Wednesday, May 31, 2017

Lelaki 007 Paling Sempurna Tewas Kerana Kanser

Lelaki 007 Paling Sempurna Tewas Kerana Kanser

1983, di sebuah lounge Lapangan Terbang Nice, Perancis, dari jauh Mark Haynes sudah nampak kelibat lelaki yang amat dikenalinya, duduk berhampiran pintu berlepas penuh asyik membaca.

Roger Moore

Haynes, 7 tahun, kemudian memberitahu datuknya, “Itu James Bond, bolehkah bantu saya untuk mendapatkan autografnya?”

Tanpa mengetahui siapa itu James Bond atau Roger Moore sekalipun, si datuk pergi kepada lelaki kacak dengan ketinggian lebih enam kaki itu seraya berkata, “Cucu saya mengatakan anda terkenal. Boleh tolong tanda tangan di sini?” Lelaki idola yang digilai jutaan perempuan di dunia itu tidak lokek, lantas menurunkan tandatangan di belakang tiket kanak-kanak tersebut.

Apabila Haynes menerima semula tiketnya, dia kecewa. Sangat kecewa! Yang dicatat adalah 'Roger Moore', bukan James Bond sepertimana dia mengenali lelaki itu. Memberanikan diri, Haynes pergi semula kepada lelaki berkenaan dan memberitahu bahawa beliau barangkali tersalah tulis.

Dalam sedikit senyuman, memandang ke sisi kanan dan kiri, kening terangkat, lelaki itu kemudian bercakap sambil berbisik ke telinga Haynes. “Saya perlu tulis sebagai Roger Moore. Jika tidak, Blofeld mungkin mengetahui saya sekarang berada di sini.”

Haynes kembali ke tempat duduk keluarganya dengan seluruh sarafnya melonjak keriangan. Datuknya bertanya adakah dia sudah mendapatkan tandatangan yang tertulis James Bond? “Tidak! Saya sekarang sudah bekerja dengan James Bond, saya tidak boleh mendedahkan rahsia kami.”

Waktu bergulir sepantasnya, belasan tahun kemudian, Haynes terlibat bekerja sebagai penulis skrip rakaman yang melibatkan UNICEF. Kebetulan, Roger Moore perlu menyelesaikan satu tugasannya sebagai duta kepada badan berpengaruh dunia itu.

Menyelit di celahan kru lain yang ada di situ, Haynes cuba memberitahu Moore akan kisah yang disimpan kemas dalam kotak ingatannya, bagaimana mereka bertemu di lapangan terbang itu.

Moore gembira mendengarnya, sambil berkata “Maaflah, saya tidak ingat lagi, tetapi saya gembira anda dapat bertemu James Bond.”

Tidak habis di situ, usai penggambaran, Moore berjalan mendahului Haynes dan sampai di ruang koridor menuju ke keretanya, beliau berhenti.

Melihat sekeliling, ke kiri dan ke kanan, dengan kening terangkat, sekali lagi seperti berbisik Moore berkata dengan tenang.

“Sudah tentu saya ingat pertemuan kita di Nice. Tetapi saya tidak berkata apa-apa sebentar tadi, kerana banyak sekali jurukamera bersama kita, mungkin salah seorang daripada mereka bekerja untuk Blofeld.”

Haynes ketawa berdekah-dekah, sepertinya dia kembali ke alam kanak-kanak riang berumur 7 tahun. Itu kenangan mahal. Ohh! barangkali paling mahal oleh seorang kanak-kanak yang kemudian membesar dan jadi dewasa dengan idola agungnya.

Untuk mereka yang membesar dengan filem ikon fiksyen era moden itu, watak ejen 007 dan Blofeld bukanlah asing. Blofeld adalah musuh paling ketat buat lelaki yang dianggap sempurna di dunia, James Bond.

Sudah pastilah apa yang menjadi musuh ejen 007 itu, juga menjadi musuh buat seluruh peminatnya termasuklah Haynes.

Tidak keterlaluan jika dikatakan, James Bond diingati oleh dunia bermula dengan Moore. Meskipun dia adalah Bond yang kedua, ejen 007 itu membius seluruh peminat produk francais TV paling popular itu selepas ditangani Moore.

Dilahirkan di Stockwell, London, pada 14 Oktober 1927, anak kepada Lillian dan George Alfred Moore ini bermula sebagai pelakon tambahan. Beliau berkhidmat sebagai tentera dalam Perang Dunia Kedua sebelum berpindah ke Amerika Syarikat.

Peranan yang melonjakkan namanya adalah melalui The Saint pada 1962. Watak sebagai ejen 007 pertamanya adalah melalui Live and Let Die (1973), diikuti The Man and Gun Golden, The Spy Who Loved Me, Moonraker, For Your Eyes Only , Octopussy dan A View to Kill.

Bakti manusiawi

Sifat yang begitu manusiawi, suka menolong ternyata bukan hanya pada watak dalam lakonan. Di ambang kemasyhuran, Moore sempat menjadi duta muhibah UNICEF.

Beliau berjaya meningkatkan penghasilan dana kepada lebih AS$90 juta (RM384 juta) melalui kempen Menghapuskan Kekurangan Iodin kepada kanak-kanak dunia, selain menghabiskan masa di seluruh dunia termasuk Ghana, Honduras dan Filipina.

Sumbangannya berbekas dan diperakui dunia melalui Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat UNICEF yang diterima di United Kingdom.

Sudah terang lagi bersuluh, pingat Darjah Paling Cemerlang Empayar British yang diterima dan membawa gelaran 'Sir' kepada Roger Moore dianggap sebagai pelengkap paling bergaya sepanjang usianya.

Pada 23 Mei 2017, memanjat usia 89 tahun, Moore akhirnya dipanggil pergi, dia meninggal dunia di Switzerland. Tidak banyak yang tahu, beliau mula bertarung dengan kanser prostat semenjak 1993 lagi.

Pada 2012 beliau pernah memberitahu media bahawa kanser kulitnya telah pun merebak dan menyekat beberapa aktiviti fizikalnya termasuk berjemur di pantai.

Berakhir sudah hayat seorang insan di dunia yang sebelum ini telah mengangkat dirinya sebagai lelaki Inggeris kacak, berpengaruh dan luar biasa hebat.

Berkongsi kesedihan, Deborah, Geoffrey dan Kristian mengumumkan bahawa ayah mereka telah meninggal dunia ‘selepas pertempuran yang singkat tetapi berani dengan kanser.’

Pada penghujung usia, sepertinya beliau tidak lagi mengenang segala kemasyhuran yang melangit itu. Diangkat sebagai duta kepada perihal kemanusiaan, itu adalah nilai yang paling mahal bagi seorang Roger Moore.

“Menerima penghargaan UNICEF, ia adalah satu-satunya perkara yang paling indah pernah saya lakukan di dunia ini,” katanya, beberapa tahun lalu.

“Tiada apa yang glamor tentang kematian. Ajarkan tentang cinta, kemurahan hati dan akhlak yang baik, siapa tahu dengan nilai-nilai itu, kanak-kanak juga dapat mendidik ibu bapanya di rumah,” demikian antara pesanan penting mendiang pada hayatnya.

Sebagaimana ejen 007 yang gagah bertahan dan tidak pernah takut kematian, Moore pernah memberitahu begini apabila diajak berbicara tentang episod tersebut.

“Ia seperti berada di dalam sebuah bilik yang berkunci, hanya kita seorang diri di dalamnya (kubur). Hanya setelah kunci bilik itu ditemui, kita semua akan berjumpa kembali.”

Syabas ejen 007 yang paling sempurna. Tugas kamu sudah selesai. Terima kasih Sir Roger Moore!

BACA INI JUGA: James Bond 007, Disebalik Jenama Hebat!

sumber: utusan

Apa Sebenarnya Perbezaan Kadazan dan Dusun?

Apa Sebenarnya Perbezaan Kadazan dan Dusun?

Menurut huraian daripada Wikipedia, istilah Kadazan-Dusun ini wujud dari hasil penggabungan etnik Kadazan dan Dusun serta beberapa etnik kecil lain. Penggabungan ini adalah akibat pertelingkahan politik.

Kadazan dan Dusun

Lagipun, perbezaan antara kaum Kadazan dan Dusun tidaklah begitu besar. Kalau diperhatikan dari segi jumlah penutur antara dialek Dusun dan Kadazan, didapati penutur dialek Dusun lebih ramai.

Kita melihat istilah yang selalu ditafsirkan (termasuk saya suatu ketika dulu, dan beberapa penulis tempatan) bahawa Kadazandusun merupakan satu bangsa.

Sedangkan, terdapat sedikit kekeliruan kecil di sini. Kesalahan di sini adalah disebabkan oleh kesilapan kecil dalam penggunaan huruf kecil ‘d‘. Sepatutnya ia ditulis, ditaip sebagai KadazanDusun untuk melihat perbezaan sesuatu bangsa itu.

Perkara ini mungkin boleh dianggap remeh oleh sesetengah pihak tetapi adalah molek sekiranya kita peka akan kesalahan kecil sebegini agar tidak ada kekeliruan pada generasi akan datang. Beleklah ke dalam kamus, Kadazandusun tidak wujud. Anda boleh pilih sama ada Kadazan ataupun Dusun.

Ada seseorang dari JPN berkata, “There is no classification of Kadazandusun as a race in the National Registration Department. It is either Kadazan or Dusun,”

This is the point that im trying to explain here.

As racial debate is a very sensitive issue, we should have at least taken the precaution or have avoided the term if we does not fully understand the salient meaning of it.

Itupun kalau tidak faham la. But for me, we should!

Tiada guna mendebatkan isu sebegini kerana ia tidak memberi manfaat kepada kedua-dua pihak, sama ada orang Kadazan mahupun Dusun.

Cuma, apa salahnya kita berkongsi kan? Mungkin ada ketikanya kita harus membuat klasifikasi yang jelas akan kedudukan bangsa Kadazan dan Dusun agar tidak menjadi Kadazandusun.

Ada juga teori yang pernah dikeluarkan oleh beberapa orang bahawa Kadazan adalah bangsa Dusun yang menetap di kawasan bandar kerana istilah ‘kadai’ (BM=Kedai) yang digunakan. Donald Stephens (Tun Fuad) dikatakan telah menggunakan perkataan tersebut pada 1961 untuk orang Dusun di kawasan bandar.

Sejauh mana kebenarannya? Tiada bukti bah from Tun’s statement that Kadazans were ‘orang bandar’ rite?

The term ‘Kadazan’ was already in use when Sabah was still known as the British North Borneo way back in 1932. In fact, the word ‘Kadazan’ is not of recent origin. There was evidence that the term has been used long before the 1950s.

Kita rujuk kepada Owen Rutter, dalam bukunya, The Pagans Of North Borneo, yang dikeluarkan pada 1929, ada tertulis: The Dusun usually describes himself generically as a ‘tulun tindal’ (landsman) or, on the West Coast, particularly at Papar, as a ‘Kadazan’. (page 31).

Owen Rutter ni dahulunya pernah bekerja di Sabah (pada waktu itu Sabah dikenali sebagai British North Borneo) sebagai D.O (Pegawai Daerah) selama lima tahun dan seterusnya meninggalkan negeri ini pada perang dunia pertama.

Selain daripada itu, jika mengikut istilah kuno ‘Rinait‘ oleh para ‘Bobohizan‘ (istilah untuk Priestesses), ‘Kadazan’ bermaksud ‘orang atau ‘manusia’.

Pada 1961 Penampang adalah pekan kecil. Donggongon dan Kasigui sahaja yang menjadi tumpuan orang. Jadi, bukan semua orang dari Penampang pada masa itu ‘tulun mantad kadai‘.

Reference: Rev. Fr. Antonissen wrote the “Kadazan Dictionary and Grammar” as early as 1956 well before Tun Fuad’s attempt to label the non-Muslim Natives as Kadazans who, before then were conveniently labelled as the Orang Dusun, meaning ‘people of the Orchard’, or the farming people.

Terdapat kamus di Australia, “A Gift From The Australian People Under The Colombo Plan”. Mukasurat 9, statement dari penulisnya:- “When I came to North Borneo in 1932 and was detailed to work amongst the Kadazan in Penampang and surrounding village”.

Sekali lagi, statement ini membuktikan Kadazan wujud bukan kerana istilah ‘urang dari kadai’ oleh Tun Fuad pada 1961.

Justru, jangan gabungkan Kadazan dan Dusun menjadi Kadazandusun. Ia tidak membawa apa-apa maksud.

Anda pilih salah satu. KADAZAN atau DUSUN. Ataupun KadazanDusun.

Posting ini bukanlah membawa apa-apa makna untuk bertekak dengan sesiapa, tapi sekurang-kurangnya kita boleh melihat point yang lebih jelas akan istilah untuk bangsa kita (terutama Sabahans).

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: Asal-usul Pesta Tadau Kaamatan (Pesta Menuai)

sumber: ladymariah

Peristiwa Penting Hari Ini Dalam Sejarah Dunia (31 Mei)

Peristiwa Penting Hari Ini Dalam Sejarah Dunia (31 Mei)

Tanggal 31 Mei merupakan hari ke 151 (hari ke 152 dalam tahun lompat) dalam kalendar Gregory dengan tinggal 214 hari sebelum memasuki tahun selepasnya.

MV Mavi Marmara
MV Mavi Marmara.

Hari ini juga merupakan sambutan Hari Dunia Tanpa Tembakau.

Peristiwa

1279 SM - Ramses II menjadi Firaun Kerajaan Baru Mesir.

1223 - Serangan Mongol: Angkatan Mongol menewaskan tentera gabungan Kiev, Galich dan Cuman di tebing Sungai Kalchik di Ukraine kini.

1678 - Lady Godiva berarak bogel menaiki kuda di Coventry, England.

1889 - Empangan South Fork runtuh, menyebabkan banjir yang meragut nyawa lebih 2,200 orang di Johnstown, Pennsylvania, Amerika Syarikat.

1910 - Penciptaan Kesatuan Afrika Selatan.

1916 - Kaiserliche Marine Jerman dan Tentera Laut Diraja British bertembung dalam Pertempuran Jutland, pertempuran laut yang terbesar dalam Perang Dunia Pertama.

1931 - Kesatuan Afrika Selatan bertukar menjadi Republik Afrika Selatan.

1974 - Syria dan Israel memeterai persetujuan pengunduran untuk menamatkan Perang Yom Kippur.

1977 - Sistem Saluran Paip Rentas-Alaska disiapkan.

1981 - Gerombolan terancang polis dan separa tentera membakar perpustakaan awam Jaffna, Sri Lanka, memusnahkan lebih 97,000 buku dan manuskrip unik.

2009 - Pilihan raya kecil Penanti, Malaysia diadakan setelah Ahli Dewan Undangan Negeri Penanti Mohammad Fairus Khairuddin daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) meletakkan jawatan.

2010 - Demi menguatkuasakan sekatan Gaza, Tentera Laut Israel merampas sekumpulan kapal bantuan kemanusiaan di perairan antarabangsa, membunuh 9 orang di atas MV Mavi Marmara.

2010 - Horst Köhler meletak jawatan sebagai Presiden Jerman.

2013 - Asteroid (285263) 1998 QE2 dan bulannya membuat hampiran terdekatnya ke Bumi bagi dua abad akan datang.

Kelahiran

1857 - Paus Pius IX, seorang Paus.

1967 - Faizal Hussein, pengarah, pelakon, dan penulis skrip.

1981 - Daniele Bonera, pemain bola sepak Itali, A.C. Milan.

Kematian

2001 - Hormat Rafei, seorang Menteri Besar Selangor ke-9.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: Peristiwa Penting Hari Ini Dalam Sejarah Dunia (30 Mei)

sumber: wikipedia

Sambutan Hari Dunia Tanpa Tembakau, World No Tobacco Day

Sambutan Hari Dunia Tanpa Tembakau, World No Tobacco Day

Sambutan Hari Dunia Tanpa Tembakau (rokok), World No Tobacco Day disambut diseluruh dunia pada tanggal 31 Mei setiap tahun.

Tembakau

Negara-negara ahli Pertubuhan Kesihatan Sedunia telah mencipta sambutan Hari Dunia Tanpa Tembakau pada tahun 1987.

Tujuan sambutan Hari Dunia Tanpa Tembakau ini adalah bagi menarik perhatian dunia terhadap keburukan tembakau dan kematian serta penyakit yang berpunca daripadanya yang boleh dielakkan dengan matlamat untuk mengurangkan kematian lebih kurang 3.5 juta orang setahun akibat masalah kesihatan berkaitan tembakau.

Lebih 10,000 kematian akibat merokok setiap tahun

Tabiat merokok menyumbang kepada lebih 10,000 kematian di Malaysia setiap tahun, dengan sejumlah 11,056 kematian yang berpunca daripada penggunaan produk tembakau dicatat di hospital kerajaan pada tahun 2011.

Menurut Tinjauan Kesihatan Kebangsaan melalui Global Audit Tabacco Survey Malaysia 2011 menunjukkan kadar merokok dikalangan dewasa di negara ini adalah 23 peratus iaitu lebih empat juta perokok.

Kempen berterusan perlu diadakan bagi menyedarkan masyarakat mengenai risiko merokok dan kepada perokok pasif.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: wikipedia

Tuesday, May 30, 2017

Makna, Syarat Wajib Dan Waktu Mengeluarkan Zakat Fitrah

Makna, Syarat Wajib Dan Waktu Mengeluarkan Zakat Fitrah

Zakat fitrah adalah zakat diri yang diwajibkan ke atas setiap individu lelaki dan perempuan muslim yang berkemampuan dengan syarat-syarat yang ditetapkan.

Waktu Mengeluarkan Zakat Fitrah

Dari Ibnu Umar r.a. katanya, “Rasulullah SAW telah mewajibkan zakat fitrah pada bulan Ramadhan kepada semua orang Islam, laki-laki, perempuan, orang yang merdeka mahupun hamba, 1 (satu) Sha’ kurma atau gandum.” (Hadith riwayat Imam Bukhari dan Muslim)

Syarat-syarat bagi Wajib Zakat Fitrah
  1. Mempunyai lebihan makanan atau harta dari keperluan tanggungannya pada malam dan pagi hari raya.
  2. Anak yang lahir sebelum matahari jatuh pada akhir bulan Ramadhan dan hidup selepas terbenam matahari.
  3. Memeluk Islam sebelum terbenam matahari pada akhir bulan Ramadhan dan berkekalan Islamnya.
  4. Seseorang yang meninggal selepas terbenam matahari akhir Ramadhan.

5 waktu dan masa mengeluarkan zakat fitrah

1. Wajib. Apabila terbenam matahari akhir 30 Ramadhan sehingga terbit matahari esoknya.

2. Afdhal. Sebelum sembahyang Hari Raya.

3. Sunat. Sepanjang bulan Ramadhan.

4. Makruh. Selepas sembahyang Hari Raya sehingga terbenam matahari pada satu Syawal.

5. Haram. Selepas terbenam matahari satu Syawal.

Untuk mengelakkan suasana yang sibuk dan kesukaran bagi amil-amil dan juga kelalaian bagi pembayar itu sendiri sehingga melepasi waktu afdhal, maka dinasihatkan supaya zakat fitrah dikeluarkan lebih awal, iaitu mulai hari pertama bulan Ramadhan.

Maksud sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Ibnu Majah, “Maka sesiapa yang mengeluarkan (fitrah) sebelum sembahyang Hari Raya, maka itulah zakat yang diterima, dan sesiapa yang mengeluarkannya sesudah sembahyang Hari raya maka itu hanyalah merupakan sedekah sahaja.“

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: Kefardhuan Dan Hukum Mengeluarkan Zakat Fitrah

sumber: zakat-muib

9 Tempat Menarik Lokasi Percutian Di Sandakan

9 Tempat Menarik Lokasi Percutian Di Sandakan

Sandakan merupakan bandar kedua terbesar di Sabah dengan banyak lokasi dan tempat menarik untuk percutian atau apabila berkesempatan melawat ke sini.

Kedudukan dan tempat yang betul-betul terletak di tepi laut membuatkan Sandakan tempat terbaik untuk mencari makanan laut yang enak, segar dan sedap.

Harga makanan laut di Sandakan juga lebih sedap dan murah. Sangat berbaloi.

Di sini kami ingin berkongsikan beberapa lokasi dan tempat menarik yang boleh anda lawati sekiranya berkunjung ke Sandakan.

1. Gua Gomatong

Gua Gomatong

Gua terbesar di Sabah ini terletak di daerah Sukau. Kira-kira 2 jam perjalanan dari Sandakan. Sekiranya anda berminat untuk melihat gua tempat dimana sarang burung layang-layang dipungut anda bolehlah ke Gua Gomantong.

Namun, jika anda mempunyai weak stomach bersiap sedialah dengan penutup mulut kerana bau di dalam gua ini bukanlah untuk semua orang.

2. Sandakan War Memorial Park

Sandakan War Memorial Park

War Memorial ini merupakan bekas kem tentera udara Jepun semasa Perang Dunia Kedua. Taman peringatan ini dibangunkan bagi memperingati korban tebusan perang yang terlibat di dalam Death March menuju ke Ranau.

3. Rumah Agnes Keith

Rumah Agnes Keith

Mengambil gambar di dalam rumah Agnes Keith adalah tidak dibenarkan

Anda pasti pernah mendengar Sabah Land below the Wind. Namun pasti ada diantara anda yang tidak mengetahui nama Land Below the Wind diambil daripada buku tulisan Agnes Keith yang bertajuk Land Below the Wind dimana beliau menceritakan pengalaman beliau menetap di Sandakan, Sabah sewaktu perang dunia kedua.

Kini anda boleh melawat rumah yang pernah didiami oleh beliau dan keluarga semasa perang dunia kedua. Dengan melawat rumah ini anda boleh mengetahui kisah hidup beliau dengan lebih lanjut lagi.

Sekiranya anda seorang yang meminati sejarah terutamanya sejarah perang dunia kedua di kepulauan Borneo anda harus melawat Rumah Agnes Keith.

4. Labuk Bay

Labuk Bay

Proboscis Monkey atau monyet belanda hanya boleh ditemui di kepulauan Borneo dan semakin hari jumlah monyet belanda ini semakin berkurangan disebabkan pembalakan dan juga pencemaran alam.

Oleh itu, jika anda ke Sandakan jangan lepaskan peluang untuk ke Labuk Bay untuk melihat sendiri spesies terancam ini.

5. Sepilok

Sepilok

Dengan berkunjung ke Sepilok anda dapat melihat sendiri Orang Utan di habitat semula jadi mereka dan anda juga berpeluang untuk menyentuh spesies yang semakin pupus ini.

Namun, harus diingati bahawa orang utan adalah enam kali lebih kuat berbanding manusia. Oleh itu, sentiasalah berwaspada! Don’t get too excited!

6. Rainforest Discovery Centre (RDC)

Rainforest Discovery Centre (RDC)

Rainforest Discovery Centre (RDC) di Sepilok, adalah sebahagian dari Hutan Simpan Kabili-Sepilok, merupakan Pusat Pemulihan Orang Utan Sepilok dan merupakan salah satu pusat pendidikan alam sekitar yang paling terkenal di Sabah.

Bersiar-siar di dalam hutan atau berjalan di sepanjang 147-meter panjang laluan pejalan kaki kanopi dan nikmati pemandangan hutan hujan yang indah, setinggi 28 meter di atas tanah.

Berjalan kaki pada waktu malam di sepanjang denai juga memberikan peluang kepada pelawat untuk melihat hidupan liar yang tinggal di dalam hutan ini, seperti pelanduk, musang, tarsier comel dan pelbagai jenis serangga dan burung.

Bagi pencinta flora, terdapat banyak yang boleh dilihat di taman ini antaranya kira-kira 250 spesis orkid asli yang berkembang mekar.

Keluarga orkid adalah kumpulan tumbuhan berbunga terbesar di seluruh dunia dengan kira-kira 25,000 spesis liar secara keseluruhan.

Peminat, ahli alamiah dan saintis yang sedang meningkat dari semua lapisan masyarakat akan dapat meneroka dengan lebih lanjut mengenai keajaiban hutan hujan melalui RDC yang unik yang membantu meningkatkan kesedaran masyarakat umum dan menghargai kepentingan pemuliharaan serta penggunaan sumber hutan yang mampan.

7. Bornean Sun Bear Conservation Centre

Bornean Sun Bear Conservation Centre

Berlainan dengan konsep Sepilok Orang Utan Rehabilitation Centre, di Borneon Sun Bear Conservation Centre pelancong-pelancong akan berjalan di atas deck, canopy yang tinggi.

Di atas observation deck, bolehlah pengunjung memerhatikan tingkah laku sun bear ini berlegar-legar berbanding dengan sun bear yang berada di Zoo.

Sun bear adalah antara jenis beruang terkecil di dunia dan kalau kita duduk bertentangan dengan akar pokok yang besar dihadapan pun, kadang-kadang tak perasan yang sun bear ada antara celah akarnya.

8. Taman Buaya Sandakan

Taman Buaya Sandakan

Taman Buaya Sandakan merupakan salah satu daripada lokasi menarik yang hebat untuk dilawati di Batu 8, Jalan Labuk yang mengambil masa satu setengah jam dari bandar Sandakan.

Taman Buaya Sandakan merupakan taman buaya yang terbesar di Malaysia kerana memiliki lebih 3,000 ekor reptilia itu di dalamnya.

Selain peluang menyaksikan secara dekat reptilia terbesar di Sabah ini, taman ini juga turut menawarkan beberapa tarikan menarik lain termasuklah pertunjukan buaya dan ular.

9. Taman Nasional Pulau Penyu

Taman Nasional Pulau Penyu

Taman Nasional Pulau Penyu terletak di Kepulauan Penyu, yang berada di sepanjang Laut Sulu yang berjarak sekitar 3 kilometer dari utara Sandakan.

Pulau Penyu terdiri dari 3 pulau, Selingaan, Bakkungan Kechil dan Gulisaan (sering disebut dengan 'an' sebagai pengganti dari kata sambung tradisional 'aan'), termasuk samudera dan terumbu karang di sekitarnya.

Taman Nasional Pulau Penyu terkenal kerana penyu hijau dan penyu hawksbill yang mengubur telur-telur mereka di pantai-pantai kepulauan tersebut.

Taman Nasional Pulau Penyu meliputi wilayah seluas 17.4 km² amun, nama Kepulauan Penyu merujuk kepada 10 pulau, 3 diantaranya merupakan sebahagian dari Taman Kepulauan Penyu di Malaysia dan 7 masuk dalam wilayah Tawi-Tawi, Filipina.

Selamat melancong!

BACA INI JUGA: 14 Tempat Menarik Lokasi Percutian Di Kota Kinabalu

sumber: thevocket | malaysia | kbb

Peristiwa Penting Hari Ini Dalam Sejarah Dunia (30 Mei)

Peristiwa Penting Hari Ini Dalam Sejarah Dunia (30 Mei)

Tarikh 30 Mei merupakan hari ke 150 (hari ke 151 dalam tahun lompat) dalam kalendar Gregory dengan tinggal 215 hari sebelum memasuki tahun selepasnya.

Jane Seymour

Hari ini juga merupakan sambutan Hari Ketibaan Orang India di Trinidad dan Tobago.

Peristiwa

1431 - Perang Seratus Tahun: Jeanne d'Arc dibakar hidup-hidup di Rouen, Perancis.

1434 - Angkatan tentera Taborite yang diketuai Prokop Agung ditewaskan sepenuhnya dalam Pertempuran Lipany, menamatkan Peperangan Huss di Bohemia.

1536 - Henry VIII dari England berkahwin dengan Jane Seymour, dang perwara kepada kedua-dua permaisurinya yang pertama.

1911 - Perlumbaan kereta roda terbuka Indianapolis 500 pertama diadakan di Indianapolis Motor Speedway, Speedway, Indiana, A.S.

1967 - Jeneral C. Odumegwu Ojukwu mengumumkan penubuhan Biafra, sebuah negeri pemisah di bahagian tenggara Nigeria, mencetuskan Perang Saudara Nigeria seminggu kemudian.

1989 - Dewi Demokrasi, sebuah patung 10-meter yang diperbuat daripada busa polistirena dan papier-mâché, dinaikkan oleh pembantah pelajar di Dataran Tiananmen, Beijing.

2007 - Mahkamah Persekutuan Malaysia menolak rayuan Lina Joy untuk membuang perkataan "Islam" daripada kad pengenalannya.

2010 - Ribut Agatha menyebabkan banjir meluas di Amerika Tengah, mengorbankan lebih 180 orang.

2011 - Salah satu wabak terbesar E. coli pernah direkodkan melanda Jerman dan beberapa negara Eropah lain.

2012 - IUPAC menerima nama flerovium dan livermorium bagi dua unsur sintetik yang baru ditemui.

Kelahiran

1971 - Idina Menzel, pelakon dan penyanyi Amerika Syarikat.

1980 - Steven Gerrard, pemain bola sepak Liverpool F.C.

1983 - Scha Al-Yahya, pelakon wanita Malaysia.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: Peristiwa Penting Hari Ini Dalam Sejarah Dunia (29 Mei)

sumber: wikipedia

Peniaga Online Diberi Tempoh 6 Bulan Daftar SSM

Peniaga Online Diberi Tempoh 6 Bulan Daftar SSM

Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) akan mewajibkan semua peniaga dalam talian yang menjalankan perniagaan melalui pasaran dalam Internet atau menerusi syarikat e-dagang seperti Lazada, berdaftar dengan SSM dalam tempoh enam bulan akan datang.

Wajib Daftar SSM 2017

Ketua Pegawai Eksekutif SSM, Datuk Zahrah Abd Wahab Fenner berkata langkah berkenaan, yang turut menepati Akta Pendaftaran Perniagaan 1956, bertujuan melindungi pengguna daripada ditipu selain memberi jaminan kepada pembeli.

“Langkah ini dimulakan dengan peniaga dalam talian yang menjual produk atau barangan menerusi platform Lazada dan akan diperluaskan bagi pasaran dalam Internet antaranya Fashion Valet dan sebagainya.

“Usaha ini akan kita lakukan menerusi memorandum persefahaman dengan syarikat e-dagang yang ada di negara ini secara berperingkat,” katanya kepada pemberita selepas majlis pengagihan zakat korporat SSM di sini, malam tadi.

Turut hadir anggota Parlimen Tangga Batu, yang juga Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr. Abu Bakar Mohamad Diah serta Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Jamil Salleh merangkap Pengerusi SSM.

Mengulas lanjut, Zahrah berkata SSM akan memberi tempoh selama 30 hari kepada peniaga untuk mendaftar dengan suruhanjaya itu.

Beliau berkata, syarikat e-dagang turut dikehendaki memantau pendaftaran peniaga yang bernaung di bawah perniagaan mereka, dan peniaga yang gagal berbuat demikian akan digugurkan daripada menyertai platform dalam talian tersebut.

“Peniaga yang tidak mendaftar boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Pendaftaran Perniagaan 1956 yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman dua tahun penjara atau denda RM50,000 atau kedua-dua sekali,” katanya.

Terdahulu pada majlis itu, SSM menyampaikan sumbangan zakat korporat SSM berjumlah RM70,000 kepada 250 golongan asnaf serta sumbangan kepada 12 masjid di kawasan Parlimen Tangga Batu.

BACA INI JUGA: Peniaga Online Wajib Papar Nama, Nombor Syarikat

sumber: utusan

Monday, May 29, 2017

Sejarah Penggunaan Nama Etnik 'Kadazandusun'

Sejarah Penggunaan Nama Etnik 'Kadazandusun'

“Dusun” merujuk kepada suku kaum peribumi terbesar di Sabah. Suku kaum ini tinggal di seluruh Sabah dan dikenali dengan berbagai nama mengikut daerah, umpamanya Dusun di Daerah Kota Belud dikenali sebagai Dusun Tindal manakala Dusun di daerah Keningau dan Tambunan dikenali sebagai Dusun Liwan.

Kadazandusun

Ada juga suku kaum yang tergolong dalam keluarga Dusun [sub-dusun] tetapi mahu dikenali dengan nama khas seperti Rungus, Tobilung, Lotud, Sungai dan sebagainya.

“Kadazan” secara amnya merujuk kepada suku kaum yang tinggal di daerah Penampang dan sebahagian Papar. Kadazan adalah sebahagian daripada keluarga Dusun dan turut dikenali sebagai Dusun Tanggara.

Usaha "Menjenamakan semula Dusun"

Dengan campur tangan politik, nama Kadazan dan Dusun ‘duduk sama rendah, berdiri sama tinggi’.

Terdapat usaha di kalangan ahli politik dan golongan intelektual seperti Ketua Menteri pertama Sabah berdarah Dusun-Inggeris iaitu Tun Mohd Fuad Stephen dan Peguam pertama berbangsa Dusun iaitu Datuk Seri Joseph Pairin Kitingan untuk ‘menjenamakan semula’ suku kaum Dusun.

Ini kerana “dusun’ itu sendiri menggambarkan suku kaum ini ‘ketinggalan’- perkataan ‘dusun’ bermaksud 'kebun', 'ladang', 'kampung', 'tepi hutan' dan sebagainya.

Untuk mengubah persepsi orang luar, mentaliti dan martabat orang Dusun, ilmuan Dusun ini berhasrat menggantikan nama “Dusun” kepada “Kadazan” kerana pertama; Kadazan juga sebahagian daripada Dusun.

Perkataan “Kadazan” yang bermaksud 'kedai', 'bandar','orang' dsb lebih ummp!, lebih kaw! dan lebih world!.

Secara kebetulan, orang-orang Kadazan memang tinggal di kawasan bandar-bandar dan pinggir bandar(sub urban).

Penolakan dan Krisis Politik

Walau bagaimanapun, seperti mana dinyatakan tadi, penggunaan “Dusun” dan “Kadazan” telah digunakan secara amat meluas, sama-sama gah dan agak sukar bagi generasi lama untuk menerima cadangan nama baru sehinggakan isu ini membabitkan pertelingkahan orang-orang politik.

Pada tahun 1989, usaha Ketua Menteri Sabah pada masa iaitu YAB Datuk Seri Joseph Pairin yang berkeras untuk menamakan semua suku-suku kaum Dusun sebagai “Kadazan” telah ditentang habis-habisan oleh Timbalan Ketua Menteri iaitu YB Datuk Mark Koding [mendiang].

Datuk Pairin seorang Dusun dari Tambunan dan Datuk Mark seorang Dusun dari Ranau akhirnya tragedi berlaku bila Datuk Mark disingkirkan daripada parti yang memerintah iaitu PBS dan beliau menubuhkan parti sendiri iaitu parti AKAR untuk “memperjuangkan hak orang Dusun”. Parti ini mendapat sokongan padu Perdana Menteri YBhg Tun Dr Mahathir.

Pada masa ini jugalah dua badan kebudayaan tempatan ‘berperang’ sesama sendiri iaitu Kadazan Cultural Association (KCA) dan United Sabah Dusun Association(USDA).

Pesta Menuai yang dirayakan pada setiap bulan Mei ditukar nama oleh USDA sebagai “Tadau Kokotuan” manakala KCA menamakannya sebagai “Tadau Kaamatan” [maknanya sama saja iaitu Hari Menuai].

Dengan wujudnya parti AKAR, pelbagai krisis politik telah berlaku di Sabah pada awal tahun 1990-an.

Setelah krisis politik selesai, “Tadau Kaamatan” kekal sehingga kini dan KCA telah ditukar nama menjadi Kadazandusun Cultural Association (KDCA).

Dewan “Hongkod Koisaan” milik KDCA adalah dewan terbesar di Sabah amat popular umpama Dewan Merdeka PWTC di Kuala Lumpur.

Perbezaan

Ada beberapa sebab kenapa generasi senior Dusun tidak dapat menerima penggunaan nama Kadazan. Antaranya dari segi loghat bahasa memang amat berbeza, dari segi taraf hidup, dari segi cara berfikir dan sebagainya.

Lagipun kebanyakan orang-orang Kadazan adalah ‘mix’ atau telah bercampur dengan bangsa lain seperti Cina, Filipina, Eropah, Bajau dan sebagainya.

Dari segi agama, Kadazan kebanyakannya Kristian Roman Katolik manakala Dusun kebanyakannya Kristian Protestan/Kristian ‘lain-lain’ dan Islam.

Dusun dari daerah Ranau, yang kebanyakannya beragama Islam, paling kuat menentang cadangan nama baru ini.

Cadangan penggunaan “Kadazan” untuk menggantikan “Dusun” sebenarnya dialu-alukan secara senyap-senyap oleh generasi muda.

Oleh itu jangan hairan kalau di Sabah, ada keluarga yang datuk, nenek, mak, bapa, anak pertama, anak kedua “berbangsa Dusun” tapi anak ketiga dan seterusnya “berbangsa Kadazan”.

Keadaan ini menimbulkan masalah di kemudian hari kerana ada agensi kerajaan yang telah menetapkan kuota bagi kedua-dua Dusun dan Kadazan seperti kemasukan ke UiTM dan pinjaman MARA.

Lahirnya 'Kadazandusun'

Pada tahun 1999 parti UPKO telah mengambil inisiatif untuk “menyelesaikan perjuangan” pengasas UPKO lama iaitu Allahyarham Tun Mohd Fuad Stephan. Tapi kali ini dengan cara berbeza.

Dalam perhimpunan agung UPKO, satu DEKLARASI telah dibuat di mana Kadazan dan Dusun “digabungkan” menjadi “Kadazandusun” [BUKANNYA Dusunkadazan, Kadazan/Dusun atau Kadazan-Dusun].

Seretak dengan perisytiharan ini, apa yang dinamakan sebagai “Bahasa Kadazandusun” atau “Kadus” telah mula diajarkan di sekolah-sekolah rendah dan di Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Bahasa Rasmi Kadazandusun adalah Bahasa Dusun Bundu-Liwan dari daerah Ranau/Tambunan/Keningau dan dicampurkan sedikit Bahasa Kadazan [Dusun Tanggara].

Orang yang paling gembira dengan perkembangan ini tentunya Datuk Mark Koding, kerana akhirnya “perjuangan” beliau “tercapai”. Parti AKAR dibubarkan tidak lama selepas itu dan ahli-ahlinya menganggotai UMNO.

Walau bagaimanapun sesiapa sahaja bebas memanggil dirinya Kadazan ataupun Dusun ataupun Kadazandusun, mengikut kesesuaian.

Felix AF3, Marsha AF3, Linda AF2, Nikki Malaysian Idol, Gracie Audition, Shanel Audition, Daphne Iking layak memanggil diri mereka Dusun kerana ciri-ciri seorang Dusun ada pada mereka; seperti wajah, nama, asal-usul, bangsa ibu bapa, bahasa yang boleh dituturkan, cara bertutur dan dibesarkan dalam kawasan yang majoritinya Dusun. Mereka juga boleh dipanggil Kadazandusun [Deklarasi UPKO 1999].

Yang berbeza cuma loghat. Ayat-ayat dalam bahasa Dusun lebih banyak menggunakan huruf ’h’ ‘r’, ‘y’ dan ‘w’. Manakala Kadazan lebih banyak menggunakan huruf ‘l’, ‘z’ dan ‘v’.
Semoga memberi manfaat.