Friday, February 13, 2015

Video Siti Nurhaliza Tribute Buat Allahyarham Nik Aziz

Video Siti Nurhaliza Tribute Buat Allahyarham Nik Aziz

Kehilangan mantan Menteri Besar Kelantan dan Musyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat amat dirasai seluruh rakyat Malaysia.

Siti-Nurhaliza Tribute Nik Aziz [2]

Hal ini jelas menunjukkan keperibadian Allahyarham sebagai seorang ulamak yang begitu disegani kawan dan pihak lawan.

Lihat sahaja status di laman-laman sosial hari ini yang dibanjiri dengan ucapan takziah baik daripada kalangan masyarakat mahupun selebriti negara.

Sementara itu, sebuah video lagu nyanyian penyanyi nombor satu negara, Dato’ Siti Nurhaliza Taruddin yang dijadikan tribute buat Allahyarham Tuan Guru Nik Abdul Aziz kini menjadi viral.

Video lagu Lelaki ini mencetuskan perasaan hiba dan sayu masyarakat bagi mengenang pemergian tokoh terkenal itu.

Siti Nurhaliza turut menzahirkan ucapan takziah di laman Instagramnya.

Siti-Nurhaliza Tribute Nik Aziz

Bait-bait lagu itu seolah-olah mampu menggambarkan kehidupan dan perjuangan Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz selama hayatnya.

Video yang turut diselitkan dengan kunjungan hormat Siti Nurhaliza bersama suaminya beberapa tahun lalu jelas menunjukkan penyanyi itu begitu mengagumi ulamak terkenal itu.

BACA INI JUGA: Video Sedih Kisah Cinta Sejati


Sumber: Mynewshub.cc

Tok Guru Nik Aziz, Perginya Seorang Ilmuwan, Tokoh Agama Kelantan

Tok Guru Nik Aziz, Perginya Seorang Ilmuwan, Tokoh Agama Kelantan

Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, anak kedua daripada sembilan adik-beradik dilahirkan pada 10 Januari 1931 di Kampung Pulau Melaka, Kota Bharu Kelantan.

Nik Abdul Aziz Nik Mat

Jam 9.45 malam (Khamis, 12/02/2015), Allahyarham menghembuskan nafas terakhirnya di kediaman selepas dibawa pulang dari Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, lewat sejam sebelumnya.

Difahamkan ketika dibawa pulang, alat bantuan pernafasan sudah pun ditanggalkan, menandakan keadaan beliau yang hampir pasti akan pergi selama-lamanya pada malam Jumaat ini.

Pendidikan Awal

Pengajian Islam Nik Aziz bermula di beberapa sekolah pondok di Kelantan dan Terengganu, sebelum disambung di Darul Uloom Deoband, Uttar Pradesh, India selama lima tahun.

Beliau kemudiannya menyambung hingga ke peringkat Ijazah Sarjana Muda Sastera dalam Pengajian Bahasa Arab dan Ijazah Sarjana dalam Perundangan Islam di Universiti Al-Azhar, Mesir.

Sekembalinya dari Mesir, Nik Aziz memulakan kerjaya sebagai guru di beberapa buah sekolah agama di Kelantan.

Dikatakan kerana pengalaman menuntut ilmu di pelbagai negara, beliau menguasai beberapa bahasa antaranya Arab, Inggeris, Tamil dan Urdu.

Perkahwinan Dengan Tuan Sabariah Tuan Ishak

Hasil perkongsian hidup Nik Aziz dan Tuan Sabariah Tuan Ishak, mereka dikurniakan 10 orang cahaya mata, lima lelaki dan lima perempuan.

Sebelum menjadi Menteri Besar Kelantan pada tahun 1990, Nik Aziz merupakan seorang guru agama yang pernah mengajar di beberapa buah sekolah agama termasuk Sekolah Menengah Agama Tarbiyyah Mardiah, Sekolah Menengah Agama Darul Anwar dan Sekolah Menengah Maahad Muhammadi yang kesemuanya terletak di Kelantan.

Oleh kerana aktifnya beliau dalam bidang pendidikan agamalah, beliau popular dengan panggilan ‘Tok Guru’ dalam kalangan rakyat Malaysia khususnya rakyat Kelantan.

Politik Dalam PAS

Nik Aziz menjadi ahli PAS pada tahun 1967 dan penyertaannya dalam parti itu disenangi ramai hingga akhirnya diberikan kepercayaan menjawat jawatan tertinggi Mursyidul Am.

Ketika menjadi Menteri Besar Kelantan, beliau dikenali sebagai seorang pemimpin yang cukup zuhud dan warak. Hampir setiap ketika, beliau dilihat dalam keadaan berjubah dan berserban.

Malah terdapat cerita berlegar, Nik Aziz dikatakan solat dalam keadaan gelap dalam pejabat rasminya kerana tidak mahu menggunakan wang kerajaan untuk kepentingan diri.

Rumah kediamannya pula hanyalah sebuah rumah kampung seperti yang dimiliki rakyat biasa, dan dikatakan rumah beliau tidak berpagar sama sekali serta tiada pengawal keselamatan yang diupah untuk menjaganya.

Pada tahun 2008, Gerakan Rakyat Anti Korupsi (GERAK) menobatkan Nik Aziz sebagai Menteri Besar yang memiliki rekod paling bersih di Malaysia.

Anugerah itu diberikan sebagai menghargai usaha beliau menentang gejala rasuah sepanjang mentadbir Kelantan selama hampir 18 tahun.

Pada tahun 2009 pula, beliau tersenarai antara 50 tokoh Islam paling berpengaruh di dunia dan disenaraikan dalam buku berjudul “The 500 Most Influential Muslims”.

Penglibatan Politik Sebagai ADUN Chempaka

Beliau ketika menjadi Menteri Besar merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.06 Chempaka, Kelantan.

Pada Pilihan Raya Umum ke-11, Nik Aziz menyandang kerusi tersebut setelah mengalahkan Ruhani Mamat (BN) dengan majoriti undi sebanyak 3,694.

Pada pilihan raya umum Malaysia ke-12 pula, beliau bersemuka dengan Datuk Dr Nik Mohd Zain Omar yang bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN) di kawasan DUN sama.

Secara peraturannya, Nik Aziz sudah boleh menang tanpa bertanding pada hari penamaan calon apabila lawannya itu terlupa untuk menurunkan tandatangan pada borang penamaan calon.

Namun beliau tidak mahu menang dengan cara begitu lalu meminta calon BN itu menandatangani semula borang pencalonan tersebut. Keputusan pilihan raya itu menyaksikan Nik Aziz menang dengan majoriti undi yang lebih besar, iaitu 4,249.

Nik Aziz meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar Kelantan pada Mei 2013 atas faktor usia lalu melantik timbalannya ketika itu, Datuk Ahmad Yakob sebagai pengganti.

Peletakan jawatan itu mengakhiri pimpinan Nik Aziz selaku MB Kelantan selama 23 tahun.

Al-Fatihah..

BACA INI JUGA: Kisah Benar Menjadi Jutawan Kerana Amalan Sedekah

Sumber: Mynewshub.cc