Friday, January 05, 2018

Kisah Pencuri Kain Kapan Dan 7 Wajah Ahli Kubur


Pada suatu ketika dahulu, ada seorang pemuda yang kerjanya menggali kubur dan mencuri kain kapan orang yang telah mati untuk dijual.

Kisah Pencuri Kain Kapan Dan 7 Wajah Ahli Kubur

Suatu hari, pemuda tersebut telah berjumpa dengan seorang ahli ibadah untuk menyatakan kekesalannya.

"Sepanjang menggali kubur untuk mencuri kain kapan, aku telah melihat tujuh perkara ganjil yang menimpa mayat-mayat tersebut.

"Ia membuatkan aku insaf diatas perbuatanku yang keji dan saya ingin bertaubat," kata pemuda itu.

Ahli ibadah itu lalu bertanya kepadanya, apakah tujuh perkara yang dilihatnya.

Wajah Pertama

"Aku melihat mayat yang pada siang hari dikebumikan menghadap kiblat, tetapi apabila aku gali semula kuburnya pada waktu malam, wajahnya telah pun membelakangkan kiblat. Mengapa terjadi begitu?" tanya pemuda itu.

"Itulah golongan yang telah mensyirikkan Allah sewaktu hidupnya, lantaran Allah menghinakan wajah mereka dari menghadap kiblat, bagi membezakan mereka daripada golongan Muslim yang lain," jawab ahli ibadah.

Wajah Kedua

"Aku melihat wajah mayat sangat elok semasa dimasukkan ke dalam liang lahad, namun tatkala malam ketika aku menggali kubur, wajah mereka telah bertukar menjadi khinzir. Mengapa pula begitu?"

Ahli ibadah itu menjawab, "Itulah golongan yang meremeh dan meninggalkan solat semasa hidup kerana sesungguhnya solat merupakan amalan pertama yang akan dihisab. Jika sempurna solat, maka sempurnalah amalan-amalan yang lain."

Wajah Ketiga

"Golongan ketiga yang aku lihat, pada waktu siang mayatnya kelihatan biasa sahaja tetapi pada malamnya bila kuburnya digali, aku lihat perutnya menggelembung, keluar ulat yang terlalu banyak dari dalam perutnya itu."

Ahli ibadah itu menjawab, "Mereka itulah golongan yang gemar memakan harta yang haram."

Wajah Keempat

"Golongan keempat kulihat jasadnya bertukar menjadi batu bulat yang hitam warnanya. Mengapa terjadi begitu?" tanya pemuda itu lagi.

"Wahai anak muda, itulah golongan manusia yang derhaka pada kedua ibu bapanya semasa hidup. Sesungguhnya Allah sama sekali tidak redha kepada manusia yang menderhaka kepada kedua ibu bapanya," jawab ahli ibadah.

Wajah Kelima

Pemuda itu meneruskan ceritanya tentang golongan kelima mayat yang ditemuinya.

Mayat itu kukunya amat panjang sehingga membelit seluruh tubuhnya sendiri dan menampakkan segala isi dari tubuhnya.

"Mereka itu golongan yang gemar memutuskan silaturrahim. Semasa hidupnya, mereka suka memulakan pertengkaran dan tidak bertegur sapa lebih daripada tiga hari.

"Bukankah Rasulullah SAW pernah bersabda bahawa sesiapa yang tidak bertegur sapa melebihi tiga hari bukanlah termasuk dalam golongan umat Baginda," jelas ahli ibadah itu.

Wajah Keenam

Pemuda itu meneruskan ceritanya tentang golongan keenam. Waktu siang semasa dikubur, liang lahadnya kering kontang, tetapi tatkala malam ketika dia menggali semula kuburnya itu, dilihatnya mayat itu terapung dan lahadnya dipenuhi air hitam yang teramat busuk baunya.

"Wahai anak muda, itulah golongan orang yang memakan riba sewaktu hayatnya," jelas ahli ibadah tadi.

Wajah Ketujuh

"Golongan terakhir yang aku lihat, mayatnya sentiasa tersenyum dan berseri-seri wajahnya. Mengapa demikian wahai tuan guru?" tanya pemuda.

Ahli ibadah tersenyum sambil berkata, "Wahai pemuda, mereka itulah golongan manusia yang berilmu dan beramal dengan ilmunya sewaktu hayat mereka.

"Inilah golongan yang beroleh keredhaan dan kemuliaan di sisi Allah, baik sewaktu hayatnya mahupun sesudah matinya."

Kesimpulan

Ingatlah, sesungguhnya daripada Allah kita datang dan kepadaNya jua kita akan kembali.

Kita akan dipertanggungjawabkan atas setiap amal dan perbuatan yang dilakukan semasa hayat di dunia, hatta amalan sebesar zarah sekalipun.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: 12 Fasa Selepas Kematian Manusia

-SENTIASAPANAS.COM

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon