Wednesday, October 18, 2017

Fungsi MyIPO Melindungi Jenama Peniaga Wajib Tahu!


Kesedaran mengenai pentingnya pemilikan terhadap nama perniagaan atau disebut juga sebagai harta intelek amat penting dan wajib diketahui oleh peniaga.

MyIPO
Gambar hiasan.

Di Malaysia, tugas itu digalas oleh Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), yang merupakan agensi di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).

Untuk makluman, perlindungan sedemikian memberi hak eksklusif kepada pemiliknya untuk dapat mengawal dan mengeksploitasi harta intelek mereka termasuklah hak membuat, mengguna, mengedar, menjual dan mengimport.

Mereka juga boleh mengambil tindakan mahkamah ke atas pihak yang didapati melanggar hak tersebut kerana ia dilindungi di bawah undang-undang paten, cap dagangan, hakcipta, reka bentuk perindustrian dan sebagainya.

Namun masih ramai pengguna yang kurang tahu mengenai hak harta intelek dan juga tidak menyedari kewujudan MyIPO sebagai sebuah organisasi bertanggungjawab dalam memberi perlindungan sedemikian di Malaysia.

Untuk rekod, harta intelek merujuk kepada hasil daripada idea atau minda seperti ciptaan, karya seni, simbol, jenama, imej dan reka bentuk yang digunakan dalam perniagaan di mana hak eksklusifnya diakui di bawah undang-undang berkaitan.

Hak eksklusif pula bermaksud hak memiliki dan mengeksploitasi sesuatu harta intelek tanpa sebarang ancaman daripada pihak lain seperti cetak rompak, barangan tiruan, penyalahgunaan tanpa kebenaran dan sebagainya.

Malah ia merupakan salah satu komponen penting dalam aspek pembangunan ekonomi negara.

Penghasilan harta intelek yang aktif berterusan dari semasa ke semasa akan meningkatkan aktiviti pelaburan dan perdagangan.

Antara sebab kenapa isu ini menjadi penting sekarang ialah kerana ada banyak kes peniruan produk industri yang dihasilkan tetapi faedahnya tidak dinikmati oleh pereka asal malah cuma menguntungkan pihak peniru itu sahaja.

Contoh mudah seperti jam, beg tangan, seluar jean dan kasut dengan jenama terkenal di pasaran. Penjualan produk ini boleh hakis sumber pendapatan si pengeluar asal yang memiliki cap dagangan sah ke atas barangan tersebut.

Menyedari betapa penting perkara ini, KPDNKK memperbadankan MyIPO pada 2003 yang sebelum itu dikenali sebagai Pejabat Cap Dagangan dan Paten dan kemudian Bahagian Harta Intelek pada 1990; bagi mengawal selia isu ini susulan penggubalan Akta Perbadanan Harta Intelek Malaysia 2002.

MyIPO berfungsi sebagai badan pemantau pelaksanaan undang-undang berkaitan harta intelek tempatan selain juga memberi nasihat dalam semakan semula dan mengemas kini perundangan berkaitan dengan harta intelek.

Pun begitu, individu atau syarikat perlu ada inisiatif untuk tampil daftar harta intelek dengan MyIPO kerana ia bukanlah wajib tetapi penting jika ada pihak ketiga cuba tiru produk sekali gus menjejaskan bisnes pihak asal.

Bayangkan kualiti barangan diciplak tersebut tidak sama seperti yang original, ia boleh menjejaskan kepercayaan pelanggan serta memberi kesan besar ke atas hasil perniagaan mereka sah pula dalam jangka masa panjang.

Di bawah undang-undang di Malaysia, antara harta intelek itu ialah paten iaitu hak eksklusif yang diberi terhadap suatu rekacipta, sama ada produk atau proses penghasilan cara baharu bagi membuat sesuatu perkara tertentu.

Ada juga harta intelek berbentuk cap dagangan yang boleh membezakan barangan atau perkhidmatan dikeluarkan oleh pihak lain seperti penggunaan perkataan, logo, gambar, nama, huruf, nombor atau kombinasi tersebut.

Jangan lupa ada harta intelek berupa reka bentuk perindustrian iaitu ciri bentuk, tatarajah, corak atau hiasan pada sesuatu barang melalui apa-apa proses pada barang siap yang menarik dan dinilaikan dengan pandangan mata.

Manakala petunjuk geografi adalah tanda harta intelek yang lazim digunakan ke atas sesuatu produk kerana ia mempunyai kualiti unik dan reputasi eksklusif tersendiri sehingga boleh dikaitkan dengan kawasan berkenaan.

Bagi karya seperti muzik, filem, sastera dan seni pula, ia boleh dilindungi di bawah Akta Hak Cipta 1987 yang melibatkan kepentingan penulis, pemilik hak cipta dan pelaku.

Sesungguhnya banyak faedah boleh diperoleh oleh peniaga apabila mereka berdaftar dengan MyIPO kerana status perlindungan akan diberikan kepada mereka mengikut kategori harta intelek masing-masing tertakluk di bawah Akta Hak Cipta 1987.

Bagi mereka yang ingin mencari maklumat lanjut mengenai MyIPO, bolehlah melayari laman sesawang rasmi www.myipo.gov.my atau akaun Facebook rasmi di www.facebook.com/ipmalaysia.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: mynewshub

2 comments

  1. Mmg penting terutama jika perniagaan itu berdaya maju dan mengelakkan pihak lain tiba2 buat jenama yg sama kemudian hari nanti.

    ReplyDelete
  2. Apakah syarat untuk mendapatkan hakcipta brand,berapakah bayaran serta berapa lamakah tempoh proses ini?

    ReplyDelete

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon