Friday, August 09, 2019

SBDJ Siri 100: Orang Tua Misteri

SBDJ Siri 100: Orang Tua Misteri

Kami pun terus berlari melanggar tunggul-tunggul buruk, melanggar akar yang menjalar di bumi. Matlamat kami mahu sampai segera ke tepi jalan raya yang jaraknya bukan dekat. Dua tiga kali kami jatuh dan setiap kali jatuh kami segera bangun.

Toyol jadi-jadian

Apa yang menakjubkan diri saya, setiap kali saya bangun dari jatuh, saya rasa seperti ada orang membantu saya.

Selain dari itu, saya juga merasai seperti ada orang yang mengikut atau menemani perjalanan kami.

Saya tanyakan perkara tersebut pada Najib. Dia juga merasakan seperti apa yang saya alami.

Akhirnya, kami sampai di tepi jalan raya Batu Hampar-Taiping. Seluruh tubuh kami dibasahi dengan pelih.

Kami terpaksa berehat sebentar di bangsal tempat orang menanti bas. Bila rasa penat sudah hilang, perjalanan pulang ke rumah akan disambung kembali.

"Eh, kamu tak mahu tengok orang pengsan tepi jalan?”, seorang lelaki yang berbasikal melintasi di depan bangsal tempat kami berhenti rehat.

"Di mana?" jerit Najib.

“Di depan sana,” jawab lelaki itu tanpa mahu berhenti.

Siapa pula hamba Allah yang malang itu? Ini sudah pasti jadi korban kenderaan yang lari.

Memang, pemandu yang tidak bertimbang rasa patut dihukum. Fikir saya dalam hati.

“Mari kita tengok Tamar.”

"Jom, siapa pula yang malang tu."

"Kita tengok dulu baru kita tahu siapa orangnya."

"Cakap kamu betul Najib."

"Ah, sudahlah. Marilah", Najib segera menarik tangan saya.

Dan kaki saya pun melangkah menuju ke arah tempat yang dikatakan oleh lelaki yang berbasikal tadi.

SAMPAI

Dari jauh saya dan Najib nampak orang ramai berkerumun tidak jauh dari tiang telefon.

Ada beberapa buah kenderaan yang berhenti tetapi bergerak kembali sesudah melihat apa yang berlaku.

Kami sampai ke tempat orang ramai. Tanpa membuang masa kami terus bergabung dengan mereka.

Saya dan Najib terkejut. Kami segera berpandangan. Memang tidak kami duga orang ramai sedang mengerumuni Amjal Kamal yang terlentang atas rumput.

Di tubuhnya tidak terdapat sebarang luka atau kecederaan. Anehnya Amjal Kamal tetap mengeluh dan mengadu sakit.

Sepasang kelopak matanya berkeadaan separuh terbuka. Amjal Kamal memberitahu orang ramai yang mengelilinginya, kulit tubuhnya terasa pedih seperti kena bahang api yang cukup kuat. Sesekali dia membengkokkan badannya.

"Siapa orangnya?" terdengar seseorang bertanya.

"Aku tak berapa kenal, tapi pernah melihat rupanya sekali dua masa di pekan," terdengar suara dari seseorang.

"Ah, ketua Udin Tarzan kepala judi dan penyamun. Biarkan dia di situ. Dia dah menerima balasan dari Allah kerana kejahatannya," jawab seseorang dari arah kanan saya.

Amjal Kamal meracau tidak tentu arah. Kata-kata yang dituturkan sukar difahami. Mungkin Amjal Kamal bertutur dalam bahasa Nepal, bisik batin saya.

Dua tiga orang yang berada di situ turut ketawa, bila mereka melihat Amjal Kamal menggerakkan badannya atas rumput macam ular sambil mengunyah rerumput yang hijau.

“Jangan ketawakan dia, kita harus melakukan sesuatu,” seorang tua muncul dari arah belakang saya.

Seluruh perhatian orang ramai tertumpu pada orang tua itu.

“Mengetawakan orang yang sedang sakit, bukan perbuatan orang yang beriman,” lanjut orang tua itu.

Dia segera menerpa ke dada jalan raya lalu mengangkat tangan kanannya menahan kereta yang lalu. Sebuah kereta berhenti.

“Kenapa?” tanya pemandu kereta.

“Tolong bawakan orang ini ke hospital.”

“Hospital Taiping?” tanya pemandu kereta Ford Escort yang berwarna hitam. Orang tua itu anggukkan kepala.

Pemandu kereta termenung sejenak. Dia agak keberatan untuk memenuhi permintaan orang tua tersebut. Amjal Kamal masih terkapar atas rumput.

“Bawalah dia ke hospital, kamu tak rugi menolongnya. Lagipun dia tak sakit kuat, kereta kamu tak kotor kerana tubuhnya tak berdarah, lepas kamu hantar ke hospital, kau tinggalkan saja dia di situ. Kerja semudah ini kamu keberatan menolongnya?” soal orang tua itu.

“Sudahlah, jangan banyak cakap. Masukkan dia di belakang,” suara pemandu kereta bersuara lantang.

Amjal Kamal pun segera diangkat ke dalam kereta.

“Ada sesiapa yang nak ikut ke Taiping?”, tanya pemandu kereta pada orang ramai yang berada di situ.

Bila mata pemandu kereta tertumpu ke wajah saya, dia menghadiahkan senyum.

Rasanya saya pernah melihat wajahnya tetapi di mana? Saya kurang pasti.

“Itu Wak Juno, patutlah bahasa Jawanya pekat,” kata Najib.

“Ya, aku ingat sekarang. Dia dari Kampung Talang, selalu datang ke tempat kita, menjaja tikar mengkuang, tudung saji dan bakul, lama juga aku nak mengingatinya," Najib.

“Kamu lemah ingatan,” sindir Najib.

Kami ketawa serentak. Orang ramai yang berada di situ merenung ke arah kami.

"Biar saya yang menemaninya", orang tua itu membuat keputusan.

Tanpa membuang masa lagi, dia masuk ke perut kereta. Beberapa minit kemudian kereta yang dipandu oleh Wak Juno terus bergerak meninggalkan kami. Orang ramai segera bersurai.

Saya dan Najib kembali ke bangsal untuk menanti bas. Rasa cemas mula mengganggu perasaan saya. Macam-macam perkara buruk terbayang dalam tempurung kepala.

Bas yang dinanti pun tiba. Saya dan Najib segera naik. Kami memilih tempat duduk tidak jauh dari pemandu bas.

Saya menoleh ke kanan. Saya terlihat orang tua yang menahan kereta Wak Juno berada di situ.

"Tadi pak cik ikut kereta Wak Juno?" tanya saya.

"Hum", kata orang tua itu sambil gelengkan kepala.

"Maafkan saya kerana tersalah orang", saya tersipu sipu malu.

"Tak mengapa, salah silap perkara biasa dalam kehidupan manusia. Awak dah jumpa Agam?" orang tua itu mengajukan pertanyaan.

Matanya merenung ke arah pepokok di kiri kanan jalan.

Saya dan Najib sering sahaja membengkokkan badan ke kiri atau ke kanan bila bas menempuh selekoh yang tajam, tetapi orang tua itu tetap tidak bergerak.

Satu persoalan timbul dalam hati saya. Bagaimana orang tua ini mengetahui pertemuan saya dengan Agam? Siapa dirinya yang sebenar?

"Pakcik ini siapa?" soal Najib. Bas terus meluncur.

Penumpang bas tidak begitu ramai jumlahnya. Banyak bangku yang kosong.

"Aku ni Datuk pada Agam."

"Berapa umur pakcik sekarang?"

"Seratus tujuh puluh tahun."

“Huh”, kata saya separuh menjerit.

Semua mata yang berada dalam bas tertumpu ke arah saya. Mana ada manusia yang berusia selanjut itu.

Kalau ada pun, pasti tidak mampu melangkah, apalagi bergerak ke sana ke mari.

“Mustahil," kata Najib.

“Tidak ada yang mustahil, kalau Allah mengizinkannya,” ungkap orang tua itu tenang.

Saya terdiam. Bas terus meluncur dengan laju. Saya masih meragui kebenaran dari kata-kata yang diluahkan oleh lelaki tua itu.

Ketika bas melalui selekoh yang agak tajam, orang tua itu bangun lalu menekan loceng bas.

“Aku dah sampai, ingat tentang kebesaran Allah, bila kita ingatkan kebesaran Allah, tidak ada sesuatu yang mustahil di dunia.

"Tidak ada manusia yang boleh mengukur kelebihan Allah, cubalah mengenali diri sendiri,” orang tua menujukan kata-kata itu pada saya.

Memang terasa diri saya disindir. Pemandu bas cuma tersenyum sahaja.

“Di sini hutan tebal, mana ada kampung di sini," Najib bersuara lalu merenung ke arah hutan tebal di kiri kanan jalan raya.

Keadaannya amat menyeramkan dengan pokok-pokok besar. Apa yang terdengar ialah bunyi suara reriang rimba dan suara ungka liar.

“Orang yang buta hati dan perasaan saja yang tak nampak kampung halaman makhluk lain.

"Orang yang hatinya suci dan hidupnya direstui Allah akan menemui makhluk lain selain dari manusia, selamat jalan.”

“Haa, menyindir kami," kata saya.

“Tidak, aku bercakap sesuatu yang benar,” orang tua itu menolak tuduhan saya.

Dia pun melangkah turun dari perut bas. Bas pun bergerak. Dari jendela bas saya lihat orang tua itu masuk ke dalam hutan tebal seperti orang berjalan di atas jalan raya.

Dia melambaikan tangan ke arah para penumpang yang berada dalam bas.

HAMPAR

Saya masih ingat, tempat orang tua itu turun tidak jauh dari pekan kecil Batu Hampar.

Khabarnya, di situ kini sudah dijadikan pintu jalan untuk masuk ke pusat Darul Arqam.

Agaknya, di kawasan Darul Arqam itu suatu ketika dulu adalah kawasan perumahan orang tua misteri yang saya temui dalam bas satu ketika dulu.

"Di dalam sebulan, dua kali orang tua itu turun dan naik di sini,” jawab Mat Tupai dalam loghat Kedah.

“Dia pergi ke mana?” desak Najib.

“Kadang-kadang dia turun dekat pekan Air Terjun, kadang-kadang dekat tempat yang disebut Bendung Siam. Tapi, tempat yang dia turun itu semuanya kawasan hutan.”

“Selain dari dia, ada orang lain yang naik?"

"Ada, orang perempuan, selalunya orang perempuan naik bas yang terakhir. Kadang-kadang...", Mat Tupai tidak meneruskan kata-katanya.

Dia terus memaut stereng bas dengan tenang dan aman.

"Kadang-kadang apa?" saya cuba mencungkil rahsia.

"Masa mereka naik, selalunya penumpang tak ramai. Paling tinggi dua orang. Bila dia ada dalam bas, satu bas jadi wangi. Mereka tak banyak cakap, mereka bayar duit tambang kemudian terdengar mereka berzikir."

"Ramai yang naik tu?"

"Kira-kira antara sepuluh hingga lima belas orang."

"Hum," kata saya lalu termenung panjang.

"Perkara macam ini, memang perkara biasa buat kami", kata Mat Tupai.

Dia terus memandu bas, merempuh beberapa selekoh tajam. Mat Tupai senyum bangga.

Menjelang waktu senja baru saya sampai di rumah. Datuk sudah menanti di kepala tangga. Wajahnya nampak serius sekali.

"Kamu dari mana Tamar?"

"Dari...", saya berhenti bercakap.

"Dari hutan Air Terjun."

"Ha he...", saya tidak dapat memberikan jawapan segera.

Rasa serba salah mula datang ke dalam diri. Memang pada awalnya saya mahu bercakap bohong dengan Datuk.

Tetapi bila sudah begini keadaannya, saya tidak berdaya untuk berbohong.

"Ya, saya ke sana tuk."

"Kamu berjudi?"

"Tidak, saya cuma nak tengok saja tuk."

"Apa yang kamu dapat?"

“Susah nak cakap tuk.”

“Lagi sekali kamu pergi ke situ, aku serahkan kamu kepada polis, biar kamu kena lokap,” suara Datuk cukup garang.

Dia meninggalkan saya sendirian di kepala tangga. Datuk menuju ke masjid.

Tanpa membuang masa saya naik ke rumah. Saya segera mengambil kain basahan lantas menuju ke perigi.

Kalau saya tidak mahu kemarahan Datuk berlarutan, saya mesti menghadirkan diri di masjid, mesti sembahyang Maghrib bersama para jemaah yang lain-lain.

“Eh, mandi di telaga”, saya mula terdengar suara dalam keadaan hari yang beransur gelap.

Saya toleh kiri, toleh ke kanan. Orang yang bersuara tidak juga saya temui. Saya persetan tentang suara itu dan saya terus mandi.

“Kamu berkawan dengan dia.”

Saya pasti itu suara Amjal Kamal.

Dugaan saya tepat sekali, Amjal Kamal berdiri di depan saya sambil berpeluk tubuh.

“Eh, kenapa?” tanya saya, serentak dengan itu batang tubuh Amjal Kamal terus hilang.

Apa yang kedengaran ialah suara ketawanya yang memanjang dan nyaring.

Saya terasa tubuh dilempar dengan tanah liat keras yang datangnya dari setiap penjuru.

Tanpa membuang masa saya terus lari naik ke rumah dengan rasa cemas yang amat sangat.

Nenek ketawa besar melihat telatah saya yang lucu. Apa yang dialami saya ceritakan pada nenek.

Saya merasa hampa dan kecewa sekali. Nenek tidak dapat menerimanya dan menuduh saya lemah semangat.

Nenek terus menggesa saya supaya segera pergi ke masjid. Saya tidak ada pilihan dan terus patuh pada perintahnya itu.

Saya bersyukur, bila sampai di masjid, kemarahan Datuk terus reda. Dia masih mahu senyum dengan saya.

Malah, selesai sahaja sembahyang Isyak, saya dan Datuk pulang bersaing. Seperti selalu, bila jalan berdua-duaan dengan Datuk, dia tidak pernah sunyi memberikan nasihat dan petua pada saya.

PERTEMUAN

Tiga hari kemudian, tanpa disangka-sangka saya terserempak dengan Wak Juno di depan dewan orang ramai.

Dia berhenti di situ kerana mempamerkan barang-barang dagangannya seperti tikar, tudung saji, bakul, nyiru dan lain-lain.

Ada sesuatu yang saya rasakan aneh pada Wak Juno.

Selalunya, dia lebih banyak bercakap tentang barang-barang yang dijualnya.

Ada waktunya, dia bercerita pengalaman pahitnya menentang tentera Belanda di Jawa Tengah, terutama di daerah Solo tetapi, kali ini dia menceritakan pengalamannya membawa Amjal Kamal.

Menurutnya, setelah Amjal Kamal naik kereta dengan ditemani oleh orang tua, dia terus memandu keretanya dengan tenang.

Sepanjang perjalanan, orang tua tersebut terus memandang wajah Amjal Kamal tanpa berkata apa-apa.

Cuma Amjal Kamal sahaja menjerit minta tolong dan ampun pada orang tua itu, seperti ada sesuatu yang dilakukan oleh orang tua itu ke tubuh Amjal Kamal, padahal anggota tubuh orang tua itu tidak bergerak.

Sesekali Amjal Kamal berjanji dan bersumpah tidak akan mengulangi perbuatannya yang lalu dan bersedia mahu bertaubat.

Setiap kali Amjal Kamal menjerit dia pasti akan terkencing. Akibat terlalu kerap menjerit dan kencing, bau air kencing itu bercampur dengan bau najis.

Anehnya, Wak Juno tidak dapat menyatakan perkara yang tidak disenanginya itu pada orang tua tersebut.

Setiap kali dia mahu bersuara, kerongkongnya seperti tersumbat. Macam ada sesuatu yang melekat di situ.

“Bila saya berhenti depan hospital, orang tua terus buka pintu dan keluar. Saya tengok dia bercakap sendiri seperti mengeluarkan perintah pada seseorang yang tiada di depannya”, Wak Juno bercerita sambil angkat tangan ke kanan dan ke kiri. Air liurnya mercik ke arah orang yang berada di depannya.

Saya bertambah minat untuk mendengarnya lalu duduk bersila di tepi dewan orang ramai.

“Selesai saja dia bercakap, saya lihat dua orang pekerja hospital bawa pengusung lalu mengangkat orang yang sakit ke bilik pemeriksaan”, lanjut Wak Juno, wajahnya nampak resah.

Dia renung kiri dan kanan. Bimbang kalau orang tua tersebut muncul cara mengejut. Dalam nada suara yang merendah, Wak Juno terus bersuara.

“Saya bersungut pada orang tua itu tentang keadaan kereta yang penuh dengan air kencing dan bau najis.

"Orang tua itu tersenyum lalu menumbuk pintu kereta belakang saya dua kali berturut-turut."

“Lepas tu apa yang jadi?” tanya seorang perempuan tua yang boleh dipanggil mak cik.

“Bau air kencing dan najis hilang, kereta saya kembali bersih.

"Orang tua itu bersalam dengan saya sambil menghulurkan wang. Saya tolak pemberiannya. Orang tua itu mengucapkan ribuan terima kasih. Dia hilang depan mata saya sendiri,” sambung Wak Juno.

Semua biji mata orang ramai yang berada di situ separuh terbeliak. Ramai di antara mereka yang menggelengkan kepala.

Di wajah mereka terbayang rasa takjub yang amat sangat.

Wak Juno mengakui peristiwa yang terjadi di depan matanya itu membuat dia cemas dan badannya menjadi seram sejuk. Akhirnya, dia menggeletar.

Wak Juno segera mencari pekerja hospital yang mengusung Amjal Kamal tadi.

Dengan diiringi pekerja hospital, Wak Juno dibawa ke wad Amjal Kamal ditempatkan. Pekerja hospital itu terkejut besar. Katil Amjal Kamal kosong.

“Ke mana dia pergi?” pekerja bertanya pada orang berdekatan.

“Tadi ada orang tua datang, beri dia minum segelas air," jawab orang yang ditanya.

“Lepas itu apa dah jadi?” desak pekerja hospital.

“Saya tengok si sakit terus baik dan minta ampun pada orang tua. Orang tua tu tampar mukanya sekali. Dia bangun dan terus keluar dari wad ini.”

“Orang tua tu pergi ke mana?” tanya Wak Juno.

“Dia hilang dengan sekelip mata saja.”

Pekerja hospital dan Wak Juno saling berpandangan.

Tanpa mengucapkan sesuatu, pekerja hospital meninggalkan Wak Juno sendirian di situ.

Beberapa minit kemudian Wak Juno pun meninggalkan wad tersebut dengan seribu keanehan yang berserabut dalam tempurung kepalanya.

“Sejak kejadian tu saya selalu rasa takut, bawa kereta seorang diri pun rasa cemas. Saya rasa macam ada orang yang ikut,” begitulah Wak Juno membongkar pengalamannya pada para pelanggannya.

"Sekarang ni awak ingat orang tua tu ada tak dekat sini?” satu pertanyaan nakal dari pelanggan Wak Juno.

Bukan pertanyaan yang ikhlas. Orang itu mempersendakan Wak Juno.

Sebagai orang yang kaya dengan pengalaman dan karenah kehidupan manusia, Wak Juno hanya tersenyum sahaja.

“Bagi orang yang tak pernah mengalaminya tentu tak mahu percaya, terpulanglah,” Wak Juno merendah diri.

Dia terus mengemaskan barang-barang dagangannya untuk dimuat ke dalam kereta.

MUNCUL

"Wak Juno”, jerit Udin Tarzan yang muncul secara tiba-tiba.

Keadaan diri Udin Tarzan kali ini agak berbeza dari apa yang pernah saya lihat. Bercakap agak sopan, tidak membanggakan diri.

Dari wajahnya, saya lihat dia sedang menghadapi tekanan perasaan yang amat sangat. Sentiasa resah dan cemas.

Kali ini Udin Tarzan memakai baju Melayu potongan Teluk Belanga warna merah jambu serta bersongkok lebai warna hijau.

Sekali pandang, memang dia nampak macam orang alim atau orang baik-baik.

Mungkin kerana jarang bertemu atau tidak pernah bertemu dengan orang yang menyebut namanya, membuat Wak Juno termenung sejenak seperti mengingati sesuatu.

“Ya, saya dah lupa, di mana kita pernah berjumpa? Apa khabar sekarang?”, Wak Juno hulurkan tangan pada Udin Tarzan.

Tetapi Udin Tarzan seperti keberatan untuk menyambut huluran tangan dari Wak Juno.

Akhirnya, Udin Tarzan terpaksa menyambutnya dengan perasaan separuh hati.

“Wak mungkin tak kenal dengan saya, tapi, saya kenal dengan Wak maklumlah Wak orang berdagang”, ujar Udin Tarzan.

Wak Juno terus mengedutkan dahinya.

“Saya ingat. Awak pernah cekak leher baju saya, awak tekan mata pisau belati ke leher saya, kemudian awak ambil duit jualan tikar saya, kira-kira dua ratus ringgit,” suara Wak Juno tersekat-sekat.

Tamat Siri Bercakap Dengan Jin 100/284

BACA: SBDJ Siri 99: Kaki Berbulu
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-Sentiasapanas.com

Petua Pisang Tahan Lama, Balut Tangkainya Dengan Plastik

Petua Pisang Tahan Lama, Balut Tangkainya Dengan Plastik

Semua sedia maklum, pisang mudah lebam jika dibiarkan selama beberapa hari dan pisang yang sudah terlalu masak memang sedap untuk dibuat kek atau jemput-jemput tapi, tidak semua orang suka makan pisang yang sudah lebam. Jadi, bagaimana caranya untuk mengekalkan kesegaran pisang dan memastikan ia tahan lebih lama?

Petua Pisang Tahan Lama

Pisang adalah antara buah yang mengeluarkan gas etilena iaitu sejenis hormon tumbuhan yang menyebabkan buah cepat masak.

Cara paling senang untuk mengekalkan kesegaran pisang adalah dengan membalut tangkainya dengan plastik untuk menghalang pembebasan gas etilena.

Jika plastik yang dibalut tidak ketat, ikat sekali lagi dengan menggunakan gelang getah di luar balutan plastik itu.

Selepas itu, masukkan pisang ke dalam peti sejuk untuk tahan lebih lama.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: mstar


9 Jenis Saka Yang Sering Mengganggu Manusia

9 Jenis Saka Yang Sering Mengganggu Manusia

Saka adalah satu perbuatan yang banyak diamalkan oleh masyarakat terdahulu, khususnya masyarakat Melayu, istilah yang merujuk kepada segolongan manusia yang mengadakan perjanjian dengan golongan jin untuk membantu manusia tersebut melaksanakan segala impiannya.

9 Jenis Saka

Antara makhluk halus yang selalu didampingi oleh masyarakat Melayu adalah hantu raya, pelesit, polong, toyol, hantu laut, bunian dan sebagainya.

Nama-nama tersebut adalah panggilan masyarakat Melayu sahaja dan tiada di dalam Al-Quran dan hadis mahupun rujukan muktabar yang lain.

JENIS-JENIS SAKA DALAM MASYARAKAT MELAYU

1. SAKA HANTU RAYA

Hantu Raya adalah makhluk halus yang digeruni dan ditakuti dalam masyarakat Melayu. Ia digambarkan sebagai hantu yang kuat dan gagah.

Hantu Raya dibela untuk mendapatkan kekuatan yang luar biasa seperti mengangkat dan memotong kayu balak dan berlawan seorang diri.

Selain itu, ia boleh diarahkan menjaga harta, kebun, tanah dan sebagainya. Jika ada orang mencuri, Hantu Raya akan menjelma sebagai lembaga hitam menyerupai tuannya.

Ia juga boleh diarahkan mengganggu orang seperti gangguan mimpi yang menakutkan atau dihempap ketika tidur, mendengar suara-suara ghaib, rasukan dan sebagainya.

Hantu Raya perlu diberi makan ketika sampai waktunya jika tidak akan mengganggu tuannya. Ia boleh menyebabkan kecederaan fizikal yang tidak boleh dikesan perubatan moden.

Selain itu, Hantu Raya boleh menyerupai tuannya dan menggauli isteri atau anak perempuan tuannya.

2. SAKA PELESIT

Pelesit adalah sejenis makhluk halus yang popular dalam masyarakat Melayu dan sering dikaitkan dengan wanita dan boleh dibela secara langsung atau tidak langsung.

Secara langsung bermaksud seseorang itu mempelajari ilmu tersebut dan diajar cara dan kaedah bagi memuja Pelesit. Pemujaan seperti membaca jampi serapah dan menyediakan sajian setiap minggu, bulan atau tahun.

Seorang wanita mengamalkan ilmu ini untuk penyeri muka atau pemanis muka agar kelihatan cantik walaupun sudah berusia. Kadangkala juga untuk menundukkan suami supaya mendengar kata dan tidak memandang wanita lain.

Mangsa pelesit biasanya wanita terutamanya yang sedang mengandung atau dalam berpantang.

Pelesit suka mengganggu bayi dan kanak-kanak yang lemah semangat dan biasanya akan menangis jika dikunjung oleh orang yang membela Pelesit.

Pelesit sering menjelma dalam bentuk belalang dan muncul ketika malam dan jika dicabut kepalanya ada rambut, itu bermaksud belalang Pelesit.

3. SAKA HARIMAU

Saka Harimau adalah gelaran makhluk halus yang dibela menyerupai harimau yang sering digunakan oleh orang-orang terdahulu untuk menjaga keturunan dan hartabenda seperti rumah, kebun, atau kampung.

Jika diceroboh, maka Saka Harimau akan menjelmakan diri bagi menakutkan penceroboh hingga ditangkap.

Selain itu, jika keturunan dikacau, Saka Harimau akan menjelmkan dirinya sehingga musuh lari ketakutan.

Dahulu, Saka Harimau digunakan untuk pengangkutan memandangkan sistem jalaraya tidak sistematik seperti sekarang.

Saka Harimau perlu diberi makan dan jika tidak diberi atau terlupa ia akan mengganggu. Makanannya adalah bertih beras, pucuk ubi dan lain-lain.

Kadang-kadang Saka Harimau meninggalkan tanda seperti kesan cakaran dicelah-celah tiang rumah atau pokok berdekatan.

Terdapat seorang pesakit menceritakan bahawa beliau ternampak beberapa ekor harimau bermain di laman rumah sahabatnya pada malam bulan terang.

4. SAKA BUAYA

Saka Buaya adalah gelaran makhluk halus yang membayangkan dirinya seekor buaya. Seseorang yang didampingi makhluk halus ini mempunyai kelebihan menjinakkan buaya dan mengawal buaya agar tidak mengganggu penduduk yang mencari ikan dan mandi di sesebuah kawasan.

Saka Buaya juga boleh digunakan untuk mencari mayat orang lemas atau mayat yang diserang buaya, sehingga buaya yang menyerang itu dapat dicari dan dibunuh.

Orang yang membela Saka Buaya biasanya mudah mendapat hasil tangkapan ikan.

Saka Buaya akan memberitahu di mana kawasan terdapat banyak ikan, namun walaupun mudah mendapat hasil tangkapan, kehidupan tetap susah.

Saka Buaya juga digunakan untuk perubatan dan menganiaya orang.

Pada suatu masa dahulu, Saka Buaya digunakan sebagai pengangkutan untuk menyeberangi sungai atau tasik hanya dengan menyeru dan memanggil sahaja.

5. SAKA BOMOH/SAKA PAWANG/SAKA URUT

Saka Bomoh atau Saka Pawang merujuk kepda makhluk halus yang diwarisi secara turun temurun untuk membantu tuannya merawat.

Mereka yang mewarisi Saka Bomoh mempunya kelebihan merawat pelbagai penyakit seperti kayap, kudis, terseliuh, tulang patah atau penyakit rohani berkaitan makhluk halus.

Kebolehan diperolehi daripada saka warisan atau kombinasi menuntut dan warisan.

Saka Bomoh kebiasanya keturunan bomoh dan pawang yang tidak menuntut sebarang ilmu perubatan atau kerohanian tetapi mendapat ilmu daripada mimpi.

Biasanya dalam mimipi tersebut berjumpa orang tua, pendekar atau datuk moyang yang mengajar ayat Al-Quran, zikir-zikir atau jampi serapah.

Semenjak itu, orang tersebut mempunyai kelebihan merawat atau mengurut.

Apabila hendak berubat, waris akan menyeru jin Saka Bomoh untuk berdamping dengannya lalu menguasai dirinya dan berubah perwatakan.

Tidak semua Saka Bomoh meresapi badan waris. Ada yang mengawal pengerakan mengurut dan memberitahu punca penyakit dan cara mengatasinya.

6. SAKA BIDAN

Bidan adalah pekerjaan yang penting dan dihormati dalam masyarakat disebabkan kepakarannya dan kemahirannya dalam hal perbidanan seperti kesihatan bayi dan ibu yang mengandung.

Menjadi amalan, ibu mengandung hendaklah mengikut pantang larang, peraturan, petua dan adat istiadat yang diadakan bagi memastikan keselamatan bayi dan ibu.

Antara adat yang terkenal adalah adat melenggang perut. Sekiranya tidak dilakukan akan memudaratkan ibu dan meyukarkan kelahiran serta untuk menghalau semangat atau gangguan jahat.

Bidan yang menyambut kelahiran bayi sering dikaitkan dengan ilmu tertentu yang digunakan untuk membantunya.

Biasanya keluarga akan mendapatkan khidmat Bidan untuk menyambut kelahiran bakal bayinya.

Jika terlupa persetujuan tersebut, kelahiran akan menjadi sukar kerana belaan atau Saka Bidan akan menahan kelahiran tersebut sehingga dipanggil khidmatnya.

Adalah tidak pelik jika kita mendengar seorang bidan mampu menyambut 4 hingga 5 kelahiran sehari seperti seolah-olah dirancang dan berjadual.

7. SAKA HANTU LAUT

Saka Hantu Laut adalah gelaran kepada jin yang dibela dan tinggal di laut dan persisiran pantai.

Saka Hantu Laut dibela untuk menjaga keselamatan di laut berkaitan cuaca, keadaan air dan memberikan amaran kepada tuannya tentang bahaya yang akan menimpa.

Selain itu, Saka Hantu Laut boleh memberitahu di mana lokasi ikan yang banyak kepada tuannya dan membantu menghalau ikan masuk ke dalam jaringnya.

Tidak mustahil jika ia mendapat tangkapan yang banyak berbanding rakan lain yang langsung tidak mendapat apa-apa.

8. SAKA PENDEKAR

Saka Pendekar adalah jin yang diambil dan dibela untuk seorang menjadi handal bersilat atau berlawan.

Selain itu, ia juga menjadikan seseorang itu disegani dan dihormati oleh kawan-kawan kerana gagah dan handal.

Orang yang mempunyai Saka Pendekar menjadi handal berlawan walaupun tidak belajar ilmu tersebut kerana segala pergerakan dikawal oleh makhluk halus.

Pernah terjadi pergaduhan melibatkan orang yang mempunyai Saka Pendekar berlawan 10 orang dalam pergaduhan.

Kesemua mereka tewas dalam pergaduhan tersebut dan apa yang menghairankan adalah, tetakan pada Saka Pendekar tersebut hanya meninggalkan bekas dan tidak berdarah.

Saka Pendekar biasanya digunakan untuk menjadikan pengamalnya menjadi kebal.

9. SAKA MENJAGA KETURUNAN

Saka Menjaga Keturunan berfungsi untuk menjaga keturunan ini daripada diganggu, dianiaya dan dikhianati oleh musuh dari golongan jin atau manusia.

Saka ini kadangkala menjelmakan dirinya dan dapat dilihat orang sekeliling seoalh-olah waris tersebut diiringi oleh seseorang yang berbadan tegap dan sasa samada dibelakang atau disebelahnya.

Sekiranya waris tersebut cuba disakiti, Saka Menjaga Keturunan akan menjelmakan diri dalam bentuk yang lebih menggerunkan dengan tujuan orang yang cuba berbuat khianat takut dan menjauhkan diri dari waris.

Wallahu a'lam.

BACA INI JUGA:

sumber: facebook

Amalan Khurafat Tanam ‘Ibu Duit’ Di Mekah

Amalan Khurafat Tanam ‘Ibu Duit’ Di Mekah

Perbuatan khurafat yang dilakukan oleh jemaah haji di Tanah Suci terutama ketika ibadat Masyair adalah perbuatan sia-sia, sebaliknya mereka perlu mengamalkan doa kepada Allah, kata Pengarah Operasi (Bimbingan) Lembaga Tabung Haji (TH), Tengku Aziz Raja Abdullah.

Ibu Duit Di Mekah
Contoh Ibu Duit.

Memberikan contoh, perbuatan khurafat seperti menanam wang untuk dijadikan ibu duit di Arafah bagi menambah rezeki adalah sia-sia kerana doa bagi memohon bertambah rezeki di Mekah terutama di hadapan Kaabah di Masjidil Haram dan ketika ibadat Masyair di Muzdalifah adalah mustajab.

"Orang kita buat (khurafat) nak kaya, bekerja nak naik pangkat, nelayan atau petani nak hasil banyak semua itu dia buat nak tambah rezeki, tetapi dalam hal ini kenapa buat khurafat sedangkan di sini kalau nak rezeki banyakkan doa dan ibadat seperti solat sunat duha kepada Allah.

"Masalah jemaah haji buat khurafat ini ada tetapi tidak ramai. Ada laporan (jemaah) ambil tali khemah, ambil kerak nasi, tanam duit, bawa duit pergi tawaf jadikan ibu duit. Semua itu buat kononnya nak kaya, kalau nak kaya doalah kepada Allah," katanya.

Ibadat Masyair bermula dengan wukuf di Arafah, berada seketika pada tengah malam di Muzdalifah, bermalam di Mina dan melontar di tiga Jamrah pada hari Tasyrik iaitu 11 hingga 13 Zulhijah.

Musim haji tahun ini menyaksikan 30,200 jemaah haji Malaysia bakal mengerjakan Rukun Islam kelima itu dibantu 640 petugas TH.

Khurafat yang dilakukan itu boleh membawa kepada perbuatan syirik kepada Allah, yang mana mereka yang melakukan syirik tidak akan dapat masuk syurga, justeru jemaah haji dinasihatkan supaya mengelakkan diri daripada melakukan perkara khurafat dan syirik.

Justeru, jemaah haji diminta meninggalkan perbuatan itu, bersama perbuatan dimurkai Allah lain seperti sihir, susuk dan saka sebelum mereka berangkat ke Tanah Suci dan fokus kepada ibadat serta doa mereka kepada Allah di sini.

Apabila sampai di Arafah, jemaah haji yang dalam keadaan ihram, mereka berada dalam keadaan keampunan Allah, maka penuhkan dengan ibadat.

Arafah adalah hari keampunan daripada Allah, yang mana Allah dekat dengan jemaah haji, malah malaikat akan aminkan doa kita.

Buatlah perancangan supaya diri penuh dengan amal ibadat dan tersusun. Hindari perbuatan seperti berselfie atau menghabiskan masa dengan sia-sia.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: malaysiakini

Kisah Kejatuhan Sultan Abdul Hamid II (1842 - 1918), Khalifah Terakhir Empayar Uthmaniyyah

Kisah Kejatuhan Sultan Abdul Hamid II (1842 - 1918), Khalifah Terakhir Empayar Uthmaniyyah

"Anakku, ayah melihat orang-orang di sini sudah mulai memuji paras rupa dan kecantikanmu. Maka mulai hari ini ayah ingin kamu mengenakan hijab dengan sempurna, kerana kamu sudah menjadi wanita dewasa sekarang."

Kejatuhan Sultan Abdul Hamid II

Ungkapan kata penuh kasih sayang itu dituturkan dengan suara lembut oleh Sultan Abdul Hamid II kepada anaknya Aishah saat mereka melintasi hadapan Masjid Hamidiye Yildiz yang terletak tidak jauh dari pintu masuk istananya.

Di hadapan masjid ini, terlalu banyak kisah yang memilukan hati menimpa diri dan keluarga Sultan.

Percubaan pembunuhan dengan meletakkan bom di dalam kereta kuda Sultan. Pengeboman itu terjadi selang beberapa saat seusai solat Jumaat.

Allah masih menghendaki Sultan Abdul Hamid tetap bertakhta memimpin umat. Usaha khianat untuk menamatkan nyawa orang nombor satu di dunia Islam itu telah gagal.

Di hadapan istana ini, Sultan sering melaksanakan solat dan keluar menemui rakyat yang selalu dekat di hatinya.

Di situ juga, Sultan sesekali menunggang kuda ditemani anaknya Aishah, sambil menitahkan erti pentingnya menegakkan syariah bagi muslimah.

Sejak saat itu anaknya mutahajibah (berhijab) sempurna, ini menandakan puterinya Aishah Osmanuglu telah memasuki usia aqil baligh.

Istana Yildiz yang diperbuat dari kayu ini adalah tempat tinggal pilihan Sultan Abdul Hamid II, setelah beliau meninggalkan segala bentuk kemewahan kaum keluarganya yang sebelum ini di Istana Dolmabahce.

Pembohongan Sejarah

Selepas menaiki takhta pada tahun 1876, Sultan Abdul Hamid II, telah melakukan pelbagai transformasi khususnya perundangan.

Baginda telah memperkenalkan Perlembagaan Baru dengan format Parlimen yang lebih tersusun dan semasa (First Constitution Era 1876-1877M).

Krisis antara baginda dan Midhat Pasha selaku Perdana Menteri ‘durjana’ yang sangat berkuasa, hutang negara yang begitu membebankan serta pelbagai masalah tempatan, ‘regional‘ dan antarabangsa meletakkan Sultan Abdul Hamid II dalam keadaan yang amat sukar untuk menyelamatkan Daulah Uthmaniah.

Namun, kebijakan beliau mendapatkan kerjasama Midhat Pasha, golongan Uthmaniah Muda (Young Ottoman) serta mengusir campur tangan Barat secara yang sangat diplomatik tetapi tegas, baginda berhasil menggerakkan momentum yang diperlukan.

Akan tetapi, peperangan yang tercetus antara Daulah Uthmaniah dan Rusia telah memaksa Sultan Abdul Hamid II tunduk dan menandatangani perjanjian San Stefano (Yesilkoy) pada tahun 1878. Situasi ini telah memburukkan keadaan.

Rusia memperoleh banyak wilayah di timur Anatolia, juga penyerahan daerah-daerah Aegean kepada Bulgaria, kuasa autonomi buat Bosnia Herzegovina dan terlepasnya Serbia daripada wilayah Uthmaniah, baginda berada dalam keadaan yang amat tertekan.

Pada masa itulah Sultan Abdul Hamid II telah bertindak menggantung Parlimen, dengan tujuan meningkatkan efisyensi ‘chain of command‘ yang sangat sukar dicapai melalui persidangan yang caca merba.

Tindakan baginda menggantung Parlimen itulah titik penting yang menyebabkan Sultan Abdul Hamid II difitnah sebagai DIKTATOR, SULTAN MERAH, OTOKRATIS dan pelbagai gelaran yang seumpama dengannya.

Benarkah beliau seorang diktator?

Sultan Abdul Hamid II berlapang dada dengan kecaman itu. Baginda seperti memekakkan telinga terhadapnya.

Sultan Abdul Hamid II bertegas melakukan satu demi satu transformasi dengan melancarkan kempen Pan Islamism ke seluruh dunia Islam, menjayakan projek keretapi Hijaz serta berusaha menyelamatkan Palestin daripada konspirasi Zionis dan pelbagai tindakan yang kelihatannya seperti ‘one man show‘.

Di keliling Sultan Abdul Hamid II ada ramai pengkhianat termasuk Midhat Pasha sendiri.

Oleh itu, Sultan Abdul Hamid II banyak bertindak berpandukan maklumat-maklumat keselamatan peribadi yang tidak diketahui umum.

Tetapi Sultan Abdul Hamid II masih berterusan mendapatkan pandangan pelbagai pihak yang diyakininya boleh membantu.

Pembacaan secara menyeluruh terhadap sikap Sultan Abdul Hamid II akan memahamkan kepada kita bahawa Baginda bukan seorang diktator, apatah lagi dengan berulang kali pendakwa hanya berhujah pada tindakan menggantung Parlimen itu tadi.

Selama berpuluh tahun selepas mangkatnya baginda, masyarakat menerima bulat-bulat tuduhan yang dilemparkan terhadap Sultan Abdul Hamid II hingga buku-buku sejarah di negara kita juga turut memetik baginda sebagai seorang diktator.

Hanya selepas diari beliau (Muzakkirat) ditemui, dikaji bersama surat-menyurat antara beliau semasa dalam buangan di Salonika dengan murabbinya, dan analisis dokumen lanjutan yang dibuat terhadap polisi-polisi Sultan Abdul Hamid II, kita menginsafi betapa ada kalanya seorang pemimpin terpaksa bertindak seperti tindakan Sultan Abdul Hamid II.

Jika kita hanya ada satu pengertian terhadap diktator dan otokratik, bagaimana kita menafsirkan Rasulullah SAW yang kuasa legislatif, eksekutif dan kehakiman, kesemuanya berada di tangan baginda? Adakah Muhammad itu seorang diktator?

“Aku yakin yang ahli sejarah akan membelaku. Seandainya ahli sejarah Turki tidak melakukannya sekali pun, aku pasti akan ada ahli sejarah luar yang akan menegakkan keadilan buatku,” Sultan Abdul Hamid II menulis suara hatinya ketika di pembuangan di Salonika, Greece.

Rahmat Allah ke atas Sultan Abdul Hamid II dan semoga Allah membantu pemimpin-pemimpin kita yang dimomok sebagai ‘diktator’.

Kelahiran

Sultan Abdul Hamid II, lahir pada hari Rabu, 21 September 1842. Dengan nama lengkapnya, Abdul Hamid Khan II bin Abdul Majid Khan. Sultan adalah putera Abdul Majid dari isteri kedua beliau.

Ibunya meninggal saat Abdul Hamid berusia 7 tahun. Sultan menguasai bahasa Turki, Arab, dan Parsi. Gemar membaca dan bersyair.

Sebelumnya, kekhalifahan dipimpin bapa saudaranya iaitu Abdul Aziz yang berkuasa cukup lama.

Sultan Abdul Aziz digulingkan kemudian dibunuh oleh musuh politik Khilafah Utsmaniyyah. Khalifah setelah Abdul Aziz adalah Sultan Murad V, putera Abdul Aziz.

Namun, kekuasaannya tidak berlangsung lama dan digulingkan setelah 93 hari berkuasa kerana dianggap tidak berupaya menjadi khalifah.

Sultan Abdul Aziz mewarisi negara dalam keadaan hiruk pikuk dan tidak terurus. Tunggakkan hutang luar negara, parlimen yang tidak berfungsi, campur tangan asing di dalam negeri, tarik menarik antara pelbagai kepentingan Dewan Negara dan Dewan Menteri serta para ahli politik yang korup.

Pada 14 Ogos 1876 (1293 H), Sultan Abdul Hamid dibai'at sebagai Khalifah. Saat itu usianya 34 tahun.

Dia menyedari bahawa pembunuhan bapa saudaranya serta perubahan-perubahan kekuasaan yang terjadi saat itu merupakan konspirasi global melawan Khilafah Islamiyah.

Namun, Sultan Abdul Hamid II dapat menjalankan pemerintahannya dengan baik, sering berbicara dengan pelbagai lapisan masyarakat, baik kalangan ahli politik, intelektual, rakyat jelata mahupun dari kelompok-kelompok yang kurang disukainya (lihat Shaw, 1977:212).

Kebijaksanaannya mengurusi urusan seluruh kaum Muslimin membuatkan dia semakin popular. Namanya sering disebut dalam doa-doa di setiap solat Jumaat di seantero bumi.

Sokongan padu kaum Muslimin dan kesetiaan mereka terhadap Sultan Abdul Hamid II ini berhasil mengurangi tekanan Eropah terhadap Utsmaniyyah.

Abdul Hamid mengembangkan amanah dengan memimpin sebuah kerajaan yang luasnya membentang dari timur dan barat.

Di tengah situasi negara yang genting dan kritis, beliau menghabiskan 30 tahun kekuasaannya sebagai Khalifah dengan dikelilingi konspirasi, mehnah, fitnah dari dalam negeri sementara dari luar negeri ada perang, revolusi dan ancaman globalisasi serta tuntutan pelbagai perubahan yang senantiasa terjadi.

Termasuk usaha jahat yang sistematik yang dilakukan kaum Yahudi untuk mendapatkan tempat tinggal tetap di tanah Palestin yang masih menjadi sebahagian dari wilayah kekhalifahan Utsmaniyyah.

Pelbagai langkah dan strategi dilancarkan oleh kaum Yahudi untuk menembus dinding khilafah Utsmaniyyah, agar mereka dapat memasuki Palestin.

Usaha Jahat Yahudi

Pertama, pada tahun 1892, sekelompok Yahudi Rusia mengajukan permohonan kepada Sultan Abdul Hamid, untuk mendapatkan keizinan tinggal di Palestin.

Permohonan itu dijawab Sultan dengan ucapan, "Pemerintan Ustmaniyyah memaklumkan kepada seluruh kaum Yahudi yang ingin hijrah ke Turki, bahawa mereka tidak akan diizinkan menetap di Palestin", mendengar jawapan seperti itu kaum Yahudi amat kecewa, sehingga duta besar Amerika turut campur tangan.

Kedua, Theodor Hertzl, penulis Der Judenstaat (Negara Yahudi), pengasas negara Israel sekarang, pada tahun 1896 memberanikan diri menemui Sultan Abdul Hamid sambil meminta izin mendirikan perniagaan di al Quds.

Permohonan itu dijawab Sultan:

"Sesungguhnya jajahan Utsmani ini adalah milik rakyatnya. Mereka tidak akan menyetujui permintaan itu. Sebab itu simpanlah kekayaan kalian itu dalam kantung kalian sendiri".

Melihat keteguhan Sultan, mereka kemudian membuat strategi ketiga, iaitu melakukan Konferensi Basel di Switzerland, pada 29-31 Ogos 1897 dalam rangka merumuskan strategi baru menghancurkan Khilafah Ustmaniyyah.

Oleh kerana peranan dan aktiviti Yahudi Zionis yang terlalu mendesak dan semakin menjadi-jadi, akhirnya Sultan pada tahun 1900 mengeluarkan keputusan pelarangan atas rombongan penziarah Yahudi di Palestin untuk tinggal di sana lebih dari tiga bulan, pasport Yahudi harus diserahkan kepada petugas khilafah yang berkaitan.

Dan pada tahun 1901 Sultan mengeluarkan keputusan mengharamkan penjualan tanah kepada Yahudi di Palestin.

Pada tahun 1902, Hertzl untuk kesekian kalinya mengadap Sultan Abdul Hamid untuk melakukan penyogokan (rasuah).

Di antara sogokan yang Hertzl tawarkan kepada Sultan adalah:
  1. 150 juta pound sterling Inggeris khusus untuk Sultan.
  2. Membayar semua hutang pemerintah Ustmaniyyah yang mencapai 33 juta pound sterling Inggeris.
  3. Membangun kapal induk untuk pemerintah, dengan biaya 120 juta Frank.
  4. Memberi pinjaman 5 juta pound sterling tanpa bunga.
  5. Membangunkan Universiti Ustmaniyyah di Palestin.

Semuanya ditolak, bahkan Sultan tidak mahu menemui Hertzl, diwakilkan kepada Tahsin Basya, Perdana Menterinya, sambil menberikan pesanan:

"Nasihati Mr Hertzl agar jangan meneruskan rancangnya. Aku tidak akan melepaskan walaupun sejengkal tanah ini (Palestin), kerana ia bukan milikku. Tanah itu adalah hak umat Islam. Umat Islam telah berjihad demi kepentingan tanah ini dan mereka telah menyiraminya dengan darah mereka. Yahudi silakan menyimpan harta mereka. Jika Khilafah Utsmaniyah dimusnahkan pada suatu hari, maka mereka boleh mengambil Palestin tanpa membayar harganya. Akan tetapi, sementara aku masih hidup, aku lebih rela menusukkan pedang ke tubuhku daripada melihat Tanah Palestin dikhianati dan dipisahkan dari Khilafah Islamiyah. Perpisahan adalah sesuatu yang tidak akan terjadi. Aku tidak akan memulai pemisahan tubuh kami selagi kami masih hidup."

Sejak saat itu kaum Yahudi dengan Zionisme melancarkan gerakan untuk menumbangkan Sultan.

Dengan menggunakan pelbagai kempen dan istilah seperti "liberation", "freedom", dan sebagainya, mereka menyebut pemerintahan Abdul Hamid II sebagai "Hamidian Absolutism" dan sebagainya.

"Sesungguhnya aku tahu, bahawa nasibku semakin terancam. Boleh saja aku berhijrah ke Eropah untuk menyelamatkan diri. Tetapi untuk apa?

"Aku adalah Khalifah yang bertanggungjawab atas umat ini. Tempatku adalah di sini. Di Istanbul!"

Tetamu Tidak Diundang

Pada malam 27 April 1909, Sultan Abdul Hamid dan keluarganya didatangi beberapa orang tetamu yang tidak di undang.

Kedatangan mereka ke Istana Yildiz menjadi catatan sejarah yang tidak akan pernah dilupakan, datang atas nama perwakilan 240 anggota Parlimen Utsmaniyyah-di bawah tekanan dari Turki Muda-yang setuju penggulingan Abdul Hamid II dari kekuasaannya.

Senator Sheikh Hamdi Afandi Mali mengeluarkan fatwa tentang penggulingan tersebut dan akhirnya dipersetujui oleh anggota senat yang lain.

Fatwa tersebut didapati sangat aneh dan setiap orang pasti mengetahui perjuangan Abdul Hamid II bahawa fatwa tersebut bertentangan dengan realiti sebenar yang berlaku di Turki dan empayar kerajaan Islam.

Keempat utusan itu adalah Emmanuel Carasso, seorang Yahudi warga Itali dan wakil rakyat Salonika (Thessaloniki) di Parlimen Utsmaniyyah (Meclis-i Mebusan) melangkah masuk ke istana Yildiz.

Turut bersamanya adalah Aram Efendi, wakil rakyat Armenia, Laz Arif Hikmet Pasha, anggota Dewan Senat yang juga panglima Ketenteraan Utsmaniyyah, serta Arnavut Esat Toptani, wakil rakyat daerah Daraj di Meclis-i Mebusan.

"Bukankah pada waktu seperti ini adalah masa di mana aku harus menunaikan kewajibanku terhadap keluargaku. Tidak bolehkah kalian bicarakan masalah ini esok pagi?"

Sultan Abdul Hamid tidak selesa menerima kedatangan mereka yang kelihatannya begitu tiba-tiba dan mendesak. Tidak ada simpati di raut wajah mereka.

"Negara telah memecat Anda!"

Esat Pasha memberitahu kedatangannya dengan nada angkuh. Kemudian satu persatu wajah anggota rombongan itu diperhatikan dengan saksama oleh Sultan.

"Negara telah memecatku, itu tidak ada masalah, tetapi kenapa kalian membawa bersama Yahudi ini masuk ke tempatku?"

Secara spontan Sultan murka yang amat sangat sambil menudingkan jarinya kepada Emmanuel Carasso.

Sultan Abdul Hamid memang kenal benar siapa Emmanuel Carasso itu. Dialah yang bersekongkol bersama Theodor Herzl ketika ingin mendapatkan keizinan menempatkan Yahudi di Palestin.

Mereka menawarkan pembelian ladang milik Sultan Abdul Hamid di Sancak Palestin sebagai tempat pemukiman Yahudi di Tanah Suci itu.

Sultan Abdul Hamid menolaknya dengan tegas, termasuk alternatif mereka yang mahu menyewa tanah itu selama 99 tahun.

Pendirian tegas Sultan Abdul Hamid untuk tidak mengizinkan Yahudi bermukim di Palestin, telah menyebabkan Yahudi sedunia mengamuk.

Harganya terlalu mahal. Sultan Abdul Hamid kehilangan takhta dan Khilafah disembelih agar tamat riwayatnya.

Jelas terlihat bahawa saat tersebut adalah pembalasan paling dinanti oleh Yahudi, di mana Abdul Hamid II yang telah menolak menjual Palestin pada mereka, telah mereka tunjukkan di depan muka Abdul Hamid II sendiri bahawa mereka turut serta dalam penggulingannya dari kekuasaan.

Mendung menyeluputi wajah Abdul Hamid II dan wajah Khilafah Islamiyah.

"Sesungguhnya aku sendiri tidak tahu, siapakah sebenarnya yang memilih mereka ini untuk menyampaikan berita penggulinganku malam itu."

Sultan Abdul Hamid meluapkan derita hatinya di dalam catatan hariannya. Perancangan menggulingkan Sultan sebenarnya sudah dilaksanakan lama sebelum malam itu.

Beberapa Jumaat sebelum peristiwa hitam itu, nama Sultan sudah tidak disebut lagi di dalam khutbah-khutbah.

"Walaupun anda dipecat, kelangsungan hidup anda berada dalam jaminan kami," Esat Pasha menyambung pembicaraan.

Sultan Abdul Hamid memandang wajah puteranya Abdul Rahim, serta puterinya yang terpaksa menyaksikan pengkhianatan terhadap dirinya.

Malang sungguh anak-anak ini terpaksa menyaksikan kejadian yang memilukan malam itu.

"Bawa adik-adikmu ke dalam," Sultan Abdul Hamid menyuruh Amir Abdul Rahim membawa adik-adiknya ke dalam kamar.

"Aku tidak membantah keputusanmu. Cuma satu hal yang kuharapkan. Izinkanlah aku bersama keluargaku tinggal di istana Caragan. Anak-anakku ramai. Mereka masih kecil dan aku sebagai ayah perlu menyekolahkan mereka."

Sultan Abdul Hamid meminta pertimbangan. Sultan sedar tidak ada gunanya membantah keputusan yang dibawa rombongan itu. Itulah kerisauan terakhir Sultan Abdul Hamid.

Membayangkan masa depan anak-anaknya yang ramai. Sembilan lelaki dan tujuh perempuan. Permintaan Sultan Abdul Hamid ditolak mentah-mentah oleh keempat orang itu.

Malam itu juga, Sultan bersama para anggota keluarganya dengan hanya mengenakan pakaian yang di pakai pada malam tersebut di angkut di tengah gelap gelita menuju ke stesen kereta api Sirkeci.

Mereka diusir pergi meninggalkan bumi Khilafah, ke istana milik Yahudi di Salonika, tempat pengasingan negara sebelum seluruh khalifah dimusnahkan di tangan musuh Allah.

Khalifah terakhir umat Islam dan keluarganya itu dibuang ke Salonika, Yunani.

Angin lesu bertiup bersama gerimis salju di malam itu. Pohon-pohon yang tinggal rangka, seakan turut sedih mengiringi tragedi memilukan itu.

Di Eminonu, terlihat Galata di seberang teluk sedih. Bukit itu pernah menyaksikan kegemilangan Sultan Muhammad al-Fatih dan tenteranya yang telah menarik 70 kapal menyeberangi bukit itu dalam tempoh satu malam.

Mereka menerobos teluk Bosphorus yang telah dirantai pintu masuknya oleh Kaisar Constantinople. Sejarah itu sejarah gemilang. Tidak akan pernah hilang.

Terhadap peristiwa pemecatannya, Sultan Abdul Hamid II mengungkap kegundahan hatinya yang dituangkan dalam surat kepada salah seorang gurunya Syekh Mahmud Abu Shamad yang berbunyi:

"...Saya meninggalkan kekhalifahan bukan kerana suatu sebab tertentu, melainkan kerana tipu daya dengan pelbagai tekanan dan ancaman dari para tokoh Organisasi Persatuan yang dikenali dengan sebutan Cun Turk (Jeune Turk), sehingga dengan berat hati dan terpaksa saya meninggalkan kekhalifahan itu.

"Sebelumnya, organisasi ini telah mendesak saya berulang-ulang agar menyetujui dibentuknya sebuah negara nasional bagi bangsa Yahudi di Palestin.

"Saya tetap tidak menyetujui permohonan tersebut yang datang bertubi-tubi tanpa ada rasa malu. Akhirnya mereka menjanjikan wang sebesar 150 juta pounsterling emas. Saya tetap dengan tegas menolak tawaran itu.

Saya menjawab dengan mengatakan, "Seandainya kalian membayar dengan seluruh isi bumi ini, aku tidak akan menerima tawaran itu. Tiga puluh tahun lebih aku hidup mengabdi kepada kaum Muslimin dan kepada Islam itu sendiri.

"Aku tidak akan mencoreng lembaran sejarah Islam yang telah dirintis oleh nenek moyangku, para Sultan dan Khalifah Uthmaniah. Sekali lagi aku tidak akan menerima tawaran kalian."

Setelah mendengar dan mengetahui sikap dari jawapan saya itu, mereka dengan kekuatan gerakan rahsianya memaksa saya meninggalkan kekhalifahan dan mengancam akan mengasingkan saya di Salonika.

"Maka terpaksa saya menerima keputusan itu daripada menyetujui permintaan mereka. Saya banyak bersyukur kepada Allah, kerana saya menolak untuk mencoreng Daulah Uthmaniah dan dunia Islam pada umumnya dengan noda abadi yang diakibatkan oleh berdirinya negeri Yahudi di tanah Palestin. Biarlah semua berlalu.

"Saya tidak bosan mengulang rasa syukur kepada Allah Ta'ala, yang telah menyelamatkan kita dari aib besar itu.

"Saya rasa cukup di sini apa yang perlu saya sampaikan dan sudilah anda dan segenap ikhwan menerima salam hormat saya. Guruku yang mulia. mungkin sudah terlalu banyak yang saya sampaikan.

"Harapan saya, semoga anda beserta jama'ah yang anda dapat memaklumi semua itu. Wassalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh."

~22 September 1909. Pelayan Kaum Muslimin (Abdul Hamid bin Abdul Majid)

Deru langkah tentara kedengaran melangkah menuju istana. Meriam ditembakkan sebagai tanda Sultan Mehmed V dinobatkan menjadi penguasa Utsmaniyyah.

Rasmilah malam itu Sultan Mehmed V menjadi Khalifah ke 99 umat Islam sejak Abu Bakr al-Siddiq ra.

Tetapi khalifah yang satu ini sudah tidak memiliki kekuasaan apa-apa. Hanya boneka pengumpan yang hanya akan mempercepatkan pemberontakan untuk pembubaran Khilafah Utsmaniyyah.

"Entahlah, di saat hidup dan matiku tidak menentu, aku merasa begitu tenang dan aman. Seperti sebuah gunung besar yang selama ini mengendap di dadaku, ketika diangkat terasa lega!" keluh Sultan Abdul Hamid Sultan Abdul Hamid mengusap kepala anaknya Abdul Rahim yang menangis ketakutan. Anak-anaknya yang lain turut menangis.

Perjalanan dari Sirkeci Istanbul menuju ke Salonika Yunani penuh misteri.

"Sabarlah anak-anakku. Jika Allah mengkehendaki kematian bagi kita, bukankah kematian itu kesudahan untuk semua."

Sultan Abdul Hamid memberi motivasi kepada seluruh kerabatnya saat keretapi sedang meluncur laju. Bumi khilafah ditinggalkan di belakang. Sejarah kegemilangan 600 tahun Bani Utsman, berakhir malam itu.

Balutan hitam yang mustahil untuk diputihkan kembali. Di tengah suasana malam yang sejuk, Sultan Abdul Hamid II melunjurkan kakinya di atas bangku kereta api sambil dipicit-picit oleh anaknya Fatimah.

"Sabarlah anakku, negara tidak tahu apa yang telah mereka lakukan kepada umat Muhammad ini."

Sultan mengusap wajahnya yang berlinangan air mata. Terlalu lama Sultan dan keluarganya dikurung di istana milik Yahudi itu.

Mereka dikurung dalam kamar tanpa perabot sama sekali. Pintu dan jendela dilarang dibuka. Hari demi hari, adalah penantian kematian sebelum mati bagi Sultan dan keluarganya.

Akhirnya, pada tahun 1912, Sultan Abdul Hamid dihantar pulang ke Istanbul, akan tetapi anak-anaknya dipisah-pisahkan, bercerai berai. Dibuang ke Perancis menjadi pengemis yang hidup meminta-minta di lorong jalan.

Keadaan semasa di pembuangan Salonika atau di istana tua Beylerbeyi Istanbul sama saja bahkan lebih teruk.

Sultan dan beberapa anggota keluarganya yang masih tinggal tidak dibenarkan keluar sama sekali hatta sekadar pergi ke perkarangan istana kecuali untuk solat Jumaat di luar istana, tentunya dengan penjagaan yang amat ketat.

Makanan untuk Sultan dan putera puterinya disukat sedemikian rupa, dengan kualiti makanan yang sangat rendah bahkan seluruh hartanya dirampas habis oleh tentera Ataturk.

Hari-hari yang dilalui Sultan dalam pembuangan dan pengasingan sangat menyedihkan. Dia dan keluarganya sentiasa diancam akan dibunuh, istana tua itu akan diledakkan.

Pada suatu pagi selesai solat Subuh, Sultan memanggil puteranya, Abdul Rahman. Dialah ahli waris terpenting setelah ketiadaan Sultan nanti.

"Kita akan memberikan semua harta kita kepada pihak tentera kerana mereka memaksa kita menyerahkannya," keluh Sultan kepada Abdul Rahman dengan nada sedih.

Puteranya itu menangis teresak hebat. Dia menjadi amat takut dengan para tentera yang bengis itu.

Beberapa hari kemudian di lobi Deutche Bank, Istanbul, terjadi peristiwa penyerahan secara paksa semua harta Sultan, termasuk seluruh simpanan Sultan kepada pihak tentera.

Sultan tinggal di istana tua sebagai penjara di Beylerbeyi selama 6 tahun dalam situasi yang sangat mengaibkan.

Tubuh kurus kering dan mengidap penyakit paru-paru yang semakin parah. Sultan benar-benar dikuarantin dari dunia luar, sehinggakan untuk mengubati penyakit disukarkan oleh pihak tentera.

"Maafkan saya Tuanku. Mereka tidak mengizinkan saya untuk hadir lebih awal," doktor yang merawat Sultan Abdul Hamid sambil berbisik.

Nafas Sultan Abdul Hamid turun naik. Penyakit asmanya semakin serius. Doktor sudah tidak dapat berbuat apa-apa lagi.

Empayar Turki Uthmaniyah

Empayar Turki Uthmaniyah (Ottoman Empire) bertahan selama 623 tahun dari 1299 hinggalah 1922, menguasai kawasan yang sangat luas di sekitar Laut Mediterranean.

Pada masa yang berlainan ketika kewujudannya selama lebih 6 abad, empayar ini pernah menguasai kawasan di sepanjang Lembah Sungai Nil dan Pantai Laut Merah.

Kuasanya juga tersebar di utara ke Eropah, hanya terhenti kerana mereka gagal menakluki Vienna. Ke barat daya, pengaruh Empayar Uthmaniyah turut sampai sejauh Morocco.

Penaklukan oleh Empayar Uthmaniyah mencapai kemuncak pada sekitar tahun 1700, pada ketika pengaruh empayar meliputi kawasan yang paling luas sepanjang kewujudannya.

Fakta Ringkas Tentang Empayar Turki Uthmaniyah
  • Diasaskan pada tahun 1299.
  • Penaklukan diganggu oleh Timur the Lame (Tamerlane) - 1402 hingga 1414.
  • Kesultanan Uthmaniyah dihapuskan pada November 1922.
  • Bahasa Rasmi: Turki.
  • Bahasa Minoriti: Albania, Arab, Assyria, Bulgaria, Croatia, Jerman, Greek, Hebrew, Itali, Kurdish, Parsi, Somali dan lain-lain.
  • Bentuk Kerajaan: Kerajaan Berkalifah. Kuasa sekular dipegang oleh Sultan, yang menerima nasihat daripada seorang wazir utama. Kuasa berkaitan agama terletak pada Khalifah.
  • Agama Rasmi: Islam Sunni.
  • Ibu Negeri: Sogut (1302-1326), Bursa (1326-1365), Edirne (1365-1452), Constantinople (kini Istanbul: 1453-1922).
  • Kawasan Taklukan Ketika Kemuncak: sekitar 5.2 juta kilometer persegi iaitu pada tahun 1700. Antara negara yang dikuasai termasuklah Greece, Bulgaria, Mesir, Hungary, Macedonia, Romania, Jordan, Palestin, Lubnan, Syria, sebahagian tanah Arab dan sebahagian benua Afrika.
  • Populasi: Dianggarkan lebih daripada 35 juta pada tahun 1856. Menurun kepada 24 juta ketika Perang Dunia Pertama akibat kematian.

Wafatnya Pemerintah Islam Terakhir

Sultan Abdul Hamid II menghembuskan nafas terakhir dalam penjara Beylerbeyi pada 10 Februari, 1918.

Pemergiannya diratapi seluruh penduduk Istanbul kerana mereka sudah sedar, akibat kebodohan membiarkan Khalifah Utsmaniyyah dilumpuhkan setelah pelucutan jabatan khilafahnya, 10 tahun yang lalu.

Menangislah. Tiada sejarah yang mampu memadamkan penyesalan itu. Wa Islama!

BACA INI JUGA:

sumber: 1 | 2

Thursday, August 08, 2019

Lindsay Lohan Bercinta Dengan Putera Mahkota Arab Saudi?

Lindsay Lohan Bercinta Dengan Putera Mahkota Arab Saudi?

Hangat saat ini diperkatakan tentang khabar angin yang tersebar mengatakan Putera Mohamed Arab Saudi telah menjemput Lindsay Lohan terbang bersama menggunakan jet peribadi dan memberi hadiah mahal termasuk kad kredit.

Lindsay Lohan and Putera Mahkota Arab Saudi

Rakan-rakan Lindsay Lohan turut mendedahkan mereka ada melihat mesej perbualan di antaranya dengan Putera Mohammed dan dilaporkan perbualan itu bersahaja seperti kawan baik.

Salah seorang saudara Lindsay Lohan yang tidak mahu mendedahkan namanya berkata, Lindsay hanya pernah bertemu dengan Putera Mohamad sekali pada perlumbaan Grand Prix Formula 1 tahun 2018 lepas.

Malah, dia turut menafikan Lindsay Lohan ada menerima kad kredit daripada Putera Mohamed.

Lindsay Lohan turut dilaporkan berhasrat untuk menerbitkan filem tahun 2018 lepas bertajuk “Frame” yang hanya dilakonkan semua wanita dalam memperkenalkan budaya Arab Saudi di dalam filemnya termasuklah pemilihan sukan untuk wanita Arab.

Sebelum ini Lindsay Lohan pernah dikaitkan dengan usahawan Rusia, Egor Tarabasov, kemudiannya berpisah pada 2016.

Selepas itu, Lindsay Lohan menjalinkan hubungan dengan usahawan hotel, Vikram Chatwal.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: fmt

Wednesday, August 07, 2019

4 Negara Dengan Udara Paling Bersih Di Dunia 2019

4 Negara Dengan Udara Paling Bersih Di Dunia 2019

Jika anda sudah penat dengan kesibukan kota yang penuh dengan pencemaran udara mungkin sudah tiba masanya untuk bercuti bagi menghirup udara segar di negara orang.

Tapi, sebelum nak melancong tu apa kata baca dahulu kajian yang dilakukan oleh Universiti Yale tentang kualiti udara di beberapa negara yang mungkin akan mengejutkan anda.

1. Australia

Weindorfers Forest, Cradle Mountain, Tasmania
Weindorfers Forest, Cradle Mountain, Tasmania.

Menurut laporan itu, Australia adalah negara yang mempunyai udara paling bersih di dunia.

Bandar Hobart di Tasmania pula paling bersih dan ia lokasi sesuai untuk diterokai jika ke Australia memandangkan ia terletak di pelabuhan serta diapit oleh bukit yang cukup indah untuk Instagram anda.

Ia juga mempunyai pantai yang indah selain lokasi paling ideal untuk merasai makanan laut segar.

2. Kanada

Amazing Canada

Tidak hairan Kanada dikenali dengan aktiviti luar kerana kualiti udaranya yang bersih dapat memberikan anda ketenangan selain berasa lebih sihat walaupun seharian berada di luar.

Malah jika ke Vancouver, Kanada pada musim sejuk terdapat beberapa lokasi menarik yang tidak jauh daripada bandar untuk bermain ski atau salji.

3. Amerika Syarikat

Amazing Portland, Oregon
Portland, Oregon.

New York dan Los Angeles mungkin tidak mempunyai udara paling segar, namun Portland di Oregon adalah destinasi yang perlu dikunjungi sekiranya berpeluang melancong ke Amerika.

Portland bukan sahaja mempunyai kualiti udara segar malah ia dipenuhi hutan merah yang cukup indah.

4. Jepun

Fushimi Inari Taisha shrine, Fushimi, Kyoto
Fushimi Inari Taisha shrine, Fushimi, Kyoto.

Ia bukan sesuatu yang pelik apabila Jepun berada dalam senarai ini malah negara matahari terbit itu sentiasa menjadi pilihan pelancong dan penggembara.

Terlalu banyak perkara menarik di Jepun dan Kyoto antara destinasi menarik apabila anda boleh menyusuri bandarnya yang penuh dengan kehijauan, selain istana lama dan rumah kayu.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: mstar

Tuesday, August 06, 2019

SBDJ Siri 99: Kaki Berbulu

SBDJ Siri 99: Kaki Berbulu

Dalam irama pembacaan ayat-ayat suci itu, saya terdengar bunyi orang menumbuk padi dan berpantun. Terdengar kokok ayam dan hidung saya terbau nasi dan bau gulai. Saya dapati diri saya bagaikan berada di tengah-tengah sebuah perkampungan yang jumlah penghuninya bukan sedikit.

Toyol jadi-jadian

Para penduduk sentiasa sibuk dan rajin berusaha. Taat pada perintah Allah. Semua yang saya rasakan itu tidak dapat saya lihat dengan mata kasar.

"Beberapa orang anak-anak cucu aku patah kaki dan tangan, luka akibat perbuatan orang-orang yang kau ajak berjudi di sini", tambah Agam.

Sebaik sahaja Agam selesai bercakap terdengar suara budak-budak menangis menahan kesakitan.

"Kamu sihir aku", bantah Amjal Kamal.

"Tidak, kami makhluk Allah seperti kamu, kami minta sesuatu dari Allah", suara Agam lemah.

"Bohong", sergah Amjal Kamal.

"Ya, aku buktikan lihat sekarang", Agam meluruskan jari telunjuknya ke sebelah kanan.

"Ajaib sungguh", keluh saya dalam hati.

Najib tidak berkata apa-apa. Amjal Kamal bagaikan terpegun melihat apa yang wujud di depan matanya. Semuanya terjadi tanpa diduga.

Saya gosok kelopak mata dua tiga kali hingga terasa pedih. Bagaikan mimpi rasanya, melihat sebuah perkampungan yang besar, lengkap dengan masjid dan rumah yang bentuknya seperti rumah orang-orang Melayu, berdinding tepas dan beratapkan rumbia.

Keliling kawasan rumah terdapat pokok pisang, cabai dan terung. Binatang ternakan seperti ayam, itik dan kerbau.

Para penghuni kampung tersebut, kebanyakannya berkulit cerah. Sama ada lelaki atau perempuan, bentuk tubuh mereka besar dan tinggi. Sukar untuk mencari yang rendah.

Pada hemat saya, rata-rata mereka berukuran sekitar lima kaki sepuluh inci atau lebih. Mereka nampak ramah sekali.

Kanak-kanak yang berusia sekitar enam tahun, berkumpul di surau belajar membaca Quran. Mereka juga belajar hukum-hukum agama secara terperinci dari seorang lelaki yang berjubah hitam.

Hampir semua orang lelaki memakai jubah warna putih bersih, ada juga yang memakai serban dan songkok dibuat dari kain putih.

Semua orang perempuan di perkampungan tersebut memakai mini telekung putih. Baju dan kain juga dari kain putih.

Suasana sekitar kampung terasa damai. Semuanya kelihatan bersih, setiap halaman rumah sukar untuk mencari daun.

Orang-orang tua duduk di anjung rumah membaca Quran atau berqasidah memuji Nabi Muhammad SAW dan para sahabat.

"Ini perkampungan, Islam", demikian hati kecil saya membuat kesimpulan. Saya segera bangun.

"Nak ke mana Tamar?" Najib terkejut.

"Aku nak masuk ke kampung tu, aku nak berkenalan dengan orang-orangnya", jelas saya.

"Jangan", Najib segera memaut tangan kanan saya.

"Kenapa?"

"Boleh jadi apa yang kita lihat tu, hanya bayangan saja. Kau mesti ingat kita berada dalam hutan. Dalam hutan begini macam-macam boleh jadi", Najib mengingatkan saya.

"Ah, aku nak pergi", saya membuat keputusan yang amat nekad.

Saya cuba melangkah, tiba-tiba sahaja pangkal paha sebelah kanan saya terasa sakit. Kedua-dua belah bahu saya seperti dihempap dengan benda berat. Saya tidak terdaya berdiri dan terus jatuh.

Apa yang saya alami, tidak mematahkan niat saya untuk pergi ke tempat tersebut. Makin berkobar-kobar semangat saya mahu pergi ke kampung tersebut, makin hebat sakit di pangkal paha kanan saya.

Bila saya membatalkan niat tersebut. Semua sakit yang saya deritai terus hilang. Perasaan saya terasa lapang dan lega.

Jadi, saya mengambil keputusan melupakan terus hasrat yang bersarang dalam dada.

Bila melihat saya pulih, Najib mengucapkan syukur pada Allah beberapa kali. Dia mengajak saya pulang.

Ajakannya itu saya bantah terus, Najib terpaksa tunduk pada kemahuan saya.

"Kita tengok apa yang akan terjadi selanjutnya, Najib."

"Merbahaya, Tamar."

"Kita cuma tengok saja, bukan nak buat apa-apa."

"OK, aku mengikut saja."

"Bagus", bahu kanan Najib saya tepuk beberapa kali.

Saya dongakkan kepala ke langit. Matahari sudah beransur condong. Berpandukan pada kedudukan matahari di langit, saya kira waktu itu dah hampir pukul empat petang.

Tetapi, saya tidak merasa jemu atau bosan berdepan dengan peristiwa yang pada tanggapan saya amat menyeronokkan. Dan jarang-jarang pula terjadi.

"Apa yang kamu ingini, sudah aku buktikan. Aku tidak berbohong dengan kamu. Aku bercakap sesuatu yang benar", terdengar suara Agam cukup lantang.

Saya dan Najib tumpukan perhatian pada dirinya dan Amjal Kamal.

"Kamu tak puas hati lagi?" tanya Agam.

"Hum...", suara Amjal Kamal mendengus macam orang marah.

HILANG

Perkampungan di tengah hutan itu terus hilang. Kawasan tersebut segera ditumbuhi pokok-pokok kecil seperti pokok paku, pokok senduduk dan rumput-rampai yang menjalar menutup bumi.

Kawasan yang ditumbuhi pokok kecil itu cukup luas. Di kiri kanan kawasan tersebut dipagari dengan pokok-pokok besar yang digayuti dengan akar, tempat monyet bergantung atau melompat.

Amjal Kamal menolak kenyataan yang wujud di depan matanya. Dendamnya belum berakhir.

Dia berusaha untuk memusnahkan Agam yang pada hematnya cuba mencabar kebolehan dan kehandalan dirinya, cuba menghalang segala cita-citanya.

Amjal Kamal mengeluarkan seketul batu kecil dari saku seluar sebelah kanannya. Batu kecil itu diletakkan atas telapak tangannya.

Amjal Kamal hembus batu itu tiga kali berturut-turut. Beberapa detik kemudian terdengar bunyi deru angin yang kuat.

Ribut besar pun berlaku di sekitar kawasan tersebut. Dahan pokok terus patah malah ada pokok tumbang.

Saya dan Najib segera memeluk pokok di depan. Andainya kami tidak memeluk pokok besar kemungkinan tubuh kami akan diterbangkan oleh angin.

Walaupun ada pokok yang tumbang tetapi, Agam tidak berganjak dari tempat dia berdiri.

Setengah jam kemudian, ribut besar yang menggila itu terus berhenti. Agam masih berada di tempatnya tetapi, Amjal Kamal terus hilang entah ke mana.

Saya terdengar suara ganjil dari sebelah kiri. Saya amati suara tersebut dan saya pasti suara itu adalah suara beruang.

Ramalan saya tidak tepat. Itu bukan suara beruang tetapi, suara Amjal Kamal yang sudah berubah wajah dan bentuk.

Seluruh wajahnya ditumbuhi bulu tebal yang berwarna kemerah-merahan. Begitu juga dengan rambutnya.

Sepasang mata Amjal Kamal bertukar jadi macam mata harimau dan bahagian mulut bertukar bentuk seperti mulut orang hutan.

Sepasang kakinya berbulu hitam dan bahagian badannya berbelang macam belang harimau. Sepasang tangannya memiliki kuku, seperti kuku harimau.

Amjal Kamal yang berubah rupa itu terus melompat, kedua belah tangannya bergerak ke kiri dan ke kanan. Mencakar dan mematah apa sahaja yang tersentuh oleh tangannya.

Agam segera memanggil nama saya. Tanpa membuang masa saya terus mendekatinya. Badan saya terus berpeluh. Macam-macam yang datang dalam fikiran saya.

"Kamu berubah dari situ, orang ini terlalu akrab dengan syaitan dan boleh melakukan apa sahaja untuk memesongkan setiap orang yang percayakan kewujudan Allah", itu perintah Agam.

"Baiklah", balas saya.

“Sekarang pindah”, Agam mengamati saya.

“Pindah ke tempat lain Jib.”

“Pindah ke mana Tamar?”, tanya Najlb.

“Sebelah sana, kita berlindung balik pokok kempas besar.”

“Baiklah”, sahut Najib.

Kami pun berubah tempat. Saya gembira tempat yang saya pilih terletak di kawasan tanah yang agak tinggi.

Pokok kempas yang saya pilih sebagai tempat berlindung cukup besar. Kawasan di bahagian perdunya bersih dan lapang.

Mudah untuk melihat gerak-geri Agam dan Amjal Kamal. Dari perdu kempas saya lihat Amjal Kamal mendekati Agam yang berdiri tegap. Bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan.

“Tak usahlah bergaduh, tinggalkan saja tempat ini. Itu saya permintaan aku.

"Bermusuh bukanlah tujuan hidup aku", Agam berusaha menenangkan perasaan Amjal Kamal.

Sayang, Amjal Kamal yang sudah bertukar rupa itu tidak dapat berkata-kata. Setiap kali Agam bersuara dia akan mencabut anak-anak pokok yang berdekatan.

Amjal Kamal menerpa ke arah Agam. Dengan tenang Agam menantinya. Kedua belah bibir Agam kelihatan bergerak-gerak macam membaca sesuatu.

Ketika Amjal Kamal mahu mencakar mukanya, Agam segera menegakkan ibu jari kirinya.

Saya terkejut bila melihat Amjal Kamal jatuh dengan tiba-tiba. Dia berguling-guling atas tanah. Amjal Kamal bertempik dengan sekuat hatinya.

Seluruh bulu yang melekat di tubuh Amjal Kamal gugur dengan sendirinya dan akhirnya terus hilang.

Tubuh Amjal Kamal kembali dalam bentuk biasa. Terkapar di bumi, tidak terdaya mahu menggerakkan tangan dan kaki.

Dalam keadaan hati saya yang cemas dan takut itu saya lihat empat orang lelaki muncul di kiri kanan Agam.

Keempat-empat lelaki itu segera mengangkat Amjal Kamal lalu diletakkan di pangkal pokok jelutung.

Tubuh Amjal Kamal lalu ditutup dengan daun pisang. Empat lelaki yang mengusung Amjal Kamal terus ghaib.

"Ke mari Tamar", perintah Agam. Saya dan Najib segera mendekatinya.

“Jangan apa-apakan kami”, saya merayu.

“Aku tidak akan apa apakan kamu berdua, kamu datang sekadar mahu melihat bukannya bermaksud jahat.”

“Kalau begitu biarlah kami balik dulu”, Najib merayu.

“Nanti dulu, aku nak bercerita pada kamu tentang Amjal Kamal”, kata Agam.

Serentak saya dan Najib anggukkan kepala.

Agam pun bercerita. Memang sudah lama dia berusaha mengusir Amjal Kamal dan kuncu-kuncunya yang membuka gelanggang sabung ayam di tempat tersebut.

Cara yang dilakukan oleh Agam ialah dengan melepaskan kerbau dan kambing setiap kali perjudian itu diadakan.

Kadang-kadang dia sendiri memunculkan diri dalam bentuk manusia yang bertubuh besar dan hitam legam.

Tetapi semua yang dilakukan itu tidak mendatangkan kesan. Amjal Kamal cukup keras kepala.

SEPIT

Bila sudah tersepit, Amjal Kamal akan menggunakan ilmu kebatinan yang dituntutnya dari orang-orang yang melakukan pertapaan di kaki gunung Himalaya.

Memang Datuk nenek Amjal Kamal berasal dan Nepal. Ayahnya dulu berkhidmat dalam Tentera British di cawangan Pasukan Gurkha.

Dalam masa darurat sekitar 1948, pasukan yang dianggotai oleh ayahnya ditempatkan di bandar Sungai Petani, Kedah.

Dengan kehendak Allah, ayahnya bertemu jodoh dengan perempuan rakyat Malaya berketurunan Bangladesh. Ayahnya memeluk Islam lalu memilih nama Abdul Kamal.

Bila Amjal Kamal berusia dua tahun, ayahnya meninggal dunia akibat ditembak oleh pihak pengganas komunis dalam satu serangan hendap tidak jauh dari bandar Sungai Petani.

Amjal Kamal terus membesar dalam jagaan ibunya, Aishah Kamdar. Amjal Kamal menamatkan persekolahan dalam tingkatan empat di salah sebuah sekolah Inggeris di Alor Setar.

Kemudian pergi ke Bangladesh dan tinggal bersama keluarga ibunya.

Setelah bekerja dengan sebuah syarikat perusahaan membuat jerami di Bangladesh selama lima tahun, Amjal Kamal berhenti kerja.

Dia merantau ke Nepal untuk mencari kaum keluarga ayahnya. Di samping itu dia berhasrat untuk menjadi pemandu pada pendaki yang ingin menawan kemuncak Everest.

Masa mencari keluarga ayahnya itu Amjal Kamal bertemu dengan bangsa Nepal yang menuntut ilmu kebatinan. Dia tertarik dan terus melibatkan diri dalam kumpulan tersebut.

Bila merasakan ilmunya sudah cukup, Amjal Kamal kembali ke Malaya. Dia melakukan berbagai-bagai pekerjaan.

Antara pekerjaan yang paling diminatinya ialah menyeludup beras dari Thailand ke Malaysia. Dia juga menjalankan kegiatan judi empat ekor secara haram.

Padang Besar di Perlis, Bukit Kayu Hitam di Kedah dan Rantau Panjang serta Pengkalan Kubur di Kelantan adalah tempat yang sering digunakan oleh Amjal Kamal untuk menyeludup beras, ganja dan sebagainya.

Supaya rancangannya berjalan lancar, dia memberi rasuah pada pihak tertentu.

Mungkin kerana faktor usia atau mungkin kerana tindakan tegas dari pihak kerajaan membuat Amjal Kamal merasakan menjadi penyeludup tidak selamat.

Dia pun membuka langkah lain untuk menampung hidupnya.

“Salah satu dari caranya, mengadakan judi sabung ayam. Jadi perompak dan pecah rumah dengan ilmu pukau", Agam meraba pangkal kening kirinya.

Saya lihat dia cukup tenang dan wajahnya membayangkan kepuasan yang teramat sangat.

"Dia memang hebat", Najib mengeluh.

"Ya, dia memang hebat. Dia juga kepala mencuri kereta dan motosikal untuk dihantar ke Siam.

"Semua kerja-kerja yang dibuatnya tu, saya tak peduli, saya tak kisah", suara Agam mula meninggi.

Dua tiga kali dia mengeluh. Matanya menatap wajah saya.

"Jadi, apa sebab sebenar yang awak marahkan dia?" soal Najib.

Saya marah, bila dia mencemar kampung halaman kami dengan membuka gelanggang sabung ayam.

"Ada masanya dia bawa perempuan Siam tidur di pondoknya.

"Khabarnya, perempuan-perempuan Siam tu di seludup dari Golok untuk dihantar ke bandar-bandar besar di Semenanjung", Agam genggam penumbuk.

Dadanya kelihatan berombak melepaskan nafas yang berbaur dengan kemarahan.

Saya dan Najib diam. Kami berpandangan dan keberatan untuk mengajukan sebarang pertanyaan.

Pada hemat saya, biarkan dulu hati dan perasaan Agam tenang. Bila sudah tenang, mudahlah bercakap dan dia tentu bersedia menjawab apa-apa pertanyaan dari kami.

Saya melihat dada langit kembali. Awan putih terus berarak. Sayup-sayup terdengar suara gagak di hujung rimba.

Burung helang tetap terbang rendah bermain angin ketika sinar matahari mula meredup.

"Kau orang baliklah dulu. Jangan cerita pada sesiapa apa yang kamu tengok di sini", Agam menggaru pangkal lehernya berkali-kali.

Ekor matanya menjeling tajam ke arah beberapa helai daun tua yang gugur. Melayang-layang di main angin.

"Kami boleh merahsiakan perkara ini. Tetapi, macam mana kalau ada orang lain yang tahu dan menghebahkannya?" saya beranikan diri meluahkan pendapat.

Najib tersenyum, mungkin dia terasa lucu dengan pertanyaan yang saya ajukan pada Agam.

"Orang lain, jangan ambil peduli. Apa yang penting saya mahu kamu berdua merahsiakan perkara ini. Itu saja yang saya harapkan dari kamu berdua", Agam meluahkan sebuah harapan. Penuh keikhlasan dan kejujuran.

"Kami berjanji, tak akan ceritakan pada sesiapa apa yang kami lihat. Percayalah cakap kami", serentak saya dan Najib bersuara. Sepasang mata kami meraut paras Agam.

Segaris senyum berlari di kelopak bibir Agam. Perlahan-lahan dia anggukkan kepala.

Tanpa diduga, Agam menepuk kepala Najib beberapa kali, penuh kemesraan.

"Kamu baliklah, mudah-mudahan Allah menyelamatkan perjalanan kamu berdua."

"Terima kasih," kata saya.

"Tapi..." Najib tidak dapat meneruskan kata-katanya.

"Teruskan, apa yang mahu kamu tanyakan," Agam mendesak.

"Kami nak tahu, siapa abang ini yang sebenar? Manusia atau penunggu tempat ini?"

Dada saya berdebar. Memang di luar dugaan saya yang Najib boleh mengemukakan pertanyaan demikian.

Saya kira pertanyaan itu agak keterlaluan dan bersifat peribadi. Boleh menimbulkan kemarahan kepada Agam.

"Saya adalah hamba Allah seperti kamu. Saya bukan penunggu seperti apa yang kamu fikirkan.

"Saya ada kampung halaman sendiri. Itu saja yang dapat saya terangkan", ujar Agam dengan wajah yang tenang.

"Abang tak berbohong?" Najib minta kepastian.

"Kamu tak percaya dengan apa yang aku katakan?" Agam menyoal Najib kembali.

Saya lihat Najib mati akal. Dia tidak dapat menjawab pertanyaan tersebut.

Saya kenyit mata ke arah Najib. Beri isyarat supaya jangan mengemukakan sebarang pertanyaan pada Agam.

“Bagaimana, ada apa-apa yang mahu kamu tanyakan pada saya?” soal Agam lagi.

Serentak saya dan Najib gelengkan kepala. Saya lihat Agam menarik nafas panjang. Tanda lega dan puas hati.

“Kamu berdua baliklah. Si Amjal Kamal sudah pun saya suruh orang-orang saya menghantarnya ke tepi jalan raya," tambah Agam dengan nada suara yang lembut.

Dia hulurkan tangan kepada Najib untuk bersalaman.

TANGAN

Agam hulurkan tangan pada saya. Ketika bersalaman dengannya terasa telapak tangan Agam cukup lembut macam kapas.

“Kau mesti ingat, dalam dunia ini tak ada satu yang kekal. Setiap manusia ada kelebihan dan kekurangannya", bisik Agam ke telinga saya.

“Saya faham," segera saya anggukan kepala.

“Baguslah kalau kamu sudah faham. Semoga hidup kamu diberkati oleh Allah. Kita semua adalah hamba Allah yang tertakluk pada peraturan yang ditetapkan.”

“Peraturan apa?", mulut celopar Najib terus mengajukan pertanyaan.

Agam tersenyum. Tangan saya tidak juga dilepaskannya. Rasa dingin terasa menjalar ke seluruh telapak tangan.

Setiap kali tangan saya digoncangnya, hati saya terasa aman dan damai sekali.

“Kita orang Islam kalau mahu hidup bahagia dan tenteram, patuhilah ajarannya.

"Berjanjilah untuk jadi orang Islam yang baik, patuh pada hukum-hukum yang ditetapkan," dalam keadaan yang suntuk itu, Agam masih sempat memberikan nasihat pada saya dan Najib.

“Jangan sekali-kali menambahkan hukum yang ada dengan hukum baru," sambung Agam lagi.

“Kalau ditambah bagaimana?” tanya saya.

"Untuk apa menambah hukum dan ajaran yang sudah ada. Untuk apa?” soal Agam. Matanya menatap wajah saya.

“Untuk mencari Allah, untuk mengenaliNya serta mendampingiNya,” sahut Najib dengan penuh keyakinan. Agam gelengkan kepala.

“Ramai manusia yang binasa dan sesat kerana mahu mencari Allah serta mahu mendampinginya," Agam jegilkan biji mata ke arah saya dan Najib.

Kemudian Agam dongakkan kepala renung ke arah awan yang berarak lembut.

“Kenapa kata macam tu. Perbuatan mereka baik," ujar saya.

“Kerana mereka terlalu ghairah mahu mencari Allah mereka lupa pada diri mereka yang sebenar tanpa disedari mereka melakukan amalan yang bertentangan dengan ajaran agama yang sebenar. Niat suci mereka menjadi sebaliknya," Agam menarik nafas panjang.

Telapak tangan saya yang digenggam segera dilepaskannya.

Agam sandarkan tubuhnya ke pangkal pokok yang berhampiran dengannya.

Buat beberapa saat saya dan Najib saling berpandangan. Suara burung liar terus berkicau.

“Sesungguhnya, Allah sentiasa mendekati kita bila kita berpegang teguh pada ajaran Quran dan Hadis. Ikut segala hukum dan peraturan yang ditetapkan," Agam melanjutkan kata-kata dengan penuh tenang dan keyakinan.

“Begitu," keluh Najib.

“Apa yang diharapkan semoga kamu tidak akan tersesat dalam mencari kebenaran Allah. Selalulah bertanya pada alim-ulama dan orang yang pandai dalam hal agama bila menghadapi sesuatu masalah", lanjut Agam lagi.

“Kalau belajar dari buku dalam hal-hal selok-belok agama boleh tak?" Najib bertanya.

“Boleh. Sebaik-baiknya cari orang pandai untuk kita jadikan tempat rujukan. Jangan terlalu berharap pada buku semata-mata.

"Sebabnya, belajar hal agama mesti berguru dan guru itu mestilah yang benar-benar arif. Jangan guru sebarang”, Agam mengingatkan saya dan Najib.

Agam berpusing ke kanan. Maju dua tapak ke arah pokok besar. Dia berhenti di situ untuk beberapa saat. Agam berpaling ke arah saya dan Najib.

“Baliklah. Semoga Allah melindungi kamu berdua dalam perjalanan, soal Amjal Kamal sudah saya suruh orang-orang saya menguruskannya," kata Agam lagi sambil mengangkat tangan kanannya separas telinga kiri. Dia tetap mempamerkan senyum pada kami.

"Terima kasih atas nasihat," jerit saya.

"Sama-sama," sahut Agam.

Dia ketawa kecil mempamerkan gigi putihnya yang rapi. Agam berpusing ke kiri lalu membongkokkan badannya macam mencari sesuatu di celah pepohon renek.

Saya dan Najib terdengar bunyi suara orang batuk dari arah belakang. Kami segera menoleh ke arah tersebut. Tidak ada tubuh manusia yang wujud di situ.

Saya dan Najib merenung ke arah Agam kembali. Aneh, Agam hilang dari pandangan kami. Dia hilang entah ke mana. Sukar untuk dikesan.

Najib cuba melaung-laung namanya. Tidak ada jawapan yang diperolehi.

Kicau burung kian rancak. Sayup-sayup terdengar suara orang membaca Quran dalam hutan yang tebal dengan pepohon besar.

Saya dan Najib jadi cemas. Bulu bengkok terasa kembang.

"Tak boleh jadi kita ni," keluh saya.

"Kita mesti cabut, tak boleh lama-lama di sini," jawab Najib.

"Hum...", suara saya terkulum.

Saya tersentak mendengar bunyi suara monyet menjerit macam dikejar sesuatu.

Serentak dengan itu saya melihat sekawan gagak terbang rendah sambil berbunyi dengan nyaring.

"Mari," saya terus menarik tangan Najib.

Tamat Siri Bercakap Dengan Jin 99/284

BACA: SBDJ Siri 98: Tubuh Terapung Di Udara
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-Sentiasapanas.com

Aiman Hakim Bakal Kahwini Zahirah Macwilson Pada Februari 2020

Aiman Hakim Bakal Kahwini Zahirah Macwilson Pada Februari 2020

Pasangan selebriti terkenal di Malaysia, Aiman Hakim Ridza dan Zahirah Macwilson, mengumumkan tarikh perkahwinan mereka, bagaimanapun Aiman menjelaskan, tarikh sebenar masih belum ditetapkan lagi.

Perkahwinan Aiman Hakim dan Zahirah Macwilson

“Bulan Februari cukup istimewa memandangkan bulan itu merupakan bulan kelahiran Zahirah.

“Namun, tarikh sebenar belum ditetapkan buat masa ini kerana bagi saya perkahwinan bukanlah satu benda yang remeh-temeh.

“Banyak hal yang perlu diambil kira, termasuk lokasi dan sebagainya,” katanya.

Terdahulu, pasangan selebriti tersebut ditemui pada majlis sidang media pengumuman tarikh perkahwinan Aiman dan Zahirah yang berlangsung di Bikersfellas Cafe, di Ara Damansara.

Lebih romantik, Aiman turut sempat melafazkan “Will You Marry Me” dengan nada bergurau sewaktu pengumuman tersebut.

Setakat ini, Aiman memaklumkan majlis perkahwinan mereka hanya akan berlangsung di Kuala Lumpur.

Sebarang perubahan lain akan diberitahu kemudian, bergantung kepada situasi.

Terdahulu, Aiman dan Zahirah mengikat tali pertunangan pada Jun lalu sejurus berkongsi gambar majlis yang berlangsung di akaun media sosial masing-masing.

Kongsi Aiman lagi, lamaran darinya buat kekasih hati untuk mendirikan rumah tangga pada November 2018 lalu.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: mediahiburan