Sunday, August 13, 2017

Jangan Aibkan Anak Dengan Bin Binti Abdullah

Jangan Aibkan Anak Dengan Bin Binti Abdullah

Pernahkah kita terfikir apa perasaannya apabila mendapati nama kita berbin atau berbintikan Abdullah, sedangkan adik-beradik lain berbinkan nama bapa kita?

Isu Bin Binti Abdullah

Terfikirkah kita bagaimana individu itu hendak berhadapan dengan masyarakat sepanjang hidupnya dari sekolah sehinggalah berkahwin?

Bagaimana pula pandangan umum terhadap ibu bapanya pula? Ya, diakui mereka pernah melakukan kesilapan lalu tetapi bagaimana jika pasangan itu sudah bertaubat?

Bayangkan macam mana pula pasangan itu hendak mendidik anak-anaknya untuk menjadi baik, jika kisah lampau mereka terus terdedah?

Ikuti kupasan temu bual wartawan Utusan, Sharilfuddin Saari dengan Mufti Perlis, Prof. Madya Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin yang negeri Perlis mempunyai fatwa berbeza berkaitan soal Anak Tidak Sah Taraf.

Bolehkah Datuk jelaskan intipati fatwa yang dikeluarkan Jabatan Mufti Perlis berhubung kedudukan Anak Tidak Sah Taraf pada 2013?

MOHD ASRI: Saya nak jelaskan, Perlis bukan sahaja ada fatwa tentang Anak Tidak Sah Taraf iaitu yang membabitkan individu lahir kurang daripada enam bulan tempoh perkahwinan, bahkan perkara itu telah menjadi warta kerajaan pada 17 Januari 2013.

Dalam warta itu menyebut, mengikut Peruntukan Subseksyen 48 (6) Enakmen Pentadbiran Agama Islam 2006, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (Maips), setelah diperkenankan oleh Raja Pemerintah dan memaklumkan kerajaan negeri, dengan ini menyebabkan fatwa berikut disiarkan iaitu, “Anak yang lahir kurang enam bulan selepas ibunya berkahwin, boleh dibinkan kepada suami ibunya, kecuali jika dinafikan oleh si suami”.

Ini bermaksud, dalam kes pihak-pihak yang terlanjur lalu mereka berkahwin. Empat atau lima bulan (kemudian), seorang anak dilahirkan dan mereka nak binkan si anak dengan si suami iaitu bapanya (sedangkan persetubuhan berlaku sebelum perkahwinan), maka dalam fatwa kita, si anak boleh dibinkan kepada bapanya itu. Saya akan berikan hujah-hujah dan alasan yang disebutkan nanti.

Untuk pengetahuan, di Malaysia boleh (berbinkan si bapa) tetapi dengan syarat hanya (anak itu lahir) enam bulan dan ke atas.

(Contohnya) Kalau pasangan bersetubuh luar nikah tetapi selepas tujuh bulan kemudian lahirkan anak, maka dia dibenar berbinkan si bapa atas pandangan Mazhab Shafie dan seumpamanya. Namun Perlis melihat fatwa ulama yang lebih luas dalam hal ini.

Apakah kategori Anak Tidak Sah Taraf, boleh Datuk jelaskan?

MOHD ASRI: Yang pertama ialah Anak Tidak Sah Taraf disebabkan hukum (zina) dan yang kedua, disebabkan teknikal yang melibatkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN). Bagi melibatkan JPN, iaitu pasangan yang berkahwin di luar negara, tidak termasuk dalam fatwa Perlis.

Saya hendak jelaskan, kadang-kadang sijil (nikah) dan surat konsul telah dapat, tetapi di negara ini, ada negeri cuba menyusahkan dengan cara yang macam-macam, atas alasan kesalahan kahwin luar negara dan lain-lain lagi.

Lalu menyebabkan si anak tidak dapat didaftar dan JPN telah mendaftar seolah-olah anak itu tidak sah taraf (berbinkan Abdullah).

Ini merupakan satu bentuk ‘kezaliman’. Tidak dibinkan kepada si bapa sehingga menyebabkan orang menganggap si anak itu adalah anak di luar nikah.

Pihak pendaftaran secara tidak langsung macam menyebab orang menuduh orang lain berzina. Itu merupakan kesalahan besar dalam agama padahal dia (pasangan) tidak berzina pun.

Saya hendak beritahu, jika orang berkahwin secara sah, kamu tidak memberi (pendaftaran anak) sehingga orang lain menyangka si anak itu tergolong dalam Anak Tidak Sah Taraf, kamu termasuk dalam dosa menyebabkan orang lain menuduh orang (pasangan) berzina.

Konsul kita ada, mereka semak dan beri sijil, maka terima sahajalah. Jabatan agama pun kadang-kadang menyusahkan urusan pendaftaran.

Adakah kategori lain Anak Tidak Sah Taraf yang tidak boleh berdaftar dalam fatwa Perlis?

MOHD ASRI: Menurut fatwa kita juga, sekiranya dia (pasangan) tidak berkahwin, maka tidak bolehlah (mendaftar). Misalnya, si ibu melahirkan anak tanpa bapa langsung.

Di situ pada pandangan kita, tidak benarkan. Atau si anak lahir dan si bapa kata, anak itu bukan anak saya umpamanya, juga tidak boleh.

Apakah sebabnya fatwa ini dikeluarkan?

MOHD ASRI: Ini penting, saya harap wartawan dapat menjelaskannya. Islam adalah satu agama yang rahmat untuk semua.

Apa-apa sahaja fatwa yang menyebabkan dan membawa derita kepada manusia atau bencana, ia tidak boleh dianggap sebagai satu rahmat.

Walaupun kadang-kadang kita hormati pandangan ulama, tetapi kita mesti melihat kepada realiti yang ada. Di sana, ada beberapa pandangan ulama tentang hal ini.

Fatwa Perlis bukan bersendirian sebaliknya berasaskan pandangan para ulama, ada pandangan Hasan Al-Basri dalam hal ini, begitu juga Ibnu Khair, Ibnu Taimiyah, Ibnu Utsaimin dan Dr. Yusuf Al-Qaradawi yang sama dengan kita (fatwa Perlis).

Kerana kita berusaha untuk menutup aib. Kita kena lihat fenomena bagaimana ia berlaku.

Katakanlah satu pasangan telah terlanjur (berzina), kemudian mereka kahwin dengan pasangan yang sama dan lima bulan kemudian lahirlah seorang anak lalu bila dia nak pergi daftar, tidak boleh dibinkan kepada bapa.

Kononnya pihak yang berfatwa menggunakan alasan itu untuk mendenda si ibu dan bapa kerana berzina. Tetapi realitinya apa yang berlaku – mereka (pasangan) ini mungkin telah bertaubat lalu berkahwin.

Kemudian si anak membesar, ibu dan bapa mungkin sudah jadi orang baik dan hendak membesarkan anak dengan cara baik.

Dia (si anak) pula mendapat adik-adiknya yang lain dan mendapati dia berbinkan lain iaitu Abdullah manakala adik-adiknya mengikut nama si bapa, sebagai contoh Ridzwan.

Pastinya si anak itu bertanya kenapakah saya bin lain, dan adakah bapanya kena beritahu yang saya (bapa) dan ibu dahulu pernah buat benda jahat, sedangkan agama menyuruh menutup aib.

Dan bagaimana pula dia hendak mendidik anak-anaknya berbuat baik, esok si anak kata bapa, ibu pun buat benda jahat.

Kemudian menyebabkan aib itu didedahkan pula di sekolah. Apabila masuk sekolah menengah malu lagi, bapa dia mungkin sudah bertaubat.

Guru turut tahu ni anak luar nikah, (seterusnya) masuk universiti bangkit lagi. 30-40 tahun nak kahwin, bangkit lagi sedang mungkin pula bapa atau ibu sudah meninggal dunia.

Bayangkan aib diletakkan kepada seorang mangsa iaitu si anak.

Dalam Islam juga turut ditekankan supaya kita menjaga aib orang. Pandangan ustaz?

MOHD ASRI: Saya hendak tanya di manakah kebaikan fatwa ini yang memaksa untuk dibinkan dengan Abdullah, sedangkan realitinya hanya untuk memalu dan mematahkan semangat orang untuk menjadi baik selain membuka aibnya.

Keduanya, sekarang ini banyak kes seperti ini iaitu orang yang berbinkan Abdullah, jika semuanya nanti berbinkan Abdullah.

Kita ada bukan ribu tetapi puluhan ribu dan lama kelamaan, orang anggap zina ini suatu perkara biasa.

Dulu mungkin orang sembunyi-sembunyi tetapi sekarang, zina ini seakan-akan dicatatkan (berbinkan Abdullah), akhirnya semua orang akan tahu dan jadi kebiasaan macam di Barat.

Secara tidak langsung ia seakan-akan memberi galakan. (Nanti ada mengatakan) Tidak ada masalah pun buat dulu (zina) sebab ramai yang bin Abdullah. Ini tidak akan jadi aib lagi.

Saya nak tanya, kita sebenarnya hendak denda siapa dengan hukuman ini? Adakah kita hendak denda si ibu, tidak, kita menghukum anak. Sebab itu fatwa Perlis menyelamatkan perkara ini.

Saya nak tanya lagi dalam keadaan lain, kalau pasangan bukan Islam masuk Islam dan membawa anak-anaknya sekali, (mengapa) anak itu terus dibinkan kepada si bapa. Kita tidak tanya pula enam bulan ke empat bulan ke (kelahiran).

Mengapa ada pendekatan berbeza dan kita tidak pernah tanya pun? Oh! itu dulu sebelum dia masuk Islam.

Jadi ertinya, soal apakah yang hendak dicapai dengan penegasan fatwa ini yang menyusahkan kita. Sebab itu, susah juga hendak melepasi fatwa Perlis ini tetapi Alhamdulillah ada kes-kes di Mahkamah Syariah Perlis yang menang apabila cukup bukti.

Saya anggap Mahkamah Syariah Perlis mestilah mengikut fatwa Perlis. Jika tidak, ia melanggar titah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja Perlis (Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail) kerana itu merupakan warta negeri Perlis.

Saya ingin memberitahu rakyat Malaysia, sesungguhnya agama menyuruh kita menutup aib. Fatwa Perlis yang dikeluarkan ini tidak lain mempertanggungjawabkan pada orang berkenaan (pasangan berzina) untuk berkahwin, memberi ruang bagi mereka bertaubat serta berubah dan menutup keaiban.

Apakah asas pengeluaran fatwa Perlis dalam hal ini?

MOHD ASRI: Kita bersandarkan kepada hadis sahih Nabi SAW al-walad li-l-firash kerana ada kes pada zaman Baginda, berlaku perebutan nasab anak antara Sa’d bin Abi Waqqas dan Abd bin Zamah. Sa’d membuat tuntutan dengan mendakwa bahawa anak saudaranya, Utbah bin Abi Waqqas beritahu bahawa anak Zam’ah yang masih kecil sebenarnya adalah anaknya (Utbah).

Namun Abd bin Zam’ah membantah dengan menyatakan bahawa itu adalah anak bapanya, Zam’ah yang mengahwini ibu anak berkenaan. Sa’d mengukuhkan dakwaan dengan menyatakan anak berkenaan jelas menyerupai rupa Utbah.

Kes ini melibatkan wanita itu ‘tidur’ dengan orang lain tetapi kahwin dengan orang lain. Maka si anak (dilahirkan) menyerupai orang lain dan bukan suami wanita itu.

Kes ini dibawa kepada Nabi SAW dan baginda bersabda al-walad li-l-firash, anak dibinkan kepada suami yang ada. Walaupun rupa (fizikal anak) tidak menyokong. Melainkan orang itu (si suami) kata, ini bukan anak saya.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: utusan

Friday, August 11, 2017

Menuduh Orang Murtad Hanya Menjauhkan Manusia Daripada Agama

Menuduh Orang Murtad Hanya Menjauhkan Manusia Daripada Agama

Menuduh orang lain sebagai murtad tanpa bukti ibarat mengulangi sejarah Katolik dan raja menghukum pembaharu di Eropah, kata mufti Perlis.

Dr_Asri

Datuk Mohd Asri Zainul Abidin menegaskan Islam ditegakkan melalui dialog dan hujah, bukan sewenang-wenangnya menghukum "atas nama Tuhan".

Mengikut jejak gereja yang "tidak bijak" itu boleh menjauhkan lagi manusia daripada agama dan bukannya menguatkannya seperti diharapkan, katanya lagi.

"Menuduh orang murtad sebenarnya memerlukan penelitian dan bukti yang kukuh tanpa kepentingan dan fanatik.

"Islam adalah agama dialog dan hujah. Ia bukan agama perhimpunan untuk membantah orang lain bersuara.

"Itu perbuatan gereja yang telah menghasilkan natijah yang buruk dan melahirkan sikap anti-agama."

Sikap sedemikian, tambahnya, menyebabkan gereja Katolik dipertikaikan orang dan pemerintah yang bersama agamawan ditinggalkan rakyat.

Mohd Asri mengulas kemajuan Universiti Oxford yang bebas mendiskusi bidang ilmu dan mengangkat mereka yang dihukum sesat sebagai "mati syahid".

"Menuduh orang lain murtad juga secara semberono hanya mengulangi apa yang dilakukan oleh gereja Katolik," katanya.

"Natijahnya, lenyap kekuatan istana yang dipergunakan dan lenyap juga keyakinan manusia kepada agama itu sendiri. Apakah kita ingin mengulanginya?"

Beliau menerbit artikel lamanya itu bagi mengulas laporan media yang mendakwa kelompok Melayu yang dikatakan murtad akhir-akhir ini.

Walau tidak jelas, ia dipercayai susulan beberapa orang Islam yang didakwa menjadi ateis dan menyertai pertemuan Atheist Republic.

Kumpulan itu, yang berpangkalan di Vancouver, Kanada, mempunyai cawangan di banyak negara, termasuk Indonesia dan Filipina.

Orang Islam, ahli politik dan mufti risau jika gejala ini tidak dibendung, lebih ramai akan terlibat meninggalkan agama.

Dalam tulisan sama, Mohd Asri berkata penentang pembaharuan Kristian sering menggunakan nama Jesus dan istana.

"Padahal mereka bukan mempertahankan istana atau Jesus, mereka mempertahankan kedudukan istimewa mereka sebagai golongan agama," coretnya.

Menurut Dr Asri lagi, sebagai agama hujah, pengajaran dan dakwah Islam sepatutnya mampu menangani isu berkenaan tanpa memerlukan tindakan undang-undang dan serbuan daripada JAIS.

“Bukan hendak mmpertikaikan JAIS, namun untuk renungan kita umat Islam di Malaysia, sehingga bila kita hendak bergantung dengan undang-undang?

“Ertinya, pengajaran dan dakwah kita perlu disemak semula,” katanya lagi.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: Benarkah Malaysia Memusuhi Homoseksual Dan Pelaku Murtad?

sumber: TMO

Saturday, July 29, 2017

Nama Bapa Wajib Dikekalkan Apabila Masuk Islam, Jawatankuasa Syariah Negeri Perlis

Nama Bapa Wajib Dikekalkan Apabila Masuk Islam, Jawatankuasa Syariah Negeri Perlis

Apabila isu nama bapa wajib dikekalkan seperti yang dibincangkan oleh Jawatankuasa Syariah Negeri Perlis, ramai yang cuba mengambil bahagian memperkatakannya.

Isu Bin, Binti Bukan Bapa

Sehingga orang yang telah lama disepikan pun, termuncul membuat kenyataannya di dada media. Emosi dan sentimen juga dengan aktifnya menempatkan diri.

Ada yang menunggu ‘bola tanggung’ merasakan barangkali inilah peluang yang dinantikan. Saya katakan: sabar dulu.

Isu ini sebenarnya bukanlah fatwa saya secara individu. Sebaliknya keputusan sebulat suara ahli jawatankuasa yang terdiri daripada dua belas anggota yang hadir.

Sebahagian besar mereka adalah pensyarah universiti dalam bidang-bidang pengajian Islam yang berbagai dan ramai yang memiliki Ph.D mereka yang tersendiri.

Alhamdulillah, Perlis mempunyai anggota fatwa yang teramai. Maka, tidak wajar untuk dianggap ia sesuatu yang dibincangkan sepintas lalu tanpa penelitian.

Hanya Di Malaysia

Memang, isu ini agak unik dan istimewa. Antara yang paling menyebabkannya istimewa, adalah penukaran nasab seorang yang menganut Islam kepada Abdullah hanya berlaku di negara melayu kita ini.

Yang pasti, hal seperti ini tidak berlaku di negara-negara Arab atau Indonesia yang besar itu.

Justeru, di negara ini jika ada persatuan saudara baru yang ratusan anggotanya, maka kesemua mereka pasti ber‘bin’ yang sama, iaitu ‘Abdullah’.

Jika ada sepuluh yang bernama Ahmad, maka amatlah keliru untuk ditentukan Ahmad yang mana satu, kerana kesemua mereka ‘Ahmad bin Abdullah’.

Maka –barangkali- terpaksalah pihak pengurus persatuan menghafal nambor kad pengenalan mereka.

Begitu juga jika sepasang suami isteri menganut Islam, maka bertukarlah mereka menjadi insan-insan yang nama bapanya sama; Abdullah.

Tidak Pada Zaman Sahabat

Pada zaman Nabi s.a.w., jika baginda amalkan hal ini, tentulah majoriti para sahabah akan ber’bin’kan Abdullah. Maka tidak adalah lagi disebut ‘Umar bin al-Khattab, sebaliknya ‘Umar bin Abdullah, tidaklah lagi Uthman bin ‘Affan, sebaliknya ‘Uthman bin Abdullah. Juga tidak adalah lagi ‘Ali bin Abi Talib, sebaliknya ‘Ali bin Abdullah. Sebab, kesemua bapa mereka tidak menganut Islam.

Namun apa yang berlaku tidak sedemikian rupa. Ya, baginda menukar nama-nama buruk individu yang menganut Islam tetapi mengekalkan hakikat ‘bin’ mereka.

Sedangkan orang Arab begitu menjaga dan menyebut titis keturunan mereka sehingga ke beberapa peringkat.

Umpamanya, jika kita membuka kitab yang masyhur, Riyadh al-Salihin, karangan al-Imam al-Nawawi (meninggal 676H) hadith pertama daripada ‘Umar bin al-Khattab.

Al-Imam Al-Nawawi menyebut: “Amir al-Mukminin, ‘Umar bin al-Khattab bin Nufail bin Abd al-Uzza…” ‘Abd al-‘Uzza bermaksud hamba berhala al-‘Uzza. Jika lihat nama datuk nabi “… bin Kilab”. Kilab bermaksud anjing-anjing. Islam tidak mengubah sesuatu hakikat yang pasti.

Kaitan Akidah

Ada yang cuba mengaitkan isu ini dengan akidah. Seakan Fatwa Perlis tidak fikir tentang akidah. Bimbang jika bapanya bernama dengan nama syirik maka akan menjejaskan akidah anaknya yang menganut Islam.

Alangkah lemah cara fikir yang seperti itu. Tidakkah dia tahu, bapanya itu bukan sahaja bernama dengan nama yang syirik, bahkan pengamal kesyirikan.

Apakah jika Gopal a/l Subramaniam yang menganut Islam maka setelah nama Gopal ditukarkan kepada Marwan umpamanya, maka Subramaniam yang tidak meredhai Islam ini juga hendak ditukar?!

Maka setiap kali kita berjumpa Subramaniam, kita kena panggil dia ‘Wahai Abdullah’, kerana bimbang jika dipanggil Subramaniam maka rosak akidah anaknya Marwan?!

Sesungguhnya kesyirikan tiada kaitan dengan semua itu! Kalau kerana nama Subramaniam menyebabkan Marwan rosak akidahnya, apakah jika Subramaniam pergi ke kuil, Marwan anaknya yang masuk Islam pun menjadi kufur?! Tidakkah itu lambang pemikiran yang langsung tidak faham konsep akidah!

Kenapa Ditimbulkan?

Ada yang tanya kenapa hendak ditimbulkan isu ini? Dah lama dah kita amalkan. Kita beritahu bahawa sesuatu perkara yang dibawa ke perbincangan fatwa negeri tentu ada sebabnya.

Sama ada ia disebabkan pertanyaan, atau kekeliruan orang ramai mengenai soal hukum-hakam syarak. Maka ia pun dibahaskan.

Di sini saya sebutkan secara ringkas dua alasan utama keputusan tersebut dibuat. Pertama; Nas al-Quran dan al-Sunnah yang melarang hal tersebut.

Firman ALLAH s.w.t:

(maksudnya): Panggilah mereka itu (dengan ber”bin”kan) kepada bapa-bapa mereka sendiri; cara itulah yang lebih adil di sisi Allah. Jika kamu tidak mengetahui bapa-bapa mereka, maka panggilah mereka sebagai saudara-saudara kamu seagama dan sebagai “maula-maula” kamu. Kamu pula tidak dikira berdosa dalam perkara yang kamu tersilap melakukannya, tetapi (yang dikira berdosa itu ialah perbuatan) yang disengajakan oleh hati kamu. Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (Surah al-Ahzab: 5).

Kata al-Imam al-Tabari (meninggal 310H) dalam Tafsir al-Tabari menyebut, “Ayat ini adalah dalil bahawa tidak boleh menasabkan seseorang kepada bukan bapanya. Hadith-hadith juga begitu keras menegahnya”.

Dalam hadis-hadis Nabi s.a.w., hal ini banyak disebut.

Antaranya, “Sesiapa yang mengaku anak kepada bukan bapanya, sedangkan dia tahu itu bukan bapanya, maka syurga haram ke atasnya” (Riwayat al-Bukhari).

Juga sabda baginda, “Antara pendustaan terbesar ialah seseorang mengaku anak kepada bukan bapanya.” (Riwayat al-Bukhari).

Menghormati Hak

Kenapa Islam melarang hal ini? Sebabnya kerana Islam ialah agama menghormati dan memelihara hak manusia. Islam ialah agama yang tidak pernah menipu hakikat.

Seorang bapa, walau siapapun dia, dia tetap bapa sebab, benihnya yang sah itulah yang menghasilkan keturunannya. Bukan benih orang lain. Maka anak yang lahir itu berkait dengannya.

Selepas itu adanya hukum-hakam berhubung dengan hak, perkahwinan dan harta.

Menolak bapa yang hakiki, atau menidakkannya seakan dia tidak wujud boleh menyebabkan kekeliruan keturunan manusia, bercelaru dalam perkahwinan dan penafian tanggungjawab kekeluargaan.

Sedangkan Islam adalah agama penegak keadilan hak dan penyebar kesejahteraan insan.

Kata Dr Wahbah al-Zuhaili dalam karya al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, “Keadilan dan hak menuntut dan mewajibkan agar dinasabkan anak kepada bapanya yang hakiki. Bukan kepada bapa rekaan. Islam agama hak dan keadilan…sesiapa yang ada bapa yang diketahui, maka nasabkan kepada bapanya. Sesiapa yang tidak diketahui bapanya, maka dipanggil maula atau saudara seagama. Ini semua demi mencegah pengubahan hakikat sebenar”. (7/674, Damsyik: Dar al-Fikr 1989).

Inilah agama yang lurus. Sehingga Abu Bakr al-Jazairi dengan lebih sinis dalam tafsirnya Aisar al-Tafasir menyebut, “Wajib membinkan anak-anak angkat kepada bapanya yang dikenali sekalipun bapanya seekor kaldai”.

Justeru itu, baginda Nabi s.a.w hanya mengubah nama individu yang menganut Islam, jika namanya mengandungi makna yang buruk, tetapi tidak mengubah bapanya.

Umpamanya baginda mengubah nama sahabah Abd al-Syams bin Sokhr kepada Abd al-Rahman bin Sokhr. Ini kerana ‘Abd al-Syams bermaksud hamba matahari. Namun Sokhr yang bermaksud batu dikekalkan.

Bahkan baginda tidak mengubah bapa seorang sahabah yang bernama Abdullah bin ‘Abd al-Asad. Bapanya bernama ‘Abd al-Asad yang bermaksud hamba singa. Baginda tidak mengatakan diubah nama bapa kerana takut rosak akidah.

Sesiapa yang mahu pendetilan boleh tanya kepada ahli-ahli hadis yang menguasai Kutub al-Tarajim atau dia sendiri boleh merujuk kepada buku-buku al-Tarajim yang membincangkan biodata tokoh-tokoh yang disebut dalam sejarah Islam.

Ini seperti kitab Al-Isobah fi Tamyiz al-Sahabah karangan al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani, atau Siyar A’lam al-Nubala, karangan al-Hafiz al-Zahabi dan puluhan yang lain.

Jika demikian tindakan Nabi s.a.w dan para sahabah, apakah kita lebih faham Islam dibandingkan baginda dan para sahabahnya?!

Apakah kita ingin katakan baginda tidak menjaga akidah sehingga membiarkan sahabahnya kekal berbinkan “hamba singa”?!

Aduhai para pengulas isu ini! Luaskan bacaan kita dan janganlah terlebih lajak dari lajunya.

Jaga Imej Islam

Kedua; isu ini timbul kerana kita ingin memelihara nama baik Islam. Pada zaman ini Islam diserang dengan berbagai tuduhan. Sering disalahanggap kononnya Islam tidak menghormati hak.

Di negara kita ramai bukan Islam menganggap Islam tidak adil kerana menghapuskan hubungan antara anak dan bapa.

Ada bapa yang sebut kepada anaknya yang baru masuk Islam, “awak masuk Islam, saya yang berjasa pada awak pun awak buang. Nama saya pun sudah tidak ada lagi. Siapa itu Abdullah bapa baru awak?!!”

Maka mereka bertambah anti kepada Islam dan takut jika anak-anak mereka menganut Islam. Ada yang ingin masuk Islam, tersekat disebabkan bantahan atau sayangkan keluarga. Lebih parahlah jika nama keluarganya disuruh buang!

Islam sebenarnya menyuruhkan anak melakukan kebaikan kepada kedua ibubapa sekalipun keduanya tidak menganut Islam.

Bahkan sekalipun kedua berusaha agar anaknya keluar meninggalkan Islam. Namun perintah ALLAH agar seorang anak berbuat baik dengan kepada ibubapanya terus kekal. Cuma jangan taat dalam perkara syirik, kufur dan maksiat.

Lihat firman ALLAH dalam Surah Luqman ayat 15:

(maksudnya) “Dan jika kedua ibubapa mendesakmu supaya engkau mensyirikkan denganku sesuatu yang engkau (dengan fikiran warasmu) tidak mengetahui sungguh adanya maka janganlah engkau taat kepada kedua; dan bergaulah dengan mereka di dunia dengan cara yang baik...”

Soalan yang wajar diajukan; apakah termasuk dalam bergaul dengan ibubapa secara baik dalam urusan dunia ini -seperti yang diperintahkan dalam ayat di atas- jika kita menanggalkan ‘berbinkan’ mereka.

Atau menukar nama mereka tanpa pengiktirafan mereka atau mereka menafikan ‘bin’ yang baru itu sebagai nama mereka.

Tidakkah tindakan itu mengguris hati mereka tanpa sebab yang diizinkan. Sedangkan seseorang diperintahkan berbuat baik kepada kedua ibubapa sekalipun keduanya bukan muslim. Islam agama yang mengenang jasa dan hak.

Lebih dari itu, tidakkah tindakan itu boleh menjadikan mereka membenci dan bersangka buruk terhadap Islam?! Bukankah menjadi kewajipan kita mempertahankan imej Islam ini?!

Maka, perbincangan Fatwa Perlis itu bagi saya mempunyai kemunasabahan yang kuat. Sekalipun amalan itu sudah lama, bukan bererti ia mesti dikekalkan dan tidak boleh diubah.

***

Kata tokoh melayu yang disanjung, Pendita Za’ba, dalam bukunya yang hebat, “Perangai Bergantung Kepada Diri Sendiri” yang ditulis pada tahun 30-an;

Maka hanyalah pada zaman-zaman yang akhir semenjak beberapa ratus tahun yang lalu ini sahaja orang-orang alim Islam hampir-hampir semuanya di serata dunia tidak lagi mempunyai semangat kesendirian kebolehan dan kelayakan untuk berbuat seperti pelopor-pelopor mereka yang dahulu kala itu.

Ya, jika dicari sangat sedikit boleh didapati yang tahu dan boleh bersendiri, atau berani bersendiri; melainkan di mana-mana pun akan didapati mereka itu hanya biasa tertaklid sahaja dan kebanyakan daripada itu pula ialah bertaklid buta!

Malangnya jika ada siapa-siapa yang mencuba berbuat seperti pakar-pakar Islam dahulu kala itu – iaitu melepaskan diri daripada kongkong taklid dan balik kepada Quran dan Hadis dengan kehendak-kehendak zaman dan hal-hal keadaan yang telah berubah sekarang – maka terus dilempar mereka akan dia dengan kata-kata yang tidak selayaknya seperti “sesat dan menyesatkan, memandai-mandai, membawa bidaah, mengubah-ngubah daripada jalan yang telah diatur oleh pakar-pakar dahulu kala itu (nenek moyang), tidak ada rupa hendak melebih daripada orang dahulu-dahulu” dan berbagai-bagai lagi.

Yang betulnya duduklah juga membeku di tempat yang ada itu!! Mungkin juga kerana mereka sendiri tiada upaya membuatnya maka mereka tiada suka kalau ada orang lain pula dapat berbuat. (m.s 33, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka 2005).

***

Nota editor: Keputusan Jawatankuasa Syariah Negeri Perlis yang dipengerusikan oleh penulis selaku Mufti Kerajaan Negeri Perlis bertarikh 10 Mac 2007. Keputusan itu telah menimbulkan isu hangat di seluruh media negara termasuk di Singapura.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: Tiada Dalil Menukar Nama Bapa Apabila Masuk Islam

sumber: drmaza

Monday, June 05, 2017

Benarkah Mengorek Telinga Dan Hidung Membatalkan Puasa?

Benarkah Mengorek Telinga Dan Hidung Membatalkan Puasa?

Mufti Perlis, Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin berkata, tanggapan bahawa perbuatan mengorek lubang hidung atau telinga akan membatalkan puasa sekadar menyusahkan umat Islam yang berpuasa.

batal puasa

Antara anggapan yang tidak tepat ialah menyatakan semasa puasa tidak boleh atau membatalkan puasa memasukkan apa-apa benda ke dalam mata, telinga dan mulut sekalipun bukan makanan dan minuman.

Ini menyebabkan mereka yang gatal telinga ataupun hidung menderita sepanjang hari berpuasa. Ia berlawanan dengan sifat Islam yang mudah, katanya di Facebook.

Mohd. Asri berkata, perbuatan memakai celak dan menggunakan eye drops juga tidak membatalkan puasa seseorang muslim.

“Demikian juga memakai minyak rambut dan minyak urut sekalipun sifat minyak itu mudah meresap ke dalam kulit,” katanya.

Sehubungan itu, segelintir netizen mendesak supaya pembelajaran bab puasa di sekolah-sekolah agama diubah kerana umat Islam Malaysia selama ini telah dididik dengan ajaran yang salah tentang amalan berpuasa.

BACA INI JUGA: Adakah Muntah Menyebabkan Batal Puasa?

sumber: mynewshub

Friday, January 06, 2017

Mufti Perlis Kata BR1M Bukan Rasuah

Mufti Perlis Kata BR1M Bukan Rasuah

Mufti Perlis, Prof Madya Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin turut berpendapat bahawa Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) bukan berunsur rasuah, malah rakyat tidak perlu mempersoal status halal atau haramnya.

Mufti Perlis

Beliau berkata masyarakat perlu jelas tentang makna rasuah yang bermaksud sesuatu pemberian berupa wang atau barangan daripada individu kepada seseorang yang lain bagi mendapat suatu ganjaran untuk kepentingan pemberi.

“Dalam soal bantuan BR1M, pihak yang memberi itu tidak pula menyatakan mereka mahu sesuatu ganjaran atau timbal balik daripada penerima, sebaliknya memaklumkan ia merupakan pemberian berupa bantuan.

“Malah bantuan itu diberi khusus bagi meringankan beban penerima, jadi konsep berkenaan bukanlah satu rasuah,” katanya pada kuliah mingguannya di Masjid Alwi.

Beliau menjawab soalan yang dikemukakan jemaah.

Mohd Asri berkata seseorang penerima sumbangan tidak wajar bertanyakan pihak pemberi tentang sumber wang berkenaan.

“Sebagai contoh, seseorang peniaga bertanya pembeli daripada mana wang yang digunakannya untuk membayar barang yang dijual kepadanya dan adakah wang itu halal atau haram.

“Sebagai penerima mereka boleh menerima wang daripada seseorang sama ada atas urusan jual-beli, pemberian bantuan atau sedekah tanpa perlu mencari asal usul daripada mana wang itu diperolehi,” katanya.

Beliau turut memberi contoh Nabi Muhammad SAW juga pernah menerima sumbangan wang daripada pemimpin Yahudi dan tidak bertanya dari mana sumber pemberian itu diambil. -bernama

Kalau BR1M Rasuah, Bagaimana Untuk Menerima Tetapi Tetap 'Halal'?

BR1M Rasuah

Pemberian BR1M dikaitkan dengan unsur rasuah dan perbuatan yang menyalahi undang-undang berikutan Najib sendiri dalam Perhimpunan Agung UMNO yang lalu mengatakan pengagihannya akan dilakukan melalui pejabat UMNO bahagian-bahagian di seluruh negara.

Duit BR1M adalah duit rakyat yang diperolehi melalui cukai, termasuk GST. Ia bukan duit UMNO atau wang derma yang diperolehi oleh Najib. Bermakna, bukan saja semua rakyat yang layak berhak menerimanya, bahkan ia tidak boleh sama sekali dikaitkan dengan UMNO, BN atau mana-mana parti politik.

Apabila diberikan melalui pejabat UMNO, ia sudah mengarah kepada unsur rasuah. Sudah tentu ia diberikan dengan harapan dibalas dengan undi.

Ketua-Ketua UMNO bahagian yang menyampaikan sumbangan pasti akan mengambil kesempatan bercakap atau memberikan sepatah dua kata kepada penerima BR1M dalam bentuk merayu serta meminta undi daripada mereka.

Kepada penerima BR1M yang dikenal pasti tidak menyokong UMNO dan BN, ia akhirnya turut terdedah kepada unsur ugutan atau kata-kata yang kasar agar wang yang diterima dibalas dengan sokongan.

Dengan yang demikian, BR1M adalah merupakan pemberian yang diminta balasannya, bukan lagi untuk semata-mata membantu rakyat yang kesusahan. Jadi, unsur rasuah tidak lagi dapat dielakkan.

Tidak seperti bantuan tunai kepada warga emas atau bekalan air percuma yang diberikan di Pulau Pinang dan Selangor, ia disalurkan secara terus atau melalui pejabat kerajaan yang berkaitan tanpa melibatkan sama sekali sama ada DAP dan PKR.

Untuk mengelakkan BR1M dikaitkan dengan unsur rasuah atau penerimanya mungkin berasa was-was kerana bimbang menerima wang haram, jalan mudahnya ialah mereka mesti tidak memberi undi kepada BN dalam pilihanraya akan datang.

Mereka mesti membuktikan bahawa sekali pun diberikan BR1M, undi tetap tidak diberikan kepada BN. Ia dengan sendirinya menyebabkan wang BR1M itu terkeluar daripada definisi rasuah. -shahbudin

BACA INI JUGA: Kenapa Tun Mahathir Menganggap Pemberian BR1M Rasuah Kepada Rakyat?

Monday, November 14, 2016

Benarkah Nama Damia Bermaksud 'Tempat Keluar Darah'?

Benarkah Nama Damia Bermaksud 'Tempat Keluar Darah'?

Mufti Pulau Pinang, Datuk Dr Wan Salim Wan Mohd Noor mengesahkan telah menerima permohonan pertukaran nama ‘Damia'.

Damia bukan bahasa arab

Pihaknya terpaksa meneliti nama berkenaan setelah dirujuk oleh Jabatan Pendaftaran Negeri (JPN) Pulau Pinang untuk menjelaskan perkara tersebut.

“Seseorang yang asal namanya Nur Damia Sufiyya memohon daripada JPN untuk menukar namanya kepada Putri Nur Safiyya.

“JPN seperti kelazimannya merujuk kepada pihak kami kerana ia melibatkan orang Islam dan melalui semakan kamus berbahasa Arab dan mendapati perkataan ‘Damia’ bermaksud tempat keluar darah iaitu مخرج الدم,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjelaskan isu surat daripada Jabatan Mufti Pulau Pinang yang menjadi viral di laman sosial termasuk Facebook dan juga WhatsApp.

Melalui surat bertarikh 7 November 2016 itu, Wan Salim yang mewakili jabatan mufti memberi penjelasan kepada JPN Pulau Pinang bahawa permohonan pertukaran nama baru berkenaan adalah perlu bagi mengelakkan kekeliruan dan fitnah.

Tulis Wan Salim lagi, ia memandangkan nama sedia ada pada pemohon iaitu Damia, membawa maksud kurang baik iaitu tempat keluarnya darah.

Surat berkenaan kemudiannya tersebar luas di laman sosial sehingga menjadi perbalahan di kalangan netizen.

Damia
Surat dari jabatan mufti yang menjadi viral di media sosial.

Malah ada ibu-bapa yang mempunyai nama anak Damia tidak bersetuju dan menganggap maksud sebenar Damia ialah bijaksana.

“Saya pun tidak tahu dari mana mereka ambil makna tersebut kerana beberapa kamus Bahasa Arab yang dirujuk, Damia memberi maksud tempat keluar atau mengalirnya darah.

“Perkataan ini berpangkal daripada perkataan damun (دم) yg bererti darah,” katanya.

Mufti Pulau Pinang itu menegaskan sepatutnya pemberian nama kepada anak perlu dirujuk kepada individu yang lebih arif termasuk alim ulama.

“Jangan beri nama anak yang sedap didengar sahaja. Malah ada yang berikan nama ‘Bahimah’ (binatang), Zani (penzina), Syarrul Bariyyah (sejahat-jahat makhluk) dan sebagainya.

“Bagaimanapun, melalui isu ini, ia ditujukan khas kepada kes pemohon saja.

"Tapi jika orang ramai hendak menukar nama sendiri atau nama anak-anak yang sebelum ini membawa maksud tidak baik, kami alu-alukan dan terpulanglah kepada masing-masing,” katanya. -SH

Penjelasan Dr MAZA, Benarkah Nama Damia Bermaksud Tempat Keluarnya Darah?

Dr Asri

Susulan surat sokongan Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang yang tersebar di media sosial mendakwa nama Damia membawa maksud yang tidak baik, Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin atau Dr Maza tampil memberikan penjelasannya.

Ramai sangat yang email tanya tentang nama DAMIA. Tidak pasti mengapa ditimbulkan. Secara umumnya dalam kesibulan ini, saya ringkaskan seperti berikut;

DAMIA bukan berasal dari perkataan Arab. Damia mungkin berasal dari Bahasa Greek. Di dalam bahasa Arab ada perkataan DAMM دم bermaksud darah. Boleh disebut DAMIYA دمي dalam bentuk fi'l (verb) tapi Arab tidak dijadikan ia nama.

Orang Arab juga ada menulis DAMIA yang mungkin bermaksud دامعة ataupun دميعة yang berasal dari دمع iaitu tangis. Maka ia bermaksud yang menyebabkan menangis dan sering menangis. Mungkin juga boleh difahami bermaksud yang halus perasaannya.

Maka saya simpul tulisan nama DAMIA yang telah dipakai di seluruh dunia itu bukan dari akar perkataan Arab. Mengandaikan DAMIA dengan maksud darah kotor sama sekali TIDAK tepat.

Jika kita mahu anggap semua perkataan dalam bahasa Arab maka kita mungkin ada sedikit kesukaran. Nama MAT jika diandaikan dalam bahasa Arab dari kalimat MAT مات maka bermaksud mati. Itu dalam bentuk fi'il (verb). Perkataan SHAH jika diandaikan perkataan Arab شاة SHAH itu kambing biri-biri. Namun perkataan SHAH yang dijadikan sebagai nama itu berasal dari Parsi. Ia bermaksud raja. Maka tidak timbul makna kambing dalam Bahasa Arab tersebut.

Maka, setiap kita hendaklah tahu apakah maksud namanya ataupun nama yang diberikan kepada anaknya. Dia merujuk kepada bahasa apa dan apa tujuannya.

Apapun lain pilih nama sesuai untuk semua keadaan terutama biar serasi dengan bahasa Arab kerana itu sering dirujuk oleh masyarakat kita.

Juga, jangan kita andaikan nama orang sebagai buruk makna atas bahasa yang kita faham sedang dia mungkin merujuk kepada bahasa lain. -Thereporter

BACA INI JUGA: Senarai Nama Anak Yang Dilarang Dalam Islam

-SENTIASAPANAS.COM

Friday, March 06, 2015

Bukti Dr Asri Tidak Layak Jadi Mufti Perlis

Bukti Dr Asri Tidak Layak Jadi Mufti Perlis

Siapa tak kenal dengan Dr Asri atau lebih dikenali sebagai Dr.MAZA. Beliau,memang suka bercanggah pendapat dengan para ilmuan Islam yang lain.

Zamihan
Gambar hiasan. 

Kerana beliau mahu membuktikan bahawa beliau antara yang paling ‘terer’ dan hebat dalam kumpulan tersebut.

Beliau mempertikaikan Ustaz Kazim kononnya membawa riwayat palsu. Apakah beliau lupa semasa beliau menjadi Ilmuan Islam ‘bebas’, beliau secara jelas dan berulang kali mengunakan hadis palsu untuk kepentingan politik.

Lihat bagaimana beliau menghalalkan perbuatan pihak tertentu dengan mengunakan hadis palsu:
  • guna hadith jiran untuk halalkan demonstrasi
  • guna istilah simbolik untuk halalkan Candle Light Vigil
  • guna dalil untuk halalkan kondem pemerintah secara terbuka
  • guna kias untuk halal babi
  • guna kias untuk halal arak
  • guna dalil akal untuk halal salam lelaki perempuan
  • guna “pandangan demokrasi” untuk hina Islam dan puji kafir dalam hanya masalah tak susun selipar
  • guna dalil akal untuk haramkan hukuman rejam
  • guna dalil hak rakyat untuk halal fitnah pemerintah
  • guna dalil hak rakyat utk dan menyamakan kerajaan dengan babi
  • seleweng ayat al-quran untuk mengecop ulama kerajaan yang tidak sependapat sebagai anjing (sumber: https://www.facebook.com/abuaqifstudio)

Apakah senarai diatas ini bukan hadis palsu untuk menghalalkan cara?

Jika Ustaz Kazim dihukum kononnya amal riwayat atau hadis palsu, bagaimana dengan beliau sendiri.

Apakah Mufti Perlis aka Dr.MAZA tidak takut dengan hukum dan ancaman dari Allah?

Apa alasan Dr.MAZA pula dengan semua kenyataan hadis palsu yang beliau pernah keluarkan sendiri?

Penulis harap Dr.MAZA tak ‘double standart’ la ya.. hukum tetap hukum walaupun diri sendiri yang bersalah.

Kalau tak, itu membuktikan bahawa dirinya tidak layak menjadi menjadi Mutfi Perlis.

Nak juga tunggu tengok apa tindakannya selepas ini?

BACA INI JUGA: Video Cara Pelik Puak Syiah Bersolat

Sumber: MYKMU.NET