Friday, March 24, 2017

2 Tebusan Abu Sayyaf Rakyat Malaysia Berjaya Diselamatkan!

Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) mengesahkan dua daripada lima rakyat Malaysia yang diculik kumpulan Abu Sayyaf sejak Julai tahun lalu, diselamatkan pasukan keselamatan Filipina dalam satu operasi di selatan republik itu awal pagi (23.3.2017).

Tayudin Anjut dan Abdul Rahim Summas
Tayudin Anjut (kiri) dan Abdul Rahim Summas.

Komander Esscom, Datuk Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid berkata, dua tebusan itu adalah Tayudin Anjut, 46, dan Abdul Rahim Summas, 63, iaitu kru kapal tunda Serudong Tiga yang diculik oleh pengganas Abu Sayyaf di perairan Dent Haven di Lahad Datu pada 18 Julai lalu.

BACA: INFO TERKINI PENCULIKAN ABU SAYYAF DI SABAH

"Saya mendapat pengesahan daripada pihak tentera Filipina bahawa dua tebusan culik warga Malaysia berjaya diselamatkan dalam satu operasi

"Setakat ini, kita masih berhubung dan berurusan dengan pihak keselamatan Filipina mengenai perkara ini," katanya kepada Bernama.

Ditanya lanjut mengenai lokasi terkini Tayudin dan Abdul Rahim, beliau berkata kedua-dua mangsa masih berada di kem tentera di Filipina untuk menjalani proses tertentu.

"Ada proses tertentu (tidak boleh didedahkan), itu perkara biasa dan yang penting mereka selamat," kata Wan Abdul Bari.

Sebelum ini, media asing melaporkan, kedua-dua mangsa yang dalam keadaan lemah dan tidak sihat diselamatkan oleh bot pasukan peronda Marin Filipina di perairan Pulau Pata di selatan Filipina.

Sehingga kini, tiga lagi warga Malaysia masih ditahan pengganas Abu Sayyaf iaitu Fandy Bakran, 27, Mohd Jumadil Rahim, 24, dan Mohd Ridzuan Ismail, 33, yang juga kru kapal tunda Serudong Tiga.

Sementara itu, Gustia Sultan, 47, isteri Tayudin masih belum mendapat maklumat berhubung pembebasan suaminya daripada mana-mana pihak termasuk pasukan keselamatan.

"Saya belum lagi dihubungi sehingga ini, hanya mengetahui perkara ini daripada media...tetapi saya sangat bersyukur mengenai berita pembebasan ini, saya gembira dan terharu," katanya. -sh

UPDATE (27/3/2017)

Tiga lagi rakyat Malaysia diculik Abu Sayyaf diselamatkan

TAWAU: Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) mengesahkan tiga lagi rakyat Malaysia yang diculik kumpulan Abu Sayyaf di perairan Dent Haven, Lahad Datu, pada Julai tahun lalu, diselamatkan pasukan keselamatan Filipina.

Fandy Bakran, 27, Mohd Jumadil Rahim, 24, dan Mohd Ridzuan Ismail, 33, diselamatkan dalam satu operasi di perairan Sulu, kata Komander Esscom Datuk Wan Abd Bari Wan Abd Khalid.

"Itu saja yang boleh saya sahkan setakat ini, mereka telah diselamatkan," katanya kepada Bernama namun enggan mengulas lanjut.

Bernama difahamkan ketiga-tiga mangsa dibawa ke kem tentera Filipina.

Khamis lepas (24/3/2017), dua rakan mereka yang turut menjadi mangsa culik, Tayudin Anjut, 46, dan Abd Rahim Summas, 63, diselamatkan pasukan keselamatan Filipina.

Tayudin dan Abd Rahim Summas kini berada di Kuala Lumpur.

Dalam kejadian 18 Julai lalu, lima rakyat Malaysia diculik kumpulan Abu Sayyaf selepas kapal tunda Serudong 3 yang dinaiki mereka, ditemui dalam keadaan enjin masih hidup di perairan Dent Haven di Lahad Datu. -aa

BACA INI JUGA: RM12 Juta Untuk Bebaskan 4 Mangsa Culik Abu Sayyaf!

-SENTIASAPANAS.COM

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon