Rabu, April 17, 2019

6 Lokasi Blue Hole Di Lautan Yang Sangat Menakjubkan


Loading...

Lubang Biru atau Underwater Sinkhole di lautan hanya boleh ditemui di beberapa negara di dunia merupakan suatu fenomena gua di bawah laut dengan lubang gergasi yang ternganga namun kaya dengan keindahan terumbu karang dan hidupan laut.

Blue Hole tampak seperti biji mata yang besar ditengah lautan luas, berbentuk lingkaran, berwarna biru gelap yang dikelilingi oleh laut berwarna biru muda.

Warna Blue Hole ini menunjukkan bahawa ia lebih dalam daripada laut disekeliling dan sebenarnya, Blue Hole adalah gua yang berbentuk vertikal.

Berikut adalah 6 Blue Hole yang boleh ditemui di dunia setakat ini.

1. Dragon Hole, China

Dragon Hole, China
Dragon Hole.

Dari semua Blue Hole yang terdapat di lautan, yang paling dalam terletak di China yang ditemui pada tahun 2017 lalu dan warga tempatan menggelarnya Dragon Hole atau Lubang Naga. Dengan lingkaran warna biru menghitam mengelilingi, ia terasa begitu misteri apabila melihatnya.

Pengkaji dari Sansha Ship Course Research Institute menyatakan bahawa kedalaman lubang ini adalah sekitar 300 meter yang diukur menggunakan robot yang mampu menghitung kedalamannya.

Sementara itu, ada sekitar 20 spesies hidupan laut yang ditemui di dalam lubang tersebut namun, kandungan oksigen sudah tidak boleh ditemui lagi dari 100 meter ke dalam.

Bagi masyarakat tempatan, Dragon Hole ini dianggap sebagai "mata" Laut China Selatan dan terletak di kawasan pantai Paracel Islands.

2. Great Blue Hole, Belize

Great Blue Hole, Belize
Great Blue Hole.

Di Belize, sebuah negara di Amerika Tengah, terdapat salah satu lubang bawah laut di dunia, iaitu Great Blue Hole. Berjarak 70 kilometer dari Belize City, kota terbesar di Belize, Great Blue Hole dengan kedalaman sekitar 125 meter, lebar 300 meter, diyakini sebagai Blue Hole terbesar di dunia.

Great Blue Hole adalah sebahagian dari gugusan terumbu karang Belize, yang terbesar kedua selepas Great Barrier Reef di Australia. Selain itu, ia juga telah diisytiharkan sebagai tapak warisan dunia oleh UNESCO.

Menjadi terkenal pada 1971 selepas pengkaji lautan, Jacques Cousteau, menjalankan dokumentasi terhadapnya, Great Blue Hole kemudiannya menjadi lokasi selaman popular sejak itu namun, sehingga kini masih banyak yang tidak diketahui mengenai Great Blue Hole.

Salah satu penemuan menarik di lokasi ini adalah, adanya lapisan rendah oksigen di bahagian atas dasar laut di Great Blue Hole.

Lapisan itu mungkin menyimpan bukti punca yang mempengaruhi kejatuhan peradaban Maya antara tahun 800 hingga 1,000 Masihi.

Ketika ekspedisi dijalankan, pengkaji menemui bukti bahawa Great Blue Hole tidak selalu berada di dalam air kerana mereka menemui adanya stalaktit dan stalagmit di dalamnya.

Stalaktit dan stalagmit hanya boleh terbentuk di dalam gua yang kering dan ini merupakan bukti bahawa permukaan laut dulu lebih rendah dan naik naik secara drastik akibat perubahan iklim.

3. Dean Blue Hole, Bahamas

Dean Blue Hole, Bahamas
Dean Blue Hole.

Dean Blue Hole adalah lubang besar yang ada di laut dan memiliki kedalaman sekitar 203 meter, terletak di Long Island, Bahamas.

Lubang biru besar ini lebih dikenali sebagai Dean Blue Hole, mirip nama seseorang kerana menurut penduduk tempatan, Dean Blue Hole dinamakan sempena nama keluarga yang memiliki tanah di sekitar The Bahamas Dean Blue Hole ini berada.

Dean Blue Hole yang terletak di bandar Clarence ini sering menjadi tempat snorkeling bertaraf dunia yang mahu melihat keindahan luar biasa gua bawah laut dan lubang biru besar disitu.

Ketika menyelam di Dean Blue Hole, terdapat lubang yang memiliki ukuran yang tidak terlalu besar, namun ketika meneruskan aktiviti snorkeling, lubang tersebut semakin lama akan semakin besar dengan diameter seratus meter.

Penyelam kemudiannya akan melihat banyak terowong dasar laut dengan jumlah air yang bertekanan tinggi, menandakan terowong tersebut mengalirkan air menuju ke laut lepas.

4. Great Barrier Reef, Australia

Great Barrier Reef, Australia
Great Barrier Reef.

Satu lagi Blue Hole boleh ditemui di gugusan batu karang terbesar dunia, Great Barrier Reef, Australia. Lubang raksasa ini dikelilingi oleh daratan pulau kecil yang terbentuk dari batu kapur serta terumbu karang dan mungkin lebih tua dari Great Blue Hole di Belize.

Lokasinya berada di salah satu kawasan Great Barrier Reef yang hampir tidak pernah dijelajahi, sekitar 200 km dari Daydream Island dan untuk sampai ke lokasi, anda harus melakukan perjalanan selama 10 jam.

Blue Hole ini ditemui sekitar bulan September 2017 dengan kedalaman dianggarkan sekitar 50 hingga 65 kaki.

5. Red Sea, Mesir

Red Sea, Mesir
Red Sea Blue Hole.

Satu lagi Blue Hole yang sangat terkenal terletak di tepi laut merah yang dalamnya mencapai 120 meter dan mempunyai terowong yang panjangnya 26 meter.

Blue Hole ini dikenali dengan panggilan The Arc kerana ramai penyelam yang ingin menjelajah terowong bawah laut ini akan berhadapan dengan kesukaran dan banyak terjadi kemalangan sewaktu menyelam.

Oleh kerana itu, Blue Hole ini dianggap menjadi tempat yang paling berbahaya bagi penyelam. Pihak berkuasa Mesir mendakwa bahawa, 40 penyelam telah meninggal dunia di lokasi ini.

Kemalangan paling terkenal dan terakam melalui kamera video di Blue Hole ini adalah Yuri Lipski, seorang penyelam Israel-Rusia yang meninggal pada kedalaman 91.6 meter di bawah laut, kerana kurang berpengalaman dan peralatan yang tidak mencukupi.

6. Teluk Darvel, Malaysia

Blue Hole, Lahad Datu
Blue Hole, Lahad Datu, Malaysia.

Teluk Darvel di Lahad Datu, Sabah, diyakini mampu menarik kedatangan pelancong dunia berikutan penemuan tapak selam skuba yang ikonik dikenali sebagai ‘Blue Hole’ (Lubang Biru) di Terumbu Tingkayu.

Penemuan itu direkodkan pada 14 Februari 2019 lalu oleh sekumpulan penyelam skuba termasuk penyelidik dari Taman-Taman Sabah (TTS) yang mengikuti Ekspedisi Saintifik bagi mengumpul data sumber marin di Teluk Darvel.

Lebih menarik, Blue Hole itu ditemui dengan dua struktur lubang biru, berbanding Blue Hole lain di dunia yang hanya ada satu lubang.

Setiap satu berkedalaman 15 meter (45 kaki) ke dasar laut, adalah penemuan tunggal di Sabah dan berkemungkinan di Malaysia.

Penemuan itu terjadi apabila peta remote sensing mengesan kawasan terumbu karang tetapi tidak menyangka tapak itu adalah Blue Hole dan boleh dibuka kepada penyelam ‘open water’ selain boleh dijadikan tapak aktiviti sea-walking.

Kedudukan Blue Hole ini terletak berdekatan dengan Pulau Sipadan di Semporna, yang hanya mengambil masa sejam dari Sipadan menggunakan bot laju.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

-SENTIASAPANAS.COM

Seorang blogger yang suka berkongsi ilmu untuk individu yang suka membaca.

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon