Monday, November 16, 2020

Tahi Bintang Dan Rahsia Langit

Tahi Bintang Dan Rahsia Langit

Munculnya fenomena alam bintang jatuh, tahi bintang, meteor atau komet adalah suatu perkara biasa. Tidak ada kaitannya dengan pelbagai hal, sebagaimana keyakinan jahiliah, yang menganggap akan terkabul doa kita apabila melihatnya.

Tahi Bintang

Namun, Al Quran telah menjelaskan tentang fenomena alam tersebut bahkan, ternyata bintang, meteor dan komet itu memiliki fungsi di sisi Allah.

"Sesungguhnya, Kami telah menghiasi langit yang dekat dengan bintang-bintang, dan Kami jadikan bintang-bintang itu alat-alat pelempar syaitan, dan Kami sediakan bagi mereka seksa neraka yang menyala-nyala." (QS. Al-Mulk: 5)

Ketika menafsirkan surat Al-Mulk ayat 5, seorang ahli tafsir masa tabi'in, Qatadah rahimahullah, mengatakan:

"Allah menciptakan bintang untuk tiga hal: Allah jadikan sebagai penghias langit, sebagai pelempar syaitan, dan sebagai tanda alam untuk petunjuk arah. Maka siapa yang menggali tentang bintang, selain tiga hal tersebut, dia keliru, menyia-nyiakan jatahnya, dan membebani diri dengan sesuatu yang sama sekali dia tidak memiliki ilmu tentangnya." (HR. Bukhari dalam shahihnya secara muallaq, 4/107) Maksud beliau dengan memahami selain tiga hal tersebut adalah dengan memahami bintang untuk astrologi (bukan astronomi), seperti zodiak atau ramalan bintang. Sementara itu, As-Syaukani menafsirkan firman Allah (yang ertinya), "Aku jadikan bintang itu sebagai pelempar syaitan", beliau mengatakan, "Rajam (pelempar) secara bahasa ertinya, melempar dengan batu." (Fathul Qadir, 3/179)

Demikian pula dalam surat Al-Jinn, Allah Ta'ala berfirman, "Sesungguhnya kami telah mencuba mengetahui (rahsia) langit, maka kami mendapatinya penuh dengan penjagaan yang kuat dan panah-panah api, dan sesungguhnya kami dahulu dapat menduduki beberapa tempat di langit itu untuk mendengar-dengarkan (berita-beritanya). Tetapi sekarang barangsiapa yang (mencuba) mendengar-dengarkan (seperti itu) tentu akan menjumpai panah api yang mengintai (untuk membakarnya)." (QS. Al-Jin: 8–9)

Al-Imam Ibnu Katsir juga menafsirkan ayat di atas dengan hadis Rasulullah SAW, yang mengungkap secara lebih terperinci tentang fenomena alam tersebut.

Dari sahabat Abdullah bin Abbas Radhiyallahu anhu, ia berkata: "Salah seorang sahabat Nabi SAW dari kaum Ansar menceritakan kepadaku. Ketika mereka duduk bersama Rasulullah SAW pada suatu malam, ada bintang (meteor) jatuh memancarkan cahaya. Maka Rasulullah SAW bertanya kepada mereka: "Apa ucapan kalian pada masa jahiliah ketika ada lemparan (meteor) seperti ini?" Mereka menjawab: "Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui. Dulu kami katakan, "pada malam ini telah dilahirkan seorang yang terhormat dan telah mati seorang yang terhormat." Lalu Rasulullah SAW menjelaskan: "Sesunguhnya bintang itu tidaklah dilemparkan kerana kematian seseorang dan tidak pula kerana kelahiran seseorang. Akan tetapi Tuhan kita Tabaaraka wa Ta'ala, apabila telah memutuskan sesuatu perkara, bertasbihlah para malaikat yang membawa 'Arasy. Kemudian diikuti oleh para malaikat penghuni langit yang di bawah mereka, sampai tasbih itu kepada para malaikat penghuni langit dunia. Kemudian para malaikat yang di bawah para malaikat pembawa 'Arasy bertanya kepada para malaikat pembawa 'Arasy, "Apa yang dikatakan Tuhan kita?" Lalu mereka memberitahu apa yang dikatakan Allah SWT. Maka malaikat penghuni langit dunia saling bertanya pula di antara sesama mereka, sehingga berita tersebut sampai ke langit dunia. Maka para jin berusaha mencuri dengar, lalu mereka sampaikan kepada walit-walitnya (tukang sihir). Sehingga mereka dilempar dengan bintang-bintang tersebut. Berita itu mereka bawa dalam bentuk yang utuh, iaitu yang sebenarnya tetapi mereka campur dengan pembohongan dan mereka tambah-tambahkan." [HR Muslim]

Apakah bintang jatuh boleh mengabulkan permintaan?

Menurut tradisi yang diturunkan dari nenek moyang, apabila kita melihat bintang jatuh secara langsung maka satu keinginan kita akan terkabul.

Maka daripada itu, apabila kita melihat bintang jatuh mohonlah satu permintaan.

Berdoalah! Tapi berdoanya tetap kepada Allah. Salah bila kita berdoa dan minta bantuan kepada bintang jatuh. Bukan nanti dapat barokah, malah jadi musrik jadinya.

Bintang jatuh hanya sekadar perantara saja. Yang mengabulkan ya atau tidaknya doa kita adalah Allah.

Wallahu a'lam.

BACA INI JUGA:
sumber: RR

Friday, October 23, 2020

Berleluasanya Zina Tanda Kiamat

Berleluasanya Zina Tanda Kiamat

Rasulullah SAW bersabda, "Demi jiwaku berada di dalam kekuasaan-Nya, tidak akan hancur umat ini sehinggalah lelaki datang kepada perempuan, lalu dia menggaulinya (melakukan zina) di jalan. Orang yang paling baik antara mereka ketika itu ialah orang yang berkata, "(Lebih baik) sekiranya kamu menutupinya di belakang tembok ini (daripada melakukannya secara terang-terangan begini)." (Riwayat Abu Ya'la al-Haitsami – Lihat juga Majma' az-Zawa'id)

Zina

Menerusi hadis ini jelas menunjukkan bahawa antara salah satu tanda hampir kiamat dan kerosakan umat adalah banyaknya zina dan bebasnya lelaki perempuan yang bukan mahram bergaul tanpa batasan yang jelas dalam syarak.

Ia juga menunjukkan bahawa faktor akhlak dalam umur umat tertentu sangat penting kerana tanpa akhlak yang baik, pastinya ia akan mengundang bencana, malapetaka dan kerosakan termasuk kemurkaan Allah SWT.

Hari ini, kita melihat bibit-bibit pergaulan bebas berkenaan apabila segelintir anak, remaja, belia, dewasa mahupun yang menjengah separuh abad bebas dalam hal ini termasuk tidak malu melakukan dosa zina, malah ada dalam kalangan kita yang menjadi kebanggaan melakukan perbuatan itu.

Untuk itu, kita perlu menjauhkan diri daripada perbuatan zina dan seseorang dapat memelihara diri serta keluarganya daripada dosa berkenaan sekiranya memiliki ilmu agama dan mengamalkan setiap ibadah yang dipelajarinya selain memohon perlindungan Allah daripada ujian berkenaan.

Rasulullah pernah menasihatkan Saidina Ali r.a. supaya menjaga pandanganya: "Wahai Ali, janganlah kamu ikuti pandangan dengan pandangan (berikutnya) kerana sesungguhnya bagimu pandangan yang pertama (tidak salah jika terlihat perempuan ajnabiyyah umpamanya pada pandangan pertama) dan bukanlah bagimu pandangan yang terakhir (kerana ia berdosa)." (Hadis Riwayat Imam Ahmad dan Abu Daud)

Sepotong lagi hadis Baginda daripada Saidina Ibnu Umar bermaksud: "Tidaklah seorang lelaki yang berdua-duaan dengan seorang perempuan kecuali yang ketiganya adalah syaitan." (Hadis Riwayat at-Tirmizi)

Berdasarkan hadis ini, jelas Rasullulah sangat melarang perbuatan serta dosa zina termasuk bibit-bibit menghampiri zina kerana ia bukan saja mengundang kemurkaan Allah sebaliknya merosakkan akhlak pelakunya.

Wajib ke atas kita semua untuk memelihara diri, anak-anak serta keluarga dengan memberi penerangan dan pengetahuan berhubung dosa zina dan sesungguhnya azab Allah sangatlah pedih kepada pelaku yang tidak sempat untuk memohon keampunan Allah.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:
sumber: hmetro

Friday, July 31, 2020

Rahsia Kalimah Berwarna Merah Surah Al-Kahfi

Rahsia Kalimah Berwarna Merah Surah Al-Kahfi

"Dan demikianlah Kami bangkitkan mereka (dari tidurnya), supaya mereka bertanya-tanyaan sesama sendiri. Salah seorang di antaranya bertanya, 'Berapa lama kamu tidur?', sebahagian dari mereka menjawab, 'Kita telah tidur selama sehari atau sebahagian dari sehari'.

Al-Kahfi ayat merah

"Sebahagian lagi dari mereka berkata, 'Tuhan kamu lebih mengetahui tentang lamanya kamu tidur; sekarang utuslah salah seorang dari kamu, membawa wang perak kamu ini ke bandar; kemudian biarlah dia mencari dan memilih mana-mana jenis makanan yang lebih baik lagi halal; kemudian hendaklah ia membawa untuk kamu sedikit habuan daripadanya; dan hendaklah ia berlemah-lembut dengan besungguh-sungguh; dan janganlah dia melakukan sesuatu yang menyebabkan sesiapapun menyedari akan hal kamu." (Surah Al-Kahfi: 19)

Waktu zaman kanak-kanak dulu bila membaca Quran, selalu tertanya-tanya kenapa ada satu perkataan dalam Surah Al-Kahfi diwarnakan merah? (rujuk gambar).

Ada yang mengatakan, sejarah di sebalik perkataan ini dicetak merah adalah ketika Sayyidina Uthman bin Affan r.a. terbunuh, percikan darahnya mengenai mushaf Al-Quran tepat pada tulisan "ﻭﻟﻴﺘﻠﻄﻒ".

Maka kerana itu ia ditulis dengan warna merah untuk mengenang kematian Sayyidina Uthman bin Affan r.a.

Saya tidak pasti asal-usul dan kesahihan kisah ini. Dan bukan sejarah atau kenapa ia berwarna merah yang ingin saya sentuh dalam catatan ini.

Apa yang ingin saya kongsikan ialah berkenaan kedudukan dan mesej penting yang terdapat dalam perkataan "ﻭﻟﻴﺘﻠﻄﻒ" itu sendiri.

Menurut Ibnu 'Asyur dalam kitabnya 'At-Tahrir Wa At-Tanwir', majoriti Ulama Ilmu Tafsir berpendapat jika dikira satu-persatu perkataan dalam Al-Quran bermula dari perkataan "ﺍﻟﺤﻤﺪ" di dalam Surah Al-Fatihah dan berakhir dengan perkataan "ﺍﻟﻨﺎﺱ" dalam Surah An-Nas, kita akan dapati perkataan "ﻭﻟﻴﺘﻠﻄﻒ" kedudukannya terletak betul-betul di tengah-tengah Al-Quran.

Apakah hikmah perkataan ini sebagai 'central point' Al-Quran?

Jika kita membuat sedikit 'bedah siasat' terhadap perkataan "ﻭﻟﻴﺘﻠﻄﻒ", ia terdiri dari 3 unsur;

1. Wau al-'Athaf (ﻭ ﺍﻟﻌﻄﻒ): Kata penghubung.

2. Lam al-Amr (ﻻﻡ ﺍﻷﻣﺮ): Kata suruhan atau perintah.

3. Perkataan ﻳﺘﻠﻄﻒ : Kata kerja.

Perkataan "ﻳﺘﻠﻄﻒ", jika diperhatikan, mengandungi di dalamnya maksud kindness (berbuat baik), patience (bersabar), respectful (menghormati), generous (bermurah hati), gentle (lemah lembut) dan humble (rendah hati).

Atau dengan kata lainnya, segala sifat yang baik terkumpul dalam satu perkataan ini.

Datangnya perkataan ini diikat dengan kata suruhan dan perintah, menunjukkan ia merupakan satu perintah dari Allah SWT untuk kita sentiasa menghormati dan berbuat baik sesama manusia, tanpa mengira umur, pangkat, bangsa dan agama, sama ada dalam perkataan mahupun perbuatan seharian.

Terletaknya pula perkataan ini di lokasi paling tengah di dalam Al-Quran, memberi isyarat kepada kita bahawa mesej agung yang ingin disampaikan Kitabullah ini adalah tentang peri pentingnya kita sebagai manusia, dalam menjalani kehidupan di dunia ini agar sentiasa bersikap toleransi, lemah lembut, pemaaf dan rendah hati.

Sebagaimana Allah SWT turut memberi dorongan kepada Baginda Nabi Muhammad SAW dalam Surah Ali Imran, Ayat 159:

"Maka dengan sebab rahmat dari Allah kepadamu wahai Muhammad, engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka, dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari dirimu. Oleh itu maafkanlah mereka, dan pohonlah ampun bagi mereka, dan bermesyuaratlah dengan mereka dalam segala urusan.."

Inilah 'central thought' yang dibawa oleh Al-Quran. Tidak kira bagaimana jua bentuk ayat Al-Quran yang datang; ayat hukum-hakam, ayat penceritaan, ayat suruhan sekalipun ayat larangan.

Hakikatnya, Al-Quran sedang membawa para pembacanya kembali kepada maqasid asal penurunan Al-Quran itu sendiri; "Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau wahai Muhammad, melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam." (Surah Al-Anbiyaa': 107)

Al-Kahfi dan Dajjal

Allah mengutuskan Baginda Nabi Muhammad SAW ke dunia, dengan tugas menyebarkan Kalam Tuhannya. Di dalam Kalam-Kalam itu mengandungi pesan-pesan ‘rahmat’ buat sekalian penduduk bumi dan langit.

"Tidak kami turunkan Al-Quran kepadamu wahai Muhammad supaya engkau menanggung kesusahan." (Surah Taaha: 2)

Kerana setelah kita menyahut seruan Tuhan untuk bersikap baik dan berlemah lembut sesama insan, kita akan mendapati kehidupan di dunia ini berjalan dengan mudah, gembira, bahagia dan penuh keberkatan.

Maka benarlah firman Allah yang bermaksud: "Dan tidaklah sama kesannya perbuatan yang baik dan perbuatan yang jahat. Tolaklah kejahatan dengan cara yang lebih baik; apabila engkau berkelakuan sedemikian, maka orang yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu, dengan serta merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat karib."

"Dan sifat terpuji ini tidak dapat diterima dan diamalkan melainkan oleh orang yang sabar, dan tidak juga dapat diterima dan diamalkan melainkan oleh orang yang mempunyai bahagian yang besar dari kebahagiaan dunia dan akhirat." (Surah Fussilat: 34 & 35)

Wallahu a'lam.

BACA INI JUGA:

sumber: iluvislam

Abai Ibu Punca Taubat Tidak Diterima

Abai Ibu Punca Taubat Tidak Diterima

Usia muda adalah masa paling penting dalam perjalanan hidup manusia sehingga Rasulullah SAW sendiri mengingatkan supaya merebut lima perkara sebelum tiba lima masa dan satu daripadanya ialah waktu muda.

Anak Derhaka

Pada usia muda manusia mempunyai beberapa tanggungjawab yang perlu ditunaikan dan seharusnya ibu bapa perlu memberi pemahaman yang jelas kepada anak berkenaan tanggungjawab itu.

Di dalam Islam ada hak yang perlu ditunaikan oleh pemuda dan pemudi, antaranya peranan terhadap kedua ibu bapa mereka.

Ibu bapa yang masih hidup ataupun sudah meninggal dunia mempunyai hak yang harus dipenuhi oleh anak kerana sesungguhnya reda Allah SWT adalah selepas mendapat keredaan daripada ibu bapa.

Namun, tanggungjawab itu harus dipupuk oleh ibu bapa supaya tidak berlaku sebarang penyesalan selepas mereka meniti usia tua kelak.

Doa anak soleh

Diriwayatkan oleh Abdullah bin Amru bin al-Asr, Rasulullah SAW bersabda, "Allah itu akan reda pada kamu berdasarkan reda ibu dan bapa kepada kamu. Kemurkaan Allah pula berdasarkan kemurkaan daripada ayah dan ibumu."

Besar tanggungjawab terhadap ibu bapa sehinggakan kewajipan mentaati mereka melebihi daripada tuntutan berjihad di jalan Allah SWT kerana sesungguhnya syurga itu terletak di bawah telapak kaki ibu dan bapa.

Oleh itu, jika ibu dan bapa memerlukan perhatian ketika usia tua mereka, maka hak itu perlu dipenuhi dan menjadi keutamaan kepada anaknya.

Malah, hak itu perlu ditunaikan walaupun selepas kedua ibu bapa meninggal dunia.

Allah SWT mengangkat darjat jenazah walaupun diazab ketika berada di alam barzah. Selepas ditanya oleh penghuni kubur berkenaan kenikmatan yang diterimanya setiap hari, malaikat menjawab, anak mereka sudah memohon keampunan bagi pihak kedua ibu bapanya.

Allah SWT tidak pernah menolak doa daripada anak yang soleh terhadap ibu bapanya, termasuk amalan dan setiap perbuatan baik yang diiringi niat kebaikan itu kepada arwah.

Sambung silaturahim

Selain itu, anak perlu menunaikan hak ibu bapanya dengan melaksanakan janji mereka untuk melakukan amalan kebaikan seperti bersedekah.

Muliakan sahabat ibu bapa walaupun hanya dengan bertanyakan khabar kerana perlakuan anak yang soleh itu akan ditunjukkan oleh Allah SWT kepada ibu bapa mereka di alam kubur.

Sambung silaturahim yang terputus ketika hidup mereka walaupun dengan pihak yang bermusuhan kerana masalah dihadapi mereka.

Mohon kemaafan bagi pihak ibu bapa semoga persengketaan dan dosa itu tidak berlarutan.

Islam mendidik anak supaya mendahului ibunya, seperti pesanan Rasulullah SAW kepada seorang pemuda yang datang kepadanya dan bertanya siapakah yang paling berhak untuk dia melakukan kebaikan.

Baginda menjawab, "Kepada ibumu. Lalu pemuda itu bertanya lagi: Siapakah yang perlu dibuat kebaikan selepas itu? Dijawab oleh Rasulullah: Kepada ibumu. Sehinggalah buat kali ketiga persoalan sama diajukan pemuda itu kepada Baginda SAW.

Apabila diajukan soalan sama buat kali keempat, barulah dijawab Baginda SAW supaya melakukan kebaikan kepada ayahnya.

Kisah al-Qamah

Besar kemuliaan seorang ibu sehingga tidak terbalas jasanya menanggung kepayahan mengandungkan anak, berasa sakit melahirkan, menyusukan, tidak cukup tidur menjaga serta mendoakan kesejahteraan mereka.

Ini membuktikan besarnya tanggungjawab anak menunaikan hak ibu mereka. Perasaan belas kasihan dikurniakan Allah SWT bagi seorang ibu melebihi bapa.

Di dalam kitab Tarbiyatul Aulad menceritakan, Abu Layth al-Samarqandi memberitakan daripada Anas yang mengisahkan betapa besarnya kedudukan ibu dalam peristiwa al-Qamah yang tidak mampu mengucapkan syahadah, walaupun ketika sudah menghampiri kematian.

Ibunya berkecil hati apabila al-Qamah melebihkan isterinya berbanding dirinya. Walaupun al-Qamah seorang mukmin yang baik, suka bersedekah, melakukan banyak amal ibadat, kemurkaan ibu menahan lidah al-Qamah daripada mengucapkan syahadah.

Reda ibu

Rasulullah SAW meminta Bilal mengumpulkan kayu untuk membakar tubuh al-Qamah, lalu ibunya merayu kepada Baginda supaya tidak melakukan sedemikian kerana dia tidak sanggup melihat penderitaan dihadapi anak kesayangannya itu.

Ibu al-Qamah kemudian memohon kepada Allah SWT dan menyatakan keredaan kepada anaknya itu. Al-Qamah menemui ajal selepas mengucapkan syahadah.

Rasulullah SAW kemudian mengingatkan, mereka yang mengabaikan hak ibunya akan dilaknati dan taubat mereka tidak diterima oleh Allah SWT.

Wallahu a'lam.

BACA INI JUGA:

sumber: bharian

Thursday, June 25, 2020

Penyebar Berita Palsu Adalah Pembohong Kerana Bersubahat, Fikir Dan Fahami Sebelum Kongsi

Penyebar Berita Palsu Adalah Pembohong Kerana Bersubahat, Fikir Dan Fahami Sebelum Kongsi

Fitnah serta melagakan-lagakan orang adalah 'penyakit' yang cukup berat kerana ia termasuk dalam kategori dosa besar dan ijmak ulama mengatakan penyakit itu haram berdasarkan dalil di dalam al-Quran.

Penyebar Berita Palsu

"Dan janganlah engkau (berkisar daripada pendirianmu yang benar dan jangan) menurut kemahuan orang yang selalu bersumpah, lagi yang hina (pendapat dan amalannya), pindah percakapan orang kerana untuk merosakkan orang. Yang suka mencaci, lagi yang suka menyebarkan fitnah hasutan (untuk memecah-belahkan orang ramai)." Surah al-Qalam, ayat 10-11

Untuk bertaubat dengan melakukan dosa itu bukannya satu perkara mudah. Mampukah kita berjumpa dan memohon maaf kepada setiap orang yang diumpat atau difitnah itu?

Sehubungan itu, wajib bagi setiap Muslim meneliti kesahihan setiap berita diterima supaya ia tidak menjadi bahan fitnah serta tidak bersekongkol melakukan dosa besar itu.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Wahai orang yang beriman, jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidik (untuk menentukan) kebenarannya supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara tidak diingini, dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menyebabkan kamu menyesali perkara yang kamu lakukan." Surah al-Hujurat, ayat 6

Apabila mengumpat atau menyebarkan fitnah sudah menjadi amalan, dibimbangi pelakunya akan merasakan satu kepuasan apabila dapat bercerita perihal dan aib orang lain.

Di dalam kitab Ihya' Ulumiddin, Imam Ghazali menjelaskan, membocorkan rahsia orang lain serta menjejaskan kehormatan diri orang itu dengan cara membuka rahsianya dianggap perbuatan mengadu-domba dan fitnah.

Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Adakah kamu semua mengetahui apakah ghibah (mengumpat)? Sahabat menjawab: Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui. Lalu Baginda meneruskan sabdanya: Kamu berkata mengenai saudara kamu perkara yang tidak disenanginya. Lalu ditanya oleh seorang sahabat: Walaupun saya berkata perkara yang benar-benar berlaku pada dirinya?

"Rasulullah SAW bersabda: Jika kamu berkata mengenai perkara yang benar-benar berlaku pada dirinya bererti kamu mengumpatnya, jika perkara yang tidak berlaku pada dirinya bererti kamu memfitnahnya." (Hadis riwayat Abu Hurairah)

Larangan mencari dan membocorkan rahsia orang lain jelas dilarang Allah SWT seperti dijelaskan dalam firman-Nya bermaksud: "Dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang lain." Surah al-Hujurat, ayat 12

Rahsia seseorang itu pada mulanya tersembunyi, tetapi ada pula yang mendedahkannya.

Sebaiknya, setiap orang perlu diam terhadap apa yang dilihatnya kecuali perkara yang dapat menguntungkan golongan Muslimin atau untuk menolak dosa dan maksiat yang dilakukan orang itu.

Imam al-Ghazali di dalam kitab lain turut menyenaraikan enam adab yang perlu dilakukan ketika menerima berita fitnah:
  • Pertama, jangan mudah percaya kerana pemfitnah itu hanya menghilangkan kebenaran.
  • Kedua, melarang dan menasihati keburukan perilaku orang membawa berita fitnah itu supaya berhenti memfitnah kerana perbuatannya itu mengundang dosa besar selain tidak mahu bersekongkol dengannya.
  • Ketiga, membenci perbuatan pembawa fitnah itu kerana Allah SWT.
  • Keempat, jangan berprasangka buruk (suudzon) kepada orang yang diberitakan itu.
  • Kelima, jangan ikut menyebarkan fitnah serta menjadi pengintip dengan membuka rahsia orang lain.
  • Keenam, jangan setuju dengan fitnah yang terlarang itu dan jangan menceritakannya.

Zaman Fitnah

Pada zaman sekarang semakin bertambah 'alat' yang boleh menyebabkan fitnah semakin menjadi parah.

Penggunaan laman sosial contohnya, ia boleh memberikan pahala atau dosa sekiranya digunakan sebaiknya atau disalah guna.

Kewujudan pelbagai laman sosial menjadi medium penyebaran apa saja maklumat sama ada ia benar atau salah.

Barangkali ada yang berkata dia tidak bersalah dan hanya menyampaikan berita 'dari group sebelah'.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Cukuplah pembohongan seseorang itu apabila dia menyampaikan semua yang dia dengar." (Hadis riwayat Muslim)

Hadis ini menunjukkan bagaimana dosa itu bukan di atas bahu orang yang mencipta berita palsu, tetapi dosa juga merangkumi orang yang menyampaikan atau menyebar tanpa usul periksa semua berita yang dia lihat tanpa diselidiki kebenarannya, sama ada benar atau palsu.

Perkara ini sangat biasa berlaku dalam grup WhatsApp dan Facebook ciptaan Yahudi saat ini.

Golongan yang menyampaikan berita palsu dianggap sebagai pembohong kerana bersubahat.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: hmetro

Wednesday, June 24, 2020

Sejarah Fahaman Duruzi, Pecahan Dari Syiah Ismailiyah

Sejarah Fahaman Duruzi, Pecahan Dari Syiah Ismailiyah

Duruzi (Druze) merupakan salah satu cabang fahaman atau pecahan dari Syiah Ismailiyah pada zaman era Kerajaan Fatimiyyah pada abad ke-10, yang diasaskan oleh Tariq al-Hakīm dan bukanlah fahaman Islam (non-Muslim religion) akan tetapi ajaran yang dibawa adalah agak mirip dengan ajaran Islam Syiah dan Kristian.

Agama sesat

Kebanyakan mereka berbangsa Arab dan mengaku berbangsa Arab, tetapi rakyat Israel yang berfahaman Duruzi ini pula menafikan dari bangsa Arab. Mereka ini terdapat di negara-negara Arab khususnya di Lubnan (Beirut), Palestin, Israel, Syria dan Turki serta sebilangan kecil darinya berada di negara-negara lain sebagai pekerja mahir.

Sempena Muhammad A-Darazi

Druze (juga turut dikenali sebagai Druse, darazī, durūz) adalah sebuah komuniti keagamaan yang umumnya berasal dari Timur Tengah. Kelompok ini muncul dari Islam dan Kristian serta dipengaruhi oleh agama-agama dan falsafah-falsafah lain, termasuk falsafah Yunani.

Kaum Duruzi menganggap diri mereka sebagai "sebuah fahaman (sakte) Islam Uniat, pembaharuan, meskipun mereka tidak dianggap Muslim oleh kebanyakan umat Islam di wilayah tersebut.

Kaum Duruzi menganggap mereka adalah umat Monoteisme atau Muwahhidūn (Monoteis) dan asal-usul nama Duruzi ini dapat ditelusuri sehingga kepada Muhammad ad-Darazī, yang terkenal sebagai pengasas kepada fahaman ini.

Lokasi

Gigi_Hadid_Duruzi
Gigi Hadid, Selebriti Hollywood, penganut Duruzi.

Kaum Duruzi kebanyakannya tinggal di Lubnan, meskipun ada juga komuniti kecil yang tinggal di Israel, Syria dan Jordan.

Komuniti-komuniti besar yang terdiri dari kaum ekspatriat terdapat di Amerika Syarikat, Kanada, Amerika Latin, Afrika Barat, Australia dan Eropah.

Mereka menggunakan bahasa Arab dan mengikuti pola sosial yang sangat mirip dengan masyarakat berbangsa Arab akan tetapi ada kelainan dari wilayah penduduk Arab itu. Kebanyakan penganut fahaman Druze menganggap diri mereka Arab.

Dianggarkan terdapat sekitar 2.3 juta penganut fahaman Duruzi di seluruh dunia dan kebanyakan daripadanya berada di Levant atau Mediteranian Timur.

Namun, sejumlah orang menganggarkan keseluruhan populasi Duruzi hanyalah sekitar 450,000 orang sahaja.

Sejarah kaum Duruzi

Agamawan Duruzi
Agamawan Duruzi.

Agama ini berkembang dari Islam Ismailiyah, sebuah gerakan falsafah yang didasarkan pada Bani Fatimiyah, pada abad ke-10, suatu masa yang kaya kebudayaannya.

Agama ini tidak berusaha mengubah Islam dari arus utama melainkan menciptakan suatu agama yang sama sekali baharu, yang dipengaruhi antara lain oleh falsafah Yunani, Gnostisisme dan Kristian.

Ada dua tokoh utama pada tahun-tahun permulaan kebangkitan ajaran fahaman Duruzi: Penguasa Fātimiyah, Tariqu l-Ḥakīm (985–1021), juga dikenali sebagai Al-hakim atau al-Ḥakīm bi-Amrul-Lāh, adalah seorang khalifah Ismaili dari Mesir yang dipercayai oleh sebahagian masyarakat sebagai benar-benar penjelmaan Allah.

Kedua, imigran Parsi, Hamza ibn Alī ibn Aḥmad, perancang utama gerakan ini, individu pertama secara terbuka mengumumkan bahawa Al-hakim lebih daripada seorang manusia biasa.

Aliran Syiah

Simbol Duruzi
Simbol Duruzi.

Aliran Syiah berpecah kepada cabang-cabang kecil. Tiga cabang yang utama pada masa kini mempunyai bilangan pengikut yang besar.

Yang paling terkenal dan terbesar ialah golongan Syiah Imam Dua Belas atau Imamiyyah/Ja'fariyyah, yang merangkumi 90% penduduk di Iran dan sebahagian besar penduduk Iraq.

Golongan Syiah yang lain termasuklah al-Kaisaniyyah, al-Zaidiyah, Imamiyyah, al-Ghulat, Ismailiyah dan Syiah Imam Bertujuh.

Walaupun Alawiyyah dan Duruzi juga menganggap mereka juga dari golongan Syiah, namun mereka tidak diiktiraf oleh fahaman Syiah lain.

Tarikat-tarikat Sufi beraliran Syiah termasuklah Tarikat Alevi, Bektashi Hamadani dan Fatimiyyah.

Dua puluh peratus dari penduduk Turki adalah pengikut Tarikat Alevi, sementara Lubnan dan Syria pula mempunyai bilangan besar golongan Duruzi dan Alawi.

Aliran Syiah mempercayai bahawa Nabi SAW telah mewasiatkan keturunannya menjadi pemimpin umat Islam dan hendaklah bersatu di bawah Imam.

Pergerakan Hizbullah di Lubnan adalah dari golongan Syiah Imam Dua Belas.

Di Malaysia, aliran ini tidak dibenarkan melakukan ritual harian dan ditolak fahaman mereka oleh Majlis Fatwa Malaysia.

Golongan Syiah telah melakukan beberapa dialog dengan pihak Ahlul Sunnah di seluruh dunia termasuk Malaysia namun tiada sebarang pindaan undang-undang yang dilakukan bagi menghalalkan pergerakan atau penyebaran fahaman mereka.

p/s: artikel ini adalah sebagai pengetahuan am semata-mata.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: wikipedia

Friday, June 19, 2020

Tidak Sah Solat Baca Al-Fatihah Dalam Hati

Tidak Sah Solat Baca Al-Fatihah Dalam Hati

Membaca Surah Al-Fatihah merupakan salah satu daripada rukun-rukun solat dan kita memang akan membaca ummul kitab itu tatkala menunaikan solat, namun dari segi lafaz berkenaan kadangkala kurang jelas didengari di telinga sendiri. Bahkan, ada segelintir orang pula membaca surah berkenaan hanya dalam hati.

Membaca Al-Fatihah

Bagaimanakah cara yang betul melafazkan Surah al-Fatihah? Adakah cukup sekadar berbisik dan bacaan itu hanya didengari di telinga sendiri?

Rukun Qauli

Sebelum menjawab kemusykilan itu, ayuh kita fahami dahulu bahawa bacaan Surah al-Fatihah tersebut termasuk dalam rukun qauli, iaitu bacaan-bacaan yang wajib dalam solat.

Rukun Qauli merangkumi takbiratul ihram, Surah al-Fatihah, tasyahud akhir dan salam.

Ketika menunaikan solat, setiap umat Islam disyaratkan melafazkan setiap rukun qauli tersebut dengan suara yang dapat didengari oleh diri sendiri jika keadaan pendengaran kita baik dan tiada halangan untuk mendengarnya seperti bunyi bising.

Bagaimanapun, jika keadaan adalah sebaliknya yang mana pendengaran kita kurang baik seperti mengalami masalah tuli atau ada halangan lain sebagai contoh bunyi bising, maka tidak diwajibkan untuk kita mendengar bacaan berkenaan.

Pun begitu, kita tetap wajib melafazkannya dengan suara yang boleh didengari ketika pendengaran kita dalam keadaan baik atau keadaan tidak bising.

Dan tidak sah bacaan setiap rukun qauli apabila ia tidak dilafazkan dengan suara yang dapat didengari oleh dirinya sendiri.

Ia termasuklah jika rukun-rukun qauli yang disebutkan di atas hanya sekadar dibaca di dalam hati, menyebabkan solat yang dikerjakan tidak sah.

Rukun qauli berasal daripada perkataan 'qaul' yang bermaksud kata-kata, adalah rukun berasaskan sebutan dan bacaan yang memerlukan seseorang melafazkan bacaan sekadar didengari telinga sendiri ketika takbiratulihram, membaca Surah al-Fatihah, membaca tahiyat akhir, selawat ke atas Nabi dalam tahiyat akhir dan melafazkan salam.

Sekiranya lima rukun qauli tidak dipenuhi, maka tidak sah solat seseorang itu.

Syarat sah rukun qauli pula menyenaraikan kewajipan menyebut bacaan makhrajnya tepat, meneliti tasydid (baris sabdu) dan menjaga bacaan supaya tidak terputus di pertengahan ayat atau kalimat.

Menurut artikel Al-KafiLi Al-Fatawi, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menjelaskan, dalam mazhab al-Syafie, rukun qauli seperti Surah al-Fatihah wajib dibaca dengan bacaan yang didengari diri sendiri.

Dalam kitab I'anah al-Talibin menyatakan yang bermaksud: "(Dan wajib mendengar) iaitu takbiratulihram itu oleh orang yang bersolat itu sendiri, sekiranya pendengarannya baik dan tiada dihalang dengan benda yang mendatang contohnya bunyi bising (seperti seluruh rukun qauli) daripada al-Fatihah, tasyahhud akhir dan bagi salam."

Semoga ALLAH menerima segala amal ibadah yang kita lakukan.

(Sumber: JAKIM & Pejabat Mufti Wilayah)

Wallahu a'lam.

BACA INI JUGA:

-Sentiasapanas.com