Saturday, December 01, 2018

Rahsia Khasiat Daun Bidara Ditakuti Jin Dan Sebagai Rawatan Sihir

Rahsia Khasiat Daun Bidara Ditakuti Jin Dan Sebagai Rawatan Sihir

Sebagaimana tumbuh-tumbuhan lain yang disebut dalam Al-Quran, bidara juga disebut sebagai salah satu daripada pohon di dalam syurga, pasti pokok bidara mempunyai keistimewaan dan khasiatnya yang tersendiri. Sekiranya ia mendapat tempat di dalam Al-Quran, sudah tentunya ada banyak rahsia kebaikan disebaliknya.

Rahsia Khasiat Daun Bidara

Pokok Bidara atau nama saintifiknya, Z. mauritiana, merupakan sejenis pokok renek malar hijau yang tumbuh dengan ketinggian sehingga 15 meter, dengan batang berdiameter 40 cm atau lebih, rimbun daunnya, berduri dan dahan yang rendang, bewarna hijau gelap, berkilat di sebelah atas dan hijau-pucat hingga hijau-kelabu di bahagian bawah, bergantung kepada iklim.

Pokok bidara cepat tumbuh dan mula menghasilkan buahnya dalam tempoh tiga tahun. Buahnya lembut, berair dan berbiji. Buahnya masak pada masa berlainan, walaupun pada pokok yang sama.

Buahnya berwarna hijau bila muda, kuning ketika masak dan merah ketika matang sepenuhnya. Ia lembut, berair berkulit kedut dan mempunyai aroma yang amat menyenangkan.

Rasanya manis dan masam-masam-manis. Tekstur isi dan rasa menyerupai epal, apabila mengkal isinya putih dan ranggup, berasid hingga separa asid tapi manis.

Buah yang terlalu masak kurang ranggup dan seperti bertepung, buah terlebih masak pula berkedut, isi bewarna krim, lembut, berspan dan hapak. Pada mulanya aroma seperti epal dan menyenangkan, kemudian berubah menjadi hapak.

BIDARA DALAM AL-QURAN

Sidratul Muntaha digambarkan sebagai Pohon Bidara yang sangat besar, tumbuh mulai Langit Keenam hingga Langit Ketujuh. Dedaunannya sebesar telinga gajah dan buah-buahannya seperti bejana batu.

Menurut Kitab As-Suluk, Sidrat al-Muntahā adalah sebuah pohon yang terdapat di bawah ‘Arsy, pohon tersebut memiliki daun yang sama banyaknya dengan sejumlah makhluk ciptaan Allah.

Allah berfirman dalam surah An-Najm 16; “Ketika Sidratil Muntaha diliputi oleh sesuatu yang meliputinya." (an-Najm, 53: 16)

Dikatakan bahawa yang menyelimutinya adalah permadani terbuat dari emas. Jika Allah memutuskan sesuatu, maka “bersemilah” Sidratul Muntaha sehingga diliputi oleh sesuatu, yang menurut penafsiran Ibnu Mas’ud r.a. adalah “permadani emas”.

Penjelasan tentang Sidratul Muntaha dalam hadis-hadis tentang Isra Mi’raj tersebut hanyalah berupa gambaran (metafora) sebatas yang dapat diungkapkan kata-kata. Hakikatnya hanya Allah yang Maha Tahu.

Penggunaan daun bidara adalah sunnah Rasulullah SAW. Pohon bidara (sidr) disebut sebanyak 2 kali dalam kitab suci Al Quran iaitu:

1. Surah Saba, ayat 16:

"Maka mereka berpaling ingkar, lalu Kami hantarkan kepada mereka banjir yang membinasakan, dan Kami gantikan dua kumpulan kebun mereka (yang subur) itu dengan dua kumpulan kebun yang berisi dengan pohon-pohon yang pahit buahnya, dan pohon-pohon yang jarang berbuah, serta sedikit pohon-pohon bidara."

2. Surah Al-Waqia, ayat 28:

"Mereka bersenang-lenang di antara pohon-pohon bidara yang tidak berduri."

KAJIAN KLINIKAL KHASIAT BIDARA

Daripada kajian-kajian makmal seluruh dunia yang telah dilakukan ke atas setiap bahagian pokok ini, terbukti banyak kebaikan dan penawar (medicinal properties) di dalam daun, buah, biji, kulit sehinggalah ke akar pokok Bidara.

Hasil Kajian dari Jodhpur National University, Bidara mengandungi;
  • Antioksidan - flavanoid, phenolic compounds, tannin dan saponin.
  • Alkaloids (termasuk protopine iaitu anti-histamine semulajadi dan analgesic semulajadi), glycosides, triterpenoids, berberine (anti-kulat semulajadi) .
  • Vitamin C, B1, B2, B3 (meningkatkan HDL).
  • Mengandungi Carotene, Kalsium, besi, fosfurus Citric acid, oleic acid, malic acid, oxalic acid, linoleic acid dan lain-lain.

Sifat-sifat perubatan Enzim-enzim antioksidan mengurangkan atau melawan unsur-unsur yang menyebabkan kerosakan pada hati seperti hepatotoxin (bahan kimia yang merosakkan hati).

Hepatotoxin banyak terdapat dalam ubat-ubatan kimia dan alkohol. Berkesan melawan oxidative stres yang menyebabkan sel-sel rosak dan menjadi kanser. Mengandungi aktiviti antimicrobial iaitu tindakbalas yang melawan virus, bakteria dan kulat.

Mengandungi aktiviti hyperglycaemic atau antidiabetic (yang mengawal lebihan gula dalam darah) dalam ekstrak daun dan biji. Mengandungi aktiviti immunomodulatory (yang berkesan positif pada sistem imune tubuh).

Mengandungi aktiviti antimicrobial (merencat pertumbuhan organisma yang menyebabkan penyakit atau pathogen) dan Anti radang (Anti-inflammatory).

Ekstrak bijinya merencatkan ketumbuhan sel HL-60 (sel lukemia). Ekstrak daunnya bertindak ke atas bakteria seperti S. pyogenes dan E. coli Tiada sebarang racun atau contraindication yang diketahui pada mana-mana bahagian pokok ini.

Khasiat pohon bidara;
  • Daun - penyakit-penyakit hati yang kronik termasuk busung (ascites), hepatitis dan kanser hati, demam, lelah, cirit-birit, luka dan luka yang bernanah, radang dan bengkak, radang tonsil yang kronik, gonorhea, peluh berlebihan, radang mata (conjunctivitis), masalah kitaran haid.
  • Buah - masalah paru-paru, demam, masalah hati, masalah penghadaman. Biji - loya dan muntah, radang sendi, cirit-birit.
  • Bunga - losyen untuk mata . Kulit - cirit-birit, radang usus (dysentery), radang gusi (gingivitis).
  • Akar - gout, radang sendi, luka, menurunkan kadar histamin dalam tubuh, sawan.

KEGUNAAN BIDARA DALAM ISLAM

Sebagaimana tumbuh tumbuhan lain yang disebut dalam Al-Quran pasti bidara mempunyai keistimewaan dan khasiatnya yang tersendiri. Tambahan lagi ia disebut sebagai salah satu daripada pohon di dalam syurga.

1. Memandikan jenazah

“Mandikanlah dengan mengguyurkan air yang dicampur dengan daun bidara tiga kali, lima kali atau lebih dari itu jika kalian anggap perlu dan jadikanlah yang terakhirnya dengan kafur barus (wewangian).” (HR. Bukhari no. 1253 dan Muslim no. 939).

2. Mandi dengan air yang dicampur daun bidara untuk wanita haid yang akan bersuci

‘Aisyah secara marfu, “Salah seorang di antara kalian (wanita haid) mengambil air yang dicampur dengan daun bidara lalu dia bersuci dan memperbaiki bersucinya. Kemudian dia menuangkan air di atas kepalanya seraya menggosoknya dengan gosokan yang kuat hingga air masuk ke akar-akar rambutnya, kemudian dia menyiram seluruh tubuhnya dengan air. Kemudian dia mengambil sehelai kain yang telah dipalit dengan minyak kasturi lalu dia berbersih darinya.” Aisyah berkata, ”Dia menyapukan tanah kepada bekas-bekas darah.“ (H.R. Muslim no. 332 dari’ Aisyah)

3. Mandi dengan air yang dicampur daun bidara untuk mualaf

Hadis Abu Hurairah r.a. yang diriwayatkan oleh Bukhari-Muslim tentang kisah Tsumamah bin Utsal r.a. yang sengaja mandi kemudian menghadap kepada Nabi SAW untuk masuk Islam.

“Saya mendatangi Nabi SAW untuk masuk Islam maka Nabi memerintahkan kepadaku untuk mandi dengan air dan daun bidara.” (HR. Ahmad 5/61, Abu Daud no. 355, An-Nasa`i 1/91, At-Tirmidzy no. 605 dan dishohihkan oleh Al-Albany dalam Shohih At-Tirmidzy 1/187

“Beliau masuk Islam, lantas Nabi SAW memerintahkannya untuk mandi dengan air dan daun sidr (daun bidara).” (HR. An Nasai no. 188, At Tirmidzi no. 605, Ahmad 5/61. Syaikh Al Albani mengatakan bahawa hadis ini sahih)

MERAWAT GANGGUAN JIN DAN SIHIR

Pohon Bidara (Sidr) diketahui ramai sebagai penawar untuk gangguan dengan kaedah mandian menggunakan daunnya. Ia telah disebut di dalam Surah As-Saba' ayat 16, Surah Al-Waqiah ayat 28.

Dikatakan juga, apabila Nabi Adam a.s. ketika jatuh ke bumi, buah pertama yang dimakannya ialah buah Bidara atau nabaq dalam bahasa Arab.

Di dalam Surah An Najm, dalam ayat-ayat 13 dan 16 ada disebut tentang Sidratil Muntaha, tempat di langit tertinggi iaitu langit ke tujuh. Rasulullah SAW telah dibawa ke sini semasa perjalanan Mi'raj dan Baginda telah melihat sendiri pelbagai kebesaran Allah di sana. Antaranya terdapat Pohon Bidara yang teramat besar dan kecantikannya hingga tidak dapat diceritakan. Setiap daunnya sebesar telinga gajah, buahnya sebesar tempayan. Akar-akarnya menjalar ke bawah sehingga ke langit ke enam. Dari batang pokok, air seperti sungai mengalir keluar, dengan rasanya yang sangat nyaman.

Daun ini Insyaa Allah boleh digunakan untuk mengubati sihir dan gangguan jin, yakni daun bidara. Al-Quran menyebutkan daun bidara di beberapa ayat:

“Dan golongan kanan, alangkah bahagianya golongan kanan itu. Berada di antara pohon bidara yang tidak berduri..“(QS. Al-Waqi’ah (56): 27-29)

“Tetapi mereka berpaling, maka Kami datangkan kepada mereka banjir yang besar dan Kami ganti kedua kebun mereka dengan dua kebun yang ditumbuhi (pohon-pohon) yang berbuah pahit, pohon Atsl dan sedikit dari pohon Bidara.” (QS. Saba: 16)

Bagaimana cara menggunakan daun bidara untuk mengubati sihir atau gangguan jin?

Wahb bin Munabih, salah seorang pemuka tabi’in yang ahli dalam sejarah dan ilmu perubatan menyarankan untuk menggunakan tujuh helai daun bidara yang dihaluskan.

Kemudian dilarutkan dalam air dan dibacakan ayat Kursi, surat al Kafirun, al-Ikhlas, al Falaq dan an Naas. (Lihat Mushannaf Ma’mar bin Rasyid 11/13).

Al Qurtubi menceritakan dari Wahab untuk mengubati Sihir:

“Diambil 7 helai daun bidara ditumbuk halus lalu dicampurkan air dan dibacakan Ayat Kursi dan diberi minum pada orang yang terkena sihir tiga kali teguk dan air yang telah dibacakan ayat-ayat dan juga dicampur bidara, dipakai untuk mandi, Insyaa Allah akan hilang sihirnya. Dan diutamakan membaca Al Falaq, An Naas, juga ditambah ayat Kursi kerana ayat-ayat itu dapat mengusir Syaitan.“ (Tafsir Ibn Katsir Jilid Satu Terjemahan Pendek halaman 171)

JENIS-JENIS POHON BIDARA

Rahsia Khasiat Daun Bidara

Beberapa jenis pokok dipanggil bidara dalam masyarakat kita. Namun yang mana satukah bidara yang disebut dalam Alquran dan hadis?

Antara jenis pokok yang panggil bidara ialah:
  • Bidara upas – Merremia mammosa.
  • Bidara laut – Strychnos lucida.
  • Bidara china – Ziziphus jujuba.
  • Bidara epal atau epal india atau epal vietnam – Ziziphus mauritiana.
  • Bidara kampung/bidara duri – Ziziphus spina-christi.

Bidara tidak berduri mempunyai buah yang pelbagai bentuk. Ada yang berbentuk bujur, lonjong, bulat dan obovate. Isinya berwarna putih, sedap, manis dan ranggup. Kulit buah bidara pula licin, berkilat, nipis tetapi isinya padat.

Daun bidara yang berduri pula digunakan oleh perawat dalam rawatan islam untuk membantu pesakit yang terkena gangguan jin dan makhluk halus.

Bidara sidr yang disebutkan di dalam sunnah ialah bidara yang berduri, dikenali dengan nama bidara duri, bidara kampung atau bidara arab. Nama saintifik bidara sidr ialah Ziziphus spina-christi.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

-SENTIASAPANAS.COM

Friday, November 30, 2018

Sejarah Asal-usul Kuil Sri Maha Mariamman

Sejarah Asal-usul Kuil Sri Maha Mariamman

Kuil Sri Mahamariamman merupakan tempat yang suci bagi penganut Hindu yang dibangunkan oleh Thambusamy Pillai pada tahun 1873 yang pada mulanya merupakan kuil peribadi keluarga. Sekitar tahun 1920, kuil ini dibuka untuk umum dan pengurusannya diserahkan seluruhnya kepada yayasan yang secara khusus mengelola Kuil Sri Mahamariamman ini.

Kuil Sri Mahamariamman

Sri Mahamariamman merupakan kuil India tertua di Malaysia dan dikunjungi oleh ramai umat Hindu warga tempatan dan juga orang luar.

Sri Mahamariamman pada awalnya berlokasi di KL Railway Station, kemudian dipindahkan ke Jalan Tung HS Lee, lokasi berdekatan Chinatown, pada tahun 1885.

Struktur kuilnya menyerupai bentuk manusia yang berbaring dengan posisi kepalanya berada di Barat dan kakinya di Timur.

Terdapat juga menara berbentuk Piramid yang dihiasi dengan patung dewa dan dewi yang diukir oleh pengukir dari India Selatan.

Penganut Hindu Tamil menganggap Sri Mahamariamman sebagai Parvati atau Dewi Ibu.

Sejarah Sri Maha Mariamman Temple

1. Tanah terletaknya kuil berkenaan asalnya dimiliki oleh Consolidated Plantations Bhd yang merupakan adalah pemilik kepada Seafield Estate.

Ada 2 teori mengenai tarikh asal pembinaan kuil tersebut:
  • 1974: Kuil tersebut dibina pada tahun 1974 oleh seorang individu yang bernama Sabathy Perumal.
  • 1891: Ia dibina pada tahun 1891 di sebahagian tanah yang didedikasikan oleh pemiliknya untuk kegunaan pekerja Hindu di estet tersebut.

2. Pada tahun 1987, SIME UEP membeli tanah tersebut daripada Consolidated Plantations Bhd. Tanah tersebut asalnya adalah di bawah status tanah pertanian namun kemudiannya SIME UEP telah menukarkannya kepada skim pembangunan perumahan.

3. Pada tahun 1992-1993, tanah kuil berkenaan telah dituntut oleh pihak SIME UEP yang bertindak sebagai pemilik tanah setelah membeli tanah tersebut daripada pemilik estet pada tahun 1987.

Maka ditubuhkanlah Komitee Pengurusan Kuil berkenaan dibawah ROS dan Chellappa a/l K. Kalimuthu telah dilantik sebagai presiden manakala Nagaraju a/l Merganathan telah dilantik sebagai setiausaha komiti tesebut.

4. Pada tahun 1996, tuntutan pertama melalui saman sivil:

No.MT1-21-353-1996 diantara Chellappa a/l K.Kalimuthu (mendakwa sebagai Pegawai Awam Kuil Sri Maha Mariamman, Hicom Shah Alam Selangor sejajar dengan Seksyen 9 @Akta Pertubuhan 1966) dan Sime UEP Properties Sdn Bhd, Pengarah Perancang Bandar dan Desa Negeri Selangor Darul Ehsan, Kerajaan Negeri Selangor Darul Ehsan, One City Development Sdn Bhd, Merganathan a/l Nallo (Defendants) dan Nagaraju a/l Merganathan (perayu/pencelah).

Kes ini juga sebenarnya pernah diwakili oleh mendiang Karpal Singh.

5. Pada tahun 2001, berlaku salah faham diantara Chellapa dan Nagaraju, di mana Chellapa telah menuduh Nagaraju telah ‘red caught handed’ mencuri duit dan barang dapur kuil, Nagaraju kemudiannya meletakkan jawatan sebagai setiausaha, namun kemudiannya kembali bersama Mohan dan Vijayakumar dan memaksa ahli komitee termasuklah Chelappa untuk mengosongkan kuil dengan cara paksaan dan ugutan.

6. Pada tahun 2007, One City Development telah membeli tanah itu dan telah ada rancangan untuk memindahkan kuil itu. Saman sivil pertama iaitu No.MT1-21-353-1996 untuk menuntut hak kuil tersebut diteruskan dan akhirnya dapat diselesaikan pada tahun 2014.

7. Pada tahun 2012, kira-kira 50 penganut Hindu mengadakan protes aman di hadapan bangunan Sekretariat Negeri Selangor dan mendesak kerajaan negeri untuk menghalang perobohan kuil berkenaan dan menyatakan bahawa mereka tidak bersetuju dengan ura-ura cadangan pemindahan kuil berkenaan di Persiaran Harmoni di Putra Heights.

8. Pada tahun 2014, Mac 2014, kedua-duanya Chellapa dan Nagaraju telah bersetuju untuk menyerahkan tanah tersebut kepada One City selepas syarikat itu bersetuju:
  • Menyediakan dua tanah lain yang terletak berhampiran kuil yang ada untuk diberikan kepada persatuan kuil berkenaan sebagai pampasan.
  • Mendermakan RM1.5 juta untuk membina kuil baru di salah satu daripada dua bidang tanah yang diberikan oleh One City.

Mahkamah mengarahkan tapak di mana kuil itu terletak untuk diserahkan kepada One City dalam masa dua bulan selepas pembinaan kuil baru oleh pemaju.

Julai 2014, sebuah lagi saman sivil yang melibatkan pertelingkahan di antara Chellapa dan Nagaraju:

No.MT1-22-491-2001 (MT5) diantara Chellappa a/l K. Kalimuthu (mendakwa sebagai Pegawai Awam Kuil Sri Maha Mariamman, Hicom Shah Alam Selangor sejajar dengan Seksyen 9 @Akta Pertubuhan 1966) (as Plaintiff) dan Merganathan a/l Nallo, Nagaraju a/l Merganathan, Sangguletchumi isteri kepada Sanggu, Thanabalan a/l Murugiah, Low Kok Beng, Mohan a/l Muniandy, Subramaniam, Subramaniam a/l Sarangabani, Sarathy a/l Muthan, and Vello s (as Defendants).

Saman ini telah didengar dan Orders telah dimasukkan pada 25 Julai 2014.

9. Pada tahun 2016, berdasarkan keputusan mahkahmah pada 2014, Chellappa telah dinobatkan sebagai pengurus kuil yang sah.

Persatuan kuil berkenaan juga secara sukarela melepaskan hak mereka ke salah satu tanah yang dijanjikan dan dibayar ganti rugi RM1 juta oleh One City sebagai pampasan.

10. Pada tahun 2017, May 2017, pihak One City telah menghantar Notis Pengusiran (Eviction Notice) kepada pihak kuil.

Lokasi baru itu juga telah diwartakan oleh kerajaan negeri sebagai tempat ibadat.

Kawasan tanah untuk lokasi baru adalah satu hektar dan ruang tambahan 0.86 ekar di sebelah kuil akan membolehkan para penganut memarkir kenderaan mereka.

1 Jun 2017, isu menjadi panas semula apabila, Nagaraju bersama beberapa NGO telah menolak untuk mematuhi penghakiman persetujuan untuk berpindah, walaupun beliau telah menyetujui keputusan mahkhamah pada 2014.

Nagaraju dan NGO seperti Malaysian Indian Progressive Association (Mipas), Malaysian Indian Education Transformation Association (Mieta) telah menggunakan beberapa hujah untuk menolak cadangan pemindahan kuil berkenaan ke tapak baru (2.7 KM) dari tapak lama.

Berikut adalah hujah mereka:
  • Sebuah pokok Ara yang berusia 140 tahun ada ditanah tersebut, yang dianggap keramat kepada masyarakat Hindu.
  • Mempunyai merit sejarah bahawa kuil berkenaan adalah berusia lebih 140 tahun dan perlu dikekalkan.
  • Tapak baru bagi kuil adalah dikawasan Muslim yang mana acara sambutan dikuil mungkin akan menggangu masyrakat setempat dan mewujudkan racial-tension.

Mereka juga memberi amaran kepada kerajaan negeri selangor untuk menyelesaikan masalah ini jika tidak mahu menerima ‘political backlash’.

6 Jun, Dato Seri Azmin (MB Selangor ketika itu) telah menasihatkan dan memujuk pemaju untuk meletakkan notis eviction mereka sebagai on-hold.

Disember 2017, isu ini ‘panas’ sebentar apabila dibangkitkan semula oleh Sivarasa and Santiago yang mana mana kuil tersebut harus dikekalkan berdasarkan sejarah yang panjang sebagai kuil di tanah bekas estet tersebut.

11. Pada tahun 2018, 28 September, isu menjadi panas semula apabila satu notis pengosongan dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam yang mengarahkan penghuni kuil mengosongkan tapak pada atau sebelum 15 Oktober.

16 Oktober, Menteri Perpaduan YB Senator P. Waytha Moorthy menasihatkan masyarakat India untuk bertenang dan menegaskan bahawa beliau sedang menghubungi kesemua pihak taruh yang terlibat untuk menyelesaikan masalah tersebut.

25 Oktober, menerusi hantaran yang tular di laman Facebook, kira-kira 300 individu yang tidak bersetuju kuil itu dipindahkan bertindak berkumpul di kuil berkenaan semasa urusan pemindahan dijalankan menyebabkan kesesakan teruk di LDP.

Seramai kira-kira 300 orang anggota polis ditempatkan di lokasi terlibat bagi mengawal sebarang situasi tegang yang tercetus.

Selepas perbincangan, pemaju (One City) bersetuju untuk menangguhkan perobohan sehingga 22 November iaitu selepas perayaan Deepavali.

Pengurusan kuil itu akan diambil alih oleh pasukan petugas khas yang diketuai oleh aktivis Hindraf “Ramaji”, yang nama sebenarnya M Ramachandran.

YB Sivarasa berjanji untuk bertemu dengan MB Selangor sebelum 22 November untuk mencari penyelesaian isu tersebut.

31 Oktober, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pemberdayaan dan Pembangunan Sosio Ekonomi dan Kerajaan Prihatin, V. Ganabatirau menasihatkan kepada pihak yang membantah untuk mengikut keputusan dan perjanjian di mahkahamah pada 2014, beliau juga mengingatkan bahawa arahan untuk kuil itu dipindah atas arahan mahkamah bukan arahan kerajaan negeri.

17 November, kumpulan yang membantah persetujuan antara jawatankuasa kuil dan pemaju untuk berpindah merancang satu tunjuk perasaan di luar Parlimen bagi meminta campurtangan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, walaupun mahkamah sudah membuat pada 2014.

Malah, ada 2 orang penganut hindu dikalangan jawatankuasa juga telah memulakan mogok lapar menentang pemindahan kuil tersebut.

Kumpulan “Save Seafield Sri Maha Mariamman Temple” berkata kuil itu, yang dibina lebih 40 tahun lalu, adalah warisan sejarah dan tidak patut dipindahkan.

Ketua kumpulan itu, S Ramaju, menuduh kerajaan tidak peduli akan bantahan mereka.

“Kami mahu perdana menteri campurtangan dan bantu kami cari satu penyelesaian. Tiada orang dengar rayuan kami,” katanya.

21 November, sekumpulan penganut Hindu berdemonstrasi di depan bangunan parlimen bagi mempertahankan kuil tersebut daripada dirobohkan pada tarikh akhir iaitu 22 November 2018.

Mereka telah menyerahkan memorandum kepada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad supaya segera memberi perhatian kepada isu Kuil Sri Sakthi Maha Mariamman di Ladang Seafield itu.

Memorandum tersebut diterima oleh seorang pegawai tugas-tugas khas di Jabatan Perdana Menteri yang berjanji akan membawa isu itu ke perhatian Mahathir.

23 November, sekali lagi memorandum cuba dibawa ke parlimen oleh Ramaji, yang juga Pengerusi Badan Bertindak Kuil Sri Sakthi Maha Mariamman namun telah dihalang masuk kira-kira jam 5.50 petang ketika ingin menghadiri perjumpaan bersama Menteri Perpaduan, P Waythamoorthy berhubung isu kuil.

Beliau mendakwa telah dilarang masuk parlimen kerana berpakaian Hindu.

Pada hari yang sama juga pihak pemaju dari One City telah menafikan bahawa mereka telah menangguhkan tarikh akhir 22 November kepada 29 November

25-26 November, telah diadakan mesyuarat tergempar bahawa akan ada usaha daripada pihak pemaju untuk datang menghalau orang-orang di dalam kuil dan memulakan kerja pembersihan kuil mulai Isnin (26 November), maka ramailah turun menunggu di kuil.

Pada pukul 2 pagi, sekumpulan lelaki Melayu (50-100 orang) berpakaian hitam yang dipercayai telah dibayar oleh pihak pemaju telah datang menyerbu kuil dan mengarahkan orang untuk keluar, keadaan menjadi tidak terkawal dan perkara ini telah diviralkan di media sosial menggunakan fungsi live facebook.

Unsur-unsur orang Melayu vs India dan kononnya jeritan Allahu Akbar dijerit oleh kumpulan berkenaan telah didendangkan di dalam seruan meminta bantuan oleh pihak dari dalam kuil berkenaan.

Maka ramailah dari kalangan orang India yang turun ke kuil berkenaan dan berlakulah pertempuran dan pergaduhan diantara kumpulan lelaki Melayu tadi dengan orang yang turun memberi bantuan kepada persatuan kuil, ada yang cedera parah akibat dipukul secara beramai-ramai dari kedua-dua belah pihak.

Pertempuran tersebut akhirnya telah berjaya dikawal oleh LPF dan FRU dan beberapa orang telah berjaya digari dan ditangkap oleh pihak polis.

Di dalam kekecohan tersebut, beberapa buah truck pickup telah diterbalikan dan beberapa buah kereta juga telah dibakar.

Sebagai kesimpulan, isu ini bukanlah isu ‘planted’ yang dirancang secara tiba-tiba, isu ini adalah isu lama yang sudah berpanjangan sejak bertahun-tahun walaupun sepatutnya telah diselesaikan dengan cara mahkahmah.

Namun, mungkin kerana ada agenda daripada pihak-pihak tertentu isu ini menjadi panas dan semakin ‘complicated’.

Diharapkan, kita sebagai rakyat Malaysia tidak termakan provokasi atau hasutan yang tidak sepatutnya seperti, bahawa kejadian ini adalah rusuhan di antara kaum Melayu dan India, orang Melayu nak robohkan kuil Hindu, ekstrimis Melayu atau Muslim dsbnya.

Walhal, ianya adalah pergeseran di antara pihak pengurusan kuil dan juga pihak pemaju yang telah memakan masa hampir 20 tahun namun tidak selesai-selesai lagi

Surat Pengekalan Kuil

Kerajaan Selangor dibawah kerajaan BN pada tahun 2001 pernah mengeluarkan sebuah surat kelulusan pengekalan tapak kuil tersebut berdasarkan sebuah mesyuarat exco pada 08.08.2001.

Malah, pada tahun 1993 sebuah surat daripada Timbalan menteri sumber manusia (Tan Sri M. Mahalingam), juga pernah dikeluarkan daripada pejabat beliau yang telah berpendapat bahawa pihak kuil berhak untuk menduduki tapak yang diduduki oleh kuil tanpa sebarang gangguan berdasarkan perjanjian yang telah dimeterai oleh pemaju (SIME UEP) di mana pemaju telah bersetuju dengan syarat yang telah dikenakan oleh Majlis Mesyuarat EXCO Selangor pada tahun 1987 yang berbunyi;

“Pemaju dikehendaki memperuntukkan kawasan bagi maksud Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (Tamil) seluas kira-kira 5 ekar dan tapak untuk Kuil Sri Maha Mariamman seluas kira-kira 1 ekar di tempat yang sedia ada.”

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: 1 | 2

10 Empayar Islam Paling Kuat Dalam Sejarah

10 Empayar Islam Paling Kuat Dalam Sejarah

Tamadun Mesir Purba, Indus, Huang He, dan Mesopotamia merupakan antara tamadun terawal dunia. Selepas itu lahirnya tamadun Greek, Rom, India (evolusi daripada Indus), Cina (evolusi daripada Huang He), Jepun, Korea. Kemudian Tamadun Islam, puak-puak gasar Eropah mula mencipta tamadun, tamadun Melayu, Sahara-Afrika, Mesoamerika dan lain-lain. Kemudian lahirnya tamadun Barat yang kekal hingga sekarang.

Kerajaan Islam

Dalam Tamadun Islam, umat Islam telah mencipta pelbagai kerajaan yang pernah menggoncangkan dunia, menggerunkan musuh, membuatkan musuh tak keruan.

Di bawah, kami senaraikan 10 kerajaan atau empayar Islam yang pernah menggemparkan dunia.

1. Khulafa Ar-rasyidin (632-661)

Empayar Islam Paling Kuat

Khulafa Ar-rasyidin ialah pemerintahan oleh empat orang khalifah selepas kewafatan junjungan besar Nabi Muhammad SAW pada tahun 632 masihi.

Empat orang khalifah tersebut ialah Abu Bakar as-Siddiq, Umar bin al-Khattab, Uthman bin Affan, dan Ali bin Abi Talib. Keempat orang khalifah tersebut merupakan sahabat nabi yang terdekat dan dijanjikan syurga.

Sistem penggantian dalam Khulafa ar-Rasyidin bersifat demokrasi iaitu secara wasiat, lantikan, persetujuan orang ramai dan undian. Zaman Khulafa ar-Rasyidin juga terkenal dengan tumbangnya dua empayar gergasi dunia iaitu Empayar Rom Timur (Byzantine) dan Empayar Parsi Sasaniyyah.

Khulafa ar-Rasyidin memiliki ramai panglima perang yang hebat, antaranya ialah Khalid al-Walid dan Saad bin Abi Waqqas. Khalid al-Walid biasanya tersenarai dalam mana-mana artikel mengenai komander perang terhebat dalam sejarah dunia. Beliau tidak pernah kalah dalam lebih seratus peperangan.

Semasa zaman Rasulullah lagi, Empayar Rom dan Parsi sudah berperang, dikenali Perang Rom-Parsi 602-628. Dalam perang Rom-Parsi, pada peringkat awal Empayar Parsi pimpinan Shahanshah Kisra II (atau Khosrow II) berjaya menakluk banyak tanah Rom.

Kemudian semasa pemerintahan Maharaja Rom Heraclius pada tahun 610, baginda melancarkan serangan balas melawan Parsi dan akhirnya Parsi mengalami kekalahan pada tahun 628 dan Shahanshah Kisra II dipaksa turun takhta digantikan oleh anaknya Kavadh II.

Selepas tamat peperangan, berlaku kebangkitan umat Islam semasa pemerintahan Khulafa ar-Rasyidin. Ketika itu, Khulafa ar-Rasyidin ibarat hanya seekor semut kecil yang serba kekurangan hanya berbekalkan iman dan jihad, sedang berhadapan dengan dua ekor gergasi yang serba lengkap dari segi peralatan tentera.

Umat Islam mula bertembung dengan Empayar Rom pada tahun 629 dalam Pertempuran Mu’tah (masih lagi di zaman Rasulullah SAW), dengan Parsi pada tahun 633 dalam Pertempuran Rantai.

Kemudian satu persatu wilayah Rom dan Parsi berjaya di tawan oleh umat Islam dan antara peperangan yang hebat ialah Pertempuran Yarmouk, Firaz (kedua-duanya di ketuai oleh Khalid al-Walid), dan Pertempuran al-Qadisiyah yang diketuai oleh Saad bin Abi Waqqas.

Dalam Pertempuran Firaz tahun 634, tentera Islam pimpinan Khalid al-Walid hanya berjumlah 15,000 mampu mengalahkan ratusan ribu tentera gabungan Rom, Parsi, dan Arab Kristian pimpinan Hormozd.

Kemudian, pada bulan Ogos 636, berlaku Pertempuran Yarmouk yang disifatkan oleh sejarahwan antara pertempuran ajaib di dunia dengan kehebatan Khalid al-Walid sebagai panglima perang.

Tentera muslim yang berjumlah kira-kira 20,000 orang mampu mengalahkan 150,000 tentera Rom pimpinan Theodore Trithyrius. Ada pendapat mengatakan tentera muslim 40,000 mengalahkan 250,000 tentera Rom. Theodore terbunuh dalam pertempuran tersebut.

Maharaja Rom Heraclius pernah berkata sebelum baginda pulang ke Konstantinopal;

“Selamat tinggal, selamat tinggal selama-lamanya Syria, tanah yang indah bagiku. Kau adalah musuhku sekarang. Salam sejahtera ke atas kamu.”

Seterusnya, dalam pertempuran menentang Empayar Parsi, Pertempuran al-Qadisiyyah merupakan pertempuran besar-besaran menentang Empayar Parsi pada bulan November 636 menyaksikan kemenangan menakjubkan tentera Islam pimpinan Saad bin Abi Waqqas yang berjumlah 30,000-40,000 menentang 200,000 tentera Parsi pimpinan Rostam Farrokhzad. Rostam juga terbunuh dalam pertempuran tersebut.

Selepas pertempuran tersebut, tentera Islam mara ke Tanah Parsi dan berjaya menumbangkan Empayar Parsi Dinasti Sasaniyyah dengan kematian Shahanshahnya yang terakhir iaitu Yazdegerd III pada tahun 651. Di sebelah Barat pula, tentera Muslim terus mara dan menakluk banyak wilayah Rom hingga ke tanah Berber.

Selepas berlaku ketidakstabilan politik Khulafa ar-Rasyidin ketika di akhir pemerintahan Sayyidan Uthman dan Ali hingga membawa kepada berakhirnya Khulafa ar-Rasyidin, penaklukan ke atas Rom di teruskan oleh Khilafah Bani Umayyah, Abbasiyyah, Seljuk, dan akhirnya berjaya di tawan sepenuhnya oleh Sultan Muhammad al-Fateh dari Empayar Turki Uthmaniyyah pada tahun 1453.

2. Kesultanan Turki Uthmaniyyah (1299-1922/1924)

Kesultanan Turki Uthmaniyyah

Kesultanan Turki Uthmaniyyah merupakan antara empayar yang terhebat dalam sejarah dunia dan digeruni pada abad ke-15 hingga 17 masihi. Empayar Turki Uthmaniyyah menguasai Laut Mediterranean, Afrika Utara, Balkan, Anatolia, Crimea, Sham, dan Hejaz.

Empayar Turki Uthmaniyyah di tubuhkan oleh Uthman bin Ertughrul pada tahun 1299 di wilayah Anatolia. Uthman berasal dari susur galur Empayar Turki Seljuk dan Kesultanan Rom Seljuk yang berpecah menjadi neger-negeri kecil yang di panggil beylik.

Wilayah kekuasaan Uthmaniyyah pada asalnya hanyalah sebuah negeri kecil atau beylik, kemudian berkembang menjadi empayar yang besar dan di geruni negeri-negeri jiran.

Perkembangan Uthmaniyyah bermula ketika era Sultan Murad I dan Bayezid I yang berjaya meluaskan empayar ke daratan Eropah.

Pada tahun 1371, berlaku Pertempuran Maritsa antara Uthmaniyyah dengan Serbia menyaksikan keajaiban berlaku apabila tentera Uthmaniyyah yang hanya berjumlah 800 orang menang ke atas Serbia yang berjumlah antara 20,000 hingga 70,000 orang.

Kedudukan Uthmaniyyah semakin kuat selepas kemenangan bergaya dalam Pertempuran Nicopolis 1396, dan menaklukan Kota Konstantinopal oleh Sultan Muhammad al-Fateh pada tahun 1453.

Sultan Muhammad al-Fateh yang di gelar “sang penakluk” oleh orang Barat berjaya menguasai banyak tanah Balkan dan Crimea. Baginda juga berjaya menundukkan Vlad II Dracula “the Impaler”.

Dracula merupakan antara tokoh kejam dan penuh misteri yang merupakan pemerintah negeri Wallachia dan istananya di Transylvania. Adiknya Radu the Handsome memeluk Islam dan memerangi abangnya yang kejam.

Kemudian, ketika era Sultan Selim I “the strong” (1512-1520), empayar Turki Uthmaniyyah melebarkan jajahan takluknya ke Timur Tengah dan Afrika Utara. Pada 1517, baginda berjaya menakluk Mesir dan menumbangkan Kesultanan Turki Mamluk dan Khilafah Abbasiyyah.

Gelaran khalifah yang sebelum ini dipegang oleh Bani Abbasiyyah di serahkan kepada Sultan Salim dan Sultan Salim menjadi khalifah pertama Turki Uthmaniyyah. Selepas kemangkatan Sultan Selim, tempat di ambil alih oleh Sultan Suleiman al-Qanuni (di Barat di kenali sebagai “the Magnificent”) yang memerintah antara 1520 hingga 1566.

Zaman pemerintahan baginda di kenali sebagai Zaman Keemasan Uthmaniyyah “Ottoman Golden Age”. Zaman pemerintahan baginda banyak kempen ketenteraan melawan kerajaan-kerajaan Eropah seperti Pertempuran Mohacs 1526, dan kelahiran laksamana laut terunggul Uthmaniyyah iaitu Hayruddin Barbarossa yang menang menentang gabungan kuasa-kuasa Eropah dalam Pertempuran Laut Preveza tahun 1538.

Pada peringkat awal Perang Uthmaniyyah-Habsburg 1526-1791, Uthmaniyyah banyak memenangi pertempuran menentang gabungan kuasa-kuasa besar Eropah seperti Empayar Suci Rom, Empayar Sepanyol, Empayar Rusia, Portugis, Polish-Lithuania, Austria, Hungary, Bohemia, dan negeri-negeri Itali.

Menjelang akhir abad ke-17, empayar Turki Uthmaniyyah mulai lemah sejak kegagalan menakluk Vienna pada tahun 1683 dalam Perang Besar Turki 1683-1699 menyaksikan banyak wilayah jajahan Turki Uthmaniyyah jatuh ke tangan kuasa Eropah.

Pada abad ke-18, negara-negara Eropah mula berkembang dengan Revolusi Perindustrian, manakala Turki Uthmaniyyah pula tidak berkembang dan ketinggalan jauh di belakang kuasa-kuasa Eropah terutamanya British, Rusia, dan Perancis.

Orang Barat menggelar Turki Uthmaniyyah sebagai “orang sakit Eropah” kerana begitu lemah hingga banyak negeri-negeri balkan dan Greece berjaya merdeka dari Uthmaniyyah.

Greece yang dahulunya merupakan negara jajahan Uthmaniyyah pula menjajah Turki semasa Perang Dunia Pertama.

Kekalahan Turki Uthmaniyyah dalam Perang Dunia Pertama membawa kepada berlakunya Perang Kemerdekaan Turki yang diketuai oleh Mustafa Kemal Ataturk menyebabkan berakhirnya institusi kesultanan pada tahun 1922. Pada tahun 1924, instituti khalifah pula di mansuhkan.

3. Khilafah Bani Abbasiyyah (750-1258, 1261-1517)

Khilafah Bani Abbasiyyah

Kemenangan puak revolusi dalam Pertempuran Sungai Zab 750 menandakan berlakunya peralihan kuasa daripada Khilafah Bani Umayyah kepada Khilafah Bani Abbasiyyah.

Khalifah pertama Bani Abbasiyyah ialah Abdullah Bin Muhammad, baginda di gelar Abu al-Abbas as-Saffah kerana baginda berasal daripada keturunan al-Abbas, manakala as-Saffah bermaksud penumpah darah kerana polisi baginda yang bersifat kejam terhadap keluarga Bani Umayyah.

Nama “Abbasiyyah” di ambil bersempena nama bapa saudara Nabi Muhammad SAW iaitu al-Abbas bin Abd Muttalib yang merupakan keturunan kepada Dinasti Bani Abbasiyyah.

Menurut ahli sejarah, pendiri sebenar Khilafah Bani Abbasiyyah ialah Khalifah Abu Jaafar Abdullah al-Mansur yang menubuhkan bandar Baghdad dan Madinat as-Salam yang terletak di dalam Kota Baghdad.

Khilafah Abbasiyyah terbahagi kepada dua zaman iaitu zaman pertama berpusat di Baghdad dari tahun 750 hingga 1258, zaman kedua ialah khilafah berpusat di Kaherah dari tahun 1261 hingga 1517.

Pada zaman pertama iaitu di Baghdad merupakan empayar sebenar Abbasiyyah. Kegemilangan Abbasiyyah cemerlang dalam ilmu pengetahuan darisegi sains, teknologi, hadith, kelahiran ulama-ulama Islam, dan mazhab-mazhab ahli sunnah wal jamaah.

Zaman Abbasiyyah juga merupakan Zaman Keemasan Islam (Islamic Golden Age) kerana perkembangan ilmu pengetahuan yang berpusat di Baghdad dengan lahirnya saintis-saintis Islam yang mengubah tamadun dunia ke arah kecemerlangan ilmu pengetahuan.

Antara khalifah Abbasiyyah yang terkenal ialah Khalifah Harun ar-Rasyid, Abu al-Abbas Abdullah al-Makmun,dan Jaafar al-Mutawakkil.

Selepas kemangkatan Khalifah al-Mutawakkil pada tahun 861, Empayar Abbasiyyah mulai lemah dan banyak wilayah-wilayah autonomi berjaya membebaskan diri daripada pemerintah khalifah. Saiz empayar semakin mengecil hingga berkuasa ke atas Baghdad dan kawasan Mesopotamia sahaja.

Pada tahun 945, Khilafah Abbasiyyah ditakluk dan menjadi negeri naungan Kerajaan Parsi Bani Buwayh yang berfahaman Syiah. Seterusnya pada tahun 1055, Khilafah Abbasiyyah menjadi negeri naungan kepada Empayar Turki Seljuk hingga tahun 1157 apabila Khalifah al-Muqtafi berjaya membebaskan Baghdad daripada pengaruh Turki Seljuk.

Sejak tahun 1157, Khilafah Abbasiyyah berjaya menjadi negeri yang merdeka daripada mana-mana pengaruh hingga kejatuhan Baghdad pada tahun 1258 ke tangan bangsa Mongol pimpinan Hulagu Khan.

Selepas kejatuhan Baghdad ke tangan Mongol, pewaris Bani Abbasiyyah iaitu Abu al-Qasim Ahmad al-Mustansir berjaya melarikan diri ke Mesir yang ketika itu di bawah pemerintahan Sultan az-Zahir Baybars, sultan Kerajaan Turki Mamluk.

Sultan Baybars mengembalikan semula sistem khilafah di Mesir dengan melantik Abu al-Qasim Ahmad al-Mustansir sebagai khalifah dari keturunan Bani Abbasiyyah di Mesir. Khalifah tidak berkuasa ke atas politik, hanya berkuasa ke atas agama sahaja, manakala Sultan berkuasa dalam hal ehwal politik, negara, dan lain-lain.

Khilafah Abbasiyyah di Mesir yang di bawah pengaruh Kesultanan Turki Seljuk bertahan hingga tahun 1517 apabila Mesir di takluk oleh Empayar Turki Uthmaniyyah. Maka berakhirnya Khilafah Bani Abbasiyyah yang berlangsung selama 764 tahun.

4. Khilafah Bani Umayyah (661-750)

Khilafah Bani Umayyah

Khilafah Bani Umayyah di asaskan oleh sahabat nabi iaitu Khalifah Sayyidina Muawiyyah Bin Abu Sufyan, baginda berasal dari susur galur keturunan Umayyah Bin Abd Shams iaitu dua pupu kepada datuk baginda Rasulullah SAW. Sejak pemerintahan Khalifah Muawiyah sistem khalifah yang sebelumnya bersifat demokrasi bertukar kepada sistem monarki.

Empayar Bani Umayyah merupakan empayar Islam terbesar dalam sejarah dunia, saiznya kira-kira 11,000,000-14,000,000 km persegi iaitu bermula dari Perancis, turun ke Semenanjung Iberia, merentas Afrika Utara, Shams, Semenanjung Tanah Arab, Tanah Parsi, menjangkau bumi India. Di sebelah utara hingga sampai ke Turkestan. Saiz yang sangat besar.

Menurut rekod, tiada mana-mana empayar yang saiznya lebih besar daripada Empayar Bani Umayyah sejak terciptanya tamadun manusia hingga rekod saiz keluasan bani Umayyah dipecahkan oleh empayar Mongol pada abad ke-13 masihi.

Empayar Bani Umayyah juga merupakan empayar terkuat di dunia ketika zamannya, kemajuan dari segi ekonomi, ketenteraan, falsafah, perluasan kuasa, dan kestabilan poltik.

Empayar Bani Umayyah terkenal dengan dasar perluasan kuasa sejak zaman Khalifah Muawiyah Bin Abu Sufyan. Kemudian, dasar perluasan kuasa Umayyah semakin berkembang ketika pemerintahan Khalifah Abdul Malik Bin Marwan, dan kemuncaknya ketika pemerintahan Khalifah Al-Walid bin Abdul Malik.

Ketika era Khalifah Umar Bin Abdul Aziz, Empayar Bani Umayyah menjadi empayar yang sangat kaya sehingga dikatakan tiada orang miskin yang tinggal walaupun saiz empayar yang sangat besar dan penduduk yang ramai iaitu kira-kira 60 juta orang atau merangkumi kira-kira 29% penduduk dunia!

Selepas kewafatan Khalifah Umar Abdul Aziz, empayar Bani Umayyah mulai lemah dan berlaku pemberontakan dalaman akibat sikap khalifah yang lemah dan diskriminasi terhadap bangsa bukan arab.

Akibatnya, berlaku pelbagai revolusi, antaranya ialah Revolusi Syiah dan revolusi dari bangsa Berber di Afrika Utara dan berjaya membebaskan diri daripada pemerintahan pusat.

Kemuncaknya ialah Revolusi Abbasiyyah yang merupakan revolusi besar-besaran yang di pelopori oleh seorang berbangsa Parsi iaitu Abu Muslim al-Khurasani bersama-sama dengan puak Syiah, dan keturunan Bani Abbas seperti Abu al-Abbas as-Safah yang akhirnya berjaya menumbangkan Khilafah Bani Umayyah pada tahun 750 selepas kemenangan pemberontak dalam Pertempuran Sungai Zab.

5. Empayar Mongol Timuriyyah (1370-1507)

Empayar Mongol Timuriyyah

Pada suatu ketika dahulu, apabila sebut sahaja perkataan “Mongol”, sudah cukup untuk membuatkan para pemerintah, menteri, pembesar, dan rakyat dalam sesebuah negeri tak tidur lena, makan tak kenyang, dan hanya memikirkan tentang kematian yang dahsyat.

Begitu dahsyat penangan Mongol yang bermain di fikiran manusia yang hidup pada kurun ke-13 dahulu. Serangan pertama bangsa Mongol mengorbankan kira-kira antara 40,000,000-100,000,000 juta nyawa manusia, dan membawa wabak penyakit yang menyerang benua Eropah yang dikenali sebagai “Black Death”.

Ini ialah gambaran mengenai bangsa Mongol yang pernah menguasai Asia ketika pemerintahan Genghis Khan dan keturunannya.

Tapi, menjelang akhir abad ke-14, empayar Mongol yang sememangnya sudah berpecah sejak kemangkatan Mongke the Great Khan (the Great Khan ialah gelaran kepada ketua kepada semua Khan yang ada) pada tahun 1259. Mereka mulai lemah dan berpecah belah, saling berperang sesama sendiri.

Empayar Mongol yang luas dipecahkan dengan empat negeri yang utama iaitu negeri Yuan di China, negeri Chagatai Khan di Asia Tengah, negeri Ilkhan di Asia Barat dan Parsi, dan negeri Altan Ord (Golden Horde) di Rusia.

Negeri Yuan pula tumbang di tangan revolusi rakyat Cina pada tahun 1367. Untuk rekod, tiga daripada empat negeri Mongol menganut Islam kecuali negeri Yuan.

Ketika keadaan Mongol yang mulai lemah, lahirnya seorang manusia yang kelak bakal mengikut jejak Genghis Khan menakluk negeri-negeri yang ada. Manusia tersebut ialah Timur, yang dikenali sebagai Amir Timurlenk yang bermaksud “Ketua Timur Si Tempang” dan di gelar jelmaan Genghis Khan yang menubuhkan Dinasti Timuriyyah.

Beliau berasal daripada susur galur keturunan Borjigin daripada puak Barlas dan mempunyai kaitan keturunan daripada Genghis Khan.

Sesetengah sejarawan berpendapat, susur galur keturunan beliau sudah bercampur dengan bangsa Turki. Beliau juga tidak pernah kalah dalam mana-mana pertempuran!

Amir Timur mula berkuasa di barat wilayah Chagatai Khan, dan mula mengumpul bala tenteranya tersendiri untuk menjalankan kempen penaklukan. Sasaran beliau ialah Parsi yang ketika itu berpecah kepada beberapa negeri kecil selepas kejatuhan Empayar Mongol Ilkhan dan dengan mudah beliau menakluk Parsi.

Kemudian beliau mengalahkan angkatan tentera Altan Ord pimpinan Tokhtamysh, menakluk Kesultanan Delhi, dan menyerang bumi Sham.

Sama seperti moyangnya Genghis Khan, beliau juga menjalankan kempen ketenteraan yang kejam dengan menjalankan pembunuhan beramai-ramai dan membina menara daripada tengkorak manusia.

Sejarawan berpendapat, kempen ketenteraan Amir Timur memakan korban manusia kira-kira 17,000,000 nyawa atau 5% daripada penduduk dunia.

Seterusnya beliau berperang dengan Empayar Turki Uthmaniyyah pimpinan Sultan Bayezid I “Sang Halilintar” dalam Pertempuran Ankara 1402. Sebelum itu, Sultan Bayezid I juga seperti Amir Timur, iaitu seorang penakluk yang sangat di geruni di Eropah, baginda berjaya mengalahkan angkatan tentera gabungan negara-negara Eropah yang terdiri daripada Empayar Suci Rom, Perancis, England, Hungary, Croatia, Wallachia, dan negeri-negeri Itali dalam Pertempuran Nicopolis 1396.

Baginda juga berjaya menguasai banyak tanah Balkan daripada kerajaan Kristian, dan negeri-negeri Turki yang lain. Ketika Pertempuran Ankara, nasib tidak menyebelahi baginda dan baginda tewas ke tangan Amir Timur yang lebih hebat dan pintar dalam taktik tipu helah yang menyebabkan tentera Uthmaniyyah keletihan akibat menempuh perjalanan yang panjang.

Baginda Sultan akhirnya mangkat dalam tahanan Amir Timur, yang tiada sesiapa yang tahu apakah nasib baginda semasa dalam tahanan tersebut sehingga membawa kepada kemangkatannya.

Selepas berperang dengan Uthmaniyyah, beliau kembali ke Parsi selepas berita kejatuhan Baghdad ke tangan pemberontak dan berjaya menakluk semula. Kemudian beliau mara menuju ke Samarkhan dalam persediaan bersama puak Mongol yang lain untuk menakluk semula China yang ketika itu di perintah oleh Dinasti Ming.

Ketika itu ramai puak Mongol Borjigin memeluk Islam untuk bersama-sama dengan beliau. Beliau meninggal dunia dalam perjalanan untuk menakluk China. Selepas kematian beliau, Empayar Mongol Timuriyyah terus lemah dan berpecah.

6. Empayar Mughal, India (1526-1857)

Empayar Mughal

Empayar Mughal yang juga di kenali sebagai Moghul dan Gurkaniyyah. Gurkan merujuk kepada istilah yang berkaitan dengan Mongol dalam bahasa Parsi, sama seperti gelaran Tatar (gelaran selain Mughliyah) oleh bangsa Arab yang merujuk kepada Mongol (Tatar pada asalnya salah satu puak atau negeri dari bangsa Mongol, kini Tatar merujuk kepada salah satu etnik dari bangsa Turki).

Empayar ini diasaskan oleh Zahiruddin Muhammad Babur. Beliau berasal dari susur galur keturunan Timurlenk iaitu pengasas kepada Empayar Mongol Timuriyyah. Keturunan beliau sudah bercampur antara Turki-Mongol-Parsi.

Empayar Mughal merupakan empayar paling berpengaruh dan terkuat di benua India. Ketika pemerintahan Maharaja Jalaluddin Akbar “the Great” (1556-1605), baginda berjaya meluaskan empayar dengan menguasai India Utara.

Kecemerlangan empayar di teruskan oleh Maharaja Nurudin Jahangir, Sahabuddin Shah Jahan, dan kemuncaknya ketika pemerintahan Maharaja Mahyuddin Aurangzeb (1658-1707) yang di gelar Alamgir yang bermaksud “penakluk dunia”. Salah satu faktor kehebatan Empayar Mughal ialah teknologi “gunpowder”.

Ketika di akhir pemerintahan Maharaja Aurangzeb Alamgir iaitu pada tahun 1700, tamadun India mencapai zaman kemuncaknya dengan menguasai 90% benua India dan Afghanistan dengan penduduk mencecah 158,000,000 orang dan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) terbesar di dunia iaitu kira-kira ¼ daripada jumlah KDNK dunia lebih besar berbanding KDNK Dinasti Qing di China.

Ketika era pemerintahan beliau juga, sejarawan berpendapat Empayar Mughal merupakan empayar terkuat di dunia dari segi ketenteraan, ekonomi, dan politik.

Selepas kemangkatan Maharaja Aurangzeb, empayar Mughal mengalami kejatuhan yang mendadak dan Empayar Maratha pula mengambil alih kuasa politik benua India, dan menjadi empayar terkuat di India sebelum dijajah oleh British.

7. Empayar Turki Seljuk (1037-1194)

Empayar Turki Seljuk

Empayar Turki Seljuk atau “Great Seljuq Empire” merupakan sebuah empayar Islam yang hebat dan kuat ketika zaman pertengahan. Di asaskan oleh Muhammad Tughril Beg Bin Mikail, seorang berbangsa Turki Oghuz dari puak Kinik. Mereka yang berasal dari Asia Tengah berhijrah ke Tanah Parsi dan bertembung dengan Kerajaan Ghaznawi.

Mereka menang dalam Pertempuran Dandanaqan menentang Empayar Ghaznawi menyebabkan kedudukan mereka semakin kuat. Mereka kemudiannya menguasai keseluruhan Tanah Parsi dan berjaya menguasai Baghdad pada tahun 1055 daripada cengkaman Kerajaan Syiah Bani Buwayh yang menguasai politik Khilafah Abbasiyyah.

Semasa era Sultan Alp Arslan yang di bantu oleh menterinya yang pintar iaitu Nizam al-Mulk, mereka mara meredah sempadan empayar purba yang masih lagi wujud ketika itu iaitu Empayar Rom Timur (Byzantine).

Kemuncaknya dalam Pertempuran Manzikert 1071 menyaksikan Turki Seljuk berjaya mengalahkan angkatan tentera Rom Timur dan berjaya menangkap Maharaja Rom iaitu Romanos IV.

Kecemerlangan Turki Seljuk di teruskan oleh anaknya iaitu Malik Shah I yang berjaya menguasai sebahagian kecil selatan Asia Tengah. Khalifah menggelarkan beliau sebagai “Sultan di Timur dan Barat”.

Selepas kemangkatan Sultan Malik Shah I, empayar mula merosot akibat daripada kelemahan pemimpin, kekalahan yang sangat memalukan dalam Perang Seljuk-Georgia, serangan pihak luar terutamanya daripada tentera Salib, kerajaan Turki Zengi, Kurdi Ayyubi dan akhirnya jatuh ke tangan Empayar Turki Khawarizmi.

Tidak lupa juga dengan terbinanya Universiti Nizamiyyah di Baghdad, yang merupakan antara universiti terbesar di dunia ketika itu hasil sumbangan Nizam al-Mulk.

8. Empayar Parsi Dinasti Safawiyyah (1501-1736)

Empayar Parsi Dinasti Safawiyyah

Parsi, merupakan nama yang cukup sinonim dengan kewujudan empayar-empayar gergasi masa silam. Bermula dengan empayar raksasa Dinasti Akaemeni (Hakshamanis), kemudian di ratah oleh Alexander the Great, kemudian Dinasti Salukiyyun (Seleucid), Ashkaniyyan (Parthia), dan Sasaniyyah yang di kenali sebagai Neo-Persian Empire, kemudian di takluk oleh tentera Islam.

Sejak di takluk sepenuhnya oleh umat Islam pada tahun 651, tanah Parsi mengambil masa yang lama untuk membina semula empayar identiti Parsi yang hebat macam dahulu, sehingga lahirnya tokoh yang bernama Abu al-Ismail bin Shaikh Haydar yang lebih dikenali sebagai Shah Ismail I.

Beliau kekal menggunakan gelaran Shahanshan yang sinonim dengan gelaran Parsi purba yang menganut agama Majusi (atau Zarathustra) yang bermaksud Raja segala Raja.

Beliau merupakan seorang penganut Syiah yang berpegang teguh dengan tarekat Syiahnya yang dikenali sebagai tareqat sufi Safawiyyah, manakala ayahnya merupakan seorang Shaikh tareqat tersebut.

Fahaman sufi Safawiyyah yang berasal dari tanah Azeri pada mulanya hanyalah sebuah gerakan keagamaan yang kemudian bertukar menjadi entiti politik yang kemudian berjaya mengubah Iran sepenuhnya menjadi tanah Syiah yang kuat pegangan Syiah.

Berita yang sangat menyedihkan bagi ahli sunnah wal jamaah kerana bangsa Parsi sangat terkenal dengan kehebatan dalam bidang ilmu pengetahuan, dan ramai sarjana-sarjana Islam sunnah berasal dari bangsa Parsi.

Shah Ismail I dan penerus Dinasti Safawiyyah berjaya men”syiah”kan hampir semua bangsa Parsi sehingga hilangnya permata Islam sunnah yang begitu hebat yang lahirnya dari bangsa Parsi.

Shah Ismail I (yang dipercayai berbangsa Turki Azeri) berjaya menguasai tanah Parsi daripada kerajaan Turki Kara Koyunlu dan menyatukan sisa-sisa kejatuhan Empayar Mongol Timuriyyah.

Empayar Safawiyyah yang dikenali sebagai “gunpowder empire” menjadi musuh utama kepada Empayar Turki Uthmaniyyah yang berfahaman sunni dan mereka saling berperang.

Ketika pemerintahan Shah Abbas I the Great, Safawiyyah mencapai kemuncak kekuasaan dan berjaya mengalahkan Turki Uthmaniyyah dalam Perang Turki-Parsi 1603-1618. Empayar Safawiyyah menguasai tanah Parsi hingga digantikan oleh Nader Shah pada tahun 1736.

9. Kesultanan Turki Mamluk, Mesir (1250-1517)

Kesultanan Turki Mamluk

Kesultanan Turki Mamluk Mesir juga dikenali sebagai Negeri Turki, dan Negeri Jarakasiyyah kerana di perintah oleh puak Turki yang kebanyakannya dari puak Turki Kipchak berhijrah ke bumi Mesir sejak zaman Kesultanan Ayyubiyyah.

Mereka asalnya hanyalah hamba yang dibeli oleh pemerintah untuk dijadikan tentera kerana bangsa Turki terkenal dengan sifat keberanian dan kepahlawanan. Mereka di beri jawatan penting dalam pentadbiran kerajaan Ayyubiyyah.

Menjelang kejatuhan Kesultanan Ayyubiyyah, puak Turki mula berkuasa dalam kerajaan Mesir. Shajar Ad Durr isteri sultan Mesir ketika itu iaitu Sultan as-Salih merupakan orang Turki dan beliau merupakan sultan (sultana) pertama Kesultanan Turki Mamluk selepas pembunuhan Sultan Turanshah (Sultan Ayyubiyyah) yang dipelopori oleh puak Turki.

Selepas itu, Shajar berkahwin dengan puak Turki Mamluk iaitu Izzudin Aybak, dan Izzudin menjadi Sultan Mesir yang kedua menggantikan Shajar.

Kesultanan Turki Mamluk terkenal selepas kemenangan ke atas Mongol dalam Pertempuran Ain Jalut pada tahun 1260 pimpinan Sultan Saifuddin Qutuz yang berjaya membunuh orang kanan Hulagu Khan iaitu Kitbuga.

Faktor utama kekalahan Mongol dalam pertempuran tersebut ialah kerana ramai tentera Mongol termasuk Hulagu Khan pulang ke Mongolia berikutan kematian Mongke the Great Khan.

Selepas kemenangan dalam Pertempuran Ain Jalut, berlaku pembunuhan ke atas Sultan Saifuddin yang di percayai didalangi oleh Az-zahir Baybars.

Semasa pemerintahan Sultan Az-zahir Baybars, empayar Turki Mamluk mencapai zaman kemuncak apabila berjaya menghalau Mongol dan tentera Salib keluar dari bumi Sham dalam beberapa kempen ketenteraan dengan strategi perangnya yang hebat terutamanya dalam Pertempuran Elbistan menentang Empayar Mongol Ilkhan.

Empayar Turki Mamluk kekal sebagai kuasa terulung di Utara Afrika dan Sham sehingga di kuasai oleh Empayar Turki Uthmaniyyah pada tahun 1517.

10. Dinasti Umayyah Kordoba (756-1031)

Dinasti Umayyah Kordoba

Dinasti Umayyah Kordoba merupakan kesinambungan daripada Dinasti Umayyah Damsyik yang jatuh di tangan kaum Bani Abbas semasa Revolusi Abbasiyyah pimpinan Abu Abbas al-Saffah dan Abu Muslim al-Khurasani.

Waris keturunan Bani Umayyah iaitu Abdul Rahman ad-Dakhil sempat melarikan diri ke Sepanyol (dulu dikenali sebagai al-Andalus) melalui jarak perjalanan ribuan kilometer merentasi padang pasir, dan pelbagai rintangan dan onak duri yang di tempuh oleh baginda.

Baginda di terima oleh penduduk Andalus dan menabalkan baginda sebagai pemimpin di sana. Baginda memakai gelaran Amir kerana menghormati khalifah di Tanah Arab walaupun bani Abbas bertindak kejam ke atas keluarga baginda.

Dinasti Umayyah Kordoba terbahagi kepada dua peringkat iaitu yang pertama ialah Amiriyyah Kordoba (756-929), yang kedua ialah Khilafah Kordoba (929-1031).

Dinasti Umayyah Kordoba terkenal dengan sumbangan dalam ilmu pengetahuan yang disalurkan kepada dunia Barat. Kerajaan ini juga berjaya mengekang pelbagai asakan daripada puak Kristian dari utara.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: thepatriots

Kisah Ahli Ibadah Yang Tidak Dicintai Allah

Kisah Ahli Ibadah Yang Tidak Dicintai Allah

Seorang ahli ibadah bernama Abu bin Hasyim kuat sekali ibadahnya. Hampir bertahun-tahun dia tidak pernah meninggalkan solat tahajud. Pada suatu ketika saat hendak mengambil wudhu untuk tahajud, Abu Bin Hasyim dikejutkan oleh sosok makhluk yang duduk di pinggir sumurnya.

Ahli Ibadah Yang Tidak Dicintai Allah

Lalu dia bertanya, “Wahai hamba Allah, siapakah Engkau?” Sambil tersenyum, sosok itu berkata, “Aku Malaikat utusan Allah.”

Abu Bin Hasyim terkejut sekali gus bangga kerana kedatangan tamu yang mulia ini.

Dia lalu bertanya, “Apa yang sedang kamu lakukan di sini?” Malaikat itu menjawab, “Allah memerintahkanku untuk mencari hamba yang mencintai Allah.”

Melihat Malaikat itu memegang kitab tebal, lalu Abu bin hasyim bertanya, “Wahai Malaikat, buku apakah yang kamu bawa?” Malaikat menjawab, “Ini adalah buku kumpulan nama-nama orang yang mencintai Allah.”

Mendengar jawapan Malaikat tersebut, dalam hatinya Abu bin Hasyim berharap namanya ada di dalam buku itu. Maka ditanyalah kepada Malaikat itu.

“Wahai Malaikat, adakah namaku disitu?”

Abu Hasyim beranggapan bahawa namanya ada di buku itu, mengingatkan amalan ibadahnya yang tak pernah putus, selalu mengerjakan solat tahajud setiap malam, berdoa dan bermunajat kepada Allah SWT di sepertiga malam.

“Baiklah, aku buka,” kata Malaikat sambil membuka kitab besarnya. Dan ternyata Malaikat itu tidak menemui nama Abu Hasyim di dalamnya.

Tidak percaya akan hal itu, lalu Abu bin Hasyim meminta Malaikat mencarinya sekali lagi.

“Betul, namamu tidak ada di dalam buku ini!” kata Malaikat.

Abu bin Hazim pun gementar dan jatuh tersungkur di depan Malaikat. Dia menangis semahu-mahunya.

“Rugi sekali diriku yang selalu tegak berdiri di setiap malam dalam tahajud dan bermunajat kepada Rabbku, tetapi namaku tidak termasuk dalam golongan para hamba yang mencintai Allah,” ratapnya.

Melihat akan hal itu, Malaikat berkata, “Wahai Abu bin Hasyim! Aku tahu engkau bangun setiap malam ketika yang lain tidur, mengambil air wudhu dan kedinginan pada saat orang lain terlelap dalam buaian malam. Tapi tanganku dilarang Allah menulis namamu.”

"Apakah gerangan yang menjadi penyebabnya?” tanya Abu bin Hasyim.

“Engkau memang bermunajat kepada Allah, tapi engkau pamerkan dengan rasa bangga kemana-mana dan asyik beribadah memikirkan diri sendiri.

"Di kanan kirimu ada orang sakit dan lapar, tidak engkau jenguk dan memberi mereka makan.

"Bagaimana mungkin engkau dapat menjadi hamba yang mencintai Allah kalau engkau sendiri tidak pernah mencintai hamba-hamba yang diciptakan Allah?” kata Malaikat itu.

Abu bin Hasyim seperti disambar petir. Dia tersedar hubungan ibadah manusia bukanlah hanya kepada Allah semata-mata (hablumminAllah), tetapi juga kepada sesama manusia (hablumminannas) dan alam.

Wallahu a'lam.

BACA INI JUGA:

sumber: qiraahpos

Thursday, November 29, 2018

Kenapa Syaitan Memilih Waktu Senja?

Kenapa Syaitan Memilih Waktu Senja?

Senja merupakan waktu peralihan antara siang dan malam, yang Allah telah menjadikan aturan khusus buat makhluk-Nya pada kedua-dua waktu tersebut. Waktu siang adalah untuk manusia bekerja dan mencari rezeki, manakala waktu malamnya pula adalah waktu untuk beristirehat dan tidur.

Syaitan Waktu Senja

Firman Allah Taala dalam surah An Naba’ ayat 10-11: ”Dan Kami telah menjadikan malam (dengan gelapnya) sebagai pakaian (yang melindungi) dan Kami telah menjadikan siang (dengan cahaya terangnya) sebagai masa untuk mencari rezeki.”

Jika siang adalah waktu untuk manusia keluar mencari rezeki, maka waktu malam pula merupakan waktu di mana jin dan syaitan berkeliaran untuk menjalankan kegiatan mereka.

Justeru, tidak hairanlah jika pusat-pusat maksiat seperti kelab malam, rumah pelacuran, disko, fun fair, pusat judi, konsert hiburan dan karaoke, aktif pada sebelah malam.

Menyedari bahayanya godaan dan gangguan pada malam hari, Nabi Muhammad SAW mengingatkan umatnya dengan sabda Baginda, “Sekiranya manusia mengetahui apa yang aku ketahui, nescaya mereka tidak akan berani berjalan sendirian di malam hari.”

Waktu senja permulaan bagi malam

Pada waktu ini, syaitan akan keluar berkeliaran dan antara tabiat syaitan ialah, mereka suka berada di antara dua situasi atau dua keadaan.

Contohnya, antara matahari terbit dan tenggelam, antara teduh dan panas terik, antara sejuk dan dingin, antara hujan dan panas.

Nabi Muhammad SAW melarang seseorang untuk duduk antara kawasan teduhan dan kawasan yang disinari cahaya matahari.

Begitu juga larangan orang-orang tua agar jangan bermain hujan panas kerana dipercayai mudah terkena penyakit demam.

Syaitan juga suka berada di antara seorang lelaki dan seorang wanita (bukan mahram) yang duduk berdua-duaan.

Jika dianalisa lebih mendalam, lautan yang terletak di pertemuan antara dua arus menjadi lokasi pilihan syaitan dan iblis untuk membina istananya.

Kepercayaan bahawa Segitiga Bermuda dan Segitiga Formosa (iaitu kawasan yang selalu berlaku kehilangan kapal laut dan pesawat secara misteri) sebagai kawasan yang dikuasai oleh kerajaan jin mungkin ada benarnya.

Kajian saintis menunjukkan kedua-dua segitiga tersebut merupakan kawasan pertemuan antara arus air hangat dan air yang dingin.

Di dalam Shahih Muslim, Nabi SAW bersabda, “Sesungguhnya iblis meletakkan singgahsananya di atas air. Kemudian dia mengutuskan para tenteranya (untuk memfitnah manusia). Di antara para tentera itu, mereka yang memiliki kedudukan paling hampir dengannya ialah yang paling hebat dalam membuat fitnah.”

Ibnu Qayyim Al Jauzi berkata, senja ialah waktu yang paling disukai syaitan dan pergerakan syaitan pada malam hari lebih hebat berbanding waktu siang, kerana kegelapan malam memberikan kekuatan kepada mereka.

Selain kegelapan, warna hitam turut memberikan kekuatan kepadanya dan pemuja-pemuja syaitan kebiasaannya memakai panji dan pakaian berwarna hitam.

Rasulullah SAW juga menyuruh agar membunuh anjing berwarna hitam yang mempunyai titik putih di atas mata kerana ia adalah syaitan.

Jika waktu pagi adalah waktu manusia berpusu-pusu keluar untuk bekerja, maka waktu senja adalah waktu untuk syaitan dan jin keluar berpusus-pusu untuk menjalankan operasi mereka.

Bagi menghindari dari diganggu oleh makhluk yang berkeliaran ini, maka Islam menetapkan beberapa ketentuan yang boleh dijadikan sebagai panduan keselamatan.

1. Menahan kanak-kanak dari berada di luar rumah pada waktu senja

Ibnu Hajar Al Asqalani dalam kitab Fathul Bari mengatakan bahawa antara hikmah Rasulullah SAW melarang anak-anak bermain di luar rumah pada waktu senja ialah kebimbangan terhadap keselamatan mereka dari gangguan syaitan.

Pada saat itu, kotoran-kotoran dan najis-najis yang sangat disukai oleh syaitan biasanya masih melekat pada diri anak-anak ketika mereka leka bermain.

Kanak-kanak juga tidak membentengi diri mereka dengan amalan-amalan zikir yang boleh mencegah gangguan syaitan terhadap mereka.

Ketika syaitan-syaitan berkeliaran, biasanya mereka akan bergantungan pada apa sahaja yang boleh mereka jadikan gantungan.

Kerana itu dibimbangi terjadi hal-hal yang tidak diinginkan pada anak-anak itu.

Dari satu aspek lain, kanak-kanak terutamanya yang belum mumayyiz memiliki hati yang bersih dari dosa dan tiada hijab.

Oleh sebab itu, kebiasaannya kanak-kanak dapat melihat makhluk-makhluk halus atau merasai tindakan makhluk tersebut.

Nabi SAW bersabda, “Setiap anak Adam ketika lahir ditusuk di kedua tepi badannya oleh syaitan dengan jarinya kecuali ‘Isa ibni Maryam, syaitan hendak menusuknya tetapi hanya berjaya menusuk uri (ibunya).”

Kerana itulah bayi yang baru lahir dapat merasai tusukan tersebut lalu menangis.

Tidak hairan juga jika ada bayi-bayi yang menangis di waktu senja atau tengah malam kerana diganggu oleh makhluk-makhluk ini.

Untuk mengelakkan masalah ini dari terjadi, maka ibu bapa dan ahli kelurga seharusnya menahan anak-anak dari keluar dan mengunci pintu sebelum masuk waktu senja.

Selain kanak-kanak, Islam juga melarang penganutnya membiarkan ternakan mereka berkeliaran di waktu senja.

Di kalangan jin dan syaitan, mereka juga mempunyai haiwan ternakan dan boleh jadi dibimbangi haiwan ternakan manusia ini akan dirosakkan oleh jin yang menyerupai anjing atau oleh haiwan ternakan jin itu sendiri.

2. Menutup bekas minuman dan makanan pada waktu malam

Waktu malam adalah waktu di mana syaitan dan jin giat beroperasi. Mereka akan memasuki segenap ruang termasuk kediaman manusia sama ada untuk menggoda atau menumpang makan.

Sabda Nabi Muhammad SAW dalam Shahih Muslim, "Apabila seorang itu memasuki rumahnya dan mengingati Allah (dengan membaca Bismillah) ketika memasukinya dan ketika ingin makan, maka syaitan akan berkata kepada golongannya, “Kalian tidak memiliki tempat untuk bermalam dan tidak juga makan malam."

Sebaliknya, apabila seorang itu memasuki rumah dan tidak mengingati Allah ketika memasukinya, syaitan berkata kepada golongannya, “Kalian telah mendapat tempat bermalam.”

Perintah Rasulullah SAW agar menutup bekas air dan makanan ada asasnya kerana penemuan saintis dan perubatan moden menunjukkan bahawa makanan atau minuman yang terdedah akan mudah dimasuki kuman dan bakteria.

Ianya boleh mengundang pelbagai penyakit dan kemudaratan kepada kesihatan manusia.

Dalam memperkatakan perihal kuman, virus dan bakteria ini, Syeikh Rashid Ridha menyatakan, ”Dan Ahli ilmu kalam (Tauhid) berkata: Sesungguhnya jin itu adalah (makhluk Allah) yang hidup, bertubuh halus dan tidak boleh dilihat.

"Dan sesungguhnya di dalam kitab Tafsir Al Manar, telah kami nyatakan berkali-kali bahawa makhluk Allah yang hidup, bertubuh halus, yang dikenali di zaman ini sebagai mikroorganisma menerusi mikroskop, adalah sebenarnya satu jenis dari bangsa jin.

"Dan telah pun terbukti bahawa ianya merupakan antara punca bagi kebanyakan penyakit.”

Kebolehan jin, syaitan dan iblis memasuki tubuh manusia melalui salur darah telahpun diketahui oleh Rasulullah S.A.W. melalui sabda Baginda, ”Sesungguhnya syaitan itu bergerak bebas di dalam tubuh anak Adam melalui saluran-saluran darahnya.”

Virus dan bakteria adalah unsur luar tidak dikenali yang memasuki tubuh manusia sama ada melalui udara, air atau sentuhan pada kulit dan bergerak di dalam tubuh badan manusia melalui salur darah lalu menempati sel-sel serta organ-organ dalaman.

Ini adalah bersamaan dengan sifat kejadian jin yang halus dan boleh mengubah bentuk mengikut keadaan.

Ia boleh memasuki tubuh manusia melalui rongga tubuh yang terbuka dan terdedah seperti mulut atau hidung mahupun liang-liang roma.

Fakta ini mempunyai persamaan dengan hasil kajian perubatan moden yang mendedahkan punca bagaimana sesuatu penyakit yang merebak iaitu antaranya melalui udara, sentuhan mahupun makanan yang tercemar.

Sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a., ”Jika seseorang dari kalian menguap, maka tutuplah mulut dengan tangannya kerana sesungguhnya syaitan masuk (ke dalam mulut yang terbuka).”

Begitu juga saranan agar menutup bekas makanan dan minuman agar tidak dimasuki kuman.

Serangga dan haiwan melata seperti lipas, tikus, nyamuk, cicak dan lalat yang tinggal di tempat-tempat yang disukai jin seperti longkang, tandas dan tong sampah merupakan kenderaan yang menjadi tunggangan jin berbentuk virus.

Apabila serangga begini menyentuh makanan yang tidak ditutup maka mereka akan memindahkan virus tersebut kepada makanan.

Dan serangga-serangga ini kebanyakannya keluar di waktu senja iaitu saat syaitan keluar berkeliaran.

Dalam kitab Al Muwatta karangan Imam Malik, beliau mendengar riwayat bahawa Saidina Umar hendak pergi ke Iraq.

Ka’ab al Ahbar menasihatkan kepadanya dengan berkata, “Wahai Amirul Mu’minin, janganlah engkau ke sana kerana di sana sembilan persepuluh sihir dan di sana juga ada kumpulan jin yang fasik serta wabak penyakit yang berjangkit.”

Ianya jelas menunjukkan bahawa antara hikmah suruhan menutup bekas makanan adalah untuk menghindari mudarat penyakit yang berpunca dari gangguan jin melalui pemakanan.

3. Membaca Bismillah bagi menghalang syaitan masuk

Sifat kejadian jin dan syaitan sememangnya halus dan tiada berbentuk sebagaimana kejadian api namun, keistimewaan ini mempunyai beberapa batasan.

Antaranya ialah mereka tidak dapat menembusi sesuatu yang disebutkan nama Allah (Bismillah) padanya.

Nabi Muhammad SAW bersabda yang diriwayatkan oleh Imam Muslim, “Dan kuncilah pintu-pintu kalian dan sebutlah nama Allah (dengan membaca Bismillah) kerana sesungguhnya syaitan tidak dapat membuka pintu-pintu yang dikunci (dengan menyebut nama Allah).

"Ikatlah bekas-bekas air kalian dan sebutlah nama Allah, tutuplah bekas-bekas makanan kalian dan sebutlah nama Allah, walau pun (tutupan) itu sekadar meletakkan sesuatu di atasnya dan matikanlah lampu-lampu pelita kalian.”

Selain makanan dan minuman, aurat manusia juga menjadi perhatian syaitan yang mana sesetengahnya menjadikan kemaluan manusia sebagai kediaman, dan sesetengah yang lain pula duduk bertenggek pada aurat yang terdedah seperti rambut, punggung dan dada wanita.

Walaupun makhluk ini boleh melihat aurat manusia, namun penglihatan tersebut menjadi terhalang sekiranya manusia membaca doa-doa tertentu yang diwaridkan dari Rasulullah SAW.

Sebagai contoh, doa masuk tandas sebagaimana hadis yang diriwayatkan dari Saidina Ali bin Abu Thalib bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Tabir antara mata jin dan aurat-aurat Bani Adam jika salah seorang di antara kamu masuk bilik mandi hendaklah ia mengucapkan Bismillah.”

Begitu juga dengan aurat yang ditutup rapi semata-mata kerana Allah (bukan kerana fesyen) menyebabkan syaitan dan jin tidak dapat masuk.

Maka disebabkan itulah Rasulullah SAW menyarankan umatnya agar berdoa dengan doa masuk tandas mahupun ketika hendak bersama dengan isteri.

Amalan-amalan memagar dan mendinding rumah kediaman dengan menggantung pelbagai bahan azimat, menyelit kertas-kertas wafaq dan tangkal, atau menabur bahan-bahan tertentu yang kononnya boleh menghalang kemasukan makhluk halus adalah tipudaya syaitan sangat berbahaya.

Makhluk yang ditugaskan untuk menjaga rumah itu adalah syaitan dan jin yang sebenarnya akan menimbulkan masalah dan huru hara dalam rumah di kemudian hari.

4. Memohon Perlindungan Allah dari angkara sihir dan bahaya malam

Oleh kerana amalan sihir melibatkan penggunaan syaitan dan jin, maka tidak hairanlah jika ada mangsa-mangsa sihir yang menjadi bertambah tenat dan meracau-racau terutama bila tibanya malam, kerana pada waktu malam, segala kejahatan mengambil peranan.

Dalam surah al Falaq, Allah sendiri memberi peringatan khas kepada umat Islam agar sentiasa berdoa memohon perlindungan denganNya dari segala kejahatan:

“Katakanlah (Wahai Muhammad); "Aku berlindung kepada (Allah) Tuhan yang menciptakan sekalian makhluk dari bencana makhluk-makhluk yang Dia ciptakan; dan dari bahaya gelap apabila ia masuk; dan dari kejahatan makhluk-makhluk yang menghembus-hembus pada simpulan-simpulan (dan ikatan-ikatan); dan dari kejahatan orang yang dengki apabila ia melakukan dengkinya."

Oleh yang demikian, kita sepatutnya mengisi waktu malam dengan amalan-amalan yang boleh mengundang rahmat dan keredhaan Allah seperti bersolat, berzikir, membaca Al Quran dan seumpamanya.

Sekiranya rumah kita dipenuhi dengan lagu-lagu yang melalaikan, atau filem-filem yang mengandungi unsur khurafat dan tercela, atau aktiviti-aktiviti yang dimurkai Allah, maka serangan sihir mudah berlaku kerana kita telah gagal membenteng diri dan keluarga dengan perlindungan Allah.

5. Menjaga aurat terutama kepala ketika keluar rumah waktu senja

Waktu senja adalah waktu syaitan giat menghasut dan menggoda manusia kerana mereka akan mencari ruang dan pintu yang boleh mereka tembusi pada tubuh manusia.

Para ulama bersepakat bahawa otak manusia merupakan antara sasaran utama syaitan kerana itulah pengawalan segala aktiviti anggota tubuh.

Kita mungkin pernah mendengar pesan orang-orang tua agar menutup kepala ketika keluar rumah pada waktu senja. Pesanan ini mungkin ada hikmahnya.

Kita dapat perhatikan amalan orang-orang alim yang mendoakan kebaikan anak-anak dengan mengucup atau meniupkan doa pada ubun-ubun mereka.

Amalan ini dilakukan dengan harapan agara ubun-ubun itu akan sentiasa mengilhamkan perkara-perkara baik untuk dikerjakan oleh anggota tubuh.

Sebahagian lagi menyarankan agar kita menutup ubun-ubun dengan sesuatu agar ia tidak terdedah kepada bisikan syaitan yang suka meracuni hati dan fikiran manusia.

Kajian saintis terhadap struktur otak manusia menemukan kebenaran ini.

Menurut Prof Keith L. More, di dalam otak manusia terdapat satu bahagian yang dikenali sebagai frontal lobe yang menjadi pusat segala perancangan manusia. Sama ada perancangan itu baik atau jahat, ianya bermula dari situ.

Menurut Sheikh Zahlun Najar dan Abdul Majeed Alzendanee, itulah ubun-ubun. (rujuk Al Islam keluaran Mac 2010).

Allah telah pun menegaskan hal ini melalui firmanNya dalam surah al Alaq ayat 15-16 yang bermaksud, “Jangan sekali-kali berlaku derhaka! Demi sesungguhnya jika ia tidak berhenti (dari perbuatannya yang buruk itu), nescaya Kami akan menyentap ubun-ubunnya (dan menyeretnya ke dalam neraka), (iaitu) ubun-ubun (orang) yang berdusta, yang bersalah.”

Dalam surah Al Rahman ayat 41, Allah juga berfirman, “Orang-orang yang berdosa dapat dikenal dari tanda-tandanya, lalu dipegang dari atas ubun-ubun kepala dan kakinya (serta diseret ke neraka)."

Menurut satu qaul dalam mazhab Shafii, seseorang yang tidak menutup kepalanya dengan suatu tutupan dianggap sebagai orang fasiq dan tidak bersifat adil.

Boleh jadi, itulah sebab orang-orang tua dahulu menyarankan agar kita menutup kepala supaya syaitan tidak dapat meracuni fikiran kita.

6. Tidak membiarkan roh dan jasad lalai ketika tidur

Oleh kerana syaitan suka berada di antara dua keadaan, maka waktu tidur adalah antara waktu yang mudah untuk seseorang dimasuki syaitan.

Ini kerana waktu tidur terletak antara hidup dan mati seseorang sebagaimana sabda Nabi SAW, “Tidur itu saudara mati.”

Oleh yang demikian, ketika manusia tidur dalam keadaan lalai, maka mudahlah syaitan menerjah masuk ke dalam mimpi dan perasaannya.

Adakalanya orang yang tidur akan mengalami mimpi-mimpi yang menakutkan hasil serangan syaitan itu tadi.

Begitu juga dengan orang yang suka tidur di waktu senja menjelang maghrib. Mereka akan mengalami kecelaruan fikiran tatkala bangun dari tidur.

Memang tiada dalil yang melarang seseorang tidur selepas asar, tetapi apabila diperhatikan kepada bahaya membiarkan jasad dalam keadaan separuh sedar di saat syaitan berkeliaran, maka sesetengah ulama melarang seseorang dari tidur selepas asar.

Sesetengahnya berpendapat sekiranya dilakukan 40 hari berturut-turut boleh menyebabkan jadi gila (dalam bahasa arab, orang gila disebut ‘Majnun’ yang bermakna ‘orang yang dimasuki jin’).

Besar kemungkinan ini disebabkan oleh penguasaan syaitan terhadap otaknya.

Dalam kitab Mishkatul Masabih ada disebutkan, “Tidur sedikit di waktu tengahari tidaklah dikeji. Rasulullah SAW ada juga melakukannya. Ini dapat mengimbangi kekuatan tubuh badan setelah bertahajjud di malam hari.”

Ibn Qaiyim menambah, "Tidur di siang hari amat dikeji kerana ia akan mewarisi penyakit kebengkakkan (muka kelihatan sembab dan tidak bercahaya) malapetaka, merosakkan warna kulit, menimbulkan penyakit radang limpa, melemahkan urat saraf dan melemahkan syahwat.

"Sekeji-keji tidur ialah ketika awal hari (matahari terbit) dan terlebih keji lagi ialah tidur di akhir siang hari (selepas Asar).”

Bagi seseorang yang terpaksa keluar ketika mana para syaitan sedang berkeliaran mencari mangsa, maka pendekatan yang harus dilakukan ialah dengan mengamalkan apa yang ditunjuki oleh Nabi SAW iaitu: (1) berdoa memohon perlindungan dari kejahatan jin dan syaitan, (2) pastikan diri dalam keadaan suci dari hadas, (3) hati dan fikiran kena selalu berzikir ingat kepada Allah, (4) tidak keluar bersendirian kecuali ditemani seorang mahram, (5) menjauhi dari melalui kawasan-kawasan gelap atau sarang maksiat, (6) menutup aurat terutama bahagian kepala.

Wallahu a'lam.

BACA INI JUGA:

sumber: mahyuddin09


5 Persamaan Sikap Orang Yang Berjaya

5 Persamaan Sikap Orang Yang Berjaya

Bila mendengar nama-nama individu yang sangat berjaya, terkenal dan kaya-raya seperti Bill Gates, Warren Buffett, Carlos Slim, Robert Kwok, Tony Robbins dan segelintir lagi,  pasti ramai di kalangan kita mahu berjaya seperti individu-individu ini.

Sikap Orang Berjaya

Walaupun mereka datang dari latar belakang berbeza, ada beberapa persamaan dari segi sikap dan pendirian mereka kongsi yang seharusnya dimanfaatkan kita dalam kehidupan seharian.

1. Sentiasa bersyukur dengan apa yang dimiliki

Kita tahu apa yang mereka lakukan dan kejayaan yang mereka lakar di pentas dunia dan bagi setiap kejayaan dan apa saja yang mereka dapat, satu persamaan di sini ialah mereka mensyukuri apa yang mereka dapat walaupun benda tersebut bersifat remeh. Mengapa mereka suka berbuat demikian?

Menurut pakar, syukur sebenarnya membantu mood manusia dalam mengharungi perjalanan kehidupan seharian daripada sinis dan pemarah kepada gembira dan ceria.

Tanpa sifat syukur, manusia mudah bersikap dendam dan hasad sehingga sanggup melakukan perkara di luar batasan kemanusiaan semata-mata untuk jadi hebat daripada orang lain.

Jadilah orang yang banyak bersyukur kerana Allah berjanji sesiapa yang bersyukur, Allah bukan saja akan kekalkan malah menambah lagi nikmat yang kita terima.

Ingatlah akan pesan ulama besar tasawuf dan pengarang kitab Hikam, Ibnu Athaillah al-Sakandari rahimahullah, “Sesiapa yang tidak mensyukuri nikmat Allah, maka dia sudah bersedia untuk kehilangan nikmat tersebut namun, sesiapa yang mensyukurinya bererti dia telah mengikatnya dengan tali kekang.”

2. Tidak takut memasang matlamat, cita-cita besar

Ini persamaan yang dikongsi ramai orang berjaya di seluruh dunia. Pada satu masa dalam kehidupan mereka, mereka menetapkan matlamat atau cita-cita yang ingin digapai, walaupun ramai bersifat pesimis terhadap cita-cita tersebut.

Pada mereka, bila mereka berbuat sedemikian, mereka menjadi versi diri mereka yang terbaik dan menunjukkan prestasi cemerlang semasa bekerja.

Tidak ramai dalam kalangan kita yang mahu mengikut teladan ini kerana masih terperangkap dengan zon selesa. Pada mentaliti sesetengah daripada mereka, mereka bimbang mereka akan gagal sebelum sampai ke destinasi yang dituju.

Mentaliti gagal itu seharusnya ditolak ke tepi kerana jika kita tidak melakukannya, maka bagaimana kita tahu kita akan berjaya atau sebaliknya?

Luaskan pandangan dunia kita dan tetapkan matlamat yang kita boleh capai. Jika kita gagal sekalipun, sekurang-kurangnya kita berada pada satu tahap yang lebih baik berbanding dahulu.

Dan kegagalan silam boleh saja dijadikan sebagai rujukan untuk kita mengelakkan ia daripada berulang pada masa akan datang.

3. Etika kerja yang mengagumkan

Bukanlah sesuatu yang asing bila kita mendengar antara rahsia kejayaan pemimpin-pemimpin industri ialah etika kerja mereka yang bagus dan kesungguhan mencapainya walaupun itu bermakna kerja lebih masa.

Sesiapa yang menyangka kejayaan pemimpin-pemimpin ini dicapai dalam sekelip mata silap kerana ada di antara mereka ini telah berusaha selama satu dekad dan kejayaan yang mereka capai itu tidak datang bergolek seperti yang disangka.

Tambahkan sedikit masa dan kesungguhan kita gunakan untuk kerja kita. Tak kisahlah tempohnya berapa, sejam atau paling kurang 30 minit, cuba laksanakan.

Tanpa kita sedar, kita sebenarnya mengikis etika kerja bersifat sambil lewa sambil meningkatkan lagi kualiti kerja kita.

Dan siapa tahu, dengan kesungguhan sebegini, apa saja matlamat yang kita tetapkan dapat direalisasikan. Jangan peduli apa orang kata sebaliknya ambil peduli kualiti kerja dan matlamat yang kita kejar.

4. Pandai menjaga diri

Kejayaan takkan datang bergolek kalau aspek spiritual dan fizikal kita tak terjaga. Ini antara persamaan orang-orang berjaya, mereka tetap menjaga kesihatan diri. Jangan kerana kerja, kesihatan terabai sampai ke tahap terlantar di hospital atau kehilangan orang tersayang.

Orang-orang berjaya bijak menyeimbangkan kedua-dua aspek ini kerana kedua-duanya memainkan peranan sama penting dalam kejayaan.

Bila aspek spiritual kita terjaga, pandangan dunia kita menjadi lebih positif dan meningkatkan mood kita semasa bekerja dan bila kita menjaga kesihatan fizikal, kita bukan saja bertenaga semasa bekerja malah kita juga tahu bila masa untuk kita berhenti seketika dan berehat.

Curi sedikit masa dengan meluangkan masa bersama keluarga dan menjaga kesihatan diri. Mulakan inisiatif menjaga kesihatan seperti menjaga pemakanan dan aktiviti senaman. Jangan bersikap menyendiri, sentiasa luangkan masa bersama orang-orang hebat dan positif.

Nampak remeh bila menyentuh soal kesihatan tetapi hakikatnya, itulah perkara paling susah untuk kita jaga. Jadi, dalam rutin seharian, pastikan ia jadi sebahagian daripada agenda kehidupan kita.

5. Tidak lokek memberi

Orang-orang berjaya sedar, tanpa sokongan orang-orang di sekeliling terutama keluarga dan rakan-rakan yang percaya dengan visinya, mereka takkan sampai ke tahap mereka berada hari ini.

Maka tidak hairanlah mengapa orang-orang berjaya tidak lokek menyumbangkan harta, masa dan tenaga mereka untuk tujuan kebajikan seperti Bill Gates melalui yayasannya, Bill & Melinda Gates Foundation. Mereka sedar bila mana mereka memberi yang baik, maka pulangan yang mereka dapat juga baik.

Ada sesetengah daripada kita bersikap kedekut dalam soal memberi walaupun ianya bersifat remeh. Pada mereka, tiada apa-apa ganjaran memberi sebahagian daripada hasil titik peluh mereka kepada orang lain termasuk membayar zakat.

Padahal mereka lupa, bila kita memberi, kita sebenarnya menyuburkan lagi harta kita selain mengundang keberkatan Allah s.w.t dalam hidup kita. Dan terlalu banyak hadis Nabi SAW yang mengajar kita untuk bersikap memberi seperti perlakuan baik, solat Dhuha, senyum, membuang benda merbahaya dari jalanan dan berlaku adil.

Jangan bersikap lokek dalam kehidupan kerana sikap sebegini membuatkan kita sentiasa gelisah dan mengundang kebencian terhadap diri sendiri. Apa guna jadi orang berjaya tetapi jadi sasaran kebencian orang ramai kerana tidak mahu menyumbang semula kepada masyarakat.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: thepatriots

Wednesday, November 28, 2018

Wahai Menteri Serta Golongan Agama, Jangan Bodoh Sombong Dan Jangan Lupa Diri

Wahai Menteri Serta Golongan Agama, Jangan Bodoh Sombong Dan Jangan Lupa Diri

Malaysia sudah beberapa kali diuji dengan barah perkauman. Barah, suatu sel yang tiada jaminan tidak akan kembali lagi, walaupun telah menjalani rawatan kemoterapi. Begitulah perkauman di Malaysia.

Ahli politik pembohong

Selama bertahun lamanya, nampaknya ia masih kekal dan mungkin akan terus kekal di kalangan masyarakat kita maka, jika kita tidak boleh menghapuskan barah, kita mampu mengawalnya.

Begitu jugalah dengan perkauman. Kita mampu mengawalnya dan ia bermula dari rumah, dan dari apa yang kita didik dan beritahu anak-anak kita.

Apa yang kita ajar mereka, itulah bekalan yang mereka bawa ke sekolah dan bertemu rakan-rakan lain. Minda mereka dicorak oleh kita. Pengetahuan mereka ditambah oleh kita. Sebagai ibu bapa, kita bertanggungjawab dan bersalah dalam hal ini.

Ahli politik, pemimpin-pemimpin NGO, ambillah pengajaran. Guna akal sebelum berbicara. Fikir kesan kata-katamu itu.

Anda semua mempunyai ramai penyokong dan pengikut. Pada mereka, hanya andalah sahaja yang benar. Maka, mereka akan mengikut kata-kata anda.

Apa yang anda tuturkan hanya akan menjadi api atau air. Jika api yang anda keluarkan, maka terbakarlah.

Namun jika air yang anda siram, maka subur dan bercambahlah. Anda juga bersalah dan bertanggungjawab dalam hal ini.

Pemimpin-pemimpin agama, tanya pada diri anda, apakah yang anda tuturkan dan ajar pengikut anda.

Adakah anda mengajak mereka melakukan kebaikan dan menghormati agama lain? Atau anda berselindung di sebalik pakaian keagamaan anda menyemai kebencian? Anda juga bersalah dalam hal ini.

Ada sebab mengapa anda dipilih atau terpilih menjadi ketua mereka. Ini kerana pengikut anda tidak mempunyai keupayaan berfikir seperti anda.

Maka jika anda memanipulasi fikiran mereka, menghasut mereka, andalah yang bersalah dan wajar dihukum terlebih dahulu, bukan pengikut-pengikut anda.

Berfikir sebelum bertindak, berfikir sebelum bercakap. Tatkala masyarakat negara lain seperti di Palestin, Syria dan Rakhine dahagakan kebebasan, keamanan, ada orang di Malaysia yang dahagakan kekacauan. Mereka mahu lihat negara ini musnah.

Apa yang telah terjadi, kita ambil sebagai iktibar. Jangan kita ulangi kesilapan silam kita. Kita pernah diuji sebelum ini dan kita sudah lihat kesannya. Hanya orang gila sahaja yang mahu lihat ianya berulang sekali lagi.

Jadilah air, bukan api. Sejukkan, bukan panaskan lagi.

***

Nota: Mohamad Siddiq Azani ialah seorang peguam dan anggota Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

BACA INI JUGA:

sumber: malaysiakini