Tuesday, September 18, 2018

Apa Sebenarnya Forest City Di Johor Bahru?

Apa Sebenarnya Forest City Di Johor Bahru?

Semenjak Tun Dr Mahathir dilantik menjadi Perdana Menteri Malaysia yang ke-7, banyak projek-projek mega di Malaysia dibuat kajian semula termasuklah projek mega Forest City yang sedang hangat diperkatakan.

Apa Sebenarnya Forest City Di Johor Bahru?

Isu pembinaan projek mega Forest City ini mendapat perhatian daripada kerajaan persekutuan kerana kebimbangan projek ini yang bakal memberikan lebih banyak impak negatif berbanding positifnya.

Forest City, Johor Bahru, salah satu projek di bawah wilayah Iskandar Malaysia merupakan sebuah projek mega bernilai lebih 100 billion USD diuruskan oleh Country Garden Pacific View Sdn Bhd (CGPV) yang merupakan syarikat kerjasama antara syarikat Hong Kong, Country Garden Group (pemilikan saham 60%) dan syarikat tempatan, Esplanade Danga 88 Sdn Bhd (pemilikan saham 40%) di mana sebahagian syarikat ini dimiliki oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ismail.

Forest City merupakan salah satu projek di dalam strategi China di dalam mengukuhkan gagasan ‘One Belt One Road (OBOR)’.

Forest City akan dibina di atas pulau buatan berkeluasan 20 kilometer persegi bersamaan hampir 5000 ekar yang meliputi 4 pulau kesemuanya.

Kedudukannya adalah berdekatan dengan Lebuhraya Tanjung Pelepas yang merupakan jaringan kedua antara Malaysia dan Singapore. Forest City mempunyai zon-zon yang tertentu mengikut temanya tersendiri.

Projek yang telah dijalankan sejak tahun 2015 ini dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2030 dan bakal mengubah topografi di Selat Tebrau.

Dengan pembangunan Forest City ini, jarak daratan antara Malaysia dan Singapura hanyalah 2km sahaja.

Apa yang menarik ialah, Forest City merupakan projek mega yang mempromosikan ‘eco-smart city’ yang mana bandar ini akan dilengkapi dengan sistem perbandaran yang efisyen dan sistematik serta memperbanyakkan taman-taman di dalam bandar.

‘Artificial Intelligence (AI)’ dalam menguruskan bandar juga akan diimplemenkan.

Ini menjadikan Forest City sebagai projek mega yang mempunyai unsur futuristik dan merupakan bandar utopia yang selalu diidamkan oleh setiap manusia.

Forest City juga merupakan pembangunan yang berasaskan bandar hijau di dalam mengatasi pemanasan global hari ini.

Walaupun projek Forest City ini bakal memberi impak yang positif kepada ekonomi negeri Johor bahkan mampu menarik pelancong untuk ke Malaysia, namun terdapat beberapa isu yang perlu diambil perhatian oleh pelbagai pihak dalam pembangunan projek ini.

Berbanding projek-projek mega lain di Malaysia seperti ECRL, HSR, MRT, LRT3 dan sebagainya, Forest City merupakan salah satu projek mega yang sangat janggal dan membimbangkan disebabkan ianya tidak menyelesaikan isu yang sedia ada, malah bakal menimbulkan masalah yang lebih besar kepada negara.

Antara masalah utama projek Forest City ini ialah bagaimana projek ini dibangunkan dan siapakah yang akan menduduki projek pembangunan di Forest City.

Menjadi kebimbangan apabila harga unit-unit residensi yang dibina adalah sangat mahal dan hanya mampu dibeli oleh warga asing terutama daripada negara China.

Setakat ini sekitar 2/3 daripada unit residensi telah dibeli oleh China, 1/5 pula oleh Malaysia manakala selebihnya adalah daripada US, Indonesia, Vietnam, Singapura dan sebagainya.

Ini akan menyebabkan kebanjiran warga asing yang bakal menetap dan memiliki aset-aset di Malaysia yang mana mereka ini mempunyai duit untuk membeli hartanah di Malaysia sekali gus akan menggugat bumiputera di Malaysia.

Bahkan, tidak keterlaluan sekiranya wujud senario pada masa akan datang apabila mereka akan mendesak kerajaan untuk diberikan kerakyatan suatu masa nanti.

Seterusnya adalah impak projek Forest City ini terhadap alam sekitar yang terlalu ketara.

Perkara ini telah pun disuarakan oleh aktivis alam sekitar di mana projek ini telah menyebabkan ekosistem berdekatan dengan projek ini telah terjejas teruk.

Tambahan pula, pelaksanaan projek Forest City ini dalam menambak pulau buatan dikatakan tidak mempunyai ‘Detail Environmental Impact Assesment (DEIA)’ yang mana ianya merupakan dokumen penting sebelum pelaksanaan sesuatu projek mega.

Maka, di sini timbul kehairanan bagaimana projek mega ini boleh mendapat kelulusan daripada pihak autoriti sedangkan DEIA adalah syarat wajib sebelum mendapat kelulusan kebenaran merancang.

Atau mungkin terdapat ‘bypass’ yang menghalalkan cara?

Walau bagaimanapun, pihak pemaju akhirnya melaksanakan DEIA selepas Singapura melahirkan kebimbangan terhadap kerajaan Malaysia mengenai impak negatif terhadap alam sekitar disebabkan penambakan pulau buatan Forest City.

Sejak pelaksanaan Forest City, ekosistem sekitar projek berkenaan telah terganggu dan diancam bahaya.

Kepelbagaian biodiversiti di sekitar Tanjung Kupang bakal terancam disebabkan projek tambak pulau buatan itu.

Penduduk sekitar yang bekerja sebagai nelayan dan pengutip hasil-hasil laut juga merungut apabila hasil tangkapan mereka berkurang sejak penambakan pulau buatan itu.

Walaupun dikatakan pihak pemaju ambil maklum tentang impak terhadap alam sekitar oleh projek mega ini, tetapi langkah-langkah penyelesaiannya tiada pun kelihatan.

Berikutan pembinaan Projek Forest City secara besar-besaran, pihak pemaju telah membina kilang yang menghasilkan komponen-komponen ‘Industrialized Building System (IBS)’ di sekitar paya bakau Ramsar berkeluasan hampir 160 hektar yang telah menyebabkan kemusnahan pokok-pokok bakau sekali gus bakal menjejaskan ekosistem di paya bakau tersebut.

Walaupun sebelum ini hutan paya bakau Ramsar berkeluasan 9,126 hektar telah diwartakan sebagai hutan simpan pada 2003 yang perlu dipelihara dan dibangunkan sebagai perlancongan eko, tetapi ianya telah musnah sedikit demi sedikit disebabkan pembinaan kilang-kilang tersebut untuk memenuhi keperluan dalam pembinaan Forest City.

Bahkan kemusnahan hutan paya bakau ini telah menyebabkan orang asli Seletar yang menetap di Kampung Simpang Arang bakal berpindah ke tempat lain apabila sumber pendapatan mereka dimusnahkan.

Kedua-dua isu ini adalah antara isu yang utama timbul apabila pelaksanaan projek Forest City ini.

Terdapat isu-isu lain yang bakal timbul antaranya taraf hidup rakyat, sosiobudaya setempat, sumber pendapatan masyarakat setempat, peluang pekerjaan, keselamatan siber dan identiti budaya Malaysia.

Cukuplah dengan dua isu utama ini untuk diperlihatkan supaya kita sama-sama faham akan kesannya.

Tidak dinafikan semua projek pembangunan akan menimbulkan masalah-masalah tersendiri terutama terhadap alam sekitar, tetapi bagaimana sesebuah projek pembangunan itu dibangunkan mengikut undang-undang dan peraturanlah yang akan menentukan berkurangnya masalah yang bakal timbul.

Forest City ini hanyalah salah satu daripada projek mega yang perlu dinilai semula di dalam wilayah Iskandar Malaysia.

Terdapat banyak lagi projek-projek di bawah Iskandar Malaysia yang hanya memberikan manfaat kepada golongan tertentu sahaja dan bakal membunuh identiti negara Malaysia.

Kita tidak menafikan dan menghalang pembangunan serta kemajuan sesebuah perbandaran, tetapi pembangunan sesebuah bandar itu haruslah mengambil kira pemberian manfaat terhadap rakyat, mengekalkan identiti negara dan juga mampu menyelesaikan masalah-masalah perbandaran yang sedia ada.

Sebab itulah tidak keterlaluan untuk penulis katakan bahawa pelaksanaan projek Forest City ini hanyalah angkara kegilaan kapitalis.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: thepatriots


Sunday, September 16, 2018

34 Khasiat Goji Buah Paling Kaya Nutrisi

34 Khasiat Goji Buah Paling Kaya Nutrisi

Goji Berry adalah Super Fruit, buah yang paling kaya nutrisi, berasal dari Tibet, di dataran tinggi Gunung Himalaya, kaya vitamin, mineral, protein dan antioksidan.

Khasiat Goji

Chinese Wolfberry (Lycium chinese) atau juga dikenali dengan nama Buah GOJI atau Chinese Boxton, Chinese Matrimoni-vine, Chinese Teaplant atau Wolfberry adalah tumbuhan daripada keluarga Solanaceae (sama dengan terung dan cili).

Tumbuhan ini menghasilkan buah yang popular dengan nama Gojiberry (Buah Goji) yang sangat istimewa terutama pada masyarakat Zhongning, negeri Ningxia.

Goji Berry mengandung zat besi lebih banyak daripada bayam, beta karoten lebih banyak daripada wortel dan tingkat kandungan proteinnya pun lebih banyak daripada Gandum.

CARA PEMAKANAN GOJI

Buah Goji adalah makanan tambahan berkhasiat dan boleh dimakan 3, 5, 7 biji sehari dengan mengunyah atau rendam ke dalam air suam selama 10-20 minit sebelum diminum.

Jangan makan terlalu banyak sekali gus kerana kandungan Vitamin C yang terlalu tinggi selain membazir, anda juga akan overdose.

Kehebatan Buah Goji – Buah Lycium (Goji)

Menurut analisa yang dilakukan oleh Beijing Nutrition Research Institute China, “Gojiberry mengandungi rangkaian anti-oksidan “carotenoids” yang sempurna, menjadikan ia di kalangan makanan yang tertinggi kandungan carotenoids yang pernah diketahui; lebih banyak beta- karotin dari lobak merah/wortel dan zeaxanthin (menyihatkan mata) dan melebihi 500 kali ganda vitamin C berbanding oren apabila di ukur sama berat, (bererti menjadikan ia nombor 3 makanan terkaya sumber vitamin C di bumi ini, selepas kakadu plum dan camu camu."

Selain itu, Goji juga mengandungi 18 Amino Asid, Vitamin C, Vitamin B1, Vitamin B2, Vitamin B6 dan Vitamin E.

Di negara China, Gojiberry sangat istimewa, terutama pada masyarakat Zhongning, negeri Ningxia.

Gojiberry di tempat ini dikatakan yang terbaik di dunia, mungkin kerana tanah beralkali (pH 8.2 – 8.6) dan iklim yang bersuhu melampau dari 102 F – 16 F (38 C -27 C).

Penduduk Ningxia kebanyakannya beragama Islam dan mengamalkan Gojiberry sebagai makanan harian untuk kekal sihat. Rata-rata, usia mereka melewati 100 tahun.

Legenda Kerajaan Ningxia, kira-kira 3000 tahun yang silam, ketika Raja Ningxia berburu di Bukit He Lan, baginda ternampak seorang wanita sedang memukul seorang lelaki tua berjanggut.

Baginda hairan, lalu bertanya kepada wanita itu apa yang terjadi? Wanita itu menjawab, “Saya sedang memukul cucu saya!”

Baginda amat terkejut dan bertanya kepada wanita itu berapa umurnya dan kenapa dia kelihatan begitu muda.

Wanita itu menjawab, ”Saya berumur 260 tahun. Ketika musim bunga, saya makan daun Goji dan minum teh Goji. Ketika musim panas, saya makan buah Goji dan pada musim luruh saya mengambil akar Goji dan membuat pes. Inilah rahsia saya."

Baginda amat kagum dan menasihati seluruh rakyat baginda agar mengamalkan permakanan Gojiberry.

Semenjak hari itu, rakyat negara itu mengamalkannya setiap hari.

Terdapat beberapa teks perubatan Cina purba yang menyanjung faedah kesihatan yang mengagumkan daripada buah Goji ini.

Berikut adalah antara teks perubatan tersebut:

Ben Cao Hui Yan menyatakan, “Goji meningkatkan Qi atau daya kehidupan, menyokong darah, menyuburkan ‘yin’ dan ‘yang’, membuang angin, merupakan herba yang sangat baik”.

Ben Cao Bei Yao menyatakan, “Goji menyuburkan paru-paru, membuang angin, membersihkan hati, menguatkan buah pinggang untuk menyokong Qi, meningkatkan potensi seks, memperkuatkan otot dan tulang serta mencerahkan mata."

Ben Cao Gang Mu menyatakan, “Goji membuang Qi yang tidak baik daripada 5 organ, mengawal aliran tenaga penting, mencerahkan mata, menenangkan saraf, menjadikan hidup panjang umur."

34 Sebab Mengapa Mesti Mengambil Goji oleh Dr Earl Mindell

Dr. Earl Mindell, R.Ph.,Ph.D., dikenali sedunia sebagai seorang Pakar Herba dan Ahli Farmasi berdaftar memberi 34 sebab mengapa mesti mengambil GOJI:-

1. Goji memanjangkan usia, menghalang diri anda daripada tua sebelum masa menerusi tindakan anti-oksida yang tinggi.

2. Goji meningkatkan tenaga dan kekuatan anda, terutamanya apabila melawan penyakit.

3. Goji menjadikan anda rasa dan kelihatan muda. Goji merangsang rembesan HGH ( Hormon Pertumbuhan Manusia), ‘hormon remaja”.

4. Goji mengekalkan tekanan darah yang sihat.

5. Goji mengurangkan risiko kanser.

6. Goji mengurangkan kolestrol.

7. Goji menormalkan gula dalam darah pada peringkat awal diabetes.

8. Goji meningkatkan fungsi seksual dan merawat masalah seksual.

9. Goji membantu mengurangkan berat badan.

10. Goji melegakan sakit kepala dan pening.

11. Goji melegakan insomnia dan tidur yang lebih nyenyak.

12. Goji mengekalkan kesihatan mata dan penglihatan anda.

13. Goji menguatkan jantung anda.

14. Goji menghalang peroksidaan lipid (yang menyebabkan sakit jantung).

15. Goji meningkatkan halangan penyakit.

16. Goji meningkatkan respon imunisasi (T-Cell, IL-2, IgA, IgG).

17. Goji digunakan sebagai rawatan kanser.

18. Goji menempatkan semula dan membaik pulih DNA (menghalang mutasi yang menyebabkan kanser).

19. Goji menghalang tumbesaran tumor.

20. Goji mengurangkan kesan toksik kemoterapi dan radiasi.

21. Goji membina darah yang kuat, meningkatkan produksi sel-sel darah merah, sel-sel darah putih dan platelet, dan rawatan penyakit tulang sum-sum.

22. Goji meningkat limfosit.

23. Goji mengaktifkan enzim anti-radang.

24. Goji menyokong fungsi hati yang sihat.

25. Goji merawat simptom-simptom menapouse.

26. Goji menghalang loya di peringkat awal mengandung.

27. Goji meningkatkan kesuburan.

28. Goji menguatkan otot dan tulang anda.

29. Goji menyokong fungsi buah pinggang.

30. Goji meningkatkan memori dan memulih ingatan.

31. Goji membantu batuk kering yang kronik.

32. Goji menghilangkan tekanan dan gelisah.

33. Goji meningkatkan keceriaan dan semangat anda.

34. Goji membantu sistem penghadaman.

KEGUNAAN GOJI

Jual

Gojiberry selalunya di jual dalam bentuk kering, di dalam kotak atau paket dan negara China adalah pengeluar terbesar di dunia.

Masakan

Secara tradisional, gojiberry yang kering digunakan dalam beberapa resepi masakan seperti sup, puding, nasi, sayur-sayuran dll. Daun pucuknya digunakan sebagai sayur-sayuran dan ulam. Juga digunakan sebagai bahan perasa pada makanan dan minuman.

Masyarakat Asia, terutamanya orang-orang Cina, mencampurkan gojiberry sebagai bahan rempah dalam masakan daging, ikan, dan juga mengadunkan dengan nasi. Juga di adun dalam pembuatan roti sepertimana kismis.

Terdapat juga Gojiberry sebagai salah satu bahan sabun, yogurt dan minyak essential.

Perubatan Tradisional

Gojiberry telah digunakan sejak 6,000 tahun lalu oleh masyarakat perubatan herba China, Tibet dan India, bertujuan menyihatkan hati, mata, meningkatkan tenaga batin dan sistem kesuburan, menguatkan kaki dan tulang, menguatkan sistem kekebalan tubuh, melancar pengaliran darah dan melanjutkan usia.

Masyarakat Cina menggunakan daun dan kulit akar sebagai bahan minuman teh. Juga di campur sebagai salah satu bahan dalam arak.

KANDUNGAN GIZI GOJI

Menurut artikel yang dikeluarkan oleh "The National Library of Medicine", Bethesda, Maryland, Gojiberry mengandungi:
  • 19 asid amino termasuk 8 jenis yang sangat diperlukan oleh tubuh.
  • 21 unsur zat, termasuk germanium, unsur mineral anti kanser yang jarang ‎ditemui dalam makanan. ‎
  • 13% protein (lebih tinggi berbanding dengan gandum).
  • Rangkaian lengkap anti-oksidan Karotenoid, termasuk beta-karotin (jauh lebih baik dari lobak merah/wortel).
  • Zeaxanthin dan Lutine (melindungi mata dan memperbaiki penglihatan).
  • Vitamin C yang tinggi melebihi kadar yang terkandung di dalam oren.
  • Vitamin B Complex, perlu untuk menukarkan makanan kepada tenaga.
  • Vitamin E, jarang ditemui dalam buah-buahan, hanya terdapat dalam ‎bijiran.
  • Beta-Sitosterol, agen anti-keradangan, juga menurunkan kadar ‎kolestrol, selalu digunakan untuk merawat masalah seksual, mati pucuk dan masalah ‎prostat.
  • Asid lemak yang sangat diperlukan oleh tubuh untuk menghasilkan hormon-hormon ‎dan melancarkan fungsi otak serta sistem saraf.
  • Cyperone, berfaedah kepada jantung dan merendahkan tekanan darah, ‎melegakan ketidak-selesaan ketika haid dan juga digunakan dalam rawatan kanser servik/rahim.
  • Solavetivone, sebatian anti-bakteria dan anti-kulat yang berkesan.
  • Physalin, sebatian semulajadi yang aktif mencegah jenis-jenis leukemia dan ‎kanser, digunakan untuk merawat hepatitis B.
  • Betaine, sebatian yang digunakan oleh hati untuk menghasilkan choline, berkesan ‎mententeramkan ketegangan urat-saraf, meningkatkan daya ingatan, meningkatkan pertumbuhan otot ‎dan melindungi penyakit hati berlemak. Betaine juga menyediakan ‎kumpulan methyl dalam tindak-balas tenaga di dalam tubuh, dan membantu mengurangkan paras ‎homocysteine, iaitu penyebab risiko utama kepada penyakit jantung.

Ringkasnya, berdasarkan kepada analisa di atas, Gojiberry memiliki khasiat yang sangat istimewa untuk kesihatan!

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: khazanahpurba

Perang Ekonomi AS-China, Siapa Bakal Pemenangnya?

Perang Ekonomi AS-China, Siapa Bakal Pemenangnya?

Sebelum ini, Presiden Donald Trump mengumumkan senarai 1,333 produk buatan China yang akan dikenakan tarif maksima 25% dan yang terbaharu mengancam untuk mengenakan tarif sepenuhnya.

Perang Ekonomi AS-China

Alasan lelaki paling berkuasa di Amerika Syarikat ini ialah untuk mengurangkan defisit perdagangan negara Uncle Sam itu.

Dan sebagai tindak balas, China pula mengenakan tarif ke atas pelbagai produk Amerika Syarikat seperti kacang soya, kenderaan dan pesawat.

Tetapi mengapa Donald Trumph sanggup bertindak sedemikian rupa? Dan apakah impak dari tindakan tersebut kepada negara Uncle Sam tersebut?

Tindakan Trump ini ada hubungkait dengan kempen American First yang dilaungkannya semasa berkempen untuk menjadi presiden pada tahun 2016.

Menerusi slogan tersebut, Trump mahukan Amerika kembali sebagai sebuah kuasa perindustrian dan ekonomi, setara dengan statusnya sebagai antara kuasa besar dunia.

Dan bagi beliau, ia menjustifikasikan tindakannya untuk bertindak bebas dalam soal perdagangan tanpa mengambil kira kepentingan pihak lain kerana kepentingan Amerika perlu didahulukan.

Tetapi status mereka sebagai kuasa ekonomi dunia tidak menjamin Amerika Syarikat terlindung dari kesan buruk sebarang perlaksanaan polisi ekonominya.

Apa yang berlaku di sana berpunca dari asas ekonomi antarabangsa dan kemerosotan dominasi negara Uncle Sam itu dalam sistem perdagangan dunia.

Mengikut prinsip ekonomi standard, semua pemain wujud dalam satu sistem yang sama.

Jika salah seorang melakukan satu tindakan berbeza, ia pasti mendorong pemain lain untuk membuat langkah sama.

Maka atas sebab itulah bagi sebarang perlaksanaan polisi ekonomi, sesebuah kerajaan akan memikirkan setiap aspek dan kadangkala perlu membuat keputusan sukar bagi memastikan sesebuah polisi tidak menjejaskan kedudukan ekonomi sesebuah negara.

Tetapi perkara ini tidak dipertimbangkan langsung oleh pendukung American First. Mereka gagal mengambil kira tindak balas dari rakan dagang Amerika Syarikat lain terhadap dasar melindungi ekonomi mereka, kesilapan sama yang dilakukan penggubal undang-undang semasa era Kemelesetan.

Bagi pendukung American First, apa yang dilakukan Trump bukanlah sesuatu yang baru dan jika mengikut kronologi sejarah tarif di Amerika Syarikat, apa yang dinyatakan mereka adalah tepat.

Semasa era George Washington, antara undang-undang yang diluluskan beliau sebagai presiden ialah tarif.

Andrew Jackson, presiden kegemaran Trump sendiri turut bertegas mengekalkan tarif walaupun ia mencetuskan krisis undang-undang dengan Carolina Selatan di mana negeri tersebut menganggap undang-undang tarif 1828 dan 1832 sebagai melanggar undang-undang dan tidak sah dikuatkuasakan di negeri itu.

Sementara Abraham Lincoln atau Honest Abe pula menyifatkan tarif sebagai penyelamat kepada perbendaharaan negara tersebut berikutan krisis Perang Saudara antara pihak Kesatuan dengan Konfederasi.

William McKinley pula digelar Napoleon of Protectionism atas sebab mengenakan tarif tinggi demi melindungi ekonomi negara tersebut.

Walau apapun alasan Trump dan American First, bagi pakar-pakar ekonomi, tarif sebenarnya sudah tidak relevan dengan ekonomi hari ini.

Ini kerana jika dibandingkan dengan era presiden-presiden terdahulu, tarif dilaksanakan untuk melindungi sektor domestik atau menghapuskan saingan dari luar negeri.

Contoh mudah ialah pengenalan Tarif Morrill dan pindaannya semasa pentadbiran Presiden James Buchanan dan Lincoln.

Tujuan ia diperkenalkan ialah untuk menggalakkan industri tempatan dan syarikat perindustrian membayar gaji lebih tinggi kepada pekerja mereka.

Antara negara yang terkesan dengan tarif ini ialah Britain yang melihat ia satu ancaman kepada perdagangan bebas.

Tarif ini menjadi modal pelobi-pelobi Konfederasi untuk melobi sokongan dan pengiktirafan London pada perjuangan mereka.

Dan sesetengah seperti penulis Charles Dickens menyalahkan tarif ini sebagai punca Perang Saudara berlaku.

Tetapi hujah mengarut ini disanggah oleh pengasas Marxisme, Karl Marx menerusi catatannya dalam akhbar-akhbar Amerika Utara termasuk New York Tribune.

Marx menyifatkan punca sebenar perang bukanlah Tarif Morrill tetapi amalan perhambaan yang berlaku di sebelah selatan.

Menurut Joseph J. Thorndike, Pengarah Projek Sejarah Cukai (Tax History Project), dua faktor yang menyaksikan tarif tidak lagi dianggap relevan.

Pertama, kematangan ekonomi Amerika Syarikat selepas 150 tahun penubuhannya.

Menurut beliau, dengan industri negara tersebut lebih berkemampuan bersaing di peringkat global, apa yang diperlukan mereka bukanlah kod cukai yang melindungi mereka.

Tetapi sebaliknya, pemain-pemain industri memerlukan pelbagai jenis insentif dari pihak kerajaan bagi menarik lebih ramai bakal pelanggan bukan saja dari dalam negara tetapi juga di luar negara.

Kedua, faktor Perang Dunia Pertama (WWI). Menurut Thorndike, hasil kutipan tarif semasa tempoh tersebut tidak memuaskan dan tidak lagi mendatangkan hasil lumayan kepada perbendaharaan negara.

Ini ditambah dengan pengenalan cukai pendapatan persekutuan pada tahun 1913 yang banyak menyumbang kepada penambahan dana negara dan perang semasa WWI.

Berikutan Demokrat ketika itu menguasai kerajaan semasa WWI, mereka lebih memilih cukai pendapatan sebagai kaedah meraih dana berbanding tarif.

Tetapi selepas Republican menguasai Rumah Putih, tarif diperkenalkan bukan atas sebab ekonomi atas sebab politik.

Menurut Douglas Irwin, penulis buku Trade Policy Disaster: Lessons from the 1930s, pada ketika itu, Amerika masih belum dibanjiri dengan produk import seperti hari ini.

Era Kemelesetan masih belum memberi kesan besar dan tiada keperluan ekonomi untuk memperkenalkan tarif. Tetapi tindakan menaikkan tarif berkali ganda boleh dianggap satu tindakan bunuh diri.

Menurut Claude Barfield, seorang cendekiawan dari Institute Perniagaan Amerika (American Enterprise Institute) menyifatkan logik di sebalik pengenalan tarif oleh Herbert Hoover dan Kongres ialah untuk melindungi golongan peladang dan ekonomi negara Uncle Sam itu.

Tetapi ramai pakar ekonomi tidak bersetuju dengan tindakan beliau kerana ia bakal menjejaskan ekonomi dunia.

Tetapi nasihat mereka tidak diendahkan Hoover kerana dari segi politik, beliau tidak mampu kehilangan undi golongan yang mendapat faedah dari tarif ini.

Tarif yang dinamakan Tarif Smoot-Hawley ini diluluskan dan seperti dijangka, ia mencetuskan situasi huru-hara pada ekonomi dunia.

Sebagai tindak balas, negara-negara lain turut mengenakan tarif tinggi kepada Amerika Syarikat.

Walaupun Tarif Smoot-Hawley bukanlah pencetus era Kemelesetan tetapi ia bertanggungjawab memanjangkan lagi krisis kemelesetan ekonomi bukan saja di Amerika tetapi juga di negara-negara lain.

Selepas melihat bagaimana Amerika terseksa dengan tarif mengarut ini, Franklin Delano Roosevelt diberi kuasa oleh Kongres untuk segera memperbaiki kerosakan polisi sebegini iaitu hak menentukan tarif.

Selepas pengenalan Akta Perjanjian Perdagangan Berfaedah (Reciprocal Trade Agreements) 1934, negara Uncle Sam ini mula berunding secara individu dengan negara-negara terlibat untuk merunding polisi perdagangan dua hala sesebuah negara.

Menerusi perjanjian tersebut, pentadbiran Roosevelt sedia mengurangkan tarif pada barang-barang tertentu sekiranya sesebuah negara sedia menurunkan tarif pada sesetengah barang keluaran Amerika Syarikat.

Kebanyakan perjanjian sebegini dimeterai antara tahun 1935 hingga 1941 dan selepas era Perang Dunia Kedua, presiden-presiden berikutnya sama ada dari Demokrat atau Republikan memilih jalan rundingan perdagangan dan mengurangkan halangan perdagangan serta mengelak melakukan perubahan unilateral yang dicadangkan Trump hari ini.

Dan kegagalan pentadbiran Trump belajar dari sejarah presiden silam mula menghantui Amerika Syarikat.

Bagi yang mengikuti perkembangan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) membabitkan 12 negara termasuk Malaysia, pasti tahu antara janji beliau semasa kempen presiden ialah menarik diri dari perjanjian tersebut.

Perjanjian ini merupakan inisiatif Presiden Barack Obama dan sekiranya ia direalisasikan, ia bakal mewujudkan blok ekonomi terbesar dunia yang menghubungkan ekonomi Washington dengan 11 lagi ekonomi negara-negara Pasifik.

Dan secara tidak langsung, ia sebenarnya boleh menjadi platform kepada kewujudan blok liberal pimpinan Uncle Sam dalam menghadapi saingan ekonomi China pada orde ekonomi serantau.

Tindakan Trump menarik diri dari perjanjian itu bukan saja menyebabkan China mampu mengembangkan pengaruhnya tanpa sebarang tentangan.

Bahkan, ia sebenarnya menafikan peluang syarikat-syarikat Amerika dari mengakses pasaran luar.

Dan selepas 11 buah negara ini meneruskan perjanjian ini tanpa penyertaan mereka, sudah pasti 11 negara terlibat ini akan memberi keutamaan kepada syarikat-syarikat yang berpangkalan di negara-negara anggota dan bukan Amerika.

Ini sekali gus menyukarkan firma-firma Amerika ini bersaing dalam pasaran mereka.

Impaknya sudah mula dirasai di mana satu artikel New York Times mendedahkan pengeluar-pengeluar udang karang Amerika tidak dapat bersaing dengan pengeluar-pengeluar udang karang Kanada yang mengenakan harga lebih berpatutan selepas pemeteraian perjanjian perdagangan Kesatuan Eropah-Kanada.

Tindakan pentadbiran Trump yang keberatan menyertai mana-mana perjanjian perdagangan sebenarnya membuka ruang kepada negara-negara lain untuk membuat perjanjian yang bukan saja menguntungkan mereka.

Tetapi pada masa sama, ia membolehkan mereka mengetepikan Washington dan berpotensi menjejaskan ekonomi kuasa besar dunia itu.

Selain TPP, Washington sekarang ini cuba merundingkan semula terma Perjanjian Perdagangan Bebas Amerika Utara (NAFTA).

Namun bagi penganalisis ekonomi, tindakan sebegini sebenarnya bakal memudaratkan Amerika berbanding jiran tetangganya, Mexico dan Kanada.

Walaupun hakikatnya kedua-dua negara bergantung kepada ekonomi negara Uncle Sam itu tetapi kemusnahan pada NAFTA bakal menjejaskan firma-firma Amerika.

Ini kerana firma-firma ini amat bergantung kepada pasaran Amerika Utara untuk memasarkan produk mereka.

Selain cuba merundingkan semula terma perjanjian perdagangan, tindakan mengenakan penalti, sekatan atau tarif kepada rakan dagang Amerika bukannya memberi manfaat tetapi lebih banyak mengundang bala.

Ini kerana halangan-halangan sebegini sudah pasti mendorong syarikat-syarikat asing bekerjasama dengan negara-negara yang menggalakkan perdagangan bebas dan merosakkan peluang firma-firma Amerika dari berkembang.

Dan jika melihat perkembangan ketika ini, apa yang berlaku pada era Kemelesetan bakal berulang dan berpotensi memberi kesan dahsyat kepada pertumbuhan ekonomi Amerika Syarikat.

Contoh paling mudah sekiranya tarif ini diteruskan ialah pengeluaran besi dan untuk pengetahuan para pembaca, industri Amerika Syarikat menggunakan lebih banyak besi berbanding menghasilkannya.

Berdasarkan statistik, Amerika merupakan pengimport besi nombor satu di dunia dengan 71% daripadanya datang dari Kanada.

Dan memandangkan China hanya mengeksport besi sebanyak 2% ke Amerika, ia dilihat tidak akan memberi kesan kepada mereka seperti yang diharapkan Trump.

Bagi pengusaha kacang soya pula, tarif yang dikenakan China ini boleh memberi kesan dahsyat kepada industri tersebut di Amerika Syarikat.

Ini kerana Washington merupakan pengeksport terbesar kacang soya dunia dengan nilai $22.8 bilion diikuti oleh Brazil ($21 bilion), Argentina ($3.6 bilion), Kanada ($1.9 bilion) dan Paraguay ($1.8 bilion).

Sementara China pula merupakan pengimport nombor satu komoditi tersebut dengan nilai $34 bilion.

Jika diteruskan, ia memberi kesan kepada negeri-negeri pengeluar seperti Ohio, Ilinois dan Iowa.

Bagi Ohio, komoditi kacang soya menyumbang kepada pendapatan eksport sebanyak $1.4 bilion ke China.

Bagi para peladang, mereka bukan saja berpotensi kehilangan peluang pada peladang-peladang di Brazil tetapi ia akan menyebabkan harga kacang soya jatuh.

Apa yang direncanakan Trump itu pada dasarnya satu idea yang mahu melindungi ekonominya dari terancam.

Tetapi adakah berbaloi mengorbankan kedudukan sedia ada atas dasar mahu menonjolkan maruah sebagai kuasa besar dunia dan tidak mahu bergantung kepada orang luar?

Hanya masa bakal menentukan sama ada ianya berbaloi atau satu perjudian yang merosakkan legasinya sebagai presiden.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: thepatriots

13 Buah-buahan Paling Tinggi Kandungan Vitamin C

13 Buah-buahan Paling Tinggi Kandungan Vitamin C

Fungsi utama vitamin C untuk tubuh badan sangat penting bagi pembentukan kolagen, meningkatkan sistem kekebalan tubuh dan membantu penyerapan zat besi.

BUAH ROCKMELON.

Kurang vitamin C dalam badan boleh menyebabkan sesetengah sistem dalam badan tidak dapat berfungsi dengan baik seperti demam, selesema, batuk dan sebagainya.

Kalau selama ini kita cuma kenal vitamin C dari buah limau dan oren, berikut adalah 13 lagi buah-buahan yang tinggi kandungan vitamin C.

1. BUAH JAMBU BATU

Kandungan vitamin C dalam jambu batu hampir 2 kali ganda lebih banyak dari buah oren. Dalam 100 gram buah jambu batu, mengandungi 108 mg vitamin C.

Buah jambu batu yang berkualiti juga dapat merawat masalah sakit berkaitan perut.

2. BUAH OREN

Sebiji oren membekalkan 50-70 mg vitamin C sesuai dengan keperluan badan. Buah oren juga merupakan sumber serat, folat, antioksidan, vitamin dan mineral yang sangat diperlukan badan.

3. BUAH EPAL

Kandungan vitamin C dalam setiap 100 gram buah epal adalah sebanyak 5 mg. Sebiji buah epal mengandungi lebih kurang 80 kalori.

Buah epal sangat kaya dengan flavonoid, antioksidan yang dapat mengurangkan risiko sakit jantung, strok dan kanser.

4. BUAH DELIMA

Sebiji buah delima membekalkan 40 % keperluan vitamin C harian kita. Buah delima mengandungi serat, folat, kalium, niasin, vitamin A dan vitamin E.

Antiosianidin dalam buah delima memiliki sifat antioksidan dan anti-inflamasi yang mampu menurunkan kadar kolesterol dan tekanan darah, melindungi gigi, mencegah osteoarthritis, alzheimer, kanser payudara, kanser paru-paru, kanser prostat dan leukemia.

5. BUAH KIWI

Buah kiwi mengandungi 2 kali ganda lebih vitamin C berbanding buah oren. Selain mengandungi vitamin C, buah kiwi merupakan sumber magnesium, kalium, vitamin A dan vitamin E.

6. BUAH ANGGUR

Setiap 100 gram buah anggur mengandungi 10.8 mg vitamin C. Buah anggur merah mengandungi zat besi, kalium, serat dan tinggi antioksidan.

7. BUAH STRAWBERI

Bagi pesakit diabetes type 2, buah strawberi adalah penawar organik terbaik sekali gus mencegah penyakit jantung.

Dalam 147 gram buah strawberi mengandungi 86.5 mg vitamin C.

8. BUAH BETIK

Buah betik merupakan satu-satunya buah yang mengandungi enzim pencernaan semulajadi untuk membantu mencerna protein tidak perlu dari dalam badan.

Dalam 150 gram buah betik mengandungi 90 mg vitamin C. Kalau nak detoks, anda memang digalakkan makan buah betik untuk mencuci usus.

9. BUAH AVOKADO

Buah avokado mengandungi zat besi dan vitamin E yang mampu menurunkan kadar kolesterol dalam darah.

Sebiji buah avokado mengandungi 81 kalori, 8 gram lemak dan 3 gram serat.

10. BUAH DURIAN BELANDA

Setengah biji buah durian belanda sudah cukup bagi memenuhi keperluan vitamin C harian kita sebab ia mengandungi tinggi vitamin dan serat.

Buah durian belanda merupakan ejen antioksidan yang sangat baik untuk menjaga sistem kekebalan tubuh badan dan melambatkan proses penuaan.

Serat yang terkandung dalam buah durian belanda sangat baik untuk membantu sistem pencernaan dan detoksifikasi.

Buah durian belanda juga mengandungi fosforus dan kalsium yang bertindak menjaga kesihatan tulang dan sekali gus mencegah osteoporosis.

11. BUAH MANGGA

Sebiji buah mangga mengandungi lebih kurang 60 mg vitamin C yang hampir sama dengan keperluan harian yang disarankan.

Antioksidan dalam buah mangga membantu mencegah artritis, mempercepatkan proses penyembuhan dan sangat baik untuk sistem kekebalan tubuh.

12. BUAH ROCKMELON

Dalam sepotong buah rockmelon mengandungi 49.2 mg vitamin C dan juga kaya dengan serat dan vitamin A.

13. BUAH TOMATO

Buah tomat merupakan sumber vitamin C termurah yang mengandungi Lycopene (salah satu karotenoid yang kuat) bertindak sebagai antioksidan. Dalam sebiji buah tomato bersaiz sederhana mengandungi 23 mg vitamin C.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

-SENTIASAPANAS.COM

Saturday, September 15, 2018

Mangkuk Antik Era Dinasti Yongzheng Bernilai £100,000

Mangkuk Antik Era Dinasti Yongzheng Bernilai £100,000

Sebuah firma lelongan bakal menjual sebiji mangkuk antik China pada harga £100,000 (RM536,000) selepas memperolehnya daripada seorang individu yang tidak mengetahui nilai barangan berkenaan.

Mangkuk Antik

Firma Hansons berkata, individu berkenaan membuat keputusan menjual mangkuk itu yang dibeli pada tahun 1920 dan selama ini cuma digunakan untuk meletakkan buah-buahan.

Mangkuk bermotifkan bunga dan daun berwarna biru dan putih itu sebenarnya berasal dari zaman pemerintahan Maharaja Yinzhen semasa Dinasti Yongzheng.

Beliau memerintah China dari tahun 1723 hingga 1735 Masihi.

Selepas pakar melakukan beberapa pemeriksaan, ia sebenarnya salah satu koleksi mangkuk dari negara Tembok Besar yang jarang ditemui.

Bagaimanapun, identiti pemilik dan berapa harga mangkuk itu dijual kepada firma lelongan berkenaan dirahsiakan.

Walaupun mangkuk itu memiliki kesan pecah dan calar, kebanyakan pengumpul dari China berhasrat untuk membelinya bagi mendapatkan semula koleksi sejarah dan warisan negara mereka.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: kosmo

10 Punca Faraj Berbau Busuk Dan Cara Mengatasinya

10 Punca Faraj Berbau Busuk Dan Cara Mengatasinya

Tercium bau yang kurang menyenangkan dari faraj atau vagina membuatkan ramai wanita berasa tidak selesa, resah dan hilang keyakinan diri.

Punca Faraj Berbau

Biarpun faraj berbau adalah sesuatu yang normal, namun bagi sebahagian wanita yang mengalaminya merasakan amat mengganggunya terutama apabila mahu melakukan hubungan intim dengan pasangan.

Ada suami yang mengeluh sampai kena pasang kipas waktu hendak bersama sebab terlalu busuk dan kalau inilah keadaannya, memang sangat kritikal dan perlu bertindak segera.

Kami percaya, ramai wanita ingin tahu mengapa kawasan tersebut boleh mengeluarkan bau yang tidak menyenangkan.

Anda perlu tahu penyebab faraj berbau busuk supaya anda boleh segera mengatasinya.

Antara Penyebab Faraj Berbau:

1. Jangkitan

Adanya infeksi kulat dan bakteria, seperti kulat candida albicans dan bakteria haemophillus vaginalis, sama ada daripada anda sendiri atau pun suami.

2. Jangkitan Dari Suami

Suami tidak menjaga kebersihan alat sulitnya hingga menyebabkan jangkitan pada anda sewaktu mengadakan hubungan seksual.

3. Kurang menjaga kebersihan faraj

Jarang mencukur atau tidak mencukur bulu kemaluan. Kalau dah panjang, jangan disimpan, cepat-cepat cukur kerana ia boleh membuatkan faraj berbau.

4. Pakaian Terlalu Ketat

Akibat kerap memakai pakaian dalam yang terlalu ketat atau bahan sintetik sehingga tidak menyerap peluh.

5. Perubahan Hormon

Adanya perubahan hormon hingga menyebabkan keluar cecair berlebihan dan faraj sentiasa lembab serta boleh menimbulkan jangkitan jika tidak dibersihkan dengan kerap.

6. Pad Wanita

Penggunaan pad/pantyliner yang terlalu lama hingga menyebabkan jangkitan kuman.

7. PMS

Akibat PMS atau masa menuju hari kitaran haid.

8. Pembersih Faraj

Penggunaan pembersih faraj yang berlebihan atau tidak sesuai dengan kulit anda kerana ada kandungan bahan kimia.

9. Keputihan

Masalah keputihan yang berlebihan dan salah satu makanan yang boleh menyebabkan keputihan adalah timun.

10. Faktor persekitaran

Mangkuk tandas yang kotor boleh menyebabkan masalah ini berlaku.

Kurangkan penggunaan tandas awam jika boleh dan jika terpaksa, pastikan anda mengambil langkah berjaga-jaga.

Misalnya, gunakan plastik pengalas mangkuk tandas.

Cara Menghilangkan faraj berbau busuk

1. Daun Sirih

Cara terbaik untuk mengatasi faraj berbau adalah dengan menggunakan daun sirih sebagai bahan pembersih semulajadi dari luar dan dalam tubuh.

Gunakan daun sirih sebagai penghilang bau faraj yang tidak menyenangkan.

2. Gunakan air garam

Bancuh 2 sudu garam dengan secawan air panas. Masukkan air garam tadi ke dalam baldi atau besen.

Gunakan sebagai bilasan setiap kali anda selesai membuang air kecil atau besar atau selepas bersama suami.

3. Keringkan Faraj

Biarkan faraj anda kering sebelum memakai seluar dalam. Jika di rumah anda boleh gunakan ‘hair dryer’ untuk mengeringkannya.

4. Pakai Pakaian Longgar

Sebaiknya jika di rumah tidak perlu memakai seluar dalam dan pakailah pakaian yang longgar untuk membolehkan pengaliran udara.

5. Antibiotik

Jika keadaan tidak berubah atau semakin teruk, dapatkan nasihat doktor. Doktor mungkin akan memberi anda ubat antibiotik.

6. Elak Seks

Elakkan melakukan hubungan seksual sehinggalah keadaan anda pulih sepenuhnya.

Tips

Untuk membangkitkan rasa ghairah sebelum bersama suami, sapukan kapas yang telah dititis dengan minyak wangi tanpa alkohol di sekitar faraj.

Cuci faraj sebelum dan selepas bersama suami.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: 123mamanet

Makna Tersembunyi Pusaran Rambut Di Kepala

Makna Tersembunyi Pusaran Rambut Di Kepala

Bukan sedikit orang mengatakan bahawa seorang anak yang memiliki dua pusaran rambut dikepala tandanya nakal. Benarkah?

Pusaran Rambut Kepala

Faktanya, belum ada kajian pasti mengenai hal tersebut, namun para pengkaji menyakini bahawa kenakalan seorang anak bukan berdasarkan pusaran kepala, tetapi pada cara didikan dan lingkungan persekitarannya dibesarkan.

Dikutip dari laman The Guardian, Dr Amar J S Klar seorang ahli genetik sempat mengkaji tentang hubungan pusaran rambut dengan seksualiti seseorang.

Dia menjelaskan pusaran rambut terbahagi kepada dua.

Pertama, pusaran rambut mengikut arah jarum jam dan yang kedua, pusarannya berlawanan dengan arah jarum jam.

Dr Amar yang pernah menjadi ketua Laboratorium Biologi Kromosom di National Cancer Institute di Frederick, Maryland, menyatakan hasil kajiannya dalam Journal of Genetics pada tahun 2004 yang lalu.

Dia menjelaskan, data yang dikumpulkan dari 272 individu lelaki yang memiliki pusaran rambut berlawanan dengan arah jam menemui bahawa, 29.8 peratus daripadanya memiliki kecenderungan menyukai pasangan sejenis (LGBT), berbanding hanya 8.4 peratus pada individu dengan pusaran rambut mengikut arah jam.

Walau bagaimanapun, pendapat Dr Amar ini masih menjadi perdebatan pakar kesihatan lain.

Selain itu, pusaran rambut di kepala juga menunjukkan genetik lain.

Pengkaji menemui bahawa, individu yang memiliki pusaran rambut berlawanan arah jarum jam juga menandakan bahawa orang tersebut cenderung menggunakan tangan kiri (kidal).

Cuma, janganlah pula kita menuduh mereka yang memiliki pusaran rambut berlawanan arah jam itu semuanya adalah pengamal gaya hidup songsang ye.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: doktersehat

Friday, September 14, 2018

14,000 Pemilik 'Lesen Terbang' Digesa Serah Diri Atau Denda RM5,000 Setahun Penjara

14,000 Pemilik 'Lesen Terbang' Digesa Serah Diri Atau Denda RM5,000 Setahun Penjara

Pihak berkuasa menahan seramai 12 pegawai dan petugas Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), termasuk seorang timbalan pengarah, dipercayai terlibat dalam pengeluaran dan penjualan lesen memandu haram.

JPJ lesen terbang

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata tangkapan itu susulan operasi bersama oleh polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang bermula pada 4 September lalu.

Difahamkan, sebanyak 14,000 lesen terbang dipercayai telah dikeluarkan sejak dua tahun lalu, kata menteri itu pada sidang akhbar di Putrajaya.

Pegawai yang ditahan adalah dari JPJ di Perlis, Perak, Negeri Sembilan, Sabah dan Sarawak.

Siasatan awal menunjukkan sistem JPJ bagi prosedur pemandu asing disalahgunakan untuk memasukkan maklumat palsu dan menghasilkan lesen haram.

Beliau menambah, pembeli lesen haram berkenaan merasuah pegawai untuk mendapatkan lesen tanpa menghadiri kelas atau ujian memandu.

Loke menggesa mereka yang telah membeli lesen haram itu untuk mengemukakan dokumen itu secara sukarela dalam tempoh sebulan dan sekiranya gagal, mereka boleh didakwa dan dikenakan denda RM5,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya.

Tindakan tahan kerja

Sementara itu, Loke tidak menolak kemungkinan ada lagi petugas JPJ yang akan ditahan SPRM selepas ini, berkata kesemua 12 yang ditahan sebelum ini dikenakan tindakan tahan kerja walaupun belum menghadapi pertuduhan di mahkamah.

Tindakan tahan kerja adalah kerana kesalahan yang mereka lakukan serius dan supaya menjadi pengajaran kepada yang lain.

Kesemua 12 pegawai dan anggota JPJ yang ditahan melibatkan seorang timbalan pengarah gred 44, masing-masing dua penolong pegawai penguat kuasa KP29 dan ketua pembantu penguat kuasa KP22 serta enam pembantu penguat kuasa KP19 dan seorang pembantu tadbir N19.

Bagaimana Lesen Terbang Dihasilkan?

Modus operandi mengeluarkan lesen terbang ialah menggunakan prosedur penukaran lesen memandu luar negara kepada lesen memandu Malaysia sedangkan pemohon berkenaan tidak pernah memiliki lesen memandu di luar negara mahupun berkunjung ke luar negara.

Lesen terbang berkenaan dijual di antara RM2,000 hingga RM3,500 melalui iklan di laman sosial.

Pembeli hanya perlu membuat bayaran dan lesen akan dipos ke rumah.

Menurut Loke, terdapat warga asing yang memiliki lesen terbang dengan sebahagian besarnya melibatkan warga China.

Sebagai langkah penambahbaikan dan membendung gejala lesen terbang pada masa akan datang, beliau berkata JPJ akan memperhalusi kaedah ‘conversion’ (penukaran lesen memandu luar negara kepada lesen memandu Malaysia) dan menimbang kaedah mengiktiraf lesen memandu asing.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: malaysiakini

Jho Low Hadiahkan Kim Kardashian Ferrari Putih Bernilai RM1.3 Juta!

Jho Low Hadiahkan Kim Kardashian Ferrari Putih Bernilai RM1.3 Juta!

Bintang realiti televisyen terkenal, Kim Kardashian, kini merupakan selebriti terbaru yang dikaitkan dengan ahli perniagaan kontroversi, Low Taek Jho atau Jho Low, yang sedang diburu polis.

Jho Low Hadiahkan Kim Kardashian Ferrari

Menurut laporan antarabangsa, Jho Low pernah menghadiahkan sebuah kereta Ferrari putih kepada Kim dan pemain bola keranjang, Kris Humphries, sebagai hadiah perkahwinan mereka pada 2011.

Kereta tersebut dilaporkan bernilai AS$325,000 (sekitar RM1.3 juta).

Menurut laporan, Jho Low hadir di majlis perkahwinan pasangan tersebut tetapi hanya dikenal pasti sebagai "seorang ahli perniagaan Malaysia" ketika itu.

Pihak berkuasa Amerika Syarikat percaya, kereta tersebut dibeli dengan dana yang diseleweng daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB), sama seperti barang kemas yang dihadiahkan oleh Jho Low kepada Miranda Kerr dan juga lukisan Picasso dan Basquiat yang diberikan kepada Leonardo DiCaprio sebelum ini.

Pada bulan Ogos 2018 lalu, Kim dilihat tiba di sebuah majlis makan malam di Miami, Florida menaiki sebuah Ferrari putih, namun ianya tidak dapat dipastikan sama ada kereta tersebut adalah kereta yang sama.

Selain mereka, antara selebriti lain yang pernah menerima hadiah dari Jho Low termasuk Swizz Beatz, Pras Michél dan Nicole Scherzinger.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: astroawani