Friday, April 21, 2017

Jenis-jenis Harta Intelek


Harta intelek (intellectual property atau IP) merupakan istilah yang merujuk kepada beberapa jenis ciptaan fikiran berlainan yang hak esklusif diakui di bawah bidang undang-undang berkait.

Copyright

Di bawah undang-undang Harta intelektual, pemilik diberikan hak esklusif tertentu bagi pelbagai aset tidak nyata, seperti muzik, penulisan, dan karya seni; jumpaan dan ciptaan; dan perkataan, farsa, symbol dan reka bentuk.

Jenis biasa hak harta intelektual termasuk hak cipta, cap dagang, paten, hak reka bentuk dagangan dan rahsia perdagangan dalam sesetengah perundangan.

Harta intelek dalam bidang undang-undang merujuk kepada hasil kreativiti manusia yang merangkumi pelbagai perkara seperti karya muzik, sastera dan seni; rekacipta; dan simbol, nama, imej dan reka bentuk yang digunakan dalam perniagaan termasuk hak cipta, cap dagangan, paten dan hak-hak lain yang berkaitan.

Di bawah undang-undang harta intelek, pemegang salah satu dari harta-harta yang bersifat abstrak ini mempunyai hak-hak eksklusif tertentu untuk harta intelek yang mereka cipta.

Pembangunan harta intelek di dalam sesebuah negara akan meningkatkan tahap inovasi, ekonomi dan menganjaknya ke sebuah negara berasaskan ekonomi pengetahuan.

Kekuatan undang-undang harta intelek dalam sesebuah negara juga dikenal pasti sebagai faktor penting yang mempengaruhi pelaburan dari luar terutamanya untuk bidang perniagaan yang berasaskan pengetahuan.

Sungguhpun kebanyakan prinsip perundangan mengenai harta intelektual telah berubah selama beberapa abad, ia hanyalah pada abad ke-19 istilah hak milik intelektual mula digunakan, dan tidak sehingga akhir abad ke-20 ia menjadi meluas di kebanyakan dunia.

Statut Anne British 1710 dan Statut Monopolies 1623 kini dianggap sebagai asal hakcipta dan undang-undang paten berikutnya.

Harta intelek di Malaysia

Di Malaysia, harta intelek yang dilindungi di bawah undang-undan adalah paten, hakcipta, cap dagangan, rekabentuk perindustrian, petunjuk geografi dan reka bentuk susun atur litar bersepadu.

Varieti tumbuhan adalah komponen harta intelek dan ianya ditadbir oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani Malaysia.

Antara undang-undang yang melindungi harta intelek adalah:
  • Akta Cap Dagangan 1976
  • Akta Paten 1983
  • Akta Hakcipta 1987
  • Akta Rekabentuk Ciptaan Industri 1996

Undang-undang harta intelek di Malaysia yang ditadbir oleh MyIPO meliputi enam perkara, yang mana setiap perkara mempunyai statutnya yang tersendiri, iaitu:
  • Akta Hakcipta 1987
  • Akta Cap Dagangan 1972
  • Akta Paten 1983
  • Akta Reka Bentuk Perindustrian 1983
  • Akta Petunjuk Geografi 2000
  • Akta Susun Atur Litar Bersepadu 2000

Selain itu satu lagi akta ditadbirkan oleh Jabatan Pertanian Malaysia iaitu Akta Perlindungan Varieti Baru Tumbuhan 2004.

Di bawah Common Law terdapat dua jenis lagi prinsip harta intelekyang diterima di Malaysia iaitu: kekelirupaan (passing off) dan kerahsiaan (trade secret).

Berikut di berikan maklumat ringkas jenis-jenis berkenaan.

1. Hakcipta

Hakcipta merupakan hasil kegiatan dan ciptaan seseorang seperti gubahan lagu, penulisan novel, penulisan skrip drama atau filem dan rakaman bunyi.

Ia juga dipanggil harta kerana menepati konsep “sesuatu yang boleh dibeli, dijual, dipindahmilik, disewa bahkan diwasiat”.

Akta Hakcipta 1987 memperuntukkan perlindungan untuk karya-karya berhakcipta. Akta ini menggariskan karya-karya yang layak diberi perlindungan hakcipta (termasuklah program komputer), skop perlindungan, dan cara mana ianya diberikan perlindungan. Tiada sistem pendaftaran untuk karya-karya berhakcipta.

Tempoh perlindungan hakcipta untuk karya sastera, muzik dan seni adalah selama hayat pencipta dan 50 tahun selepas kematiannya.

Bagi karya-karya rakaman bunyi, siaran dan filem, perlindungannya adalah selama 50 tahun selepas karya-karya tersebut mulanya diterbitkan atau dizahirkan.

Akta ini juga memberi perlindungan kepada hak-hak pelaku dalam sesuatu persembahan yang dibuat secara langsung selama 50 tahun bermula dari tahun calendar berikutnya setelah ianya mula dipersembahkan.

Pada tahun 2003, Akta Hakcipta 1987 telah dipinda untuk memperkemaskan peruntukan-peruntukan penguatkuasaannya dimana pegawai-pegawai penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) diberi kuasa-kuasa menangkap (termasuklah penangkapan tanpa waran).

Sepasukan khas pegawai-pegawai KPDNHEP telah dilantik untuk menguatkuasakan Akta ini dan diberikan kuasa untuk memasuki mana-mana premis yang disyaki memiliki salinan-salinan langgaran dan kuasa untuk memeriksa dan merampas salinan-salinan langgaran dan apa-apa kelengkapan yang berkaitan dengannya.

2. Cap Dagangan

Cap dagangan ditakrifkan sebagai suatu cap yang digunakan atau dicadangkan untuk digunakan berhubung dengan sesuatu barang atau perkhidmatan bagi menunjukkan wujudnya suatu hubungan perdagangan di antara barang itu dengan tuan punya yang berhak untuk menggunakan cap tersebut sama ada dengan menunujukkan atau tidak menunjukkan identiti orang itu.

Cap termasuklah suatu tanda, jenama, kepala, label, tiket, nama, tandatangan, perkataan, huruf, angka atau apa-apa gabungannya.

Perlindungan cap dagangan diperuntukan di bawah Akta Cap Dagangan 1976 dan Peraturan-peraturan Cap Dagangan 1997. Akta ini memberi perlindungan kepada cap-cap dagangan dan cap-cap perkhidmatan di Malaysia.

Setelah sesuatu cap dagangan didaftarkan, tiada sesiapa selain daripada pemiliknya atau pengguna yang dibenarkan boleh menggunakannya. Tindakan pelanggaran boleh dimulakan ke atas mereka.

Tempoh sah perlindungannya ialah 10 tahun dan boleh diperbaharui bagi satu tempoh selama 10 tahun seterusnya.

Pemilik cap dagangan atau perkhidmatan berhak mengeksploit, menyerahhak atau melesenkan penggunaannya.

Malaysia melarang penggunaan cap-cap terkenal oleh pihak-pihak yang tidak diberi kuasa dan peruntukan langkah-langkah sempadan juga melarang cap-cap lancung (cap-cap tiruan) dari diimport ke Malaysia.

Malaysia telah menjadi ahli kepada Perjanjian Nice dan Vienna pada 28 Jun 2007 yang mula berkuatkuasa pada 28 September 2007.

Perjanjian Nice adalah merujuk kepada pentadbiran Klasifikasi Antarabangsa Barangan dan Perkhidmatan bagi tujuan pendaftaran cap dagangan dan perkhidmatan manakala Perjanjian Vienna merujuk kepada apa-apa klasifikasi cap yang mengandungi elemen bergambar.

Kedua-dua Perjanjian adalah penting untuk memudahkanprosedur pendaftaran cap dagangan.

3. Paten

Paten merupakan hak ekslusif yang diberikan terhadap suatu reka cipta, sama ada produk ataupun proses untuk menghasilkan cara baru bagi membuat sesuatu ataupun penyelesaian teknikal terhadao sesuatu masalah.

Perlindungan paten di Malaysia diperuntukkan di bawah Akta Paten 1983 dan Peraturan-peraturan Paten 1986.

Suatu rekacipta boleh dipatenkan jika ianya adalah baru, melibatkan langkah-langkah merekacipta dan boleh digunakan dalam industri.

Sesuatu permohonan paten adalah dibuka untuk pemeriksaan awam selepas tempoh 18 bulan dari tarikh prioriti atau tarikh pemfailan permohonan .

Akta Paten 1983 memberi perlindungan paten selama 20 tahun dari tarikh pemfailan, manakala tempoh perlindungan perakuan perbaharuan utiliti adalah 10 tahun dari tarikh pemfailan dan boleh dilanjutkan kepada lima tahun dan seterusnya lima tahun lagi bergantung kepada penggunaannya.

Pemunya paten berhak untuk mengeksploitasi rekaciptanya,menyerahhak atau memeterai kontrak lesen.

Akta Paten 1983 membenarkan lesen wajib dan pengimportan produk yang dipaten yang telah dipasarkan di negara luar (parallel import).

Kerajaan berhak melarang pemberian paten atas alasan moral atau public order. Akta Paten1983 telah dipinda pada tahun 2003 untuk memasukkan peruntukan membenarkan pengimportan di bawah skop lesen wajib.

Malaysia telah menjadi ahli kepada PCT pada 16 Mei 2006 dan berkuatkuasa pada 16 Ogos 2006 MyIPO bertindak sebagai Pejabat Penerima bagi pemfailan antarabangsa permohonan paten dimana permohonan tersebut boleh difailkan di MyIPO.

4. Rekabentuk Perindustrian

Reka bentuk perindustrian merujuk kepada aspek hiasan atau estetik sesuatu barang yang boleh terdiri daripada daripada ciri tiga dimensi seperti bentuk dan tatarajah sesuatu barang atau ciri dua dimensi seperti corak dan hiasan.

Perlindungan reka bentuk perindustrian di Malaysia diperuntukan di bawah Akta Reka Bentuk Perindustrian 1996 dan Peraturan-peraturan Reka Bentuk Perindustrian 1999.

Akta ini memberikan hak perlindungan kepada reka bentuk perindustrian berdaftar sebagai harta persendirian yang boleh dibuat melalui penyerahhak.

Pendaftaran boleh dibuat sekiranya reka bentuk perindustrian tersebut adalah baru dan tidak termasuk kaedah atau prinsip pembinaan atau reka bentuk berkenaan tidaklah ditentukan semata-mata oleh fungsi.

Reka bentuk berkenaan tidak boleh bergantung kepada rupa suatu barang lain yang mana menjadikannya suatu bahagian yang perlu dalam barang tersebut.

Suatu reka bentuk perindustrian berdaftar diberi perlindungan selama 5 tahun dari tarikh pemfailan.

Perlindungan boleh dilanjutkan selama dua tempoh dimana setiap tempoh perlindungan adalah selama 5 tahun, menjadikan tempoh maksima perlindungan 15 tahun.

5. Petunjuk Geografi

Akta Petunjuk Geografi 2000 memperuntukkan perlindungan ke atas barangan yang memberi indikasi dari mana barangan itu berasal, di mana kualiti, reputasi atau lain-lain ciri barangan tersebut dikaitkan dengan tempat asal barangan tersebut dikeluarkan.

Petunjuk geografi melindungi barangan seperti wain dan spirit, barangan keluaran semulajadi atau pertanian atau apa-apa keluaran kraftangan untuk industri.

Petunjuk geografi yang bertentangan dengan ketenteraman awam atau prinsip moral tidak boleh dilindungi dibawah akta ini.

Untuk mendaftar permohonan petunjuk geografi, pemohon hendaklah seorang yang menjalankan aktiviti sebagai pengeluar dalam kawasan geografi tersebut termasuk suatu kumpulan atau kumpulan-kumpulan orang sedemikian, suatu pihak berkuasa yang berwibawa atau suatu organisasi atau persatuan perdagangan.

Tempoh perlindungan petunjuk geografi adalah selama 10 tahun dan boleh diperbaharui setiap 10 tahun.

6. Reka Bentuk Susun Atur Litar Bersepadu

Akta Reka Bentuk Susun Atur Litar Bersepadu 2000 memberi perlindungan kepada reka bentuk susun atur yang berdasarkan prinsip asli dan hasil rekacipta pencipta. Tiada sistem pendaftaran untuk perlindungan reka bentuk susun atur.

Tempoh perlindungan reka bentuk susun atur adalah selama 10 tahun dari tarikh mula ianya dieksploitasi secara perdagangan atau 15 tahun dari tarikh ianya dicipta sekiranya tidak dieksplotasi secara komersil.

Akta ini juga membenarkan tindakan diambil oleh pemilik sekiranya hak-hak tersebut yang diperuntukkan di bawah akta telah dilanggar.

Hak-hak tersebut juga boleh dipindahkan samada sebahagian atau sepenuhnya melalui penyerahak, perlesenan, wasiat atau atas kuatkuasa undang-undang.

7. Perlindungan Varieti Baru Tumbuhan

Kepelbagaian tumbuhan tersenarai sebagai perkara-perkara yang tidak boleh dipatenkan. Walaupun begitu, terdapat Akta khusus iaitu Akta Perlindungan Varieti Baru Tumbuhan 2004 yang memberi perlindungan kepada kepelbagaian tumbuhan yang dicipta oleh pembiak tumbuhan, peladang dan orang asli .

Perlindungan di bawah Akta ini boleh diperolehi melalui pendaftaran. Terdapat beberapa syarat yang perlu dipenuhi sebelum seseuatu pendaftaran itu boleh diterima.

Pertama, kepelbagaian tumbuhan itu perlu baru iaitu tiada kepelbagaian tumbuhan yang sama telah dijual di pasaran sebelum pendaftaran.

Kedua, ‘berbeza’ bermaksud kepelbagaian tumbuhan yang ingin didaftarkan perlu berlainan dari kepelbagaian tumbuhan yang diketahui ada di pasaran.

Ketiga, ‘seragam’ bermaksud tumbuhan yang dihasilkan perlulah seragam pada elemen-elemen yang berkaitan.

Keempat, kepelbagaian tumbuhan yang dihasilkan perlu stabil , iaitu elemen-elemen yang berkaitan tidak berubah selepas semaian yang berulang.

Pendaftaran kepelbagaian tumbuhan memberi hak eksklusif kepada pemilik untuk mengeksploitasikan kepelbagaian tumbuhan tersebut secara komersil.

Ini termasuk menghasilkan, menghasilkan semula, menjual, mengimport , mengeksport dan menyimpan

8. Hak-hak di bawah Common Law

Undang-undang Common Law diterima pakai di Malaysia berasaskan peruntukan di bawah Akta Undang-undang Sivil 1956. Prinsip-prinsip di bawah Common law diperolehi melalui kes-kes yang diputuskan.

Dua jenis hak yang boleh dikuatkuasakan ialah:

a. Kekelirupaan (Passing Off)

Kekelirupaan merupakan kategori harta intelek yang mendapat perlindungan common law. Asas perlindungan ini diperolehi dari undang-undang torts berkaitan salahnyataan.

Salahnyataan di sini berlaku apabila seseorang menyatakan atau melakukan sesuatu yang menyebabkan orang lain secara salah menganggap barangan atau perkhidmatan yang diberikan adalah kepunyaan orang tersebut.

Undang-undang ini biasa diguna pakai oleh pihak yang mana nama atau tanda niaga yang digunakan tidak mendapat perlindungan di bawah undang-undang cap dagangan.

Syarat yang diperlukan ialah;

Pertama, terdapatnya nama atau reputasi baik yang timbul di atas penggunaan nama, simbol atau logo yang diguna pakai oleh seseorang peniaga itu ke atas barangan atau perkhidmatannya.

Kedua, terdapat salahnyataan, samada dalam bentuk percakapan atau penulisan yang menyebabkan kekeliruan pada orang ramai terhadap barangan dan perkhidmatan.

Ketiga, terdapat kerugian yang berlaku pada pihak pemilik nama baik (good will) dalam bentuk kehilangan jualan dan kerosakan nama baik.

b. Kerahsiaan (Trade Secret)

Kerahsiaan maklumat merujuk kepada maklumat yang bersifat rahsia. Dalam konteks harta intelek, rahsia perniagaan merupakan maklumat yang perlu dilindungi.

Bagi perlindungan ini, tiada statut khusus yang boleh dirujuk, perlindungan undang-undang adalah berasaskan prinsip common law.

Rahsia perniagaan merupakan aset yang bernilai yang penting dalam memastikan kejayaan dan kelangsungan sesuatu perniagaan termasuk formula, teknik, kaedah yang dipakai dalam perniagaan, senarai pelanggan dan pembekal serta perancangan dan strategi perniagaan.

Seperti harta intelek yang lain, pemilik maklumat perlu memenuhi syarat-syarat tertentu sebelum perlindungan boleh diberikan.

Pertama, maklumat merupakan maklumat yang bersifat rahsia.

Kedua, maklumat itu diberi dalam keadaan yang menimbulkan tanggung jawab kerahsiaan.

Ketiga, terdapat penggunaan maklumat rahsia tanpa kebenaran. Sekiranya pemilik maklumat perniagaan ini memenuhi syarat di atas beliau boleh mengambil tindakan ke atas pihak yang memecahkan rahsia.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: 10 Harta Karun Yang Masih Belum Ditemui!

sumber: wikipedia | bicaradarikamar

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon