Monday, July 27, 2020

Penyakit Xenofobia Dan Rasisme, Sisi Gelap Bangsa Korea Selatan Yang Ramai Tidak Tahu

Penyakit Xenofobia Dan Rasisme, Sisi Gelap Bangsa Korea Selatan Yang Ramai Tidak Tahu

Sebut saja Korea Selatan, yang terbayang di kepala ialah fenomena K-Pop dan status negara itu sebagai negara maju terutama dari segi teknologi. Tetapi siapa sangka di sebalik status mereka sebagai negara maju, mereka dibayangi xenofobia yang menebal!

Xenofobia Korea Selatan

Dalam satu kaji selidik yang dibuat Overseas Koreans Foundation pada tahun 2018, 61% responden melihat ekspatriat atau pekerja asing bukan sebahagian daripada masyarakat Korea. Tetapi jika anda seorang kulit putih dan berasal dari negara-negara atas angin (Barat), maka anda sekurang-kurangnya terselamat daripada sesetengah bias mengarut mereka.

Ini didedahkan oleh Profesor Park Kyung-tae, seorang profesor sosiologi dari Universiti Sungkonghoe.

Beliau berkata, "Orang Korea berfikir warga Barat atau orang kulit putih yang bertutur dalam Bahasa Inggeris sebagai orang asing yang dimahukan. Jenis warga asing yang ditolak ialah pelarian dan warga China termasuk etnik Korea yang berasal dari China kerana mereka dianggap miskin.

"Jika anda datang dari negara Barat, anda akan mendapat lebih banyak peluang untuk dihormati. Tetapi jika anda datang dari negara Asia yang membangun, peluang lebih tinggi untuk anda dihina dan tidak dihormati mereka."

Antara persepsi bias warga Korea terhadap warga asing (termasuk warga Korea yang tiba dari negara luar) ialah:

1. Melayan buruk warga asing tetapi berubah 360 darjah jika mereka dapat bertutur dalam Bahasa Inggeris dengan baik.

2. Wanita Thailand dianggap sasaran mudah untuk melampiaskan nafsu kerana beranggapan ramai bekerja sebagai pelacur.

3. Warga Korea yang tiba dari negara luar dipandang hina kerana latar belakang keluarga atau pekerjaan di negara asing.

4. Warga Jepun tetap dianggap musuh berikutan sejarah pendudukan dan kekejaman mereka semasa di Korea.

Jadi, mengapa perkara sebegini berlaku?

Jawapannya ialah melihat semula sejarah Semenanjung Korea itu sendiri. Korea dipaksa membuka pintu seluas-luasnya kepada orang asing pada awal abad ke-20 apabila Jepun menduduki kawasan itu sebagai sebahagian daripada rancangan perluasan empayar mereka.

Dan ia terus dibuka akibat situasi Perang Korea dan penempatan pangkalan-pangkalan tentera Amerika Syarikat di Korea Selatan.

Selepas tahun 1988 iaitu tahun penganjuran Sukan Olimpik 1988 dan pentadbiran kerajaan yang dipilih secara demokratik buat kali pertama, barulah Korea Selatan mengalu-alukan kehadiran warga asing, pengaruh luar dan kapitalisme. Setahun selepas itu, Seoul membenarkan warganya untuk bergerak keluar masuk ke luar negara.

Tambah Profesor Kyung-tae, "Sejak tahun 1980-an dan 1990-an, kami mula melihat ramai warga asing datang dan kami tidak tahu cara berinteraksi dengan mereka. Mereka tidak dianggap sebahagian daripada masyarakat. Kami fikir mereka akan pergi selepas menetap di sini buat seketika."

Hari ini, warga asing membentuk 2.8% populasi negara itu atau 1.43 juta orang. Daripada 1.43 juta warga asing, separuh daripadanya ialah warga China berdarah Korea, 9.4% warga Vietnam, 5.8% warga Thailand dan 3.7% masing-masing untuk warga Amerika dan Filipina.

Tetapi, jika anda rasakan bercakap Bahasa Inggeris dapat membantu mengharungi xenofobia mengarut warga Korea, anda silap. Hakikatnya, kebencian warga Korea terhadap orang Barat terus menebal terutamanya terhadap tentera Amerika Syarikat.

Pada tahun 2002, berlaku satu insiden dua pelajar sekolah perempuan Korea dilanggar oleh sebuah kenderaan peronda tentera Amerika.

Apabila kedua-duanya dibicarakan di mahkamah tentera berdasarkan perjanjian SOFA yang dimeterai antara kedua-dua negara, protes diadakan di seluruh negara bagi membantah ketidakadilan ini.

Hari ini, protes terhadap kehadiran tentera Amerika Syarikat masih berlaku dan polis anti-rusuhan Korea Selatan diletakkan secara tetap di luar 41 pangkalan tentera mereka. Dan jangan terkejut melihat ada bar atau restoran meletakkan papan tanda melarang anggota tentera Amerika dari memasuki premis mereka.

Nak kata ada undang-undang anti-diskriminasi, bukan sekali cuba digubal Seoul bagi menangani masalah ini, tetapi semua cubaan tersebut berakhir dengan kegagalan kerana bimbang kehilangan sokongan penyokong semasa pilihan raya parlimen atau presiden.

Ingat tak, Lisa Blackpink sendiri pernah menjadi mangsa rasism di Korea sampai stand Kpop kena buat hashtag #RespectLisa, apabila netizen Korea menabur komen suruh Lisa yang asal dari Thailand balik Thailand, dengan kecaman-kecaman berbentuk perkauman.

Respect Lisa Blackpink

Bukan Lisa saja yang menjadi mangsa rasism melampau. Contohnya Ashles Perez yang menulis, "I Wasn't Beautiful Enough to Live in South Korea". Sebabnya, walau dia berdarah Korea, tetapi kulit dia perang-coklat, orang Korea rejek beliau.

Di Korea, tidak wujud konsep kacukan dan peranakan, selagi seseorang itu tidak membawa "bongwan" (본관 – nama keluarga yang menunjukkan asal usul Korea).

Orang Cina yang hidup di Korea Selatan sejak sebelum penjajahan Jepun (1910-1945) juga masih belum diberi taraf kerakyatan walaupun sudah 100 tahun.

Sebabnya, Korea Selatan mengamalkan dasar "jus sanguinis" – selagi anda tidak ada darah Korea, jangan harap diterima sebagai orang Korea.

Dan sebagai kesimpulan kisah ini, pandangan ahli sosiologi Universiti Seoul Michael Duff harus didengar, "Ia bukan soal identiti berlawanan yang berpengaruh. Jantina, bangsa dan status memainkan peranan penting di Korea Selatan. Tetapi di Korea, itu tidak berlaku lagi sekiranya anda seorang warga asing. Anda dipandang sebagai warga asing dahulu sebelum ia disusuli oleh aspek-aspek lain."

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: thepatriots

Thursday, June 11, 2020

6 Etnik Yang Menjadi Mangsa Rasis Dan Sejarah Perkauman Di Amerika Syarikat

6 Etnik Yang Menjadi Mangsa Rasis Dan Sejarah Perkauman Di Amerika Syarikat

Rasisme adalah sejenis kepercayaan bahawa sebuah bangsa, warna kulit atau satu kelompok secara umumnya, sama ada dari segi agama, nasionalisme atau etnik, dianggap lebih tinggi dan dominan berbanding yang lain.

Perkauman Di Amerika Syarikat

Namun, rasisme terdapat pelbagai jenis serta kategori, dan adakalanya rasisme itu perlu demi kemandirian sesebuah bangsa.

Namun berbeza dengan Amerika, rasisme telah menjadi sebahagian daripada lanskap politik Amerika sejak penjajahan Eropah di Amerika Utara bermula pada abad ke-17.

Sudah ada pelbagai kelompok yang terpaksa menghadapinya, ia dipraktikkan dalam undang-undang yang diskriminatif, amalan sosial dan tingkah laku jenayah yang ditujukan kepada kumpulan sasaran.

Berikut adalah senarai beberapa etnik yang menjadi mangsa perkauman orang kulit putih Amerika.

1. KAUM PRIBUMI AMERIKA

Dengan kedatangan orang Eropah di pesisir Amerika Utara dan perancangan sistematik mereka untuk menunduk dan menakluki tanah itu, berlakulah konflik perkauman dan kekejaman terhadap orang Pribumi.

Orang Eropah percaya bahawa penduduk asal Amerika adalah kafir dan tidak bertamadun, mereka perlu diperkenalkan dengan peradaban melalui agama Kristian dan budaya Eropah.

Ini menyebabkan berlaku pembunuhan beramai-ramai, pengusiran, rampasan tanah, cubaan untuk menghapuskan tradisi penduduk asli Amerika, serta asimilasi paksa melalui institusi seperti sekolah residen dan menubuhkan "Indian Reservation".

Malah, media menggambarkan penduduk asal di benua ini sebagai orang buas yang hauskan darah, lantas membantu menghalalkan penindasan Eropah terhadap Pribumi Amerika.

Kesan jangka panjang, antara lain, layanan sebegini menjelaskan hakikat hari ini di mana kaum Pribumi Amerika mempunyai kadar kes bunuh diri tertinggi berbanding mana-mana kumpulan di Amerika Syarikat, menurut National Institute of Mental Health.

2. AFRIKA-AMERIKA

Ramai orang Afrika yang dibawa ke Amerika bermula pada abad ke-17 tiba sebagai hamba, diculik dari tanah air dari pelbagai bahagian benua Afrika.

Malah, sebilangan daripada mereka terkenal sebagai golongan bangsawan dan celik huruf.

Lelaki, wanita dan kanak-kanak Afrika dihapuskan nama asal dan identiti mereka, dipaksa melalui proses "Kristianisasi", diseksa dan dalam beberapa kes, mereka dihukum atau digantung sesuka hati oleh pemilik mereka dari kaum kulit putih, yang menganggap perhambaan adalah kepentingan utama untuk mengekalkan kekayaan dan hartanah mereka yang luas.

Ahli keluarga dipisahkan melalui proses jual beli hamba dan walaupun tidak semua orang Afrika di Amerika menjadi hamba, sebilangan besar dijadikan hamba terutamanya di negeri-negeri selatan.

Bagi orang-orang Afrika di Amerika yang bebas, undang-undang diskriminatif yang melarang mereka memiliki harta dan mengundi, misalnya, serta kepercayaan terhadap kerendahan status diri hakiki orang berkulit gelap oleh majoriti kulit putih yang dominan menghalang mereka dari meraih kesaksamaan penuh dalam negara Amerika Syarikat.

Walaupun perhambaan akhirnya diharamkan dan undang-undang yang melarang diskriminasi terhadap Afrika-Amerika dibuat, perkauman terhadap komuniti ini terus wujud dan ditunjukkan dalam pelbagai cara yang lebih halus hari ini.

Sebagai contoh, Suruhanjaya Amalan Pekerjaan yang Adil Washington DC telah mendapati bahawa orang kulit hitam menghadapi diskriminasi dalam satu daripada setiap lima temuramah pekerjaan.

Persatuan Sosiologi Amerika menyatakan bahawa, "hari ini majikan menggunakan fasa proses pengambilan pekerja yang berlainan untuk mendiskriminasi golongan minoriti (misalnya, merekrut dari sekolah orang kulit putih sebagai prioriti dan bukan melalui program latihan pekerjaan) dan menawarkan pekerjaan dan gaji yang bertaraf lebih tinggi kepada pekerja kulit putih."

3. JEPUN-AMERIKA

Dengan pengeboman Pearl Harbor di Hawaii pada bulan Disember 1941, diskriminasi perkauman terhadap komuniti Jepun-Amerika semakin meningkat.

Sama seperti umat Islam setelah serangan 9/11, orang Jepun-Amerika menjadi sasaran gangguan, diskriminasi dan pengawasan pemerintah. Anggota komuniti ini kehilangan rumah, pekerjaan dan perniagaan.

Tetapi, tamparan terburuk adalah Perintah Eksekutif Februari 1942 yang ditandatangani oleh Presiden Franklin D. Roosevelt yang membenarkan penahanan mana-mana orang Jepun-Amerika.

Mereka kemudiannya dianggap sebagai musuh negara dan lebih separuh daripada 120,000 orang Jepun-Amerika dihantar ke kem, walhal dilahir dan dibesarkan di Amerika Syarikat serta tidak pernah menjejakkan kaki ke Jepun. Separuh daripada mereka adalah kanak-kanak.

Perintah Eksekutif membenarkan pengecualian secara paksa terhadap orang Jepun-Amerika dari kawasan tertentu demi menjaga keselamatan dari sebarang sabotaj, pengintipan dan menjaga harta benda.

Sebahagian dari mereka yang dipenjarakan mati di kem kerana kekurangan rawatan perubatan yang tepat. Yang lain kebanyakannya dibunuh kerana tidak mematuhi perintah.

Menurut laporan tahun 1943 yang diterbitkan oleh War Relocation Authority, pihak yang menguruskan kem, orang-orang Jepun-Amerika ditempatkan di "barak-barak yang dilapisi kertas tar dengan pembinaan struktur sederhana tanpa kemudahan saliran mahupun fasiliti untuk memasak."

Penginapan yang penuh sesak ini amat suram dan dikelilingi oleh kawat berduri. Presiden Roosevelt sendiri menggelar tempat itu sebagai "kem konsentrasi."

4. SINOFOBIA/CINA-AMERIKA

Sentimen anti-China atau sinofobia telah wujud di Amerika Syarikat sejak pertengahan abad ke-19, tidak lama setelah imigran dari China pertama kali tiba di pantai Amerika Syarikat.

Ia dianggarkan bermula pada tahun 1860-an, ketika orang-orang Cina membantu membangunkan projek Kereta Api Transkontinental Pertama.

Pernah dinyatakan dalam Rang Undang-Undang Pengecualian Cina tahun 1882, iaitu menghentikan bukan sahaja imigrasi tetapi juga naturalisasi.

Puncanya dapat ditelusuri melalui para pedagang, mubaligh, dan diplomat Amerika yang pulang dari China bersama laporan "negatif tanpa henti" mengenai orang-orang yang mereka temui di sana.

Persepsi ini ditularkan kepada orang Amerika yang tidak pernah meninggalkan Amerika Utara, memicu perbahasan mengenai Yellow Peril dan terus berlanjutan melalui Perang Dingin semasa McCarthyism.

Beberapa sentimen anti-Cina moden mungkin disebabkan oleh kebangkitan kerajaan komunis Republik Rakyat China sebagai kuasa besar dunia yang dilihat memangsakan negara-negara di luar China.

Sentimen sinofobia atau anti-Cina adalah istilah sifat penentangan atau permusuhan yang ketara terhadap budaya Cina, politik Cina dan dasar Republik Rakyat China, kadang-kadang, terhadap kumpulan tertentu orang-orang Cina.

5. YAHUDI-AMERIKA

Walaupun orang Yahudi pertama kali tiba di Amerika lebih dari 300 tahun yang lalu dan menikmati tahap kebebasan beragama tertentu, anti-Semitisme tetap wujud dan biasa dilakukan secara sosial dalam beberapa kes.

Sebagai contoh, beberapa negeri pada akhir abad ke-18 melarang mereka yang bukan beragama Kristian daripada mengundi atau memegang jawatan awam.

Namun, halangan-halangan ini kemudiannya ditamatkan, terutamanya setelah wujudnya Rang Undang-Undang Hak.

Juga, semasa tragedi Holocaust di Eropah pada tahun 1940-an, sebuah kapal yang memuatkan lebih 900 pelarian Yahudi terutamanya dari Jerman tidak diizinkan untuk berlabuh di tanah Amerika, berdasarkan Undang-Undang Imigrasi yang dikecualikan pada tahun 1924.

Hanya satu pertiga sahaja daripada penumpang kapal itu yang dipaksa untuk kembali ke Eropah, terselamat dari menjadi korban pembunuhan Yahudi di Eropah pada masa itu.

Klux Klux Klan, salah satu kumpulan pengganas yang paling kejam di Amerika Syarikat, tidak hanya mensasarkan kebencian mereka kepada orang Afrika-Amerika, bahkan orang Yahudi juga menjadi sasaran.

Diskriminasi terhadap orang Yahudi dilakukan dalam beberapa kes dalam konteks tenaga kerja dan mereka tidak diizinkan masuk ke sejumlah kawasan peranginan dan kelab sosial.

Kolej juga mengamalkan diskriminasi dengan mengehadkan pendaftaran untuk mereka, orang Yahudi juga dilarang membeli harta benda tertentu.

6. ISLAMOFOBIA

Ini adalah istilah yang dicipta untuk menggambarkan permusuhan semasa terhadap agama Islam dan Muslim di Amerika Syarikat, yang dizahirkan secara prejudis, gangguan dan diskriminasi.

The Pew Forum On Religion And Public Life mendapati beberapa tahun lalu bahawa pendapat positif terhadap Islam di kalangan orang Amerika telah menurun sejak tahun 2005.

Islamofobia semakin meningkat setelah berlakunya serangan 9/11 dan perang lanjutan di Iraq dan Afghanistan.

Umat ​​Islam di Amerika Syarikat dalam satu dekad terakhir ini telah melalui 700,000 soal jawab oleh FBI, pintasan panggilan tanpa wayar, pengawasan telefon dan pelbagai lagi kaedah.

Ditambah lagi dengan retorik kebencian dan penyampaian maklumat salah yang didorong oleh para "pakar-pakar" keganasan, penulis sayap kanan, hos dan personaliti rancangan bual bicara televisyen dan radio, serta blog dan laman web yang tidak terhitung jumlahnya yang memfitnah Islam dan umat Islam, sekali gus mengaitkannya dengan keganasan.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: thepatriots

Thursday, October 05, 2017

Amalan Diskriminasi Kaum Di Malaysia

Amalan Diskriminasi Kaum Di Malaysia

Kecoh satu Malaysia dek sebuah kedai dobi di Muar, Johor yang hanya menerima pelanggan beragama Islam sahaja bagi menggunakan perkhidmatan mesin basuh layan diri di kedai tersebut.

Diskriminasi

Walaupun kita tidak bersetuju dengan konsep yang dilaksanakan pemilik perniagaan terbabit, lebih-lebih lagi di negara kita yang berbilang kaum ini, kita rasa pelik juga akan sebab mengapa agaknya ramai yang begitu cepat melenting apabila mendapat tahu kewujudan kedai dobi mengamalkan sikap diskriminasi sedangkan tidak pula bertindak sedemikian terhadap amalan diskriminasi yang lain?

Pastinya setiap individu warganegara Malaysia yang tidak hidup di bawah tempurung sedia maklum akan amalan-amalan diskriminasi yang sudah lama menular di banyak kejiranan kita.

Contohnya, tuan-tuan punya rumah menawarkan hartanah mereka untuk disewakan kepada kaum-kaum yang tertentu.

"For Chinese Only" (Untuk Cina sahaja).

"Untuk Muslim sahaja."

Jika ditanya kepada tuan punya rumah berketurunan Cina sebab mereka memilih kaum yang sama berbanding memilih penyewa bertanggungjawab, kata mereka, penyewa Cina lebih mudah membayar sewa tepat pada masanya, manakala penyewa Muslim dan India cenderung memasak sambal belacan dan kari, menyebabkan seluruh rumah berbau busuk.

Bagi tuan punya rumah beragama Islam pula, menurut mereka, adalah lebih mudah menerima penyewa Muslim memandangkan penyewa bukan Islam mungkin akan menggunakan kelengkapan dapur bagi menyediakan makanan yang tidak halal, lantas memaksa mereka menyamak seisi rumah sebelum mencari penyewa lain.

Jika difikirkan dengan mendalam serta diteliti, perbezaan antara alasan yang diberikan oleh tuan-tuan punya rumah berkenaan dengan pemilik kedai dobi tersebut, tidaklah begitu ketara.

Jadi, bukankah pemilihan kaum tertentu dalam soal penyewaan rumah juga satu bentuk diskriminasi?

Alasan bahasa

Habis, mengapa pula tak kecoh satu Malaysia?

Selain daripada amalan diskriminasi sebahagian tuan-tuan punya rumah semasa memilih penyewa, ada juga majikan yang bertindak sedemikian dalam pemilihan pekerja.

Pastinya ramai yang sudah maklum dengan iklan-iklan jawatan kosong sebegini:

"Only for Chinese applicants" (Untuk pemohon Cina sahaja).

Apabila ditanya apa sebab sebahagian mereka memasukkan faktor bangsa semasa pemilihan pekerja, ada saja majikan yang memberi alasan kebolehan bertutur bahasa Mandarin sebagai puncanya.

Peliknya, jika benarlah alasan tersebut, mengapa pula iklan jawatan kosong tersebut tidak hanya mewajibkan pemohon bertutur dalam bahasa Mandarin, sebaliknya menekankan faktor bangsa?

Bunyi macam diskriminasi juga, bukan?

Selain itu, ada juga kisah seorang netizen meninggalkan komen dalam sebuah blog menceritakan pengalamannya.

Katanya, "Saya berkelulusan universiti tempatan dan sudah bekerja dengan sebuah syarikat tempatan. Pemilik serta majoriti pekerjanya merupakan kaum Cina.

“Sudah setahun lebih saya bekerja, berhempas-pulas cuba membuktikan kebolehan saya. Datang pula seorang pekerja berbangsa Cina yang baru memperoleh ijazah tanpa pengalaman bekerja.

“Individu tersebut bukan sahaja ditawarkan posisi yang sama seperti saya di dalam syarikat, malahan gaji permulaanya juga lebih tinggi berbanding gaji saya yang sudah setahun bekerja."

Diskriminasi kita sendiri

Tak tahulah apa pendapat para pembaca kisah di atas, tetapi pada pandangan saya, bunyinya seakan diskriminasi di tempat kerja.

Pastinya ramai yang telah mendengar bermacam amalan diskriminasi sedemikian rupa di kalangan masyarakat kita.

Peliknya kita bertoleransi saja dengan amalan-amalan tersebut sedangkan tergedik-gedik pula membuat bising apabila mendengar tentang kedai dobi yang menyediakan perkhidmatan hanya untuk pelanggan Muslim.

Kenapa?

Apakah lebih seronok menghentam orang Islam berbanding kaum lain?

Dengan sikap kita yang fokus pada keaiban satu pihak dan dalam masa yang sama alpa dengan keaiban pihak yang lain, sebenarnya kita sendiri yang cenderung ke arah diskriminasi.

Atau, itulah budaya kita sebagai rakyat Malaysia pelbagai kaum. Terima dengan hati terbuka, tak perlu viralkan secara melulu dan nikmati nikmat kepelbagaian bangsa yang ada sewajarnya.

Boleh?

BACA INI JUGA:

sumber: malaysiakini

Thursday, September 29, 2016

'Serius Terperanjat Ada Lagi Orang Malaysia Yang Rasis Macam Tu Sekali'

'Serius Terperanjat Ada Lagi Orang Malaysia Yang Rasis Macam Tu Sekali'

Warga Malaysia sekali lagi dikejutkan dengan berita viral tentang bagaimana seorang wanita yang menjual daging jeruk berhadapan dengan pelanggan yang enggan berurusan dengannya setelah mengetahui dia mempunyai anak kacukan warga Afrika.

Emma Adelia

Menceritakan semula kejadian, Noor Akmar Kamaruddin, 29, atau dikenali sebagai Emma Adelia berkata, pada hari berkenaan semuanya berjalan tenang sehinggalah dia dikejutkan dengan mesej seorang pelanggan bernama Safina Said.

"Safina beritahu nak beli daging jeruk yang saya jual. Saya pun balas dengan elok dan terangkan dia pakej yang ada.

"Tiba-tiba dia alih topik dan bertanya siapa budak kecil yang bersama saya dalam gambar profil Facebook. Tanpa berfikir serong, saya beritahu itu anak saya," kata Noor Akmar yang lebih mesra disapa Emma.

Menurut Emma, tanpa diduganya, wanita tersebut masih mahu memanjangkan perbualan dan bertanya lagi sama ada rambut anaknya yang kerinting itu asli.

"Saya pun terangkan yang anak saya kacukan Melayu-Afrika (dari Nigeria) dan sungguh tak sangka apabila Safina memberi reaksi terperanjat," katanya kepada Sinar Harian.

Emma berkata, sebaik mendengar jawapan itu, Safina memberitahu dia enggan meneruskan urus niaga kerana suaminya tidak membenarkan dia terlibat dengan warga Afrika.

"Dia kata rupa dan perangai orang Afrika buruk. Saya pun tanyalah sama ada dia pernah ada masalah dengan mereka, dia kata tak. Jadi saya terdiam sekejap dan mula fikir, apa sebenarnya masalah Safina ni," kata Emma yang merupakan seorang ibu tunggal yang membesarkan anaknya, Qiesya Adelia, 3, sendirian.

Katanya yang sudah dilatih untuk sentiasa melayan pelanggan dengan baik, dia akhirnya mengambil keputusan untuk memberi respons secara berhemah namun sedikit sinikal.

"Saya cakap saya pun tak dapat nak berurusniaga dengan dia (Safina) sebab saya tak suka jadi rasis.

Kemudian saya kata lagi, anak saya walaupun campuran darah Afrika tapi dia cantik, tak macam wajah dan hati dia yang buruk," kata Emma yang mengakui dia hanya bertujuan mahu menyedarkan Safina setelah tergores dengan kata-kata wanita itu.

Bagaikan terpukul dengan kata-kata sendiri dan setelah screen-shot perbualan mereka dimuatkan Emma dalam statusnya di Facebook, Safina bertindak menutup akaun laman sosialnya.

"Saya memang terkejut, tak sangka dia boleh kata begitu. Serius saya terperanjat ada lagi orang Malaysia yang anti-perkauman macam tu sekali.

"Dia tak tahu anak-anak campuran Malaysia-Afrika ramai kat negara ni. Kalau dia tahu mungkin akan malu sendiri," tegas Emma.

Emma Adelia

Tambah ibu muda yang berasal dari utara tanah air ini, dia sudah biasa berhadapan dengan pelbagai kata-kata tidak enak tentang dirinya dan Qiesya, namun memutuskan untuk 'buat biasa'.

"Biasanya orang awam suka tanya sama ada Qiesya tu anak betul saya atau anak angkat. Saya terangkan baik-baik saja sebab mereka tanya pun dengan elok. Tapi kali ni lain pula jadinya.

"Takpelah saya doakan Safina bahagia berurusan dengan warga tempatan atau bangsa lain yang bukan negro," katanya sinis.

Emma yang juga seorang pengasuh bayi di kawasan perumahannya di Ampang berkata, dia kesal terpaksa berhadapan dengan insiden itu namun bersyukur menerima sokongan padu rakyat Malaysia dari pelbagai kaum, terutama setelah kisahnya dikongsi semula oleh beribu-ribu netizen.

"Ramai yang menyokong dan bagi semangat, tak kurang juga yang negatif dan sanggup kata ini strategi saya nak lakukan barang dijual. Tolonglah, saya ni berniaga dari rumah saja. Kecil-kecilan pula tu.

"Saya cuma nak orang tahu ada anak kacukan warga Afrika bukan satu dosa. Ia tak ada kena mengena dengan perniagaan yang saya buat.

"Saya cuma seorang ibu tunggal yang bertungkus-lumus cari rezeki halal demi membesarkan anak saya Qiesya, itu saja.

"Kepada Safina dan mereka di luar sana yang suka memandang hina kepada kaum lain, anda patut duduk di pulau dan berurus niagalah dengan diri sendiri saja," katanya.

BACA INI JUGA:

Sumber: SH

Saturday, September 10, 2016

'Apa Kaitan Cina Dengan Cara Saya Berpakaian?'

'Apa Kaitan Cina Dengan Cara Saya Berpakaian?'

Seorang wanita menggunakan nama Facebook, Gillian Benjamin mendakwa ibunya yang juga seorang OKU dan bapanya telah menerima layanan buruk oleh seorang pegawai Imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), minggu ini.

Gillian Benjamin

Wanita yang dikenali sebagai Gillian Benjamin meluahkan rasa tidak puas hati melalui laman Facebook mengenai layanan buruk pegawai tersebut terhadap ibunya yang seorang OKU dan bapanya.

Gillian memuat naik luahannya di Facebook pada Selasa lalu dan mendakwa pegawai wanita itu menjerit kepada ibu dan bapanya walaupun jarak kaunter itu begitu dekat.

“Dia jerit ‘Helo! Pergi kaunter 31! Eh! Helo! Kaunter 31! 31!’ Jarak dia dengan kami dekat sahaja sebab kami depan kaunter. Kenapa perlu jerit pada ibu bapa saya?” katanya yang berasal dari suku kaum Kadazan.

Rakan Gillian yang dikenali sebagai Qhal kemudiannya ke kaunter pegawai tersebut dan memintanya untuk memberikan layanan sopan.

Bagaimanapun, Qhal dimarahi pegawai tersebut dengan pelbagai persoalan termasuk bertanyakan tempat asalnya.

“Qhal jawab dia orang Malaysia dan dia juga beritahu pegawai itu dua orang yang kena jerit itu ibu bapa kami.

“Pegawai itu jawab, ‘Mana saya tahu. Saya ingat orang Cina. Dia (merujuk kepada Gillian) pun pakai macam itu, mana saya tahu!’,” katanya.

Berang dengan kenyataan pegawai itu, Gillian berkata, “Apa kaitan Cina dengan cara dia layan kami? Apa kaitan Cina dengan cara saya berpakaian? Apa kaitan Cina dengan tindakan kamu jerit kepada OKU dan warga emas? Kamu rasis ke?”

Sementara itu, Sinar Harian melaporkan Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali telah mengeluarkan arahan agar tindakan segera diambil untuk menyiasat kejadian itu.

BACA INI JUGA:

Sumber: Mynewshub | SENTIASAPANAS

Saturday, February 07, 2015

Isu Rasis, Bila Cina Hina Melayu Kenapa Diam?

Isu Rasis, Bila Cina Hina Melayu Kenapa Diam?

Kenyataan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilihat tidak menjurus kepada semua bangsa Cina tetapi ia sebenarnya ditujukan kepada peniaga Cina yang enggan menurunkan harga.

Tony Tan

Tony Tan (Gambar) menunjukkan contoh seorang penyokong DAP yang menghina bangsa Melayu di laman sosial tetapi hanya didiamkan.

Ketua Biro Salah Guna Kuasa, Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin (PMSP) Tony Tan berkata jika benar menteri berkata dengan niat menghina bangsa Cina, pasti rakyat juga tidak menyukainya.

“Itu DAP kata, Menteri (Ismail Sabri) ada hina orang Cina. Kalau anda seorang pembangkang atau YB (wakil rakyat), kamu mesti ikut cara, kalau ada dapat bukti cukup sila pergi buat laporan polis.

“Biar polis siasat kes ini, kita jangan marahkan bangsa lain, mengapikan lagi isu melibatkan perkauman,” katan Tony Tan dalam satu sidang media oleh bekas ahli dan penyokong DAP di Petaling Jaya pada Jumaat.

Tony yang juga bekas setiausaha kepada Naib Pengerusi DAP Teresa Kok berkata, jika kenyataan Ismail Sabri itu bukan berniat menghina bangsa Cina tetapi pertelingkahan berlaku dan keadaan menjadi huru-hara disebabkan olehnya maka rakyat akan menghadapi masalah.

Pada sidang media sama, beliau turut menempelak DAP yang mengamalkan ‘pilih kasih’ apabila tidak mengkritik pihak-pihak yang menghina bangsa Melayu, mengambil contoh status Facebook seorang wanita yang menghina juruterbang pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 yang terhempas di Ukraine, tahun lepas.

“Orang ini marah stupid Malay Muslim.. boleh ke ini macam? Mengapa DAP tidak cakap berkenaan hal ini? Jika DAP adil sila ambil tindakan dengan orang ini.

“Orang ini penyokong DAP, jika orang DAP yang bercakap dan anda tidak ambil tindakan bermakna apa.. double standard..!” tegasnya.

Lebih lantang, Tony mengambil contoh kenyataan biadap pasangan blogger seks Alvin Tan dan Vivian Lee yang mengajak umat Islam berbuka puasa dengan Bak Kut Teh iaitu hidangan berasaskan babi yang hanya didiamkan oleh DAP.

Selain itu, beliau berkata pada Pilihan Raya Umum ke-13 lalu DAP melalui Pakatan Rakyat (PR) mengajak semua golongan peniaga menyokong pakatan berkenaan dan terbukti mereka menyokong DAP, PKR dan PAS.

“Mengapa DAP kini tidak mengeluarkan kenyataan minta semua peniaga turunkan harga barang, itu kenyataan yang patut DAP atau PKR keluarkan supaya rakyat semua senang,” katanya.

Sementara itu, Presiden PMSP Ramesh Rao AKS pula mempertikaikan golongan peniaga Cina yang dilihat berdiam diri biarpun kenyataan Menteri (Ismail Sabri) merujuk kepada mereka berkenaan isu harga barangan yang tinggi.

Perbuatan itu seolah-olah membenarkan parti DAP menjawab bagi pihak mereka.

“Seperti yang kita tahu, pengundi Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya lepas kurang daripada lima peratus, jadi mereka nak DAP jawab bagi pihak mereka-lah.

“Ini juga satu cubaan untuk sabotaj ekonomi,” katanya.

Menurut beliau, inilah masanya para peniaga Cina melalui persatuan yang ada perlu ke depan dan menjawab isu mengapa harga barangan masih belum dapat diturunkan.

“Saya berasal dari Hutan Melintang, Perak 99 peratus yang menangkap ikan, datang ke jeti sampai ke pasar borong mereka yang membuat keputusan (berkaitan harga), kita tak pertikai, kita tak persoal,” katanya.

Tony dan Ramesh pada sidang media hari ini, turut disertai bekas penyokong DAP termasuk Dr Philip Loh selain seorang Melayu, Faizan Alias yang kini merupakan Ahli Jawatankuasa PMSP.

Sidang media diadakan bagi membantah tindakan DAP yang dilihat mengapi-apikan isu perkauman menggunakan kenyataan Ismail Sabri sebelum ini yang mencadangkan agar pengguna Melayu memboikot peniaga Cina yang enggan menurunkan harga barang.

Desakan agar peniaga menurunkan harga barang dibuat berikutan penurunan mendadak harga minyak mentah dunia yang membawa kepada penurunan harga petrol dan diesel di Malaysia.

BACA INI JUGA: Filem-filem Yang Bersifat Rasis Demi Komedi

Sumber: Mynewshub.cc

Thursday, February 05, 2015

Tuduhan Ustaz Kazim Elias Rasis Idea Strategi Yahudi

Tuduhan Ustaz Kazim Elias Rasis Idea Strategi Yahudi

Tindakan Pengerusi Persatuan Penduduk Kampung Jambu, Tumpat, Kelantan, Pui Tiong Lam membuat laporan Polis ke atas Ustaz Kazim Elias menunjukkan bahawa bukan sahaja orang bukan Melayu mempunyai masalah memahami bahasa Melayu malah mereka masih mempunyai syak wasangka yang keterlaluan.

Anti_semitism

Laporan ke atas video Datuk Ustaz Kazim Elias sedang memberi ceramah dalam satu majlis beberapa tahun lalu menunjukkan sikap sebenar pembuat laporan ini hanya mahu mencetuskan isu perkauman dan mewujudkan kebencian antara kaum bagi tujuan politik sahaja.

Tiong Lam mendakwa beliau menerima satu rakaman video menerusi whatsapp daripada seorang lelaki ‘Mr Gan’, yang menunjukkan Datuk Ustaz Kazim sedang memberi ceramah.

Antara lain, beliau mendakwa di dalam video itu Datuk Ustaz Kazim ada mengatakan orang Cina hanya tahu melepak di kedai-kedai minum dan mabuk secara terbuka tanpa menghiraukan orang ramai.

Beliau mendakwa ceramah Datuk Ustaz Kazim itu seolah-olah mahu mengaibkan kaum Cina dan mengatakan kaum Cina hanya menumpang di Malaysia.

Hanya kira-kira dua minit sahaja daripada video berdurasi 10 minit itu mengandungi kandungan ucapan seperti yang didakwa oleh Tiong Lam.

Jika kita membaca transkrip [Baca SINI] atau mendengar ucapan Ustaz Kazim Elias, jelas sekali beliau hanya mempertahankan orang Melayu yang dituduh oleh kaum Cina sebagai cuba menjadi “tuan” di negara ini.

Maka Kazim bertanya siapa Tuan sebenarnya jika kerja-kerja bergaji rendah tetapi mempunyai kepentingan negara dibuat oleh orang Melayu? Di mana rasisnya?

Apakah maksud perkauman yang salah? Perkauman tidak salah, yang salah ialah perkauman yang melampau sehingga mewujudkan penindasan, diskriminasi dan kebencian kepada kaum lain.

Apakah ini yang dibuat oleh Kazim Elias? Tidak!

Apakah Kazim sedang menghasut orang Melayu membenci kaum Cina? Tidak?

Sebaliknya di hujung ucapan yang menjadi kontroversi ini Kazim dengan jelas menyalah orang Melayu bukannya Cina.

“Jawapannya mudah. Sebab ada orang Melayu yang sokong depa.”

Bagaimana orang yang menyalahkan kaumnya sendiri boleh dianggap rasis atau bersikap perkauman melampau?

Malangnya, Pui Tong Lam yang mungkin tidak bersekolah di sekolah kebangsaan tidak memahami dengan baik kandungan ucapan Kazim dan menuduh penceramah popular ini sebagai bersikap perkauman.

Malah kemungkinan lebih besar, ini hanyalah agenda politik dan bukannya isu kaum Cina.

Siapa yang rasis sebenarnya? Kazim Elias yang menceritakan keadaan sebenar atau parti tertentu yang tidak boleh mendengar apa sahaja pandangan yang negatif terhadap kaum Cina?

Apakah setiap kritikan atau hatta menyatakan realiti mengenai Kaum Cina di negara ini harus dianggap sebagai gerakan kebencian ke atas kaum Cina?

Mereka menggunakan idea seperti Zionis di barat yang melabelkan setiap kritikan ke atas kaum mereka sebagi anti-semitism atau kebencian terhadap yahudi.

Kaedah ini digunakan bagi membolehkan orang Yahudi bebas berbuat apa sahaja dan berselindung di sebalik mantra anti-semitisme ini.

Fikir-fikirkan..

BACA INI JUGA: Lim Kit Siang Rasis Dan Dia Memang Rasis - Dr Mahathir

Sumber: MYKMU.NET

Thursday, June 12, 2014

PANAS! Umat Islam Di HINA Lagi, 'Selamat Menyambut Hari Syaitan Aidilfitri'!

PANAS! Umat Islam Di HINA Lagi, 'Selamat Menyambut Hari Syaitan Aidilfitri'!

Melampau! Itulah yang boleh dikatakan terhadap satu status yang dimuat naik oleh seorang pengguna Facebook menggunakan nama Chow Jack.

Selamat Menyambut Hari Syaitan Aidilfitri

Status mamat biadap menggunakan bahasa tunggang langgang namun amat jelas mempunyai niat menghina ini berbunyi:

Selamat menyambut hari syaitan aidilfitri pada 28 July 2014 dan sebulan puasa makan babi hingga sebulan pada 28 Jun 2014 – 27 July 2014 selamat menyambut hari syaitan daripada Facebook Malaysia makan bak kut teh sama nabi mohd syaitan p**imak anjing syaitan.

Selamat Menyambut Hari Syaitan Aidilfitri [2]

Tak pasti sama ada gambar profil digunakan benar-benar asli atau tidak tapi yang nyata sesiapa sahaja yang menulis status sebegini tidak layak tinggal di negara berbilang kaum seperti Malaysia.

Diharapkan SKMM dapat menyiasat dan membawa dalang di sebalik akaun Facebook ini ke muka pengadilan kerana telah menghina agama rasmi negara ini dan menulis sesuatu yang boleh menimbulkan permusuhan dalam masyarakat. -Mynewshub.my

UPDATE!

Chow Jack Hina Islam
Chow Jack Hina Islam [2]
Chow Jack Hina Islam [3]
Chow Jack Hina Islam [4]

Mana SKMM dan pihak berkuasa? Tidur ke?

Friday, August 30, 2013

Pemandu Islam Dilarang Letak Kenderaan?

Pemandu Islam Dilarang Letak Kenderaan?

Apa yang kami kongsikan ini adalah gambaran sebenar apa yang berlaku di Houston, Texas, Amerika Syarikat. Sebuah papan amaran telah dipasang di kawasan parkir sebuah pusat membeli-belah melarang umat Islam untuk meletakkan kenderaan di kawasan tersebut.

No Muslim parking

Menurut laporan media antarabangsa Al Jazeera, papan amaran itu dipasang kerana pusat membeli-belah tersebut terletak di sebelah sebuah masjid di tengah bandar Houston.

Jika ada antara mereka ingkar dengan larangan tersebut, kereta mereka akan ditunda.

Gambar tersebut mendapat kecaman hebat apabila Al Jazeera memilih untuk memuat naik gambar tersebut di laman Instagram mereka bagi mendapat reaksi masyarakat antarabangsa.

Rata-rata komentator mengecam gambar tersebut dan mengkritik pengurusan pusat membeli-belah itu yang dilihat bersifat perkauman.

Jika di Malaysia, Kalimah Allah pun mahu di RAMPAS!

Lihatlah diluar sana, PARKIR kereta pun mereka enggan untuk berkompromi!

Lihat dan kongsikan pendapat anda.

Semoga memberi manfaat.

-Sentiasapanas.com

Friday, May 10, 2013

Contohi Sikap Anti-Rasis Rakyat Sabah

Contohi Sikap Anti-Rasis Rakyat Sabah

Petikan daripada seorang rakyat Malaysia yang berasal dari Borneo yang mengupas mengenai isu-isu HANGAT yang sedang melanda ganas di sebahagian negara Malaysia yang tercinta.

Anti-Rasis

Beliau (Mr. J) telah mengupas secara ringkas bagaimana Sabah yang dihuni lebih daripada 30 kaum boleh hidup sepakat dan duduk semeja walaupun berlainan fahaman, berlainan agama. Sangat menarik untuk dijadikan renungan buat kita, seluruh rakyat 1Malaysia.

Apa itu rasist, sebuah bingkisan luahan daripada anak Borneo - Mr.J .

Sejak semenjak habis Pilihanraya ke 13 ini suasana banyak yang berubah tapi bukan dari segi infrastrutur cuma dari segi ideologi serta pemahaman mengenai bangsa, kaum dan agama semakin menonjol sekarang.

Seolah-olah Pilihanraya ke 13 dikuasai siptom 'pilih bangsa' bukan Mr.J yang kata tetapi sebilangan akhbar di Malaysia ini mengatakan .

Maaf bila Mr.J katakan, 'Simptom' tersebut hanya berlaku di sebuah tempat yang diduduki oleh 3 Bangsa Utama iaitu "Cina, Melayu dan India" kita abaikan Bangladesh sebab Bangladesh mungkin mengambil masa untuk menjadi salah satu kaum di Malaysia ini.

Malaysia secara amnya dilihat sebuah negara yang majmuk yang dikatakan hidup bertoleransi tetapi hakikatnya sebenar adalah sebaliknya dan Mr.J lebih suka mengunakan Istilah 1 Malaysia 2 Negara iaitu Malaysia Timur (Sabah & Sarawak) .

Kenapa Nilai Rasional dan sikap Tolenransi dikalangan orang Sabah & Sarawak begitu tinggi sekali berbanding di sebuah tempat itu? Adakah Sabah & Sarawak hanya mempunyai 1 Bangsa dan 1 Agama? Tidak sama sekali, disana lebih daripada 30 Bangsa hidup aman bersama!

Biarpun kita selalu mendengar ungkapan jenis 'ejekan' seperti tinggal di hutan, pakai cawat dan sebagainya tetapi kita selalu memaafkan 'mereka' kerana kita tahu sifat sedemikian hanyalah persis cicak dibawah tin cola yang sentiasa tidak pernah tahu tempat orang.
Biarkanlah mereka dengan 'khayalan' pembangunan mereka padahal 'minda' serta 'sifat' mereka lebih rendah daripada peradapan sesetengah tempat (bukan semua tetapi sebilangan).

Ini pengalaman sebenar Mr.J yang hidup hampir 10 tahun ditempat orang iaitu lebih senang Mr.J katakan adalah Malaysia Barat, cara hidup tidaklah kearah Barat cuma apa yang Mr. J lihat itulah Mr. J nilaikan.

Kedai Makan disini terdiri kepada kedai 'kaum' sahaja, susah untuk kita lihat orang melayu 'lepak' dikedai cina dengan rakan cina mereka biarpun cuma minum air dalam tin sahaja.

Situasi ini amat berbeza bagi Mr. J suatu ketika dahulu apabila membawa rakan Mr. J yang berbangsa bukan cina lepak di kedai cina tetapi ditolaknya dengan mengatakan bahawa kedai cina haram walaupun sekadar duduk sahaja!

Sampai sekarang semuanya masih berbeza antara sosio-sosial dan pengaulan, rata-rata yang berbangsa A akan tetap mempercayai dan berkawan rapat dengan sebangsa dengannya. Ini fakta.

Apalah susah sangat untuk memahami 3 Bangsa yang disebutkan Bangsa Utama itu? Sedangkan di buku sekolah kita telah diterapkan dengan nilai-nilai menghormati sesuatu Bangsa.

Bagaimana pula dengan nilai lebih 30 etnik bangsa yang tidak dinyatakan di dalam buku sekolah, apakah kepercayaan yang tidak boleh dan boleh dilakukan?
Bagaimana mereka boleh bersatu sedangkan didalam buku sekolah tidak dinyatakan budaya dan sosio mereka?

Cuba tanya diri anda, berapa ramai dan bangsa kawan anda? Adakah 3 bangsa sahaja? Melayu, Cina, India?
Mr. J pula mempunyai kawan lebih daripada 3 bangsa.

-Mr.J

BACA INI JUGA: Asal Usul Nama Tempat Di Sabah Yang Sangat Unik

-SENTIASAPANAS.COM