Friday, March 24, 2017

2 Tebusan Abu Sayyaf Rakyat Malaysia Berjaya Diselamatkan!

2 Tebusan Abu Sayyaf Rakyat Malaysia Berjaya Diselamatkan!

Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) mengesahkan dua daripada lima rakyat Malaysia yang diculik kumpulan Abu Sayyaf sejak Julai tahun lalu, diselamatkan pasukan keselamatan Filipina dalam satu operasi di selatan republik itu awal pagi (23.3.2017).

Tayudin Anjut dan Abdul Rahim Summas
Tayudin Anjut (kiri) dan Abdul Rahim Summas.

Komander Esscom, Datuk Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid berkata, dua tebusan itu adalah Tayudin Anjut, 46, dan Abdul Rahim Summas, 63, iaitu kru kapal tunda Serudong Tiga yang diculik oleh pengganas Abu Sayyaf di perairan Dent Haven di Lahad Datu pada 18 Julai lalu.

BACA: INFO TERKINI PENCULIKAN ABU SAYYAF DI SABAH

"Saya mendapat pengesahan daripada pihak tentera Filipina bahawa dua tebusan culik warga Malaysia berjaya diselamatkan dalam satu operasi

"Setakat ini, kita masih berhubung dan berurusan dengan pihak keselamatan Filipina mengenai perkara ini," katanya kepada Bernama.

Ditanya lanjut mengenai lokasi terkini Tayudin dan Abdul Rahim, beliau berkata kedua-dua mangsa masih berada di kem tentera di Filipina untuk menjalani proses tertentu.

"Ada proses tertentu (tidak boleh didedahkan), itu perkara biasa dan yang penting mereka selamat," kata Wan Abdul Bari.

Sebelum ini, media asing melaporkan, kedua-dua mangsa yang dalam keadaan lemah dan tidak sihat diselamatkan oleh bot pasukan peronda Marin Filipina di perairan Pulau Pata di selatan Filipina.

Sehingga kini, tiga lagi warga Malaysia masih ditahan pengganas Abu Sayyaf iaitu Fandy Bakran, 27, Mohd Jumadil Rahim, 24, dan Mohd Ridzuan Ismail, 33, yang juga kru kapal tunda Serudong Tiga.

Sementara itu, Gustia Sultan, 47, isteri Tayudin masih belum mendapat maklumat berhubung pembebasan suaminya daripada mana-mana pihak termasuk pasukan keselamatan.

"Saya belum lagi dihubungi sehingga ini, hanya mengetahui perkara ini daripada media...tetapi saya sangat bersyukur mengenai berita pembebasan ini, saya gembira dan terharu," katanya. -sh

UPDATE (27/3/2017)

Tiga lagi rakyat Malaysia diculik Abu Sayyaf diselamatkan

TAWAU: Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) mengesahkan tiga lagi rakyat Malaysia yang diculik kumpulan Abu Sayyaf di perairan Dent Haven, Lahad Datu, pada Julai tahun lalu, diselamatkan pasukan keselamatan Filipina.

Fandy Bakran, 27, Mohd Jumadil Rahim, 24, dan Mohd Ridzuan Ismail, 33, diselamatkan dalam satu operasi di perairan Sulu, kata Komander Esscom Datuk Wan Abd Bari Wan Abd Khalid.

"Itu saja yang boleh saya sahkan setakat ini, mereka telah diselamatkan," katanya kepada Bernama namun enggan mengulas lanjut.

Bernama difahamkan ketiga-tiga mangsa dibawa ke kem tentera Filipina.

Khamis lepas (24/3/2017), dua rakan mereka yang turut menjadi mangsa culik, Tayudin Anjut, 46, dan Abd Rahim Summas, 63, diselamatkan pasukan keselamatan Filipina.

Tayudin dan Abd Rahim Summas kini berada di Kuala Lumpur.

Dalam kejadian 18 Julai lalu, lima rakyat Malaysia diculik kumpulan Abu Sayyaf selepas kapal tunda Serudong 3 yang dinaiki mereka, ditemui dalam keadaan enjin masih hidup di perairan Dent Haven di Lahad Datu. -aa

BACA INI JUGA: RM12 Juta Untuk Bebaskan 4 Mangsa Culik Abu Sayyaf!

-SENTIASAPANAS.COM

Wednesday, October 19, 2016

Abu Sayaff Tuntut Wang Tebusan RM2 Juta Mangsa Culik Lahad Datu

Abu Sayaff Tuntut Wang Tebusan RM2 Juta Mangsa Culik Lahad Datu

Keluarga lima lelaki yang diculik di perairan Dent Haven di Lahad Datu, Sabah, Julai lalu, mendakwa kumpulan militan Abu Sayaff di selatan Filipina, mengugut mereka meminta wang tebusan.

Keluarga+Mangsa+Culik
Anggota keluarga mangsa culik.

Gustiah Sultan, 46, isteri Tayudin Anjut, 45, seorang daripada mangsa culik itu berkata, keluarga semua mangsa culik kerap menerima panggilan telefon daripada kumpulan itu meminta wang tebusan.

"Panggilan terakhir kami terima pada 4.19 petang Rabu lalu (12 Oktober) meminta RM2 juta dalam tempoh empat hari.

“Mereka mengancam memenggal kepala tebusan jika gagal membayar wang tebusan itu... tetapi kami merayu diberi tempoh lebih lama," katanya di sini, hari ini.

Gustiah yang bercakap mewakili keluarga semua mangsa culik berkata, mereka berasa amat terdesak dan berharap mendapat bantuan diperlukan supaya mangsa dapat pulang dengan selamat.

Dalam kejadian 18 Julai lalu, lima rakyat Malaysia, kru kapal tunda diculik. Empat lagi mangsa ialah Abd Rahim Summas, 62, Fandy Bakran, 26, Mohamad Jumadil Rahim, 23, semua dari daerah ini, dan Mohd Ridzuan Ismail, 32, dari FELDA Jengka 7, Pahang.

Gustiah berkata, keluarga juga amat bimbang apabila mendengar khabar Abd Rahim dipisahkan daripada empat tebusan yang lain.

"Ketika suami saya menelefon, dia memberitahu sepupu saya bahawa Rahim diasingkan daripada mereka dan tidak tahu ke mana Rahim dibawa pergi," katanya.

Kapal tunda dinaiki mangsa, Serudong 3, dirampas kumpulan itu ketika melalui perairan Dent Haven dalam pelayaran ke Semporna selepas menghantar pasir di Sandakan.

Kapal tunda itu ditemui terkandas di beting pasir dalam keadaan enjin hidup manakala barangan di dalamnya berselerak.

BACA INI JUGA: Mangsa Penculikan Lahad Datu Mohon Bantuan, Dipukul Dan Tidak Cukup Makan!

Sumber: Hmetro

Monday, September 26, 2016

Mangsa Penculikan Lahad Datu Mohon Bantuan, Dipukul Dan Tidak Cukup Makan!

Mangsa Penculikan Lahad Datu Mohon Bantuan, Dipukul Dan Tidak Cukup Makan!

Satu mesej bantuan kecemasan telah dihantar oleh seorang tebusan Malaysia yang ditahan oleh kumpulan Abu Sayyaf, merayu pertolongan kerana beliau kelaparan dan telah dipukul.

Mohd-Ridzuan

“Kami sudah tidak tahan lagi. Kami dalam kesakitan. Semua kami sakit. Badan kami luka-luka. Kami lemah.

"Tiada makanan untuk dimakan. Malah, kami dipukul. Ada orang mahu menembak kami. Tolong bantu kami.”

Itulah kata-kata Mohd Ridzuan Ismail, salah seorang daripada lima rakyat Malaysia yang diculik oleh kumpulan bersenjata Abu Sayyaf dari perairan Lahad Datu di pantai timur Sabah, 18 Julai lalu.

Pada Rabu, jurucakap Abu Sayyaf, Abu Rami telah menghubungi The Star dari pulau Jolo, selatan Filipina, dan meminta Mohd Ridzuan, 32, bercakap di telefon bagi membolehkan beliau menghantar mesej kepada kerajaan Malaysia.

“Saya adalah tebusan dari Malaysia. Nama saya Mohd Ridzuan Ismail. Dan saya meminta bantuan daripada kerajaan dan majikan saya untuk menyelamatkan kami secepat mungkin,” kata kelasi kapal itu dalam bahasa Melayu.

Perbualan berlangsung selama lapan minit.

“Kami menderita di pulau Jolo. Kami merayu kepada kerajaan Malaysia dan majikan kami supaya berunding tentang pembebasan kami, kami mahu pulang ke rumah secepat mungkin,” katanya dalam nada sedih.

Terdapat kemungkinan Mohd Ridzuan mungkin akan mati di tangan Abu Sayyaf yang telah memenggal kepala tebusan pertama Malaysia, Bernard Then, November tahun lepas.

Mohd Ridzuan, yang berasal dari Pahang, diculik bersama empat rakannya dari Sabah, Tayudin Anjut, 45, Abd Rahim Summas, 62, Mohd Zumadil Rahim, 23, dan Fandy Bakran, 26.

Kapal tunda mereka yang kosong telah ditemui di perairan Dent Haven di kawasan Tambisan, Lahad Datu, berhampiran sempadan laut di selatan Filipina.

Mohd Ridzuan berkata, mereka sedang ditahan dalam hutan.

“Hanya kadang-kadang kami diberi makan. Untuk minum, kami terpaksa mengambil air parit. Jika ada makanan, ia hanyalah nasi untuk alas perut,” katanya.

Ditanya sama ada mereka telah dipukul, Mohd Ridzuan berkata mereka telah dipukul dengan senapang.

“Kami takut. Ini bukan tempat kami. Mereka pukul kami dan beritahu kami bahawa mereka boleh menembak kami.”

Pada waktu malam, beliau berkata tawanan akan diikat.

“Kami tidur di atas tanah. Apabila hujan, kami akan terendam dalam air,” katanya.

Ditanya berapa ramai anggota lelaki bersenjata yang mengawasi mereka, Mohd Ridzuan berkata bilangan mereka ‘terlalu banyak, terlalu banyak untuk dikira’.

Pada mulanya, Mohd Ridzuan berkata orang yang menculiknya ada menghubungi majikannya tetapi akhir-akhir ini pemilik kapal tersebut telah berhenti menjawab panggilan.

“Tolong hubungi bos dan keluarga saya supaya mereka dapat membantu kami pulang ke rumah secepat mungkin.Sudah dua bulan berlalu. Kami tidak tahu apa lagi yang perlu dilakukan,” katanya.

Sehari sebelum Mohd Ridzuan muncul merayu bantuan, Abu Rami dalam satu temu bual telefon berkata penculik telah meminta 100 juta peso (RM8.5 juta) untuk membebaskan rakyat Malaysia yang ditahan.

Tebusan itu, katanya, telah ditahan di Luuk, kawasan di pulau Jolo oleh seorang pemimpin Abu Sayyaf yang dikenali sebagai Abu Khalif.

Beliau berkata tebusan telah dipisahkan kepada tiga kumpulan.

“Saya diberitahu bahawa tebusan paling tua sedang sakit,” kata jurucakap itu yang memperkenalkan kumpulannya sebagai Al Harakatul Al Islamiyyah.

Beliau mungkin merujuk kepada Abd Rahim yang berusia 62 tahun.

Abdul Rahim Summas

Ditanya sama ada pemimpin Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF) Nur Misuari boleh berunding untuk melepaskan mangsa, Abu Rami berkata, “Hanya jika dia mempunyai 100 juta peso. Jika tidak, maka tidak.”

Beliau juga mendakwa tiada tentera yang muncul di lokasi di mana tebusan itu ditahan, walaupun dengan adanya laporan bahawa tentera Filipina akan melancarkan perang habis-habisan terhadap Abu Sayyaf.

“Mengapa mereka tidak mahu melawan kami?” beliau membuat cabaran.

Pada Ahad, Abu Rami menghantar dua keping gambar tebusan kepada The Star.

Beliau tidak dapat menghantar gambar-gambar itu lebih awal kerana masalah sambungan Internet di bandar Jolo.

Pihak berkuasa Malaysia dipercayai sedang bekerjasama dengan rakan-rakan mereka di Filipina mereka untuk membebaskan tawanan.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Abdul Rashid Harun enggan membincangkan tentang rundingan untuk membebaskan tebusan, hanya mengatakan bahawa mereka ‘masih menunggu’.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata beliau akan mengarahkan polis untuk meningkatkan komunikasi dan rundingan dengan penculik bagi membebaskan mangsa.

Keluarga tebusan telah menjauhkan diri daripada media. Satu-satunya kenyataan yang telah dikeluarkan setakat ini adalah mereka berdoa agar orang tersayang dapat pulang dengan selamat.

BACA INI JUGA:

Sumber: mStar | TheStar

Thursday, June 09, 2016

4 Rakyat Malaysia Dibebaskan Abu Sayyaf

4 Rakyat Malaysia Dibebaskan Abu Sayyaf

Pihak berkuasa Filipina hari ini (semalam) mengesahkan bahawa empat rakyat Malaysia yang diculik oleh kumpulan militan Abu Sayyaf pada 1 April lalu telah dibebaskan kumpulan penculik berkenaan.

Mangsa culik sabah.jpg

Menurut portal berita Philstar.com yang memetik kenyataan Pengarah Polis Wilayah Sulu, Senior Superintenden Wilfredo Cayat mengesahkan pembebasan itu dan dipercayai pembebasan dibuat sebelum tengah malam Selasa namun tidak memberi maklumat lanjut.

Sementara itu, jurucakap Western Mindanao Command (Westmincom) Mej Filemon Tan Jr. yang dipetik portal berita berkenaan pula berkata empat mangsa culik rakyat Malaysia berkenaan dilaporkan dibebaskan pada awal hari ini (Rabu).

Bagaimanapun Filemon Tan berkata unit risikan mereka masih mengumpul maklumat tentang bila dan di mana kumpulan Abu Sayyaf membebaskan keempat-empat mangsa culik berkenaan.

Empat rakyat Malaysia dari Sarawak yang diculik pada 1 April lalu ketika belayar menggunakan bot tunda dari Manila ke Sabah ialah Wong Teck Kang, 31, Wong Teck Chii, 29, Johnny Lau Jung Hien, 21, dan Wong Hung Sing, 34.

Sementara itu, Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Abdul Rashid Harun ketika dihubungi enggan mengulas laporan media mengenai pembebasan berkenaan. –BERNAMA

BACA INI JUGA: Fakta Bahawa Begitu Mudahnya Pengganas Menyerang Sabah

Monday, May 18, 2015

Kes Culik Di Sandakan Di Dalangi ‘Orang Dalam’

Kes Culik Di Sandakan Di Dalangi ‘Orang Dalam’

Kes penculikan seorang lelaki dan seorang wanita di Restoran Ocean King di Sandakan minggu lalu berkemungkinan besar didalangi ‘orang dalam’, kata Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jalaluddin Abdul Rahman.

Datuk Jalaluddin Abdul Rahman

Beliau berkata disyaki ‘orang dalam’ telah bersekongkol untuk memberikan maklumat mengenai sasaran yang bermutu tinggi dan perkara itu sedang disiasat.

“Polis telah menerima maklumat berkenaan penculikan akan berlaku di Sabah dan salah satu lokasi itu adalah Sandakan.

“Pihak Esscom yang diketuai oleh Datuk (Abdul) Rashid Harun telah membuat Operasi Bersepadu di kawasan Sandakan yang menumpukan kawasan panas dan juga pendatang asing tanpa izin. Malangnya ia berlaku di tempat yang tidak diduga,” katanya dalam kenyataan menerusi aplikasi WhatsApp.

Katanya Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kawasan Keselamatan Khasa Pantai Timur Sabah (Esscom) sedang berusaha untuk mengkaji dan mempertingkatkan lagi kawalan keselamatan supaya kes penculikan sedemikian tidak berlaku lagi.

Jalaluddin turut mengesahkan kedua-dua keluarga mangsa menerima panggilan telefon daripada pihak yang mendakwa sebagai penculik dan meminta wang tebusan yang tinggi nilainya dan tidak boleh diberitahu kepada umum.

Katanya, sehingga kini, keluarga kedua-dua mangsa juga enggan membuat laporan polis meskipun telah dinasihatkan oleh polis supaya berbuat demikian.

Beliau turut menafikan dakwaan kononnya keluarga mangsa diugut berikutan keengganan mereka membuat laporan polis.

Katanya kedua-kedua mangsa culik dilaporkan dalam keadaan selamat dan kini berada di salah sebuah pulau di perairan Filipina.

Pada Khamis, empat lelaki bersenjata menyerbu Restoran Ocean King dan menculik lelaki dan wanita itu dengan disaksikan kira-kira 100 pelanggan termasuk kanak-kanak.

Thien Nyuk Fun, 50, kakak ipar pengurus restoran itu adalah seorang daripada mangsa culik dalam kejadian 7.45 malam itu. Seorang lagi mangsa ialah Bernard Ghen Ted Fen, 39, dari Sarawak yang bekerja sebagai perunding elektrikal di Kemboja. –BERNAMA

BACA INI JUGA: Lapa, Aplikasi Kesan Kedudukan Anak Dan Barang Jika Hilang!

Tuesday, June 17, 2014

Penculikan Terbaru Di Kunak Sabah!

Penculikan Terbaru Di Kunak Sabah!

"Jangan kacau isteri saya. Saya akan ikut kamu," kata Chan Sai Chiun, 32, sebelum dia dipercayai dilarikan dua lelaki bersenjata di Kampung Sapang Air yang terletak kira-kira 20 kilometer dari sini tengah malam Ahad.

Kunak

Chin Paek Nyuen, 40, terdengar suaminya berkata demikian selepas penjenayah terbabit cuba memecah pintu bilik di mana dia dan anak perempuannya yang berusia dua tahun tidur.

BACA: INFO TERKINI PENCULIKAN ABU SAYYAF DI SABAH

"Saya hanya menyedari kejadian itu selepas mendengar anjing menyalak. Apabila saya keluar untuk melihat apa terjadi, saya ternampak dua lelaki bersenjata serta memakai topeng telah menahan suami.

"Terkejut dengan kejadian itu, saya terus masuk ke bilik dan beberapa minit kemudian, penculik itu datang dan cuba untuk memecahkan pintu bilik. Pada masa yang sama, suami saya berkata 'jangan kacau isteri saya. Saya akan ikut kamu' membuatkan penculik itu terus beredar meninggalkan tempat ini," katanya ketika ditemui di pusat ternakan ikan dalam sangkar itu, pada Isnin.

Dia berkata selain menculik suaminya dan seorang pekerja di situ, penjenayah terbabit turut melarikan beberapa barangan termasuk sebuah televisyen dan enjin bot.

Chin juga berkata suaminya mengusahakan pusat ternakan itu bersama dua lagi rakan kongsi.

Dalam kejadian pada kira-kira 12.40 tengah malam itu, Chan dan seorang pekerja yang hanya dikenali sebagai Mazlan berumur sekitar 20-an diculik oleh dua lelaki bersenjata di pusat ternakan ikan dalam sangkar Kampung Air Sapang, Kunak.

Ini merupakan kes penculikan ketiga di kawasan pantai timur Sabah tahun ini. Pada 6 Mei lepas, lima lelaki bersenjata menculik seorang pengurus syarikat ternakan ikan dalam sangkar warga China di Pulau Baik di Lahad Datu, sebulan selepas seorang pelancong wanita warga China diculik di sebuah resort di Semporna.

Sementara itu, di KOTA KINABALU, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri ACP Omar Mamah menafikan tanggapan bahawa pengusaha ternakan ikan dalam sangkar menjadi sasaran 'penculikan' untuk tebusan.

Beliau berkata polis masih menyiasat sama ada kumpulan itu terbabit dalam kes penculikan seorang pelancong China di Singamata Adventures Reef Resort di Semporna pada 2 April lalu.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan dan Seksyen 4 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang membawa hukuman maksimum penjara seumur hidup dan enam sebatan, jika sabit kesalahan.

"Setakat ini, belum ada sebarang tuntutan diterima dan polis akan menyiasat jika ada faktor orang dalam... jangan buat sebarang spekulasi buat masa ini," katanya dalam satu sidang akhbar di sini pada Isnin.

Omar berkata pihaknya dimaklumkan kejadian itu oleh rakan kongsi mangsa.

Beliau berkata semasa kejadian, terdapat lagi dua pekerja dan seorang anak saudara Chan berusia dua tahun yang tinggal bersama mangsa serta isteri.

Katanya, polis percaya penculik berjaya meloloskan diri ke Pulau Sitangkai (Filipina) yang mengambil masa 40 minit dan ada suspek lain terlibat.

Beliau berkata semasa kejadian, tiada tembakan dilepaskan di pusat ternakan yang tidak mempunyai pegawal keselamatan terlatih itu.

Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman pula menggesa agensi penguatkuasaan Malaysia mempertingkatkan risikan sebagai usaha meminimumkan peluang jenayah rentas sempadan di Sabah, terutama di bahagian timur negeri ini.

Beliau berkata tindakan itu perlu kerana semua pihak bersetuju bahawa kaedah konvensional sahaja mungkin tidak cukup bagi menangani jenayah rentas sempadan di pantai timur Sabah meskipun sembilan langkah sudah digaris sebelum ini dan sedang dilaksanakan.

"Kami ingin menegaskan bahawa usaha sedang ditumpu bagi mengelak insiden ini daripada berulang. Saya berhubung dengan Menteri Dalam Negeri dan Menteri Pertahanan.

"Kami meminta kajian dilakukan ke atas operasi Tentera Laut, Polis Marin dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin bagi mengulas insiden penculikan itu.

Beliau berkata kerajaan negeri kesal dengan penculikan itu dan menggesa pihak polis, tentera dan pengawal pantai dalam keadaan berjaga-jaga berikutan insiden berkenaan.

Musa turut mengingatkan orang ramai agar memainkan peranan mereka dengan melaporkan sebarang aktiviti yang dianggap ancaman kepada keselamatan negara. -BERNAMA

BACA INI JUGA: 10 Lokasi Rekreasi Paling Berbahaya Di Dunia

Friday, May 30, 2014

Dua Warga China Mangsa Culik Lahad Datu Berjaya Diselamatkan

Dua Warga China Mangsa Culik Lahad Datu Berjaya Diselamatkan

Kota Kinabalu: Pihak berkuasa menyelamatkan dua wanita mangsa culik di Singamata Reef Resort, Semporna, di Pulau Jolo, Filipina, kira-kira 10 pagi ini.

Culik

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib ketika dihubungi berkata, kedua-dua wanita itu selamat dan tiba di pantai barat negeri ini 4.30 petang tadi.

Bagaimanapun, beliau enggan menjelaskan lokasi mangsa ditempatkan.

"Mereka akan berada di sini sehingga esok sebelum diterbangkan ke negara masing-masing pada hari sama," katanya.

Sementara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menerusi akaun Twitter miliknya mengesahkan operasi menyelamat pelancong warga China dan pekerja warga Filipina itu dilakukan 7.27 malam tadi.

"Tiada wang tebusan dibayar kepada kumpulan penculik dan kejayaan operasi adalah hasil kerjasama pasukan keselamatan Malaysia dan Filipina," kata Najib menerusi Twitter.

Tuesday, May 06, 2014

Seorang Lagi Warga China Di CULIK Di Lahad Datu!

Seorang Lagi Warga China Di CULIK Di Lahad Datu!

Lima lelaki bersenjata menculik seorang pengurus syarikat ternakan ikan dalam sangkar warga China di Pulau Baik, dekat sini pada kira-kira 2.45 pagi ini, selepas sebulan seorang pelancong wanita warga China diculik di sebuah resort di Semporna.

Culik

Ketua Pengarah Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) Datuk Mohammad Mentek yang mengesahkan kejadian itu berkata mangsa dikenali Yang Zai Lin, 34, berasal dari Guangzhao dan telah bekerja di syarikat Wonderful Terrace Sdn Bhd milik warga China dari Hongkong itu selama tiga tahun.

Beliau berkata anggota pasukan keselamatan dan pertahanan Esscom termasuk unit udara dan laut telah berusaha untuk mengejar dan memintas bot yang dinaiki oleh penjenayah tersebut sehingga berlaku kejadian berbalas tembakan berhampiran Pulau Mataking.

"Namun penjenayah tersebut dari selatan Filipina itu berjaya meloloskan diri ke perairan antarabangsa," katanya dalam satu kenyataan ringkas, di sini Selasa.

Mohammad berkata siasatan awal menunjukkan terdapat 16 pekerja di syarikat ternakan ikan berkenaan, dengan lapan lelaki bangsa Timor memiliki dokumen manakala lapan pekerja bangsa Suluk termasuk seorang wanita tidak mempunyai dokumen yang sah.

Sementara itu, Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Wira Hamza Taib dijangka mengadakan sidang media bagi memberikan butiran penuh berhubung kejadian culik itu petang ini.

Pada 2 April lepas, Gao Hua Yuan, 29, dari Shanghai dan seorang pekerja wanita warga Filipina dikenali sebagai Marcy Dayawan, 40, diculik di Singamata Adventures Reef and Resort di Semporna oleh sekumpulan tujuh lelaki bersenjata. -Bernama

Thursday, April 10, 2014

Penculik Di Semporna Minta Wang Tebusan RM36 Juta!

Penculik Di Semporna Minta Wang Tebusan RM36 Juta!

Penculik menuntut wang tebusan sebanyak P500 juta atau RM36.4 juta untuk membebaskan pelancong China yang diculik dari sebuah resort di Semporna minggu lalu, The Star melaporkan hari ini.

Penculik Di Semporna Minta Wang Tebusan RM36 Juta!

Memetik kata Menteri Dalam Negeri Datuk Ahmad Zahid Hamidi, akhbar itu melaporkan Malaysia menghantar satu pasukan untuk berbincang perkembangan terkini dengan “orang tengah” yang terlibat dalam perundingan membebaskan tawanan ini.

“Kami menerima nota penculik menuntut P500 juta atau RM36.4 juta wang tebusan.

“Kami menghantar satu pasukan untuk berunding dengan mereka yang dinamakan sebagai orang tengah,” kata Ahmad Zahid, sambil menambah tidak ada tuntutan untuk tebusan Filipina.

Pada 2 April lepas, pelancong China, Gao Hua Yuan, 29, dan pekerja Filipina Marcy Darawan, 40, diculik dari Singgahmata Reef Resort dekat Semporna oleh tujuh ahli kumpulan bersenjata yang dikaitkan dengan kumpulan militan Abu Sayaf. -Mynewshub.my

Friday, April 04, 2014

Abu Sayyaf Tuntut Wang Tebusan RM11.5 Juta?

Abu Sayyaf Tuntut Wang Tebusan RM11.5 Juta?

Kumpulan Abu Sayyaf yang dipercayai bertanggungjawab menculik seorang warga china dan seorang pekerja resort warga Filipina di Semporna Sabah akan meminta wang tebusan sehingga AS$3.5 juta (RM11.5 juta) untuk membebaskan mangsa bukan warganegara Filipina, kata seorang penganalisis keselamatan.

Abu Sayyaf Tuntut Wang Tebusan RM11.5 Juta

Prof Dr Aruna Gopinath yang pakar dalam keselamatan maritim berkata, kumpulan pemisah yang berpangkalan di Basilan, selatan Filipina itu akan mengenakan kadar yang lebih rendah sekitar tiga juta pesos (RM219,000) untuk membebaskan tebusan warga Filipina.

“Kumpulan Abu Sayyaf hanya berminat untuk mendapatkan wang dan wang tebusan akan dibayar sebelum mereka membebaskan tebusan,” katanya.

Aruna berkata, seorang wartawan Filipina yang dikenalinya diculik oleh kumpulan itu pada 2011 dan dijadikan tebusan selama 90 hari.

(Baca: Sejarah Dan Kehebatan Senjata AK-47)

“Dia bertemu dengan ketua kumpulan Abu Sayyaf di Basilan untuk temu bual tetapi sebaliknya diculik oleh mereka. Dia dikurung di dalam sebuah rumah dan hanya diberikan air dan dua biji pisang tiga kali sehari.

Aruna berkata, seorang ahli kongres Filipina akhirnya bersetuju untuk membayar wang tebusan tiga juta pesos sebelum mangsa dibebaskan.

Sebuah lagi kumpulan iaitu Pejuang Kebebasan Islam Bangsamoro (BIFF) yang pakar dalam kegiatan penculikan perlu diberi perhatian oleh pihak berkuasa Malaysia, kata Aruna.

Dalam perkembangan lain, Associated Press memetik seorang pegawai risikan Filipina pada Khamis sebagai berkata mengesahkan penculikan itu dilakukan oleh kumpulan Abu Sayyaf.

Menurut pegawai tersebut, ketua kumpulan Abu Sayyaf itu berang kerana tidak dibawa bersama dalam perjanjian damai antara kerajaan Filipina dan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF). –The Star

Gambar Gadis Dari China Yang Di Culik Di Semporna

Gambar Gadis Dari China Yang Di Culik Di Semporna

Bapa kepada pelancong warga China yang diculik di sebuah resort di Semporna, Sabah menghubungi Stesen Radio ‘Shanghai People’ bagi merayu mendapatkan bantuan daripada pihak berkuasa untuk menyelamatkan anaknya.

Gao Huayun, 29

Beliau berkata, anak perempuannya, Gao Huayun, 29, bekerja di sebuah firma Jepun dan memperoleh keputusan cemerlang dalam pengajiannya.

Beliau pada Rabu menerima surat daripada sebuah universiti di Britain bagi memaklumkan bahawa anak perempuannya diterima masuk menyertai program Sarjana Pengurusan Perniagaan (MBA).

Beliau berkata, Gao berkunjung ke Malaysia bersama rakan-rakan sekuliahnya.

Gao dilaporkan diculik pada kira-kira pukul 10.30 malam Rabu apabila sekumpulan lelaki bersenjata menceroboh masuk ke Singamata Reef Resort.

Mereka turut menculik seorang kakitangan resort warga Filipina.

Menurut stesen radio itu, seorang wanita bernama Xu membuat laporan polis di balai polis daerah Yangpu di Shanghai dengan mendakwa bahawa anak perempuannya diculik di Malaysia. –The Star

Kerja ‘Orang Dalam’

Datuk-Hamza-Taib

Polis percaya bahawa kumpulan yang menculik untuk mendapatkan wang tebusan, yang berpangkalan di selatan Filipina bertanggungjawab terhadap penculikan dua wanita, seorang pelancong warga China dan seorang pekerja resort warga Filipina di Semporna.

Polis turut mengesyaki bahawa tujuh lelaki bersenjata itu mendapat “bantuan dalaman” untuk memasuki resort itu, kata Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib pada Khamis.

Beliau menambah, “sesiapa yang ingin memasuki kawasan resort itu perlu dibawa atau dibenarkan masuk oleh kakitangan Singamata Reef Resort.

Hamza berkata, pihaknya mengenal pasti kumpulan-kumpulan tertentu dalam usaha mereka untuk mengesan lelaki bersenjata dengan harapan bagi menyelamatkan dua wanita yang diculik.

“Ia kelihatan seperti kumpulan penculikan untuk wang tebusan (KFR) yang merupakan dalang kepada insiden ini.

“Kumpulan ini menculik mangsa dan kemudian menjualnya kepada kumpulan-kumpulan lain,” kata beliau sambil menambah bahawa mereka telah merekodkan kenyataan 49 pekerja resort dan 61 pelancong (59 warga China, seorang warga Iran dan seorang rakyat Malaysia) dalam siasatan mereka.

“Tiada tangkapan yang dilakukan,” kata beliau sambil menambah bahawa mereka hanya mencari orang-orang yang boleh membantu dalam siasatan mereka. –Mstar.com.my

-Sentiasapanas.com

Thursday, April 03, 2014

Penculikan Warga China Di Semporna Untuk Lagakan Malaysia-China!

Penculikan Warga China Di Semporna Untuk Lagakan Malaysia-China!

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bimbang penculikan warga China di Semporna. Sabah yang dilaporkan hari ini mungkin perbuatan pihak tertentu untuk melagakan Malaysia dengan China selepas kejadian kehilangan pesawat MH370.

Penculikan Warga China Di Semporna Untuk Lagakan Malaysia-China!

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena lawatan kerjanya bagi meninjau operasi mencari MH370, di Perth, Australia.

Dalam kejadian tersebut, tujuh lelaki telah menyerbu sebuah resort di Semporna sebelum menculik dua individu – seorang pekerja warga Filipina dan seorang pelancong dari China yang berada disitu.

Sumber polis memberitahu kejadian berlaku pada jam 10.30 malam semalam apabila suspek yang bersenjatakan senapang M14 tiba ke resort atas air itu dengan menggunakan bot.

Tiga dari suspek tersebut – seorang daripadanya mengenakan topeng muka telah naik ke resort tersebut manakala empat yang lain menanti di dalam bot.

Suspek mengarahkan seorang pekerja di situ yang sedang menonton TV di sebuah bilik supaya diam dan tidak melakukan apa-apa namun disebabkan ketakutan, pekerja tersebut telah bertindak terjun ke dalam laut demi mengelakkan diri dari diapa-apakan oleh penjenayah tersebut.

Mereka kemudian telah membawa lari seorang pekerja resort yang lainnya dan seorang pelacong yang bercuti di resort tersebut.

Mangsa yang dilarikan dipercayai dikenali sebagai Marcy Dayawan, 40, pekerja resort tersebut dari Filipina manakala seorang lagi dikenali sebagai Gao Hua Yuan, 29, seorang pelacong warganegara China.

Gao telah mendaftar masuk ke resort tersebut pada semalam dan dijangka berada di situ sehingga Sabtu ini.

Suspek dipercayai berbangsa Sulu kerana dikesan berdasarkan loghat percakapannya dan kesemua suspek melarikan diri ke arah Pulau Semporna dan mereka juga dikatakan fasih berbahasa Melayu.

Ketika kejadian, 61 pelancong menginap di resort tersebut dan 47 pekerja sedang bertugas di resort tersebut.

Jarak antara resort tersebut dengan Pekan Semporna adalah 2.2 batu nautika.

Sejurus selepas kejadian itu satu laporan polis telah dibuat pada jam 12.58 dan gerakan bersepadu pelbagai agensi dari Kawasan Kawalan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) yang dibantu oleh Pasukan Gerakan Am (PGA), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) telah dikerahkan untuk mengesan suspek.

Pengarah Kawasan Kawalan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM), Datuk Mohammad Mentek mengesahkan kejadian dan siasatan kini sedang dijalankan. –ASTRO AWANI

Monday, December 23, 2013

Wanita Warga Taiwan Tebusan Pulau Pom-Pom Berjaya Dibebaskan!

Wanita Warga Taiwan Tebusan Pulau Pom-Pom Berjaya Dibebaskan!

Berikut ialah kronologi pembunuhan dan penculikan dua warga Taiwan di Pulau Pom Pom, Semporna, Sabah bulan lepas.

An Wei Chang, 58

15 Nov – Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Khalid Abu Bakar sahkan seorang pelancong Taiwan, Hsu Li Min, 57, mati ditembak manakala rakan wanitanya, An Wei Chang, 58, dikhuatiri diculik sekumpulan lelaki bersenjata, dipercayai dari selatan Filipina.

16 Nov – KPN syaki kumpulan pengganas Al-Qaeda Abu Sayyaf terlibat dalam kes itu yang dipercayai bergerak dalam kumpulan seramai lapan orang dengan menaiki bot pam dan menculik mangsa untuk tebusan.

17 Nov – Polis percaya An Wei Chang masih hidup dan usaha menjejaki kumpulan yang menculiknya giat dijalankan oleh pasukan keselamatan.

18 Nov – Polis Sabah menegaskan pihaknya tidak tahu menahu tentang laporan media Taiwan kononnya keluarga An Wei Chang, sudah dihubungi pihak tertentu untuk meminta bayaran tebusan.

19 Nov – Polis Sabah memberitahu bedah siasat mayat Hsu Li Min, yang ditembak mati dalam kejadian itu akan dilakukan pada 20 Nov di Hospital Tawau.

20 Nov – Keluarga Hsu Li Min berharap laporan lengkap bedah siasat mayat mangsa dapat dikeluarkan segera.

(Baca: Wanita Warga Taiwan Tebusan Pulau Pom-Pom Berjaya Dibebaskan!)

21 Nov – Mayat Hsu Li Min dibakar di pusat pembakaran mayat Foo Kui Memory Park di Tawau kira-kira 12 tengah hari.

25 Nov – Polis sahkan belum terima sebarang tuntutan daripada mana-mana pihak berhubung kes culik An Wei Chang.

30 Nov – Polis beri jaminan keselamatan An Wei Chang, dan kes sedang diuruskan kerajaan Malaysia dengan kerjasama kerajaan Filipina.

1 Dis – Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar minta pengusaha dan operator pusat pelancongan di Pulau Pom Pom beri kerjasama penuh, tidak menghalang tugas pasukan polis membuat rondaan di kawasan itu.

2 Dis – Polis tahan dua lelaki berusia lingkungan 30-an tanpa dokumen pengenalan di Kampung Bangau-Bangau, Semporna pada 3 pagi, 1 Dis yang dipercayai terlibat dalam kes penculikan itu.

20 Dis – KPN sahkan An Wei Chang berjaya diselamatkan pihak berkuasa Filipina. Wanita itu kini berada di Hospital Merin, Sulu dan akan diterbangkan ke Zamboanga City pada Sabtu.

NOTA: Berikut adalah gambar sejurus selepas dia berjaya diselamatkan tentera Filipna minggu lalu.

An Wei Chang, 58
An Wei Chang, 58
An Wei Chang, 58

[Sumber]

Tuesday, November 19, 2013

SMS Terakhir Mangsa Sebelum Diculik Di Pulau Pom Pom

SMS Terakhir Mangsa Sebelum Diculik Di Pulau Pom Pom

Tiga jam sebelum diculik, pelancong wanita warga Taiwan, Chang An Wei menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada keluarganya bahawa dia berada dalam keadaan selamat.

Sipadan-pom-pom-resort
Gambar hiasan.

"Kami sedang menikmati percutian yang menyeronokkan di pulau ini. Tolong beritahu ibu, kami akan berhati-hati dan jangan bimbang," katanya dalam mesej bahasa Mandarin.

Chang abang sulung, Da Gong berkata adiknya telah menghantar SMS berkenaan pada pukul 10.17 malam, Khamis lalu.

Chang, 58, diculik oleh kumpulan bersenjata pada pukul 1 pagi Jumaat selepas mereka menembak mati suaminya, Hsu Li Min, 57, ketika mereka sedang bercuti di Pulau Pom Pom, berhampiran perairan Semporna, Sabah.

Da Gong memberitahu Apple Daily di Taiwan bahawa keluarga mereka bersedia menghadapi sebarang kemungkinan, termasuk menyediakan wang tebusan sekiranya diminta oleh kumpulan penculik berkenaan.

Dia bagaimanapun enggan mendedahkan butiran lanjut mengenainya.

Da Gong dilaporkan berkata kepada akhbar berkenaan bahawa polis Taiwan telah memberitahu mereka supaya tidak menghubungi atau menghantar SMS sekiranya mereka menerima sebarang mesej atau panggilan telefon daripada kakaknya.

Dia dijangka menaiki penerbangan ke Kota Kinabalu, Selasa ini bersama-sama dengan keluarga Hsu untuk membawa pulang mayat mendiang.

Dalam insiden yang berlaku awal pagi Jumaat lalu, kumpulan bersenjata yang tidak dikenali menyerbu tiga daripada lima vila atas air sebelum mereka menembak mati Hsu dan menculik Chang.

Hsu dan Chang mendaftat masuk di resort berkenaan pada Selasa dan dijadual mendaftar keluar pada Rabu.

Abang Hsu, Li Ren berharap pihak berkuasa dapat melakukan apa sahaja untuk menyelamatkan Chang.

"Dia tidak mati lagi, tolong lakukan apa sahaja demi menyelamatkan dia," katanya kepada Liberty Times.

Li Ren berkata abangnya mungkin dibunuh kerana dia memiliki tubuh badan yang sasa.

Dia berkata kumpulan bersenjata itu mungkin melepaskan tembakan kerana mereka bimbang tidak dapat menewaskan Li Min, yang mempunyai ketinggian 180 sentimeter dengan berat kira-kira 100 kilogram.

Li Ren berkata dia akan membawa bersama anak saudara lelakinya yang telah dianggap seperti anak kepada si mati ke Malaysia sebelum membawa pulang abu mayat Hsu.

Mengenai laporan yang mendakwa pasangan tersebut belum berkahwin, Li Ren berkata pasangan berkenaan telah pun mendaftarkan perkahwinan mereka di China dan bukannya di Taiwan.

Sementara itu, Timbalan Menteri Keadilan Taiwan, Chen Ming-Tang berkata beliau telah meminta jabatan berkaitan membantu keluarga mangsa yang terjejas dengan insiden berkenaan.

Beliau berkata setiap warga Taiwan yang meninggalkan negara itu dengan dokumen perjalanan yang sah namun menghadapi malapetaka boleh memohon bantuan kewangan sehingga, TWD200,000.

Sumber: mStar