Thursday, April 11, 2019

Pokok Rhu, Potensi Tanaman Kayu Ini Sebagai Bisnes Lumayan

Pokok Rhu, Potensi Tanaman Kayu Ini Sebagai Bisnes Lumayan

Pokok Ru juga dipanggil sebagai Pokok Rhu, Rhu Laut, Aru (Malaysia), Ku; Son thala (Thai), ai samara; aru; cemara; eru (Indonesia), beach she-oak; casuarina, sea oaks (English), phi laong ; duong (Vietnam), jangli saru; jungli (Hindi) dan sebagainya, adalah sejenis tumbuhan dari keluarga Casuarinaceae yang banyak terdapat di kawasan pantai di Malaysia.

Manfaat Pokok Rhu

Kita mudah mengenali pokok ini kerana ia ditanam di kawasan pantai, tepi jalan dan juga didalam kawasan taman bunga sebagai pokok hiasan, penghadang angin (wind breaker) dan tumbuh subur di kawasan tropika.

Spesies Pokok Rhu

Ada dua spesies pokok Ru jenis tropika iaitu, Casuarina equisetifolia subspecies equisetifolia dan satu lagi adalah Casuarina equisetifolia subspecies incana.

Jenis pertama yang banyak dinegara kita adalah pokok ru bersaiz besar (mencecah ketinggian sehingga 35 meter) sementara jenis kedua adalah bersaiz kecil sedikit dengan ketinggian sekitar 12 meter sahaja.

Kayu Keras

Biji Pokok Rhu
Biji Pokok Rhu.

Kayu pokok Ru merupakan jenis kayu keras dan sesuai untuk digunakan untuk pelbagai tujuan yang berasaskan kayu keras, terutamanya dalam pembinaan rumah papan sebagai beruti, tiang dan dinding.

Pokok Ru mempunyai daun yang keras seperti jarum yang tajam (pine-needle- like leaves). Daun Ru berwarna hijau dan amat tahan dalam banyak keadaan sama ada air masin, hujan lebat dan tiupan angin serta musim kemarau.

Paling unik mengenai pokok Ru adalah buahnya yang berbentuk kon seperti jenis pokok conifers.

Pokok ini mempunyai banyak dahan yang kukuh dan tidak mudah patah walaupun berlaku tiupan angin kencang terutamanya jika ditanam di tepi pantai.

Akar tunjang yang jauh masuk ke dalam tanah juga mampu menahan pokok daripada tumbang dan kehebatannya dalam mengawal hakisan pantai.

Menanam Pokok Ru

Biji Pokok Rhu Matang
Biji Pokok Rhu Matang.

Pokok Ru mudah ditanam daripada biji benih yang disemai didalam tapak semaian atau didalam polibeg.

Biji Ru yang jatuh ke dalam air laut masin juga mempunyai ketahanan sehingga 5 tahun terapung dan apabila sampai dipantai, ianya boleh tumbuh sendiri.

Jarak penanaman pokok Ru yang disyorkan di Malaysia adalah pada jarak 3mx3m (padat) atau 4mx4m (sesuai).

Kadar pertumbuhan pokok Ru adalah cepat dimana ia mencecah ketinggian 3 meter (10 kaki) dalam masa setahun dan setinggi 7-8 meter (25 kaki) selepas 4 tahun dengan garis pusat batang sebesar 13-17 cm (5-7 inci).

Pokok Ru cepat matang dimana ia akan berbunga sepanjang tahun dan buah akan matang 18-20 minggu selepas proses 'Anthesis'.

Dalam beberapa percubaan penanaman pokok Ru secara komersil, hasil kajian mendapati pokok Ru sesuai ditebang untuk dijadikan produk kayu (timber) dalam masa 7-15 tahun selepas ditanam.

Hasil kayuan sebanyak 37,000 - 74,000 kg (40-80 metrik tan) kayu dihasilkan dari kawasan seluas satu hektar.

Kegunaan Pokok Ru

Kayu Ru sangat sesuai dijadikan beruti, dinding, tiang rumah dan kegunaan industri perabot bagaimanapun, Ru kurang sesuai untuk tujuan kraftangan berasaskan ukiran kerana kualiti kayunya yang keras, namun sangat baik untuk perusahaan yang memerlukan kayu keras.

Kayu pokok Ru juga merupakan bahan bakar terutamanya sebagai arang yang baik kerana kurang mengeluarkan asap dan amat tahan lama dibakar selain bahang panas yang tinggi.

Pendapatan Lumayan Tanam Pokok Ru

Jadi, jika anda berhasrat untuk membina rumah papan tanpa perlu berbelanja besar untuk membeli bahan yang sangat mahal, menanam beberapa batang pokok Ru dari sekarang adalah langkah paling bijak.

Jika anda memiliki kebun sendiri, 10-20 pokok Ru sudah memadai untuk keperluan 10-20 tahun akan datang terutamanya untuk kegunaan anak cucu.

Malah, dengan harga kayu sebagai papan dan beruti yang sangat mahal juga menjadikan potensi tanaman pokok Ru sebagai pendapatan lumayan jika ditanam dalam skala yang banyak.

Benarkah Pokok Gharqad Adalah Rhu?

Ramai yang keliru tentang bagaimanakah rupanya pokok Gharqad. Ada yang menyatakan bahawa ia pokok krismas, pokok rhu dan ada juga yang menyatakan bahawa ia adalah pokok kaktus dan sebagainya.

Pokok Gharqad yang bakal digunakan oleh puak Yahudi untuk bersembunyi nanti, bukanlah di bawah pokok saka yang ketinggiannya boleh mencapai sehingga 30 kaki tetapi di dalam rimbunan anak-anak pokok di bawah 7 kaki yang penuh duri.

Foto yang dipapar berikut, diharap dapat menyelesaikan kekeliruan tentang gambaran pokok Gharqad.

Pokok Gharqad
African Boxthorn atau pokok Gharqad.

Pokok Gharqad dengan nama saintifiknya ‘Nitraria retusa’ dan sebahagian berpendapat ianya pokok ‘African Boxthorn’ dari keluarga ‘Solanaceae’ adalah sejenis pokok berduri dan mempunyai dahan yang berjalin-jalin.

Daunnya berwarna hijau muda. Bunganya kecil dan berwarna putih dengan tompok-tompok ungu.

Dikategorikan sebagai beracun dan buahnya seperti buah tomato, tetapi kecil dan hanya berdiameter 1cm.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

-SENTIASAPANAS.COM

Wednesday, February 20, 2019

6 Varieti Avocado Di Malaysia

6 Varieti Avocado Di Malaysia

Avocado ialah sejenis tumbuhan buah-buahan dari keluarga Lauraceae yang dimakan sebagai buah segar atau untuk diproses bagi pelbagai kegunaan dan dipercayai berasal dari Puebla, Mexico. Sejarah menanam dan memakan buah avocado telah bermula semenjak beribu-ribu tahun dulu lagi oleh kaum Aztek di lembah Andes yang mempunyai tamadunnya tersendiri.

Gambar buah Avocado

Tanaman avocado tidak popular disemua negara Asia Tenggara seperti Malaysia dan Thailand tetapi popular di Filipina dan Indonesia.

Orang Malaysia kurang meminat makan buah avocado tidak seperti di beberapa negara Amerika Latin, Caribbean, Indonesia dan Filipina yang amat menggemari buah avocado.

Cara makan buah avocado juga mudah iaitu dengan membelah buah kepada dua dan ambil isinya kemudian masukan dalam cawan di campur dengan susu dan sedikit gula.

Negara Pengeluar Utama

Tanaman Avocado popular di beberapa negara dengan pengeluaran dunia sebanyak 3.2 juta metrik tan pada tahun 2010.

Negara-negara membangun menyumbang sebanyak lebih 82% pengeluaran tersebut di kawasan Amerika Latin dan Caribean.

Mexico merupakan pengeluar utama avocado dunia dengan lebih 1.1 juta mt setahun diikuti dengan Indonesia (263,000 mt/tahun) dan Amerika Syarikat (214 mt/tahun).

Beberapa negara pengeluar utama lain seperti Colombia, Brazil, Chile, Peru, China dan Ethiopia.

Kawasan Asia Pasifik dan Asia Tenggara menyumbang lebih 11% pengeluaran avocado dunia melibatkan Indonesia, Filipina, Vietnam dan Australia.

Ciri-ciri morfologi

Pokok avocado merupakan pokok yang tumbuh menegak dengan ketinggian sehingga 20 meter (70 kaki).

Pokoknya bercabang dengan daun berwarna hijau gelap berukuran 12-25 cm panjang dan berkilat di bahagian atas permukaan daun.

Bahagian bawah daun agak cerah keputihan yang mempunyai pelbagai bentuk seperti lanseolat, ekliptik, bujur, ovat dan juga bentuk obovat.

Buah Avocado mempunyai bentuk 'pear' yang agak tirus di bahagian pangkal buah seakan bulat dan oval berukuran 7-33 cm panjang dan 15 cm diameter.

Kulit berwarna hijau kekuningan, hijau gelap, merah ungu atau ungu gelap dan agak kehitaman apabila cukup masak.

Kadang-kala ada juga yang mempunyai titik-titik kuning dan mempunyai ketebalan kulit kira-kira 6 mm.

Bunga Avokado berwarna hijau kekuningan yang ada 2 pusaran serta 3 lobus periant dengan 9 stamen dan 2 kelenjar nektar berwarna jingga.

Kaedah atau cara pendebungaan pokok avocado ada dua cara iaitu kaedah 'A' dan kaedah 'B'.

Kaedah 'A' adalah dimana organ betina akan terbuka pada waktu pagi dan debunga dikeluarkan tengahari sementara keadah 'B' iaitu debunga dikeluarkan pagi dan organ betina dibuka waktu tengahari.

Daripada 11 spesis avokado, sebanyak 5 spesis mempunyai bunga jenis A dan 6 spesis jenis B.

Khasiat

Avokado adalah sejenis buah berkhasiat yang mengandungi protein, zat besi, fosforus, kalsium, sodium, potasium, vitamin A dan C dan niasin.

Sebiji avocado dipercayai mengandungi kira-kira 300 kalori, dengan 88% daripadanya terdiri daripada lemak.

Ia bertindak dengan berkesan sebagai pelincir semula jadi bagi membolehkan sendi-sendi tulang bergerak bebas terutamanya di bahagian leher, siku, pergelangan tangan, pinggul dan lutut sekali gus dapat menghindarkan penyakit sengal-sengal tulang.

Di samping itu, amalan memakan buah ini setiap hari boleh menurunkan paras kolesterol di samping mengekalkan paras lipoprotein iaitu sejenis kolestrol baik yang bertindak melindungi seseorang itu daripada diserang sakit jantung.

Isi avocado yang kaya dengan vitamin A, minyak dan riboflavin amat berkesan untuk memulihkan kesegaran dan kelicinan kulit serta mengatasi masalah kulit kering.

Spesis

Terdapat 4 spesis utama tanaman avokado iaitu Guatemalan (Persia nubigena var. guatemalanisi L Wims), Mexican (Persea americana var drymifolia Blake), West Indian ( Persea americana) dan kacukan antara ketiganya.

Terdapat dua lagi spesis yang berkait rapat dengan tanaman avocado iaitu Covo (Persea schiedeana Nees) dan juga Anay (Beilcshmiedia anay Konter m).

Kultivar

Antara kultivar yang terdapat adalah Avocado Hass, Avocado Gwen, Avocado Pinkerton, Avocado Reed (Kategori A).

Bagi kultivar kategori B pula ialah kultivar Avocado Bacon, Avocado Ettinger, Avocado Fuerte, Avocado Sharwil dan Avocado Zutano.

Kultivar lain yang ada termasuk Avocado Spinks dengan jenama Challange, Dickinson, Kist, Queen, Sharpless, Rey, Royal dan Tatt.

Klon dan kultivar yang terdapat di Malaysia dibawa masuk dari Mexico tetapi banyak kultivar yang disesuaikan dengan keadaan di Indonesia dan Filipina.

Klon tanaman avokado

Di Malaysia terdapat tujuh varieti yang telah didaftarkan untuk tanaman avokado. Walaupun tanaman avocado di Malaysia tidak begitu popular tetapi sejak zaman kolonial terdapat usaha membangunkan tanaman ini yang di majukan di Stesen-stesen Pertanian.

Pokok avokado (Persia americana) adalah varieti yang ditanam di Malaysia.

Jabatan Pertanian Malaysia telah mendaftarkan beberapa klon avokado semenjak tahun 1953 dan menyimpan sebahagian daripada pokok-pokok tersebut di beberapa pusat pertanian sekitar Malaysia.

Di pusat pertanian Tangkak, Ledang, Johor contohnya terdapat beberapa pokok yang masih dijaga dan mengeluarkan hasil sehingga kini.

Usaha untuk menyimpan pokok tersebut sebagai sumber janaplasma perlu dijalankan.

1. Avocado Klon A7

Avocado jenis ini di panggil sebagai "Haji Abu" yang didaftarkan pada 5.10.1953 dari Pusat Pertanian Ampang Tinggi , Negeri Sembilan. Klon ini didaftarkan oleh pegawai pertanian pusat tersebut.

Buah jenis ini berbentuk 'pear' dengan saiz yang sederhana dan mempunyai kulit berwarna hijau.

Buah ini senang di kupas apabila telah matang. Isinya berwarna kuning, lembut dan bijinya senang tertanggal dari isi.

2. Avocado Klon A10

Jenis avocado klon A10 yang di daftarkan pada 1956 di dapati di Lot 2835, Selama, Perak oleh Jabatan Pertanian.

Buah klon ini bersaiz besar, berwarna merah padam dan mempunyai kulit yang nipis. Tidak ada nama tempatan untuk klon ini. Isinya lembut dan mempunyai mutu serta rasa yang sederhana.

3. Avocado Klon A16

Bagi buah klon avocado A16 yang didaftarkan pada 18.5.1957 ini ditanam di Pusat Pertanian, Selama, Perak yang didaftarkan oleh Jabatan Pertanian.

Buahnya mempunyai kulit yang hijau kekuningan dengan bentuk agak panjang dan membengkok, meruncing di bahagian tangkai. Isinya pucat dan rasa buah adalah sederhana sedap.

4. Avocado Klon A25

Klon avocado A25 tiada nama tempatan dan didaftarkan pada tahun 1958 oleh pegawai pertanian. Pokok induk masih ada di Pusat Pertanian Tangkak, Ledang, Johor.

Buahnya bila matang berwarna merah hati dengan saiz buah sederhana. Isinya tebal dan berbiji kecil dengan ira isinya yang halus dan rasa yang sangat sedap.

5. Avocado Klon A27

Klon ini didaftarkan pada 10.6.1958 oleh pegawai di Jabatan Pertanian Serdang. Tidak ada nama tempatan untuk klon ini.

Klon ini menghasilkan buah kecil yang kulitnya berwarna jingga gelap. Isinya agak nipis dibahagian tepi tetapi tebal di bahagian atas dan bawah biji. Mutu dan rasa klon A27 adalah dikategorikan sederhana.

6. Avocado Klon A30

Avocado ini telah di daftarkan pada 1.6.1958 oleh pegawai Jabatan Pertanian yang bertugas di Pusat Komoditi Jabatan Pertanian Serdang, Selangor.

Klon ini mempunyai buah yang besar dengan kulit berwarna jingga. Isinya adalah tebal, halus serta berwarna 'cream'. Mutu buah adalah sangat baik.

Penanaman

Penanaman menggunakan biji benih atau keratan yang dipilih dari pokok induk yang dikenalpasti.

Jarak penanaman disyorkan ialah 6m x 6m atau lebih jauh bergantung kepada keadaan tanah dan kultivar. Lubang penanaman diisikan dengan baja organik dan MOP sebelum ditanam dengan anak benih.

Jalankan penyiraman peringkat awal dan sebaiknya bubuh sungkupan. Tanaman selingan seperti pisang , jagung atau lain-lain tanaman kontan boleh ditanam di antara barisan. Kawal rumpai dan jalankan program cantasan pembentukan.

Baja tumbesaran NPK 15:15:15 diberikan mengikut kadar disyorkan. Baja buah NPK 12:12:17:2 dan baja organik juga diberikan ikut syor.

Pokok avocado dewasa mampu menghasilkan sebanyak 1,200 biji buah sepokok setahun. Purata hasil avocado yang di tanam secara komersil sebanyak 7-20 metrik tan sehektar setahun.

Kawasan dusun avocado yang dijaga dengan baik di negara strategik mampu menghasilkan sehingga 20 mt sehektar setahun.

Pokok avocado memang mempunyai masalah penghasilan berbuah dwimusim iaitu pengeluaran puncak dan pengeluaran kurang berlaku berselang tahun.

Isu ini menyebabkan harga buah avocado di pasaran kadang-kadang terlalu tinggi dan terlalu murah akibat fenomena ini.

Ciri-ciri ideal avocado

Ciri-ciri buah avocado yang dikehendaki oleh pengguna mestilah buah yang bersaiz kecil dan saiz sederhana untuk pengeluaran secara komersial di kawasan kotaraya.

Buah yang terlalu besar atau terlalu kecil digunakan untuk keluarga yang besar.

Kulit buah avocado sebaiknya licin, nipis atau sederhana nipis serta berwarna kehijauan memang diminati pengguna.

Isinya tidak ada serat, mengandungi minyak yang rendah serta rasa yang sedap. Biji sebaiknya bersaiz kecil dan tidak mengganggu isi buah semasa proses penghantaran, penggredan dan pengendalian lepas tuai.

Hanya beberapa negara sahaja di dunia yang mempunyai iklim dan cuaca dikehendaki untuk tanaman avocado bermutu iaitu di Selatan Sepanyol, Crete dan Levant, Peru dan Afrika Selatan.

Kawasan lain yang sesuai seperti di Selatan India , Sri Lanka, Australia, New Zealand , Filipina, Malaysia, Indonesia, Amerika Tengah, Caribean, Arizona , Mexico, New Mexico, Texas, Florida dan Ecuador. Setiap kawasan mempunyai kultivar tersendiri.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: wikipedia

Monday, February 18, 2019

Khasiat Gula Kabung Selain Rasanya Yang Enak

Khasiat Gula Kabung Selain Rasanya Yang Enak

Manisan Gula Kabung dibuat dari nira atau tuak pokok kabung dan seakan-akan sama dengan gula melaka, gula pokok nipah dan gula pokok tar, semuanya dalam kategori pokok palma kerana boleh menghasilkan tuak atau nira mengikut proses tertentu.

Khasiat Gula Kabung

Pokok kabung juga dipanggil pokok enau, pokok aren dan pokok kantau (kantor). Nira pokok kabung dihasilkan dari tangkai atau tandan bunga jantan dan kaedah atau cara untuk menghasilkan nira kabung, hampir sama cara mendapatkan nira nipah.

Air nira yang ingin dibuat gula kabung biasanya dimasak menggunakan kawah kerana mudah untuk mengacau.

Mengacau semasa memasak gula kabung sama seperti mengacau membuat dodol, cuma bezanya adalah masa untuk mengacau gula kabung lebih singkat.

Air nira kabung yang dimasak perlu dikacau sehingga pekat dan berwarna coklat kmerahan. Setelah betul-betul pekat ia perlu segera dimasukkan ke dalam acuan daun mengkuang yang berbentuk bulat untuk dikeraskan. Proses pengerasan hanya kira-kira 5 minit selepas diambil dari kawah.

Keenakan gula kabung memang tiada tandingannya kerana rasa manisan itu berbeza dengan gula biasa yang diperbuat daripada tebu.

Rasa gula yang enak dan tidak terlalu manis menjadikan gula kabung menjadi pilihan di dalam masakan tradisional seperti dodol, kuih-muih atau dijadikan manisan untuk minuman.

Khasiat Gula Kabung

Gula kabung boleh menggantikan gula biasa atau gula tebu kerana mengandungi kandungan glukosa yang lebih rendah berbanding gula pasir.

Selain itu gula kabung kaya dengan Vitamin C, Thiamine, Nicotinic acid, Riboflavin, Ascorbic acid dan zat protein.

Memandangkan kandungan zat galian dan nutrisinya yang tinggi, maka gula kabung amat sesuai bagi pengidap diabetes, lelah atau asma, anemia atau kurang darah, mereda panas pankreas, membantu pertumbuhan gigi dan tulang, menghalang kegemukan dan baik untuk proses pembesaran kanak-kanak.

POKOK KABUNG

Pokok kabung, sejenis pokok palma juga dikenali sebagai pokok Enau atau nama saintifiknya 'Arenga Pinnata', mungkin agak pelik berbanding pokok daripada spesies palma yang lain.

Mengikut kata orang tua, pokok kabung yang tumbuh di tepi paya atau di tepi sungai, mempunyai kualiti air nira yang sederhana berbanding yang tumbuh di kawasan caruk, lembah mahu pun di kaki bukit yang mempunyai kualiti yang tinggi.

Pokok daripada keluarga Arecaceae ini pelik kerana semakin ia meninggi dan matang, tandan bunga dan buahnya pula tumbuh kian merendah dibahagian bawah batangnya hingga hampir mencecah tanah.

Malah dikatakan bahawa apabila tandan yang tumbuh di batang itu sudah hampir ke tanah itu menandakan bahawa pokok kabung berkenaan sudah tua dan akan mati.

Ini berbeza dengan pokok daripada spesies palma yang lain seperti pokok kelapa dan rumbia kerana tandan bunga dan buahnya akan tumbuh meninggi mengikut kematangan dan ketinggian pokok berkenaan.

Pokok kabung, mengeluarkan nira yang boleh diminum begitu saja atau di proses menjadi gula kabung dikatakan hanya akan mengeluarkan nira daripada tandan sepadan dengan 'pujukan' yang diberikan.

Pastikan air nira kabung tersebut bewarna jernih, jika warna agak kemerahan, air nira tersebut tidak berkualiti.

BUNGA JANTAN

Tidak semua tandan pokok kabung mengeluarkan nira kerana hanya tandan bunga jantan sahaja yang boleh 'dipujuk' untuk mengeluarkan niranya.

Tandan bunga betina pula tidak akan mengeluarkan nira meskipun dipujuk seperti tandan bunga jantan.

Kerja 'memujuk' mengikut istilah yang digunakan pemungut nira, iaitu dengan mengetuk batang tandan bunga jantan itu secara bersopan, memang berlaku berdasarkan pengalaman sejak bertahun-tahun lamanya.

Sebelum batang tandan bunga jantan dicantas, batang tandan berkenaan perlu dibersihkan daripada sebarang sisa kelopaknya. Selepas itu, ia perlu 'dipujuk' dengan mengetuk-ngetuk batang tandan itu ke arah atas dua kali dan arah ke bawah dua kali.

Tujuan mengetuk berkenaan ialah bagi melonggarkan rongga-rongga saluran aliran air nira dalam batang tandan berkenaan.

Ketukan pula hendaklah dibuat secara berhati-hati supaya tidak mencederakan batang tandan berkenaan. Jika ketukan terlalu kuat dan batang tandan tercedera, nira tidak akan keluar.

CARA MENGHASILKAN GULA KABUNG

Sigai yag diperbuat dari buluh, pengikat mayang kabung dari akar rotan seni, tabung buluh serta parang yang tajam akan digunakan untuk mengambil nira kabung.

Parang yang tumpul akan menyebabkan mayang yang dipotong bergerigi dan kualiti air nira akan terjejas.

Setelah itu, mayang kabung dilenturkan sedikit demi sedikit. Ianya akan diikat dengan rotan sebelum proses memotong mayang. Seterusnya, air nira ditakung ke dalam tabung buluh yang sepanjang 3 kaki.

Di dalam tabung tersebut diletakkan sedikit daun manggis/kulit manggis untuk mencegah air nira daripada menjadi masam. Ada juga yang menggunakan akar laru untuk mencegah air nira menjadi masam.

DUA KALI SEHARI

Air nira biasanya dikutip dua kali sehari dan ada antara pokok kabung berkenaan boleh mengeluarkan sehingga 5 liter sehari.

Gula kabung boleh menggantikan gula biasa dan lebih penting daripada itu ia tidak mengandungi glukosa dan baik untuk kesihatan khususnya bagi pengidap kencing manis.

GULA KABUNG

Proses memasak memakan masa yang agak lama. Dapur kayu digunakan bagi menjaga kualiti, mengekalkan ketradisionalan dan membangkitkan aroma bau gula kabung tersebut.

Gula kabung boleh dijadikan bahan masakan dalam kuih-muih tradisional, makanan dan minuman.

Antara makanan yang popular dengan campuran gula kabung ialah bubur kacang, kuih koci, kuih kelepong, kuih keria, dodol, pulut kacau@wajik, agar-agar, kuih sepang, air batu campur dan cendol, perapan daging atau ikan, juga enak apabila dicampurkan bersama kopi O.

Gula kabung yang siap dimasak, dibiarkan keras dan kemudian akan dibungkus dengan pucuk daun kabung yang dikeringkan.

Rasanya mungkin agak sama seperti gula melaka, cuma gula kabung terhasil dari air nira pokok kabung, manakala gula melaka dari air nira pohon kelapa.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

-SENTIASAPANAS.COM

Tuesday, February 12, 2019

25 Jenis Varieti Pokok Zaitun

25 Jenis Varieti Pokok Zaitun

Buah Zaitun atau Olive (Olea europaea) dihasilkan dari pokok zaitun dari keluarga Oleaceae, merupakan tumbuhan paling tua di dunia yang tumbuh dari kawasan di Mediterranean dan dilaporkan mampu hidup sehingga lebih 1,000 tahun.

Buah Zaitun Liar

Pokok Zaitun boleh tahan dalam keadaan suhu panas, kemarau dan keadaan tanah yang agak masin (high salinity) serta mempunyai pelbagai khasiat dan kegunaan dalam masyarakat sejak zaman kuno, telah ditanam dan digunakan sejak zaman Mesir purba lagi.

Kehebatan buah zaitun telah di tulis dalam AlQuran iaitu, "Makanlah minyak zaitun dan lumurlah minyaknya, kerana ia berasal daripada pohon yang penuh berkat." (Riwayat At-Tirmizi dan Ibnu Majah)'.

"...yang dinyalakan dengan minyak yang banyak faedahnya (iaitu) zaitun yang tumbuh tidak di sebelah timur dan tidak pula di sebelah barat, yang minyaknya (sahaja) hampir menerangi, walaupun tidak disentuh api...."

Ini juga menunjukkan bahawa pokok dan buah zaitun merupakan sejenis tumbuhan yang sangat berguna.

Produk Zaitun dipercayai telah diperdagangkan sejak 2,000 - 3,000 tahun sebelum masihi, tersebar di kawasan Mediterranean, Afrika Utara dan Eropah kerana mudah dibiakkan dengan cara vegetatif dalam keadaan cuaca kering.

Beberapa kultivar dan varieti pokok zaitun yang terdapat diseluruh dunia dipilih semenjak beribu-ribu tahun dahulu dan daripada 39 negara yang menanam pokok zaitun di seluruh dunia, sebanyak 19.6 juta metrik tan buah zaitun dihasilkan pada tahun 2011 (Laporan FAO Statistik 2011).

Varieti yang ditanm bergantung kepada kesesuaian tanah, iklim dan pengurusan selain keperluan pasaran.

Berikut adalah 25 kultivar yang ada untuk dilaporkan sebagai maklumat berguna kepada pembaca.

1. Amfissa

Kultivar ini berasal dari negara Greek yang dikenal pasti dari daerah bernama Amfissa (Tengah Greek) dan jugan dekat dengan bandar Delphi.

Jenis ini mendapat perlindungan dibawah (PDO status) dan sangat baik kualiti ekstrak minyak.

Pada masa ini dilaporkan terdapat sebanyak 1,200,000 pokok olive jenis ini yang dilindungi sebagai landskap semulajadi dinegara tersebut.

2. Arbequina Olives

Varieti ini adalah jenis buah kecil dan berwarna coklat apabila matang. Ia berasal dan banyak ditanam dikawasan Aragon serta Bandar Catalonia di Sepanyol. Jenis ini sangat sesuai untuk dimakan segar dan juga diekstrak untuki menghasilkan minyak zaitun.

3. Bari Zaitoon

Jenis ini banyak ditanam dan berasal dari negara Pakistan. Ia baru sahaja didaftarkan dan masih belum banyak maklumat mengenainya.

4. Barnrea

Jenis ini berasal dan dibiakkan di negara Israel dengan dua kegunaan iaitu segar dan diproses. Ia merupakan varieti yang tahan dari serangan penyakit dan memberikan hasil tinggi.

Minyak yang dihasilkan mempunyai baru harum yang kuat dan kini banyak ditanam di tiga negara sahaja iaitu Israel, Australia dan New Zealand.

5. Bosana

Varieti ini paling banyak ditanam di kawasan Sardinia di negara Itali yang menghasilkan sebanyak 3.182 juta metrik tan buah zaitun setahun, merupakan negara kedua pengeluar buah zaitun didunia dengai nilau pengeluaran sebanyak USD2.254 billion pada tahun 2011. Jenis ini hanya untuk diproses menjadi minyak sahaja.

6. Cornicabra

Jenis ini berasal dari Bandar Toledo, Sepanyol yang menyumbang sebanyak 12% dari pengeluaran buah zaitun dalam negara tersebut. Ia ditanam untuk penghasilan minyak.

7. Dormant

Varieti Dormant ditanam di Turki sebagai buah zaitun berwarna hijau yang diproses untuk menghasilkan minyak.

Turki menghasilkan sebanyak 1.750 juta metrik tan buah zaitun pada tahun 2011 (FAO Statistic) dengan kedudukan ke 4 terutama diseluruh dunia bernilai USD 1.40 billion.

8. Empeltre

Varieti ini berasal dari kawasan Pedrola, Aragon di Sepanyol. Ia adalah jenis buah zaitun bersaiz sederhana berwarna hitam yang boleh dimakan segar dan juga diproses menjadi minyak.

9. Frontioio/Leccino

Kultivar ini berasal dari kawasan Tuscany di itali yang mnjadi bahan asas untuk industri minyak zaitun dinegara tersebut.

Kini varieti ini telah banyak ditanam dibeberapa negara lain kerana ia mempunyai nilai tinggi dan rasa yang baik iaitu manis sedap.

10. Gemlik

Ini adalah varieti dari kawasan bandar Gemilk di Turki. Ia mempunyai saiz buah yang kecil dan sederhana dengan warna kehitaman apabila masak.

Ia mengandungi minyak yang tinggi dan sering digunakan dalam sajian sarapan pagi di negara tersebut. Isinya agak mudah dikupas berbanding dengan varieti lain daripada bijinya.

11. Hojiblanca

Varieti ini juga berasal dari Sepanyol iaitu dikawasan Cordoba iaitu satu daripada kawasan utama penanaman pokok zaiton. Minyak yang dihasilkan berkualiti tinggi walau pun ianya mempunyai rasa sangat pahit.

12. Hondroelia Halkidkis

Jenis ini berasal dari kawasan Haldkidiki atau juga digelar sebagai 'hondro-thick' atau 'donkey-olive' yang banyak terdapat di utara negara Greeek. Buahnya berwarna hijau den mempunyai rasa sangat pahit.

13. Izmir Sofralik

Pokok jenis ini berasal dari Turki yang ditanam untuk menghasilkan minyak zaitun.

14. Kalamata

Varieti ini berasal dari negara Greese yang mempunyai saiz buah yang besar dan berwarna hitam., Ia banyak ditanam dikawasan Kalamata yang mempunyai rasa seperti daging dan licin kulitnya.

Kegunaan selain daripada untuk hasilkan minyak adalah untuk dibuat wain, cuka dan juga kegunaan harian (table olive). Varieti ini mendapat perlindungan dari PDO (Persatuan Olive Dunia).

15. Koroneiki

Ia berasal dari bandar Koroneiki, Pelopponese dan Mani dinegara Greece. Buahnya kecil dan agak sukar untuk ditanam tetapi mampu menghasilkan buah yang banyak dan varieti ini mempunyai kualiti minyak unggul.

16. Lucques

Kultivar ini berasal dari Perancis Selatan dikawasan bernama Aude. Ia adalah pokok zaitun yang menghasilkan buah agak besar, berwarna hijau dan agak panjang bentuknya. Kualiti minyaknya sederhana dan agak lembut.

17. Maalot

Mendengar namanya saya dah agak ia berasal dari Israel yang dikatakan tahan kepada serangan penyakit. Walaupun ia berasal dari Chemlali di Afrika Utara, aktiviti biak baka dijalankan di Israel dan ia mempunyai saiz buah sederhana, bentuk bulat dan rasa sedap. Kebanyakan untuk ekstrak minyak juga.

18. Manzanilla

Varieti zaitun ini berasal dari Sepanyol yang natif dibandar Dos Hermanas dan Seville. Ia mempunyai saiz besar, berwarna ungu kehijauan dan berbentuk bulat oval. Isinya tebal dan kaya dengan zat dimana ia kini ditanam dibanyak negara lain.

19. Memeli

Varieti ini berasal dari begara Turki yang menghasilkan buah berwarna hijau, brine dan juga warna hitam. Ia hanya untuk diproses bagi menghasilkan minyak.

20. Mission

Varieti ini berasal dari California di Amerika dan luas ditanam di seluruh California. Warna buahnya kehitaman dan kebanyakannya adalah untuk dimakan segar (generally used for table consumption).

21. Nabali

Jenis ini berasal dari negara Palestin yang mana nama lokalnya adalah Baladi. Ia banyak ditanam di kawasan seperti di Souri dan Malissi dimana varieti ini merupakan pokok zaitun yang menghasilkan kualiti minyak yang terbaik didunia.

22. Patrinia

Varieti ini berasal dari negara Greek yang banyak ditanam di kawasan Aigialeia. Ia ditanam untuk kegunaan segar dan diproses menjadi minyak zaitun.

23. Picholine

Varieti ini banyak ditanam di Selatan Perancis dimana buahnya adalah berwarna hijau dan mempunyai saiz sederhana dan bentuk memanjang.

Buah jenis ini dimakan segar dan juga diproses dimana mempunyai rasa lembut dan rasa seperti buah kacang (nutty taste).

24. Picual

Buah zaitun varieti ini berasal dari Sepanyol Selatan didaerah Jaen walau pun kini telah ditanam di seluruh kawasan di Sepanyol, merupakan 50% dari varieti pokok zaiton yang ditanam di Sepanyol dengan sebanyak 20% daripada pengeluaran minyak zaitun didunia. Ia mempunyai sara manis dan bau yang amat kuat dan juga digunakan sebagai 'table olive'.

25. Souri

Varieti ini banyak ditanam dan dipercayai berasal dari negara Lebanin. Ia banrasal dari bandar Sur (Tyre) tersebar sehingga ke kawasan Levant. Varieti ini menghasilkan minyak yang banyak dan mempunyai kuaiti minyak yang kuat aromanya.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: 1 | 2

Monday, February 11, 2019

Cara Menanam Strawberi Di Malaysia

Cara Menanam Strawberi Di Malaysia

Apabila disebut Strawberi sahaja mesti anda terbayang Cameron Highland, tempat yang paling sesuai untuk pertumbuhan optimum tanaman yang berasal dari iklim sejuk ini, namun ada di kalangan kita cuba menanam strawberi di halaman dalam iklim yang panas.

Menanam Strawberi

Sebenarnya, ada spesies strawberi yang sesuai untuk ditanam di tanah rendah Malaysia yang tidak memerlukan kaedah rumah hijau pun.

Anak benihnya yang mudah didapati secara online juga menyebabkan tanaman ini kian menjadi popular, namun anda perlu pastikan perkara-perkara tersebut perlu di patuhi bagi menjadi habitat sempurna untuk pokok strawberi anda nanti.

1. Medium/tanah

Strawberi memerlukan medium tanaman yang peroi dan bersaliran baik. Yang menjadi keutamaan ialah medium tersebut mampu memegang kelembapan dalam jangka masa yang lama.

Kebanyakan nurseri mengunakan sabut kelapa yang telah dirawat sebagai medium tanpa tambahan bahan lain.

Ini kerana sifat sabut kelapa yang ringan serta mampu mengekalkan kelembapan amat sesuai dengan kondisi pokok strawberi. Secara tidak langsung sabut tersebut berupaya menjadi baja kompos.

2. pH Medium

Pokok strawberi anda memerlukan pH yang simbang dangan keperluannya untuk mendapatkan saiz buah optimum. pH ideal untuk tanaman ini adalah antara 5.5 hingga 7.

3. Pencahayaan

Pokok strawberi memerlukan pencahayaan sekurang-kurangnya 4 jam sehari untuk iklim Malaysia. Berbanding di negara beriklim sejuk, strawberi perlukan pengamatan cahaya minimum 6 jam sehari. Namun tidak terlalu terus.

Letakkan di kawasan separa teduhan. Oleh itu, strawberi sesuai ditanam di ruang anjung kediaman.

4. Keperluan saiz kawasan

Pokok strawberi tidak suka tumbuh secara berhimpit. Ia akan mengakibatkan kesukaran penghasilan bunga dan secara tidak langsung memberi kesan kepada hasil buah.

Hal ini terjadi di sebabkan apabila pokok terlalu berhimpit-himpit, bahagian bawah atau pangkal pokok yang menghasilkan kudup bunga mengalami kesukaran menerima cahaya matahari. Oleh itu, jarak bagi setiap tanaman perlu dikekalkan sekurang-kurangnya 20 inci setiap satu.

5. Siraman

Jika anda menggunakan sabut kelapa sebagai medium tanaman, penyiraman boleh dilakukan apabila medium kelihatan kering atau jika perlu. Perlu diingat, strawberi memerlukan medium tanaman yang sentiasa lembap bukan basah.

Jika air terlalu banyak, ia akan merosakkan akar serta menggalakkan pertumbuhan kulat. Siraman paling perlu di jaga ketika buah sedia dipetik. 3-5 hari sebelum dipetik, penyiraman perlu dikurangkan untuk mengelak buah masam.

6. Baja

Pokok strawberi paling sesuai menggunakan baja cecair kerana ia mudah diserap. Tambahan pula, sistem akar pokok strawberi yang terlalu pendek sukar menyerap atau mencapai baja yang jenis slow release.

Baja kimia yang sesuai digunakan untuk strawberi adalah larutan 12:12:12 untuk tujuan tumbesaran pokok manakala larutan 15:15:15 digunakan untuk penggalak buah.

Pembajaan perlu dilakukan sekurang-kurangnya 2 minggu sekali, namun AWAS! Baja kimia bersifat panas dan mudah merosakkan akar pokok. Oleh itu, penggunaan baja dan racun kimia perlu minima.

Seeloknya, pokok strawberi sesuai menggunakan baja organik. Walaupun produktivitinya tidak optimum, jangka hayat tanaman lebih tahan lama berbanding penggunaan baja kimia.

7. Pemangkasan

Daun pokok strawberi perlu dipangkas setiap bulan. Sebaiknya, 7-9 daun sahaja yang dibenarkan untuk bagi setiap pokok. Ini kerana, jika daunnya terlalu banyak, penghasilan buah akan terganggu.

Ia disebabkan oleh permukaan batang bawah pokok yang menghasilkan daun, sulur dan bunga terlindung dari cahaya matahari.

Lebih kerap anda memangkas, lebih banyak sulur dan buah yang dapat dihasilkan. Selain itu juga, bilangan sulur perlu di kurangkan untuk membolehkan hasil buah lebih banyak.

8. Keperluan untuk mengganti medium tanah

Setiap kali musim, medium tanaman perlu diganti dengan yang baru. Ia bagi mengatasi masalah penyakit dari pohon terdahulu di samping memastikan medium dalam keadaan lengkap nutrisi untuk pertumbuhan pokok baru.

Tanah yang telah digunakan perlu dirawat terlebih dahulu sebelum digunakan atau jadikan sebagai medium tanaman tumbuhan lain.

Semoga memberi manfaat.

*Muat turun panduan ini dalam bentuk pdf. [Download]

BACA INI JUGA:

sumber: karangkraf

Wednesday, January 30, 2019

Kelebihan Dan Keunikan Menternak Ayam Mutiara

Kelebihan Dan Keunikan Menternak Ayam Mutiara

Kita mungkin biasa mendengar ayam kampung, serama dan ayam belanda (piru, turkey), tetapi tidak ramai yang mengenali sejenis lagi ayam yang tidak kurang hebatnya iaitu ayam mutiara, api-api atau unggas emas dan di negara Barat yang ia digelar Guinea Fowl misalnya, juadah ayam mutiara yang beratnya boleh mencecah 1.6 kilogram ini amat popular kerana baik untuk kesihatan, sekali gus menjadikan harganya tinggi.

Ayam Mutiara

Hebatnya ayam yang berasal dari benua Afrika ini bukan kerana bentuk fizikalnya, kelabu berbintik putih dan bertanduk kecil atau kerana kokokan yang nyaring hingga layak digelar ‘polis ladang’ termasuk menghalau ular, tetapi kerana nilai komersialnya yang tinggi berikutan dagingnya yang berkhasiat dan rendah kolesterol berbanding ayam daging.

Tidak kurang dakwaan yang mengaitkan telurnya mampu meningkatkan hubungan kelamin.

Ayam ini juga berperanan sebagai penjaga kebun, ini disebabkan ayam mutiara ini sememangnya diketahui sebagai pengawal haiwan perosak secara semula jadi.

Ayam mutiara ini juga mudah dijaga kerana kurang makan, cuma masalahnya, ia suka bertelur di tempat tersembunyi seperti di kawasan semak.

Harganya subjektif bergantung kepada penawaran dan permintaan di pasaran. Dulu ayam mutiara dewasa cuma RM35 seekor kerana tak banyak permintaan tapi sekarang, harga induk ayam mutiara ini dijual di kedai haiwan peliharaan pada harga RM130 seekor. Kalau beli terus dari ladang mungkin boleh dapat harga murah lagi.

Seekor ayam mutiara betina mampu bertelur sehingga 30-40 biji pada satu-satu masa dan tempoh matangnya pula sembilan bulan ke atas atau satu hingga satu setengah tahun ke atas. Tempoh pengeraman menggunakan inkubator adalah 28 hari.

Menariknya, kita tidak perlu tunggu lama untuk mendapat hasil kerana anak ayam berusia dua setengah bulan pun sudah boleh dijual.

Ayam mutiara boleh disifatkan sebagai produktif serta tahan lasak berbanding ayam daging biasa. Ia mula bertelur selepas berusia setahun manakala ayam daging pula bertelur apabila ia mencecah usia 20 minggu.

Tetapi ayam mutiara ini sebaliknya mampu bertelur sehingga tujuh tahun lamanya. Oleh itu kita boleh katakan antara keunikan ayam mutiara ini adalah tempoh kemampuannya bertelur.

Keunikan lain ayam mutiara ini adalah ia lebih tahan lasak dalam keadaan cuaca panas. Ayam mutiara tahan lasak disebabkan asal usulnya dari Afrika Barat yang bercuaca panas.

Ayam daging sebaliknya tidak tahan panas dan boleh mati kerana faktor genetiknya yang sudah diubah suai berikutan kedudukannya sebagai ternakan komersial.

Pengubahsuaian itu menjadikan ayam daging ‘lemah’ kerana keutamaannya ialah untuk memastikan pertumbuhan yang lebih cepat.

Faktor itu juga turut menjadikan ayam daging lebih tinggi kolesterol kerana kandungan lemaknya yang banyak berbanding ayam mutiara.

Daging ayam mutiara diketahui lebih sihat dan rendah kolesterol jika dibanding dengan ayam daging. Bagi setiap 100 gram misalnya, lemak dalam ayam mutiara cuma dua gram manakala ayam daging, enam gram.

Ini menunjukkan kandungan lemak ayam daging adalah tiga kali ganda lebih tinggi daripada ayam mutiara.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

-SENTIASAPANAS.COM

Saturday, December 22, 2018

Apa Itu Guarana, Tanaman Herba Pengganti Kopi Yang Sangat Mahal Harganya

Apa Itu Guarana, Tanaman Herba Pengganti Kopi Yang Sangat Mahal Harganya

Guarana atau Guaraná dengan nama saintifiknya Paullinia cupana, Paullinia crysan dan Paullinia sorbilis daripada famili Sapindaceae, ialah sejenis pokok herba yang berasal dari Venezuela dan utara Brazil.

Herba pengganti kopi

Pokok guarana mengeluarkan daun yang lebar dan berjambak bunganya dimana ia terkenal dengan buahnya yang sebesar biji kopi.

Pokok ini menghasilkan buah yang berwarna kemerahan dan ada 'mata' dimana ia jelas dapat dilihat apabila cukup matang.

Biji buah guarana yang diproses didakwa boleh dijadikan perangsang sistem saraf pusat untuk kesihatan tubuh.

Bijinya mempunyai dua kali lebih kafein dari biji kopi (lebih kurang 2-4.5% kafein di dalam biji Guarana berbanding hanya sekitar 1-2% untuk biji kopi (Coffea spp).

Sepertimana tumbuhan lain yang mampu menghasilkan bahan kafein (caffien) dimana ada kajian dimana kandungan tinggi konsentrasi kafein pada buah dan biji guarana menjadi pertahanan semula jadi bagi menghalau herbivor.

Kegunaan buah daripada tumbuhan ini memang masih belum diketahui dikalangan orang Malaysia kecuali mereka yang pernah berkunjung dinegara dimana pokok itu ditanam.

Apakah ia sesuai untuk ditanam di negara kita bagi meningkatkan pendapatan pekebun kecil getah?

Apakah tumbuhan ini tidak membawa penyakit dan perosak yang merbahaya kepada tanaman lain dinegara kita?Bagaimanakah nanti jika pokok ini berbuah dan amalan agronominya?

Disyorkan RISDA

Apabila cadangan untuk mengeksport daun ketum ditolak kerajaan, Pihak Berkuasa Kecil Perusahan Getah (RISDA) tampil dengan langkah baharu iaitu menggalakkan pekebun kecil di negara ini menanam Pokok Guarana atau nama botaninya adalah Paullinia cupana.

Pengerusi RISDA, Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata langkah tersebut bagi memenuhi permintaan sebuah syarikat pengeksport buah guarana berpangkalan di Pulau Pinang sekali gus dapat membantu pekebun kecil menambah pendapatan melebihi RM1,000 sebulan.

Beliau memberitahu, syarikat pengeksport buah guarana tersebut menerima permintaan tinggi hasil tanaman tersebut dari Jepun yang menjadikannya sebagai bahan asas produk kesihatan dan kecantikan.

Harga buah guarana begitu tinggi di pasaran iaitu antara RM200-RM300 sekilogram dengan setiap pokok boleh menghasilkan 50 kilogram buah guarana.

Tanaman guarana berpotensi jana RM250,000 setiap ekar setahun – RISDA

Beberapa negeri di utara Malaysia, sekitar 35,000 pekebun kecil getah menjadi perintis bagi cita-cita menjadikan Malaysia negara pengeluar terbesar guarana, bahan asas untuk produk minuman kesihatan, ubatan herba dan bahan kecantikan di Asia.

Risda telah memeterai Memorandum Persefahaman dengan Ritz Guarana Plantation Holdings Berhad, akan membekalkan biji benih yang dibawa oleh Ritz dari Brazil, untuk ditanam secara komersial di negara ini.

Menurut laporan Bernama, pekebun akan diberi khidmat nasihat dan panduan berkaitan penanaman dan hasilnya dijual semula kepada Risda pada harga RM200 sekilogram.

Tanaman itu senang dijaga dan setiap pekebun hanya memerlukan modal permulaan sekitar RM50,000 untuk sekali pusingan tanaman dengan pulangan sekitar RM250,000 bagi setiap ekar.

Kajian pihak Ritz mendapati guarana sangat sesuai ditanam di Malaysia dan ia akanbdiproses di kilang Ritz, Pulau Pinang untuk dieskport.

Buah Biji Mata

Guarana Tree

Warna buah guarana adalah menarik dalam kepelbagaian warna coklat kepada warna merah dan mengandungi biji berwarna hitam yang dilitupi oleh sesabut putih.

Apa yang unik mengenai buah guarana adalah, apabila biji berwarna hitam Guarana dibelah-buka akan dilihat seperti 'biji mata' dan ini telah membentuk sebuah mitos.

Dinegara asal dari segi sejarah dan budaya dimana perkataan "Guarana" datang daripada perkataan Guarani yang bermaksud "buah seperti mata-mata manusia".

Dalam beberapa laporan didakwa pokok guarana juga boleh didapati di hutan hujan Amazon di mana suku Guaraní telah menanamnya sejak berabad lalu.

Pokok Guarana juga memainkan peranan yang penting di dalam puak Tupi dan puak Guarani di Paraguay di dalam upacara keagamaan dan budaya mereka.

Mengikut kepercayaan puak Sateré-Maué, guarana telah mula ditanam secara domestik setelah berlakunya satu peristiwa pembunuhan seorang kanak-kanak kesayangan oleh dewa mereka.

Untuk menenangkan keadaan, salah satu dari dewa mereka yang lebih kuat telah mencabut mata kiri kanak-kanak itu dan menanamkannya di dalam hutan tebal, hasilnya wujudlah kepelbagaian variasi guarana.

Dewa itu kemudiannya mencabut pula mata sebelah kanan kanak-kanak itu dan menanamnya di dalam kawasan perkampungan; menambahkan lagi bilangan guarana domestik.

Orang Guarani akan membuat teh herba daripadanya dengan memecahkannya, membasuh dan mengeringkan bijinya dan diikuti dengan menumbuk biji-biji itu menjadi serbuk yang halus, kemudian diuli untuk membentuk rupa silinder.

Produk ini dikenali sebagai roti guarana dimana ia kemudian dipotong untuk dimasukkan ke dalam air panas bersama dengan gula.

Dari kajian makmal, setiap buah guarana mengandungi setiap sejuta bahan iaitu;
  • Abu (< 14,200),
  • Kafein (9,100 - 76,000),
  • Lemak (< 30,000),
  • Guanine,
  • Hypoxanthine,
  • Mucilage,
  • Protein (< 98,600),
  • Resin (< 70,000),
  • Saponin,
  • Kanji (50,000- 60,000),
  • Tanin (50,000-120,000),
  • Theobromine (200-400),
  • Theophylline (0 - 2,500),
  • Timbonine,
  • Xanthine.

Menurut Biological Magnetic Resonance Data Bank, guaranine adalah kandungan bahan kimia kafein di dalam guarana dan ia agak seiras dengan bahan kimia kafein yang diambil dari sumber lain sebagai contoh kopi, teh dan Yerba Mate.

Guaranine, theine dan mateine amat sinonim untuk kafein, iaitu sumber asli kafein mengandungi pelbagai campuran kandungan xanthine, alkaloids, selain dari kafein, termasuk stimulan untuk kardiak seperti theophylline dan theobromine dan bahan lain seperti polyphenol di mana ia boleh membentuk kompleks penyahserapan bersama kafein.

Bahan ini dijadikan bahan minuman terutama di Brazil dan USA sebagai pilihan selain daripada kopi.

Apakah kita di Malaysia akan memajukan tanaman ini seperi saranan pihak tertentu tersebut? Hanya masa akan menentukan segalanya.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: 1 | 2