Friday, January 06, 2017

Mufti Perlis Kata BR1M Bukan Rasuah


Mufti Perlis, Prof Madya Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin turut berpendapat bahawa Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) bukan berunsur rasuah, malah rakyat tidak perlu mempersoal status halal atau haramnya.

Mufti Perlis

Beliau berkata masyarakat perlu jelas tentang makna rasuah yang bermaksud sesuatu pemberian berupa wang atau barangan daripada individu kepada seseorang yang lain bagi mendapat suatu ganjaran untuk kepentingan pemberi.

“Dalam soal bantuan BR1M, pihak yang memberi itu tidak pula menyatakan mereka mahu sesuatu ganjaran atau timbal balik daripada penerima, sebaliknya memaklumkan ia merupakan pemberian berupa bantuan.

“Malah bantuan itu diberi khusus bagi meringankan beban penerima, jadi konsep berkenaan bukanlah satu rasuah,” katanya pada kuliah mingguannya di Masjid Alwi.

Beliau menjawab soalan yang dikemukakan jemaah.

Mohd Asri berkata seseorang penerima sumbangan tidak wajar bertanyakan pihak pemberi tentang sumber wang berkenaan.

“Sebagai contoh, seseorang peniaga bertanya pembeli daripada mana wang yang digunakannya untuk membayar barang yang dijual kepadanya dan adakah wang itu halal atau haram.

“Sebagai penerima mereka boleh menerima wang daripada seseorang sama ada atas urusan jual-beli, pemberian bantuan atau sedekah tanpa perlu mencari asal usul daripada mana wang itu diperolehi,” katanya.

Beliau turut memberi contoh Nabi Muhammad SAW juga pernah menerima sumbangan wang daripada pemimpin Yahudi dan tidak bertanya dari mana sumber pemberian itu diambil. -bernama

Kalau BR1M Rasuah, Bagaimana Untuk Menerima Tetapi Tetap 'Halal'?

BR1M Rasuah

Pemberian BR1M dikaitkan dengan unsur rasuah dan perbuatan yang menyalahi undang-undang berikutan Najib sendiri dalam Perhimpunan Agung UMNO yang lalu mengatakan pengagihannya akan dilakukan melalui pejabat UMNO bahagian-bahagian di seluruh negara.

Duit BR1M adalah duit rakyat yang diperolehi melalui cukai, termasuk GST. Ia bukan duit UMNO atau wang derma yang diperolehi oleh Najib. Bermakna, bukan saja semua rakyat yang layak berhak menerimanya, bahkan ia tidak boleh sama sekali dikaitkan dengan UMNO, BN atau mana-mana parti politik.

Apabila diberikan melalui pejabat UMNO, ia sudah mengarah kepada unsur rasuah. Sudah tentu ia diberikan dengan harapan dibalas dengan undi.

Ketua-Ketua UMNO bahagian yang menyampaikan sumbangan pasti akan mengambil kesempatan bercakap atau memberikan sepatah dua kata kepada penerima BR1M dalam bentuk merayu serta meminta undi daripada mereka.

Kepada penerima BR1M yang dikenal pasti tidak menyokong UMNO dan BN, ia akhirnya turut terdedah kepada unsur ugutan atau kata-kata yang kasar agar wang yang diterima dibalas dengan sokongan.

Dengan yang demikian, BR1M adalah merupakan pemberian yang diminta balasannya, bukan lagi untuk semata-mata membantu rakyat yang kesusahan. Jadi, unsur rasuah tidak lagi dapat dielakkan.

Tidak seperti bantuan tunai kepada warga emas atau bekalan air percuma yang diberikan di Pulau Pinang dan Selangor, ia disalurkan secara terus atau melalui pejabat kerajaan yang berkaitan tanpa melibatkan sama sekali sama ada DAP dan PKR.

Untuk mengelakkan BR1M dikaitkan dengan unsur rasuah atau penerimanya mungkin berasa was-was kerana bimbang menerima wang haram, jalan mudahnya ialah mereka mesti tidak memberi undi kepada BN dalam pilihanraya akan datang.

Mereka mesti membuktikan bahawa sekali pun diberikan BR1M, undi tetap tidak diberikan kepada BN. Ia dengan sendirinya menyebabkan wang BR1M itu terkeluar daripada definisi rasuah. -shahbudin

BACA INI JUGA: Kenapa Tun Mahathir Menganggap Pemberian BR1M Rasuah Kepada Rakyat?

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon