Thursday, May 23, 2019

Perintah Gaji Minimum (Pindaan) 2018, Berkuatkuasa 1 Januari 2019


Semua majikan digesa mengambil berat dan mematuhi Perintah Gaji Minimum (Pindaan) 2018 yang dikuatkuasakan mulai 1 Januari 2019, yang menetapkan sebanyak RM1,100 sebulan bagi pekerja yang dibayar kadar gaji bulanan dan RM5.29 sejam bagi pekerja yang dibayar gaji ikut jam.

Perintah Gaji Minimum

Bagi pekerja yang dibayar kadar gaji harian, kadar gaji minimum adalah ditetapkan berdasarkan bilangan hari bekerja dalam seminggu.

Perintah Gaji Minimum (Pindaan) 2018 mula berkuat kuasa pada 1 Januari 2019 di seluruh Malaysia dan perintah tersebut memperuntukkan kadar gaji minimum yang seragam bagi seluruh negara.

Sebelum ini, Perintah Gaji Minimum 2016 memperuntukkan kadar gaji minimum sebanyak RM1,000 sebulan bagi Semenanjung Malaysia dan RM920 sebulan bagi Sabah, Sarawak serta Wilayah Persekutuan Labuan.

Perintah Gaji Mimimum turut dinikmati oleh pekerja asing yang bekerja di Malaysia.

Dengan penetapan gaji minimum sama rata seluruh negara ini, secara tidak langsung dapat merapatkan jurang sosio-ekonomi negeri Sabah, Sarawak dan Labuan dengan negeri-negeri lain di Semenanjung.

Cukupkah Gaji Minimum RM1,100?

Kedatangan 1 Januari 2019 lalu begitu amat bermakna bagi pekerja sektor swasta kolar biru atau gred bawahan kerana ia tarikh penguatkuasaan pelaksanaan gaji minimum RM1,100 sebulan atau RM5.29 sejam.

Ini kerana buat julung kalinya dalam sejarah negara pelaksanaan kadar gaji minimum seragam dikuatkuasakan di seluruh negara menjadi kenyataan.

Berdasarkan Survei Gaji dan Upah yang dijalankan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia pada 2017, seramai 7.05 juta orang atau 57.8 peratus daripada keseluruhan 12.21 juta orang penduduk bekerja warganegara adalah pekerja swasta.

Pekerja swasta ini merujuk kepada pekerja yang bekerja sekurang-kurangnya enam jam sehari atau sekurang-kurangnya 20 hari sebulan bagi pekerjaan biasa yang dilakukan secara tetap.

Maklumat yang diperolehi daripada Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan daripada 7.05 juta pekerja swasta ini, 18.1 peratus atau 1.28 juta orang merupakan penerima gaji dan upah di bawah RM1,100.

Jumlah ini tidak termasuk yang bekerja sendiri, pekerja keluarga tanpa gaji dan majikan.

Kurangkan bebanan

Bagi pekerja swasta, kenaikan kadar gaji yang diterima sebanyak RM100 itu mungkin dilihat kecil oleh sesetengah pihak, tetapi tidak buat golongan tenaga kerja bawahan seperti mereka.

Pelbagai faktor

Pada mulanya, penetapan gaji minimum menjadi polemik sebaik kerajaan PH mengumumkan pelarasan gaji minimum seragam di seluruh negara iaitu sebanyak RM1,050 sebulan atau RM5.05 sejam berkuatkuasa 1 Jan 2019.

Jumlah itu dibantah sesetengah pihak kerana didakwa terlalu rendah dan menuntut kerajaan menilai kembali pelaksanaan kenaikan gaji selaras dengan keperluan semasa.

Akhirnya, penetapan kadar baharu kenaikan gaji minimum sebanyak RM1,100 diumumkan dan turut berkuatkuasa pada 1 Jan 2019.

Dalam hal ini, Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad mengakui, kerajaan menghadapi kesukaran menentukan gaji minimum yang tinggi memandangkan sebahagian besar kewangan negara digunakan untuk membayar hutang.

Beliau dipetik sebagai berkata, kerajaan pada masa ini tidak mampu untuk meningkatkan jumlah perbelanjaan memandangkan hutang yang ditanggung terlalu besar.

Namun demikian, kerajaan komited terhadap agenda yang dijanjikan dalam manifestonya iaitu menaikkan gaji minimum secara beransur-ansur kepada RM1,500 sebulan dalam tempoh penggal pertama pentadbiran atau lima tahun.

Keputusan untuk meningkatkan gaji pada kadar tersebut tidaklah bermakna untuk merendah-rendahkan sumbangan pekerja terutamanya golongan B40.

Kerajaan tidak akan menaikkan gaji minimum RM1,500 sekali gus, kerana jika dilakukan sedemikian akan menyusahkan syarikat swasta kerana pendapatan mereka akan berkurangan sehingga menyebabkan perniagaan tidak boleh beroperasi.

Dalam membuat keputusan ini, kerajaan perlu mengambil kira pelbagai faktor seperti menilai kedudukan keseluruhan ekonomi, kewangan negara, kemampuan majikan, kebajikan pekerja supaya peningkatan gaji itu adalah selaras dengan situasi ekonomi semasa negara.

Langkah wajar

Pensyarah ekonomi Universiti Malaya, Prof Dr Fatimah Kari berkata walaupun kenaikan itu dilihat agak rendah terutamanya dari segi kos sara hidup yang tinggi khususnya di bandar namun ia adalah langkah wajar berdasarkan iklim ekonomi sedia ada.

Pelaksanaan dasar gaji minimum adalah mendokong cita-cita menuju ke arah negara maju dengan menetapkan gaji lantai bagi semua pekerja di Malaysia. Dengan ini juga ia memartabatkan golongan pekerja.

Dasar skim gaji minimum adalah untuk memastikan keperluan asas seseorang pekerja dipenuhi seperti makanan, tempat tinggal selain perlindungan jangka masa panjang untuk kesejahteraan hari tua mereka dengan meningkatkan caruman KWSP, Perkeso dan kadar bayaran kerja lebih masa.

Dalam satu kenyataan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), semua caruman minimum majikan dan pekerja kepada KWSP akan diselaras mengikut Perintah Gaji Minimum (Pindaan) 2018 sebanyak RM1,100 bermula 1 Januari 2019.

Menerusi langkah itu, caruman minimum sebanyak RM264 dijangka diterima daripada setiap pekerja yang mendapat gaji bulanan, tertakluk kepada khidmat penuh selama sebulan.

Caruman minimum yang berbeza bagaimanapun akan membabitkan ahli yang menerima bayaran gaji pada asas mingguan, harian atau jam.

Sebanyak 1.64 juta atau 23 peratus daripada 7.11 juta ahli aktif KWSP mencarum kurang daripada gaji minimum semasa iaitu sebanyak RM1,000.

Pelarasan gaji minimum itu sepatutnya dapat membantu ahli KWSP mencapai jumlah simpanan mencukupi bagi tujuan persaraan selain dapat meningkatkan daya tahan kewangan mereka pada masa depan.

Statistik KWSP menunjukkan 64 peratus ahlinya yang mencapai usia 54 tahun memiliki simpanan kurang RM50,000 yang tidak setimpal dengan peningkatan kos sara hidup dan hutang isi rumah.

Tidak ada gulung tikar

Sementara itu, Presiden Kongres Kesatuan Pekerja (MTUC) berkata, pihak Kongres menerima penetapan gaji minimum sebanyak RM1,100 itu berlandaskan janji kerajaan bahawa ia akan meningkat kepada RM1,500 dalam tempoh lima tahun.

Dalam konteks ini, MTUC bersetuju dan akan memantau perkara ini kerana kenaikan mendadak yang terlalu tinggi agak memudaratkan.

Kenaikan kadar gaji minimum turut akan meningkatkan kadar bayaran kerja lebih masa kepada pekerja dan menyebabkan syarikat lebih suka menggunakan pekerja sedia ada buat kerja lebih masa daripada ambil pekerja baharu.

Kenaikan bayaran kerja lebih masa membantu meningkatkan keupayaan daya beli seseorang pekerja namun, peningkatan gaji minimum secara mendadak menyebabkan tidak ada pekerja baharu diambil.

Rungutan sesetengah majikan yang mempertikaikan pemberian gaji minimum akan merugikan dan menyebabkan perniagaan gulung tikar, beliau berkata pelaksanaan sebelum ini membuktikan tidak ada satu syarikat pun yang terpaksa tutup operasi disebabkan penetapan gaji berkenaan.

Kajian mendapati ia mempunyai kesan langsung kepada peningkatan produktiviti pekerja kerana mereka rasa dihargai di mana pada jangka masa panjang menyumbang secara positif kepada keuntungan syarikat.

Selain berjaya menarik minat anak tempatan untuk menceburi pekerjaan yang sebelum ini banyak tertumpu pada pekerja asing.

Sejarah 2013 iaitu tahun pertama pelaksanaan gaji minimum di mana kenaikan kadarnya adalah sebanyak 100 peratus, tidak ada satu syarikat pun yang tutup atau gulung tikar disebabkan gaji minimum.

Majikan perlu faham apabila menubuhkan sesebuah syarikat, mereka sebenarnya tidak boleh mengambil untung 100 peratus yang bermakna, mereka mempunyai kewajipan untuk pembangunan tenaga kerja dan membangunkan teknologi.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: 1 | 2

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon