Tuesday, September 18, 2018

Apa Sebenarnya Forest City Di Johor Bahru?


Semenjak Tun Dr Mahathir dilantik menjadi Perdana Menteri Malaysia yang ke-7, banyak projek-projek mega di Malaysia dibuat kajian semula termasuklah projek mega Forest City yang sedang hangat diperkatakan.

Apa Sebenarnya Forest City Di Johor Bahru?

Isu pembinaan projek mega Forest City ini mendapat perhatian daripada kerajaan persekutuan kerana kebimbangan projek ini yang bakal memberikan lebih banyak impak negatif berbanding positifnya.

Forest City, Johor Bahru, salah satu projek di bawah wilayah Iskandar Malaysia merupakan sebuah projek mega bernilai lebih 100 billion USD diuruskan oleh Country Garden Pacific View Sdn Bhd (CGPV) yang merupakan syarikat kerjasama antara syarikat Hong Kong, Country Garden Group (pemilikan saham 60%) dan syarikat tempatan, Esplanade Danga 88 Sdn Bhd (pemilikan saham 40%) di mana sebahagian syarikat ini dimiliki oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ismail.

Forest City merupakan salah satu projek di dalam strategi China di dalam mengukuhkan gagasan ‘One Belt One Road (OBOR)’.

Forest City akan dibina di atas pulau buatan berkeluasan 20 kilometer persegi bersamaan hampir 5000 ekar yang meliputi 4 pulau kesemuanya.

Kedudukannya adalah berdekatan dengan Lebuhraya Tanjung Pelepas yang merupakan jaringan kedua antara Malaysia dan Singapore. Forest City mempunyai zon-zon yang tertentu mengikut temanya tersendiri.

Projek yang telah dijalankan sejak tahun 2015 ini dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2030 dan bakal mengubah topografi di Selat Tebrau.

Dengan pembangunan Forest City ini, jarak daratan antara Malaysia dan Singapura hanyalah 2km sahaja.

Apa yang menarik ialah, Forest City merupakan projek mega yang mempromosikan ‘eco-smart city’ yang mana bandar ini akan dilengkapi dengan sistem perbandaran yang efisyen dan sistematik serta memperbanyakkan taman-taman di dalam bandar.

‘Artificial Intelligence (AI)’ dalam menguruskan bandar juga akan diimplemenkan.

Ini menjadikan Forest City sebagai projek mega yang mempunyai unsur futuristik dan merupakan bandar utopia yang selalu diidamkan oleh setiap manusia.

Forest City juga merupakan pembangunan yang berasaskan bandar hijau di dalam mengatasi pemanasan global hari ini.

Walaupun projek Forest City ini bakal memberi impak yang positif kepada ekonomi negeri Johor bahkan mampu menarik pelancong untuk ke Malaysia, namun terdapat beberapa isu yang perlu diambil perhatian oleh pelbagai pihak dalam pembangunan projek ini.

Berbanding projek-projek mega lain di Malaysia seperti ECRL, HSR, MRT, LRT3 dan sebagainya, Forest City merupakan salah satu projek mega yang sangat janggal dan membimbangkan disebabkan ianya tidak menyelesaikan isu yang sedia ada, malah bakal menimbulkan masalah yang lebih besar kepada negara.

Antara masalah utama projek Forest City ini ialah bagaimana projek ini dibangunkan dan siapakah yang akan menduduki projek pembangunan di Forest City.

Menjadi kebimbangan apabila harga unit-unit residensi yang dibina adalah sangat mahal dan hanya mampu dibeli oleh warga asing terutama daripada negara China.

Setakat ini sekitar 2/3 daripada unit residensi telah dibeli oleh China, 1/5 pula oleh Malaysia manakala selebihnya adalah daripada US, Indonesia, Vietnam, Singapura dan sebagainya.

Ini akan menyebabkan kebanjiran warga asing yang bakal menetap dan memiliki aset-aset di Malaysia yang mana mereka ini mempunyai duit untuk membeli hartanah di Malaysia sekali gus akan menggugat bumiputera di Malaysia.

Bahkan, tidak keterlaluan sekiranya wujud senario pada masa akan datang apabila mereka akan mendesak kerajaan untuk diberikan kerakyatan suatu masa nanti.

Seterusnya adalah impak projek Forest City ini terhadap alam sekitar yang terlalu ketara.

Perkara ini telah pun disuarakan oleh aktivis alam sekitar di mana projek ini telah menyebabkan ekosistem berdekatan dengan projek ini telah terjejas teruk.

Tambahan pula, pelaksanaan projek Forest City ini dalam menambak pulau buatan dikatakan tidak mempunyai ‘Detail Environmental Impact Assesment (DEIA)’ yang mana ianya merupakan dokumen penting sebelum pelaksanaan sesuatu projek mega.

Maka, di sini timbul kehairanan bagaimana projek mega ini boleh mendapat kelulusan daripada pihak autoriti sedangkan DEIA adalah syarat wajib sebelum mendapat kelulusan kebenaran merancang.

Atau mungkin terdapat ‘bypass’ yang menghalalkan cara?

Walau bagaimanapun, pihak pemaju akhirnya melaksanakan DEIA selepas Singapura melahirkan kebimbangan terhadap kerajaan Malaysia mengenai impak negatif terhadap alam sekitar disebabkan penambakan pulau buatan Forest City.

Sejak pelaksanaan Forest City, ekosistem sekitar projek berkenaan telah terganggu dan diancam bahaya.

Kepelbagaian biodiversiti di sekitar Tanjung Kupang bakal terancam disebabkan projek tambak pulau buatan itu.

Penduduk sekitar yang bekerja sebagai nelayan dan pengutip hasil-hasil laut juga merungut apabila hasil tangkapan mereka berkurang sejak penambakan pulau buatan itu.

Walaupun dikatakan pihak pemaju ambil maklum tentang impak terhadap alam sekitar oleh projek mega ini, tetapi langkah-langkah penyelesaiannya tiada pun kelihatan.

Berikutan pembinaan Projek Forest City secara besar-besaran, pihak pemaju telah membina kilang yang menghasilkan komponen-komponen ‘Industrialized Building System (IBS)’ di sekitar paya bakau Ramsar berkeluasan hampir 160 hektar yang telah menyebabkan kemusnahan pokok-pokok bakau sekali gus bakal menjejaskan ekosistem di paya bakau tersebut.

Walaupun sebelum ini hutan paya bakau Ramsar berkeluasan 9,126 hektar telah diwartakan sebagai hutan simpan pada 2003 yang perlu dipelihara dan dibangunkan sebagai perlancongan eko, tetapi ianya telah musnah sedikit demi sedikit disebabkan pembinaan kilang-kilang tersebut untuk memenuhi keperluan dalam pembinaan Forest City.

Bahkan kemusnahan hutan paya bakau ini telah menyebabkan orang asli Seletar yang menetap di Kampung Simpang Arang bakal berpindah ke tempat lain apabila sumber pendapatan mereka dimusnahkan.

Kedua-dua isu ini adalah antara isu yang utama timbul apabila pelaksanaan projek Forest City ini.

Terdapat isu-isu lain yang bakal timbul antaranya taraf hidup rakyat, sosiobudaya setempat, sumber pendapatan masyarakat setempat, peluang pekerjaan, keselamatan siber dan identiti budaya Malaysia.

Cukuplah dengan dua isu utama ini untuk diperlihatkan supaya kita sama-sama faham akan kesannya.

Tidak dinafikan semua projek pembangunan akan menimbulkan masalah-masalah tersendiri terutama terhadap alam sekitar, tetapi bagaimana sesebuah projek pembangunan itu dibangunkan mengikut undang-undang dan peraturanlah yang akan menentukan berkurangnya masalah yang bakal timbul.

Forest City ini hanyalah salah satu daripada projek mega yang perlu dinilai semula di dalam wilayah Iskandar Malaysia.

Terdapat banyak lagi projek-projek di bawah Iskandar Malaysia yang hanya memberikan manfaat kepada golongan tertentu sahaja dan bakal membunuh identiti negara Malaysia.

Kita tidak menafikan dan menghalang pembangunan serta kemajuan sesebuah perbandaran, tetapi pembangunan sesebuah bandar itu haruslah mengambil kira pemberian manfaat terhadap rakyat, mengekalkan identiti negara dan juga mampu menyelesaikan masalah-masalah perbandaran yang sedia ada.

Sebab itulah tidak keterlaluan untuk penulis katakan bahawa pelaksanaan projek Forest City ini hanyalah angkara kegilaan kapitalis.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: thepatriots


Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon