Rabu, Jun 06, 2018

Mengembalikan Maruah Institusi Dan Kakitangan Awam


Pada pertemuan pertama Tun Dr Mahathir Mohamad dengan kakitangan Jabatan Perdana Menteri selepas beliau kembali berkuasa, Dr Mahathir membangkitkan isu yang sangat mustahak di negara kita ini – mengembalikan maruah dan kepercayaan terhadap kakitangan dan institusi awam.

Mengembalikan Maruah Institusi Dan Kakitangan Awam

Dr Mahathir mula dengan mengingatkan kembali kepada konsep pentadbiran yang paling asas – perpisahan antara pembuat undang-undang (legislatif), pelaksana undang-undang (eksekutif) dan pentafsir undang-undang (kehakiman).

Apa kaitan antara tiga badan ini dengan integriti kakitangan awam? Di mana letaknya kakitangan awam antara tiga badan ini?

Kakitangan awam adalah jentera yang menggerakkan operasi ketiga-tiga badan ini yang berperanan sebagai semak imbang kepada perjalanan kerajaan.

Maka kepatuhan kakitangan awam bukan kepada mana-mana badan ini tetapi kepada kedaulatan undang-undang – bukannya tuan politik atau political master (istilah yang Dr Mahathir gunakan dalam majlis itu).

Hal ini bukan perkara baharu, sebab itulah dalam sebarang urusan rasmi, kita akan mendapati adanya ayat ‘Urusan Seri Paduka Baginda’ dicetak di atas surat rasmi – kerana kakitangan awam tidak mewakili kepentingan politik mana-mana pihak dan hanya patuh kepada negara yang diketuai oleh Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

Atas sebab itulah surat rasmi kerajaan tidak berbunyi ‘Urusan Perdana Menteri’ kerana beliau hanya mewakili eksekutif sahaja.

Ya, konsep ini sangat asas dan mudah, namun ternyata konsep mudah ini lebih senang diucapkan berbanding dilaksanakan.

Terpaksa akur pada ugutan

Tanpa pemisahan yang efektif antara tiga badan tadi, tidak mungkin akan wujud kedaulatan undang-undang.

Kakitangan awam tidak mampu untuk akur kepada undang-undang kerana ketiga-tiga badan ini tidak bertindak secara bebas daripada satu sama lain.

Jika kakitangan ini berdepan dengan arahan political master yang berlawan dengan undang-undang, kakitangan ini tidak dapat mengadukan halnya kepada mana-mana institusi lain akibat tiadanya pemisahan kuasa yang berkesan.

Maka, kakitangan kita terpaksa akur sama ada melalui sogokan atau ugutan.

Tambahan pula, sekian lama Malaysia ini diperintah oleh satu parti yang secara sengaja mahupun tidak menghilangkan garis pemisah antara parti pemerintah, kerajaan dan negara.

Oleh yang demikian, tidaklah adil untuk memukul rata bahawa semua kakitangan kerajaan ini secara sedar memilih untuk memihak kepada parti pemerintah.

Anehnya, Dr Mahathir baru-baru ini mengulang rungutan – yang seakan-akan berbaur ugutan – terhadap sikap tidak berpihak kakitangan kerajaan ini sedangkan amalan ini bukanlah baharu, kerana turut diamalkan sejak lama dahulu termasuk secara terang-terangan pada zaman pemerintahan perdana menteri keempat juga.

Akibatnya, kakitangan dan institusi awam di negara kita tidak dapat mengekalkan ketidakberpihakan mereka.

Mereka bukan lagi ‘tangan terkuat dalam melaksanakan segala urusan pembangunan negara’ sebagaimana yang disebut oleh Dr Mahathir, tetapi menjadi alat politik kepada parti pemerintah.

Tanpa kefahaman konsep mudah ini, kita tidak mungkin akan dapat mengekang kakitangan dan institusi awam di negara kita ini daripada menjadi alat politik kepada parti pemerintah yang baharu – meskipun tanpa kerelaan mereka.

Bayangkan jika kakitangan yang seharusnya melakukan tugas membangunkan komuniti, masyarakat dan negara diarahkan untuk mengelola aktiviti DAP, AMANAH, PKR atau BERSATU.

Tidak semuanya mendapat laba daripada tindakan ini, kebanyakannya hanya menurut arahan.

Berapa banyak sumber kerajaan terpaksa dibazirkan dan berapa banyak masa serta tenaga kakitangan kerajaan diperas untuk keuntungan parti dan bukannya rakyat?

Inilah antara pelecehan yang dihadapi oleh kakitangan awam kita.

Mereka dituduh tidak cekap dan bertanggungjawab, sedangkan hakikatnya mereka dipergunakan oleh political master ini.

Akhirnya kini penjawat awam berada dalam keadaan tersepit.

Ketidak berpihakan dengan pembangunan

Dr Mahathir beberapa kali menyebut tentang kakitangan yang mampu menyumbang kepada pembangunan.

Apakah kaitan antara keduanya?

Apabila kakitangan dan institusi awam bertindak tanpa berpihak, bukan sahaja sumber kerajaan akan dapat digunakan dengan lebih cekap – peruntukan sampai kepada sasaran, mengurangkan kemungkinan korupsi, dan penyelewengan – malah akan meningkatkan keyakinan pelabur.

Apa pula kaitan dengan pelabur?

World Economic Forum dalam menilai daya saing 114 buah negara melihat kepada set institusi, dasar dan faktor yang menentukan tingkat produktiviti.

Daripada 12 faktor, institusi awam adalah yang paling utama. Mengapa?

Institusi awam yang kuat (kuat dalam erti kata bebas untuk melakukan keputusan berdasarkan undang-undang tanpa dijejaskan oleh pertimbangan politik) akan memastikan pelabur berasa yakin dengan persekitaran ekonomi yang bebas, undang-undang yang menjamin hak pelabur (dan pekerja), serta dasar awam yang jelas.

Institusi awam bukan sebagai pemain aktif dalam pasaran tetapi sebagai pemboleh (enabler ) kepada pasaran yang sihat.

Kemakmuran ekonomi ini akan diterjemahkan kepada peningkatan kuasa beli oleh pengguna dan seterusnya meringankan kos hidup.

Namun, hal ini tidaklah boleh berlaku dalam sekelip mata.

Terdapat banyak dasar yang harus diperkemas dan ditambah baik bagi mengukuhkan institusi awam termasuklah yang berkaitan dengan kebertanggungjawaban, kecekapan dan ketelusan.

Hanya melalui reformasi institusi ini, kakitangan awam kita turut dapat menghayati dan melaksanakan kebertanggungjawaban, kecekapan dan ketelusan di peringkat individu.

Kerajaan telah menunjukkan hasrat ke arah matlamat ini dengan membubarkan beberapa badan yang berkepentingan politik sempit kepartian dan seperti JASA dan JKKKP, namun kita tidak harus selesa untuk berhenti di situ.

Agensi-agensi lain harus dibebaskan juga daripada kerosakan politik kepartian ini.

Kebertanggungjawaban, kecekapan dan ketelusan ini bererti rakyat maklum akan perjalanan kerajaan dan berhak untuk menuntut jawapan terhadap sebarang keputusan yang meragukan.

Ertinya rakyat harus dilibatkan bukan sahaja secara aktif, malahan juga bermakna.

Secara operasinya, mungkin dengan memastikan beberapa badan kerajaan yang stratergik membentangkan terus laporan kepada parlimen (dan dewan undangan negeri).

Hal ini kerana dalam sistem demokrasi berperwakilan, parlimen merupakan wakil kepada suara rakyat yang bukan hanya mewakili kerajaan tetapi juga pembangkang.

Semoga kita akan terus konsisten dalam mengembalikan maruah dan kepercayaan orang ramai serta pasaran terhadap kakitangan dan institusi awam di negara kita.

Kerajaan yang baik bukan kerajaan mahu memantau tetapi lebih penting lagi berani untuk dipantau.

*HARIS ZUAN merupakan pensyarah Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa di Universiti Kebangsaan Malaysia.


Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: malaysiakini

Seorang blogger yang suka berkongsi ilmu untuk individu yang suka membaca.

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon