Wednesday, October 18, 2017

Fungsi MyIPO Melindungi Jenama Peniaga Wajib Tahu!

Fungsi MyIPO Melindungi Jenama Peniaga Wajib Tahu!

Kesedaran mengenai pentingnya pemilikan terhadap nama perniagaan atau disebut juga sebagai harta intelek amat penting dan wajib diketahui oleh peniaga.

MyIPO
Gambar hiasan.

Di Malaysia, tugas itu digalas oleh Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), yang merupakan agensi di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).

Untuk makluman, perlindungan sedemikian memberi hak eksklusif kepada pemiliknya untuk dapat mengawal dan mengeksploitasi harta intelek mereka termasuklah hak membuat, mengguna, mengedar, menjual dan mengimport.

Mereka juga boleh mengambil tindakan mahkamah ke atas pihak yang didapati melanggar hak tersebut kerana ia dilindungi di bawah undang-undang paten, cap dagangan, hakcipta, reka bentuk perindustrian dan sebagainya.

Namun masih ramai pengguna yang kurang tahu mengenai hak harta intelek dan juga tidak menyedari kewujudan MyIPO sebagai sebuah organisasi bertanggungjawab dalam memberi perlindungan sedemikian di Malaysia.

Untuk rekod, harta intelek merujuk kepada hasil daripada idea atau minda seperti ciptaan, karya seni, simbol, jenama, imej dan reka bentuk yang digunakan dalam perniagaan di mana hak eksklusifnya diakui di bawah undang-undang berkaitan.

Hak eksklusif pula bermaksud hak memiliki dan mengeksploitasi sesuatu harta intelek tanpa sebarang ancaman daripada pihak lain seperti cetak rompak, barangan tiruan, penyalahgunaan tanpa kebenaran dan sebagainya.

Malah ia merupakan salah satu komponen penting dalam aspek pembangunan ekonomi negara.

Penghasilan harta intelek yang aktif berterusan dari semasa ke semasa akan meningkatkan aktiviti pelaburan dan perdagangan.

Antara sebab kenapa isu ini menjadi penting sekarang ialah kerana ada banyak kes peniruan produk industri yang dihasilkan tetapi faedahnya tidak dinikmati oleh pereka asal malah cuma menguntungkan pihak peniru itu sahaja.

Contoh mudah seperti jam, beg tangan, seluar jean dan kasut dengan jenama terkenal di pasaran. Penjualan produk ini boleh hakis sumber pendapatan si pengeluar asal yang memiliki cap dagangan sah ke atas barangan tersebut.

Menyedari betapa penting perkara ini, KPDNKK memperbadankan MyIPO pada 2003 yang sebelum itu dikenali sebagai Pejabat Cap Dagangan dan Paten dan kemudian Bahagian Harta Intelek pada 1990; bagi mengawal selia isu ini susulan penggubalan Akta Perbadanan Harta Intelek Malaysia 2002.

MyIPO berfungsi sebagai badan pemantau pelaksanaan undang-undang berkaitan harta intelek tempatan selain juga memberi nasihat dalam semakan semula dan mengemas kini perundangan berkaitan dengan harta intelek.

Pun begitu, individu atau syarikat perlu ada inisiatif untuk tampil daftar harta intelek dengan MyIPO kerana ia bukanlah wajib tetapi penting jika ada pihak ketiga cuba tiru produk sekali gus menjejaskan bisnes pihak asal.

Bayangkan kualiti barangan diciplak tersebut tidak sama seperti yang original, ia boleh menjejaskan kepercayaan pelanggan serta memberi kesan besar ke atas hasil perniagaan mereka sah pula dalam jangka masa panjang.

Di bawah undang-undang di Malaysia, antara harta intelek itu ialah paten iaitu hak eksklusif yang diberi terhadap suatu rekacipta, sama ada produk atau proses penghasilan cara baharu bagi membuat sesuatu perkara tertentu.

Ada juga harta intelek berbentuk cap dagangan yang boleh membezakan barangan atau perkhidmatan dikeluarkan oleh pihak lain seperti penggunaan perkataan, logo, gambar, nama, huruf, nombor atau kombinasi tersebut.

Jangan lupa ada harta intelek berupa reka bentuk perindustrian iaitu ciri bentuk, tatarajah, corak atau hiasan pada sesuatu barang melalui apa-apa proses pada barang siap yang menarik dan dinilaikan dengan pandangan mata.

Manakala petunjuk geografi adalah tanda harta intelek yang lazim digunakan ke atas sesuatu produk kerana ia mempunyai kualiti unik dan reputasi eksklusif tersendiri sehingga boleh dikaitkan dengan kawasan berkenaan.

Bagi karya seperti muzik, filem, sastera dan seni pula, ia boleh dilindungi di bawah Akta Hak Cipta 1987 yang melibatkan kepentingan penulis, pemilik hak cipta dan pelaku.

Sesungguhnya banyak faedah boleh diperoleh oleh peniaga apabila mereka berdaftar dengan MyIPO kerana status perlindungan akan diberikan kepada mereka mengikut kategori harta intelek masing-masing tertakluk di bawah Akta Hak Cipta 1987.

Bagi mereka yang ingin mencari maklumat lanjut mengenai MyIPO, bolehlah melayari laman sesawang rasmi www.myipo.gov.my atau akaun Facebook rasmi di www.facebook.com/ipmalaysia.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: mynewshub

Sunday, April 23, 2017

Kepentingan Harta Intelek dan Hak Cipta Dalam Bisnes

Kepentingan Harta Intelek dan Hak Cipta Dalam Bisnes

Kreativiti dan inovasi tercipta hasil dari pemikiran dan daya intelektual seseorang. Kreativiti dan inovasi bermula dengan cetusan idea. Kemudian diterjemahkan dalam bentuk tindakan dan perlaksanaan.

Harta Intelek

Kreativiti dan inovasi dalam perniagaan wujud dalam pelbagai bentuk. Antaranya mencipta sesuatu produk yang memberi kemudahan kepada orang ramai, mencipta jenama produk yang berkualiti dan menghasilkan rekaan-rekaan baru bagi produk yang telah sedia ada di pasaran bagi menarik perhatian pelanggan.

Hasil kreativiti dan inovasi yang memberi keuntungan kepada syarikat akan bertukar menjadi aset. Seterusnya menjadi harta yang cukup bernilai kepada sesuatu perniagaan.

Harta hasil daripada kreativiti dan inovasi ini adalah harta dalam bentuk yang tidak ketara. Tidak ketara bermaksud harta yang tidak boleh dilihat dan disentuh secara zahir.

Harta ini berbeza dengan harta ketara seperti rumah, tanah dan wang yang boleh dilihat dan disentuh secara zahir.

Namun, fungsi harta tetap sama. Ia mempunyai nilai dan boleh diperdagangkan. Ia boleh dimiliki dan dijual di dalam pelbagai bentuk transaksi.

Harta Tidak Ketara – Harta Intelek

Harta tidak ketara ini juga dikenali sebagai harta intelek. Harta intelek merujuk kepada hasil kreativiti atau ciptaan yang datang daripada daya intelektual atau minda seseorang.

Pemilik harta intelek diberi hak eksklusif serta perlindungan terhadap harta intelek hasil ciptaannya, oleh undang-undang harta intelek.

Hak eksklusif bermaksud hak untuk memiliki dan hak untuk mengeksploitasi sesuatu harta intelek tanpa sebarang ancaman daripada pihak lain.

Ancaman termasuklah ancaman cetak rompak, barangan tiruan, penyalahgunaan, penggunaan tanpa kebenaran dan sebagainya.

Dalam undang-undang harta intelek, pemilik harta intelek diberi hak-hak eksklusif terhadap pelbagai jenis harta tidak ketara seperti muzik, penulisan, lukisan, penemuan dan ciptaan, perkataan, simbol dan reka bentuk.

Di antara jenis-jenis harta intelek yang biasa dikenali ialah paten, cap dagangan, reka bentuk perindustrian dan hak cipta.

Ramai di antara kita mungkin biasa dengan istilah-istilah seperti paten, cap dagangan dan hak cipta, namun tidak ramai yang mengetahui apakah maksud di sebalik istilah-istilah ini dan perbezaannya.

Paten – Ciptaan Baru atau Inovasi Produk

Secara umumnya, paten merujuk kepada ciptaan baru atau inovasi terhadap produk sedia ada. Jika kita telah merekacipta sesuatu ciptaan baru atau teknologi yang masih belum wujud di dunia ini, maka ciptaan ini boleh dilindungi di bawah paten dan setiap perlindungan paten sah untuk tempoh 20 tahun.

Perlindungan paten bermaksud pemilik paten tersebut boleh mengambil tindakan di bawah undang-undang paten, sekiranya paten miliknya ditiru atau disalahguna oleh pihak lain.

Cap dagangan atau ‘trade mark’ di dalam Bahasa Inggeris merujuk pada satu tanda yang dapat membezakan antara barangan atau perkhidmatan, yang ditawarkan oleh pemiliknya dengan barangan atau perkhidmatan yang ditawarkan oleh pemilik lain.

Cap dagangan merangkumi perkataan, huruf, nombor, nama, tandatangan, logo dan kombinasi antaranya. Contoh cap dagangan yang popular ialah seperti McDonald, Coca Cola, Proton dan sebagainya.

Pendaftaran cap dagangan membolehkan pemiliknya mendapat perlindungan selama 10 tahun dan boleh diperbaharui setiap 10 tahun.

Reka bentuk perindustrian merujuk kepada penampilan bentuk, corak atau ukiran sesuatu produk. Reka bentuk perindustrian merangkumi bentuk 3 dimensi pada bentuk, atau permukaan sesuatu objek. Serta bentuk 2 dimensi seperti corak dan garisan atau warna.

Antara contoh reka bentuk perindustrian ialah reka bentuk kereta, corak pada permaidani dan ukiran pada produk berasaskan kayu.

Pendaftaran reka bentuk perindustrian membolehkan pemiliknya mendapat perlindungan selama 15 tahun.

Hakcipta – Hak Eksklusif Bagi Pencipta Karya

Hakcipta adalah hak esklusif yang diberikan oleh undang-undang untuk tempoh masa tertentu kepada pencipta karya untuk mengawal penggunaan karya mereka. Di Malaysia, tiada sebarang pendaftaran diperlukan bagi mendapatkan perlindungan.

Ini kerana perlindungan diperoleh secara automatik sebaik sahaja sesuatu karya diterjemahkan di dalam sebarang bentuk seperti penulisan, persembahan dan sebagainya.

Contoh hasil kerja yang dilindungi oleh undang-undang hak cipta ialah:
  • Karya sastera
  • Karya muzik
  • Karya seni
  • Filem
  • Rakaman bunyi
  • Siaran (broadcast)
  • Karya terbitan

Daripada segi perlindungan, bagi karya sastera, seni dan muzik tempoh perlindungan adalah semasa hayat pencipta dan 50 tahun selepas kematiannya.

Bagi karya rakaman bunyi, filem dan siaran, perlindungan adalah selama 50 tahun selepas tarikh ia diterbitkan.

Pendaftaran dan pentadbiran harta intelek di Malaysia dikendalikan oleh Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), sebuah agensi di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan.

Bagi urusan pendaftaran paten, cap dagangan dan rekabentuk perindustrian, pihak MyIPO telah melantik ejen-ejen bertauliah bagi mengendalikan pendaftaran pihak pemilik harta intelek.

Tugas ejen-ejen ini adalah memberi khidmat nasihat daripada segi teknikal dan prosedur perundangan berkenaan pendaftaran dan perlindungan harta intelek.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: 5 Ciptaan Terhebat Umat Islam Yang Mengubah Dunia!

sumber: majalahniaga

Friday, April 21, 2017

Jenis-jenis Harta Intelek

Jenis-jenis Harta Intelek

Harta intelek (intellectual property atau IP) merupakan istilah yang merujuk kepada beberapa jenis ciptaan fikiran berlainan yang hak esklusif diakui di bawah bidang undang-undang berkait.

Copyright

Di bawah undang-undang Harta intelektual, pemilik diberikan hak esklusif tertentu bagi pelbagai aset tidak nyata, seperti muzik, penulisan, dan karya seni; jumpaan dan ciptaan; dan perkataan, farsa, symbol dan reka bentuk.

Jenis biasa hak harta intelektual termasuk hak cipta, cap dagang, paten, hak reka bentuk dagangan dan rahsia perdagangan dalam sesetengah perundangan.

Harta intelek dalam bidang undang-undang merujuk kepada hasil kreativiti manusia yang merangkumi pelbagai perkara seperti karya muzik, sastera dan seni; rekacipta; dan simbol, nama, imej dan reka bentuk yang digunakan dalam perniagaan termasuk hak cipta, cap dagangan, paten dan hak-hak lain yang berkaitan.

Di bawah undang-undang harta intelek, pemegang salah satu dari harta-harta yang bersifat abstrak ini mempunyai hak-hak eksklusif tertentu untuk harta intelek yang mereka cipta.

Pembangunan harta intelek di dalam sesebuah negara akan meningkatkan tahap inovasi, ekonomi dan menganjaknya ke sebuah negara berasaskan ekonomi pengetahuan.

Kekuatan undang-undang harta intelek dalam sesebuah negara juga dikenal pasti sebagai faktor penting yang mempengaruhi pelaburan dari luar terutamanya untuk bidang perniagaan yang berasaskan pengetahuan.

Sungguhpun kebanyakan prinsip perundangan mengenai harta intelektual telah berubah selama beberapa abad, ia hanyalah pada abad ke-19 istilah hak milik intelektual mula digunakan, dan tidak sehingga akhir abad ke-20 ia menjadi meluas di kebanyakan dunia.

Statut Anne British 1710 dan Statut Monopolies 1623 kini dianggap sebagai asal hakcipta dan undang-undang paten berikutnya.

Harta intelek di Malaysia

Di Malaysia, harta intelek yang dilindungi di bawah undang-undan adalah paten, hakcipta, cap dagangan, rekabentuk perindustrian, petunjuk geografi dan reka bentuk susun atur litar bersepadu.

Varieti tumbuhan adalah komponen harta intelek dan ianya ditadbir oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani Malaysia.

Antara undang-undang yang melindungi harta intelek adalah:
  • Akta Cap Dagangan 1976
  • Akta Paten 1983
  • Akta Hakcipta 1987
  • Akta Rekabentuk Ciptaan Industri 1996

Undang-undang harta intelek di Malaysia yang ditadbir oleh MyIPO meliputi enam perkara, yang mana setiap perkara mempunyai statutnya yang tersendiri, iaitu:
  • Akta Hakcipta 1987
  • Akta Cap Dagangan 1972
  • Akta Paten 1983
  • Akta Reka Bentuk Perindustrian 1983
  • Akta Petunjuk Geografi 2000
  • Akta Susun Atur Litar Bersepadu 2000

Selain itu satu lagi akta ditadbirkan oleh Jabatan Pertanian Malaysia iaitu Akta Perlindungan Varieti Baru Tumbuhan 2004.

Di bawah Common Law terdapat dua jenis lagi prinsip harta intelekyang diterima di Malaysia iaitu: kekelirupaan (passing off) dan kerahsiaan (trade secret).

Berikut di berikan maklumat ringkas jenis-jenis berkenaan.

1. Hakcipta

Hakcipta merupakan hasil kegiatan dan ciptaan seseorang seperti gubahan lagu, penulisan novel, penulisan skrip drama atau filem dan rakaman bunyi.

Ia juga dipanggil harta kerana menepati konsep “sesuatu yang boleh dibeli, dijual, dipindahmilik, disewa bahkan diwasiat”.

Akta Hakcipta 1987 memperuntukkan perlindungan untuk karya-karya berhakcipta. Akta ini menggariskan karya-karya yang layak diberi perlindungan hakcipta (termasuklah program komputer), skop perlindungan, dan cara mana ianya diberikan perlindungan. Tiada sistem pendaftaran untuk karya-karya berhakcipta.

Tempoh perlindungan hakcipta untuk karya sastera, muzik dan seni adalah selama hayat pencipta dan 50 tahun selepas kematiannya.

Bagi karya-karya rakaman bunyi, siaran dan filem, perlindungannya adalah selama 50 tahun selepas karya-karya tersebut mulanya diterbitkan atau dizahirkan.

Akta ini juga memberi perlindungan kepada hak-hak pelaku dalam sesuatu persembahan yang dibuat secara langsung selama 50 tahun bermula dari tahun calendar berikutnya setelah ianya mula dipersembahkan.

Pada tahun 2003, Akta Hakcipta 1987 telah dipinda untuk memperkemaskan peruntukan-peruntukan penguatkuasaannya dimana pegawai-pegawai penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) diberi kuasa-kuasa menangkap (termasuklah penangkapan tanpa waran).

Sepasukan khas pegawai-pegawai KPDNHEP telah dilantik untuk menguatkuasakan Akta ini dan diberikan kuasa untuk memasuki mana-mana premis yang disyaki memiliki salinan-salinan langgaran dan kuasa untuk memeriksa dan merampas salinan-salinan langgaran dan apa-apa kelengkapan yang berkaitan dengannya.

2. Cap Dagangan

Cap dagangan ditakrifkan sebagai suatu cap yang digunakan atau dicadangkan untuk digunakan berhubung dengan sesuatu barang atau perkhidmatan bagi menunjukkan wujudnya suatu hubungan perdagangan di antara barang itu dengan tuan punya yang berhak untuk menggunakan cap tersebut sama ada dengan menunujukkan atau tidak menunjukkan identiti orang itu.

Cap termasuklah suatu tanda, jenama, kepala, label, tiket, nama, tandatangan, perkataan, huruf, angka atau apa-apa gabungannya.

Perlindungan cap dagangan diperuntukan di bawah Akta Cap Dagangan 1976 dan Peraturan-peraturan Cap Dagangan 1997. Akta ini memberi perlindungan kepada cap-cap dagangan dan cap-cap perkhidmatan di Malaysia.

Setelah sesuatu cap dagangan didaftarkan, tiada sesiapa selain daripada pemiliknya atau pengguna yang dibenarkan boleh menggunakannya. Tindakan pelanggaran boleh dimulakan ke atas mereka.

Tempoh sah perlindungannya ialah 10 tahun dan boleh diperbaharui bagi satu tempoh selama 10 tahun seterusnya.

Pemilik cap dagangan atau perkhidmatan berhak mengeksploit, menyerahhak atau melesenkan penggunaannya.

Malaysia melarang penggunaan cap-cap terkenal oleh pihak-pihak yang tidak diberi kuasa dan peruntukan langkah-langkah sempadan juga melarang cap-cap lancung (cap-cap tiruan) dari diimport ke Malaysia.

Malaysia telah menjadi ahli kepada Perjanjian Nice dan Vienna pada 28 Jun 2007 yang mula berkuatkuasa pada 28 September 2007.

Perjanjian Nice adalah merujuk kepada pentadbiran Klasifikasi Antarabangsa Barangan dan Perkhidmatan bagi tujuan pendaftaran cap dagangan dan perkhidmatan manakala Perjanjian Vienna merujuk kepada apa-apa klasifikasi cap yang mengandungi elemen bergambar.

Kedua-dua Perjanjian adalah penting untuk memudahkanprosedur pendaftaran cap dagangan.

3. Paten

Paten merupakan hak ekslusif yang diberikan terhadap suatu reka cipta, sama ada produk ataupun proses untuk menghasilkan cara baru bagi membuat sesuatu ataupun penyelesaian teknikal terhadao sesuatu masalah.

Perlindungan paten di Malaysia diperuntukkan di bawah Akta Paten 1983 dan Peraturan-peraturan Paten 1986.

Suatu rekacipta boleh dipatenkan jika ianya adalah baru, melibatkan langkah-langkah merekacipta dan boleh digunakan dalam industri.

Sesuatu permohonan paten adalah dibuka untuk pemeriksaan awam selepas tempoh 18 bulan dari tarikh prioriti atau tarikh pemfailan permohonan .

Akta Paten 1983 memberi perlindungan paten selama 20 tahun dari tarikh pemfailan, manakala tempoh perlindungan perakuan perbaharuan utiliti adalah 10 tahun dari tarikh pemfailan dan boleh dilanjutkan kepada lima tahun dan seterusnya lima tahun lagi bergantung kepada penggunaannya.

Pemunya paten berhak untuk mengeksploitasi rekaciptanya,menyerahhak atau memeterai kontrak lesen.

Akta Paten 1983 membenarkan lesen wajib dan pengimportan produk yang dipaten yang telah dipasarkan di negara luar (parallel import).

Kerajaan berhak melarang pemberian paten atas alasan moral atau public order. Akta Paten1983 telah dipinda pada tahun 2003 untuk memasukkan peruntukan membenarkan pengimportan di bawah skop lesen wajib.

Malaysia telah menjadi ahli kepada PCT pada 16 Mei 2006 dan berkuatkuasa pada 16 Ogos 2006 MyIPO bertindak sebagai Pejabat Penerima bagi pemfailan antarabangsa permohonan paten dimana permohonan tersebut boleh difailkan di MyIPO.

4. Rekabentuk Perindustrian

Reka bentuk perindustrian merujuk kepada aspek hiasan atau estetik sesuatu barang yang boleh terdiri daripada daripada ciri tiga dimensi seperti bentuk dan tatarajah sesuatu barang atau ciri dua dimensi seperti corak dan hiasan.

Perlindungan reka bentuk perindustrian di Malaysia diperuntukan di bawah Akta Reka Bentuk Perindustrian 1996 dan Peraturan-peraturan Reka Bentuk Perindustrian 1999.

Akta ini memberikan hak perlindungan kepada reka bentuk perindustrian berdaftar sebagai harta persendirian yang boleh dibuat melalui penyerahhak.

Pendaftaran boleh dibuat sekiranya reka bentuk perindustrian tersebut adalah baru dan tidak termasuk kaedah atau prinsip pembinaan atau reka bentuk berkenaan tidaklah ditentukan semata-mata oleh fungsi.

Reka bentuk berkenaan tidak boleh bergantung kepada rupa suatu barang lain yang mana menjadikannya suatu bahagian yang perlu dalam barang tersebut.

Suatu reka bentuk perindustrian berdaftar diberi perlindungan selama 5 tahun dari tarikh pemfailan.

Perlindungan boleh dilanjutkan selama dua tempoh dimana setiap tempoh perlindungan adalah selama 5 tahun, menjadikan tempoh maksima perlindungan 15 tahun.

5. Petunjuk Geografi

Akta Petunjuk Geografi 2000 memperuntukkan perlindungan ke atas barangan yang memberi indikasi dari mana barangan itu berasal, di mana kualiti, reputasi atau lain-lain ciri barangan tersebut dikaitkan dengan tempat asal barangan tersebut dikeluarkan.

Petunjuk geografi melindungi barangan seperti wain dan spirit, barangan keluaran semulajadi atau pertanian atau apa-apa keluaran kraftangan untuk industri.

Petunjuk geografi yang bertentangan dengan ketenteraman awam atau prinsip moral tidak boleh dilindungi dibawah akta ini.

Untuk mendaftar permohonan petunjuk geografi, pemohon hendaklah seorang yang menjalankan aktiviti sebagai pengeluar dalam kawasan geografi tersebut termasuk suatu kumpulan atau kumpulan-kumpulan orang sedemikian, suatu pihak berkuasa yang berwibawa atau suatu organisasi atau persatuan perdagangan.

Tempoh perlindungan petunjuk geografi adalah selama 10 tahun dan boleh diperbaharui setiap 10 tahun.

6. Reka Bentuk Susun Atur Litar Bersepadu

Akta Reka Bentuk Susun Atur Litar Bersepadu 2000 memberi perlindungan kepada reka bentuk susun atur yang berdasarkan prinsip asli dan hasil rekacipta pencipta. Tiada sistem pendaftaran untuk perlindungan reka bentuk susun atur.

Tempoh perlindungan reka bentuk susun atur adalah selama 10 tahun dari tarikh mula ianya dieksploitasi secara perdagangan atau 15 tahun dari tarikh ianya dicipta sekiranya tidak dieksplotasi secara komersil.

Akta ini juga membenarkan tindakan diambil oleh pemilik sekiranya hak-hak tersebut yang diperuntukkan di bawah akta telah dilanggar.

Hak-hak tersebut juga boleh dipindahkan samada sebahagian atau sepenuhnya melalui penyerahak, perlesenan, wasiat atau atas kuatkuasa undang-undang.

7. Perlindungan Varieti Baru Tumbuhan

Kepelbagaian tumbuhan tersenarai sebagai perkara-perkara yang tidak boleh dipatenkan. Walaupun begitu, terdapat Akta khusus iaitu Akta Perlindungan Varieti Baru Tumbuhan 2004 yang memberi perlindungan kepada kepelbagaian tumbuhan yang dicipta oleh pembiak tumbuhan, peladang dan orang asli .

Perlindungan di bawah Akta ini boleh diperolehi melalui pendaftaran. Terdapat beberapa syarat yang perlu dipenuhi sebelum seseuatu pendaftaran itu boleh diterima.

Pertama, kepelbagaian tumbuhan itu perlu baru iaitu tiada kepelbagaian tumbuhan yang sama telah dijual di pasaran sebelum pendaftaran.

Kedua, ‘berbeza’ bermaksud kepelbagaian tumbuhan yang ingin didaftarkan perlu berlainan dari kepelbagaian tumbuhan yang diketahui ada di pasaran.

Ketiga, ‘seragam’ bermaksud tumbuhan yang dihasilkan perlulah seragam pada elemen-elemen yang berkaitan.

Keempat, kepelbagaian tumbuhan yang dihasilkan perlu stabil , iaitu elemen-elemen yang berkaitan tidak berubah selepas semaian yang berulang.

Pendaftaran kepelbagaian tumbuhan memberi hak eksklusif kepada pemilik untuk mengeksploitasikan kepelbagaian tumbuhan tersebut secara komersil.

Ini termasuk menghasilkan, menghasilkan semula, menjual, mengimport , mengeksport dan menyimpan

8. Hak-hak di bawah Common Law

Undang-undang Common Law diterima pakai di Malaysia berasaskan peruntukan di bawah Akta Undang-undang Sivil 1956. Prinsip-prinsip di bawah Common law diperolehi melalui kes-kes yang diputuskan.

Dua jenis hak yang boleh dikuatkuasakan ialah:

a. Kekelirupaan (Passing Off)

Kekelirupaan merupakan kategori harta intelek yang mendapat perlindungan common law. Asas perlindungan ini diperolehi dari undang-undang torts berkaitan salahnyataan.

Salahnyataan di sini berlaku apabila seseorang menyatakan atau melakukan sesuatu yang menyebabkan orang lain secara salah menganggap barangan atau perkhidmatan yang diberikan adalah kepunyaan orang tersebut.

Undang-undang ini biasa diguna pakai oleh pihak yang mana nama atau tanda niaga yang digunakan tidak mendapat perlindungan di bawah undang-undang cap dagangan.

Syarat yang diperlukan ialah;

Pertama, terdapatnya nama atau reputasi baik yang timbul di atas penggunaan nama, simbol atau logo yang diguna pakai oleh seseorang peniaga itu ke atas barangan atau perkhidmatannya.

Kedua, terdapat salahnyataan, samada dalam bentuk percakapan atau penulisan yang menyebabkan kekeliruan pada orang ramai terhadap barangan dan perkhidmatan.

Ketiga, terdapat kerugian yang berlaku pada pihak pemilik nama baik (good will) dalam bentuk kehilangan jualan dan kerosakan nama baik.

b. Kerahsiaan (Trade Secret)

Kerahsiaan maklumat merujuk kepada maklumat yang bersifat rahsia. Dalam konteks harta intelek, rahsia perniagaan merupakan maklumat yang perlu dilindungi.

Bagi perlindungan ini, tiada statut khusus yang boleh dirujuk, perlindungan undang-undang adalah berasaskan prinsip common law.

Rahsia perniagaan merupakan aset yang bernilai yang penting dalam memastikan kejayaan dan kelangsungan sesuatu perniagaan termasuk formula, teknik, kaedah yang dipakai dalam perniagaan, senarai pelanggan dan pembekal serta perancangan dan strategi perniagaan.

Seperti harta intelek yang lain, pemilik maklumat perlu memenuhi syarat-syarat tertentu sebelum perlindungan boleh diberikan.

Pertama, maklumat merupakan maklumat yang bersifat rahsia.

Kedua, maklumat itu diberi dalam keadaan yang menimbulkan tanggung jawab kerahsiaan.

Ketiga, terdapat penggunaan maklumat rahsia tanpa kebenaran. Sekiranya pemilik maklumat perniagaan ini memenuhi syarat di atas beliau boleh mengambil tindakan ke atas pihak yang memecahkan rahsia.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: 10 Harta Karun Yang Masih Belum Ditemui!

sumber: wikipedia | bicaradarikamar