Saturday, July 20, 2019

Bom Atom Atau Bom Hidrogen, Letupan Mana Paling Kuat?


Terdapat dua jenis bom nuklear iaitu bom atom dan bom hidrogen, manakala contoh terbaik penggunaan bom atom apabila lebih 200,000 orang terbunuh apabila Amerika Syarikat (AS) menggugurkan bom atom di Hiroshimo dan Nagasaki, Jepun semasa Perang Dunia Kedua pada 1945.

Letupan Bom nuklear

Kemusnahan akibat bom atom itu di dua bandar tersebut sangat dashyat sehingga memaksa Jepun untuk menyerah kalah.

Menurut beberapa pakar nuklear, bom hidrogen mempunyai potensi 1,000 kali ganda lebih kuat berbanding bom!

Seorang profesor kejuruteraan nuklear dari Universiti California, Berkeley, AS, Edward Morse berkata, bom hidrogen menyebabkan letupan lebih besar, yang bermaksud gegaran, letupan, kepanasan dan radiasi daripada letupan bom hidrogen mempunyai jangkauan lebih besar daripada bom atom.

Bom atom yang digugurkan di Nagasaki membunuh semua orang dalam radius 1.6 kilometer, manakala jangkauan bom hidrogen adalah sehingga lapan hingga 16 kilometer persegi. Dalam erti kata lain, bom hidrogen membunuh lebih ramai orang.

Pengarah Universiti Institut Keselamatan Nuklear Tennessee, Howard Hall pula menggelar bom hidrogen sebagai “pembunuh bandar” yang boleh membunuh antara 100 dan 1,000 kali ganda berbanding bom atom.

Menghasilkan Gempa Bumi

Ujian bom hidrogen bawah tanah oleh Korea Utara pada tahun 2016 yang lalu telah membuka mata dunia termasuk kuasa besar terhadap senjata itu yang dikategorikan sebagai paling berbahaya

dengan kuasa ledakan melebihi 1,000 kali ganda berbanding bom atom.

Ternyata, senjata berskala besar itu sangat berbahaya dan memberi ancaman kepada seluruh penduduk dunia.

Kemudian, dalam ujian nuklear keenam yang dilakukan oleh Korea Utara pada tahun 2017, ia benar-benar mencapai tahap melampau sehingga menyebabkan berlaku gempa bumi di Kilju, Hamgyong, utara Korea Utara.

Letupan tersebut didakwa lapan kali lebih kuat berbanding bom atom yang digugurkan Amerika Syarikat (AS) di Hiroshima semasa Perang Dunia Kedua 1945.

Bom yang digugurkan di Hiroshima sekuat 15 kiloton, manakala di Nagasaki pula dianggarkan sekuat 20 kiloton.

Norsar, pertubuhan pemantau gegaran gempa menyatakan, ujian bom nuklear Korea Utara itu berkekuatan 120 kiloton.

Pusat Kajian Geologi Amerika Syarikat melaporkan berlaku gegaran berukuran 6.3 magnitud, 10 kali ganda lebih berkuasa berbanding ujian yang dijalankan sebelumnya.

Ujian bom bawah tanah itu dipercayai dilancarkan berhampiran sempadan China dan disahkan oleh Jepun dan Korea Selatan sebagai punca berlakunya gempa bumi.

Berbeza dengan bom atom, bom hidrogen berfungsi dengan gabungan unsur lebih ringan ke dalam unsur lebih berat yang kemudian menghasilkan tenaga.

Kedua-dua jenis bom itu juga daripada kelas berbeza. Bom atom menghasilkan tenaga melalui manipulasi konsep pembelahan nuklear, manakala bom hidrogen terhasil daripada evolusi lanjutan teknologi ledakan termonuklear yang menggabungkan proses pembelahan dan pelakuran nukleus.

Berikutan suhu yang sangat tinggi diperlukan bagi membolehkan tindak balas, bom hidrogen yang terhasil turut dikenali sebagai bom termonuklear.

Bom hidrogen turut mempunyai komponen bom atom pada bahagian tengahnya dalam kedudukan struktur dikelilingi litium deuterida iaitu unsur kedua besar digunakan dalam pembuatan bom berkenaan.

Berdasarkan sejarah, bom hidrogen pertama diledakkan Amerika Syarikat pada tahun 1952 di kepulauan Eniwetok di Lautan Pasifik, disusuli ledakan kedua pada tahun berikutnya oleh Soviet Union (kini dikenali Rusia).

Selain dua kuasa besar itu, Britain, Perancis dan China turut bertanggungjawab dalam pembuatan bom hidrogen sehingga kelima-lima negara itu mendapat gelaran Kelab Nuklear iaitu kumpulan negara yang berupaya menghasilkan senjata nuklear.

Soviet Union pula menghasilkan bahan letupan termonuklear digelar `Tsar Bomba' atau Maharaja Bom yang sehingga kini memegang rekod ledakan bom paling kuat dengan kuasa letupan 57 megaton TNT.

Dengan kuasa ledakan itu, bom berkenaan jauh lebih dahsyat jika dibandingkan dengan bom nuklear `Little Boy' yang mengandungi kira-kira 50 kilogram uranium yang digugurkan di Hiroshima, Jepun pada 6 Ogos 1945 dan bom `Fat Man' (enam kilogram plutonium) yang digugurkan ke atas Nagasaki pada 9 Ogos tahun sama.

INFO:

Ujian bom hidrogen mengikut tahun dan lokasi:
  • 1952 - Amerika Syarikat di Eniwetok, Lautan Pasifik.
  • 1953 - 1961 - Soviet Union di Teluk Mityushikha, Kepulauan Artik.
  • 1957- 1958 - Britain di Pulau Christmas, Kiribati dan Pulau Malden di Lautan Pasifik.
  • 1968 - Perancis di Kepulauan Fangataufa, Lautan Pasifik.
  • 1967 - China di Taklamakan and Kumtag dalam wilayah Xinjiang, China.
  • 2016 - Korea Utara di Kilju County, Korea Utara.

Apa Itu Bom Hidrogen?

Mempunyai daya ledakan disebabkan pelakuran nukleus hidrogen dan dalam istilah sains, bom hidrogen mempunyai ledakan yang sangat kuat menerusi tenaga diperoleh ketika atom hidrogen membentuk helium.

Tindak balas pelakuran atom ini menyamai tindak balas yang berlaku di bintang seperti matahari iaitu ketika tekanan graviti yang memaksa atom hidrogen bergabung.

Antara individu bertanggungjawab mengembangkan bom hidrogen ialah J Robert Oppenheimer yang dikenali sebagai bapa kepada bom atom.

Bila bom hidrogen pertama dicipta?

Selepas Soviet Union berjaya meledakkan bom atom pada 1949, Presiden Harry S Truman mengarahkan projek bom hidrogen dimulakan.

Dengan bantuan pakar matematik kelahiran Poland, Stanislaw Marcin Ulam, telah membantu mencipta model bom hidrogen dikenali dengan rekaan Teller-Ulam.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: bharian

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon