Sunday, July 14, 2019

STPM Atau Matrikulasi, Peluang Mana Lebih Baik?

STPM Atau Matrikulasi, Peluang Mana Lebih Baik?

Kementerian Pendidikan pernah menegaskan bahawa kerajaan tidak membezakan antara kelayakan pemegang Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan matrikulasi untuk kemasukan ke universiti awam sebaliknya, ini diputuskan berdasarkan meritokrasi.

STPM Atau Matrikulasi

Namun, berdasarkan data dari tahun akademik 2018/2019, peluang untuk ke universiti awam bagi pelajar yang melalui sistem pendidikan matrikulasi adalah lebih cerah baik berbanding dengan pelajar yang mengambil peperiksaan STPM.

Menurut jawapan bertulis bertarikh 3 Julai 2019 oleh Menteri Pendidikan Maszlee Malik, 33,197 lepasan STPM dan 20,907 calon lepasan matrikulasi yang memohon ke universiti awam.

Daripada jumlah 33,197 calon STPM itu, 24,375 atau 73.4 peratus ditawarkan tempat pengajian di IPTA.

Manakala daripada jumlah 20,907 calon lepasan matrikulasi berkenaan sebanyak 20,269 atau 96.9 peratus ditawarkan tempat ke IPTA.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: malaysiakini

Friday, May 17, 2019

Ditemui atau Ditemukan, Menemui atau Menemukan?

Ditemui atau Ditemukan, Menemui atau Menemukan?

Pasti ramai ingin bertanya tentang perbezaan maksud dan penggunaan imbuhan bagi kata "ditemukan" dan "ditemui" serta "menemukan" dan "menemui", berdasarkan kekerapan pihak akhbar mula menggunakannya sejak akhir-akhir ini.

Mayat Ditemukan

Ditemui atau Ditemukan?

Menurut DBP, ayat ditemukan ialah kata kerja pasif menemukan yang bermaksud dijumpai sesuatu yang dicari, seperti ayat "kereta yang dicuri telah ditemukan dalam kawasan hutan berhampiran."

Manakala ditemui ialah kata kerja pasif menemui bermaksud bertemu dengan, berjumpa dengan seseorang atau pergi bertemu dengan, seperti ayat "gadis idamannya belum lagi ditemui."

Contoh:

Yang manakah betul; Batu tersebut telah ditemukan di Kuala Kangsar atau Batu tersebut telah ditemui di Kuala kangsar?

Ayat yang betul ialah, 'Batu tersebut telah ditemukan di Kuala Kangsar' kerana kata terbitan ditemukan lebih tepat untuk terjemahan found something dalam bahasa Melayu, manakala kata ditemui ialah terjemahan meet somebody dalam bahasa Melayu.

Menemui atau Menemukan?

Begitu juga dengan ayat menemukan yang membawa maksud finding dalam Bahasa Melayu, manakala menemui membawa maksud meet dalam Bahasa Melayu seperti Ahmad menemui sahabatnya di Kuala Lumpur.

Sebagai tambahan, "ditemukan" ialah kata kerja pasif menemukan yang bermaksud dijumpai sesuatu yang dicari, seperti ayat "kereta yang dicuri telah ditemukan dalam kawasan hutan berhampiran."

Manakala "ditemui" ialah kata kerja pasif menemui bermaksud bertemu dengan, berjumpa dengan seseorang atau pergi bertemu dengan, seperti ayat "gadis idamannya belum lagi ditemui."

Lucu Tapi Tidak Kelakar

Mari kita berikan contoh ayat yang kita telah biasa gunakan selama berpuluh tahun dengan penggunaan ayat-ayat baru yang nampak pelik ini.

1. Ditemui/Ditemukan

Mayat seseorang telah ditemukan di dalam sebatang sungai.

Lucu: Adakah dua mayat (mungkin pasangan kekasih) telah ditemukan di dalam sungai?

Bukankah penggunaan ayat ditemui lebih sesuai?

2. Menemui/Menemukan

Polis telah menemukan gadis cantik yang telah di culik dalam sebuah rumah banglo.

Lucu: Adakah polis perlu menemukan gadis tersebut dengan sesiapa terlebih dahulu sebelum diselamatkan atau dihantar pulang kepada keluarganya?

Bukankah ayat menemui yang juga bermaksud telah menjumpai lebih sesuai?

Kenapa selama ini penggunaan ditemukan dan menemukan tidak pernah digunakan dalam silibus generasi lama?

Kita tiada masalah dengan perubahan tetapi penggunaan ayat-ayat ini terlalu pelik dan janggal.

Mungkinkah ini hasil dari sistem pendidikan KBAT yang sebenarnya telah dianggap gagal kerana hanya gah diatas kertas tapi hasilnya sangat menghampakan?

Aras berfikir KBAT dianggap terlalu tinggi dan hanya layak digunakan makhluk asing yang sangat genius dan tinggal di planet Marikh.

Apa kata anda?

BACA INI JUGA:

-SENTIASAPANAS.COM

Tuesday, May 14, 2019

10 Fakta Kenapa Sistem Pendidikan Di Finland Terbaik Di Dunia

10 Fakta Kenapa Sistem Pendidikan Di Finland Terbaik Di Dunia

Sistem persekolahan di Malaysia masih terlalu mementingkan markah di atas kertas dan membebankan guru dan pelajar dengan silibus yang terlalu terkehadapan berbanding usia. Sejak dari dulu lagi, sistem persekolahan di Malaysia terlalu mementingkan markah. Terlalu menekan pelajar. Yang otak geliga semakin pandai, yang bodoh bertambah bodoh. Maaf.

Sistem Pendidikan Finland

Buktinya, Finland adalah contoh negara yang mengubah sistem pendidikan mereka ke arah yang lebih sihat dan malangnya, sistem pendidikan KBAT di Malaysia nampaknya satu kegagalan besar yang telah terbukti.

Kenapa? Seperti kata orang, pendidikan di Malaysia adalah peluang sesetengah pihak untuk membuat keuntungan lumayan, bukannya bertujuan menjadikan pelajar menjadi bijak dan mampu berdikari sendiri.

Tanpa berniat untuk mengungguli carta pencapaian pelajar, di Finland mereka telah membuktikan dan berjaya mencapainya dengan sistem pendidikan yang lebih holistik.

Berikut adalah 10 sebab kenapa sistem pendidikan Finland dilihat sebagai antara yang terbaik di dunia:

1. Tiada ujian seragam

Ujian seragam seperti UPSR, PMR dan SPM sering dilihat sebagai cara mudah untuk mengukur kefahaman subjek seorang pelajar.

Membulatkan jawapan objektif dan menjawab soalah yang diramalkan dilihat sebagai ukuran penguasaan pelajar.

Akhirnya, pelajar akan belajar untuk mengejar kelulusan ujian dan guru akan mengajar dengan tujuan agar pelajar lulus ujian. Tujuan pembelajaran sebenar entah dicapai atau tidak.

Finland tidak mempunyai ujian seragam melainkan National Matriculation Exam, iaitu ujian sukarela untuk pelajar di peringkat sekolah menengah atas.

Semua kanak-kanak di Finland digredkan secara individu dan sistem penggredan ditetapkan oleh guru mereka.

Pun begitu, Kementerian Pendidikan mereka tetap menyemak perkembangan keseluruhan dengan cara menguji sebilangan pelajar daripada pelbagai jenis sekolah.

2. Guru tidak ‘diawasi’ dengan ketat

Banyak yang menyalahkan guru apabila berlaku sesuatu dan kadangkala ianya wajar. Tetapi di Finland, disebabkan standard yang tinggi untuk menjadi seorang guru, tiada keperluan untuk mengadakan sistem pemarkahan guru yang ketat.

Semua guru dikehendaki memiliki ijazah sarjana sebelum memasuki kerjaya tersebut dan jurusan perguruan merupakan jurusan paling ketat dan terpilih di seluruh negara.

Sekiranya seorang guru tidak berfungsi dengan baik, pengetua yang bertanggungjawab melakukan sesuatu mengenainya. Ini bermakna pengawasan guru bukanlah atas pemeriksaan birokrasi dan ujian seragam. Ia ditangani secara individu.

Di Malaysia, guru akan dilambakkan dengan tugasan kerani dan bagi guru yang membantah, akan ditukar ke sekolah lain sesuka hati. Fakta.

3. Kerjasama, bukan persaingan

Sistem pendidikan Finland tidak seperti di negara lain yang mementingkan persaingan. Tiada senarai sekolah atau guru yang berprestasi tinggi.

Ia bukan persekitaran untuk persaingan, sebaliknya menggalakkan kerjasama, bahkan mereka juga tidak berniat untuk berada di kemuncak perbandingan antara pendidikan negara-negara maju.

Ironinya, sikap tidak mempedulikan status ini telah meletakkan mereka teratas di peringkat antarabangsa.

Di Malaysia, pelajar pintar akan dihimpunkan di satu sekolah yang dilengkapi segala keperluan dan peralatan terkini yang serba lengkap.

Manakala sekolah yang berada jauh dari pusat bandar seolah-olah diabaikan dengan peralatan serba usang, malah ada yang dilengkapi makmal komputer tetapi tiada bekalan elektrik, kecuali set generator. Tak percaya?

4. Mengutamakan yang asas

Tumpuan kepada markah ujian dan kefahaman dalam matematik dan sains selalu membuatkan kita terlupa apa yang membentuk suasana pembelajaran dan pelajar yang bahagia, harmoni dan sihat.

Program yang dijalankan Finland memberi tumpuan kepada yang asas. Ia bukan tentang menguasai pelajaran dan mendapat markah tinggi.

Sebaliknya, mereka mahu membuat persekitaran sekolah menjadi tempat yang menggalakkan kesaksamaan.

Sejak reformasi pendidikan pada tahun 1980-an, pendidikan di Finland telah memberi tumpuan untuk menjadikan asas-asas berikut sebagai keutamaan:
  • Pendidikan harus menjadi instrumen untuk mengimbangkan ketidaksamaan sosial.
  • Semua pelajar menerima makanan sekolah percuma.
  • Kemudahan akses kepada penjagaan kesihatan.
  • Kaunseling psikologi.
  • Panduan diberikan berdasarkan individu.

Perkara ini mungkin kedengaran remeh tetapi memberikan kanak-kanak permulaan yang saksama bererti Finland dapat menangani segala masalah sosio-ekonomi (pengangguran, keciciran daripada sekolah, jenayah dan salah laku sosial) yang lahir dengan ketidaksamaan sosial.

Setiap anak, baik yang miskin mahupun kaya bersekolah dan bersosial dalam persekitaran yang sama, tiada sekolah swasta untuk anak orang kaya dan sekolah kerajaan yang daif untuk anak pelajar miskin.

Di Malaysia, pemberian RMT secara berpilih adalah simbol untuk mengharap dan sentiasa meminta bantuan kerajaan.

5. Memulakan sekolah pada usia lebih besar

Pelajar mula bersekolah pada usia tujuh tahun, bukan enam atau lima. Meskipun tadika untuk kanak-kanak 6 tahun disediakan, kehadiran bukanlah wajib.

Mereka diberikan kebebasan sewaktu zaman perkembangan kanak-kanak untuk tidak dipaksa melalui pendidikan wajib. Mereka membiarkan kanak-kanak bersikap seperti kanak-kanak.

Terdapat hanya 9 tahun persekolahan yang wajib dihadiri kanak-kanak Finland. Pendidikan setelah kelas kesembilan atau pada usia 16 adalah atas pilihan.

Jika dilihat dari sudut psikologi sahaja, ini adalah kebebasan yang ideal. Para pelajar tidak berasa seperti mereka tersekat dalam penjara.

Finland membebaskan mereka daripada tempoh persekolahan yang dipaksakan dan sebaliknya memilih untuk menyediakan pelajar untuk dunia sebenar.

Di Malaysia, tidak menghantar anak ke tadika sahaja boleh menjadi punca dikecam ibu bapa lain bahkan guru darjah itu sendiri.

Disebabkan tekanan untuk memastikan pelajar dapat mengikuti pelajaran darjah satu yang agak terkehadapan, kanak-kanak seawal usia 5 dan 6 tahun sudah diharap dapat mengenal huruf.

6. Menyediakan pilihan profesional selain ijazah universiti biasa

Bagi kebanyakan negara, aliran pendidikan tradisional kebiasaannya melibatkan persekolahan dan kemudian melanjutkan pelajaran ke kolej atau universiti.

Sama ada kita mahu mengakuinya ataupun tidak, sebenarnya tidak semua orang perlu memasuki kolej atau universiti.

Di Malaysia, ramai pelajar melanjutkan pelajaran dengan mengambil ijazah dalam jurusan yang tidak bermakna kepada mereka dan terpaksa menanggung hutang yang melampau.

Finland menyelesaikan masalah ini dengan menawarkan pilihan yang masih menguntungkan bagi pelajar yang meneruskan pendidikan mereka.

Universiti dan politeknik merupakan dua pilihan bagi pelajar. Kedua-duanya diiktiraf tinggi secara profesional dan layak bersaing dalam kerjaya.

Bagi kita, bersekolah sekadar di peringkat menengah merupakan satu kelemahan sedangkan di negara-negara Scandinavia, bersekolah sehingga peringkat menengah dan memasuki politeknik tidak dipandang rendah dalam masyarakat kerana ia sudah menjadi kebiasaan.

Di Malaysia, tidak menghabiskan sekolah menengah seolah-olah satu perkara yang hina dan jijik walaupun mempunyai kemahiran.

Ingat, bukan semua orang dilahirkan pandai. Ada yang dicipta Allah dengan bakat dan kemahiran individu.

7. Pelajar tidak perlu bangun awal untuk bersekolah

Terkejar-kejar bersarapan, menunggu bas atau mengayuh basikal pada awal pagi, di samping waktu untuk perhimpunan pagi dan program kokurikulum; kesemuanya mengambil masa pelajar yang banyak. Hasilnya, pelajar akan mengantuk dan penat untuk dididik.

Pelajar di Finland biasanya bermula waktu persekolahan sekitar jam 9:00 – 9:45 pagi.

Kajian menunjukkan bahawa permulaan terlalu awal boleh menjejaskan kesejahteraan, kesihatan dan kematangan pelajar. Sekolah-sekolah Finland bermula agak lambat dan kebiasaannya berakhir sekitar 2:00–2:45 petang.

Mereka mempunyai tempoh kelas yang lebih lama dan waktu rehat yang lebih panjang di antaranya.

Di Malaysia, pelajar bermula pada jam 7 pagi, bersambung dengan sekolah agama sehingga jam 5 petang dan kerja rumah pada waktu malam, belum termasuk waktu tuisyen. Kecemerlangan apa yang menteri pendidikan harapkan?

8. Arahan yang konsisten daripada guru yang sama

Bilangan guru dan pelajar dalam kelas di Finland agak sedikit berbanding negara lain. Pelajar di Finland kebiasaannya mempunyai guru yang sama sepanjang enam tahun pendidikan mereka.

Pada masa ini, guru mengambil peranan seperti seorang mentor atau ahli keluarga. Selama bertahun-tahun, kepercayaan dan ikatan dibina supaya kedua-dua pihak mengenali dan menghormati satu sama lain.

Keperluan dan gaya pembelajaran berbeza mengikut individu. Guru-guru Finland mengenal pasti keperluan pelajar mereka.

Mereka boleh mencatat dengan tepat dan mengawasi perkembangan mereka serta membantu mereka mencapai matlamat mereka. Tiada istilah lepas tangan kepada guru yang lain.

Di Malaysia, pelajar akan ponteng sekolah pada hari tertentu. Kenapa? Kerana ada sebilangan guru yang suka membunuh semangat pelajar.

9. Suasana yang lebih santai

Kurang tekanan, kurang jadual, sebaliknya lebih panduan. Pelajar biasanya hanya belajar beberapa subjek dalam sehari.

Mereka mempunyai masa beberapa kali untuk makan, menikmati aktiviti rekreasi dan berehat. Terdapat waktu rehat sekitar 15-20 minit beberapa kali dalam sehari.

Persekitaran sebegini juga diperlukan guru. Bilik guru yang disediakan juga membolehkan mereka berehat dan bersantai, bersedia untuk pelajaran atau untuk bersosial.

Guru juga manusia dan memerlukan istirehat supaya dapat bekerja dengan baik. Di Malaysia, tak payah cerita la.

10. Kurang kerja rumah dan tugasan luar

Menurut OECD, pelajar di Finland mempunyai jumlah kerja rumah dan tugasan luar paling sedikit berbanding pelajar lain di dunia.

Mereka hanya menghabiskan masa setengah jam untuk kerja rumah. Pelajar Finland juga tidak menghadiri tuisyen.

Mereka mencantas budaya pendidikan yang mementingkan kelas tambahan dan kerja rumah di samping mengelakkan tekanan perasaan kepada pelajar.

Pelajar Finland mendapat semua yang mereka perlukan di sekolah tanpa tekanan tambahan untuk berlumba mendapat markah cemerlang dalam sesuatu subjek.

Tanpa perlu risau tentang gred dan kerja rumah, mereka dapat memberi tumpuan kepada tugas sebenar mereka, belajar dan berkembang sebagai manusia.

Di Malaysia, guru dan pelajar dilayan seperti robot dan buruh kasar. Kasihan.

BACA INI JUGA:

sumber: says

Monday, March 25, 2019

Bermula 2020 Semua Murid Sekolah Rendah Bakal Nikmati Sarapan Percuma!

Bermula 2020 Semua Murid Sekolah Rendah Bakal Nikmati Sarapan Percuma!

Bermula tahun 2020 nanti, murid-murid di semua sekolah rendah bakal mendapat sarapan secara percuma! Perkara ini telah diumumkan oleh Perdana Menteri Malaysia, Tun Mahathir Mohamad di Invest Malaysia 2019 pada 19 Mac lalu.

Skim sarapan percuma

Program sarapan percuma ini adalah hasil pembiayaan daripada cukai gula yang sudah diumumkan sebelum ini tetapi ditangguhkan pelaksanaannya.

“Penangguhan pelaksanaan cukai itu bagi membolehkan kerajaan meneliti mekanisme berkesan untuk memastikan pelaksanaan cukai bagi penjagaan kesihatan mencapai objektifnya,” katanya.

Semasa pembentangan Belanjawan 2019 yang lalu, kerajaan telah mencadangkan untuk melaksanakan cukai eksais 40 sen seliter pada minuman manis yang mengandungi lima gram gula atau pemanis berasaskan gula bagi 100 mililiter (ml), termasuk buah-buahan dan jus sayuran dengan kandungan gula lebih 12 gram bagi 100ml mulai 1 April 2019.

Walau bagaimanapun, pelaksanaan cukai itu telah ditangguhkan ke 1 Julai bagi memberi masa yang cukup kepada pihak industri untuk membuat persediaan.

Program sarapan percuma ini dilakukan bagi membolehkan murid-murid sekolah rendah untuk kekal sihat dan bertenaga sepanjang sesi persekolahan

Memetik kajian pakar pemakanan tiga pusat pengajian, Universiti Oxford, Cambridge, Glasgow dan St George mendapati tabiat tidak mengambil sarapan pagi secara sihat dalam kalangan kanak-kanak boleh mengundang risiko menghidap penyakit diabetes apabila usia mereka meningkat dewasa.

Tahap insulin yang tinggi boleh mengakibatkan badan kanak-kanak untuk kurang bertindak-balas terhadap perkembangan hormon yang kebiasaannya akan mengawal jumlah gula dalam aliran darah.

Risiko tersebut boleh berlaku disebabkan tahap insulin dalam badan kanak-kanak, sekali gus menjadi faktor utama penyakit tersebut.

Bukan itu sahaja, adalah didapati bahawa kanak-kanak yang tidak mengambil sarapan secara sihat akan lebih cenderung untuk memakan makanan yang mengundang kepada kegemukan pada waktu tengah hari atau malam.

Amalan sarapan secara sihat dalam kalangan kanak-kanak sebagai diet seimbang boleh mendapat banyak manfaat bagi mengelakkan golongan itu terdedah kepada kebanyakan penyakit.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: says

Thursday, January 10, 2019

Kecelaruan Sistem Pendidikan Di Malaysia

Kecelaruan Sistem Pendidikan Di Malaysia

Kita memandang ke Timur buat kali kedua. Tumpuan Dasar Pandang Ke Timur 2.0 sekali lagi terarah kepada Jepun yang membina tamadunnya menerusi reformasi pendidikan (educational reform), begitu juga dengan Norway. Negara ini keluar dari belenggu kemiskinan dengan menekankan kepentingan pendidikan dan latihan kemahiran.

Pendidikan Di Malaysia

Malaysia pula membiarkan pendidikan menjadi produk komersil kepentingan sesetengah pihak, tanpa memikirkan padah yang bakal menimpanya.

Di Malaysia, pendidikan adalah arena bagi semua pihak menjalankan eksperimen tanpa perancangan. Pelajar menjadi bahan uji kaji.

Penyata demi penyata, sejak zaman pra-merdeka disediakan, akhirnya yang dilaksanakan hanyalah apa yang Menteri pendidikan mimpikan malam sebelumnya.

Sejak dulu hingga kini, eksperimen pendidikan sudah menjadi mainan pemimpin politik.

Sepintas lalu, cuba kita teliti beberapa Penyata pendidikan yang kita sudah hasilkan, sejak Penyata Razak 1956.

Hari ini apa yang berlaku, pembukaan taman asuhan dan pra-sekolah tumbuh merata-rata mengikut selera pihak yang menubuhkannya sebagai satu aktiviti ekonomi, tanpa kawalan.

Diperingkat sekolah rendah, selain penubuhan sekolah-sekolah vernakluar yang kian hilang kawalan, pertumbuhan sekolah tahfiz swasta juga menjadi tarikan. Tiada siapa peduli.

Tak cukup dengan keparahan itu, dalam Model Baru Ekonomi yang dilancarkan pada 30 mac 2010, mencelarukan lagi sistem pendidikan yang terlalu keruh itu.

Atas nama kepentingan ekonomi dipacu swasta, lesen pembukaan sekolah antarabangsa sewenang-wenangnya diberikan.

Anak cucu menteri yang mula-mula sekali memenuhi kerusi di sekolah-sekolah ini.

Di luar, datuk dan ayah mereka melaung-laung, memperjuangkan dasar pendidikan kebangsaan, di rumah lain lakonan mereka.

Di luar kita didesak untuk menghalang pengiktirafan UEC, di belakangnya tangan-tangan yang sama memberikan pengiktirafan kepada UEC. Ini bukan cerita baru, ini cerita dari satu kerajaan kepada satu kerajaan.

Tiba di peringkat universiti, lain pula ceritanya. Pelajar disaran bila keluar nanti untuk memikirkan bagaimana menjadi usahawan.

Yang mengajar ilmu keusahawanan ialah para profesor yang tidak pernah sesaat pun menjadi usahawan.

Profesor yang sama juga tidak ada langsung pendedahan kepada dunia perniagaan dan perindustrian d luar sana.

Majoriti tenaga pengajar ini tiada pertalian atau apa saja bentuk kerjasama dengan industri. Masakan mereka mampu membawa dan mendedahkan pelajar bimbingan mereka dengan dunia keusahawanan.

Dengan sektor swasta dikuasai bukan Melayu, tekanan semakin memuncak terhadap kebolehpasaran graduan Melayu dan bumiputera.

Dulu kononnya kebolehpasaran amat rendah dikalangan graduan ini kerana mereka lemah dalam penguasaan Bahasa Inggeris, maka dilaksanakanlah Program Pendidikian Sains & Matematik Dalam bahasa Inggeris (PPSMI).

Tujuh tahun kemudian baru disedari program itu menghasilkan malapetaka berganda (double jeopardy) kepada pelajar Melayu yang lemah dalam subjek Sains dan Matematik adalah juga mereka yang lemah dalam Bahasa Inggeris.

Kini, bila kerajaan cuba utamakan Program STEM baru mereka sedari pelajar yang minat dan layak, terutama dikalangan pelajar Melayu, tidak ramai.

Pun kerajaan gagal memahami punca sebenar kegagalan penguasaan Bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar Melayu terutamanya.

Atas nasihat pakar ekonominya, dilaksanakan pula Dual-Language Program (DLP) dan High-Immersion Program, bagi menggantikan PPSMI.

Kedua-dua program dilaksanakan atas paksaan dan tanpa sebarang kajian mendalam mengenainya.

Kini khabarnya Program DLP akan diganti dengan penubuhan semula sistem pendidikan aliran Inggeris sepenuhnya.

Jika diteliti dan diperhalusi, kesemua kecelaruan dalam melaksanakan pelbagai program tanpa kajian itu hanya berpunca kepada satu permasalahan, iaitu kelemahan penguasaan subjek Bahasa Inggeris.

Kita tak sudah-sudah menjalankan eksperimen kepada sistem pendidikan bagi menyelesaikan satu isu yang terlalu basik, sehinggakan kita terlepas pandang kepada agenda pendidikan yang jauh lebih penting.

Di Singapura misalnya, mereka sudah menjadikan sekolah sebagai arena mengasah bakat dan membina keperibadian, bukan lagi sekolah sebagai tempat untuk mengajar subjek 3M.

Kita masih bergelut dengan isu bahasa penghantar apa yang nak diutamakan, kita masih bergelut cuba menghalang pengiktirafan Bahasa Mandarin sebagai kelayakan memohon kerja.

Kita masih lagi berlumba dengan Jabatan Bomba memadam api sekolah tahfiz yang sering terbakar kerana pembinaan sekolah-sekolah tak mengikut piawaian yang ditetapkan.

Kita terus meminggirkan sistem pendidikan di Sekolah Kebangsaan kerana ia tidak lagi menjadi sekolah pilihan.

Akhirnya dek keletihan dengan terlalu banyak angin perubahan ini apa yang mampu difikirkan oleh Menteri Pendidikan hanyalah menukar warna kasut dan stokin.

Dalam kesibukan institusi pendidikan memenuhi kehendak agenda ekonomi, kementerian terlepas pandang peranan pendidikan dalam memupuk integrasi nasional.

Samada kita semua sedar dan terima hakikat ini atau tidak, tahap toleransi antara kaum dan agama di Negara ini sudah kian merudum.

Ia kini sudah menjadi bom jangka yang tiada siapa tahu bila akan meletup dan tiada siapa dapat mengawalnya.

Kekecohan di kuil Sri Mariaman USJ dan tabiat buruk seorang menteri yang berbohong di luar negara, adalah manifestasi kepada padah yang sedang menanti.

Dengan pemergian wira Negara, seorang pegawai Jabatan Bomba dan Penyelamat, arwah Muhammad Adib Mohd Kassim yang menjadi mangsa kekecohan di kuil berkenaan, mencetus konflik perkauman.

Yang sedihnya pemergian arwah tidak sedikit pun mencuit rasa bersalah kaum yang merusuh itu.

Sepertimana yang dikatakan oleh salah seorang Exco Kerajaan Negeri Selangor, Bumiputera pula yang dipersalahkan.

Keceluparan itu mengguris hati kaum majoriti ini yang kini merasakan mereka kian tersisih dan diperleceh, kononnya sebagai bangsa pendatang, bangsa yang pemalas dan sebagainya.

Pemimpin sering bercakap bagaimana untuk bersaing dipersada global dengan kerancakan dan perlumbaan mengejar kemajuan teknologi 4.0 dan sebagainya.

Adakah pemimpin sedar, di bawah sana rakyat sedang bergelut untuk memahami apa sebenarnya yang kerajaan hendak lakukan untuk menentukan masa depan Negara ini?

Adakah sistem pendidikan kita direncanakan untuk melahirkan insan-insan menjadi hamba ekonomi, seperti yang pernah dialami Jepun sebelum era 1980an?

Adakah sistem pendidikan akan gagal dalam peranannya memupuk integrasi nasional masyarakat yang kian polarised ini?

Adakah sistem pendidikan akan menjadikan agama Islam terus berlabelkan tahfiz sebagai pusat kebangkitan gerakan militan?

Apa lagi yang hendak dipolitikkan oleh pemimpin yang rakyat sudah kian rimas menjadi mangsanya?

Orang lain mentertawakan kita, kita mentertawakan diri sendiri dengan sistem pendidikan yang flip-flop.

Bila ditegur kita menjadi terlalu emotional, lantas kita berparang sesama sendiri, kerana Rukun Negara telah diketepikan.

Kita ketiadaan satu pedoman nasional untuk semua rakyat sepakat membina integrasi nasional acuan kita sendiri, sepertimana Indonesia dengan pancasilanya.

***

Penulis adalah Datuk Dr Hasan Mad, Setiausaha Agung MPM.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: sinarharian

Monday, November 26, 2018

Dulu Pelajar Tercorot, Kini Miliki PhD

Dulu Pelajar Tercorot, Kini Miliki PhD

Pernah menjadi pelajar tercorot, gagal mendapat keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)cemerlang juga dikatakan masa hadapanya gelap. Itu pengalaman dilalui oleh Prof. Madya Dr Midhat Nabil apabila mengenang kembali kisah perjalanannya ketika dibangku sekolah dan kisahnya tular di media sosial.

Prof. Madya Dr Midhat
Prof. Madya Dr Midhat bersama isteri.

Katanya, dia terpanggil untuk berkongsi pengalaman ketika belajar kerana mahasiswanya menyangkakan dirinya adalah seorang pelajar cemerlang. Tetapi realitinya adalah tidak.

Memetik Facebook miliknya, beliau memberitahu, keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) adalah baik dengan memperolehi 2A 2C.

Selepas itu, prestasi akademik terus merundum, disebabkan oleh sifat malas belajar yang ada pada dirinya.

Bagi keputusan peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR), beliau hanya mendapat 2A sahaja dan C bagi subjek Matematik, sekali gus meranapkan impiannya untuk memasuki aliran Sains.

Tanpa kerelaan, beliau mengambil aliran perakaunan tetapi nasib menyebelahinya apabila pihak sekolah membuka peluang pelajar aliran lain untuk mengambil aliran Sains.

Pada awalnya, beliau dikatakan tidak layak memasuki kelas aliran Sains tetapi telah berjanji kepada gurunya untuk belajar bersunguh-sungguh.

Sebaik mengikuti aliran Sains, beliau berasa kesal kerana membuat keputusan silap berikutan subjek Sains Tulen sukar terutama subjek Metamatik Tambahan yang dianggap sebagai 'killer subject'.

Hidupnya diselubungi kegelapan apabila setiap tahun, keputusan peperiksaan sangat teruk dan antara tercorot di dalam kelas.

Akhirnya, keputusan SPM sebenar, beliau tidak memperolehi satu A dan guru memberitahu, masa hadapannya gelap gara-gara sikapnya tidak mahu berubah.

Susulan menerima keputusan itu, Dr Midhat, cuba menyambung pelajar di pelbagai institusi, malangnya ditolak dan bermulalah episod dirinya bergelar seorang operator pengeluaran di sebuah kilang di Bangi.

Selepas enam bulan, beliau telah bertukar kerja sebagai pembantu jualan pula di farmasi.

Pelbagai rintangan diharungi termasuk pernah gagal dalam program diploma Universiti Teknologi Mara (UiTM) menerusi kursus Pra-Sains.

Setelah berjaya memasuki program di UiTM Jengka Pahang, beliau hanya memperolehi keputusan CGPA 1.92.

Bagaimanapun, tuah berpihak kepadanya, apabila diberi peluang untuk melanjutkan pelajaran di universiti tersebut.

Bermula dengan langkah kanan, dirinya nekad untuk berjaya dan telah memperolehi CGPA 3.25.

Pelbagai usaha dilakukan seperti rajin berjumpa dengan pensyarah, banyak mengulangkaji, mencari maklumat di perpustakaan dan menyertai 'study group'.

Beliau telah melanjutkan pengajian diploma Kimia Perindustrian di UiTM Arau, Perlis, kemudian peringkat Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan (Kepujian) Kimia dan berjaya menjadi pelajar pertama yang memperolehi keputusan Kelas Pertama bagi fakulti tersebut.

Tidak terhenti di situ sahaja, beliau juga mengikuti Masters dalam bidang Biochemical Engineering (by Coursework) di School of Chemical Engineering, University of Birmingham, Amerika Syarikat dan dinobatkan antara dua pelajar terbaik dalam program tersebut sekaligus menawarkan pengajian PhD di dalam bidang Chemical Engineering oleh universiti yang sama.

Meskipun dulu, beliau pernah menjadi pelajar tercorot, tetapi dia kini berjaya menamatkan pengajian PHD dalam tempoh empat tahun malah dicalonkan untuk anugerah Tesis Terbaik.

"Yang paling penting adalah belajar dari kegagalan yang lalu dan jangan sekali-kali berputus asa.

"Insya-ALLAH kalau saya boleh berjaya, semua pun pasti boleh melakukannyam," katanya.

Jadi, apa yang adik-adik mampu pelajari dari kisah diatas? Jawabnya, jangan berputus asa. Semoga berjaya.

BACA INI JUGA:

sumber: sinarharian

Wednesday, November 07, 2018

Anak Umur 7 Tahun Belum Pandai Membaca, Adakah Ibu Bapa Perlu Risau?

Anak Umur 7 Tahun Belum Pandai Membaca, Adakah Ibu Bapa Perlu Risau?

Setujukah anda, anak-anak yang bakal berumur 7 tahun, yang akan memasuki tahun 1 di sekolah rendah perlu dipastikan telah pandai membaca? Dalam hati mak-mak selalu mengharapkan anak-anaknya jadi yang terbaik di kalangan rakan sebaya.

Anak membaca
Gambar hiasan.

Masuk saja darjah satu, mak-mak dah mula percaya anaknya perlu pandai membaca. Tapi tak semua anak sama perkembangan pembelajarannya.

Ada sebab kenapa mak-mak tak boleh mendesak jika anak-anak belum pandai-pandai lagi membaca walaupun dah masuk usia 7 tahun. Nor Azura Ismail, Childcare Practitioner ini terangkan dengan lengkap jawapannya.

***

Sebagai seorang pengiat industri pendidikan awal kanak-kanak, jawapan saya ialah sangat tidak bersetuju sama sekali.

Jawapan yang sering tak terjawab di minda saya, aduhai mengapa perlu menekan dan memaksa anak-anak di bawah 7 tahun ini belajar beria-ria dan buat latih tubi membaca seperti anak-anak yang telah bersekolah?

Kenapa nak marah pada anak memasuki umur 7 tahun yang belum dapat membaca lagi?

Sebenarnya, kita sebagai pendidik dan ibu bapa belum memahami anak-anak dan paling parah, kita tidak memahami konsep pendidikan awal kanak-kanak.

Suatu ketika dulu, saya pernah membuat kesilapan dalam merealisasikan pendidikan awal kanak-kanak ini kepada anak-anak berumur 4, 5 dan 6 tahun.

Ketika itu saya mengusahakan perniagaan TADIKA saya sendiri dan matlamat akhir saya dan juga bagi memenuhi harapan tinggi ibu bapa ialah di akhir tahun pembelajaran nanti, anak-anak ini mesti sudah boleh membaca.

Maka, saya akan sedaya upaya memastikan matlamat tersebut tercapai.

Apa Yang Saya buat?

Antaranya saya perkenalkan kepada ibu bapa program membaca dengan cepat;
  • Mengadakan sesi belajar ‘one to one’ dengan anak-anak kecil ini.
  • Adakan kelas tambahan membaca.
  • Latih tubi membaca setiap hari.

Hakikatnya SAYA PAKSA EMOSI ANAK-ANAK INI UNTUK BELAJAR!

Hasilnya, kerana anak-anak ibarat span yang mudah menyerap apa sahaja, lalu ramailah anak-anak keluaran TADIKA saya boleh membaca dengan baik.

Malah, bukan sekadar bacaan dalam Bahasa Malaysia bahkan bacaan dalam bahasa Inggeris juga. Itulah yang diimpikan ibu bapa.

Aduh, bangganya saya kerana dapat melahirkan anak-anak yang boleh membaca di awal usia. Anak-anak itu terus dilabel sebagai anak yang cerdik dan pintar yang boleh membaca di awal usia sebelum 6 tahun. Itu yang kebanyakan TADIKA akan cuba capai.

TADIKA yang dapat mengeluarkan anak-anak yang boleh membaca, itulah TADIKA yang terbaik pada pandangan dan persepsi ibu bapa.

Secara tidak langsung inilah perkara utama yang dapat mempromosi TADIKA supaya ramai lagi ibu bapa yang menghantar anak ke situ.

Tetapi, SAYA MULA PERASAN, anak-anak yang boleh membaca awal usia biasanya adalah anak-anak yang kurang keyakinan diri, penakut, pemalu, pendiam, kategori anak-anak yang tak banyak bermain malah kurang pandai bergaul dan berkomunikasi.

Mereka mempunyai emosi yang kurang sihat dan self esteem yang rendah. Saya perasan itu semua.

Saya juga perasan, anak-anak yang tidak pandai membaca pada usia 5@6 tahun adalah anak-anak yang tak boleh duduk diam, aktif dan banyak bermain serta banyak meneroka dan banyak keinginan serta perasaan ingin tahu.

Saya Mula Tertanya Mengapa?

Bila saya terjun ke bidang pendidikan awal kanak-kanak yang lebih muda sedari 0 hingga 4 tahun, saya mula sedar kesilapan saya.

Saya mula belajar mengenai tahap demi tahap perkembangan kanak-kanak. Saya korek pelbagai potensi awal yang boleh dibentuk di peringkat awal usia anak-anak.

Dan apa yang penting saya mula belajar memahami tingkahlaku, kerenah serta sikap semulajadi kanak-kanak.

Saya teruja untuk mengetahui bahawa antara sikap atau tabiat semulajadi anak-anak ialah BERMAIN.

Kerja hakiki anak-anak di bawah umur 7 tahun ialah BERMAIN dan bukannya belajar.

Selama ini persepsi saya dan juga kebanyakan ibu bapa di luar sana terhadap pendidikan awal kanak-kanak adalah salah. Pendidikan awal bukan bermaksud memberi pelajaran formal seperti membaca kepada anak-anak.

Pendidikan awal bermakna mengenalpasti tahap perkembangan dan memberi galakan untuk anak mencapai tahap perkembangan yang tertentu.

Pendidikan awal juga bermakna mengenalpasti potensi diri anak dan membantu menggilap potensi tersebut.

Justeru itu, saya dan anda sebagai pendidik mahupun ibu bapa perlu tahu dan faham akan setiap aspek tahap perkembangan kanak-kanak supaya kita dapat memberi galakan, sokongan dan dorongan untuk anak.

Apakah Aspek Perkembangan Awal Kanak-kanak?
  • Perkembangan sosiemosi – bentuk emosi yang positif pada anak seperti yakin diri, berani.
  • Perkembangan bahasa – galak anak menggunakan bahasa yang betul dan bijak berkomunikasi.
  • Perkembangan kognitif – galak anak berfikir, menggunakan deria untuk meneroka dan belajar pelbagai dari alam dan persekitaran.
  • Perkembangan kerohanian - terapkan nilai moral, akhlak dan ketuhanan.
  • Perkembangan fizikal – galak anak tingkatkan moto halus dan moto kasar.
  • Perkembangan kreativiti dan estetika – galak anak supaya kreatif dan mempunyai imiginasi pelbagai.

Malah, mengikut kurikulum PERMATA yang menjadi panduan perkembangan pembelajaran di TASKA, antara perkembangan lain yang turut perlu dibentuk pada anak ialah perkembangan sahsiah – belajar bergaul dan komunikasi serta literasi awal.

Bagaimana pula cara terbaik menggalakkan semua aspek perkembangan ini? Adakah melalui pembelajaran formal seperti di sekolah? Adakah dengan memberi anak-anak kecil ini latih tubi dan pelbagai tugasan atau kerja rumah?

Tahukah anda sebenarnya setiap aspek perkembangan ini boleh diterapkan kepada anak-anak dengan mudah hanya melalui bermain sahaja. Bukankah bermain kerja hakiki anak?

Mereka memang bermain tetapi secara tak langsung mereka banyak belajar menyuburkan pelbagai aspek perkembangan tersebut hanya melalui bermain jadi, biarkan anak-anak bermain;
  • Anak main blok, mereka berfikir bagaimana susun blok menjadi tinggi.
  • Anak main pasir, bina istana, mereka cuba merealisasikan imiginasi mereka.
  • Anak berlari sekeliling rumah@ taman, mereka belajar meneroka persekitaran.
  • Anak main olok-olok dengan kawan sebaya, mereka belajar bersosial dan bergaul serta berkomunikasi dengan bahasa yang betul.
  • Anak yang suka usik itu ini, mereka mempunyai perasaan ingin tahu yang tinggi.
  • Anak yang aktif berlari, mereka membina kecergasan diri.

Jadi, mengapa perlu dipaksa anak duduk sebelah anda dengan keadan marah dan tinggi suara untuk ajar mereka membaca?

Mengapa pula masih ada TADIKA yang menyusun ruang susunatur dalam kelas sama seperti belajar di sekolah?

Mengapa pihak TADIKA perlu stres mengajar anak-anak membaca dan memberi pula kerja rumah yang banyak.

Entah kenapa saya memang tak boleh terima kalau dengar seorang cikgu di TADIKA cuba menakutkan dan mengingatkan ibu bapa supaya memastikan anak-anak boleh membaca dengan baik sebelum masuk tahun 1.

Mereka terangkan pada ibu bapa betapa hebatnya persaingan akademik anak-anak di tahun 1.

Kalau kebetulan jika anak 6 tahun itu tak boleh membaca, cikgu cadangkan pula ibu bapa hantar anak ke kelas tambahan.

Bagi saya, memadai sajalah kalau anak yang tak boleh membaca itu telah kenal huruf dan boleh menyebut dua sukukata. Mereka bukan tak pandai, mereka cuma belum bersedia. Percayalah.

Ini Cerita Anak Saya Yang Berumur 6 Tahun

Saya hanya hantar dia ke TADIKA sebaik umurnya 6 tahun. Baru ini, saya baca ‘whatapp group’ dari guru TADIKAnya.

Cikgu post jadual peperiksaan akhir tahun dan pesan ibu bapa pantau anak-anak belajar di rumah. Kalau ibu bapa lain, mungkin akan rasa cikgu TADIKA sangat prihatin.

Aduhai kesian anak-anak, tahun-tahun di mana kerja hakiki mereka sepatutnya bermain tetapi mereka perlu pula duduk menelaah seperti kakak abang yang akan menghadapi peperiksaan di sekolah.

Sekali lagi, ingin saya ingatkan, hakikatnya anak-anak memang perlu bermain. Hakikatnya anak-anak ini tidak perlu dipaksa untuk belajar.

Percaya tak bahawa apa yang perlu diterapkan terlebih dahulu ialah ilmu mengenai kehidupan disamping membentuk anak dalam setiap aspek perkembangan yang telah saya nyatakan tadi.

Keinginan untuk belajar akan datang sendiri bila anak telah bersedia menerima pembelajaran formal. Masanya pasti akan muncul juga. Yang pasti setiap anak adalah berbeza pencapaiannya.

Pendidikan Awal Anak Di Jepun

Teringat saya pernah terbaca bahawa pendidikan awal anak di Jepun bermula dengan mendidik akhlak. Pendidikan berteraskan peperiksaan bermula hanya bila anak berumur 10 tahun sahaja.

Berbeza dengan sistem pendidikan kita yang telah diwarisi begini, bila anak masuk tahun 1, sebolehnya anak mesti sudah boleh membaca dengan baik.

Cikgu di tahun 1 suka kalau anak-anak sudah boleh membaca. Lalu kasihan anak-anak yang dikelompokkan dalam kumpulan belum boleh membaca.

Seawal usia 7 tahun anak-anak telah mula dinilai tahap pencapaian akademiknya.

Bukankah sebenarnya dalam silibus pembelajaran tahun 1 anak-anak perlu diajar semua huruf dan gabungan sukukata hingga boleh baca.

Akan tetapi, anak-anak ini pula dikategori sebagai anak-anak yang ketinggalan. Lain orang mungkin lain pandangan.

Mungkin ada ibu bapa tidak setuju dengan pandangan saya bahawa anak tidak perlu dipaksa untuk belajar membaca.

Tapi saya membuktikan salah seorang anak saya yang tidak boleh membaca di awal usia dan yang kurang penonjolan akademik ketika di sekolah rendah (kini dia berusia 19 tahun), merupakan pelajar terbaik SPM di sekolahnya.

Apa yang penting, biarlah anak-anak kecil yang di bawah 7 tahun ini belajar kerana minat dan kesediaan mereka.

Tugas kita adalah memberi dorongan dan galakan bukan paksaan. Apa yang penting, kejayaan anak-anak bukanlah hanya diukur dari kejayaan akademik sahaja.

Lihatlah kejayaan anak pelbagai aspek. Setiap anak mempunyai potensi diri yang berbeza. Apa sahaja potensi yang berjaya digilap dan diserlahkan oleh anak, itulah kejayaan buat mereka.

Jangan lupa juga doa kita sebagai pendidik dan sebagai ibu bapa.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: mingguanwanita

Wednesday, June 06, 2018

6 Bidang Pengajian Paling Ramai Graduan Menganggur di Malaysia

6 Bidang Pengajian Paling Ramai Graduan Menganggur di Malaysia

Tahukah anda graduan berkemahiran apa yang susah hendak mendapatkan peluang pekerjaan? Berikut adalah 6 bidang kemahiran yang graduannya sukar mendapatkan peluang pekerjaan, menurut laporan Kementerian Pengajian Tinggi.

1. Perakaunan

6 Bidang Pengajian Paling Ramai Graduan Menganggur di Malaysia

Jawatan Akauntan adalah satu bidang yang memerlukan kelulusan professional namun tidak memerlukan sumber pekerja yang ramai.

Memerlukan kemahiran berkomunikasi dalam Bahasa Melayu dan Inggeris yang cekap, graduan perakaunan mempunyai kemahiran yang sangat spesifik jika dibandingkan dengan graduan-graduan lain seperti perbankan atau perniagaan.

Pendapatan seorang akauntan yang berkelayakan ACCA sebenarnya menarik namun persaingan yang sengit membuatkan ramai graduan akauntan tiada peluang pekerjaan.

2. Sains Sosial

6 Bidang Pengajian Paling Ramai Graduan Menganggur di Malaysia

Sains sosial meliputi pelbagai bidang seperti sejarah, komunikasi, geografi, sosiologi, hubungan antarabangsa dan hubungan industri sebagai contoh, namun permintaan untuk bidang-bidang ini semakin lama semakin menguncup.

Kekurangan keperluan pakar dalam bidang ini terutamanya pada sektor swasta menyukarkan graduan mendapat tempat dalam industri yang kini bergerak ke arah lebih mencari pakar-pakar yang mempunyai kemahiran praktikal.

3. Seni

6 Bidang Pengajian Paling Ramai Graduan Menganggur di Malaysia

Tidak ada perincian kursus tentang kemahiran seni mana yang dimaksudkan tetapi kami merasakan melihat keadaan ketika ini, kebanyakan graduan yang susah hendak mendapatkan peluang pekerjaan adalah graduan yang mengambil seni halus dan seni reka, yang melibatkan hasil pertukangan seperti tekstil, logam dan lain-lain.

Graduan yang keluar sebenarnya mempunyai kemahiran yang cukup tinggi tetapi dengan kemajuan teknologi yang semakin banyak menggantikan kemahiran tangan, persaingan ini nampaknya semakin tidak menguntungkan graduan-graduan.

4. Pengurusan Sumber Manusia

6 Bidang Pengajian Paling Ramai Graduan Menganggur di Malaysia

Kursus ini sebenarnya adalah satu cabang lain dalam ilmu perniagaan cuma bezanya difokuskan lebih kepada aspek komunikasi dan etika perniagaan.

Kita semua Jabatan Sumber Manusia atau HR Department adalah Jabatan yang bertindak menyelia dan menguruskan semua perkara tentang pekerja dari aspek pengambilan, gaji, disiplin, latihan sehinggalah menguruskan pemberhentian pekerja.

5. Sains Gunaan

6 Bidang Pengajian Paling Ramai Graduan Menganggur di Malaysia

Program Sains Gunaan sebenarnya cukup penting dalam pembangunan sesebuah negara kerana ini merangkumi 4 cabang penting dalam bidang penyelidikan iaitu biologi, kimia, geologi dan fizik.

Tidak ada penjelasan khusus dari KPT berkenaan mana satu cabang yang dimaksudkan terjejas teruk.

Bidang sains gunaan bergantung kepada cabang sains yang dipilih dan kebanyakan graduan yang terhasil dilatih untuk mempunyai kemahiran dalam bidang penyelidikan, yang mungkin kurang diperlukan dalam industri negara kita setakat ini.

6. Pengurusan perniagaan/Pengajian perniagaan

6 Bidang Pengajian Paling Ramai Graduan Menganggur di Malaysia

Kebanyakan kursus perniagaan bertujuan menghasilkan graduan yang arif tentang amalan perniagaan dan pentadbiran.

Graduan dilatih untuk menjadi pengurus, perunding, pentadbir atau mungkin juga usahawan yang professional.

Semasa melalui kursus, graduan telah pun disediakan ilmu dalam bidang pengurusan, perakaunan, kewangan, pemasaran, ekonomi, undang-undang dan pelbagai lagi cabang lain.

***

Sebagai maklumat tambahan, bukan sahaja di Malaysia mengalami masalah ini.

Di Australia juga, masalah graduan sains yang menamatkan pengajian tanpa mendapat peluang pekerjaan juga berlaku.

Di negara-negara United Kingdom juga dilaporkan, hampir 50 ribu graduan dalam pelbagai bidang terpaksa bekerja dalam bidang yang langsung tidak memerlukan kelulusan pendidikan tinggi, seperti pekerja kilang, penghantar barang dan pekerja am.

Daripada keseluruhan jumlah graduan pada tahun 2016, 14 ribu graduan langsung tidak bekerja.

Jelaslah, fenomena ini bukan sekadar berlaku di negara kita, tetapi juga di negara-negara lain.

Saya pasti KPT mempunyai idea untuk menangani permasalahan ini namun persoalannya, adakah pendidikan tinggi patut dibentuk oleh kehendak industri yang akan menempatkan graduan-graduan ini selepas tamat belajar atau pendidikan tinggi sepatutnya mencorakkan industri yang akan dibentuk dalam negara?

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: iluminasi