Friday, September 21, 2018

Penyamun Yang Tidak Mengaku Mencuri Belum Tentu Tak Bersalah!

Penyamun Yang Tidak Mengaku Mencuri Belum Tentu Tak Bersalah!

Dulu, ketika mula-mula didedahkan oleh WSJ berhubung kemasukan wang berjumlah RM2.6 bilion ke dalam akaun bank peribadinya, Najib Razak menegaskan, beliau bukan seorang penyamun.

Najib tidak mencuri

"Kalau pun saya nak menyamun, takkan saya masukkan dalam akaun peribadi," begitulah lebih kurang kata-kata Najib waktu itu.

Kenyataan beliau kemudiannya disokong oleh seluruh pimpinan UMNO termasuk Ahmad Maslan yang menyebut, "Bodohlah Najib kalau masukkan wang sebanyak itu menggunakan akaun bank peribadinya."

Apabila WSJ terus mendedahkan bukti demi bukti mengenai kemasukan wang itu dan Najib tidak mampu mengelak lagi, beliau lantas tampil mengatakan wang tersebut adalah derma yang diterimanya adalah daripada kerabat Diraja Arab Saudi.

Berduyun-duyunlah pula pemimpin UMNO mengatakan ia sebagai derma juga. Dulu berduyun-duyun sama menafi, kemudian berduyun-duyun pula mengesahkan ada wang dalam akaun peribadi, cuma didalihkan sebagai derma.

Antara Najib dan Ahmah Maslan, siapa yang bodoh dalam hal ini?

Sementara Najib mengatakan wang tersebut adalah derma untuk UMNO menghadapi pilihanraya, beberapa pemimpin lain yang bersuara sentiasa tampil dengan dengan hujah yang berbeza-beza.

Ada yang berkata untuk memerangi keganasan, melawan pengaruh ISIS, menentang Syiah, mengembangkan fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah dan berbagai alasan yang lain lagi.

Dalam hantaran di laman facebooknya, sambil menunjukkan beberapa bukti kononnya wang RM2.6 bilion itu adalah derma daripada kerabat Diraja Arab Saudi, Najib turut menyebut ia adalah derma untuk "pelan kecemasan" bagi menghadapi ketidaktentuan politik dalam negara berikutan peristiwa 16 September beberapa tahun sebelum itu.

Yang penting wang beribu-ribu juta itu ada diterima Najib, cuma hairannya kenapa beliau mula-mula menafi dan kemudian mengiyakannya?

Yang lebih menghairankan, alasan mengapa wang itu diberikan juga tidak pernah sama dan berbeza-beza dari semasa ke semasa.

Terbaharu, berkaitan wang RM2.6 bilion yang sama dan setelah tidak lagi berkuasa, Najib didakwa di mahkamah dengan 25 pertuduhan berkaitan dengannya.

Penantian banyak pihak yang mempersoalkan bila lagi Najib mahu didakwa berkaitan penerimaan wang tersebut serta memberi gambaran seolah-olah kerajaan tiada bukti untuk meneruskan pendakwaan, menjadi kenyataan jua akhirnya.

Sebaik selepas pendakwaan di mana Najib mengaku tidak bersalah dan dibebaskan dengan ikat jamin RM3.5 juta serta diberi kelonggaran untuk membayar wang jaminan secara ansuran sehingga 28 September 2018 depan, beliau bersuara lagi dengan mengatakan, "Bukan pencuri."

Hmmmm. Dulu bukan penyamun, sekarang bukan pencuri!!?

Kalau begitu, siapa penyamun dan siapa pencuri sedangkan ada wang beribu-ribu juta ditemui?

Najib boleh bercakap apa saja, "saya bukan penyamun", "saya bukan pencuri" atau ungkapan-ungkapan lain yang dimahukannya.

Tetapi, sekarang baru bermula proses pendakwaan dan perbicaraan dijadual akan diadakan pada November 2018 depan.

Adanya tuduhan atau pendakwaan tidak bermakna Najib sudah bersalah.

Begitu juga dengan pengakuan tidak bersalah yang dibuatnya, ia tidak bermakna Najib tidak bersalah.

Bersalah atau tidak hanya akan ditentukan dalam perbicaraan di mahkamah nanti.

Yang ditunggu-tunggu ramai ialah oleh kerana Najib sudah menyebut nama putera Raja Arab Saudi yang kononnya menulis surat dan memberi derma RM2.6 bilion kepadanya, walaupun dalam masa yang sama mengakui kemasukan wang itu dibuat melalui Tanore Finance, sebuah firma yang dimiliki oleh Jho Low bersama Eric Tan Kim Loong, adakah dalam perbicaraan nanti beliau dapat menampilkan anak raja Arab Saudi itu sebagai saksinya?

Sediakah anak Raja Arab itu berdepan soalan-soalan pendakwa dan pihak pembela di dalam mahkamah?

Bagaimana jika tiada anak Raja Arab dapat ditampilkan sebagai saksi sehingga akhir bicara?

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: shahbudindotcom

Nazri Aziz Ibarat 'Hantu Raya' Mencari Tuan Baharu

Nazri Aziz Ibarat 'Hantu Raya' Mencari Tuan Baharu

Bekas menteri, Nazri Abdul Aziz kini diibaratkan seperti 'hantu raya' mencari tuan selepas mengeluarkan kenyataan demi kenyataan bagi mewakili hasratnya berkenaan penyatuan UMNO bersama PKR.

Nazri Aziz hantu raya

Penganalisis politik, Profesor Dr Ahmad Atory Hussain berkata kenyataan yang dibuat Nazri sebelum ini iaitu masa depan UMNO kini bergantung kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim hanyalah merupakan kenyataan bersifat terdesak.

Menurutnya, kenyataan berkenaan juga begitu tidak manis dikeluarkan berikutan UMNO yang mempunyai 2 juta ahli masih lagi mempunyai pemimpin yang berkebolehan dalam memulihkan serta merefomasikan parti.

“Dia (Nazri) sebenarnya nak mencari tuan baru. Hantu raya cari tuan baharu. Tuannya yang lama dah mati. Dia kacau Tun Mahathir (Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad) tak laku, dia kacau Zahid (Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi) tak laku dan kini dia kacau Anwar.

“Ini sebenarnya kenyataan terdesak sebab dalam UMNO sekarang ni kelam kabut.

"Apa pun masa depan UMNO sebenarnya hanyalah bergantung kepada ahli dan pemimpin UMNO yang masih ada,” katanya.

Ahmad Atory berkata, sepatutnya ahli UMNO harus mencontohi kesetiaan peminat pasukan bola seperti Manchester United, Liverpool dan lain-lain lagi yang kekal setia walaupun pasukan yang diminati tewas dalam perlawanan.

Menurutnya, peminat berkenaan tidak “merayau” mencari pasukan lain tetap tetap taat serta setia dengan kelab bola pilihan masing-masing.

“Dalam parti juga begitu, walaupun tak salah nak lompat sana, lompat sini (merujuk kepada ahli Majlis Tertinggi UMNO keluar parti) tapi tak baguslah. Kita nak memperkuatkan parti masing-masing.

“Sepatutnya ahli dan pemimpin UMNO harus muhasabah diri, memperbetulkan keadaan, masalah sebelum ini.

"Kita mengalu-alukan UMNO yang kuat supaya Umno akan menjadi parti pembangkang yang sihat,” tegasnya.

Menurutnya, UMNO seharusnya tidak cepat melatah serta belajar dari apa yang berlaku kepada parti lain di luar negara seperti Parti Demokratik Liberal (LDP) di Jepun dan Parti Kongres India yang sebelum ini ditolak rakyat, namun kembali meraih kepercayaan rakyat.

“Saya ramalkan jika UMNO betul-betul muhasabah diri, memperbetulkan kesilapan dan kesalahan sebelum ini, Umno akan dilihat lebih bersih dana akan mendapat tempat kembali di hati masyarakat,” katanya.

Sebelum ini, Nazri menyatakan nasib UMNO kini di tangan Anwar selepas Dr Mahathir enggan bekerjasama dengan parti UMNO.

Nazri berkata UMNO yang kini diterajui Ahmad Zahid tidak mempunyai hala tuju selepas kekalahan pada pilihanraya umum yang lalu.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: astroawani

Tentera Sufi Diponegoro Yang Digeruni Belanda

Tentera Sufi Diponegoro Yang Digeruni Belanda

Pangeran (putera) Diponegoro adalah putera Sultan Hamengku Buwono III, Sultan Yogyakarta, beliau dilahirkan di Kraton (istana) Mataram pada tahun 1785 dan sejak kecil, neneknya yang kuat dan taat beragama membawanya tinggal bersama di Tegalrejo agar pangeran Diponegoro jauh dari pengaruh kraton.

Tentera Sufi Diponegoro Yang Digeruni Belanda

Diponegoro kemudiannya mendalami ilmu agama dengan ramai ulama di Jawa dan mendapat bimbingan rohani dari ulama sufi yang bernama Kiyai Mojo.

Pangeran Diponegoro juga mengamalkan tarekat Syattariyah dan Naqsyabandiyah.

Ketika zaman pemerintahan Sultan Hamengku Buwono V, Kraton Yogyakarta dipengaruhi oleh Belanda.

Kekejaman Belanda ke atas rakyat tempatan menyebabkan Diponegoro melancarkan perang ke atas Belanda yang disokong oleh Sultan Yogyakarta.

Maka tercetuslah perang antara pasukan tentera pimpinan Diponegoro menentang Belanda pimpinan Jenderal De Kock yang dipanggil Perang Sabil atau Perang Jawa pada tahun 1825-1830.

Diponegoro melancarkan perang secara gerila yang mana para tenteranya terdiri daripada ulama, pelajar pesantren (santri), pendekar dan rakyat tempatan.

Antara ulama masyhur yang berperang bersama Diponegoro ialah Kiyai Mojo, Syeikh Haji Ahmad dan Syeikh Muhammad.

Beberapa buah pesantren di Bangelen, Kedu, Pajang dan Mataram turut menjadi pusat kegiatan jihad yang mendokong perjuangan Diponegoro menentang Belanda oleh itu, tentera gerila pimpinan Diponegoro ini dipanggil ‘Tentera Santri’.

Pangeran Diponegoro begitu meminati Daulah Uthmaniyah dan menjadikan Uthmaniyah sebagai model ikutannya.

Beliau turut menamakan dirinya dengan nama Ngabdulhamit sempena nama Sultan Abdul Hamid II.

Pangeran Diponegoro membentuk pasukan tenteranya berdasarkan sistem tentera Uthmaniyah.

Para panglima perangnya memakai gelaran ‘Basya’ (Pasha), gelaran yang dipakai oleh para pembesar dan panglima Uthmaniyah seperti panglima tertinggi angkatan jihad Diponegoro iaitu Ali Basya Sentot dan panglima-panglima yang lain seperti Basya Uthman, Basya Raden Prawirodirjo dan Basya Ngabdul Latif.

Diponegoro juga berazam untuk melaksanakan syariat Islam sebagai asas perundangan di Jawa apabila dapat menewaskan Belanda.

Peperangan ke atas Belanda yang dipimpin oleh Diponegoro tidak hanya berlaku di Yogyakarta, malah ianya merebak hingga ke Semarang dan Jawa Timur.

Rakyat Jawa melihat Diponegoro sebagai harapan baru membebaskan mereka dari kekejaman Belanda.

Gua Selarong yang terletak di tengah-tengah sebuah gunung di Bantul menjadi markas utama tentera gerila Diponegoro. Di sinilah majlis-majlis zikir dan mesyuarat merancang strategi perang diadakan.

Pasukan gerila ini begitu ditakuti Belanda kerana beberapa siri serangan mereka berjaya menumpaskan Belanda dan mengorbankan ribuan tentera Belanda termasuk pemimpin-pemimpin tertinggi tentera sehingga mengheret Belanda untuk menawarkan genjatan senjata dan rundingan damai kepada Diponegoro.

Namun, Belanda menggunakan tipu muslihat yang akhirnya membawa kepada penangkapan Diponegoro, Kiyai Mojo dan para pengikut mereka.

Jeneral De Kock yang memungkiri janjinya telah menangkap Diponegoro ketika rundingan damai sedang dijalankan. Betapa baculnya Belanda!

Diponegoro dan orang-orang kanannya di bawa ke Menado dan seterusnya ke Makassar dan dipenjarakan di sana.

Beliau kemudiannya meninggal dunia di penjara pada tahun 1855 ketika berusia 70 tahun setelah dipenjara selama 25 tahun.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: thepatriots

'Saya Yang Menjalankan Amanah' Berkuat Kuasa Dalam Surat Rasmi Kerajaan

'Saya Yang Menjalankan Amanah' Berkuat Kuasa Dalam Surat Rasmi Kerajaan

Setiap surat rasmi kerajaan kini perlu diakhiri frasa ‘Saya yang menjalankan amanah’, berkuat kuasa pada 20 September 2018, dalam satu surat arahan menggantikan Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 5 Tahun 2007: Panduan Pengurusan Pejabat, Bahagian VI, perenggan 6.4(g) sebelum ini menyatakan bahawa setiap surat harus diakhiri dengan frasa ‘saya yang menurut perintah’.

Penukaran penggunaan frasa pada sudut kiri surat rasmi, sebelum ditandatangani pegawai berkaitan itu selaras hasrat kerajaan supaya penjawat awam menghayati bahawa setiap perintah, tugasan dan tanggungjawab ialah amanah yang perlu digalas sebaiknya.

Amanah dalam konteks ini bermaksud rela dan berusaha melaksanakan tugas serta tanggungjawab yang diamanahkan dalam batas kuasa ditentukan dengan penuh gigih, selain ikhlas bagi mencapai matlamat ditetapkan.

Ia juga mempunyai sifat luhur dan murni, jujur kepada diri, rakan serta organisasi, kerana sifat amanah ialah nilai asas yang perlu ada dalam setiap penjawat awam untuk menjalankan tugasnya mengikut bidang kerja masing-masing supaya kualiti perkhidmatan berada pada tahap tertinggi.

Ia juga sesuai dengan tanggungjawab yang digalas untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat dan selari hasrat membangun serta memajukan negara.

Penggantian frasa ini hanya meminda perenggan 6.4(g), Lampiran A, Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 5 Tahun 2007.

Saya Yang Menjalankan Amanah

SEJARAH "SAYA YANG MENURUT PERINTAH"

SYMP atau Saya Yang Menurut Perintah adalah sinonim dengan dunia perkhidmatan awam sebelum ini.

Memetik kata-kata Tun Mohamed Suffian Mohamed Hashim, bekas Ketua Hakim Negara yang tersohor, seperti yang dirakamkan dalam kes Kerajaan Malaysia lawan Rosalind Oh Lee Pek Inn pada 1973 yang menyatakan seperti berikut:

“It is true that the origin of Government service is contractual. There is an offer and acceptance in every case. But once appointed to his post or office, the Government servant acquires a status and his rights and obligations, are no longer determined by consent of both parties, but by statute or statutory rules, which may be framed and altered unilaterally by Government... the hall-mark of status, is the attachment to a legal relationship of rights, and duties imposed by the public law, and not by mere agreement of the parties”.

Prinsip ini diraikan oleh Mahkamah Persekutuan dalam kes Rajion Sulaiman lawan Kerajaan Negeri Kelantan pada 1975, di mana saya suka memetik kata-kata Almarhum Sultan Azlan Muhibbudin Shah semasa baginda menjadi Hakim Mahkamah Persekutuan seperti berikut:

“The argument that Government, cannot unilaterally amend the conditions of service of a person, in the public service of a State by administrative rules and regulations overlooks and negatives the tenure at pleasure laid down in Art 132(2A) of the Constitution. In my view, the rules and regulations relating to the public services under the Constitution are directory, liable to be changed to suit the public policy of the State”.

Kes yang dipetik ini penting kerana amat relevan dengan perihal Saya Yang Menurut Perintah dalam perkhidmatan awam.

Dalam hal ini, apa yang diharapkan kerajaan bukan ketaatan yang membuta tuli sehingga penjawat awam bekerja tanpa berfikir. Jika prinsip ini disalahfaham, maka akan terbantutlah kreativiti dan inovasi dalam kalangan penjawat awam.

Pada masa kini, kita pula berhadapan dengan liku-liku yang penuh cabaran di mana kadang-kala kita barangkali terlupa tentang asas-asas dan fundamental yang mendasari tugasan kita seharian khususnya yang termaktub dalam Rukun Negara di bawah frasa ‘Keluhuran Perlembagaan’.

Dalam konteks perkhidmatan awam, nilai-nilai kebersamaan de­­ngan kerajaan, berkeupayaan menterjemahkan dasar-dasar kerajaan dan meningkatkan penyampaian perkhidmatan awam berasaskan pembudayaan nilai integriti dan patriotisme adalah penting.

Hal ini kerana penjawat awam bertanggungjawab sepanjang masa untuk melindungi kepentingan kerajaan.

Sehubungan itu, dalam konteks Saya Yang Menurut Perintah, frasa ini menuntut penjawat awam untuk sentiasa mengakui bahawa sebarang perkataan dan tindakan mereka haruslah tertakluk kepada peraturan-peraturan yang ditetapkan Yang di-Pertuan Agong di bawah Perkara 132 Perlembagaan Persekutuan dan apa-apa Pekeliling Perkhidmatan yang dikeluarkan oleh kerajaan dari semasa ke semasa.

Ungkapan Saya Yang Menurut Perintah ini tidak sekali-kali sama dengan ungkapan ‘Yes! Bos!’, melainkan dalam ruang lingkup kepatuhan kepada semua peraturan-peraturan yang telah mengikat perkhidmatan seseorang pegawai awam itu.

Semasa di awal penjawat awam menyertai perkhidmatan, mereka sudah pun mengangkat sumpah maka, mereka diingatkan untuk tidak bermain-main dengan sum­pah, sebab tanggungjawab menjaga rahsia kerajaan itu adalah untuk kebaikan negara kita.

Sebelum ini, semua penjawat awam perlu melihat dengan lebih jelas perkara-perkara dalam Perintah-perintah Am Bahagian II (Kelakuan) iaitu di bawah Peraturan 4(1), Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 yang menyebut seseorang pegawai hendaklah pada setiap masa memberikan taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada Yang di-Pertuan Agong, negara dan kerajaan.

Kita sudah mengangkat sumpah kesetiaan, solidariti, amanah dan sebagainya. Oleh itu, adalah menjadi amanah dan tanggungjawab kita untuk menjaga rahsia kerajaan.

Sehubungan dengan semangat Perlembagaan, kepatuhan kepada undang-undang negara khususnya yang berkaitan perkhidmatan awam menonjolkan nilai-nilai sebenar Saya Yang Menurut Perintah dalam kalangan penjawat awam.

Penekanan kepada aspek kepatuhan terhadap undang-undang dalam kalangan penjawat awam, dapat dilihat dalam Peraturan 4(2) Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 yang melarang pegawai awam membelakangkan tugas awamnya demi kepentingan diri atau berkelakuan yang boleh membawa kepada kepentingan diri yang bercanggah dengan tugas awamnya, sehingga menjejaskan atau memburukkan nama baik perkhidmatan awam.

Oleh itu, perbuatan mengingkari perintah atau arahan dengan melakukan sesuatu perkara yang boleh ditafsirkan sebagai melanggar perintah atau undang-undang tidak boleh diterima dan dimaafkan sama sekali.

Dalam hal menyentuh isu ke­tegasan dan kepatuhan yang jitu kepada semua aspek perundangan tersebut, sebagai pegawai awam kita juga tidak boleh lupa tanggungjawab untuk sentiasa bersopan santun dan berbudi bahasa seperti yang digagaskan dalam Rukun Negara ini.

Ia adalah penerapan nilai-nilai penyayang, suka membantu, hormat- menghormati, bertolak ansur dan peramah kerana kita sentiasa berurusan secara langsung de­ngan pelanggan atau orang ramai.

Ini juga adalah antara intipati dalaman dalam memelihara etika profesionalisme yang bersifat berkecuali agar tidak berlaku masalah perpecahan, pertelingkahan dan konflik dalam melaksanakan tugas.

Dalam konteks penjawat awam dan media sosial pula, tidak dapat dinafikan keghairahan kita mendepani teknologi maklumat dan komunikasi yang berkembang pesat.

Aplikasi Facebook dan WhatsApp, membawa kita untuk sentiasa tergoda bagi meluahkan dan melahirkan rasa hati dan pandangan terhadap sesuatu perkara.

Namun begitu, kita harus menggenggam hati dan akal kita untuk menahan godaan itu kerana sebagai anggota perkhidmatan awam di bawah Perkara 132, Perlembagaan Persekutuan, kita sentiasa tertakluk kepada semua Perintah Am dan Peraturan-Peraturan Pegawai Awam khususnya berkaitan kelakuan dan tatatertib tanpa sebarang pengecualian.

Dalam hal ini, kita juga hendaklah mematuhi antara lain kepada larangan memberikan apa-apa penyataan umum untuk apa-apa tujuan seperti yang diperuntukkan dalam Peraturan 19, Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.

Jika tidak, kita bukan sahaja membocorkan rahsia kerajaan atau mendedahkan diri kita untuk diperalatkan, malah mewujudkan suatu bentuk provokasi dan debat yang tidak bijaksana dalam kalangan masyarakat yang sebegitu mudah percaya pada setiap perkataan atas merit sebagai pegawai awam yang sentiasa dilihat knows better what is inside the office.

'Saya Yang Menjalankan Amanah'.

BACA INI JUGA:

sumber: utusan | bharian

In Shaa Allah, InsyaAllah atau Insha Allah, Mana Satu Ejaan Rumi Yang Betul?

In Shaa Allah, InsyaAllah atau Insha Allah, Mana Satu Ejaan Rumi Yang Betul?

Sebelum ini laman sosial begitu hangat tentang isu penyalahgunaan perkataan "Salam". Ramai di antara kita mula beri maksud pelbagai. Ada yang katanya rujuk kitab injil dalam bahasa Hebrew, ada yang cakap bawa maksud tak baik. Akhirnya, mendapat sepakat ulama bahawa ia cuma rekaan sahaja.

In Shaa Allah, InsyaAllah atau Insha Allah

Kemudian, timbul pula isu ejaan perkataan "In Shaa Allah". Isu lama. Tapi tak sangka ia berlarutan hingga sekarang.

Jadi, artikel kali ini saya akan cuba menjawab dan menjelaskan secara ringkas tentang isu ejaan bagi perkataan "In Shaa Allah" dalam rumi.

Sebenarnya saya pun sampai pening baca fakta yang berbeza-beza akhir-akhir ini. Tak kurang ada yang sengaja mengada-adakan fatwa itu dan ini sehingga memberat-beratkan satu-satu amalan.

Tolonglah jangan putar belit hal-hal agama dan jangan sesekali kongsi kenyataan yang anda sendiri tak yakin ia sahih atau tidak. Bahaya, boleh kelirukan ramai orang. Sebaiknya tanya orang lain dulu sebelum kongsi. Minta pendapat ustaz, ustazah yang berdekatan dengan kita.

Berbalik pada permasalahan ejaan "In Shaa Allah", saya tidaklah pandai bahasa Arab. Tetapi akan cuba jelaskan berdasarkan rujukan dan bantuan dari mereka yang lebih arif.

Pun begitu penjelasan ini tidak bermakna saya menolak keterangan atau pendapat-pendapat kalian sekiranya berbeza.

Maksud sebenar 'In Shaa Allah';
  • ﺇﻥ ﺷﺎﺀ ﺍﻟﻠ Jika dikehendaki/diizinkan Alla
  • ﺇﻥ Jika/sekiranya
  • ﺷﺎﺀ Dikehendaki/ diizinkan
  • ﺍﻟﻠﻪ Allah

Sebenarnya, ejaan yang macam mana pun anda tulis, selagi mana bacaannya dan sebutannya masih sama, ia tetap akan membawa maksud yang asal.

Maka, tidak salah untuk tulis perkataan In Shaa Allah, InsyaAllah, Insha Allah atau Insya Allah, kerana sebutannya sama dan masih merujuk pada maksud yang asal iaitu "jika dikehendaki Allah".

Baiklah, ada beberapa sebab saya katakan, tidak kira apa pun perkataan jawi ini jika dirumikan, sama bacaannya walaupun beza ejaannya, adalah TIDAK MENGAPA. Berikut adalah sebabnya;

1. Jika anda katakan ianya mesti 3 perkataan

Kita kiaskan dengan perkataan ﺍﻟﺴﻼﻡ ﻋﻠﻴﻜﻢ, perkataan ini jika kita rumikan akan menjadi Assalamualaikum, betul?

Jadi, bila dirumikan ia menjadi berapa perkataan? Satu kan? Sedangkan dalam tulisan jawi pula ada dua perkataan. Kenapa jika perkataan Assalamualaikum dibenarkan pula? Sebenarnya tidak mengapa perkataan jika dirumikan menjadi 1 perkataan, selagi mana bacaannya tetap sama.

2. Jika anda katakan maksudnya akan jadi berbeza

Jawapan saya, TIDAK jika kehendak bacaan kita memang maksudnya adalah membawa maksud (jika dikehendaki Allah ) dan tidak membawa maksud yang lain.

Perkara ini tidak dinyatakan dalam mana-mana nas Al-Quran dan as-Sunnah, namun kita boleh menggunakan kaedah fiqh yang dihimpunkan ulama' terdahulu kepada kita hari ini untuk merujuk hukumnya.

Kaedah pertama iaitu "setiap perkara bergantung pada NIAT" jadi, pendapat saya tidak kira ejaan macam mana pun, yang penting niat kita tidak mengubah daripada maksud yang asal. Hukumnya, tiada masalah.

Jika ia mengubah maksud yang asal seperti jika Allah diciptakan atau sebagainya, maka barulah hukumnya jatuh haram.

3. Ada yang kata semua ejaan dibenarkan kecuali "insyaAllah" dan "insya Allah"

Kita tengok perkataan di atas persamaannya adalah, huruf "a" dibesarkan. Betul?

Jawapan saya, kemungkinan ia di bacakan waqaf pada "insya" (jika dikehendaki) sebab itu dibesarkan huruf A untuk mengagungkan Allah SWT. Jadi, maksudnya ia masih tidak lari dari makna yang asal. Betul tak?

Merujuk kepada kaedah pertama yang kita belajar tadi kan. Kita juga boleh kiaskan dengan perkataan ﺍﻟﺴﻼﻡ ﻋﻠﻴﻜﻢ jika diwaqafkan perkataan ﺍﻟﺴﻼﻡ maka akan menjadi sebutannya (assalam) maka ia akan menjadi (assalam alaikum). Adakah maksudnya akan berubah? Tidak.

Jadi secara kesimpulannya, selagi ia tidak membawa maksud yang berbeza dari maksud yang asal, TIDAK MENGAPA. Wallahu a'lam.

Dan yang pastinya, sentiasa basahi lidah kita dengan nama Allah. Selesai.

Hal ini perkara yang kecil, usahlah berat-beratkan sehingga mengelirukan ramai pihak. Mari kita lihat perkara yang lebih besar yang berlaku di hadapan mata kita sendiri. Masalah AQIDAH dan masalah-masalah besar yang lain.

Ini kerana title KHILAFAH masih tidak hilang dan tidak akan hilang dalam HATI kita.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: asyrafkhalib

Thursday, September 20, 2018

6 Khasiat Limau Kasturi Untuk Kesihatan Yang Ramai Tidak Tahu

6 Khasiat Limau Kasturi Untuk Kesihatan Yang Ramai Tidak Tahu

Perahan jus limau kasturi atau nama saintifiknya Citrus Microcarpa memang diakui mampu menambah keenakan rasa sesetengah minuman dan masakan Namun, keistimewaannya tidaklah terhenti setakat itu. Sebenarnya banyak lagi khasiat limau kasturi yang mungkin belum anda ketahui.

6 Khasiat Limau Kasturi Untuk Kesihatan Dan Melangsingkan Tubuh

Ini kerana bukan hanya jusnya, malah kulit limau kasturi pun boleh anda gunakan untuk mengurangkan sesetengah penyakit seperti asma, sakit tekak dan juga pening kepala.

Selain itu, ia dikatakan dapat mengatasi masalah badan berbau.

6 Khasiat Limau Kasturi Untuk Kesihatan.

1. Mengurangkan Asma

Ambil sesudu madu kemudian, campurkan dengan 5 titik jus limau kasturi. Minumlah campuran madu dan jus limau kasturi tadi. Anda boleh meminumnya pada bila-bila masa walaupun ketika tidak mengalami asma.

2. Melangsingkan Tubuh

Perahan limau kasturi yang dicampur dengan teh tanpa gula dan diminum setiap hari. Sebaik-baiknya biarlah teh yang diminum itu teh panas suam, kesannya lebih cepat.

3. Ubat Kelemumur

Biasakan mencuci rambut dengan beberapa helai daun rambutan yang diramas bersama setengah cawan air hingga mengeluarkan lendir.

Kemudian bancuh sebati lendir daun rambutan bersama dua cawan santan dan sebiji air limau kasturi.

Lumur pada seluruh kepala dan balut menggunakan tuala lembap. Biar sebentar sebelum dibilas bersih, Lakukan seminggu sekali.

4. Ubat Pening Kepala

Ambil sebiji limau kasturi dan potong sedikit di bahagian atasnya kemudian, picit kulit limau kasturi tadi sehingga cecairnya keluar. Pastikan anda menghalakan cecair tu ke arah hidung semasa ia dipicit.

5. Atasi Masalah Ketiak Berbau

Ambil beberapa biji limau kasturi, kemudian potong kepada 2 bahagian. Ramaskan limau kasturi itu kebahagian ketiak anda beberapa kali dan bilas sehingga bersih. Amalkan beberapa kali seminggu.

6. Ubat Demam

Petik 2-4 genggam daun limau kasturi. Rebus dengan 2 hingga 4 gelas air. Gunakan air rebusan ini untuk menuam pesakit yang demam.

Caranya dengan membasuh kain pada air rebusan dan diperas, lalu ditempelkan pada dahi pesakit.

MANFAAT LIMAU KASTURI

Tiada siapa menyangka dengan saiz yang kecil, buah limau kasturi sebenarnya mempunyai khasiat yang lebih tinggi dan lebih banyak berbanding sebiji epal hijau.

Perahan jus limau kasturi bukan sahaja mampu menambah keenakan rasa dalam masakan dan minuman, malah ia juga dapat membantu merawat pelbagai penyakit seperti batuk, sakit tekak, pening kepala dan sebagainya.

Khasiatnya tidak terhenti di situ sahaja, limau kasturi juga banyak digunakan untuk tujuan kecantikan misalnya dijadikan sebagai bahan untuk mengatasi masalah badan berbau, mengurangkan masalah kelemumur dan menguruskan badan.

Bahan aktif di dalam limau kasturi amat jarang ditemui dalam limau-limau lain.

Floretin-G

Limau jenis ini tergolong dalam kumpulan dihidro-kalkon dan hadir dengan salah satu komponen berkhasiat yang dipanggil Floretin-G.

Floretin biasanya didapati di dalam buah epal, sebahagian limau tropika dan teh rooibos, namun kajian mendapati bahan floretin banyak terdapat pada bahagian tertentu pada limau kasturi.

Menurut pakar pemakanan, bahan floretin-G juga boleh dijumpai di dalam epal hijau dan kombinasi antara bahan floretin bersama asid ferulic telah dijual di pasaran antarabangsa sebagai bahan kosmetik anti kedut dan pemutih wajah semulajadi.

Kuantiti Floretin-G yang diekstrak didapati telah meningkat jika dirawat menggunakan campuran enzim terpilih malah, bahan floretin-G juga stabil pada suhu dan tekanan tinggi.

Kajian jangka hayat minuman limau kasturi juga menunjukkan kandungan floretin-G masih stabil walaupun telah disimpan selama 18 bulan pada suhu bilik selain pelbagai ujian termasuk sensori dan penerimaan pengguna terhadap produk minuman ini telah dijalankan.

Antioksidan

Kajian preklinikal ke atas produk ini juga menunjukkan ia boleh menstabilkan sel darah merah, menurunkan trigliserida dan kreatinin.

Hasilnya, ramai yang menyukai minuman limau kasturi kerana rasanya kurang pahit selain penuh dengan khasiat semulajadi.

Antara bahan penting dalam produk makanan dan minuman kesihatan adalah bahan antioksidan yang boleh merencatkan (tetapi tidak menghalang sepenuhnya) pengoksidaan lemak, protein, karbohidrat dan asid deoksiribonukleik (DNA).

Proses pengoksidaan tersebut disebabkan oleh kehadiran bahan radikal bebas.

Apabila kandungan radikal bebas tinggi dalam darah, ia boleh menyebabkan tekanan oksidatif dan fenomena ini sering dikaitkan dengan penyebab penyakit kronik seperti kanser, darah tinggi dan kencing manis.

Sebenarnya, keberkesanan sesuatu produk antioksidan tidak diukur dari tinggi nilai antioksidan yang tertulis pada label semata-mata, tetapi bergantung kepada keupayaan tubuh manusia memetabolisma atau memecahkan bahan antioksidan kepada bahan ringkas yang dikenali sebagai asid fenolik dan seterusnya diserap dalam badan.

Kebanyakan makanan dan minuman yang tinggi bahan antioksidan mengambil masa yang agak lama untuk dimetabolismekan kepada asid fenolik dalam usus besar iaitu lebih kurang lima hingga 24 jam.

Keupayaan tubuh memetabolismekan bahan antioksidan yang berstruktur besar juga akan berkurang dengan kehadiran bahan matrik makanan seperti lemak dan protein.

Sebagai contoh, jika seseorang mengambil makanan atau minuman yang tinggi kandungan antioksidan, diikuti pengambilan bahan berlemak atau tinggi protein, maka bahan antioksidan tidak dapat dimetabolismekan atau dipecahkan kepada asid fenolik.

Hal ini kerana bahan antioksidan akan diikat dengan lemak atau protein dalam perut dan tidak dapat dimetabolismekan dalam usus besar oleh bakteria yang dikenali sebagai mikroflora.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

-SENTIASAPANAS.COM

Resepi Malaysia Juara Piala Dunia Sushi

Resepi Malaysia Juara Piala Dunia Sushi

Resepi masakan Malaysia yang 'disuntik' dalam penyediaan sushi membawa tuah kepada Cef Tai Koon Siang apabila beliau dinobatkan juara Piala Dunia Sushi 2018 di Tokyo, Jepun.

Cef Sky Tai Sushi

Tai atau lebih dikenali sebagai Cef Sky Tai, menghasilkan sushi bertemakan 'Malaysia-Truly Asia' yang mempamerkan keunikan variasi rasa masakan Malaysia dalam pertandingan pada 23 dan 24 Ogos 2018 itu, berjaya menewaskan pesaing dari Brazil, Filipina dan tuan rumah, Jepun.

Beliau yang juga ketua cef di Singapore Standing Sushi Bar, berkata konsep itu dipilih untuk mengetengahkan warisan budaya makanan di Malaysia ke dalam makanan tradisonal negara matahari terbit itu.

Sushi yang dihasilkan menggunakan resepi masakan masyarakat tempatan seperti Nasi Lemak, Laksa, beberapa masakan Cina dan India serta Baba Nyonya.

Selain rasa yang unik, faktor utama yang dinilai juri adalah kemahiran peserta dalam penyediakan sushi seperti skil mengunakan pisau, skil pemiletan dan rolling skill, katanya.

Anak jati Kluang, Johor itu menjadi johan bagi kategori tradisional Edomae Sushi dan sushi kreatif dengan skor markah tertinggi yang sekali gus menggondol gelaran juara keseluruhan.

Selain Tai, seorang lagi peserta negara, Chef Steve Chua Kok Hua turut berjaya melayakkan diri ke pusingan akhir dalam pertandingan sama.

Kedua-dua peserta itu mendapat latihan seni menghasilkan sushi menerusi Akademi Sushi Global tajaan NSC dengan kerjasama Institut Kemahiran Sushi Dunia.

Tai berkata kejayaan itu menebus kekecewaannya yang mendapat tempat kedua dalam pertandingan sama pada tahun 2016.

RESEPI SUSHI

Tak susah sebenarnya nak buat sushi sendiri. Yang penting tau resipi dan cara nak buatnya. Paling penting puas hati nak makan banyak mana dan jimat tak perlu nak beli lagi. Iyalah kalau beli, harga sushi ni pun tak lah murah mana, nak makan pun berkira-kira.

Baiklah buat sendiri ikut resipi yang dikongsikan oleh Puan Tahrunnisah Jali ni, gerenti jadi.

Bahan-Bahan:
  • 2 cawan beras calrose.
  • 4 cawan air.
  • 2 sudu besar cuka makan.
  • 1 sudu besar minyak bijan.
  • Sedikit lada hitam (optional).
  • Garam, gula.
Beras Calrose

Cara Membuat:
  • Basuh beras macam biasa dan tanak beras guna rice cooker.
  • Dah masak keluarkan nasi tadi dan letak dalam bekas.
  • Masukkan, garam, gula, kalau gantikan perasa secukup rasa pun boleh.
  • Kemudian, masukkan cuka makan, minyak bijan & lada hitam, campurkan dalam nasi dan kacau sekata.
Adun Sushi

Bahan-Bahan lain:
  • Telur Dadar dipotong memanjang.
  • Crab stick dicelup terlebih dahulu.
  • Sosej dicelup dahulu.
  • Salad.
  • Lobak dipotong memanjang dan dicelur sekejap.
  • Timun dipotong memanjang.
  • Udang dibuang kulit dan direbus atau dibakar.
  • Seaweed/yaki nori untuk menggulung.
  • Plastik & talam (untuk menggulung).
Bahan-bahan sushi 1
Bahan-bahan sushi 1

Cara Membuat:

1. Isi plastik besar atas talam/dulang.
2. Letak nori/Seaweed.

Cara membuat sushi 1

3.Letak nasi calrose tadi dan nipiskan nya (dalam gambar).

Cara membuat sushi 1

4. Letak bahan-bahan dan gulung menggunakan plastik yang disediakan. Gulung kemas-kemas.

Cara membuat sushi 1

5. Potong dan boleh dimakan dengan sos atau kicap lada.

Selamat Mencuba!

BACA INI JUGA:

sumber: bernama | MW


Najib Berdepan 25 Pertuduhan Penggubahan Wang Haram RM2.8 Bilion

Najib Berdepan 25 Pertuduhan Penggubahan Wang Haram RM2.8 Bilion

Bekas Perdana Menteri, Najib Tun Razak ditahan sebaik tiba di ibu pejabat Unit Pencegahan Pengubahan Wang Haram (Amla) Bukit Aman di Menara KPJ, pagi Khamis sebelum didakwa dengan 21 pertuduhan membabitkan wang sebanyak RM2.8 bilion.

NAJIB AMLA

Selain itu, Najib, juga akan menghadapi empat pertuduhan mengikut Seksyen 23 (1) dan 24 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata, tangkapan dibuat pasukan siasatan Amla dan Urus Setia Ketua Polis Negara (USKPN) selepas mendapat persetujuan daripada Jabatan Peguam Negara.

Najib akan dikemukakan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur untuk proses pertuduhan oleh timbalan pendakwa raya di bawah Seksyen 4(1) Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA) 2001.

Sebanyak 21 pertuduhan melibatkan 681 juta dollar Amerika (RM2.8 bilion) telah disediakan.

Sembilan pertuduhan melibatkan penerimaan wang haram, lima pertuduhan melibatkan penggunaan wang haram dan tujuh pertuduhan melibatkan pemindahan wang haram ke entiti lain.

Tangkapan dan pertuduhan ini dilakukan dengan kerjasama pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Terdahulu, menurut laporan The Star, Najib tiba di Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu Pejabat Polis Bukit Aman selepas ditahan semalaman di lokap SPRM pada Rabu.

Bekas perdana menteri itu tiba pada pukul 9.20 pagi Khamis sambil diiringi polis.

Dipercayai beliau hadir untuk merekod kenyataan di ibu pejabat tersebut sebelum dibawa ke mahkamah.

Ini merupakan kali ketiga Najib dibawa ke mahkamah, kali pertama pada Julai ketika beliau didakwa atas tiga pertuduhan berkaitan kes pecah amanah dan satu tuduhan menerima rasuah bernilai RM42 juta.

Bulan Ogos lalu, Najib didakwa atas tiga pertuduhan berkaitan pengubahan wang haram.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: mstar

10 Kawasan Setinggan Paling Padat Di Dunia

10 Kawasan Setinggan Paling Padat Di Dunia

Kepadatan populasi manusia di sesebuah kawasan memainkan peranan penting terhadap beberapa perkara, antaranya adalah pertumbuhan ekonomi, kadar jenayah dan lain-lain lagi. Semakin padat sesebuah kawasan itu, semakin tinggi persaingan di antara penduduk.

Kebiasaannya, kawasan yang mempunyai kepadatan yang sangat tinggi adalah kawasan yang didiami golongan miskin.

Kami ingin berkongsi 10 kawasan penempatan setinggan paling padat di dunia yang masih wujud sehingga kini.

1. Dharavi slums, Mumbai - India

Dharavi slums, Mumbai - India

Kawasan paling padat di dunia, terletak di negara dengan populasi kedua tertinggi di dunia iaitu India. Penempatan miskin ini dibina pada tahun 1883 ketika era penjajahan British. Dharavi mempunyai di antara 500,000 hingga 1 juta penduduk.

Dengan keluasan hanya 2.1 kilometer persegi, iaitu 112 lebih kecil dari Kuala Lumpur, kepadatan di kawasan ini sekitar 300,000 penduduk per kilometer persegi.

2. Mong Kok, Kowloon Peninsula - Hong Kong

Mong Kok, Kowloon Peninsula - Hong Kong

Mong Kok atau singkatan MK merupakan kawasan paling padat di Hong Kong ketika ini yang terletak di daerah Yau Tsim Mong, di selatan Semenanjung Kowloon, Hong Kong.

Mong Kok juga merupakan kawasan membeli-belah utama di Hong Kong yang terdiri daripada kedai-kedai, restoran dan pusat hiburan.

Mong Kok diiktiraf oleh Guinness World Records sebagai kawasan paling sibuk di dunia, dengan keluasan 1.1 kilometer persegi yang didiami oleh 143,000 penduduk memberikan kepadatan setinggi 130,000 penduduk per kilometer persegi.

3. Marine Lines, Mumbai - India

Marine Lines, Mumbai - India

Terletak di Selatan Mumbai, India, merupakan sebuah kawasan penempatan yang merupakan kem tentera British yang dibina pada abad ke-19 dan namanya diperolehi daripada Marine Battalion Lines yang kemudiannya ditukarkan menjadi kuarters tentera udara.

Kira-kira 202,000 penduduk mendiami kawasan yang berkeluasan 1.8 kilometer persegi ini, memberikan kepadatan 114,001 penduduk per kilometer persegi.

4. Santa Cruz del Islote - Colombia

Santa Cruz del Islote - Colombia

Dengan keluasan yang terlalu kecil iaitu 0.012 kilometer persegi iaitu kira-kira 1.5 saiz padang bola antarabangsa dan didiami oleh kira-kira 1,200 penduduk, Santa Cruz del Islote adalah pulau paling padat di dunia.

Terletak di Bolivar, Colombia, pulau ini mula dijumpai oleh nelayan-nelayan yang pada awalnya hanya berhenti berehat.

Mendapati pulau ini tidak mempunyai nyamuk, mereka kemudiannya mula membina penempatan di sini, sehingga kini.

5. Dhaka Kotwali Thana, Dhaka - Bangladesh

Dhaka Kotwali Thana, Dhaka - Bangladesh

Kawasan paling padat di dunia juga terletak di Dhaka, Bangladesh iaitu Dhaka Kotwali Thana yang mana sebanyak 31,992 buah rumah dibina di atas kawasan berkeluasan 0.67 kilometer persegi.

Menurut banci, populasi di kawasan ini adalah seramai 210,504 di mana 133,564 daripadanya berusia 18 tahun ke atas, serta 63.21% daripada jumlah penduduk adalah lelaki.

Namun, kadar purata celik huruf di Dhaka Kotwali iaitu 62.4% adalah lebih baik berbanding purata celik huruf negara, iaitu 32.4%.

Kepadatan kawasan ini adalah 101,693 penduduk per kilometer persegi.

6. Rocinha favela, Rio de Janeiro - Brazil

Rocinha favela, Rio de Janeiro - Brazil

Di Brazil, kawasan yang didiami penduduk miskin dikenali sebagai "favela" dan Rocinha merupakan "favela" paling besar di Brazil. Ia terletak di selatan Rio de Janeiro di antara Sao Conrado dan Gavea.

Terbina di atas lereng bukit yang sangat curam, ia berkeluasan 0.86 kilometer persegi dan didiami oleh hampir 70,000 penduduk.

Kepadatan di Rocinha mencecah sehingga 80,000 penduduk per kilometer persegi membuatkan ia kawasan terpadat di Brazil.

7. Kibera, Nairobi - Kenya

Kibera, Nairobi - Kenya

Terletak kira-kira 40 kilometer dari Mathare adalah Kibera, bandar Nairobi, Kenya. Ia bukan sahaja merupakan kawasan paling padat dan miskin di Kenya, malah di seluruh benua Afrika.

Kebanyakan penduduk di sini tersangat miskin dengan pendapatan kurang daripada RM4.20 sehari dan kadar pengangguran sangat tinggi dan ramai penduduk di sini dijangkiti HIV. Kes-kes seperti serangan dan juga rogol sangat biasa di Kibera.

Banci sebelum ini yang mengatakan Kibera didiami 1 hingga 2 juta penduduk adalah tidak benar.

Kibera yang berkeluasan antara 2.3 hingga 2.5 kilometer persegi diduduki kira-kira 170,000 hingga 260,000 penduduk, dengan kepadatan antara 74,000 hingga 114,000 penduduk per kilometer persegi.

8. Mathare slums, Nairobi - Kenya

Mathare slums, Nairobi - Kenya

Tempat ke-8 paling padat di dunia terletak di Mathare, Nairobi, Kenya, merupakan sebuah kawasan yang tersangat sesak dan dipenuhi orang-orang miskin di Kenya.

Lembah Mathare yang merupakan kawasan "slums" tertua, mempunyai populasi 180,000. Jumlah itu menjadi sebahagian daripada 500,000 penduduk kawasan ini secara keseluruhan.

Keluasannya adalah 1 per 3 daripada keluasan daerah Tondo, namun populasinya yang sangat tinggi membuatkan kawasan ini mempunyai kepadatan di antara 60,000 hingga 100,000 penduduk per kilometer persegi.

9. Wilayah Tondo, Manila - Filipina

Wilayah Tondo, Manila - Filipina

Tondo adalah daerah paling besar dari segi populasi dan keluasan di antara 16 daerah di Manila, Filipina.

Menurut sumber, daerah ini telah wujud semenjak tahun 900 yang diperintah oleh Jayadewa yang memegang pangkat Senapati yang bermaksud laksamana dalam bahasa Sanksrit.

Seramai 630,604 penduduk mendiami daerah Tondo yang berkeluasan 9.10 kilometer persegi, menjadikannya sebagai penempatan ke-9 paling padat di dunia iaitu 69,297 penduduk per kilometer persegi.

10. Ap Lei Chau - Hong Kong

Ap Lei Chau - Hong Kong

Terletak di Hong Kong, pulau ini terdahulu dikenali sebagai Pulau Aberdeen kerana terletak di Pelabuhan Aberdeen dan Selat Aberdeen, merupakan sebahagian daripada Wilayah Selatan.

Dengan keluasan 1.3 kilometer persegi dan penduduk seramai 86,782 orang, Ap Lei Chau antara pulau terpadat di dunia dengan kepadatan 66,755 penduduk per kilometer persegi.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: iluminasi