Thursday, August 01, 2019

Misteri Keranda Tergantung Etnik Bo Dan Guyue Di China

Misteri Keranda Tergantung Etnik Bo Dan Guyue Di China

Etnik Bo dan Guyue yang berasal dari selatan China tidak menanam mayat penduduk yang mati daripada etnik mereka sebaliknya, mereka akan meletakkan jasad tersebut dalam keranda dan menggantungnya di tebing yang tinggi.

Keranda Tergantung Etnik Bo Dan Guyue

Dikatakan ritual pengebumian unik ini bukan sahaja diamalkan oleh etnik Bo dan Guyue dari China, tetapi turut diamalkan oleh beberapa etnik kecil yang tinggal di beberapa negara seluruh Asia seperti Filipina dan Indonesia.

Mengapa keranda ini digantung?

Sehingga sekarang, sejarawan belum lagi menemui sebarang catatan mengapa masyarakat etnik ini mengambil keputusan untuk menggantung keranda bersama mayat di dalamnya.

Ada pendapat yang mengatakan ia bagi memudahkan roh mayat untuk naik ke langit kerana lebih dekat dengan langit.

Selain itu, ada juga yang mendakwa dengan menggantung mayat di tebing bukit ini, ia dapat mengelakkan mayat tersebut daripada dikorek dan dimakan oleh binatang-binatang buas atau dirosakkan oleh manusia.

Amalan ini dikatakan juga bagi memastikan tanah-tanah bebas daripada sebarang mayat agar dapat dimanfaatkan untuk tujuan pertanian.

Pada masa kini, keranda-keranda yang masih tergantung ini masih dapat dilihat di kawasan selatan dan tengah China, terutamanya di kawasan terpencil sepanjang Sungai Yangtze yang mengalir dari Himalaya ke pantai timur China.

Keranda-keranda yang digunakan ini tidak mempunyai bentuk yang standard tetapi biasanya dihasilkan daripada satu batang pokok, biasanya yang berlubang di bahagian tengah-tengah atau diperbuat daripada beberapa lapisan kayu.

Keranda ini biasanya disusun rapat ke dinding bukit dan bersusun dari atas ke bawah.

Misteri yang belum dapat dirungkai

Kerja-kerja menggantung keranda ini pada dinding bukit yang curam bukanlah tugas yang mudah malah, berat keranda dan jasad di dalamnya menyukarkan usaha menggantung keranda di pada dinding bukit.

Bagaimana masyarakat etnik ini menggantung keranda ini masih menjadi misteri dan tanda tanya.

Bagi keranda yang terletak berhampiran dengan puncak atau bahagian atas bukit, ianya mungkin lebih mudah kerana keranda tersebut boleh diturunkan daripada atas menggunakan tali.

Dan keranda yang berada hampir dengan tanah, ianya mungkin tidak begitu sukar kerana boleh dinaikkan menggunakan tangga.

Penemuan kesan-kesan takuk pada permukaan batu di beberapa tempat menunjukkan besar kemungkinan perancah (scaffold) digunakan untuk meletakkan keranda pada lokasi yang diingini.

Etnik Bo dikatakan pupus daripada muka bumi sejak 400 tahun lalu dipercayai telah dibunuh oleh Dinasti Ming ketika pemerintah ketika itu melakukan pembersihan etnik minoriti di kawasan barat daya China.

Bagi mengelakkan tekanan, masyarakat etnik ini dipercayai telah bermigrasi ke tempat lain dan berasimilasi dengan penduduk pribumi tempatan.

Terdapat ratusan keranda tergantung yang masih dapat dilihat di kawasan Sichuan, Yunna dan Guizhou tetapi sebahagiannya telahpun jatuh ke bumi.

Selain daripada 3 daerah ini, dipercayai masih terdapat ratusan keranda tergantung yang masih wujud di bahagian selatan China.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: iluminasi

Saturday, July 13, 2019

Misteri Gadis Dalam Bot Pukau Pemancing

Misteri Gadis Dalam Bot Pukau Pemancing

Memburu udang galah bersepit biru kadang kala berdepan dengan bahaya terutama sang bedal bermata merah yang menunggu dalam air, namun bahaya itu masih boleh dielakkan dengan syarat pemancing tidak mengganggu ketenteraman reptilia itu.

Misteri Gadis Dalam Bot
Gambar hiasan.

Apapun, reptilia yang menghuni lubuk mahupun tebing sungai itu tetap bertindak ganas dan berbahaya jika kita sengaja mengacaunya.

Pemancing udang galah sudah maklum hakikat ini justeru, mereka sentiasa mengamalkan petua terbaik sebelum turun memancing.

Hari itu hujung minggu. Sekumpulan empat orang dari Tanjung Malim, Perak bergegas ke Kampung Bertam (bukan nama sebenar) terletak di pinggir Sungai Perak.

Tok Alang penyewa lima bot pancing untuk pelanggan yang berminat memancing udang.

Kumpulan empat orang yang berhasrat untuk memburu udang galah hampir kecewa kerana bot sudah habis dibawa pelanggan yang turun memancing lebih awal pagi minggu itu.

Alang Atan yang mengetuai kumpulan empat orang itu terpaksa menunggu satu jam bagi membolehkan dua sampan pulang ke jeti kerana disewa pemancing malam Sabtu.

Alhamdulillah, hasrat mereka tercapai apabila dua sampan yang baru saja tiba sudah disambar kumpulan Alang Atan.

Bersama Alang Atan ialah seorang anak muda berketurunan Orang Asli bernama Pandak. Yazid dan Hisham pula menaiki sampan yang satu lagi.

Pandak sudah biasa dengan keadaan sungai berkenaan, malah beliau boleh membilang lubuk yang banyak udang dan mengarahkan Yazid supaya tidak berpisah jauh dalam apa juga keadaan.

Lubuk pertama mereka singgah lalu memulakan aktiviti memancing dengan menggunakan empat batang joran kecil setiap seorang.

Lubuk ini kurang menjadi. Cuma beberapa ekor yang berjaya didaratkan dengan saiz kecil yang tidak langsung menarik minat.

Pandak mengajak pindah ke lubuk kedua yang agak jauh ke hulu sungai.

Sedangkan lima bot yang lebih awal sudah tidak kelihatan. Pandak mencari pedoman sekeliling melalui pengalamannya yang luas di hutan mahupun di sungai.

Lubuk ditemui dan keadaan sekitarnya dirasakan berlainan. Tetapi sikap berani Pandak membuatkan mereka tidak merasa terlalu takut.

Lubuk berkenaan menarik minat mereka dengan udang galah bersepit biru bersaiz L. Satu demi satu udang didaratkan.

Mereka rasa terhibur malah Yazid dan Hisham yang berlabuh jauh sedikit turut mengaut rezeki yang banyak.

Namun, dalam keadaan yang ghairah itu cuaca bertukar dengan tiba-tiba. Hujan panas turun dengan lebat. Ini petanda kurang baik, kata Pandak kepada Alang Atan.

Dalam masa yang begitu pantas, sebuah sampan dengan dua orang wanita cantik mendekati sampan Yazid sambil mempelawa Yazid mengikutnya.

Yazid dan Hisham bagaikan terpukau mengikut saja sampan wanita itu yang memecut laju ke hulu sungai.

Pandak dan Alang Atan turut terpaku beberapa minit dan kemudian menyedari keadaan pelik itu lalu mengikut arah sampan Yazid tetapi sampan sudah hilang daripada pandangan. Pandak terus mengejar tetapi gagal.

Hujan panas masih turun. Mereka mula bimbang cerita Alang Atan. Hulu sungai sudah bertambah kecil dan cetek.

Mereka berpatah balik dan di pertengahan perjalanan mereka menjumpai sampan yang dinaiki Yazid dan Hisham yang hilang entah ke mana. Hilang bagaikan misteri sehingga hari ini.

Alang menamatkan cerita dengan wajah sayu malah kecewa dan terkilan atas kehilangan dua rakan karibnya.

Hilang tanpa kesan, mati tanpa kubur namun yang hidup terus mencari rezeki dan udang galah bersepit biru terus diburu.

Renungan

Begitulah lumrahnya alam ciptaan Allah yang maha mengetahui, setiap yang hidup pasti merasai mati, manakala yang hidup terus membina kehidupan yang diredhai Allah semoga mendapat rahmat dan keberkatan – InsyaaAllah.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

-Sentiasapanas.com

Saturday, June 29, 2019

Misteri Patung Berhantu Annabelle

Misteri Patung Berhantu Annabelle

Suatu ketika dahulu, pada malam filem seram Hollywood, Annabelle ditayangkan, seorang penonton di panggung Lauralton Hall di Amerika Syarikat, mengaku seolah-olah bagai dirasuk, bukan disebabkan terlalu menghayati jalan cerita mengenai anak patung jahat itu, tetapi sebelum membeli tiket, dia mengaku menghadiri penceritaan daripada penyiasat paranormal terkenal, Lorraine Warren, yang terbabit secara langsung dalam kes anak patung menyeramkan itu.

Misteri Patung Berhantu Annabelle

Anak patung sebenar Annabelle kini dipamerkan dalam kotak berkunci di Muzium Ghaib Warren (Warren's Occult Museum) di Monroe, Connecticut, Amerika Syarikat, manakala di layar perak, anak patung seramik itu digambarkan amat menggerunkan biar pun hakikatnya, ia adalah anak patung klasik Raggedy Ann, yang menampilkan rupa comel dengan rambut daripada sulaman benang merah.

Annabelle dengan saiz menyamai kanak-kanak berusia dua tahun itu kini keseorangan dalam kotak kayu bercermin kaca dan dikunci. Ia diasingkan berikutan kepercayaan 'dihuni' semangat roh jahat yang sentiasa mencari peluang untuk membunuh.

Dianggap berbahaya, pasangan Ed dan Lorraine Warren meletakkan tanda amaran 'dilarang menyentuh kaca' pada kotak menyimpan patung itu.

Seorang pengunjung tidak mengendahkan larangan itu, malah mengejek-ejek Annabelle. Lelaki itu segera diusir dan tidak lama kemudian ditemui mati dalam nahas motosikal.

Menantu Lorraine, Tony Spera menggantikan Ed meneruskan karier memburu hantu dan semangat jahat selepas kematian lelaki itu pada tahun 2006.

Tony Spera yang banyak meluangkan masa mendengar cerita dan mengkaji latar belakang Annabelle mengaku dalam sekian banyak koleksi menyeramkan milik mentuanya, anak patung itu yang paling meremangkan bulu roma.

"Di dalam tubuhnya ada kuasa jahat yang menggerakkan patung itu melakukan kerja jenayah, termasuk membunuh orang.

"Saya sering diingatkan supaya jangan ambil mudah semua perkara mengenai patung ini, apatah lagi menganggap kewujudannya sebagai bahan jenaka," katanya.

Tony Spera kemudian membuka sejarah patung Annabelle yang pada asalnya, adalah hadiah hari jadi yang diterima seorang jururawat menjelang ulang tahunnya yang ke-28 pada tahun 1970.

Wanita berkenaan meletakkan patung itu di kepala katil dan terkejut apabila anak patungnya itu sentiasa berubah-ubah kedudukan setiap kali dia bangun tidur.

"Ada ketika, patung itu dilihat duduk bersilang kaki dan pada masa yang lain, ia berbaring di sebelahnya.

"Rakan serumah jururawat itu juga menemui sehelai kertas minyak di atas lantai bertulis mesej "bantu saya, tolong saya", sedangkan mereka tidak menyimpan kertas seperti itu di dalam rumah," katanya.

Patung Berhantu Annabelle
Annabelle dalam filem.

Lebih mendebarkan, patung itu turut ditemui di ruang dan bilik yang lain dalam keadaan bajunya berlumuran darah.

Beberapa siri kejadian aneh seperti dicekik dan dicakar ketika tidur menyebabkan rakan dua wanita berkenaan tidak berani bermalam di kediaman itu.

Tidak tahan dengan gangguan itu, kedua-dua wanita berkenaan meminta pertolongan orang yang mampu menghubungkan mereka dengan alam ghaib sekali gus mendapat tahu mengenai kewujudan roh Annabelle Higgins, kanak-kanak berusia tujuh tahun yang mati di rumah itu, yang merasuk patung berkenaan.

Roh Annabelle tidak mahu meninggalkan rumah itu sebaliknya mahu menjelma dalam bentuk patung supaya terus disayangi!

Menakutkan!

BACA INI JUGA:

sumber: bharian

Tuesday, June 25, 2019

Misteri Payudara Wanita Di Thailand Tiba-tiba Membesar!

Misteri Payudara Wanita Di Thailand Tiba-tiba Membesar!

Seorang wanita warga Thailand berusia 46 tahun memohon bantuan selepas payudaranya membesar secara tiba-tiba sejak beberapa bulan lalu, yang menyebabkannya sukar bekerja dan memerlukan tongkat untuk bergerak.

Payudara-membesar

Kisah Lam Phrai Si Nuan dari sebuah kampung di wilayah Phitsanulok mendapat liputan meluas daripada media.

Menurut Lam, dia telah berjumpa dengan doktor-doktor mengenai keadaan misteri yang menimpanya dan mereka menolak ia adalah tumor kanser, sekali gus sukar untuk didiagnosis atau diberikan rawatan.

Lam Phrai yang mengalami masalah kewangan tidak dapat membiayai rawatan perubatan dan hanya meminta simpati orang ramai.

Bercakap kepada pemberita, dia pertama kali menyedari payudaranya mulai membesar pada tahun 2017, tetapi ia membesar dengan mendadak kira-kira sembilan bulan lalu.

Payudara kirinya yang lebih besar berbanding di bahagian kanan, menjadi semakin parah apabila Lam Phrai terpaksa memakai pakaian berat, yang diikat pada lehernya untuk menampung payudara itu.

Bagaimanapun, berat payudara itu juga membuatkan Lam Phrai sering mengalami sakit leher, bahu dan belakang badan.

Selepas beberapa kunjungan di Hospital Phutthachinarat, wanita itu masih tidak mengetahui punca payudaranya membesar secara tiba-tiba sedangkan ia bukan satu ketumbuhan.

Salah seorang doktor memberitahu bahawa mereka boleh mengeluarkan payudaranya, tetapi perlu mengetahui dahulu punca pembesaran yang luar biasa itu.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: mstar

Monday, June 24, 2019

Misteri Harta Karun Jeneral Yamashita

Misteri Harta Karun Jeneral Yamashita

Dikatakan, banyak usaha-usaha pihak perseorangan mahupun organisasi berusaha mencari harta karun Yamashita ini, bukan sahaja di Malaysia, tetapi juga di negara lain di Asia Tenggara namun, menurut pakar sejarah, dipercayai bahawa harta-harta karun tersebut sebenarnya tidak dapat ditemui lagi di Malaysia.

Harta Karun Jeneral Yamashita
Gambar hiasan.

Ini kerana, ketika tentera Jepun menyerang Tanah Melayu melalui Utara Semenanjung, mereka merampas dan menghimpunkan kesemua emas-emas itu dan terus dibawa ke Filipina melalui jalan laut.

Mereka mengumpulkan kesemua emas-emas dan terus dileburkan menjadi jongkong sebelum dibawa keluar dari Tanah Melayu.

Jadi, tidak ada yang disorokkan di Tanah Melayu mahupun Singapura ketika itu. Ini adalah satu pendapat, katanya.

Menurut pakar lagi, kebanyakan emas serta barang berharga yang dirampas adalah milik penduduk Tanah Melayu dan diambil dari bank-bank, kedai pajak gadai, kedai emas dan sebagainya.

Sebahagian besar emas yang dirampas oleh tentera Jepun adalah dari Myanmar, merupakan emas yang berbentuk patung Buddha dicuri dari kuil-kuil yang banyak terdapat di negara itu, termasuk batu permata, berlian serta barangan berharga lain yang dijarah dari Korea dan China.

Thailand juga menjadi sasaran tentera Jepun, namun disebabkan Jepun terikat dengan perjanjian bersama negara Gajah Putih itu, maka tidak banyak emas yang diambil dalam perjalanan mereka menyerang Tanah Melayu dan Singapura.

Banyak juga emas yang dicuri dari Sumatera dan Jawa, kemudian dileburkan menjadi jongkong sebelum dibawa ke Filipina.

Ditanya mengapa Filipina, kerana ia dianggap sebagai lokasi paling dekat dengan Jepun yang sekali gus menjadikan negara itu sebagai pusat pemerintahan dan operasi penting ketika itu.

Terdapat juga syarikat-syarikat Jepun yang bertapak di Tanah Melayu sebelum Perang Dunia Kedua menjalankan aktiviti perlombongan tetapi bukan melombong emas.

Pihak Jepun tahu mengenai hasil bumi Tanah Melayu yang kaya dengan emas, tetapi mereka tidak menyasarkan kepada emas yang mudah dirampas.

Selain itu, tiada lombong emas yang dibuka oleh syarikat Jepun ketika itu, tetapi mungkin hasil bijih lain seperti timah dan besi yang lebih banyak.

Emas Yamashita

Menyentuh mengenai konspirasi emas Yamashita, pemburuan harta karun ini mula dilakukan oleh pelbagai pihak termasuk Amerika Syarikat (AS) yang sedar mengenai lokasinya di Filipina.

Selepas perang tamat, pihak CIA mula merancang agenda untuk mengaut emas yang dikatakan ditanam di bawah kubu bawah tanah di beberapa lokasi di Filipina.

Situasi menjadi lebih kompleks dengan komplot dan agenda rahsia untuk mendapatkan emas tersebut kerana menyedari nilainya yang teramat tinggi dan mampu membiayai sebuah kerajaan seperti AS yang mempunyai pelbagai perancangan untuk menguasai dunia.

AS melalui CIA menjadikan Filipina sebagai gerakan utama mereka selepas perang yang agak aktif dan hasilnya, wujud dakwaan yang mengatakan emas Yamashita telah diambil oleh AS sebaik Yamashita dihukum gantung selepas perbicaraan oleh AS di Filipina.

Terdapat dakwaan mengatakan AS membiayai perang dingin antara negara itu dengan Rusia menggunakan emas Yamashita ini malah, AS juga dikatakan membiayai Jepun menggunakan harta itu untuk mengekang penyebaran fahaman komunis di Asia.

Pada 1970-an, muncul seorang warganegara Filipina, Rogelio Roxas yang mendakwa menjumpai kubu simpanan harta karun yang turut mengandungi patung-patung Buddha emas padu.

Namun, penemuan itu menyebabkan wujudnya konflik apabila Presiden Filipina, Ferdinand Marcos mendakwa harta itu merupakan milik negara dan merampas emas hasil penemuan Roxas itu.

Wujud juga dakwaan mengatakan Marcos yang turut mendapat sokongan AS, hidup mewah dari kekayaan hasil emas Yamashita yang tertanam di Filipina.

Pada tahun 1992, Imelda Marcos mengakui bahawa kekayaan suaminya dan dia adalah hasil dari emas Yamashita yang dianggarkan bernilai hampir 1 trilion Dollar AS.

YAMASHITA LETUP TEROWONG EMAS

Beberapa bulan sebelum Perang Dunia Kedua tamat di Filipina, beberapa pegawai tertinggi tentera Jepun sempat menyembunyikan bertan-tan ketulan emas dan harta karun lain di gua dan terowong-terowong rahsia dengan harapan mereka akan kembali untuk mengambilnya kemudian.

Kesemua harta itu adalah sebahagian daripada khazanah kekayaan yang dirampas dari 12 buah negara Asia termasuk di Tanah Melayu ketika pendudukan tentera Jepun pada era Perang Dunia Kedua.

Menurut pengkaji sejarah Amerika Syarikat (AS) yang mengkaji mengenai harta karun Yamashita, Sterling Seagrave, ketika pasukan tentera Jepun menyerang negara-negara di Asia Tenggara, mereka membawa bersama pasukan khas bagi mencuri, menjarah dan merampas segala barang dan harta bernilai di bank-bank, kilang, rumah, kedai emas, galeri selain merampas milikan orang awam.

Seagrave dalam satu wawancara bersama akhbar South China Morning Post berkata, sebelum pihak Jepun menyerah kalah, Yamashita dan beberapa putera raja mengadakan majlis perpisahan disertai jurutera-juruteranya di dalam terowong bawah tanah sedalam 67 meter di kawasan pergunungan Luzon di Filipina yang dipenuhi dengan ketulan-ketulan emas yang merupakan harta rampasan perang.

Semasa kesemua jurutera itu mabuk dan leka, Yamashita dan putera raja terlibat menyelinap keluar dan memasang bahan letupan dinamit kemudian meletupkan pintu masuk terowong berkenaan, sekali gus menguburkan jurutera-jurutera itu.

Pegawai tertinggi berkenaan melarikan diri ke Tokyo sementara Yamashita pula menyerah kalah kepada Jeneral Douglas MacArthur tiga bulan kemudian dan sejak itu, kisah emas Yamashita menjadi perbualan hangat pelbagai pihak.

Seagrave turut mengakui pernah berjumpa dengan saksi semasa Yamashita meletupkan terowong bawah tanah pada malam tersebut.

Ben Valmores yang bertugas sebagai pembantu salah seorang putera raja itu dibenarkan keluar dari terowong tersebut sebelum ia diletupkan.

Valmores yang diarahkan menutup semua jalan keluar terowong-terowong Jepun di Filipina memberitahu Seagrave bahawa dia melihat sendiri emas-emas tersebut sebelum ia ditimbus di bawah tanah.

Seagrave kemudian mendakwa sumber kajiannya di Jepun memaklumkan kepadanya bahawa Valmores pernah berkhidmat dengan Putera Takeda Tsuneyoshi, cucu Maharaja Meiji.

Menurut sejarah, Jepun melancarkan kempen perangnya termasuk rancangan membawa pulang segala harta-harta bernilai yang dirampas di setiap negara yang diserang mereka.

Operasi Golden Lily

Melalui perancangan itu, Putera Chichibu telah diarahkan mengawal selia operasi di bawah organisasi dinamakan Kin No Yuri atau lebih popular dengan panggilan Operasi Golden Lily.

Sementara putera raja yang lain pula ditugaskan menyelia Operasi Golden Lily di kawasan-kawasan lain yang ditakluki Jepun ketika itu.

Seagrave berkata, pada 1998, dia pernah menguji Valmores dengan menunjukkan gambar lama kesemua putera-putera raja berkenaan yang diambil pada 1930, dan ternyata beliau masih mengingati Putera Takeda.

Katanya, dia pernah meluangkan masa dengan kesemua putera raja itu menghidangkan makanan dan teh ketika mereka sedang menyemak fail-fail kawasan simpanan harta-harta yang dirampas.

Adakah kenyataan Seagrave itu dapat memberi sedikit sebanyak jawapan kepada misteri emas Yamashita ini?

Walau pelbagai teori, bukti serta kenyataan demi kenyataan timbul, emas Yamashita terus kekal menjadi misteri yang tidak pernah dapat diselesaikan.

Kenapa? Kerana pelbagai pihak hadir dengan agenda dan kepentingan tersendiri.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: 1 | 2

Wednesday, June 12, 2019

Misteri Roh Watseka Wonder Yang Membingungkan Dunia Paranormal

Misteri Roh Watseka Wonder Yang Membingungkan Dunia Paranormal

Lurancy Vennum lahir pada 16 April 1864 dan semasa berusia tujuh tahun, keluarganya berpindah ke Watseka, sebuah bandar kecil dalam daerah Illinois, Amerika Syarikat. Pada Julai 1877, semasa Lurancy berusia 13 tahun, perkara pelik dan misteri mula berlaku.

Misteri Roh Watseka Wonder

Suatu pagi, Lurancy bangun daripada tidur dan mengadu kepada ibunya dia berasa pening dan loya, sebelum tiba-tiba jatuh pengsan. Dia dalam keadaan 'tidur' selama lima jam sebelum sedar dan mengatakan dirinya baik-baik sahaja.

Keesokan harinya, keadaan sama berlaku dan mula berulang setiap hari. Dalam keadaan Lurancy tidak sedarkan diri, Lurancy meracau, memberitahu sedang berada di syurga, berjumpa malaikat, boleh mendengar suara roh, termasuk roh abangnya yang sudah meninggal dunia.

Sejak itu, Lurancy tidak terkawal. Dia sering pengsan dan meracau dengan suara yang berlainan.

Dalam sehari, adakalanya berbelas kali dia pengsan. Paling lama sehingga lapan jam dan bila sedar, Lurancy langsung tidak mengingati apa yang berlaku.

Keadaan Lurancy membimbangkan ibu bapanya kerana semasa meracau, Lurancy akan mula bertutur dalam bahasa yang sukar difahami, malah turut memberitahu ada roh berkeliaran dalam rumah mereka.

Pelbagai usaha dilakukan keluarga Vennum untuk merawat Lurancy namun doktor gagal menemui sebarang keganjilan dan mendapati Lurancy sihat.

Apa yang menimpa Lurancy kemudiannya mula menjadi berita hangat di Watseka. Rumah mereka mula dikunjungi orang ramai untuk menyaksikan sendiri perkara pelik yang menimpa gadis itu.

Ketika itu, kepercayaan berkaitan spiritual masih menebal dalam kehidupan masyarakat barat dan mereka percaya apa yang menimpa Lurancy ada kaitan dengan roh yang cuba berhubung melalui orang yang masih hidup

Setelah segala usaha untuk merawat gagal, pakar memberitahu Lurancy mungkin mengalami gangguan mental dan menyarankan dia dihantar ke hospital sakit jiwa.

Namun, sebelum sempat keluarga Vennum berbuat begitu, seorang lelaki bernama Asa Roff muncul di rumah mereka.

Dia menasihatkan agar tidak menghantar Lurancy ke hospital itu kerana tidak mahu dia menerima nasib seperti yang menimpa anaknya bernama Mary.

***

Mary Roff, lahir di Indiana pada Oktober 1846 dan semasa berusia enam bulan, Mary diserang penyakit sawan.

Sewaktu kecil juga, Mary sering mengadu terdengar suara misteri di dalam kepalanya. Suara itu menyuruhnya melakukan bermacam-macam perkara yang tidak sepatutnya dilakukan.

Semakin Mary membesar, dia mula mengalami keadaan dimana tiba-tiba dia tidak sedarkan diri dan akan bertutur dengan suara yang pelik apabila tersedar, seperti dirasuk sesuatu.

Keadaan Mary ketika itu turut menjadi tumpuan kerana Mary juga seakan memiliki suatu kelebihan.

Semasa berada dalam keadaan separuh sedar, Mary mampu menceritakan dengan tepat tentang suatu tempat yang belum pernah dijejakinya.

Dia juga boleh menggambarkan tentang seseorang sedangkan tidak mengenalinya, malah Mary juga boleh meramal apa yang akan berlaku namun, lama-kelamaan perangai pelik Mary mulai menakutkan apabila dia mula bersikap ganas.

Mula-mula dengan orang yang tidak dikenalinya, kemudian bertindak ganas dengan ahli keluarganya sendiri. Lebih menakutkan, Mary mula mempunyai obses dengan darah sehingga sanggup mencederakan dirinya sendiri.

Kemuncaknya, suatu hari mereka menemui Mary terbaring dilantai rumah tidak sedarkan diri berlumuran darah setelah memotong urat pergelangan tangannya dengan pisau.

Tiada pilihan lain, akhirnya keluarga Rof akur dengan saranan supaya menghantar anak mereka ke hospital sakit jiwa.

Malangnya, rawatan yang diterima bukannya menyembuhkan Mary, sebaliknya dia mati di hospital tersebut pada 5 Julai 1865.

Semasa Mary mati, Lurancy Vennum pula baru berusia setahun.

***

Dipendekkan erita, Asa Roff memujuk keluarga Vennom agar membenarkan Dr. E Winchester Stevens, seorang ahli spiritual untuk cuba merawat Lurancy sebagai salah satu ikhtiar terakhir.

Semasa merawat gadis itu, Dr. Winchester percaya Lurancy bukanlah gila atau mengalami gangguan jiwa seperti yang diperkatakan.

Dia percaya fizikal gadis itu menjadi penghubung antara dunia orang yang sudah mati untuk berkomunikasi.

Ketika memukau Lurancy untuk 'berhubung' dengan roh yang mempengaruhi tubuh gadis itu, ada beberapa roh yang tampil memperkenalkan diri.

Dr. Winchester memberitahu keluarga Vennum, roh Lurancy masih terlalu lemah untuk mengawal tubuhnya sendiri.

"Lurancy kini ada di syurga!" beritahu Dr. Winchester.

Untuk itu dia mencadangkan agar tubuh Lurancy menerima satu roh baru yang lebih mesra dan baik untuk menduduki tubuh Lurancy buat sementara waktu.

Ketika itu tubuh Lurancy yang pengsan tiba-tiba tersedar. Bila ditanya dia memperkenalkan dirinya sebagai Mary Roff!

Ketika Mary menjelma dalam tubuh Lurancy, personaliti gadis itu tiba-tiba hilang. Dia tidak kenal keluarga Vannum, malah tidak selesa berada di rumah itu!

Dia berulang-kali memperkenalkan dirinya sebagai Mary dan meminta agar pulang ke rumahnya.

Apabila keluarga Roff datang ke rumah Vennum, Lurancy serta-merta dapat mengenali mereka seorang demi seorang.

Mereka terkejut kerana personaliti Lurancy tidak ubah seperti Mary, anak mereka yang sudah meninggal dunia 13 tahun lalu.

Pada Februari 1878, keluarga Vennum membenarkan Mary yang berada di dalam jasad Lurancy untuk pulang ke rumah keluarganya, walaupun pada hakikatnya kedua-dua keluarga ini tidak pernah saling mengenali sebelum ini.

Gadis itu sangat gembira apabila pulang ke pangkuan keluarganya.

Apa yang peliknya, Lurancy tahu semua sejarah hidup keluarga Roff termasuk peristiwa yang menimpa mereka, kejiranan dan segala kenangan semasa hidup dahulu.

Mary di dalam tubuh Lurancy juga masih mengenali barang-barang peribadi dan juga rakan-rakannya.

Pasangan Roff acap kali menguji Lurancy untuk melihat benarkah di dalam tubuh gadis itu adalah roh anak mereka.

Dan semua yang disoal dan diajukan dapat dijawab dengan tepat, sebab itu mereka yakin di dalam tubuh Lurancy adalah anak mereka, Mary.

Dalam masa yang sama, keluarga Vennum sering datang melawat ke rumah keluarga itu untuk melihat anak mereka namun, Lurancy tidak mengenali langsung keluarganya sendiri.

Lebih kurang tiga bulan 'rasukan' ini berlaku, sepanjang masa itulah keluarga Roff seakan mendapat semula anak mereka.

Pada Mei 1878, Mar mula menangis dan memberitahu keluarganya bahawa sudah tiba masanya untuk dia pergi kerana roh Lurancy sudah sihat dan kuat untuk mengawal jasadnya itu.

Mary sempat berpelukan dengan setiap ahli keluarganya dan menunjukkan rasa sedih kerana sudah tiba masanya untuk meninggalkan mereka.

Dua hari kemudian, Mary pun 'pergi'. Lurancy yang tersedar semula dari 'tidur' yang berpanjangan terpinga-pinga bila melihat dia berada ditempat yang asing.

Dia langsung tidak mengenali keluarga Roff dan hanya menangis meminta dihantar pulang kepada keluarganya.

Pada 21 Mei, Lurancy dipulangkan semula kepada keluarganya dan apa yang lebih menarik, sejak kejadian misteri itu, Lurancy tidak lagi pengsan atau mengalami sebarang kerasukan.

Lurancy membesar dengan normal tanpa gangguan atas bantuan roh anak keluarga Roff.

Sebagai tanda terima kasih, apabila keluarga Roff datang melawat, mereka akan membenarkan roh Mary masuk ke dalam tubuh Lurancy untuk berkomunikasi dengan keluarganya.

Sangat pelik. Perjanjian misteri ini berlanjutan selama beberapa tahun dan akhirnya terputus apabila Lurancy berkahwin dan berpindah ke Kansas mengikut suaminya.

Mereka membeli sebuah ladang dan hidup disitu membesarkan 11 anak mereka. Lurancy meninggal dunia pada akhir tahun 1940an.

Sejak dari itu sampailah sekarang, banyak kajian telah dilakukan namun gagal membuktikan kisah 'penyatuan' Lurancy dan Mary yang dikenali sebagai 'Watseka Wonder' ini sebagai satu penipuan.

Kejadian itu digambarkan sebagai antara kes kemasukan roh paling misteri dalam rekod paranormal.

Sama ada Lurancy Vennum mahupun Mary Roff, mereka tidak pernah bertemu, bahkan hidup dalam dua hayat yang berbeza.

Tetapi, mereka pernah 'bersatu' dalam satu jasad!

BACA INI JUGA:

-Sentiasapanas.com

Sunday, May 26, 2019

Misteri Telaga Ajaib Gua Mother Shipton Di England

Misteri Telaga Ajaib Gua Mother Shipton Di England

Bandar Knaresborough di North Yorkshire, England, mempunyai satu fenomena yang aneh. Di sana terdapat sebuah "telaga ajaib" yang dikatakan mempunyai keupayaan untuk menukar semua objek menjadi batu.

Mother Shipton Cave
Mother Shipton Cave.

Fenomena misteri ini telah menjadi salah satu tarikan kepada berjuta-juta pelawat yang datang untuk menyaksikannya setiap tahun.

Menurut Amusing Planet, telaga ajaib itu pertama kali diketengahkan oleh John Leyland pada tahun 1538, sebelum zaman Raja Henry VIII.

John Leyland menyatakan dalam tulisannya mengatakan bahawa, telaga ajaib itu dianggap sebagai benda ajaib yang mempunyai kuasa penyembuhan oleh penduduk tempatan.

Tulisannya itu merupakan permulaan kepada legenda yang menyelubungi "telaga ajaib" itu untuk satu tempoh yang lama.

Telaga ajaib yang dikatakan mempunyai kuasa untuk menukar semua objek menjadi batu itu terletak di dalam sebuah gua yang dikenali sebagai Gua Mother Shipton (Gua Ibu Shipton).

Nama gua itu berasal daripada seorang wanita tempatan yang dipercayai seorang penyihir, Ursula Southeil, juga dikenali sebagai Mother Shipton.

Menurut legenda, Mother Shipton adalah anak hasil daripada hubungan seorang pelacur bersama syaitan dan dia dilahirkan di dalam gua itu. Selain kepercayaan pelik itu, Mother Shipton juga adalah seorang peramal terkenal.

Mother Shipton dipercayai telah meramal beberapa peristiwa sebelum ianya berlaku seperti kekalahan angkatan bersenjata Sepanyol pada tahun 1588, Kebakaran Besar London yang berlaku pada tahun 1666 sehinggalah kepada penciptaan telefon bimbit!

Selain legenda Mother Shipton yang dikatakan boleh memberi ramalan yang menakutkan itu, ia juga mempunyai legenda lain yang lebih menarik perhatian.

Seperti yang dilaporkan John Leyland, telaga yang berada dalam gua itu juga mempunyai kuasa ajaib yang boleh menyembuhkan.

Ramai penduduk tempatan dan dari luar yang berkunjung ke telaga ajaib ini kerana kepercayaan itu.

Menurut Oddity Central pula, seorang ahli fizik telah memeriksa telaga ajaib itu pada awal tahun 1600-an. Daripada penyelidikan itu dia telah membuat kesimpulan bahawa air yang mengalir melalui telaga itu mempunyai keajaiban untuk menyembuh apa-apa jenis penyakit. Sejak itu, telaga itu menjadi semakin popular.

Namun, keajaiban yang terbukti ada pada telaga itu ialah keupayaannya untuk mengubah sebarang objek menjadi batu.

Walaupun dipenuhi dengan legenda, Mother Shipton yang dikatakan mempunyai kuasa ajaib untuk menyembuh untuk satu masa yang panjang, keupayaan telaga itu mengubah objek menjadi batu adalah sepenuhnya secara semula jadi.

Menurut Force To Know, telaga itu mengubah objek menjadi batu adalah kerana kandungan mineral yang tinggi di dalam airnya. Melalui proses penyejatan dan mendapan dari masa ke semasa, objek yang ditinggalkan di situ berubah menjadi batu kerana ia dilindungi oleh mineral padu.

Proses semula jadi itu juga pernah dikaitkan dengan salah satu kuasa sihir Mother Shipton. Sebagai seorang penyihir, dia dikatakan mempunyai kuasa untuk menukar segala objek menjadi batu.

Legenda yang menakutkan itu diperkuatkan lagi dengan fakta bahawa apabila dilihat dari satu sisi, gua itu kelihatan seperti sebuah tengkorak gergasi.

Legenda yang sering diperturunkan oleh penduduk tempatan dan pelawat itu meningkatkan lagi rasa ingin tahu ramai orang.

Apabila Hutan Diraja yang menempatkan Gua Mother Shipton dijual oleh Raja Charles I kepada Sir Charles Slingsby pada tahun 1630, gua itu sudah pun begitu terkenal.

Ramai orang datang untuk menyaksikan proses pengerasan aneh itu dengan mata mereka sendiri. Pemilik baru tempat itu memutuskan untuk meraih pendapatan dengan mengadakan lawatan berbayar kepada pengunjung yang hadir di tanah miliknya.

Dengan berbuat demikian, Sir Charles Slingby secara tidak langsung telah mencipta tempat tarikan pelancong yang pertama di England.

Pada hari ini, kebanyakan orang tahu bahawa telaga itu tidak mempunyai sebarang kuasa ajaib tetapi hanyalah proses unik alam semula jadi.

Walau bagaimanapun, juataan pelancong masih lagi melawat tempat itu kerana kebolehannya mengubah objek menjadi batu.

Walaupun ciri-ciri ajaib yang dikaitkan dengan telaga Knaresborough ini mungkin terbukti salah tetapi disebabkan sifat ingin tahu, ia mempunyai keupayaan yang kuat untuk menjadikan tempat ini tarikan pelancong menarik di England.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: iluminasi