Isnin, Februari 18, 2019

Khasiat Gula Kabung Selain Rasanya Yang Enak


Manisan Gula Kabung dibuat dari nira atau tuak pokok kabung dan seakan-akan sama dengan gula melaka, gula pokok nipah dan gula pokok tar, semuanya dalam kategori pokok palma kerana boleh menghasilkan tuak atau nira mengikut proses tertentu.

Khasiat Gula Kabung

Pokok kabung juga dipanggil pokok enau, pokok aren dan pokok kantau (kantor). Nira pokok kabung dihasilkan dari tangkai atau tandan bunga jantan dan kaedah atau cara untuk menghasilkan nira kabung, hampir sama cara mendapatkan nira nipah.

Air nira yang ingin dibuat gula kabung biasanya dimasak menggunakan kawah kerana mudah untuk mengacau.

Mengacau semasa memasak gula kabung sama seperti mengacau membuat dodol, cuma bezanya adalah masa untuk mengacau gula kabung lebih singkat.

Air nira kabung yang dimasak perlu dikacau sehingga pekat dan berwarna coklat kmerahan. Setelah betul-betul pekat ia perlu segera dimasukkan ke dalam acuan daun mengkuang yang berbentuk bulat untuk dikeraskan. Proses pengerasan hanya kira-kira 5 minit selepas diambil dari kawah.

Keenakan gula kabung memang tiada tandingannya kerana rasa manisan itu berbeza dengan gula biasa yang diperbuat daripada tebu.

Rasa gula yang enak dan tidak terlalu manis menjadikan gula kabung menjadi pilihan di dalam masakan tradisional seperti dodol, kuih-muih atau dijadikan manisan untuk minuman.

Khasiat Gula Kabung

Gula kabung boleh menggantikan gula biasa atau gula tebu kerana mengandungi kandungan glukosa yang lebih rendah berbanding gula pasir.

Selain itu gula kabung kaya dengan Vitamin C, Thiamine, Nicotinic acid, Riboflavin, Ascorbic acid dan zat protein.

Memandangkan kandungan zat galian dan nutrisinya yang tinggi, maka gula kabung amat sesuai bagi pengidap diabetes, lelah atau asma, anemia atau kurang darah, mereda panas pankreas, membantu pertumbuhan gigi dan tulang, menghalang kegemukan dan baik untuk proses pembesaran kanak-kanak.

POKOK KABUNG

Pokok kabung, sejenis pokok palma juga dikenali sebagai pokok Enau atau nama saintifiknya 'Arenga Pinnata', mungkin agak pelik berbanding pokok daripada spesies palma yang lain.

Mengikut kata orang tua, pokok kabung yang tumbuh di tepi paya atau di tepi sungai, mempunyai kualiti air nira yang sederhana berbanding yang tumbuh di kawasan caruk, lembah mahu pun di kaki bukit yang mempunyai kualiti yang tinggi.

Pokok daripada keluarga Arecaceae ini pelik kerana semakin ia meninggi dan matang, tandan bunga dan buahnya pula tumbuh kian merendah dibahagian bawah batangnya hingga hampir mencecah tanah.

Malah dikatakan bahawa apabila tandan yang tumbuh di batang itu sudah hampir ke tanah itu menandakan bahawa pokok kabung berkenaan sudah tua dan akan mati.

Ini berbeza dengan pokok daripada spesies palma yang lain seperti pokok kelapa dan rumbia kerana tandan bunga dan buahnya akan tumbuh meninggi mengikut kematangan dan ketinggian pokok berkenaan.

Pokok kabung, mengeluarkan nira yang boleh diminum begitu saja atau di proses menjadi gula kabung dikatakan hanya akan mengeluarkan nira daripada tandan sepadan dengan 'pujukan' yang diberikan.

Pastikan air nira kabung tersebut bewarna jernih, jika warna agak kemerahan, air nira tersebut tidak berkualiti.

BUNGA JANTAN

Tidak semua tandan pokok kabung mengeluarkan nira kerana hanya tandan bunga jantan sahaja yang boleh 'dipujuk' untuk mengeluarkan niranya.

Tandan bunga betina pula tidak akan mengeluarkan nira meskipun dipujuk seperti tandan bunga jantan.

Kerja 'memujuk' mengikut istilah yang digunakan pemungut nira, iaitu dengan mengetuk batang tandan bunga jantan itu secara bersopan, memang berlaku berdasarkan pengalaman sejak bertahun-tahun lamanya.

Sebelum batang tandan bunga jantan dicantas, batang tandan berkenaan perlu dibersihkan daripada sebarang sisa kelopaknya. Selepas itu, ia perlu 'dipujuk' dengan mengetuk-ngetuk batang tandan itu ke arah atas dua kali dan arah ke bawah dua kali.

Tujuan mengetuk berkenaan ialah bagi melonggarkan rongga-rongga saluran aliran air nira dalam batang tandan berkenaan.

Ketukan pula hendaklah dibuat secara berhati-hati supaya tidak mencederakan batang tandan berkenaan. Jika ketukan terlalu kuat dan batang tandan tercedera, nira tidak akan keluar.

CARA MENGHASILKAN GULA KABUNG

Sigai yag diperbuat dari buluh, pengikat mayang kabung dari akar rotan seni, tabung buluh serta parang yang tajam akan digunakan untuk mengambil nira kabung.

Parang yang tumpul akan menyebabkan mayang yang dipotong bergerigi dan kualiti air nira akan terjejas.

Setelah itu, mayang kabung dilenturkan sedikit demi sedikit. Ianya akan diikat dengan rotan sebelum proses memotong mayang. Seterusnya, air nira ditakung ke dalam tabung buluh yang sepanjang 3 kaki.

Di dalam tabung tersebut diletakkan sedikit daun manggis/kulit manggis untuk mencegah air nira daripada menjadi masam. Ada juga yang menggunakan akar laru untuk mencegah air nira menjadi masam.

DUA KALI SEHARI

Air nira biasanya dikutip dua kali sehari dan ada antara pokok kabung berkenaan boleh mengeluarkan sehingga 5 liter sehari.

Gula kabung boleh menggantikan gula biasa dan lebih penting daripada itu ia tidak mengandungi glukosa dan baik untuk kesihatan khususnya bagi pengidap kencing manis.

GULA KABUNG

Proses memasak memakan masa yang agak lama. Dapur kayu digunakan bagi menjaga kualiti, mengekalkan ketradisionalan dan membangkitkan aroma bau gula kabung tersebut.

Gula kabung boleh dijadikan bahan masakan dalam kuih-muih tradisional, makanan dan minuman.

Antara makanan yang popular dengan campuran gula kabung ialah bubur kacang, kuih koci, kuih kelepong, kuih keria, dodol, pulut kacau@wajik, agar-agar, kuih sepang, air batu campur dan cendol, perapan daging atau ikan, juga enak apabila dicampurkan bersama kopi O.

Gula kabung yang siap dimasak, dibiarkan keras dan kemudian akan dibungkus dengan pucuk daun kabung yang dikeringkan.

Rasanya mungkin agak sama seperti gula melaka, cuma gula kabung terhasil dari air nira pokok kabung, manakala gula melaka dari air nira pohon kelapa.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

-SENTIASAPANAS.COM

Seorang blogger yang suka berkongsi ilmu untuk individu yang suka membaca.

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon