Thursday, June 20, 2019

10 Pekerjaan Paling Tinggi Risiko Penyebab Kemurungan, Paling Teruk Menjadi Gila!

10 Pekerjaan Paling Tinggi Risiko Penyebab Kemurungan, Paling Teruk Menjadi Gila!

Ada beberapa kerjaya yang lebih berisiko menyebabkan manusia menghadapi tekanan perasaan. Menurut Dr. Deborah Legge, seorang kaunselor kesihatan mental dari Buffalo, Amerika Syarikat, ada beberapa aspek dalam setiap pekerjaan yang boleh menyumbang kepada kemurungan atau membuatkan penyakit itu bertambah buruk.

Kemurungan dalam kerja

Berikut adalah 10 bidang kerjaya (daripada 21 kategori utama kerjaya) di mana para pekerjanya mempunyai risiko dan kebarangkalian tinggi untuk menghadapi kemurungan.

1. Pekerja pusat penjagaan (warga emas/kanak-kanak)

Pekerja di rumah atau pusat penjagaan mengungguli carta di mana hampir 11% daripada mereka yang berkecimpung dalam bidang ini melaporkan menghadapi kemurungan yang kronik.

Dr. Christopher Willard iaitu seorang pakar psikologi klinikal dari Tufts University memberitahu, tugas harian mereka di tempat kerja termasuklah memberi makan, memandikan dan menjaga orang lain yang "tidak mampu mengucapkan rasa berterima kasih atau memberikan penghargaan disebabkan mereka terlalu tua atau terlalu muda."

Keadaan ini membuatkan seseorang sangat tertekan kerana tidak banyak peneguhan positif diterima dari persekitaran.

2. Pekerja khidmat makanan

Pelayan di restoran atau kedai makan kebiasaannya menerima gaji yang tidak begitu tinggi dan perlu bekerja dengan teruk sambil terpaksa melayani pelbagai kerenah pelanggan tanpa henti-henti. Dilaporkan sekitar 10% pekerja dalam sektor ini menghadapi kemurungan kronik.

Dr. Legge menyatakan yang kerjaya ini jarang menerima ucapan terima kasih. Hal ini mungkin disebabkan pelanggan sendiri mengharapkan pelayan mengucapkan terima kasih kepada mereka.

Tidak dilupakan ada juga pelanggan yang selalu bersikap kasar dan biadap terhadap para pelayan.

Apabila anda menggunakan banyak tenaga semasa bekerja ditambah dengan tekanan emosi sedemikian, agak sukar untuk mempunyai tenaga positif dan motivasi dalam diri.

3. Pekerja sosial

Pekerja sosial perlu berhadapan dengan pelbagai masalah luar seperti kanak-kanak yang didera atau keluarga yang sedang menghadapi krisis.

Persekitaran yang sedia ada negatif itu ditambah buruk pula dengan kerenah birokrasi yang sering menyulitkan keadaan.

Ada sejenis budaya kerja yang menyatakan jika anda ingin melakukan sesuatu kerja dengan baik, anda perlu bekerja dengan keras dan sentiasa membuat pengorbanan.

Disebabkan pekerja sosial sering dikelilingi mereka yang kurang bernasib baik, ia agak sukar untuk berhati keras dengan tidak banyak berkorban.

Golongan ini kerap dan amat mudah mengalami sindrom burnout (keletihan fizikal, emosi dan mental) akibat menerima tekanan berunsur negatif secara berpanjangan.

4. Pekerja bidang penjagaan kesihatan

Kategori ini termasuklah doktor, jururawat, ahli terapi dan pelbagai profesion lain yang melibatkan golongan yang "sentiasa memberi khidmat" sehingga diri sendiri terabai.

Pekerja dalam sektor ini sering mempunyai waktu bertugas yang panjang dan tidak menentu. Adakalanya ke tandas pun tidak punya masa. Diselang-selikan pula dengan saat-saat genting di mana nyawa manusia lain berada dalam tangan mereka.

Kesimpulannya, tahap tekanan pekerja bidang penjagaan kesihatan adalah sangat tinggi. Mereka perlu berhadapan dengan pelbagai jenis sakit, trauma dan kematian. Tidak dilupakan mereka perlu berurusan dengan ahli keluarga pesakit yang meninggal dunia.

Kesemua faktor ini boleh menyumbang kepada kemurungan kerana ia boleh membuatkan minda mereka tertumpu kepada ruang lingkup pemikiran yang kecil bahawa dunia ini adalah suatu tempat yang sangat menyedihkan.

5. Karyawan (artis, penghibur, penulis)

Kerjaya dalam bidang ini kebiasaannya mempunyai pendapatan yang tidak tetap, masa kerja yang tidak menentu selain sering bersendirian mengasingkan diri daripada orang ramai.

Golongan kreatif seumpama ini juga mempunyai kadar gangguan mood yang tinggi iaitu sekitar 9% kes kemurungan yang dilaporkan.

Bagi orang lelaki, inilah kategori kerjaya yang membuatkan mereka berisiko tinggi untuk menghadapi episod kemurungan kronik.

Selama tempoh 25 tahun merawat pesakit dengan masalah kesihatan mental, Dr. Legge mendapati satu lagi penyakit yang sering terjadi pada penghibur dan artis adalah kecelaruan bipolar.

6. Perguruan

Beban kerja guru pada hari ini bukanlah seperti 20-30 tahun yang lalu. Guru kini bukan sahaja terlibat dalam sesi pembelajaran dan pengajaran semasa waktu sekolah, malah mereka juga perlu membawa pulang lambakan kerja untuk disiapkan di rumah selain terlibat dengan pelbagai rancangan serta aktiviti yang membabitkan pelajar.

Ditambah dengan ketiadaan bajet dari pihak atasan untuk menyediakan bahan pengajaran sewajarnya untuk anak-anak murid, mereka pula terpaksa berkorban wang poket sendiri semata-mata ingin melihat pelajar cemerlang dan berjaya.

Golongan akademik ini perlu berhadapan dengan pelbagai tekanan - melayani kerenah pelajar seramai 30-40 orang setiap kelas, memenuhi kehendak ibu bapa dan pada masa yang sama perlu mencapai sasaran serta standard yang ditetapkan pihak sekolah.

Tidak cukup dengan itu, apabila dibuka media sosial, dibaca pula pelbagai kecaman dan kata-kata kesat yang dilontarkan kepada mereka.

Hal-hal seperti ini boleh menyebabkan para guru sukar melakukan tugas mereka dengan sempurna sehinggakan terlupa apa tujuan utama mereka menyertai bidang kerjaya ini.

7. Pekerja sokongan pentadbiran

Pekerja dalam sektor ini boleh menderita akibat permintaan yang tinggi dan ketiadaan kawalan.

Mereka sering berada di barisan hadapan dan menerima pelbagai arahan dari semua arah serta dari semua peringkat. Walau bagaimanapun, mereka sendiri merupakan pekerja peringkat bawahan yang tidak mempunyai kuasa untuk 'menepis' atau 'mengawal' arahan-arahan ini.

Selain terpaksa melayan pelbagai kerenah manusia yang ingin berlagak seperti seorang bos, kerjaya dalam bidang ini juga kurang diberikan penghargaan atas segala tugas yang disempurnakan (walaupun tugas-tugas itu telah memudahkan hidup orang lain).

8. Pekerja pembinaan dan penyelenggaraan

Tiada siapa yang suka jika mereka hanya dipanggil apabila terjadi sesuatu masalah. Namun, itulah yang perlu dihadapi oleh pekerja penyelenggaraan hampir setiap hari.

Mereka juga perlu bekerja pada masa yang tidak menentu, tidak mengira musim atau cuti dan seringkali perlu bekerja malam.

Bayaran yang diterima juga kebiasaannya dilaporkan tidak setimpal kerana tugas mereka adalah 'membersihkan tahi' yang orang lain lakukan.

Kerjaya ini juga mempunyai kadar keluar masuk pekerja yang tinggi. Situasi pekerja saling silih berganti ini menyebabkan mereka sering terpinggir. Persekitaran tempat kerja seperti ini boleh membahayakan kesihatan mental seseorang.

9. Akauntan dan penasihat kewangan

Tekanan. Tekanan. Tekanan. Kebanyakan orang tidak suka menguruskan wang simpanan atau akaun pelaburan sendiri kerana ia melibatkan nombor dan pelbagai kemungkinan yang sukar dibaca.

Jadi, bolehkah anda bayangkan jika anda menguruskan akaun bernilai ribuan atau jutaan ringgit yang dimiliki orang lain?

Ia merupakan satu tanggungjawab besar yang perlu digalas kerana melibatkan perihal kewangan orang lain dan pada masa yang sama ketiadaan kuasa untuk mengawal pasaran ekonomi.

Selain diselubungi rasa bersalah apabila klien mengalami kerugian, mereka mungkin terpaksa berhadapan dengan jeritan, cacian dan pelbagai ugutan.

10. Bidang jualan

Ramai jurujual yang memperolehi pendapatan mengikut komisyen. Ini bermakna, anda tidak tahu bilakah bayaran berikutnya akan dimasukkan ke akaun anda. Mereka perlu bergerak ke sana ke mari dan adakalanya terpaksa berjauhan dengan rumah, keluarga dan rakan-rakan.

Jika mereka bekerja sendiri, faedah yang diterima juga agak terhad. Apabila diambil kira kesemua faktor ini, suasana kerja dalam sektor jualan boleh menjadi punca kepada tercetusnya kemurungan.

Walau bagaimanapun, usah khuatir untuk memilih kerjaya-kerjaya ini jika anda berminat melakukannya atau cenderung ke arahnya.

Menurut Dr. Deborah, anda mampu mengawal kerjaya bertekanan tinggi ini jika anda sentiasa menjaga diri dengan baik dan cuba dapatkan bantuan yang sewajarnya.

Bagi pembaca yang sering berurusan dengan individu yang tergolong dalam kategori kerjaya ini, cubalah sesekali senyum dan ucapkan terima kasih sebagai tanda penghargaan.

Siapa tahu, anda mampu mengubah hidup mereka menjadi lebih baik.

BACA INI JUGA:

sumber: iluminasi

Wednesday, June 19, 2019

10 Bidang Pekerjaan Paling Santai Dan Juga Amat Memenatkan

10 Bidang Pekerjaan Paling Santai Dan Juga Amat Memenatkan

Sering mengantuk ketika berada di tempat kerja? Keadaan ini pasti acap kali berlaku kepada anda, namun terdapat juga pekerjaan yang memaksa anda berkerja pada waktu malam sekali gus menjejaskan kualiti waktu tidur.

Bidang Pekerjaan paling seronok dan memenatkan

Mungkin anda juga tertanya-tanya jika bertukar kerjaya, adakah anda mampu tidur mencukupi sekali gus mengubah corak hidup anda kepada lebih baik?

Menurut satu kajian oleh Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) mungkin dapat membantu anda memburu pekerjaan baharu.

CDC dalam kajiannya merekodkan lebih daripada tujuh jam setiap malam untuk masa tidur adalah mencukupi bagi mengekalkan gaya hidup sihat, namun kurang dari tujuh jam dianggap adalah tidak mencukupi!

Secara keseluruhan, CDC mendapati, hampir 37 peratus orang dewasa melaporkan mereka tidur tiada berkualiti.

Justeru, apakah bidang pekerjaan yang mendorong kepada anda untuk mendapatkan rehat yang mencukupi termasuk tidur lena.

5 Bidang pekerjaan yang membuatkan ada cukup rehat iaitu:
  1. Pertanian, perikanan dan perhutanan (pertanian, nelayan, pekerja perhutanan dan pemuliharaan).
  2. Pendidikan, latihan dan perpustakaan (pustakawan, guru, aktivis).
  3. Perkhidmatan masyarakat dan sosial (kaunselor, pekerja agama, pekerja sosial).
  4. Kehidupan, sains fizikal dan sosial (saintis dan juruteknik sains).
  5. Komputer dan matematik (pakar komputer, pekerjaan sains matematik).

Jika anda salah seorang dari orang-orang yang tidak dapat cukup rehat, anda mungkin boleh mengelakkan bidang seperti di bawah.

5 Bidang pekerjaan yang membuatkan anda kurang tidur iaitu:
  1. Pengeluaran (pekerja percetakan, tukang kayu, pengendali tumbuhan).
  2. Penjagaan kesihatan (jururawat, pekerjaan terapi dan fizikal).
  3. Pengamal perubatan dan teknikal (ahli teknologi dan juruteknik kesihatan).
  4. Penyediaan makanan dan berkaitan makanan (tukang masak, pelayan).
  5. Perkhidmatan perlindungan (pegawai bomba, polis, pegawai penguat kuasa undang-undang).

Kajian berkenaan juga melaporkan, mereka yang kurang tidur kerana terikat kepada pekerjaan masing-masing secara tidak langsung mempengaruhi kesihatan mereka.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: sinarharian

Thursday, May 23, 2019

Perintah Gaji Minimum (Pindaan) 2018, Berkuatkuasa 1 Januari 2019

Perintah Gaji Minimum (Pindaan) 2018, Berkuatkuasa 1 Januari 2019

Semua majikan digesa mengambil berat dan mematuhi Perintah Gaji Minimum (Pindaan) 2018 yang dikuatkuasakan mulai 1 Januari 2019, yang menetapkan sebanyak RM1,100 sebulan bagi pekerja yang dibayar kadar gaji bulanan dan RM5.29 sejam bagi pekerja yang dibayar gaji ikut jam.

Perintah Gaji Minimum

Bagi pekerja yang dibayar kadar gaji harian, kadar gaji minimum adalah ditetapkan berdasarkan bilangan hari bekerja dalam seminggu.

Perintah Gaji Minimum (Pindaan) 2018 mula berkuat kuasa pada 1 Januari 2019 di seluruh Malaysia dan perintah tersebut memperuntukkan kadar gaji minimum yang seragam bagi seluruh negara.

Sebelum ini, Perintah Gaji Minimum 2016 memperuntukkan kadar gaji minimum sebanyak RM1,000 sebulan bagi Semenanjung Malaysia dan RM920 sebulan bagi Sabah, Sarawak serta Wilayah Persekutuan Labuan.

Perintah Gaji Mimimum turut dinikmati oleh pekerja asing yang bekerja di Malaysia.

Dengan penetapan gaji minimum sama rata seluruh negara ini, secara tidak langsung dapat merapatkan jurang sosio-ekonomi negeri Sabah, Sarawak dan Labuan dengan negeri-negeri lain di Semenanjung.

Cukupkah Gaji Minimum RM1,100?

Kedatangan 1 Januari 2019 lalu begitu amat bermakna bagi pekerja sektor swasta kolar biru atau gred bawahan kerana ia tarikh penguatkuasaan pelaksanaan gaji minimum RM1,100 sebulan atau RM5.29 sejam.

Ini kerana buat julung kalinya dalam sejarah negara pelaksanaan kadar gaji minimum seragam dikuatkuasakan di seluruh negara menjadi kenyataan.

Berdasarkan Survei Gaji dan Upah yang dijalankan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia pada 2017, seramai 7.05 juta orang atau 57.8 peratus daripada keseluruhan 12.21 juta orang penduduk bekerja warganegara adalah pekerja swasta.

Pekerja swasta ini merujuk kepada pekerja yang bekerja sekurang-kurangnya enam jam sehari atau sekurang-kurangnya 20 hari sebulan bagi pekerjaan biasa yang dilakukan secara tetap.

Maklumat yang diperolehi daripada Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan daripada 7.05 juta pekerja swasta ini, 18.1 peratus atau 1.28 juta orang merupakan penerima gaji dan upah di bawah RM1,100.

Jumlah ini tidak termasuk yang bekerja sendiri, pekerja keluarga tanpa gaji dan majikan.

Kurangkan bebanan

Bagi pekerja swasta, kenaikan kadar gaji yang diterima sebanyak RM100 itu mungkin dilihat kecil oleh sesetengah pihak, tetapi tidak buat golongan tenaga kerja bawahan seperti mereka.

Pelbagai faktor

Pada mulanya, penetapan gaji minimum menjadi polemik sebaik kerajaan PH mengumumkan pelarasan gaji minimum seragam di seluruh negara iaitu sebanyak RM1,050 sebulan atau RM5.05 sejam berkuatkuasa 1 Jan 2019.

Jumlah itu dibantah sesetengah pihak kerana didakwa terlalu rendah dan menuntut kerajaan menilai kembali pelaksanaan kenaikan gaji selaras dengan keperluan semasa.

Akhirnya, penetapan kadar baharu kenaikan gaji minimum sebanyak RM1,100 diumumkan dan turut berkuatkuasa pada 1 Jan 2019.

Dalam hal ini, Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad mengakui, kerajaan menghadapi kesukaran menentukan gaji minimum yang tinggi memandangkan sebahagian besar kewangan negara digunakan untuk membayar hutang.

Beliau dipetik sebagai berkata, kerajaan pada masa ini tidak mampu untuk meningkatkan jumlah perbelanjaan memandangkan hutang yang ditanggung terlalu besar.

Namun demikian, kerajaan komited terhadap agenda yang dijanjikan dalam manifestonya iaitu menaikkan gaji minimum secara beransur-ansur kepada RM1,500 sebulan dalam tempoh penggal pertama pentadbiran atau lima tahun.

Keputusan untuk meningkatkan gaji pada kadar tersebut tidaklah bermakna untuk merendah-rendahkan sumbangan pekerja terutamanya golongan B40.

Kerajaan tidak akan menaikkan gaji minimum RM1,500 sekali gus, kerana jika dilakukan sedemikian akan menyusahkan syarikat swasta kerana pendapatan mereka akan berkurangan sehingga menyebabkan perniagaan tidak boleh beroperasi.

Dalam membuat keputusan ini, kerajaan perlu mengambil kira pelbagai faktor seperti menilai kedudukan keseluruhan ekonomi, kewangan negara, kemampuan majikan, kebajikan pekerja supaya peningkatan gaji itu adalah selaras dengan situasi ekonomi semasa negara.

Langkah wajar

Pensyarah ekonomi Universiti Malaya, Prof Dr Fatimah Kari berkata walaupun kenaikan itu dilihat agak rendah terutamanya dari segi kos sara hidup yang tinggi khususnya di bandar namun ia adalah langkah wajar berdasarkan iklim ekonomi sedia ada.

Pelaksanaan dasar gaji minimum adalah mendokong cita-cita menuju ke arah negara maju dengan menetapkan gaji lantai bagi semua pekerja di Malaysia. Dengan ini juga ia memartabatkan golongan pekerja.

Dasar skim gaji minimum adalah untuk memastikan keperluan asas seseorang pekerja dipenuhi seperti makanan, tempat tinggal selain perlindungan jangka masa panjang untuk kesejahteraan hari tua mereka dengan meningkatkan caruman KWSP, Perkeso dan kadar bayaran kerja lebih masa.

Dalam satu kenyataan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), semua caruman minimum majikan dan pekerja kepada KWSP akan diselaras mengikut Perintah Gaji Minimum (Pindaan) 2018 sebanyak RM1,100 bermula 1 Januari 2019.

Menerusi langkah itu, caruman minimum sebanyak RM264 dijangka diterima daripada setiap pekerja yang mendapat gaji bulanan, tertakluk kepada khidmat penuh selama sebulan.

Caruman minimum yang berbeza bagaimanapun akan membabitkan ahli yang menerima bayaran gaji pada asas mingguan, harian atau jam.

Sebanyak 1.64 juta atau 23 peratus daripada 7.11 juta ahli aktif KWSP mencarum kurang daripada gaji minimum semasa iaitu sebanyak RM1,000.

Pelarasan gaji minimum itu sepatutnya dapat membantu ahli KWSP mencapai jumlah simpanan mencukupi bagi tujuan persaraan selain dapat meningkatkan daya tahan kewangan mereka pada masa depan.

Statistik KWSP menunjukkan 64 peratus ahlinya yang mencapai usia 54 tahun memiliki simpanan kurang RM50,000 yang tidak setimpal dengan peningkatan kos sara hidup dan hutang isi rumah.

Tidak ada gulung tikar

Sementara itu, Presiden Kongres Kesatuan Pekerja (MTUC) berkata, pihak Kongres menerima penetapan gaji minimum sebanyak RM1,100 itu berlandaskan janji kerajaan bahawa ia akan meningkat kepada RM1,500 dalam tempoh lima tahun.

Dalam konteks ini, MTUC bersetuju dan akan memantau perkara ini kerana kenaikan mendadak yang terlalu tinggi agak memudaratkan.

Kenaikan kadar gaji minimum turut akan meningkatkan kadar bayaran kerja lebih masa kepada pekerja dan menyebabkan syarikat lebih suka menggunakan pekerja sedia ada buat kerja lebih masa daripada ambil pekerja baharu.

Kenaikan bayaran kerja lebih masa membantu meningkatkan keupayaan daya beli seseorang pekerja namun, peningkatan gaji minimum secara mendadak menyebabkan tidak ada pekerja baharu diambil.

Rungutan sesetengah majikan yang mempertikaikan pemberian gaji minimum akan merugikan dan menyebabkan perniagaan gulung tikar, beliau berkata pelaksanaan sebelum ini membuktikan tidak ada satu syarikat pun yang terpaksa tutup operasi disebabkan penetapan gaji berkenaan.

Kajian mendapati ia mempunyai kesan langsung kepada peningkatan produktiviti pekerja kerana mereka rasa dihargai di mana pada jangka masa panjang menyumbang secara positif kepada keuntungan syarikat.

Selain berjaya menarik minat anak tempatan untuk menceburi pekerjaan yang sebelum ini banyak tertumpu pada pekerja asing.

Sejarah 2013 iaitu tahun pertama pelaksanaan gaji minimum di mana kenaikan kadarnya adalah sebanyak 100 peratus, tidak ada satu syarikat pun yang tutup atau gulung tikar disebabkan gaji minimum.

Majikan perlu faham apabila menubuhkan sesebuah syarikat, mereka sebenarnya tidak boleh mengambil untung 100 peratus yang bermakna, mereka mempunyai kewajipan untuk pembangunan tenaga kerja dan membangunkan teknologi.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: 1 | 2

Saturday, April 27, 2019

CuepacsPA Tawar Insuran Perlindungan Maksimum RM440,000 Serendah RM6 Sebulan Untuk Penjawat Awam

CuepacsPA Tawar Insuran Perlindungan Maksimum RM440,000 Serendah RM6 Sebulan Untuk Penjawat Awam

MyCuepacsCare dengan kerjasama Zurich General Takaful Malaysia Bhd. (Zurich) menawarkan perlindungan takaful CuepacsPA mampu milik untuk semua penjawat awam di Malaysia, menawarkan perlindungan sehingga RM440,000 kepada penjawat awam sekiranya mereka terlibat dengan kemalangan.

CuepacsPA insuran nyawa penjawat awam

Perlindungan CuepacsPA adalah selaras dengan hasrat CUEPACS untuk memastikan setiap penjawat awam memiliki sekurang-kurangnya satu perlindungan takaful melalui pelancaran Program Mentakafulkan Penjawat Awam Melalui MyCuepacsCare oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

CuepacsPA menawarkan perlindungan maksimum sehingga RM440,000 dengan kadar sumbangan serendah RM6 dan RM12 sebulan.

Kemalangan tidak boleh dijangka, tetapi sebagai penjawat awam, mereka boleh merancang bagaimana untuk menghadapi kemalangan itu dengan perlindungan sewajarnya, demi meningkatkan kesejahteraan warga penjawat awam.

Berikut merupakan beberapa sebab CuepacsCare dan CuepacsPA merupakan pelan takaful terbaik untuk penjawat awam di Malaysia:

1. Caruman bulanan rendah dan mampu dimiliki

Sumbangan bulanan untuk CuepacsCare adalah pada kadar serendah RM32 untuk individu dan RM85 bagi pakej keluarga.

Melalui CuepacsCare, pemegang polisi dan ahli keluarga layak untuk mendapat rawatan penghospitalan dan pembedahan di lebih 70 hospital pakar swasta di seluruh negara.

Sumbangan bulanan untuk CuepacsPA pula adalah serendah RM6 dan RM12 sebulan bagi setiap pemohon dan pasangan.

CuepacsPA turut melindungi anak-anak pemohon dengan kadar caruman sekitar RM1.59 hingga RM6.36 bergantung kepada umur.

2. Perlindungan komprehensif dan lengkap

Pada kadar RM32 dan RM85 sebulan untuk CuepacsCare, setiap pencarum dan ahli keluarga boleh mendapatkan rawatan penghospitalan dan pembedahan di hospital pakar swasta.

Jumlah perlindungan yang diberikan ialah RM40,000 setahun untuk pelan individu dan RM60,000 untuk pelan keluarga.

Jenis rawatan pula meliputi kemalangan, pembedahan, rawatan dialisis buah pinggang, kanser dan penyakit.

Untuk CuepacsPA, setiap kematian akibat kemalangan sebagai penumpang di dalam kenderaan pengangkutan awam berlesen akan diberikan pampasan sehingga RM440,000 secara one-off.

Untuk kematian akibat pengangkutan sendiri, pampasan yang diberikan sehingga RM220,000. Untuk lain-lain kemalangan boleh rujuk kepada rajah berikut:

Keistimewaan CuepacsPA

3. Mudah disertai dan digunakan

CuepacsCare dan CuepacsPA amat mudah disertai oleh penjawat awam. Mereka boleh mendaftar secara online melalui laman www.cuepacscare.my/registration atau menerusi lebih 500 wakil pemasaran MyCuepacsCare di seluruh negara.

Selain itu, difahamkan terdapat lebih 300 wakil pemasaran di seluruh negara bagi memudahkan penjawat awam mendaftar.

Bayaran bulanan pula adalah secara potongan gaji melalui Biro Angkasa.

Cara penggunaan CuepacsCare pula amat mudah dengan hanya menunjukkan kad CuepacsCare semasa urusan kemasukan untuk mendapatkan surat jaminan.

Semasa urusan keluar, bil hospital akan ditanggung oleh CuepacsCare dan anda boleh pulang ke rumah dengan tenang.

Untuk bantuan dan maklumat lanjut, peserta CuepacsCare dan CuepacsPA boleh menghubungi CuepacsCare melalui laman web, www.cuepacscare.my

4. Lain-lain keistimewaan CuepacsCare dan CuepacsPA boleh rujuk pada rajah di bawah

CuepacsCare

Insuran Penjawat Awam
Insuran Penjawat Awam

CuepacsPA

Insuran Penjawat Awam
Insuran Penjawat Awam

Jadi, tunggu apa lagi. Sebagai penjawat awam, jangan lepaskan peluang untuk mendapatkan Takaful CuepacsCare dan CuepacsPA.

Jika takaful ini dibuka kepada pekerja di sektor swasta, sudah tentu ia menjadi rebutan kerana keistimewaannya dan caruman yang mampu milik.

Penjawat awam yang mahu menyertai boleh mendaftar secara online melalui laman web www.cuepacscare.my/registration atau menerusi lebih 500 wakil pemasaran MyCuepacsCare di seluruh negara.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: mynewshub

Saturday, March 30, 2019

8 Pekerjaan 'Susah' Di Malaysia Yang Dibayar Gaji Murah

8 Pekerjaan 'Susah' Di Malaysia Yang Dibayar Gaji Murah

Adakah anda rasa pekerjaan sekarang dibayar dengan gaji yang setimpal? Besar kemungkinan ramai di antara kita akan menjawab ya, lebih-lebih lagi pekerjaan yang memerlukan anda bekerja lebih masa dan pada waktu yang tak menentu.

Pekerjaan Gaji Murah Di Malaysia

Walaupun begitu, tidak semua dan jika ada pun, kadang-kadang sahaja. Namun hakikatnya, ramai di luar sana yang benar-benar dibayar dengan gaji yang rendah walaupun melakukan kerja yang berat dan memenatkan.

Kami ingin berkongsi kepada pembaca 8 pekerjaan yang dibayar dengan gaji rendah dan tidak setimpal.

1. Pekerja binaan
Gaji permulaan: RM1,200

Sebagai pekerja pembinaan, anda bukan sahaja berhadapan dengan kerja-kerja berat, tetapi juga risiko kematian yang sangat tinggi berbanding pekerjaan lain.

Tidak cukup dengan itu, pekerja pembinaan harus bekerja tidak tentu masa sehinggakan ada yang bekerja pada lewat malam.

Kerja yang memerlukan tenaga yang banyak ini seringkali dipandang sebelah mata kerana rata-rata mereka ini tidak mempunyai kelayakan pendidikan yang tinggi.

Namun bagi yang pernah merasakan bekerja sebagai pekerja binaan, pasti tahu perit yang dilalui setiap hari.

Ditambah pula dengan cuaca di negara kita yang panas, hanya mereka yang benar-benar kuat dan tabah sahaja mampu melakukan kerja seperti ini, yang kini dipelopori oleh warga asing.

Bukti bahawa ia bukanlah satu kerja mudah yang mampu dilakukan oleh warga tempatan, memandangkan gajinya yang sangat tidak setimpal.

2. Pelayan restoran/kedai makan
Gaji bermula dari: RM600-1,100

Bagi yang pernah bekerja sebagai pembantu dapur atau pelayan di restoran, pasti anda tahu bagaimana teruk dan tertekannya pekerjaan ini.

Malah, ramai di antara kita yang tak menghargai kerja keras yang dilakukan oleh pelayan yang menghantar makanan sehingga ke atas meja kita.

Ia sememangnya kerja yang sangat meletihkan dan tertekan, di samping bekerja tak henti sepanjang syif yang panjang.

Mereka yang bekerja sebagai pembantu seperti ini biasanya tidak mendapat rehat yang cukup dan seringkali terpaksa berhadapan dengan pelanggan-pelanggan yang biadab terutamanya jika makanan lambat sampai atau tak memuaskan hati.

Walaupun sesetengah mereka menerima gaji pokok bersama-sama elaun kerja lebih masa atau elaun syif, namun ada juga yang menerima gaji mengikut jam yang apabila dihitung, adalah lebih rendah daripada mereka yang mendapat gaji tetap.

Situasi ini juga berlaku di restoran makanan segera. Walaupun terdapat banyak rangkaian restoran makanan segera menawarkan banyak kelebihan kepada kakitangan mereka, namun masih ramai yang menderita daripada tekanan kerja, termasuklah gaji rendah dan kerahan tenaga.

Jadi, sebelum anda rasa nak marah atau memaki pelayan restoran disebabkan makanan anda lambat sampai, adalah lebih baik anda fikir dua kali.

Siapa tahu sudah berapa jam mereka berhempas pulas melayan pelanggan-pelanggan lain, kan?

Purati gaji sebanyak $2,083 atau RM6,191 sebulan dibayar kepada pekerja restoran makanan segera di Australia.

Di Sabah, secara purata pelayan restoran dibayar gaji hari dengan pendapatan biasanya dibawah RM800.

3. Pegawai Khidmat Pelanggan
Gaji bermula dari: RM1,500

Pastinya ramai yang bersetuju dengan kenyataan bahawa meskipun bekerja dengan jumlah masa yang panjang, pegawai khidmat pelanggan adalah antara pekerjaan dengan gaji terendah di Malaysia.

Itu belum diambil kira aduan, rungutan dan caci-maki yang diterima mereka daripada pelangganbterhadap masalah-masalah yang dihadapi.

Perkara ini berlaku terutamanya kepada mereka yang tidak mempunyai sijil di peringkat diploma ataupun ijazah sarjana muda, walaupun mereka melakukan kerja yang sama banyak seperti mereka yang mempunyai kelayakan.

Ramai yang mengatakan dan menganggap kerja sebagai pegawai perkhidmatan pelanggan adalah kerja mudah, namun orang ramai tak tahu jumlah tekanan yang perlu dihadapi oleh mereka setiap hari.

4. Pembantu tadbir/Kerani
Gaji bermula dari: RM1,200

Tak kiralah di mana terletaknya sesebuah pejabat itu, pembantu pentadbiran sering dibebani dengan begitu banyak tugasan setiap hari.

Mereka biasanya adalah orang yang terawal datang ke pejabat dan pulang lewat untuk menutup pejabat (jika perlu).

Walaupun pembantu tadbir merupakan individu yang menyediakan pelbagai sokongan dan bantuan pentadbira kepada syarikat, namun mereka ini sering tidak dihargai oleh rakan sekerja yang lain.

Tugas seharian mereka sangat memerlukan butiran-butiran terperinci, seperti menyediakan pelbagai kertas kerja, memfailkan dokumen penting dan mengawasi keperlua pejabat dan bekalan untuk berpuluh malah beratus-ratus kakitangan syarikat yang lain.

5. Pembantu pusat asuhan
Gaji bermula dari: RM900

Kebanyakan ibu bapa, lebih-lebih lagi jika kedua-duanya bekerja, akan menghantar anak-anak kecil mereka ke pusat asuhan kanak-kanak dengan jangkaan dan harapan anak-anak mereka dijaga dan diasuh dengan baik.

Bergantung kepada kawasan, sesetengah pusat asuhan mengenakan bayaran bulanan yang sangat tinggi bagi setiap seorang kanak-kanak, namun tak ramai yang tahu bahawa pembantu-pembantu yang mengasuh dan mengawasi kanak-kanak ini, kebanyakannya dibayar dengan gaji yang sangat rendah.

Malah, sesetengah pembantu dibayar dengan gaji serendah RM900 sebulan, bergantung kepada kelayakan mereka dan juga lokasi pusat asuhan tersebut.

Gaji yang rendah ini sangatlah tidak bersesuaian dengan tugas-tugas mereka menjaga kanak-kanak seperti memberi makan, menukar lampin, memandikan dan juga memastikan keselamatan terjaga di pusat asuhan.

Itu belum termasuk di mana biasanya setiap pembantu diberikan tanggungjawab menjaga sehingga 10 orang kanak-kanak pada satu-satu masa, membuatkan kerja mereka lebih tertekan berbanding kerja-kerja lain.

Jika di Australia, pembantu pusat asuhan diberikan gaji di antara $17.61 hingga $25.14 (RM52.34 hingga RM74.72) sejam, atau purata RM61.62 sejam di mana gaji untuk pekerjaan ini tidak banyak berubah berdasarkan pengalaman.

Jika pembantu bekerja lebih masa, untuk setiap jam, mereka dibayar sebanyak RM89, membolehkan mereka menerima gaji di antara $3,025 hingga $4,338 (RM8,991 hingga RM12,893) sebulan.

6. Penulis/Copywriter
Gaji bermula dari: RM1,000

Penulis tak dapat nafikan bahawa pekerjaan sebagai seorang copywriter (dan penulis secara amnya), sering dipandang rendah dan dibayar dengan gaji yang tidak setimpal.

Frasa "sesiapa sahaja boleh menulis" sering digunakan oleh orang ramai, walaupun sebenarnya ia adalah sangat tidak benar.

Mana-mana penulis yang mendengar frasa ini pastinya kecewa kerana untuk mencari idea dan menghasilkan penulisan berkualiti bukanlah sesuatu yang mudah.

Ia memerlukan carian dan penyelidikan yang agak lama serta proses penyuntingan yang sangat rumit bagi menghasilkan penulisan yang berbaloi untuk dibaca.

Selain itu, kebanyakan penulis biasanya bekerja pada masa yang tidak menentu dan biasanya terasing daripada orang ramai kerana individu-individu kreatif ini memerlukan ruang dan masa bersendirian untuk berfikir.

Jadi, tak hairanlah apabila kebanyakan penulis mengalami kemurungan namun begitu, copywriter yang mempunyai pengalaman dan pintar mampu meraih pendapatan yang agak lumayan.

Copywriter dan pengarang kandungan yang mengkhususkan diri dalam industri digital dan teknikal menjadi buruan kerana industri-industri ini memerlukan kepakaran tertentu yang tak ramai penulis boleh lakukan.

7. Pekerja penyelenggaraan dan juruteknik
Gaji bermula dari: RM1,500

Biasaya pekerja selenggara dan juruteknik menjadi orang pertama yang dipanggil apabila paip rumah anda bocor atau rosak.

Mereka ini bekerja pada waktu yang tidak menentu dan biasanya kerja-kerja yang dilakukan adalah berbahaya dan meletihkan.

Tugas mereka termasuklah membaiki barangan yang rosak, menyelenggara peralatan elektrik seperti pendingin hawa.

Dengan kerja-kerja yang memerlukan kepakaran yang dilakukan mereka, ramai yang memandang kerja mereka sebagai sesuatu yang remeh, sehinggalah mereka diperlukan.

Gaji mereka juga dilihat sebagai tidak setimpal dengan usaha dan kepakaran.

8. Pereka Grafik
Gaji bermula dari: RM1,500

Bagi setiap muka hadapan majalah atau iklan-iklan menarik yang anda lihat, kita perlu berterima kasih kepada pereka grafik.

Namun, mereka ini seringkali tidak dihargai dan dibayar dengan gaji yang rendah meskipun menghabiskan masa yang banyak dalam menghasilkan sesuatu rekaan grafik.

Ramai orang menganggap pekerjaan ini adalah sesuatu yang mudah dengan membayar bayaran yang murah, namun hakikatnya adalah bertentangan di mana ia merupakan pekerjaan yang memerlukan kreativiti yang tak dimiliki oleh semua orang.

Masalah ini disebabkan oleh bekalan dan permintaan, yang mana terlalu ramai graduan dalam bidang ini bersemangan untuk bekerja dan berkongsi kreativiti mereka dengan dunia.

Situasi ini mewujudkan industri yang sangat kompetitif, kerana syarikat-syarikat besar lebih cenderung mengambil pereka grafik yang berpengalaman dan berbakat.

Ia membuatkan mereka yang kurang berpengalaman ataupun yang tidak mempunyai pengalaman langsung, untuk terpaksa menerima gaji yang sangat rendah.

Namun, kelebihan yang ada pada pereka grafik adalah mereka boleh melakukan kerja-kerja yang memberikan pendapatan sampingan sebagai freelancer.

Dan dengan pengalaman yang cukup dan portfolio, mereka boleh mendapat pekerjaan dengan gaji yang lebih baik bila-bila masa sahaja.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: iluminasi

Saturday, March 16, 2019

Caruman PERKESO, Insuran Nyawa 'Paling Murah' Tetapi Terbaik Di Malaysia!

Caruman PERKESO, Insuran Nyawa 'Paling Murah' Tetapi Terbaik Di Malaysia!

Petubuhan Kebajikan Sosial (SOCSO/PERKESO) merupakan sebuah agensi kerajaan yang ditubuhkan untuk mentadbir dan melaksanakan skim keselamatan sosial dibawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 bagi menyediakan perlindungan keselamatan sosial kepada pekerja swasta dan tanggungan mereka.

Caruman PERKESO

Adalah dianggap sebagai satu kesalahan yang melanggar undang-undang jika pihak majikan tidak mendaftarkan syarikat dan pekerja-pekerja di bawah PERKESO, serta tidak membayar caruman. Hukuman saman dan penjara boleh dikenakan jika disabitkan kesalahan.

Sejarah dan tentang PERKESO

Badan kerajaan ini ditubuhkan di bawah Kementerian Sumber Manusia pada tahun 1971.

Semua syarikat swasta di Malaysia diwajibkan berdaftar di bawah PERKESO dalam tempoh 30 hari dari hari pertama pekerja mula bekerja, menurut Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969.

Pencaruman oleh pekerja adalah lebih rendah berbanding majikan, yang di antara kadar 0.5% hingga 3% berdasarkan gaji mereka.

Bagi pekerja yang bergaji lebih daripada RM3,000 sebulan, caruman tidak diwajibkan.

Tujuan penubuhan PERKESO

PERKESO telah diperbadankan untuk memberikan bantuan perubatan dan kewangan kepada pekerja yang mengalami kekurangan keupayaan atau tidak berupaya, disebabkan oleh penyakit atau kemalangan.

Malah, jika pekerja meninggal dunia, tanggungan pekerja berkenaan seperti isteri dan anak-anak akan diberi bantuan melalui pencen.

Individu yang layak

Individu layak didaftarkan di bawah PERKESO jika anda seorang pekerja di bawah 60 tahun dan bekerja di sektor swasta dengan gaji bulanan.

Anda dikecualikan daripada faedah-faedah ini jika tergolong dalam mana-mana satu senarai di bawah:
  • Pekerja tetap di kerajaan negeri ataupun persekutuan.
  • Pembantu rumah.
  • Bekerja sendiri.
  • Pemilik perniagaan ataupun rakan kongsi.
  • Pasangan kepada pemilik perniagaan ataupun rakan kongsi.
  • Pekerja asing.

Jenis Perlindungan

Perlindungan oleh PERKESO terbahagi kepada 3 bahagian iaitu Skim Kecederaan Pekerjaan, Skim Pencen Ilat dan Skim Bencana Kerja Pekerjaan Sendiri (Teksi).

1. Skim Bencana Pekerjaan

Skim Bencana Pekerjaan memberi perlindungan kepada pekerja yang mengalami kemalangan atau suatu penyakit khidmat yang berpunca atau terbit daripada pekerjaannya.

Perlindungan di bawah skim ini meliputi kemalangan berikut:
  • Kemalangan perusahaan semasa menjalankan pekerjaannya.
  • Kemalangan semasa dalam perjalanan mengikut laluan di antara tempat kediamannya atau tempat tinggalnya dengan tempat kerjanya yang dibuat bagi apa-apa sebab yang secara langsung berkaitan dengan penggajiannya di antara tempat kerjanya dengan tempat pergi makan dalam masa rehat yang dibenarkan.

Nota: Kemalangan yang berlaku dalam masa apa-apa perhentian atau lencongan tidaklah disifatkan terbit daripada dan dalam masa menjalankan pekerjaannya.

Kemalangan semasa kecemasan

Kemalangan yang berlaku semasa pekerja berada dalam atau berdekatan dengan mana-mana premis tempat bekerjanya bagi tujuan menyelamatkan, membantu atau melindungi orang yang mendapat bencana atau bahaya semasa kecemasan.

Penyakit khidmat

Penyakit yang berpunca atau terbit daripada pekerjaan sebagaimana yang disenaraikan di Jadual Kelima, Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969.

Antara contoh penyakit khidmat adalah seperti:
  • Hilang pendengaran disebabkan oleh paras tekanan bunyi tinggi yang berterusan.
  • Penyakit asma disebabkan oleh pekerjaan yang melibatkan pendedahan berterusan kepada sedutan habuk atau bahan kimia yang berbahaya dan sebagainya.

Faedah di bawah Skim Bencana Pekerjaan:
  • Faedah Perubatan.
  • Faedah Hilang Upaya Sementara.
  • Faedah Hilang Upaya Kekal.
  • Elaun Layanan Sentiasa.
  • Kemudahan Pemulihan Jasmani/Vokasional.
  • Faedah Orang Tanggungan.
  • Faedah Pengurusan Mayat.
  • Faedah Pendidikan.

2. Skim Pencen Ilat

Seseorang berinsuran dianggap sebagai menghidap keilatan apabila mengalami suatu keuzuran yang berkekalan samada tidak boleh diubati atau tidak mungkin sembuh serta tidak berupaya mencari nafkah dengan kerja yang berpadanan dengan kekuatan dan tenaganya, sekurang-kurangnya satu pertiga (1/3) daripada keupayaan pekerja yang normal.

Skim ini memberi perlindungan 24 jam kepada pekerja dari keilatan atau kematian akibat dari sebarang sebab yang tidak berkaitan dengan pekerjaan.

Faedah di bawah Skim Keilatan:
  • Pencen Ilat.
  • Bantuan llat.
  • Elaun Layanan Sentiasa.
  • Pencen Penakat.
  • Faedah Pengurusan Mayat.
  • Kemudahan Pemulihan Jasmani/Vokasional dan Dialisis.
  • Faedah Pendidikan.

3. Skim Bencana Kerja Pekerjaan Sendiri (Teksi).

Skim baharu di bawah PERKESO

Skim Bencana Kerja Pekerjaan Sendiri adalah untuk pemandu teksi yang bekerja sendiri atau individu yang menjalankan perkhidmatan seumpamanya berkuatkuasa pada 13 Jun 2017.

Perlindungan ini disediakan di bawah peruntukan Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017.

Tempoh perlindungan selama 12 bulan mulai dari tarikh dan masa caruman dibayar dan diperakui menerusi cetakan pada resit bayaran caruman.

Skim bencana kerja pekerjaan sendiri

PERKESO menyediakan skim perlindungan untuk pemandu teksi atau individu yang menjalankan perkhidmatan seumpamanya di bawah Skim Perlindungan Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri.

Skim ini memberi perlindungan kepada orang berinsuran yang bekerja sendiri daripada bencana pekerjaan termasuk penyakit pekerjaan dan kemalangan semasa menjalankan aktiviti pekerjaan.

Skim ini menyediakan faedah tunai kepada pemandu teksi dan tanggungannya di samping menyediakan rawatan perubatan, pemulihan jasmani dan latihan vokasional.

Perkhidmatan teksi atau seumpamanya di Malaysia

Jenis-jenis perkhidmatan teksi:
  • Teksi Bajet.
  • Teksi Eksekutif.
  • Limosin.
  • Teksi Lapangan Terbang.
  • Kereta Sewa.
  • Perkhidmatan yang seumpamanya (Grab Car/E-Hailing).

Skop liputan dan pelaksanaan

1. Kelayakan Pemandu Teksi atau Perkhidmatan Seumpamanya:
  • Warganegara Malaysia/Permastautin Tetap.
  • Berdaftar dengan JPJ, Agensi yang berkaitan atau LPKP (Sabah dan Sarawak).
  • Lesen memandu yang sah.
  • Kad Pemandu Teksi/Surat Kebenaran yang masih sah laku oleh Agensi yang berkaitan/LPKP (Sabah dan Sarawak).

2. Faedah-faedah yang disediakan:
  • Faedah Perubatan.
  • Fedah Hilang Upaya Sementara.
  • Faedah Hilang Upaya Kekal.
  • Elaun Layanan Sentiasa.
  • Faedah Orang Tanggungan.
  • Faedah Pengurusan Mayat.
  • Kemudahan Pinjaman Pendidikan.
  • Kemudahan Pemulihan Jasmani, Vokasional dan Program “Return to Work (RTW)”.

3. Cara Pendaftaran

Pendaftaran adalah secara online (web based) menggunakan portal iPERKESO dan dokumen-dokumen yang diperlukan adalah seperti berikut;
  • Mempunyai talian telefon bimbit dan emel yang aktif.
  • Memuat naik lesen memandu yang sah.
  • Memuat naik kad pemandu teksi yang masih sah laku dari Agensi yang berkaitan atau memuat naik Surat Izin/Kebenaran dari LPKP(Sabah dan Sarawak).

4. Bayaran Caruman

Pembayaran hanya boleh dibuat secara online melalui perbankan internet bagi perlindungan untuk tempoh setahun.

Langkah-langkah pembayaran adalah seperti berikut:
  • Lengkapkan proses pendaftaran iPERKESO.
  • Pilih pembayaran melalui “Financial Process Exchange” (FPX).
  • Cetak resit sebagai bukti bayaran.

Pilihan caruman

Kadar caruman berdasarkan opsyen pilihan pendapatan diinsuranskan sebanyak 1.25% daripada pendapatan sebulan.

Pemeriksaan Kesihatan Percuma

PERKESO telah mengeluarkan baucar pemeriksaan kesihatan kepada 2.2 juta rakyat Malaysia.

Walau bagaimanapun, keputusan menunjukkan bahawa 1.7 juta (77.3% daripada pencarum) yang layak untuk menerima pemeriksaan kesihatan percuma telah menolak inisiatif ini.

Walaupun ia memerlukan usaha untuk menjalani keseluruhan proses, namun untuk seseorang mengambil cuti untuk hadir ke perkhidmatan percuma ini adalah tindakan yang wajar dan harus digalakkan.

PERKESO juga menawarkan Program Pemeriksaan Kesihatan (HSP) secara percuma untuk ahli berusia 40 tahun dan keatas.

Pemeriksaan kesihatan ini meliputi pemeriksaan penyakit kardiovaskular, diabetes, kanser serviks, dan kanser payu dara.

Namun, pemeriksaan percuma ini hanya ditawarkan di klinik-klinik panel terpilih sahaja. Sehingga Februari 2016, hanya 450,000 orang dari 2.2 juta ahli PERKESO yang layak telah menjalani pemeriksaan percuma tersebut.

Jadi, jika anda layak, jangan ketinggalan untuk menjalani pemeriksaan tersebut.

KATEGORI CARUMAN PERKESO

Kategori pertama: Skim Bencana Pekerjaan dan Skim Keilatan;
  • Kategori ini untuk semua pekerja di bawah 60 tahun dikehendaki menyertai kategori ini.
  • Hanya 0.5% daripada gaji bulanan pekerja yang harus dicarum. Sekiranya anda menyumbang peratusan yang lebih tinggi, anda perlu laporkan hal ini.

Kategori kedua: Skim Bencana Pekerjaan sahaja;
  • Untuk pekerja yang berusia 60 tahun ke atas dan masih bekerja.
  • Untuk pekerja yang berusia di atas 55 tahun yang telah membuat caruman PERKESO pertama mereka.
  • Orang yang Diinsuranskan yang menerima Pencen Keilatan dan masih bekerja dan menerima kurang daripada 1/3 daripada gaji bulanan purata sebelum ketidaksempurnaan.
  • Majikan menanggung kos caruman kepada PERKESO pada kadar 1.25% daripada gaji bulanan.

Kenapa PERKESO Sangat Penting?

Antara sebab utama PERKESO amat penting ialah perlindungan yang ditawarkannya boleh dikira menyeluruh, ditambah dengan sumbangan yang diberikan apabila anda terlibat dalam bencana di tempat kerja.

Ini bermakna rawatan dan juga rawatan susulan untuk kecederaan di tempat kerja bakal ditanggung PERKESO.

Sebagai contoh, jika pekerja ditimpa kecederaan kekal ataupun memerlukan rawatan fizikal, kos rawatan tersebut bakal ditanggung PERKESO.

Ini termasuklah fisioterapi, pembedahan, anggota palsu dan juga alatan prostetik seperti kerusi roda atau alat bantuan pendengaran.

Malah, kecederaan yang berlaku di waktu rehat (yang telah ditetapkan oleh majikan) juga akan ditanggung oleh PERKESO.

Bagaimana Membuat Tuntutan PERKESO?

Sekiranya anda ditimpa kemalangan di tempat kerja, ataupun dalam perjalanan pergi atau pulang dari tempat kerja, anda boleh menuntut kos rawatan dari PERKESO.

Jika kemalangan tersebut berlaku di tempat kerja, majikan perlu memaklumkan hal tersebut kepada PERKESO dengan mengisi borang Laporan Kemalangan (Borang 21) dan Borang Tuntutan (Borang 10).

Anda juga perlu menghantar tag kehadiran ataupun rekod kehadiran kerja, sijil perubatan dan salinan kad pengenalan ke pejabat cawangan PERKESO.

Jika kemalangan tersebut berlaku sewaktu anda pergi atau pulang dari tempat kerja, laporan polis dan lakaran peta lokasi kejadian sewaktu kemalangan berlaku juga perlu dihantar.

Maklumat Tambahan Mengenai PERKESO

Jika gaji pekerjaan pertama anda adalah di bawah RM4,000, caruman PERKESO adalah wajib Tetapi, katakanlah anda menerima gaji lebih dari RM4,000 untuk pekerjaan pertama, anda boleh memilih untuk mencarum PERKESO ataupun tidak.

Tetapi, jika gaji pekerjaan pertama anda dibawah RM4,000 dan anda menerima kenaikan sehingga jumlah gaji anda melebihi RM4,000, anda tidak dibenarkan untuk berhenti caruman PERKESO.

Pekerja dengan kontrak sementara ataupun sambilan juga perlu didaftarkan dengan PERKESO sekiranya gaji mereka dibawah RM4,000.

Seperti yang dinyatakan diatas, ia satu kesalahan jika majikan tidak membuat caruman PERKESO, tidak kira apa jua status kontrak pekerjaan ataupun umur pekerja tersebut.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: 1 | 2

Saturday, January 05, 2019

Panduan Memohon Bersara Pilihan (Bersara Awal) Kakitangan Kerajaan

Panduan Memohon Bersara Pilihan (Bersara Awal) Kakitangan Kerajaan

Kebanyakkan penjawat awam yang telah menandatangani opsyen persaraan pada usia 55, 56, 58 dan 60 tahun masih lagi terkeliru dengan informasi yang telah mereka terima melalui media sosial kerana ramai yang beranggapan mereka terpaksa mencapai umur opsyen berkenaan untuk bersara bagi mendapatkan faedah persaraan seperti pencen bulanan dan sebagainya.

Bersara awal

Sebenarnya penjawat awam tidak terikat dengan opsyen tersebut dan boleh memilih untuk bersara lebih awal iaitu seawal usia 40 tahun dengan tempoh perkhidmatan sekurang-kurangnya 10 tahun yang boleh dimasuk kira.

Soalan Penjawat Awam (Bakal Pesara):

Saya berumur 45 tahun dan telah berkhidmat selama 18 tahun (dilantik pada 1 Oktober 1999) sebagai Pegawai Tadbir di Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia. Saya telah memilih skim pencen dan memilih opsyen umur persaraan 60 tahun.

Jika saya ingin bersara pada 1 Oktober 2019, bagaimanakah cara untuk saya memohonnya? Apakah faedah-faedah persaraan yang akan saya terima? Betulkah pencen bulanan saya hanya akan dibayar pada umur saya 60 tahun?

Jawapan:

Untuk makluman, mengikut Seksyen 12, Akta Pencen 1980:

Syarat-syarat memohon persaraan pilihan:
  • Berumur sekurang-kurangnya 40 tahun pada tarikh kuatkuasa persaraan pilihan;
  • Berkhidmat sekurang-kurangnya selama 10 tahun dalam perkhidmatan yang boleh diambilkira (tanpa sebarang cuti tanpa gaji, cuti berlebihan atau tempoh yang tidak layak); dan
  • Mendapat sokongan Ketua Jabatan.
  • Bebas tindakan tatatertib.
  • Bebas tapisan SPRM.

Cara memohon?
  • Hantar surat permohonan kepada Ketua Jabatan.
  • Permohonan dihantar ke JPA/KWAP melalui perakuan dan sokongan Ketua Jabatan.
  • Dokumen yang lengkap perlu dikemukakan ke JPA/KWAP dalam tempoh tidak kurang dari 3 bulan daripada tarikh persaraan pilihan (Pekeliling Perkhidmatan Bil. 4 tahun 2003).

Faedah-faedah yang bakal diterima setelah diluluskan persaraan pilihan?

1. Award Wang Tunai Gantian Cuti Rehat (GCR) – Terhad sehingga 150 hari sahaja

Formula Kiraan Faedah Persaraan Pilihan Untuk Mengetahui:
  • Pencen Sebulan.
  • Ganjaran Persaraan (Gratuity).
  • Gantian Cuti Rehat (Bayaran diterima).

Kiraan pencen pilihan

*Amaun adalah tertakluk kepada hutang kerajaan/majikan, jika ada.

Kalkulator pengiraan anggaran Pencen Pilihan: SEMAK SINI

Bilakah PENCEN bulanan mula dibayar?

Sekiranya anda dilantik sebelum 12 April 1991, jika anda ingin bersara pilihan, sekiranya diluluskan, maka pencen bulanan akan mula dibayar:

a) Pada umur 45 tahun bagi semua anggota/pegawai wanita, anggota polis berpangkat rendah daripada ASP (Inspektor ke bawah), anggota bomba berpangkat rendah, pegawai penjara (bawah dari pangkat penguasa penjara) jururawat lelaki yang bertugas di hospital mental Kerajaan; dan

b) Pada umur 50 tahun bagi semua anggota/pegawai lelaki selain jawatan di atas (a).

Jika anda dilantik selepas 12 April 1991, sekiranya anda ingin bersara pilihan, pencen akan mula dibayar kepada anda apabila mencapai umur 55 tahun, walaupun opsyen umur persaraan wajib anda adalah pada 60 tahun, anda tetap akan menerima pada umur 55 tahun dan tidak sebelum umur itu.

Peraturan ini adalah sepertimana pindaan yang telah dibuat pada tahun 2011 dan masih berkuatkuasa sehingga ke hari ini.

Dokumen Bersara Pilihan

Formula Perkiraan Pencen:

1/600 x tempoh perkhidmatan dalam bulan yang boleh dimasuk kira x (darab) gaji pokok akhir.

Kiraan pencen bulanan adalah terhad kepada pencen maksimum iaitu sebanyak 3/5 x gaji pokok akhir atau 60% x (darab) gaji pokok akhir atau terhad kepada tempoh 360 bulan (30 tahun) sahaja.

Sebaiknya penentuan tarikh untuk bersara pilihan, pilihlah tarikh selepas anda menerima kenaikan gaji tahunan. Walau bagaimanapun, tarikh persaraan pilihan anda yang tentukan.

Namun, tiada sebarang konsep persaraan pilihan bagi penjawat awam yang memilih skim KWSP.

Anda dikira meletakkan jawatan dan hanya layak menuntut caruman majikan dan caruman pekerja/anggota sahaja. Tiada sebarang faedah persaraan dan perubatan akan diberikan kepada anda sekeluarga.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: pendidik2u