Saturday, May 27, 2017

Irama Keroncong Kembar Lagu Jazz Di Nusantara

Irama Keroncong Kembar Lagu Jazz Di Nusantara

Kenapa keroncong dianggap ketinggalan zaman? Benarkah mencipta lagu keroncong ketinggalan zaman atau zaman telah meninggalkan mereka yang tidak dapat menghayati keroncong?

Irama Keroncong

Jangan terkejut kalau dikatakan keroncong mempunyai sejarah yang cukup panjang. Ia bermula seawal penjajahan Portugis di Melaka dan Portugis mendarat di Kampung Tugu, utara Jakarta pada era yang sama.

Ketika itulah irama asas keroncong tercipta yang kemudian mengalami perubahan demi perubahan hingga kini.

Walaupun dikatakan bermula dengan ciri-ciri irama Portugis tetapi proses asimilasi menjadikan keroncong muzik warisan Melayu Nusantara.

Pada zaman sebelum merdeka, keroncong telah menyatukan Malaya dan Indonesia. Keroncong menjadi milik bersama.

Lagu-lagu keroncong hebat Indonesia seperti Keroncong Kemayuran, Solo Waktu Malam atau Bengawan Solo diminati oleh rakyat kedua-dua negara. Keroncong bukan sekadar hiburan tetapi menyampaikan pesan perjuangan pada zaman penjajah.

Pencipta lagu tersohor Indonesia, Pak Gesang misalnya menggunakan lagu keroncong untuk meniupkan semangat patriotik kepada bangsa Indonesia menyayangi negaranya.

Lagu Bengawan Solo yang diilhamkan daripada keindahan Sungai Solo membuatkan siapa sahaja jatuh cinta kepada Indonesia.

Di jiwa anak bangsa Indonesia, negara itu adalah yang terindah dan menentang siapa sahaja yang mahu menjajahnya.

Kerana itu jangan malu mengaku meminati lagu keroncong kerana yang tahu menilai sahaja yang meminatinya.

Dalam konteks Nusantara, ia adalah lagu jazz yang popular di New Orleans, membawa suara perjuangan kaum kulit hitam membebaskan diri daripada penindasan.

Keroncong juga membawa perjuangan. Maknanya, keroncong mempunyai kehebatan tetapi ditenggelamkan oleh kegilaan kepada muzik moden yang tidak ada kaitan dengan kita.

BACA INI JUGA:

sumber: utusan

Panduan 'Mudah' Rafizi Bina Semula Negara Tanpa GST

Panduan 'Mudah' Rafizi Bina Semula Negara Tanpa GST

Sebagai menyahut persoalan Najib yang pernah dianugerahi Menteri Kewangan Terburuk Asia 2016, di bawah ini adalah jawapan yang disediakan oleh Rafizi Ramli tentang bagaimana mentadbir negara ini, dengan lebih baik lagi, meskipun setelah menjadikan cukai GST sebagai sifar kadarnya.

Tolak GST

Penjelasan beliau ini hakikatnya bukan untuk menonjolkan Pakatan Harapan semata-mata, tetapi juga adalah pedoman untuk kita semua rakyat jelata - tak kira miskin kaya, kanak-kanak, orang tua, orang dewasa, orang cacat, orang buta, orang kurang upaya dan segala-galanya yang selama ini tak terkecuali daripada kerakusan cengkaman cukai GST yang bersifat pukat harimau itu.

Termasuk Najib dan para penyokongnya, baca dan hadamkan baik-baik apa yang dihuraikan oleh Rafizi ini.

***

Artikel ini adalah pandangan peribadi RAFIZI RAMLI dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi kami.

Saya ingin menyekolahkan Datuk Seri Najib Razak yang baru-baru ini memomok janji Pakatan Harapan untuk memansuhkan GST dengan alasan tanpa GST Perbendaharaan akan hilang RM42 bilion setahun.

Sebenarnya saya telah ulas dengan mendalam dan disokong dengan angka-angka mengenai perkara ini di dalam buku “Panduan Bina Semula Negara” yang saya tulis dan dilancarkan baru-baru ini.

Cara untuk menguruskan Perbendaharaan tanpa mengenakan GST ada dihuraikan di dalam Bab 4 bertajuk “Mengurus Perbendaharaan Negara”.

Punca yang menyebabkan kerajaan perseketuan kesempitan sumber kewangan ialah kerana kerajaan terus berbelanja melebihi pendapatan sepanjang dekad lalu dan dekad ini sehingga mewujudkan hutang yang besar (yang digunakan untuk menampung defisit apabila perbelanjaan melebihi pendapatan setiap tahun).

Sebab itu pengurusan perbendaharaan negara tidak hanya berkisar kepada menambah pendapatan, tetapi yang sama penting ialah mengawal perbelanjaan untuk mengurangkan keperluan pendapatan bagi membiayai perbelanjaan tersebut.

Apabila perbelanjaan yang membazir dihentikan dan ketirisan dikawal, penjimatan dari perbelanjaan itu adalah lebih dari mencukupi untuk menampung kekurangan hasil kutipan GST yang dihapuskan.

Oleh itu, untuk pengetahuan Najib, tiga kaedah yang akan digunakan oleh Pakatan Harapan untuk menampung perbelanjaan negara setelah GST dihapuskan dihuraikan seperti berikut:

Kaedah 1: Banteras rasuah, kurangkan ketirisan

Saya sedar akan ada orang yang memperlekehkan hujah ini dengan alasan pembangkang hanya tahu menyebut kes-kes rasuah sebagai bukti ketirisan, tetapi tidak tentu wang dari kes-kes rasuah itu boleh dikembalikan.

Akhirnya, jika GST dihapuskan (kata mereka), kerajaan tetap akan kekurangan dana yang akan menjejaskan operasi kerajaan.

Sebenarnya saya dan rakan-rakan di National Oversight and Whistleblowers (NOW) telah membuat satu kajian akademik yang menggunakan kaedah statistik dan matematik untuk menganggarkan berapa penjimatan yang realistik setiap tahun sekiranya pembaziran dan ketirisan dapat dikawal.

Untuk mengetahui berapa kuantum penjimatan yang realistik, kami perlu menganggarkan terlebih dahulu tahap pembaziran dan ketirisan kerajaan.

Kaedah yang kami bangunkan diterbitkan di dalam satu buku terbitan NOW yang bertajuk “Indeks Pembaziran Kerajaan” yang diterbitkan tahun lalu.

Indeks Pembaziran Kerajaan (IPK) adalah satu peratusan yang memberi anggaran peratusan perbelanjaan kerajaan yang sebenarnya adalah ketirisan dan pembaziran, berdasarkan data-data rasmi kerajaan.

IPK dibangunkan dengan kaedah berikut:

i. Segala maklumat pembaziran, ketirisan dan kerugian yang dilaporkan oleh Ketua Audit Negara di dalam Laporan Ketua Audit Negara 2014 dikatalogkan mengikut jenis dan jumlah

ii. Setiap kes pembaziran itu disemak dengan membandingkan jumlah kerugian yang dikenalpasti dengan jumlah peruntukan yang dikendalikan oleh jabatan/kementerian tersebut

iii. Kaedah statistik digunakan untuk menganggarkan saiz peruntukan yang terdedah kepada ketirisan dan penyelewengan mengikut jabatan/kementerian

iv. Kaedah statistik digunakan untuk menganggarkan peratusan ketirisan dan kerugian mengikut kementerian dan dijumlahkan bagi keseluruhan kerajaan.

Berdasarkan data-data yang terkandung di dalam Laporan Ketua Audit, keputusan IPK menunjukkan anggaran pembaziran purata bagi tahun 2014 ialah 15.5 peratus daripada perbelanjaan kerajaan yang tidak melibatkan gaji atau kenaan tetap yang seumpama dengannya.

Bila IPK pada paras 15.5 peratus ini dipadankan dengan anggaran jumlah perbelanjaan kerajaan persekutuan (yang tidak melibatkan gaji atau kenaan tetap) bagi 2017 yang dianggarkan berjumlah RM136 bilion, ada potensi jumlah penjimatan sebanyak RM21 bilion.

Kaedah 2: Pentadbiran kewangan telus mengurangkan bayaran faedah tahunan

Satu lagi potensi penjimatan perbelanjaan yang boleh dicapai dengan mudah ialah belanja tahunan membayar faedah di atas hutang-hutang yang dipinjam oleh kerajaan persekutuan.

Setakat April 2017, jumlah hutang kerajaan persekutuan seperti yang disiarkan oleh Perbendaharaan adalah sebanyak RM649 bilion.

Daripada jumlah itu, bentuk hutang terbesar ialah kertas hutang kerajaan Malaysia (“Malaysian Government Securities” atau MGS) pada jumlah RM357 bilion, diikuti dengan kertas hutang Terbitan Pelaburan Kerajaan (“Government Investment Issues” atau GIIs) sebanyak RM235 bilion.

Hutang-hutang dalam bentuk kertas hutang yang diterbitkan ini perlu ditebus oleh kerajaan Malaysia bila sampai tarikh matangnya.

Sementara menunggu matang, kerajaan Malaysia perlu membayar faedah tahunan (selalu disebut sebagai “coupon rate”) mengikut kadar yang diurusniagakan di pasaran hutang.

Seperti juga saham yang dijual beli, kertas-kertas hutang yang diterbitkan kerajaan juga boleh dijual beli. Bagi jual beli saham, lebih baik saham itu, maka lebih tinggi harga yang ditawarkan untuk membeli saham tersebut.

Keadaannya terbalik bagi kertas hutang.

Lebih stabil sesebuah kerajaan dan lebih tinggi reputasi kewangannya, maka pelabur sanggup untuk mendapat bayaran bunga yang lebih rendah demi memegang kertas hutang tersebut.

Jika kerajaan itu tidak dihormati dan dicurigai, pelabur tidak ada keyakinan dan kadar faedahnya pun didagangkan tinggi.

Oleh sebab itulah, reputasi antarabangsa kerajaan Malaysia di mata pelabur adalah sangat penting kerana ia menentukan jumlah bayaran faedah yang perlu dibayar dan ditanggung oleh rakyat Malaysia.

Skandal 1MDB yang merosakkan nama baik Malaysia telah menyebabkan pelabur-pelabur mahukan pulangan yang lebih tinggi bagi setiap ringgit kertas hutang yang diterbitkan oleh kerajaan Malaysia.

Sebab itulah belanja membayar faedah hutang bagi tahun 2017 dianggarkan berjumlah RM29 billion, iaitu lebih dari separuh wang hasil GST yang dikutip terpaksa digunakan untuk membayar faedah.

Saya yakin jika reputasi kewangan kerajaan Malaysia dipulihkan, pentadbiran baru boleh meyakinkan pasaran dan pelabur.

Keyakinan pelabur itu akan diterjemahkan ke dalam kadar faedah ke atas kertas-kerta hutang yang diterbitkan yang lebih rendah.

Saya tidak terkejut kadar faedah itu boleh turun sehingga 1peratus berbanding kadar sedia ada yang diterjemahkan kepada penjimatan sebanyak RM6.5 bilion setahun.

Hasil dari dua langkah segera yang boleh diambil ini dijangka akan menterjemahkan penjimatan segera sebanyak RM27.5 bilion seperti yang ditunjukkan di dalam jadual berikut.

Kaedah 3: Rasionalisasi cukai melalui pengenalan cukai ke atas keuntungan jual beli saham dan cukai jualan dan perkhidmatan

Ada beberapa inisiatif percukaian lain yang walaupun hasilnya tidak sebesar kaedah 1 dan 2, ia tetap akan menambah hasil kepada kerajaan untuk menampung pengurangan hasil akibat pemansuhan GST.

Saya pernah menyuarakan bahawa kerangka sistem percukaian yang ada didasarkan kepada keadaan ekonomi 1970an yang kini tidak lagi sesuai dengan bentuk ekonomi negara mutakhir.

Contohnya, orang kaya yang berjual beli saham sehingga untung beratus juta ringgit dalam tempoh yang singkat tidak dikenakan cukai, sedangkan negara-negara lain mengenakan Cukai Keuntungan Modal (“Capital Gains Tax”) ke atas pendapatan sebegini.

Pakatan Harapan telah menyatakan sebelum ini bahawa Cukai Keuntungan Modal akan diperkenalkan untuk menggantikan GST agar orang kaya yang membuat untung dari jual beli saham membayar cukai (dan bukannya orang miskin tidak berpendapatan yang dicukai GST).

Pemansuhan GST juga bermakna konsep cukai tidak langsung (“indirect tax”) akan kembali ke konsep asal iaitu dicukai di kilang sahaja bagi barang-barang tertentu atau perkhidmatan tertentu di tempat-tempat tertentu.

Rasionalisasi percukaian yang akan dilaksanakan oleh Pakatan Harapan boleh menilai kembali pelaksanaan cukai tidak langsung melalui kaedah cukai jualan dan perkhidmatan yang dihadkan kepada barang tertentu di tempat pengilangan dan perkhidmatan profesional dan perkhidmatan mewah yang tertentu sahaja.

Sebelum pengenalan GST, kutipan cukai jualan dan perkhidmatan memang pun sudah mencecah sekitar RM12 bilion setahun.

Dengan rasionalisasi yang lebih baik (maknanya jenis barang dan perkhidmatan yang dikenakan cukai adalah lebih sedikit tetapi kutipan lebih cekap agar tidak tiris akibat rasuah), saya yakin kerajaan Pakatan Harapan boleh menjana RM12 bilion dari kutipan cukai tidak langsung, seperti sebelum pengenalan GST.

Cukup sumber kewangan bila GST dimansuhkan

Dengan inisiatif lain seperti rundingan semula kontrak-kontrak yang berat sebelah dan rampasan harta dari rasuah yang terlibat dalam skandal-skandal besar, saya tidak nampak ada masalah yang meruncing untuk menggantikan sumber pendapatan dari GST yang dihapuskan.

Pokoknya, secara moralnya GST perlu dihapuskan dan kita ada potensi penjimatan yang cukup untuk menampung kekurangan hasil apabila GST dihapuskan kelak.

Semoga dibaca dengan hati yang lapang.

BACA INI JUGA: 10 Negara Dengan Pengaliran Wang Haram Paling Besar Di Dunia!

sumber: malaysiakini

Peristiwa Penting Hari Ini Dalam Sejarah Dunia (27 Mei)

Peristiwa Penting Hari Ini Dalam Sejarah Dunia (27 Mei)

Tanggal 27 Mei merupakan hari ke 147 (hari ke 148 dalam tahun lompat) dalam kalendar Gregory dengan tinggal 218 hari lagi sebelum memasuki tahun selepasnya.

Curtiss NC-4
Curtiss NC-4.

Hari ini juga merupakan sambutan Hari Kanak-Kanak di Nigeria.

Apa yang berlaku hari ini dalam sejarah dunia? Jom kita baca bersama-sama.

Peristiwa

1199 - John dari England ditabalkan sebagai Raja England.

1328 - Philip VI dari Perancis dimahkotakan di Notre-Dame de Reims, memulakan Dinasti Valois.

1860 - Penyatuan Itali: Giuseppe Garibaldi dan sukarelawannya Camicie rosse melancarkan serangan terhadap Palermo, ibu kota Kerajaan Dua Sicily.

1919 - Bot terbang Curtiss NC-4 tiba di Lisbon, Portugal, menjadi pesawat kepak kaku pertama yang berjaya menamatkan penerbangan rentas Atlantik dengan kuasa sendiri.

1923 - Perlumbaan ketahanan kereta sport 24 Heures du Mans yang pertama diadakan di Le Mans, Sarthe, Perancis.

1927 - Syarikat Ford berhenti mengeluarkan kereta Ford Model T.

1937 - Jambatan Golden Gate yang menghubungkan San Francisco ke Kaunti Marin, California dibuka sebagai jambatan gantung terpanjang di dunia.

1942 - Operasi Antropoid: Penentang Czech di kawasan pendudukan Nazi di Prague, menyerang hendap dan mencederakan hingga maut Reinhard Heydrich, ketua Pejabat Keselamatan Utama Reich dan Pelindung Bohemia dan Moravia.

1958 - F-4 Phantom II, jet pejuang penguasaan udara utama bagi Tentera Laut dan Udara A.S., menjalankan penerbangan sulungnya.

2006 - Gempa bumi berukuran 6.3 Mw melanda Kota Yogyakarta di pulau Jawa, Indonesia, mengorbankan lebih 5,700 orang.

2009 - Dalam bola sepak, FC Barcelona menewaskan Manchester United untuk memenangi Liga Juara-Juara UEFA 2008-09.

2012 - Dalam perlumbaan kereta Formula Satu, Mark Webber memenangi Grand Prix Monaco 2012.

Kelahiran

1332 - Ibnu Khaldun, seorang pakar sains Islam.

1918 - Yasuhiro Nakasone, seorang Perdana Menteri Jepun.

Kematian

1964 - Jawaharlal Nehru, Perdana Menteri India yang pertama.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: Peristiwa Penting Hari Ini Dalam Sejarah Dunia (26 Mei)

sumber: wikipedia

Sambutan Hari Seniman Kebangsaan

Sambutan Hari Seniman Kebangsaan

Hari Seniman Kebangsaan di Malaysia disambut pada 29 Mei setiap tahun bagi memperingati pemergian seniman agung negara, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee ke rahmatullah, 29 Mei 1973.

Hari Seniman Kebangsaan

Allahyarham P. Ramlee merupakan seniman tersohor, insan seni yang amat istimewa dan seorang reformer paling hebat dan tidak ada tandingannya.

P. Ramlee telah membawa banyak perubahan kepada bangsa Melayu dan telah menjadikan filem serta lagu sebagai satu usaha mempengaruhi pemikiran masyarakat untuk membawa kemajuan dan mengetepikan apa-apa yang tidak membawa kemajuan.

Langkah kerajaan mewujudkan Hari Seniman Kebangsaan juga adalah atas kesedaran golongan seniman termasuk penggiat seni sudah sekian lama memberi sumbangan berterusan kepada negara.

Bagi mereka yang bergelar seniman, Hari Seniman Kebangsaan membawa makna bahawa sumbangan mereka diiktiraf dan diakui.

Seniman tentunya bukan setakat artis dan karyawan filem serta muzik semata-mata malah merangkumi penggiat seni lain.

Hari seniman seharusnya disambut dengan hasrat para seniman dan karyawan akan terus menghasilkan karya yang mampu menyumbang ke arah merealisasikan wawasan negara.

Memang kita tidak boleh nafikan bahawa warga seni merupakan satu aset penting negara. Mereka mempunyai tugas yang penting iaitu meninggikan martabat masyarakat melalui karya seni

Seni tidak harus dijadikan santapan mata dan telinga semata-mata tetapi ia perlu berperanan dalam melahirkan tamadun bangsa berilmu dan berbudaya.

Dalam usaha Malaysia menuju ke arah negara maju, pembangunan material bukan segala-galanya tetapi menuntut kepada kepelbagaian elemen termasuk pembudayaan karya seni.

Kemajuan yang syumul bukan setakat pembangunan material semata-mata tetapi ia menuntut kepada pelbagai elemen kemajuan dan pembangunan termasuk pembudayaan karya seni dalam kalangan masyarakat.

Dalam konteks ini, seni perlu dijadikan sebagai satu wadah ke arah memupuk masyarakat yang berbudaya dan bertamadun.

Seni juga merupakan satu industri yang mempunyai potensi besar untuk dikembangkan bagi menjana pendapatan lebih tinggi, namun begitu ia perlu diusahakan secara bersungguh-sungguh.

Kerajaan sentiasa prihatin untuk membela nasib warga seni dan sedia mempertimbangkan sebarang cadangan yang boleh memberi kebaikan kepada golongan tersebut.

Bagi meneruskan usaha ini, kerajaan akan terus memberikan dokongan, sokongan dan galakan yang sewajarnya kepada penggiat seni dalam pelbagai genre dan bidang

Program sempena Hari Seniman

Konsep acara pada sambutan Hari Seniman termasuklah mempamerkan aktiviti seni persembahan secara terus yang menggambarkan keunikan, peranan dan sumbangan warga seni negara dalam menyumbang pembentukan bangsa Malaysia.

Melalui pameran itu, usaha mewujudkan jati diri bangsa dan menggalakkan semua pihak mencintai budaya dapat dilihat.

Program yang dirancang menjurus kepada cabang-cabang kesenian seperti kesenian rakyat, seni lukis, lakonan, nyanyian, puisi serta bidang seni lain.

Acara yang dirancang itu adalah untuk memperlihatkan sumbangan setiap cabang seni dalam menyemarakkan perkembangan seni tanah air.

Pada sebelah malam pula akan diadakan bacaan tahlil.

Agensi dan jabatan lain di bawah KPKKW juga menganjurkan program tersendiri, yang melibatkan ekspo jualan kraf, pameran produk kraf serta pameran seni warisan.

Jabatan Warisan Negara pula akan mengadakan Himpunan Seniman Rakyat manakala Teater Muzikal P. Ramlee akan dipentaskan di Istana Budaya.

Hari Seniman Kebangsaan tidak setakat untuk bersuka ria tetapi lebih penting pengisian ke arah mengangkat martabat seni.

Misalnya, lebih banyak peluang diberikan kepada kumpulan teater untuk beraksi di pentas Istana Budaya atau memberi peluang kepada lebih banyak artis mengadakan pameran secara berkumpulan atau solo di Balai Seni Lukis Negara.

Kepada semua anak seni yang bergelar atau digelar seniman, pengiktirafan itu jangan disia-siakan. Mereka perlu menyokong penuh program murni ini demi memartabatkan dunia kesenian negara.

Tunjukkan perpaduan dan mungkin dengan cara itu kerajaan dapat mempertimbangkan dana sesuai untuk mengangkat lagi industri seni di Malaysia.

Selamat menyambut Hari Seniman Kebangsaan.

BACA INI JUGA: Merekalah Yang Telah Menjatuhkan P. Ramlee

sumber: utusan | kosmo

Friday, May 26, 2017

Kehilangan Proton Dan Kesedihan Tun Mahathir

Kehilangan Proton Dan Kesedihan Tun Mahathir

Tidak sukar memahami kesedihan Tun Mahathir berikutan penjualan saham Proton sebanyak 49.9 peratus kepada sebuah syarikat China, Zhejiang Geely Holding Group Co Ltd kerana syarikat kereta nasional itu adalah ibarat 'anaknya' yang selama ini diasuh dan dibesarkan, tetapi kini sudah pun berpindah milik ke tangan asing.

Proton tergadai

Tun Mahathir turut membayangkan, dengan Proton pun boleh dijual kepada China, ia adalah permulaan kepada penjualan lebih besar aset-aset yang lain semata-mata untuk menyelamatkan negara daripada hutang yang bertimbun.

"Tiada cara lain bagi kita untuk mendapatkan berbilion ringgit untuk membayar hutang. Satu-satunya cara adalah dengan menjual aset-aset yang ada.

"Dan akhirnya kita akan kehilangan negara kita, sebuah negara hebat, tetapi dimiliki orang lain," kata Tun Mahathir dalam tulisan terbaru di blognya.

Beliau tidak menafikan Proton mampu terbang lebih tinggi menyaingi Rolls Royce atau Bentley serta dijual ke seluruh dunia selepas pemilikan Geely, tetapi ia tidak lebih umpama kita berbangga dengan Singapura yang pernah menjadi sebahagian daripada Malaysia suatu ketika dahulu, tetapi sekarang bukan lagi menjadi milik kita.

Bagi Tun Mahathir, penjualan banyak aset dan pemberian tanah dan kontrak kepada syarikat-syarikat China adalah kerana negara sekarang terbelenggu dengan hutang meninggi yang tidak mampu lagi untuk dilangsaikan.

Selagi pemimpin sekarang terus dengan gaya boros dan suka berhutang, Malaysia mungkin sukar mengelakkan daripada terus menjual, menjual dan menjual.

Hari ini Proton yang hilang, esok lusa entah apa lagi atau mungkin sudah ada senarai harta-harta yang sedang menunggu masa saja untuk bertukar hak miliknya.

Sebab itu, diakhir tulisan di blognya, Tun Mahathir terlihat amat sedih dan seperti merintih pilu, "Saya memang lembik. Saya menangis walaupun rakyat Malaysia tidak menitiskan air mata. 'Anak' saya hilang. Dan tidak lama lagi negara saya. Sila maafkan saya."

Itulah kesedihan Tun Mahathir yang sebenarnya bukan sekadar tentang Proton semata-mata, tetapi juga mengenai masa depan negara.

Di atas kertas memang pemilihan saham Geely masih kurang 0.2 peratus untuk menjadi majoriti dan selebihnya 50.1 peratus kekal dipegang oleh syarikat Malaysia, tetapi dalam masa yang sama syarikat China itu juga berjaya memiliki 51 peratus saham dalam Lotus, sebuah pengeluar kereta sport yang berpangkalan di England.

Bermakna, dengan pembeli Proton, Geely dapat menguasai dua syarikat kereta sekaligus.

Meskipun di Proton, Geely hanya bersifat minoriti, tetapi memandangkan ia mempunyai kelebihan dari segi kepakaran, pemasaran dan inovasi automotif serta kebergantungan Proton kepadanya untuk kembali melonjak, secara naturalnya syarikat itulah yang akan menjadi "kepala" dalam segala-galanya.

Berkaitan Lotus pula, jika selama ini kita berbangga memiliki serta berkongsi teknologinya, ia kini sudah pun menjadi milik China.

Proton tidak lagi boleh dianggap sebagai kereta nasional setelah ia dimiliki oleh Geely ini, malah hanyalah syarikat perniagaan biasa saja.

Dengan peredaran masa, ditambah dengan kita begitu mudah tertarik dengan "wang besar" daripada China, tidak mustahil Geely akan terus menambah pemilikan sahamnya dan akhirnya mereka akan menguasai terus syarikat itu.

Soalnya, di manakah kita dalam kesedihan Tun Mahathir ini?

Apakah kita ingin bersama-sama dalam melakukan perubahan kepada negara ini atau rela mengekalkan status quo yang akhirnya di zaman anak cucu kita nanti.

Apa lagi yang tinggal untuk mereka?

BACA INI JUGA: Siapa Sebenarnya Dalang Punca Proton Bermasalah?

sumber: shahbudindotcom

Jack Sparrow Sebenarnya Lanun Muslim

Jack Sparrow Sebenarnya Lanun Muslim

Dalam filem Pirates of the Carribean, watak Jack Sparrow lakonan Johnny Depp digambarkan sebagai seorang yang berseloroh, acuh tidak acuh dan licik.

Jack Sparrow

Lakonan cemerlang Johnny Depp menenggelamkan watak utama yang lain terutamanya watak Will Turner lakonan Orlando Bloom yang lebih macho dan serius.

Disebabkan penonton turut sama menyukai watak Jack Sparrow lakonan Johnny Depp, ia kemudiannya diangkat menjadi watak utama untuk siri-siri seterusnya.

Namun, dalam meminati watak Jack Sparrow, ramai yang tidak menyedari bahawa watak Jack Sparrow diilhamkan daripada watak seorang lanun terkenal yang pernah hidup sekitar abad ke-16 dan abad ke-17.

Tambah menarik, watak tersebut adalah seorang lanun yang bernama Yusuf Reis yang beragama Islam.

Dilahirkan sebagai Jack Ward

Yusuf Reis dilahirkan sebagai Jack Ward pada tahun 1553 di Feversham, Kent di tenggara England. Kehidupan awal Jack bermula sebagai seorang nelayan memandangkan kampung halamannya terletak berhampiran dengan laut. Kelebihan tersebut menjadikan beliau seorang panglima laut berkaliber suatu hari nanti.

Pada tahun 1588 ketika umurnya menginjak 25 tahun, Jack Ward nekad berjuang untuk England sebagai Privateer.

Privateer adalah seseorang yang diberi kelulusan oleh kerajaan England berdasarkan letter of marque untuk menyerang kapal-kapal musuh terutama kapal armada Sepanyol.

Sokongan sepenuhnya daripada Queen Elizebeth I memberikan semangat luar biasa kepada beliau. Karier beliau sebagai privateer berlangsung dengan cemerlang sehinggalah pada awal tahun 1600-an.

Walaubagaimanapun, sekitar tahun 1603, King James I menaiki takhta. Kegiatan Jack Ward yang selama ini disokong oleh kerajaan England tiba-tiba terhenti selepas King James I memetarai penjanjian pendamaian dengan Kerajaan Sepanyol.

Akibatnya, ramai privateer memberontak dan menjadi lanun yang bertindak merampas kekayaan kapal-kapal dagang Sepanyol. Namun begitu, Jack Ward tidak terus menjadi lanun tetapi mencari rezeki menjadi nelayan.

Menjadi Lanun

Jack Ward mula menjadi lanun pada tahun 1603 apabila Jack dan 30 orang rakannya merampas kapal kecil di Perlabuhan Portsmouth.

Jack kemudian sebulat suara dipilih menjadi kapten kapal yang mana ia kemudiannya tercatat sebagai antara ‘pilihanraya’ pertama di kalangan para lanun.

Berbekal kapal kecil tersebut, Jack dan 30 orang rakannya melanun sekitar tanah Britain. Hasil pertama Jack adalah sebuah kapal yang dikenali ‘Violet’ yang membawa harta pelarian penganut Kristian Katholik ke Isle of Wight.

Dengan kapal tersebut, Jack kemudian berjaya merampas kapal yang lebih besar di Laut Mediterranean. Kapal yang lengkap dengan tiga puluh dua meriam kemudian dikenali The Gift.

The Gift kemudiannya digunakan oleh Jack Ward untuk melanun kapal kargo selama lebih dua tahun.

Perjanjian dengan Sultan Uthman Dey

Pada Ogos 1606, Jack Ward telah mengadakan perjanjian persefahaman dengan pemerintah Tunisia ketika itu, Uthman Dey untuk menjadikan perlabuhan Tunisia sebagai pengkalan operasi.

Melihat kepada kepentingan ummah dan kecenderongan Jack Ward kepada Islam, Sultan Uthman Dey bersetuju.

Di tapak operasi baru tersebut, Jack Ward dengan bantuan beberapa panglima yang berkaliber seperti Richard Bishop dan Francis Varney daripada England, Kara Osman daripada Turki Othmaniyyah, Simon Dangizer(Simon Reis) dan Jan Jansz(Murat Reis) daripada Belanda berjaya menghapuskan kekuatan Sepanyol dan Perancis di Laut Mediterranean.

Sebuah kapal yang terkenal besarnya dikenali dengan nama Reneira e Sodeira berjaya dirampas. Kapal tersebut serta merta ditukar menjadi kapal perang oleh Jack Ward. Malangnya, kapal ini karam pada tahun 1605 di sekitar laut di Greece sehingga memakan korban lebih 400 orang krew. 250 orang krew adalah muslim Tunisia dan 150 adalah warga Inggeris.

Berita ini mengundang kemurkaan Uthman Dey dan rakyat Tunisia turut sama marah kepada Jack Ward.

Beliau kemudian mengambil keputusan untuk mendapat pengampunan daripada King James I. Walaubagaimanapun ia tidak berjaya malahan beliau telah diburu untuk dihukum.

Akhirnya beliau cuba memohon ampun kepada Uthman Dey. Kerana berpegang kepada prinsip amanah kepada perjanjian, Uthman Dey memberi pengampunan dan seterusnya suaka politik kepada beliau.

Memeluk Islam

Kemurahan hati Uthman Dey menarik minat Jack Ward untuk mendalami Islam secara mendalam. Tidak lama selepas itu, Jack Ward secara rasminya menganut Islam.

Daripada detik itu juga, Jack Ward yang selama ini turut digelar Jack Birdy atau Jack Sparrow telah memeluk Islam dan diikuti oleh krew-krew kapalnya yang setia.

Sepertimana Simon Dangizer yang menukar namanya kepada Simon Reis dan Jan Jansz kepada Murat Reis, Jack Ward turut menukarkan nama Kristiannya kepada Yusuf Reis.

Jack Ward atau Yusuf Reis kemudian bernikah dengan seorang gadis berasal daripada Sicily, Italy yang bernama Jessimina.

Pada 1622, seorang dramatis bernama Robert Daborne mendapat inspirasi daripada kehidupan Jack Ward atau Yusuf Reis yang mana beliau kemudiannya menghasilkan novel bertajuk ‘A Christian Turned Turk’.

Selanjutnya, Jihad

Jack Sparrow
Perhatikan lambang bulan dan bintang.

Dahulunya, beliau seorang kapten lanun yang licik serta sering mabuk arak. Selepas menganut Islam, beliau lebih berdisiplin dan menggunakan kemahiran lautnya untuk berjihad menyelamatkan tanah masyarakat Muslim daripada terus diancam bahaya armada Sepanyol.

Beliau turut direkodkan menyelamatkan ribuan masyarakat Muslim dan Yahudi Andalusia yang ditindas oleh kerajaan Kristian Katholik Sepanyol. Meskipun berdarah Inggeris, beliau tidak kekok untuk berpakaian sepertimana orang Turki berpakaian.

Beliau dalam satu rekod dinyatakan sebagai seorang yang tidak tinggi, rambut tidak lebat dengan uban serta botak di depan, wajah agak gelap dan berjanggut.

Beliau turut memakai turban yang senonim dengan masyarakat Islam ketika itu. Beliau agak kecoh dan kadangkala agak melucukan.

Peribadi dan tingkah laku ini kemudiannya melahirkan watak Jack Sparrow di dalam filem Pirates of the Carribean.

Kembali ke rahmatullah

Pada 1622, Yusuf Reis atau Jack Ward kembali ke rahmatullah selepas menderita terkena tempias wabak penyakit. Beliau meninggal dunia dalam beragama Islam tidak sepertimana rakan akrabnya, Francis Varney yang murtad di akhir hayatnya.

Jack Sparrow dalam Pirates of the Carribean

Sudah namapun mengadaptasi watak sebenar kepada watak dalam filem. Beberapa elemen telah diterapkan dalam pemakaian dan aksesori yang dipakai oleh Jack Sparrow lakonan Johnny Depp.

Jack Sparrow dala Pirates of the Carribean dilihat memakai aksesori bulan dan bintang (simbol Islam), kain lilit kepala berwarna merah(menggantikan serban merah ala Turki Othmaniyyah) dan janggut (Johnny Depp melilit janggut supaya kelihatan ranggi).

BACA INI JUGA: Watak Pahlawan Islam Dalam Filem Pirates of The Carribean

sumber: takusahrisau

Bonus Hari Raya 2017 Kakitangan Awam RM1,000?

Bonus Hari Raya 2017 Kakitangan Awam RM1,000?

Sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri 2017, CUEPACS telah memohon agar kerajaan mempertimbangkan pemberian bonus bantuan khas sekurang-kurangnya RM1,000 kepada 1.6 juta penjawat awam sebagai persiapan menyambut Aidilfitri tahun ini.

Bonus Raya 2017

Presidennya, Datuk Azih Muda, berkata beliau berharap jumlah imbuhan bonus itu pada tahun 2017 ini lebih tinggi berbanding RM500 yang diberikan tahun lepas bagi meringankan kos sara hidup yang meningkat dan harga barang yang tidak menentu.

"Kita tahu kalau penjawat awam tiada insentif berkenaan belum tentu pada malam raya pun boleh beli baju raya lagi.

"Ini satu perkara penting buat penjawat awam menjelang ketibaan Aidilfitri nanti," katanya kepada pemberita.

Katanya lagi, beliau akan berjumpa dengan pihak kerajaan mengenai permohonan bayaran bonus CUEPACS untuk bantuan kewangan itu bagi penjawat awam dalam masa terdekat.

Dalam pada itu, beliau menafikan laporan yang viral di media sosial yang mendakwa CUEPACS memohon umur persaraan penjawat dilanjutkan sehingga 65 tahun berbanding 60 tahun pada masa ini.

Kenyataan itu ternyata dimanipulasi oleh pihak yang tidak bertanggungjawab dan menyebarkannya di media sosial, katanya.

Tahun 2016 lalu, kerajaan mengumumkan pemberian bonus Bantuan Khas Kewangan RM500 kepada 1.6 juta penjawat awam dan RM250 kepada 743,000 pesara kerajaan sebagai persiapan menyambut Aidilfitri.

Kemaskini (2 Jun 2017)

BANTUAN KHAS KEWANGAN BERSEMPENA HARI RAYA AIDILFITRI 2017

Kerajaan bersetuju untuk memberi Bantuan Khas Kewangan sebanyak RM500 kepada hampir 1.6 juta penjawat awam sebagai persiapan untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri 2017.

Bantuan Khas ini juga akan turut dinikmati oleh hampir 775,000 pesara Kerajaan sebagai menghargai jasa perkhidmatan dengan jumlah bayaran sebanyak RM250.

Pembayaran bagi bantuan khas ini akan dibuat sebelum 9 Jun 2017.

Bantuan Khas Kewangan kepada penjawat awam dan pesara Kerajaan ini membabitkan anggaran peruntukan kewangan sebanyak RM1 bilion.

Kerajaan berharap dengan pemberian Bantuan Khas ini dapat meringankan beban kewangan kepada penjawat awam dan pesara bagi persiapan Hari Raya Aidilfitri 2017.

BACA INI JUGA: Jumlah Penjawat Awam Malaysia 500,000 Bukannya 1.6 Juta!

sumber: kosmo

Peristiwa Penting Hari Ini Dalam Sejarah Dunia (26 Mei)

Peristiwa Penting Hari Ini Dalam Sejarah Dunia (26 Mei)

Tanggal 26 Mei merupakan hari ke 146 (hari ke 147 dalam tahun lompat) dalam kalendar Gregory dengan tinggal 219 hari sebelum memasuki tahun selepasnya.

Grebe Alaotra
Grebe Alaotra.

Hari ini juga merupakan sambutan Hari Kemerdekaan di Guyana (1966) dan Georgia (1918) dan Hari Ibu di Poland.

Mari kita perhatikan peristiwa-peristiwa penting yang berlaku hari ini di dalam sejarah dunia.

Peristiwa

17 - Germanicus kembali ke Rom sebagai wira penakluk.

1805 - Napoleon Bonaparte dimahkotakan sebagai Raja Itali di Milan dengan Mahkota Besi Lombardy.

1896 - Indeks Perindustrian Dow Jones diterbitkan buat pertama kali oleh Charles Dow sebagai indeks pasaran saham.

1918 - Republik Demokratik Georgia diisytiharkan selepas perpecahan Republik Persekutuan Demokratik Transkaukasia.

1972 – Richard Nixon dan Leonid Brezhnev memeterai Perjanjian Anti-Peluru Berpandu Balistik di Moscow, mengakhiri perbincangan SALT I.

1986 – Komuniti Eropah mula menggunakan Bendera Eropah.

2006 – Gempa bumi berukuran 6.3 Mw melanda Kota Yogyakarta di pulau Jawa, Indonesia, mengorbankan lebih 5,700 orang, mencederakan 36,000 dan menyebabkan 1.5 juta lagi kehilangan tempat tinggal.

2008 – Phoenix NASA berjaya mendarat di Marikh.

2010 – Grebe Alaotra, sejenis burung endemik di Madagaskar, diisytiharkan pupus 25 tahun selepas dilihat buat kali terakhir.

2010 – Lebih 70 orang terbunuh dalam kekacauan di Kingston, Jamaica, apabila kerajaan cuba menahan raja dadah Christopher Coke.

2011 – Bekas komander Tentera Republik Srpska, Ratko Mladić ditahan di Serbia menurut dakwaan jenayah perang 1995.

2013 – Dalam perlumbaan auto Formula Satu, Nico Rosberg memenangi Grand Prix Monaco.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: Peristiwa Penting Hari Ini Dalam Sejarah Dunia (25 Mei)

sumber: wikipedia

Thursday, May 25, 2017

'Akodessewa Market' Pasar Ilmu Hitam Terbesar Di Dunia

'Akodessewa Market' Pasar Ilmu Hitam Terbesar Di Dunia

Tahukah anda sebenarnya memang terdapat pasar khas yang menjual pelbagai alat-alat untuk ritual black magic? Ilmu hitam.

Akodessewa Market

Namun, dalam dunia serba canggih hari ini, masih relevan lagikah percaya kepada bomoh? Contohnya, seperti santau-menyantau.

Jawapannya bergantung kepada kepercayaan masing-masing.

Pasar yang dimaksudkan ini ialah Akodessewa Fetish Market, terletak di ibu negara togo iaitu lome, Afrika Barat. Pasar ini dikenali sebagai pasar yang menjual alatan sihir terbesar di dunia.

Menurut ranting kepercayaan mereka, amalan sihir atau ilmu hitam ini bermula di Afrika Barat terlebih dahulu sebelum tersebar ke negara-negara lain seperti Togo, Ghana dan Nigeria.

Mereka mempercayai ritual-ritual pelik yang menggunakan bahagian haiwan ini dapat menyelesaikan banyak masalah termasuklah menyembuhkan penyakit, masalah hubungan atau kewangan.

Di Afrika barat, bomoh atau pengamal sihir ini dipanggil Voodoo. Dalam kepercayaan Voodoo pula, terdapat dua jenis ritual iaitu Rado dan Petro.

Rado lebih kepada ritual kedamaian berbanding Petro yang kearah kejahatan atau juga boleh disebut ilmu hitam.

Ok baik, sebenarnya saya bukanlah mahu berkongsi cerita tentang perkara mistik atau kepercayaan terhadap bomoh ini.

Pelancong dialu-alukan

Akodessewa Market

Walaupun kedengaran agak menyeramkan, sebenarnya pelancong luar juga sangat dialu-alukan untuk datang ke Akodessewa Fetish Market untuk melihat sendiri bagaimana mereka menjalankan aktiviti-aktiviti ritual pelik ini.

Dalam sisi lainya, Akodessewa Fetish Market bukan sahaja untuk para bomoh tetapi semua orang dialu-alukan untuk datang. Buat anda yang gemar mencari keunikan pelik-pelik semasa travel, berkunjug ke Akodessewa Fetish Market ini pasti memberikan anda pengalaman yang lebih menarik.

Di sini terdapat pelbagai alatan mistik yang digunakan oleh pengamal ilmu hitam daripada kepala haiwan hinggalah ubat yang mampu menyembuhkan pelbagai penyakit. LOL!

Mana tahu kalau-kalau mahu dijadikan sebagai cenderahati.

BACA INI JUGA: Apa Itu Khadam Dan Kuasa Mistik Azimat!

sumber: thevocket

Katy Perry Dibayar RM107j Sebagai Juri ‘American Idol’

Katy Perry Dibayar RM107j Sebagai Juri ‘American Idol’

Katy Perry dikhabarkan menerima bayaran AS$25 juta (RM107,325,000) hanya untuk menjadi juri program realiti American Idol (AI) tahun ini.

Katy Perry

Katty bagaimanapun berbangga kerana dia satu-satunya juri yang mendapat bayaran tertinggi berbanding juri lain.

“Saya sangat berbangga sebagai seorang wanita. Dan kamu tahu kenapa? Saya dapat bayaran lebih daripada juri-juri lelaki di program itu,” katanya ketika muncul dalam siaran radio 103.5 KTU, pada 23 Mei lalu.

Dalam pada itu, penyanyi yang baru muncul dengan single baru berjudul Bon Appetit ini menjelaskan dia bersetuju untuk menjadi juri AI bukan kerana isu bayaran lumayan tersebut.

Sebaliknya dia mengaku sudah lama ingin menjadi sebahagian daripada program pencarian berbakat tersebut.

Penyanyi lagu Roar ini berharap dapat melahirkan bakat-bakat baru dari program tersebut.

“Acara ini tentang pencarian bakat yang sebenar, membuat impian orang menjadi nyata dan mendengarkan kisah mereka.

“Saya melihat anda. Saya mahu mendengar anda. Saya ingin menjadi saksi mata untuk anda,” katanya lagi.

BACA INI JUGA: Selebriti Hollywood Yang Memandu Kereta Paling Mahal

sumber: mynewshub