tentera Soviet ialah dua ribu orang sementara penasihat awam pula seramai tiga ribu orang.

Bagi mereka, orang-orang Soviet dilihat mendominasi struktur ketenteraan dan awam negara tersebut dan bagi menambah kerisauan Kabul, Taraki turut memeterai Perjanjian Persahabatan, Kejiranan dan Kerjasama dengan Kesatuan Soviet pada Disember 1978.

Perjanjian yang dimeterai selama 20 tahun ini turut mengandungi klausa kedua-dua negara akan berunding dan menggunakan semua kaedah yang ada demi menjamin keselamatan, kemerdekaan dan integriti wilayah terlibat. Klausa inilah yang akhirnya digunakan oleh Soviet sebagai alasan untuk menceroboh Afghanistan.

Sepanjang tahun 1979, pergolakan dalaman terutama di kawasan pedalaman semakin meningkat. Antara insiden yang menarik perhatian ialah penculikan Duta Amerika Syarikat ke Afghanistan, Adolph Dubs.

Dubs kemudian terbunuh dalam satu serbuan polis Afghanistan selepas Soviet mengarahkan pihak tentera untuk menghapuskan pemberontakan tanpa mengambil kira kehadiran individu bernilai tinggi (HVI) dalam tahanan mereka dan sebagai tindak balas, Amerika Syarikat mengurangkan operasi dan bantuan luar kepada Afghanistan.

Selain insiden pembunuhan Dubs, Washington bertindak sedemikian sebagai bantahan kepada tindakan Kabul yang semakin ganas dalam mengekang ancaman pemberontakan dalam kalangan tentera.

Tempoh Julai 1978-Julai 1979 turut menyaksikan kerajaan Afghanistan mengalami rombakan sebanyak lima kali. Ia sebenarnya memberi petunjuk bukan saja pada kemelut politik tetapi juga perebutan kuasa antara Taraki dengan Amin.

Dengan situasi semakin buruk dan pemberontakan semakin meningkat, hubungan kedua-duanya juga semakin tegang terutama berkenaan cara menamatkan pemberontakan dan pada musim luruh 1979, taktik ganas rejim Taraki menambah lagi sentimen anti-kerajaan.

Taraki kemudian mengadakan perjumpaan dengan pemimpin-pemimpin Soviet termasuk Leonid Brezhnev, di mana mereka bersetuju pendekatan sederhana merupakan cara terbaik untuk menamatkan pemberontakan di Afghanistan.

Dan dari pertemuan ini juga, Taraki dan Soviet turut merancang membunuh Amin yang ketika itu berkhidmat sebagai Perdana Menteri Afghanistan.

Bagaimanapun, sebelum plot tersebut dapat dilancarkan, Amin merancang dan mengetuai plot rampasan kuasanya sendiri. Akibatnya, Taraki berjaya digulingkan dan terbunuh dalam plot rampasan kuasa itu.

Bagi pihak Soviet, kematian Taraki merupakan satu kehilangan dan kenaikan Amin pula dianggap tidak boleh dipercayai mereka. Ini kerana dalam kalangan rakyat Afghanistan, mereka memandangnya sebagai seorang nasionalis.

Walau bagaimanapun, itu tidak menghalang Soviet dari terus menghantar bantuan dan keperluan diperlukan Afghanistan dan bagi Brezhnev dan Amin, mereka berdua tahu negara itu amat memerlukan bantuan ekonomi dan senjata ketenteraan.

Untuk mengelak situasi Taraki berulang kepadanya, Amin cuba mengukuhkan kedudukan dan meraih undi popular rakyat, namun tindakan Amin menghalau keluar duta Soviet dari Afghanistan menyebabkan kedudukannya tidak lagi selamat. Bagi Soviet, jika Amin terus dibiarkan berkuasa, ia bakal mengancam semua pelaburan yang dibuat di Afghanistan selama ini.

Dan itu mendorong mereka melaksanakan klausa perjanjian sebelum itu dan menyerang Afghanistan pada 27 Disember 1979 dengan kekuatan tentera seramai 50,000 orang.

Dalam serangan tersebut, Amin terbunuh dan kedudukannya digantikan Karmal, pemimpin awal kelompok Parchami. Semasa serangan berlaku, Karmal berada di Moscow untuk mengumumkan rampasan kuasa dan jihad kebangsaan terhadap kerajaan Amin.

Selepas Soviet berjaya menguasai Kabul, Karmal kembali ke Afghanistan untuk bertemu dengan rakyat buat kali pertama, tetapi tanpa diketahui Karmal dan Soviet, babak ini sebenarnya permulaan kepada neraka ciptaan mereka sendiri.

Bagi orang biasa, mereka pasti menganggap tindakan Soviet ini seperti kaki buli yang hanya berminat meneruskan cita-cita imperialisnya, tetapi ia sebenarnya lebih rumit dari itu. Jika mereka tidak bertindak lebih cepat selepas kejatuhan rejim Amin, ia pasti mencetuskan situasi huru-hara dalam Afghanistan.

Dan rejim Amin pasti akan digantikan oleh kerajaan nasionalis di mana dari situ, ia akan mengundang lebih banyak bantuan asing dari Barat terutama dari Amerika Syarikat.

Jika ia dibenarkan berlaku, pasti ia akan mengundang malu yang teramat pada Soviet dan dianggap satu kekalahan dari segi ekonomi.

SEBAB SERANGAN

Motif utama Soviet dalam operasi mereka di Afghanistan ialah mengekalkan kawasan sempadannya yang boleh dipertahankan dan enggan membenarkan mana-mana kuasa asing mempergunakan Afghanistan untuk mengancam kedudukan mereka.

Cita-cita ini dikukuhkan lagi dengan hasrat Dostoevski yang mahu menjadikan Asia Tengah lebih bertamadun., membawa kepada pengilhakan kawasan utara Panjideh yang diduduki oleh puak Turki.

Ini disusuli pula pada tahun 1920-an dan 1930-an apabila Soviet meneruskan obsesi melawan kumpulan Basmachi yang dianggap mengancam kedudukan mereka dan berlindung di utara Afghanistan.

Obsesi Soviet terhadap kawalan sempadan ini berpunca daripada serangan kuasa-kuasa luar ke atas Rusia sepanjang lipatan sejarah. Bukan sekali dua kuasa-kuasa luar menyerang dan menduduki wilayah Rusia dari Genghis Khan hinggalah Napoleon dan rejim Nazi Jerman.

Atas sebab itulah, untuk mengelak situasi itu berlaku, mereka perlu memastikan ia dikelilingi oleh negara-negara yang taat sepenuhnya kepada Moscow dan satu cara terbaik untuk melakukannya ialah menempatkan tentera Soviet di sempadan mereka, seperti apa yang dilakukan di Mongolia, Poland, Jerman Timur, Czechoslovakia dan Hungary.

Mereka tahu kesetiaan rejim komunis di negara-negara yang disebutkan boleh dijamin dengan menempatkan kontinjen besar tentera di negara mereka. Selain itu, ia sebenarnya boleh mengekang pergerakan tentera Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) di sebelah selatan dan mengimbangi pengaruh Ayatollah Ali Khomeni di Iran.

Ini kerana rejim pimpinan Ayatollah Khomeni walaupun tidak menyukai pihak Barat turut mempunyai pendirian anti-Soviet. Ini sekali gus mewujudkan zon penampan yang dapat mencegah pergerakan mana-mana kuasa asing.

Selain itu, serangan Soviet ke atas Afghanistan ini sebenarnya untuk menekan Pakistan, salah satu sekutu Amerika Syarikat. Hubungan dua negara berjiran itu sentiasa tegang terutama membabitkan isu sempadan dan ini mendorong pihak Soviet menyokong pihak Afghanistan.

Krisis diplomatik kedua-dua negara ini hanyalah topeng bagi Moscow untuk mendesak hubungan lebih erat dijalin antara Moscow dengan Islamabad.

Dan berikutan pelaburan yang dibuat pada infrastruktur Afghanistan, ia sebenarnya membuka jalan kepada operasi ketenteraan skala besar Soviet sekiranya diperlukan ke atas Islamabad dan Tehran.

Tidak seperti kedua-dua negara berkenaan, Afghanistan tidak pernah memeterai mana-mana perjanjian pertahanan atau pakatan anti-Soviet yang dipromosikan oleh Amerika Syarikat, mendorong Kabul beralih arah kepada Moscow untuk bantuan kewangan dan ketenteraan.

Ini memberi peluang kepada Soviet untuk menghindar Afghanistan dari menjadi sebahagian daripada sfera pengaruh Barat.

Kehilangan Afghanistan ialah satu kemungkinan yang tidak boleh diterima Moscow kerana jika itu berlaku, rejim boneka Soviet akan digantikan oleh rejim anti-Soviet dan sekiranya rejim tersebut bergabung dengan musuh-musuh serantau seperti Iran, Pakistan dan negara-negara Barat, ia pasti akan memaksa Soviet mempertahankan sempadan yang mempunyai jarak 1,500 batu persegi.

Menurut David Rees dalam artikelnya ‘Afghanistan Role in Soviet’s Strategy’, penguasaan ke atas Afghanistan dilihat ada kaitan dengan agenda mereka menguasai simpanan minyak rantau Timur Tengah.

Menurut Rees, Soviet mahu berbuat demikian demi memastikan pihak Barat dan sekutu-sekutunya tidak mendapat akses pada simpanan minyak wilayah tersebut. Pada ketika itu, mereka sudah mengembangkan pengaruh di Ethiopia, Selatan Yaman, Mozambique dan Angola.

Kesemua negara ini mempunyai satu persamaan iaitu akses pada laluan minyak Tanjung Harapan. Dengan mengadakan kepungan berstrategi menggunakan negara-negara berkenaan, mereka boleh mengecualikan atau memaksa negara-negara Barat berunding.

Di samping itu, mereka turut mendapat akses pada simpanan minyak tatkala usaha melombong minyak di Siberia semakin sukar dan mahal.

Pengaruh Soviet turut meningkat sepanjang rantau Teluk ditambah dengan situasi tidak menentu membabitkan Arab Saudi dan situasi anarki pasca-revolusi di Iran. Sekiranya pihak Soviet menang di Afghanistan, mereka mengukuhkan kedudukan di sebelah utara dan berupaya mengepung simpanan minyak di rantau Teluk, sekali gus bakal mengancam bekalan minyak mereka dan laluan perdagangan di Selat Hormuz.

Bagi Soviet sendiri, serangan ini dilihat mengangkat Doktrin Brezhnev di mana komunisme gaya Moscow perlu dikekalkan dalam lingkungan pengaruh Soviet dan jika ia memerlukan campur tangan luar untuk mengekalkannya, maka ia adalah langkah terbaik.

Ini kerana sebarang rejim komunis tumbang dan digantikan dengan rejim anti-Soviet, ia akan mengakibatkan kehilangan dari segi prestij. Atas sebab itu, mereka mahu menunjukkan imej jiran yang baik bukan saja pada negara-negara komunis tetapi juga pada negara-negara Dunia Ketiga. Namun, situasi perang di Afghanistan sedikit sebanyak mencalarkan imej jiran baik ini.

Sesetengah pihak di Barat berpandangan satu lagi objektif di sebalik serangan Afghanistan ialah meneruskan cita-cita perluasan wilayah semasa era Tsar.

Kebanyakan Tsar terdahulu mahukan akses pada pelabuhan air panas tetapi akses pada perairan berkenaan hanya terdapat di Laut Hitam. Dengan Turki mengawal Selat Bosphorus dan Selat Dardanelles, itulah satu-satunya akses Rusia pada Laut Mediterranean.

Dari situ, mereka boleh sampai ke lautan lepas melalui Terusan Suez atau Selat Gibraltar. Akses kepada pelabuhan sebegini pasti memberi lebih banyak ruang kepada tentera laut mereka beroperasi. Penguasaan Afghanistan bakal membuka ruang kepada pelabuhan di Pakistan atau simpanan minyak Iran.

Sebab-sebab lain yang mendorong campur tangan Moscow di Afghanistan:
  • Melindungi pelaburan ekonomi dan akses bekalan mentah terutama gas asli kepada pihak Soviet.
  • Bimbang dengan peningkatan ancaman golongan fanatik Muslim dan dijadikan inspirasi untuk populasi Muslim di Soviet untuk bangkit memberontak.
  • Menganggap Amerika terlalu lemah untuk memberi respon ketenteraan kepada serangan komunis di Afghanistan terutama selepas situasi tebusan Iran.

PUNCA KEKALAHAN

Soviet Afghanistan War

Sebab saja sudah mencukupi untuk pihak Soviet masuk campur di Afghanistan dan jika melihat kekuatan mereka sendiri, mereka berupaya menang mudah dan tidak akan menghadapi sebarang bentuk penentangan dari warga Afghanistan.

Tetapi perkara sebaliknya berlaku dan Afghanistan menjadi Vietnam versi Soviet pada tentera mereka. Mengapa mereka gagal?

Pertama, Soviet langsung tidak bersedia dengan konflik intensiti rendah dan tiada strategi ampuh untuk menanganinya. Mereka memandang rendah jangka masa perang ini berlaku dan gagal menyedari kesan buruk ke atas aspek politik dan ketenteraan mereka.

Jika melihat doktrin serangan mereka, Soviet masih lagi mengamalkan taktik yang hanya sesuai pada teater perang di Eropah dan mereka cuba melaksanakannya dalam kempen melawan gerila-gerila yang memusuhi pendudukan mereka di Afghanistan.

Ini menyebabkan jentera perang mereka tidak fleksibel, tiada ruang dari segi pergerakan dan tidak berkesan dalam kempen perangnya dan mengejutkan, mereka gagal menggabungkan kekuatan tentera udara dan darat untuk membentuk satu kempen serangan agresif.

Dan berikutan kawalan ketat dari pusat pemerintah, komander-komander perang tidak dapat membuat sebarang keputusan di medan perang dengan bebas. Selain itu, tentera Soviet juga tidak bersedia dari segi fizikal dan psikologi bagi menghadapi keadaan mencabar di Afghanistan.

Selain itu, pihak Soviet turut membuat kesilapan dari segi pemilihan askar dengan memilih tentera beragama Islam dari rantau Asia Tengah. Daripada bertempur dan menghapuskan musuh, mereka sebaliknya mengadakan hubungan persahabatan dan bertukar-tukar pandangan berikutan persamaan dari segi bangsa dan agama.

Ini mengakibatkan moral tentera di barisan hadapan rendah dan mengakibatkan ramai berpaling tadah dan menyertai gerila-gerila ini. Dan ini ditambah kegagalan mereka membentuk satu pasukan yang kuat, sekali gus gagal menangani ancaman gerila Afghanistan.

Dari segi politik pula, Soviet terlalu memandang tinggi keupayaan kerajaan untuk mendapatkan sokongan popular. Mereka bukan saja tidak memahami budaya dan agama orang Afghanistan bahkan, mereka tidak tahu memenangi hati dan akal penduduknya.

Jika sesebuah rejim mahu kekal berkuasa, mereka perlu mendapatkan sokongan popular dan itu sesuatu yang gagal dilakukan oleh Soviet dan rejim boneka mereka. Dan mereka juga gagal menyedari impak serangan dari pandangan masyarakat antarabangsa, serantau dan dunia Islam.

Kalau diikutkan, hanya pihak pembangkang saja meneruskan kempen menentang rejim boneka Soviet tetapi sebaik serangan bermula, lebih 15 juta warga Afghanistan beragama Islam bangkit dan mengangkat senjata untuk melindungi tanah air mereka.

Mereka gagal memahami mengapa dunia Islam bangkit dan cubaan perubahan pada rejim tidak mengubah pandangan mereka terhadap serangan Soviet.

Selain itu, kegagalan pihak Soviet mengawal sempadan mengakibatkan lebih banyak bantuan dihantar ke Afghanistan terutama dari segi senjata api kepada pihak pemberontak. Antara senjata yang dihantar ialah peluru berpandu Stinger yang berkemampuan memusnahkan jet-jet pejuang Soviet.

PENGAJARAN

Stephen Blank, penulis buku Pengajaran Strategik dan Operasi Perang di Afghanistan: 1979-1980 menggariskan tujuh pengajaran yang boleh diambil:
  • Kepentingan menambahbaik unit-unit kecil untuk bertindak lebih bebas semasa di medan perang.
  • Kepentingan menguasai ruang udara dan mematikan sebarang bentuk ancaman yang boleh mengancam dominasi udara pihak yang menyerang.
  • Latihan dan kelengkapan logistik lebih baik bagi menghadapi perang bukan konvensional.
  • Kepentingan moral dan perpaduan dalam kalangan unit.
  • Keperluan mendapatkan penilaian maklumat perisikan lebih baik.
  • Kepentingan belajar pertarungan secara bertahan.
  • Strategi dalam memenangi siri pertempuran kecil seperti menafikan akses keperluan asas dari jatuh ke tangan pihak musuh.

Secara umumnya, sesebuah negara perlu belajar melihat situasi yang berlaku dan menilai semua pilihan yang ada sebelum bertindak melulu. Semua aspek perlu diperhalusi terlebih dahulu sebelum ianya dilaksanakan pada masa sebenar.

Jika tidak, kesilapan yang dilakukan boleh menyebabkan sesebuah negara menanggung padah untuk jangka masa panjang dan krisis di Afghanistan mengakibatkan mereka bukan saja kalah dari segi ketenteraan tetapi juga menanggung kerugian dari segi politik, kewangan dan prestij di peringkat antarabangsa.

Satu lagi pengajaran pahit dari perang ini ialah memahami medan mana yang bakal menjadi tempat pertempuran. Ini kerana medan yang dihadapi di sesebuah kawasan sama sekali berbeza dengan medan pertempuran di tempat lain.

Maka dari situ, perancang taktik perang perlu bersedia beradaptasi dan bijak mengaplikasikan mana-mana taktik yang bersesuaian. Jika gagal berbuat demikian, maka kekalahan besar menanti seperti apa yang berlaku ke atas Soviet semasa kempen mereka di Afghanistan.

Bagaimanapun, perancangan yang baik juga perlu disokong dengan koordinasi, kelengkapan logistik dan sumber tentera diperlukan demi memastikan ia dapat mencapai objektif yang disasarkan.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: thepatriots

Tuesday, November 27, 2018

Wayang Kulit Najib Disebalik Pindaan Audit 1MDB

Wayang Kulit Najib Disebalik Pindaan Audit 1MDB

Walaupun tidak disebut dalam bentuk pengakuan yang jelas, tetapi nyata boleh difahami oleh sesiapa saja bahawa Najib Razak secara tidak langsung mengakui beliau telah mengarahkan pindaan dilakukan terhadap laporan audit 1MDB.

NAJIB 1MDB

Berhubung pendedahan Ketua Audit Negara, Dr. Madinah Mohamad bahawa Najib melalui Ketua Setiausaha Sulitnya ketika itu, Shukry Salleh yang mengarahkan pindaan itu, peguam Shafee Abdullah berkata, maklumat yang dikeluarkan daripada laporan audit itu bukanlah perkara yang baru.

Maklumat yang dikeluarkan itu, salah satunya ialah mengenai kehadiran Jho Low dalam mesyuarat Lembaga Pengarah 1MDB.

Najib dalam kenyataannya kemudian juga menegaskan, maklumat berkaitan kehadiran Jho Low dalam mesyuarat Lembaga Pengarah 1MDB yang dikeluarkan daripada laporan audit itu sama sekali bukan perkara baru. Kata beliau, maklumat tersebut sudah pun disebut dan dilaporkan sejak tahun 2015 lagi.

Sehubungan itu, beliau menafikan tindakan mengeluarkan maklumat itu sebagai percubaan untuk menutup sesuatu berkaitan skandal 1MDB.

Tetapi, jika ia bukan maklumat baru dan tidak pula sebagai percubaan menutup skandal 1MDB, mengapa ia diarah dipadamkan daripada laporan audit itu?

Bukankah maklumat itu sepatutnya dibiarkan saja ada dalam laporan audit?

Sudahlah begitu, selepas maklumat tersebut dikeluarkan, laporan audit itu kemudiannya diletakkan pula di bawah Akta Rahsia Rasmi atau OSA.

Makna kata, setelah pindaan dibuat dengan membuang maklumat mengenai kehadiran Jho Low dalam mesyuarat Lembaga Pengarah 1MDB, laporan audit itu akhirnya tidak boleh dibaca oleh sesiapa akhirnya kerana telah diletakkan di bawah OSA.

Jadi, untuk apa diarahkan pindaan jika akhirnya ia diletakkan di bawah OSA?

Kebiasaannya, oleh kerana tidak ada pindaanlah maka barulah logik laporan audit itu diletakkan di bawah OSA.

Ehh. Apa Najib buat ni sebenarnya?

KERAJAAN MALAYSIA

Disinilah terletaknya wayang kulit yang cuba Najib pentaskan untuk menyelamatkan dirinya dan melindungi Jho Low dalam skandal 1MDB.

Najib memang mahu pada akhirnya laporan audit itu didedahkan kepada umum untuk membuktikan beliau bersih dan tidak melindungi apa-apa atau sesiapa dalam skandal 1MDB yang menjadi perbualan di seluruh dunia.

Tetapi, sementara beliau mengarahkan Kementerian Kewangan membayar hutang-hutang 1MDB dan menyelesaikan beberapa perkara lainnya, laporan audit itu perlu diOSAkan terlebih dahulu.

Ia bagi memberi ruang agar beban hutang 1MDB dapat dikurangkan secara perlahan-lahan, sambil dalam waktu yang sama beliau berusaha memenangi PRU14 yang lalu.

Perkara pokok yang penting bagi Najib untuk menutup "kurap dan pekung" 1MDB ialah BN menang PRU14.

Apabila dalam tempoh beberapa tahun selepas PRU14 dan dalam keadaan BN kekal berkuasa serta beban hutang 1MDB juga berjaya dikurangkan, maka pada ketika itulah Najib akan tampil menunjukkan keikhlasannya dengan melepaskan laporan audit yang diOSAkannya itu untuk bebas dibaca oleh rakyat seluruhnya.

Sudah tentu laporan audit yang sudah dilepaskan daripada OSA dan boleh dibaca oleh rakyat itu tidak ada langsung menampakkan apa-apa yang sumbing atau sumbang sama ada berkaitan Najib sendiri atau campurtangan Jho Low dalam urusniaga 1MDB kerana segala-galanya telah pun dipadamkan.

Tambahan lagi ketika itu BN telah pun diberi mandat untuk berkuasa dan Najib masih lagi merupakan Perdana Menteri.

Najib akhirnya dapat membuktikan tiada apa-apa skandal dalam 1MDB, malah dengan sikap telus yang ditunjukkannya, dirinya juga akan ternampak suci bersih bersamanya.

PM MALAYSIA

Malangnya, semua wayang kulit Najib itu tidak menjadi kenyataan sebagaimana cuba dirancang apabila BN kalah PRU14 dan beliau sendiri tersingkir sebagai Perdana Menteri.

Bahkan dengan perkara itu terdedah sekarang ini, Najib dan beberapa pegawai kerajaan lain yang tunduk kepada arahannya itu bukan saja akan disiasat satu persatu, malah tidak mustahil turut dihukum secara berjemaah atas perbuatan yang jelas suatu pengkhianatan kepada negara.

Najib muka tembok yang tiada kemaluan.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: 1

Kenali Buah Langsat, Duku, Rambai Dan Dokong

Kenali Buah Langsat, Duku, Rambai Dan Dokong

Sememangnya terdapat perbezaan diantara buah Rambai, Buah Duku, Buah Dokong dan Buah Langsat jika seseorang itu belajar mengenainya, adalah jenis buah bermusim yang biasanya ditanam dikawasan keliling rumah di kampung tradisional atau pada dusun komersil dibeberapa lokasi.

Buah-buahan ini ditanam dibeberapa negara dan dipercayai berasal daripada kawasan Asia Tenggara seperti Malaysia dan Sumatra.

Jom kenali perbezaan buah-buahan ini walaupun bentuk dan rupanya seakan-akan serupa.

1. Buah Langsat

Buah Langsat

Langsat atau nama saintifiknya, Lansium domesticum var domesticum, merupakan sejenis buah-buahan bermusim yang ditanam di negara kita daripada keluarga Meliaceae.

Ramai keliru dengan panggilan buah dari kumpulan ini iaitu Buah Duku, Buah Langsat, Buah Duku Langsat, Buah Dokong, Buah Rambai dan sebagainya. Langsat berbeza dengan buah lain (duku dan dokong) kerana ia mempunyai kulit buah yang agak nipis dan mempunyai biji yang pahit jika tergigit.

Nama lain bagi buah langsat seperti konkosan, lansa, lanseh, lansep, lanzon, lanzone, longson, bon-bon, langsad dan sebagainya mengikut lokaliti.

Pokok langsat merupakan tumbuhan yang perlukan Lindungan atau naungan, dengan kombinasi seperti dusun sedia ada, kawasan kelapa dan lain-lain jenis buah-buahan sesuai dijalankan.

Pokok langsat lazimnya memerlukan sekitar 40-60% teduhan supaya pertumbuhan subur dan cepat. Biasanya pokok Gliricidia, petai, petai belalang dan juga pisang adalah tanaman lindungan yang sesuai.

Pokok langsat akan mula berbuah selepas 6-10 tahun ditanam dan di peringkat awal berbuah, anggaran hasilnya ialah 3 tan sehektar (123 pokok sehektar dengan jarak tanaman 9m x 9m).

Langsat mencapai pengeluaran hasil optimum mulai tahun ke 15 keatas bergantung kepada pengurusan dan varieti. Anggaran hasil sebanyak 14-16 tan metrik sehektar.

Pokok langsat biasanya di serang penyakit dan perosak walau pun tahap serangan pada kadar serangan tidak membahayakan. Antaranya ialah kulat yang menyebabkan penyakit bintik berpusar (antraknos) pada buah dan penyakit kulapuk.

Buah-buah yang pecah juga merupakan masalah yang agak serius walau bagaimanapun, ini bukanlah penyakit tetapi satu faktor fisiologikal dimana ini biasanya berlaku apabila hujan turun selepas cuaca panas dan kering. Penyerapan air hujan akan juga menyebabkan buah menjadi bengkak dan akhirnya pecah oleh sebab ketegangan air di dalamnya.

Terdapat juga penyakit lain menyerang pokok langsat seperti Penyakit Reput Buah dimana buah menjadi rosak dan reput. Tidak serius tetapi boleh mengurangkan hasil. Guna racun kulat cooper oxychloride di peringkat berbuah dengan kadar 0.1%. Ulangi semburan jika perlu.

Terdapat juga serangan serangga perosak pada tanaman langsat seperti serangga 'Pengorek buah' yang bertelur di dalam buah yang muda. Seterusnya larva memakan buah yang sedang membesar dan menyebabkannya gugur. Cara kawalan dengan membersihkan dusun dari buah-buah yang diserang dan bakar.

Terdapat juga teritip yang menghisap cecair daun. Larva akan memakan pucuk muda dan meninggalkan lapisan kutikal. Daun yang disrang menjadi kering berwarna perang di bahagian tepi daun. Cara kawalan ulat ini adalah dengan menyembur racun dimethoate dengan kadar 0.1% bahan aktif di peringkat berpucuk.

Bagi masalah serangan Lalat Buah (Daucus spp) yang membuat tusukan pada buah yang sedang masak dimana akibatnya buah akan menjadi berair dan bertukar warna menjadi coklat. Buah rosak dan gugur. Cara kawal lalat buah adalah dengan menggunakan umpan seperti protein hydrolysaste untuk memberi tarikan.

Bahan ini dicampur dengan racun serangga dan disembur di kawasan daun. Lalat akan berkerumun di situ dan terus guna methyl-eugenol bagi merangkap lalat. Bahan ini dicampur dengan racun serangga dan diletak di kawasan ladang.

2. Buah Duku

Buah Duku

Duku atau nama saintifiknya, Lansium domesticum var duku, merupakan sejenis buah tropika yang ditanam di negara kita daripada keluarga Meliaceae, berbeza dengan buah lain (langsat dan dokong) kerana ia mempunyai kulit buah yang agak tebal (terutama duku Johor) dan mempunyai biji yang sederhana pahit jika tergigit.

Pokok Duku adalah sejenis tanaman buah-buahan yang berasal dari Asia Tenggara. Rasanya sedap tapi lambat berbuah. Jarang-jarang kita jumpa buah duku yang masam kecuali bila ia dipetik ketika belum cukup masak atau tidak pernah diberikan baja.

Buah duku biasanya memiliki kelompok 10 biji buah yang bulat dan besar, sekitar garis pusat 5 cm dan kulit buah yang lebih tebal. Musim buah duku iaitu bulan Julai, Ogos, September dan Oktober.

Secara umumnya Buah Duku ada dua Jenis iaitu DUKU JOHOR dan juga DUKU TERENGGANU. Kedua-dua jenis duku ini amat berbeza kerana mempunyai bentuk buah dan ketebalan kulit yang nyata berbeza.

Duku merupakan buah yang memerlukan masa untuk dipasarkan dengan betul kerana ia mudah rosak yang tahan hanya 2-3 hari sahaja selepas dipetik.

Duku mempunyai masalah serangan kulit pokok seperti Ulat Pengorek Kulit (Puru Batang) yang menyerang kulit batang, dahan malahan kadang-kadang daun dengan tanda seperti berkeruping.

Tanda serangan dimana terdapat bintik-bintik kecil warna coklat kehitaman pada peringkat awal dan ia akan menjadi puru pada bahagian kulit.

Kawalan boleh dijalankan dengan kita mengikis bahagian puru pada kulit yang diserang sebelum disembur dengan racun kimia seperti racun dimethoate dengan kepekatan 0.05% sehingga serangan terkawal.

Penuaian buah Duku/Duku Langsat

Buah mesti dielakkan daripada terhempas ke tanah semasa penuaian. Perubahan warna daripada satu indeks ke indeks kemasakan berikutnya mengambil masa selama 3-4 hari. Perubahan warna buah daripada indeks 1 ke indeks 6 mengambil masa kira-kira 17 hari.

Peringkat kemasakan yang sesuai untuk penuaian buah duku bergantung pada kegemaran pengguna. Berdasarkan kajian yang dijalankan mendapati, buah sesuai dipetik pada indeks 4 iaitu semua buah dalam satu tangkai berwarna kuning cerah.

Pada peringkat ini buah sudah berhenti membesar (18 gm sebiji) dan kandungan gula sudah mencapai peringkat maksimum (jumlah pepejal terlarut lebih daripada 18%).

Walau bagaimanapun, kandungan asid masih agak tinggi (0.9%) dan membuatkan buah mempunyai rasa manis dengan sedikit rasa masam. Bagi mereka yang gemarkan buah yang lebih manis, penuaian boleh dilakukan pada indeks 5 atau 6, tetapi jangka hayat buah ini lebih pendek.

Terdapat juga penanam dokong memetik buah lebih awal iaitu pada indeks 4 untuk tujuan eksport ke Thailand. Buah pada peringkat ini mempunyai rasa masam-masam manis (jumlah pepejal terlarut 16% dan asid 0.9%) dan saiz buah kecil sedikit (15 gm sebiji).

Indeks kemasakan buah dokong telah dibentuk berdasarkan warna buah dan boleh dijadikan panduan untuk penuaian:
  • Indeks 1: Setiap buah dalam satu tangkai, sudah menunjukkan warna kekujing walaupun keseluruhan buah masih kehijauan.
  • Indeks 2: Setiap buah pada satu tangkai berwarna kuning pucat dengan 6-8 biji buah masih terdapat warna kehijauan pada hujung buah. Biasanya buah-buah ini menghadap cahaya matahari.
  • Indeks 3: Setiap buah dalam satu tangkai berwarna kuning pekat dengan 1-2 biji buah pada bahagian paling bawah tangkai menunjukkan kesan kehijauan pada hujung buah.
  • Indeks 4: Semua buah dalam satu tangkai berwarna kuning cerah.
  • Indeks 5: Semua buah dalam satu tangkai berwarna kuning keperangan.
  • Indeks 6: Semua buah dalam satu tangkai berwarna kuning keperangan tetapi darjah keperangannya lebih daripada buah pada indeks 5.

3. Buah Rambai

Buah Rambai

Rambai atau nama saintifiknya, Baccaurea motleyana Mull, merupakan sejenis buah-buahan tropika dari Keluarga Euphobiaceae dipercayai berasal dari Semenanjung Malaysia. Tanaman ini juga terdapat di Indonesia, Borneo dan juga beberapa kawasan di Asia Tenggara.

Buah rambai ada yang jenis manis tetapi kebanyakanya masam. Terdapat beberapa jenis buah rambai yang boleh dikomersilkan jika kajian lanjut dibuat bersama-sama pakej teknologi yang sesuai.

Kegunaan lain pokok rambai ialah untuk dijadikan pokok hiasan, pokok naungan selain dari kayunya yang boleh dijadikan tiang atau perabut atau ukiran.

Buah rambai boleh di makan segar dengan memakan isinya dan dibuang kulitnya. Selain itu kulit buah rambai boleh dikeringkan selama 2-3 hari untuk dibuat halwa, jeruk dan sebagainya.

Kulit yang telah kering berwarna hitam jika di proses jadi serbuk yang dipercayai mampu melicinkan kulit muka. Kulit batang pokok rambai juga boleh digunakan sebagai bahan pewarna.

Setiap 100 gram buah mengandungi 142 mg potasium, 9.7 mg Posforus, 5.4 mg Kalium dan 11.8 mg Magnesium. Bagaimanapun, kandungan vitamin rambai agak rendah iaitu cuma 11.2 mg vitamin C, 0.55 mg Thiamine (Vitamin B1) serta 0.11 mg Riboflavin (Vitamin B2).

Bentuk buah rambai juga berbeza-beza dari bentuk bulat, lonjong, oblong dan ovoid. Saiz buah juga berbeza antara 2.3-3.8 cm panjang dan 1.5-3.3 cm lebar. Rasa buah rambai masam, manis dan kebanyakannya masam-masam manis.

Penanaman rambai menggunakan biji benih yang terpilih dari pokok yang menghasilkan buah yang manis. Pertumbuhan pokok rambai agak perlahan pada 2 tahun pertama. Pokok rambai juga kurang menghadapi serangan penyakit dan perosak.

Rambai Sarawak mempunyai saiz paling besar iaitu antara 19 - 21.36 gram setiap biji. Kebanyakan jenis tersebut diberi nama berasaskan kepada lokaliti dan juga bentuk buah.

Rambai telur contohnya berbentuk bulat yang mempunyai kulit licin dan halus seperti kulit telur.

Rambai Lumut mempunyai kulit berwarna hijau walau pun telah matang tetapi kulitnya akan tetap berwarna hijau.

Rambai Jantung kerana buahnya berbentuk jantung (elipsoid) dan mempunyai 1 biji sahaja didalamnya.

Rambai Langkawi berasal dari Pulau Langkawi dimana buahnya bulat berwarna coklau kekuningan dan masih banyak ditanam di Pulau Langkawi.

4. Buah Dokong

Buah Dokong

Dokong atau nama saintifiknya, Lansium domesticum Corr, merupakan sejenis buah-buahan yang popular di Malaysia dan Thailand sebagai buah dari keluarga MELIACEAE.

Terdapat tiga jenis dokong yang agak berlainan dari segi ciri dan kualiti buah, iaitu DOKONG KERING, DOKONG AIR dan DOKONG BIJI atau dokong butir.

Perbezaan diantara ketiga-tiga adalah dimana Dokong Kering merupakan klon yang ditanam secara komersial kerana buah yang sangat manis, kulit tidak bergetah, kandungan biji yang rendah dan kebanyakan biji adalah kesep. Buah jenis ini tersusun rapat di tangkai.

Klon Dokong Air pula mempunyai kandungan air yang sangat tinggi. Air akan terpancut keluar apabila kulit ditekan. Isi buah kurang manis jika dibandingkan dengan isi buah dokong kering. Kulitnya nipis tetapi bergetah. Jenis ini tidak ekonomik ditanam secara komersial kerana nilai dan sambutan pasaran adalah rendah.

Klon ketiga iaitu Klon Kombinasi antara Dokong Biji/Dokong Air mempunyai ciri dimana setiap ulas mengandungi satu biji benih yang besar dan bernas. Isinya sangat nipis, tidak berair dan rasanya masam-masam manis. Kulitnya lebih tebal dari dokong kering dan dokong air dan tidak bergetah. Buah ini tidak mempunyai nilai komersial tetapi bijinya boleh diguna sebagai sumber benih pokok penanti.

Dokong akan menghasilkan buah setisp 2-3 tahun sekali dengan banyak dan sangat bergantung kepada ilkim panas dan faktur hujan yang akan menghasilkan proses pembungaan.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: 1 | 2 | 3 | 4

Perang Rom-Parsi 602-628, Dua Empayar Teragung Dunia

Perang Rom-Parsi 602-628, Dua Empayar Teragung Dunia

Sebelum Perang Rom-Parsi, empayar Parsi sejak era Akaemeni (Achaemenid atau Hakshamanis) sering melanggar benua Eropah dengan menyerang negeri-negeri Greek tetapi tidak berjaya, sebaliknya keajaiban berlaku ketika lahirnya penakluk terulung dunia iaitu Alexander the Great apabila menyapu bersih empayar gergasi Parsi hanya dalam masa 4 tahun sahaja.

Perang Rom-Parsi

Empayar Rom dan Parsi merupakan dua empayar terkuat di dunia dan saling bertempur bagi menunjukkan kemegahan masing-masing, sejak abad ke-2 masihi lagi dengan dinasti bersilih ganti.

Selepas kematian Alexander, budaya Hellenistik menyerap ke dalam Parsi ketika pemerintahan Dinasti Salukiyyun (Seleucid) dan Ashkaniyyan (Parthia). Tempat Greek di ganti oleh Rom bagi mengekang segala asakan daripada Parsi.

Kedua-dua empayar saling bertempur dan menempuh peperangan yang panjang dan berakhir dengan Perang Rom-Parsi 602-628 antara Empayar Byzantine (Rom) menentang Empayar Sasaniyyah (Parsi).

Untuk pengetahuan, gelaran bagi pemerintah di Rom ialah Maharaja, manakala Parsi menggunakan gelaran Shahanshah yang bermaksud Raja segala Raja atau diringkaskan menjadi Shah.

PENGENALAN KEPADA PERANG ROM-PARSI 602-628

Perang Rom-Parsi 602-628 merupakan perang terakhir dan merupakan perang paling dahsyat antara empayar Empayar Byzantine (Rom) dan Sasaniyyah (Parsi).

Sebelum itu, sudah berlaku perang antara kedua-dua empayar antara tahun 572 hingga 591 dan Perang Saudara Sasaniyyah 589-591.

Perjanjian damai antara kedua-dua pihak yang di menangi oleh Rom membawa rasa tidak puas hati dalam kalangan tentera dan kaum kerabat diraja Parsi, ketika itu imej jeneral Parsi iaitu Bahram Chobin lebih berpengaruh berbanding Shahnya sendiri iaitu Hormidz IV hingga berlakunya perang saudara.

Dalam perang saudara Sasaniyyah, Bahram yang lebih berpengaruh berjaya memaksa Shahanshah Parsi ketika itu, Hormidz IV turun takhta dan dibunuh oleh pemberontak, tempatnya di gantikan oleh anak Hormidz iaitu Shahanshah Kisra II (juga lebih dikenali sebagai Khosrow II atau Khusraw Parvez).

Bahram berjaya mengalahkan Kisra II dalam pemberontakan menentang kerajaan dan akhirnya beliau berjaya menguasai pentadbiran pusat Parsi dan menjadi Shahanshah baru yang menggantikan Kisra II.

Kisra II terpaksa melarikan diri ke Rom dan mendapatkan bantuan Empayar Rom untuk mengembalikan semula kuasanya selaku Shahanshah Parsi.

Maharaja Rom ketika itu iaitu Maharaja Maurice bersetuju mengembalikan semula kuasa Kisra II sebagai Shah Parsi.

Kisra II berjaya mendapat sokongan tentera di Nisibis dan gabungan tentera Rom dan Parsi berjaya mengalahkan angkatan tentera Bahram dan Kisra II berjaya menakluk ibu negaranya iaitu Ctesiphon dan berjaya mengembalikan semula kuasanya sebagai Shah Parsi. Manakala Bahram di bunuh oleh tentera upahan Kisra II dan menamatkan perang.

Genjatan senjata antara kedua-dua pihak berlangsung hingga tahun 602 dan untuk pengetahuan, Rasulullah SAW pernah menghantar utusan untuk berdakwah kepada kedua-dua mereka iaitu Maharaja Rom, Heraclius dan Shahanshah Parsi, Kisra II.

Pada peringkat pertama peperangan, kuasa Parsi banyak menguasai wilayah Empayar Rom akibat ketidakstabilan politik dalam negara Rom itu sendiri.

Peperangan bermula pada tahun 602 apabila Maharaja Maurice di bunuh oleh musuh politiknya iaitu Pochas yang kemudiannya menjadi maharaja Rom.

Pochas merupakan jeneral Rom yang mewakili Rom menentang kaum Avar di Balkan tetapi menemui kekalahan dan ramai tentera Rom di tangkap dan di bunuh oleh kaum Avar menyebabkan Pochas tidak berpuas hati dengan Maharaja Maurice yang tidak mengendahkan mereka malah Pochas sendiri di tampar oleh pegawai Rom.

Ketika Maharaja Maurice memerintahkan ramai tentera di hantar ke Balkan untuk berperang menentang Avar, Pochas yang mengetuai angkatan tentera tersebut mara ke arah Kota Konstantinopal dan bertindak menyerang dan menangkap Maharaja Maurice.

Pochas yang mendapat sokongan tenteranya yang menguasai Konstantinople di tabalkan sebagai Maharaja Rom yang baru dan di beri gelaran Pochas Augustus. Maurice serta anak-anak dan isterinya dihukum bunuh oleh mahkamah.

Berita pembunuhan Maurice sampai ke pengetahuan Shah Kisra II menyebabkan beliau melancarkan serangan ke atas Maharaja Pochas bagi membalas dendam ke atas pembunuhan yang dilakukan ke atas Maurice.

Dalam masa yang sama, ramai gabenor Rom yang berada di luar wilayah Anatolia bertindak melancarkan revolusi menentang rejim Pochas, antaranya ialah Narses yang bertindak meminta bantuan daripada Shah Kisra II menentang Pochas di kawasan Mesopotamia.

Beliau di bakar hidup-hidup oleh Pochas ketika hendak meredakan keadaan di Mesopotamia selepas ragu-ragu dengan bantuan daripada Parsi, manakala Parsi dapat menguasai keseluruhan Mesopotamia dan Kaukasus daripada Rom.

Pemberontakan dua beranak Heraclius (608-610)

Peta Empayar Rom-Parsi
Peta Empayar Rom-Parsi.

Di Afrika Utara, gabenornya Heraclius the Elder (bapa kepada Heraclius, bakal menjadi Maharaja Rom) memberontak melawan rejim Pochas pada tahun 608 bagi membalas dendam atas kematian Maharaja Maurice.

Bandar Kart Hadas (Carthage) yang berada jauh dengan Konstantinople memudahkan lagi gerakan pemberontakan melawan rejim Pochas. Manakala di sebelah timur, Parsi yang sudah menguasai dari Mesopotamia hingga ke wilayah Anatolia, bersiap sedia melancarkan serangan besar-besaran ke atas Empayar Byzantine.

Dengan ancaman besar dari kedua-dua belah arah, rejim Pochas terbahagi kepada dua bahagian yang sudah semestinya memberi kelebihan kepada Heraclius the Elder dan Parsi.

Heraclius the Elder berjaya menguasai Afrika Utara dan mengisytiharkan dirinya sebagai ketua di Afrika Utara yang bebas dari pengaruh Byzantine.

Situasi tersebut memberi tekanan kepada Pochas apabila banyak wilayah kekuasaan Byzantine sudah hilang. Afrika Utara jatuh ke tangan pemberontak pimpinan Heraclius the Elder, Timur Tengah jatuh ke tangan Parsi, manakala puak Slav mula menduduki Balkan.

Pada tahun 610, Heraclius (anak kepada Heraclius the Elder) bersama-sama dengan ramai para pemberontak yang menyertainya belayar menuju ke Kota Konstantinopal.

Dengan sokongan penduduk Kota Konstantinopal, dengan mudah Heraclius berjaya menawan kota tersebut dan ditabalkan menjadi Maharaja Rom yang baru menggantikan Pochas.

Pochas kemudiannya dijatuhi hukuman bunuh. Heraclius the Elder rasa bersyukur dengan tumbangnya rejim Pochas di tangan anaknya.

Selepas Heraclius sah menjadi Maharaja Rom, baginda berusaha untuk berunding dengan Shah Kisra II untuk berdamai kerana bagi Heraclius, yang menjadi punca kepada pergolakan dalam negara ialah Pochas, baginda bertindak menghantar surat melalui utusan ke wilayah Parsi bagi menghentikan peperangan dengan Parsi dan berdamai.

Tetapi sebaliknya Shah Kisra II bertindak menolak tawaran Heraclius dan membunuh utusan Rom kerana bagi Shah Kisra II, orang yang layak menggantikan Maharaja Maurice ialah anaknya iaitu Theodosius, bukannya Heraclius.

Baginya, Heraclius hanyalah seorang pemberontak yang menggulingkan kerajaan pimpinan Pochas dan tidak layak untuk menjadi maharaja.

Pada tahun 612, tentera Parsi pimpinan Shahrbaraz dan Shahin mula bertempur dengan tentera Rom pimpinan Heraclius, Nicetas dan Philippicus di wilayah utara Sham menghala ke arah Antioch, Syria dan berjaya menawannya pada tahun 613.

Rom mengalami kekalahan demi kekalahan dan Parsi mara untuk menakluk bandar-bandar utama Syria dan berjaya menakluk Palestin pada tahun 614 akibat sokongan orang Yahudi yang bertindak melancarkan pemberontakan melawan Rom.

Dengan penaklukan keseluruhan ke atas bandar-bandar dalam wilayah Sham, Parsi berjaya menguasai jalan darat yang menghubungkan Konstantinopal dengan negeri-negeri di Timur Tengah dan Afrika Utara.

Pada tahun 615, jeneral Parsi iaitu Shahin melancarkan serangan ke atas wilayah Anatolia dan Asia Minor dan memenangi banyak pertempuran menentang Rom pimpinan Philippicus.

Tentera Parsi mara hingga menakluk kota Chalcedon pada tahun 617 yang terletak berhadapan Kota Konstantinopal yang hanya di pisahkan oleh Selat Bhosporus.

Tentera Parsi dapat dilihat dari Kota Konstantinopal menyebabkan Maharaja Heraclius tiada pilihan dan terpaksa berunding dengan Shahin dan bersetuju menjadikan Rom sebagai negara naungan Parsi.

Tetapi, Shahin tidak mempunyai kuasa untuk berdamai dengan Rom kerana kuasa sebenar berada di tangan Shah Kisra II.

Parsi sebenarnya berpeluang menakluk dan meruntuhkan empayar Rom di Konstantinopal tetapi melakukan tindakan pelik yang tidak difahami apabila mengundurkan tenteranya dari Chalcedon dan menakluk Mesir. Mungkin ada alasan yang tidak diketahui mengapa Shah Kisra II melakukan perkara tersebut.

Pada tahun 618, tentera Parsi pimpinan Shahrbaraz menyerang Mesir yang ketika itu diketuai oleh Nicetas dan Shahrbaraz berjaya menakluk Mesir dan menjadi gabenor Mesir sehingga tahun 621.

Rom yang ketika itu berada dalam situasi yang sangat rumit apabila masalah berlaku dari segenap arah. Masalah ekonomi berlaku akibat penguasaan wilayahnya oleh Parsi, manakala tentera Avar dari utara mula menakluk satu persatu wilayah Rom di sebelah utara.

Ketika Rom yang bagaikan tiada harapan untuk bangkit menentang empayar Parsi pimpinan Shah Kisra II, keajaiban mula berlaku sejak ramalan al-Quran dalam Surah ar-Rum (Rom) yang meramalkan tentera yang kalah teruk akan bangkit menentang tentera yang menang. Pendapat ulama mengatakan ayat ini di tujukan kepada Rom yang kalah teruk ketika berdepan Parsi.

PERINGKAT KEDUA, Serangan balas Rom (622-628)

Bagaikan mendapat satu aura dan kekuatan, Maharaja Heraclius bersama tenteranya merancang melakukan serangan ke atas Parsi yang ketika itu mengusasai wilayah Anatolia yang di ketuai oleh Shahrbaraz, dan di bantu oleh Shahin dan Shahraplakan.

Dalam serangan antara tahun 622-623, tentera Heraclius banyak memenangi pertempuran dan memaksa Parsi untuk berundur.

Heraclius yang merancang untuk mara lebih jauh tersekat dengan berita kemaraan puak Avar ke arah kota Konstantinopal menyebabkan Heraclius terpaksa berpatah balik ke Konstantinopal dan mula berunding dengan puak Avar.

Heraclius menempatkan tenteranya untuk mengawal kawasan Anatolia daripada di takluk semula oleh Parsi.

Setelah sampai di Konstantinopal dan meredah masuk ke dalam Empayar Avar Khagan, baginda mengadakan rundingan dengan pemerintah Avar (yang namanya tidak diketahui) dan akhirnya dapat di capai apabila Maharaja Heraclius terpaksa memberikan sejumlah habuan yang besar kepada puak Avar. Dengan itu, baginda lebih fokus berhadapan dengan Parsi.

Pada tahun 624, Maharaja Heraclius sekali lagi menulis surat untuk berdamai dengan Parsi tetapi di tolak oleh Shah Kisra II yang tetap dengan pendiriannya untuk tidak berdamai dengan Rom.

Maharaja Heraclius yang tiada pilihan bertindak menyerang Tanah Parsi bersama ribuan tenteranya melalui kawasan pergunungan Anatolia dan Kaukasus.

Baginda mencapai kemenangan di sepanjang jalan menuju ke arah Kaukasus, dan berjaya menguasai Kaukasus. Seterusnya turun ke selatan menuju ke arah Mesopotamia yang terletaknya ibu negara Empayar Parsi Sasaniyyah iaitu Kota Ctesiphon.

Dalam perjalanan menuju ke Mesopotamia, tentera baginda di tentang hebat oleh tentera Parsi pimpinan jeneral berbangsa Arab yang berjumlah kira-kira 40,000 orang, namun tetap berjaya mencapai kemenangan yang menakjubkan, serta menghancurkan kuil api Majusi di Takht Sulaiman.

Kehadiran panglima Shahrbaraz, Shahin dan Shahraplakan akhirnya dapat menghentikan kemaraan Heraclius dan tentera Heraclius tewas kepada Parsi menyebabkan Heraclius mula berundur jauh ke Trebizond.

Pengepungan Konstantinopal (626)

Pengunduran tentera Rom memberikan masa kepada pihak Parsi untuk bersiap sedia mengerahkan tentera dalam jumlah yang besar bagi menakluk kota Konstantinopal dari jalan laut dan menghancurkan terus empayar Rom dari muka bumi.

Ketika itu, kota Konstantinopal di tadbir oleh seorang Patriark (ketua bagi penganut gereja Ortodoks) iaitu Sergius kerana Maharaja Heraclius berada di Trebizond.

Pada tahun 626, Shah Kisra II telah membuat pakatan bersama puak Avar di utara empayar Rom untuk sama-sama melancarkan serangan balas ke atas Rom.

Dengan itu, Shah Kisra II merencana strategi dengan membahagikan tenteranya kepada dua kumpulan iaitu, satu kumpulan besar tentera di bawah pimpinan Shahin berada di Mesopotamia bagi menangkis serangan jika Heraclius bertindak menyerang Parsi dari Trebizond. Manakala tentera elit bersama dengan Shahrbaraz di tugaskan untuk menakluk Kota Konstantinopal yang berganding dengan tentera puak Avar yang berjumlah kira-kira 80,000 orang.

Maharaja Heraclius juga mempunyai strateginya sendiri apabila membahagikan unit tenteranya di Trebizond kepada tiga kumpulan.

Kumpulan pertama di hantar ke Konstantinopal sebagai tentera bantuan dan penaik semangat kepada warga Konstantinopal. Kumpulan kedua di bawah pimpinan saudaranya Theodore Heraclius bagi menghadapi pasukan Shahin di Mesopotamia, manakala kumpulan ketiga di bawah baginda sendiri.

Heraclius juga membuat pakatan dengan puak Turki dari Empayar Gokturk Khagan dari Asia Tengah untuk bersama-sama menyerang Parsi.

Di Kota Konstantinopal, serangan serentak di lakukan oleh Shahrbaraz mewakili Parsi, dan puak Avar bagi menakluk kota tersebut dengan anggaran tentera seramai kira-kira 100,000 orang.

Tentera Parsi mengalami kesukaran mendarat di Kota Konstantinopal kerana berhadapan dengan tentera laut Rom yang jauh lebih mahir berbanding Parsi yang tidak mempunyai tentera laut yang cekap walaupun tentera laut Rom jauh lebih sedikit berbanding Parsi.

Akibatnya, ramai tentera elit Parsi tidak dapat menyeberang Selat Bosphorus, dan dalam masa yang sama berlaku salah faham antara tentera Parsi dengan Avar menyebabkan sebahagian daripada mereka bertempur sesama sendiri.

Pengepungan kota Konstantinopal menemui kegagalan apabila setiap kali percubaan untuk menakluk tembok, deretan kekalahan terhadap Parsi dan Avar yang berpunca daripada sifat warga Konstantinopal yang bersemangat menentang musuh walaupun dalam jumlah yang sedikit.

Dalam masa yang sama, warga Konstantinopal juga mendapat berita yang menggembirakan dari Mesopotamia apabila tentera Rom pimpinan Theodore berjaya mengalahkan Parsi pimpinan Shahin, yang menyebabkan semangat tentera Parsi dan Avar untuk menakluk Kota Konstantinopal semakin merudum.

Menyedari jalan kegagalan semakin menjelma, tentera puak Avar mula mengundurkan diri, manakala Shahrbaraz terpaksa memberhentikan serangan mereka.

Berita kegagalan Parsi menentang Rom di Konstantinopal dan Mesopotamia menyebabkan Shah Kisra II mula mengamuk dan tidak senang duduk. Beliau bertindak menghantar utusan kepada Shahrbaraz yang berada di Chalcedon yang meminta Shahrbaraz pulang ke Ctesiphon untuk di jatuhi hukaman bunuh kerana kegagalan menakluk Konstantinopal.

Surat tersebut di pintas oleh tentera Rom sebelum sampai ke tangan Shahrbaraz dan di sini bermulanya permainan psikologi oleh Maharaja Rom bagi mempengaruhi Shahrbaraz untuk berpihak menentang Shah Kisra II selepas menunjukkan surat tersebut kepada Shahrbaraz.

Shahrbaraz bertindak mengundurkan semua tenteranya ke Syria sebagai persediaan menggulingkan Shah Kisra II dari takhta kerajaan Parsi.

Perang Turki-Parsi Ketiga dan Pertempuran Nineveh (627-628)

Maharaja Heraclius
Maharaja Heraclius.

Di Trebizond, Maharaja Heraclius yang sudah membuat pakatan dengan puak Turki dari Empayar Gokturk Khagan mula bertindak menakluk satu persatu wilayah Parsi dari Kaukasus hingga bertemu dengan tentera Rom pimpinan Theodore di Mesopotamia.

Ketika itu tentera Turki menarik diri daripada menyerang Parsi kerana cuaca sejuk melampau. Tentera Rom pimpinan Heraclius bertemu dengan tentera Parsi pimpinan Rhahzard di Nineveh dan berlaku pertempuran antara kedua-dua belah pihak yang akhirnya dimenangi oleh Heraclius dan Rhahzard terbunuh dalam pertempuran tersebut.

Shah Kisra II melarikan diri ke Ctesiphon untuk mempertahankan kota tersebut daripada tumbang ke tangan Rom.

Kekalahan demi kekalahan yang menimpa Shah Kisra II menyebabkan pembesar, rakyat dan tentera hilang kepercayaan kepada beliau dan memberontak menggulingkan beliau daripada takhta kerajaan.

Maharaja Heraclius yang berpeluang menghancurkan Parsi sekali lagi memilih untuk berdamai dengan Shah Kisra II.

Belum sempat surat tersebut di balas, pembesar Parsi mula memberontak menggulingkan Shah Kisra II, para pemberontak bertindak melepaskan anaknya iaitu Kavadh II dari penjara (yang dipenjara oleh Shah Kisra II sendiri) untuk menaiki takhta kerajaan dan ditabal menjadi Shahanshah baru menggantikan Kisra II pada tahun 628.

Kisra II di tangkap dan dibunuh oleh anaknya sendiri yang membalas dendam ke atas bapanya yang pernah memenjarakan beliau. Shah Kavadh II memilih jalan berdamai dengan Maharaja Heraclius, dan di terima oleh Heraclius. Dengan itu, berakhirnya Perang Rom-Parsi 602-628.

Kematian Shah Kisra II juga sebenarnya menjadi titik permulaan kepada berlakunya Perang Saudara dalam empayar Sasaniyyah antara pihak bani Sasan yang diketuai oleh Shah Kavadh dan anaknya Ardashir III.

Pihak yang kedua ialah Shahrbaraz dari bani Mihran, dan yang ketiga ialah dari keluarga Pahlav.

Perang sesama sendiri tersebut menyebabkan empayar semakin lemah dan menjadi faktor utama kejatuhan Parsi di tangan Khulafa ar-Rasyidin.

KESIMPULAN

Perang tersebut menyebabkan kedua-dua empayar mengalami kerugian tentera dan ekonomi yang dahsyat. Kerugian yang lebih tinggi di alami oleh Parsi kerana mereka berada di pihak yang kalah dan berlakunya perang saudara selepas itu yang terus melemahkan empayar Parsi dan Rom.

Selain itu, mengikut kepercayaan umat Islam, kemenangan ajaib Rom ke atas Parsi juga disebabkan oleh turunnya ayat al-Quran yang meramalkan kemenangan Rom ke atas Parsi walaupun ketika itu Rom bagaikan tiada harapan langsung untuk menang.

Begitu juga dengan doa daripada Rasulullah SAW agar Allah menghancurkan kerajaan Parsi akibat tindakan jahat Shah Kisra II yang bertindak mengoyak surat seruan dakwah Rasulullah SAW melalui Abdullah bin Hudhafa.

Di pihak Empayar Rom, walaupun kehilangan ramai tentera dan ekonomi, moral penduduk dan askarnya semakin meningkat akibat kemenangan menakjubkan tersebut hingga menobatkan Maharaja Heraclius antara maharaja Rom terhebat yang pernah wujud tetapi statusnya tercalar selepas lahirnya seorang individu genius yang lebih hebat berbanding Maharaja Heraclius iaitu Pedang Allah, siapa lagi kalau bukan Khalid al-Walid!

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: thepatriots

Bagaimana Goldman Sachs Meratah 1MDB?

Bagaimana Goldman Sachs Meratah 1MDB?

Goldman Sachs, sebuah bank pelaburan terkemuka dunia kini berada di dalam situasi kritikal ekoran terpalit dalam skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB). Bekas Ketua Goldman Sachs Asia Tenggara, Tim Leissner telah mengaku bersalah atas tuduhan melakukan pengubahan wang haram dan melanggar undang-undang antirasuah kerajaan asing dengan cara membayar rasuah mencecah jutaan ringgit kepada pegawai-pegawai di Malaysia dan di Abu Dhabi.

Goldman Sachs Cartel

Turut terlibat ialah bekas Pengarah Urusan Goldman Sachs, Roger Ng, 51, apabila Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) telah membuat tuduhan ke atas beliau.

Roger Ng dituduh mencuri, menipu, dan memindahkan wang haram, dalam usaha untuk mencuri wang 1MDB. Beliau telah ditahan oleh pihak berkuasa Malaysia. Kedua-dua Leissner dan Ng adalah pegawai tertinggi Goldman Sachs.

Menurut akhbar The Wall Street Journal (WSJ), Tim Leissner adalah rakan kongsi Goldman Sachs. Hanya 435 orang, atau satu peratus sahaja, dalam seluruh tenaga kerja bank itu, diberi penghormatan ini.

Menurut Tom Wright, wartawan WSJ dan juga penulis buku Billion Dollar Whale, agak mustahil pihak atasan Goldman Sachs tidak tahu tentang penipuan dan pencurian wang dari 1MDB.

Leissner pernah menjawat jawatan Ketua Goldman Sachs di Asia Tenggara. Segala tindak tanduk dan operasi beliau pastinya dikawal rapi oleh pihak atasan, sama seperti bank-bank lain atau syarikat lain di dunia.

Sekiranya Leissner melakukan aktiviti yang melanggar undang-undang, ataupun aktiviti yang mencurigakan, selaku Ketua Asia Tenggara, pihak atasan beliau di New York mahupun di pejabat Goldman Sachs serata dunia tidak boleh berkata 'mereka tidak tahu' kerana ini melanggar operasi perbankan yang normal.

Bon USD 6.5 billion

Peranan rasmi Goldman Sachs dengan syarikat 1MDB adalah melalui pengunderaitan bon (Underwriting Bond) sebanyak lebih kurang RM26 billion (USD 6.5 billion).

Goldman Sachs telah dibayar komisen sebanyak RM2.4 billion (USD 600 juta) atau 10 peratus dari jumlah bon yang diuruskan mereka.

Angka komisen ini sangat tidak munasabah dan di luar angka komisen biasa yang diterima oleh bank-bank pelaburan tempatan.

Bayangkan ini, anda membeli rumah sebanyak RM500,000 dan mengambil pinjaman bank untuk jumlah itu. Tetapi bank mengambil komisen sebanyak RM 50,000. Kamu hanya tinggal RM450,000 tunai untuk membayar penjual rumah itu. Bukankah ini komisen yang tidak munasabah tingginya?

Memalukan, bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Arul Kanda pernah membidas tuduhan komisen tinggi ini, melalui satu wawancara ekslusif yang beliau berikan kepada stesyen bisnes radio Kuala Lumpur, BFM 89.9 pada tahun 2016.

Menurut Arul, pengunderaitan bon adalah satu tugas yang sulit. 1MDB, ketika mereka ingin mengeluarkan bon yang mencecah berbilion dolar Amerika, dalam jangka masa pendek, menghasilkan risiko yang tinggi.

Goldman Sachs pada ketika itu meletakkan angka RM2.4 billion komisen sebagai sebuah harga yang memadai untuk risiko yang bank itu ambil dalam menguruskan bon itu, katanya.

Malaysia kantung duit Goldman Sachs

Melalui pengunderaitan bon 1MDB, Malaysia telah menjadi pusat untung (profit centre) tertinggi untuk Goldman Sachs di dunia.

Malah, tiada satu negara, selain Malaysia, yang memberikan keuntungan setinggi itu, untuk Goldman Sachs, pada ketika itu.

Ada sebab mengapa Tim Leissner dijadikan rakan kongsi Goldman Sachs, dan menjadi anggota tertinggi bank itu. Ia adalah kerana beliau berjaya memberikan keuntungan berbilion ringgit kepada majikan beliau di Goldman Sachs.

Adakah munasabah pihak atasan beliau tidak bertanya bagaimana beliau mampu membuat perniagaan yang membawa pulangan setinggi itu?

Malaysia akan saman Goldman Sachs?

Goldman Sachs Meratah 1MDB
Tim Leissner (kanan).

Disebabkan Tim Leissner mengaku bersalah menipu dan mencuri wang 1MDB sewaktu beliau menjawat jawatan di Goldman Sachs, ini membuka ruang untuk kerajaan Malaysia membuat saman sivil terhadap bank pelaburan itu.

Sebagai mana kita tahu, banyak kes sivil kebiasaanya menyusuli kes jenayah. Ini kerana, fakta dan bukti yang dikemukakan dalam kes-kes jenayah, boleh dan biasa digunakan sebagai bukti dan fakta dalam kes-kes sivil.

Pemberi maklumat 1MDB, Xavier Andrè Justo pula mengatakan bahawa tindakan Leissner mengaku bersalah adalah satu tindakan yang bagus kerana ia menunjukkan bahawa Leissner mementingkan hak dan kepentingan awam.

Leissner mengaku bersalah adalah kerana beliau membuat rundingan senyap dengan pihak berkuasa AS dan tindakan beliau mengaku bersalah mungkin kerana beliau hanya mementingkan diri sendiri dengan tujuan untuk meringankan hukuman ke atas dirinya.

Tetapi, disebabkan beliau mengaku bersalah, ini memendekkan tempoh perbicaraan mahkamah dan sekali gus menyebabkan kesemua yang lain yang terlibat juga bersalah, kata Justo.

Goldman Sachs Semakin Parah!

Bank pelaburan yang terkait dengan skandal 1MDB kini dalam keadaan parah, kata akhbar kewangan Financial Times (FT).

Goldman Sachs Group Inc telah diarahkan oleh institusi pengawalan Amerika Syarikat (AS) untuk memperbaiki cara mereka mengendali pengurusan risiko (risk management) mereka.

Perkara ini terbangkit setelah Ketua Pegawai Eksekutif Goldman David Solomon mengakui bahawa beliau rasa sangat bersalah tentang penglibatan bank itu dalam skandal 1MDB.

Menurut dokumen yang telah dilihat oleh FT, Goldman juga diarahkan untuk memperkayakan laporan berkaitan dengan perbincangan dalaman antara pegawai dalaman berkenaan dan urusan perbankan mereka.

Ia susulan bank perbankan itu terkait dengan skandal 1MDB, melalui pengaturcaraan bon dan sukuk 1MDB yang meraih wang pelaburan sebanyak RM25 bilion (US$6.5 bil).

Goldman Sachs telah mendapat keuntungan sebanyak RM2.4 bilion (US$600 juta) dari tugasan itu, antara pendapatan tertinggi yang pernah diraih oleh mana-mana bank pelaburan di dunia yang pernah terhasil dari satu perbankan.

Goldman dilaporkan telah memperbaiki sistem dalaman mereka apabila menerima tekanan dari Bank Pusat New York.

Perubahan cara kerja dalaman mereka sebelum ini telah dipersetujui pada 2013, namun perkara ini tidak diketahui umum sehingga kini.

Bank Pusat New York telah memberitahu FT bahawa pihaknya tidak boleh memberikan perincian tentang cara pengawasan dalaman yang sedang dilaksanakan Goldman, tetapi FT mendakwa Goldman telah terus diberi tekanan untuk memperbaiki proses dalaman mereka.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: astroawani

Monday, November 26, 2018

Dulu Pelajar Tercorot, Kini Miliki PhD

Dulu Pelajar Tercorot, Kini Miliki PhD

Pernah menjadi pelajar tercorot, gagal mendapat keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)cemerlang juga dikatakan masa hadapanya gelap. Itu pengalaman dilalui oleh Prof. Madya Dr Midhat Nabil apabila mengenang kembali kisah perjalanannya ketika dibangku sekolah dan kisahnya tular di media sosial.

Prof. Madya Dr Midhat
Prof. Madya Dr Midhat bersama isteri.

Katanya, dia terpanggil untuk berkongsi pengalaman ketika belajar kerana mahasiswanya menyangkakan dirinya adalah seorang pelajar cemerlang. Tetapi realitinya adalah tidak.

Memetik Facebook miliknya, beliau memberitahu, keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) adalah baik dengan memperolehi 2A 2C.

Selepas itu, prestasi akademik terus merundum, disebabkan oleh sifat malas belajar yang ada pada dirinya.

Bagi keputusan peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR), beliau hanya mendapat 2A sahaja dan C bagi subjek Matematik, sekali gus meranapkan impiannya untuk memasuki aliran Sains.

Tanpa kerelaan, beliau mengambil aliran perakaunan tetapi nasib menyebelahinya apabila pihak sekolah membuka peluang pelajar aliran lain untuk mengambil aliran Sains.

Pada awalnya, beliau dikatakan tidak layak memasuki kelas aliran Sains tetapi telah berjanji kepada gurunya untuk belajar bersunguh-sungguh.

Sebaik mengikuti aliran Sains, beliau berasa kesal kerana membuat keputusan silap berikutan subjek Sains Tulen sukar terutama subjek Metamatik Tambahan yang dianggap sebagai 'killer subject'.

Hidupnya diselubungi kegelapan apabila setiap tahun, keputusan peperiksaan sangat teruk dan antara tercorot di dalam kelas.

Akhirnya, keputusan SPM sebenar, beliau tidak memperolehi satu A dan guru memberitahu, masa hadapannya gelap gara-gara sikapnya tidak mahu berubah.

Susulan menerima keputusan itu, Dr Midhat, cuba menyambung pelajar di pelbagai institusi, malangnya ditolak dan bermulalah episod dirinya bergelar seorang operator pengeluaran di sebuah kilang di Bangi.

Selepas enam bulan, beliau telah bertukar kerja sebagai pembantu jualan pula di farmasi.

Pelbagai rintangan diharungi termasuk pernah gagal dalam program diploma Universiti Teknologi Mara (UiTM) menerusi kursus Pra-Sains.

Setelah berjaya memasuki program di UiTM Jengka Pahang, beliau hanya memperolehi keputusan CGPA 1.92.

Bagaimanapun, tuah berpihak kepadanya, apabila diberi peluang untuk melanjutkan pelajaran di universiti tersebut.

Bermula dengan langkah kanan, dirinya nekad untuk berjaya dan telah memperolehi CGPA 3.25.

Pelbagai usaha dilakukan seperti rajin berjumpa dengan pensyarah, banyak mengulangkaji, mencari maklumat di perpustakaan dan menyertai 'study group'.

Beliau telah melanjutkan pengajian diploma Kimia Perindustrian di UiTM Arau, Perlis, kemudian peringkat Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan (Kepujian) Kimia dan berjaya menjadi pelajar pertama yang memperolehi keputusan Kelas Pertama bagi fakulti tersebut.

Tidak terhenti di situ sahaja, beliau juga mengikuti Masters dalam bidang Biochemical Engineering (by Coursework) di School of Chemical Engineering, University of Birmingham, Amerika Syarikat dan dinobatkan antara dua pelajar terbaik dalam program tersebut sekaligus menawarkan pengajian PhD di dalam bidang Chemical Engineering oleh universiti yang sama.

Meskipun dulu, beliau pernah menjadi pelajar tercorot, tetapi dia kini berjaya menamatkan pengajian PHD dalam tempoh empat tahun malah dicalonkan untuk anugerah Tesis Terbaik.

"Yang paling penting adalah belajar dari kegagalan yang lalu dan jangan sekali-kali berputus asa.

"Insya-ALLAH kalau saya boleh berjaya, semua pun pasti boleh melakukannyam," katanya.

Jadi, apa yang adik-adik mampu pelajari dari kisah diatas? Jawabnya, jangan berputus asa. Semoga berjaya.

BACA INI JUGA:

sumber: sinarharian