Nov 14, 2016

Benarkah Nama Damia Bermaksud 'Tempat Keluar Darah'?

Mufti Pulau Pinang, Datuk Dr Wan Salim Wan Mohd Noor mengesahkan telah menerima permohonan pertukaran nama ‘Damia'.

Damia bukan bahasa arab

Pihaknya terpaksa meneliti nama berkenaan setelah dirujuk oleh Jabatan Pendaftaran Negeri (JPN) Pulau Pinang untuk menjelaskan perkara tersebut.

“Seseorang yang asal namanya Nur Damia Sufiyya memohon daripada JPN untuk menukar namanya kepada Putri Nur Safiyya.

“JPN seperti kelazimannya merujuk kepada pihak kami kerana ia melibatkan orang Islam dan melalui semakan kamus berbahasa Arab dan mendapati perkataan ‘Damia’ bermaksud tempat keluar darah iaitu مخرج الدم,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjelaskan isu surat daripada Jabatan Mufti Pulau Pinang yang menjadi viral di laman sosial termasuk Facebook dan juga WhatsApp.

Melalui surat bertarikh 7 November 2016 itu, Wan Salim yang mewakili jabatan mufti memberi penjelasan kepada JPN Pulau Pinang bahawa permohonan pertukaran nama baru berkenaan adalah perlu bagi mengelakkan kekeliruan dan fitnah.

Tulis Wan Salim lagi, ia memandangkan nama sedia ada pada pemohon iaitu Damia, membawa maksud kurang baik iaitu tempat keluarnya darah.

Surat berkenaan kemudiannya tersebar luas di laman sosial sehingga menjadi perbalahan di kalangan netizen.

Damia
Surat dari jabatan mufti yang menjadi viral di media sosial.

Malah ada ibu-bapa yang mempunyai nama anak Damia tidak bersetuju dan menganggap maksud sebenar Damia ialah bijaksana.

“Saya pun tidak tahu dari mana mereka ambil makna tersebut kerana beberapa kamus Bahasa Arab yang dirujuk, Damia memberi maksud tempat keluar atau mengalirnya darah.

“Perkataan ini berpangkal daripada perkataan damun (دم) yg bererti darah,” katanya.

Mufti Pulau Pinang itu menegaskan sepatutnya pemberian nama kepada anak perlu dirujuk kepada individu yang lebih arif termasuk alim ulama.

“Jangan beri nama anak yang sedap didengar sahaja. Malah ada yang berikan nama ‘Bahimah’ (binatang), Zani (penzina), Syarrul Bariyyah (sejahat-jahat makhluk) dan sebagainya.

“Bagaimanapun, melalui isu ini, ia ditujukan khas kepada kes pemohon saja.

"Tapi jika orang ramai hendak menukar nama sendiri atau nama anak-anak yang sebelum ini membawa maksud tidak baik, kami alu-alukan dan terpulanglah kepada masing-masing,” katanya. -SH

Penjelasan Dr MAZA, Benarkah Nama Damia Bermaksud Tempat Keluarnya Darah?

Dr Asri

Susulan surat sokongan Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang yang tersebar di media sosial mendakwa nama Damia membawa maksud yang tidak baik, Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin atau Dr Maza tampil memberikan penjelasannya.

Ramai sangat yang email tanya tentang nama DAMIA. Tidak pasti mengapa ditimbulkan. Secara umumnya dalam kesibulan ini, saya ringkaskan seperti berikut;

DAMIA bukan berasal dari perkataan Arab. Damia mungkin berasal dari Bahasa Greek. Di dalam bahasa Arab ada perkataan DAMM دم bermaksud darah. Boleh disebut DAMIYA دمي dalam bentuk fi'l (verb) tapi Arab tidak dijadikan ia nama.

Orang Arab juga ada menulis DAMIA yang mungkin bermaksud دامعة ataupun دميعة yang berasal dari دمع iaitu tangis. Maka ia bermaksud yang menyebabkan menangis dan sering menangis. Mungkin juga boleh difahami bermaksud yang halus perasaannya.

Maka saya simpul tulisan nama DAMIA yang telah dipakai di seluruh dunia itu bukan dari akar perkataan Arab. Mengandaikan DAMIA dengan maksud darah kotor sama sekali TIDAK tepat.

Jika kita mahu anggap semua perkataan dalam bahasa Arab maka kita mungkin ada sedikit kesukaran. Nama MAT jika diandaikan dalam bahasa Arab dari kalimat MAT مات maka bermaksud mati. Itu dalam bentuk fi'il (verb). Perkataan SHAH jika diandaikan perkataan Arab شاة SHAH itu kambing biri-biri. Namun perkataan SHAH yang dijadikan sebagai nama itu berasal dari Parsi. Ia bermaksud raja. Maka tidak timbul makna kambing dalam Bahasa Arab tersebut.

Maka, setiap kita hendaklah tahu apakah maksud namanya ataupun nama yang diberikan kepada anaknya. Dia merujuk kepada bahasa apa dan apa tujuannya.

Apapun lain pilih nama sesuai untuk semua keadaan terutama biar serasi dengan bahasa Arab kerana itu sering dirujuk oleh masyarakat kita.

Juga, jangan kita andaikan nama orang sebagai buruk makna atas bahasa yang kita faham sedang dia mungkin merujuk kepada bahasa lain. -Thereporter

BACA INI JUGA: Senarai Nama Anak Yang Dilarang Dalam Islam

-SENTIASAPANAS.COM

Blogger biasa yang menulis untuk berkongsi berita dan infomasi untuk memberi manfaat dan ilmu pengetahuan.

5 comments

tunjuk pandai

orang lain tak betul ,dia je pandai

kena hati hati sebelum sebarkan...sebaba mungkin akan mneyusahkan pihak lain...

Assalamualaikum,

Sebenarnya tulisan bahasa melayu tidak sesekali akan sama dengan ejaan sebenar bahasa Arab. Kalau dah orang suka memanipulasi perkara, semua benda akan jadi tak kena

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon