Friday, April 19, 2019

SBDJ Siri 47: Bila Syaitan Datang Menguji

SBDJ Siri 47: Bila Syaitan Datang Menguji

Saya mula terasa bosan duduk dalam kedai kopi. Bagi menghilangkan rasa bosan itu, saya terus menggaru pangkal dagu beberapa kali dan sepasang mata saya terus tertumpu ke dada jalan raya yang mula sibuk dengan kenderaan. Debu-debu jalan berterbangan dalam sinar matahari pagi yang kian garang.

Bila Syaitan Datang Menguji

Saya toleh ke kiri. Lelaki berketayap putih dan datuk masih termenung. Masing-masing merenung dinding kedai kopi yang cat putihnya sudah pudar bertukar menjadi kekuning-kuningan. Apa yang mereka fikir, saya pun tidak tahu.

Orang-orang yang datang minum dan makan pagi sudah berkurangan, tidak sehebat tadi.

Pekerja-pekerja di kedai itu lebih banyak duduk dari melayani para pelanggan.

Agaknya mereka masih mengenangkan peristiwa ganjil yang telah berlaku beberapa jam tadi.

Mereka juga berharap pada setiap pelanggan yang baru datang, tidak akan dapat mencium berita buruk itu.

Lelaki berketayap putih memanggil pekerjanya yang bertugas sebagai tukang membancuh kopi.

Pekerja yang berbadan tegap, berambut kerinting serta bermulut lebar itu menghampirinya.

"Ada apa hal Ayah?"

"Beritahu pada semua yang bekerja di sini supaya merahsiakan kejadian yang baru berlaku, kalau kisah ini merebak alamat kedai kita tak laku."

"Saya faham ayah," jawab pekerja itu sambil beredar dari lelaki yang berketayap putih.

Datuk saya lihat tersenyum memandang pada lelaki berketayap putih. Datuk renung biji matanya tepat-tepat, kemudian datuk tepuk bahu kiri lelaki berketayap putih itu.

"Awak takut kedai awak tak didatangi orang? Dan awak mahu merahsiakan kejadian tu," ujar datuk sambil menarik nafas.

Lelaki berketayap putih termenung sejenak.

"Ya, saya takut," katanya tegas.

"Pernahkah awak terfikir bahawa rezeki yang awak terima selama ini, adalah pemberian Allah?"

"Bukan terfikir, malah mengakuinya."

"Kalau awak sudah mengakuinya kenapa awak takut, kalau cerita yang berlaku di kedai awak tersebar pada orang ramai."

Kata-kata yang diluahkan oleh datuk itu, membuat lelaki berketayap putih terkejut. Air mukanya nampak berubah.

Dia menggeliat sambil memicit-micit pergelangan tangan kanannya.

"Rezeki manusia tidak berada di tangan manusia tetapi, berada di tangan Allah Yang Maha Besar.

"Rezeki itu pula tidak datang bergolek kalau manusia tidak berusaha mencarinya," datuk memulakan ceramah kecil di hadapan lelaki berketayap putih.

Saya lihat lelaki itu tunduk mendengar kata-kata datuk itu.

"Jangan jadikan diri kita derhaka pada Allah kerana sesuatu kejadian yang kecil, juga jangan tenggelamkan diri kita dalam sifat tamak haloba," sambung datuk lagi sambil bangun lalu berjalan menuju meja kosong yang terletak dekat pintu masuk.

Datuk duduk di situ.

Beberapa minit kemudian, lelaki berketayap putih menghampiri datuk lantas duduk di situ.

"Kejadian seperti ini, selalu saja berlaku di sini, setiap kedai kopi yang terkena musibah tersebut terus gulung tikar.

"Saya tak mahu hal begitu jadi pada diri saya.

"Saya tak ada harta untuk saya tinggalkan pada anak-anak saya bila saya mati," lelaki berketayap putih mengadu hal pada datuk.

Rasa simpati mula berbunga dalam hati saya. Memang, saya mengharapkan datuk dapat melakukan sesuatu untuk menolong orang tersebut.

"Nasib manusia selalunya tidak sama," kata datuk.

"Saya faham, tetapi saya memikirkan nasib anak-anak saya."

"Sepatutnya awak tak boleh memikirkan hal mereka, apa yang perlu awak fikirkan ialah tentang nasib awak sesudah awak mati.

"Ada baiknya awak menghitung amal ibadat yang telah awak buat, dari memikirkan nasib anak-anak sesudah awak mati," saya lihat datuk begitu bersemangat bercakap.

Tidak ada tanda-tanda yang menunjukkan dirinya, mahu menolong orang tersebut.

Saya benci dengan tindak tanduk datuk itu, terlalu banyak bercakap dan menasihati orang.

Rasa benci itu, saya perlihatkan pada datuk dengan cara yang sopan. Saya keluar dari perut kedai, berdiri di kaki lima kedai sambil berlari-lari.

Ternyata perbuatan saya tidak disenangi datuk. Dia menjengilkan biji matanya, membuat saya jadi cemas dan takut. Saya segera masuk ke kedai kopi kembali. Duduk di sisi datuk.

"Orang yang beriman dan berilmu, tidak akan meninggalkan harta pada anak-anak tetapi, meninggalkan atau membekalkan ilmu pengetahuan dunia akhirat yang secukupnya, kerana doa anak yang soleh untuk orang tuanya yang sudah meninggal diberkati Allah," beritahu datuk pada lelaki berketayap putih itu.

Tiba-tiba datuk bangun dan terus berjabat tangan dengan lelaki berketayap putih sambil mengucapkan terima kasih.

Perbuatan datuk itu amat mengejutkan dan di luar dugaan saya sama sekali. Datuk pun melangkah keluar dari kedai kopi.

"Janji awak dengan saya bagaimana?" Kata lelaki berketayap putih sambil memegang bahu kanan datuk.

"Saya ingat," jawab datuk dengan tidak mematikan langkahnya menuju ke gigi jalan.

Tidak sampai lima minit kami berdiri di gigi jalan, lori yang dipandu oleh Lim Tong King pun tiba.

"Sudah dibaik benda yang rosak," itulah persoalan pertama yang diajukan oleh datuk pada Lim Tong King.

Saya lihat wajah kawan Lim Tong King cukup riang duduk di atas buah-buah pisang.

"Pelik sungguh, sudah diperiksa oleh formen, tidak ada yang rosak," cukup jelas suara Lim Tong King memberitahu datuk. Saya tersenyum mendengarnya.

"Saya tak dapat ikut awak, janji kita cuma di sini saja Lim," wajah Lim Tong King kelihatan muram, dia menggigit bibir sambil merenung muka datuk.

"Janganlah susah hati, pergilah awak akan selamat sampai ke tempat yang dituju," kata datuk.

"Tapi."

"Tak apa, awak pergilah, dengan izin Allah awak selamat."

"Baik," balas Lim Tong King sambil menekan minyak lori dan lori pun bergerak perlahan-lahan meninggalkan kami. Kawan Lim Tong King melambai-lambai tangan pada saya.

"Ke mana kita nak pergi tuk?"

"Ke mana lagi, ke masjidlah."

"Hum...," saya mengeluh pendek.

Baru sepuluh langkah menapak, saya terpaksa berhenti kerana lelaki berketayap putih mengejar kami dari belakang sembil memanggil-manggil nama datuk.

Anehnya datuk tidak hirau langsung dengan teriakan dari lelaki itu. Dia terus melangkah dan melangkah.

"Jangan bimbang, datuk saya akan tunaikan janjinya dengan pak cik," kata saya sebaik saja lelaki berketayap putih berhenti dekat saya.

"Dia mahu ke mana tu?"

"Ke masjid membaca Quran dan berzikir."

"Baik ajak saja datuk awak duduk di rumah saya, lagi baik."

"Saya tak berani nak beritahu dia, saya fikir usah ganggu dia, kalau ada apa-apa hal jumpa saja waktu sembahyang Zohor nanti."

"Datuk awak ni ganjil orangnya."

"Memang datuk saya ni ganjil tetapi, ganjilnya tidak menyusahkan orang lain, tidak pernah mungkir janji. Tak apalah pak cik saya pergi dulu."

Lelaki berketayap putih saya tinggalkan dalam keadaan termangu-mangu. Saya terus memburu datuk hingga dapat jalan bersaing dengannya.

"Apa yang dia mahu Tamar?"

"Menanyakan janji tuk dengannya."

"Mudah sangat tidak percaya sesama manusia, perbuatannya menunjukkan sifat-sifat tamak.

"Sebagai seorang Islam dia harus percaya dengan janji yang dibuat oleh orang yang seagama dengannya.

"Bukankah menepati janji itu salah satu dari peraturan yang harus dipatuhi setiap orang Islam," demikian datuk merungut.

Saya diam saja, tidak kuasa saya menjawab rungutannya itu.

Datuk dan saya sampai ke masjid. Datuk mengambil air sembahyang dan melakukan sembahyang sunat untuk menghormati masjid dan membuat keputusan untuk beriktikaf di masjid bagi melakukan amal ibadah.

"Tamar."

"Ya tok, ada apa-apa hal," kata saya sambil duduk di sisinya.

Datuk merenung muka saya sambil membelai -belai rambut saya yang jatuh atas dahi dengan penuh manja.

Tangan datuk saya pegang dan saya cium, tiba-tiba hati saya terasa hiba, tidak dapat saya nyatakan padanya, betapa sayang saya pada datuk yang pada zahirnya nampak kasar dan bengis membela saya.

"Masjid", sebaik-baik tempat untuk kita beramal, gunakanlah kesempatan maha besar," ujar datuk.

Dia pun bangun mengambil Quran dan terus membacanya.

Saya tanpa membuang masa terus mencari beberapa buah kitab agama yang terdapat dalam masjid itu dan terus membacanya secaranya merangkak-rangkak.

Lebih kurang pukul dua belas setengah tengah hari, seorang lelaki dalam lingkungan usia lapan puluhan masuk ke masjid.

Janggut dan misainya sudah putih tetapi, kulit mukanya tegang dan sepasang matanya kelihatan bercahaya, menandakan yang dirinya waktu muda dulu seorang yang pintar.

Dari gerak badan dan cara dia berjalan, saya dapat menduga bahawa orang tua itu mempunyai pengalaman dan pengetahuan yang luas dalam bidang ilmu mempertahankan diri.

Orang tua itu melakukan sembahyang sunat masjid. Selesai sembahyang sunat dia duduk di satu sudut masjid dan terus berzikir dengan khusyuk.

Bila datuk berhenti membaca Quran dan orang tua itu berhenti berzikir. Datuk segera menemuinya, mereka bersalam-salaman.

Waktu datuk dan orang tua itu bercakap-cakap, saya segera menjauhkan diri, duduk bersendirian dekat pintu masjid.

Beberapa minit kemudian, orang tua tersebut melintas di hadapan saya. Dia terus memukul beduk ( kerantung) menandakan waktu zuhur sudah tiba.

"Siapa nak azan saya atau awak?" tanya orang tua itu pada datuk. Saya lihat datuk tersenyum memandang pada saya.

"Biarlah orang muda yang membuatnya," balas datuk.

"Siapa orangnya?"

"Cucu saya," jawab datuk dan orang tua itu memandang ke wajah saya dengan senyum yang menarik.

Dia menghampiri saya lalu menepuk-nepuk kepala saya dua kali berturut-turut.

"Tunaikan permintaan datukmu, mendengar cakap orang tua untuk jalan kebaikan, diberkati oleh Allah," bisik orang tua itu pada saya.

Dua kali saya menarik nafas bagi menghilangkan rasa darah gemuruh dalam diri.

"Cepat Tamar," jerit datuk.

Saya pun memulakan azan dengan suara yang amat lantang, saya mahu suara saya didengar oleh semua penduduk yang tinggal di sekitar kawasan berhampiran dengan masjid.

Selesai saja saya mengerjakan azan, saya dapati lima enam orang penduduk sudah berada dalam masjid.

Sembahyang Zuhur itu diimamkan oleh orang tua tersebut.

Selesai saja sembahyang dan berdoa orang-orang kampung pun meninggalkan perut masjid menuju ke rumah masing-masing.

Datuk menyandarkan badannya ke dinding masjid. Dia menggigit lidah sambil meraba-raba kening kirinya berkali-kali.

"Orang tu, tak datang tok," bisik saya pada datuk.

"Tak apalah, agaknya dia ada hal, malam nanti dia tentu datang mencari kita," balas datuk dengan tenang.

Orang tua yang sejak lepas sembahyang duduk di tempatnya, segera bangun. Dia menghampiri datuk.

"Awak jangan ke mana-mana, saya nak balik dulu. Lepas tu saya datang jumpa awak lagi."

"Apa halnya?"

"Awak tunggulah sampai saya datang," balas orang tua itu sambil melangkah bendul masjid.

Datuk kembali membaca Quran. Saya mula menggelabah kerana perut mula terasa lapar.

Saya tidak tahu bagaimana caranya untuk menyatakan pada datuk yang diri saya cukup lapar.

Saya tidak berani mengganggu datuk yang sedang membaca Quran, memang pantang datuk nenek tujuh keturunan bagi datuk, kalau ada sesiapa yang mahu menahan atau mengganggu dia membaca Quran.

Akhirnya, saya terus baring di dalam masjid dengan harapan bila berbuat demikian saya akan tertidur.

Memang susah mahu tidur, kalau perut kosong. Glek kiri, golek kanan. Menelentang meniarap mata tidak juga mahu rapat.

"Assalammualaikum," terdengar suara dari luar masjid.

Saya segera bangun dan menerpa ke pintu. Orang tua yang berjanji dengan datuk tadi sudah tiba. Dia membimbit mangkuk tingkat berwarna kebiru-biruan.

"Masuk pakcik," kata saya.

Orang tua itu terus masuk dan berdehem dua kali berturut-turut. Datuk segera menoleh ke arahnya sambil menutup Quran.

Orang tua itu meletakkan mangkuk tingkat dan terus duduk bersila di hadapannya.

"Mari kita makan, ini rezeki awak sama cucu awak, mari," orang tua itu terus membuka mangkuk tingkatnya.

Diletakkannya berderet atas lantai.

Datuk pun datang dan terus duduk bersila.

"Perbuatan begini tidak digalakkan dalam Islam," datuk bersuara dengan tiba-tiba.

Orang tua itu merenung muka datuk.

"Maksud awak?"

"Orang Islam tidak digalakkan makan sedekah, Islam menyuruh umatnya berusaha kerana itu nabi besar kita Mehammad S.A.W. pernah bersabda, tangan yang memberi lebih mulia dari tangan yang menerima, ertinya umat Islam disuruh berusaha."

"Saya faham maksud awak tu. Satu perkara yang harus awak kaji dan fikir, awak tidak duduk di masjid sepanjang masa membuat amalan kemudian hidup atas sedekah orang, perbuatan tidak terpuji.

"Awak musafir dan saya mahu memberi awak makan, kalau tak ada saya, awak pun boleh makan."

"Awak orang tua yang hebat."

"Saya tidak hebat, yang hebat dan berkuasa ialah Allah. Niat saya mahu makan bersama awak," orang tua itu pun menyorongkan nasi ke hujung lutut saya dan datuk.

Kami pun makan bersama. Bila selesai makan saya terpaksa membersihkan mangkuk tingkat orang tua itu di telaga.

Mangkuk tingkat yang sudah dibersihkan itu, saya susun seperti asal lalu saya serahkan pada orang tua tersebut.

Saya kira orang tua itu akan pulang, setelah saya serahkan mangkuk tingkat padanya, rupa-rupanya dia tidak mahu pulang.

Dia mengajak datuk duduk di serambi masjid dan terus bercerita panjang dengan datuk.

Orang tua itu memberitahu datuk, dia berasal dari Bangkahulu. Bila berhijrah ke Semenanjung Tanah Melayu dia menetap di sebuah kampung di dalam kawasan Batang Kali yang dikenali dengan nama

Genting Malik.

Dalam zaman pemerintahan Jepun, dia telah membunuh tiga orang tentera Jepun dengan parang panjang yang mahu merogol seorang gadis jirannya.

"Saya lari malam, bila tentera Jepun mengamuk dan menyeksa orang-orang kampung akibat perbuatan saya itu.

"Saya sampai ke Kerling sesudah mencukur rambut dan dan menyamar sebagai orang asli," orang tua itu mula membuka lipatan sejarah silamnya.

Menurutnya, semasa di Kampung Genting Malik, dia dikenali sebagai Ujang Silat, tetapi bila menetap di Kerling namanya segera bertukar menjadi Mahyuddin.

"Pada mulanya saya tinggal jauh di pedalaman, kemudian bila orang putih memerintah Malaya kembali, saya dibawa oleh anak angkat saya tinggal berhampiran masjid ini," katanya lagi.

"Awak tak ada isteri?"

"Tak ada, tapi kaya dengan anak angkat."

"Badan awak bertuah," ujar datuk berjenaka. Orang tua itu turut ketawa.

Mungkin kerana terasa jemu duduk di anjung masjid, orang tua itu mengajak datuk berjalan di halaman masjid.

Kemudian mereka duduk di atas sebatang kayu, sambil menikmati suasana petang yang begitu tenteram dan damai.

"Sejak awak datang subuh tadi, saya dapat meneka yang diri awak ni ada isi dunia akhirat," orang tua memaut bahu kanan datuk.

Matanya dengan mata datuk berlaga. Datuk tidak menjawab pertanyaan yang diajukan oleh orang tua itu. Datuk macam mahu menyembunyikan sesuatu dari orang tua itu.

"Saya tak ada apa-apa," jawab datuk.

"Tak apalah, saya sekadar bertanya dan meneka," balas orang tua itu.

Dia menggigit bibir dan terus juga menepuk-nepuk bahu datuk.

Selepas menunaikan sembahyang Asar, orang tua itu menjemput saya dan datuk ke rumahnya. Jemputan itu kami penuhi dengan rasa bangga.

Rumah orang tua itu, terletak kira-kira sepuluh rantai dari masjid, kedudukannya agak terpisah dari rumah-rumah yang lain.

Tidak berapa kecil, berbumbung limas dan berdindingkan papan lidah. Rumah itu mempunyai dua bilik, satu bilik tidur dan satu bilik sembahyang.

Apa yang menarik hati saya tentang bilik sembahyangnya, kerana didalamnya terdapat kitab-kitab agama yang tersusun rapi atas rak.

Manakala di sebelah kanan sudut bilik itu terdapat, beberapa bilah senjata seperti lembing, pedang, keris dan parang panjang.

"Parang itulah yang membunuh askar Jepun," katanya sambil menatang parang panjang yang terdapat kesan darah kering bercampur dengan karat.

Datuk dan saya pun anggukkan kepala. Kemudian, tanpa diminta oleh orang tua itu, datuk pun menceritakan tujuan sebenarnya, kenapa dia menginap di masjid.

"Niat awak baik, tapi jangan terkejut bila kerja awak selesai, apa yang awak fikirkan tidak sama dengan apa yang awak alami," kata orang tua itu.

"Apa maksud awak?"

"Tak payah saya terangkan jawapannya, akan awak tahu sendiri," balas orang tua itu.

Saya dan datuk berpandangan dan orang tua itu tetap senyum memandang kepada kami.

Tiba-tiba saja datuk minta diri, macam ada sesuatu yang tidak kena dalam hatinya. Orang tua itu mengizinkan permintaan kami.

Sebaik saja kaki kami memijak bumi, orang tua itu terus terjun ke tanah dan menghalang perjalanan datuk.

"Orang yang meminta pertolongan kau tu namanya Dumba, tetapi orang-orang di sini mengenalinya sebagai Jahid atau Lebai Jahid," kata orang tua itu.

Belum pun sempat datuk mengemukakan sebarang pertanyaan orang tua itu sudah berdiri di muka pintu.

Cukup cepat dia bergerak, saya tidak sedar masa bila dia memijak anak tangga.

Saya dan datuk meneruskan perjalanan. Sebaik saja sampai dekat pokok besar berhampiran masjid, lelaki berketayap putih muncul dari balik pkok.

Pandangannya semacam saja melihat kami. Datuk terus menyapanya. Sayang sekali, teguran datuk tidak dijawabnya, kecuali mengganggukkan kepala saja.

"Kau baru balik dari rumah Mahyuddin?" tanyanya.

"Ya, kenapa?"

"Saya syak dia yang membuat perkara tak baik ni," lelaki berketayap putih melahirkan apa yang ada dalam hatinya.

Datuk terdiam. Saya pula menggigit lidah. Lelaki berketayap putih kelihatan cukup tenang.

"Jangan mudah menaruh syak wasangka pada seseorang, kalau tak ada buktinya," jawab datuk.

Dari wajahnya, ternyata lelaki berketayap putih amat kecewa dengan jawapan dari datuk itu.

Kerana lelaki berketayap putih itu semacam memaksa mengajak datuk ke rumahnya, dengan alasan memudahkan datuk datang bila dijemput pada sebelah malam nanti, datuk segera menunaikan permintaannya.

"Saya akan pergi ke rumah awak tetapi, saya tidak akan naik ke rumah dan minum."

"Kenapa?"

"Itu sebahagian dari petua, saya tidak akan makan atau minum di rumah orang yang memerlukan pertolongan dari saya."

"Tak apalah," lelaki berketayap putih memberikan persetujuan.

Saya dan datuk pun mengekorinya dari belakang. Sepanjang jalan ke rumahnya, saya senyum sendirian kerana syarat yang datuk kenakan padanya, adalah syarat yang sengaja diadakan-adakan oleh datuk, mungkin datuk berbuat demikian dengan tujuan tertentu.

Sebaik saja sampai di rumahnya, perkara pertama yang datuk lakukan ialah berdiri di pangkal tiang seri rumahnya.

Kemudian mengelilingi kawasan rumahnya dua kali sambil memetik daun hati-hati yang ditanam tiap penjuru rumah.

"Kami balik dulu," datuk memberitahu lelaki berketayap putih.

"Silakan, tapi bila awak mahu datang untuk membantu saya?"

"Malam ni saya datang."

"Pukul berapa?"

"Tengok gerak hati tapi yang tentunya dengan izin Allah saya akan datang malam ini."

Ketika kami meninggalkan rumah Dumba (lelaki beketayap putih), matahari sudah condong benar.

Bayang pokok pinang yang tumbuh di kiri kanan jalan kelihatan memanjang atas daun lalang tua.

Sebelum sampai ke jalan raya Kuala Lumpur-Tanjung Malim, kami terpaksa mendaki bukit kecil yang agak curam.

***

Macam selalu, lepas sembahyang Maghrib dan Isyak, datuk akan menghabiskan masanya dengan membaca Quran dan berwirid panjang.

Saya terus menelentang dekat dinding masjid memikirkan sesuatu yang saya kira agak ganjil telah berlaku dalam masjid tersebut.

Pada hemat saya, datuk sendiri pun menyedari hal tersebut tetapi dia sengaja tidak mahu memberitahu pada saya.

Waktu sembahyang Maghrib tadi Mahyuddin (orang tua) ada datang tetapi, Dumba (lelaki berketayap putih) tidak datang.

Bila Dumba datang untuk menunaikan sembahyang Isyak, Mahyuddin pula tidak datang. Ada perselisihan peribadi yang tidak mudah dapat dikesan oleh orang lain.

Tepat jam dua pagi, datuk mengejutkan saya dari tidur. Dia suruh saya membasuh muka.

Bila saya selesai membasuh muka di perigi, saya dapati datuk sudah berada di halaman masjid. Siap berpakaian serba hitam dengan kain merah terlilit di kepala.

"Siap Tamar," katanya.

Saya segera menghampirinya. Datuk segera meletakkan tangan kanannya atas bahu kiri saya.

Secara mendadak saja badan saya menggeletar. Bila datuk angkat tangannya. Rasa menggeletar itu segera hilang.

"Pegang hujung baju aku dan pejamkan mata," katanya.

Cakap datuk saya patuhi. Saya tidak sedar apa yang berlaku setelah itu. Saya rasa badan saya melayang-layang. Bunyi angin berdengung-dengung menolak gegendang telinga saya.

Tiba-tiba saya terasa macam ada sesuatu yang menarik sepasang kaki saya.

Badan saya terhumban atas rimbunan pokok yang tidak dapat saya tentukan. Muka saya terkena pada sejenis daun yang agak kesat dan miangnya.

"Tamar, buka matamu, kita diperdayakan," saya terdengar suara datuk dan kelopak mata pun saya buka.

Pertama yang saya lihat ialah langit dan awan malam. Saya renung kiri kanan, saya dapati diri saya dan datuk berada dalam rumpunan lalang tua.

Datuk segera bangun sambil menepis-nepis dedaun lalang yang lekat di bajunya.

"Bangun Tamar," katanya pada saya sambil menarik tangan kanan saya yang terasa sakit kerana dicucuk oleh tunggul lalang.

Dalam keadaan yang serba sulit itu, (maklumlah malam terlalu pekat) saya tidak tahu apa yang harus saya lakukan, bergerak saja, kaki sudah tersepak kayu atau terpijak tunggul lalang.

Aneh juga, tunggul lalang di situ cukup tajam, boleh menembusi tapak sepatu getah cap tiga bintang yang saya pakai.

"Tamar, pejamkan matamu," perintah datuk saya ikuti.

"Buka matamu sambil mengucap dua kalimah syahdat dan selawatkan nabi tiga kali, kemudian kau baca ayat dari Surah Ibrahim waktu nabi Ibrahim dibakar oleh kaumnya," beritahu datuk lagi.

Semua kemahuan datuk itu saya penuhi. Bila saya membuka mata kawasan sekeliling itu jadi terang-benderang, macam cahaya bulan yang mengambang penuh.

Saya dan datuk keluar dari kawasan tersebut dan cahaya yang terang itu terus ghaib.

Baru saja tiga langkah datuk dan saya melangkah untuk menuju ke rumah Dumba, sekumpulan anjing liar segera mengelilingi kami.

Anjing-anjing itu cukup garang dengan mulut separuh terbuka menjelirkan lidah, bersedia untuk menerkam pada saya dan datuk.

Setapak kami bergerak, selangkah anjing-anjing liar itu merapati kami. Ketika itu juga suasana di situ berubah keadaan.

Kami bagaikan berada di hutan tebal, terdengar bermacam-macam suara bersama dengan titik-titik hujan yang kasar.

Angin juga bertiup cukup kuat, dedaun yang jatuh mengeluarkan bunyi yang mengaum bila terkena bumi.

Saya terpandang dari celah-celah pokok-pokok besar tersembul lembaga yang tidak menentu rupa bentuknya, menyapu bumi, giginya juga kelihatan ganjil.

Gigi bahagian atas cukup panjang dan terkeluar menutup bibir bahagian bawah, hidungnya juga panjang dan lembik berjuntai hingga atas gigi.

Lembaga-lembaga itu memegang tali yang terikat pada leher anjing. Telinga saya mula dihujani dengan suara orang ketawa dan menjerit.

Saya lihat rambut lembaga yang panjang itu bagaikan terpacak ke atas dan badan lembaga tanpa kaki itu terangkat dan bergerak di awang-awangan, mengikuti tiupan angin.

"Matilah kita tok," saya mengeluh.

"Ini permainan syaitan, kita berdua diperdayakan, kita harus berusaha," bisik datuk pada saya, ketika itu wajahnya saya lihat cukup cemas.

Datuk melangkah ke depan setapak, anjing-anjing liar pun mara, kian dekat dengan kami, begitu juga dengan lembaga yang bergantungan, mempamerkan gigi seolah-olah ketawa pada kami.

Datuk terus memeluk tubuh sambil menahan nafas. Matanya merenung tajam ke arah seekor anjing yang bentuk badannya lebih besar dari anjing yang lain-lain, bulunya juga berbeza dengan anjing-anjing lain.

Anjing besar itu berbulu hitam berkilat, sedangkan anjing-anjing yang lain bewarna kekuningan.

Tenungan mata dari datuk itu dilawan oleh anjing tersebut dengan matanya yang bagaikan tersembul. Anjing itu terus mengaum.

Dalam saat-saat begitu saya terlihat batang tubuh Mahyuddin melintas di hadapan kami dan hilang dengan sekelip mata.

Datuk segera menjatuhkan kedua belah tangannya. Datuk menggenggam penumbuk, tetapi jari kelingking kiri dan kanan tidak dilipatkan, kedua-dua jari itu menunjuk ke bumi.

Bibir datuk bergerak-gerak, sebaik saja bibirnya berhenti bergerak, dengan pantas datuk menepuk tangan, ketika itu juga terdengar satu ledakan yang amat kuat macam bunyi petir.

Seluruh kawasan itu dipenuhi dengan kabus bercampur asap tebal, tidak ada satu pun yang dapat dipandang.

Saya segera memeluk pinggang datuk dengan sekuat hati..

Tamat siri 47/284

BACA: SBDJ Siri 46: Berjalan Atas Angin
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-SENTIASAPANAS.COM

Thursday, April 18, 2019

Ketagihan Seks Adalah Penyakit Mental Dan Tanda-tandanya

Ketagihan Seks Adalah Penyakit Mental Dan Tanda-tandanya

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mengiktiraf 'ketagihan seks' atau 'tingkah laku seks tidak terkawal' sebagai penyakit mental, namun masih belum jelas sama ada masalah itu setanding dengan ketagihan judi atau menghisap dadah.

Ketagihan Seks
Gambar hiasan.

Perdebatan istilah 'ketagihan seks' telah diperkatakan sejak berdekad lamanya, namun ramai pakar bersetuju atau tidak sama ada penyakit mental akibat kegagalan mengawal nafsu seks benar-benar wujud.

Dalam terbitan katalog penyakit dan kecederaan dunia, WHO mengambil langkah ke arah mengikftiraf konsep itu dengan mengesahkan 'penyakit kelakuan seks tidak terkawal' atau CSBD sebagai penyakit mental.

Bagaimanapun, WHO tidak meletakkan masalah CSBD sama seperti ketagihan dadah atau judi sambil menegaskan lebih banyak kajian diperlukan sebelum menganggap gejala itu sebagai sejenis ketagihan.

Dalam Klasifikasi Penyakit Antarabangsa (ICD), CSBD adalah 'kegagalan berterusan untuk mengawal dorongan seks yang kuat secara berulang sehingga menyebabkan tekanan dan kemerosotan yang ketara.

Namun, menurut ICD, perdebatan saintifik mengenai 'sama ada gangguan tingkah laku seks tak terkawal adalah ketagihan tingkah laku' masih dalam perdebatan.

Penyenaraian ketagihan seks itu dalam daftar ICD adalah penting kerana ia digunakan secara meluas sebagai penanda aras untuk diagnosis serta ukuran kepada penyedia insuran kesihatan.

Definisi komprehensif CSBD juga penting bagi membolehkan mereka yang mempunyai masalah ini dapat dibantu.

MEL B KETAGIHAN SEKS

Pada tahun 2018 lalu, ramai peminat dikejutkan dengan pengakuan juri America's Got Talent Melanie Brown atau lebih dikenali sebagai Mel B yang berterus-terang bahawa dia mengalami ketagihan seks dan alkohol.

"Dalam masa enam bulan, kehidupan sangat sukar buat saya. Saya akan minum bagi melupakan masalah dan mententeramkan jiwa," kata Mel B.

Katanya, dia perlu mencari bantuan kerana keadaannya sudah kritikal.

"Tidak ada yang lebih mengenali saya kecuali diri sendiri.

"Saya akan berusaha mengatasinya dan akan mengikuti program terapi," katanya.

Mel B berkata, dia tidak malu untuk menceritakan masalah mental yang dialaminya.

TANDA-TANDA KETAGIHAN SEKS

Ketagihan seks (sexual addiction hypersexuality) sering dianggap bukan masalah bagi ramai orang, sedangkan bagi pesakit dan pasangan hidupnya, gangguan itu boleh memusnahkan sebuah rumahtangga.

Ia bukan hanya merosakkan kehidupan peribadi pesakit, malah juga persekitaran sosial, keluarga dan teman-temannya.

Menurut pakar-pakar dalam bidang ini, ketagihan seks ialah sebarang tingkah laku seksual yang berada di luar kawalan.

Satu lagi ciri penting ialah, seperti penagihan lain, mereka yang terlibat mendapat emosi mereka bertukar-tukar antara terlalu tinggi dan terlalu rendah.

Apabila anda berada dalam tahap ketagihan seks, biasanya anda akan merasa:
  • Malu.
  • Menyesal.
  • Kebimbangan dan gelisah tentang tingkah laku anda.
  • Terperangkap oleh keperluan yang tidak terdaya dilawan.
  • Merasa terasing.

Satu-satunya cara untuk melepaskan perasaan ini boleh menjadi satu lagi pertemuan seksual, maka anda perlu untuk mencari seks lebih lagi.

Tubuh yang ketagihan seks memerlukan jumlah seks yang semakin banyak, ertinya merasa mahu melakukan seks sehinggakan tidak pernah betul-betul puas.

Amaran gejala ketagihan seks mungkin termasuk:
  • Sesetengah jenis tingkah laku seperti seks biasa yang kerap, membuat banyak hubungan luar apabila berada dalam satu hubungan atau seks yang berisiko tinggi.
  • Penggunaan berlebihan pornografi.
  • Masturbasi (melancap) yang tidak terkawal.
  • Perasaan bimbang mengenai kelakuan anda.
  • Mahu berhenti atau mengubah tingkah laku seksual anda.
  • Perasaan tidak dapat berhenti, walaupun mahu.
  • Menggunakan seks sebagai cara untuk menangani masalah-masalah lain.
  • Memerlukan lebih banyak seks untuk mendapatkan kepuasan yang sama.
  • Perasaan yang sangat rendah / 'lo atau rasa bersalah selepas itu.
  • Penggunaan banyak masa merancang atau terlibat dalam seks.
  • Hilang acara sosial yang penting atau bahkan bekerja semata-mata untuk mengejar seks.

Kesan buruk dari ketagihan seks termasuklah:
  • Putus satu hubungan cinta yang bermakna.
  • Kehilangan peluang pekerjaan.
  • Jangkitan kelamin. Bermacam-macam penyakit seperti Siflis, AIDS, Chancroid, Gonorea, Hepatitis Herpes dan sebagainya.
  • Kehamilan yang tidak diingini.
  • Kemurungan adalah perkara biasa dikalangan penagih seks (ia mungkin menjadi faktor yang membawa kepada ketagihan atau memburukkan masalah dan peratusan seorang dari lima orang mungkin telah membunuh diri.

Perilaku-perilaku buruk lain akibat ketagihan seks yang akan berlaku:
  • Munculnya golongan-golongan 'Flasher' (orang-orang yang membuka pakaiannya untuk menunjukkan kemaluannya di khalayak ramai dengan sekali imbas atau beberapa kali).
  • Voyeurisme (golongan pengendap atau 'skodeng' kata orang Terengganu).
  • Sexual fetishism (keinginan seks dengan barang-barang, contohnya pakaian dan juga anggota-anggota tubuh badan seperti kaki, tangan dan sebagainya.
  • Pelacuran.
  • Suka tayang tubuh seksi tidak kira dalam majalah, laman web dan sebagainya.
  • Main kayu tiga. Suami atau isteri makan luar.
  • Berhubungan seks dengan pasangan yang baru dikenali atau sesiapa saja.
  • Telefon seks dan akses melalui internet pada laman web porno.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: bharian | unikversiti

4 Perkara Ajaib Akan Berlaku Apabila 5G Dilancarkan

4 Perkara Ajaib Akan Berlaku Apabila 5G Dilancarkan

Keterujaan 5G semakin terasa di Malaysia tatkala ujian mengenai spektrum Internet berkelajuan tinggi berkenaan bakal dilancarkan, bagaimanapun ramai beranggapan ia hanyalah talian Internet berkelajuan tinggi, seperti mana yang sudah kita nikmati.

Fakta 5G

Akan tetapi pada hakikatnya, spektrum 5G ini apabila dilaksanakan kelak, membolehkan kita melakukan apa yang kita kini sifatkan sebagai keajaiban.

Ini adalah empat perkara yang bukan lagi 'ajaib' apabila 5G dilancarkan.

1. Pembedahan secara 'remote'

Doktor yang melakukan pembedahan boleh menggunakan peralatan yang boleh dihubung capai menggunakan 5G untuk melakukan pembedahan kepada pesakit tanpa perlu berada di bilik pembedahan.

Doktor yang membedah pesakit juga boleh merasai tindak balas dari tubuh pesakit, jika ada.

2. Kenderaan tanpa pemandu

Kenderaan tanpa pemandu sudah lama diimiginasikan oleh pengeluar-pengeluar kereta seluruh dunia, tetapi masih belum dapat dilaksanakan.

Tetapi, dengan kelajuan Internet yang bakal dibawakan oleh 5G, setiap kenderaan kini mampu berkomunikasi antara satu sama lain untuk memastikan ia tidak saling berlanggar serta faham tanda lampu lampu isyarat.

3. Dron

Lebih banyak potensi dron akan dibongkar menerusi teknologi 5G. Antara yang paling ditunggu-tunggu ialah kemampuan pemandu dron untuk mengawalnya secara tepat terutama sekali ketika ia menghantar visual secara langsung.

4. Realiti maya ( virtual reality )

Jika ketika ini kita sudah boleh berbangga kerana mampu berhubung secara video secara langsung dengan sesiapa sahaja, teknologi 5G membolehkan panggilan video dibuat secara realiti maya.

Ini akan menjelmakan pelbagai lagi kemungkinan dalam cara kita berkomunikasi pada masa hadapan.

Korea Selatan Lancar 5G, Negara Pertama Perkenal Sambungan Internet Terpantas

Tiga penyedia telekom utama, SK Telecom, KT dan LG Uplus di Korea Selatan, memulakan perkhidmatan 5G mereka pada jam 11 malam (3 April 2019), waktu tempatan walaupun ia mengumumkan tarikh pelancaran itu adalah pada keesokkannya.

Difahamkan, tarikh pelancaran itu terpaksa dilakukan lebih awal selepas pengendali rangkaian mudah alih Amerika Syarikat (AS), Verizon didakwa mahu memulakan perkhidmatan 5G mereka.

Verizon dikatakan telah melancarkan perkhidmatan 5G di Chicago dan Minneapolis, seminggu lebih awal dari tarikh yang dijadualkan.

Tetapi, Seoul mendakwa mereka membuat pelancaran itu dua jam lebih awal dari AS.

Seoul yang mempunyai reputasi baik dalam kehebatan teknikal melancarkan perkhidmatan 5G itu untuk merangsang pertumbuhan ekonomi.

Menurut pakar, 5G akan membawa sambungan telefon pintar 20 kali lebih laju berbanding 4G yang membolehkan pengguna memuat turun filem dalam tempoh kurang sesaat.

Teknologi itu penting untuk pembangunan peranti masa depan seperti kenderaan pandu sendiri dan dijangka membawa manfaat ekonomi global kira-kira AS$565 bilion (RM2.3 trilion) menjelang 2034.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: astroawani | sinarharian


Zeus Bobber, Motorsikal Elektrik 190 Kuasa Kuda

Zeus Bobber, Motorsikal Elektrik 190 Kuasa Kuda

Dinamakan sebagai Zeus Bobber, Curtiss Motorcycles hadir dengan motorsikal elektrik yang mempunyai daya kuasa yang luar biasa dan disasarkan buat mereka yang sukakan kelajuan dengan pelancaran seawal tahun 2020.

Zeus Bobber Motorsikal Elektrik

Dengan berat sekitar 215 kilogram, Zeus Bobber berjaya merekodkan kelajuan 0 ke 100km/h dalam jangka masa 2.1 saat sahaja.

Zeus Bobber Motorsikal Elektrik

Semuanya dibantu oleh enjin elektrik yang mempunyai 190 kuasa kuda dan 145Nm.

Lebih menarik, pengecasan penuh bagi bateri Zeus Bobber membolehkan motosikal elektrik ini meluncur sejauh 450 kilometer. Hebat bukan?

Zeus Bobber Motorsikal Elektrik

Dari segi rekaan, warna hitam dipilih bagi menampakkan lagi sisi maskulin motorsikal elektrik ini ditambah dengan beberapa sisi luaran yang glossy bercat hitam.

Zeus Bobber Motorsikal Elektrik

Setakat ini, Curtiss Motorcycles sudah mula membuka ruang pra-tempahan bagi model ini dengan harga $60,000 (~RM247,674.00).

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: thevocket

Stratolaunch, Pesawat Terbesar Di Dunia Lakukan Penerbangan Sulung

Stratolaunch, Pesawat Terbesar Di Dunia Lakukan Penerbangan Sulung

Pesawat terbesar di dunia, Stratolaunch yang mempunyai dua fiuslaj dan enam enjin Boeing 747 melakukan ujian penerbangan pertamanya di California, ialah pesawat yang unik kerana mempunyai dua tubuh yang disambungkan kepada sayap juga merupakan yang paling panjang dalam sejarah dunia.

Pesawat Terbesar Di Dunia

Stratolaunch juga direka khusus untuk sistem pelancaran roket dan turut dilengkapi enam enjin jet yang diambil dari pesawat jumbo Boeing 747.

Setelah hampir dua tahun selepas diumumkan, Staratolaunch berjaya melakukan penerbangan sulungnya pada hari Sabtu, 13 April 2019.

Staratolaunch terbang selama dua jam setengah sebelum mendarat di Lapangan Terbang Udara dan Angkasa Lepas Mojave.

Pesawat Terbesar Di Dunia

Ia berjaya terbang pada ketinggian 5,200 meter dan mencatatkan kelajuan maksimum 304 km/j.

Dengan kejayaan penerbangan sulung ini, Staratolaunch dengan sayap terpanjang di dunia selebar 117 meter, memecahkan rekod yang dipegang oleh Hughes H-4 Spruce Goose sejak 1947, sepanjang 97.54 meter.

Selepas ujian penerbangan, Staratolaunch akan melakukan ujian pelancaran roket pula pada tahun 2019 ini.

Pesawat Terbesar Di Dunia

Sekiranya berjaya, Stratolaunch yang mampu membawa roket dengan berat sehingga 500,000 pound (227,000 kg) di antara dua tubuhnya, menawarkan satu lagi alternatif untuk melancarkan satelit atau kargo ke angkasa lepas.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: amanz

SBDJ Siri 46: Berjalan Atas Angin

SBDJ Siri 46: Berjalan Atas Angin

Kedai kopi dan barang-barang runcit yang diusahakan oleh Saadun Juling mendapat sambutan amat menggalakkan dari para penduduk setempat. Di samping berniaga, Saadun Juling terus mendalami ilmu agama.

Berjalan Atas Angin

Setiap malam, dia mengundang seorang guru agama yang terkemuka di daerahnya Tuan Haji Nawawi Al-Petani ke rumahnya.

Dia belajar selok-belok agama Islam dari pukul sepuluh hingga menjelang dua belas malam.

Selama dua tahun Saadun Juling berniaga, dia telah mendermakan wang ringgitnya untuk membesarkan beberapa buah masjid di daerahnya, juga mendirikan beberapa buah surau serta mendirikan sekolah agama rakyat untuk kanak-kanak yang berusia tujuh tahun ke atas belajar agama Islam.

Atas nasihat Tuan Haji Nawawi Al-Petani, Saadun Juling dan isterinya berhijrah ke Kelantan.

Dua tahun menetap di Kelantan, kemudian pindah ke Petani di Selatan Siam, mendalami ilmu agama Islam dengan beberapa guru agama yang terkenal di sana.

Setelah menetap selama tiga tahun di Petani, Saadun Julling dan isterinya pergi ke tanah suci dengan berjalan kaki dan akhirnya menetap di Jeddah.

Menurut beberapa orang penduduk Tanjung Ara yang pernah pergi ke Mekah dan sempat berjumpa dengan Saadun Juling di Jeddah, menyatakan yang Saadun Juling telah membuka perniagaan di sana.

Khabarnya, Saadun Juling boleh bertutur bahasa Arab dengan fasih, boleh menulis dan hafaz Quran. Namanya juga sudah berubah dari Saadun Juling menjadi Saadun AlHafiz.

Datuk cukup gembira mendengar berita yang disampaikan oleh pendu­duk Tanjung Ara padanya.

“Rajin dan usaha itu tangga kejayaan dan Allah tidak pemah menghampakan harapan dan cita-cita manusia yang bekerja keras untuk mengubah nasib hidupnya.

Contohnya, kau sendiri sudah melihat dan mendengar tentang hal diri Saadun Juling yang sesat dalam perjalanan hidup dan kembali ke pangkal jalan untuk membina hidup baru yang lebih bererti sebagai manusia yang beragama Islam”, ujar datuk pada saya.

Wajah datuk saya renung, kelihatan peluh-peluh halus mula meruap didahi luas yang disinari oleh matahari petang dalam kawasan kebun pisang emasnya yang seluas satu ekar lebih.

Saya tahu, sejak dua tiga tahun kebelakangan ini, saya dan datuk banyak menghabiskan masa di kebun pisang.

Saya menolong datuk membuang daun-daun pisang kering, menebang dan mengambil pisang yang sudah tua.

Buah-buah pisang tua itu dilonggokkan pada satu tempat, sementara menanti lori pemborong buah pisang mengambilnya.

Dan urusan menimbang, menjual dan mengutip wang datuk serahkan bulat-bulat pada saya.

"Lama sungguh kita tidak ke mana-mana tok”, kata saya, sebaik saya selesai menebang pokok pisang di hujung sempadan.

Datuk yang asyik me­ngumpul daun-daun pisang tua, dekat pangkal pokok pulai, berhenti mengumpulkan dedaun pisang itu.

Dia terus renung muka saya dan akhirnya duduk atas batang getah yang tumbang.

"Kenapa? Kau jemu duduk di rumah?”

"Tidak, saja tanya.”

"Sejak balik dari Tanjung Ara, kalau tak silap aku, sudah dua kali meninggalkan tumah, kali pertama aku pergi ke Sungai Petai, dekat Alor Gajah Melaka. Kali kedua aku pergi ke Bukit Tengah di Seberang Perai.”

"Tapi, saya tok tak ajak.”

"Oh, aku terlupa nak ajak”, kata datuk sambil ketawa.

Dia menyapu peluh di dahinya dengan telapak tangan kanan. Matahari petang kian condong. Bayang saya yang berdiri dekat pokok pisang emas kelihatan memanjang di bumi.

Bunyi suara burung tekukur dan merbuk, sudah jarang-jarang kedengaran. Angin juga mula bertiup lemah.

"Berkemaslah Tamar, kita balik. Esok kalau panjang umur kita datang lagi”, tekanan suara datuk cukup rendah.

Dia pun melangkah ke pondok yang terletak di bucu tanah sebelah kanan. Saya mengekornya dari belakang.

Pondok itu sengaja didirikan oleh datuk sebagai tempat berehat dan sembahyang.

Tidak jauh dari pondok itu terdapat sebatang anak sungai yang airnya cukup jernih.

Air sungai itu tidak pernah kering walaupun musim kemarau. Jika musim tengkujuh airnya tidak pernah melimpah ke paras tebing.

Sampai di pondok, datuk terus berehat di pelantar dekat tangga. Saya menggeliat dua tiga kali di depannya untuk menghilangkan rasa lenguh di pangkal belikat dan lengan.

"Aku nak mandi ke sungai, kau nak ikut?”, datuk mempelawa saya sambil meletakkan kain basahan di bahu sebelah kiri.

"Tak mahu tok.”

"Sebab?"

"Bila mandi di sini, sampai di rumah kena mandi lagi. Kita balik terpaksa berjalan, badan kita tentu berpeluh, lebih baik mandi sekali di rumah.”

"Terpulanglah pada kau Tamar.”

Datuk pun mengatur langkah menuju ke sungai. Sementara menanti datuk selesai mandi, saya terus membersihkan sekitar kawasan pondok.

Semua sampah sarap yang sudah di kumpulkan itu saya bakar.

Bila saya mahu melangkah ke arah pangkal pokok tembusu untuk mengutip daun-daun yang jatuh di pangkalnya, saya dapati datuk sudah tercegat di situ.

Dada saya berdebar. Batang tubuh datuk saya perhatikan, dari atas ke bawah, dari bawah ke atas. Saya terasa ada sesuatu yang ganjil terjadi pada diri datuk.

"Kenapa? Kamu terkejut kerana aku berada di sini?”, datuk menjegilkan biji matanya ke arah saya.

Pertanyaan itu tidak saya balas. Saya masih mencari jawapan, bagaimana datuk boleh berada di situ?

Biasanya, bila pulang dari sungai, datuk akan menggunakan jalan yang selalu digunakan.

Aneh, macam mana saya tidak dapat mendengar bunyi tapak kakinya. Semua persoalan itu muncul dalam tempurung kepala saya.

“Tok ada masalah?" Saya memberanikan diri, mengajukan pertanyaan.

Saya lihat datuk gelengkan kepala sambil tersenyum. Dengan tenang datuk menarik tangan saya menuju ke pelantar. Kami duduk di situ.

Datuk menepuk bahu kiri saya, penuh dengan rasa kasih mesra. Dan datuk bagaikan tahu tentang keraguan yang timbul dalam hati saya.

"Sebenarnya, aku berjalan tadi mengikut gerak angin dan tapak kaki aku bila tersentuh bumi atau daun tidak akan mengeluarkan sebarang bunyi.

"Batang tubuh aku tidak dapat dilihat oleh mata kasar manusia, aku berada di sisi kamu ketika kamu membakar sampah, malah aku menolong menghidupkan api, kau tak nampak”, datuk membuka rahsia dirinya.

Saya menarik nafas panjang, perlahan-Iahan saya melagakan gigi atas dengan gigi bawah beberapa kali. Keterangan dari datuk itu amat menakjubkan.

"Agaknya datuk dikejar binatang buas membuat datuk terpaksa bertindak begini.”

"Tidak.”

"Kalau tidak untuk apa datuk berjalan mengikut arah angin dan menghilangkan diri, mesti ada sesuatu muslihat.”

"Tak ada Tamar, apa yang aku lakukan sekadar mengamalkan. Sebabnya, ilmu yang ada jika tidak diamalkan dalam masa tertentu boleh jadi kita lupa.”

"Saya faham.”

Datuk terus mengajak saya pulang. Kira-kira dua puluh langkah meninggalkan pondok, saya teringatkan buah-buah pisang yang terlonggok di bahagian tengah kebun.

Saya bimbang kalau buah-buah pisang yang dianggarkan beratnya lebih dari lima belas pikul itu akan hilang.

Barangkali datuk lupa tentang buah-buah pisang tersebut. Saya perlu mengingatkannya. Saya tidak rela sama sekali buah-buah pisang itu akan jadi habuan pencuri.

Mana boleh jadi, kita yang bekerja setengah mati orang lain mendapat feadahnya dengan mudah.

Hujung baju datuk segera saya tarik dari belakang. Langkahnya terus mati.

"Kenapa?"

"Pisang kita tok?”

"Kenapa pula dengannya? Kau nak bermalam dengan buah-buah pisang itu?”

"Takut dicuri orang tok.”

"Haaaa..”

Datuk segera menyandarkan badannya pada salah satu pokok getah yang berbaris dikiri kanan jalan yang kami lalui.

Dia mengerutkan dahinya sambil menepuk tangan tiga kali berturut-turut. Kemudian datuk tegakkan badannya sambil menghalakan wajahnya ke arah angin yang datang.

Datuk lurut lengan kanan dengan tapak tangan kiri, tiga kali berturut-turut. Dengan tenang datuk memetik ibu jarinya sebanyak dua kali, bunyi yang lahir dari petikan ibu jarinya berbunyi cukup kuat.

"Datang ke mari sekejap, ada kerja yang nak aku serahkan pada kamu”, ujar datuk dengan tenang.

Saya segera menghampirinya. Berdiri di sebelah kiri datuk.

Tiba-tiba datuk menolak badan saya hingga tersungkur atas tanah. Saya segera bangun, muka datuk saya renung, ternyata datuk tidak ambil kisah dengan apa yang terjadi.

Mulutnya kelihatan bergerak-gerak. Bila mulutnya berhenti dari bergerak, saya terus mengajukan pertanyaan padanya.

"Kenapa saya di tolak tok?"

"Aku tak panggil kau.”

"Habis datuk panggil siapa?"

"Itu, aku panggil itu”, jari telunjuk datuk menuding ke arah rimbunan pokok senduduk yang kelihatan bergoyang-goyang.

Saya tergamam, seekor harimau belang menuju ke arah datuk. Berhenti dan merebahkan badannya atas tanah di depan datuk, sambil mengoyang-goyangkan ekornya, tidak ubah seperti kucing yang manja.

Datuk tepuk kepala harimau itu dua tiga kali. Harimau itu membuka mulutnya luas-Iuas. Lidahnya menjilat pergelangan tangan datuk.

Saya memberanikan diri lalu mengurut-urut badan harimau tersebut. Dengan penuh rasa manja hari­mau itu mengerak-gerakkan ekornya ke bahu dan muka saya hingga terasa geli.

"Malam ni, kau jaga pisang kami, esok aku nak jual. Ingat kalau ada orang yang mahu mencurinya kau halaukan saja, jangan cederakan manusia”, kata datuk pada harimau itu.

Saya lihat harimau itu merenung ke muka datuk, kemudian memejamkan kedua belah matanya sambil mengaum kecil.

"Pulanglah,” kata datuk, harimau itu segera bangun dan menggesel-geselkan badannya ke badan datuk.

Kemudian harimau itu bergerak menuju ke rumpun senduduk lalu hilang. Datuk menepuk bahu saya dua tiga kali.

"Kau sudah tahu siapa yang aku panggil Tamar?"

"Tahu tok.”

"Dialah yang menjaga pisang kita malam ini.”

"Saya tahu tok.”

"Kalau sudah tahu, jangan banyak bertanya, mari kita balik.”

Kami pun melangkah. Langkah datuk terlalu cepat membuat saya terpaksa berlari-Iari anak.

Jarak rumah datuk dengan kebun pisang lebih kurang dua batu. Memang perangai datuk, tidak suka naik basikal pergi ke kebun pisangnya, dia lebih suka berjalan kaki.

Satu keistimewaan yang terdapat pada diri datuk, dia tidak pernah merasa letih berjalan kaki, walaupun sampai berpuluh-puluh batu.

Badan saya mula berpeluh tetapi, angin petang yang bertiup perlahan-Iahan itu dapat mengurangkan rasa kepanasan di badan.

Hati saya jadi terhibur, melihat telatah dan ragam monyet-monyet liar yang berlompatan dengan bebas di dahan-dahan pokok getah yang berdiri di kiri-kanan jalan enam kaki.

Sedang asyik melangkah, saya dikejutkan oleh suara jeritan dari datuk secara mendadak.

Saya lihat datuk membuka langkah silat sambil melompat ke kanan. Dalam saat yang sama saya lihat sebatang dahan getah mati jatuh menuju ke arah datuk.

Dengan tangkas datuk menyambar dahan itu lalu dicampakkan ke sebelah kanan jalan.

Dahan getah yang jatuh itu sama besarnya dengan betis pemuda yang berusia 20 tahun.

Andainya dahan getah itu tepat mengenai batang tubuh datuk, pasti membawa maut.

Datuk segera menoleh ke arah saya sambil tersenyum bangga. Datuk pun memberi isyarat supaya meneruskan perjalanan.

"Berjalan dalam hutan atau dimana-mana, kita harus berwaspada. Mesti tahu menguasai diri, pandai mengira langkah dan gerak makhluk serta alam”, sambil berjalan datuk memberikan ceramah kecil.

Saya anggukkan kepala. Memang saya tidak ada minat untuk mendengarnya. Semua yang diluahkan oleh datuk tidak masuk dalam otak saya.

"Semuanya itu mustahak untuk diri kita, kalau tidak mahu menuntut ilmunya, tidak salah kalau sekadar kita mahu ambil tahu saja”, sambung datuk lagi.

Saya gigit bibir. Kedua belah pangkal peha saya mula terasa sakit.

"Bagaimana kita mahu tahu tentang semuanya itu tok?", secara tidak disedari saya mengeluarkan pertanyaan.

"Setiap manusia ada pancaindera yang lima. Kita hanya memerlukan satu daya usaha untuk mempertajamkan pancaindera yang lima itu supaya jadi lebih berkesan lagi.

"Caranya harus belajar dari petua orang tua-tua dan kita harus amalkan. Perkara yang utama dan penting ialah keyakinan, tabah dan sabar”, cukup ghairah datuk menerangkannya pada saya.

Kerana saya tidak mengemukakan sebarang pertanyaan, datuk tidak melanjutkan keterangannya.

Kami terus berjalan, sambil berjalan saya terus merenung ke arah dahan-dahan pokok getah tempat monyet liar bergayutan.

Saya juga mengawasi kalau ada dahan getah mati yang mahu jatuh. Saya kira kalau ada dahan yang jatuh sebesar lengan budak, saya mahu menyambutnya seperti apa yang telah datuk lakukan.

"Jangan mencuba, kalau tidak tahu. Nanti padah menimpa diri”, saya jadi terkejut dengan kata-kata datuk tu.

Rupa-rupanya datuk dapat membaca apa yang tersirat dalam dada saya.

"Saya cuma berangan-angan saja tok.”

"Angan-angan kalau dilakukan dengan baik, cukup pertimbangan yang sempurna akan jadi cita-cita.”

"Saya faham tok. Tetapi, untuk menjayakan cita-cita tu bukanlah satu perkara yang mudah.”

"Kau berusaha. Kalau kau mahu belajar ilmu gerak manusia dan alam, cari sendiri jangan harap ada orang lain datang menyerah untuk memberikan ilmu itu."

“Begitu.”

Datuk segera menoleh ke arah saya. Dia merasakan jawapan yang terakhir dari saya itu, macam menyindir dan membayangkan rasa tidak ada kesungguhan dari saya. Akhirnya, kami pun sampai ke rumah.

Saya terus memetik buah belimbing buluh yang tua. Buah belimbing itu saya bawa ke sungai bersama dua tiga helai daun pandan wangi.

Buah belimbing yang sudah diramas itu, saya gosokkan ke badan untuk menghilangkan getah pisang yang terletak di badan serta menghilangkan rasa gatal dan daki.

Kemudian daun pandan yang sudah di campurkan dengan air satu baldi, saya juruskan ke tubuh untuk mewangikan bau peluh dan badan.

Saya dan datuk terus ke surau untuk sembahyang Maghrib dan Isyak.

Lebih kurang pukul sepuluh malam, baru kami pulang. Datuk seperti biasa akan menghabiskan masa sebelah malamnya dengan membaca Quran hingga menjelang waktu subuh.

Pagi itu, saya di suruh oleh datuk supaya menemui Lim Kim Bok yang menjadi peraih buah pisang.

Setelah berunding dengan Lim Kim Bok beberapa minit, dia terus menelefon adiknya, Lim Tong King yang tinggal di Sitiawan.

"Adik saya beli semua pisang datuk awak, dia nak jual pisang tu ke Kuala Lumpur, Melaka dan Johor Bharu”, katanya.

"Bila dia sampai Kim Bok?"

"Sekarang pukul tujuh. Lebih kurang pukul lapan setengah dia sampai.”

"Saya mahu nanti di mana? Nanti dia tak tahu tempatnya.”

"Tunggu di kebun, adik saya tahu tempatnya. Sudah banyak kali dia ambil pisang di kebun datuk awak.”

"Dia tahu di mana tempatnya, Paya Besar.”

"Apa awak cakap ni. Saya kata dia tahu, apa lagi mahu banyak cakap.”

"Jangan marah”, ujar saya sambil ketawa kecil.

Saya terus pulang ke rumah. Dari rumah, saya bersama datuk dan nenek berjalan kaki menuju ke kebun pisang di Paya Besar. Sampai di kebun pisang saya terlihat kesan tapak kaki harimau.

"Ada orang menunggu pisang awak malam tadi?", nenek bersuara.

"Ada”, jawab datuk, sambil menaburkan tujuh biji bertih ke dalam rumpun pokok senduduk.

Saya lihat rumpun senduduk itu bergoyang dan saya terpandang kelibat seekor harimau.

"Pulanglah, kau sudah menolong aku”, kata datuk lagi.

Seekor harimau melintas di depan kami sambil berjalan tunduk macam kucing peliharaan melintas di hadapan tuannya.

Sementara menanti lori yang dijanjikan tiba, kami terus membersihkan kawasan kebun pisang.

Satu jam kemudian lori yang ditunggu-tunggu pun tiba. Semua pisang yang ada di situ ditimbang dan dimasukkan ke dalam lori.

Di situ juga Lim Tong King membuat pembayaran. Wang dari hasil penjualan pisang yang berjumlah lebih kurang tiga ratus ringgit datuk serahkan pada nenek.

"Simpan wang tu baik-baik, seratus ringgit awak serahkan pada Imam Musa untuk tabung masjid dan lima puluh ringgit awak bagi pada Long Munah yang baru mati suami dua hari lalu. Bakinya terpulanglah pada awak”, kata datuk.

Nenek anggukkan kepala mendengar cakap datuk itu.

Lim Tong Kim menghampiri datuk, dia menarik tangan datuk menuju ke arah pokok getah tua dekat sempadan tanah sebelah kanan.

Mereka bercakap-cakap sebentar, kemudian datuk datang menemui nenek kembali.

"Kita balik naik lori”, kata datuk pada nenek sambiI merenung muka saya.

Cepat-cepat saya menggigit bibir dan rasa aneh mula bersarang dalam dada saya.

Selalunya datuk tidak pernah mahu pulang awal, mesti ada muslihat tertentu yang membuat datuk bertindak begitu demikian hati kecil saya mem­buat ramalan.

"Kenapa tok nak balik cepat?", tanya saya.

"Si Lim Tong King ni, ajak aku jadi kawannya ke Johor Bharu, dia takut kerana banyak bawa duit.”

"Ah, awak ni mengarut, kerana orang sanggup bersusah payah”, nenek melahirkan rasa kurang senangnya. Datuk saya lihat tersenyum.

"Mari naik”, kata Lim Tong King.

Nenek pun naik lori duduk di depan dekat pemandu. Saya dan Lim Tong King duduk di bahagian belakang lori yang tidak berbumbung itu.

Lim Tong King yang jadi towkey pisang itu bertindak sebagai kalendan, sekali pandang memang tidak ada potongan seorang saudagar pada diri Lim Tong King.

Enjin lori pun dihidupkan. Datuk masih lagi tercegat di situ. Tidak ada tanda-tanda yang dirinya akan naik lori.

"Naiklah tok”, kata saya.

"Tak payah, aku jalan kaki saja”, jawabnya sambil memulakan langkah.

Lori yang berkepala merah, berbadan hijau pun bergerak, melalui jalan enam kaki.

Bila layar lori itu terlanggar lubang, badan saya turut terhuyung-hayang, macam orang mabuk todi. Lori yang kami naiki sampai dihalaman rumah.

Pemandu lori dan Lim Tong Kim terkejut melihat datuk duduk di kaki tangga sambiI melurut-Iurut sebatang kayu.

Nenek turun dari lori, begitu juga dengan saya. Cepat-cepat saya masuk ke rumah mengemaskan pakaian yang saya fikirkan perlu untuk di bawa.

"Awak jalan kaki ke atau terbang”, kata Lim Tong King.

"Jalan kaki.”

"Awak mesti pakai ilmu.”

"Tidak”, jawap datuk sambil ketawa kecil.

Saya keluar dari rumah dan berdiri dekat datuk. Kemudian, datuk pun bangun berjalan tiga langkah ke depan lalu memacak kayu yang dilurutnya tadi di atas tanah.

Datuk renung ke langit, melihat awan dan matahari yang kian marak bersinar. Datuk cabut kayu itu sambil menggigit lidah. Bahagian kayu yang tertanam di tanah datuk raba berkali-kali.

Kesan tanah yang terletak di situ datuk ambil. Tanah itu datuk ramas berkali-kali. Telapak tangannya dibuka dan tanah yang diramasnya kelihatan berbuku-buku.

Dengan mulutnya, datuk hembus tanah di telapak tangannya hingga berterbangan entah ke mana.

"Langkah kita baik, tapi ada halangan sedikit, dengan izin Allah rintangan itu berjaya kita atasi”, begitulah datuk memberitahu saya.

Lim Tong Kim kelihatan tercengang-cengang. Datuk terus tepuk bahu kanan Lim Tong King.

Datuk terus rapat ke lori berkepala merah. Saya ikut dari belakang.

“Saya ikut awak, belum tentu sampai ke Johor Bharu. Sebabnya, bila saya ingat nak balik, saya balik awak tak boleh halang saya”, datuk mengeluarkan syarat pada Lim Tong King.

Ternyata, syarat tidak mendapat bantahan. Kami meninggalkan rumah kira-kira jam sepuluh pagi Rabu.

Datuk dan saya duduk di bahagian depan lori, Lim Tong King duduk di belakang.

Satu hal yang tidak menyenangkan diri saya, lori yang membawa pisang itu terlalu kerap sangat berhenti, kerana mengambil dan menjual pisang di bandar-bandar yang dilaluinya.

Lebih kurang pukul dua petang, kami sampai ke Kuala Dipang, datuk menunaikan sembahyang Zohor di situ.

Sembahyang Asar datuk lakukan di Masjid Bidor dan dari Bidor, LimTong King tidak lagi jadi kelindan. Dia mengambil tugas kawannya. Dia jadi pemandu dan kawannya jadi kelindan.

Kali ini, saya mula terasa seronok naik lori tersebut kerana tidak berhenti-henti lagi.

"Berhenti di Kelumpang Tong King, saya nak sembahyang Maghrib”, datuk mengingatkan Lim Tong King, sebaik sahaja kami melintasi pekan Tanjung Malim.

Bila sampai di Kelumpang datuk terus ke masjid dan Lim Tong King mengurus penjualan pisang dengan Cina di pekan tersebut.

Bila datuk keluar dari masjid, Lim Tong King masih lagi belum selesai berurus dengan kawannya. Datuk memberitahu Lim Tong King yang dia mahu balik ke masjid semula.

"Begini, awak tunggu di masjid. Bila kerja saya selesai, saya panggil awak, lagipun saya rasa tak larat nak bawa lori sampai ke Kuala Lumpur.

Saya ingat mahu tidur di rumah abang ipar saya yang berniaga kedai runcit di Kuala Kubu Bharu”, Lim Tong King memberitahu datuk.

"Kalau begitu kata awak, saya ikut saja”, balas datuk.

"Saya bimbang, saya bawa duit dekat lima ribu ringgit.”

"Tak apa”, datuk menenangkan perasaan Lim Tong King.

Saya dan datuk kembali ke masjid. Bila selesai sembahyang Isyak baru Lim Tong King me­manggil kami melalui seorang budak Melayu yang bekerja di kedai yang membeli pisangnya.

Kami tinggalkan pekan Kelumpang lebih kurang hampir pukul sepuluh malam.

Entah apa malangnya, ketika lori yang saya dan datuk tumpangi melalui satu selekoh berhampiran dengan tanah perkuburan orang-orang Cina, lori itu mengalami kerosakan.

Enjinnya mati dengan tiba-tiba. Puas dibaiki tidak juga mahu hidup.

Lim Tong King menyuruh kawannya pergi ke Kelumpang mencari foremen. Nasib baik sebuah kereta yang ditahan mahu berhenti dan bersedia membawa kawan Lim Tong King ke Kelumpang.

Sejam kemudian, kawannya kembali tanpa foremen. Akhirnya, datuk membuat keputusan supaya kami duduk di dalam lori sementara menanti hari siang.

Pada mulanya, kerap juga kereta lalu disitu. Bila menjelang pukul satu malam, kereta mula berkurangan.

Suasana di situ terasa cukup sunyi. Bila saya toleh ke kanan, rasa takut mula menghantui hati saya.

Apa yang saya lihat ialah batu-batu nisan di tanah perkuburan Cina. Keadaan itu membuat saya tidak dapat memejamkan mata.

Bila saya ingat, datuk juga tidur dalam lori, rasa takut segera hilang.

Lebih kurang pukul empat pagi, saya terdengar lolongan anjing sayup-sayup, bersama dengan bunyi desiran angin yang melanggar dedaun getah di kiri kanan jalan raya tersebut.

Saya renung ke tanah perkuburan Cina, saya lihat kabus mula menguasai seluruh kawasan itu. Batu-batu nisan yang tertegak kaku di situ saya rasa bergerak-gerak.

Dalam keadaan yang cemas itu, sebuah kereta Fiat 600 berwarna putih berhenti di belakang lori.

Dari perut kereta itu keluar empat orang lelaki Cina yang berusia antara dua puluh tahun hingga tiga puluh tahun. Mereka segera menuju ke bahagian depan lori.

Lim Tong King yang tidur di bawah lori terkejut, salah seorang dari lelaki itu mengeluarkan parang pemotong daging lalu mengacukan ke muka Lim Tong King.

Saya jadi tergamam melihat peristiwa yang terjadi di depan mata. Datuk yang duduk bersandar dekat sebatang pokok tidak jauh dari lori itu, buat tidak kisah dengan apa yang berlaku.

Lim Tong King masih lagi bertekak dengan empat lelaki tersebut.

Entah apa yang dikatakan oleh Lim Tong King, membuat lelaki yang memegang pisau pemotong daging itu naik darah.

Dia pun melepaskan penumbuk sulung ke muka Lim Tong King. Kawan Lim Tong King tidak dapat berbuat apa-apa.

Empat lelaki itu terus mengopak kusyen tempat duduk pemandu. Mereka berjaya mengambil wang dalam satu beg plastik yang diletakkan di situ. Lim Tong King menjerit.

"Letakkan, jangan ambil orang punya barang”, kata datuk.

Saya tidak sedar waktu bila datuk menghampiri mereka. Empat lelaki itu segera merenung muka datuk.

"Hei Melayu, lu jangan kacau kita. Kita tak ada kacau sama awak”, salah seorang dari lelaki itu menyergah datuk sambil melepaskan tendangan terbang ala kung fu.

Datuk tidak sempat mengelak, tendangan itu tepat mengenai dada datuk. Saya lihat datuk tersungkur.

Empat lelaki itu menyerbu datuk. Batang tubuh datuk tidak dapat saya lihat, hilang di kerumuni oleh empat lelaki itu.

Datuk menjerit dan empat lelaki itu terhumban berhampiran lori. Tiga darinya sudah tidak berdaya bangun. Tetapi seorang daripada mereka masih kelihatan gagah.

Datuk berhadapan dengannya, lelaki itu membuka silat kung fu dan datuk membuka buah langkah silat harimau jantan yang lebih banyak bersikap bertahan dari melakukan serangan.

Kerana datuk lebih banyak bertahan dari menyerang, membuat dia mempunyai lebih tenaga, berbanding dengan serangan kung fu dari lelaki tersebut.

Datuk saya lihat banyak menggunakan tipu helah dan akal dalam pertarungan itu.

Lelaki yang berbadan tegap tidak putus asa, kali ini dia melompat cukup tinggi menuju pada datuk.

Saya lihat datuk tersenyum dan menyerahkan tubuh badannya untuk digasak oleh lelaki itu.

Tetapi, bila lelaki itu merendahkan badannya dan menghulurkan kaki kirinya untuk menendang pangkal leher datuk, cepat-cepat datuk melompat sambil menyambar tangan kanan lelaki yang terkedang itu.

Datuk memusingkan ke belakang dan lelaki itu jatuh ke tanah, macam nangka busuk.

Bila lelaki itu cuba mahu bangun, datuk segera menepuk bumi. Kedua belah kaki lelaki itu bagaikan terpasung. Dia tidak boleh bergerak.

Datuk tepuk bumi lagi sekali, barulah lelaki itu boleh mengangkat kedua belah kakinya dan me­merintahkan kawan-kawannya menuju ke kereta untuk lari.

Bila mereka berada dalam kereta, cepat-cepat mereka menghidupkan enjin kereta.

Ketika itu juga terdengar ledakan pistol dari kereta tersebut, rupanya lelaki yang bertarung dengan datuk tadi mengambil pistol dan menembak datuk bertalu-talu.

Anehnya, peluru pistol yang ditujukan pada datuk tidak mencederakan tubuh badannya, cuma baju datuk sahaja yang berlubang-lubang.

Melihat keadaan itu, empat lelaki itu jadi cemas, mereka naikkan cermin kereta dan bersedia mahu meninggalkan tempat tersebut.

Datuk segera menghulurkan tangan kanannya sambil mengembangkan kelima-lima jarinya.

Sungguh menakjubkan, enjin kereta segera mati dan badan kereta nampak terangkat kira-kira lima kaki dari bumi, melayang-layang sebentar atas permukaan tanah perkuburan orang Cina di situ.

Keempat-empat lelaki itu menjerit dan datuk merapatkan tangannya ke dada, kereta itu segera berhenti di hadapannya.

"Buka pintu”, kata datuk.

Pintu kereta pun terbuka.

"Keluar.”

Ke empat-empat lelaki itu keluar.

"Pulangkan duit.”

Ke empat-empat lelaki itu segera menuju kepada Lim Tong King. Mereka sujud di kaki Lim Tong King. Salah seorang daripada mereka menyerahkan kembali wang yang di curi.

"Tolong baiki lori ini”, kata datuk, salah seorang dari lelaki menuju ke lori dan terus membuka bonet.

Dia melakukan sesuatu di situ. Kemudian bonet lori dirapatkan.

"Sudah baik”, katanya.

Lim Tong King masuk ke perut lori, menghidupkan enjin, ternyata enjin lori boleh dihidupkan. Saya tersenyum senang.

"Pulang, lain kali jangan kacau orang”, kata datuk.

Ke empat-empat lelaki itu masuk ke dalam kereta lalu meninggalkan kami.

Lima belas minit kemudian, kami pula meninggalkan kawasan tersebut. Kali ini kami singgah di Kerling. Datuk menunaikan sembahyang subuh di situ.

Selepas membaca Al-Quran dan wirid di masjid tersebut, saya dan datuk menuju ke kedai kopi.

Seperti yang dijanjikan Lim Tong King dan kawannya sudah menanti di situ. Saya dan datuk sampai ke kedai itu lebih kurang pukul enam setengah pagi.

"Awak minum dulu, saya nak cari foremen nak minta tolong periksa lori ni, supaya boleh berjalan dengan baik”, kata Lim Tong King.

Datuk bersetuju dengan apa yang dicakapkan oleh Lim Tong King. Saya dan datuk terus masuk ke kedai kopi tersebut.

Dalam kedai kopi terdapat lebih kurang sepuluh orang lelaki yang terdiri daripada para pekerja Jabatan Kerjaraya dan buruh ladang getah, minum kopi di situ.

Di sudut sebelah kiri kelihatan seorang lelaki Melayu memakai ketayap putih, berusia sekitar lima puluh tahun.

Datuk bersalam dengan lelaki itu yang datuk kenali semasa sembahyang di masjid sebentar tadi.

"Kedai ini memang di buka sejak pukul enam pagi. Saya yang punya kedai tetapi, anak-anak saya yang menjalankan perniagaan”, lelaki berketayap putih memberitahu datuk.

Tidak saya duga, pertemuan di situ melahirkan rasa persaudaraan sesama Islam yang mendalam antara datuk dengan lelaki itu.

Datuk menceritakan apa yang terjadi pada dirinya dalam perjalanan tadi.

"Saya ni orang Islam, berdosa hukumnya mempercayai perkara yang karut-marut, tetapi, kejadian yang awak alami itu sudah kerap benar berlaku.

"Konon ceritanya, manusia yang awak lawan tu bukannya manusia”, cukup tenang lelaki itu bercakap.

"Kalau bukan manusia, siapa mereka?"

"Syaitan. Pernah terjadi pada diri saya diserang perompak di situ bila saya menyerah dan hari sudah siang saya jumpa wang yang saya dirompak itu atas nisan kubur Cina.

"Tidak jauh dari tempat kejadian itu saya terjumpa bangkai kereta yang menurut pihak polis terlibat dalam kemalangan jalan raya.

"Empat pemuda Cina yang menaikinya mati dan dikuburkan di situ.”

Dada saya berdebar mendengar cakapnya. Memang, saya sedar dan lihat ketika meninggalkan kawasan itu, menjelang waktu subuh tadi.

Saya terlihat bangkai kereta yang sudah berkarat dalam hutan lalang tidak jauh dari tempat lori kami berhenti.

Hal ini sungguh memeningkan kepala saya. Apakah yang datuk lawan malam tadi syaitan atau hantu dari tanah perkuburan orang Cina? Saya sendiri tidak dapat memberikan jawapannya.

Satu hal yang pasti, kawasan perkuburan Cina yang terletak diantara Tanjung Malim dan Kerling itu, memang menarik perhatian para pemandu, kerana di kawasan jalan yang berliku dan menaiki bukit itu kerap berlaku kemalangan yang dahsyat hingga kini.

Perbualan datuk dengan lelaki berketayap putih itu terhenti. Suasana dalam kedai kopi pagi jadi kelam-kabut.

Salah seorang dari orang yang minum disitu muntah darah dan mengelepar atas lantai, macam ayam kena sembelih.

Datuk segera menghampirinya. Datuk tekan dada orang itu dengan ibu jari, darah keluar memancut-mancut dari mulutnya.

Datuk segera mengambil segelas air sejuk, gelas yang berisi air itu datuk rapatkan ke bibirnya.

Datuk membaca sesuatu, kemudian datuk berikan pada orang yang sakit itu.

Bila air sejuk diminum habis satu gelas, orang itu terus muntah. Saya lihat muntahnya bercampur dengan kaca halus dan pasir, serta beberapa jenis serbuk.

Datuk tepuk belakang orang itu, muntahnya berhenti. Datuk segera membancuh garam dengan air satu gelas, air garam itu juga disuruhnya orang yang sakit itu minum.

Bila air garam itu selesai di minum, orang itu segera sihat.

Dia mengucapkan ribuan terima kasih pada datuk dan memperkenalkan dirinya sebagai Abdul Halim, berasal dari Kelantan dan bekerja sebagai pe­mandu lori balak.

Pada Abdul Halim, datuk membekalkan seketul ibu garam dan datuk menasihatkan padanya, sebelum minum kopi, baik di mana-mana pun serbuk garam itu mesti dibubuhkan terlebih dahulu sebagai penawar racun.

"Ini santau. Ada orang yang berniat tidak baik pada awak”, bisik datuk pada lelaki yang berketayap putih itu.

Muka orang itu kelihatan berubah wajah datuk direnungnya.

"Boleh awak menolong saya?"

"Saya cuma boleh berusaha. Yang menentukan kejayaannya adalah Allah.

"Tetapi ingat, kalau saya menolong awak, jangan sekali-kali awak mahu membalas dendam, saya cuma mahu berusaha menyekat perbuatan orang itu supaya jangan merebak dan merosakkan orang lain”, kata datuk.

"Ya, tapi saya mahu tahu orangnya.”

"Tak boleh. Belum tentu hal itu sengaja di lakukannya. Boleh jadi dia tersilap. Kita perlu mencari puncanya”, terang datuk lagi.

Lelaki berketayap putih itu terdiam.

Tamat siri 46/284

BACA: SBDJ Siri 45: Badan Pawang Berasap
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-SENTIASAPANAS.COM

Wednesday, April 17, 2019

6 Lokasi Blue Hole Di Lautan Yang Sangat Menakjubkan

6 Lokasi Blue Hole Di Lautan Yang Sangat Menakjubkan

Lubang Biru atau Underwater Sinkhole di lautan hanya boleh ditemui di beberapa negara di dunia merupakan suatu fenomena gua di bawah laut dengan lubang gergasi yang ternganga namun kaya dengan keindahan terumbu karang dan hidupan laut.

Blue Hole tampak seperti biji mata yang besar ditengah lautan luas, berbentuk lingkaran, berwarna biru gelap yang dikelilingi oleh laut berwarna biru muda.

Warna Blue Hole ini menunjukkan bahawa ia lebih dalam daripada laut disekeliling dan sebenarnya, Blue Hole adalah gua yang berbentuk vertikal.

Berikut adalah 6 Blue Hole yang boleh ditemui di dunia setakat ini.

1. Dragon Hole, China

Dragon Hole, China
Dragon Hole.

Dari semua Blue Hole yang terdapat di lautan, yang paling dalam terletak di China yang ditemui pada tahun 2017 lalu dan warga tempatan menggelarnya Dragon Hole atau Lubang Naga. Dengan lingkaran warna biru menghitam mengelilingi, ia terasa begitu misteri apabila melihatnya.

Pengkaji dari Sansha Ship Course Research Institute menyatakan bahawa kedalaman lubang ini adalah sekitar 300 meter yang diukur menggunakan robot yang mampu menghitung kedalamannya.

Sementara itu, ada sekitar 20 spesies hidupan laut yang ditemui di dalam lubang tersebut namun, kandungan oksigen sudah tidak boleh ditemui lagi dari 100 meter ke dalam.

Bagi masyarakat tempatan, Dragon Hole ini dianggap sebagai "mata" Laut China Selatan dan terletak di kawasan pantai Paracel Islands.

2. Great Blue Hole, Belize

Great Blue Hole, Belize
Great Blue Hole.

Di Belize, sebuah negara di Amerika Tengah, terdapat salah satu lubang bawah laut di dunia, iaitu Great Blue Hole. Berjarak 70 kilometer dari Belize City, kota terbesar di Belize, Great Blue Hole dengan kedalaman sekitar 125 meter, lebar 300 meter, diyakini sebagai Blue Hole terbesar di dunia.

Great Blue Hole adalah sebahagian dari gugusan terumbu karang Belize, yang terbesar kedua selepas Great Barrier Reef di Australia. Selain itu, ia juga telah diisytiharkan sebagai tapak warisan dunia oleh UNESCO.

Menjadi terkenal pada 1971 selepas pengkaji lautan, Jacques Cousteau, menjalankan dokumentasi terhadapnya, Great Blue Hole kemudiannya menjadi lokasi selaman popular sejak itu namun, sehingga kini masih banyak yang tidak diketahui mengenai Great Blue Hole.

Salah satu penemuan menarik di lokasi ini adalah, adanya lapisan rendah oksigen di bahagian atas dasar laut di Great Blue Hole.

Lapisan itu mungkin menyimpan bukti punca yang mempengaruhi kejatuhan peradaban Maya antara tahun 800 hingga 1,000 Masihi.

Ketika ekspedisi dijalankan, pengkaji menemui bukti bahawa Great Blue Hole tidak selalu berada di dalam air kerana mereka menemui adanya stalaktit dan stalagmit di dalamnya.

Stalaktit dan stalagmit hanya boleh terbentuk di dalam gua yang kering dan ini merupakan bukti bahawa permukaan laut dulu lebih rendah dan naik naik secara drastik akibat perubahan iklim.

3. Dean Blue Hole, Bahamas

Dean Blue Hole, Bahamas
Dean Blue Hole.

Dean Blue Hole adalah lubang besar yang ada di laut dan memiliki kedalaman sekitar 203 meter, terletak di Long Island, Bahamas.

Lubang biru besar ini lebih dikenali sebagai Dean Blue Hole, mirip nama seseorang kerana menurut penduduk tempatan, Dean Blue Hole dinamakan sempena nama keluarga yang memiliki tanah di sekitar The Bahamas Dean Blue Hole ini berada.

Dean Blue Hole yang terletak di bandar Clarence ini sering menjadi tempat snorkeling bertaraf dunia yang mahu melihat keindahan luar biasa gua bawah laut dan lubang biru besar disitu.

Ketika menyelam di Dean Blue Hole, terdapat lubang yang memiliki ukuran yang tidak terlalu besar, namun ketika meneruskan aktiviti snorkeling, lubang tersebut semakin lama akan semakin besar dengan diameter seratus meter.

Penyelam kemudiannya akan melihat banyak terowong dasar laut dengan jumlah air yang bertekanan tinggi, menandakan terowong tersebut mengalirkan air menuju ke laut lepas.

4. Great Barrier Reef, Australia

Great Barrier Reef, Australia
Great Barrier Reef.

Satu lagi Blue Hole boleh ditemui di gugusan batu karang terbesar dunia, Great Barrier Reef, Australia. Lubang raksasa ini dikelilingi oleh daratan pulau kecil yang terbentuk dari batu kapur serta terumbu karang dan mungkin lebih tua dari Great Blue Hole di Belize.

Lokasinya berada di salah satu kawasan Great Barrier Reef yang hampir tidak pernah dijelajahi, sekitar 200 km dari Daydream Island dan untuk sampai ke lokasi, anda harus melakukan perjalanan selama 10 jam.

Blue Hole ini ditemui sekitar bulan September 2017 dengan kedalaman dianggarkan sekitar 50 hingga 65 kaki.

5. Red Sea, Mesir

Red Sea, Mesir
Red Sea Blue Hole.

Satu lagi Blue Hole yang sangat terkenal terletak di tepi laut merah yang dalamnya mencapai 120 meter dan mempunyai terowong yang panjangnya 26 meter.

Blue Hole ini dikenali dengan panggilan The Arc kerana ramai penyelam yang ingin menjelajah terowong bawah laut ini akan berhadapan dengan kesukaran dan banyak terjadi kemalangan sewaktu menyelam.

Oleh kerana itu, Blue Hole ini dianggap menjadi tempat yang paling berbahaya bagi penyelam. Pihak berkuasa Mesir mendakwa bahawa, 40 penyelam telah meninggal dunia di lokasi ini.

Kemalangan paling terkenal dan terakam melalui kamera video di Blue Hole ini adalah Yuri Lipski, seorang penyelam Israel-Rusia yang meninggal pada kedalaman 91.6 meter di bawah laut, kerana kurang berpengalaman dan peralatan yang tidak mencukupi.

6. Teluk Darvel, Malaysia

Blue Hole, Lahad Datu
Blue Hole, Lahad Datu, Malaysia.

Teluk Darvel di Lahad Datu, Sabah, diyakini mampu menarik kedatangan pelancong dunia berikutan penemuan tapak selam skuba yang ikonik dikenali sebagai ‘Blue Hole’ (Lubang Biru) di Terumbu Tingkayu.

Penemuan itu direkodkan pada 14 Februari 2019 lalu oleh sekumpulan penyelam skuba termasuk penyelidik dari Taman-Taman Sabah (TTS) yang mengikuti Ekspedisi Saintifik bagi mengumpul data sumber marin di Teluk Darvel.

Lebih menarik, Blue Hole itu ditemui dengan dua struktur lubang biru, berbanding Blue Hole lain di dunia yang hanya ada satu lubang.

Setiap satu berkedalaman 15 meter (45 kaki) ke dasar laut, adalah penemuan tunggal di Sabah dan berkemungkinan di Malaysia.

Penemuan itu terjadi apabila peta remote sensing mengesan kawasan terumbu karang tetapi tidak menyangka tapak itu adalah Blue Hole dan boleh dibuka kepada penyelam ‘open water’ selain boleh dijadikan tapak aktiviti sea-walking.

Kedudukan Blue Hole ini terletak berdekatan dengan Pulau Sipadan di Semporna, yang hanya mengambil masa sejam dari Sipadan menggunakan bot laju.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

-SENTIASAPANAS.COM

Kronologi Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL)

Kronologi Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL)

Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang mencetuskan perbalahan mengenai kos pembinaannya sebelum ini akan disambung semula pada kos lebih rendah susulan pemeteraian perjanjian tambahan (SA) antara Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) dan China Communications Construction Company Ltd (CCCC).

Kronologi ECRL

ECRL akan meliputi jajaran baharu dengan jarak landasan dikurangkan sebanyak 40 kilometer selain pengurangan kos daripada RM98 juta kepada RM68 juta bagi setiap kilometer.

Berikut adalah kronologi pelaksanaan ECRL.

21 Okt 2016

Projek ECRL diluluskan Kabinet ketika pentadbiran Barisan Nasional (BN).

1 Nov 2016

CCCC dianugerah kontrak bagi melaksanakan projek landasan sejauh 688 kilometer menghubungkan Pelabuhan Klang di Selangor ke Pengkalan Kubor di Kelantan.

3 Mei 2017

Tambahan peruntukan sebanyak RM1.28 bilion bagi lanjutan jajaran dari Wakaf Bharu ke Pengkalan Kubor.

13 Mei 2017

Malaysia menandatangani perjanjian tambahan dengan CCCC untuk fasa kedua perjanjian bagi fasa kedua projek ECRL bernilai RM9 bilion.

9 Ogos 2017

Kerja pembinaan projek ECRL dimulakan.

23 Ogos 2017

Kabinet meluluskan projek menaik taraf ECRL kepada projek landasan berkembar yang akan menelan perbelanjaan tambahan RM10.5 bilion.

3 Julai 2018

Malaysia Rail Link Sdn Bhd arah CCCC hentikan kerja pembinaan yang ketika itu telah siap 15 peratus.

20 Mac 2019

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata projek ECRL akan diteruskan pada skala yang sesuai apabila rundingan semula projek itu dengan China dimuktamadkan.

22 Mac 2019

Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan Tun Daim Zainuddin berkata Malaysia dijangka memuktamadkan perjanjian ECRL pada awal April dengan penjimatan kos melebihi RM10 bilion.

2 April 2019

China jemput Malaysia ke Beijing untuk kemaskini status rundingan projek ECRL.

6 April 2019

Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook mengesahkan bahawa jajaran projek ECRL akan diubah dengan memberi manfaat kepada Negeri Sembilan sekiranya ia diteruskan selepas rundingan diadakan dengan kerajaan China, pada hujung bulan April 2019.

12 April 2019

Kerajaan umum akan menyambung semula projek ECRL dengan jajaran baharu meliputi Jelebu, Negeri Sembilan manakala pembinaan stesen Gombak digugurkan menjadikan jajaran baharu iaitu dari Kota Bharu-Mentakab-Jelebu-Kuala Kelawang-Bangi/Kajang-Putrajaya dan seterusnya Pelabuhan Klang.

Bertentang Mata Dengan China

Seorang penyumbang kepada majalah perniagaan Forbes memuji Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad kerana berani melawan China manakala pemimpin dunia lain tidak.

Ahli ekonomi Yunani, Panos Mourdoukoutas berkata, ini merujuk tindakan Putrajaya untuk merunding semula projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dengan China, berjaya mengurangkan kosnya dari RM65.5 bilion kepada RM44 bilion.

"Masalahnya ialah banyak projek infrastruktur China tidak berdaya maju, kerana ia dibina dengan kos yang melambung hingga membebankan negara-negara dengan hutang besar kepada Beijing.

"Perangkap hutang ini yang Perdana Menteri Mahathir Mohamad cuba elakkan. Pada Ogos 2018 lalu, beliau membatalkan projek ECRL dan ini memaksa China kembali ke meja rundingan.

"Dan beliau menang, seperti yang dibuktikan oleh perjanjian baru, kos projek berjaya bdikurangkan dengan ketara," tulisnya di Forbes.

Sebaliknya, Mourdoukoutas berkata, negara seperti Sri Lanka terhutang budi kepada China melalui projek-projek seperti pelabuhan Hambantota, Bandar Pelabuhan Colombo dan Lapangan Terbang Antarabangsa Mattala Rajapaksa.

Katanya lagi, Filipina dan Pakistan juga mengalami masalah sama apabila terikat dengan projek-projek mega yang dibiayai dan dibina oleh China.

"Adakah Duterte dan Imran Ahmed Khan berani melakukan perkara yang sama, menyelamatkan negara mereka daripada mengalami nasib malang seperti Sri Lanka?” soalnya.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: 1 | 2