Tuesday, September 03, 2019

4 Pesawat Pejuang Pemintas Paling Laju Di Dunia Pernah Dicipta!

4 Pesawat Pejuang Pemintas Paling Laju Di Dunia Pernah Dicipta!

Ketika ini, kekuatan ketenteraan Malaysia dari segi pesawat adalah sebanyak 184 secara keseluruhan termasuklah 36 pesawat pejuang, 49 pesawat penyerang dan 84 pesawat pengangkutan dan di antara pesawat-pesawat ini, yang paling laju adalah pesawat Sukhoi Su-30MKM yang mampu mencapai kelajuan maksimum 2,120 kilometer sejam.

Selain itu, pesawat MiG-29, dengan teknologi 80an masih berkemampuan dan relevan terutamanya di rantau ini dan fungsi pesawat itu kini adalah sebagai Pesawat Pemintas dan Pertahanan Udara Malaysia.

Kali ini kami ingin kongsikan 4 pesawat paling pantas di dunia ketika ini.

1. North American X-15

North American X-15

North American X-15 adalah pesawat berkuasa roket hipersonik dioperasikan oleh Tentera Udara Amerika Syarikat dan Pentadbiran Angkasa dan Aeronautika Nasional sebagai sebahagian daripada siri eksperimen pesawat-X.

Rekod rasmi X-15 yang dicatakan bagi pesawat paling laju di dunia yang pernah direkodkan dilakukan pada 1967 apabila William J. Knight memandu pesawat ini dengan kelajuan 7,274 kilometer sejam.

Dengan kelajuan ini, anda boleh berulang alik dari Padang Besar, Perlis ke Johor Bahru sebanyak hampir 9 kali, dalam masa 1 jam.

2. SR -71 Blackbird

SR -71 Blackbird

SR-71 berkhidmat dengan Tentera Udara AS dari tahun 1964 hingga 1998, sebanyak 32 pesawat telah dihasilkan di mana 12 daripadanya musnah dalam kemalangan namun, tiada satu pun daripadanya yang musnah disebabkan tindakan musuh.

SR-71 diberikan beberapa nama samaran, termasuk "Blackbird" dan "Habu", memegang rekod dunia untuk pesawat "air-breathing" paling pantas sejak tahun 1976, rekod ini sebelum ini dipegang oleh Lockheed YF-12.

Kelajuan maksima yang pernah dicatatkan adalah 3,661 kilometer sejam dan menelan kos pembuatan mencecah RM132 juta seunit.

3. Lockheed YF-12

Lockheed YF-12

Lockheed YF-12 adalah pesawat pemintas prototaip Amerika yang digunakan oleh Tentera Udara Amerika Syarikat.

YF-12 adalah versi pesawat Lockheed A-12 yang mempunyai 2 tempat duduk, membawa kepada penghasilan pesawat Lockheed SR-71.

YF-12 mencipta dan memegang rekod dunia bagi kelajuan dan ketinggian iaitu melebihi 3,200 kilometer sejam dan melebihi 24,384 meter.

Ketika ini, YF-12 merupakan pesawat pemintas terbesar di dunia dengan kelajuan terpantas pernah direkodkan adalah 3,540 kilometer sejam, namun hanya 3 unit dihasilkan.

4. Mikoyan Mi G-25

Jet pemintas terlaju

Mikoyan Mi G-25 adalah pesawat pemintas supersonik dan peninjau yang merupakan antara pesawat pejuang terpantas yang pernah berkhidmat.

Ia direka oleh Mikoyan-Gurevich dari Kesatuan Soviet dan merupakan salah satu pesawat tempur yang dibina menggunakan keluli tahan karat, pesawat pejuang terakhir yang direka oleh Mikhail Gurevich sebelum bersara.

Dihasilkan di antara tahun 1964 hingga 1984, sebanyak 1,186 pesawat ini dihasilkan dan hanya diperkenalkan pada tahun 1970.

Pesawat pejuang berkelajuan maksimum 3,470 kilometer sejam ini digunakan oleh Angkatan Pertahanan Udara Soviet, Tentera Udara India dan Tentera Udara Algeria.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: iluminasi

Friday, August 23, 2019

5 Peluru Berpandu ICBM Paling Menakutkan Di Dunia!

5 Peluru Berpandu ICBM Paling Menakutkan Di Dunia!

Peluru berpandu balistik antara benua (ICBM) adalah peluru berpandu jarak jauh yang mampu mensasarkan mana-mana sasaran di muka Bumi yang menggunakan teknologi trajektori balistik melibatkan pendakian dan penurunan yang tinggi termasuk penerbangan sub-orbital dan sebahagian trajektori orbital.

ICBM tidak banyak beza dari segi teknikal berbanding peluru berpandu balistik seperti IRBM, SRBM atau nama barunya peluru berpandu balistik medan; melainkan ia dibezakan berdasarkan jarak maksimum.

Jarak maksimum ICBM ditakrifkan oleh perjanjian kawalan senjata yang mengharamkan orbital atau senjata sebahagian orbital dan hanya tiga negara sahaja mempunyai sistem ICBM yang beroperasi, iaitu Amerika Syarikat, Russia dan China.

Walaupun bagaimanapun, Korea Utara dan Israel dipercayai juga sedang memajukan sistem ICBM-nya sendiri.

ICBM moden cenderung menggunakan bahan api pepejal yang mampu disimpan untuk jangka waktu yang lama serta diletakkan sama ada di dalam silo peluru berpandu yang memberi perlindungan tambahan dari serangan pertama, atau pada kapal selam mahupun kereta api mudah alih, oleh itu ia lebih sukar untuk dimusnahkan.

Sebagai contoh perbandingan kekuatan peluru berpandu dalam senarai ini, bom atom yang meranapkan Hiroshima adalah sekuat 15 kiloton, manakala di Nagasaki pula dianggarkan sekuat 20 kiloton.

Kali ini kami ingin kongsikan 5 peluru berpandu paling kuat dan berbahaya di dunia.

Senarai ini tidak mengikut urutan mana lebih kuat kerana setiap peluru berpandu ini mempunyai objektif dan misi yang berbeza.

Nota: CEP=circular error probable (ketepatan peluru berpandu), semakin tinggi CEP, semakin luas impak oleh peluru berpandu.

1. R-36M2 – Peluru berpandu antara benua (Soviet Union/Rusia)

Peluru Berpandu R-36M2

Peluru berpandu ini dinamakan sebagai SS-18 Satan oleh NATO, yang dilancarkan pada tahun 1973 dan telah melalui beberapa perubahan yang memperbaiki keberkesanannya, yang pada satu tahap ia boleh membawa antara 20 hingga 25mt (20,000 hingga 25,000 kilotan) peledak.

Perubahan terakhir yang dilakukan pada SS-18 Satan membuatkan ia mampu membawa 10 peledak dengan 750 kilotan yang boleh mencapai jarak sejauh 16,000 kilometer.

SS-18 Satan mampu bergerak dengan kelajuan maksimum 28.8km/j dan dengan 220 meter CEP, peluru berpandu ini memberikan kebimbangan kepada Amerika Syarikat.

Jika dilancarkan, ia mampu sampai ke mana-mana sahaja tempat di muka bumi kecuali Amerika Selatan.

2. DF-5/5A – Peluru berpandu antara benua (China)

Peluru Berpandu Antara Benua DF-5

Jika dibandingkan dengan peluru berpandu yang lain dalam senarai ini, Dong Feng 5 dianggap sebagai yang terburuk.

Namun, walaupun ia tidak mempunyai luaran yang cantik, kemampuannya menyempurnakan tugas tidak dapat dinafikan.

Perkhidmatan DF-5 bermula pada tahun 1981 dan ia adalah sebagai satu isyarat kepada sesiapa yang ingin bermusuh dengan China supaya berfikir dua kali.

Saiznya yang sangat besar membolehkan DF-5 membawa 5 megatan (5,000 kilotan) peledak yang mampu mencapai jarak sejauh 13,000 kilometer, yang jika dilancarkan dari China, boleh sampai di mana-mana tempat di muka bumi ini kecuali benua Amerika.

CEP bagi DF-5 adalah sangat tinggi iaitu 1 kilometer yang memberi maksud bahawa ia tidak mempunyai tujuan lain, melainkan meranap dan menghancurkan sesebuah bandar.

Dengan kekuatan yang sangat luar biasa ini, DF-5 masih mempunyai ruang untuk diperbaiki dan menjadi lebih berbahaya.

3. UGM-133 Trident II – Peluru Berpandu Kapal Selam (USA/UK)

ICBM UGM-133 Trident II

Trident II adalah peluru berpandu paling terkini yang digunakan bagi menguatkan kuasa marin tentera United Kingdom dan Amerika Syarikat.

Trident II siap dan mula beroperasi pada tahun 1990 dan sentiasa dikemaskini serta dinaik taraf mengikut perkembangan teknologi.

Ia mampu membawa 4 hingga 5 peledak dengan 475 kilotan setiap satu dan jarak maksimum bergantung kepada jumlah peledak digunakan yang boleh mencapai antara 7,800 hingga 11,000 kilometer.

CEP bagi Trident II tidak diketahui namun tentera laut Amerika Syarikat mempunyai kadar minimum CEP serendah 120m atau kurang bagi meluluskan penggunaan sesuatu peluru berpandu.

Dan menurut laporan, CEP Trident II melepasi syarat tersebut dengan perbezaan yang ketara.

4. R29RMU2 Layner – Peluru Berpandu Kapal Selam (Rusia)

ICBM R29RMU2 Layner

Peluru berpandu kapal selam terbaharu, Layner, yang digunakan pada tahun 2014 oleh Rusia, merupakan hasil penambahbaikan terhadap versi yang lalu iaitu R-29RMU Sineva.

Antara faktor yang menyebabkan Layner dihasilkan adalah untuk memperbaiki masalah yang timbul dalam menghasilkan Bulava.

Dari segi jarak, ia boleh mencapai sejauh 11,500 kilometer dan mampu membawa 12 peledak dengan berat 100 kilotan setiap satu.

Namun, peledak-peledak ini boleh dikurangkan bagi meningkatkan daya tahan peluru berpandu ini.

CEP bagi Layner tidak diketahui namun ia dianggarkan menyamai atau lebih baik daripada CEP Bulava.

5. RSM-56 Bulava - Peluru Berpandu Kapal Selam (Rusia)

RSM-56 Bulava ICBM

Rusia berada di belakang Amerika Syarikat bagi pencapaian keseluruhan dan kemampuan jika bercakap mengenai peluru berpandu yang dilancarkan oleh kapal selam.

Namun, peluru berpandu Bulava adalah penambahan terbaru dalam senjata kapal selam Rusia, diluluskan dan diterima oleh Rusia pada tahun 2013 selepas menempuhi kegagalan berkali-kali ketika proses ujian.

Bulava dilengkapi dengan 6 peledak 150 kilotan namun, ia dikatakan mampu membawa 10 peledak yang sama.

Ia boleh mencapai jarak sejauh 8,000 kilometer dan mempunyai CEP di antara 300 hingga 350 meter.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: 1 | 2

Saturday, July 20, 2019

Bom Atom Atau Bom Hidrogen, Letupan Mana Paling Kuat?

Bom Atom Atau Bom Hidrogen, Letupan Mana Paling Kuat?

Terdapat dua jenis bom nuklear iaitu bom atom dan bom hidrogen, manakala contoh terbaik penggunaan bom atom apabila lebih 200,000 orang terbunuh apabila Amerika Syarikat (AS) menggugurkan bom atom di Hiroshimo dan Nagasaki, Jepun semasa Perang Dunia Kedua pada 1945.

Letupan Bom nuklear

Kemusnahan akibat bom atom itu di dua bandar tersebut sangat dashyat sehingga memaksa Jepun untuk menyerah kalah.

Menurut beberapa pakar nuklear, bom hidrogen mempunyai potensi 1,000 kali ganda lebih kuat berbanding bom!

Seorang profesor kejuruteraan nuklear dari Universiti California, Berkeley, AS, Edward Morse berkata, bom hidrogen menyebabkan letupan lebih besar, yang bermaksud gegaran, letupan, kepanasan dan radiasi daripada letupan bom hidrogen mempunyai jangkauan lebih besar daripada bom atom.

Bom atom yang digugurkan di Nagasaki membunuh semua orang dalam radius 1.6 kilometer, manakala jangkauan bom hidrogen adalah sehingga lapan hingga 16 kilometer persegi. Dalam erti kata lain, bom hidrogen membunuh lebih ramai orang.

Pengarah Universiti Institut Keselamatan Nuklear Tennessee, Howard Hall pula menggelar bom hidrogen sebagai “pembunuh bandar” yang boleh membunuh antara 100 dan 1,000 kali ganda berbanding bom atom.

Menghasilkan Gempa Bumi

Ujian bom hidrogen bawah tanah oleh Korea Utara pada tahun 2016 yang lalu telah membuka mata dunia termasuk kuasa besar terhadap senjata itu yang dikategorikan sebagai paling berbahaya

dengan kuasa ledakan melebihi 1,000 kali ganda berbanding bom atom.

Ternyata, senjata berskala besar itu sangat berbahaya dan memberi ancaman kepada seluruh penduduk dunia.

Kemudian, dalam ujian nuklear keenam yang dilakukan oleh Korea Utara pada tahun 2017, ia benar-benar mencapai tahap melampau sehingga menyebabkan berlaku gempa bumi di Kilju, Hamgyong, utara Korea Utara.

Letupan tersebut didakwa lapan kali lebih kuat berbanding bom atom yang digugurkan Amerika Syarikat (AS) di Hiroshima semasa Perang Dunia Kedua 1945.

Bom yang digugurkan di Hiroshima sekuat 15 kiloton, manakala di Nagasaki pula dianggarkan sekuat 20 kiloton.

Norsar, pertubuhan pemantau gegaran gempa menyatakan, ujian bom nuklear Korea Utara itu berkekuatan 120 kiloton.

Pusat Kajian Geologi Amerika Syarikat melaporkan berlaku gegaran berukuran 6.3 magnitud, 10 kali ganda lebih berkuasa berbanding ujian yang dijalankan sebelumnya.

Ujian bom bawah tanah itu dipercayai dilancarkan berhampiran sempadan China dan disahkan oleh Jepun dan Korea Selatan sebagai punca berlakunya gempa bumi.

Berbeza dengan bom atom, bom hidrogen berfungsi dengan gabungan unsur lebih ringan ke dalam unsur lebih berat yang kemudian menghasilkan tenaga.

Kedua-dua jenis bom itu juga daripada kelas berbeza. Bom atom menghasilkan tenaga melalui manipulasi konsep pembelahan nuklear, manakala bom hidrogen terhasil daripada evolusi lanjutan teknologi ledakan termonuklear yang menggabungkan proses pembelahan dan pelakuran nukleus.

Berikutan suhu yang sangat tinggi diperlukan bagi membolehkan tindak balas, bom hidrogen yang terhasil turut dikenali sebagai bom termonuklear.

Bom hidrogen turut mempunyai komponen bom atom pada bahagian tengahnya dalam kedudukan struktur dikelilingi litium deuterida iaitu unsur kedua besar digunakan dalam pembuatan bom berkenaan.

Berdasarkan sejarah, bom hidrogen pertama diledakkan Amerika Syarikat pada tahun 1952 di kepulauan Eniwetok di Lautan Pasifik, disusuli ledakan kedua pada tahun berikutnya oleh Soviet Union (kini dikenali Rusia).

Selain dua kuasa besar itu, Britain, Perancis dan China turut bertanggungjawab dalam pembuatan bom hidrogen sehingga kelima-lima negara itu mendapat gelaran Kelab Nuklear iaitu kumpulan negara yang berupaya menghasilkan senjata nuklear.

Soviet Union pula menghasilkan bahan letupan termonuklear digelar `Tsar Bomba' atau Maharaja Bom yang sehingga kini memegang rekod ledakan bom paling kuat dengan kuasa letupan 57 megaton TNT.

Dengan kuasa ledakan itu, bom berkenaan jauh lebih dahsyat jika dibandingkan dengan bom nuklear `Little Boy' yang mengandungi kira-kira 50 kilogram uranium yang digugurkan di Hiroshima, Jepun pada 6 Ogos 1945 dan bom `Fat Man' (enam kilogram plutonium) yang digugurkan ke atas Nagasaki pada 9 Ogos tahun sama.

INFO:

Ujian bom hidrogen mengikut tahun dan lokasi:
  • 1952 - Amerika Syarikat di Eniwetok, Lautan Pasifik.
  • 1953 - 1961 - Soviet Union di Teluk Mityushikha, Kepulauan Artik.
  • 1957- 1958 - Britain di Pulau Christmas, Kiribati dan Pulau Malden di Lautan Pasifik.
  • 1968 - Perancis di Kepulauan Fangataufa, Lautan Pasifik.
  • 1967 - China di Taklamakan and Kumtag dalam wilayah Xinjiang, China.
  • 2016 - Korea Utara di Kilju County, Korea Utara.

Apa Itu Bom Hidrogen?

Mempunyai daya ledakan disebabkan pelakuran nukleus hidrogen dan dalam istilah sains, bom hidrogen mempunyai ledakan yang sangat kuat menerusi tenaga diperoleh ketika atom hidrogen membentuk helium.

Tindak balas pelakuran atom ini menyamai tindak balas yang berlaku di bintang seperti matahari iaitu ketika tekanan graviti yang memaksa atom hidrogen bergabung.

Antara individu bertanggungjawab mengembangkan bom hidrogen ialah J Robert Oppenheimer yang dikenali sebagai bapa kepada bom atom.

Bila bom hidrogen pertama dicipta?

Selepas Soviet Union berjaya meledakkan bom atom pada 1949, Presiden Harry S Truman mengarahkan projek bom hidrogen dimulakan.

Dengan bantuan pakar matematik kelahiran Poland, Stanislaw Marcin Ulam, telah membantu mencipta model bom hidrogen dikenali dengan rekaan Teller-Ulam.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: bharian

Thursday, July 04, 2019

10 Letupan Bom Nuklear Terkuat Pernah Terjadi Di Dunia

10 Letupan Bom Nuklear Terkuat Pernah Terjadi Di Dunia

Ada dua jenis bom nuklear iaitu bom atom dan bom hidrogen, dan menurut beberapa pakar nuklear, kekuatan letupan dan kesan kemusnahan bom hidrogen mempunyai potensi 1,000 kali ganda lebih kuat berbanding bom atom.

Sebagai contoh, apabila bom atom digugurkan di Hiroshimo dan Nagasaki, Jepun, semasa Perang Dunia Kedua pada 1945, lebih 200,000 orang terbunuh.

Apa yang menakutkan adalah, bom hidrogen menyebabkan letupan, yang bermaksud gegaran, letupan, kepanasan dan radiasi dengan jangkauan yang jauh lebih besar berbanding bom atom.

Bom atom yang digugurkan di Nagasaki membunuh semua orang dalam radius 1.6 kilometer, manakala jangkauan bom hidrogen adalah lapan hingga 16 kilometer persegi.

Berikut adalah 10 letupan bom hidrogen paling kuat di dunia yang pernah disaksikan.

1. TSAR BOMBA

Negara: Kesatuan Soviet
Kekuatan: 50-58 megatan
Tahun: 1961

Letupan TSAR BOMBA

Pada 30 Oktober 1961, Kesatuan Soviet meletupkan bom nuklear paling besar yang pernah diuji dan dihasilkan dalam sejarah.

Ujian tersebut dikenali sebagai Tsar Bomba, menghasilkan letupan dengan kekuatan antara 50 dan 58 megatan, dua kali ganda lebih kuat berbanding letupan nuklear kedua paling kuat pernah diuji.

Kekuatan letupan itu juga adalah 3,000 kali ganda lebih kuat berbanding bom atom yang digugurkan di Hiroshima.

Cahaya daripada letupan Tsar Bomba dapat dilihat dari jarak sejauh sehingga 997 kilometer.

Letupan sekuat itu mampu menghasilkan bola api dalam radius 16.5 kilometer persegi dan kecederaan melecur tahap tiga (membunuh tisu kulit) dalam radius 10,567 kilometer persegi.

2. SOVIET TEST #219

Negara: Kesatuan Soviet
Kekuatan: 24.2 megatan
Tahun: 1962

Pada 24 Disember 1962, Kesatuan Soviet sekali lagi menjalankan ujian nuklear yang dikenali sebagai Ujian #219 di Novaya Zemlya.

Bom tersebut menghasilkan letupan sekuat 24.2 megatan dan mampu menghancurkan apa sahaja dalam radius 9.2 kilometer persegi dan menyebabkan kecederaan melecur tahap tiga dalam radius 5,827 kilometer persegi.

Tidak ada rakaman video atau gambar ujian nuklear itu disiarkan.

3–5. SOVIET TESTS #173, #174 dan #147

Negara: Kesatuan Soviet
Kekuatan: 20 megatan
Tahun: 1962

Dari 5 Ogos hingga 27 September 1962, Kesatuan Soviet menjalankan beberapa ujian nuklear di Novaya Zemlya.

Ujian nuklear dengan nama kod ujian #173, #174 dan #147 merupakan bom nuklear ketiga, keempat dan kelima terkuat pernah diletupkan dalam sejarah.

Ketiga-ketiga bom nuklear itu menghasilkan letupan sekuat 20 megatan atau 1,000 kali ganda lebih kuat daripada bom Trinity iaitu bom nuklear pertama yang diletupkan oleh AS pada 16 Julai 1945.

Bom nuklear sekuat 20 megatan mampu menghancurkan apa sahaja dalam radius 4.8 kilometer sehingga menjadi debu.

6. CASTLE BRAVO

Negara: Amerika Syarikat
Kekuatan: 15 megatan
Tahun: 1954

Castle Bravo adalah ujian pertama dalam siri ujian Castle dan merupakan bom nuklear terkuat pernah diletupkan oleh AS sehingga hari ini.

Pada asalnya, Castle Bravo dijangka menghasilkan letupan sekuat enam megatan tapi menghasilkan letupan sekuat 15 megatan.

‘Awan cendawan’ impak daripada letupan itu meledak setinggi 34,747 kilometer.

Kesilapan tentera AS membuat kiraan saiz letupan tersebut menyebabkan radiasi kepada 665 penduduk Kepulauan Marshall dan kematian seorang nelayan Jepun yang berada 128 kilometer dari tapak letupan akibat keracunan radiasi.

7. CASTLE YANKEE

Negara: Amerika Syarikat
Kekuatan: 13.5 megatan
Tahun: 1954

Castle Yankee merupakan ujian nuklear kedua terkuat dalam siri ujian Castle yang dilaksanakan di Bikini Atoll, Kepulauan Marshall pada 5 Mei 1954.

Walaupun pada asalnya, ujian tersebut dijangka menghasilkan letupan sekuat antara enam hingga 10 megatan, Castle Yankee menghasilkan letupan sekuat 13.5 megatan.

Empat hari kemudian, debuan akibat letupan itu sampai ke Mexico City yang terletak kira-kira 11.5 kilometer dari Bikini Atoll.

8. SOVIET TEST #123

Negara: Kesatuan Soviet
Kekuatan: 12.5 megatan
Tahun: 1961

Pada 23 Oktober 1961, Kesatuan Soviet menjalankan ujian nuklear #123 menggunakan bom nuklear sekuat 12.5 megatan di Novaya Zemlya.

Bom nuklear pada saiz tersebut mampu memusnahkan apa sahaja dalam radius 5.46 kilometer persegi dan menyebabkan kecederaan melecur tahap tiga dalam radius 3.39 kilometer persegi.

Rakaman video atau gambar ujian nuklear tersebut pernah disiarkan oleh Kesatuan Soviet.

9. CASTLE ROMEO

Negara: Amerika Syarikat
Kekuatan: 11 megatan
Tahun: 1954

Letupan Castle romeo

Castle Romeo merupakan nuklear kedua yang diletupkan oleh AS dalam siri ujian Castle yang dilakukan pada 1954, yang dilakukan di Bikini Atoll, Kepulauan Marshall.

Castle Romeo merupakan ujian ketiga terkuat dalam siri tersebut dan mempunyai kekuatan 11 megatan.

Castle Romeo merupakan nuklear pertama yang diuji di atas tongkang besar di lautan berbanding terumbu memandangkan AS menghadapi kekurangan pulau yang boleh digunakan untuk ujian nuklear.

Letupan dengan kekuatan 11 megaton mampu memusnahkan apa sahaja dalam radius 4.94 kilometer persegi menjadi debu.

10. IVY MIKE

Negara: Amerika Syarikat
Kekuatan: 10.4 megatan
Tahun: 1952

Pada 1 November 1952, tentera AS meletupkan Ivy Mike di Pulau Elugelab, Kepulauan Marshall, Lautan Pasifik.

Ivy Mike merupakan bom hidrogen pertama yang dihasilkan di dunia dengan kekuatan 10.4 megatan yang bersamaan dengan 700 kali ganda lebih kuat berbanding bom atom pertama yang digugurkan di Hiroshima dan Nagasaki, Jepun dalam Perang Dunia Kedua.

Letupan Ivy Mike sangat kuat sehingga ia mengewapkan Pulau Elugelab dan meninggalkan kawah sedalam 50 meter.

‘Awan cendawan’ akibat letupan nuklear itu mampu bergerak sehingga 48 kilometer ke dalam atmosfera.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: utusan

Iran Negara Ke 10 Miliki Senjata Nuklear!

Iran Negara Ke 10 Miliki Senjata Nuklear!

Iran memberikan amaran bahawa Israel boleh ‘hancur dalam tempoh setengah jam’ jika Amerika Syarikat (AS) menyerang negara itu, selepas mengakui pihaknya melanggar perjanjian nuklear yang ditandatangani pada 2015 apabila menghasilkan uranium melebihi daripada paras yang sepatutnya.

Iran cipta senjata nuklear

Pengumuman itu dilaporkan agensi berita IRNA yang memetik kenyataan Menteri Luar Iran, Mohammad Javad Zarif ketika ketegangan antara negara ini dengan AS terus memuncak.

Ketika ditanya oleh media adakah Iran sudah melanggar perjanjian tersebut, Mohammad Javad menjawab ‘ya’.

Namun, Mohammad Javad tidak menyatakan berapa jumlah uranium yang digunakan untuk menghasilkan senjata nuklear sudah dihasilkan setakat ini.

Selain itu, agensi perisikan Israel, Mosad menuduh Iran merupakan dalang dalam beberapa siri serangan di Teluk Parsi baru-baru ini.

Ketua Mosad, Yossi Cohen berkata, perkara itu berdasarkan hasil risikan dan maklumat yang diperoleh dari sumber Israel serta Barat.

Katanya, serangan yang dilancarkan terhadap kapal tangki minyak di Teluk Oman dan loji minyak di Arab Saudi serta Baghdad, Iraq sebelum ini mendapat ‘kelulusan daripada kepemimpinan Iran’.

Israel sebelum ini didakwa sengaja mencetuskan propaganda yang ‘melaga-lagakan’ AS dengan Iran berhubung pembangunan program senjata nuklear sebagai langkah untuk menutup ‘cerita’ mengenai penghasilan senjata nuklear oleh rejim Zionis.

Sehingga kini, Israel tidak pernah mendedahkan mengenai angkatan senjata nuklearnya yang dianggarkan mempunyai kekuatan maksimum.

Untuk pengetahuan, Uranium adalah sejenis unsur logam yang radioaktif, berwarna kelabu keperakan dengan

simbol U dan nombor atom 92, digunakan untuk menghasilkan tenaga nuklear yang berbahaya, senjata nuklear dan sebagainya.

Dengan memiliki jumlah Uranium yang mencukupi, ini bermakna negara Iran kini bebas mencipta senjata nuklear tanpa sebarang halangan dari mana-mana pihak.

Dalam pada itu, Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) mengesahkan Iran sudah menghasilkan uranium melebihi perjanjian yang dipersetujui sebelum ini.

AS pula menegaskan, strategi untuk ‘meletakkan tekanan maksimum’ terhadap negara ini akan diteruskan.

Terdahulu, Presiden AS, Donald Trump memberi amaran Teheran kini ‘bermain dengan api’ kerana melanggar perjanjian yang ditetapkan.

Sementara itu, CNN melaporkan, Pejabat Pengarah Perisikan Kebangsaan AS menyenaraikan kumpulan Hezbollah sebagai cabaran utama dalam keselamatan global.

Kumpulan itu juga didakwa mampu mengukuhkan kedudukannya ‘untuk menyerang mana-mana kepentingan AS di seluruh dunia’.

Iran didakwa membiayai Hezbollah dengan menyalurkan dana dan senjata untuk kumpulan itu melancarkan serangan.

SENARAI NEGARA MEMILIKI SENJATA NUKLEAR

5 negara yang diketahui atau disyaki memiliki senjata nuklear kadangkala disebut sebagai kelab nuklear.

Diketahui memiliki senjata nuklear (Kelab Nuklear):
  1. Amerika Syarikat
  2. Rusia
  3. United Kingdom
  4. Perancis
  5. China

Diketahui memiliki senjata nuklear (Bukan Kelab Nuklear):
  1. India
  2. Pakistan
  3. Korea Utara
  4. Iran (Bakal memiliki senjata nuklear)

Disyaki memiliki senjata nuklear:
  1. Israel

Berkongsi senjata nuklear (dengan Amerika Syarikat):
  1. Kanada
  2. Belgium
  3. Turki
  4. Itali
  5. Jerman
  6. Belanda

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: utusan

Tuesday, June 11, 2019

Peluru Berpandu S-400 Rusia Mampu Menjatuhkan Jet Pejuang Tercanggih AS

Peluru Berpandu S-400 Rusia Mampu Menjatuhkan Jet Pejuang Tercanggih AS

Negara Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), terutama AS, melihat rancangan Turki membeli sistem pertahanan peluru berpandu dari Rusia dengan penuh kecurigaan, namun Ankara yang juga anggota NATO berkata, mereka memerlukannya bagi menghadapi ancaman di wilayah itu.

S-400 missile
S-400 missile.

Perjanjian S-400 itu, dilaporkan bernilai kira-kira AS$2.5 bilion (RM10.15 bilion) mencetuskan kebimbangan di Barat kerana Turki adalah anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) dan sistem itu tidak boleh disepadukan dalam persekitaran Nato.

S-400 adalah sistem pertahanan peluru berpandu mudah alih generasi terbaharu yang mampu membawa tiga jenis misil berlainan dan berupaya memusnahkan pelbagai sasaran udara dari jarak dekat mahupun jauh.

Sistem pertahanan peluru berpandu S-400 dinaiktaraf secara besar-besaran daripada S-300 dan disebabkan kemampuannya, negara China, Arab Saudi, Turki, India dan Qatar mahu membelinya.

Peluru berpandu S-400 boleh mengesan sejumlah besar ancaman, termasuk menyasarkan pesawat tersembunyi, termasuklah jet pejuang tercanggih F-35 AS.

Keinginan negara-negara terbabit memiliki S-400 bagaimanapun berdepan dengan ancaman, termasuk dari segi diplomatik, oleh AS dan negara NATO.

Penyelidik kanan Stockholm International Peace Research Institute’s (SIPRI), Siemon Wezeman berkata, S-400 adalah antara sistem pertahanan udara canggih yang ada sekarang ini, berbanding apa yang terbaik mampu Barat tawarkan.

Sistem radar dan sensornya, juga peluru berpandu, boleh menjangkau jarak yang luas, menjangkau julat sekurang-kurangnya 600 kilometer, sementara peluru berpandunya mencapai 400 kilometer.

S-400 tepat dan dapat mengesan sejumlah besar sasaran yang berpotensi, termasuk sasaran tersembunyi.

Kelebihan lain sistem pertahanan S-400 ialah dari segi persediaan modular dan mobiliti tinggi, yang bermakna ia mudah dipasang, ditembak dan digerakkan dalam tempoh beberapa minit sahaja.

S-400 menjadi sistem satu saiz untuk peluru berpandu, boleh dikonfigurasi menjadi sistem senjata untuk jarak jauh, sederhana jauh, sederhana dan dekat, bergantung kepada kehendak pengguna, kata penganalisis ketenteraan, Kevin Brand.

Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan, tahun 2018 lalu berkata, Ankara akan berusaha mendapatkan S-400 secepat mungkin, selepas menandatangani pembeliannya pada 2017.

Mampu Menjatuhkan F-35

F-35, jet pejuang generasi kelima terbaharu Amerika Syarikat yang dilengkapi teknologi ‘menghilangkan diri daripada radar’ berdepan ancaman sistem pertahanan udara S-400 buatan Russia.

F-35 adalah jet pejuang generasi kelima terbaharu AS, menggabungkan teknologi ‘menghilangkan diri daripada radar’ dan memiliki kelajuan serta ketangkasan.

Tiga varian F-35 akan menggantikan pesawat A-10 dan F16 Tentera Udara AS; F/A-18 Tentera Laut AS; dan AV-8B Harrier Marin AS.

F-35 dioptimumkan untuk menjadi jet pejuang pelbagai fungsi, dengan keupayaan untuk melaksanakan misi memusnahkan udara ke udara, udara ke darat, perisikan, pengawasan dan tinjauan.

F-35 juga direka untuk mengalahkan mana-mana sistem teknologi canggih yang memberi ancaman sama ada di udara atau darat namun, kewujudan sistem pertahanan udara S-400 Russia menimbulkan kebimbangan kepada AS.

S-400 yang dijuluki sebagai Triumf atau Triumph, kod NATO ialah SA-21 Growler, adalah sistem peluru berpandu jarak jauh darat ke udara yang dihasilkan oleh Almaz-Antey, dan ia mampu mengesan F-35 walaupun pesawat itu berada dalam mod ‘menyembunyikan diri’.

Ketakutan AS

Amerika Syarikat (AS) memberi amaran kepada Turki supaya tidak meneruskan hasrat membeli sistem pertahanan peluru berpandu canggih Russia – S-400 – yang dipercayai Pentagon mampu memberi ancaman kepada pesawat tempur termajunya, F35.

Jabatan Negara AS memberi amaran itu selepas Komander Pusat Pemerintah AS Eropah (EUCOM), Jeneral Curtis Scaparrotti memberitahu ahli politik di Capitol Hill dan berkata Turki sepatutnya menimbang semula hasrat memperoleh S-400 Rusia.

EUCOM adalah salah satu daripada 10 pusat pemerintah tempur AS, berpangkalan di Stuttgart, Jerman.

Dengan jelas, kami memberi amaran kepada Ankara terhadap hasratnya untuk membeli S-400 akan menyebabkan penyertaan Turki dalam program F-35 akan dinilai semula, dan merisikokan pemindahan senjata lain ke negara itu pada masa depan, kata jurucakap Jabatan Negara, Robert Palladino.

AS sebelum ini bersetuju menjual 100 pesawat pejuang generasi kelima terbaharu F-35 kepada Turki dan setakat ini sudah menghantar dua jet berkenaan namun, tahun 2018 lalu Kongres AS mengarahkan penghantaran berikutnya ditangguhkan.

Tapi, apa sebenarnya yang menggerunkan AS tentang peluru berpandu S-400?

Sudah pasti kerana kelajuan misil ini 'mengejar' sasaran pada kepantasan 14 Mach kerana  jet pejuang F-35 hanyalah 1.60 Mach dan Raptor-22, 2.25 Mach. Menakutkan bukan?

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:



sumber: ismaweb

Thursday, March 28, 2019

Peristiwa Sook Ching, Penghapusan Bangsa Cina Oleh Tentera Jepun

Peristiwa Sook Ching, Penghapusan Bangsa Cina Oleh Tentera Jepun

Apabila Jepun menyerang Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak pada akhir tahun 1941 dan awal tahun 1942 semasa Perang Dunia Kedua (WWII), ramai menyangka mereka yang datang ini sebagai pembebas dan dianggap lebih baik berbanding Britain.

Peristiwa Sook Ching

Tetapi siapa sangka tempoh tiga tahun lapan bulan itu merupakan mimpi ngeri bagi warga Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak terutama bagi orang Cina. Satu insiden yang masih segar dalam ingatan orang Cina ialah peristiwa Sook Ching.

Sook Ching atau proses penghapusan melalui pembersihan dalam Bahasa Cina ialah satu proses yang dilakukan penuh teliti oleh Jepun sebelum mereka bertapak di Asia Tenggara terutama di Tanah Melayu dan Singapura lagi.

Ini didedahkan oleh Profesor Hirofumi Hayashi menerusi satu rancangan yang dipanggil ‘Panduan Perlaksanaan Manipulasi Orang Cina Di Luar Negara’ yang dirangka pada 28 Disember 1941.

Pelan ini dirangka Leftenan Kolonel Masanobu Tsuji atau Mejar Hayashi Tadahiko dan diberi lampu hijau oleh jeneral tentera Jepun yang digelar Harimau Malaya, Tomoyuki Yamashita.

Menurut Hayashi, pelan ini dibuat bagi memaksa populasi Cina tidak lagi menyokong perjuangan tentera China yang menentang pendudukan Jepun semasa Perang China-Jepun Kedua (1937-1945) termasuk dari segi kewangan.

Antara individu yang dianggap patut dibunuh ialah aktivis bantuan kemanusiaan dari China Relief, orang bertatu (disyaki ada kaitan dengan kongsi gelap), orang Hainan (dianggap komunis), kakitangan awam atau mana-mana individu yang bersimpati dengan Britain.

Apabila arahan ini dikeluarkan oleh Yamashita, arahan itu hanya terpakai kepada beberapa kelompok seperti kelompok anti-Jepun dan pro-British, penjenayah tegar dan komunis.

Tetapi bagi orang bawahan, ia dianggap lesen untuk mereka membunuh sesuka hati lebih-lebih lagi bagi yang terkesan dengan penentangan keras tentera China semasa kempen Perang China-Jepun Kedua.

Untuk melaksanakan panduan yang dikeluarkan, semua lelaki Cina berumur 18 hingga 50 tahun dipanggil untuk melaporkan diri ke kem-kem pendaftaran untuk diperiksa.

Tetapi ada masanya, wanita dan kanak-kanak tidak terkecuali dan turut dipanggil untuk diperiksa.

Bagi membantu pihak Kempeitai (polis rahsia Jepun) mengenalpasti mana-mana individu disyaki anti-Jepun, mereka dibantu oleh pemberi-pemberi maklumat yang dipakaikan topeng untuk mengenalpasti individu yang terlibat.

Tetapi ada masanya, sesetengah pegawai Kempeitai ini memanggil sesiapa yang mereka syaki sebagai anti-Jepun termasuk yang memakai cermin mata (dianggap bijak pandai oleh pihak Jepun).

Yang mana terselamat akan diberi sehelai kertas sebagai tanda sudah diperiksa atau dicap dengan cap dakwat merah pada lengan atau lengan baju.

Yang gagal akan dicap dengan tanda segi empat tepat, diasingkan dari kumpulan yang diperiksa, dimuatkan ke lori dan dihantar ke tempat pembunuhan.

Salah satu individu terkenal yang terkesan dengan peristiwa ini di Singapura ialah Perdana Menteri Singapura pertama, Lee Kuan Yew.

Semasa peristiwa ini berlaku, beliau baru berusia 18 tahun dan seperti mana-mana individu berbangsa Cina ketika itu, Kuan Yew memilih untuk pergi ke pusat pemeriksaan di Stadium Jalan Besar bersama rakan keluarga dan pembantu Koh Teong Koo.

Selepas menghabiskan masa sehari semalam di pusat pemeriksaan menanti untuk diperiksa, Kuan Yew mahu pulang tetapi sudah mula merasa tidak sedap hati apabila disuruh menyertai sekumpulan lelaki muda Cina.

Sedar dirinya dalam bahaya, beliau memberi alasan tertinggal barang di kuarters sementara pusat pemeriksaan dan dibenarkan pergi.

Lee Kuan Yew bersembunyi selama sehari lagi sebelum diperiksa dan dibenarkan pulang bersama rakannya itu.

Atas arahan Tsuji, Sook Ching turut dilaksanakan di Tanah Melayu, tetapi berikutan taburan populasi yang agak besar di kawasan bandar dan luar bandar, agak sukar bagi Kempeitai mengumpulkan orang Cina yang dimahukan berdasarkan senarai itu.

Selain itu, dengan kekurangan bilangan Kempeitai diperlukan untuk proses pemeriksaan penuh, pihak Jepun memilih melakukan pembunuhan tanpa sebarang diskriminasi.

Pembunuhan sebegini dibuat tanpa sebarang belas kasihan di Tanah Melayu dan Singapura melalui pelbagai cara seperti dipenggal dengan pedang katana, ditembak dengan mesingan dan ditikam dengan bayonet.

Tidak diketahui berapa ramai yang terbunuh akibat peristiwa ini kerana pihak Jepun langsung tidak berminat mencatat bilangan mereka yang terbunuh.

Di Pulau Pinang saja misalnya, terdapat beberapa tapak yang dijadikan sebagai kubur besar mangsa Sook Ching seperti Rifle Range, Bukit Coombe, Batu Feringgi, Bukit Dumbar dan Penjara Pulau Pinang.

Menurut sejarawan tempatan Andrew Hwang, angka 5,000 penduduk Cina yang terkorban semasa peristiwa Sook Ching di Pulau Pinang dianggap angka konservatif.

Ini kerana menurut beliau, wujud kemungkinan pihak Jepun turut mencampakkan mangsa-mangsa pembunuhan mereka ke dalam laut dan bilangan ini berkemungkinan lebih ramai.

Untuk melihat kebenaran penuh Sook Ching, berikut beberapa statistik menggerunkan pembunuhan yang dilakukan Jepun di Tanah Melayu dan Singapura:

Peristiwa Sook Ching

Seperti Nuremberg, Britain turut membentuk tribunal jenayah perangnya di Singapura dan Pulau Pinang pada tahun 1946 dan 1947.

Di Singapura, tujuh pegawai tentera Jepun didakwa iaitu Takuma Nishimura, Saburo Kawamura, Masayuki Oishi, Yoshikata Yotaka, Tomotatsu Jo, Satoru Onishi dan Haruji Hisamatsu didakwa atas tuduhan pembunuhan beramai-ramai Sook Ching.

Tetapi tiada langsung kelibat dalang Sook Ching iaitu Tsuji yang dikatakan sudah melarikan diri dari Thailand ke China.

Akibatnya, Kawamura dan dan Oishi dikenakan hukuman mati sementara baki yang lain dikenakan hukuman penjara seumur hidup.

Tetapi nasib Nishimura tidak bertahan lama apabila dia dikenakan hukuman mati berikutan pembabitannya dalam peristiwa pembunuhan beramai-ramai di Parit Sulong oleh mahkamah Australia pada tahun 1951.

Tsuji kemudiannya kembali ke Jepun mula bergiat dalam bidang politik dan terlepas dari perbicaraan.

Dia kemudiannya berangkat ke Laos dan hilang, disyaki terbunuh semasa Perang Saudara Laos pada tahun 1961.

Tetapi wujud dakwaan Tsuji berkhidmat sebagai penasihat kerajaan Vietnam Utara dan dia diisytiharkan mati pada tahun 1968.

Sementara Yamashita yang bertanggungjawab memberi lampu hijau kepada pelan gila ini dibicarakan di tribunal jenayah perang Manila dan dihukum gantung sampai mati pada tahun 1946.

Sebut pasal mengingati peristiwa gelap ini, mengapa ia jarang disebut dan dimasukkan dalam buku teks sejarah?

Salah satu sebab ialah keganasan yang dilakukan komunis selama 14 hari sebelum Britain kembali ke Tanah Melayu, Singapura, Sabah dan Sarawak melalui Pentadbiran Tentera British (BMA).

Keganasan ini tercetus berikutan keinginan membuak-buak Parti Komunis Malaya mahu membalas dendam terhadap mana-mana individu yang disyaki bekerjasama dengan Jepun.

Ini mencetuskan peristiwa keganasan 14 hari dan hampir-hampir mencetuskan peristiwa rusuhan kaum jika tidak kerana campur tangan pemimpin seperti Datuk Onn Jaafar.

Bagi mengelak berlakunya rusuhan kaum, sebarang perkara membabitkan peristiwa sebegini tidak disebut dan tidak dimasukkan ke dalam buku teks.

Ini ditambah dengan sikap penjajah sendiri yang memandang sepi peristiwa sebegini di sebalik semua dakwaan yang difailkan di tribunal jenayah perang.

Wujud juga dakwaan bahawa pihak penjajah dari Britain hingga Amerika Syarikat lebih menumpukan dakwaan keganasan ke atas tentera dan penduduk negara mereka berbanding penduduk tempatan di Asia.

Apabila ada cubaan untuk memfailkan dakwaan sebegini di tribunal jenayah perang, ia tidak dilayan berikutan sentimen orang Asia dianggap penduduk kelas kedua dan dilihat tidak memerlukan keadilan sama yang diperuntukkan kepada mangsa-mangsa WWII yang lain.

Atas sebab itulah, mengapa ramai menolak kewujudan tugu penghormatan yang dibina kerajaan Kedah baru-baru ini bagi menghormati keberanian tentera Jepun semasa WWII termasuk entiti dan organisasi Cina.

Tugu Jepun Kedah

Ini kerana bagi ramai pihak, ia sebenarnya membuka luka lama yang berdarah akibat pelbagai perlakuan jenayah perang yang dilakukan Jepun semasa WWII.

Ditambah lagi dengan sikap ego Tokyo yang masih enggan mengeluarkan permohonan maaf rasmi atas kekejaman mereka itu selepas lebih 70 tahun tamatnya WWII.

Sikap ini menunjukkan sikap tidak bertanggungjawab negara itu terhadap sisi gelap sejarah silamnya.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: thepatriots

Tuesday, December 25, 2018

Sejarah Perang Chechnya Angkara Penindasan Terhadap Umat Islam

Sejarah Perang Chechnya Angkara Penindasan Terhadap Umat Islam

Selepas kejatuhan Kesatuan Soviet, zaman kepayahan masih lagi dirasakan oleh banyak negara yang dahulunya merupakan sebahagian daripadanya. Kesan dari polisi perluasan kuasa Rusia di Kazakhstan, Turkmenistan, Azerbaijan, Uz­be­kistan, Kyrgyztan dan Dagesten, penjajahan masih lagi belum dapat dipadamkan.

Perang Chechnya

Negara-negara ini, yang percaya bahawa mereka mampu membina keamanan dan memupuk persaudaraan selepas bebas daripada penindasan rejim Soviet, kemu­diannya mendapati terpaksa ber­konfrontasi dengan penindasan Rusia dalam bentuk yang agak berlainan sedikit.

Sebaliknya, ada juga satu bangsa yang masih belum bebas daripada perjuangan 400 tahun untuk men­dapatkan kemerdekaan daripada Rusia. Negara itu ialah Chechnya, yang keberanian dan hasrat mereka untuk mendapatkan ke­merde­ka­an telah tercatat di dalam sejarah.

Sejarah perjuangan kental umat Islam Chechnya menentang Rusia bermula pada akhir abad kelapan belas berikutan penawa­nan dan seterusnya pembunuhan yang di­lakukan terhadap Imam Mansur, seorang pe­juang penentang legenda, pada tahun 1791, di tangan pihak Rusia.

Pada tahun 1816, selepas Tzar (gelaran yang diberikan kepada raja Rusia dahulu) mengarahkan Jeneral Yermolov untuk memimpin pasukan tentera Rusia, orang-orang Chechen yang tinggal di utara Caucasus telah dibunuh dengan begitu kejam.

Apabila pemimpin umat Islam Chechen Imam Hamzat dibunuh, Sheikh Shamil mengambil alih teraju kepimpinan tentera Chechen, dan mula ber­juang hebat untuk men­dapatkan kemerdekaan, yang seterusnya di­turunkan dari satu ge­ne­rasi ke satu gene­rasi berikutnya se­hing­ga­lah ke hari ini.

Pasukan tentera Sheikh Shamil dengan gagahnya menentang dasar perluasan wilayah oleh pihak Rusia selama suku abad, dari 1834 sehingga 1859.

Namun demikian pada akhirnya, Rusia berjaya menawan wilayah tersebut dan terus berada di situ sehingga hari ini.

Perjuangan orang-orang Chechen untuk mendapatkan kemerdekaan pada hari ini sebenarnya adalah sambungan dari pergerakan yang dimulakan oleh Sheikh Shamil.

Bagaimanakah Perang Tercetus?

Ada berbagai-bagai sebab, faktor-faktor sejarah dan ekonomi tertentu, yang terselindung di sebalik penindasan kejam dan keganasan yang dilakukan terhadap orang-orang Chechen oleh pihak Rusia.

Chechnya sebenarnya mempunyai kepentingan besar kepada Rusia berbanding republik-republik Caucasian yang lain. Wilayah ini mengandungi simpanan tenaga yang sangat banyak, terutamanya minyak dan gas asli.

Semasa Perang Dingin, pihak Komunis Rusia mendapatkan segala keperluan bahan mentahnya dengan harga yang begitu murah daripada Chechnya, dan juga turut menggunakan negara tersebut bagi kepentingannya sendiri.

Selepas kejatuhan Kesatuan Soviet, walau bagaimanapun, deklarasi kemerdekaan yang dituntut oleh Chechnya - sumber bahan mentah terbesar - dan juga bekas-bekas republik Soviet yang lain telah meletakkan Rusia di dalam ke­bimbangan.

Di samping faktor ekonomi, polisi perluasan kuasa Rusia yang berabad-abad lamanya menjadi faktor sejarah yang membawa kepada huru-hara yang berlaku di Asia Tengah dan Caucasus.

Selepas Kesatuan Soviet tumbang, Moscow mengalami waktu-waktu yang tidak stabil, tetapi kemudian cuba keluar dari situasi tersebut, dan mengambil inisiatif-inisiatif jangka panjang untuk mewujudkan semula penguasaan ke atas republik-republiknya yang dahulu.

Tanda pertama yang membuktikan apa yang sedang Rusia lakukan ke atas republik-republik ini telah disampaikan di dalam satu ucapan oleh Presiden Boris Yeltsin pada tahun 1993.

Dalam ucapannya, beliau mengatakan bahawa Rusia akan sekali lagi memenangi status kuasa super dengan mendapatkan semula semua kedudukan-kedudukan yang telah hilang.

Dengan kata lain, Rusia enggan menerima sebarang deklarasi kemerdekaan negara-negara tersebut, kemenangan mereka untuk mendapatkan kebebasan, dan kebolehan mereka untuk berdiri di atas kedua-dua kaki sendiri.

Sebaliknya, Rusia melihat negara-negara tersebut sebagai "kedudukan yang mesti dirampas kembali."

Kesannya, wujud sesetengah komuniti umat Islam yang masih gagal mendapatkan kebebasan dan terus berada di bawah persekutuan Rusia.

Salah satu daripadanya ialah Chechnya, yang telah menjadi sasaran utama tekanan, dan dengan sebab itu ia berhadapan dengan pelbagai jenis kekejaman yang maha dahsyat.

Untuk memahami dengan tepat apa yang sedang berlaku di Chechnya kini, kita perlu menumpukan perhatian terhadap beberapa perkara penting.

Peperangan yang tercetus di Chechnya bukanlah konflik yang mana kedua-dua pihak mengangkat senjata kerana konflik yang berlaku di antara mereka sudah sampai ke tahap yang sudah tidak boleh diselesaikan dengan jalan damai lagi, iaitu perang yang boleh dilihat di mana-mana sahaja di dunia ini.

Keadilan yang dituntut oleh orang-orang Chechen untuk mendapatkan kemerdekaan telah diperdebatkan oleh pelbagai pihak di peringkat antarabangsa, dan pelbagai pendapat telah diajukan. Kesemua pendapat-pendapat tersebut boleh dipertikaikan.

Walau bagaimanapun, perkara yang kesemua pihak bersetuju ialah Rusia telah melampaui batas dan menyerang penduduk yang tidak bersalah, menukar peperangan yang pada mulanya hanya melibatkan askar kepada usaha untuk menghapuskan seluruh populasi Chechnya.

Hal ini tidak dapat diterima, dan ia akan menjadi pokok perbincangan penting di dalam bab ini.

Dalam usaha Rusia untuk memperlihatkan dirinya berada di pihak yang benar di persada arena antarabangsa, Rusia memberitahu bahawa perang yang berlaku di Chechnya hanyalah satu "perkara domestik", dengan harapan ia akan menutup mata masyarakat terhadap keganasan yang berlaku di sana.

Namun, alasan itu tidak mencukupi untuk menerangkan tentang perihal pemuda-pemuda Chechen yang dikumpul di jalanan dan seterusnya dihantar ke pusat-pusat seksaan, mereka yang dipenjara diikat kakinya pada kereta kebal dan seterusnya diseret, bayi-bayi yang masih kecil ditembak dan harta penduduk dirompak.

Ramai ahli sains falsafah dan pakar-pakar bersetuju bahawa Rusia terlibat melakukan genocide di wilayah tersebut dan melakukan kekejaman yang jarang dilihat sebelum ini, kesemuanya dilakukan untuk memastikan Chechnya terus berada di dalam genggamannya.

Sebaliknya, serangan-serangan yang dilakukan oleh sesetengah golongan Chechen terhadap penduduk awam Rusia juga mesti dikecam dengan jelas.

Orang-orang Chechen secara asasnya berjustifikasi mahukan sebuah kehidupan yang bebas dan mulia namun, tindakan-tindakan sedemikian telah menconteng arang terhadap kehendak yang telah dijustifikasikan dan seterusnya menyulitkan lagi usaha untuk membela tindak-tanduk orang-orang Chechen.

Sebagai tambahan, haruslah diingat bahawa menyerang orang awam yang tidak bersalah adalah secara terang-terangan melanggar prinsip-prinsip Islam.

Sepanjang hidup Nabi Muhammad s.a.w., Baginda sentiasa membela hak-hak orang awam, walaupun ketika pergaduhan yang dahsyat, dan mengarahkan semua umat Islam agar bersikap sederhana dan tidak fanatik. Inilah kehendak moral yang dituntut oleh al-Quran.

Di dalam al-Quran, Allah telah mengarahkan umat Islam agar bersikap pemaaf dan bertoleransi dan juga untuk bersikap adil, walaupun ketika peperangan.

Seorang Muslim mesti menjadi orang pertama yang memberi makan kepada orang tawanannya walaupun dia sendiri sedang kelaparan, selalu bersifat sederhana walaupun di tengah-tengah peperangan, membela hak mereka yang ditindas dan tidak pernah terpesong dari jalan kejujuran dan keadilan.

Atas sebab inilah, orang-orang Chechen mesti sentiasa ingat kepada peringatan Allah, "Wahai orang-orang yang beriman. Hendaklah kamu menjadi orang-orang yang sering menegakkan (kebenaran) kerana Allah, menjadi saksi yang adil. Dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Berlakulah adil, kerana adil itu lebih hampir kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan" (Al-Maaidah, 5), walaupun ketika menentang penindasan Rusia, dan mesti tidak menjadikan orang awam yang tidak bersalah dan tidak bersenjata sebagai sasaran mereka.

Harapan kami adalah untuk mencari jalan penyelesaian terhadap perbezaan di antara orang-orang Chechen dan pentadbiran Rusia dengan berdasarkan cara yang aman dan sederhana, seperti juga yang akan dilakukan terhadap kes-kes lain yang berlaku di kawasan dunia Islam yang lain.

Kebimbangan Moscow Terhadap "Caucasus Bersatu"

Chechnya, yang telah menjadi agenda dunia sejak berdekad yang lalu, merupakan sebuah negara kecil berukuran kira-kira 16,000 kilometer persegi.

Di dalam Persekutuan Rusia hari ini, ada 19 republik autonomi yang mempunyai kedudukan yang sama seperti Chechnya.

Republik-republik ini membentuk 28 peratus, dalam satu perempat, daripada keseluruhan wilayah Rusia.

Moscow masih memiliki pengaruh yang kuat ke atas republik-republik tersebut, dan sangat berharap agar pengaruh tersebut dapat kekal selama-lamanya.

Kehilangan Chechnya akan memecahkan cengkaman kuasa Rusia terhadap republik-republik yang lain, dan seterusnya akan menjadi contoh kepada bangsa-bangsa lain untuk melakukan tindakan yang serupa.

Jika orang-orang Chechen, yang banyaknya seperti kumpulan askar Rusia sahaja, berpisah dari Rusia, ini akan mencetuskan penubuhan gerakan-gerakan menuntut kemerdekaan di dalam republik-republik autonomi yang lain.

Karekteristik paling jelas yang terdapat pada republik-republik di dalam Persekutuan Rusia ialah cara mereka mempengaruhi di antara satu sama lain dengan berkesan sekali, dan bagaimana sesuatu perubahan yang berlaku di dalam sesebuah republik dapat mempengaruhi yang lain.

Di samping semua ini, masih ada satu elemen yang menjadikan Chechnya begitu penting kepada Rusia.

Ketakutan Moscow yang sebenar, seperti contoh di Bosnia dan Kosovo, ialah penubuhan dan perjuangan membela hak-hak umat Islam yang tinggal di dalamnya.

Inilah sebab paling penting mengapa perang yang tidak ber­perikemanusiaan dilancarkan oleh pentadbiran Rusia terhadap Chechnya, yang mana mereka telah berusaha selama bertahun-tahun untuk menghapuskan identiti agama orang-orang Chechen, dan dengan itu mengenakan penindasan kejam ke atas mereka, memusnahkan masjid-masjid, mengharamkan ibadat kepada Allah, dan melarang pendidikan yang bersifat keagamaan.

Orang-orang Chechen dikenali dengan kesetiaan mereka terhadap agama, keazaman mereka berjuang untuk hidup dengan berlandaskan agama, dan identiti keislaman mereka yang amat kuat memberi kesan kepada negara-negara Islam yang lain di Caucasus.

Idea "Cacasus Bersatu" yang telah dicadangkan oleh Imam Mansur pada tahun 1780-an yang bertujuan untuk menyatukan seluruh Caucasus, benar-benar telah memberi amaran kepada Rusia. Ini kerana ciri utama penubuhan kesatuan tersebut bersifat Islamik, dan ia memberikan ancaman getir terhadap segala kepentingan Rusia.

Ketakutan-ketakutan ini telah menimbulkan keinginan Rusia untuk melihat "Chechnya tanpa Chechen".

Berdasarkan kepada polisi semasanya, Rusia mahu menghapuskan orang-orang Chechen sehingga ke akar umbi, menghalang sebarang penubuhan kesatuan Islam, dan mahu mengambil semula bekas-bekas tanah jajahan yang hilang ke pangkuan dominasinya semula.

Sedangkan, walaupun "Caucasus Bersatu" ditubuhkan, ia tidak perlu dianggap sebagai satu per­kembangan anti-Rusia.

Jika Rusia menjalinkan hubungan baik dengan umat Islam Caucasus, jadi tiada sebab bagi mereka, sama ada merdeka atau tidak, untuk menunjukkan sikap menentang terhadap Moscow.

Perjuangan Berterusan Orang-orang Chechen yang Tidak Bersenjata

Terdapat banyak contoh di dalam polisi-polisi Rusia yang lebih cenderung kepada keganasan berbanding keamanan.

Rusia sudah menjalankan pelan-pelan sulitnya di Chechnya, terutama sekali pada permulaan 1990-an.

Rusia berpendapat bahawa mereka tidak boleh menghapuskan orang-orang Chechen yang kesatuan mereka tidak mudah untuk dipecahkan, dengan menggunakan kuasa ketenteraan semata-mata.

Jadi Rusia cuba melemahkan Chechnya dari dalam dan mencuba berbagai-bagai cara untuk melakukannya.

Rusia memulakan langkah pertamanya dengan memusnahkan perpaduan mereka dan mencetuskan kekacauan di Chechnya dengan masuk campur di dalam pilihan raya, membeli ahli-ahli politik, melakukan penculikan dan tindakan-tindakan terorisme, menggunakan paderi-paderi pro-Rusia dan seterusnya mencetuskan perbezaan-perbezaan agama, termasuklah mengenakan tekanan ekonomi dan politik namun, segala usaha tersebut tidak mencapai apa yang di­harap­kan.

"Sesungguhnya orang-orang yang mendatangkan ujian kepada orang-orang mukmin lelaki dan perempuan kemudian mereka tidak bertaubat, maka bagi mereka azab Jahannam dan bagi mereka azab (neraka) yang membakar." (Al-Buruuj, 85:10)

Pendudukan Rusia ke atas Chech­nya pada 1991 telah ditamatkan oleh Dzhokar Dudayev. Kemudian satu ke­kacauan serius pada bulan November 1994 bertukar menjadi sebuah pe­pe­rangan pada 11 Disember tahun yang sama.

Lebih 100,000 orang-orang Che­chen hilang tempat tinggal, dan beratus-ratus ribu yang lain terpaksa menjadi pelarian.

Penggunaan senjata kimia yang diharamkan telah membawa kepada genocide dan selain itu, oleh kerana Rusia sudah memberitahu bahawa Chechnya hanyalah satu "masalah dalaman", tiada sebarang reaksi serius dari dunia luar.

Tiada bantuan yang dihulurkan kepada kepada orang-orang Chechen, melainkan beberapa negara-negara Eropah.

Peperangan tersebut berakhir pada Ogos 1996 apabila Rusia mengakui kekalahannya.

Kejayaan orang-orang Chechen ke atas Rusia telah memberi kesan mendalam kepada republik-republik yang lain di Caucasus.

Pada tahun 1998, penduduk di utara Cacasus telah berhimpun dalam "Konvensyen Penduduk Cacasus Utara" di Grozny, ibu negara Chechnya.

Kesemua negara-negara peserta bersetuju dengan posisi masing-masing untuk mengelakkan dari tercetusnya sebarang konflik yang mampu memecah-belahkan penduduk di utara Caucasus, dan saling memberi perlindungan di dalam serangan yang dilancarkan oleh Rusia.

Kesatuan ini memberi mimpi ngeri kepada Rusia. Apa yang ditakuti selama ini telah menjadi kenyataan. Jika Rusia membenarkan ia berlaku, sebuah kesatuan Islam yang ditakuti akan muncul. Inilah sebabnya mengapa Rusia melakukan operasi keduanya untuk menentang Chechnya.

Kali ini, cara yang lebih kejam dilakukan, dan seksaan yang tidak berperikemanusiaan dilakukan ke atas orang-orang yang tidak bersenjata di mata dunia namun atas sebab yang sama, kebuasan yang berlaku hanya dianggap sebagai "hubungan dalaman" Rusia.

Peperangan kedua sebenar yang berlaku di antara orang-orang Chechen dan Rusia bermula apabila Rusia mengepung dan mengebom beberapa perkampungan di Dagestan pada awal 1999.

Lebih kurang 1,500 penduduk di perkampungan tersebut meminta bantuan daripada Chechnya, yang mana mereka menganggapnya sebagai pemimpin.

Shamil Basayev, yang mula mendapat perhatian atas kejayaannya di dalam peperangan, telah memberikan bantuan kepada penduduk Dagestan pada musim panas 1999.

Hanya dua buah kampung sahaja yang telah diserang oleh Rusia berjaya diselamatkan.

Penyembelihan dahsyat telah berlaku di kampung-kampung tersebut, dan penduduk yang tidak bersalah telah dibunuh kejam.

Peperangan yang berlaku di antara Rusia dan Chechnya, yang masih berlaku pada hari ini, telah tercetus lagi menerusi insiden ini.

Kuasa Rusia menceroboh Chechnya pada tanggal 2 Oktober 1999 dan telah melakukan siri pembunuhan yang sangat kejam kepada sesiapa sahaja yang mereka temui, tanpa mengira wanita, kanak-kanak ataupun orang tua.

Mereka mula menyerang penduduk awam. Senjata-senjata kimia, peluru berpandu scud dan napalm (sejenis bahan petrol seperti agar-agar yang digunakan untuk membuat bom) telah digunakan di dalam serangan-serangan tersebut.

Manakala hospital-hospital, wad-wad bersalin, kawasan membeli-belah dan kem-kem tahanan dijadikan sebagai sasaran serangan.

Salah satu daripada serangan-serangan tidak berperikemanusiaan Rusia terhadap penduduk awam ialah dengan meracun Sungai Argun yang merupakan sumber air kepada beberapa buah kampung di Chechen.

Ramai wanita dan juga kanak-kanak yang minum air dari sungai tersebut mati, manakala beratus-ratus yang lain menderita sakit dalam tempoh yang panjang.

Chechnya kehilangan tiga perempat populasinya dalam masa dua tahun sahaja dan sekarang ini pun, orang-orang Chechen masih cuba untuk terus hidup di dalam negara-negara jiran dalam keadaan yang amat menyedihkan.

Pembunuhan beramai-ramai orang-orang Chechen oleh pihak Rusia, yang mana masih kekal di dalam ruang lingkup mentaliti komunis lama, menyerupai tindakan Firaun yang dilakukan berabad-abad yang lampau.

Pada zaman tersebut, Firaun juga turut menyerang golongan yang lemah dan yang tidak bersenjata (dalam kes ini, mereka ialah kaum Bani Israel), dan dengan kejam membunuh mereka semua.

Allah telah menceritakan tentang kekejaman Firaun di dalam ayat-ayat yang berikut:

Dan (ingatlah) ketika Musa berkata kepada kaumnya: "Ingatlah nikmat Allah ke atas kamu sewaktu Dia menye­lamatkan kamu dari (Firaun dan) para pengikutnya, mereka menyiksa kamu dengan siksa yang pedih, mereka menyembelih anak-anak lelakimu, membiarkan hidup anak-anak perempuanmu, dan pada yang demikian itu ada ujian yang besar dari Tuhanmu. Dan (ingatlah juga) sewaktu Tuhanmu memberitahu: "Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambahkan (nikmat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari (nikmatku), maka sesungguhnya azab-Ku amat pedih". (Ibrahim, 6-7)

"Sesungguhnya Firaun telah melakukan sewenang-wenang­nya di muka bumi dan menjadikan penduduknya ber­pecah-belah, dengan menindas segolongan daripada mereka, menyembelih anak-anak lelaki mereka dan membiarkan anak-anak perempuan hidup. Sesungghnya Firaun termasuk dari kalangan orang-orang yang me­lakukan kerosakan." (Al-Qashash, 4)

Mentaliti yang membenarkan berlakunya pembunuhan kanak-kanak, membelah perut wanita-wanita mengandung, memusnahkan rumah-rumah penduduk dengan menggunakan kereta kebal, dan berbagai-bagai lagi kedahsyatan, telah lari jauh dari sebarang sensitiviti moral, perasaan perikamunusiaan, belas kasihan, cinta atau simpati.

Ramai di kalangan mereka yang tidak mengetahui sebab-musabab kepada kekejaman yang dilakukan, tetapi oleh kerana ada sifat jahat yang dibawa oleh ateisme, mereka dengan mudah melakukan pelbagai jenis tindakan syaitan.

Apa yang diharapkan dari Rusia ialah mereka mesti meninggalkan mentaliti hitam tersebut, yang merupakan saki-baki dari Kesatuan Soviet, yang memandu mereka kepada penggubalan polisi-polisi ke atas Chechen, kepada suatu perubahan yang membawa kepada penggubalan polisi yang lebih bersifat sederhana yang seterusnya akan membawa keamanan dan keselamatan, baik kepada Rusia mahupun orang-orang Chechen.

"Orang-orang yang telah diusir dari kampung halaman mereka tanpa sebab, kecuali kerana mereka berkata: “Tuhan kami adalah Allah.” Dan jika Allah tidak menolak (keganasan) manusia dengan sebahagian yang lain, tentulah dirobohkan biara-biara Nasrani, gereja-gereja, rumah-rumah ibadat orang-orang Yahudi dan masjid-masjid, yang di dalamnya banyak disebut nama-nama Allah. Sesungguhnya Allah pasti menolong (agama)-Nya. Sesungguhnya Allah benar-benar Maha Kuat lagi Maha Perkasa." (Al-Hajj, 22:40)

Situasi yang Dihadapi oleh Pelarian Chechen

Sebilangan besar organisasi hak asasi manusia yang menjalankan kajian ke atas pelarian Chechen melaporkan bahawa hak-hak asasi mereka telah dilanggar dalam satu skala yang cukup besar.

Kira-kira 250,000 orang-orang Chechen yang lari akibat peperangan kini berada di Ingushetia, dan bakinya boleh dijumpai di kawasan-kawasan jiran.

Orang-orang Chechen sedang berhadapan dengan kebuluran, kehausan dan penyakit-penyakit berjangkit.

Wanita dan kanak-kanak, orang muda dan tua yang terpaksa bermigrasi, kini sedang bergelut untuk terus hidup dalam keadaan yang sangat sejuk dan hujan, dua atau tiga keluarga berada di dalam gerabak keretapi lama yang ditinggal­kan, ataupun dalam bangsal-bangsal kuda di kampung-kampung tempat mereka berlindung.

Sebagai contoh, orang-orang Chechen di kem pelarian Znamens­koye di utara Chechnya kini tidak dapat menghantar anak-anak mereka ke sekolah kerana tidak memiliki baju panas.

Hampir separuh di antara mereka yang mendapatkan perlindungan di situ telah jatuh sakit disebabkan oleh keadaan yang sangat menyedihkan dan kesejukan yang amat sangat.

Penyakit-penyakit seperti tuberkulosis (batuk kering) dan hepatitis sedang merebak di kem-kem pelarian Chechen, yang tidak memiliki apa-apa yang panas untuk dimakan selama berminggu-minggu pada sesuatu masa dan badan mereka pula tidak mampu untuk berhadapan dengan situasi tersebut. Angka kematian sedang meningkat.

Mungkin perkara yang paling mengejutkan ialah majoriti bangsa Barat, yang mendakwa mereka berdiri di barisan hadapan untuk melindungi hak-hak asasi manusia, tidak berusaha untuk menolong para pelarian tersebut.

Bahagian signifikan pandangan-pandangan masyarakat awam dunia ialah mereka tidak betul-betul tahu tentang penderitaan yang sedang orang-orang Chechen alami dan kadang-kala mengabaikan kekejaman yang dikenakan ke atas beratus-ribu orang-orang Chechen yang lari dari kekejaman Rusia.

Bantuan dari negara-negara lain disekat, dan mereka yang sedang kelaparan, kehausan dan kesejukan yang mencengkam amat sukar untuk bertemu walau dengan kerak roti sekalipun.

Kesedihan yang dialami oleh pelarian-pelarian tersebut mesti dipandang sebagai satu perkara yang memerlukan tindakan pantas.

Bagaimana Jalan Penyelesaiannya Dapat Diperoleh?

Jalan penyelesaian terletak di atas bahu Rusia dan juga para pejuang Chechen. Kedamaian yang dicari mesti berlandaskan pendekatan cintakan keamanan dan bersikap sederhana seperti yang dituntut oleh Allah.

Moscow mesti mengelakkan diri dari terus beranggapan bahawa kewujudan dan aspirasi nasional umat Islam Caucasus sebagai satu ancaman, dan mereka mesti meredakan konflik dan tekanan ke paras yang minimum dengan mengambil konsep bersederhana dan polisi yang aman.

Seperti yang telah kita lihat, keganasan Rusia di Chechnya tidak dapat diterima sama sekali.

Walau bagaimanapun di sebaliknya, pejuang Chechen yang terlibat dalam serangan ke atas penduduk awam Rusia turut mengambil jalan yang salah.

Kedua-dua pihak mesti mengelakkan diri dari terus melakukan pertumpahan darah, dan seterusnya berusaha untuk membina kedamaian.

Adalah menjadi satu kewajipan kepada seluruh umat Islam sedunia untuk menghulurkan bantuan kepada orang-orang Chechen yang sedang menderita ditindas.

Cukup jelas bahawa tiada seseorang pun yang benar-benar takutkan Allah dan memiliki konsep keadilan yang digariskan oleh-Nya di dalam al-Quran untuk terus berdiri bodoh melihat kekejaman yang dilakukan terhadap mereka yang tidak bersalah.

Seorang mukmin sejati selalu membantu orang-orang miskin, mereka yang memerlukan, mereka yang diusir dari rumah, dan akan bersedia berkorban apa sahaja untuk mereka.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: wikipedia