Wednesday, March 02, 2022

Wajah Berubah Menjadi Keldai Kerana Memakan Riba

Wajah Berubah Menjadi Keldai Kerana Memakan Riba

Dalam terik panas mentari yang memancar menyinari tanah Baitul Haram, seorang ulama zuhud bernama Muhammad Abdullah al-Mubarak, keluar dari rumahnya untuk menunaikan ibadah haji. Di sana dia leka melihat seorang pemuda yang asyik membaca selawat dalam keadaan ihram. Malah di Padang Arafah dan di Mina pemuda tersebut hanya membasahkan lidahnya dengan selawat ke atas Nabi.

Keburukan Riba

"Hai saudara," tegur Abdullah kepada pemuda tersebut.

"Setiap tempat ada bacaannya tersendiri. Kenapa saudara tidak membanyakkan doa dan solat sedangkan itu yang lebih dituntut? Saya lihat saudara asyik membaca selawat saja."

Wajah mayat bertukar jadi himar

"Saya ada alasan tersendiri," jawab pemuda itu.

"Saya meninggalkan Khurasan, tanahair saya untuk menunaikan haji bersama ayah saya. Apabila kami sampai di Kufah, tiba-tiba ayah saya sakit kuat. Dia telah menghembuskan nafas terakhir di hadapan saya sendiri. Dengan kain sarung yang ada, saya tutup mukanya. Malangnya, apabila saya membuka semula kain tersebut, rupa ayah saya telah bertukar menjadi himar. Saya malu. Bagaimana saya mahu beritahu orang ramai tentang kematian ayah saya sedangkan wajahnya begitu hodoh sekali?

"Saya terduduk di sisi mayat ayah saya dalam keadaan kebingungan. Akhirnya saya tertidur dan bermimpi. Dalam mimpi itu saya melihat seorang pemuda yang tampan dan baik akhlaknya. Pemuda itu memakai tutup muka. Dia lantas membuka penutup mukanya apabila melihat saya dan berkata, "Mengapa kamu susah hati dengan apa yang telah berlaku?"

Maka saya menjawab, "Bagaimana saya tidak susah hati sedangkan dialah orang yang paling saya sayangi?"

"Pemuda itu pun mendekati ayah saya dan mengusap wajahnya sehingga ayah saya berubah wajahnya menjadi seperti sediakala. Saya segera mendekati ayah dan melihat ada cahaya dari wajahnya seperti bulan yang baru terbit pada malam bulan purnama.

"Engkau siapa?" tanya saya kepada pemuda yang baik hati itu.

"Saya yang terpilih (Muhammad)."

"Saya lantas memegang jarinya dan berkata, "Wahai tuan, beritahulah saya, mengapa peristiwa ini boleh berlaku?"

Rahsia selawat 100 kali

"Sebenarnya ayahmu seorang pemakan harta riba. Allah telah menetapkan agar orang yang memakan harta riba akan ditukar wajahnya menjadi himar di dunia dan di akhirat. Allah telah menjatuhkan hukuman itu di dunia dan tidak di akhirat.

"Semasa hayatnya juga ayahmu seorang yang istiqamah mengamalkan selawat sebanyak seratus kali sebelum tidur. Maka ketika semua amalan umatku ditontonkan, malaikat telah memberi tahu keadaan ayahmu kepadaku. Aku telah memohon kepada Allah agar Dia mengizinkan aku memberi syafaat kepada ayahmu. Dan inilah aku datang untuk memulihkan semula keadaan ayahmu."

(Dipetik Dari Buku 60 Kisah Bertemu Rasulullah SAW)

Gambaran Himar (Keldai) Dalam Al-Quran

Himar atau keldai adalah binatang yang sering menjadi gambaran sebuah kedunguan. Di dunia Arab, binatang ini adalah binatang yang paling rendah di mata mereka. Untuk itulah al-Qur'an pun ketika menyebut himar untuk perumpamaan sesuatu, itu bererti sesuatu tersebut adalah merupakan hal yang sangat rendah dan hina.

Seperti ketika al-Qur'an mengabadikan nasihat Luqman, di akhir dari nasihat tersebut, Luqman menyampaikan kepada anaknya agar bersuara yang baik.

"Dan sederhanakanlah langkahmu semasa berjalan, juga rendahkanlah suaramu (semasa berkata-kata), sesungguhnya seburuk-buruk suara ialah suara keldai." (Luqman 31:19)

Begitu pula ayat yang akan kita renungi berikut ini;

"(Sifat-sifat Nabi Muhammad itu telah pun diterangkan dalam Kitab Taurat tetapi orang-orang Yahudi tidak juga mempercayainya, maka) bandingan orang-orang (Yahudi) yang ditanggungjawab dan ditugaskan (mengetahui dan melaksanakan hukum) Kitab Taurat, kemudian mereka tidak menyempurnakan tanggungjawab dan tugas itu, samalah seperti keldai yang memikul bendela Kitab-kitab besar (sedang ia tidak mengetahui kandungannya). Buruk sungguh bandingan kaum yang mendustakan ayat-ayat keterangan Allah; dan (ingatlah), Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada kaum yang zalim." (Al-Jumu’ah 62:5)

Ayat ini menyindir, memerli, menghina dan mencerca orang-orang Yahudi yang diberikan Allah Kitab Taurat tetapi tidak mengamalkannya.

Mereka seperti keldai yang membawa kitab-kitab tebal di punggungnya tetapi tidak mengerti sama sekali isi kitab-kitab tersebut dan tidak mengambil manfaat sama sekali.

Amatlah buruknya perumpamaan kaum yang mendustakan ayat-ayat Allah itu.

Imam Ibnu Katsir menjelaskan, "Allah ta'ala berfirman menyebutkan keburukan Yahudi yang diberikan kepada mereka Taurat untuk diamalkan tetapi mereka tidak mengamalkannya.

"Perumpamaan mereka seperti himar (keldai) yang membawa kitab-kitab tebal. Mereka lebih buruk keadaannya daripada himar. Kerana himar tidak mempunyai pemahaman, sementara mereka boleh memahami tetapi tidak mengamalkannya." (Tafsir Ibnu Katsir 8/117, MS)

Ayat ini disampaikan kepada umat Muhammad SAW agar menjadi pelajaran bahawa generasi umat ini tidak boleh seperti generasi himar Yahudi.

Generasi yang mempunyai ilmu, wawasan, pengetahuan tentang baik dan buruk bahkan mereka memahami ilmu itu dengan baik, tetapi ilmu tersebut tidak bermanfaat bagi mereka.

Mereka faham bahawa kebaikan harus dilakukan, tetapi tidak mereka lakukan. Mereka pun faham bahwa keburukan dan kejahatan harus dijauhi, tetapi tetap keburukan merupakan sebahagian yang tidak terpisahkan dari kehidupannya.

Wallahu a'lam.

BACA INI JUGA:
sumber: hafiz

Thursday, May 20, 2021

Covid-19: Cara Kerajaan Islam Dahulu Menangani Wabak Berbahaya

Covid-19: Cara Kerajaan Islam Dahulu Menangani Wabak Berbahaya

Di saat-saat genting yang negara kita hadapi, bahkan dunia yang sangat tenat kini, sangat penting untuk kita patuhi saranan ahli agama khususnya ulama dan juga pakar perubatan, kerana jika hanya bermodal semangat tanpa ilmu, maka akan lebih banyak merosak berbanding memperbaiki.

Wabak

Mari kita sorot kembali kepada lembaran sejarah Islam, seharusnya kita menyauk hikmahnya. Sejarah ini bukan hanya sekadar dinikmati kehebatan kisah-kisah masa lampau, tetapi juga untuk belajar daripada musibah zaman dulu agar tidak berulang lagi pada zaman ini.

Menyikapi suasana bencana yang kita bahkan seantero dunia sedang depani kini, ulama telah banyak menulis buku-buku berkaitan tentang 'treatment' menghadapinya.

Tinggal mahu atau tidak sahaja lagi untuk dinafi mahupun diikuti, namun fikirlah orang lain dan bukan hanya diri kita sendiri yang tidak mahu menelusuri, mengikuti mahupun mempercayainya.

Dr Ali Muhammad Audah yang telah menghimpunkan 24 kitab sepanjang zaman mengisahkan bagaimana umat mengalami bencana (dalam hal ini wabak penyakit) dan bagaimana pemerintah mereka menanganinya.

CARA PEMERINTAH ISLAM MELAWAN PENYAKIT BERJANGKIT

Antara pelajaran terpenting yang perlu kita ketahui adalah kisah yang ditulis oleh Imam Ibnu Hajar al-Asqalani dalam kitabnya 'Badl al-Maun fi Fadhli At-Tha'un' mengenai wabak penyakit menyerang kota Damsyik pada tahun 749 Hijrah atau sekitar tahun 1348 Masihi.

Maka, waktu itu majoriti ulama memberi saranan agar masyarakat tidak berkumpul dan menjauhkan diri daripada majlis-majlis serta tempat yang ramai orang, namun apakah yang terjadi selepas itu?

Masyarakat tidak mengikuti saranan yang diberikan para ulama dan mereka keluar menuju lapangan luas bersama para pemimpin negara. Mereka berdoa dan meminta pertolongan Allah secara beramai-ramai.

Sungguh menakutkan, wabak itu semakin menular padahal sebelum mereka berkumpul, mangsa kematian adalah sangat sedikit.

Hadis Rasulullah telah mengingatkan.

Seterusnya Imam Ibnu Hajar pun mengisahkan apa yang terjadi itu pernah juga terjadi pada zaman selepasnya ketika wabak melanda Kaherah (Mesir), tepatnya pada 27 Rabiul Akhir tahun 833 Hijrah (1430 Masihi) yang mana pada awalnya kes kematian kurang daripada 40 orang.

Masyarakat pada masa itu keluar ke tanah lapang pada 4 Jamadilawal setelah mereka melakukan puasa tiga hari sebagaimana yang dilakukan ketika akan solat istisqa' (mohon hujan).

Mereka berkumpul untuk tujuan berdoa kemudian pulang ke rumah masing-masing, namun tidak sampai sebulan setelah agenda berkumpul mereka itu, jumlah kematian meningkat mendadak menjadi 1,000 orang setiap hari dan terus bertambah.

GILA KUASA

Sungguh perkara itu telah terjadi di negara kita ini dengan permulaannya adalah ketika berlangsungnya Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah tahun 2020 lalu.

Betapa pihak kerajaan yang menyeru jangan keluar atau masuk ke tempat yang dijangkiti, tetapi itulah yang berbondong-bondong ahli politik lakukan!

Sunnah Nabi Muhammad SAW dalam mengendalikan sesuatu wabak penyakit yang melanda sesebuah tempat sebagaimana mafhum hadis berikut:

"Jika kamu mendengar wabak melanda suatu negeri, maka jangan kamu memasukinya. Dan jika kamu berada di daerah itu, janganlah kamu keluar untuk lari daripadanya." (Hadis Riwayat Bukhari & Muslim)

Maka sejak usai PRN Sabah yang kali pertamanya berlangsung ketika negara berdepan serangan pandemik Covid-19, jangkitan di Semenanjung terus meningkat. Masihkah kita ingat keadaan itu?

Sejak awal lagi beberapa penganalisis menduga kelangsungan pilihan raya itu akan mengundang suatu yang negatif terhadap usaha membendung penyebaran Covid-19 di negara ini.

Ia jelas terbukti apabila kes baharu meningkat mendadak selepas PRN Sabah pada 26 September 2020 dan hal ini tidak dinafikan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin dalam ucapan khas beliau 6 Oktober 2020.

Berbalik kepada kisah yang ditulis oleh Imam Ibnu Hajar, beberapa orang pada waktu itu telah memberi fatwa bahawa berkumpul untuk berdoa itu perlu kerana beranggapan seharusnya demikian.

Ada juga yang menyatakan bahawa dulu, pada zaman seorang raja bernama al-Muayyad, situasi seperti itu terjadi dan wabak boleh ditangani dan hilang.

Hakikatnya, ulama telah menetapkan fatwa bahawa tidak berkumpul adalah keadaan yang lebih utama untuk menghindarkan diri daripada fitnah penyakit.

PATUHILAH SARANAN

Ya, kita wajib hanya takut kepada Allah, bukan Covid-19, namun kerana takutkan pada Allah, maka laksanakanlah sunnatullah yang perlu diikhtiarkan, bukan tidak kisah sahaja.

Oleh itu, perlu satu kaedah yang lebih rasional serta kritis kerana ia berkaitan keselamatan dan nyawa manusia yang nilainya amat besar. Ia tidak lain dan tidak bukan, fatwa daripada mufti yang perlu diselaraskan di setiap negeri. Jika tidak, boleh jadi wabak ini sukar dibendung. Setakat denda dan hukuman, sebenarnya ia akan menambah masalah baru pada rakyat.

Maka bersegeralah pihak yang sepatutnya melaksanakan selagi masih ada kesempatan ini. Boleh jadi itulah jalan dan petunjuk yang sebaiknya diikuti, bukan menambahkan bebanan rakyat yang sedia ada.

Kita sebagai rakyat dan masyarakat yang punya agama, segeralah sedar agar tidak terus mementingkan diri. Berlaku ihsanlah terhadap manusia lainnya yang berusaha melakukan yang terbaik untuk memutuskan rantaian wabak ini.

Dr Majdi al-Hilali menulis dalam kitabnya 'Innahu al-Quran Sirru Nahdhatina' bahawa umat yang memandang rendah terhadap usaha manusia bermaksud telah mengkhianati Allah.

Ini kerana Allah SWT memberikan kepada manusia hukum, sebab dan akibat. Tentunya yang tidak peduli dengan semua itu tandanya mereka tidak mensyukuri nikmat yang dikurniakan-Nya.

Beliau menjelaskan bahawa usaha manusiawi itu boleh jadi dalam bentuk 'physical distancing', menetap di rumah saja jika tiada keperluan yang mendesak di luar, sentiasa memakai penutup mulut (mask).

Begitu juga fatwa ulama tentang menghindarkan diri daripada tempat yang ramai, termasuk saranan sementara waktu untuk tidak solat di masjid dan surau, keputusan itu semuanya dengan dalil dan musyawarah yang panjang, tentunya bukan berlandaskan ego dan kepentingan peribadi.

Kerana nyawa seorang manusia itu mahal harganya, Umar bin Khattab r.a., imannya tinggi tetapi ketika diberi pilihan untuk datang ke daerah wabak atau kembali ke Madinah, beliau memilih untuk pulang ke Madinah.

Kalimahnya yang terkenal, "Kita pergi daripada takdir Allah kepada takdir Allah yang lain."

Atau bahasa mudahnya dapat kita ertikan sebagai, selamatkanlah diri kita daripada terjebak dengan sesuatu wabak itu, maka tetaplah di tempat yang didiami sendiri itu.

Makanya, ambillah pelajaran daripada sejarah ini agar kita muhasabah dan tidak jatuh di tempat yang sama dua kali dan kelak wabak pandemik yang melanda seantero ini segera dihilangkan Allah, hingga masjid kembali ramai dengan umat yang merindui serta kita semua dapat kembali hidup sebagaimana biasanya sebelum pandemik ini hadir.

Teruslah sama perbaikinya

Betapa ramai yang pernah terkena virus ini lalu sembuh dan dapat kembali hidup seperti biasa dan berapa ramai juga yang dijangkiti lalu ia pergi menghadap Ilahi.

Fikirlah agar kita terus berusaha melandaikan lekuk jangkitan ini. Hindarkan sikap pentingkan diri, prihatinlah dengan insan lain di sekeliling yang sangat berhati-hati.

Sampai bila kita semua hendak menunggu undang-undang, menunggu fatwa, menunggu penguatkuasaan atau menunggu diri sendiri dijangkiti Covid-19 terlebih dahulu? Nauzubillah.

Sewajarnya inilah masanya masyarakat menggunakan 'common sense' dan rasa tanggungjawab untuk sama-sama memerangi wabak ini.

Apa pun, kita tidak patut salahkan sesiapa lagi. Menoleh ke belakang dan menuding jari kepada mana-mana pihak hanya merugikan dan membuang masa berharga dalam menghadapi dan berjuang menghapuskan Covid-19 ini.

Rasional dan jalan terbaiknya ialah kita semua perlu melihat bagaimana untuk menghadapinya ke arah lebih baik dan memastikan kes baharu tidak terus meningkat hari demi hari.

Maka teruskan usaha-usaha kita bersama doa agar Allah segera melenyapkan virus ini di bumi Malaysia dan seluruh dunia. Ayuhlah!

Wallahu a'lam.

BACA INI JUGA:
sumber: malaysiakini

Wednesday, May 05, 2021

Pendidikan Seks Cara Islam

Pendidikan Seks Cara Islam

Seks bukanlah suatu taboo yang tidak dibincangkan langsung dalam pendidikan Islam, kerana ia dianggap tuntutan fitrah manusia sepertimana makan, minum dan tidur. Ia tidak diajar secara lucah, tetapi dengan ilmiah, kerana Islam menghormati maruah dan mengiktiraf tuntutan nafsu manusia. Tidak wajar dijadikan jenaka.

Pendidikan seks

Junaid Baghdadi berkata, "Aku memerlukan seks sebagaimana aku memerlukan makanan." Imam al-Ghazali menjelaskan, "Maka isteri adalah makanan (batin) dan jalan kebersihan hati."

Kitab Ihya Ulumiddin menerangkan tujuan zakar lelaki dan vagina perempuan.

"Allah taala telah menciptakan suami isteri. Dijadikan tanda kelakian (zakar) dan dua buah pelir. Dijadikan air yang hanyir dalam tulang belakang lelaki dan disediakannya bagi air yang hanyir itu dalam dua buah pelir, urat-urat dan tempat-tempat mengalir.

"Dijadikannya rahim perempuan, tempat ketetapan dan tempat simpanan air yang hanyir itu. Dan dikerasinya kehendak nafsu syahwat kepada sesama sendiri, lelaki dan perempuan. Maka segala perbuatan dan alat itu menjadi saksi nyata dengan lisan yang tegas untuk melahirkan dari iradah Penciptanya. Dan menyerukan sekalian yang berakal fikiran untuk mengenali apa yang di sediakan untuknya."

Begitulah ketinggian tamadun ilmu Islam; zakar, vagina dan air mani pun ada falsafah yang tinggi.

Seks tidak dilucahkan dalam kitab-kitab ulama. Melucahkan seks atau menormalisasikan lawak rogol (rape joke) adalah pembodohan akal yang tidak pernah dilazimi salafussoleh. Saat berbicara soal ini, sikap malu dan matang adalah perlu.

Ulama mendidik lelaki dan perempuan dengan sikap malu, sehinggakan seks bebas dianggap aib besar. Maka jalan zina jua dianggap sebagai perkara memalukan. Pakai seksi, menonton porno, ugut rogol dan lain-lain, ini semua adalah jalan zina yang keji. Bimbang sekali, membiasakan lidah dengan perkara lucah akan melenturkan hati untuk tidak malu dengan zina.

Malah, menjadikan seks sebagai bahan lawak adalah mengkhianati sikap malu yang dianjurkan Nabi! Lidah yang menuturkan perkara kotor itu, kelak akan dipersoal di hadapan Allah.

Rasulullah bersabda, "Sesungguhnya orang yang berkata-kata dengan perkataan yang mentertawakan teman-teman duduknya, maka dia akan jatuh dengan perkataan itu lebih jauh dari bintang surayya." (HR Ibnu Abi Dunya)

Rasulullah bersabda, "Tidaklah orang mukmin itu pencela, pengutuk, pelaku perbuatan keji dan berlidah kotor." (HR Tirmizi)

Rasulullah bersabda, "Jagalah dirimu daripada kekejian! Kerana Allah tidak menyukai kekejian dan perbuatan keji." (HR Ibn Hibban)

Ibn Abbas berkata, "Barangsiapa berdosa dengan suatu dosa dan dia tertawa, nescaya dia masuk neraka dan dia menangis."

"Percakapan tentang perempuan termasuk perkara maksiat." (Imam al-Ghazali)

Salman al Farisi berkata, "Manusia yang terbanyak dosanya di hari kiamat, ialah yang terbanyak perkataannya pada perbuatan maksiat terhadap Allah."

"Orang yang keji dan melakukan perkara keji, akan dibangkitkan di hari kiamat dalam bentuk anjing atau dalam perut anjing." (Ihya Ulumiddin)

"Bolehkah Saya Berzina?"

Lihatlah sirah di saat Rasulullah mendidik pemuda dengan sikap malu. Seorang pemuda datang bertemu Nabi dan bertanya, bolehkah dia berzina. Apa jawab Nabi? Mafhumnya:

Kata Baginda, "Adakah engkau suka ibumu berzina?"

"Tidak! Dijadikanlah kiranya aku oleh Allah tebusan engkau!"

"Manusia pun begitu, tidak menyukai zina untuk ibu mereka. Adakah engkau menyukai zina untuk anak perempuan engkau?"

"Tidak! Dijadikanlah kiranya aku oleh Allah tebusan engkau!"

"Manusia pun begitu, tidak menyukai zina untuk anak perempuan mereka."

"Adakah engkau menyukai zina untuk saudara perempuan engkau?"

Dijawab oleh anak muda itu; "Tidak! Dijadikanlah kiranya aku oleh Allah tebusan engkau!" Dan Nabi pun menyambung; "Manusia tidak menyukainya."

Kemudian Nabi meletakkan tangan ke dada anak muda itu dan berdoa: "Ya Allah tuhanku, sucikanlah hatinya, ampunilah dosanya dan peliharalah kemaluannya."

Setelah itu, yang paling dibenci anak muda ini adalah zina.

Pendidikan Seks Cara Islam, Bukannya Kaedah Orang Barat!

Lihatlah pendekatan kaunseling Nabi, secara psikologi dan spiritual. Yang salah itu salah. Perkara salah tidak diselesaikan dengan cara salah.

Di sini Nabi fokus kepada penyelesaian dan tidak menjadikannya jenaka. Hati manusia mudah menganggap ringan dengan sesuatu yang dianggap lawak. Seks bukan lawak. Di sini Nabi mengaitkan seks bebas dengan maruah dan pemuda itu sendiri merasa malu. Sungguh halus dakwah Nabi.

Ulama tidak segan menuliskan seks secara ilmiah.

Berbicara soal seks tidak salah. Yang salah adalah melucahkan seks.

Ibnu Umar seorang sahabat, pernah berbuka puasa dengan seks, sebelum makan. Pernah sekali dia melakukannya dengan tiga orang hamba perempuan sebelum solat Isyak.

Ada seorang sahabat Nabi yang mempunyai syahwat besar, sampaikan isteri-isterinya tidak larat melayan. Akhir sekali, Nabi mengahwinkan sahabat itu dengan seorang wanita lain, dan isteri barunya itu mampu memenuhi semua keinginan syahwatnya.

Saidina Ali menikahi perempuan lain seminggu setelah Fatimah wafat.

Fayyadh bin Nujaih berkata, "Apabila naik zakar lelaki, maka hilanglah 2/3 akalnya." Sesetengah berkata, "1/3 agamanya."

Ibnu Abbas menafsirkan QS Falaq ayat ke-3: "Dan dari kegelapan (malam) ketika ia telah datang," sebagai bangunnya kemaluan lelaki. Maknanya mengerasnya syahwat itu, akal dan agama tidak lagi berfungsi.

Seorang pemuda pernah mengadu kepada Ibnu Abbas, "Sesungguhnya aku seorang pemuda yang tidak mempunyai isteri. Kadang-kadang aku takut terjadi perkara jahat kepadaku. Kadang-kadang aku keluarkan mani dengan tanganku sendiri (melancap). Adakah itu suatu maksiat?"

Maka Ibnu Abbas memalingkan muka dan berkata, "Ah kotor sekali! Kahwin dengan hamba perempuan adalah lebih baik daripada itu. Dan itu adalah lebih baik daripada zina."

Imam al-Ghazali menekankan soal malu dalam pendidikan seks. Merasa jijik dengan jalan zina adalah tanda hati yang sihat. Maka merasa kelakar dengan perkara jijik boleh mengotorkan hati. Jangan dijadikan kebiasaan. Bimbang tompok kecil menjadi besar sehingga seluruh hati bertukar hitam.

Untuk mengelakkan seks bebas atau rogol, maka ulama menyarankan tiga perkara: Menundukkan pandangan, Puasa, Kahwin.

Ketiga-tiga perkara ini perlu dilaksanakan semampu mungkin. Jikalau mampu, berkahwinlah. Maka menundukkan pandangan dan berpuasa menjadi lebih mudah. Jika tidak, tundukkanlah pandangan dan berpuasa sehingga sampai jodoh.

Tidak menjaga pandangan akan mengeraskan syahwat dan jika berulangkali dibuat boleh membuat nafsu membuak-buak sehingga sukar ditolak. Melabuhkan pakaian bagi perempuan juga tidak terkecuali, kerana ia membantu lelaki menundukkan pandangan.

"Marriage did not end the fight. It just makes it easier."

Kahwin itu menyempurnakan separuh agama. Yang separuh lagi itu masih perlu diperjuangkan.

Dalam semua soal, lelaki dan perempuan sama-sama perlu berjuang.

Lelaki perlu berjuang menundukkan pandangan, perempuan perlu berjuang melabuhkan pakaian. Lelaki perlu berjuang mengumpul duit kahwin, perempuan perlu berjuang memujuk wali.

Lelaki dan perempuan sama-sama perlu berjuang menjaga maruah dan kehormatan, kerana neraka itu bukan untuk wanita seorang, dan syurga itu bukan hanya untuk lelaki. Syurga itu untuk orang-orang soleh dari lelaki dan perempuan, neraka itu untuk orang-orang derhaka daripada lelaki dan perempuan. Allah itu maha adil.

Ini baru sekadar pada bab adab & tasawuf. Belum lagi bab feqh, yang lebih luas perbahasan seks dan seksualiti.

Kitab Qurrotul 'Uyun karya Syeikh Muhammad At-Tihami bin Al-Madani Kanun, membincangkan adab jimak.

Kitab Al-Rawd al-'Athir fi' Nuzhat al-Khathir, karangan Syaikh al Imam al-Allamah al-Humam Sayiddi Muhammad al Nafzawi membincangkan petua seks.

Kitab al-Fiqh al-Manhaji Ala al-Mazhab al-Imam al-Syafie karya Dr. Mustofa Al-Khin, Dr. Mustofa Al-Bugho & Ali Asy-Syarbaji memasukkan bab berkenaan haid, nifas dan istihadah.

Lihatlah kesungguhan ulama, tidak meninggalkan umat dalam kejahilan. Tidak memperbodohkan umat dengan lawak lucah. Seks dibincangkan secara ilmiah. Ulama boleh membahaskan seks secara sihat. Mengapa tidak kita contohi pewaris Nabi?

Berdoalah kita, agar dijauhkan lidah, mata dan hati daripada perkara menjijikkan.

Rujukan: Imam al-Ghazali. Ihya Ulumiddin.

Wallahu a'lam.

BACA INI JUGA:
sumber: thepatriots

Friday, December 18, 2020

Balasannya Syurga Bagi Mereka Yang Memaafkan Orang Lain

Balasannya Syurga Bagi Mereka Yang Memaafkan Orang Lain

Memaafkan memang sangat sukar dilakukan. Biasanya apabila seorang itu dizalimi atau disakiti, pasti dia mahu membalasnya. Tidak ada yang boleh melakukan sifat pemaaf kecuali mereka yang mempunyai keimanan tinggi.

Maaf

Sabda Nabi SAW, orang yang dekat dengannya pada hari kiamat kelak adalah orang yang berakhlak mulia. Oleh itu, janganlah kita mengabaikan sifat memaafkan ini.

Ulama menyatakan, perkara paling memudahkan seseorang masuk ke dalam syurga selepas perkara tauhid adalah memiliki akhlak yang mulia.

Begitulah sebaliknya, perkara yang memudahkan seseorang itu masuk ke neraka selepas syirik kepada Allah adalah golongan berakhlak jelik dan buruk.

Apabila mampu memaafkan kesalahan orang lain, maka seseorang itu sudah mencapai darjat ihsan.

Pastinya kita pernah melalui pengalaman mungkin pernah dihina atau dimalukan sehingga menjatuhkan maruah.

Jika hendak diikutkan perasaan, mahu sahaja dibalas semula perlakuan itu. Walaupun peristiwa itu sudah lama berlalu, apabila tiba-tiba ia terlintas di fikiran membuatkan diri rasa tidak senang hati.

Bagaimanapun, sebagai seorang Muslim yang taat kepada Allah SWT dan Rasul-Nya, kita digalakkan untuk memaafkan terutama apabila individu yang melakukan kesalahan itu menghulurkan kemaafan.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Dan hendaklah mereka memaafkan dan berlapang dada. Apakah kamu tidak ingin Allah mengampunimu? Dan Allah adalah maha pengampun lagi maha penyayang." (Surah an-Nuur, ayat 22)

Jangan bertangguh untuk bermaafan selain buang sifat ego masing-masing. Harus berlapang dada untuk memaafkan.

Dalam satu sabda Nabi SAW yang bermaksud: "Barangsiapa yang didatangi saudaranya yang hendak meminta maaf, hendaklah memaafkannya, apakah ia berada di pihak yang benar atau yang salah, apabila tidak melakukan hal itu (memaafkan), nescaya tidak akan mendatangi telagaku (di akhirat)." (Hadis Riwayat al-Hakim)

Jadilah kita seorang pemaaf. Apabila itu berlaku, pastinya tiada perasaan seseorang untuk membalas dendam.

Bukan juga termasuk dalam kategori pemaaf seandainya sudah memberi maaf, namun di hati masih bersarang rasa kesal dan benci.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Dan segeralah kamu kepada keampunan daripada Tuhan kamu dan syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan bagi orang-orang yang bertakwa iaitu orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, orang yang menahan kemarahannya dan orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara baik." (Surah Ali-Imran, ayat 133-134)

Maaf

Nabi Muhammad SAW adalah contoh terbaik untuk menggambarkan sifat pemaaf. Sifat itu dipamerkan menerusi ucapan atau tindakan Baginda.

Terdapat satu kisah berlaku selepas Perang Uhud yang menunjukkan bagaimana sikap pemaaf Nabi SAW.

Sebahagian sahabat meminta Baginda mendoakan kecelakaan ke atas golongan kafir Quraisy. Ketika itu, wajah Nabi luka dan sebatang giginya patah.

Baginda SAW menolak permintaan sahabat itu lalu berkata: "Sesungguhnya saya diutus bukan sebagai tukang laknat. Tetapi saya diutus untuk menjadi pendakwah dan penyebar kasih sayang. Ya Allah, ampunilah kaumku. Sesungguhnya mereka tidak punya pengetahuan." (Al-Jami’ ash- Sahih, 1/176)

"Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan daripada Tuhan kamu, dan (mendapat) syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertakwa; Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik." (Surah AliImran: Ayat 133-134)

Wallahu a'lam.

BACA INI JUGA:


sumber: hmetro

Monday, November 16, 2020

Tahi Bintang Dan Rahsia Langit

Tahi Bintang Dan Rahsia Langit

Munculnya fenomena alam bintang jatuh, tahi bintang, meteor atau komet adalah suatu perkara biasa. Tidak ada kaitannya dengan pelbagai hal, sebagaimana keyakinan jahiliah, yang menganggap akan terkabul doa kita apabila melihatnya.

Tahi Bintang

Namun, Al Quran telah menjelaskan tentang fenomena alam tersebut bahkan, ternyata bintang, meteor dan komet itu memiliki fungsi di sisi Allah.

"Sesungguhnya, Kami telah menghiasi langit yang dekat dengan bintang-bintang, dan Kami jadikan bintang-bintang itu alat-alat pelempar syaitan, dan Kami sediakan bagi mereka seksa neraka yang menyala-nyala." (QS. Al-Mulk: 5)

Ketika menafsirkan surat Al-Mulk ayat 5, seorang ahli tafsir masa tabi'in, Qatadah rahimahullah, mengatakan:

"Allah menciptakan bintang untuk tiga hal: Allah jadikan sebagai penghias langit, sebagai pelempar syaitan, dan sebagai tanda alam untuk petunjuk arah. Maka siapa yang menggali tentang bintang, selain tiga hal tersebut, dia keliru, menyia-nyiakan jatahnya, dan membebani diri dengan sesuatu yang sama sekali dia tidak memiliki ilmu tentangnya." (HR. Bukhari dalam shahihnya secara muallaq, 4/107) Maksud beliau dengan memahami selain tiga hal tersebut adalah dengan memahami bintang untuk astrologi (bukan astronomi), seperti zodiak atau ramalan bintang. Sementara itu, As-Syaukani menafsirkan firman Allah (yang ertinya), "Aku jadikan bintang itu sebagai pelempar syaitan", beliau mengatakan, "Rajam (pelempar) secara bahasa ertinya, melempar dengan batu." (Fathul Qadir, 3/179)

Demikian pula dalam surat Al-Jinn, Allah Ta'ala berfirman, "Sesungguhnya kami telah mencuba mengetahui (rahsia) langit, maka kami mendapatinya penuh dengan penjagaan yang kuat dan panah-panah api, dan sesungguhnya kami dahulu dapat menduduki beberapa tempat di langit itu untuk mendengar-dengarkan (berita-beritanya). Tetapi sekarang barangsiapa yang (mencuba) mendengar-dengarkan (seperti itu) tentu akan menjumpai panah api yang mengintai (untuk membakarnya)." (QS. Al-Jin: 8–9)

Al-Imam Ibnu Katsir juga menafsirkan ayat di atas dengan hadis Rasulullah SAW, yang mengungkap secara lebih terperinci tentang fenomena alam tersebut.

Dari sahabat Abdullah bin Abbas Radhiyallahu anhu, ia berkata: "Salah seorang sahabat Nabi SAW dari kaum Ansar menceritakan kepadaku. Ketika mereka duduk bersama Rasulullah SAW pada suatu malam, ada bintang (meteor) jatuh memancarkan cahaya. Maka Rasulullah SAW bertanya kepada mereka: "Apa ucapan kalian pada masa jahiliah ketika ada lemparan (meteor) seperti ini?" Mereka menjawab: "Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui. Dulu kami katakan, "pada malam ini telah dilahirkan seorang yang terhormat dan telah mati seorang yang terhormat." Lalu Rasulullah SAW menjelaskan: "Sesunguhnya bintang itu tidaklah dilemparkan kerana kematian seseorang dan tidak pula kerana kelahiran seseorang. Akan tetapi Tuhan kita Tabaaraka wa Ta'ala, apabila telah memutuskan sesuatu perkara, bertasbihlah para malaikat yang membawa 'Arasy. Kemudian diikuti oleh para malaikat penghuni langit yang di bawah mereka, sampai tasbih itu kepada para malaikat penghuni langit dunia. Kemudian para malaikat yang di bawah para malaikat pembawa 'Arasy bertanya kepada para malaikat pembawa 'Arasy, "Apa yang dikatakan Tuhan kita?" Lalu mereka memberitahu apa yang dikatakan Allah SWT. Maka malaikat penghuni langit dunia saling bertanya pula di antara sesama mereka, sehingga berita tersebut sampai ke langit dunia. Maka para jin berusaha mencuri dengar, lalu mereka sampaikan kepada walit-walitnya (tukang sihir). Sehingga mereka dilempar dengan bintang-bintang tersebut. Berita itu mereka bawa dalam bentuk yang utuh, iaitu yang sebenarnya tetapi mereka campur dengan pembohongan dan mereka tambah-tambahkan." [HR Muslim]

Apakah bintang jatuh boleh mengabulkan permintaan?

Menurut tradisi yang diturunkan dari nenek moyang, apabila kita melihat bintang jatuh secara langsung maka satu keinginan kita akan terkabul.

Maka daripada itu, apabila kita melihat bintang jatuh mohonlah satu permintaan.

Berdoalah! Tapi berdoanya tetap kepada Allah. Salah bila kita berdoa dan minta bantuan kepada bintang jatuh. Bukan nanti dapat barokah, malah jadi musrik jadinya.

Bintang jatuh hanya sekadar perantara saja. Yang mengabulkan ya atau tidaknya doa kita adalah Allah.

Wallahu a'lam.

BACA INI JUGA:
sumber: RR

Friday, October 23, 2020

Berleluasanya Zina Tanda Kiamat

Berleluasanya Zina Tanda Kiamat

Rasulullah SAW bersabda, "Demi jiwaku berada di dalam kekuasaan-Nya, tidak akan hancur umat ini sehinggalah lelaki datang kepada perempuan, lalu dia menggaulinya (melakukan zina) di jalan. Orang yang paling baik antara mereka ketika itu ialah orang yang berkata, "(Lebih baik) sekiranya kamu menutupinya di belakang tembok ini (daripada melakukannya secara terang-terangan begini)." (Riwayat Abu Ya'la al-Haitsami – Lihat juga Majma' az-Zawa'id)

Zina

Menerusi hadis ini jelas menunjukkan bahawa antara salah satu tanda hampir kiamat dan kerosakan umat adalah banyaknya zina dan bebasnya lelaki perempuan yang bukan mahram bergaul tanpa batasan yang jelas dalam syarak.

Ia juga menunjukkan bahawa faktor akhlak dalam umur umat tertentu sangat penting kerana tanpa akhlak yang baik, pastinya ia akan mengundang bencana, malapetaka dan kerosakan termasuk kemurkaan Allah SWT.

Hari ini, kita melihat bibit-bibit pergaulan bebas berkenaan apabila segelintir anak, remaja, belia, dewasa mahupun yang menjengah separuh abad bebas dalam hal ini termasuk tidak malu melakukan dosa zina, malah ada dalam kalangan kita yang menjadi kebanggaan melakukan perbuatan itu.

Untuk itu, kita perlu menjauhkan diri daripada perbuatan zina dan seseorang dapat memelihara diri serta keluarganya daripada dosa berkenaan sekiranya memiliki ilmu agama dan mengamalkan setiap ibadah yang dipelajarinya selain memohon perlindungan Allah daripada ujian berkenaan.

Rasulullah pernah menasihatkan Saidina Ali r.a. supaya menjaga pandanganya: "Wahai Ali, janganlah kamu ikuti pandangan dengan pandangan (berikutnya) kerana sesungguhnya bagimu pandangan yang pertama (tidak salah jika terlihat perempuan ajnabiyyah umpamanya pada pandangan pertama) dan bukanlah bagimu pandangan yang terakhir (kerana ia berdosa)." (Hadis Riwayat Imam Ahmad dan Abu Daud)

Sepotong lagi hadis Baginda daripada Saidina Ibnu Umar bermaksud: "Tidaklah seorang lelaki yang berdua-duaan dengan seorang perempuan kecuali yang ketiganya adalah syaitan." (Hadis Riwayat at-Tirmizi)

Berdasarkan hadis ini, jelas Rasullulah sangat melarang perbuatan serta dosa zina termasuk bibit-bibit menghampiri zina kerana ia bukan saja mengundang kemurkaan Allah sebaliknya merosakkan akhlak pelakunya.

Wajib ke atas kita semua untuk memelihara diri, anak-anak serta keluarga dengan memberi penerangan dan pengetahuan berhubung dosa zina dan sesungguhnya azab Allah sangatlah pedih kepada pelaku yang tidak sempat untuk memohon keampunan Allah.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:
sumber: hmetro

Friday, July 31, 2020

Rahsia Kalimah Berwarna Merah Surah Al-Kahfi

Rahsia Kalimah Berwarna Merah Surah Al-Kahfi

"Dan demikianlah Kami bangkitkan mereka (dari tidurnya), supaya mereka bertanya-tanyaan sesama sendiri. Salah seorang di antaranya bertanya, 'Berapa lama kamu tidur?', sebahagian dari mereka menjawab, 'Kita telah tidur selama sehari atau sebahagian dari sehari'.

Al-Kahfi ayat merah

"Sebahagian lagi dari mereka berkata, 'Tuhan kamu lebih mengetahui tentang lamanya kamu tidur; sekarang utuslah salah seorang dari kamu, membawa wang perak kamu ini ke bandar; kemudian biarlah dia mencari dan memilih mana-mana jenis makanan yang lebih baik lagi halal; kemudian hendaklah ia membawa untuk kamu sedikit habuan daripadanya; dan hendaklah ia berlemah-lembut dengan besungguh-sungguh; dan janganlah dia melakukan sesuatu yang menyebabkan sesiapapun menyedari akan hal kamu." (Surah Al-Kahfi: 19)

Waktu zaman kanak-kanak dulu bila membaca Quran, selalu tertanya-tanya kenapa ada satu perkataan dalam Surah Al-Kahfi diwarnakan merah? (rujuk gambar).

Ada yang mengatakan, sejarah di sebalik perkataan ini dicetak merah adalah ketika Sayyidina Uthman bin Affan r.a. terbunuh, percikan darahnya mengenai mushaf Al-Quran tepat pada tulisan "ﻭﻟﻴﺘﻠﻄﻒ".

Maka kerana itu ia ditulis dengan warna merah untuk mengenang kematian Sayyidina Uthman bin Affan r.a.

Saya tidak pasti asal-usul dan kesahihan kisah ini. Dan bukan sejarah atau kenapa ia berwarna merah yang ingin saya sentuh dalam catatan ini.

Apa yang ingin saya kongsikan ialah berkenaan kedudukan dan mesej penting yang terdapat dalam perkataan "ﻭﻟﻴﺘﻠﻄﻒ" itu sendiri.

Menurut Ibnu 'Asyur dalam kitabnya 'At-Tahrir Wa At-Tanwir', majoriti Ulama Ilmu Tafsir berpendapat jika dikira satu-persatu perkataan dalam Al-Quran bermula dari perkataan "ﺍﻟﺤﻤﺪ" di dalam Surah Al-Fatihah dan berakhir dengan perkataan "ﺍﻟﻨﺎﺱ" dalam Surah An-Nas, kita akan dapati perkataan "ﻭﻟﻴﺘﻠﻄﻒ" kedudukannya terletak betul-betul di tengah-tengah Al-Quran.

Apakah hikmah perkataan ini sebagai 'central point' Al-Quran?

Jika kita membuat sedikit 'bedah siasat' terhadap perkataan "ﻭﻟﻴﺘﻠﻄﻒ", ia terdiri dari 3 unsur;

1. Wau al-'Athaf (ﻭ ﺍﻟﻌﻄﻒ): Kata penghubung.

2. Lam al-Amr (ﻻﻡ ﺍﻷﻣﺮ): Kata suruhan atau perintah.

3. Perkataan ﻳﺘﻠﻄﻒ : Kata kerja.

Perkataan "ﻳﺘﻠﻄﻒ", jika diperhatikan, mengandungi di dalamnya maksud kindness (berbuat baik), patience (bersabar), respectful (menghormati), generous (bermurah hati), gentle (lemah lembut) dan humble (rendah hati).

Atau dengan kata lainnya, segala sifat yang baik terkumpul dalam satu perkataan ini.

Datangnya perkataan ini diikat dengan kata suruhan dan perintah, menunjukkan ia merupakan satu perintah dari Allah SWT untuk kita sentiasa menghormati dan berbuat baik sesama manusia, tanpa mengira umur, pangkat, bangsa dan agama, sama ada dalam perkataan mahupun perbuatan seharian.

Terletaknya pula perkataan ini di lokasi paling tengah di dalam Al-Quran, memberi isyarat kepada kita bahawa mesej agung yang ingin disampaikan Kitabullah ini adalah tentang peri pentingnya kita sebagai manusia, dalam menjalani kehidupan di dunia ini agar sentiasa bersikap toleransi, lemah lembut, pemaaf dan rendah hati.

Sebagaimana Allah SWT turut memberi dorongan kepada Baginda Nabi Muhammad SAW dalam Surah Ali Imran, Ayat 159:

"Maka dengan sebab rahmat dari Allah kepadamu wahai Muhammad, engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka, dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari dirimu. Oleh itu maafkanlah mereka, dan pohonlah ampun bagi mereka, dan bermesyuaratlah dengan mereka dalam segala urusan.."

Inilah 'central thought' yang dibawa oleh Al-Quran. Tidak kira bagaimana jua bentuk ayat Al-Quran yang datang; ayat hukum-hakam, ayat penceritaan, ayat suruhan sekalipun ayat larangan.

Hakikatnya, Al-Quran sedang membawa para pembacanya kembali kepada maqasid asal penurunan Al-Quran itu sendiri; "Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau wahai Muhammad, melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam." (Surah Al-Anbiyaa': 107)

Al-Kahfi dan Dajjal

Allah mengutuskan Baginda Nabi Muhammad SAW ke dunia, dengan tugas menyebarkan Kalam Tuhannya. Di dalam Kalam-Kalam itu mengandungi pesan-pesan ‘rahmat’ buat sekalian penduduk bumi dan langit.

"Tidak kami turunkan Al-Quran kepadamu wahai Muhammad supaya engkau menanggung kesusahan." (Surah Taaha: 2)

Kerana setelah kita menyahut seruan Tuhan untuk bersikap baik dan berlemah lembut sesama insan, kita akan mendapati kehidupan di dunia ini berjalan dengan mudah, gembira, bahagia dan penuh keberkatan.

Maka benarlah firman Allah yang bermaksud: "Dan tidaklah sama kesannya perbuatan yang baik dan perbuatan yang jahat. Tolaklah kejahatan dengan cara yang lebih baik; apabila engkau berkelakuan sedemikian, maka orang yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu, dengan serta merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat karib."

"Dan sifat terpuji ini tidak dapat diterima dan diamalkan melainkan oleh orang yang sabar, dan tidak juga dapat diterima dan diamalkan melainkan oleh orang yang mempunyai bahagian yang besar dari kebahagiaan dunia dan akhirat." (Surah Fussilat: 34 & 35)

Wallahu a'lam.

BACA INI JUGA:

sumber: iluvislam