Rabu, November 28, 2018

Wahai Menteri Serta Golongan Agama, Jangan Bodoh Sombong Dan Jangan Lupa Diri


Malaysia sudah beberapa kali diuji dengan barah perkauman. Barah, suatu sel yang tiada jaminan tidak akan kembali lagi, walaupun telah menjalani rawatan kemoterapi. Begitulah perkauman di Malaysia.

Ahli politik pembohong

Selama bertahun lamanya, nampaknya ia masih kekal dan mungkin akan terus kekal di kalangan masyarakat kita maka, jika kita tidak boleh menghapuskan barah, kita mampu mengawalnya.

Begitu jugalah dengan perkauman. Kita mampu mengawalnya dan ia bermula dari rumah, dan dari apa yang kita didik dan beritahu anak-anak kita.

Apa yang kita ajar mereka, itulah bekalan yang mereka bawa ke sekolah dan bertemu rakan-rakan lain. Minda mereka dicorak oleh kita. Pengetahuan mereka ditambah oleh kita. Sebagai ibu bapa, kita bertanggungjawab dan bersalah dalam hal ini.

Ahli politik, pemimpin-pemimpin NGO, ambillah pengajaran. Guna akal sebelum berbicara. Fikir kesan kata-katamu itu.

Anda semua mempunyai ramai penyokong dan pengikut. Pada mereka, hanya andalah sahaja yang benar. Maka, mereka akan mengikut kata-kata anda.

Apa yang anda tuturkan hanya akan menjadi api atau air. Jika api yang anda keluarkan, maka terbakarlah.

Namun jika air yang anda siram, maka subur dan bercambahlah. Anda juga bersalah dan bertanggungjawab dalam hal ini.

Pemimpin-pemimpin agama, tanya pada diri anda, apakah yang anda tuturkan dan ajar pengikut anda.

Adakah anda mengajak mereka melakukan kebaikan dan menghormati agama lain? Atau anda berselindung di sebalik pakaian keagamaan anda menyemai kebencian? Anda juga bersalah dalam hal ini.

Ada sebab mengapa anda dipilih atau terpilih menjadi ketua mereka. Ini kerana pengikut anda tidak mempunyai keupayaan berfikir seperti anda.

Maka jika anda memanipulasi fikiran mereka, menghasut mereka, andalah yang bersalah dan wajar dihukum terlebih dahulu, bukan pengikut-pengikut anda.

Berfikir sebelum bertindak, berfikir sebelum bercakap. Tatkala masyarakat negara lain seperti di Palestin, Syria dan Rakhine dahagakan kebebasan, keamanan, ada orang di Malaysia yang dahagakan kekacauan. Mereka mahu lihat negara ini musnah.

Apa yang telah terjadi, kita ambil sebagai iktibar. Jangan kita ulangi kesilapan silam kita. Kita pernah diuji sebelum ini dan kita sudah lihat kesannya. Hanya orang gila sahaja yang mahu lihat ianya berulang sekali lagi.

Jadilah air, bukan api. Sejukkan, bukan panaskan lagi.

***

Nota: Mohamad Siddiq Azani ialah seorang peguam dan anggota Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

BACA INI JUGA:

sumber: malaysiakini

Seorang blogger yang suka berkongsi ilmu untuk individu yang suka membaca.

1 comments so far

Tak baik sombong diri..pangkat tak ke mana. Hakikat

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon